Loceng
yang dibunyikan seseorang di luar sana segera membuatkan Qay berlari lintang
pukang ke tingkat bawah. Gelagat itu menunjukkan dia sememangnya teramat menantikan
petikan loceng itu semenjak tadi. Kelam kabut dia menekan alat kawalan jauh
agar pintu pagar terbuka segera. Istimewa benar lelaki itu sehingga tidak
sanggup Qay membiarkan lelaki itu menanti lama di bawah embun tengah malam.
Setelah itu Qay terus membuka pintu utama. Sebelum itu
sempat dia membetulkan baju yang melekat di tubuhnya. Rambutnya dirapikan
sebelum menghela nafas agar dirinya kembali tenang.
“Assalamualaikum..” sapa Hadi lembut sebaik sahaja dia
ternampak isterinya sedang berdiri memegang pintu yang terbuka separuh itu.
“Waalaikumussalam. Masuklah, bang.” Qay menjawab salam
dan menyambut kedatangan Hadi dengan senyum yang paling manis.
Hadi sekadar mengangguk tanpa memandang lama wanita itu.
Sesak dadanya melihat Qay yang selamba sahaja mengenakan gaun tidur yang
singkat dan seksi. Haruman dari tubuh wanita itu begitu kuat menyengat
derianya. Mulalah perasaannya berubah rentak. Ada sahaja usaha wanita itu mahu
menggodanya.
“Inas dah tidur?” soal Hadi cuba berlagak tenang. Dia
buat-buat memandang ke dalam rumah yang sudah lengang. Senyuman menggoda Qay
terasa semakin menyekat paru-parunya untuk bernafas. Dia datang ke sini kerana
mahu menjenguk Inas yang sudah beberapa hari tidak ditemuinya. Tetapi wanita
ini benar-benar membuatkan dirinya ditekan gelora yang paling tidak
dimahukannya.
“Kat atas. Naiklah..” pelawa Qay mesra sambil menutup
pintu rumah itu.
Tanpa kata Hadi terus menapak naik ke tingkat atas sambil
diekori oleh Qay dari belakang. Di dalam bilik anak gadisnya itu Hadi sekadar
duduk di birai katil. Wajah yang sedang terlena itu ditatap penuh kerinduan. Ayah
rindu, sayang.. bisik hatinya sendiri. Perlahan rambut hitam lebat itu diusap
lembut. Kemudian dahi anaknya dikucup beberapa kali. Wajah inilah yang sering
meleraikan rindunya kepada seseorang selama ini. Tanpa Inas hidupnya amat
terdera. Dia kesunyian..
Kelakuan Hadi itu dipandang Qay penuh minat dari ambang
pintu bilik anaknya itu. Dia tahu lelaki itu sememangnya seorang ayah yang
penyayang. Dia bangga memiliki lelaki ini sebagai ayah kepada anak
perempuannya. Dia tahu selama ini Nurul Inas dijaga baik oleh Hadi.
Setelah puas melepaskan rindu kepada anaknya itu Hadi terus
bangun dari situ. Dia semakin tidak selesa apabila segala perbuatannya terus
diperhatikan Qay. Seperti tiada privasi pula. Privasi apanya? Wanita itu adalah
isterinya dan ibu kepada anaknya. Wanita itu berhak berada di sisinya. Tetapi
dia yang masih tidak mampu menyediakan ruang kepada wanita ini. Masih banyak
masalah yang tidak terurai.
“Abang dah makan?” soal Qay lembut saat merapatkan pintu
bilik itu semula.
“Dah.” Sepatah sahaja jawapan lelaki itu. Tanpa menunggu
lagi dia menuju ke tangga untuk turun ke bawah. Hasratnya untuk melihat anaknya
sudah tertunai, jadi sekarang dia berhasrat untuk pulang sahaja ke rumahnya.
Tiada sebab untuk dia menunggu lama di situ. Bahaya!
