Khamis, 12 September 2013

BABA 34

“Encik Hadi, meeting sekarang..” ucap Tirana dari muka pintu bilik itu. Hadi terus mengangkat wajah ke arah wanita itu. Seketika kemudian dia mengangguk walaupun ada sedikit kehairanan bermain di hati. Meeting apa pulak ni? bisik hati kecilnya sendiri.
Namun dia tetap bangun dari kerusi untuk ke bilik mesyuarat. Longlai dirasakan langkahnya. Hanya jasadnya di situ sedangkan jiwanya terbang entah ke mana. Semenjak bertemu dengan Qay semalam, dia sudah tidak senang duduk. Bertambah mengusutkan keadaan, Inas marah-marah kepadanya tentang kejadian petang semalam. Anak itu enggan makan bersamanya dan Suria pula tidak habis-habis menelefonnya. Malas dia mahu melayan!
Sesampai di bilik meeting kebanyakan pegawai tertinggi sudah berada di bilik itu. Hadi terus masuk dan duduk bersebelahan dengan Hasbullah.
Meeting apa ni?” tanya Hasbullah sambil berbisik kepada Hadi.
“Entah..” jawab Hadi sepatah.
Tidak sampai lima minit mereka menunggu di situ Amanda pembantu peribadi Tan Sri Idris masuk. Namun tiada kelibat CEO itu bersama Amanda. Wanita itu mengemaskan sedikit tempat yang sering diduduki oleh lelaki itu. Saat itu barulah Hadi perasan tanda nama lelaki kenamaan yang selama ini terletak elok di atas meja itu turut diambil oleh Amanda dan dibawa pergi. Hairan Hadi melihat segala perbuatan Amanda itu.
Tidak lama kemudian Amanda kembali lagi ke bilik itu membawa tanda nama baru. Terus diletakkan di atas meja, elok sahaja menghadap kepada Hadi. Saat membaca tanda nama itu jantung Hadi bagaikan dipancung. Nama itu terlalu dikenalinya.
‘Qaira Syahreena Binti Tan Sri Muhammed Farouqe’
Terbeliak mata Hadi. Hampir sahaja dia mahu berdiri saat melihat kelibat seorang wanita masuk ke bilik itu. Seperti mahu pingsan dia melihat wanita itu. Bola mata juga seperti sudah bergolek jatuh ke atas meja itu. Liur yang mahu ditelan juga terasa likat tiba-tiba. Dadanya berdegup kencang melihat Qay mula mengambil tempat Tan Sri Idris dengan selambanya. Apa maknanya semua ini? Itulah pertanyaan yang sedang hebat menghujani akalnya. Turun naik dada Hadi mengenangkan Qay duduk di situ bermakna Qay adalah bosnya!
Qay mengangkat pandangan kepada semua ahli mesyuarat itu. Pertama yang dicarinya ialah wajah Hadi. Lama pandangannya tertusuk kepada lelaki itu. Dia perasan Hadi merenungnya dengan pandangan yang cukup tajam seolah-olah tidak percaya dia berada di situ. Kebetulankah ini semua? Tidak! Dia sudah merancang pertemuan ini semenjak setahun lalu. Dia sudah lama tahu Hadi berkerja di syarikat ini. Cuma Hadi sahaja yang tidak tahu dia yang bertanggungjawab membawa Hadi masuk ke syarikat ini lebih setahun dulu. Hadi yang tidak tahu syarikat ini salah satu syarikat milik keluarganya. Dia hanya mahu berada dekat dengan Hadi. Itu sahaja. Hanya ada beberapa orang di dalam syarikat ini tahu dia akan mengambil alih jawatan CEO daripada genggaman Tan Sri Idris. Malahan Tan Sri Idris sebenarnya memang dah dijanjikan akan mengemudikan syarikat ini sehingga Qay kembali ke Malaysia.
