Bab 25
Bermulanya episod
sengsara..
Panjang menungan Qay pagi itu. Rindu benar dia kepada Hadi. Masuk hari
ini sudah 5 hari memulakan pengajiannya. Bermakna sudah seminggu dia duduk
menetap di rumah mertuanya. Mesti seronok suaminya itu memulakan tugas sebagai
seorang pelajar universiti.
Gerakan halus dari dalam rahimnya membuatkan perhatian wanita muda itu mula
terpusat kepada janin yang sedang berada di dalam rahimnya itu.
“Wah.. dah buntinglah kau sekarang.” satu sapaan yang kedengaran amat sinis
itu membuatkan Qay menoleh untuk mencari si pemilik suara itu. Serta merta Qay
terpaku melihat bekas musuh ketatnya ketika di sekolah itu. Sudah lama mereka
tidak bertemu.
Suria mampir mendekati Qay dengan senyum mengejeknya. “Aku dengar kau
kahwin lari dengan Hadi, betul ke?” soal Suria dengan pandangan jengkel.
Qay sekadar mampu tersenyum kelat mengiyakan kata-kata Suria itu.
“Tak sangkakan? Kita akan jumpa semula. Cuma aku rasa pelik pulak tengok
perempuan murah macam kau ni. Senang aja ikut lelaki lari. Oh! Lupa pulak aku
yang famili kau memang jenis macam tu. Kalau tak lari.. melarikan anak dara
orang, ye tak? Dengarnya keluarga kau pun dah buang kau. Patutlah kau merempat
kat sini. Kiranya dah takde apa-apa lagilah kau nikan? Buatnya Hadi tu ceraikan
kau, alamat jadi janda miskinlah kau nanti,” ucap Suria lantas ketawa mengejek.
Sengaja mahu menyakitkan hati musuh ketat seketat-ketatnya itu. Betapa sakitnya
hati melihat Qay sudah hamil anak kepada buah hati pengarang jantungnya itu.
Terkulat-kulat Qay tidak mampu menjawab. Dia hanya terkebil-kebil memandang
Suria yang memandang jelik kepadanya.
“Suka tak dapat mak mertua macam mak Hadi tu?” soal Suria masih tidak puas.
Qay tunduk menahan rasa di hati. Suka? Jiwanya merana dalam diam, hanya
Allah yang tahu. Siang Mak cik Saadiah akan melayannya seperti anjing kurap.
Apabila malam menjelma dia akan menjadi menantu idaman di hadapan mata keluarga
yang lain. Mahu mengadu kelakuan emak mertuanya itu, dia tidak berani pula. Dia
tidak tahu selama mana dia mampu bersabar dengan keadaan ini. Tetapi apa yang
pasti semakin hari hidupnya seperti di dalam neraka.
“Kau terima apa yang kau layak terima, perempuan. Kau rampas hak aku.. aku
akan buat sampai kau tak mahu hidup atas dunia ni lagi. Kau tengoklah!” ancam
Suria tajam.
“Apa hak kau yang aku dah rampas?” soal Qay semula.
“Hadi! Aku cintakan Hadi semenjak dulu. Tapi dia asyik pandang kau!” cemuh
Suria agak keras.
Malas mahu melayan bicara Suria, Qay mengangkat punggung dari pangkin itu.
Tubuh boyotnya itu dibawa masuk ke dalam rumah. Bertembung pula dengan emak
mertua penyinganya itu.
“Kau buat apa kat luar tu? Dah takde kerja lain selain dari termenung. Kau
ingat kau sorang aja yang berlaki dalam dunia ni?” jerkah Mak cik Saadiah
lantang sambil bercekak pinggang memandang menantunya itu.
“Mak nak Qay buat apa?”
“Tu..” ucap Mak cik Saadiah lantang sambil menunjukkan longgokan kain baju
kotor.
“Basuh sana! Kau ingat aku ni orang gaji ke dalam rumah ni? Semuanya aku
nak kena buat sendiri, kau pulak duduk bersenang lenang. Banyak cantik muka
kau? Basuh semua tu! Anak manja! Kau ingat rumah ni ada berapa puluh orang
orang gaji bapak kau dah hantar untuk menyenangkan hidup kau? Aku pun pernah
mengandung jugak. Takdelah duduk mengangkang aja tak buat apa,” meledak lantang
nada Mak cik Saadah mengimbangi ‘kasih sayang’nya kepada menantunya itu. Suria
di belakang Qay sudah tergelak seronok melihat adegan itu. Dah macam cerita
Ratapan Anak Tiri aja lagak dua wanita di hadapan matanya itu.
“Kau ni memang bangsa pemalaskan? Kau ingat Acik Diah ni hamba kau ke?”
sergah Suria di belakang Qay. Mana dia mahu ketinggalan untuk memanaskan
keadaan. Ini memang hobi dia semenjak dahulu.
“Dia ingat dia anak orang kaya lagi agaknya. Tak sedar diri menumpang hidup
dengan anak aku. Mak bapak kau tu pun dah tak ingin ada anak sundal macam kau
ni. Buat malu aja ada anak macam ni. kalau aku.. aku dah pijak-pijak biar
mampus!” cemuh Mak cik Saadiah dengan renungan tajamnya.
Qay memejamkan matanya perlahan untuk mengawal perasaannya. Pedih
telinganya mendengar kata-kata emak mertuanya itu. Namun dia akur juga
mengenangkan dia menumpang hidup di rumah itu. Dia harus pandai bawa diri. Longgokan
kain baju itu dijengahnya juga. Dengan kederat yang tidak seberapa sebakul
besar kain baju itu dibawa ke bilik air. Di situ mesin basuh separa automatik
digunakannya untuk mencuci kain baju itu. namun disebabkan mesin pengering
sudah rosak. Dia terpaksa memerah kain baju itu dengan menggunakan tangan.
Sedang dia sibuk mengerjakan kain baju itu tawa Suria dan Mak cik Saadiah
kedengaran lantang menampar pendengarannya. Rancak benar dua manusia itu
berborak dilihatnya. Usai mengerjakan kain baju itu Qay mula mengangkat bakul
kain itu untuk dibawa ke penyidaian. Terhegeh-hegeh dia cuba mengangkat bakul
yang berat itu. Sewaktu dia melalui kawasan dua manusia itu dia dipandang Suria
dengan penuh jengkel.
“Cantiknya amah Acik Diah ni? Mana dapat amah muda macam ni?” perli Suria
lantas ketawa seronok.
“Hadi kutip kat Siam sana. Katanya kesian lari dari mak bapak. Dah jemu
buat gundik, humban kat sini. Biar dia jadi orang gaji kat rumah ni pulak.”
Wanita tua itu menjawab selamba.
Berderau darah Qay mendengar emak mertuanya berkata begitu tentang dirinya.
Dia tahu itu sekadar satu provokasi kepada dirinya. Qay berdiam menelan
kepedihan hatinya sendiri.
“Hei, perempuan! Mak bapak kau tahu ke kau jadi orang gaji kat sini?”
Qay sekadar buat tidak tahu sahaja kepada pertanyaan itu. Dia terus menuju
ke ampaian untuk menyudahkan kerjanya. Dia sedar dia harus bersabar untuk
mengambil hati emak mertuanya itu. Mahu mengadu pun pada siapa? Mahu ke Hadi
mendengar?
“Acik Diah tak takut ke dia mengadu pada Abang Hadi nanti?” soal Suria
sebaik sahaja kelibat Qay menghilang.
“Mengadulah kalau dia nak. Aku sikit pun tak hairan. Kalau Hadi tak suka
dengan cara aku layan betina tu, dia boleh bawak bini dia pergi. Kau fikir aku
nak sangat ke jaga betina sundal tu? Esok dia dah habis beranak, aku jugak nak
kena jaga. Mak bapak dia senang lenang kat atas bukit sana!” Mak cik Saadiah
mencemuh tajam. Pekat benar kebenciannya kepada Qay.
