Isnin, 22 September 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA 11-12

  Bab 11

Senyum Qairynn terukir biasa saat terpandangkan kedatangan lelaki itu. Derap langkah lelaki it uterus dipandangnya sehingga Firman terus berada di hadapan mejanya.
“Sorry.. lama tunggu?” sapa Firman lembut dengan senyum manisnya. Tanpa dipelawa dia terus menarik kerusi untuk duduk di hadapan Qairynn.
“Baru setengah jam. Lain kali cukupkan sejam aja terus. Lagi afdal! Lagi 5 minit abang tak datang tadi, Rynn nak balik aja,” jawab Qairynn sedikit meleret. Dia berpeluk tubuh sambil lelaki di hadapannya itu dijelingnya sedikit. Boring menunggu lama-lama!
Firman ketawa perlahan melihat gelagat gadis itu. “Marahlah lagi. Abang memang suka tengok Rynn marah-marah macam ni. Cute!” usik Firman lembut. Raut masam manis di hadapannya itu terus ditatap tanpa jemu. Walaupun masih dengan pakaian pejabat yang melekat di tubuh, Qairynn dilihatnya cukup menarik mata hati lelakinya.
Qairynn mencebik sedikit. “Cepatlah order..”
“Uppss! Ralik sangat pandang buah hati abang seorang ni, terus terlupa benda lain. Waiter..” Firman segera melambai seorang pelayan tidak jauh darinya.
Selesai membuat pesanan lelaki itu kembali memusatkan pandangan kepada Qairynn yang sedang membelek gadjet di tangannya. Entah kenapa suka benar dia memandang gadis itu dalam keadaan Qairynn terleka begitu. Setiap gerak geri Qairynn diperhatikan tanpa jemu. Dia geram melihat tabiat Qairynn yang suka menggigit bibir bawahnya. Seksi! Kemudian dia melihat Qairynn mengerutkan kening pula.
Ah! Semua tentang Qairynn terlalu istimewa di matanya. Tetapi sayangnya gadis ini jinak-jinak merpati. Melayan.. tetapi bukan sebagai kekasih. Hubungan ini jika hendak ditafsirkan.. entahlah. Mungkin lebih kepada kawan biasa sebenarnya. Qairynn yang dikenalinya hampir 4 bulan ini susah diteka perasaannya.
“Dah habis pandang ke? Kalau kat Cairo dah lama kena abang tembak pandang orang perempuan macam tu sekali,” ucap Qairynn tanpa mengalihkan perhatiannya daripada gadjet di tangannya itu.
Firman ketawa perlahan. “Abang dah lama lupakan Cairo. Rynn pun macam tukan? Kita ni nama aja berasal dari sana. tapi kita tak tahu apa-apa pun tentang tempat tu,” jawab Firman lembut.
Spontan Qairynn mengalihkan bola matanya kepada Firman. “I’m Malaysian, okay..”
“Me too. Tapi keluarga besar kita memang berasal daripada sana,” sambut Firman dengan senyuman bermakna di tepi bibir.
“It’s your family. Not mine!” jawab Qairynn tidak sedap hati mendengar istilah ‘keluarga besar kita’ itu. Macamlah aku ada syer sekali dalam family dia. Aku pun tak ingin nak syer family aku dengan dia. Salah satu sebab dia sedikit liat dengan lelaki ini ialah Firman duda beranak 3. Kalau setakat duda kosong, okaylah jugak. Nanti aku pulak kena jaga anak-anak dia.. Oh no! Aku pun nak beranak jugak. Nanti anak aku kena buli dengan anak dia. Tak boleh! Tak boleh! Jauh perginya angan-angan Qairynn sementelah dia tahu lelaki ini memang ada hati kepadanya.
“Takkan takde peluang langsung untuk abang jadi sebahagian daripada keluarga Rynn tu?” ucap Firman lembut. Kedatangan pelayan membawa minumannya tidak dipedulikan sebaliknya dia ralik memandang reaksi gadis itu.
