Petang
itu Qay memberanikan diri juga untuk mendail nombor suaminya itu. Namun dia
sengaja meminta Inas bercakap dengan ayahnya terlebih dahulu sementara dia
menanti di tepi. Walau sudah sebanyak mungkin keberanian dikumpulkan untuk dia
kembali berhadapan dengan lelaki bernama Ahmad Aqmal Hadi itu namun rasa gentar
masih tetap tidak mampu ditepisnya dengan mudah.
“Inas ada kat rumah ibu, ayah..” ucap Inas cukup ceria.
Qay menanti perbualan seterusnya dengan penuh debaran.
Dia tidak tahu apa yang dibicarakan suaminya di hujung sana kepada anaknya itu.
“Iya, ayah. Ibu dah balik. Kalau ayah tak percaya, nah! Ayah
cakap dengan ibu sendiri.” Terus ganggang telefon di tangannya itu diserahkan
kepada Qay.
Qay yang masih tidak bersedia tersentak seketika dengan
tindakan spontan Inas. Namun ganggang itu diambil juga dengan penuh debaran.
Sebuah helaan nafas dilepaskan untuk menenangkan dirinya. Setelah itu
telinganya ditadahkan kepada suara Hadi. Lelaki yang amat dirinduinya selama
ini.
“Kau siapa? Macamana anak aku boleh ada kat rumah kau?” keras
nada yang dilontarkan suara garau itu kepadanya.
“Ini Qay, bang. Isteri abang..” ucap Qay perlahan sahaja dengan
rasa hati yang amat gundah. Paling dia merasa segan, menyebut semula status
dirinya kepada Hadi sedangkan selama ini dia tidak pernah mempedulikan lelaki
itu. Isteri apa begini?
Spontan Hadi terdiam di hujung talian. Entahkan terkejut
ataupun tidak percaya, Qay sendiri tidak tahu. Namun reaksi seperti itu semakin
melautkan keresahan yang semenjak tadi mengempang di hati Qay. Ini petanda
tidak baik. Dia tahu Hadi pasti terkejut.
“Abang..” seru Qay agak perlahan. Hatinya sayu namun dia
juga seakan kelu untuk memulakan kemesraan yang sudah lama ditinggalkan dulu.
“Bagi aku alamat kau. Aku akan ambil dia sekarang. Aku
tak suka Inas ikut orang asing. Inas takde mak! Mak dia dah tinggalkan semenjak
dia baby lagi. Isteri aku pun dah lama lupakan yang aku ni suami dia,” tegas
Hadi sedikit pun tidak mempedulikan bicara Qay sebentar tadi.
Tersentak Qay apabila disapa nada keras Hadi. Benar
telahannya... Hadi tidak suka kepulangannya. Lelaki itu tidak semudah itu akan gembira
seperti mana Inas. Namun alamat rumahnya diberikan juga kepada Hadi. Memang dia
mahu Hadi ke rumahnya. Itu antara sebab mengapa dia memberanikan diri memanggil
lelaki itu.
Tanpa pamitan Hadi terus mematikan talian. Qay tersentak
lagi dengan tindakan lelaki itu. Perbuatan Hadi cukup memberitahunya betapa
kebencian telah menepu di hati lelaki itu buat dirinya. Bagaikan sudah tidak
ada ruang untuknya mencari kemesraan yang pernah ada dahulu. Namun Qay tidak
ingin mengalah secepat ini kerana dia tahu jika dia berada di situasi lelaki
itu dia juga pasti akan berbuat perkara yang sama.
“Ayah cakap apa dengan ibu?” tanya Inas pantas setelah melihat ibunya meletakkan
ganggang telefon.
Qay tersedar semula dari lautan emosinya. Terlupa dia
anaknya masih setia meneliti perbualannya bersama suaminya itu. Serta merta dia
mengukir senyuman agar Inas tidak perasan apa yang sedang dialaminya. “Ayah nak
datang sini.” Qay membalas dalam kegembiraan yang direka-reka.