“Habis tu kenapa Acik Diah tak tolak aja waktu Abang Hadi minta Acik Diah
jagakan Qay hari tu?”
“Aku saja je.. Aku tahulah apa nak buat kat betina. Aku akan buat sampai
dia tinggalkan Hadi. Aku akan buat lebih teruk yang dari aku rasa dulu bila mak
mertua aku cemuh aku disebabkan perbuatan datuk dia tu. Kau tengoklah!”
Suria ketawa perlahan. Seronok dia mendengar rancangan wanita itu. Dia pun
terasa mahu join sekaki. Untuk acara buli membuli begini, dia memang sudah
terbiasa. Malah rindu pula rasa dengan zaman membuli ketika di sekolah dahulu.
“Kesian Acik Diah hari-hari kena tengok muka betina tukan?” provok Suria
sengaja mahu memanaskan hati wanita itu kepada Qay.
Mak cik Saadiah mengertap bibirnya. “Aku memang meluat tahap nak mampus
menegok muka lugu dia tu. Asyik buat muka sedih sepanjang masa! Macam dah nak
mampus sangat! Macam dia sorang aja yang berlaki dalam dunia ni.”
Tergelak lagi Suria mendengar itu. Kata-kata Mak cik Saadiah membuatkan dia
terhibur seolah-olah dia sedang membaca majalah humor. “Dia tu memang patut
dilayan macam ni. Rampas anak bujang orang. Nikah tak minta izin. Memang kurang
ajar!”
“Padan dengan muka dia! Sekarang bapak dia tu pun dah benci tengok muka
dia. Aku nak tengok sangat keluarga tu berpecah belah. Baru hati aku ni puas!”
tambah Mak cik Saadiah melengkapkan lagi dendam kesumatnya itu.
“Kalau Acik Diah nak Su tolong apa-apa, Acik Diah cakap aja. Su mesti akan
tolong.” Suria menyambut penuh senang hati rancangan Mak cik Saadiah itu.
“Kau pikat aja Hadi tu, Su. Biar dia jatuh hati pada kau lepas ni. Aku
memang tak ingin terima betina tu sebagai menantu aku. Sampai mati aku tak
terima keturunan tu dalam keluarga aku. Entah apa yang bodoh sangat si Hadi tu
tergila-gilakan betina tak tahu malu tu. Bila dah susah macam ni, sanggup
merempat rumah aku ni ha!” cemuh Mak cik Saadiah masih berkisarkan perasaan
bencinya kepada Qay. Entah kenapa semakin dipandang wajah polos itu dia semakin
benci!
“Su pun hairan kenapa kat sekolah dulu semua orang suka sangat dengan dia.
Nak kata lawa sangat, ramai lagi yang lebih cantik. Setakat kaya je? Huh!
Keluarga Su pun banyak duit jugak. Sampai Abang Hadi tu pun asyik nak bela dia.
Benci betul Su tengok dia tu, Acik Diah! Qay tu memang pandai bermuka-muka. Dia
memang sengaja nak pikat Abang Hadi. Dia terjatuh sendiri dalam longkang, tapi
dia cakap Su yang tolak dia sampai Abang Hadi marah dengan Su. Banyak kali dia
kenakan Su, Acik Diah. Bila nampak Abang Hadi je, mulalah dia buat-buat jatuh.
Lepas tu tuduh Su yang tolak dia. Sebab tu Abang Hadi tu benci sangat dengan
Su.”
Terbeliak mata Mak cik Saadiah mendengar cerita Suria. Malang sungguh nasib
Suria dirasakannya. Busuk sungguh hati menantunya itu! “Betul ke apa kau cakap
ni, Su?”
“Betullah.. takkan Su nak bohong pulak!” jawab Suria selamba.
“Betina tu memang hati jahat! Aku dah tahu awal-awal lagi. Kalau dah itulah
keturunannya, memang tak hairanlah buat kerja macam tu. Hadi tu pun bodoh!
Senang sangat kena kelentong dengan betina macam tu,” komen Mak cik Saadiah
sengit. Geram dia dengan anak lelakinya itu. Tunduk sangat pada bini!
“Kalau Su jadi Acik Diah, Su dah halau dah si Qay tu. Buat semak aja kat
sini.” Suria menebar lagi hasutannya. Dia tahu mudah mencucuk jarum kepada
wanita ini. Like father like daughter
betul dia ni..
“Sabar.. kau ingat aku suka-suka aja ke nak biar si betina tu duduk kat
sini? Acik Diah kau ni, nak buat sesuatu yang lebih teruk dari itu. Biar dia
orang tu benci satu sama lain. Esok-esok dia orang dah tak mahu jumpa lagi.
waktu tu kau ambillah peranan pikat si Hadi tu. kalau aku halau si Qay macam tu
aja, nanti si Hadi tu pergi cari dia lagi!” ujar Mak cik Saadiah dengan sedikit
senyuman sinisnya. Dia sudah ada rancangannya.
“Betul jugak cakap Acik Diah tu..” sambut Suria kagum dengan idealogi Mak
cik Saadiah. Adat orang gagal SPM.. manalah akal boleh pergi sebijak itu.
“Farouqe akan menyesal datang semula ke sini suatu hari nanti. Aku yakin
sangat!”
Perbualan dua manusia itu terhenti
seketika apabila kelibat Qay muncul semula di ruangan dapur itu dengan bakul
kosong.
“Buatkan air untuk Suria ni.” dengan selamba Mak cik Saadiah memberi arahan
itu kepada Qay yang belum sempat meletakkan bakul itu ditempatnya.
“Nak buat air apa, mak?”
“Buat air yang boleh diminumlah! Takkan nak bancuh air longkang pulak!
Bebal! Itu pun nak tanya ke? Takkan kau tak tahu orang rumah ni selalu minum
air apa?” tengking Mak cik Saadiah serta merta.
Qay berdiam diri lagi. Kakinya terus dihayun menuju ke dapur. Suria pula
sudah ketawa seronok. Soal dosa dan pahala langsung tidak lekat dalam otaknya.
“Kau jangan letak racun tikus pulak dalam air tu..” perli Mak cik Saadiah
selamba.
Qay hanya terdaya menghela nafas perlahan. Sabarlah wahai hati.. bisiknya
sendiri.
“Besok dah beranak, tak habis-habislah menyusahkan aku nak bela kau anak
beranak. Ingat aku ni apa? Orang rumah kebajikan?” bebel Mak cik Saadiah
sendiri. Suria terus memandang belakang tubuh bekas rakan sekelasnya itu sambil
mencari idea untuk mengenakan Qay.
Selesai membancuh milo panas, air itu terus dihidangkan di hadapan Suria.
“Pandai ke kau buat air ni?” soal Suria sambil menyeringai. Air itu terus
dihirupnya. Namun tiba-tiba air itu tersembur semula. Dari mulutnya Lidahnya
terjelir sambil tangannya laju mengipas organ yang suka benar membuat dosa itu.
“Panaslah, bodoh! Kau ni memang siallah!” jerkahnya lantang.
“Kau tak letak air sejuk ke, bahalol? Nak bagi orang minum ke, nak bagi
orang mampus cepat? Buat air pun tak lepas, macam ni rupa kau nak jadi menantu
aku? Bangang punya spesis!” kali ini suara Mak cik Saadiah pula lantang
mengherdik Qay.
Merah muka Qay dikerjakan dua wanita itu. Hatinya sakit namun untuk
membalas semula dia tidak berani. Akhirnya dia sekadar mampu memandang dan
menadah dirinya kepada caci cerca emak mertuanya itu.
