Bab 7
“Qay nak
pergi tengok, ma!” ucap Qay spontan apabila dia diberitahu ada berlaku
kemalangan jalanraya berhampiran pintu masuk kediaman keluarga mereka. Uwo Zaharah yang bercerita setelah
terserempak dengan kemalangan itu ketika mahu masuk ke kawasan rumah ini.
Patutlah sebentar tadi dia ada terdengar bunyi dentuman yang agak kuat di bawah
bukit sana. Dari intaiannya di balkoni biliknya dia dapat melihat ada ramai
orang sudah berkumpul di bawah sana.
“Hish! Nak buat apa? Bahaya!” tegah Puan Azreena tidak
bersetuju dengan kemahuan anaknya itu. Bukan-bukan pulak mahunya budak ni!
getus hati Puan Azreena tidak suka.
“Qay cuma nak tengok dari jauh aja. Please..” rayu Qay bersungguh.
Puan Azreena menghela nafas tidak senang dengan kemahuan
anak daranya itu. Kemalangan jalan raya pun dia nak tengok ke? Alahai.. anak
aku ni. Tak bagi nanti merajuk pulak. Bukan best
pun tengok kereta kemek sana sini dengan darah tu semua..
“Biarlah dia pergi. Kalau dia pengsan tengok darah tu
semua, Uwo tak mahu tolong!” ucap Uwo Zaharah sengaja mahu menakutkan Qay.
“Uwo ni..”
degus Qay tidak senang Uwonya yang
cuba menakut-nakutkannya.
“Buat apa nak tengok? Kan tadi Uwo kata kemalangan tu ngeri. Nanti Qay tak boleh tidur malam
pulak. Kalau sampai demam nanti mama jugak yang susah!” tegah Puan Azreena
tidak gemar dengan kemahuan anaknya itu.
“Qay cuma nak tengok dari jauh je, ma. Qay takkan pergi
dekat. Please..” rayu anak itu tidak
peduli.
“Jauh ke dekat ke, pokok pangkalnya tak boleh!”
“Nak jugak!”
“Kenapa degil sangat ni? Duduk aja kat rumah! Uwo baru aja sampai ni!” suara Puan
Azreena mula meninggi.
“Qay merajuklah macam ni..” rengus anak manja itu lantas
menuju ke tangga.
“Merajuklah! Mama tak hairan! Lama sikit merajuk tu biar
papa tengok bila papa balik petang nanti,” balas Puan Azreena selamba. Uwo Zaharah hanya ketawa melihat gelagat
anak cucunya itu.
Qay tiba-tiba berpatah balik semula. Olahnya tidak
menjadi nampaknya. Entah kenapa dia benar-benar didesak oleh keinginan itu.
“Mama, pleaselah. Qay tengok dari
dalam pagar aja. Qay nak pergi, ma..”
Puan Azreena menghela nafas geram melihat ragam anaknya
itu. “Qay ni kenapa? Benda macam tu pun nak tengok untuk apa?”
“Qay takde sebab nak tengok tapi Qay nak jugak tengok!”
degus Qay tetap dengan kemahuannya. Kalau dah berlaku berdekatan dengan rumah
mereka sudah tentulah dia mahu tahu. Salah ke? “Bolehlah, ma..” rayu Qay lagi
apabila melihat emaknya tidak melayan permintaannya itu.
“Jawapan mama Qay dah dengar tadikan?”
“Fine! Hari ni,
esok, lusa sampai bila-bila Qay tak nak makan!” Qay terus berpaling. Laju
kakinya diatur menuju ke tangga.
“Okay! Okay!” Puan Azreena mengalah akhirnya. Ugutan
anaknya itu sudah mula mengerikannya. Anak aku ni dahlah kurus. Tak mahu makan
sampai bila-bila, nanti lempeng pun lagi tembam dari anak aku, omel hati Puan
Azreena sendiri. Qay lantas berpaling dengan senyumannya.
“Janji jangan pergi dekat-dekat?” soal Puan Azreena agak
keras.
“Qay janji!” sambut Qay pantas.