“Kan betul Inas kata. Ayah mesti tak sabar nak jumpa ibu,”
komen anak kecil itu senang hati. Bibir mungilnya terus tersenyum ceria. Kini
hidupnya sudah lengkap. Dia sudah ada ayah dan ibu seperti mana orang lain. Cukup!
Qay sekadar mampu tersenyum pahit sambil mengusap lembut
pipi anaknya itu. Inas takkan faham apa sebenarnya yang berlaku, sayang. Ayah
tak mahu jumpa ibu lagi. Ayah bencikan ibu, keluh Qay dalam hati sendirian.
Harap-harap Hadi dapat bertolak ansur demi kebahagiaan anak mereka berdua.
Hampir dua jam kemudian kelibat sebuah kereta muncul di
hadapan rumah itu. Inas yang mula-mula perasan terus bersorak kegirangan
melihat kemunculan ayahnya. “Itu ayah dah sampai, ibu..” ucap Inas terus bangun
menuju ke pintu utama.
Qay sudah mula seram sejuk. Rasa macam nak lari pun ada.
Dia bangun agak lambat untuk menyambut kedatangan lelaki itu. Namun saat
mencecahkan kaki ke luar rumah dia lihat Hadi sudah menarik Inas menuju ke
kereta.
“Ayah.. ayah..” Inas mula meronta daripada pegangan Hadi.
“Balik!!” ucap Hadi keras. “Siapa suruh datang sini? Kan
ayah kata lepas balik sekolah pergi rumah makngah? Berapa kali nak cakap? Inas
sengaja nak buat ayah marahkan??” herdik Hadi sedikit keras kepada anaknya itu.
“Ibu..” anak itu mula menjerit memanggilnya pula.
“Takde ibu kat sini!!” balas Hadi keras.
Pilu hati Qay melihat anaknya diperlakukan seperti itu. Cepat-cepat
dia mendapatkan Inas. “Abang..” panggil Qay lantas menarik Inas daripada
pegangan Hadi. Dia tidak sanggup membiarkan Inas dikasari seperti itu hanya
kerana Hadi sudah bencikan dirinya.
Hadi terpaku dengan dada turun naik memandang Qay. Jelas
sekali di mata Qay suaminya itu sedang cuba sedaya upaya menahan perasaannya. Lama
matanya singgah di wajah wanita itu.
“Inas masuk dalam, sayang. Ibu nak bercakap dengan ayah
sekejap,” ucap Qay lembut. Lambat-lambat Inas meninggalkan mereka berdua di
situ.
“Apa kau nak lagi di sini?” ucap Hadi setelah puas dia
memandang sahaja wajah itu. Hatinya teramat pedih. Wanita jauh lebih cantik
berbanding yang ada di dalam kenangannya. Sayangnya impian yang pernah ada
tidak mampu digapai lagi. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu siksa di hatinya
ini melihat sejarah lalunya kembali berdiri di hadapan mata setelah dia puas
untuk melupakannya.
Qay tunduk seketika sebelum kembali memandang Hadi. “Qay
balik untuk Inas.” Qay hanya mampu menjawab begitu. Mahu meluahkan rasa kepada
Hadi dia sudah tahu apa penerimaan lelaki itu. Dia yang akan malu sendiri
nanti.
“Huh! kau dah tinggalkan dia dulu. Kenapa hari ni kau sibuk
nak jumpa dia semula?” tempelak Hadi dengan nada tertahan. Dia perasan anaknya
sedang mengintai gelagatnya dengan Qay saat ini.
Qay meraup wajahnya. Sedih hatinya mendengar bicara Hadi.
Benteng yang dibina Hadi semakin menyukarkan dia untuk menjejakkan kaki tempat
yang diharapkan. Bahasa Hadi cukup kasar dan pandangan lelaki itu kosong sama
sekali kepadanya. Seolah-olah tiada apa lagi yang tertinggal untuk dikutipnya.
“Qay tahu Qay bersalah pada dia, pada abang. Qay mintak
ampun, bang.”
