Jumaat, 6 September 2013

BABA 19 & 20

       Bab 19

Berseorangan di situ, tiada lain yang dikenang oleh Qay. Hadi! Di sini mereka pernah menganyam cerita dan senda. Di sini mereka pernah membina impian bersama. Di sini jugalah Hadi menyanyikan lagu cinta untuknya. Qay teringin benar mahu kembali ke masa itu. Namun mustahil! Kini dia mula merasakan detik kepahitan yang tidak tertelan olehnya sedang bermula.
Dia punya segalanya di sekelilingnya. Tetapi hidupnya terkongkong. Apabila tidak lagi bersekolah begini, maka di rumah sahajalah dia. Jika keluar pun pasti ditemani mamanya. Atau Abang Malik akan mengekorinya jika mamanya tidak dapat menemankannya. Sunyi! Tetapi apakan daya. Inilah dunianya yang nyata. Hadi? Itu semua bakal menjadi kenangan lalu kepadanya. Sengsara hatinya selama berbulan-bulan ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi sengaja dia tidak menunjukkan di hadapan kedua ibu dan ayahnya.
“Psstt.. psstt..” Qay segera memandang sekeliling apabila kedengaran suara aneh itu. Ular ke? Alamak! Kat rumah ni mana ada buluh.. Qay kalut seketika. Sudahlah dia berseorangan di situ. Kalau dia kena patuk dengan cik U tu, alamat takde siapa yang perasan dia berada di taman ini.
“Psstt.. psstt..” Bunyi aneh itu kedengaran lagi. Semakin kalut anak dara itu. Dia mula berdiri, bersiap untuk balik. Namun sekilas itu matanya ternampak lambaian seseorang dari sebalik pokok beberapa meter darinya. Lelaki itu sedang menyorok di sebalik  pokok itu.
“Abang Hadi!” getus Qay benar-benar terkejut. Pantas dia berlari mendapatkan lelaki itu. Apabila tiba di sebalik pokok itu, tubuh Hadi terus dipeluknya erat. Dia sudah tidak berdaya lagi menahan rindunya kepada Hadi.
“Abang, Qay rindukan abang..” Gadis itu menangis sayu.
“Abang tahu, sayang. Abang pun rindukan Qay. Sebab tu abang datang sini. Ini semua betul-betul buat abang jadi gila, Qay. Abang asyik teringatkan Qay,” luah Hadi sayu. Dek kerana rindulah dia sanggup menceroboh masuk ke kawasan rumah gadis ini. Dia mahu bertemu dengan Qay. Dia tahu esok adalah hari terakhir Qay akan berada di sini. Kali ini dia nekad! Apa nak jadi, jadilah! Hanya ini sahaja peluang yang tinggal untuk dia meluahkan isi hatinya.
“Abang tak tahu apa akan jadi pada abang kalau Qay dah pergi nanti. Baru sekejap, abang dah rasa macam nak gila, sayang. Abang tak sanggup nak tengok Qay pergi tinggalkan abang,” ucap Hadi semakin sedih. Jemari gadis itu terus diramasnya.
“Jom pergi sana. Kalau Abang Malik nampak abang kat sini, susah abang nanti.” Qay segera mengajak Hadi ke tempat ‘biasa’ mereka berdating dahulu. Hadi menurut apabila tangannya terus ditarik pergi. Namun kepalanya terteleng ke kiri ke kanan beberapa kali. Takut benar orang lain ternampak kelibat dirinya. Dia tidak mahu dihalau sebelum sempat dia melepaskan rindu dengan gadis ini.
Sedih gadis itu melihat keadaan buah hatinya. Rupa Hadi sudah jauh benar berbeza berbanding dulu. Hilang sudah Hadi yang segak di matanya. Tubuh sasanya sudah susut. Dia tahu Hadi merana. “Abang sihat?” soal Qay lembut.
“Sihat. Qay?” tanya Hadi semula.
Qay sekadar mengangguk sambil menunduk seketika. Fizikalnya mungkin sihat. Namun hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Hadi menghela keluhan perlahan. “Apalah nasib kita ni, sayang. Abang tak sangka semua ni akan datang kepada abang secepat ini. Abang betul-betul belum bersedia untuk menghadapi keadaan tu nanti. Abang tak membayangkan apa yang akan jadi pada abang nanti, Qay. Abang sungguh-sungguh tak mampu nak tanggung semua ni lagi. Jiwa abang ni sakit sangat. Hati dan perasaan abang macam dah takde harga pada mak abang. Dalam keadaan hati abang masih tak boleh lepaskan Qay, mak abang paksa abang terima Suria. Abang dah tak sanggup, sayang. Abang dah tak tahu apa yang patut abang buat untuk selamatkan kita dari semua ni.” Hadi meluahkan perasaannya dalam kesayuan yang tertahan. Setitis air mata lelakinya gugur juga mengenang emaknya itu.
“Mak abang paksa abang terima Suria? Apa maksud abang?”
Hadi menarik nafas perlahan cuba untuk meredakan sebak yang mencengkam. Dia tunduk merenung hujung kakinya. “Mak abang nak abang bertunang dengan Suria. Kononnya lepas abang habis belajar nanti, kami kena kahwin.” Hadi berkata perlahan sambil menggeleng. Ayahnya sudah tidak kuasa menegur emaknya kerana emaknya tidak mahu mendengar cakap. Dia sudah tiada kekuatan lagi. Tiada siapa yang mampu melepaskan dia dari cengkaman emaknya. Saban hari emaknya hanya memujuk dia agar menerima Suria.
Qay terpaku memandang Hadi. Dia tidak sangka keadaan akan seruncing ini. “Jadi abang terima?” soal Qay pantas.
“Kalau abang terima abang takkan datang sini, Qay.” Hadi menjawab pantas.
“Tapi nanti abang kena terima jugakkan?” telah Qay lirih. Sedihnya.. sudahlah dia tidak mampu memiliki Hadi. Hadi pula terpaksa ditunangkan dengan musuh ketatnya itu.
Hadi terdiam menelan kepahitan yang sedang dibentangkan buah hatinya itu. Semakin cuba ditelan semakin payah rasanya. Jika perempuan lain dia masih boleh terima lagi. Ini suria! Gadis yang paling tidak disukainya itu. “Abang tak tahu nak hadapi semua ni macamana. Abang tak pasti macamana abang nak lalui hidup abang ni tanpa Qay. Selama ni walaupun abang tak dapat dekati Qay, tapi abang masih dapat tengok Qay dari jauh. Tapi lepas ni..” Hadi terasa mahu menangis saat itu. Ya Allah, tolonglah aku melalui keadaan ini. Aku terlalu sayangkan dia.. bisik hati lelaki itu pasrah. Rambutnya diramas kasar.
Qay mengusap lengan Hadi lembut. Tanpa sedar di pipinya sudah basah. Namun esakannya sengaja ditahan kerana dia tidak mahu Hadi bertambah tertekan melihat dia menangis. “Abang, kalau keadaan dah memaksa.. kita kena terima kenyataan ni.”
Hadi menoleh pantas. Dia tidak sangka itu yang akan didengari olehnya dari mulut Qay. “Qay nak mengalah?” soal Hadi sedikit tajam. Dia masih ingat, dahulu ketika dia memilih untuk mengalah, Qay pula yang menghalang. Kini keadaan itu sudah terbalik pula.