“Okay, meeting ni pendek sahaja. Sekadar nak memperkenalkan CEO baru kita. Puan Qaira Syahreena akan mengambil alih jawatan CEO daripada Tan Sri Idris. Tan Sri Idris akan kembali mengemudikan Urban Copration. Manakala Puan Qaira akan mengetuai Mirhad Holding. Untuk pengetahuan semua, Puan Qaira adalah anak kepada Tan Sri Muhammed Farouqe kita punya share holder.” Encik Gazi merupakan Pengurus besar syarikat segera membuat pengumuman itu.
Seluruh bola mata terus tertuju kepada Qay yang tenang sahaja di kerusinya. Hadi benar-benar kelu mendengar kata-kata ketuanya itu. Bapa mertuanya itu merupakan pemegang saham di syarikat ini? Mengapa dia tidak tahu tentang hakikat itu? Sangkanya Urban Copration itulah satu-satunya syarikat yang dimiliki oleh keluarga Qay.
“So selamat datang, Puan Qaira..” ucap Encik Gazi kepada Qay yang tersandar di kerusinya.
Qay sekadar mengangguk dengan sedikit senyuman. Ketenangan yang dipamirkan sebenarnya hanya palsu. Kerana dia masih ditadah oleh renungan Hadi yang masih tidak putus kepadanya. Dia tahu Hadi sudah mula mencium permainan yang sedang dimainkannya. Memang dia yang mengarahkan agar nama ayahnya tidak didedahkan sebagai pemegang saham. Kerana dia tahu.. jika Hadi tahu syarikat ini milik keluarganya, Hadi tidak akan menjejakkan kaki ke sini. Sedangkan ini adalah antara jalan yang ada untuk dia mendapatkan Hadi semula.
“So harap-harap kita dapat memberi kerjasama dan prestasi yang baik, sama macamana kita dengan Tan Sri Idris dulu. Puan Qaira ada nak kata apa-apa?”
Qay hanya terdaya menggeleng. Dia tidak ada idea untuk memberi sepatah dua kata kepada semua kakitangannya dalam keadaan hatinya tidak tenang seperti ini. Ngilu benar perasaanya. Bimbang Hadi semakin benci kepadanya. Memperkenalkan Hadi sebagai suaminya di hadapan orang lain? Tidak! Dia tidak berani biarpun dia mahu benar orang lain tahu siapa lelaki yang paling disayanginya selama ini. Dia tahu Hadi malu dengan keadaan ini. Dia masih ingat salah satu kepantangan Hadi, suaminya itu tidak mahu berada di kedudukan bawah berbanding dirinya.
Akhirnya meeting pendek itu berakhir di situ sahaja. Qay tinggal di bilik itu sendirian mengenang semula apa yang baru berlaku sekejap tadi. Hadi keluar dari ruangan itu tanpa mahu memandang kepadanya. Betapa ketatnya wajah suaminya itu. Dia gentar mahu memandangnya.
“Puan Qaira you perlukan apa-apa?” soal Amanda hairan melihat bos barunya itu terus pegun di bilik itu. Sedangkan semua orang sudah kembali kepada tugas masing-masing.
“Nothing!” jawab Qay tanpa memandang Amanda yang berdiri di tepinya.
“What’s wrong?” soal Amanda masih tidak berganjak daripada tempatnya. Dia tahu ada yang tidak kena dengan Qay.
Qay mula menoleh. “Nothing, Amanda. Jangan bimbangkan I..” Qay cuba untuk tersenyum kepada wanita itu. Namun dia sendiri terasa hambar segalanya. Hanya wajah Hadi yang bermain di matanya.
“I dah kemaskan bilik you.”
“Okay..” Qay bangun dari kerusinya. Dia tahu kalau dia terus berada di situ Amanda akan semakin hairan. Sepanjang dia berjalan menuju ke biliknya Qay perasan banyak mata memandangnya. Namun dia tidak membalas.
“Amanda, sekejap..” panggil Qay sebelum Amanda menutup pintu biliknya.
