Jumaat, 13 September 2013

BABA 35

Masam muka Inas pada pandangan Hadi. Semenjak dua tiga hari ini wajah seperti itulah yang sering dihidangkan oleh anaknya kepadanya. Hadi sedia maklum sebabnya. Namun dia malas mahu melayannya. Sengaja dia buat tidak nampak.
“Ayah dah buat sarapan ni. Jom makan,” ajak Hadi lembut.
“Inas tak nak makan,” jawab Inas selamba.
“Lah.. kenapa pulak. Nanti Inas pingsan kat sekolah, ayah jugak yang susah.” Hadi menjawab lembut. Anaknya itu cuba ditariknya ke meja makan. Namun tiba-tiba Inas menepis tangannya. Terkejut Hadi dengan kelakuan anaknya itu. tidak pernah Inas sebiadap itu kepadanya.
“Kenapa ni?” ucap Hadi sedikit keras akibat terasa ada angin lintang membelah kepalanya.
“Inas tak mahu makan!” jawab Inas turut berkeras.
“Kenapa tak mahu makan pulak? Kalau sakit nantikan susah?” tegas Hadi semakin mengeraskan suaranya. Tidak habis-habis Inas mahu menduga kesabarannya. Pagi-pagi sudah membuat perangai entah apa-apa.
“Biarlah Inas sakit. Ayah bukannya sayang Inas pun!” cebir Inas tanpa memandang Hadi. Bengkak hatinya dua tiga hari ini masih tidak surut.
“Inas..” tegur Hadi tidak senang. Kedua-dua tangannya mula naik ke pinggangnya.
“Inas nak jumpa ibu. Kenapa ayah tak bagi?”
“Ayah suruh makankan? Ayah ada sebut pasal ibu ke?”
“Inas tak nak makanlah!” bentak anak kecil itu semakin berani. Terus dia berjalan menuju ke pintu dengan beg sekolahnya.
“Ayah panggil Inas ni. Mari sini!” tengking Hadi meninggi.
Inas menoleh dengan sorotan tajam. Jelingan yang diberikan anak itu membuatkan dada Hadi semakin panas. Anaknya sudah semakin biadap kepadanya. “Jangan buat ayah marah, Inas. Ayah nak Inas pergi makan sekarang! Jangan degil!” tempik Hadi keras.
Turun naik dada Inas mendengar suara halilintar Hadi. “Inas tak mahu!”
Jawapan Inas membuatkan Hadi bertambah angin. Dia menerpa kepada anak itu. Lengan Inas ditariknya kasar lalu dibawa ke meja makan. “Makan sana!!!” tempik Hadi sambil menolak anaknya itu ke kerusi. Namun malang nasibnya Inas terlanggar kerusi itu. Akibatnya Inas terjelepuk jatuh dan kepalanya sempat menjamah tepian meja kayu itu.
“Ayah!!!” jerit Inas spontan menekup dahinya.
“Ya Allah..” Hadi terus menerpa kepada anaknya itu. “Inas, ayah tak sengaja. Sakit ke, sayang?” ucap Hadi sambil menarik tangan Inas daripada wajahnya. Terbeliak matanya melihat darah merah di telapak tangan anaknya itu. Saat dipandang darah sudah pun membasahi sebahagian wajah anaknya. Inas sudah menangis kuat.
“Ya Allah..” Hadi kalut melihat keadaan itu. Spontan tubuh Inas dicempungnya. “Sabar ya, sayang. Ayah bawak Inas pergi hospital,” ucap Hadi sudah panik. Inas terus di sumbat masuk ke dalam kereta. Kemudian dia memecut ke arah Darul Ehsan Medical Centre. Itu hospital yang paling dekat dengan mereka. Di wad kecemasan Inas menangis terus terusan. Puas dipujuk para petugas perubatan namun anak itu terus menangis seolah-olah sedang histeria sehingga akhirnya dia terpaksa diberikan ubat penenang. Barulah keadaan beransur tenang.
Tersandar Hadi mengenangkan apa yang berlaku sekejap tadi. Beberapa kali wajahnya diraup kesal. Demi Tuhan dia tidak sengaja mahu mencederakan Inas. Namun tidak tertanggung rasa bersalahnya kepada anaknya itu. Sehingga Inas mula dihantar ke wad Hadi terus termenung sendiri. Terlupa pula dia yang dia harus masuk kerja. Dia hanya teringat apabila telefonnya berbunyi setelah lebih sejam Inas ditempatkan di wad. Apabila dilihat panggilan itu datang daripada ketuanya.