“Qay tak mengalah pun, bang. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang Qay tanggung selama ini. Tapi mengalah ke tidak, itu bukan soal pokoknya. Walau sekeras mana pun kita menentang keadaan tetap samakan? Kita hanya boleh duduk sini menangis, lepas tu semua akan kembali kepada keadaan yang asal. Abang dengan Suri dan Qay entah dengan siapa pulak nanti. Itu hakikat!” balas Qay agak pahit.
“Tak.. tak.. abang takkan bertunang dengan dia, Qay! Walaupun akibatnya nanti, dunia ni habis dilanggar tsunami, abang tetap takkan pilih dia. Apa nak jadi, jadilah! Abang cuma nak Qay dalam hidup abang. Hidup tanpa Qay, abang boleh jadi gila, Qay. Abang tak boleh!” tegas Hadi serius.
Gadis itu menghela nafas perlahan. “Qay tak tahu bila lagi Qay akan jejakkan kaki ke sini semula, bang. Papa pun dah ada seribu satu perancangan untuk buat Qay jauh dari abang. Kalau abang rasa abang menderita, Qay pun apa kurangnya. Semenjak kecil lagi, papa yang akan buat keputusan untuk diri Qay. Qay kena terima!” Sayu luahan gadis itu. Hidup sebagai anak orang kaya tidaklah seindah dalam cerita. Hanya Tuhan sahaja yang mengerti apa yang dilaluinya. Tetapi dia selalu percaya pertimbangan ayahnya semuanya demi kebaikan dirinya.
Hadi menggenggam jemari Qay erat. Mereka sama, serupa dan senasib. Dia tidak sanggup membiarkan gadisnya melalui kesakitan yang sedang dirasainya ini. Kerana dia tahu semua ini terlalu besar untuk ditanggung oleh Qay sendirian.
“Kita lari dari sini, sayang?” ucap Hadi nekad.
Qay terpaku memandang Hadi. “Abang berguraukan?”
“Ini bukan masa untuk kita buat lawak lagi. Abang serius! Kita lari dari sini. Abang janji kita akan kahwin dan abang akan jaga Qay. abang akan cari kerja untuk menampung kehidupan kita berdua.” Hadi mengutarakana rancangannya mudah.
Qay terpaku lagi mencari kesungguhan di wajah buah hatinya. Permintaan Hadi mula berselang seli dengan wajah kedua ibu dan ayahnya. Perasaannya mula kacau bilau. “Qay tak tahu, bang. Qay takut..” jawab Qay kian keliru.
“Abang tahu Qay takut mama dengan papa Qay marah. Tapi abang janji, lepas semua ni reda kita akan balik jumpa mak dengan ayah kita. Kita akan pujuk mereka untuk terima keadaan ni. Abang janji semuanya akan selesai nanti!” ucap Hadi semakin nekad. Jemari gadis itu digenggam erat menandakan Qay tidak berseorangan ketika ini. Dia akan melindungi Qay sehingga ke akhir hayatnya.
Qay tunduk meraup wajahnya. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Hadi.
“Qay tak mahu hidup dengan abang?”
“Bukan macam tu..” sanggah Qay pantas. “Qay takut papa dan mama takkan maafkan Qay. Qay ni anak tunggal, bang.”
“Sayang, kan abang kata tadi kita akan balik jugak. Abang bukannya nak pisahkan Qay dari keluarga Qay selama-lamanya. Kalau kita tak buat macam ni, macamana kita nak dapat hidup bersama, Qay. Cuba cakap dengan abang.” Hadi membalas bersungguh seolah-olah itulah alasan yang paling logik yang dapat digunakan mereka untuk melangkahi kedua emak dan ayah mereka.
Qay mengangguk perlahan. Dia akui apa yang diucapkan Hadi benar.
“Degan ikatan perkahwinan, takde siapa boleh pisahkan kita melainkan Allah, sayang. Abang janji.” Hadi memujuk lagi. Hatinya yang kian sarat dengan rasa sayang sudah tidak mampu menimbang lagi apa yang benar dan apa yang tidak buat mereka.
“Kalau boleh abang nak berikan Qay masa untuk fikirkan. Tapi kita sama-sama tahu sebanyak mana masa yang kita ada sekarang. Abang cuma nak tahu pendirian Qay. Kalau Qay menolak, abang takkan marah. Abang takkan ganggu Qay lagi. Mungkin inilah kali terakhir kita berjumpa,” ujar Hadi lembut sahaja. Sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu sejauh mana Qay sanggup menempuh kesusahan dengannya.
“Abang, janganlah macam tu. Bukan Qay tak sayang abang tapi apa yang abang cakap ni betul-betul buat Qay takut. Qay takut papa tak boleh maafkan Qay,” ujar Qay meminta pengertian Hadi.
“Takpe. Abang faham..” ucap Hadi merendah nadanya. Kini dia sudah tahu apa jawapan Qay. Memang sakit untuk diterimanya namun dia harus akur. Hadi tunduk meraup wajahnya untuk menghilangkan kesedihannya yang semakin memuncak. “Lupakanlah apa yang abang cakap tadi. Abang minta maaf, Qay. Abang balik dulu..” Hadi terus bangun dari situ.
“Abang..” pintas Qay sambil pergelangan tangan lelaki itu dipegangnya erat. Lama dia memandang sisi wajah Hadi. Wajah lelaki itu terlalu mengharap kepadanya. Sanggupkah dia menolak lalu kehilangan Hadi selama-lamanya? Sanggupkah dia membiarkan hatinya kecewa dengan membiarkan Hadi pergi dari hidupnya buat selama-lamanya?

Perkelahian antara dua keluarga itu semakin memburuk. Di rumah Pak cik Hambali dan Mak cik Saadiah mereka saling berbalah. Kehilangan Qay dan Hadi menggemparkan kedua-dua keluarga. Lebih-lebih lagi pada Tuan Farouqe dan Puan Azreena kerana hari ini Qay seharusnya terbang ke US. Anak mereka sudah lesap entah ke mana ketika berada di lapangan terbang sebentar tadi!
“Anak kau orang tu yang gatal. Jangan nak salahkan anak aku pulak! Inilah masalahnya kalau tak tahu jaga anak. Pakai pengawal berdozen pun tak guna, kalau anak seorang pun boleh terlepas entah ke mana,” tempelak Mak cik Saadiah bengang. Ada ke anak sendiri cari di rumah orang? Tak tahu jaga anak agaknya? Terlupa pula dia anak dia juga sudah hilang entah ke mana.
“Awak diam boleh tak, Diah? Kepala saya tengah serabut ni!” marah Pak cik Hambali geram.
“Bang, takkan abang langsung tak tahu ke mana Hadi pergi?” Tuan Farouqe mengalihkan soalan itu kepada Pak cik Hambali pula. Dia malas mahu berurusan dengan Mak cik Saadiah. Bimbang benar dia mengenang anaknya. Tambahan pula isterinya asyik menangis semenjak tadi. Dia tahu anaknya itu lari dengan Hadi.