Tiba-tiba ruangan dapur itu senyap apabila Fatihah yang baru bangun dari
tidur turun ke kawasan itu. Wajah Fatihah selamba sahaja menuju ke sinki dapur.
“Hah! Baru bangun anak bertuah?” soal Mak cik Saadiah sinis. Kegarangannya
sebentar tadi mula lenyap dengan kehadiran anak bongsunya itu.
Fatihah tidak menjawab. Dia terus mencapai cawan dan pergi ke meja makan
itu. Dengan muka tidak berperasaan dia menuang air yang dibancuh Qay. Kemudian
air itu diteguknya sambil matanya memandang semua manusia di meja makan itu
yang sedang memandang kepadanya. Namun bola matanya singgah lama ke wajah kakak
iparnya itu.
Ironinya air itu diteguk selamba oleh Fatihah. “Tak panas pun air ni? Tak
payah nak poyo sangatlah!” kata Fatihah entah kepada siapa ditujukan kata-kata
itu. Setelah air di dalam cawan itu dihabiskan dia naik semula ke atas dengan
lagak selamba.
Mak cik Saadiah dan Suria terdiam. Masing-masing tidak berani lagi mahu
mengenakan Qay. Bimbang Fatihah terdengar lagi.
Janji tinggal janji..
Janji Hadi, dia akan pulang setiap minggu untuk menjenguk isterinya. Namun
janji itu tidak tertunai. Bukannya Hadi tidak mahu pulang setiap minggu,
bukannya dia sudah lupa kepada isterinya dan bukannya dia tidak merindui wanita
itu. Tetapi saranan emaknya membuatkan dia harus berfikir banyak kali untuk
menunaikannya. Kata-kata Mak cik Saadiah itu ada benarnya jika difikirkan
dengan logik akal. Namun Hadi tidak melihat apa yang ada di sebalik keikhlasan
yang dipamirkan emaknya.
Mak cik Saadiah sengaja menyekat hubungan dua manusia itu dengan hasutan
halusnya. Soal duit menjadi alasan teratas yang menghalang Hadi menunaikan
janjinya. Nasihat emaknya supaya dia berjimat cermat dirasakan bernas. Yalah..
kalau dah selalu sangat berulang alik, memanglah banyak duit akan terbuang
begitu sahaja. Sedangkan dia tidak ada pendapatan tetap. Memikirkan Qay yang
sudah hampir sarat, dia memilih untuk membuat kerja separuh masa untuk memenuhi
keperluan Qay sewaktu bersalin nanti.
Qay sudah lama perasan gelagat hipokrit emak mertuanya itu. Namun dia tidak
mampu untuk membuka cerita kepada Hadi. Kembang benar jiwa suaminya melihat
kemesraan yang ditunjukkan emaknya tanpa sedar semua itu palsu! Dia hanya mampu
menyuruh jiwanya bersabar. Cuma 4 tahun! Selepas itu dia akan bebas dari semua
itu. Tetapi sekebal mana jiwanya sebenarnya? Hadi pula kelihatan tunduk
setunduk-tunduknya kepada ibunya itu. Apa sahaja arahan emaknya akan dipatuhi.
Suaranya tidak laku langsung kepada suaminya itu. Setiap kali dia menyuarakan
keinginannya, ada sahaja bantahan dan akhirnya dia dimarahi. Alasan Hadi mudah
sahaja.. mereka berdua harus mempergunakan peluang ini untuk mengambil hati Mak
cik Saadiah. Hadi takut benar untuk membantah. Bimbang emaknya marah lagi. Qay
akur dengan alasan suaminya. Tetapi dalam diam jiwanya merana. Rindunya kepada
ibu dan ayahnya tidak tertahan. Sebarang khabar berita pun tidak mampu
dikirimkan. Hadi tidak membenarkan.
Sedikit sebanyak Qay mula membaca siapa sebenarnya lelaki bernama Aqmal
Hadi itu. Sifat pendendamnya sama seperti ibunya. Hanya sedikit kesalahan
dilakukan oleh Tuan Farouqe kepada lelaki itu, sehingga kini Hadi tidak mahu
bertolak ansur kepada Qay tentang keluarganya itu. Lagaknya seolah-olah dia
mahu memisahkan Qay daripada keluarganya itu selama-lamanya. Sebagai manusia
yang memiliki batas kesabaran yang terhad, selama manakah jiwa wanita muda itu
akan bertahan?
Manusia sering meminta.. namun apabila sudah diberi, dia tidak mahu
menghargai!
Suatu entah apa anginya Pak cik Hambali mengajak Qay menemankan dia ke
Pekan Nilai. Ketika itu Mak cik Saadiah menghilang ke rumah bakal besan entah
bilanya itu. Qay hanya bersendirian di rumah.
“Ayah nampak Qay murung aja semenjak kebelakangan ini. Ayah risau tengok
Qay macam ni.” Pak cik Hambali meluahkan bicaranya lembut ketika berada di
dalam kereta. Dia sengaja mengajak menantunya itu keluar. Boleh juga mereka
membeli sedikit keperluan bayi. Itu sahaja peluang yang dia ada untuk bercakap
dari hati ke hati dengan menantunya itu.
Qay menoleh sekilas kepada lelaki itu yang sedang memandu tenang.
“Ayah tahu ada benda yang tak kena dengan Qay. Kalau Qay nak beritahu ayah,
ayah sedia mendengar. Ayah tak suka Qay memendam perasaan sendiri. Kita hidup
sebagai satu keluarga, kena saling ambil tahu satu sama lain.”
Qay diam tidak menjawab. Memang banyak yang tidak kena. Tetapi patutkah dia
mengadu? Kalau kata-katanya nanti mendatangkan kebaikan, dia sedia
meluahkannya. Tetapi bagaimana pula jika pengakhirannya mereka semua jadi porak
peranda? Dia tidak mahu menjadi pengadu domba.
“Qay cuma rindukan Abang Hadi, ayah..” Qay berkata perlahan.
“Rasa ayah, dah dekat sebulan Hadi tak balik..” komen Pak cik Hambali.
Anaknya itu pun satu! Sibuk mengejar duit, isteri di sini diabaikan begitu
sahaja. Takkan Hadi tak fikir dalam keadaan Qay akan bersalin dalam seminggu dua
lagi ini, kehadiran suami sememangnya amat berharga? Tambahan pula masih banyak
keperluan bayi yang tidak disediakan Hadi.
Qay diam tidak menyambut bicara itu. Bukannya dekat sebulan.. tetapi sudah
sebulan 2 minggu! Selama itulah tiada khabar berita dari suaminya itu. Hadi
tidak pernah mengirimkan surat. Tidak pernah mengirimkan wang belanja. Hidupnya
sepenuhnya bergantung kepada mertuanya. Kerana itu dia dengan senang dilayan
seperti sampah! Pedih hati Qay mengenang itu.
“Kalau ada apa-apa masalah, ayah nak Qay berterus terang dengan ayah.
Jangan simpan sendiri. Selama Hadi takde dengan Qay, segala kebajikan Qay
tanggungjawab ayah. Ayah tak mahu terlepas pandang satu pun!” ucap Pak cik
Hambali lagi.
“Qay takde masalah, ayah.”
“Betul? Qay gembira ke selama tinggal dengan ayah dan mak ni?” duga Pak cik
Hambali lembut.
Qay segera tersenyum cuba mengaburi mata lelaki tua itu. Hakikatnya
mulutnya ini terasa ringan benar mahu mengadu kepada ayah mertuanya ini. Tetapi
dia takut tindakannya nanti bukan sekadar memburukkan hubungannya dengan Mak
cik Saadiah. Juga dengan Hadi! “Qay
gembira, ayah..” akhirnya jawapan itu diberikannya.
“Ayah nak Qay jujur pada diri Qay sendiri..”
