Sabtu, 22 Mac 2014

41-BINI AKU BOS AKU!

41
“Bila lagi nak langsungnya, Hadi? Dah lama benar tertangguh majlis kau dengan Suria ni. Mak tak kira. Mak nak kau kahwin jugak dengan Suria tu? Semua orang dah tahu! Malu mak nanti!”
Hadi menghela nafas perlahan. Bila soal ini dibangkitkan semula, mulalah otaknya serabut semula. “Mak, Hadi tak mahu. Berapa kalilah Hadi nak cakap dengan mak tentang ini? Hadi tak sukakan Suria tu,” keluh Hadi mendayu-dayu mengharapkan pengertian emaknya.
“Habis tu kau nak mak terima perempuan tak guna tu?”
“Dia tu isteri Hadi, mak. Tolonglah, mak. Qay tengah mengandung sekarang. Takkanlah mak tergamak nak paksa Hadi buat ni semua?” keluh Hadi dalam nada tertahan.
“Mak dah cakap dari awal yang mak tak boleh terima Qay tu. Yang kau pergi mengandungkan dia buat apa? Kau ingat bila dia dah mengandung, mak boleh suka dia? Mak masih tak boleh lupa apa yang dia buat sebelum ni, Hadi. Tak semudah itu!” meledak suara mak cik Saadiah kepada anaknya itu.
Hadi menghela nafas lagi buat kesekian kalinya. Tidak tahu apa lagi kata-kata pujukan yang mampu melembutkan hati emaknya ini.
“Kau tu anak mak! Mak dah pilih perempuan yang terbaik untuk kau. Kau nak jugak perempuan dari keturunan tak senonoh tu? Apa benda yang ada ada dalam otak kau ni, Hadi? Apa betina tu dah bagi kau makan?” bentak Mak cik Saadiah terus mengeras.
“Hadi sayangkan Qay, mak. Tak boleh ke sekali ni mak cuba faham perasaan Hadi?”
“Kau tu bodoh! Tak mustahil betina tu akan tinggalkan kau lagi. Kalau kena sekali lagi, padan dengan muka kau!” selar wanita tua itu masih tidak mahu berlembut.
“Qay takkan buat Hadi macam tu..”
“Mana kau tahu?” pintas Mak cik Saadiah pantas. “Waktu dia kat US dulu, takkanlah dia duduk saja. Entah-entah dah berapa ramai jantan dilayannya. Kau tu aja yang bodoh menunggu dia macam menunggu buah yang tak gugur. Ada calon isteri yang baik, kau tak mahu pulak. Masih juga nak mengharapkan betina tu.”
“Mak!!” meninggi suara Hadi tiba-tiba. Tuduhan itu langsung tidak boleh diterimanya.
“Kenapa? Kau tak percaya? Kalau dah keturunan tak bermaruah macam tu. Tak mustahil, Hadi. Mak tak mahu kau besok gigit jari kena kelentong dengan betina tu.”
Hadi menggeleng perlahan. Tidak! Dia sedikit pun tidak percaya Qay begitu. Dia tahu emaknya sekadar mahu menanam rasa benci di hatinya kepada Qay.
“Apa-apa sekalipun mak tetap nak kau kahwin dengan Suria. Muktamad!”
“Hadi tak mahu, mak. Kenapalah mak tak mahu faham? Esok-esok yang juga merana siapa? Suria tu, mak! Hadi tak mampu nak beristeri dua ni. Hadi tahu Hadi takkan boleh berlaku adil pada Suria,” tekan Hadi juga dengan pendiriannya.
“Kau ni memang butalah, Hadi. Kau menunggu betina tu bertahun-tahun. Kau langsung tak kasihankan Suria yang sayangkan kau bersungguh-sungguh. Perasaan dia kau nak campak mana? Dia tu perempuan yang baik. Dia tak pernah berhenti cintakan kau selama ini. Perempuan macam nilah yang orang cari. Bukannya sekejap ada. Kemudian bila dah bosan hilang macam tu aja!” riuh rendah dapur itu akibat bebelan Mak cik Saadiah kepada anak lelakinya itu.
“Susahlah bercakap dengan mak ni,” getus Hadi mula mengangkat punggung. Dia sudah tidak tahan dengan bebelan emaknya. Cacian emaknya kepada Qay membuatkan jiwanya merana.