“Saya pun tak tahu dia ke mana, Farouqe. Dia ada minta duit dengan saya malam tadi. Katanya nak beli barang sikit. Saya takdelah pelik benar walaupun saya tengok dia gembira semacam. Saya ada nampak dia keluar ke kedai pagi tadi. Semenjak itu dia tak pernah balik ke ruman ini dah. Saya memang tak jangka dia akan buat begini. Saya pun tak tahu nak cakap apa sekarang,” ucap Pak cik Hambali tidak mampu mengangkat pandangan kepada lelaki itu. Apa lagi yang nak dianggapnya jika tidak Hadi membawa lari anak dara orang! Tergamak sungguh Hadi memalukan dia seperti ini.
“Patutlah saya nampak Hadi lain macam aja semenjak kebelakangan ni.” Pak cik Hambali berkata perlahan setelah terkenangkan sesuatu.
“Maksud abang apa?” soal Tuan Farouqe segera.
“Saya tengok rajin benar dia buat kerja sambilan. Balik dari jawab periksa di sekolah dia pergi kerja. Kalau takde ujian, dia kerja dari pagi sampai ke malam. Kadang-kadang dia ambil upah kutip sawit di kebun orang. Rupanya dia mengumpul duit,” ucap Pak cik Hambali setelah teringatkan itu. Sangkanya anaknya itu sengaja menyibukkan diri kerana mahu melupakan kekecewaannya. Rupanya lain yang jadi!
“Apa saya nak buat, bang?” keluh Tuan Farouqe. Kepalanya dipegang. Buntu dia memikirkan semua ini. Mahu membuat laporan polis, masalahnya anaknya lari ikut teman lelaki. Yang malu siapa? Dia juga!
“Ini semua salah kau! Kalau kau tak sibuk nak balik ke sini, takdenya benda sampai jadi begini.” Mak cik Saadiah masih tidak berpuas hati selagi tidak dapat menyalahkan Tuan Farouqe atas semua musibah ini.
“Saya nak balik sini pun saya punya sukalah, kak. Saya bukannya duduk atas tanah akak! Yang akak tu tahu sangat jaga anak, kenapa anak akak pergi bawak lari anak saya? Bukan ke akak nak kahwinkan dia dengan orang lain?” balas Tuan Farouqe sudah mula hilang sabar dengan gelagat wanita itu. Sudahlah kepalanya tengah serabut. Wanita ini asyik menceceh kepadanya. Menyampah betul!
Pak cik Hambali mengulum tawa sambil memandang ke arah lain. Gelihati dia melihat muka kelat isterinya disergah seteru ketatnya itu. Itulah akibatnya kalau mulut tu celupar benar. Padan muka! Ejeknya dalam hati.
“Anak aku tu lelaki! Kalau bawak lari anak dara orang pun, takdelah orang nak mengata sangat. Anak kau tu perempuan. Tahu dek orang, siapa nak buat menantu lagi anak dara yang dah tak tentu dara ke tidak, dok ikut jantan sana sini! Tak senonoh punya perangai!” cemuh Mak cik Saadiah semakin lantang. Bulat matanya memandang Tuan Farouqe.
“Bab zina ni takde kira lelaki ke perempuan, kak. Sama je tanggung dosa!” celah Puan Azreena mula panas hati mendengar anaknya dihina.
“Memanglah! Tapi yang teruk barainya, perempuan!” balas Mak cik Saadiah masih juga tidak mahu mengalah.
“Sudahlah tu! Jangan nak menceceh sampai ke benda bukan-bukan macam tu. Kalau betul dia orang tu sampai jadi begitu, kita orang tua ni kena sedar. Siapa yang menyebabkan mereka berdua tu nekad begitu? Kalau kita tak buat tindakan ikut nafsu, takdenya anak-anak pun ikut cara kita bila buat keputusan! Patutnya kita doa jangan sampai mereka tu buat benda-benda macam tu. Itulah.. waktu buat tindakan tak fikir. Sekarang dah jadi macam ni, siapa yang susah? Kita jugak! Budak-budak tu bukannya patung boleh ditayang-tayang dalam kedai macam tak berperasaan,” sergah Pak cik Hambali enggan membiarkan manusia di sekelilingnya itu terus bertelagah.
Mak cik Saadiah terus memalingkan wajahnya dengan muka sombong. Dia tidak risau. Dia tahu Hadi akan balik juga kepadanya!
“Patut ke kita report polis, bang?” soal Tuan Farouqe kepada Pak cik Hambali.
“Ah! Nak buat apa report polisnya? Karang satu dunia tahu perangai anak kau macamana..” sempat juga Mak cik Saadiah menghadiahkan tembakan kepada Tuan Farouqe.
“Awak boleh jaga sikit tak lidah awak tu, Diah. Kalau Tuan Farouqe ni pergi buat report bukan setakat dia yang malu. Kita ni lagi malu bila anak kita masuk jail sebab menculik anak orang. Awak ingat itu kesalahan kecil ke? Awak nak tengok Hadi dalam penjara ke?” sergah Pak cik Hambali geram dengan isterinya. Suka benar mencari pasal!
“Alah! Itu kalau bawah umur. Budak perempuan tu dah umur 18 tahun. Mana ada kira culik lagi dah.” Mak cik Saadiah ketawa perlahan. Tidak gentar dengan ugutan suaminya itu.
“Nama budak perempuan tu Qaira Syahreena, kak. Dia anak saya dan umur dia belum cukup 18 sehingga bulan November ni,” sampuk Puan Azreena sedikit sinis. Geramnya meluap-luap dengan wanita di hadapannya itu.
Apabila disedarkan dengan hakikat itu Mak cik Saadiah terus terdiam. Belum 18 tahun lagi ke? Tak guna! Detik hati wanita itu tidak puas.
Pak cik Hambali terus merenung ke halaman rumahnya. Dia tidak merasakan Hadi akan melarikan Qay begitu sahaja. Dia tahu anak itu merangka sesuatu. Apa yang sedang bermain di benaknya ini ternyata amat-mata menakutkan. Entah-entah anak-anak mereka pergi kahwin lari! Nauzubillah..
“Beginilah, Farouqe..” ucap Pak cik Hambali seketika. Dia terus memandang ke hadapan seperti sedang memikirkan sesuatu. “Saya akan pergi cari dia di rumah anak lelaki saya di KL sana. Kalau Hadi ada di sana bermakna Qay ada di rumah Salina,” ujar lelaki itu lembut.
“Bagi saya ikut abang ke sana?” pinta lelaki itu segera. Masakan dia harus menunggu sahaja? Dia mesti berusaha mencari anaknya juga.
“Kalau Farouqe nak ikut, elok benarlah tu. Boleh kita cari mereka sama-masa. Harap-harap mereka adalah di sana,” ucap Pak cik Hambali segera bersetuju. Entah kenapa dia berkata begitu. Dia sendiri tahu harapan yang dilahirkan itu besar kemungkinan palsu!
“Kalau dia orang takde di sana macamana pulak?” celah Puan Azreena masih gusar. Dia tidak rasa Qay akan melarikan diri sedekat itu. Dia tahu anaknya lebih cerdik dari yang disangkanya. Jika tidak masakan Qay masih boleh menyelinap saat berada bersama Malik ketika di lapangan terbang sebentar tadi?
Pak cik Hambali menghela keluhan perlahan. “Kalau mereka takde di sana, bermakna kita kena buat laporan polis.”