Qay terdiam lagi. Apa yang harus dikatakannya? Jika Hadi sendiri tidak
kisah dengan perasaannya ini, apa boleh ayah mertuanya ini lakukan?
“Qay ada masalah dengan mak ke?” soal Pak cik Hambali lagi. Selama ini dia
melihat layanan isterinya itu baik sahaja. Tetapi bila melihat kemurungan Qay
semakin menjadi-jadi, dia rasa ada yang tidak kena. Kalau pun rindukan suami,
takkanlah sepanjang masa Qay asyik termenung.
“Takde, ayah..”
Pak cik Hambali menoleh seketika kepada menantunya itu. Jawapan
singkat-singkat menantunya itu memberikan dia andaian yang berbeza. Pasti ada
yang tidak kena!
“Qay takde balik jumpa mama dengan papa ke? Ayah tengok semenjak Qay mula
duduk dengan ayah, Qay tak pernah jenguk mama dengan papa Qay.” Pak cik Hambali
cuba mencungkil lagi rahsia hati Qay.
“Abang Hadi tak bagi Qay balik rumah papa..” jawab Qay teramat rendah.
“Kenapa pulak Hadi tak bagi?”
Qay terdiam seketika. Entah kenapa jiwanya kembali bergelombang apabila
bercakap tentang itu. Air mata juga terasa senang mahu mengalir. “Papa pernah
hina Abang Hadi. Qay tahu Abang Hadi kecil hati dengan papa. Sebab tu Abang
Hadi tak mahu ke sana lagi,” jawab Qay agak rendah.
“Soal kecil hati itu soal kedua. Tapi sebagai anak dan menantu kamu berdua
ada tanggungjawab kepada ibu dan ayah. Tak berkat hidup kalau kita tak redakan
orang tua sendiri.” Pak cik Hambali menjawab pantas.
Masalahnya bukan Qay yang tak reda, ayah. Tapi suami Qay. Sebagai isteri
Qay kena patuh pada kehendak dia.. hati wanita itu menjawab sendiri.
“Dalam hidup ni kita kena selalu maafkan orang. Baru orang senang nak
terima kita. Kalau masing-masing tunjuk degil. Sampai bila?” nasihat Pak cik
Hambali lagi.
Qay sekadar berdiam menadah nasihat itu.
Lama orang tua itu berdiam memikir sendiri. Satu persatu rentetan hidup
mereka dicerakinkan olehnya. Akhirnya dia menghela keluhan sendiri. “Manusia ni
lekas benar lupa diri. Sesuatu yang kita dapat dengan cara yang mudah, maka
senang kita tak hargai. Dulu waktu nak, tak sabar-sabar. Sekarang bila dah
dapat.. buat macam tak wujud aja,” keluh Pak cik Hambali sendiri.
Kata-kata Pak cik Hambali membuatkan mata wanita itu berkaca sendiri. Namun
dia tidak mahu bapa mertuanya itu melihat air matanya. Lantas pandangannya
dialihkan ke luar tingkap. Bak kata penyanyi kumpulan Nico.. Inilah nasib ku.
“Ayah tahu bukan mudah apa yang Qay alami sekarang ni. Ayah harap Qay akan
bersabar dengan setiap dugaan yang datang. Kadang-kadang masalahnya sikit aja.
Tapi yang buat jadi susahnya bila kita tak mahu saling memahami. Tak mahu
bertolak ansur. Ayah kenal anak ayah tu, Qay. Dia memang baik budaknya. Tapi
dalam sesetengah perkara, dia sebenarnya masih belum matang untuk buat
keputusan. Allah akan bantu orang yang sabar, Qay. Seorang isteri yang banyak
mengalah kepada suaminya, itulah isteri yang terbaik dalam dunia ni. Tak semua
orang ada sifat penyabar ni. Tapi ayah nampak sifat tu ada pada Qay. Ayah harap
sifat itu dapat membuatkan Qay dan Hadi berkekalan selama-lamanya.”
Qay terus berdiam mendengar nasihat ayah mertuanya itu. buat masa ini hanya
wajah suaminya itu yang dibayangkan olehnya. Betapa dia amat merindui lelaki
itu. Hadi yang suka mengusik, Hadi yang penuh kasih sayang. Namun berlalunya
masa, semua itu seakan-akan sudah menghilang. Seri cinta juga entah ke mana.
Keindahan dan kemanisan cinta seperti sudah tidak mampu lagi untuk diulang.
Mengapa? Mengapa keadaan jadi begini? adakah dia masih terkurang di mana-mana?
Rasanya dia yang paling ketinggalan di belakang sendirian dikala Hadi enak
memburu cita-citanya. Dia yang akhirnya sendiri tidak punya apa-apa lagi!
Bab 26
Keesokan paginya Qay
terperasan ada kelainan kepada dirinya. Sewaktu dia buang air kecil dia perasan
ada sedikit darah keluar bersama air kencingnya. Mulalah dia panik memikirkan
keadaan bayinya. Masalahnya dia langsung tidak mengalami tanda-tanda mahu
bersalin. Namun memikirkan masalah yang pernah diberitahu oleh doktor kepadanya
sebelum ini dia memutuskan untuk ke klinik secepat mungkin. Kebetulan ketika
itu hanya Darhana yang ada di rumah. Ayah mertuanya awal-awal subuh tadi sudah
bertolak ke Kuala Pilah dengan Mak cik Saadiah.
“Hana, boleh tolong Kak Qay tak?”
“Tolong apa? Kak Qay sakit ke?”
“Tak.. Kak Qay nak pergi klinik. Hana hantarkan akak sekejap boleh?” pinta
Qay. Walaupun dia tahu Darhana sudah mahu ke sekolah untuk kelas tambahannya
sebentar lagi untuk namun dia sudah tiada pilihan lain. Mahu naik bas seperti
selalu, dia bimbang akan timbul masalah lain.
“Err.. bolehlah..” Darhana akur juga. Dapat juga dia merasa ponteng tution
hari ini..
Jam 10 pagi itu Qay sudah berada di klinik kesihatan ibu mengandung. Dia
terus dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan.
“Puan Qaira, ini kena pergi hospital besar ya? Uri dah ada betul-betul di
pintu rahim. Tak boleh tunggu lagi. Kena pergi sekarang jugak.” Tenang sahaja
ucapan doktor yang memeriksa Qay. Agaknya dia sudah terbiasa melihat masalah
seperti ini kepada ibu-ibu mengandung. Namun Qay sudah panik mendengar itu.
“Uri di pintu rahim?”
“Sebelum ni doktor ada bagitahukan yang uri awak memang tak naik ke atas.
Kami dah keluarkan surat minta awak pergi buat pemeriksaan di hospital besar,
kenapa tak pergi?” marah doktor itu kepada Qay.
Qay terdiam. Masakan dia harus membuka masalahnya kepada orang luar ini
pula?
“Sekarang ni bila ada bleeding
macam ni, memang awak kena terus ke hospital. Keadaan ni bahaya pada bayi dan
awak sendiri. Lagipun saya tengok kedudukan uri dah menutup pintu rahim. Kes
macam ni memang kena rujuk pada pakar secepat mungkin. Masalah Plasenta Previa
ni bukan masalah remeh. Sebab tu saya nasihatkan awak jangan buat kerja berat
dalam keadaan macam ni. Selalu wanita mengandung dalam usia macam ni, masih
juga buat kerja rumah sedangkan dah tahu kandungan ada masalah. Masalah macam
ni, kalau tindakan lambat diambil berkemungkinan anak boleh lemas dan awak tak
boleh mengandung lagi. Wanita yang mengandung bawah umur 20 tahun macam awak ni
memang berisiko terkena masalah macam ni.”
Qay meneguk liurnya perlahan. Risiko yang dibayangkan oleh doktor
kedengaran cukup mengerikannya.
“Suami awak mana?”