Qairynn memandang lelaki di hadapannya itu. “Soal kahwin Rynn tak mahu fikir sekarang,” jawab Qairynn selamba.
“Jadi bila? Abang yang dah berusia, Rynn. Abang perlukan kehadiran seorang isteri di sisi abang.” Firman mengeluh perlahan.
“Janganlah desak Rynn, abang. Kita baru kenal!” getus Qairynn semakin tidak senang.
“Okay.. okay.. abang minta maaf,” ucap Firman sedikit kecewa. Namun dia harus akur.. memaksa hanya akan memburukkan lagi keadaan. Dia tahu dengan Qairynn dia harus bijak membeli jiwa gadis muda itu.
Qairynn menghela nafas perlahan sambil memandang ke arah luar untuk menenangkan hatinya yang gundah. Kekerapan Firman bercakap soal kahwin membuatkan dia sudah panas punggung di hadapan lelaki itu. Ini bukan kali pertama Firman menghantar hasrat mahu masuk meminangnya segera. Dia paling bimbang Firman pergi membuka mulut di hadapan datuknya tentang itu. Alamat kahwin paksalah dia nanti. Sementelah perkenalannya dengan Firman juga atas dorongan lelaki itu.
Atuk ni pun satu! Tak boleh tengok orang solo sikit. Semua nak dipadukkannya cepat-cepat.. getus hati Qairynn bengang dengan datuknya itu pula. Sebelum ini kakaknya Qudsiah sudah memberi jawapan akan menerima Amsyar sebagai suami, atas desakan datuknya itu. Dia pun nescaya akan menerima nasib yang sama akhirnya. Dengan si Firman duda ini! Eee... tak mahulah! Zaman moden macam ni pun masih ada lagi anak gadis yang berkahwin dengan pilihan keluarga. Takde kompromi pulak tu!
“Janganlah masam macam ni. Abang minta maaf pasal tadi,” luah Firman lembut. Raut masam Qairynn benar-benar membuatkan hatinya tersiksa. Menyesal pula dia menyebut soal itu dalam saat-saat begini.
“Rynn belum bersedia lagi, abang. Soal kahwin ni bukan senang. Atuk tu memang nak Rynn lekas-lekas kahwin. Tapi yang nak menghadapi keadaan tu nanti Rynn. Bukannya atuk!” balas Qairynn sedikit rendah.
“Mungkin atuk risau sebab cucu dia ni cantik sangat,” sambut Firman lantas ketawa kecil.
Qairynn mencebik sahaja dengan pujian lelaki itu. Dirinya sudah diajar supaya tidak lekas terlena lagi dengan pujian seorang lelaki. Dia tidak lagi senaif dulu. Hatinya ini kosong kepada mana-mana makhluk bernama lelaki yang ingin datang dekat dengannya.
“Rynn perlukan masa, bang..” ucap Qairynn kemudian.
“Masa bukan ukurannya, Rynn. Ada orang yang dah berkenalan bertahun-tahun, kenal hati budi sedalam-dalamnya tapi akhirnya tak jadi apa juga. Macam tu jugalah dengan kita,” komen lelaki bernama Firman Ahmed itu perlahan.
Qairynn terdiam seketika memandang raut dewasa di hadapannya itu. Ya! ada benarnya juga kata-kata Firman. Contoh yang paling jelas sudah tentulah kisahnya dengan Aryan dulu. Bukan setahun dua tetapi berbelas tahun. Lihatlah di mana akhirnya mereka kini. Masing-masing dengan haluan sendiri. Sekali lagi hati gadis itu disapa kepedihan. Matanya dipejamkan perlahan sambil memicit dahinya. Setiap kali dia mengenang kisah itu pasti raut arwah ayahnya akan muncul sekali.
“Hei! Tengok siapa ada kat sini..” mata Qairynn terbuka semula saat telinganya disapa suara itu. dia menoleh ke sisinya. Tergamam dia melihat Maya sedang berdiri di sisi meja itu bersama dua wanita yang tidak dikenalinya. Hati Qairynn menggerutu perlahan. Kenapalah dekat benar jodohnya dengan si Maya ini? Mana-mana pergi mesti dia ada tercongok sekali!