Terbeliak mata Mak cik Saadiah mendengar itu. bukankah gadis itu berumur bawah 18 tahun? Jadi berkemungkinan besar anak lelakinya akan dipersalahkan nanti. “Abang ni dah gila ke nak buat report segala? Budak tu ikut Hadi rela hati. Takkan nak tuduh Hadi tu menculik pulak!” bentak Mak cik Saadiah garang.
“Diah, sebab rela hatilah kita kena report cepat-cepat. Takut kalau terlambat nanti, meloponglah awak nak bermenantukan si Suria tu. Awak kat sini berangan nak bermenantukan Suria tapi si Hadi dengan si Qay tu dah lepas pun ke Thailand sana. Awak ingat budak-budak tu lari pergi cari kerja kat KL tu ke? Dia orang tu nak kahwin lari! Awak faham?” sergah Pak cik Hambali dengan senang hati.
Makcik Saadiah terlopong dengan mata terbuntang mendengar itu. Tuan Farouqe pula sudah memegang kepalanya. Kata-kata Pak cik Hambali membawa dia semula kepada kejadian di lapangan terbang sebentar tadi. Qay ada meminta untuk menyimpan passport antarabangsanya. Dia pula tanpa syak wasangka terus sahaja memberi. Satu lagi kebenaran yang paling tidak disukainya saat ini ialah.. akaun bank anaknya itu baru sahaja ditukarkan kepada akaun persendirian dan di dalamnya tersimpan wang simpanan untuk Qay yang ditabungkannya semenjak kecil. Amaunnya bukan sedikit! Dengan wang sebanyak itu, Qay boleh lepas ke mana sahaja yang dia suka..
Tiba-tiba Tuan Farouqe terduduk di tanah sambil menekup wajahnya. Ya Allah.. anak aku! Qay, jangan buat papa macam ni, sayang. Hati Tuan Farouqe remuk mengenang itu!

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!
“Aku terima nikahnya Qaira Syahreena Binti Muhammed Farouqe dengan mas kahwinnya 21 ringgit, tunai!” akad itu dilafazkan lancar oleh Hadi.
“Sah?” kadi itu bertanya kepada saksi di sebelahnya. Saksi itu segera mengangguk. Begitu juga dengan saksi kedua. Mereka terus menadah tangan untuk mendoakan kesejehteraan pasangan suami isteri baru itu. Hadi sekadar diam mengaminkan doa itu di dalam hati. Akhirnya.. apa yang diimpikan menjadi miliknya.
Selesai membaca doa, wang mas kahwin diserahkan Hadi kepada si isteri bersama dengan sebentuk cincin tanda. Sejuk hatinya melihat Qay tunduk mencium tangannya sebagai permulaan ketaatan sebagai isteri. Dahi gadis itu dikucupnya dengan penuh rasa terharu. Kini Qay haknya! Tiada siapa boleh menjauhkan wanita ini darinya melainkan kehendak Allah. Setelah mendapatkan surat nikah mereka bergerak keluar dari perkampungan Narathiwat itu. Walaupun amat keletihan namun mereka harus melepasi sempadan untuk masuk ke Malaysia segera.
Sepanjang berada di dalam van itu, jemari mereka bertaut erat. Namun masing-masing berdiam diri. Bagi Qay semua ini masih seperti mimpi kepadanya. Kini dia seorang isteri! Di matanya dia asyik terbayangkan kedua ibu dan ayahnya. Entah apa jadi kepada mereka semenjak dia meninggalkan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang semalam. Tidak dapat dinafikan dia rindukan kedua ibu dan ayahnya. Namun dia masih tidak tahu bila agaknya dia dapat pulang ke rumah. Entah-entah papanya sudah tidak menerima dia lagi. Qay kengerian mengenang itu.
 Hadi juga lebih kurang sama. Dia hanya memandang ke luar. Namun akalnya terus mencongak masa depan yang masih kabur. Sudah selamat bernikah tidak bermakna semuanya sudah selesai. Masalah pertama yang harus dihadapinya nanti ialah, dia harus mendaftarkan pernikahan ini segera, yang mana urusannya nanti pasti akan tiba di hadapan hakim syariah. Itu menurut apa yang telah diberitahu oleh Salina kepadanya. Salina satu-satunya manusia yang tahu ke mana mereka melarikan diri.
Hadi menoleh apabila terasa ada beban mula tersandar di bahunya. Qay yang keletihan sudah mula terlentok. “Tidurlah. Nanti dah sampai, abang kejutkan.” Hadi berbisik lembut sambil mengucup dahi isterinya itu. Isteri? Macam janggal pulak rasanya! Tetapi itulah hakikatnya kini. Dia sudah ada isteri yang wajib dijaga dan dilindungi.

Tegarnya jiwa mereka melepasi sempadan negara untuk membina kebahagiaan. Tanpa sedar kebahagiaan yang mereka bina terletak di atas kehancuran hati ibu dan ayah mereka! Tidak tahukah mereka apa yang bakal mereka hadapi jika hidup tidak ada restu ibu bapa?

Bab 20

Hotel Grand Continental Kuantan.
Signboard yang tertera jelas di hadapan matanya itu sudah cukup menceriakan Qay yang sudah keletihan benar dengan perjalanan yang amat jauh sebentar tadi. Semenjak bertolak dari Kelantan tadi baru inilah mereka berhenti untuk mencari tempat rehat. Peroi dirasakan tubuhnya itu. Nak sangat pergi Thailand. Ambik kau!
Hadi menurunkan beg mereka. Beberapa pasangan pengantin baru seperti mereka sudah pun mencari tempat ‘lepak’ masing-masing. Maklumlah.. masing-masing dah penat dan dah tak sabar nak berbulan madu. Sementelah waktu saat itu sudah pun menunjukkan ke angka 1 pagi. Elok benarlah kalau nak berbulan madu tu..
“Jom..” ajak Hadi lembut kepada isterinya.
Qay sekadar menurut sambil tangannya ditarik Hadi. Tetapi yang peliknya Hadi membawa dia jauh meninggalkan hotel itu. Sedangkan van yang mereka tumpangi itu dipakirkan di luar kawasan hotel itu. Sambil melangkah Qay terus memandang bangunan hotel yang diidam-idamkan. Semakin lama semakin jauh ditinggalkan.
“Kita tidur kat sini malam ni ya?” ucap Hadi.
Qay terus mengalihkan pandangan ke hadapannya. Terbeliak matanya..
‘Rumah Tumpangan Ah Kow’
Mulut Qay terlopong melihat tempat penginapan yang dipilih Hadi untuk mereka. Takkan sini? Detak hatinya tidak percaya. Seketika kemudian dia kembali memandang ke bangunan hotel yang masih dapat dilihatnya dari tempat dia berdiri. Jauh beza! Yang itu bertingkat-tingkat, mesti ada lif! Yang ini macam rumah kedai je.. takde lif. Biliknya? Entahlah.. pakai papan lapis je kut. Seumur hidupnya tidak pernah dia menjejakkan kaki ke hotel murah seperti ini. Hotel ke macam ni? Ngeri betul!
“Kat sini? Kenapa tak kat sana je?” soal Qay agak berat. Jarinya ditundingkan ke arah hotel 5 bintang itu.
Kali ini Hadi pula yang terbuntang mata memandang pilihan Qay. Amboi.. dia ingat aku ni tokey minyak macam bapak dia ke? Semalam aje kat hotel tu dah buat poket aku kering kontang! Getus hatinya tidak setuju langsung dengan kehendak isterinya. “Alah! Sama je.. sini pun ada katil jugak. Lagipun kita nak tidur sini sampai pagi esok je. Jomlah! Abang dah letih sangat ni,” putus Hadi.
