Jumaat, 6 September 2013

BABA 27-28

            Bab 27

Kemarahan Hadi bangkit lagi! Campur tangan keluarga mertuanya benar-benar mencabar kesabarannya. Tahulah dia menjaga bininya sendiri!
Qay terkulat-kulat melihat wajah tegang suaminya itu. Mahu membuka mulut lagi dia sudah tidak berani. Bimbang kemarahan Hadi tidak terkawal nanti.
“Abang dah kata tak boleh, tak bolehlah! Berapa kali nak cakap? Tak faham lagi agaknya!” ucap Hadi keras.  Mendengar nama orang yang disebut Qay, dia mula tidak mampu sabar.
Tanpa mahu mendengar lagi Hadi terus keluar dari biliknya. Langkahnya dibawa ke dapur rumah. Emaknya sedang menyiang sayur untuk digunakan dalam masakannya nanti.
“Kenapa tu Hadi?” soal Mak cik Saadiah buat-buat bertanya.
“Papa Qay minta Hadi hantar Qay ke rumah sana..”
“Habis tu?”
“Mana boleh! Hadi tak izinkan!” ucap Hadi masih bersisa rasa marahnya.
Mak cik Saadiah segera mengangguk setuju dengan keputusan anaknya itu. “Hadi memang kena bertegas. Sebagai suami, Hadi ada hak sepenuhnya kepada Qay. Hadi jangan bagi muka sangat. Kadang-kadang campur tangan orang luar ni yang buat rumahtangga jadi kelam kabut!” Mak cik Saadiah segera menasihat anak lelakinya itu.
“Hadi tahu, mak. Itu yang buat Hadi marah sangat tu. Baru dua hari Qay balik dah sibuk nak suruh Hadi hantar ke sana. Tahulah Hadi nak buat keputusan macamana!” Hadi menjawab perlahan. Geram! Sebelum keluar dari hospital sebelum ini, emak mertuanya ada meminta Qay dibawa pulang ke rumah emak mertuanya. Kini ayah Qay pula bersuara yang sama. Dia rasa bengang. Macamlah emak aku tidak tahu menjaga bini aku! Menyibuk betul! getusnya hatinya sendiri.
“Hadi yang bertanggung jawab mendidik isteri. Hadi kena tegas! Jangan biarkan sampai isteri jadi degil tak mahu dengar cakap kita. Perempuan yang tak mahu dengar cakap suami ni isteri derhaka,” ujar Mak cik Saadiah lagi. Langsung dia tidak ingat yang paku dulang paku serpih, mengata orang.. dia pun lebih kurang begitu juga. Tak mahu dengar cakap suami!
“Apa salahnya mak dia nak jaga? Itukan anak dia?” sampuk Pak cik Hambali tiba-tiba dari luar rumah. Dia masuk dengan muka selamba. Bukannya dia tidak dengar perbualan dua beranak itu.
“Hadi nak Qay berpantang kat rumah ni, ayah..” jawab Hadi biasa.
“Ayah tahu. Tapi bertolak ansurlah. Ini semua hal kecik aja. Mungkin mak dia rindukan Qay. Apa salahnya kalau Hadi benarkan mak dia yang jaga?” ucap Pak cik Hambali sambil memandang anaknya itu.
“Kalau saya yang jaga pun apa salahnya, bang? Saya ni ada banyak pengalaman lepas bersalin. Kalau setakat si Azreena tu, apalah yang dia pandai sangat? Beranak pun sekali aja!” degus Mak cik Saadiah. Hadi terus mengangguk bersetuju dengan pendapat emaknya itu.
“Saya tahu awak ada banyak pengalaman berpantang ni semua. Tapi kalau si Reen tu nak ringankan beban awak, takkan itu pun jadi masalah? Biarlah dia jaga anak dia. Qay tu pun dah lama tak dapat bersama keluarga dia. Jangan siksa dia begitu, Hadi. Tak baik kamu buat dia begitu.”
“Mana ada Had siksa, Qay. Ayah cakap apa ni?”
Pak cik Hambali menghela keluhan perlahan memandang anak lelakinya itu. Riak lain macam Hadi sudah dapat dibacanya. Anaknya ini tebal sekali egonya. “Ayah perasan Qay dah lama tak balik rumah keluarga dia. Kenapa jadi begitu? Kamu tak izinkan?”
“Hadi tak bagi sebab Hadi tak mahu papa Qay tahu yang Hadi tengah susah. Hadi tahu papa Qay tu pandang rendah pada Hadi. Hadi ada maruah, ayah. Buat apa Qay nak sibuk-sibuk balik sana? Dunia dia kat sini. Dengan kita!” balas Hadi tetap mempertahankan maruahnya.
“Saya pun tak gemar Qay balik ke sana selalu. nanti habis hal keluarga kita dicecehkannya pada mak dengan bapak dia. abang nak ke keluarga kita diolok-olok dek si Farouqe tu? Biar aja dia dengan saya. Saya tahulah nak jaga dia macamana!” tegas Mak cik Saadiah.
Pak cik Hambali menggeleng perlahan. “Ayah ni tak bolehlah nak masuk campur sangat dalam urusan kamu suami isteri. Tapi mana yang ayah nampak tak kena, ayah kena tegur. Qay tu ada keluarga, Hadi. Sama macam kamu. Kamu sekat dia jumpa keluarga dia hanya disebabkan rasa malu kamu, adil ke begitu? Kita sebagai suami ni, kena jaga juga perasaan isteri. Bukan setakat hati kita aja yang nak dipuaskan. Isteri ni bukannya boneka senang-senang aja nak diarah-arah sesuka hati. Kita orang lelaki ni tak mampu nak rasa apa yang orang perempuan rasa. Pengorbanan dia, kesabaran dia.. kamu kena timbang juga semua tu!” ucap Pak cik Hambali lembut namun serius mengingatkan anaknya itu.
“Ayah, apa yang Hadi putuskan untuk kami.. itulah yang terbaik. Hadi tak mahu orang luar masuk campur banyak sangat dalam hubungan Hadi dengan Qay. Hadi tak sanggup maruah Hadi dicela, ayah. Hadi tahu papa Qay tu masih tak puas hati dengan Hadi,” jawab Hadi.
“Hai.. tak cukup baik lagi ke kita menjaga si Qay tu, bang? Apa lagi yang dia nak?”
