Merajuk!
“Inas, kenapa tak mahu makan ni?” tegur Hadi sambil
menggeleng melihat ragam anak tunggalnya itu. Dia tahu dia sudah mengecewakan
anak tunggalnya itu. Namun apalah dayanya untuk menurut kehendak anaknya itu.
“Inas tak mahu duduk rumah Mak ngah. Inas nak duduk
dengan ayah,” jawab Inas dengan muncung itiknya.
Hadi terus duduk di sisi anaknya itu. tersenyum dia
memandang lagak anaknya itu. Semakin besar anaknya ini semakin manja. Semakin
menagih perhatiannya. “Ayah kena pergi kerja, sayang. Bukan ayah suka buat
macam ni. Nanti ada masa ayah temankan Inas kat rumah ya?” pujuk Hadi lembut.
“Ayah selalu macam ni. Dulu ayah janji nak temankan Inas.
Ayah kata nak bawak Inas pergi tengok wayang. Tapi lepas tu ayah kata ayah kena
pergi kerja,” cebir Inas tetap tidak berpuas hati dengan ayahnya itu.
“Janganlah marah. Ayah bukan sengaja nak mungkir janji.
Nanti bila kerja ayah dah habis, ayah temankan Inas ya?” pujuk Hadi lagi. Dia
akur.. memang dia selalu berjanji untuk mengambil hati anaknya. Tetapi
kadang-kala janji itu terpaksa diketepikan demi tuntutan kerjanya.
Inas diam memandang kosong sarapan pagi yang dihidangkan
oleh ayahnya itu. Pujukan Hadi masih tidak memberika kesan kepada dirinya.
“Inas, ayah minta maaf ya? Nanti bila ayah ada masa kita
pergi holiday. Nak tak?” umpan Hadi sambil memaut bahu anak itu. Pipi anak
gadisnya itu dikucup sekilas. Namun anak itu tetap mengeraskan tubuhnya tidak
lut dengan pujukan si ayah.
“Ayah cakap aja nak pergi holiday. Tapi lepas tu ayah
lupa. Ayah asyik kerja aja,” cebir Inas langsung tidak terkutik dengan janji
kosong ayahnya itu. Dia sudah terbiasa mendengar semua itu.
Hadi menghela nafas perlahan mendengar jawapan anaknya
itu. Kepala anaknya itu diusap lembut. “Inas, ayah tahu ayah kadang-kadang
abaikan Inas. Tapi ayah bukan sengaja. Ayah banyak kerja sangat sekarang ni.
Kali ni ayah janji. Bila ayah dah tak banyak kerja lagi, ayah bawak Inas pergi
Gold Coast, nak tak?” pujuk Hadi lembut. Kepala anak perempuannya itu dikucup
lembut.
Inas menoleh kepada Hadi dengan jelingan halusnya. “Inas
tak mahu pergi holiday mana-mana. Inas nak jumpa ibu,” jawab Inas selamba.
Terkedu Hadi dengan jawapan anaknya itu. Dah ibu pulak
yang dia sebut! Hadi mula kelu apabila soal itu kedengaran lagi di telinganya.
Sebuah keluhan terhela lagi.
“Nak pergi Gold Coast kena naik kapal terbang. Nak pergi
jumpa ibu pun kena naik kapal terbang jugak. Jadi Inas nak pergi jumpa ibu,”
ucap Inas apabila melihat ayahnya terdiam pula.
Dalam diam Hadi berusaha keras mencari jawapan yang
sesuai untuk menutup mulut anaknya daripada bercakap soal Qay. Namun dia tidak
sampai hati mahu melihat kekecewaan anaknya. Tapi apa yang harus dia buat? Apa
yang harus dijawabnya?
“Inas tak mahu duduk dengan orang lain, ayah. Inas dah
duduk dengan ayah dengan ibu. Ayah suruhlah ibu cepat-cepat balik,” ujar Inas
lagi membuat Hadi semakin terdiam tidak mampu menjawab. Hanya keluhan yang
terhela tanpa dapat ditahan.
“Semua kawan-kawan Inas ada ibu. Inas ada ibu tapi Inas
tak pernah tengok muka ibu. Inas tak mahu Acik Suria jadi ibu Inas. Inas nak
ibu, ayah,” ucap Inas lagi sambil menoleh kepada ayahnya itu. Renungan penuh
harapan itu membuatkan hati Hadi mula merasa tidak keruan.
“Kenapa ayah diam? Ayah dah tak sayang dengan ibu ke?”