“Tak naklah kat sini. Qay takutlah..”
“Takut kenapa pulak?” getus Hadi. Dia sudah tidak sabar mahu melihat katil. Penat!
“Tempat ni bukan ke tempat bapak ayam..”
“Dah! Jangan fikir yang bukan-bukan. Abang ada!” putus Hadi enggan melayan rungutan isterinya. Baru hari pertama tu. Nak sangat berbini, ambik kau!
“Abang..” keluh Qay mengeraskan diri enggan dibawa masuk ke situ.
“Sana mahallah! Kita kena berjimat,” tekan Hadi.
“Qay ada duit. Kita pakai duit Qay. Lagipun semalam ajakan?” pujuk Qay. apa yang dia tahu dia benar-benar tidak rela membiarkan tubuhnya landing di atas tilam bekas pelacur-pelacur murahan melayani pelanggan. Habis tu kau fikir kat hotel mewah tu takde pelacur ke Qay?
“Dengar cakap abang. Malam ni aja kita kat sini. Esok pagi kita balik, okay?” pujuk Hadi lembut. Membiarkan dirinya mendapat malu dengan menggunakan wang isterinya? Memang taklah! Aku ada maruah, okay..
Qay terpaksa akur juga walaupun dia terasa amat jijik dan ngeri untuk masuk ke hotel itu. Pandangan orang sekeliling di lobi itu kepadanya menambah lagi ketakutan Qay. Ada lelaki sebaya datuknya tersengih-sengih miang kepadanya. Apabila mereka berpandangan lelaki itu mengangkat kening sambil menjilat bibir. Tak padan dengan umur tua sungguh orang tua itu! Ada hati mahu mencuba ‘pucuk muda’ yang baru kahwin lari itu.
Apa pandang-pandang? Kau ingat aku ni penari bogel ke nak pandang macam tu? Tua kutuk! Kau tak nampak laki aku ada kat sebelah ni? Omel Qay dalam hati. Dalam hati ajalah.. takut kalau lidahnya lancang benar membuat kecoh di tempat orang, silap-silap malam ini dia disumpah menjadi anak ayam untuk tua-tua kutuk seperti itu dan Hadi pula disumpah menjadi anak ikan untuk mak-mak datin.
Mengenangkan Hadi minat benar nak menginap di situ, dia ikut sahaja kehendak suaminya itu tanpa keikhlasan. Macam-macam andaian yang bermain di benaknya saat menanti Hadi menyelesaikan urusan dengan receptionist merangkap tuan punya rumah tumpangan itu. Yalah.. dia juga yang nak sangat merasa berlaki. Sekarang dah ada suami kenalah taat pada perintah suami, ya tak?
Akhirnya Qay dah macam buruh paksa dia ditarik ke sana ke mari oleh Hadi. Lelaki itu sempat menoleh melihat isterinya apabila dirasakan Qay lambat benar berjalan. Rupanya gadis itu ralik memerhatikan suasana di tingkat dua rumah tumpangan itu. Mukanya tak usah nak katalah.. dah macam masuk rumah hantu seramnya.
Tiba di bilik nombor 13, Hadi membuka kunci sementara Qay terus memerhatikan sekeliling. Di sekelilingnya sibuk dengan manusia-manusia yang berbual sesama sendiri. Entah apa yang dibualkan. Cuma dia sempat mengandaikan sudah tentulah ini urusan tawar menawar untuk khidmat urut dan seks memandangkan kebanyakan wanita-wanita yang tersidai di koridor itu berpakaian seksi. Oh! Dia tahu.. apa yang sering ditonton di tv suatu masa, dulu kini dia melihat sendiri dengan mata kepalanya. Dress singkat ketat seperti itu dah memang uniform wajib untuk wanita pelacur.
“Cepat, sayang! Pandang apa lagi tu?” panggil Hadi dari dalam. Dia sudah selamat masuk ke bilik sementara Qay pula masih terpinga-pinga di luar. Menyedari dia hanya sendirian tertinggal, Qay cepat-cepat menyumbatkan diri ke dalam bilik itu.
Hadi tergelak kecil melihat wajah isterinya itu. Kalau tadi muka blurnya dibuat ketika memandang orang-orang di luar. Kini dia buat muka yang sama pula apabila memandang suasana bilik itu. Bantal bersampul putih itu diangkat menggunakan hujung kuku. Macam dah geli benar!
Hadi terus menanggalkan bajunya. Tuala yang disediakan oleh pihak rumah tumpangan itu dicapainya.
“Abang nak guna tuala tu ke?” tegur Qay tidak senang. Matanya merenung lama tuala nipis berjalur macam bendera Malaysia itu. Cuma bintangnya aja yang takde.
“Yalah.. habis tu?” balas Hadi pelik dengan teguran isterinya.
“Janganlah!” tegah wanita itu, pantas dia mendekati begnya. Sehelai tuala dikeluarkan dan diserahkan kepada Hadi.
“Kenapa dengan tuala tadi? Tak sama harga macam tuala Qay ni? Murah?” ucap Hadi selamba. Namun tuala yang dihulurkan Qay diambil juga. Yalah, kalau nak dibandingkan tuala tauke rumah tumpangan ini, memanglah tak sama dengan tuala milik anak tauke minyak dan emak, ya tak? Tuala di tangan Hadi tu tebalnya dah macam selimut. Tuala tadi? Dahlah nipis.. benangnya pun tak reput!
“Bukan sebab murahlah. Sebab tak tentu bersih ke tak! Entah berapa ramai yang pakai tuala tu, lepas tu abang pulak pakai. Hi.. gelilah!” cebir gadis itu seolah-olah jijik benar pada tuala yang dipegang Hadi tadi.
“Habis tu tuala di hotel 5 bintang tu takde ramai orang pakailah! Sama jelah!” perli Hadi sambil menggeleng.
Qay tidak sempat menjawab apabila Hadi terus masuk ke bilik air. Yalah.. tuala di hotel 5 bintang dibasuh menggunakan bahan pencuci khas untuk matikan kuman. Apek ni ada ke benda alah tu? Getus Qay dalam hati. Nak melawan, itu suami. Nanti berdosa!
Selesai mandi Hadi terus keluar dari bilik air. Namun dia kehairanan melihat isterinya itu. Berdiri terpacak di tengah bilik tanpa berbuat apa-apa. Salah hemat orang ingat hantu.
“Qay tak mahu mandi ke?” soal Hadi hairan melihat keanehan isterinya. Kut ya pun, duduk jelah kat katil tu. Kerusi pun ada dalam bilik tu. Tak penat ke jadi jaga?
“Kat dalam ada shower gel tak?”
Hadi terus ketawa. “Usahkan shower gel, sayang. Paip shower tu pun takde! Air kena tadah dalam baldi. Baldi kecik pulak tu,” ucap Hadi tidak serius. Hai.. bini aku ni. Macam-macamlah!
Qay mengertap bibir memandang suaminya. Dia sedar Hadi sedang mempersendakan dirinya. Akhirnya hanya sebuah jelingan yang terdaya dihadiahkan sebagai tanda tidak berpuas hati kepada Hadi. Dengan hati yang bengkak Qay menghentak kaki ke bilik air bersama dengan tuala dan baju persalinannya.