Puan Azreena mendegus seketika. Hatinya berat mahu
melepaskan tetapi anaknya itu beria-ia benar mahu melihat itu semua. Perlahan
dia mendapatkan telefon di tepi dinding di ambang dapurnya itu. Seseorang yang
amat dipercayainya dipanggil ke rumah itu dari pondok pengawal.
Tidak sampai lima minit sebuah kereta yang sering
digunakan di padang golf muncul di hadapan banglo itu. Bugy golf itu
sememangnya sering digunakan oleh pengawal untuk meronda kawasan rumah yang
agak luas selain daripada menggunakan motor. Kalau berjalan kaki melecet
jugalah ibu jari kaki. Dengan kenderaan kecil itu Qay dibawa ke bawah. Dari
jauh dia sudah melihat kesibukan pasukan keselamatan melakukan kerja-kerja
menyelamat.
“Mama pesan sampai sini aja,” ucap Malik yang merupakan
ketua pengawal keselamatan. Lelaki itu merupakan bekas askar yang baru sahaja
bersara dari tugas tenteranya. Kereta kecil itu diberhentikan beberapa meter
dari pada pos pengawal itu.
“Abang Malik ni.. dekatlah sikit! Kat sini mana nampak. Bukannya
Qay nak panjat pagar tu pun!”
Malik menggeleng seketika melihat ragam gadis itu. Namun
kereta itu dibawa lebih dekat ke pagar utama. Sememangnya kejadian malang itu
terlalu hampir dengan kediaman mereka sehingga sebahagian rangka kereta sudah
masuk ke dalam jalan untuk ke rumah itu. Qay sekadar memandang dari jauh. Namun
dia tidak berpuas hati kerana pandangannya dihalang oleh tubuh-tubuh manusia
yang mengelilingi kawasan itu.
“Abang Malik, temankan Qay pergi kat situ?” ucap Qay
lembut sambil bibirnya dimuncungkan ke arah luar pagar itu. Dia mahu melihat
dengan lebih dekat lagi.
“Mama Qay tak bagi keluar dari kawasan rumah..”
“Sekejap aja. Apa nak takut? Abang Malikkan ada? Abang
Malik temankan Qaylah.” Pandai pula anak dara itu mengayat lelaki berusia 35
tahun itu.
Akhirnya Malik membuat isyarat kepada seseorang di dalam
pos pengawal agar membuka pintu pagar itu untuk mereka. Lantas kereta itu
digerakkan mendekati kawasan itu. sebaik sahaja kereta itu berhenti Qay terus
turun dari kenderaan itu. Dia cuba menjengah namun gagal. Malik yang berdiri di
belakang Qay membantu menolak tubuh-tubuh manusia yang menghalang pandangan
mereka sehinggalah kepada salah seorang yang berdiri paling hampir dengan
kawasan tragedi itu.
“Qay?” tegur lelaki itu terkejut melihat Qay berada di
situ.
“Eh! Abang Hadi?” Qay juga terkejut. Tapi terkejut
sukalah..
“Qay, sudahlah tu! Mari balik. Nanti mama marah kalau
lama-lama kat sini!” ucap Malik sudah tidak senang hati. Terlalu ramai orang di
sini sedangkan dia sudah diingatkan agar Qay tidak terdedah kepada orang ramai
seperti ini. Lagipun bahaya mereka berdiri di tepi jalan seperti ini. Bimbang
dirempuh kenderaan lain.
“Apa abang buat kat sini?” tanya Qay tidak peduli dengan
teguran Malik.
“Yang kemalangan tu ayah Suria. Qay tak tahu ke?” balas
Hadi sambil menunjukkan ke arah kereta yang sebahagiannya sudah selamat menjadi
lempeng besi itu.
Terkejut beruk Qay mendengar berita itu. Ayah Suria?
Musuhnya itu? Apa lelaki itu buat di sini? Qay cuba memandang ke arah kereta
itu. Tetapi anggota keselamatan yang sibuk melakukan kerja menghalang
pandangannya.
Dek kerana tidak selesa dengan tolakan manusia, Hadi segera
mengajak Qay keluar dari gerombolan manusia yang cukup ramai itu. Semuanya mahu
menyaksikan anggota bomba mengeluarkan mayat yang masih tersangkut di dalam
kereta itu. Mereka bertiga berhenti berhampiran dengan kenderaan yang
ditinggalkan Malik tadi. Di situ lebih lapang untuk mereka berbual.
