Biarpun sudah berhari-hari berlalu, sudah berpindah kediaman namun Laila masih juga
tidak mampu melepaskan setiap kenangan hitam yang terjadi kepada dirinya.
Tetapi dia akur dengan suratan. Hidup mesti diteruskan. Terkenangkan temuduga
kerja yang mesti dihadiri esok Laila akhirnya memilih untuk bangun dari
kehancuran ini. Perut mesti diisi. Tidak boleh kenyang dengan hanya berair
mata. Dia pula sudah dikira tiada perkerjaan. Laila sedar dia harus kuat untuk
menempuh hidup yang penuh dengan pancaroba ini.
Hari itu seawal pagi dia sudah berada di bangunan yang
maksudkan oleh Encik Mahesh tempohari. Dengan segala dokumen yang dibawanya dia
yakin urusannya hari ini tidak akan sukar. Permohonan passport antarabangsanya
juga sudah selesai dan dia sudah mendapatkan dokumen itu semalam. Jam 9 pagi
Laila dibawa ke bahagian HR. Dia diminta mengisi beberapa borang sebelum dibawa
bertemu dengan Puan Nur Azlyn yang merupakan Pengurus Besar Emirates Airlines
cawangan Kuala Lumpur.
Wanita jelita awal tiga puluhan itu meneliti resumenya
buat beberapa ketika.
“You seorang akauntan dulu..” komennya lembut sambil
tersenyum kepada Laila.
“Ya, puan..” jawab Laila lembut.
“Boleh berkerja dalam tempoh jam yang lama?” soal Puan
Azlyn.
“Maksud puan lebih dari lapan jam?” soal Laila semula.
Pantas wanita jelita itu mengangguk. Tatapan matanya
mesra membuatkan Laila tidak merasa kekok berhadapan dengan wanita itu.
“Boleh. Takde masalah.”
“Betul? Kadang-kadang kakitangan terpaksa habiskan masa
di lapangan terbang lebih dari sepuluh jam. Sesetengah orang tak tahan dengan
keadaan tu. Tapi you belum berkahwinkan? I harap you boleh,” ucap Puan Azlyn
lembut sebelum kembali menatap resume Laila.
Laila tidak menjawab sebaliknya hanya memandang sahaj
segala tindakan wanita di hadapannya itu.
“I nak you banyakkan belajar. Kerja yang kita tawarkan
pada you jauh menyimpang dari tugas you sebelum ni. Malah takde kena mengena
pun. Tapi rasanya mengawal selia setiap penerbangan tak sesusah menjaga angka
dalam sesebuah syarikat. Itu pendapat I sebab dulu I pun macam you. Belajar
bidang lain tapi kerja bidang lain. Langsung takde pengetahuan dan pengalaman.
Tapi I belajar. Hasilnya dari sekadar pengurus operasi penerbangan sekarang I
jawat jawatan ni.” Puan Azlyn menambah bicaranya. Bibirnya sentiasa tersenyum
sehingga Laila merasakan wanita ini memiliki kejelitaan yang cukup sempurna.
“So Laila, semenjak beberapa minggu yang lepas syarikat
ada membuat beberapa perubahan. Pertamanya di KLIA kita tidak lagi menggunakan
khidmat agen jualan tiket untuk operasi penjualan tiket sebaliknya syarikat
sudah membuka satu pejabat operasi penjualan milik syarikat memandangkan
kenaikan permintaan kepada khidmat penerbangan Emirates Airlines dan anak
syarikat Sri Lankan Airlines semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi
kita memang memang ada beberapa kekosongan jawatan yang perlu diisi dan I
bersetuju untuk menawarkan jawatan pengurus penjualan tiket di KLIA secara
kontrak selama 5 tahun bagi kontrak pertama. Dengan beberapa kelebihan yang
ditawarkan kepada kakitangan oleh syarikat, I harap you berpuas hati dengan
tawaran gaji pokok sebanyak RM 5 ribu sebulan dan kita tidak mengenakan
sebarang tempoh sah jawatan pada semua pengurus memandangkan kakitangan diambil
berkerja secara kontrak. Setelah kontrak ditandatangani you tidak dibenarkan
berhenti kerja dengan apa juga alasan melainkan melibatkan ketidakupayaan
berkerja yang disahkan oleh doktor di hospital yang dilantik sebagai hospital
panel syarikat. Dengan perestasi kerja yang baik dan tanpa masalah serius yang
melibatkan atittude sewaktu bekerja
you takkan ada masalah untuk menyambung kontrak kerja lagi. I seorang yang
sangat pentingkan keselesaan kakitangan kakitangan bawahan sewaktu bertugas
jadi I harap sebagai ketua you akan melayan mereka dengan adil.