“Diah, bukan soal baik ke tidak kita menjaga. Cubalah anak perempuan kita berkahwin kemudian tak balik-balik jenguk kita. Apa perasaan kita? Farouqe dengan Azreena tu dah takde anak lain lagi dah. Qay tu ajalah yang dia orang ada. Perkahwinan ni menyambung ikatan silaturrahim. Bukannya memisahkan anak perempuan dari mak dan ayahnya! Kalau kita tak suka mereka tu masuk campur banyak sangat dalam urusan keluarga Hadi, macam tu jugalah kita. Kita pun tak boleh nak menentukan arah hidup mereka berdua. Kita hanya boleh tegur sedikit sebanyak,” tegas Pak cik Hambali kepada isterinya itu semula.
“Hadi tak boleh, ayah! Hadi masih tak boleh lupa pandangan papa Qay tu pada Hadi sebelum ni. Hadi rasa terhina sangat!”
“Habis tu yang kamu pergi larikan anak dia tu kenapa? Siapa yang suruh? Ada kamu fikir perasaan mak bapak dia? Esok kalau anak perempuan kamu ketepikan hak kamu macam ni, apa kamu nak kata?” tempelak Pak cik Hambali mudah sahaja.
Hadi terkedu serta merta.
“Abang ni.. buat apa nak ungkit semua tu semua? Benda dah jadi!” ucap Mak cik Saadiah seolah-olah sedang berfikiran positif.
“Sebab dah jadi kesalahan tu yang saya tegur, Diah. Saya tak mahu jadi lagi yang seterusnya. Besar tanggungjawab suami ni, Hadi. Asasnya bukan setakat nak isteri tunduk kepada kita membabi buta sampai dia merasa tersiksa. Dia juga nak bahagia. Depan Allah nanti kita akan ditanya semula,” ucap Pak cik Hambali lagi.
“Hadi buat semua ni untuk kebahagiaan Qay, ayah. Hadi tahu keputusan Hadi tepat!” tegas Hadi lagi.
“Kamu jangan terlalu ego, Hadi. Mengakulah kelemahan kamu. Jangan kerana ego kamu menyiksa perasaan Qay. Terima dia seadanya,” nasihat Pak cik Hambali lembut.
“Ayah rasa Hadi tak terima Qay seadanya ke? Apa yang Hadi buat untuk kebaikan Qay, ayah. Hadi tak mahu rumahtangga Hadi porak peranda kerana hasutan orang lain. Hadi sayangkan Qay! Hadi nak mak yang jaga Qay supaya Qay boleh hormatkan mak sama macam Hadi hormatkan mak! Salah ke apa yang Hadi buat ni?” suara Hadi tiba-tiba meninggi kepada ayahnya itu.
“Abang ni sibuk sangat nak menjaga hati orang lain. Dah Hadi kata begitu, biarlah! Itukan bini dia? Mak setuju sangat dengan pendapat Hadi tu. Biar Qay dengan kita aja. Mak boleh jaga dia, Hadi. Hadi jangan risau! Dengan isteri ni tak boleh lembik sangat. Nanti dia pijak kepala!” getus Mak cik Saadiah lalu menghadiahkan jelingan kepada suaminya itu.
“Saya bukannya jaga perasaan tapi saya jaga amanah saya. Saya tak mahu sesedap rasa buat keputusan sampai ada orang di dalam rumah ni tersiksa, kita tak sedar!” tegas Pak cik Hambali.
“Ayah, Hadi tahu apa yang Hadi buat.”
"Kamu memang tahu apa yang kamu buat. Tapi kamu sedar tak apa kesannya pada perbuatan kamu? Suami ni tak semestinya betul dalam semua perkara, Hadi. Isteri ni ibarat cermin pada suami. Kita tak nampak apa yang ada di belakang kita. Isteri yang nampak. Sebab tu perlu ada tolak ansur. Kamu ni masih muda. Jangan kamu rasa kamu aja yang betul!" balas Pak cik Hambali tetap lembut.
"Abang ni.. kalau Hadi salah sekali pun, kita ni ada. Biar kita yang tegur dia. Tak perlu orang lain! Bila saya tak berbaik dengan Qay, abang marah. Bila saya nak jaga menantu saya tu, abang tak suka pulak!" getus Mak cik Saadiah.
"Hadi tetap nak mak yang jaga Qay, ayah. Hadi tahu mak boleh jaga Qay dengan baik." 
Pak cik Hambali menggeleng melihat gelagat dua beranak itu. Seorang ego.. seorang lagi tukang hasut! Baguslah.. sayang sekali Hadi tidak berpeluang bersama Qay ketika di hospital dulu. Jika Hadi melihatnya dengan mata kepala sendiri dan mendengar suara sayu Qay saat itu, pasti Hadi tidak akan sebongkak ini. Akhirnya dengan langkah perlahan lelaki tua itu bangun lalu keluar semula. Jika nasihatnya tidak berharga, untuk apa dia terus bercakap lagi? Hadi sudah cukup dewasa menentukan jalan hidupnya sendiri.
“Berapa hari lagi Hadi cuti ni?” tanya Mak cik Saadiah lembut.
“Lagi sehari, mak. Lepas ni Hadi tak dapat selalu balik. Hadi ada banyak kerja. Lagipun Hadi nak kena kerja lebih kuat lagi. Hadi nak cari duit. Nanti setiap kali Hadi dapat gaji, Hadi akan kirimkan pada mak.” Hadi berkata perlahan.
“Eloklah tu, Hadi. Qay tu biarkan aja dengan mak. Tahulah mak nak menjaganya. Hadi tumpukan aja pada pelajaran dan kerja Hadi tu.” semakin senang hati Mak cik Saadiah mendengar itu. Ketiadaan Hadi nanti, dapatlah dia mengerjakan menantunya itu secukupnya! Hadi juga dah mula tunduk kepada suaranya. Bagus!
“Hadi ikut segala nasihat mak. Apa yang baik bagi mak, baiklah bagi Hadi.”
Qay yang terdengar perbualan itu hanya mampu menelan rasa perit sendiri. Sedihnya tidak terkata. Harapan kepada suami, tidak bertahan lama. Hadi sudah sekepala dengan emaknya. Kepada siapa lagi dia mahu mengadu kesusahan hatinya ini? Esok Hadi sudah balik ke kampus. Dalam keadaan dia tidak berdaya begini, dia tahu.. dia seumpama sampah kepada emak mertuanya itu.

Darhana kehairanan melihat Qay terbongkok-bongkok di dalam bilik air. Dia menjenguk seketika kepalanya untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Qay. “Kak Qay buat apa ni?” soal Darhana. Dengan besen bayinya, dia lihat Qay terendam di dalam kedinginan bilik air itu. Sedangkan setahunya wanita dalam pantang alah kepada benda-benda sejuk begini.