“Kau jangan mimpi mak nak terima dia, Hadi. Jangan jejak rumah ni dengan betina tu. Aku tak suka!”
“Sampai bila, mak? Semua orang buat salah. Macam tu jugak dengan Qay. Apa salahnya kalau mak maafkan dia. Dia tak pernah cakap buruk-buruk tentang mak pada Hadi selama ni.”
“Huh! Betina macam tu tak layak jadi menantu aku. Kau tak payah nak pujuk aku supaya terima dia. Aku tak ingin jadi bodoh macam kau. Kalau aku jadi kau, tak ingin aku kutip perempuan yang dah jatuhkan maruah aku! Kau tu jantan dayus!” Mak cik Saadiah menyambut cepat.
Kepala yang tidak gatal mula digaru Hadi. Sakit telinganya mendengar setiap bilah kata emaknya itu.
“Kau jangan nak mengelak lagi, Hadi. Kau jangan lupa, aku ni mak kau! Tak selamat dunia akhirat kau kalau kau ingkar cakap mak kau ni. Apa yang aku tentukan itu yang terbaik untuk kau,” ucap Mak cik Saadiah bersungguh.
“Hadi bukannya nak melawan cakap mak. Hadi cuma minta mak restui hubungan Hadi dengan Qay. Hanya itu, mak! Hadi tak pernah termimpi nak jadi anak derhaka. Takkan mak langsung tak kasihankan Hadi?” balas Hadi agak tertekan nadanya. Dia sudah habis asa mahu memujuk emaknya itu.
“Pandangan kau tu buta sebab kau tu dikaburi dek kecantikan betina tu. Sebab tu kau sanggup jilat ludah kau sendiri!”
“Qay tak macam tu, mak. Tolonglah faham kehendak Hadi sekali ni. Qay tu tengah mengandungkan anak Hadi. Kalau dia tahu tentang semua ni, apalah perasaan dia,” tekan Hadi sambil menggeleng sendiri.
“Kalau dengan Suria tu berpuluh anak kau boleh dapat, Hadi.”
“Masalahnya Suria bukan isteri Hadi..” bantah Hadi agak rendah.
“Sekarang ni aku nak kau jadikan Suria tu isteri kau! Kau ni memang tak faham bahasa ya? Aku kata aku tak suka Qay tu. Tak suka! Semenjak dulu aku memang tak berkenan dengan perangai bini kau tu, Hadi. Dia tu memang tak pernahnya nak menyenangkan hati aku. Sebab dia kau ni jadi anak yang degil! Puas aku panggil kau balik, baru kau nak balik. Kalau tak jalan ke rumah ni pun kau dah tak ingat. Seronok sangat mengulit betina tu di KL sana. Dulu dia yang buat keluarga ni habis porak peranda. Memang dasar tak tahu diuntung punya menantu. Kalau dah keturunan tak elok tu, memang tak eloklah jadinya!” lontaran kata-kata itu cukup laju diluahkan Mak cik Saadiah. Satu nafas aja diluahkannya menandakan kebenciannya sudah terlalu tepu kepada menantunya itu.
Hadi hanya diam sambil membawa dirinya naik ke lantai atas rumah. Teliganya sudah tidak tahan lagi menadah cacian emaknya kepada Qay.
Mak cik Saadiah mendengus tidak puas hati melihat kebisuan anaknya itu. Selagi dia tidak melihat Hadi menceraikan Qay, selagi itulah hatinya tidak puas. Dia tidak rela menerima keturunan Al Fateh itu di dalam keluarganya.
“Bodoh! Betina tak guna tu jugak nak dihadapnya. Apa kurangnya si Suria tu? Semuanya ada!” bebel Mak cik Saadiah sendiri.
Petang itu Suria sengaja bertandang ke rumah Mak cik Saadiah. Awal-awal lagi dia sudah diberitahu yang Hadi pulang ke kampung.
“Abang Hadi..” sapa Suria kepada tunangnya itu yang sedang termenung di tangga.
“Hmm..” jawab Hadi acuh tidak acuh.
“Lama Su tak jumpa abang. Abang sihat?” tanya gadis itu lembut.
Hadi tidak menjawab. Memandang Suria juga tidak. Fikirannya hanya sarat dengan bayangan isterinya di rumah mertuanya.
“Abang, macamana dengan Su ni?”