“Yes, mem..” pembantu peribadi Qay itu kembali masuk ke dalam bilik itu.
“I nak tanya you sikit pasal staff kat sini,” ujar Qay bersandar tenang sambil memandang Amanda di hadapan mejanya.
“Siapa tu?”
“Aqmal Hadi..” jawab Qay ringkas.
“Aqmal Hadi? Jurutera kanan tu ke?”
Qay terus mengangguk mengiyakan siapa orang yang dimaksudkan Amanda itu tadi.
“Kenapa dengan dia?”
“Dia dah kahwin ke?”
Amanda tergelak tiba-tiba mendengar pertanyaan itu. “Setahu I Encik Hadi tu ada anak seorang. Tapi I ada dengar orang kata dia tu bapa tunggal. Duda agaknya,” ujar Amanda lembut.
“Kenapa you ketawa?” berkerut dahi Qay melihat gelagat selamba Amanda.
“Takdelah.. masuk you entah berapa ramai tanyakan dia dah kahwin ke belum.”
“Oh, really? Siapa lagi yang selalu tanya dia dah kahwin ke belum?” soal Qay mula merasa tidak enak mengenang itu.
“Adalah beberapa wakil klien perempuan kita pun ada risik-risik pasal dia. Orangnya memang mengancam. Tapi Encik Hadi tu sombong. Dia tak mesra dengan semua orang,” cerita Amanda.
Qay terdiam memdengar penjelasan Amanda tentang Hadi. Suaminya itu memang seorang lelaki yang setia. Itu dia tahu. Hadi semenjak dahulu memang begitu. Legakah hatinya mendengar itu? Tidak! sebab dia tahu hadi dan Suria sudah bertunang walaupun dia tahu Hadi menerima Suria atas paksaan emak mertuanya itu. Dia cuma mahu tahu adakah Hadi sudah menggantikan tempatnya dengan wanita lain selain Suria.
“You kenal dia ke sebelum ni?” tanya Amanda mula teringin mahu menyibuk. Pelik kenapa bosnya itu hanya berminat untuk bertanya kepada Hadi yang kacak itu berbanding orang lain.
“Kenal. Kami kawan satu sekolah dulu,” jawab Qay biasa. Menyebut Hadi sebagai suaminya? Buat masa ini, taklah kut..
“Oh..” hanya itu jawapan Amanda sambil meneliti raut Qay. “Ada apa-apa lagi, bos?” soal Amanda.
“Takde apa. You boleh keluar, Amanda. Thank’s..”
Sebak sahaja Amanda keluar daripada bilik itu, Qay terus mengangkat ganggang. Beberapa nombor ditekannya .
“Kalau dia bagi you surat resign, I nak you tolak. I tak mahu dia berhenti. Buat apa saja asalkan dia tak boleh keluar dari syarikat ni,” ucap Qay kepada seseorang di hujung sana.
Buat seketika dia mendengar apa yang dijawab oleh Encik Gazi di hujung sana.
“No! I tak nak dengar apa-apa alasan dari dia. I nak dia terus kekal di situ. You know what to do, Gazi. You’re his boss,” jawab Qay serius. Qay diam lagi mendengar kata-kata lelaki berpangkat GM di hujung sana. Gazi adalah satu-satunya orang yang tahu Hadi adalah suaminya.
“Okay, thank’s..” terus ganggang diletak semula. Qay tersandar lagi mengenang Hadi. Tiba-tiba bibirnya tersenyum sendiri. Dia akan terus mengejar jika Hadi ingin lari darinya. Dia ingin lihat sejauh mana suaminya itu mahu mengelak darinya.

Di hadapan pejabat itu debar di dadanya berkemuncak sudah tidak mampu ditenangkan dengan sekadar menghela nafas. Qaira Syahreena sedar apa yang bakal dilaluinya sekejap lagi pastinya tidak semudah dibayangkan. Tetapi biar apa pun keadaannya dia harus meneruskan juga. Perlahan dia menapak masuk ke dalam bilik itu yang sudah pun mematikan sebahagiaan lampunya. Malap sahaja suasana ruangan itu.