Qay menoleh seketika. “Kak Qay nak basuh baju baby ni..”
“Kenapa tak guna mesin basuh?” soal Darhana.
“Kak Qay malas nak guna mesin. Kotornya sikit aja..” jawab Qay sengaja beralasan. Lagipun emak mertuanya kata baju bayi tidak elok dibasuh dengan mesin basuh. Nanti anak kembung.
“Biar Hana yang buatlah! Nanti bentan pulak Kak Qay duduk dalam bilik air ni lama-lama. Kak Qay pergi jaga baby sana.” Gadis itu mula menyinsing lengan mahu membantu Qay.
“Hana..” panggil Mak cik Saadiah dari atas rumah tiba-tiba. Tidak sempat Qay mahu menjawab kepada adik iparnya itu.
“Ya, mak..” Darhana menjerit sedikit menjawab kepada emaknya.
“Mari tolong mak ni..” ucap Mak cik Saadiah selamba.
Darhana memandang kakak iparnya seketika. Serba salah pula dia. Mana satu yang hendak didulukan. Namun akhirnya dia naik semula ke tingkat atas.
“Ya, mak..”
“Tolong urutkan kaki mak ni. Lenguh rasanya..” ucap Mak cik Saadiah lembut.
“Biar Hana tolong Kak Qay dulu, mak? Kesian dia basuh baju dalam bilik air tu. Nanti bentan pulak dia.” Darhana meminta lembut kepada emaknya itu. Kakak iparnya itu baru seminggu minggu melahirkan anak. Bimbang benar dia melihat Qay tidak terurus. Pelik dia melihat emaknya tidak mempedulikan kakak iparnya itu. Sampaikan makanannya dan kerja memanaskan tungku pun terpaksa dilakukan sendiri oleh Qay. Apabila dia mahu menolong, emaknya selalu berkata biarkan Qay belajar buat semua itu. Alasannya emaknya mahu isteri abangnya itu belajar berdikari. Tetapi melihat Qay tidak terurus, dia benar-benar kasihan.
“Tolonglah mak ni dulu. Mak sakit kaki ni,” ucap Mak cik Saadiah tidak mempedulikan keinginan anaknya itu. Memang dia sengaja pun tidak mahu Darhana membantu Qay. Biarlah bentang ke apa ke.. ada aku kisah?
Darhana terdiam seketika. Mahu membiarkan ini emaknya. Tidak mahu melawan emaknya, Darhana masuk ke bilik emaknya itu. Dengan berbekalkan botol minyak panas dia mula mengurutkan kaki emaknya itu.
Mak cik Saadiah tersenyum senang melihat keakuran anak-anaknya. Dalam hati dia memadankan muka si Qay. Ah! Aku dulu pun berpantang takde mak mertua yang jaga aku. Aku jaga diri aku sendiri. Tak mati pun! Lembik! Semuanya nak kena bantu. Kau fikir aku nak manjakan kau? Silap besarlah.. hati Mak cik Saadiah berbisik sendiri.
Selesai mengurutkan kaki emaknya Darhana turun ke bawah. Hajatnya dia mahu membantu Qay menyidaikan kain baju anaknya. Namun baru dia mahu bergerak ke luar, sekali lagi emaknya memanggil. Darhana meninggalkan baju itu semula. Melihat Darhana tidak lapang untu membantunya Qay meneruskan kerja itu sendirian. Dia tahu benar emak mertuanya itu tidak akan membenarkan sesiapa membantunya. Lebih baik dia buat semuanya sendiri. Sekurang-kurangnya dia tidak memberi ruang kepada rasa tidak puas hati emak mertuanya itu kepadanya.
Ketika dia mahu memasak nasi untuk dirinya Qay terduduk seketika di kerusi. Rasa mencucuk-cucuk menjalar di seluruh tubuhnya. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Puas dia memejamkan matanya untuk meredakan rasa sakit itu. Namun seperti ada sesuatu yang tajam berjalan di dalam perutnya.
“Kak Qay ni dah bentan ni..” ujar Darhana sudah mula perasan gelagat kakak iparnya itu tertunduk di kerusi.
“Akak tak tahu, Hana.”
“Akak pergilah naik berehat di dalam bilik sana. Biar Hana masakkan nasi akak tu. nanti dah siap Hana hantar naik atas,” ucap Darhana sudah tidak sanggup membiarkan Qay kepayahan sendiri.
“Hana.. pergi rumah makcik Sarimah kamu. minta dia datang jumpa mak kat sini. mak ni tak sihat ni.” Mak cik Saadiah terus enyampuk dari atas rumah.
“Lepas siap masak ni Hana pergi, mak.”
“Pergilah sekarang. Mak sakit ni, Hana.”
“Hana nak masak ni, mak. Sekejap lagi ayah balik, apa ayah nak makan?” tegas Darhana malas mahu melayan suruhan emaknya yang dirasakan tidak penting.
Jawapan Darhana membuatkan wanita itu tidak mampu membalas. Darhana memandang Qay semula. “Mari Hana tolong  bawak akak naik ke atas. Nanti Hana bakar tingku, akak bertungkulah. Makin lama nanti makin sakit,” ucap Darhana lantas memegang lengan Qay untuk dibawa naik ke biliknya.
“Hana tahu ke apa ubat yang elok untuk orang berpantang macam akak ni?”
Darhana memandang hairan kakak iparnya itu. “Akak tak pernah makan ubat ke selama ni? Mak tak bagitahu akak apa yang boleh dimakan, apa yang tak boleh?” soalnya agak perlahan. Takut emaknya terdengar.
Qay sekadar menggeleng. Emak mertuanya memang tidak ada memberitahu apa-apa. Cuma ayah mertuanya ada memberitahu dia tidak boleh makan sembarangan bagi mengelakkan luka pembedahan bernanah atau buruk.
“Habis tu selama ni, akak tak pernah makan apa-apa  ubatlah? Jamu ke?”
Qay menggeleng lagi. “Akak tak tahu pun apa yang nak dimakan untuk baikkan sakit ni,” jawab Qay agak rendah. Jawapan  itu membuatkan Darhana terdiam seketika. Masakan emaknya terlupa pula? Macama ada yang tidak kena! Qay juga dilihatnya cantik benar tidak berstokin. Dia pun bukanlah pandai benar dalam hal ini tetapi kebanyakan wanita kampung ini, jika baru bersalin pasti akan bersetokin. Takut bentanlah! Meroyanlah!