“Maaf, Encik Gazi. Anak saya masuk hospital ni. Saya terpaksa bercuti hari ni,” ucap Hadi lemah sahaja setelah menyambut panggilan lelaki itu.
Admitted? Kenapa? Hospital mana?” lelaki itu sempat merasa terkejut mendengar kata-kata Hadi.
“DEMC..” Hadi sekadar menjawab ringkas. Dia benar-benar tiada mood mahu bercakap banyak saat ini. Hatinya yang gusar masih tidak mampu ditawarkan.
“Wad berapa?”
“Wad 2A,” jawab Hadi spontan.
“Takpelah, Hadi. You settle masalah tu dulu. Nanti ada apa-apa call I semula, okay.”
“Okay..” tanpa salam panggilan itu dimatikan Hadi. Setelah itu dia termangu di sisi katil Inas. Matanya terus memandang anaknya yang terlelap di atas katil. Dahi Inas sudah berjahit. Menurut doktor tidak ada kecederaan serius kepada anaknya itu. Namun kata-kata itu tidak mampu menghalau pergi keresahannya.
Inas.. maafkan ayah, sayang. Tolong jangan marah ayah.. bisik hati Hadi sambil mengusap kepala anaknya itu. Hadi terus pegun di tepi katil itu. Tanpa sedar sudah dua jam dia mengelamun sendiri di bilik itu.
Tiba-tiba perhatian  Hadi diganggu oleh bunyi pintu wad itu dibuka dari luar. Hadi terus menoleh. sangkanya jururawat yang masuk. Tetapi rupanya Qay yang datang.
“Abang..” sapa Qay lantas menerpa ke arah katil anaknya itu. “Kenapa boleh sampai jadi macam ni?” soalnya sedikit meninggi setelah melihat dahi Inas yang bertampal.
Ni semua kau punya pasal! Bisik hati Hadi sendiri mula mahu menyalahkan Qay pula. “Inas jatuh kat meja makan pagi tadi. Kepala dia terhantuk,” jawab Hadi tanpa memandang.
Terbeliak sedikit mata Qay mendengar jawapan Hadi. Terjatuh? Terhantuk? Kenapa sampai jadi macam tu? Namun soalan-soalan itu disimpannya dahulu memandangkan wajah Hadi sendiri sudah cukup kusut. Ada kesan darah di lengan baju Hadi yang dilihatnya. Perlahan Qay kembali memandang anaknya yang sedang terlantar.
 Anak ibu.. bisik Qay lantas mengucup halus kening Inas. Matanya terpejam sambil mendaratkan kucupan rindunya. Hadi yang memandang mengeluh sendiri. Melihat perbuatan Qay dia mula sedar, dia tidak harus berdegil lagi. Inas perlu diberi peluang merasai kasih sayang ibunya. Lagipun dia tidak sanggup membiarkan keadaan itu berulang lagi buat kali kedua. Biarlah dia mengalah sahaja.
“Inas nak jumpa kau selalu..” ucap Hadi agak perlahan.
Qay menoleh kepada Hadi setelah terdengar itu.
“Aku tak sengaja tertolak dia. Aku tak bermaksud nak berkasar dengan dia,” ujar Hadi entah kenapa. Nadanya berubah rendah bergaung kesal. Kali itu bola matanya singgah lagi di wajah anaknya. “Aku izinkan..” ucap Hadi semakin perlahan.
“Abang izinkan? Izinkan apa?” soal Qay semula dengan sedikit kerutan di kening.
“Dia tinggal dengan kau,” jawab Hadi.
Jawapan Hadi merubah sedikit reaksi di wajah Qay. Memang dia gembira dengan keputusan Hadi. Namun tidak sepenuhnya. “Abang macamana?” soal Qay.
“Aku macam nilah! Tak payah nak buat-buat pedulilah!” degus Hadi lantas bangun meninggalkan Qay di situ. Terkebil-kebil Qay memandang gelagat suaminya itu. Benci benar Hadi kepadanya. Dia sudah tidak tahu mahu beraksi seperti apa di hadapan lelaki itu. kalau kelembutan bicara dan kemanisan kata-kata tidak lagi laku kepada Hadi, dia sendiri sudah kehilangan idea untuk memujuk.