Namun Hadi tidak menipu..
Di dalam bilik air itu Qay termenung sendiri. Dia tidak tahu nak mandi macamana. Rasanya tandas awam di Pantai Teluk Chempedak sana lebih ‘berkemudahan’ berbanding ini. Apa punya rumah tumpanganlah macam ni! Dahlah baldi kecik, ada ke gayung pakai buntut botol meneral je? Macamana rambut aku nak basah kalau macam ni? Habis tu macamana dia orang tu mandi junub ek? Kat rumahlah agaknya tu.. jauh sudah melencong fikiran gadis itu. Qay semakin tidak dapat menolak dirinya daripada memberi komen demi komen. Bukannya dia nak mengada-ada benar. Tapi takkanlah nak mandi kerbau kut?
“Qay.. jangan tidur pulak dalam bilik air tu,” teguran Hadi dari luar menyentak lamunan anak dara itu. Cepat-cepat meneruskan agendanya yang terkandas dek kerana kecanggihan bilik air rumah tumpangan itu. Nak tak nak mandilah jugak dengan kuantiti air yang ada.
Namun resam seorang perempuan kalau tak berlama-lama dalam bilik air memang tak sah! Begitulah juga Qay. Dek kerana kemudahan yang mencukupi di dalam bilik air itu, malahan terlebih-lebih.. Hadi sempat tersenggut menanti isterinya itu selesai mandi. Malam pertama sebagai suami isteri masakan dia harus tidur sendiri pulak.
“Lama lagi ke Qay?” soal Hadi sudah tidak larat menanti.
“Kejaplah!” Terus pintu bilik air terbuka. Mata Hadi terbuka sedikit memandang ke arah bilik air itu. Namun spontan matanya terus terbuka luas. Mengantuk pun terus mencicit lari. Sumpah! Inilah pertama kali sepanjang hidupnya melihat seorang wanita seseksi itu. Gulp! Hadi menelan liur. Berdegup kencang jantungnya melihat rupa Qay di dalam baju tidur.
“Abang jangan pandang Qay macam tu, boleh tak?” tegur Qay tidak keruan. Pandangan Hadi dah lebih kurang sama dengan lelaki-lelaki yang memandangnya ketika di lobi tadi. Terlupa sekejap yang Hadi itu suaminya.
“Habis tu yang Qay pakai baju seksi kenapa? Tak jadi abang nak tidur,” jawab Hadi mula tersengih gatal. Ish! Mata ni.. tadi mengantuk benar. Kenapa dah tak mengantuk lagi ni? getus hatinya sendiri.
Qay tersenyum malu pula. Dia dah terbiasa. Tidur mestilah dengan gaun atau pijama. Tak pernah seumur hidupnya memakai kain batik. Tetapi melihat renungan Hadi melalui cermin kabur berkarat di hadapannya itu tiba-tiba dia merasa gentar pula. Sedikit masa lagi dia pasti akan menempuhi gerbang sebagai seorang isteri yang sebenar. Sudah bersediakah dia? Habis tu kalau tak bersedia, bolehkah dia mengelak? Esok, boleh mengelak lagi? Lusa? Tulat? Kalau nak mengelak terus, baik tak payah bersuamilah, Qay!
Hendak tak hendak akhirnya Qay mendekati katil itu setelah selesai berdandan. Malunya dia kepada Hadi hanya Tuhan sahaja yang tahu. Janggal perasaannya. Dahulu Hadi cuma kekasihnya. Kini lelaki itu suaminya.
“Wangi..” ucap Hadi sudah tidak keruan. Bilik itu sudah dipenuhi oleh haruman losyen milik Qay. Letak punggungnya juga sudah dirasakan tidak kena tiba-tiba. Sekejap dia berkalih. Seketika kemudian berkalih lagi.
“Janganlah pandang macam tu. Qay rasa macam nak lari aja!” getus gadis itu malu-malu.
“Habis tu abang nak pandang mana pulak? Bilik ni bukannya ada tv.” Hadi menjawab sambil menyeringai. Alahai.. cunnya bini abang. Rasa macam nak terkam aja ni!
“Tadi macam dah penat sangat?” ucap Qay tidak berani mahu bertentang mata. Kalau tidak wajahnya ini sudah bertukar merah, agaknya dah bertukar hijau. Jantungnya sudah berdegup laju. Macam terlebih eletrik aja!
“Itulah.. tadi macam penat sangat rasanya. Sekarang hilang penat!” sambut Hadi gatal. Perlahan dia mengingsutkan punggung mendekati isterinya. Walaupun dia lihat Qay tegak macam patung namun dia tidak peduli. Rambut ikal wanita itu disibaknya. Pipi yang sedang merona kemerahan itu benar-benar memikat mata lelakinya. Kemudian jemari isterinya itu dicapai lalu diramas lembut.
“Takut ke?” bisik Hadi sambil merenung jemari yang sedang digenggamnya itu. Sejuk jemari itu dirasakannya. Hadi merenung lagi wajah isterinya. Dia sudah dapat melihat keresahan yang cuba disembunyikan oleh Qay.
Qay menoleh kepada lelaki itu. Pipinya hampir berlaga dengan hidung suaminya. Redup pandangan Hadi dapat difahami apa ertinya. Namun rasa malunya membuatkan Qay kembali memandang ke hadapan. “Qay.. Qay tak pernah buat macam ni. Qay tak biasa..” ucap gadis itu agak payah.
“Abang pun tak pernah..” sambut Hadi dengan sedikit senyuman. Pemalu jugak bini aku ni rupanya, bisiknya dalam hati. “Tapi kalau tak dibiasakan, memanglah tak tahu..” bisik Hadi menggoda.
Qay meneguk liur menggelabah. Nampaknya Hadi tidak faham penolakan halusnya. Alamak! Mana aku nak lari ni..
Hadi tersenyum melihat isterinya itu. “Abang takkan paksa. Abang tahu Qay perlukan masa untuk bersedia. Abang saja je nak test Qay tadi,” bisik Hadi lantas ketawa kecil. Perlahan dia menjauhi gadis itu. Lampu dipandamkan dan tubuhnya dibaringkan di tempatnya sambil memandang isterinya itu. Qay masih membeku di tempatnya.
“Meh sini! Baring dengan abang. Kita kena bangun awal pagi nanti,” ucap Hadi meminta isterinya itu berbaring di lengannya.
Gadis itu menoleh dalam kemalapan bilik itu. “Kalau Qay minta sesuatu abang jangan marah ya?” ucapnya cukup lembut
“Apa dia?”
“Abang jangan apa-apakan waktu Qay tidur ya?”
Spontan Hadi terus tergelak mendengar kata-kata yang kedengaran cukup polos itu. “Alahai, sayang.. takkanlah abang nak buat macam tu pada bini abang. Qay ni mengarut betullah. Meh sini cepat!”
Perlahan gadis itu bergerak mendekati suaminya. Buat pertama kali dalam hidupnya dia meletakkan kepalanya di lengan seorang lelaki yang bernama suami. Saat tubuhnya didakap, segala rasa tidak enak dan tidak selesa tadi mula menghilang sedikit demi sedikit. Terkedip-kedip matanya di dalam gelap itu sambil otaknya menafsirkan apa yang sedang berlaku kepadanya. Pelukan erat Hadi benar-benar membuat dia merasa selamat dan selesa.  Sehingga akhirnya dia membalas dengan memeluk pinggang lelaki itu lalu berlayar ke alam mimpi.