“Takpelah. Biar Hana masakkan akak nasi dulu. Nanti dah siap akak makan, lepas tu cuba bertungku untuk hilangkan sakit tu. Akak ni terdedah sangat pada benda-benda sejuk. Kalau nak diikutkan lantai simen tu pun akak tak boleh pijak kalau tak pakai stokin. Inikan pulak nak duduk membasuh kain dalam bilik air tu.”
Qay akur penuh kelegaan dengan kebaikkan hati adik iparnya itu mahu membantunya. Sudahlah dia suami jauh, emak mertuanya bukan setakat tidak mahu membantunya. Malah menyiksa lagi!
Petang itu selepas menghantar Mak cik Saadiah pergi bertandang ke rumah Suria, Nenek Rubiah dibawa datang ke rumah oleh Darhana. Dia tahu neneknya itu lebih berpengetahuan berbanding dia.
“Kamu ni pucat aja. Ada yang tak kena dengan kamu ni, Qay,” komen Nenek Rubiah setelah melihat keadaan cucu menantunya itu.
“Sakit, nek. Seluruh badan Qay ni sakit,” keluh Qay sudah tidak tertahan.
“Mak kamu takde buat apa ke pada Kak Qay kamu ni, Hana?” soal Nenek Rubiah hairan.
“Entahlah, nek. Kami nak tolong Kak Qay dia tak bagi. Katanya biar Kak Qay belajar berdikari sendiri.” Darhana menjawab begitu.
Nenek Rubiah menggeleng perlahan. Sudah diagaknya. Seburuk-buruk aku layan dia dulu, waktu dia beranak aku juga yang mengajar dia berpantang. Takde pulak aku biarkan dia sampai bentan macam ni.. bisik hati Nenek Rubiah kesal. “Yalah.. kalau nak ajar berdikari pun kalau dah bentan begini takkan nak biarkan aja. Pergi bertandang rumah orang boleh. Menjaga menantu sendiri tak boleh! Apalah kenanya dengan mak kamu semua ni,” getus Nenek Rubiah tidak berpuas hati dengan cara Mak cik Saadiah.
“Kamu ni Qay, darah nifas tu kalau tak keluar habis nanti kamu sakit. Sekarang ni macamana keadaan kamu?”
“Qay dah takde keluar darah lagi,” ujar Qay jujur.
“Sahlah memang kamu ni bentan! Kamu tunggu sini. Biar nenek buatkan ubat kamu.”
Lima belas minit kemudian Nenek Rubiah kembali semula ke bilik itu dengan segelas air yang agak keruh warnanya. Air itu diberikan kepada Qay untuk diminum.
“Air apa ni, nenek?”
“Air manjakani campur ibu kunyit. Air manjakani ni elok untuk orng baru lepas bersalin macam kamu ni. Ibu kunyit pulak tujuannya untuk elokkan luka dalaman. Minum.. habiskan!”arah Nenek Rubiah.
Qay tidak menjawab. Air itu cuba diminumnya namun baunya sahaja sudah pahit benar. Wajahnya berkerut seketika.
“Memang pahit air tu. Tapi manjakani ni boleh buat darah-darah kotor di dalam rahim perempuan yang melahirkan anak boleh keluar semuanya. Darah tu tak keluar, sebab tu kamu sakit. Dalaman kamu ni habis dah kembang belaka. Manjakani ni boleh buat organ dalaman kamu kecut semula. Semua orang perempuan yang baru bersalin makan benda alah ni untuk baik. Kamu amalkan minum air tu tiap-tiap hari. Minta tolong Darhana carikan ibu kunyit. Ayah kamu banyak tanam kunyit di belakang rumah tu.”
Mendengar saranan itu Qay meneguk juga air itu sehingga licin segelas. Rasanya memang pahit. Tetapi lebih mudah meneguk air yang pahit itu berbanding menahan sakit pada seluruh organ peranakannya. Sekarang dia sudah tahu apa ubat tradisional yang perlu dimakan selepas bersalin.
“Kalau mak mertua kamu tu tak mahu bela kamu dalam keadaan kamu macam ni, kamu duduk ajalah dengan nenek. Kasihan benar nenek tengok kamu ni. Pucat!”
“Nanti Qay susahkan nenek pulak,” ujar Qay sedikit sayu.
“Nenek tak kisah langsung, Qay. Inas tu cicit nenek. Nanti nenek cakap dengan ayah kamu. Ayah kamu pun bukannya tahu apa sangat nak tolong kamu dalam keadaan kamu macam ni,” ujar Nenek Rubiah perlahan.
Qay diam sahaja. Harapannya biarlah ayah mertuanya membenarkan. Dia sudah tidak sanggup menahan hati melihat gelagat emak mertuanya itu. Mak cik Saadiah menyiksanya dalam diam. Tetapi mengenangkan emak mertuanya itu, dia sudah tahu apa jawapan wanita itu nanti. Dia sudah bersedia!
“Jangan lupa pakai stokin, pakai baju tebal. Badan kamu ni tak boleh terdedah pada angin luar. Rambut kamu tu ikat tinggi. Kalau kamu tak jaga elok-elok waktu keadaan kamu tengah macam ni, nanti terkena angin meroyan.” Nenek Rubiah memberikan tunjuk ajarnya lagi.
“Qay tak tahu apa nak buat. Mak tak cakap apa-apa,” ujar Qay agak perlahan.
“Nenek tahu, cu. Sabarlah ya? Berdoa pada Allah supaya mak kamu tu lembut hati dengan kamu. Memang susah waktu-waktu begini ni. Tapi orang yang sabar Allah berikan ganjaran pahala yang banyak,” jawab Nenek Rubiah lembut.
“Terima kasih, nek. Nasib baik nenek datang tolong Qay. Kalau tak Qay pun tak tahu nak buat apa,” ujar Qay lembut.
“Tak usahlah berterima kasih. Ini dah tanggungjawab nenek.”
“Kalau takde nenek, Qay pun tak tahu apa akan jadi dengan Qay.” Qay menjawab rendah. Sesungguhnya dalam keadaan begini dia tiada tempat untuk mengadu. Hadi langsung tidak peduli kepadanya. Dia tahu suaminya terlalu mempercayai emaknya.
“Sabarlah. Ha..waktu begini ni dah elok benar kamu mandi ni, Qay. Jangan mandi lewat sangat. Mandi tu, jangan lupa mandi dengan air panas. Sebelum kamu menyusukan anak kamu, pastikan kamu makan dulu. Jangan biarkan perut tu kosong. Kalau kamu perut kosong, anak kamu nanti kembong. Seelok-eloknya badan kamu tu biarkan panas selalu. Bila kamu rasa sejuk, itu maknanya kamu tak sihat! Sebab tu perempuan lepas bersalin makan lada hitam. Sebab lada hitam ni bagi badan kita panas.” Bertambah lagi pengetahuan yang tidak pernah diketahui Qay selama ini. Terasa amat-amat berguna kepada dia yang langsung tidak berilmu. Mahu meminta bantuan emaknya, dia sudah tahu apa pendirian suaminya itu. Hanya Nenek Rubiah orang terakhir yang boleh diharapkannya. Itu pun dia sendiri tidak pasti berapa lama keadaan itu akan bertahan.