Bulat mata Mak cik Saadiah mendengar ucapan Hadi. Semakin lama semakin buntang matanya. Dua khabar yang dibawa oleh Hadi benar-benar sudah memberi dia sakit jantung rasanya. Khabar pertama sudah cukup suprise rasanya. Khabar kedua juga tidak kurang hebatnya. Hadi memutuskan Inas tinggal bersama Qay. Terasa seperti dua lubang hidungnya sudah mengeluarkan api yang maha panas!
“Hadi bagi Inas duduk dengan Qay? Kenapa pulak Hadi pergi bagi Inas pada betina tu?” melengking suara Mak cik Saadiah menerkam pendengaran Hadi. Pak cik Hambali sudah menggeleng melihat gelagat isterinya.
“Biarlah, Diah. Itukan anak dia?” ucap Pak cik Hambali sambil terus menggeleng.
“Anak apanya? Abang lupa ke Inas tu dah ditinggalkannya dulu?” melengking lagi suara Mak cik Saadiah. Kali ini kepada suaminya pula.
“Hakikatnya itu masih anak kandung Qay, Diah. Siapa kita nak nafikan semua tu. Biarlah Inas tu merasa kasih sayang emak dia pulak,” jawab Pak cik Hambali tenang.
Hadi sekadar membisu dalam rasa serba salah. Kata-kata ayahnya diakui benar. Namun dia serba salah kepada emaknya. Dia pernah berjanji yang dia tidak akan dekat lagi dengan Qay. Sayangnya hari ini kata-kata itu tidak mampu dikotakan. Semakin dia cuba menjauh semakin dekat wanita itu kepadanya.
Mak cik Saadiah memandang anaknya itu. “Pandai ke betina tu jaga anak?”
Hadi diam tidak menjawab. Pandai atau tidak bukan masalahnya. Masalahnya Inas sudah mahu melekat dengan emaknya sepanjang masa. Siapalah dia mahu menahan itu semua? Dia pun sudah tidak sanggup memandang wajah masam kelat Inas kepadanya.
“Mak nak kau cepatkan tarikh perkahwinan kau dengan Suria. Mak akan cakap dengan Mak cik Sarimah nanti,” sambung Mak cik Saadiah setelah dia melihat Hadi berdiam. Perasaannya mula sudah merasa tidak enak. Bimbang Hadi berpaling semula kepada Qay. Sementelah dia juga tahu Hadi masih liat mahu menceraikan menantu dianggap hantunya itu.
“Mak, kan dah janji hujung tahun depan?” jawab Hadi mula tidak senang mendengar itu.
“Nak buat apa tunggu lagi? Kau tu pun dah lebih 30 tahun, Hadi. Dah elok benar ada bini!” tegas Mak cik Saadiah kian lantang membelah rumah papan itu. Sakit pulak hatinya melihat anak lelakinya itu. Ada sahaja alasan mahu mengelak. Baginya kemahuan Hadi untuk memanjangkan tempoh pertunangan sehingga 3 tahun tidak masuk akal.
“Hadi belum bersedia, mak. Tolonglah jangan paksa, Hadi.”
“Kau sengaja nak mengelakkan? Ni si betina tu dah balik.. lagi susahlah mak nak suruh kau kahwin. Ada aja alasan kau! Mak takkan terima dia di rumah ni, Hadi. Mak tak suka!” bentak Mak cik Saadiah dengan mata membulat kepada Hadi.
“Diah, yang sudah tu sudahlah.. ini bukan pasal Hadi dengan Qay tapi pasal Inas.”
“Elleh.. macamlah saya tak tahu apa betina tu nak buat, bang. Mula-mula mintak anak. Lepas tu??” cemik Mak cik Saadiah cukup sinis.
“Lepas tu apa? Awak takut Hadi balik semula kepada Qay? Kalau betul pun apa salahnya, Diah? Qay tu masih lagi bini Hadi. Isteri yang tinggalkan suami, tak jatuh talak! Lainlah kalau suami yang menghilangkan diri,” ujar Pak cik Hambali semula.