“Macamana abang tahu itu ayah Suria?”
“Lah.. kan kami sekampung? Ada orang kampung bagitahu
abang tadi. Terus abang ke sini. Memang betul dia yang kemalangan ni. Itu
memang kereta dia.” Hadi berkata sambil menunding semula ke arah kereta di
celah gerombolan manusia itu.
“Qay pulak buat apa kat sini?” dia lebih hairan melihat
kehadiran gadis itu di situ.
“Ini kawasan rumah Qay..” ucap Qay sambil menunjukkan
bahagian belakangnya itu.
“Oh..” Hadi terkedu dengan senyum kelatnya. Menganga dia melihat
tempat yang ditunjukkan Qay. Mak ai.. banglo mewah yang sering dibualkan oleh orang
kampungnya ini rumah dia rupanya, bisik hati Hadi sendiri. Tidak tertelan air
liurnya melihat kedudukan keluarga Qay di situ. Gadis itu sendiri dah macam
puteri raja dengan diiringi pegawal keselamatan. Kansel.. tak jadi nak tackle! Detak hatinya tidak sanggup
membayangkan apa yang sedang dilihatnya ini.
“Suria dah tahu ke belum?” soal Qay kepada Hadi yang termangu
memandang ke arah pintu masuk ke rumahnya.
Hadi sekadar menjungkit bahu. Dia tidak sanggup memikul
tanggungjawab itu. Biarpun dia bencikan gadis itu tetapi dalam soal ini dia
memang tidak tergamak. Dia sendiri tidak tahu di mana gadis itu berada. Mungkin
di rumah bersama emaknya.
“Macamana boleh jadi macam ni?” soal Malik kepada Hadi.
Dia yang tidak ada di pondok pengawal ketika kejadian tidak begitu tahu apa
sebenarnya yang berlaku.
“Tak tahu. Tapi kata orang dari dalam pondok pengawal tu
tadi, kereta tu tengah berhenti kat tepi jalan utama tu. Secara tak sengaja dia
kena langgar dengan lori angkut pasir tu dari arah belakang. Kereta tu kena
seret sampai ke sini,” ucap Hadi sambil menundingkan jari ke arah pondok
pengawal di belakang mereka sebelum mengalihkan jarinya ke arah sebuah lori
yang sarat dengan muatan pasir yang sudah terbabas masuk ke dalam longkang agak
jauh dari mereka. Impak pelanggaran dengan jentera seberat itu memang boleh
membawa kereta itu sejauh yang mereka lihat saat itu. Apalah nasib manusia di
dalam kereta tu ya? Jadi daging hancurlah gamaknya!
“Ini bukan kawasan berhenti. Buat apa dia berhenti kat
sini?” ucap Malik agak hairan.
“Saya pun tak tahu apa dia buat kat sini. Inikan kawasan
persendirian?” tambah Hadi sambil memandang Malik. Kemudian kedua-dua lelaki
itu terdiam memikir sendiri sebelum Malik mengajak Qay masuk semula ke dalam
rumah mereka.
Mahu tidak mahu Qay terpaksa akur juga biarpun dia mahu
terus berada di situ. Bukannya dia mahu melihat sangat ‘daging hancur’ di dalam
kereta itu tapi dia mahu terus berada dekat dengan ‘daging kacak’ yang teramat
kacak di hadapan matanya ini. Hilang ngeri terus perasaannya jadi berseri-seri
dapat berbual lama sedikit dengan Hadi.
Jumpa di tempat mangsa kemalangan? Alah! Bolehlah daripada
takde langsung. Soal kemalangan itu tidak jejak lagi di otak Qay melainkan
Hadi.. Hadi.. Hadi..
Hadi pula sekadar mampu memandang gadis itu pergi. Namun
sebelum bugy golf itu berlalu sempat juga dia tersenyum sambil melambai kepada
gadis yang masih merenung kepadanya.