“Suami saya takde kat sini..”
“Kenapa tak ajak suami datang sekali? Bila isteri tengah macam ni
sepatutnya dia bla..bla..bla..” doktor itu terus membebel. Qay sudah tidak
mampu mendengar lagi. Dia hanya memikirkan keadaan bayinya.
Setelah diberikan surat arahan untuk merujuk kesnya ke hopital besar Qay terus
keluar dari bilik rawatan. Dia masih buntu, tidak tahu apa yang harus
dilakukannya. Khabar yang diberikan doktor membuatkan tubuhnya seperti sudah
melayang entah ke mana. Dia benar-benar bimbangkan keselamatan bayinya.
“Macamana, kak?” soal Darhana sebaik sahaja ternampak wajah Qay.
“Akak kena pergi hospital. Ada masalah..”
“Ha? Teruk ke?” soal Darhana terkejut. Qay hanya terdaya mengangguk.
“Habis tu macamana sekarang?” Darhana sudah mula risau. Takkanlah dia mahu
menghantar kakak iparnya ini ke hospital dengan motor buruk ayahnya itu?
Setakat ke klinik ini lepaslah dengan motor tu.. Hospital paling dekat dengan
mereka sudah tentulah di Seremban. Sudahlah ayahnya tiada. Siapa pula yang mahu
menghantar Qay ini ke hospital?
“Akak kena call ayah akak. Akak dah tak boleh tunggu lagi, Hana. Akak tak
mahu apa-apa jadi pada baby ni,” ucap Qay. Rasanya itulah sahaja pilihan yang
ada. Nak call suami? Mana Hadi ada telefon!
“Akak panggil ajalah ayah akak. Kalau nak tunggu ayah balik, lama lagi
agaknya.” Gadis berusia 16 tahun itu terus bersetuju dengan Qay.
Setengah jam selepas mendapat panggilan dari Qay, Puan Azreena muncul di
klinik itu. Wajahnya sudah cukup cemas. Sebaik sahaja ternampak Qay, dia terus
memeluk anaknya itu.
“Ya Allah, sayang.. kenapa tak beritahu mama sebelum ni yang Qay ada kat
sini? Qay tahu tak yang mama rindukan Qay sangat-sangat? Kenapa baru sekarang
Qay nak jumpa mama?” ucap wanita itu sebak. Selepas Qay berkahwin dengan Hadi
hanya sekali dia dapat melihat anaknya ini sehinggalah ke saat ini.
“Mama, Qay pun rindukan mama..” jawab Qay sedih. Tubuh ibunya dipeluk erat.
Terasa kekuatannnya kembali semula kepadanya dengan kehadiran ibunya ini. “Papa
mana, ma?”
“Papa kat office. Qay kenapa ni, sayang?”
“Kandungan Qay ada masalah sekarang ni. Qay kena pergi hospital secepat
mungkin,” ujar Qay sayu.
“Kenapa Qay tak cakap yang Qay duduk kat Sepang ni? Mana Hadi?” soal Puan
Azreena masih tidak berpuas hati.
Qay terdiam tidak mampu menyediakan jawapan kepada soalan ibunya itu.
Masakan dia harus memberitahu emaknya yang Hadi tidak membenarkan dia
menghubungi orang tuanya?
“Abang Hadi tengah study kat UM. Sebab tu Kak Qay duduk dengan kita
orang..” Darhana menjawab apabila mata Puan Azreena mula terhala kepadanya demi
mendapatkan jawapan.
Puan Azreena tergamam mendengar jawapan itu. Selama ini dia tidak tahu apa
perkembangan anaknya. Sangkanya Qay tinggal bersama Hadi. Betapa sayu hatinya
melihat raut cengkung Qay. Anaknya seperti sedang menderita. Apa yang tidak
kena sebenarnya?
“Mama, tolong hantar Qay pergi hospital?”
“Boleh, sayang. Jom lekas!”
Setiba di Hospital Besar Seremban, Qay terus dirujuk kepada pakar
perbidanan. Seperti tadi kali ini dia dimarahi lagi oleh doktor. “Kenapa tak
datang awal-awal ke hospital. Sepatutnya bila doktor dah kesan masalah ni waktu
kandungan awak masuk 28 minggu, awak kena rujuk perkara ni pada pakar. Kandungan
dah lebih 34 minggu macam ni baru nak datang. Bahaya!”
Qay terdiam tidak mampu menjawab. Puan Azreena hanya terdaya memandang
simpati anaknya itu. Pada wajah itu seolah-olah banyak yang sedang
ditanggungnya. Dia tahu Qay ada masalah yang dipendam sendiri.
Setelah diperiksa keadaan bayi dan diteliti rekod
pemeriksaan kandungannya doktor bernama Nik Hazlina itu membuat keputusannya.
“Kita terpaksa buat pembedahan secepat mungkin untuk mengelakkan pendarahan
lebih teruk lagi. Pendarahan ini mungkin banyak atau sedikit.Walaupun
mungkin sedikit namun ia adalah tanda amaran yang mana keadaan yang lebih
serius lagi mungkin akan berlaku. Pendarahan serius seperti air paip mengalir
boleh berlaku yang boleh mengakibatkan individu kehilangan banyak darah.
Kehilangan darah yang banyak ini jika dibiarkan boleh mengakibatkan kematian
ibu dan anak yang dikandung. So mana
suami awak ni?”
Qay berpandangan seketika dengan ibunya itu. “Suami saya di KL. Saya belum
bagitahu dia keadaan ni,” jawab Qay perlahan sahaja.
Dr. Hazlina mengeluh perlahan. “Kalau boleh minta sesiapa beritahu dia.
Minta dia datang sini secepat yang mungkin. Sekarang awak kena masuk wad. Tak
boleh balik ke rumah lagi. Kalau dia tak datang juga kita akan teruskan juga pembedahan
tu tanpa kebenaran dari dia.”
“Tapi macamana dengan baby saya? Tak bahaya ke kalau dia dilahirkan sebelum
cukup bulan?” soal Qay masih sangsi.
“Usia 34 minggu dah memungkinkan bayi mampu survive walaupun kita paksa
kelahiran begini. Keputusan ni kita buat untuk elakkan risiko yang lebih
berbahaya macam yang saya katakan tadi. Banyak kes bayi pramatang sebelum ni
yang sihat macam kanak-kanak lain. Malah banyak kes bayi usia begini yang tak
perlu masuk inkubator sebab paru-paru bayi dah cukup kuat.”
Qay sekadar mengangguk akur dengan keputusan doktor itu. Sejam kemudian Qay
sudah terkedang di katil wad sendirian. Puan Azreena di luar wad sempat
memanggil suaminya. Dia tahu marah-marah suaminya itu, lelaki itu pasti tidak
akan membiarkan anak mereka dalam kesusahan begini. Sementara menanti kedatang
Tuan Farouqe, Puan Azreena termenung sendirian di luar wad. Mahu menemankan Qay
di dalam wad, dia tidak dibenarkan berbuat begitu.
Tuan Farouqe tiba di situ kira-kira jam 12 tengahari. Kalut benar dia mahu melihat keadaan Qay
namun mereka tidak dibenarkan masuk ke wad sehingga tiba waktu melawat.
Sehingga ke saat itu tiada seorang pun ahli keluarga Hadi datang melihat
keadaan Qay.
“Macamana kita nak cari Hadi ni?” soal Puan Azreena benar-benar risau.
“Takkan Qay tak tahu Hadi tinggal di mana?” soal Tuan Farouqe semula.
“Dia kata semenjak Hadi suruh dia duduk di rumah keluarga Hadi, dia tak
pernah tahu di mana Hadi tinggal. Hadi pun dah lama tak balik,” jawab Puan
Azreena perlahan sahaja. Dia tahu suaminya pasti marah dengan cerita itu.