“Tak sangka jumpa kau kat sinikan?” ucap Maya saat wajahnya disapa pandangan Qairynn.
“Kedai ni bukan bapak kau punyakan?” jawab Qairynn kebosanan melihat muka itu.
“Memanglah bukan restoran bapak aku. Eh! Siapa ni?” soal Maya dengan muka tidak tahu malunya sambil memandang kepada Firman yang sedikit bingung merenung kepadanya.
“Nama I Firman..” Firman lantas memperkenalkan dirinya apabila Qairynn dilihatnya tidak melayan soalan Maya itu.
“Firman? Sedapnya nama..” ucap Maya lantas tergelak kecil. Apa punya bertuah badan ada balak ganteng ni.. mamat hensem macam ni boleh pulak duduk dengan si tomboi ni. Balak aku? Dah nama pun kayu balak. So lebih kurang tunggul aja gayanya. Membosankan!
Firman sekadar ketawa kecil sambil mengerling sekilas Qairynn yang membuat wajah bosan di hadapannya. Gadis itu sengaja memandang ke arah lain. Macam ada yang tidak kena sahaja antara dua wanita ini di matanya.
“Macamana you boleh kenal minah tomboi ni?” soal Maya sambil meletakkan tangannya di atas bahu Qairynn. Qairynn menoleh dengan muka mencuka. Tangan Maya ditolaknya kasar.
“Tomboi?” soal Firman kehairanan. Qairynn di hadapannya itu dipandang sebelum dia menjenguk pula di bawah meja. “Tomboi apa ke namanya kalau berskirt dan heels macam perempuan normal yang lain? I tak perasan bahagian mana yang dia tomboi. You salah pandang agaknya ni,” ucap Firman sengaja mengukir gelak sopan.
“I dengan dia satu sekolah dulu. Dia memang tomboilah! Betul tak, Qairynn?”
“Kau boleh tak jangan menyibuk dalam hidup aku? apa kata kau buat tak kenal aja bila kau nampak aku kat mana-mana. Aku tak inginlah nak dekat dengan manusia macam kau ni!” ucap Qairynn geram sambil mengerling tajam melalui ekor mata.
“Aik? Marah ke ni?” ejek Maya sambil tergelak jahat bak diva.
Qairynn menyibak rambutnya kasar sebelum menoleh kepada Maya dengan wajah menyinga. Kalau tidak kerana mereka sedang berada di khalayak ramai, wanita ini sudah diajarnya cukup-cukup.
“Qairynn adalah perempuan paling lembut yang pernah I kenal. Lebih lembut berbanding you sendiri. Sebab dia yang I kenal.. bila bercakap tak suka menghina orang, tak suka mencari gaduh dengan orang dan tak suka mengata keburukan orang. So I rasa kalau you dah takde apa yang elok nak dicakapkan lagi, lebih baik you tinggalkan meja ni. We don’t need this! Seriously.. leave her alone!” Firman terus bersuara tatkala Qairynn masih merenung Maya tajam.
Spontan wajah Maya berubah mendengar nada lembut Firman namun tajam menyiat hatinya itu. Sorotan mata yang agak tajam itu membuatkan dia kehilangan kata-kata. Melihat lelaki itu masih tidak mengalihkan pandangannya, Maya akhirnya menggamit dua kawannya itu berlalu.
Qairynn mendegus sambil berpeluk tubuh memandang ke arah lain. Wajah Firman di hadapan tidak lalu untuk dipandangnya dalam keadaan hatinya sedang dilambung ombak rasa mahu mengamuk saat ini.
“Siapa tu?”
Stupid person from my past!” cemuh Qairynn kesat.
“I see..” sambut Firman tidak ingin melanjutkan pertanyaan dalam keadaan mood Qairynn benar-benar ke gaung saat ini.