“Abang nak ke mana?” soal Qay pantas apabila melihat
lelaki itu laju sahaja mahu ke tingkat bawah. Sedari tadi dia asyik mengekori
lelaki itu. Tetapi suaminya itu langsung tidak memberi perhatian kepadanya.
Tidak cantikkah dia hari ini? Tidak cukup seksi lagikah dia untuk mengikat kaki
lelaki itu daripada menjauhinya? Atau cinta Hadi memang sudah pupus semuanya?
Langsung tidak tersisa lagi.
“Balik.” Lagi sekali sepatah sahaja jawapan Hadi tanpa
memandang Qay di belakangnya.
“Abang, minumlah dulu. Qay buatkan abang air ya?” ucap
Qay pantas dalam pada dia cuba untuk melengahkan lelaki itu.
“Tak payahlah! Aku letih. Aku nak balik berehat.”
“Abang letih atau tak suka berada dalam rumah ni dengan
Qay?” ucap Qay pantas. Terguris lagi hatinya dengan sikap lelaki itu. Letih?
Kalau letih benar masakan Hadi masih boleh balik menukar pakaian di rumah
sebelum ke mari? Sedangkan waktu dia menelefon lelaki itu sebelum ini, Hadi
memberitahu yang dia masih di pejabat.
Hadi segera menoleh dengan pandangan tajam. “Aku tak
perlu nak suka pada rumah ni. Aku datang sini untuk jumpa anak aku!” tegasnya
sedikit kasar.
“Kalau abang letih, kat sini pun abang boleh berehat. Ini
rumah abang juga,” pujuk Qay lembut. Peluang yang datang sekali sekala begini
tidak ingin dibazirkan dengan pergaduhan. Dia harus bersabar untuk menambat
hati lelaki itu semula.
“Takde sesen pun duit aku keluar untuk beli rumah ni. Ini
bukan rumah aku! Ini rumah kau!” tempelak Hadi sedikit meninggi.
“Tapi abangkan suami Qay? Kenapalah susah sangat untuk
abang turunkan ego abang tu? Sejak dulu soal taraf, soal darjat, soal kekayaan soal
duit asyik jadi punca pergaduhan kita. Qay tak pernah malu dengan abang walaupun
abang cuma seorang lelaki kampung! Selama ni Qay sedar apa yang mengikat kita,
bang. Duit nafkah daripada abang! Qay tak pernah merungut walaupun duit tu
bukan datang dari seorang lelaki yang kaya raya. Tapi kenapa abang yang selalu
jadikan itu sebagai sebab untuk kita bergaduh?” tekan Qay sudah tidak tertahan
dengan bicara kesat Hadi.
Kali ini Hadi terdiam. Namun pandangannya sekadar dihalakan
ke arah ruang tamu rumah itu yang kosong. Memandang wajah sendu Qay akan
meleburkan ego di hatinya. Tidak! Dia tidak boleh kalah kepada semua permainan
itu.
“Abang..” Qay segera merapati suaminya itu. “Salah ke Qay
minta sedikit perhatian dari abang? Bukan Inas aja yang perlukan abang. Tapi
Qay jugak perlukan abang. Qay sayangkan abang, abang tahu tak?” ucap Qay lantas
belakang lelaki itu disentuhnya.
“Aku bukan lagi Aqmal Hadi yang dulu, Qay. Lelaki tu dah
lama mati!”
“Abang..” rayu wanita itu. Lengan suaminya itu ditariknya
agar lelaki itu memandangnya. Hadi menoleh dengan pandangan kosong. Namun wajah
wanita itu tidak mampu dipandang lama.
“Qay tahu Qay pernah abaikan abang dulu. Qay dah cuba
untuk berubah tapi kenapa abang terus menolak Qay? Qay masih sayangkan abang,
takkan itu pun abang tak nampak? Apa lagi yang harus Qay buat supaya abang tak
terus layan Qay macam ni?” luah Qay sedikit tertahan.