Sebagai pengurus penjualan you layak menerima elaun
bulanan sebanyak 11 peratus dari hasil jualan tiket bagi cawangan yang you jaga
dan beberapa elaun lain seperti yang kita berikan kepada kesemua pengurus yang
kita gajikan kecuali elaun penerbangan kerana kerja you tidak melibatkan kerja
berdekatan dengan pesawat. Elaun tu adalah elaun sara diri sebanyak RM 500
sebulan, elaun dobi bagi pakaian seragam sebanyak RM 300 sebulan, elaun
kedatangan RM 150, elaun rumah sebanyak RM 500 sekiranya you tidak menetap di rumah
yang disediakan syarikat dan jugaa elaun transport yang ditentukan mengikut
kilometer. Elaun transport ini tetap akan dibayar pada semua biarpun you
menggunakan pengangkutan awam. Jam yang seterusnya selepas jam lima kita akan
bayar overtime seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang buruh. Ada
apa-apa soalan sebelum I teruskan?”
“No
question for this time being,”
jawab Laila semakin teruja.
“Gaji yang kita bayar memang besar tapi tanggungjawab
juga besar. Kerja you di KLIA bukan sekadar menjaga penjualan tiket tapi juga
pekerja-pekerja yang berkerja di cawangan itu. Bekerja dengan EK kita tidak
mengkhususkan pekerja hanya duduk pada satu jabatan selama-lamanya. Bila-bila
diperlukan kita berhak mengarahkan you untuk bertukar ke jabatan lain. Ini tidak
boleh dikompromikan melainkan ada you alasan yang kukuh untuk tidak ditukarkan.
Juga kena bersiap sedia sekiranya diarahkan bertukar ke cawangan yang lain
termasuklah ke luar negara. Ada masalah dengan syarat itu?” soal Puan Azlyn
serius.
“Takde masalah. Saya akur dengan syarat tu,” jawab Laila
yakin.
“Good! Untuk
pengetahuan you jugak Sri Lankan Airlines dan Etihad Airways berada di bawah
seliaan kita jadi itu juga akan menjadi tanggungjawab you. It is not easy work, I told you. Segala urusan you must report to me because you’re under
my superior. Masa kerja takkan selamanya ‘nine to five’ macam orang lain yang bekerja office hour. Selalunya
you akan balik lambat. Tapi macam yang I jelaskan tadi setiap jam selepas angka
lima kita akan bayar OT. Semua pengurus diberikan cuti pada hari Sabtu dan Ahad
termasuklah you. Waktu kerja diwajibkan memakai uniform. Oleh kerana you
bertudung jadi kita juga akan berikan tudung pada you. Tak boleh pakai tudung
selain itu ya?” dihujung kata wanita itu tersenyum kepada Laila.
Laila tertawa perlahan. Dia akur dengan syarat itu. “Saya
paling bimbang jika saya tak dibenarkan bertudung.” Laila menjawab lembut.
Mujur juga dia dibenarkan memakai tudung kerana setahunya kebanyakan syarikat
penerbangan tidak membenarkan kakitangan wanita memakai tudung.