“Bukan macam tu. Ayah sayang ibu. Tapi Inas tahukan? Ibukan
masih belajar? Ayah tak mahu nanti kita ganggu ibu kat sana,” jawab Hadi masih
dengan alasan yang sama.
“Kalau macam tu kita pergi sekejap ajalah. Inas nak
tengok ibu jugak, ayah..” nada yang dilahirkan Inas menyebukan perasaan Hadi. Bukan
rengekan yang kedengaran sebaliknya keluhan dan rayuan dari seorang anak yang
memerlukan kasih ibu.
“Ayah tak boleh janji, Inas..”
“Ayah memang selalu macam ni! Kalau ayah tak mahu bawak
Inas jumpa ibu. Inas tak nak pergi mana-mana. Inas nak duduk sini aja! Inas tak
mahu Acik Suria tu jadi ibu Inas!” tukas Inas pantas. Tanpa kata dia terus
bangun dari kerusia meninggalkan Hadi terpinga-pinga di ruangan makan itu.
“Inas, sarapan dulu..” panggil Hadi semula. Namun anak
itu terus lesap di sebalik tangga. Kusut fikiran lelaki itu memikirkan
kata-kata anaknya itu. Siapa yang hendak diutamakan? Anaknya? Ibunya? Atau
perasaannya? Entahlah.. Hadi tidak tahu..
Adakah hidup ini semudah yang dibayangkannya? Adakah sepanjang masa itu dia
belajar daripada segala pengalaman pahit yang pernah diharunginya? Adakah ada
di antara mereka sudah mengerti betapa tidak mudah hidup ini jika mereka selalu
mengikutkan rasa hati yang terburu? Mungkin..
Kawasan hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya itu
sesak dengan pelbagai jenis kenderaan kerana sedikit masa lagi waktu
persekolahan akan tamat. Wanita muda terus sabar menunggu di bahagian belakang
kereta mewah itu sambil pandangannya tidak putus-putus dihalakan ke arah pintu
pagar. Bertemankan sekeping gambar di tangan dia terus menanti walaupun kobaran
di dadanya ini bagaikan sudah tidak tertahan. Sudah cukup lama dia menantikan
saat ini datang kepadanya.
Sebaik sahaja melihat gerombolan anak-anak murid keluar
melalui pagar sekolah, Qay menurunkan cermin tingkapnya. Satu persatu
kanak-kanak diperhatikannya dengan teliti. Tidak sukar untuk dicari kanak-kanak
bernama Nurul Inas Indriani kerana menurut gambar yang ada di tangannya ini
wajah anak itu sememangnya saling tidak tumpah seperti dirinya.
“Itu budaknya, puan..” ucap pemandu di hadapan sambil
menunjukkan seorang kanak-kanak yang berjalan ke arah mereka.
Perhatian Qay mula tertumpu kepada seorang kanak-kanak
yang mengenakan baju kurung putih dan kain biru tua itu. Kanak-kanak itu berjalan
ke arah mereka tanpa sedar dirinya sedang diperhatikan. Debar yang melanda mula
membuatkan Qay sudah tidak senang duduk di kerusinya. Ya! Dia yakin inilah
kanak-kanak yang dicarinya. Ketika kanak-kanak itu hampir mendekati tempat dia
menanti Qay segera membuka pintu keretanya dan keluar. Pandangannya tidak mampu
lagi dilarikan daripada memandang anak itu. “Inas..” tegur Qay saat gadis itu
hampir melintasinya.
Spontan anak itu terus menoleh kepadanya. Dia tercengang
seketika memandang Qay. Qay tersenyum pahit memandang bola mata anak itu. Ya
Tuhan.. inilah anak yang dilahirkan dari rahimnya lebih sepuluh tahun dulu.
“Mak cik panggil saya ke?” soal Inas kehairanan. Dia
memandang wanita itu lama. Rasanya dia tidak kenal wanita cantik ini. Tetapi
pelik! Wanita ini menyeru namanya sebentar tadi seolah-olah kenal akan dirinya.
“Inas Indriani..” panggil Qay sebak. Matanya tidak lepas
dari menatap seraut wajah yang kelihatan terkebil-kebil memandangnya.
“Ya, nama saya Inas Indriani. Mak cik ni siapa?” anak itu
menyoal lugu.
“Inas tak kenal ibu?” suara Qay mula bergetar sebak.
Namun dia tidak merasa kecil hati kerana dia sedar ketika dia meninggalkan anak
ini usianya baru mencecah tiga bulan. Masih terlalu kecil untuk memahat memori
tentang dirinya. Dialah yang harus dipersalahkan kerana sebagai ibu dia
bersikap mementingkan dirinya sendiri.