Hadi menggeleng perlahan. Lengannya direntapnya daripada
wanita itu.
Namun spontan Qay terus memeluknya erat. “Jangan pergi
jauh dari Qay. Qay tak boleh hidup tanpa abang. Please.. Qay cintakan abang sangat-sangat. Tolong jangan benci Qay.
Qay tak mahu kehilangan abang lagi,” pinta Qay sudah tidak ada segan silu lagi.
Wajahnya disembamkan ke dada suaminya itu.
“Lepaslah, Qay!” getus Hadi resah sambil dia cuba
merungkaikan pelukan wanita itu di pinggangnya.
“Qay tak akan tinggalkan abang lagi. Please.. jangan balik, abang. Qay sanggup buat apa saja untuk dapatkan
suami Qay semula. I love you and I need
you so much. Qay cuma nak hak Qay sebagai isteri abang!” desah wanita itu
penuh harapan. Dia tidak ingin kecewa lagi.
Hadi terkaku apabila Qay mula nekad memeluk lehernya
pula. Dadanya sudah mula terasa panas apabila dihimpit oleh tubuh hangat wanita
itu. Tidak cukup itu wanita itu tanpa segan silu mengucup bibirnya pula. Cuba
dielaknya serangan bibir isterinya itu. Namun semakin mengganas pula perempuan
itu menggomol wajahnya.
“Qay, cukuplah!” keluh Hadi cuba mengelak. Namun sentuhan
wanita itu mula merebahkan keimanannya.
“Qay nak abang yang dulu. Please.. jangan tinggalkan Qay
sendiri. Qay nak abang!” Sepotong bicara dipengakhiran itu akhirnya membuatkan keteguhan
tembok iman lelaki itu merebah juga. Sesungguhnya dia cuma seorang lelaki yang
lemah yang mendambakan kasih sayang dari seorang wanita yang dicintainya.
Lelaki
itu menghela keluhan perlahan. Wanita di sisinya itu dipandang seketika. Qay
memejamkan matanya namun bibirnya bagaikan sedang tersenyum dalam lenanya. Lama
Hadi memerhatikan wajah itu. Dia tidur ke tak ni? Tengah berangan ke? soal Hadi
dalam hati. Nak kata tidur, tangan Qay asyik bergerak-gerak di atas tubuhnya. Tetapi
matanya terpejam pula.
Entah kenapa.. walaupun tilam yang sedang menjadi lapik
tubuhnya ini cukup empuk. Namun Hadi merasa amat tidak selesa. Bukan tubuhnya
yang tidak selesa sebaliknya perasaannya. Seluruh hatinya ingin benar menjauhi
wanita ini. Namun pelukan erat Qay membuatkan dia susah mahu bergerak. Akhirnya
dia terdampar sendiri memikirkan apa yang baru berlaku sebentar tadi.
Ah! Hadi, kau jangan hipokrit. Kau boleh tolak dia kalau
kau nak. Kau boleh tinggalkan bilik ni kalau kau mahu. Jangan beralasan, Hadi!
Jangan hipokrit! Getus hatinya sendiri. Hadi menghela keluhan lagi buat
kesekian kalinnya. Apa sudah jadi padanya? Dia benar-benar tidak senang dengan
dirinya yang lekas benar tumbang pada godaan perempuan ini. Sekuat mana dia
bertahan pun di sini juga dia akhirnya. Apa yang berlaku sekejap tadi, tiada
istilah paksaan kepada mereka berdua. Tidak wajar dia menyalahkan Qay atas
semua itu.
Perlahan Hadi mengangkat tangan isterinya yang sedang
melingkari pinggangnya. Namun semakin itu Qay mengeratkan pelukannya. “Jangan
pergi mana-mana..” bisik wanita itu lembut.
“Qay, janganlah macam ni..” keluh Hadi semakin serba
salah.