“Untuk pramugari penerbangan, ya! Memang tidak dibenarkan
bertudung. Boleh berkahwin tetapi tidak lagi boleh menyertai mana-mana
penerbangan sekiranya hamil. Atau dalam erti kata yang lebih tepat kontrak akan
digantung atau ditamatkan sekiranya pegurusan merasakan ada keperluan untuk
berbuat begitu. Tetapi untuk kakitangan ‘on ground’ macam kita ada diberikan
kelonggaran. Boleh bertudung dan berkerja seperti biasa ketika hamil. Boleh
hamil sebanyak mana yang kita mahu tanpa dihadkan berapa kali kita mengambil
cuti bersalin. Jadi sesiapa yang bertudung samaada memilih kerja ‘on ground’
atau buka tudung kalau nak jugak jadi pramugari penerbangan. Berkenaan cuti am
dan peruntukan cuti pula, kita mengambil semua cuti am yang diiktiraf kerajaan
sebagai hari public holiday tetapi mana-mana kakitangan yang diarahkan bertugas
pada hari tu akan dibayar dua kali atau tiga kali mengikut gaji hari. Semua
kakitangan wanita kita peruntukan cuti bergaji selama enam puluh hari dan
tambahan tiga puluh hari tidak bergaji untuk mereka yang melahirkan anak.
Tetapi klinik panel yang dilantik syarikat tidak akan menanggung sebarang kos
yang melibatkan pemeriksaan kehamilan melainkan berlaku kemalangan di tempat
kerja sehingga menjejaskan kehamilan. Jadi selepas ini I akan minta you lapor
diri di klinik syarikat untuk pemeriksaan asas kesihatan. Hasil pemeriksaan
yang berkenaan akan dihantar sendiri oleh doktor syarikat pada HR.”
Laila pantas mengangguk. Tiada masalah rasanya untuk itu.
“So..” Puan Azlyn terhenti seketika sambil memerhatikan
jam di tangannya. Kemudian dia memandang kalendar di atas meja itu. “Sekarang
kita berada pada minggu ketiga. So I akan berikan you tempoh sebulan untuk you
bersedia sebelum you memulakan kerja. Untuk tempoh itu juga I akan minta HR
sediakan kontrak kerja you. Satu hari bulan depan jam sembilan pagi you jumpa
Mahesh di HR untuk sain kontrak kerja. Selepas tu you akan mula kerja di branch KLIA. Welcome to Emirates, Laila.
Harap you sedia memberikan khidmat yang terbaik kepada syarikat ni. Harap
kedatangan you akan memeriahkan dan memajukan lagi perniagaan syarikat ini.”
“Terima kasih, Puan Azlyn.”
Selepas selesai urusan di bilik GM sebentar tadi Laila
segera melapor diri di klinik syarikat seperti yang diminta. Dengan hanya perlu
ke tingkat bawah bangunan setinggi dua puluh dua tingkat itu dia akhirnya pergi
mendapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor syarikat.
Selepas sampel air kencingnya diambil dia akhirnya
dipanggil oleh doktor yang bertugas. Seketika kemudian dia dipanggil untuk
pemeriksaan seterusnya. Di dalam bilik itu Laila diminta menjalani ujian
pernafasan bagi mengesan penyakit asma sambil keputusan ujian itu dicatatkan di
atas sehelai borang. Sedang doktor india itu menulis pembantunya datang
memberikan sehelai kertas untuk dilihat oleh doktor itu. Setelah menyambutnya
doktor lelaki itu menelek seketika hasil pemeriksaan ujian air kencing Laila.
Kemudian Laila diarahkan duduk di hadapan mejanya. Doktor itu kembali menulis
di borang tadi sebelum kertas keputusan ujian air kencing itu dibelek sekali
lagi. Kali ini barulah lelaki itu mengangkat pandangan kepada Laila.
“Are
you pragnent?” soal doktor
itu kepada Laila.
“What?”
soal Laila agak terkejut.
“Puan Siti Laila, ujian air kencing tadi menunjukkan yang
awak mengandung. Congratulation!”
ucap doktor itu sambil tersenyum.
Laila tercengang. Apa dia? Mengandung? Congratulation? Laila bagaikan mahu
pengsan mendengar itu. Mulutnya terbuka tetapi tidak mampu berkata-kata.
Nafasnya seakan terputus dipertengahan jalan.
“Awak tak tahu?” soal doktor lelaki India itu apabila
melihat Laila tercengang.
Laila hanya mampu menggeleng. Dalam keadaan itu dirinya
sebenarnya sudah tidak keruan. Mahu mati pun ada. Hamil angkara jenayah lelaki
itu? Mengapa begitu cepat berhasilnya benih haram lelaki itu?
Aduhai.. berat sungguh dugaan di bahunya ini.