Alahai, sayang.. abang tak mampulah nak beli bugy golf tu
untuk sayang. Beli bola golf pun abang belum mampu. Tunggulah abang jadi kedi
nanti. Abang bawak sayang jalan-jalan naik bugy golf tu ya? keluh hati hati
Hadi sendiri. Seriau hatinya memikirkan dia ‘sedang’ ada hati kepada gadis yang
jauh lebih berkedudukan daripadanya.
“Kasihan pulak akak tengok Suria tu. Murung aja semenjak tadi,” ucap Salina sambil
memandang gelagat Suria yang duduk termenung berseorangan di luar rumahnya.
Kesibukan orang ramai mengendalikan kenduri tahlil di rumahnya ini tidak
dipedulikan Suria. Dia sekadar hanyut dalam dunianya. Dah macam orang sakit
meroyan rupanya. Kusut masai!
Hadi sekadar memandang sekilas ke arah yang dipandang
oleh kakaknya itu sebelum menyambung tugasnya mengisi lauk ke dalam mangkuk
yang akan dihidangkan kepada tetamu majlis tahlil malam ini. Dek kerana
kekurangan ahli keluarga dia yang lelaki ini terpaksa turun ke dapur membantu
majlis kenduri ini. “Apa boleh buat? Dah sampai masa arwah..” ucapnya biasa.
Memang kasihan tetapi apa boleh buat mereka lakukan selain dari reda dengan
ketentuan Allah? Ajal dan maut semuanya kerja Allah. Takde siapa yang mampu
menyekat atau menangguhkan datangnya ajal.
“Macam tak percaya pun ada. Tiba-tiba aja jadi semua ni.
betullah kata orang, sesuatu yang nampak amat jauh tetapi sebenarnya dekat
ialah mati. Kita tak sedar dan kita tak beringat. Tahu-tahu aja malaikat maut
dah ikut sebab nak ambil nyawa kita.” Salina berkata lagi sambil menyusun mangkuk-mangkuk
lauk di dalam talam. Ketika diberitahu tentang peristiwa itu petang tadi dia
bagaikan tidak percaya. Kemalangan itu turut mengorbankan seorang lagi pekerja
arwah Mahmud iaitu Budin. Masing-masing dikebumikan cepat memandangkan jasad masing-masing
terlalu mengerikan.
“Tapi Hadi pelik sangat. Pakcik Mahmud ada tanah ke kat sempadan
Sepang sana?” soal Hadi agak perlahan kepada kakaknya itu. Bimbang benar pertanyaannya
didengari oleh kaum ibu di dapur rumah itu.
“Maksud Hadi?” kening Salina berkerut memandang adiknya
itu.
“Takdelah. Hadi pelik apa Oakcik Mahmud buat kat tanah
persendirian atas bukit sana? Ada orang nampak dia parking kereta tak tepi
jalan tu sebelum kereta dia kena langgar dengan lori pasir. Dia kemalangan
dekat sangat dengan kawasan rumah banglo atas bukit tu. Setahu Hadi tanah kat
situ kebanyakannya tanah milik kerajaan dan pemaju. Apa dia buat kat situ ya?”
Hadi berkata perlahan. Hanya banglo itu sahaja yang baru diketahuinya milik
keluarga Qay. Selebihnya kawasan itu merupakan tanah rizab jalan raya dan ada
satu dua kawasan yang sedang dibangunkan untuk dijadikan pusat rekreasi. Lori
pasir yang melanggar kereta arwah Pakcik Mahmud itu dikatakan sedang menuju ke
arah kawasan pembinaan beberapa kilometer dari situ.
“Akak tak tahulah pasal tanah ni semua, Hadi. Agaknya dia
ada urusan dengan tuan rumah banglo tu.” Salina meneka mudah. Ya, setahunya
kawasan itu tidak ada penempatan manusia lain kecuali pemilik banglo itu.
Hadi diam tidak menyambut. Urusan? Kalau benar berurusan
kenapa parkir kereta di luar? Kenapa tidak masuk ke dalam sahaja kerana
setahunya kedudukan rumah banglo itu agak jauh dengan pintu pagar utama untuk
mereka berjalan kaki begitu sahaja. Lagipun ketika dia bertemu dengan Qay siang
tadi, tidak ada tanda-tanda Qay mengenali kereta itu jika benar arwah Pakcik
Mahmud berurusan dengan keluarga Qay di rumah itu.