Tetapi masakan dia mahu berbohong pula dalam keadaan begini.
“Saya dah kata Hadi tu memang lelaki tak guna! Dia degil! Tergamak dia biarkan
Qay dalam keadaan macam ni!” bentak Tuan Farouqe dengan marah yang tertahan.
“Hadi tengah study sekarang. Mungkin dia sibuk,” ujar Puan Azreena.
“Saya tak boleh terima alasan tu! Apa sekali pun dia kena bertanggungjawab
sepenuhnya kepada Qay. Dia dah ambil Qay dari kita!”
“Farouqe, jangan cakap macam tu depan Qay. Kesian dia, Farouqe. Dia pun tak
tahu keadaan akan jadi macam ni. Saya seorang isteri, saya faham apa yang dia
lalui sekarang. Saya tak mahu awak marah dia lagi dalam keadaan dia lemah macam
ni. Saya tahu dia Qay ada masalah walaupun dia tak mahu beritahu saya. Muka dia
beritahu saya yang dia tak bahagia. Saya tak mahu dia terus tertekan.”
“Kenapa kita tak tahu yang dia ada Sepang selama ini?” soal Tuan Farouqe
lagi sambil memandang isterinya itu.
Kali itu Puan Azreena terdiam. Dia sendiri masih tidak ada jawapannya. Dia
tahu ada yang tidak kena! Masalahnya Qay terlalu perahsia.
Tuan Farouqe menghela keluhan perlahan. Kepalanya digelengkan kesal. “Cakap
saya dia tak mahu dengar. Sekarang dia menderita, apa lagi yang boleh saya
buat, Reen. Saya cuma orang luar! Kenapa anak saya tak mahu dengar cakap saya
sendiri? Tengoklah apa akibatnya! Selama dia dengan kita, dia tak pernah
terbiar begini.”
Puan Azreena sekadar diam mendengar luahan suaminya itu. Memang benar apa
yang diucapkan Tuan Farouqe namun bukankah ini semua takdir? Mereka harus reda
dengan pilihan yang telah dibuat oleh Qay. Sudah tersurat jodoh Qay diketemukan
dengan Hadi.
“Saya akan ke rumah Abang Hambali nanti. Tapi saya nak tengok keadaan Qay
dulu,” putus Tuan Farouqe mula melembutkan nadanya. Dia sedar tiada gunanya dia
marahkan anaknya itu lagi. Semuanya sudah jadi!
Menimbang keadaan
pendarahan si ibu yang semakin teruk, pagi itu para doktor memilih untuk
memaksa kelahiran bagi mengelakkan komplikasi berat. Semenjak mula diberitakan
perkara itu Qay sudah mula cemas. Beberapa jururawat mula datang membuat
prosedur awal sebelum dia dibawa ke bilik bedah. Setelah selesai Qay diberi peluang
untuk bertemu dengan keluarganya.
“Mana Abang Hadi, mama? Qay nak jumpa dia..” keluh anak itu kepada si ibu.
Sejuk dirasakan tangannya. Puan Azreena hanya terdaya mengeluh kepada
pertanyaan itu.
“Ayah dah bagitahu Abang Taufiq suruh cari Hadi. Nanti dia datang, Qay. Qay
sabar ya? Ingat Allah banyak-banyak.” Pak cik Hambali menjawab bagi pihak Puan
Azreena.
Qay memandang ayahnya. “Papa, Qay minta maaf. Qay banyak buat dosa pada
papa dengan mama. Qay tahu Qay dah buat papa dengan mama sedih dengan tindakan
Qay selama ini. Qay minta ampun..” sebak kedengaran suara Qay.
Tuan Farouqe kesayuan mendengar kata-kata anaknya. Perlahan dia meraih
jemari Qay. “Papa dah lama maafkan Qay. Papa nak Qay tahu, kasih sayang papa
tak pernah berkurangan pada Qay. Qay tetap anak papa. Qay kena kuat. Papa akan
tunggu Qay dan cucu papa ni keluar dari bilik bedah nanti. Qay sabar ya?” Tuan
Farouqe menjawab sayu.
“Qay nak papa tahu, Qay tak berniat nak melukakan hati papa. Kalau ada
pilihan Qay takkan buat macam ni. Mungkin Qay bodoh sebab percaya pada cinta.
Tapi hidup Qay sekarang hanya untuk suami dan anak Qay. Qay dah tak boleh
berpatah balik ke belakang. Qay harap papa tak kecil hati,” ujar Qay dengan
setitis air mata mengalir di tubir matanya.
“Papa faham, sayang. Papa tak marah. Papa pun tak suka Qay derhaka pada
suami. Apa sahaja yang terbaik untuk Qay, papa akan terima,” sambut Tuan
Farouqe sambil tersenyum. Rambut anaknya itu diusap lembut untuk menenangkan
jiwa yang sedang gundah itu.
Qay mula mengalihkan perhatian kepada mamanya itu. “Mama maafkan, Qay. Qay
tahu Qay dah kecewakan mama selama ini.”
“Sayang, jangan ingat semua tu lagi ya? Sekarang ni mama nak Qay bertenang
dan ingat Allah banyak-banyak. Mama nak tengok anak mama tersenyum semula macam
dulu. Qay kena kuat ya? Mama akan selalu doakan Qay.”
“Allah dah beri kesempatan pada Qay untuk merasai pengalaman mengandungkan
seorang anak. Qay tahu Allah nak Qay rasa apa yang mama rasa selama ni. Tapi
Qay senang-senang aja sakitkan hati mama. Qay buat mama risau, Qay buat mama
menangis. Qay tahu itu juga perasaan yang Qay akan rasa andai suatu hari nanti
anak Qay sakitkan hati Qay. Qay minta maaf, mama. Semua ni tak mudah untuk Qay
lagi.”
“Sayang, Qay anak mama dunia akhirat. Marah seorang emak takkan sampai ke
lubuk hatinya. Marah mama selama ini sebab mama sayangkan Qay. mama dah lama
maafkan setiap kesalahan anak mama. Mama tak pernah jemu mendoakan Qay. Mama
mahu Qay jadi ibu yang baik untuk baby ni. supaya dia tak mengulangi lagi
sejarah lama kita semua,” ucap Puan Azreena. Setabah-tabah hatinya air matanya
gugur juga melihat anaknya jadi begini.
“Ayah..”
“Ya, nak..” jawab Pak cik Hambali teramat perlahan.
“Kalau Abang Hadi datang nanti, tolong beritahu dia yang Qay minta maaf
segala kesalahan Qay. Kalau Allah tentukan kami tak jumpa lagi selepas ini, Qay
tak mahu pergi dalam keadaan berdosa pada dia. Qay tahu dia baik. Qay yang
selalu buat dia susah hati.”
“Jangan cakap macam tu, nak. Insya-Allah.. Allah akan lindungi Qay dan cucu
ayah ni. Ayah bangga ada menantu yang baik macam Qay ni. Ayah tahu Hadi memang
bertuah kerana memiliki isteri yang sabar macam Qay.” Sedih lelaki tua itu
mendengar ucapan menantunya itu.
Jam 10 pagi itu Qay terus ditolak ke bilik pembedahan tanpa kehadiran Hadi.
Hanya Pak cik Hambali, Tuan Farouqe dan Puan Azreena yang menanti di luar bilik
itu. Walaupun sudah dijelaskan risiko kegagalan sangat kecil namun bagi
sepasang suami isteri itu mereka tetap bimbang dengan apa sahaja kemungkinan.
Akhirnya jam 12 tengahari itu Qay selamat melahirkan seorang bayi
perempuan. Anak itu sihat walafiat. Saat bayi itu berada di telapak tangan Tuan
Farouqe, air matanya mengalir laju. Betapa bangganya dia melihat zuriat yang
dilahirkan oleh anaknya itu. Bayi perempuan itu diperdengarkan alunan azan di
telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya. Tidak disangka secepat ini
Allah mengurniakan dia penyambung keturunannya. Kurniaan ini menggugurkan
segala amarah dan rasa terkilannya selama ini.