“Oklah. Rasanya cukup buat setakat ini. Hasil ujian ni I
akan hantar pada HR.”
“Err.. I nak tahu. Laporan ujian air kencing tadi you
akan berikan pada HR ke?”
“Dah tentu!” jawab doktor itu sedikit hairan dengan
soalan Laila.
“So HR akan tahu yang I mengandung sekarang?” soal Laila
agak berat.
“Betul tapi itu belum menyebabkan you gagal dalam
pemeriksaan kesihatan ni. Sebenarnya bukan kertas laporan ujian ni yang akan
dibawa naik ke atas tetapi hanya borang yang I isi ni,” jelas doktor itu sambil
menunjukkan satu borang yang menyenaraikan jenis ujian yang harus dijalani
olehnya. Borang itu sempat diteliti Laila buat seketika.
“Dalam borang ni I hanya akan tandakan lulus pada semua
ujian yang kita dah buat dan sekiranya ada masalah I hanya perlu nyatakan sebab
you gagal pemeriksaan kesihatan ini. Pregnancy tak membuatkan you gagal medical test ni. Kita hanya buat pemeriksaan ini untuk melihat sama ada you
ada penyakit berjangkit atau penyakit serius. Itu aja. Kalau ada masalah untuk
berkerja ketika hamil sekalipun pemeriksaan harus dibuat di klinik luar dan
bukan di sini. Jangan bimbang, puan. Kalau you mengandung sekalipun you tetap
akan diambil berkerja.” Doktor india itu menambah lagi tanpa mengetahui apa
sebenarnya yang ingin diselindungkan Laila.
Laila menghela nafas perlahan. Tiada kelegaan yang
dirasakannya dengan penjelasan doktor itu. Sukar untuk dia berharap agar tiada
siapa yang tahu tentang itu sedangkan pada borang itu dibawah sekali tertera
soalan adakah calon sedang hamil atau tidak. Petak itu hanya terbiar kosong
tanpa ditanda oleh Dr. Siraj. Laila yakin sebentar lagi petak yang kosong itu pasti
akan terisi juga setelah dia tiada di bilik ini. Laila tidak tahu apa yang
harus dilakukannya. Pada resumenya jelas ada menyatakan status dirinya sebagai
bujang tetapi hasil pemeriksaan kesihatannya mengatakan yang dia hamil.
“Tapi kalau you belum buat pemeriksaan ada baiknya pergi
buat secepat yang mungkin. Ini anak pertama ke?” semakin ramah pula doktor
india itu.
Agak lambat Laila mengangguk. Dirinya bagaikan sudah
tidak jejak lagi di bumi. Sudah terbang entah ke dunia mana. Dadanya sesak
memikirkan satu lagi masalah yang baru timbul ini. Dia tahu dia tidak mungkin
akan merasa gembira dengan kehadiran bayi ini dalam keadaan dirinya tidak
bersuami.
“Okay. Rasanya takde apa-apa masalah buat masa ini.
Sekarang awak boleh balik.”
Laila mengangguk lagi seperti robot. Terasa hanya jasad
sahaja yang ada di sini tetapi rohnya sudah berada di alam lain. Jika tidak
pasti bocor rahsianya yang sebenarnya dia tidak bersuami. Tetapi selama mana
dia boleh menyembunyikan rahsia itu kerana data peribadinya sudah berada di
tangan pihak HR. Ujian air kencing juga tidak mungkin akan membohongi mereka.
Laila meninggalkan bangunan itu dengan perasaan yang
kosong. Dia tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Dia tidak tahu kemana dia harus
pergi untuk menyembunyikan dirinya yang sudah jatuh ditimpa tangga. Dia tidak
mahu percaya akan kenyataan itu tetapi masakan doktor itu tersilap?
Laila buntu dengan pilihan yang ada. Akhirnya dia pergi
juga untuk mendapatkan pengesahan di sebuah klinik tidak jauh dari bangunan
yang disinggahinya sebentar tadi. Tetapi setelah diperiksa dia sekali lagi mahu
pitam dengan berita yang didengarinya.
