Jumaat, 6 September 2013

BABA 30

Hadi tunduk berdiam mendengar bicara ayahnya itu. Segala cadangan Pak cik Hambali masuk ke dalam otaknya, namun jiwanya meronta menolak semua itu.
“Dengarlah cakap ayah ni. Kamu tak mampu jaga dia, Hadi. Biarlah Inas dengan ayah aja..” ucap Pak cik Hambali lembut memujuk anak lelakinya itu. Semenjak Hadi membawa Inas pergi dia melihat kehidupan Hadi cukup kelam kabut. Sudah dua kali Inas terpaksa masuk ke wad kerana sakit. Dia kasihankan anak lelakinya itu. Taufiq dan Salina mahu membantu juga tidak dibenarkan Hadi. Semuanya mahu dilakukannya sendiri. Malangnya pengasuh yang diupah Hadi tidak menjaga Inas dengan baik. Mahu menghantar ke pusat penjagaan kanak-kanak, Hadi tidak mampu. Akhirnya dia terpaksa membayar jiran sendiri untuk menjaga anaknya. Adat orang.. bila upah murah, kerjanya pun setaralah dengan upah yang dibayar.
“Hadi nak jaga Inas, ayah. Kalau Inas takde dengan Hadi, Hadi pun tak tahu apa akan jadi dengan Hadi.” Hadi menjawab perlahan. Hanya Inas yang dia ada untuk merawat kerinduannya kepada isterinya itu. Dia tidak sanggup hidup dalam kekosongan dan kekecewaan. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran Inas dia tidak begitu memikirkan perasaan sedihnya.
Mak cik Saadiah mengeluh mendengar bicara anak lelakinya itu. Hadi semenjak kebelakangan ini sangat sukar dipujuk. Dia terasa semakin jauh dengan anaknya itu. Sudahlah rupa Hadi sudah tak serupa orang. Berjambang sana sini macam orang baru kalah judi.
“Ayah faham perasaan Hadi. Tapi biarlah ayah ringankan sikit beban kamu tu, Hadi. Ada masa kamu baliklah jumpa Inas. Bukannya jauh benar kampus kamu dengan rumah kita.”
Hadi menggeleng lagi. Dahulu ketika Qay ditinggalkan di sana dia pernah berjanji akan pulang selalu. Jarak tidak pernah menjadi masalah kepada mereka. Tapi dia alpa mengejar hidupnya lalu membiarkan isterinya tanpa perhatiannya. Akhirnya beginilah nasibnya. Dia ditinggalkan putih mata. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biarlah Inas membesar di hadapan matanya. Susah atau senang, dia mahu Inas tetap berada di hadapan matanya.
“Hadi, mak boleh jagakan Inas. Mak sangat kesian dengan cucu mak tu.” Mak cik Saadiah pula memujuk anaknya itu. Kali ini dia tidak berpura-pura. Melihat penderitaan dua beranak itu, dia juga ikut terasa. Cucunya itu kurus dan tidak terurus selama berada dengan Hadi.
“Betul cakap mak tu, Hadi. Ini demi kebaikan Inas juga. Inas tu masih kecil, Hadi. Dia mana tahu apa-apa. Kita yang tua ni kena tentukan apa yang terbaik untuk dia,” ucap Pak cik Hambali lembut. Sedih benar dia melihat keadaan rumah Hadi. Kosong tanpa apa-apa. Macamana Inas boleh membesar dengan elok dalam keadaan begini?
“Hadi tak sanggup berpisah dengan Inas, ayah. Hadi takut nanti Hadi rindukan dia. Biarlah Inas terus dengan Hadi,” luah Hadi cukup sedih. Sudah 6 bulan Inas berada dalam jagaannya. Memang dia canggung dengan rutin penjagaan anak kecil itu. Tetapi dia akan berusaha sebaiknya. Dia akan belajar menjadi seorang ayah yang baik.
Pak cik Hambali kecewa dengan keputusan Hadi. Mak cik Saadiah hanya terdaya memandang. Hadi yang ada di hadapan matanya ini sudah banyak berubah. Dia tidak tahu apakah dia kesal atau tidak dengan segala yang berlaku. Namun melihat keadaan cucunya itu, dia merasa cukup tersiksa. Jauh berbeza saat Qay menjaga cucunya dengan Hadi. Sedikit sebanyak dia tetap mahu menyalahkan Qay atas semua ini. Kalau tidak kerana keputusan Qay, Hadi tidak akan jadi begini.