“Kalau Rynn tak selesa di sini, kita boleh pergi tempat lain,” ucap Firman sekadar mahu membantu gadis itu menenangkan diri yang masih dibaluti kemarahan. Di matanya ini bukan sekadar Qairynn yang merasa terganggu. Sebaliknya dia juga begitu. Maya dan kawan-kawan di meja lain masih ada terpandang-pandang ke arah mereka.
It’s okay. Rynn cuma nak balik lepas makan ni. Letih!” jawab Qairynn sambil menghela nafas dalam.
“Okay..” sambut Firman akur. Kasihan pula dia melihat wajah tertekan Qairynn. Dia juga tidak ingin menambah kekusutan yang ada walaupun dia sendiri sebenarnya tidak tahu apa masalahnya dengan dua wanita itu.
Usai makan Firman segera menyelesaikan bil. Menyedari Maya masih ada di dalam restoran yang sama Qairynn sengaja mahu menunjuk-nunjuk pula. Saat mahu berlalu daripada meja itu dia terus mencapai tangan Firman.
“Pinjam..” ucapnya dan dengan muka selamba dia memaut lengan lelaki itu mesra.
Firman ketawa perlahan. “Nak pinjam dari hujung rambut sampai hujung kaki pun takde masalah. Anything you want, Rynn..” sambut Firman mesra.
“It’s okay. buat masa ni tangan aja pun dah cukup. Anggota yang lain tu nanti kita pertimbangkan bila masanya sesuai,” jawab Qairynn sambil tergelak perlahan. Dia tahu Maya masih memerhatikan dia. Kau ingat aku masih tergila-gilakan balak kau tu? Memang taklah! Desis hati Qairynn puas.
Maya di hujung sana terlopong sedikit melihat Qairynn berpaut mesra kepada lelaki berdarah campuran itu. Dah macam pasangan kekasih aja gayanya. Namun dalam diam dia mengaku Qairynn memang jauh lebih hebat berbanding dia. Dengan kerjaya hebat yang sudah disandangnya dan teman lelakinya pun.. alahai, terliur tengok! Dia memang sudah kalah sementelah Aryan pun sudah cakna tidak cakna sahaja kepadanya.
Tiba-tiba rasa sakit hatinya semakin membuak kepada gadis itu. Melimpah deras sehingga tidak mampu ditahan. Timbul lagi rasa tamaknya entah kenapa!


  Bab 12

Aryan termenung sendiri di luar rumahnya itu. Saja mahu memerhatikan bintang yang berteraburan di langit. Cantik pula dilihatnya. Namun sedang dia ralik sendiri dia terlihat sebuah kereta berhenti di hadapan rumah sebelah. Kereta itu sekadar memakirkan diri di luar rumah. Setelah dia melihat dengan lebih dekat, kereta berjenama Walkswagon itu segera dikenalinya. Itu adalah kereta Qairynn!
Cepat-cepat Aryan membuka pintu pagar kecil untuk keluar dari rumahnya. Dia harus segera merebut peluang ini. Laju kaki dihayunnya mendekati kereta putih itu. Qairynn dilihatnya masih tidak keluar daripada kereta itu. Buat seketika Aryan berdiri di belakang kereta itu, menunggu tuan punyanya keluar.
Qairynn, setelah habis memungut segala barang-barangnya dia mula membuka pintu keretanya. Namun sebaik sahaja terlihat satu lembaga berdiri di belakang keretanya dia menjerit spontan. Sebelah kaki yang sudah keluar ditarik masuk dan pintu kereta ditutup cepat. Fail yang berteraburan di atas tanah tidak dipedulikannya sebaliknya dia kelam kabut mengunci pintu. Dadanya berombak resah. Tiba-tiba kenangan dulu itu kembali semula membuatkan dia diserang ketakutan yang teramat sangat. Lembaga yang berdiri di dalam gelap itu diintainya berkali-kali dengan riak cemas.