“Qay nak abang ada di sebelah Qay malam ni. Qay tak mahu
terus sendiri lagi, abang. Tolong jangan hampakan Qay kali ini,” rayu Qay tidak
peduli kepada keluhan Hadi. Dia tahu kalau dia tidak nekad begini Hadi akan
terus mengelak darinya. Sengaja dia buat begitu agar lelaki itu tidak pergi
darinya.
Bukannya dia tidak perasan keresahan suaminya itu. Tetapi
semakin resah lelaki itu semakin seronok dia mahu menawannya. Dia tahu dalam
diri lelaki bukannya tiada sayang kepadanya sebaliknya kasih sayang itu tenggelam
oleh ego lelakinya hanya kerana isterinya lebih berharta di dunia ini.
Hakikatnya kasih sayangnya kepada lelaki ini tidak pernah mengira semua itu.
Sesungguhnya demi cinta dia rela menebalkan muka, menjatuhkan air mukanya untuk
merebut tempat di sisi lelaki ini semula.
Hadi membeku memandang atas. Jemari isterinya yang meliar
di atas tubuhnya membuatkan jantungnya berdegup laju. Mahu dihalang.. macam
rugi pula rasanya. Mahu dibiarkan.. dia bimbang segalanya akan pergi lebih
jauh. Hadi asyik terbayangkan kata-kata emaknya.
‘Langkah mayat mak dulu..’
Sepotong ayat itu sudah cukup membuatkan dia tersiksa
dalam diam. Belum lagi ayat yang lain! Memikirkan emaknya Hadi tidak tahu apa
yang harus dibuatnya untuk mengubah keadaan ini. Bukannya dia tidak senang dengan
keadaan ini. Bukannya dia tidak mahu.. tetapi halangan emaknya itu yang
membuatkan dia tidak sanggup melalui kekecewaan lagi. Daripada begitu lebih
baik dia mengalah sahaja. Tapi sanggupkah dia berputih mata melihat Qay bukan
lagi miliknya? Sanggupkah?
Ya, Allah.. apa yang patut aku buat.. keluh Hadi semakin
buntu. Kemesraan yang diberikan oleh, inilah yang didambakan oleh dirinya
sebagai suami. Ingin sahaja dia membalas dakapan Qay. Namun dia tidak mampu
untuk menyambut cinta itu dengan tangan terbuka. Halangannya masih terlalu
besar. Wajah ibunya dan Suria terus bermain di fikirannya.
Sehingga ke angka 4 pagi itu Hadi tidak dapat melelapkan
matanya. Terbedik-bedik dia memikirkan keadaan dirinya dan Qay selepas ini. Dia
sendiri sebenarnya masih keliru dengan masa hadapan yang harus dipilihnya.
Masih mampukah impiannya dicapai? Bukannya dia tidak sedar jauh berbeza dia dan
Qay. Apa yang mampu diberikan kepada wanita ini sebagai alas kebahagiaannya?
Lelaki itu menghela nafas perlahan. Mengapa sukar benar
untuk mereka berdua menjalani hidup seperti orang lain? Adakah dia yang terlalu
ego selama ini sehingga menyebabkan keadaan mereka berdua jadi begini?
Setelah puas memandang Qay yang sudah terlena, Hadi mula
mengalihkan tangan Qay yang melingkari tubuhnya. Dengan pergerakan yang amat
perlahan dia turun dari katil itu. Niatnya adalah untuk membersihkan diri
sebelum pulang ke rumahnya. Dia tahu.. semakin lama dia membiarkan dirinya
berdekatan dengan wanita ini, semakin dia kalah kepada perasaannya. Sedangkan
dia sedar.. isterinya itu hari ini jauh lebih hebat berbanding Qaira Syahreena
yang dulu.
Terbaikk!!!! best sgt sgt sgt sgt sgt
BalasPadamTq, K Fiza.
BalasPadam