“Ya Allah.. aku bermohon kepada Mu, jauhkanlah anak ini dari Ummu Syibyan.
Jadikanlah dia anak yang baik kepada ibu dan ayahnya..” bisik Tuan Farouqe saat
menatap wajah bayi itu.
“Alhamdulillah.. sihat sempurna budaknya.” Pak cik Hambali tersenyum lebar
melihat cucu sulungnya itu. Puas berada di tangan Tuan Farouqe anak kecil itu
berpindah ke tangannya pula. Air matanya juga terasa mahu mengalir melihat anak
itu membuka mata memandang kepadanya. Sungguh ajaib perasaan ini.
Apabila bayi kecil itu berada di dalam kendongan Puan Azreena, air mata
wanita itu menitis bagaikan air hujan. Bayi itu benar-benar mengingatkan dia
kepada Qaira Syahreena yang dilahirkan hampir 19 tahun lalu. Tidak sangka dalam
usianya sebegini dia sudah menjadi seorang nenek. Sayang, bahagiakan ibu mu..
bisik hati wanita itu sayu.
Setelah lebih 10 jam tidak sedarkan diri, Qay mula membuka mata malam itu.
Pertama yang ditagihkannya dari orang sekeliling ialah kehadiran Hadi. Namun
Pak cik Hambali masih tidak tahu khabar berita dari anak lelakinya itu. Namun
walaupun hampa dengan kenyataan itu namun perasaan itu mula terubat apabila
dapat menyentuh bayinya buat pertama kalinya. Dalam kegembiraan dia menangis.
Kini dia seorang ibu. Dalam kekosongan dirinya, dia diberikan sejalur kekuatan
saat melihat anaknya mencelikkan mata memandang kepadanya.
“Apa Qay nak namakan baby ni?” tanya Tuan Farouqe sambil tersenyum. Seronok
benar dia memandang cucunya itu menyusu dengan si ibu.
“Nurul Inas Indriani. Qay dah pilihkan nama tu untuk baby Qay.” Qay
tersenyum memandang ibu dan ayahnya itu.
“Sedap nama tu..” jawab Tuan Farouqe lembut. Puan Azreena tersenyum lebar
tanda senang dengan pilihan nama itu. Inas bermaksud kebaikkan. Semoga anak itu
menerima dan memberi kebaikkan sepanjang hidupnya nanti.
“Qay harap Qay dapat mendidik anak ni supaya dia tak jadi macam Qay.
Sekarang Qay faham erti kasih sayang seorang ibu. Takde emak yang suka anaknya
mencari derita sendiri,” ucap Qay perlahan.
“Qay, kadang-kadang bahagia hanya akan datang selepas kita puas merasa
derita. Qay jangan putus asa ya? Banyakkan berdoa pada Allah,” pujuk Puan
Azreena lembut.
Qay tunduk merenung anaknya yang sedang menyusu di tubuhnya itu. Sayang,
kenapa ayah tak datang lagi? Ayah kat mana sekarang, sayang? Ibu betul-betul
rindukan ayah. Mesti ayah suka dapat tengok sayang.. keluhan itu hanya bergaung
sendiri di dalam hati ibu muda itu. Kelibat suami yang dinanti masih tidak
kelihatan.
Hadi muncul di wad
hanya setelah hari ke-3 Qay berada di situ. Dia tiba di situ bersama Mak cik
Saadiah dan Salina. Melihat isterinya Hadi terus memeluk dan mencium dahi Qay.
Bergunung-gunung perasaan bersalahnya kerana tidak ada bersama dengan isterinya
ketika Qay melahirkan anak.
“Abang minta maaf, sayang. Abang dapat tahu yang Qay dah bersalin malam
tadi. abang nak balik tapi bas dah habis. So abang terpaksa balik pagi tadi.”
Hadi berkata perlahan kepada Qay.
“Takpe.. Qay faham. Abang dah datang ni pun Qay dah cukup happy.”
“Qay macamana sekarang?” soal Salina tersenyum memandang adik iparnya.
“Qay dah makin sihat, Kak Sal. Mungkin dalam sehari dua doktor akan
benarkan Qay balik,” jawab Qay sambil memandang kakak iparnya. Dia sempat
memandang ibu mertuanya yang sedang merenung kepadanya.
“Mak pun rasa bersalah sangat sebab tinggalkan Qay sorang-sorang hari tu. Nasiblah
Ihah ada kat rumah. Kalau tak entah apa yang jadi,” ucap Mak cik Saadiah sambil
tersenyum simpul. Terus mesra nadanya kepada Qay. Maklumlah.. Hadi ada.
Qay tersenyum biasa kepada emak mertuanya itu. “Takpelah, mak. Qay pun
takde apa-apa. Qay tak pernah salahkan mak atau ayah.” Qay menjawab lembut.
“Abang rasa bersalah sangat sebab takde di sisi Qay dalam keadaan genting
tu. Abang kesal sangat..” ucap Hadi sambil mengucup lagi dahi isterinya.
Kasihan Qay.. semuanya ditanggung sendiri.
“Abang, dahlah. Qay tak marah abang sikit pun. Qay faham abang sibuk dengan
study. Abang pergilah tengok baby kita. Anak kita ada kat nusery.” Qay tetap
menjawab lembut dengan senyuman. Hatinya kembali tenang setelah melihat wajah
Hadi.
“Abang nak pergi tengok anak kita sekejap. Qay tunggu sini ya?” ucap Hadi
lantas tersenyum. Teruja perasaannya untuk melihat zuriat pertamanya. Sekali
lagi dahi isterinya itu dikucupnya penuh kasih.
“Kak Sal pun nak tengok baby..”
Hadi terus bangun. Salina ikut meninggalkan bilik itu. Tinggal Mak cik
Saadiah dan Qay berdua di bilik itu.
“Nasib baik kau tak mampus dalam bilik bedah tu. Kalau kau mampus senang
aku buat kenduri 44 hari. Siapa suruh kau telefon mak bapak kau? Kau saja nak
bagitahu mak bapak kau yang kami ni tak jaga kau dengan baiklah?” ucap Mak cik
Saadiah sinis.
Qay menelan liurnya melihat warna sebenar emak mertua itu muncul semula.
“Qay bukannya nak malukan mak dengan ayah. Qay pun panik waktu tu, mak. Qay tak
tahu nak minta tolong siapa.” Qay menjawab rendah. Mahu dilawan, itu emak
mertuanya. Tetapi gelagat Mak cik Saadiah semakin lama semakin membarahkan
kesakitan di jiwanya. Semakin banyak kelembutan diberikan, semakin itu dia
dilayan sadis.
“Lain kali kau jangan nak pandai-pandai buat tindakan sendiri. Kau pergi
hospital pun bukannya kau beranak teruskan? Kau kena tunggu Hadi jugak!” cemuh
wanita itu geram.
“Qay minta maaf, mak..” ucap Qay agak perlahan.
“Kau nak hidup dengan anak aku, kau kena ikut cara aku. Hadi tu anak aku!
Kau jangan nak buat sesuka hati kau. Kau jangan fikir bila kau dah bagi aku
cucu, aku dah sayang sangat kat kau. Aku masih belum lupa apa yang kau dah buat
pada keluarga kami selama ni. Kalau nak diikutkan aku memang tak ingin langsung
kau ada dalam keluarga aku ni. Tapi sebab aku kasihankan anak aku, aku bela
kau! Nak harapkan mak bapak kau? Satu sen tak guna. Jaga anak seorang pun tak
boleh!”