“Rynn..” panggil Aryan sambil mengetuk tingkap kereta itu berkali-kali. Tidak cukup itu segera menunjukkan wajahnya melalui cermin itu.
Qairynn yang sudah pucat, berpeluh cuba memandang Aryan berkali-kali dalam kesamaran suasana sekeliling mereka. Sekadar mahu memastikan memang Aryan yang dia lihat. Sayangnya keadaan keliling mereka tidak begitu membantu. Gelap!
“Ini abanglah..” dia terdengar sayup-sayup suara Aryan berkata kepadanya dari arah luar.
Qairynn memegang dadanya seketika untuk meredakan debaran yang terasa cukup kuat menghentam dadanya. Berkali-kali dia menghela nafas untuk menenangkan diri. Seminit kemudian barulah dia membuka pintu.
“Kenapa?” soal Aryan hairan melihat Qairynn semacam takut-takut padanya.
“Abang buat apa kat dalam gelap tu? Buat terkejut orang aja!” getus Qairynn sedikit kasar.
“Abang tunggu Rynn keluar dari kereta. Kalau abang tunggu kat tepi pintu ni, karang Rynn bukak pintu abang tersembam dalam longkang tu,” jawab Aryan lantas menunjukkan longkang tidak sebesar mana di belakangnya itu.
Elok pun tersembam dalam longkang tu.. getus hati gadis itu. Failnya yang sudah berteraburan di kutip semula. Aryan ikut mencangkung untuk membantu.
“Lambat balik kerja?” soal Aryan cuba membuka ruang perbualan dengan Qairynn.
Qairynn tidak menjawab. Fail di tangan Aryan diambilnya pantas. Dia mahu lekas masuk ke dalam rumah. Bukan setakat dia malas mahu melayan Aryan. Dia bimbang datuknya terlihat mereka berdua di situ.
“Rynn..” panggil Aryan tatkala Qairynn mula menutup pintu keretanya. Lengan gadis itu disentuhnya agar Qairynn memberi perhatian kepadanya.
“Jangan pegang I boleh tak!” getus Qairynn sedikit kasar. Bukan kerana bencikan Aryan dia tidak senang dengan sentuhan itu. Tetapi dalam keadaan dirinya masih diimbau oleh kenangan lama itu, sentuhan Aryan semakin membuatkan rasa trauma itu memuncak. Seolah-olah dia sedang berada di dalam lingkungan kenangan hitam itu.
“Okay.. abang minta maaf. Abang cuma nak bercakap dengan Rynn sekejap. Please..” ucap Aryan separuh merayu.
“Penatlah! Nak masuk lekas ni,” jawab Qairynn dingin.
“Please.. sekejap aja.”
“You nak apa lagi ni, Aryan! Nak minta maaf? Hari tu dah cakapkan? Berapa kali nak ulang?” tekan Qairynn tiba-tiba menukar wataknya. Dia tidak ingin lagi menjadi adik Aryan yang dulu. Cukuplah hatinya disiat selama ini.
Aryan terkejut mendengar Qairynn memanggilnya begitu. Buat seketika dalam kesamaran itu dia terpaku menatap raut Qairynn. Gadis itu juga sedang memandang kepadanya. Qairynn meletakkan fail-failnya di atas boot enjin kereta.
“Cakaplah cepat..” ujarnya lantas bersandar di badan keretanya. Tangannya disilangkan di dada sebagai pelindung dirinya kepada lelaki itu. Walaupun dia berusaha tidak memandang namun ekor matanya terus memerhatikan gerak geri Aryan.
“Rynn dah banyak berubah sekarang,” luah Aryan sedikit terkilan.
“You tahu apa sebabnya. Jadi janganlah nak tunjukkan kekesalan you kat sini lagi, Aryan. Semua tu dah takde harga untuk I lagi,” sambut Qairynn pantas. Perbuatan Maya memalukannya di hadapan Firman sebelum ini semakin memarakkan rasa bencinya kepada Aryan.