Bulan madu di Jalan Pudu!
Ironinya resam pengantin baru seperti mereka seharusnya menikmati bulan madu yang indah, paling busuk pun mestilah ke Paris. Namun mereka berdua? Di kerusi perhentian bas sahaja.
Mereka sepasang suami isteri yang tidak punya apa-apa persediaan untuk memulakan hidup bersama. Sesampai di KL mereka berdua ditinggalkan di Perhentian Bas Jalan Pudu. Hadi dan Qay kini sudah berada di tengah-tengah pancaroba realiti kehidupan yang sebenar. Apa yang sedang mereka pandang bukanlah sesuatu yang selama ini diandai mudah oleh otak mereka. Buat seketika mereka termangu tidak tahu mahu berbuat apa. Tidak tahu mahu ke mana. Tiada sesiapa yang datang menjemput mereka.
Hadi masih berfikir adakah dia patut menyusahkan Salina? Bukannya dia tidak boleh ke rumah adik beradiknya tetapi dia tidak mahu orang tua mereka tahu kedudukan mereka sekarang. Salina pernah menawarkan bantuan kepadanya sebelum mereka bertolak ke utara sebelum ini. Mungkin dia harus mempertimbangkan pelawaan kakaknya itu.
“Kita kena tidur rumah tumpangan lagi ke, bang?” tanya Qay dengan muka letih dan bosannya. Sampai bila mereka nak termangu di kerusi perhentian bas ini?
“Qay sanggup ke?” tanya Hadi semula sambil memandang isteri di sisinya itu.
Cepat-cepat gadis itu menggeleng. Hadi memandang ke hadapan seketika. Dia masih berfikir apa yang harus dibuatnya saat ini. Untuk dirinya mungkin dia tidak begitu kisah benar. Tetapi Qay? Masakan dia harus mengheret isterinya itu ke sana ke mari tanpa tempat tinggal tetap?
“Buat sementara ni Qay tinggal rumah Kak Sal, boleh?”
“Abang?”
“Jangan risau pasal abang. Abang ni lelaki. Tidur kat masjid aja pun dah cukup selesa, sayang. Esok abang janji abang akan mula cari rumah.” Hadi berkata lembut sambil mengusap lembut pipi isterinya itu penuh kasih. Inilah akibatnya jika menurutkan hati. Dia tidak sampai hati melihat kesusahan Qay.
Qay terdiam. Mahu menerima begitu sahaja, dia tidak sampai hati. Namun jika menolak bimbang Hadi membawanya tinggal di rumah tumpangan lagi. Dia sudah tidak sanggup!
“Qay duduk dengan Kak Sal ya?”
“Boleh ke? Nanti kalau ada sesiapa datang cari kita macamana?” Masih terselit sedikit keraguan di hati kecil Qay.
Hadi terdiam pula. Itulah sebenarnya halangan utama yang memberatkan hatinya mahu meminta bantuan kakaknya. Walaupun Salina sudah berjanji mahu merahsiakan namun dia tahu risikonya masih besar. Perlahan sebuah keluhan dilepaskan Hadi tanpa sengaja. Fikirannya kusut benar.
“Abang, Qay ada idea.”
“Idea apa?” sambut Hadi pantas. Jangan hotel 5 bintang sudahlah, Qay. Itu bukan idea namanya.
“Qay satu tahu tempat aja yang selamat untuk kita. Mungkin buat sementara ni kita boleh tinggal kat situ sampai abang dapat rumah lain.”
“Kat mana?” berkerut dahi Hadi memandang isterinya itu.
“Rumah lama, Qay.”
“Rumah lama?” semakin menebal kerutan di kening Hadi.
“Jom ikut Qay,” ajak Qay pantas. Dia bangun dan menarik Hadi agar berdiri sama dengannya.
“Qay pasti ke situ tu selamat, sayang? Kan papa Qay tahu rumah tu?” soal Hadi sudah mula dapat menangkap rumah yang mana satu dimaksudkan Qay.
“Papa memang tahu rumah tu. tapi papa takkan detect Qay akan ke situ sebab kunci rumah hanya ada pada papa,” jawab Qay mudah.
“Habis tu kalau kunci rumah kat papa, macamana kita nak masuk?” tanya Hadi semakin tidak faham dengan rancangan Qay. Jangan suruh abang panjat pagar lagi, sayang. Hati Hadi merayu sendiri. Dia paling tidak mahu buat masalah dalam keadaan begini.
“Qay ada simpan kunci kat tempat lain. Jomlah cepat!” semakin teruja gadis itu mahu mengajak Hadi ke sana.
Mahu tidak mahu Hadi bangun juga menuruti langkah isterinya itu. Dia juga sudah tidak tahu jalan apa lagi yang ada sekiranya idea Qay ini tidak berhasil. Dengan menggunakan bas mereka tiba di Bukit Gasing. Ketika itu rembang senja sudah lama kelihatan. Hadi sempat memandang kawasan itu sambil menyangkut beg ke bahunya. Orang kaya-kaya ni memang suka duduk di bukit agaknya, fikir Hadi sendiri. Rumah ini juga berada di lereng bukit.
Kemudian mereka berjalan kaki mendaki bukit itu.
“Dulu Qay tinggal kat sini,” ujar Qay memandang lama rumah lamanya yang sudah ditinggalkan sepi. Rumah itu gelap gelita. Tiba-tiba dia terasa rindu untuk kembali menjejakkan kaki ke situ.
Hadi sempat memandang sisi wajah isterinya itu. Rumah di hadapan matanya itu tidaklah sebesar rumah keluarga Qay di Sepang itu. Namun ciri-ciri mewahnya masih ada. Rumah itu adalah rumah banglo 3 tingkat. Mujur juga rumah itu tidak beratur rapat dengan rumah lain. Jika tidak kehadiran mereka di rumah tinggal itu pasti akan menarik perhatian jiran yang mana akhirnya pemilik rumah sebenar akan tahu juga mereka menyorok di situ.
“Qay pasti ke yang rumah ni masih milik papa Qay. Entah-entah papa Qay dah jual tak?” soal Hadi dengan perlbagai andaian di benaknya. Buatnya rumah ini sudah bertukar pemilik. Matilah mereka kerana menceroboh!
“Jual propeti yang berharga macam ni, bukan perangai papa. Papa takkan jual rumah sebab bagi dia rumah sangat berguna untuk masa-masa tertentu. Jual rumah memang senang tapi nak beli sebuah rumah tak mudah. Sebab tu papa tak jual,” jawab Qay yakin.
“Habis tu macamana kita nak masuk ni?” soal Hadi. Bukannya dia tidak nampak lilitan rantai besi pada pintu pagar di hadapannya itu.
Qay sempat tersenyum santai. Langsung dia tidak merasa susah hati dengan apa yang ditanyakan Hadi. “Dulu waktu papa ajak kami pindah, Qay sebenarnya tak suka. Dalam diam Qay buat plan sendiri. Qay tanam kunci rumah kat tempat rahsia supaya nanti Qay boleh balik semula ke sini bila-bila yang Qay nak. Qay masih ingat lagi kat mana kunci tu ditanam.”