“Aku dah kata aku tak mahu kahwin, Suria! Kenapa semua orang asyik nak paksa aku ni?” jawab Hadi pantas dengan sedikit tolehan tajam.
“Malu Su, abang. Mana Su nak letak maruah keluarga Su?” tekan Suria sayu dengan jawapan Hadi. Mudah benar lelaki itu berkata begitu kepadanya. Seolah-olah dia tidak punya perasaan.
“Dah lama sangat kita bertunang, abang. Apa orang kampung kata nanti kalau abang putuskan hubungan kita macam tu aja?”
“Apa yang kau nak sangat dengan aku ni, Suria? Aku dah ada isteri! Kau tak faham ke?”
“Tapi dulu kenapa abang bertunang jugak dengan Suria kalau abang dah tahu yang abang ada isteri?” sanggah Suria pantas.
Hadi mula terdiam sambil menghela nafas keras. Hakikatnya dia dipaksa. Didesak sehingga dia sudah tidak tahan. Akhirnya dia bersetuju juga untuk membuatkan emaknya puas hati. Tetapi sekarang hatinya benar-benar tidak rela. Macamana dia mahu meneruskan semua ini dalam keadaan hatinya sarat oleh rasa cinta kepada Qay?
“Su sanggup terima abang walaupun abang dah ada isteri lain,” ucap Suria lagi.
“Kau takkan bahagia dengan aku kalau kau teruskan juga, Suria. Kau akan menyesal nanti.”
“Su akan bahagiakan abang. Su cuma minta abang berikan sedikit ruang untuk Su menumpang kasih abang.”
Hadi menggeleng berkali-kali. Bicara Suria semakin menyakitkan kepalanya yang sedang berserabut itu. Tanpa menunggu lagi dia terus bangun.
“Abang..” panggil Suria penuh lemah gemalai. “Abang Hadi, Su belum habis cakap lagi.
“Sudah! Aku malas nak dengar!” Hadi terus bangun masuk ke dalam rumah. Kedatangan Suria hanya membuatkan dia semakin panas punggung di situ. Dia mahu segera balik kepada anak dan isterinya.
Pak cik Hambali segera menegur tatkala ternampak anak lelakinya sudah menukar baju lain. “Nak ke mana, Hadi?”
“Hadi nak balik, ayah..” jawab Hadi rendah sahaja. Sengaja dia tidak menyebut ke mana dia mahu pulang sebenarnya. Bimbang emaknya pergi menurut dia di situ.
“Pergilah. Semenjak kamu ada ni, rumah ni bingit jadinya. Ayah pun dah pening jadinya.” Pak cik Hambali segera bersetuju.
“Terima kasih, ayah. Hadi pergi dulu.” Cepat-cepat Hadi berlalu dari situ. Bimbang jika emaknya ternampak memetir lagi emaknya.
Sepuluh minit memandu Hadi tiba di rumah mertuanya. Qay sedang minum petang bersama emak mertuanya. Ayah mertuanya memang tiada semenjak dua hari yang lalu.
“Awal abang balik?” sapa Qay lantas mendekati Hadi dengan perut yang sudah mula memboyot. Tangan lelaki itu diraihnya lalu diciumnya.
“Sakit telinga..” jawab Hadi perlahan.
Qay buat-buat tidak dengar jawapan Hadi. Lelaki itu diajaknya minum petang bersama dengan emak dan anak mereka.
“Uwo mana?” tanya Hadi hairan melihat ketiadaan nenek mertuanya itu.
“Uwo tidur. Belum bangun.”
“Mak dengan ayah Hadi sihat ke?” tanya Puan Azreena setelah Hadi melabuhkan duduk di hadapannya.
“Sihat, ma. Macam selalulah..” jawab Hadi biasa.
“Dah lama mama tak jumpa mak dengan ayah Hadi tu.”
Hadi sekadar tersenyum hambar. Nak berjumpa buat apa kalau emaknya tidak suka? Hadi buat-buat memandang anaknya yang sedang enak melahap wafer bersama ais krim dan cairan coklat tanpa memandang orang di sekelilingnya.
“Inas tak nampak ke ayah balik ni?” tegur Hadi lembut.
“Nampak..” jawab Inas sekadar memandang sekilas ayahnya itu. Wafer di dalam pinggannya itu terus dimakannya penuh selera.
“Tak pelawa ayah pun makan tu ya? Nampak macam sedap aja wafer Inas tu? Habis mulut comot dengan coklat,” ucap Hadi mesra.