“Kalau Hadi tak mahu benarkan ayah dengan mak yang jaga, biarlah Kak Sal tolong kamu. Inas tu perlukan sentuhan seorang perempuan, Hadi. Sekurang-kurangnya waktu kamu keluar bekerja kamu tak risaukan dia dalam jagaan orang luar. Kak Sal tu pun bukannya orang lain dengan kamu. dia kakak kamu. Kak Sal tu bimbangkan kamu dan Inas,” ujar Pak cik Hambali masih belum berputus asa memujuk Hadi.
“Hadi tak mahu susahkan Kak Sal. Kak Sal pun kena tumpukan perhatian pada pengajian dia,” ujar Hadi semula.
“Hadi, biarlah kita susah hari ini. Asalkan senang kemudian hari. Kak Sal kamu tu ikhlas nak tolong kamu. Daripada kamu harapkan orang luar, lebih baik kamu berikan tanggungjawab tu pada Kak Sal. Ayah tak mahu apa-apa jadi pada cucu ayah tu. Nanti kamu juga yang menangis tak berlagu.”
Kali ini Hadi terdiam memikirkan kebenaran bicara ayahnya itu. Menangis tak berlagu? Hadi memandang anaknya itu. Inas sedang berbaring di atas pangkuan emaknya. Apabila ada orang melayannya, Inas mula ceria. Melihatkan keadaan itu Hadi mula sedar kekurangan dirinya. Dia sememangnya bukan seorang yang hebat serba serbi. Dia sebenarnya terlalu lemah. Cuma egonya sahaja yang menggunung tinggi. Hakikatnya tanpa Qay hidupnya pincang.
“Hadi, bersabarlah. Ini semua ujian Allah pada kamu. Ayah tak mahu menyalahkan sesiapa. Tapi setiap benda yang berlaku buruk atau baiknya, kita kena ambil iktibar untuk diri kita sendiri,” pujuk Pak cik Hambali.
“Hadi jangan fikirkan lagi betina tu. Dia tu memang tak guna! Sanggup dia tinggalkan anak dia terkontang kanting sendiri macam ni,” ucap Mak cik Saadiah menambah bicara suaminya itu.
Pak cik Hambali menghela nafas perlahan. “Tak usahlah kita buruk memburukkan satu sama lain. Kegagalan dia bertahan dalam perkahwinan ni bermakna kegagalan kamu juga sebagai suami untuk mendidik dia. Nilailah diri kita dulu sebelum kita menyalahkan orang lain,” kata Pak cik Hambali tetap lembut.
Hadi terus berdiam. Pilu hatinya mengenang Qay sungguh tidak terucap. Rindunya kepada wanita itu bagaikan tidak bertebing. Namun bagaimana untuk dia mendapatkan wanita itu semula? Mustahil! Qay sendiri pasti sudah jelak untuk hidup dengannya. Maklumlah.. dia cuma lelaki biasa yang tidak ada banyak wang. Apa yang dia punya hanyalah cinta yang tidak pernah berbelah bahagi kepada wanita itu. Qay pula seorang wanita yang tidak tahan hidup susah. Manalah enggang mampu hidup bersama dengan pipit.
“Hadi, patah tumbuh hilang berganti. Bertawakallah pada Allah, nak. Allah akan bantu orang yang sabar. Redakanlah semua cubaan ini. Allah cuma nak melihat sejauh mana ketabahan kamu.” Pak cik Hambali berkata lagi kepada anaknya itu.
Hadi mengangkat pandangan kepada ayahnya itu. Perlahan dia mengangguk akur. “Hadi akan bersabar, ayah. Insya-Allah..”
Mak cik Saadiah memandang lama anaknya itu. Ada kira-kira di hatinya ini untuk memujuk Hadi agak mempertimbangkan kasih Suria kepada Hadi. Namun memikirkan suaminya masih ada di sisi, dia tidak berani pula. Bimbang apa yang terkisah tentang perbuatannya kepada Qay terbuka di hadapan Hadi. Akhirnya dia berdiam diri lagi buat kesekian kalinya. Akan sampai juga masanya untuk dia merealisasikan hajat yang sudah lama terpendam itu.