“Awak hamil empat minggu. Dalam usia kandungan seperti
ini awak kena berhati-hati. Jangan stress. Jangan buat kerja berat...
bla..bla..bla..” Laila tidak mampu mendengar lagi. Dia seperti sudah tidak
jejak di bumi. Nyawanya bagaikan sudah dicabut bersama sedikit ketabahan yang
baru terbina. Di hadapannya hanya kelam! Dahan untuk berpaut tidak dimilikinya
dan bila-bila masa sahaja dia boleh rebah.
Di
luar klinik Laila kebuntuan. Tiada arah untuknya pergi. Tiada jalan untuknya
melepaskan diri. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan kepada dirinya dan
anak di dalam rahimnya ini. Hinggalah akhirnya dia teringatkan kad yang pernah
diberikan Lukman kepadanya. Pantas dia menyelongkar beg tangannya untuk mencari
kad itu semula. Lalu nombor peribadi lelaki itu dipanggilnya.
“Aku nak jumpa kau sekarang. Kita jumpa di Starbuck Cafe,
Maju Juction. Penting!” ucap Laila setelah panggilan telefonnya disambut
Lukman. Tanpa salam dan tanpa pamitan Laila terus mematikan talian. Setelah itu
Laila terus mendapatkan teksi untuk ke tempat yang dijanjikan kepada Lukman
tadi. Setelah tiba di sana dia memilih untuk duduk di Starbuck Cafe yang berada
di luar bangunan itu. Sepuluh minit menanti dia akhirnya melihat batang tubuh
Lukman menghampirinya. Lelaki itu terus duduk berhadapan dengannya.
“Kau sengaja pindah dari rumahkan? Nak lari dari aku
kononnya! Sekarang ni apa hal kau panggil aku ke sini?” soal Lukman sedikit
kasar setelah berada di hadapan Laila. Geram dia. Beberapa hari dia kebuntuan
mencari Laila. Pandai pula wanita itu melarikan diri daripadanya.
Laila diam seketika sambil memandang lelaki di hadapannya
itu. Betapa rasa benci dan segala macam rasa lagi mengepung hatinya. Jika boleh
mahu diludahnya mula lelaki bongkak ini!
“Aku nak kau tunaikan janji-janji kau sebelum ni..” ucap
Laila cuba bertenang biar pun nadanya kedengaran sedikit bergetar. Sungguh!
Jika dia punya pilihan lain usahkan meminta-minta begini bertemu muka berdua
sahaja pun dia tidak sanggup! Maruahnya yang sudah punah akan semakin tercela
di mata Lukman.
“Janji apa?” soal Lukman buat-buat tidak mengerti pula.
Wanita di hadapannya itu dikerling penuh keangkuhan.
“Aku mengandung, Lukman. Semua ni angkara kau! Kau jangan
nak lepas tangan sekarang!” tekan Laila mula hilang sabar. Dia tahu Lukman
sengaja mahu mempermainkannya.
Ucapan Laila itu tiba-tiba membuatkan keangkuhan yang
menyinari wajah Lukman sebentar tadi terus melenyap entah ke mana. Apa yang
dikatakan Laila sesuatu yang tidak dijangkanya saat mendengar permintaan Laila
untuk bertemu. Sesungguhnya dia tidak tahu reaksi apa yang harus ditunjukkan
saat ini memandangkan berita ini adalah sesuatu yang amat tidak diharapkannya.
Lukman menelan liurnya kepayahan. “Kau.. kau mengandung?
Takkan cepat sangat kau mengandung? Kau pasti ke kau mengandung?”
tergagap-gagap juga Lukman saat itu. Sempat dia memandang sekelilingnya
seolah-olah bimbang ada orang lain ikut terdengar perbualan mereka.
Laila sempat memandang sinis wajah Lukman. Jijik dia
dengan lagak lelaki ini. Sangkanya lelaki ini hebat rupanya tidak! Hanya dengan
satu berita ini satu kelemahan Lukman sudah terpapar di hadapan matanya tanpa
diduga.
“Apa untungnya aku menipu dalam soal macam ni? Kau yang
buat budak ni takkan kau tak tahu cepat ke lambat?” ejek Laila sudah mula
terasa menang pula walaupun hakikatnya dia biar pun menang saat ini dia hanya
akan menjadi abu. Tiada untung baginya langsung!