“Ayah pergi buat sendiri kat dalam. Ini Inas punya,” jawab anak itu selamba.
Puan Azreena ketawa serentak dengan Qay melihat gelagat Inas.
“Amboi.. macam tu jawab kat ayah ya? Tak sayang ayahlah tu!” getus Hadi lantas mengusap rambut anaknya itu. Perlahan kepala anaknya itu dikucupnya penuh kasih. Seketika kemudian Hadi mencari wajah isterinya. Kemudian pandangannya jatuh ke perut Qay yang sudah berusia 6 bulan itu.
“Qay ada beritahu mama yang dia nak bersalin di sini, Hadi.” Puan Azreena bersuara tatkala Hadi sedang mengusap perut anak perempuannya itu.
Hadi terus menoleh kepada emak mertuanya itu. “Hadi yang minta begitu, mama. Sekurang-kurangnya waktu Hadi sibuk kerja nanti mama ada temankan Qay.”
Puan Azreena terus mengangguk puas hati dengan pengakuan Hadi itu. Dia tidak mahu hal ini menjadi gaduh lagi nanti.
“Kalau ibu duduk sini, Inas nak duduk dengan siapa?” Inas yang mendengar perbualan orang tua di sekelilingnya itu segera menyampuk.
“Inas dengan ayahlah. Kita berdua aja. Nanti bila Inas cuti sekolah, kita baliklah sini tengok ibu dengan adik,” jawab Hadi lembut.
“Lama ke ibu duduk sini nanti, ayah?”
“Lama. Sampai ibu dah sihatlah.”
“Kenapa ibu tak duduk dengan kita aja kat sana? Kan Uwo ada?”
“Uwo pun duduk sini dengan nenek. Lagi senang kalau ibu duduk sini. Nenek ada, uwo ada, atuk pun ada. Nanti bila Inas dah habis sekolah kita baliklah sini jenguk ibu,” jawab Hadi sambil diperhatikan oleh Qay. Wanita itu hanya tersenyum memandang anaknya itu.
“Nanti sunyilah kalau ibu dengan uwo takde. Ayah dahlah selalu sibuk dengan kerja,” cebir anak itu perlahan.
“Sementara aja, sayang. Inas kena sekolah. Kalau Inas cuti sekolah, bolehlah duduk sini dengan ibu. Tapi tak bolehkan?” Qay pula yang menjawab dalam nada pujukan kepada anak daranya itu.
“Ayah lagi sunyi kalau ibu takde. Tapi nak buat macamanakan? Nanti ibu nak bersalin adik baru untuk Inas. Kita pun tak pandai jaga ibu. Terpaksalah ibu duduk dengan nenek kat sini,” ujar Hadi lantas memandang isterinya itu sekilas.
Inas akhirnya mengangguk-angguk akur kepada kata-kata ayahnya itu. Suapannya disambung semula tanpa mahu mempertikaikan lagi hal itu.

Hadi kembali memandang isterinya itu. Melihat wajah kesayangannya itu kekusutan fikirannya terbang entah ke mana. Sesungguhnya wajah itu membuatkan dia benar-benar terubat daripada segala kesakitan dan masalah.

“Qay nampak dari petang tadi abang lain macam aja. Mak abang ada cakap apa-apa ke?” tanya Qay malam itu.
“Takde apa-apa.”
“Iya ke? Kenapa muka abang waktu balik tadi nampak macam kusut sangat? Mak marah abang ke atau marah Qay?” tanya Qay masih tidak puas dengan jawapan kosong Hadi tadi.
Hadi menoleh setelah menyidai sejadahnya. “Takde apa-apa, sayang. Jangan fikirlah pasal mak abang tu.” Hadi lantas bergerak naik ke atas katil. Wanita itu yang sedang duduk bersandar di kepala katil dirapatinya.
“Mak marahkan Qay ya? Mak abang masih tak boleh terima Qay. Sebab tu abang tak ajak pun Qay balik rumah keluarga abang petang tadi.”
“Qay, tak payah fikirlah. Itu semua biar abang yang selesaikan. Abang tak mahu Qay tertekan dengan semua benda tu. Qay jaga aja baby kita ni baik-baik,” pujuk Hadi lembut.
Qay mengeluh perlahan. “Entah sampai bila mak abang nak pinggirkan Qay. Qay tak merasa hidup macam orang lain. Ada mak mertua yang sayang pada Qay.”