Aryan menghela nafas perlahan memandang Qairynn yang terus bersikap dingin dengannya. “Sayang nak marah abang.. marahlah! Tapi boleh tak lepas tu Rynn maafkan abang?” pinta Aryan lembut.
“Sayang?” Qairynn ketawa perlahan. “Berapa ramai sayang yang you ada ni? Maya tu pun sayang, I pun sayang. Tolonglah, Aryan. Kita bukan budak-budak lagi. I bukan lagi Qairynn Asyikin perempuan yang you kata adik you tu dulu. 8 years, Aryan! Masa yang sepanjang itu dah cukup untuk menyedarkan I siapa you ni sebenarnya,” sambung Qairynn selamba.
Sekali lagi Aryan menghela nafas perlahan. Siksa hatinya mendengar kata-kata penuh sinis Qairynn. “Abang tahu abang dah lama abaikan Rynn selama ni. Tapi boleh tak Rynn beri abang peluang perbetulkan keadaan?” pujuk Aryan lembut.
“Nak betulkan buat apa? I tak mahu nanti Maya datang sini buat kecoh pulak kat rumah I. Hina I macam-macam. I dah tak sanggup nak lalui keadaan tu, Aryan. You tahu tak apa perasaannya bila diri kita dihina orang? You tahu apa rasanya bila orang yang selama ini mengaku dirinya macam abang pada I cuma berdiam diri membiarkan I dihina? You tahu apa rasanya bila you rela ikut kehendak Maya tinggalkan I di tepi jalan tengah malam?” soal Qairynn satu persatu dengan suara yang cukup jelas untuk didengari oleh Aryan.
Aryan terdiam menadah dirinya kepada luahan Qairynn.
“Keadaan kita lebih baik macam ni. Betul cakap umi dulu.. sayang you pada I takkan sama macama abang kandung walaupun beribu kali you cakap I ni macam adik you sendiri.” Qairynn menyambung lagi luahannya tatkala Aryan hanya tunduk mendiamkan diri.
“Semua ni buang masa! I nak masuk,” ucap Qairynn malas mahu memanjangkan bicara lagi.
“Rynn.. nanti dulu, sayang. Jangan buat abang macam ni. Abang tersiksa sangat tengok Rynn memusuhi abang macam ni,” keluh Aryan pantas memegang lengan Qairynn.
“You dah buat pilihan lebih 8 tahun dulu. So be it! I tak ingin nak dekat dengan you lagi. Tolong lepaskan tangan I sekarang. I nak masuk!” ucap Qairynn agak mendatar.
“Rynn, abang tak berniat nak membiarkan keadaan kita jadi sampai macam ni. Janganlah hukum abang dengan ni semua. Abang pun tersiksa, Rynn. Hanya Tuhan aja yang tahu perasaan abang selama ini. Sepanjang masa abang hanya memikirkan Rynn. Tak cukup lagi ke semua tu?” rintih Aryan agak tertekan.
“You tersiksa dengan pilihan sebaik Maya tu? Bukan ke dia penting untuk you. Berbaloi you rosakkan keharmonian dua keluarga ni untuk wanita sebaik dia. Buat apa nak merayu maaf I lagi? Pergi ajalah cari dia!” ucap Qairynn seolah-olah tidak berperasaan sahaja.
“Abang tersilap waktu tu, sayang. Abang..”
“Apa yang you lalui selama 8 tahun ni takkan mampu menandingi apa yang I kena lalui kerana you dan Maya. So janganlah mengharap maaf I seolah-olah harga diri I ni boleh dikutip di tepi jalan. You jangan ganggu I lagi dan pesan juga pada kekasih kesayangan you tu.. tolong jauhkan diri dari I bila dia jumpa I kat luar. I tak mahu bila I dah hilang sabar nanti, I akan buat sesuatu yang dia sendiri tak jangka! I mean it!” pintas Qairynn tegas. Muak telinganya mendengar panggilan sayang yang disebut Aryan.
“Maya buat apa?” Aryan sedikit kebingungan mendengar kata-kata Qairynn.