Qay terus berdiam diri mendengar bicara itu. Pedih hatinya tidak terkata.
“Aku nak kau rasa apa yang aku rasa selama ni. Disebabkan keluarga kau, aku
dilayan macam anjing oleh mak mertua aku sendiri. Bezanya aku dulu tak buruk
perangai macam kau. Kahwin lari dengan anak bujang orang! Aku nak kau pulak
merasa dilayan macam anjing.” Mak cik Saadiah terus menyakiti hati Qay. Puas
hatinya dapat melihat kesugulan di wajah itu.
“Mak, Qay tahu mak tak suka Qay. Tapi Qay akan cuba jadi menantu yang baik
untuk mak. Qay cuma minta mak berikan Qay peluang. Qay nak bahagiakan mak dan
Qay nak jadi isteri yang baik pada Abang Hadi,” lauh Qay perlahan.
Mak cik Saadiah ketawa perlahan. “Aku lebih bahagia kalau kau takde dalam
famili ni. Aku lebih bahagia tengok Hadi dengan Suria. Dan aku tahu Suria lebih
pandai bahagiakan Hadi berbanding kau. Tengoklah diri kau sekarang? Apa yang
kau ada? Hidup kau cuma bergantung pada Hadi. Kau ni sebenarnya lebih banyak
menyusahkan anak aku tu berbanding membahagiakan dia! Sepatutnya dalam usia
Hadi sekarang, dia tak perlu nak bersusah payah untuk tanggung kau. Dia bebas
nak buat apa saja. Tapi disebabkan kau dah bunting, dia terpaksa berkerja sana
sini untuk sara kau dengan anak kau! Ada mak bapak kau hantar duit? Kalau bukan
sebab kau ni dah merenyam sangat, takdenya anak aku tu sampai jadi macam ni!
Keluarga aku sekarang ni dah berpecah belah disebabkan kau!” balas Mak cik
Saadiah jengkel.
“Demi Allah, Qay tak pernah berniat begitu, mak. Qay Cuma nak jadi
sebahagian dari keluarga ni..”
“Ada aku jemput kau masuk dalam keluarga aku? Ada? Kau ni memang jenis perempuan
yang takde maruah! Aku memang benci dengan seluruh ahli keluarga kau
termasuklah si Mariam tu! Kau ni memang jenis betina yang suka menyusahkan
orang.” Mak cik Saadiah terus memintas kejam.
Qay terdiam menelan kepedihan sendiri. Sebak perasaannya mendengar dirinya
dilabelkan begitu oleh emak mertuanya. Namun dia tidak ada idea untuk membalas.
Di mata emak mertuanya semua kesalahan di atas bahunya. Sedangkan hakikatnya
bukannya dia tidak mahu membantu kesusahan Hadi tetapi Hadi yang tidak
mengizinkan. Mungkin Mak cik Saadiah tidak tahu bukan dia yang mengajak Hadi
kahwin sebaliknya Hadi yang memujuknya agar mereka melakukan itu semua. Tetapi
dia tidak ingin menyalahkan suaminya. Kerana kalau tidak kerana bertepuk dua
belah tangan, masakan bunyi boleh kedengaran?
“Apa-apa jadi sekali pun aku tetap nak Hadi kahwin dengan Suria. Sama ada
kau bermadu dengan dia, atau kau bercerai aja! Kau pun tentu tak mahu Hadi jadi
anak derhakakan? Aku dengan Suria tu dah rapat macam anak beranak. Keluarga dia
pun dah macam adik beradik aku. Aku tak mahu disebabkan kehadiran kau, semua
janji-janji aku pada Arwah Mahmud tak dapat aku tunaikan. Kau suka ke tidak..
aku tak peduli. Sama ada Hadi ikut cakap aku atau aku akan gunakan kuasa aku
untuk paksa dia ceraikan kau. Mana yang kau nak?” tambah Mak cik Saadiah lantas
tersenyum sinis.
Qay terus terdiam. Dia tunduk merenung jemarinya. Sedih tidak terkata.
Namun hanya hati yang mampu menangis. Sedangkan air matanya tidak mampu
ditumpahkan saat itu. Jika dia menangis, Hadi akan perasan. Seterusnya masalah
akan semakin memburuk. Masalahnya kini dia masih tidak tahu bagaimana untuk dia
menawarkan rasa benci emak mertuanya kepadanya.
“Bagi Qay masa untuk berbincang dengan Abang Hadi, mak..” ucap Qay seketika
kemudian.
“Aku tak nak kau berbincang apa-apa dengan dia. Itu urusan aku dengan dia.
Kalau kau berbincang dengan dia, akhirnya Hadi akan tunduk pada kau jugak.
Bangang! Suria tu dah lama tunggu Hadi. Semenjak kau datang, semuanya dah
musnah. Kau dengan ahli keluarga kau ni memang menyemak!” cemuh Mak cik Saadiah
dengan mata terjegil.
Qay menelan liurnya perlahan. Hadi mahu mendengar kata-katanya? Tidak! Dia
yang harus tunduk kepada setiap keputusan Hadi biarpun keputusan itu
teramat-amat menyiksa jiwanya.
“Mak, Qay sayangkan Abang Hadi. Qay akan bahagiakan dia, mak. Qay tahu
Abang Hadi jugak sayangkan Qay. Qay sanggup buat apa saja tapi tolonglah jangan
pisahkan kami. Qay tak boleh hidup tanpa dia,” rayu Qay agak perlahan.
“Aku peduli apa? Kau ni mampus lagi eloklah! Suria tu seribu kali lebih
baik berbanding kau. Sekurang-kurangnya dia tak senang diangkut jantan. Tak macam
kau ni. Anak jenis apa yang sanggup tinggalkan mak bapak sendiri sebab jantan? Betina
jenis apa yang senang sangat nak menyerah pada lelaki? Kalau mak bapak kau yang
besarkan kau selama ini pun, kau tak sanggup derhaka. Inikan pulak anak aku tu!
Betina murah macam kau ni tak layak untuk anak aku tu!” balas Mak cik Saadiah
agak keras. Kebenciannya kepada Qay bagaikan sudah tidak tersukat lagi. Semakin
dirayu hatinya semakin keras.
“Suatu hari nanti kau akan menyesal kahwin dengan Hadi. Kau tengoklah!
Padanlah dengan muka kau. Anak aku pun tak berapa nak pedulikan kau. Memang aku
saja tak bagi dia balik selalu sebab aku tak suka dia melebihkan kau dalam
segala hal,” ucap Mak cik Saadiah tajam.
“Qay minta maaf, mak..” ucap Qay entah kenapa. Sedihnya sudah tidak
tertahan. Hanya itu yang terdaya dibalasnya.
“Huh! Meluat aku tengok muka kau ni! Muka plastik! Baik aku pandang muka
anjing. Lagi lawa dari muka kau. Tak gunalah kau jadi bini kalau setakat kau
nak menyusahkan lagi hidup Hadi.” Tanpa kata lagi Mak cik Saadiah terus keluar
dari bilik itu. Muka lugu Qay semakin menyakitkan jiwanya. Buatlah macamana
pun. Dia tetap benci!
Menitis juga akhirnya air mata wanita itu. Cemuhan itu semakin merapuhkan
jiwanya. Esakannya ditahan sendiri bimbang ada yang perasan dia menangis.
Sampai bila dia harus bersabar dengan semua ini? Dia sendiri tidak tahu. Apa
lagi yang perlu dilakukan untuk menambat hati emak mertuanya? Segala arahan dan
kemahuan ibu mertuanya sudah diikuti namun ini juga balasan yang diterimanya.
Mengapa tepu benar kebencian emak mertuanya itu kepadanya?
Abang, bawalah Qay pergi. Qay dah tak tahan lagi, bang. Qay nak bahagia
dengan abang dan anak kita.. rintih hati itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.