Sampul surat itu di letakkan ke tepi setelah selesai dia menuliskan alamat di bahagian hadapan surat itu. Kemudian dia memandang kelibat Inas yang sedang terlena di atas katil. Lena benar anak kecil itu tidur dengan bertemankan sebuah kipas meja yang terhala kepadanya. Hadi termenung seketika memikirkan kehidupannya semenjak kebelakangan ini. Kini sudah bertahun Qay tidak bersamanya. Berpucuk-pucuk surat yang dikirimkan kepada wanita itu, satu pun tiada dibalas semula. Setiap kali dia mengirimkan surat pasti gambar permata hati mereka akan dikirimkan bersama. Sesakit-sakit hatinya ini dia tidak mahu memisahkan Qay terus dari Inas. Semenjak Qay meninggalkan mereka, Inas dibawa tinggal bersamanya. Biarlah susah dan senang dia bersama anaknya itu. Dia mahu membesarkan Inas dengan usahanya sendiri. Bukan emaknya tidak mahu menjaga Inas tetapi dia tidak mahu anaknya itu kesepian tanpa perhatiannya. Kini anak itu sudah berusia 2 tahun lebih.
Tetapi mengapa sungguh kejam wanita itu kepadanya? Semenjak pergi langsung tiada khabar berita dari Qay. Sedikit sebanyak Hadi sedar apa yang sering digambarkan oleh ibunya tentang Qay ada kebenarannya. Wanita kaya seperti itu tidak akan berpaling memandang kepada lelaki biasa seperti dia. Cintanya tiada harga. Kehadiran Inas tidak memberi sebarang makna kepada Qay sehingga dia sanggup pergi begitu sahaja.
Hadi memandang ke luar jendela di hadapannya. Radio kecil yang membebel sendiri dari tadi di atas mejanya itu kedengaran memutarkan lagu Asmara Palsu. Membuatkan Hadi terbuai bersama rasa kecewanya. Setiap kata yang dialukan seolah-olah sedang mengambarkan isi hatinya semenjak dari hari pertama Qay meninggalkan dirinya.
Usahlah kau menundingkan
Kesilapan ini dari ku
Sedangkan hati mu tiada kejernihan yang asli
Kau bagai empun pagi
Salju mu sementara yang pasti kan hilang
Bila panas mengundang..
Apa erti kejujuran andai untuk disendakan
Memadai luka yang kau guriskan
Masih terasa kepedihannya
Sesungguhnya jendela hati ku
Telah terkunci terhadap mu
Biarlah cinta bermukim di gemala hati ku
Tak mungkin kembali kepada mu
Menjalin asmara yang palsu
Untuk apa menanti
Rimbun mu tak berbunga
Kasih dan sayang ku terbiar
Di celahan ranting mu..

Dia akan terus berkirim surat kepada Qay biarpun wanita itu tidak sudi membalasnya. Bukannya dia mahu menagih kasih yang sudah tidak teruntuk kepadanya. Tetapi dia mahu Qay sedar kewujudan Inas di antara mereka. Dia mahu Qay ingat kepada tanda kasih mereka selama ini. dia juga sudah tidak mahu berharap kepada sesuatu yang tidak mampu digapainya lagi. Biarlah dia begini sahaja..

2 ulasan:

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.