“Dia kekasih you. Kenapa tak tanya terus pada dia?” ejek Qairynn cukup tajam.
“Abang dengan dia..” Aryan mengeluh seketika. Malu rasanya mahu menyebut hakikat yang sebenarnya. Dia sudah tiada hati lagi kepada Maya. Mahu memandang pun dia sudah malas. Rasanya sudah lebih dua minggu dia tidak melihat wanita itu.
“It’s okay.. I pun memang tak berminat nak tahu perkembangan hubungan cinta you dengan dia. Cukuplah dia jangan ganggu I lagi, jangan malukan I depan kawan I.” Qairynn terus mencelah tatkala Aryan masih membisu sendiri. Dia terus berpaling untuk mengambil barang-barangnya.
“Takde hubungan cinta yang kita perkatakan ni, Rynn. Apa dia nak buat, itu bukan urusan abang lagi.” Aryan menyambut pantas dengan kenyataan itu.
Spontan Qairynn menoleh kepada Aryan semula. Bicara itu membuatkan dia termanggu seketika memandang Aryan. Apa maksud Aryan? Mereka berdua sudah putus ke apa?
“Abang tahu Tuhan dah balas segala perbuatan abang dulu. Maya dengan abang.. kami memang tak boleh pergi lebih jauh lagi. Abang dah tak mampu lagi menipu kepada diri abang sendiri. Keindahan cinta zaman sekolah tu.. takkan boleh membawa kami ke jinjang pelamin,” tambah Aryan saat melihat Qairynn merenung kepadanya.
Qairynn menghela nafas perlahan. Dalam dirinya teringin benar dia mahu memadankan muka lelaki ini. Namun lidahnya tidak terluah. Patutlah Maya meroyan benar dilihatnya.
“Habis tu yang you berkepit dengan dia waktu majlis kahwin kak Tina tu apa kebendanya?” perli Qairynn sinis.
Aryan menghela nafas perlahan. Susah dia mahu menerangkan keadaan sebenarnya. “Dia memang masih mengharapkan abang kembali semula pada dia. Tapi abang dah tak boleh. Apa yang pernah abang rasa pada dia lenyap sikit demi sedikit selama 8 tahun ni. Hingga akhirnya apa yang mampu abang berikan pada dia hanya sikap pura-pura abang. Selebihnya kosong sama sekali. Kami memang dah banyak kali putus dan sambung semula selama di US dulu. Tapi sekarang ni, abang memang dah tak mampu nak bersabar dengan dia lagi. Dia memang semenjak dulu tak boleh terima keputusan abang. Waktu majlis Kak Tina tu.. dia yang datang pada abang, Rynn. Hakikatnya keadaan kami dah tak seperti yang dibayangkan orang sekeliling,” rendah sahaja suara Aryan bercerita tentang itu.
“So point you bagitahu I pasal ni apa sebenarnya?” sambut Qairynn langsung tidak teruja mendengar itu. Malah hatinya tidak terasa apa-apa. Padan dengan muka kau, Aryan! Kau yang tergila-gilakan dia dulu.. ejek hati kecil Qairynn. Jika lelaki ini berharap setelah mendengar cerita itu dia akan berteriak suka dengan penuh rasa terharunya dia lantas berlari-lari anak ke dalam pelukan Aryan seolah-olah dia masih lagi Qairynn si adik angkat yang dulu.. memang silaplah jawabnya.
“Abang hanya nak Rynn tahu yang abang memang dah takde kena mengena lagi dengan dia. Apa yang dia buat di belakang abang, abang tak suruh dan abang pun tak mampu menegah.”
“Semenjak dulu pun yang memang tak pernah menegah perbuatan dia. Semuanya manis pada mata you. You lagi suka marah I berbanding tegur perbuatan Maya tu,” perli Qairynn pedas.
