Ahad, 8 September 2013

BABA 31

Hadi sekadar diam merenung jauh atas apa yang diutarakan emaknya itu. Semua nasihat emaknya terus bergaung hebat di telinganya. Namun tiada satu pun yang mampu diterimanya. Akhirnya Hadi mengeluh sendiri lagi. Bagaimana? Bagaimana untuk dia menerima wanita itu dalam keadaan hatinya begini? Dia tidak mampu menyayangi Suria. Itu hakikat yang masih dipegangnya sehingga kini. Dia masih tidak mampu meletakkan Suria di tempat yang pernah dinaungi Qay suatu masa dulu.
“Hadi, Inas tu perlukan ibu. Biarlah Suria yang jaga dia. Lagipun Inas tu pun sukakan si Suria tu. Mak kasihan sangat dengan Suria tu, Hadi. Semenjak dulu dia menunggu Hadi. Takkan Hadi sanggup nak kecewakan dia?” pujuk Mak cik Saadiah masih tidak berputus asa.
“Hadi tahu, mak. Tapi Hadi ni..” kata-kata Hadi terputus di situ. Dia sendiri sudah tidak tahu alasan apa yang hendak diberikan lagi. Memang dia tahu Suria pandai melayan Inas. Tetapi masalahnya kini.. dia yang tidak pandai melayan Suria lebih dari apa yang seharusnya. Dia teramat kaku dengan wanita!
“Hadi tak pernah nak cuba beri dia peluang dekati Hadi. Mak nampak Suria tu ikhlas dengan Hadi. Apa lagi yang Hadi nak? Perempuan macamana lagi yang Hadi mahu?” keluh Mak cik Saadiah perlahan.
Hadi terus diam sambil memandang ke luar rumah melalui ambang pintu dapur itu. Di tepi rumahnya itu Inas sedang bermain dengan anak jiran sebelah rumahnya. Namun dalam pada matanya memandang Inas, semua saranan emaknya terus ligat bermain di benaknya. Dia sendiri tidak tahu mengapa hatinya sekeras ini kepada Suria. Bukan sekadar kepada Suria. Sebaliknya semua wanita yang pernah cuba mendampinginya. Bukannya Hadi tidak sedar Inas perlukan belaian seorang ibu. Sebaik-baik penjagaan yang diberikan kepada Inas.. dia masih tidak mampu menjadi seorang ibu kepada Inas. Anaknya itu sering terabai tanpa perhatiannya.
“Bagi Hadi masa untuk fikir, mak.” Hadi akhirnya menjawab begitu.
“Berapa lama lagi Hadi nak fikir? Selama ni mak bercakap dengan Hadi tentang ini, Hadi langsung tak pernah fikir ke?” ucap Mak cik Saadiah lantas memandang anak lelakinya itu. Bukan sekali ini dia pernah mengutarakan hasrat untuk memadankan Suria dengan Hadi. Itulah yang sering dia dengar dari Hadi. Mahu fikir dulu! Penghabisannya.. senyap begitu sahaja.
Hadi menoleh kepada emaknya itu. “Hadi tak tahu macamana nak terima semua ni, mak. Perasaan Hadi pada Suria kosong sama sekali! Hadi tak mampu nak terima dia sebagai seorang isteri. Bukannya Hadi tak pernah cuba pujuk hati Hadi ni, tapi Hadi memang tak boleh!” akhirnya Hadi menjawab jujur.
“Hadi masih dok ingat perempuan tu lagi ke?” soal mak cik Saadiah tidak senang dengan jawapan anaknya itu. Ini mesti pasal betina tu.. getus hatinya terus marak dengan dendam.
“Bukan pasal dia..” keluh Hadi perlahan.
“Habis tu kalau bukan pasal dia, pasal apa?” suara Mak cik Saadiah meninggi tiba-tiba. Hadi terus mengeluh melihat kemarahan ibunya itu. namun tiada jawapan yang mampu diberikan kepada emaknya itu.
“Mak tak suka Hadi kenangkan lagi betina tu! Tengok apa dia buat pada kita semua? anak dia tu dia biarkan macam tu aja. Perempuan macam tu Hadi nak sayang? Perempuan tu mana ada hati perut! Beranak pandai.. jaga anak tak mahu!”