Lukman menarik nafas dalam. Dirinya yang sudah mula kalut
cuba ditenangkan. Perlahan rautnya diraup sambil memikirkan apa yang harus
dikatakannya saat ini.
“Aku bagi kau duit. Kau buang budak tu. Aku tak nak anak
tu..” ucap Lukman cukup serius. Hanya itu jalan yang terlintas di fikirannya
untuk menyelamatkan keadaan.
Laila terus terpaku mendengar bicara Lukman. Dia tidak
menyangka itu jalan yang akan dipilih oleh lelaki ini. Dia tidak sangka lelaki
ini rupanya sekejam ini. Langsung tiada hati perut! Barulah dia kenal hati budi
sebenarnya lelaki bernama Lukman ini. Semudah itukah semuanya dapat
dihilangkan? Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu gelap pandangan Laila saat
ini.
“Kau cakap aja nak berapa. Aku akan bagi! Yang peting
budak tu takde kat depan mata aku!” tambah Lukman bersungguh.
“Senangnya? Dulu kau cakap lain..” ucap Laila yang sudah
tidak mampu mengawal perasaannya. Dia tahu sedikit sahaja lagi empangan air
matanya ini akan pecah.
“Dulu aku cakap macam tu sebab nak kau layan aku. Itu
aja! Siapa yang nak kahwin dengan perempuan yang dah tak dara macam kau?” tukas
Lukman lebih pantas.
Memang tidak pernah terniat di hatinya mahu mengahwini
Laila setelah perempuan itu dirosakkan tempohari. Semua yang dijanjikan hanya
kata-kata manis sahaja agar Laila menyerah. Laila sama sahaja seperti
wanita-wanita lain yang pernah ditidurinya. Cuma silapnya akibat kegelojohan
sendiri, dia terlalai!
Betapa remuknya hati Laila saat itu. Bicara Lukman segera
menyedarkannya. Tiada gunanya pertemuan ini! Dirinya tidak ubah sekadar pemuas
nafsu. Perlahan air mata mula bergenang di tubir matanya. Mudah sungguh lelaki
ini memperlakukan dirinya sewenang-wenangnya. Kini tatkala dia amat memerlukan
Lukman, lelaki itu enggan bertanggungjawab sedangkan sebelum ini lelaki ini
juga yang berjanji akan mengahwininya nanti. Rupanya semua itu bohong!
“Gugurkan kandungan tu! Aku tak nak kau simpan dia! Aku
tak nak ada anak dengan kau!” tekan Lukman kepada Laila.
“Tak semudah itu, Lukman! Nyawa budak ni Tuhan yang bagi.
Macamana aku nak gugurkan? Aku bukan pembunuh! Takkan kau takde sikit rasa belas
kasihan pada budak ni? Ini anak kau!” tekan Laila. Esakan sayunya terhela
perlahan. Bicara Lukman kian membawa dia ke hujung jalan yang mati.
“Aku tak peduli tu semua! Hey, aku bukannya nak anak
dengan kau. Kau gugurkan! Aku tak mahu bertanggungjawab pada budak tu! Aku tak
nak sesiapa tahu itu anak aku, kau faham! Kalau keluarga aku tahu mana aku nak
letak muka aku ni?” Lukman membentak dalam nada yang tertahan. Saat ini
maruahnya lebih berharga berbanding anak hasil perbuatannya kepada Laila.
“Aku rasa aku dah tak ingin bercakap dengan kau lagi.
Takde gunanya! Hidup aku memang sial sebab kenal lelaki syaitan macam kau.
Ingatlah, Lukman. Hari ni kau terlepas. Kau tipu aku. Tapi depan Allah nanti
kau akan menjawab semuanya. Kalau inilah harganya yang aku harus bayar sebab
menolak kau dulu, aku terima! Aku terima dengan hati yang terbuka. Segalanya
aku serahkan pada Ilahi. Dia yang Maha Mengetahui. Aku harap hidup kau akan
tenang lepas apa yang kau buat pada aku!” ucap Laila sambil terus mencapai beg
tangannya. Tanpa kata lagi dia terus bangun. Lukman ditinggalkan begitu sahaja
biarpun dia masih terdengar panggilan lelaki itu.
