Qaira Shareena atau Qay memilih untuk menamatkan zaman
daranya ketika usianya masih terlalu muda. Mungkin kerana taksub kepada cinta, dia
memilih untuk menerima lamaran Akmal Hadi walaupun ibu dan ayahnya membantah.
Dalam keadaan dirinya yang tidak bersedia, dia dipaksa ‘memilih’ oleh kedua
orang tuanya membuatkan dia hilang arah. Akhirnya dia nekad memilih Hadi!
Ahmad Aqmal Hadi atau Hadi, dia tega melawan kata emaknya
semata-mata kerana sayangkan Qay, gadis yang dikenali ketika di sekolah. Dalam
keadaan Qay yang terumbang-ambing dia tidak sanggup membiarkan Qay begitu
sahaja lantas impian yang mereka cipta direalisasikan seawal usia ramaja.
Ketika hati sedang terlalu cinta apa sahaja sanggup diredahnya demi kekasih
hati termasuklah menderhaka kepada ibu sendiri.
Namun takdir cinta buat mereka berdua tidaklah seindah
bayangan..
Kebencian emak mertua kepadanya atas satu alasan,
membuatkan Qay terumbang ambing merana. Konflik tambahan, kemiskinan hidup
mencacatkan lagi perjalanan hidup mereka. Tekanan menjadi ibu dalam usia muda
membuatkan dia semakin lemah. Keegoan suami yang terlalu menjaga maruah sebagai
lelaki dan tunduk kepada ibu sendiri semakin membarahkan luka di hatinya. Qay
semakin lemas oleh kecewa dalam dakapan kasih suami. Rupanya semua ini tidak
pernah semudah yang dibayangkannya.
Tekanan demi tekanan akhirnya Qay nekad membuat keputusan
untuk dirinya sendiri. Demi merawat hati yang parah Qay tega meninggalkan Hadi
dan anaknya yang masih bayi.
Namun 10 tahun telah berlalu. Beribu cerita terlakar
sendiri tanpa sedar oleh mereka. Permata hati yang ada, semakin membesar pasti semakin
tertanya-tanya tentang kewujudan ibu kandungnya. Demi menyedari hakikat itu,
Qay nekad memunculkan diri semula. Kasih yang masih ada membuatkan dia
menebalkan muka merebut semula hati Hadi yang sudah pergi jauh darinya. Kedudukannya
sebagai ibu kepada Nurul Inas Indriani dipergunakan sebaiknya untuk merebut
semula cinta suami. Berbagai usaha dilakukannya untuk menambat kasih Hadi
kepadanya, namun bahagia yang dinanti masih tidak muncul juga. Sehinggalah dia
keletihan sendiri menanti.
Benci dihati membuatkan Hadi cekal menjauhi Qay yang
pernah dipujanya. Namun bohonglah jika tidak terusik dengan senyum menggoda di
hadapan matanya sementelah Qay adalah bos di pejabatnya. Namun selama mana dia
mampu bersikap hipokrit? Tetapi Hadi sedar, dia pernah membuat kesilapan melawan
kata-kata ibunya. Balasan kesilapannya itu, dia akhirnya ditinggalkan Qay
begitu sahaja. Serik dengan pengalaman lalu, juga tekanan dari si ibu
membuatkan dia enggan memberikan peluang kepada Qay lagi. Egonya terus
dipertahankan dengan menjadikan kedudukan Qay yang merupakan bos dan kesilapan
lalu Qay sebagai alasan untuk dia menjauhi Qay.
Tetapi Hadi terlupa.. di dalam sebuah bahtera dialah kaptennya,
dialah nakhoda penentu arah haluan hidup mereka. Di hadapan Allah nanti dialah
yang akan ditanya. Ketika hakikat dibuka dihadapan mata tentang apa yang pernah
dilalui Qay dari semenjak mula berkahwin sehinggalah kini, Hadi seolah-olah
telah terhantuk dalam kekesalan. Namun sayangnya, Qay yang pernah didamba
ibarat patung yang sudah kehilangan jiwa kepadanya.
Mampukah bahagia yang pernah diimpikan mereka hadir di
dalam rumahtangga itu? Kisah ini kisah Qay dan Hadi. Kelemahan mereka dan
kelebihan mereka terus terlakar dalam satu cerita. Kerana mereka ada satu hati
yang sudah lama bersatu. Namun hakikatnya hidup ini, baik atau tidak
penghabisannya.. itulah sebenarnya adunan dari tangan mereka sendiri. Hasilnya nanti..
itulah sebenarnya takdir cinta buat Qay.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.