“Jangan minta maaf pada aku. Lelaki macam aku tak layak
untuk ampunkan perempuan berdarjat tinggi macam kau. Aku nak bawa Inas balik!”
tegas Hadi terus mengeraskan nadanya kepada isterinya itu. Kesedihan yang
terbias di mata Qay juga kilauan berkaca di bola mata wanita itu tidak
membenihkan rasa kasihan di hatinya. Malah dia benci dengan semua itu. setelah
puas menyakitinya, Qay hadir menunjukkan semua itu. Untuk apa lagi? Semua itu
hanya akan menyulitkan keadaannya nanti. Hadi berpaling ke arah lain saat
sebutir mutiara jatuh di pipi isterinya itu.
“Qay tak pernah anggap abang macam tu selama ini. Hanya
Allah sahaja yang tahu betapa sayangnya Qay pada abang,” luah Qay mula tersedu
sendiri.
“Aku tak nak dengar lagi soal sayang tu semua. Kau
sendiri tahu.. kita berdua memang tak sesuai bersama. Terlalu banyak halangan. Aku
pun dah tak sanggup lagi menelan janji kekasih sehidup semati kalau
penghabisannya aku yang ditinggalkan sendiri,” ucap Hadi mula mengendurkan
suaranya. Namun masih tidak terselit kelembutan.
Berkecai harapan wanita itu mendengar jawapan Hadi. Lidahnya
kelu untuk terus mengatur bicara kepada Hadi. Mereka hanya mampu berpandangan. Sebelum
Hadi kembali ke rumah itu untuk mengambil Inas.
“Ibu, Inas nak dengan ibu..” rayu Inas saat dia dibawa
Hadi ke kereta.
“Sayang, nanti ibu akan jumpa Inas. Inas sabar ya?” pujuk
Qay. Hanya itu yang termampu diucapkan sementelah Hadi langsung tidak mahu
memandangnya.
“Abang, tolonglah..” Qay sempat memaut lengan Hadi
sebelum suaminya itu masuk ke dalam kereta. Hadi memandang tajam. Lengannya cuba
ditarik namun entah kenapa nekadnya tidak semana. Memandang wajah isterinya itu
dia jadi tidak berdaya.
“Inas perlukan Qay. Jangan buat dia macam tu, abang.
Abang marahlah Qay. Qay takkan halang abang. Tapi jangan buat dia macam tu,
bang. Dia budak-budak lagi. Qay tak mahu dia terima kesan daripada masalah kita,”
rayu Qay bersungguh menagih pengertian dari si suami.
“Kalau kau nak tahu..” Hadi memandang Qay dengan sedikit
senyuman. “Anak aku memang dah lama menerima kesan daripada perbuatan tak
berhati perut kau! Ini cuma sebahagian kisahnya saja. Dia dah melalui segala
kesakitan selepas ditinggalkan ibu semenjak daripada hari pertama kau
tinggalkan dia.” Hadi membalas serius.
“Qay tahu itu semua salah Qay. Tapi bagilah Qay peluang,
abang. Dia anak Qay!”
“Sekarang kau dah ingat yang dia tu anak kau?” tempelak
Hadi cukup pantas. “Dulu waktu aku merayu kau ada teringat dia anak kau? Antara
dia hari ini.. dengan dia sewaktu berusia 3 bulan dulu, aku lebih tersiksa
membuat dia faham yang dia dah takde ibu waktu itu, Qay! kau fikir apa aku nak
kata pada dia setiap kali dia menangis perlukan kau? Kalau dulu kau tak sedar
yang Inas perlukan kau, apa yang membuatkan kau rasa dia perlukan kau sekarang
ni?” ucap Hadi sedikit keras.
Qay terpaku memandang Hadi. Kata-kata Hadi membuatkan dia
hilang upaya untuk membalas. Hanya liur terdaya ditelan. Kesempatan yang ada
Hadi terus menarik lengannya daripada pegangan Qay. Tanpa memandang lagi dia
terus masuk ke dalam kereta. Seperti mana tadi kali ini juga Qay hanya terdaya
memandang kereta Walkwagon Gti itu berundur untuk pergi.
Sepeninggalan Hadi, Qay teresak sendiri. Belum kebah
kerinduannya kepada Inas, kini Inas sudah pun berlalu lagi.
hati hadi penuh dendam, sebijik cam mak dia...huhu
BalasPadam