Hadi menggeleng menidakkan telahan ibunya itu. “Mak, bukan sebab Qay Hadi jadi macam ni. Entahlah.. Hadi pun tak tahu nak cakap apa pada mak. Hadi bukannya sengaja nak kecewakan pasal Suria ni. Tapi Hadi memang tak boleh nak sayangkan dia, mak.” Mendayu-dayu suara Hadi menagih pengertian ibunya itu.
“Hadi.. ni bukan pasal Hadi sorang aje tau! Ni pasal Inas jugak. Dia perlukan seorang ibu, Hadi. Suria tulah yang paling layak jadi ibu Inas. Takkan Hadi tak nampak kasih sayang dia pada Inas selama ni?”
“Hadi tahu, mak..” jawab Hadi dengan nada rendah.
“Dulu Hadi dah pilih isteri Hadi sendiri. Tengoklah apa akibatnya. Dia tinggalkan Hadi buntang macam tu aja. Kalau Hadi seorang aja yang terima kesannya, takpelah jugak. Tu.. Inas tu, apa salah dia sampai dia jugak yang terpaksa melalui hidup macam ni? sekali ni mak nak Hadi dengar pulak cakap mak. Terimalah Suria tu. Mak tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mak,” tekan Mak cik Saadiah sedikit lantang.
Hadi terus termenung mendengar nasihat emaknya. Ada penentangan dari jiwanya dalam diam. Hatinya terus berkata-kata sendiri. Mengapa soal jodoh dia sahaja emaknya risau? Selama ini emaknya tidak pernah memaksa kakak dan abangnya berkahwin dengan pilihan emaknya. Tetapi dia? Hadi hairan mengapa dia pula yang dipaksa berkahwin dengan Suria. Mengapa tidak abangnya? Namun jawapan kepada soalan itu segera timbul di benaknya. Sebabnya Suria berkenan dengannya semenjak dulu. Suria tidak berkenan dengan abangnya Taufiq. Pantaslah dia yang sering menjadi perhatian emaknya. Agaknya kalau Suria jatuh hati kepada abangnya.. makanya Taufiqlah yang dipaksa menerima Suria. Entahlah.. Hadi tidak tahu bagaimana untuk melembutkan jiwanya menerima gadis itu. suria yang ada di hadapan matanya kini, sudah tidak senakal dulu. Gadis itu sudah berubah. Mungkin kerana masing-masing pun sudah semakin berusia. Sudah matang. Namun entah kenapa dia masih tidak mampu menerima Suria juga.
“Bagi Hadi masa sikit lagi, mak..” pinta Hadi lembut.
“Mak tak mahu bertangguh lagi, Hadi. Mak nak pinangkan Suria tu lekas. Dia tu dah jadi anak dara tua sebab menunggu Hadi. Mak malu pada Mak cik Sarimah tu, Hadi. Mak tak mahu nanti kita ni dikatanya tak mengenang budi!” putus Mak cik Saadiah tegas.
“Mak, sikit aja lagi masa yang Hadi mintak. Tolonglah, mak..” pinta Hadi agak rendah nadanya.
Mak cik Saadiah hanya diam enggan mengulas apa-apa. Keputusan sudah dibuat. Dia tidak mahu beralah lagi. Sudah lebih 9 tahun masa diberikan kepada Hadi. Baginya itu sudah cukup lama!
“Hadi tak mahu buat kesilapan yang sama banyak kali, mak. Hadi tak mahu rumahtangga Hadi selepas ni roboh lagi,” tekan Hadi bersungguh.
“Kalau dengan si Suria tu takdenya kau nak jadi macam dulu. Mak tahu sebab mak dah kenal sangat hati budi si Suria tu! Kau tu aja yang masih nak mengelak lagi. Lepas mak pinangkan Suria tu, mak nak kau buat surat cerai. Hantar pada mak bapak betina tu. Biar mak bapak dia bagitahu dia yang dia tu dah kena cerai!” tegas Mak cik Saadiah semakin keras. Dia tahu kalau dia tidak buat begini anaknya ini akan terus bermain-main dengan hasrat suci lagi murni tanpa was-wasnya ini.