Langkah diatur seperlahan mungkin agar lelaki itu tidak terkejut dengan kehadirannya. Dia tahu lelaki itu hanya sendirian di situ. Kecekalan lelaki itu mencari rezeki demi menaikkan taraf hidup mereka dua beranak dapat dilihatnya kini. Dalam waktu selewat ini Hadi masih menyiapkan kerja-kerjanya yang masih berlambak bersendirian.
Lama Qay terpaku memandang belakang tubuh lelaki itu. Lelaki itu masih tidak perasan dengan kehadirannya dek kerana ralik dengan kerjanya. Hadi sedang terbongkok-bongkok mencari satu fail di dalam kabinet di belakang mejanya.
Ya Tuhan.. betapa aku teramat rindukan dia, keluh hati Qay sayu. Kelebatan pohon cintanya kepada Hadi, tidak pernah luruh walau sedaun pun selama ini. Berkaca sedikit mata Qay memandang lelaki itu dalam pada dia dihidangkan semula keindahan musim cintanya dengan Hadi. Jika diberikan kekuatan ingin dia meluru mendakap sekujur tubuh itu untuk melunaskan rindu yang tersimpan jauh selama ini. Mengapa, Ya Tuhan? Mengapa aku tidak pernah mampu melupakan dia selama ini? Mengapa cinta ku kepadanya tidak pernah terhakis barang seinci pun biar pun aku cukup sedar betapa payahnya untuk aku bina kebahagiaan bersama dengannya? Qay hanya mampu merintih dengan semua persoalan itu di dalam diam. Setitis air mata yang gugur diseka pantas. Pertengkaran semalam masih utuh di pemikirannya. Namun Qay tidak mahu begitu cepat merasa kalah dalam merebut kasih Hadi semula.
“Assalamualaikum..” sapa si wanita lembut.
“Waalaikumussalam..” jawab si lelaki lantas menoleh sedikit.
Zupp!! Jantungnya bagaikan sudah dicantas sebaik sahaja terpandangkan batang tubuh yang sedang terpacak beberapa ela darinya. Dia terpaku lama memandang wanita seiras isterinya yang sudah meninggalkannya hampir 10 tahun lalu.
Perlahan Hadi menegakkan tubuhnya untuk melihat wanita itu dengan lebih jelas lagi. ya! Inilah wanita yang begitu kejam meninggalkan dirinya dan anak mereka demi mengejar cita-citanya. Wanita inilah yang menolak untuk memiliki cintanya dan memilih cita-cita. Wanita inilah yang menipunya selama ini. Inilah wanita kejam itu!
“Abang..”
“Ada apa lagi?” soal Hadi agak dingin. Namun dalam diam, hatinya yang mula berombak ganas cuba ditenangkan sebaik-baiknya.
“Qay minta maaf, abang. Qay tahu abang tak expect semua ni,” ucap Qay lantas mendekati Hadi di mejanya. Lelaki itu kembali membelakanginya. Seolah-olah tidak suka melihat dirinya.
“Tak perlu minta maaf. Takde sebab kau nak minta maaf pada aku! Semuanya dah berlalu,” ucap Hadi agak perlahan. Tetapi hakikatnya biarpun semua itu tidak dapat dihalang namun luka di hatinya terlalu besar. Bukan mudah untuk dia membiarkan dirinya berlagak tenang setelah apa yang dilakukan oleh Qaira Syahreena kepadanya. Setiap saat yang berlalu dari hidupnya, dia hanya mampu membiarkan hatinya menangis mengenangkan cinta yang didambanya sudah hilang dari hidupnya.
“Abang..” panggil Qay lembut. Dia maju selangkah untuk mendekati lelaki itu. Tangan cuba diangkat untuk menyentuh lelaki itu tetapi akhirnya pergerakan terhenti apabila Hadi langsung tidak menjawab mahupun menoleh kepadanya.