Hadi diam. Kasihan benar dia melihat isterinya itu. Tetapi apakan daya. Dia masih tidak mampu melembutkan hati emaknya.
“Qay cuma tak mahu mak abang anggap Qay yang sebabkan abang tak lekat di rumah sana. Qay tak pernah berniat macam tu,” ujar Qay membelah kebisuan Hadi.
“Abang tahu, sayang. Sabar ya? Lama-lama nanti mak akan terima Qay jugak.” Hadi menjawab perlahan. Hakikatnya dia tidak mahu terus berada di sana kerana Suria ada di sana petang tadi. Bukan sebab Qay. Tetapi sengaja dia tidak menyebut nama Suria kerana dia tidak mahu perasaan Qay tercalar.
Qay sekadar mengangguk. Hadi meraih jemari isterinya lalu dikucupnya lembut. “Rehatlah..” bisik Hadi lembut.
Qay akur. Dengan penuh hati-hati tubuhnya dibaringkan ke tilam penuh hati-hati. Hadi mengusap lagi perut isterinya itu.
“Anak ayah ni jangan nakal-nakal kat dalam ni. Kesian ibu selalu penat usung anak ayah ni sana sini,” ucap Hadi lembut.
Qay sempat ketawa memandang suaminya itu. Walaupun sepanjang kehamilannya ini dia tidaklah selalu mendapat perhatian Hadi. Namun dia tetap bahagia kerana dia tahu cahaya mata ini adalah pengikat kasih sayang mereka berdua setiap kali mereka sibuk dengan kerja masing-masing.
Hadi mula berbaring menghadap isterinya itu. Entah kenapa saat terpandangkan renungan Qay hatinya sayu. Dia berharap suatu hari nanti dia dapat memberikan kebahagiaan yang berhak diterima oleh Qay atas kesetiaan dan kesabaran Qay selama ini. Harap-harap emaknya dapat menerima Qay tanpa ada dendam di hati.
“Kenapa abang macam sedih aja?” tanya Qay tatkala pandangan sayu Hadi terbias di matanya.
“Takdelah. Kenapa pulak abang nak sedih?” jawab Hadi lembut. Pipi isterinya itu diusap penuh kasih. “Abang nak Qay tahu, abang tak pernah berhenti sayangkan Qay selama ini. Dalam hati abang, Qay adalah segala-galanya untuk abang. Abang bahagia bila tengok anak-anak abang mendapat kasih sayang dari seorang wanita seperti Qay.” Hadi menyambung kata dalam bisikan lembut. Bibirnya tersenyum merenung wajah itu.
“Kenapa abang cakap macam ni? Macam Qay ni mak tiri pulak?” getus Qay hairan.
Hadi ketawa lembut. “Apa pulak mak tiri? Anak-anak abangkan lahir daripada rahim Qay?” ucap Hadi lembut.
“Habis tu yang romantik sangat ni kenapa? Mesti ada apa-apa ni.”
“Mana ada niat apa-apa. Tak boleh ke nak romantik sekali sekala? Abang cakap macam ni sebab abang sayangkan Qay,” sanggah Hadi dalam nada lembut.
“Qay pun sayangkan abang sangat-sangat..” balas Qay perlahan. Tangannya mula naik ke wajah Hadi. Raut tampan itu diusapnya penuh rasa kasih yang menggebu.
Hadi terdiam menahan perasaan asyik oleh belaian wanita itu. Dalam mata yang kian redup dia terus memandang raut wanita di hadapan matanya itu. Sehingga akhirnya jemarinya ikut menyentuh dagu Qay. Ibu jarinya digesekkan pada bibir bawah isterinya itu.
“Seksinya. Cium karang, baru tahu..” bisik Hadi miang.
Spontan Qay memukul tangan suaminya. “Mengada!” degus wanita itu.

Hadi tergelak melihat reaksi Qay. Perlahan tubuh wanita itu dirangkulnya penuh kasih sayang. Di hatinya ini hanya ada Qay. Namun dia tidak tahu bagaimana kehidupannya nanti jika Suria dipaksa mencelah ruang di antara dia dan Qay. Harap-harap semua itu tidak akan terjadi. Dia tidak mahu kebahagiaan yang dirasainya saat ini tercalar oleh kehadiran orang ketiga!

2 ulasan:

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.