Hadi hanya terdaya mengeluh sendiri melihat ketegasan emaknya itu. Dia tahu kali ini dia sudah tidak berupaya untuk mengelak lagi. Namun hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tersiksanya hatinya kala ini. Apabila sudah tertekan begini, hanya satu yang difikirkannya. “Hadi balik dulu, mak..” ucap Hadi perlahan.
“Dah nak balik? Kau tu memang! Balik ke sini sekejap benar. Mak tak sempat nak bermanja-manja dengan cucu mak tu,” getus mak cik Saadiah geram dengan anak lelakinya ini. Hadi sudah jarang bermalam di rumahnya ini. Pulang hanya beberapa jam sahaja.
“Hadi kerja esok..” jawab Hadi perlahan.
“Yalah.. jangan lupa apa yang mak cakap tadi tu.”
“Ya..” hanya itu jawapan Hadi. Dia mahu lekas memanggil anaknya. Dia sudah tidak sanggup terus berada di situ.

Guru pendidikan seni itu menyusuri lorong antara meja-meja pelajar itu sambil memerhatikan pelajar-pelajar darjah 4 itu melakukan tugasan mereka. Sampai kepada seorang pelajarnya, langkahnya terhenti. Lama matanya memandang kertas lukisan di atas meja pelajar itu sehingga pelajar bernama Nurul Inas itu mendongak memandangnya. Spontan gadis berambut ikal itu tersenyum kepadanya.
“Inas lukis gambar siapa tu?” tanya Cik Hayati lembut.
“Gambar ayah..” jawab Inas lembut.
Cikgu Hayati terpaku seketika memandang pelajarnya itu. Kasihan dia.. keluh hati wanita berusia 34 tahun itu. Tugasan mata pelajaran pendidikan seni kali adalah kad ucapan untuk hari ibu yang bakal menjelma tidak lama lagi. Sayangnya kanak-kanak ini hanya mampu melakarkan wajah ayahnya di atas kertas lukisan itu. Cikgu Hayati tahu, pelajarnya ini tidak ada ibu. Semua guru-guru tahu Nurul Inas dijaga oleh ayahnya, seorang bapa tunggal. Nurul Inas kehilangan ibu semenjak kecil.
“Inas tak ingat rupa ibu, jadi Inas lukis gambar ayah. Takpekan, cikgu?” ucap Inas agak polos. Seperti mahu menangis wanita itu mendengar soalan itu. Semakin melimpah rasa kasihannya kepada anak muridnya itu.
“Takpelah.. cikgu tak marah. Inas sambung lukis gambar ayah Inas. Lukis cantik-cantik. Mesti ayah Inas bangga tengok lukisan Inas ni nanti.” Cikgu Hayati menyentuh lembut kepala pelajarnya itu sambil tersenyum cuba menyembunyikan perasaan sayunya kepada anak itu.
Inas tersenyum sambil mengangguk penuh semangat. Berkobar-kobar semangatnya melukis gambar si ayah. Kad itu mahu dihadiahkan kepada ayahnya yang amat disayanginya. Harap-harap ayahnya suka dengan lukisannya itu.
Namun saat memandang teman-teman lain mampu melakarkan raut ibu sendiri, dia terasa hati dalam diam. Dia hanya mampu memandang dengan rasa hati penuh terkilan. Mengapa dia tiada ibu? Mengapa ibunya tidak pernah pulang kepadanya selama ini? Mengapa dia tidak pernah dapat mendengar suara ibunya walaupun hanya sekali? Tidak sayangkah wanita itu kepadanya?
“Kenapa awak lukis gambar ayah awak? Kan cikgu suruh kita lukis gambar ibu?” soalan teman sekelas tidak mampu dijawab anak itu. Betapa cemburunya dia melihat kawannya itu menunjukkan gambar emaknya yang sudah dilukis.
“Awak tak pandai lukis gambar ibu awak ke?” tanya teman sekelas anak itu lagi.
“Taklah..” jawab Inas merendah nadanya.
“Habis tu kenapa awak lukis gambar ayah?” kanak-kanak bernama Sharmila itu bertanya lagi.
“Sayakan takde mak..” jawab Inas semakin perlahan.