“Abang, tolong terima Qay semula..” luah Qay akhirnya.
Hadi menoleh sedikit dengan sorotan mata yang tajam. “Terima kau untuk apa? Ada apa lagi di sini yang tertinggal? Ada apa lagi pada lelaki macam aku, Qay? Aku cuma seorang lelaki yang dah takde harganya lagi di mata isteri aku!” jawab lelaki itu cukup dingin.
Sekuat-kuat dirinya menahan, mengalir juga air mata Qay kala itu mendengar bicara Hadi. Kesedihan yang ditahan semenjak tadi semakin berombak hebat membadai permukaan hatinya. Amat menyiksakan dan menyakitkan! Perlahan Qay menekup mulutnya untuk mengawal agar esakannya tidak terlepas. Namun semakin cuba ditahan, semakin banyak air matanya gugur.
“Kenapa kau nak menangis, Qay? 10 tahun dah berlalu. Aku dah puas menahan kesakitan tu selama ini. Sekali pun kau tak pernah pedulikan aku. Kenapa sekarang nak menyesal?”
“Abang tak faham! Semuanya tak seperti yang abang bayangkan selama ini. Abang ingat Qay senang hati ke selama ini?” ucap Qay dalam deraian air matanya. Lelaki ini tidak akan pernah tahu apa yang berada di hatinya selama ini. Tidak akan faham erti sengsara versi dirinya pula. Tidak ada makna kata bahagia kepadanya selama mereka berjauhan. Mengapa Hadi tidak pernah faham. Cintanya kepada Hadi tak kenal taraf dan darjat!
Hadi menghela keluhan sendiri. Kosong tatapan matanya seperti mana hatinya yang tiba-tiba merasa kosong saat ini. Dari cara Qay berpakaian dan rumah besarnya, sudah tentulah cita-cita Qay untuk mendominasi dunia perniagaan sudah terlaksana. Apalah yang ada pada dirinya untuk dia merasa bahagia dengan kewujudan wanita ini semula? Dia sekadar seorang kuli di sini!
“Maafkan Qay, abang. Qay balik sebab Qay rindukan Inas, anak kita dan sebab abang. Qay tak pernah lupakan abang selama ini.” Qay berkata lagi setelah dia berjaya menenangkan diri.
Hadi terus berdiam dengan wajah sugul. Anak kita? Dua patah kata amat janggal sekali di telinganya. Wajarkah seorang wanita yang mementingkan diri sendiri seperti ini menganggap zuriat yang dibesarkannya bersendirian selama ini sebagai miliknya juga? Tidak malukah dia? Hadi menggeleng kesal.
“Abang katalah sesuatu. Qay tahu abang bencikan Qay. Qay tak kecil hati, abang. Tapi Inas juga anak Qay. Izinkan Qay jumpa dia selalu,” rayu Qay mengharapkan tolak ansur lelaki itu.
Hadi berjalan menjauhi Qay. Dia berdiri di jendela tidak jauh dari situ. Melalui celahan tirai itu dia memandang ke luar. Walaupun hanya kegelapan dan sedikit sinaran neon yang kelihatan dek matanya, namun dia lebih rela memandang ke arah itu berbanding memandang Qay.
“Aku tak sekejam itu untuk menidakkan hak kau kepada dia. Tapi selepas 10 tahun kau mengenepikan hak dia sebagai anak yang memerlukan kasih seorang ibu, layak ke panggil dia sebagai anak lagi? Kau tuntut hak kau selepas dia dah besar panjang begini? Aku tak tahu di mana kau letakkan harga zuriat yang kau lahirkan suatu masa dulu, Qay. Kerana dia anak aku ke.. kau buat dia begini?” balas Hadi cukup tajam.
“Abang..” Qay terus meluru ke arah lelaki itu. Tubuh Hadi dipeluknya dari belakang. Esakannya terlepas lagi di tubuh lelaki itu.