“Hadi fikir apa?” tanya Salina saat memandang kening
adiknya itu berkerut-kerut seperti sedang keras memikirkan sesuatu. Semenjak
bila pula Hadi berminat dengan isu tanah ini semua?
“Takde apa. Hadi baru dapat tahu anak pemilik rumah
banglo tu rupanya kawan satu sekolah dengan kita.” Hadi menjawab perlahan.
“Iya? Siapa?”
“Qay..” sepotong nama itu pantas menabiri bibir anak muda
itu.
Terbeliak mata Salina memandang adik lelakinya itu.
Begitukah kisahnya? Namun spontan keningnya pula yang bercantum memikirkan
sesuatu tentang kemalangan yang menimpa arwah Pakcik Mahmud dan juga tentang
gadis bernama Qaira Syahreena. Dia mula teringat sesuatu yang baru diketahuinya.
Kedua-duanya saling berkait.
“Malam ni kita pergi rumah nenek nak? Kita tanya nenek.”
“Apa kena mengena dengan nenek pulak ni?”
“Kita tanya nenek sebab nenek orang lama. Nenek mesti
lagi tahu pasal ni semua.”
Mendengar itu Hadi segera mengangguk. Ya! Nenek mereka
pasti boleh merungkaikan persoalan yang sudah lama berada di benaknya ini.
Sayangnya soalan yang diajukan Salina membuatkan Nenek Rabiah tidak senang untuk
menjawabnya. Baginya apa yang ditagihkan cucu-cucunya itu tidak boleh dijawab semudah
itu.
“Kenapa pulak kamu nak tau sangat pasal tu, Sal? Itu
bukan soal budak-budak. Tak elok kamu banyak ambil tahu sangat pasal tu,” tegur
Nenek Rabiah kepada cucunya itu.
“Kenapa pulak, nek?” soal Salina semula tidak puas hati
dengan jawapan neneknya itu. Sebelum ini neneknya boleh pula bercerita tentang
itu. Sekarang ni lain cerita pula. Apa yang tidak kena?
Nenek Rabiah menghela nafas perlahan sambil menuangkan
kopi buat dua cucunya itu. Beruntung dia anak lelakinya itu tinggal berdekatan
dengannya. Adalah anak cucu yang sering datang menemankannya kala dia kesepian
begini.
“Sebab kisah yang kamu nak tau ni ada banyak kaitannya
dengan arwah Mahmud tu. Kalau terpetik satu dua keburukan dia kan tak elok tu.
Tersongket dia dalam kubur sana.” Nenek Rabiah berkata perlahan.
“Apa maksud nenek? Keburukan apa yang Pakcik Mahmud dah
buat?” soal Hadi sudah mula tidak tenang. Rasa ingin tahu semakin
melonjak-lonjak mendengar kata-kata neneknya yang lain macam.
Nenek Rabiah memandang Hadi seketika sebelum mengalihkan
pandangannya kepada Salina. “Ini soal orang tua-tua. Kamu budak-budak jangan
masuk campur. Tak elok! Kalau kamu tahu pun takde apa yang kamu boleh buat
untuk ubah keadaan ni. Lebih baik kamu tak tahu,” ujar Nenek Rabiah serius.
“Ini ada kaitan pasal kes maklong ke, nenek?” tanya Hadi
pantas.
Perlahan Nenek Rabiah mengangguk. “Hadi, ini bukan cerita
yang elok untuk kamu dengar. Kamu budak-budak tak boleh masuk campur sangat
dalam soal ni. Lagipun ini semua cerita lama. Tak elok diungkit-ungkit semula.”
Hadi menghela nafas kecewa dengan keengganan neneknya itu
bercerita tentang itu. Punahlah harapannya untuk mengetahui rahsia itu. “Nenek
tahu ke kenapa arwah Pakcik Mahmud pergi ke rumah banglo kat sempadan Sepang sana?