Hadi sekadar diam. Antara percaya dan tidak dia mengikut sahaja ke mana dia dibawa oleh isterinya itu. Qay membawa dia ke menyelusuri pagar bahagian tepi kawasan rumah itu. sehinggalah mereka tiba di penjuru tembok pagar itu.
“Qay tanam kunci tu kat sini. Kunci tu ada dalam kotak kayu.”
“Biar abang gali,” ucap Hadi pantas. Beg dibahunya diturunkan lalu dibuka. Ada sesuatu yang dicarinya dari dalam beg itu. Dek kerana keadaan sudah gelap, pencarian Hadi mengambil sedikit masa. Habis beg itu diselongkarnya. Akhirnya objek yang dicari sampai juga ditangannya.
Dengan menggunakan sebilah pisau lipat Hadi mencungkil tanah itu. Qay pula memerhatikan sekeliling. Bimbang orang lain ternampak kelibat mereka. Mudah orang akan menyangka yang tidak-tidak kepada mereka dalam keadaan begini.
Akhirnya setelah mencba di beberapa tempat, sebuah kotak kayu ditemukan Hadi. Lega perasaannya apabila bekas yang dimaksudkan Qay sudah berjaya dilihatnya. “Ini ke, sayang?” tanya Hadi setelah sebahagian rupa kotak itu sudah timbul dari tanah. Sebahagiannya masih tertanam.
“Betul. Ambil aja kuncinya, bang. Nanti orang nampak kita kat sini.”
  Hadi sekadar mengambil kunci yang dimaksudkan dan terus diberikan kepada isterinya itu. Kemudian dia terus bangun sambil mengibas seluarnya. Qay terus mengajak Hadi ke bahagian belakang rumah itu.
“Harap-harap papa tak putuskan bekalan eletrik.” Doa Qay agak perlahan.
“Jiran lain macamana, sayang? Kalau dia orang nampak kita kat sini mesti dia orang akan call papa Qay.” Hadi sempat meluahkan kebimbangannya.
“Abang, kita kat PJ sekarang, bukannya kat Sepang. Sini orang lain tak peduli dengan orang lain!” getus Qay selamba. Dia tahu sangat ragam jiran sekeliling mereka dahulu. Masing-masing buat hal sendiri.
Hadi pada mulanya tidak begitu faham apa yang dimaksudkan Qay. Namun akhirnya dia mengerti juga. Penduduk di bandar kebanyakannya sudah tidak peduli dengan jiran masing-masing.
Dengan kunci yang berada di tangan akhirnya mereka berjaya masuk ke rumah itu dengan selamat. Sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan dapur, Qay memetik suiz lampu. Serta merta suasana dapur itu terang. Qay tersenyum penuh kelegaan sambil mencari wajah Hadi.
Hadi yang berada di belakang terpegun seketika. Lega sedikit perasaannya menyedari mereka sudah ada tempat berteduh buat sementara ini. Walaupun di hati kecilnya dia merasa bersalah kerana memasuki rumah ini tanpa kebenaran tuan asalnya. Namun dia sudah tidak ada pilihan lain. Tekadnya dia ingin mencari rumah sewa dan kerja secepat mungkin.
Selesai solat isyak mereka berdua berjalan kaki keluar dari rumah itu untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan. Nasib mereka baik kerana tidak jauh dari kawasan itu ada sebuah pasaraya kecil yang masih beroperasi. Mereka sempat membeli stok makanan untuk disimpan di rumah.
Usai memenuhkan perut malam itu mereka duduk di luar rumah. Sengaja mengambil angin sambil berbincang tentang aktiviti mereka esok.
“Abang nak cari kerja esok. Qay duduk rumah ya?”
“Kenapa pulak? Qay nak ikut abang!”
Hadi ketawa perlahan melihat isterinya itu. “Mana ada orang cari kerja bawak bini sekali, sayang. Tak payalah. Qay duduk rumah, masak untuk abang.. lepas tu tunggu abang balik ya?” ucap Hadi lembut. Jemari isteri yang duduk di sebelahnya itu dimain lembut.
“Qay mana tahu masak.”
“Masak meggi tahu?”
Qay menggeleng lagi. Tak payahlah banyak tanya. Hakikatnya dia anak dara yang boleh dikira berapa kali sehari untuk jejakkan kaki ke dapur. Itu pun untuk basuh tangan lepas makan. Atau minum air. Memasak? Takde dalam kamus hidupnya selama ini.
“Masak meggi pun tak tahu? Habis tu apa yang Qay tahu masak?”
“Tak tahu masak apa-apa.”
Astaghafirullah-al-adzim.. Hadi beristighfar dalam hati. Biar betul bini aku ni? “Takkan masak air pun tak tahu?” soal Hadi seperti tidak percaya.
“Emm.. masak air senang je. Bibik selalu guna boiler aja. Masukkan air lepas 5 minit, dah boleh dapat air panas,” ucap Qay sambil cuba mengenang semula perbuatan pembantu rumah di rumahnya dahulu. Mesin pemanas air itu juga ada di rumah ini. Jadi apa nak susah?
“Yang, itu kalau ada boiler yang canggih macam kat rumah Qay ni. Kalau kita duduk rumah sewa nanti, mana ada boiler tu semua. Semua kena masak pakai dapur gas.”
“Kalau macam tu, kita duduk sini ajalah!” putus gadis itu mudah.
“Mana boleh macam tu. abang tak sedap hati, sayang. Papa Qay tak pernah bagi kebenaran untuk kita duduk sini. Abang rasa berdosa. Walaupun Qay anak dia tapi hakikatnya belum tentu papa Qay happy kita buat macam ni.” Hadi berkata perlahan. Ini bukan zaman bulan madu yang indah. Di hadapan mereka masih banyak cabaran yang menanti.
Qay terdiam mendengar bicara Hadi.
“Dengan abang, Qay kena belajar terima kesederhanaan. Abang tak mampu sediakan keselesaan sama macam yang papa Qay berikan selama ini. Tapi insya-Allah abang akan usahakan yang terbaik untuk isteri abang,” janji Hadi lembut.
Perlahan Qay melentokkan kepalanya ke bahu lelaki itu. “Qay pun tak pernah harap abang akan layan Qay macam bidadari. Qay terima keadaan ni seadanya, bang. Qay tak mahu membebankan abang.”
“Abang tahu Qay memang isteri yang baik. Abang bertuah kerana isteri abang faham keadaan abang sekarang. Abang janji abang takkan sia-siakan Qay. Abang akan berusaha sedaya upaya membahagiakan Qay.” Hadi berkata perlahan.
Biarlah susah atau apa pun, Qay tetap sayangkan abang. Qay nak hidup dengan abang sampau mati. Qay nak kongsi segala-galanya dengan abang. Susah dan senang, kita tetap bersama.” Qay membalas lembut penuh keikhlasan.
Hadi tersenyum sambil mengucup dahi isterinya itu. “Abang janji ni semua takkan lama. Kita akan balik juga jumpa keluarga kita. Qay sabar dulu ya, sayang?” ucap Hadi cukup lembut.
“Qay akan tunggu, bang.” Dia tidak kisah akan semua itu. apa yang dia mahu adalah sehidup semati dengan Hadi. Gadis naif itu masih tidak nampak kehidupan sebenar yang sedang menantinya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.