Namun Hadi terus menolak Qay jauh darinya. “Jangan kotorkan baju berjenama kau tu untuk lelaki yang dah takde harganya lagi pada kau! Aku tak setaraf untuk kau angkat tinggi sebagai suami. Aku cuma anak orang miskin! Tak macam kau, perempuan kaya yang ada segala-gala yang kau mahukan! Dan anak aku tak layak jadi sebahagian dari hidup kau!” bentak Hadi keras. Air mata isterinya membuatkan dadanya jadi tidak keruan.
“Aku menderita bertahun-tahun, Qay. Tapi kau tak pernah peduli. Kenapa? Kasih sayang aku memang dah takde harganya lagikan sampai kau sanggup tinggalkan aku tanggung semuanya seorang diri? Aku suami yang tak mampu membahagiakan isteri aku sendiri. Itu hakikat yang aku telan selama ini. Kenapa kau buat aku macam ni?” luah Hadi mula bergetar nadanya. Ada rasa sedih mula menghukum dirinya.
Qay rebah terduduk di lantai. Tangisannya sudah tidak terkawal. Bicara lelaki itu kedengaran cukup tajam mengecam dirinya, semakin merobek luka di hati yang sudah lama parah. Belakang tangannya digigit bagi meredakan kepiluan hatinya. Dia tidak pernah meminta keadaan akan jadi sesulit ini. Tetapi hakikatnya dia manusia biasa yang sering terkhilaf!
Hadi berpaling semula enggan memandang tangisan wanita itu. Kerana jika dia terus menyaksikan air mata itu, dia percaya kepiluan di dalam dadanya ini juga pasti akan pecah. Tidak! Dia tidak ingin menangis lagi kerana wanita ini yang tidak tahu menghargai cintanya. Namun akhirnya sejalur air mata mengalir juga di pipinya. Masih tidak lepas dari ingatan tangisan Inas dahagakan susu ibunya. Dia buntu untuk memujuk. Dia sengsara melihat semua itu. Masih tidak lekang dari ingatannya saat anaknya sakit, hanya dia sendirian memujuk anak itu. Qay tiada bersama untuk berkongsi susah senang itu. Tiada! Malah surat-surat yang dikirim tidak pernah dibalas Qay. Tiada sebarang penawar yang dikirimkan. Langsung tiada! Dan hari ini Qay memohon untuk kembali semula kepadanya. Mampukah dia memaafkan begitu sahaja?
“Qay tahu abang bencikan Qay. Qay terima semuanya, bang. Tapi tolong jangan anggap Qay macam tu. Qay teramat-amat rindukan Inas. Dia tetap anak Qay sampai bila-bila. Qay balik untuk menebus semula kesalahan Qay pada dia. Juga pada abang!” Qay merintih sendiri sambil menyeka air matanya.
Hadi menoleh mencari wajah isterinya itu. “Kalau kau ibu dia, kau takkan biarkan dia begitu sahaja. Kau takkan abaikan dia selama 10 tahun ni! Kalau kau sayangkan dia.. kau akan tulis surat pada dia supaya dia tahu kau masih wujud dalam hidup dia, Qay. Tapi tak! Setiap surat yang aku kirimkan langsung tak berbalas. Kau malu ada aku yang miskin ni sebagai suami kau? Kalau benar begitu, kenapa kau balik lagi ke sini? Aku tak pernah harapkan kau kembali semula untuk menebus apa yang dah hilang selama ni. Aku dah lama terima hakikat, hidup dengan aku takkan memberikan kau apa-apa kebahagiaan lagi, Qay. Sebab aku bukan lelaki yang hebat! Aku tak mampu berikan kau apa-apa selama ni. Kasih sayang aku juga takde nilai langsung berbanding apa boleh kau kecapi di Amerika sana. Jadi baliklah aja ke tempat kau! Kenapa kau cari lagi lelaki kampung ni? Aku dah biasa hidup begini, Qay. Bahagia untuk aku dah takde ertinya lagi!” balas Hadi sengit.