Bab 28

“Kau jangan biar budak tu memekak boleh tak?” melengking suara Mak cik Saadiah kepada Qay.
Terkial-kial ibu muda itu mendodoikan anaknya itu. Punggung anak kecil itu ditepuknya berkali-kali dalam kekalutan. Wajah cengil emak mertuanya membuatkan dia serba tidak kena. Fatihah lantas masuk ke bilik itu. Botol minyak telon diberikan kepada kakak iparnya itu. Darhana pula sekadar memandang dari pintu.
“Lain kali kalau tak tahu beranak, jangan beranak! Menyusahkan betul!” tengking Mak cik Saadiah semakin lantang membelah suara anak kecil yang sedang menangis lantang itu.
Dengan berbekalkan minyak itu, Qay cuba menyapu perut anaknya itu. Dia tahu anaknya kembung. Sebab itu menangis sahaja dari tadi.
“Kak Qay jangan pakaikan Inas dengan baju lembab ni. Sebab tu dia kembung,” ucap Fatihah perlahan.
Qay diam sahaja. Bukannya dia mahu begitu. Tetapi baju anak-anaknya tiada yang kering. Sudah dua hari berturut-turut hujan lebat dan Inas pula tidak ada banyak baju persalinan. Mahu membeli baju baru, dia terpaksa menunggu Hadi pulang. Masalahnya dia tidak tahu bila Hadi akan balik. Sudah 3 bulan Hadi tidak balik menjenguknya.
Mak cik Saadiah terus bercekak pinggang melihat gelagat Qay. Meluat betul! Terhegeh-hegeh jaga anak! “Macam ni rupa kau nak jadi mak yang baik?” cemuh wanita itu garang.
Qay terus berdiam. Selesai mengancingkan baju anaknya itu, Qay kembali menepuk anaknya itu. Namun Inas tetap enggan dipujuk. Tangisannya terus berlagu. Sudah pasti merimaskan orang sekeliling mereka. Tidak berjaya dipujuk dia menyelak bajunya. Susunya diberikan kepada anak itu. Namun sekejap sahaja puting si ibu dihisap, anak itu kembali meluahkan susunya.
“Sayang, janganlah menangis..” ucap Qay sudah mula tertekan. Dia hampir mahu menangis. Biarlah dia menderita asalkan anaknya sihat-sihat sahaja. Jeritan Inas yang tidak tentu arah membuatkan dia semakin merana.
“Macamlah budak kecik tu faham apa yang kau cakap!”
“Mak ni.. janganlah tengking-tengking. Rimaslah! Bingit tahu tak! Bukannya nak tolong,” ucap Fatihah geram dengan emaknya itu.
“Kau orang berdua tak payah nak menyibuk kat sini. Pergi masuk bilik kau sana!” herdik Mak cik Saadiah lantang.
Fatihah memandang emaknya itu. Bengang apabila dia pula yang ditengking.
“Aku kata masuk sana! Kau tak payah nak masuk campur urusan dia ni. Anak dia biar dia jaga sendiri,” ucap Mak cik Saadiah garang. Tanpa kata Fatihah terus berlalu dari bilik itu. Dia kasihankan kakak iparnya itu tetapi arahan emaknya tidak mampu dibangkang.
“Diamkan anak kau tu. Kalau tak aku hempas dia karang!” ucap Mak cik Saadiah tajam.
“Mak, tolonglah jangan buat Qay macam ni. Apa salah Inas?” ucap Qay dengan deraian air mata. Menderita benar dia dengan layanan emak mertuanya itu.
“Habis tu kau nak aku layan kau anak beranak macam raja?”
“Qay tak tahu macamana nak diamkan Inas. Dia sakit!”
“Kalau kau tak tahu, mari sini pada aku. Aku boleh diamkan dia terus!”
“Mak..”
“Aku suruh kau buat apa sebelum ni? Kau nak sangat balik rumah mak bapak kaukan? Pergi! Tapi jangan datang sini lagi..” ucap Mak cik Saadiah tanpa belas kasihan.
“Mak, apa salah Qay pada mak?” ucap Qay semakin tersedu-sedu menangis.
“Kau tahu apa salah kau pada aku. Jangan buat-buat tanya lagi!” ucap Mak cik Saadiah nekad.
“Kalau mak tak suka Qay tinggal sini, Qay boleh minta Abang Hadi ambil Qay semula. Qay takkan susahkan mak lagi,” ucap Qay dalam esakan sayunya. Dalam keadaan dia masih belum cukup pandai menjaga anak, emak mertuanya meletakkan seribu satu tekanan kepadanya. Salah sedikit sahaja dia pasti akan ditengking herdik bagaikan anjing. Malahan dia tidak dibenarkan keluar rumah langsung sekarang.
“Bagus! Nanti aku panggil Hadi balik!” Mak cik Saadiah tiba-tiba berpaling keluar dari bilik itu.
Tinggal Qay sendiri memujuk anaknya itu. Tidak sanggup membiarkan anaknya itu menangis, Qay akhirnya keluar dari bilik itu. Bilik Fatihah kembali dijengahnya. “Ihah, tolong akak panggil ayah balik. Akak nak bawak Inas pergi klinik.”
Fatihah segera akur dengan kehendak kakak iparnya itu. Kasihan benar dia melihat raut tertekan Qay. Setengah jam kemudian Pak cik Hambali sudah kelihatan di rumah itu.
“Kenapa dengan Inas tu, Qay? Lain benar bunyi suaranya?” soal lelaki tua itu kehairanan.
“Tak tahu, ayah. Ayah, tolong hantarkan Qay ke klinik. Qay nak bawak Inas jumpa doktor,” pinta Qay bersungguh.
“Yalah..” Pak cik Hambali terus masuk ke biliknya. Qay pula terus bersiap menukar bajunya sementara Fatihah sibuk mendodoikan anaknya.
Selesai bertemu dengan doktor Pak cik Hambali sengaja tidak terus pulang. Dia mahu bercakap dari hati ke hati dengan menantunya itu. Dia ada mendengar dari anaknya Fatihah yang Qay dimarahi teruk oleh isterinya.