Wajah Inas mula berubah mendengar sepatah perkataan yang
disebut oleh wanita dewasa itu. Ibu? Lama dia memandang Qay seolah-olah sedang
menagih kepastian tentang apa yang baru didengarinya.
“Ini ibu, sayang. Ibu datang nak jumpa Inas..”
“Ibu?” soal Inas keliru.
Menitis air mata Qay mendengar panggilan itu dilagukan di
bibir anaknya. “Ya. Ini ibu, Inas. Ibu datang sini sebab ibu rindu nak jumpa
Inas. Mari pada ibu, sayang.” Qay cuba menghulurkan tangannya kepada Inas. Namun
tiba-tiba anak itu berundur setapak dengan riak penuh kesangsian. Dia
menggeleng lagi sambil memandang Qay.
“Inas tak kenal ibu?” soal Qay kecewa. Air matanya
semakin laju menitis di pipinya. Hakikatnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa
rindunya dia kepada permata hatinya ini.
“Ayah cakap ibu Inas takde kat sini. Ibu pergi belajar
kat luar negara. Mak cik ni siapa?” ucap Inas tidak lekas mahu mempercayai
bicara wanita ini. Pesanan ayahnya masih terpahat kukuh di benaknya. ‘Jangan
ikut orang yang Inas tak kenal!’ itulah pesanan ayahnya selama ini.
“Ayah cakap ibu belajar di Amerika kan? Ini ibu dah
balik, sayang. Ibu dah habis belajar di Amerika. Sekarang ni ibu balik sebab
nak tinggal sama-sama dengan Inas,” ujar Qay dalam sedikit esakan halus.
Siapalah yang tidak terluka jika anak sendiri tidak cam dirinya? Ibu mana yang
tidak sedih jika anak yang dikandung menolak untuk mendekatinya.
Inas terus terpaku memandang wajah Qay. Antara mahu
percaya dengan tidak dia sendiri tidak tahu. Namun sebahagian hatinya sudah
mula mempercayai wanita ini adalah emak yang dinantinya. Masakan tidak..
potongan rambut mereka hampir sama. Patutlah ayahnya tidak membenarkan dia
memotong rambut dengan fesyen lain kerana ini adalah fesyen kegemaran emaknya.
Malah perkataan Amerika yang disebut wanita itu sama seperti yang diceritakan
oleh ayahnya selama ini. Emaknya memang berada di Amerika selama ini.
“Ibu dah balik? Tapi kenapa ayah tak cakap dengan Inas
yang ibu dah balik?” soal Inas antara mahu percaya dan tidak. Namun dada anak
itu turun naik menahan debar.
Qay cuba untuk tersenyum untuk menutup kesangsian anak
itu. “Sebab ayah pun belum tahu ibu dah balik. Ibu nak suprisekan ayah.” Yalah
tu.. supriselah sangat! Qay tahu Hadi pasti tidak mahu melihatnya lagi.
Inas terus memandang Qay mencari kepastian yang sahih. “Ibu?”
ucap Inas sekali lagi. Inikah ibu yang sering dinantikannya? Wanita yang ingin
sangat dipandangnya selama ini. Hari ini wanita ini berada di hadapan matanya. Tetapi
benarkah ini emaknya? Macamana dia mahu mengenali emak sendiri jika sekeping
gambar pun dia tidak punya?
“Ini ibu, sayang..” ucap Qay hampir mahu menangis. Sayu hatinya
mendengar anak itu memanggilnya.
“Inas tak kenal ibu Inas..”
“Ini memang ibu Inas. Inas tak mahu peluk Ibu? Ibu rindu
sangat-sangat pada Inas..” sambut Qay bersungguh. Tangannya dihulurkan kepada
anak itu dengan penuh harapan mengharap Inas mahu mendekatinya. “Jangan jauhkan
diri dari ibu, sayang. Ibu rindu sangat pada Inas..” keluh Qay mula bergetar
nadanya. Bulat mata anak itu memandangnya membuatkan dia cukup sedih.
Walaupun sedikit teragak-agak namun gadis kecil itu
mendekatkan dirinya kepada wanita itu. Esakan Qay terhela sayu saat tubuh anak
itu berada dalam pelukannya. Terlerai sudah rindu yang disimpannya
bertahun-tahun ini. Ya Tuhan.. terima kasih kerana masih mengurniakan aku
kesempatan ini, hati Qay berbisik penuh kesyukuran. Ubun-ubun rambut anaknya
itu dikucup berkali-kali. Kemudian tubuh itu didakap erat sehingga anak itu
tersepit di tubuhnya. Tidak puas sekadar memeluk Qay mula mengucup pipi anaknya
itu bertalu-talu. “Maafkan ibu sebab tak dapat bersama Inas selama ni. Maafkan
ibu sebab tinggalkan Inas seorang dengan ayah,” luah Qay dalam esakan sayu. Betapa
dia bangga.. Hadi menjaga permata hati mereka dengan baik. Anak ini membesar
baik biarpun tanpa belaian kasih ibu.