Sharmila terdiam memandang temannya itu. Entahkan apa yang bermain di minda anak semuda itu. Namun jawapan Inas terus mengunci mulutnya. Inas terus berdiam menenggelamkan perasaan sedih sendiri. Betapa dia merasa kekurangan berbanding teman-temannya yang lain.
“Takpelah.. Syukri pun takde mak sama macam awak jugak. Mak Syukri dah meninggal,” ucap Sharmila kemudian setelah melihat Inas hanya diam menundukkan kepala. Raut sedih Inas diperhatikan lama.
Inas memandang rakan sekelas yang dimaksudkan Sharmila. Mereka senasib agaknya. Tetapi setahunya Syukri memang dibesarkan oleh emaknya sebelum kehilangan ibu buat selama-lamanya. Tetapi dia? Dia masih ada ibu. Ayahnya sering memberitahu, ibunya sedang melanjutkan pelajaran di US. Tetapi mengapa ibunya tidak pernah pulang? Tidak pernah menghubunginya selama ini.
“Tapi Syukri mesti dapat lukis muka mak dia sebab dia selalu tengok mak dia sebelum mak dia meninggal. Saya tak pernah jumpa mak saya. Saya tak tahu rupa mak saya macamana,” jawab Inas sedih sendiri. Sekali lagi gadis kecil bernama Sharmila itu terdiam tidak tahu mahu berkata apa. Akhirnya perbualan itu mati begitu sahaja.
Petang itu setelah selesai sesi pelajaran di sekolah agama, seperti biasa Inas akan pulang ke rumah mak ngahnya sementara menanti ayahnya pulang dari kerja. Begitulah rutin sehari-harinya semenjak dulu. Rumah Mak Ngahnya sudah seperti rumah keduanya. Salina merupakan pengganti ibunya.
Selepas Salina pulang dari mengajar di sekolah, wanita itu memasak dan mendodoikan anak kecilnya. Sambil itu dia membantu Inas mengulang kaji pelajaran. Namun tatkala dia ditunjukkan kertas lukisan itu hatinya mula dipagut kesedihan. Lebih sayu saat mendengar pertanyaan Inas tentang ibu kandungnya.
“Ayah kata ibu belum habis belajar. Bila ibu nak habis belajar, mak ngah?”
Salina terpaku memandang Inas. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dijawabnya kepada Inas. Bimbang dia tersalah cakap, Inas akan terus bertanya nanti. Kasihan Inas.. detik hatinya sendiri saat mendengar luahan anak itu.
“Ibu tak pernah telefon Inas pun..” Inas menambah lagi luahannya.
Salina menghela nafas perlahan. “Mungkin ibu sibuk tu.” hanya itu yang mampu dijawabnya kepada anak kecil itu. Tidak berani dia mahu berjanji apa-apa. Dia sendiri tidak tahu di mana sebenarnya Qay berada di kini. Lagipun US terlalu jauh untuk dijejaki mereka untuk mencari Qay.
“Tapi takkanlah ibu langsung tak boleh call Inas? Inas nikan anak ibu? Ayah pun kata ibu sibuk. Tapi bila Inas ajak ayah pergi cari ibu.. ayah tak mau.” Inas terus menjawab semula kepada Salina. Membuatkan Salina semakin tidak tertahan dengan nada anak itu. Dia sedar Inas sedang mengadu nasibnya. Sudah semestinya semua itu tidak boleh dipandang ringan. Masalahnya.. bukan senang berbincang dengan Hadi. Adiknya itu tidak suka nama Qay disebut semula. Salina tahu adiknya itu terluka benar dengan perbuatan Qay. Setelah lebih 10 tahun berlalu, Salina mengerti Hadi mungkin sudah putus harap kepada Qay. Kini Hadi sudah bertunang dengan Suria.
“Mak ngah kan ada? Acik Suria pun ada. tak lama lagi Acik Suria akan jadi ibu Inas.”
“Tapi Acik Suria tu bukan ibu kandung Inas. Inas nak ibu kandung Inas. Ayah kata ibu kandung Inas ada kat Amerika. Inas nak jumpa ibu Inas yang itu,” jawab Inas selamba sambil memandang Salina di sebelahnya itu.