“Qay nak balik rumah orang tua Qay, ayah. Ayah tolonglah pujuk Abang Hadi dengan mak. Qay tak minta banyak, itu aja!” rayu wanita itu perlahan. Dia sudah tidak tahu kepada siapa lagi dia mahu mengadu isi hatinya ini.
Pak cik Hambali terdiam menelan rasa kasihan kepada menantunya itu. Wajah itu dipandang simpati.
“Qay rindukan papa dengan mama Qay. Qay tahu papa dengan mama Qay pun rindu sangat nak jumpa Inas.” Qay menambah lagi bicaranya kepada lelaki itu.
“Ayah dah tak tahu macamana nak buat lagi, Qay. Ayah memang kasihan benar pada Qay dan cucu ayah ni. Tapi Hadi tu suami kamu. Cakap ayah pun dia dah tak mahu dengar lagi. Dia lebih banyak berpandu kepada mak. Mak tu pun mana nak dengar nasihat ayah.” Pak cik Hambali menjawab perlahan.
“Qay tak tahu apa salah Qay, ayah. Hidup Qay makin lama makin sengsara. Abang Hadi tak pedulikan Qay. Qay rasa hidup ni kosong sangat. Qay tak sangka inilah rupanya balasan pengorbanan Qay selama ini. Inilah selayaknya Qay terima selepas Qay tinggalkan keluarga untuk bersama dengan Abang Hadi,” luah Qay kesayuan. Air mata yang ditahan bertakung lagi. Memendam rasa sendiri membuatkan dia seperti mahu gila. Hanya lelaki ini yang mampu memahami hatinya. Hanya lelaki ini yang perasan apa yang sedang berlaku kepadanya. Adik-adik Hadi manalah mengerti semua permainan ini. Mereka semua sedang sibuk dengan urusan pelajaran masing-masing.
“Ayah faham, nak.” Sebak dada lelaki tua itu mendengar luahan hati Qay. Namun dia tidak dapat berbuat apa-apa. Tegurannya tidak jalan langsung kepada isterinya itu. Isterinya itu semakin lama semakin melampau.
“Qay tak perlukan kekayaan untuk hidup bahagia, ayah. Qay ikhlas sayangkan Abang Hadi. Tapi nampaknya pendirian kami dah tak sama lagi. Abang Hadi seronok mengejar cita-citanya. Qay seorang tanggung sengsara di sini. Qay tak boleh meminta apa-apa dari dia. Sebaliknya apa yang dia putuskan itulah yang Qay kena terima. Qay pun ada perasaan. Qay Cuma nak jadi isteri yang baik untuk dia. Salah ke Qay ni?” Akhirnya wanita muda itu teresak-esak menangis. Pak cik Hambali diam membiarkan sahaja wanita itu melepaskan kesedihannya.
“Mak terlalu bencikan Qay. Abang Hadi pulak ikut segala cakap mak. Qay dah tak tahan lagi, ayah. Qay nak keluar dari sini..”
“Qay, jangan derhaka pada suami. Berdosa besar tu, nak. Ayah minta Qay bersabarlah dulu. Ayah akan cuba bercakap dengan Hadi.”
“Abang Hadi takkan bertolak ansur kalau hal ni berkaitan dengan keluarga Qay. Dia tak boleh terima kenyataan. Qay dah tak tahu macamana nak pujuk dia lagi, ayah. Semakin hari Qay semakin tersiksa. Qay tak tahu berapa lama lagi Qay boleh bertahan.” Qay terus teresak-esak di sisi bapa mertuanya itu. Nasibnya dirasakan amat malang sekali. Masa depan terlalu kabur sedangkan dia sudah terasa hampir tewas dengan semua masalah yang ada.
Pak cik Hambali meraup wajahnya perlahan. Kasihan benar dia melihat Qay. Dia pula tidak berupaya membantu. Memandang sahaja juga dia tidak sanggup. Sampai benar hati Hadi membuat isterinya jadi begini.
“Berbincanglah dulu dengan Hadi ya? Lepas tu barulah buat keputusan. Ayah tahu Qay isteri yang baik. Allah tak menetapkan hukum agama ni sebagai sekatan bagi perempuan untuk merasai kebahagiaan. Cuma kita ni aja yang selalu salah perkiraan. Islam ni adil untuk semua orang, Qay. Seorang isteri berhak untuk merasa bahagia atas semua pengorbanan yang dilakukan untuk suaminya,” nasihat Pak cik Hambali lembut.
Qay terus menangis di dalam kereta itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang sedang dirasainya saat ini. Segala kenangan lama terus bermain di fikirannya. Betapa dia merindui dirinya yang dahulu. Semua itu kini sudah menghilang bersama perginya masa. Menyesalkah dia? Entahlah.. dia sudah tidak tahu apa yang harus dirasakan lagi.
“Qay bersabar dulu ya? Allah akan tunjukkan jalannya. Jangan berputus asa pada Allah. Ayah akan cuba nasihatkan Hadi nanti.” Pak cik Hambali menasihati lagi menantunya itu.
“Hanya itu masih tertinggal pada Qay ni, ayah. Yang lain semuanya dah musnah!”
Hanya keluhan yang terdaya dilahirkan oleh lelaki tua itu mengenangkan menantunya ini. Di hadapan matanya dia masih kabur, tidak tahu apa jalan yang ada untuk dia membantu Qay. Cuma satu sahaja harapannya, dia harap Hadi mahu mendengar nasihatnya.

Rumah papan itu gegak gempita! Semua penghuni di dalam rumah itu kecut perut termasuklah Hadi. Suara Mak cik Saadiah yang paling lantang mempertahankan dirinya.
“Kalau dia dah tak boleh terima cara saya ajar dia, dia boleh berambus dari sini. Hadi, kau bawak bini kau tu pergi. Kalau kau rasa cara mak ni mendidik bini kau tu tak betul, kau bawak aja dia pergi. Tapi lepas tu jangan tunjuk muka dia kat sini lagi! Kau jangan mengaku lagi yang aku ni mak kau!” meledak suara Mak cik Saadiah.
“Diah, jangan sampai macam tu sekali. Saya tegur awak untuk kebaikan kta bersama. Dia tu menantu kita. Bukannya binatang!” ucap Pak cik Hambali sedikit keras. Sudah diagaknya. Isterinya itu tidak akan mendengar tegurannya.
Hadi membisu sahaja, tunduk di kaki tangga. Dia tidak berani melawan kata-kata ibunya itu. Dia bimbang ibunya akan marah lagi kepadanya seperti dulu.