“Memanglah, bang. Tapi siapa nak menantu jenis macam tu? Dia ingat kita ni kaunter imigresen ke? Sedap-sedap aja nak datang, lepas tu berambus entah ke mana. Kemudian datang balik tuntut hak kat sini!” cemuh Mak cik Saadiah kesat.
“Susah betullah bercakap dengan awak ni!” degus lelaki tua itu sambil menggeleng. Entah sampai bila dendam isterinya itu akan bernyala. Puas dipujuk, dinasihati.. namun masih juga tidak jalan! Makin teruk pulak nampaknya.
“Kalau pasal keluarga tu memang susah, bang! Saya takkan berkompromi lagi dengan dia orang tu. Saya pernah bagi peluang pada si Qay tu duduk dengan kita. Tapi dia buruk-burukkan saya kononnya saya ni tak boleh jaga dia dengan baik. Hakikatnya dia tu yang tak boleh terima keluarga kita ni seadanya. Saya pun tak mahu pisang berbuah dua kali. Kalau pisang di belakang tu yang berbuah dua kali, bagus juga. Dapat juga dijual. Ini pisang tak berguna! Huh!”
Pak cik Hambali memandang lama wajah isterinya itu untuk mencari kejujuran di wajah itu. Namun dia akhirnya mengeluh sendiri.
“Mak nak kau nikah dengan Suria secepat mungkin, Hadi. Kalau boleh dalam bulan ni juga!” tegas Mak cik Saadiah segera mengutarakan keputusannya.
Terkejut besar Hadi dengan kata-kata emaknya itu. Bulan ini juga?? Hadi sudah menelan liurnya kelat. Bulan ini bermakna dalam seminggu dua ini. Kerana sekarang pun sudah melepasi pertengahan bulan. Oh tidak! “Mak, Hadi tak mahu kahwin sekarang. Tolonglah jangan paksa Hadi.”
“Kau tu tunang Suria, Hadi. Sampai bila kau nak main-mainkan macam ni? Dah lah selama ni kau tak pedulikan dia. Nama aja bertunang. Tapi berjumpa setahun sekali pun payah! Mak tak kira. Mak nak kau nikah dengan Suria lekas. Ceraikan betina jalang tu!” terbuntang-buntang mata wanita itu menentang pandangan redup menagih simpati si Hadi.
Pak cik Hambali yang menelinga perbualan dua beranak itu sekadar mampu menggeleng. Nasib kamulah, Hadi. Siapa suruh kamu terima Suria dulu.. bisik hatinya. Dia malas mahu masuk campur hal itu. mahu membiarkan Hadi memutuskan pertunangan dengan Suria pun tidak kena juga. Kasihan pihak perempuan. Sudah diberikan harapan, mahu tarik diri pula.
Hadi meraup wajahnya dengan perasaan tidak menentu. Entah kenapa wajah wanita itu yang sering merantai fikirannya biarpun dia tunangan Suria. Mulut bisa berkata benci. Namun hatinya terus resah dengan bayangan Qay. Berkali-kali dia meneka perasaannya sendiri. Kerana apa dia liat mahu berkahwin begini? Kerana Qay? Kalau aku dah tak sayang dia, kenapa aku tak sanggup nak ceraikan dia.. bisik hati Hadi sendiri. Ya Tuhan.. kenapa susah benar untuk aku hidup bahagia macam insan lain? Kenapa pada dia juga isi hati ku tumpah? Apa yang patut aku buat, Ya Allah. Di sebelah kanan ibu ku, di sebelah kiri cinta ku. Siapa yang harus aku pilih? Hati Hadi terus resah sendiri.
“Hadi tak boleh terima Suria, mak. Hadi tahu Hadi tak mampu bahagiakan dia,” luah Hadi perlahan.
“Kau jangan nak mengada-ada, Hadi! Kau jangan bagi mak dengar yang kau nak lagi betina jalang tu. Langkah mayat mak dulu!” Mak cik Saadiah bertempik hilang sabar. Ura-ura Hadi sudah dapat dihidunya biarpun baru mukadimah yang dibuka Hadi.
“Apa masalah awak ni, Diah? Sampai macam ni sekali awak bencikan si Qay tu?” ucap Pak cik Hambali benar-benar kesal. Kepalanya digelengkan memandang isterinya. “Awak sanggup siksa perasaan anak awak ni semata-mata sebab awak nak dia ikut kehendak awak? Awak suka tengok anak awak masuk neraka ke? Untuk itu awak lahirkan anak-anak kita?”