“Inas, Amerika tu jauh sangat. Manalah ayah mampu nak bawak Inas ke sana. Kalau telefon pun mahal, sayang.”
“Tapi ayahkan dah ada duit? Ayah tiap-tiap hari kerja sampai malam.. takkan ayah takde duit?”
“Ayah kerja sampai malam sebab nak cari duit untuk sekolahkan, Inas. Inas tahukan ayah Inas tu banyak tanggungjawab,” jawab Salina lembut cuba membuatkan anak kecil itu mengerti. Namun dalam diam Salina sendiri merasakan pujukannya itu terasa amat longgar.
Inas terdiam sedikit menunduk dengan bibir yang sudah termuncung ke hadapan. Salina menghela nafas perlahan. “Insya-Allah.. suatu hari nanti Inas akan jumpa ibu Inas juga. Inas kena banyakkan berdoa, ya?” pujuk Salina sambil memaut bahu anak saudaranya itu.
“Inas dah hari-hari doakan ibu. Tapi ibu tetap tak balik jugak. Ayah tak pernah pun suruh ibu balik. Kalau ayah suruh ibu balik, mesti ibu balik.” Inas menjawab selamba tanpa memandang ibu saudaranya itu.
Kali ini Salina tidak terdaya lagi mengadakan kata-kata untuk memujuk anak itu. Ya! Hadi sendiri tidak pernah berusaha mencari Qay. Bukannya Hadi tidak boleh menjenguk bapa mertuanya itu. Tetapi entahlah.. susah dia mahu menafsirkan semua ini dari sudut pandangan Hadi. Hadi tidak membenarkan sesiapa daripada keluarga Qay mendekati Inas. Termasuklah kedua-dua ibu dan ayah Qay. Semakin lama hubungan dua keluarga ini semakin buruk. Hadi lebih suka menerima Suria daripada memanggil Qay pulang. Nekad benar Hadi dengan keputusannya.
“Mak ngah tolonglah pujuk ayah. Suruh ayah telefon ibu. Inas nak dengar suara ibu,” ucap Inas kemudian, membuatkan menungan Salina termati di situ.
“Insya-Allah.. nanti Mak ngah cuba cakap dengan ayah ya?” balas Salina sambil tersenyum sedikit. Dalam diam dia memasang hasrat untuk mengubah keadaan ini. Salina tahu.. bercakap dengan Hadi sudah tiada gunanya. Hadi lebih suka mendengar kata-kata emak mereka yang terlalu bencikan keluarga Qay. Jadi dia akan berjumpa dengan seseorang nanti. Insya-Allah.. sebagai ibu, Salina percaya Qay masih ada tanggungjawab ke atas Inas. Tiada siapa boleh menyangkal tanggungjawab itu. Dia tidak sampai hati untuk terus membiarkan anak itu hidup dalam kerinduan. Paling dia tidak sanggup, dia tidak ingin melihat Inas menerima hasil atas keegoan ibu dan ayahnya.
Malam itu sebelum Inas dibawa pulang oleh Hadi, Salina sempat menjamu Hadi makan malam di rumahnya. Sambil itu dia berbual lagi dengan adiknya itu tentang apa yang dikatakan Inas kepadanya petang tadi. Seperti yang dijangkanya wajah Hadi mula sugul mendengar nasihat Salina.
“Sampai bila nak begini, Hadi?” keluh Salina perlahan apabila menghadap kebisuan Hadi. Dia sendiri sudah tidak tahu apa sebenarnya pendirian Hadi saat ini.
“Hadi tak tahu apa nak buat..” jawab Hadi perlahan sekali.
“Hadi tak tahu apa nak buat atau tak mahu buat apa-apa?” teka Salina mudah. Bohonglah kalau Hadi mahu menggunakan alasan yang dia tidak tahu di mana mahu mencari Qay. Mak dan ayah Qay masih tinggal di banglonya itu. Masalahnya Hadi pula yang tidak mahu berbaik dengan dua orang tua itu.
Hadi memandang tampang kakaknya itu sekilas.
“Hadi, mak kandung dengan mak tiri takkan sama. Hadi kahwinlah dengan sesiapa pun. Akak takkan larang. Tapi ini soal hak dia, Hadi. Masalah Hadi dengan Qay, Inas takde kena mengena. Salah seorang kena mengalah,” nasihat Salina lembut.