“Memang cara saya ni keras, bang. Tapi saya mengajar untuk kebaikan dia. Saya ajar dia berdikari. Manalah tahu satu hari nanti saya dah tak boleh nak jaga dia, dia dah pandai buat semua tu sendiri. Salah ke apa saya buat ni?” tentang Mak cik Saadiah keras. Konon-kononnya Qay sedang mengadu domba tentang dirinya. Dia mahu Hadi percaya keikhlasan hatinya.
“Awak sendiri tahu apa yang awak buat, Diah. Jangan lupa Allah melihat segala perbuatan kita,” ancam Pak cik Hambali sengaja mahu mengingatkan isterinya akan hakikat itu. Dia tahu bukan itu sebenarnya yang berlaku.
“Oh! Jadi awak nak kata yang saya ni busuk hatilah? Saya sengaja nak siksa si Qay tu? Saya dera dia?”
“Awak sendiri tahu apa yang awak buat. Awak nilailah semula!”
“Mak, Hadi percaya mak tak buat macam tu. Hadi faham cara mak memang kasar sikit. Nanti Hadi pujuk Qay ya, mak?” ucap Hadi lembut.
“Bini kau tu memang tak sukakan mak. Mentang-mentanglah mak ni bukan lulusan universiti macam mak dia. Sanggup dia buruk-burukkan mak pada ayah kau. Sedangkan mak sayangkan dia,” ucap Mak cik Saadiah mula berkecil hati.
“Mak.. janganlah cakap macam tu. Hadi biarkan Qay kat sini pun sebab Hadi nak dia terima mak macam mak dia sendiri. Nanti Hadi akan nasihatkan dia,” ucap Hadi lembut.
“Ayah rasa kau patut bawak anak dan isteri aku tinggal dengan kau, Hadi. Kau jagalah sendiri anak bini kau,” ucap Pak cik Hambali pula. Menegur Qay tidak menyelesaikan masalah mereka. Sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan.
“Kenapa? Ayah dah tak sanggup bersusah payah untuk Hadi lagi?”
“Bukan macam tu.. ayah nak kau sendiri rasa susah payah tu bersama dengan Qay. Dia isteri kau. Tanggungjawab kau! Buruk atau baik didikan tu mestilah dari kau sendiri Hadi,” ujar Pak cik Hambali lembut namun tegas.
“Pertama yang Hadi nak buat ialah Hadi nak isteri Hadi hormat pada mak Hadi!” tegas Hadi sedikit keras. Dia sudah mendengar bunyi bicara ayahnya seakan-akan membela Qay.
“Kalau dia tinggal dengan kau pun, tak semestinya dia tak hormatkan mak.” Pak cik Hambali membantah lagi. “Ayah dah tak sanggup tengok dia bersusah payah sendiri lagi, Hadi. Dia ada suami tapi suami macam tak wujud. Kau pun tak bolehlah nak bergantung pada mak aja!”
“Jadi ayah sukalah kalau isteri Hadi tu tak berbaik dengan mak sampai bila-bila?” tentang Hadi tetap tidak sependapat dengan ayahnya itu.
“Bukan macam tu maksud ayah..”
“Ikut ajalah cakap ayah tu, Hadi. Mak ni siapalah! Tak setaraf dengan keluarga mertua kau tu. Kau bawaklah Qay dengan cucu mak tu pergi.” Mak cik Saadiah mula menunjukkan rajuknya. Dia terus naik ke biliknya.
Mak..” Hadi cuba memanggil namun Mak cik Saadiah langsung tidak mempedulikan panggilan itu. Hadi akhirnya hanyaa mampu menghela nafas.
Pak cik Hambali pula sudah mula menggeleng kesal. Semakin sukar untuk mereka bertoleransi sebagai satu keluarga. “Berbincanglah dengan Qay. Tanya dia apa yang dia nak. Kau tak boleh paksa dia ikut kehendak kau yang boleh membuatkan dia tersiksa, Hadi. Sesal dulu pendapatan. Sesal nanti dah takde guna!” ucap Pak cik Hambali tanpa memandang anaknya itu. Dia mahu keluar menenangkan fikirannya.
Hadi terus naik ke atas. Bayang Qay di bilik dicarinya. Isterinya sedang mendodoikan anak mereka. Namun dia tidak merasa tenang memandang wajah itu. “Qay tak boleh ke beralah sikit dengan maak? Kenapa mesti nak mengadu yang bukan-bukan pada ayah?” soal Hadi cukup geram dengan isterinya itu.
Qay tidak memandang suaminya itu. Segala pertengkaran tadi sudah didengarinya. Tidak perlulah dia bertanya lagi. Pendirian Hadi masih sama!
“Abang penat pergi kerja cari duit untuk kita, Qay langsung tak tahu hargai pengorbanan abang!” keluh Hadi kesal. Dia duduk di birai katil itu memandang anaknya yang sedang tertidur. Tidak sangka lekas benar masa berlalu. Inas kini sudah berusia 3 bulan. Kemudian dia memandang Qay pula.
“Apa lagi yang perlu abang buat untuk puaskan hati Qay?”
“Kalau permintaan Qay untuk tinggal dengan abang ni membuatkan abang rasa berat, abang tak perlu buat apa-apa lagi. Qay takkan minta apa-apa lagi,” ujar Qay perlahan. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu hancur hatinya kala ini.
“Jadi buat apa suruh abang balik? Abang bukannya ada banyak masa untuk semua benda bodoh ni!” tegas Hadi geram dengan isterinya itu.
“Benda bodoh? Balik ke sini untuk Qay dan anak abang benda bodoh abang kata? Jadi apa yang tak bodoh, bang?” soal Qay semula. Entah kenapa bekas yang pernah terisi rasa cinta kepada Hadi kini sudah terasa kosong sekosong-kosongnya!
“Qay nak apa sebenarnya ni? Qay sengaja nak siksa perasaan abang ke? Puaslah hati Qay tengok mak kecil hati dengan abang?” ucap Hadi kesal. Isterinya sengaja mahu menyulitkan keadaan dirinya.
Qay menghela nafas perlahan. “Sampai bila-bila pun Qay takkan mampu puaskan hati mak. Mak memang tak pernah sukakan Qay,” ucap Qay rendah.
“Mak yang tak suka Qay atau Qay yang tak boleh terima mak sebenarnya?” desis Hadi sinis siap dengan jelingan ekor matanya.
Wajah Hadi dipandang lama oleh Qay. Benarlah kini tiada satu pun kata-katanya yang kelihatan bererti bagi Hadi. “Qay tak tahu kenapa susah sangat nak berbincang dengan abang. Semua yang Qay cakap abang tak mahu dengar,” ujar Qay perlahan sahaja.