Rasanya kita tak kenal dengan pemilik banglo tu.” Hadi masih tidak mahu
mengalah. Kisah itu mahu juga dicongkelnya.
“Siapa kata kita tak kenal dengan pemilik banglo tu?”
sambut Nenek Rabiah pantas kepada Hadi. “Ayah kamu tak pernah cerita apa-apa
pasal dia orang pada kamu ke?” tanya Nenek Rabiah lagi.
Hadi dan Salina sekadar mampu menggeleng. Soal itu mereka
memang tidak tahu apa-apa. “Hari tu Sal ada dengar nenek kata pemilik banglo tu
ada kena mengena dengan maklong, betul ke?” tanya Salina berusaha lagi mengorek
rahsia dari neneknya itu. Dia tahu jika tidak neneknya ini yang bercerita tidak
mudah untuk mereka mengetahuinya dari orang tua mereka. Lebih-lebih lagi ayah
mereka.
Nenek Rabiah mengeluh lagi. Salina dan Hadi nampaknya
bersungguh benar mahu tahu tentang itu. Dia serba salah kerana sebenarnya
cerita itu tidak sahih untuk dipegang. Dia bimbang cucu-cucunya ini jadi
seperti dia suatu masa dulu. Percaya membuta tuli.
“Nek, ceritalah. Kami nak tahu tentang mak long.” Salina
memujuk lembut orang tua itu.
“Mak Long kamu tu dah meninggal, Sal. Ayah kamu yang
beritahu nenek baru-baru ni. Sebenarnya pemilik banglo tu selalu datang jumpa
mak dan ayah kamu selama ni sebab dia ada bawa berita pasal arwah mak long kamu
tu. Tapi mak kamu masih tak boleh terima mereka. Kalau kamu nak tahu pemilik
banglo tu sebenarnya anak tiri pada arwah mak long kamu. Arwah mak long kamu dah
meninggal lebih setahun dulu sebab kanser rahim.” Nenek Rabiah menjawab juga
akhirnya.
Hadi dan Salina sempat terlopong mendengar kenyataan dari
nenek mereka itu. Ini sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh mereka. Saat itu
di ruang mata Hadi, dia kembali terbayang wajah gadis itu dan senyumannya siang
tadi. Mulalah dadanya terasa sesak. Ya Tuhan.. rupanya keluarga mereka
menyimpan sejarah lama yang sama. Kenapa dia lambat mengetahuinya?
“Jadi arwah Pakcik Mahmud memang kenallah dengan pemilik
banglo tu?”
“Nenek agak kalau pemilik banglo tu ada ke sini jumpa mak
ayah kamu, bermakna arwah Mahmud tu memang kenal benar dengan dia. Masakan
arwah Mahmud tak kenal dia orang sedangkan waktu arwah Mariam dituduh bermukah
dengan Al Fateh dulu, arwah Mahmud tu yang jadi saksinya. Tapi betul ke tidak
tuduhan tu hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi seingat nenek semenjak peristiwa
tu berlaku arwah Mahmud dah bermusuh dengan keluarga Al Fateh tu. Dia yang
paling lantang bercerita pada orang pasal keburukan keluarga Al Fateh dulu.
Macam-macam cerita yang dibawanya. Entah betul entah tidak nenek pun tak tahu.”
“Nenek rasa tuduhan pada arwah mak long tu betul ke tak?”
Salina masih lagi memonopoli perbualan berbanding Hadi yang hanya memandang
sahaja dua wanita itu berbicara.
“Entahlah, Sal. Waktu tu seingat nenek Arwah Mariam tu
katanya dah mengandung tapi ayah kamu kata arwah Mariam memang tak pernah
melahirkan anak selama ni sebab dia mandul. Jadi nenek pun tak tahu siapa yang
benar dan siapa yang tak.” Merendah nada nenek Rabiah menjawab soalan Salina.
Dia salah seorang antara orang-orang kampung yang pernah termakan dengan cerita
itu. Kini dia kesal kerana tidak sempat memohon kemaafan dari arwah Mariam.