Namun setelah beberapa langkah dia menjauhi pusat membeli
belah itu Laila kembali melihat dunianya yang sebenar. Kepiluan yang ditahan
semenjak tadi terlepas juga. Dalam langkah yang kian melonglai Laila menangis
sendirian.
Laila hanyut sendiri bersama dunianya yang dirasakan
begitu sempit sekali. Terlalu sempit! Entah kemana mahu dibawa dirinya dalam
keadaan begini. Semuanya gelap! Kelam! Fikirannya buntu memikirkan kesudahan
yang terbaik buat dirinya. Harapan yang tidak sebanyak mana juga sudah tidak
kesampaian. Kini dia tinggal sendiri melalui hidup yang amat-amat sadis.
Terngiang lagi permintaan Lukman yang mahukan dia
menggugurkan kandungan ini. Air mata Laila mengalir lebat di pipi. Tegakah dia
melakukannya? Jika tidak bagaimana mahu dihadapkan wajahnya ini kepada
masyarakat dengan keadaan diri yang sebegini? Apa kata ayahnya?
‘Ya Tuhan, apa sebenarnya salah aku sehingga aku dihukum
dengan hukuman seperti ini? Apa yang harus aku buat, ya ALLAH. Tolonglah aku..’
hati Laila merintih hiba. Langit dipandang namun tiada jawapan yang kelihatan.
Lalu di tepian jalan dia mengatur langkah bersama deraian
air mata. Fikirannya ligat memikirkan keadaan dirinya. Ssebuah penyelesaian
digali sekeras-kerasnya dari pemikirannya. Namun kosong! Tiada jalan yang
ditemuinya.
Tanpa sedar tekanan demi tekanan yang sedang memberat di
bahunya membuatkan keadaan dirinya semakin lemah. Langkah yang diatur lama
kelamaan semakin longlai. Kepalanya terasa benar-benar sakit akibat tangisan
yang tidak berhenti semenjak tadi. Namun digagahinya juga dirinya untuk
berjalan mengikut kehendak kaki yang sudah tidak sekuat mana. Laila sudah
seperti orang yang tidak siuman. Berjalan tanpa haluan sambil membiarkan air
matanya terus menitis di pipi.
Akhirnya Laila rebah juga. Rebah ke dalam pelukan
seseorang.
“Ya Allah, puan!!” lelaki itu memanggil namun Laila sudah
tidak mampu menjawab lagi. Akhirnya dunia yang selalu berada di hujung matanya
menjadi gelap segelap-gelapnya!
“Puan ni
emaknya ke?” soal lelaki itu kepada Puan Maznah yang baru tiba di ruangan itu.
Puan Maznah menggeleng seketika kepada anak muda itu.
“Saya bekas ketua dia. Macamana awak tahu nombor telefon saya? Macamana awak
boleh jumpa dia?” soal Puan Maznah. Hairan dia. Lelaki ini menelefonnya
memberitahu tentang Laila yang pingsan di tepi jalan.
Pemuda bernama Husni itu menyelok poket seluarnya. Sebuah
telefon bimbit diserahkan kepada Puan Maznah. “Saya terbaca sms Laila pada puan
dalam telefon ni. Nampak macam dia kenal baik dengan puan. Maaflah kalau
tindakan saya memanggil puan ke sini dah tersilap. Saya ada juga cuba cari
nombor telefon keluarga dia dalam telefon tu tapi tak jumpa. Sebab tu saya call
puan. Mana tahu puan boleh bantu cari keluarga dia. Saya nak tinggalkan dia
sendiri di sini pun tak sampai hati,” jelas Husni perlahan.
Puan Maznah menyambut gadjet itu dari tangan Husni. Skrin
telefon itu sempat dipandangnya. “Apa yang dah jadi sebenarnya?” soal Puan
Maznah masih tidak faham letak duduk cerita.
“Saya nampak dia macam ada masalah. Dia menangis waktu
saya berselisih dengan dia tadi. Tiba-tiba aja ada dia pingsan depan saya.
Sebab tu saya hantar dia ke sini.”
Puan Maznah menghela nafas perlahan mendengar cerita
Husni. Kesal dia kerana semua ini berlaku pastinya kerana kisah hitam itu.