“Jangan pergi lagi, ibu. Inas nak tinggal dengan ibu
dengan ayah,” keluh Inas separuh merayu saat tergadah memandang raut basah
milik ibunya itu.
“Maafkan ibu, sayang. Tolong maafkan ibu sebab tinggalkan
Inas dengan ayah.” Semakin kuat tangisan mendengar kata-kata anaknya itu. Bibirnya
singgah lagi di dahi anak itu. Kali itu lama sekali bibirnya berada di situ. Segala
kasih dan kerinduannya ingin diluahkan saat itu juga. Namun saat itu air
matanya bagaikan air bah pula. Sekali lagi tubuh Inas dipautnya erat. Kali ini
dia berjanji.. biar apapun keadaannya dia tidak akan membiarkan Inas menjadi
mangsa keadaan lagi. Dia ingin melihat Inas membesar di hadapannya.
“Ibu tak sangka anak ibu dah besar sekarang,” ucap Qay
dengan senyum pahitnya setelah pelukan dileraikan.
“Kenapa ibu tak pernah balik jumpa Inas?” bergetar suara
anak saat melontarkan pertanyaan itu. Bercahaya matanya memandang raut wanita
dewasa itu. Tidak sangka hari ini keinginannya untuk bertemu dengan ibu
kandungnya telah diperkenankan.
“Sebab ibu sibuk belajar, sayang. Sekarang ibu balik, ibu
takkan pergi tinggalkan Inas lagi. Ibu nak jaga Inas lepas ni.” Qay menjawab
dengan alasan yang paling mudah sambil menyeka mutiara jernih yang mencemari
pipinya. Padahal sebenarnya sudah lebih 5 tahun dia meninggalkan bangku
pengajian. Namun suka duka kehidupannya selama ini, biarlah menjadi rahsianya
sahaja.
“Ibu janji takkan tinggalkan Inas dengan ayah? Kesian
ayah.. ayah selalu sedih bila teringatkan ibu. Inas selalu ajak ayah pergi
jumpa ibu tapi ayah cakap tempat ibu jauh. Kena naik kapal terbang,” ucap Inas
bersungguh.
Qay menangis lagi mendengar itu. “Ya, sayang. Ibu janji,
ibu takkan biarkan Inas dan ayah lagi. Ibu akan jaga Inas dan ayah baik-baik.”
Akui Qay sambil kembali memeluk anaknya itu. Kasihan anak aku.. rintih hati Qay
sayu. Inas sekadar mangsa keadaan. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang
berlaku selama ini.
Inas tersenyum kepada ibunya yang masih dibaluti
kesedihan. “Ayah mesti suka ibu balik..” ucap Qay setelah usai tubuhnya dipaut
si ibu.
Qay ketawa perlahan. “Iya? Ayah pun rindukan ibu?”
“Mestilah. Ayah selalu kata ayah sayangkan ibu,” ucap
Inas terus tersenyum di hadapan Qay. Betapa gembiranya dia saat ini hanya Allah
yang tahu.
Qay sekadar tersenyum pahit mendengar itu. Itu persepsi
anak kecil ini. Bagi mereka orang dewasa, dia tahu Hadi tidak akan semudah itu
memaafkan perbuatannya ebih 10 tahun dulu. Malah dia sudah lama tahu Hadi
menjauhkan diri daripada keluarganya selama ini. “Jom ikut ibu balik? Nanti
kita telefon ayah suruh ayah datang rumah ibu.”
Bicara Qay membuatkan wajah Inas mula berubah semula.
“Kenapa pulak ibu ada rumah lain? Kenapa ibu tak balik rumah Inas dengan ayah
aja?”
Qay tersentak mendengar pertanyaan mudah dari si anak. Ya
tak ya juga.. Apa yang harus dijawab kepada Inas? Anak sekecil ini tidak akan
faham apa sebenarnya yang telah diharungi oleh kedua ibu dan ayahnya. Keadaan
tidak semudah yang dibayangkannya. Itulah.. menipu lagi. Padan muka!