“Abang mengaku abang memang lemah, Rynn. Abang masih terlalu naif waktu tu. Pertama kali abang jatuh hati pada seorang perempuan tapi sayangnya abang hanya mampu memandang dia selama dua tahun itu. Bila dia mengaku yang dia jugak ada hati pada abang, abang lupa segala-galanya. Abang tunduk kepada kehendak dia sebab abang takut abang akan kehilangan dia. Abang tak pernah tahu rupanya semua ini hanya indah khabar dari rupa,” luah Aryan perlahan. Dia tidak ingin menyimpan rahsia itu lagi. Biarlah Qairynn mahu mentertawakannya sekali pun. Dia tidak kisah asalkan beban ini terlepas segera.
“Tapi abang tak mahu letakkan kesalahan tu atas bahu dia. Abang yang bersalah dalam hal ni. Keputusan tu sebenarnya di tangan abang. Tapi abang tak pernah berfikiran jauh waktu tu. Abang hanya memikirkan kehendak hati abang aja. Sebagai lelaki abang seharusnya tetap pada pendirian tapi sayangnya abang tak macam tu. Abang biarkan diri abang jadi dayus,” sambung Aryan lagi.
“Kalau you harap lepas you ceritakan semua ni I akan kembali semula seperti dulu, maaflah.. I dah tak boleh lagi. keluarga I dah tak macam dulu lagi, Aryan. Keadaan dah tak sama lagi. Atuk tak suka I berkawan dengan you lagi,” sambut Qairynn biasa.
“Atuk tak suka kita berkawan?” soal Aryan kepayahan.
“Ya.. selepas semua yang you buat pada I, you pergi tinggalkan I macam tu aja. Inilah yang terbaik untuk kita berdua sebenarnya. Sekarang I dah faham kenapa semua ahli keluarga I tak suka kita rapat sangat dulu. Sebab kasih sayang you sebenarnya palsu! Kata-kata you dulu hanya bermain di mulut. Tapi tak lekat di hati. Kalau I tersalah tafsir, keadaan kita takkan jadi begini, Aryan. 8 tahun ni takkan berlalu begitu sahaja,” sambut Qairynn nekad.
Aryan terpaku memandang Qairynn yang mula bungkam di hadapannya. Sepi tiba-tiba di sekeliling mereka. Aryan tidak mampu menahan rasa pedih di hatinya mendengar jawapan Qairynn. Kenyataan tentang tentangan datuknya kepada mereka berdua itu menambah lagi perih di di jiwanya.
Sayang seribu kali sayang.. terlajak perahu boleh diundur. Terlajak perbuatan, kesal ini akan terus berada di puncak kepalanya seumur hidupnya. Dia seperti sudah hilang segala-galanya termasuklah seorang adik yang dulu teramat sayang kepadanya.



7 ulasan:

  1. Aduhai sedey wei....huuuwwwaaa....

    c/c : Adnil Zaff
    Aduhai! Seribu Kali Sayang-IKLIM

    Berdosakah diriku
    Terpaksa melepaskan
    Cintamu yang serapuh
    Dahan nan kering usang
    Yang akhirnya kan patah
    Terhempa gemeretap
    Oh sungguh memilukan
    Tak dapat ku bayangkan

    Seribu kali sayang
    Sangkaku kan ke mati
    Cerita kasih kita
    Rupanya seketika
    Setelah merelakan
    Setelah kau bisikkan
    Segugus janji-janji
    Tergamak kau mungkiri

    Apakah sebenar yang terjadi
    Hingga kau bersikap demikian
    Sedangkan kau
    Sesungguhnya percaya
    Kasihku tak berbelah bagi

    ( korus )
    Aduhai
    Tak sanggup ku kenangkan
    Semua telah nyata
    Cintamu gurauan
    Datang dan hilang
    Semahu hatimu
    Itulah falsafah
    Pegangan cintamu
    Namun harus kau ingat
    Hati yangmanakah
    Selamanya kan sabar

    BalasPadam
  2. Suka sgt.. best citer ni.. nak lg!!!

    BalasPadam

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.