Salina dan Hadi saling berpandangan lagi. semakin banyak
persoalan di benak Hadi dengan penjelasan neneknya itu. “Tapi peliklah, nek. Kalau
dia yang menuduh mak long dengan orang tu berzina bermakna dia pun sama macam
mak, bencikan keluarga orang kaya tu. Nenek kata arwah Pakcik Mahmud bermusuh
dengan keluarga Al Fateh tapi apa arwah Pakcik Mahmud buat kat situ ya?” tanya
Hadi setelah puas dia berdiam diri. Soalan itu masih tidak lepas dari benaknya.
Dia merasakan ada yang tidak kena dengan kejadian itu.
Nenek Rabiah sekadar mampu memandang dua cucunya itu. Perihal
itu dia sendiri pun keliru. Dia juga tertanya-tanya kerana setahunya anaknya
sering bercerita yang Arwah Mahmud asyik menghasut menantunya Saadiah agar
memulaukan keluarga orang kaya itu. Jadi apa pula tujuannya dia berada di situ?
“Apa sebenarnya yang berlaku waktu tu, nek? Macamana
pulak arwah Pakcik Mahmud boleh saksikan perbuatan terkutuk tu? Hadi tak
fahamlah cerita sebenarnya.”
“Kamu tak faham, nenek pun lebih kurang sama aja, Hadi.
Nenek bukannya ada di situ waktu tu. Cuma yang nenek ingat, lepas mereka
tangkap arwah mak long kamu dengan Al Fateh dalam kediaman dia orang tu, arwah
datuk kamu takde pilihan lain selain dari paksa Al Fateh bertanggungjawab sebab
orang kampung sibuk mengata yang arwah Mariam tu nampak macam dah mengandung.
Kasihan juga arwah datuk dengan nenek kamu tu dulu. Tertekan sangat dia berdua
tu. Lepas mereka berdua bernikah, arwah datuk kamu terpaksa halau mereka berdua
keluar dari kampung ni sebab orang kampung dah merusuh depan rumah datuk kamu
tu. Dia orang nak arwah Mariam pergi dari kampung ni. Dulu benda begini ni
memang pantang, Hadi. Bagi kami, memang memalukan sangat kalau ada kejadian
macam ni. Sebab tu orang kampung merusuh marah. Lepas kena halau mereka
sekeluarga menghilang entah ke mana sampailah anak Al Fateh tu balik semula ke
sini bawa berita yang Mariam dah meninggal. Tapi sebenarnya kesannya pada
keluarga kamu lepas arwah Mariam pergi memang teruk. Arwah nenek kamu meninggal
tiba-tiba lepas beberapa hari arwah Mariam pergi. Datuk kamu pulak sampai
diberhentikan orang kerja. Mak kamu tu selalu diejek-ejek, dihina-hina orang
kerana kisah tu. Keluarga sebelah ibu kamu tu lama dipulaukan orang sampailah
mak kamu kahwin dengan ayah kamu. Nenek pun bersalah juga pada mak kamu sebab
hukum dia atas kesalahan yang dia tak lakukan. Tapi lama-lama nenek tersedar
sendiri. Itu semua cerita lama. Tak guna kita ungkit semula.”
Hadi sekadar diam menahan rasa. Kasihan arwah mak longnya
itu. Lama tersisih dari keluarga kerana maruah yang sudah tercalar. Sedangkan
Allah lagi maha pengampun, inikan pula sekadar manusia biasa seperti mereka. Inilah
ragam manusia. Suka melakukan sesuatu yang melebihi batas!
Bab 8
Bulan
berlalu pergi. Tahun berganti baru..
Kisah demi kisah berlaku tanpa mereka sedari, tanpa
sesiapa dapat menahan.
Rupanya kisah kemalangan itu memberi satu impak berubahan
yang besar kepada diri Qay. Semenjak kematian ayah, Suria sudah tidak senakal
sebelum itu. Sebulan tidak hadir ke sekolah, apabila kembali semula dia menjadi
orang yang pemurung. Seolah-olah pemergian si ayah yang tidak ada kembalinya
lagi ke dunia fana ini tidak mampu diterimanya. Suria lebih banyak mengasingkan
diri dari orang lain. Hidupnya kucar kacir. Sekolah tidak lagi memberikan
apa-apa makna lagi kepadanya melainkan dia hanya menghadirkan jasad tanpa
jiwanya ke situ sekadar untuk menunaikan sebuah kewajipan.