“Terima kasih banyak-banyaklah sebab awak dah tolong dia, Husni. Memang tepat
tindakan awak panggil saya ke sini,” ujar Puan Maznah lembut kepada pemuda itu.
“Kalau puan boleh tengokkan dia, saya rasa saya nak
beredar dulu. Saya ni pun sebenarnya nak masuk kerja.”
“Boleh. Takde masalah. Nasib baik ada orang baik macam
awak ni. Kalau tidak tak tahulah apa nak jadi. Terima kasih banyak-banyak,
Husni.” Puan Maznah berkata lembut kepada anak muda itu.
“Sama-sama.”
Lima belas minit setelah Husni meninggalkan Puan Maznah
menunggu Laila di situ tiba-tiba seorang jururawat keluar menjengukkan wajahnya
melalui pintu bilik kecemasan itu. “Ahli keluarga Siti Laila Huda siapa?” ucap
jururawat itu agak kuat.
Spontan Puan Maznah terus bangun dari duduknya. Gadis
awal 20an itu didekatinya. “Saya,” jawab Puan Maznah sepatah.
“Sila ikut saya,” balas jururawat itu lalu merenggangkan
pintu bilik itu bagi membolehkan wanita itu masuk.
Puan Maznah dibawa mendekati satu katil. Ada beberapa
petugas perubatan di situ. Sebaik sahaja tubuh gempalnya berada di kawasan itu
seorang doktor wanita tersenyum kepada Puan Maznah. “Puan ni emak dia ke?”
“Err.. bukan. Saya emak angkat dia.” Puan Maznah segera
menjawab.
“Suami dia mana?”
Puan Maznah terpaku seketika. Suami?
“Err.. suami dia.. kerja luar agaknya. Saya tak pasti,
doktor. Kenapa dengan dia? Ada masalah serius ke?” gusar seketika hati tua itu
setelah diasak pertanyaan doktor wanita itu. Macam ada yang tidak kena sahaja
dari gaya doktor itu bertanya tentang suami Laila.
“Takde apa yang serius buat masa ni. Cuma saya dapati
tekanan darah dia naik mendadak. Badan pun lemah kurang air. Ini boleh
membahayakan kandungan dia. Dia kena banyak berehat dan tak boleh stress. Kita
terpaksa tahan dia di sini sehingga tekanan darah dia normal semula.”
Tersentak Puan Maznah mendengar bicara wanita itu. “Dia
mengandung ke?” spontan soalan itu terluah dari mulutnya bersama rasa
terkejutnya.
“Dia mengandung. Puan tak tahu ke?” tanya doktor itu
dengan kerutan di kening.
Puan Maznah hanya mampu menggeleng. Tubuh Laila di atas
katil itu dipandangnya. Kini dia mengerti mengapa wanita itu terkedang tidak
sedarkan diri di situ. Rupanya bukan sedikit tekanan yang sedang ditanggung
Laila. Ya Tuhan, kasihannya dia.. keluh hati wanita tua itu sendiri.
“Kalau boleh, tolong bagitahu suami dia. Lagi baik kalau
suami dia ada temankan dia di sini sebab esok pagi pakar gynea akan datang
jumpa pesakit ni. Apa saja penjelasan doktor nanti seeloknya suami dia pun kena
dengar sekali,” ucap doktor itu lagi dalam pada Puan Maznah masih merenung
Laila.
“Saya akan maklumkan pada suami dia nanti, doktor.”
“Kalau macam tu pesakit ni kita akan hantar ke wad lepas
ni. Tapi buat masa ni biarkan dia berehat. Jangan bagi dia banyak bergerak.”
Puan Maznah hanya mampu mengangguk. Kebuntuan yang
dialami membuatkan lidahnya seakan kelu. Hanya mata yang masih mampu memandang
batang tubuh Laila yang langsung tidak bergerak. Kasihan dia.. bisik hati tua
itu sendiri.
Saat itu tiba-tiba Puan Maznah teringatkan seseorang. Dia
tahu semua ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Sudah sampai masanya
semuanya harus diselesaikan! Keadilan harus ditegakkan. Mesti!
bagus sangat, thx for sharing
BalasPadammakasih infonya yah, izin nyimak
BalasPadam