“Qay ada dengar ke bila abang cakap? Abang suruh Qay berbaik-baik dengan mak, kenapa tak dengar? Abang ni suami, Qay. Qay kena hormatkan mak abang! Baru abang akan dengar apa yang Qay cakap,” serang Hadi semakin geram.
Luluh hati wanita itu mendengar jawapan suaminya. Hadi langsung tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin dia dilahirkan hanya untuk tunduk kepada lelaki ini. Segala pengorbanannya tidak bermakna. Segala jerih payah perasaannya selama ini hanya sia-sia.
“Qay betul-betul dah tak boleh teruskan semua ni lagi,” ucap Qay perlahan.
Hadi menoleh kepada isterinya itu. “Apa maksud Qay?”
“Tolong lepaskan Qay dari semua ni, bang. Hanya abang harapan Qay.”
“Abang dah cakap tadi, abang takkan bawak Qay tinggal dengan abang di KL. Abang nak Qay tinggal dengan mak sampailah Qay dengan mak boleh berbaik. Faham? Berapa kali nak ulang benda ni?”
“Qay ni terlalu menyusahkan abang ke sampai abang perlu humban Qay ke sini?”
Hadi diam pula.
“Kalau menyusahkan kenapa abang ajak Qay kahwin dulu, bang?” luah Qay teramat sayu. “Kenapa abang minta Qay buat keputusan yang mencalarkan perasaan orang tua Qay?” ucap Qay lebih rendah dari tadi.
“Abang tahu tak, Qay sedih sangat dengan keadaan Qay sekarang. Qay rasa Qay dah takde sesiapa lagi dalam dunia ni. Qay macam dah tak kenal siapa abang sekarang ni. Kita dah tak macam dulu. Qay rasa jauh sangat dari abang. Bila Qay rasa susah, rasa sedih.. Qay tak mampu nak capai abang lagi. Kenapa sekarang ni abang dah tak pernah tanya sama ada Qay bahagia atau tidak? sebab perasaan Qay dah tak penting lagikan? Perkahwinan ni dah tak mendatangkan apa-apa makna lagi pada kita berdua.”
“Bukan macam tu Qay. Qay tahukan keadaan abang macamana..”
“Qay tahu.” Qay lantas memintas. Dia sudah tidak mahu mendengar lagi alasan Hadi. Alasan itu pastinya ada bersangkut paut dengan duit! “Qay dah cukup tahu keadaan abang. Abang tak mampu dan abang pun tak suka Qay bantu abang. Abang tak suka makan duit perempuan. Abang tak suka Qay pegang kuasa lebih dari abang. Qay dah faham semuanya. Tapi abang tahu ke keadaan Qay macamana pulak? Qay tak pernah minta abang tunduk pada kehendak Qay tapi Qay cuma berharap abang akan mempertimbangkan setiap apa yang Qay katakan pada abang. Tapi semua tu tak pernah ada antara kita. Abang hanya tahu abang seorang suami. Habis tu Qay ni macamana, bang? Siapa Qay ni dengan abang? Antara Qay dan keegoan abang, Qay duduk di tempat kedua. Hati Qay hancur sangat, abang!”
Hadi berdiam lagi. Dia mula tunduk merenung lantai papan di hujung kakinya.
“Qay takkan minta apa-apa lagi dari abang. Qay tahu abang takkan setuju. Tapi Qay juga manusia yang ada perasaan. Qay dah buat keputusan untuk diri Qay. Qay nak balik rumah keluarga Qay.”
“Abang tak izinkan, Qay!”
“Qay tak tanya keizinan abang pun sekarang ni..” sambut Qay tenang.
Hadi terkejut mendengar jawapan Qay. “Apa maksud Qay?”
“Qay nak pergi jauh dari hidup abang. Qay nak lupakan semua yang pernah kita ada bersama. Qay minta abang lepaskan Qay dari ikatan ni,” ucap Qay sudah nekad. Dia sudah tidak sanggup menjadi mangsa dendam ibu mertuanya dan dia sudah tidak mampu menelan keegoan Hadi yang menggunung tinggi.
Hadi terus tergamam dengan mata membulat kepada isterinya itu. Dia bagaikan sedang bermimpi mendengar Qay meminta cerai darinya. “Qay sedar tak apa yang Qay cakap ni?” soal Hadi kesat.
Wanta itu memejamkan matanya perlahan. Inilah yang sangat-sangat dimahukan oleh emak mertuanya itu. Jika ini dapat mengembalikan kedudukan Hadi sebagai anak yang taat kepada ibunya. Biarlah dia mengalah sahaja.
“Qay takkan mampu menandingi kedudukan Suria dalam hati mak abang,” jawab Qay lemah.
Hadi bangun dari duduknya. “Jangan salahkan orang lain atas kelemahan sendiri! Suria takde kena mengena dengan semua ni. Jangan disebabkan Qay tak boleh nak hidup sederhana dengan keluarga abang, Qay babitkan nama dia!” meledak suara Hadi menengking isterinya itu.
“Mak abang nak abang kahwin dengan Suria dan singkirkan Qay. kenapa abang tak sedar?” tekan Qay separuh merayu.
“Abang dengar sendiri mak cakap mak sayangkan Qay. Telinga abang ni masih tak pekak, Qay. Jangan nak putar belitkan keadaan!”
Qay terdiam seketika. Kini Qay melihat betapa rendah kedudukannya di mata Hadi. Segala kelemahan dan kesilapan hanya terletak di atas bahunya. Dialah manusia yang paling tidak berguna saat ini.
“Anggaplah apa pun.. Qay dah tak kisah lagi, bang. Qay tetap akan pergi. Qay tahu perasaan mak abang dan perasaan abang yang paling penting di sini. Tapi Qay nak abang tahu, Qay bukannya patung yang takde rasa bila hati terus disiksa. Qay akan serahkan Inas pada abang. Dia anak abang. Abang tentu lebih tahu macamana nak besarkan dia nanti. Qay minta maaf, bang. Qay dah tak boleh teruskan janji-janji kita dulu.”
“Qay sanggup korbankan anak kita untuk kepentingan Qay sendiri?”
“Jangan tanya Qay sanggup atau tidak. Ini semua bukan semudah yang abang sangka. Abang tak pernah tahu apa-apa sebenarnya!”
Turun naik dada Hadi mendengar itu. Kata-kata Qay membuatkan dia merasa seolah-olah ada batu sedang terhempas di atas kepalanya. Dia berpaling lalu keluar dari biliknya. Dia harus menenangkan dirinya dahulu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.