Mak cik Saadiah terdiam memandang suaminya. Hadi tunduk merenung kakinya.
“Berpada-padalah, Diah. Berpada-padalah..” ucap Pak cik Hambali penuh peringatan kepada isterinya itu. “Jangan sampai bila Allah buka kebenaran kepada kita, kita dah takde air muka lagi nak tadah semua tu. Jangan terlalu seronok mengikut kata hati! Jangan ingat semua tindakan kita selama ini betul belaka!” tekan Pak cik Hambali serius.
Mak cik Saadiah terkulat-kulat menelan rasa tidak puas hati. Banyak yang mahu diluahkannya namun entah kenapa lidahnya terkulum tidak berani. Hadi menghela keluhan sendiri. Sesak nafasnya apabila pulang ke kampung jika topik inilah yang sering dihidangkan kepadanya. Bila dia sudah lama tidak pulang, emaknya bising pula.
“Hadi, kamu pun jangan terlalu ikutkan kata hati. Cukup-cukuplah dengan pengalaman yang lepas. Kamu tak kasihan ke dengan anak kamu tu?” tegur Pak cik Hambali kepada Hadi pula.
Hadi sekadar diam tidak menjawab dan tidak memandang ayahnya itu.
“Allah sedang beri kamu peluang sekarang ni, Hadi. Kamu ni suami. Amanah tu sentiasa ada atas bahu kamu. Jangan kamu terlalai lagi,” ucap Pak cik Hambali sedikit lembut.
Menyirap darah mak cik Saadiah mendengar kata-kata suaminya itu. Nasihat suaminya seolah-olah meminta Hadi kembali bertanggungjawab kepada Qay. “Abang nak suruh Hadi balik semula kepada perempuan tu?”
“Saya tak kata macam tu. Yang saya kata, kalau dah tak mahu jadi suami maka lepaskan tanggungjawab tu dengan seikhlas hati. Nak buat cara nak. Tak nak buat cara tak nak. Jangan ikutkan hati yang penuh dendam tu menyiksa, menganiaya isteri. Itu semua kerja iblis!” tekan Pak cik Hambali serius.
“Ha.. Hadi, kau ceraikan aja si Qay tu! Habis cerita..”
“Keputusan itu terletak di tangan suami. Orang lain jangan jadi tukang hasut, Diah! Biar Hadi buat pilihan yang terbaik untuk diri dia sendiri. Sama ada dia nak pilih Qay atau Suria, itu hak dia!”
Mak cik Saadiah menjeling suaminya lagi. Asal dia bukak mulut pasal Qay aja dia pasti dikenakan semula oleh suaminya itu. Geram betul!
Hadi mengangkat pandangan kepada emaknya itu. “Hadi tak mahu kahwin dengan Suria, mak. Itu keputusan Hadi. Soal Qay.. Hadi tak mahu komen banyak sekarang ni,” ujar Hadi sedikit lembut kepada emaknya itu. harap-harap emaknya faham.
“Kau nak putuskan pertunangan kau dengan Suria? Lebih baik kau ambil parang, kau parang aja mak ni, Hadi! Biar mak ni mati cepat. Puaslah hati kau dengan ayah kau ni!” tempik Mak cik Saadiah tidak mampu menerima keputusan Hadi. Spontan dia bingkas bangun dari duduknya.
“Mak..” panggil Hadi pantas. Pak cik Hambali sudah menggeleng melihat drama swasta yang dimainkan isterinya itu.
Hadi menghela keluhan sendiri.
“Susah-susah sangat, kamu mintak aja borang poligami, Hadi. Suruh si Qay tu sain. Senang!” ucap Pak cik Hambali lantas bangun dari duduknya dan terus berlalu. Dia mahu memberi peluang kepada Hadi untuk membuat keputusan sendiri.

Poligami? Hadi terdiam memikirkan apa yang diucapkan oleh ayahnya itu. Boleh jadi ke? Boleh selesai ke masalah? Atau menambah masalah? Bukannya dia tidak tahu betapa antinya Suria kepada Qay? Entahlah! Hadi semakin buntu..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.