“Dia yang tinggalkan Hadi, kenapa pulak Hadi yang nak kena panggil dia? Dia dah tak sudi, nak buat apa Hadi terhegeh-hegeh lagi?” jawab Hadi sedikit lirih. Hatinya sudah terlalu hancur selama ini. Setiap warkah yang dikirimkan langsung tidak pernah dibalas Qay. Hanya dia yang terdera oleh rasa rindu. Semenjak 2 tahun lalu, dia sudah tidak pernah mengirim berita lagi kepada Qay. Pedulikan wanita itu!
Salina menggeleng perlahan melihat adiknya itu. “Bukan itu maksud akak. Inas nak jumpa mak dia. Hadi mampu.. kenapa tak bawa Inas kepada Qay?” ucap Salina tetap berlembut.
“Nak buat apa? Hadi pulak yang nak kena berhabis untuk perempuan sombong tu? Memang taklah!” getus Hadi pantas. Kepalanya digelengkan beberapa kali tanda tidak bersetuju dengan cadangan Salina.
“Nak buat apa kata Hadi? Untuk Inas.. Qay tu mak kandung dia. Takkan sama dengan Suria, Hadi. Inas bukan anak kecil lagi. Dia tahu siapa mak kandung dia dan siapa yang bukan. Telinga Kak Sal sendiri yang dengar dia kata nak jumpa Qay. Bukannya Suria!”
“Dia dah tinggalkan kami. Bermakna dia memang dah tak wujud lagi dalam hidup kami, Kak Sal! Hadi akan buat Inas faham dan Inas tak perlukan ibu tak berperasaan macam dia. Suria akan jadi ibu kepada Inas tak lama lagi! Itu dah cukup bagi Inas!” tegas Hadi tetap dengan pendiriannya. Betapa hatinya bagaikan dihiris-hiris mengenangkan Qay selama ini. Benar kata emaknya. Wanita seperti Qay tidak layak untuk dijadikan isteri.
“Kalau betul dia tak layak jadi ibu Inas, kenapa sampai sekarang Hadi masih tak ceraikan dia?” cabar Salina dengan nada selamba.
Hadi terdiam tidak mampu membalas. Memandang Salina jugak tidak. Dia terus menyuap nasi selamba walaupun seleranya sudah tidak semana. Namun dalam diam dia menyimpan rasa sendiri. Demi Tuhan dia tidak sanggup melalui keadaan itu. Entah kenapa dia tidak mampu melepaskan Qay dari ikatan ini. Dia tidak sanggup!
“Hadi dah pilih jalan hidup Hadi. Suria dah jadi pilihan Hadi. Kenapa Hadi nak ikat dia lagi kalau betul Hadi dah tak perlukan dia?”
“Dia nak cerai, dia kena balik jumpa Hadi! Dia kena cakap sendiri depan Hadi,” jawab Hadi sambil terus bangun untuk membasuh tangannya. Hilang seleranya apabila bercakap soal Qay.
Salina terdiam mendengar kata-kata Hadi. Ego benar adiknya itu. tidak lama kemudian Hadi kembali ke meja makan itu. Dia mencapai gelas air sejuk di hadapannya lalu diteguknya.
“Hadi.. jangan kerana dendam kita orang dewasa ni, anak-anak yang jadi mangsanya Hadi. Dengarlah cakap Kak Sal ni.”
“Takde siapa yang berdendam kat sini. Hadi Cuma beri apa yang dia sangat selama ni.” Hadi menjawab selamba.
“Hadi tak pernah selidik apa sebenarnya yang jadi dulu. Takkanlah Qay yang Hadi kenal sekejam itu?” ucap Salina sedikit mendayu.
“Hadi nak balik ni, Kak Sal..” ucap Hadi enggan menjawab kata-kata kakaknya itu.

Salina mengeluh lagi dalam diam melihat sikap Hadi. “Pergilah angkat Inas dalam bilik tu. Kesian dia.. letih benar tunggu Hadi balik kerja,” jawab Salina kalah juga akhirnya dengan kedegilan adiknya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.