“Err.. ibukan baru sampai kat KL? Manalah ibu tahu ayah
dengan Inas duduk kat mana? Sebab tu ibu duduk rumah sendiri. Ibu ingat lepas
ni ibu nak ajak Inas dengan ayah duduk sekali dengan ibu,” jawab Qay dengan
jawapan spontan yang timbul di benaknya. Entah apa-apa punya jawapan. Harap-harap
janganlah anaknya itu mempertikaikan jawapannya itu kerana dia sudah tidak tahu
apa yang harus dijawabnya lagi.
Inas kembali tersenyum kala itu. “Okay.. nanti kita
telefon ayah suruh ayah datang rumah ibu. Ayah mesti suka.” Dia akhirnya akur
dengan kehendak emaknya.
Qay mula tersenyum penuh kelegaan. Tangan anaknya itu
ditarik masuk ke dalam kereta. Kemudian kepada pemandunya diberikan arahan agar
membawa mereka dua beranak pulang ke rumahnya di Bukit Rimau.
“Besarnya rumah ibu..” ucap anak itu kekaguman sambil
memandang kawasan ruang tamu itu. Jauh lebih besar berbanding rumah yang
didiami bersama ayahnya.
“Ibu beli rumah ni untuk Inas. Inas suka?”
“Suka..” sambut Inas dengan senyum ceria. “Ibu tinggal
sini dengan siapa?”
“Ibu tinggal dengan niniek
dan Mbak Suri,”
“Siapa niniek
tu?” soal Inas dengan pandangan sedikit aneh.
Qay tergelak kecil melihat gelagat anaknya itu. Inas
ditariknya agar duduk di sebelahnya. “Sekejap lagi ibu kenalkan Inas dengan
niniek. Niniek mesti suka dapat jumpa cicitnya ni,” ujar Qay sambil mencubit
manja pipi anak itu.
Kedatangan Uwo
Zaharah mematikan perbualan dua beranak itu. “Ini Inas ke, Qay?” soal Uwo Zaharah sambil merenung Inas yang
sedang duduk bersebelahan dengan ibunya. Bercahaya matanya memandang cicitnya
itu. Inilah cicit pertamanya. Bagi orang tua sepertinya, bukan harta dunia yang
ingin dibanggakan tetapi melihat keturunannya semakin bercambah itulah kepuasan
sebenar untuk dirinya.
“Ya, Uwo.
Inilah Inas, anak Qay. Inas salam niniek,
sayang.” Qay berkata lembut kepada anaknya itu. Inas memandang Qay seketika sebelum
menghulurkan tangannya kepada Uwo
Zaharah.
“Dah besar Inas sekarang. Saling tak tumpah macam ibu
dia. Cantik pun macam ibu dia. Bangga betul niniek
ada cicit besar dan cantik macam ni,” puji Uwo
Zaharah sambil meraup lembut pipi Nurul Inas. Bagaikan tidak percaya melihat
cucunya itu sudah memiliki anak sebesar dan secantik ini. Walaupun baru berusia
10 tahun namun dia sudah menyalin kejelitaan emaknya. Inas tersipu malu dipuji
begitu.
“Inas duduk dulu dengan ibu Inas ya? Niniek suruh Mbak Suri buatkan air. Nanti lepas Mbak Suri siapkan
makan, kita makan sama-sama ya? Cicit niniek
ni mesti dah lapar ni.” Uwo Zaharah
berbicara mesra sambil mengusap pipi cicitnya itu.
Inas sekadar mengangguk dalam sedikit segannya kepada Uwo Zaharah.
“Inas ada moyang? Ayah tak pernah cakap pun yang Inas ada
moyang.”
“Ayah lupalah tu. Lagipun niniek sebelum ni duduk dengan ibu. Nanti Inas ajaklah ayah duduk
sini dengan ibu,” ucap Qay lembut. Sempat lagi mempergunakan anaknya sebagai
peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Dia tahu Hadi pasti lemah kepada kehendak
anaknya itu. Di situlah kesempatan untuknya mendekatkan diri semula kepada
suaminya itu.
“Mestilah Inas akan ajak ayah duduk sini dengan kita.
kesian ayah dah lama ayah rindukan ibu,” jawab Inas petah tanpa menyedari apa
yang sedang disembunyikan Qay.
Qay mula tersenyum merenung anaknya itu. Walaupun saat
ini dia merasa bahagia namun dalam diam dia masih bimbang penerimaan Hadi
setelah melihat dirinya semula. Dia tahu dia tidak akan dialu-alukan seperti
mana Inas begitu mudah menerima kehadirannya semula. Dia pasti sangat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.