Qay terus teresak mendengar ucapan Hadi. Dia tiada kata untuk membalas. Ya! Memang dialah wanita kejam yang pernah meninggalkan suami dan anak kandung sendiri demi kepentingan sendiri. Tuduhan itu memang tepat mengena ke batang hidungnya.
“Aku dah tak perlukan kau lagi,” ucap Hadi lagi.
“Abang, Qay minta ampun. Jangan buat Qay macam ni..”
“Aku buat apa pada kau? Kau yang pergi tinggalkan aku, Qay! Kau tinggalkan aku tanggung semua sengsara sendiri. Kau tahu apa yang dah kau buat pada aku selama ni? Beraninya kau balik ke sini meminta aku maafkan kau? Cukuplah!!!” jerkah Hadi dengan dada turun naik menahan rasa. Dia benar-benar terasa mahu menangis saat ini.
“Aku merayu.. aku pujuk kau.. aku minta kau berikan aku masa tapi kau tak mahu dengar. Kau tetap pergi. Kau tahu apa yang aku rasa setiap kali Inas menangis? Aku menangis setiap kali dengar tangisan dia! Kau biarkan aku tanggung semua sengsara sendiri. Kenapa tergamaknya kau buat aku begitu? Kenapa, Qay? Takkan langsung takde sedikit pun aku rasakan kasih sayang aku selama ini? Takkan sepanjang masa kita bersama hanya sengsara yang kau rasakan selama ini?” suara Hadi kedengaran lagi membelah tangisan sayu wanita itu. Namun nadanya mula berubah sendu.
“Aku tak tahu apa yang patut aku buat bila aku rindukan kau, Qay. Aku miskin! Aku tak mampu pergi cari kau,” rintih Hadi sudah tidak mampu menahan kesedihannya. Bola matanya berkaca memandang isterinya itu.
“Qay sedia tanggung semua kesalahan tu kalau itu yang dapat membuatkan abang maafkan Qay. Demi Tuhan Qay rindukan abang sangat-sangat. Berilah Qay peluang untuk berikan kasih sayang Qay pada Inas. Qay masih sayangkan abang,” ucap Qay sambil memandang Hadi dengan mata basahnya. Ingin sekali dia mendapatkan lelaki itu. Tetapi dia bimbang Hadi menolaknya lagi.
Hadi menarik nafas panjang. Rasa sendat di dadanya mula melapang sedikit demi sedikit. “Jangan cakap pasal sayang lagi dengan aku. Aku takkan halang kau nak jumpa Inas. Aku tak sejahat itu, Qay. Tapi tentang kita.. itu semua dah berlalu. Dah takde lagi! Itu semua khilaf semalam yang pernah ada dalam hidup aku.”
Qay terpaku memandang suaminya itu. Keputusan Hadi didengarinya. Sebahagian hatinya meringan namun sebahagian lagi cukup hampa. Hadi yang ada di hadapan matanya ini bukan lagi Hadi yang pernah dikenalinya dahulu.
“Aku tahu syarikat ni kau yang punya. Tapi aku terpaksa jugak mintak kau tinggalkan bilik ni. Aku tak mahu dengar kau merayu pada aku lagi. Kau cuma seorang bos pada aku sekarang. Tak lebih dari itu. Dan aku tak mahu orang di dalam ni tahu pasal kisah lalu kita,” ucap Hadi tanpa memandang lagi wanita itu.
Lama Qay terpaku memandang Hadi. Namun melihat pendirian Hadi tetap tidak berubah dia bangun juga. Sebelum meninggalkan bilik itu dia sempat memandang semula Hadi. Lelaki itu masih memandang ke luar.


1 ulasan:

  1. Jadi serba salah.. Pilih Qay atau Hadi..? Dua-duanya punya alasan sendiri...

    BalasPadam

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.