Perbuahan Suria itu memberi nafas segar kepada Qay yang
selama ini amat tertekan dengan ulah teman sekelasnya itu. Namun walaupun tidak
lagi diganggu bagaikan ada aura tidak baik antara kedua-dua mereka sehingga
mereka masih tidak dapat merapatkan diri antara satu sama lain. Mereka tidak
saling bertegur sapa. Malah masing-masing berlagak seolah-olah tidak pernah
kenal selama ini.
Bagi diri Qay, berbaik dalam erti kata seperti mana
baiknya dia dengan Amna, memang taklah agaknya! Asalkan dia tidak lagi diganggu
Suria itu sudah memadai untuk dia menumpukan perhatian kepada pelajarannya. Namun mereka sebenarnya sama tidak tahu,
betapa dekatnya mereka selama ini.
“Papa
bangga dengan Qay..” ucap Tuan Farouqe setelah melihat keputusan peperiksaan
anaknya itu. Qay berjaya mendapat keputusan seperti yang diharapkan. Anaknya
itu turut dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia. Bapa
mana yang tidak bangga?
Qay tersenyum lebar memandang ayahnya itu. Emaknya sedari
tadi hanya tersenyum senang memandang suaminya. Puan Azreena yang sudah
awal-awal melihat slip keputusan itu sudah pun memberikan pujiannya. Dia tahu
anaknya itu memang berhak mendapat keputusan sebaik itu kerana dia sendiri
melihat usaha Qay untuk mencapai apa yang dimahukannya.
“So.. apa hadiah yang Qay nak dari papa?” soal Tuan
Farouqe sambil mencium kepala anak gadisnya itu. Sudah besar rupanya anaknya
itu. Mungkin selepas ini anaknya harus memulakan sesi pembelajaran di peringkat
universiti pula.
“Qay belum fikir lagi. Nanti bila Qay dah ada idea Qay
bagitahu papa, okay?” balas Qay mesra.
Tuan Farouqe tersenyum akur. “Papa nak Qay berjaya dalam
pelajaran Qay. Suatu hari nanti Qay akan ambil alih perniagaan keluarga kita. Ingat
tu?” ucap Tuan Farouqe lembut. Dia tiada waris lain melainkan Qaira Syahreena
satu-satunya. Dia tidak tahu kepada siapa lagi dapat disandarkan harapan
sekiranya Qay tidak berminat untuk menyambung legasi keluarga ini memandangkan
Qay juga satu-satunya cucu kepada ayahnya itu.
“Qay tahu, papa. Papa dah cakap banyak kali.” Qay
menjawab sedikit meleret.
Tuan Farouqe ketawa kecil melihat reaksi anaknya itu. Dia
tahu Qay sudah bosan mendengar rancangannya. “So macamana dengan Amna?
Keputusan dia bagus ke tak?” tanya lelaki itu apabila teringatkan sahabat rapat
kepada anaknya itu. Dia juga sudah kenal dengan Amna yang kerap datang ke
rumahnya selama ini. Dia senang Qay berkawan dengan Amna yang nampak ikhlas
kepada anaknya itu.
Papa tak nak tanya ke keputusan orang yang selalu buli
Qay tu? Dia gagal! Padan dengan muka dia! seru hati Qay puas. Dia tidak pernah
membalas segala perbuatan Suria kepadanya. Allah yang balas! Suria dinobatkan
sebagai pelajar yang paling gagal secara keseluruhannya kerana keputusan bagi
subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan matematiknya gagal.
“Not bad, papa.
Dia pun salah seorang pelajar yang cemerlang. Kami dah berjanji. Lepas ni kami
nak naik tingkatan enam sama-sama. Bolehkan papa?” ucap Qay dengan sinar mata
yang cukup ceria.
Keinginan Qay itu tiba-tiba merubah sedikit kegembiraan
di wajah Tuan Farouqe. Ternyata harapan yang dilahirkan Qay sudah tidak seiring
lagi dengan keinginannya yang dahulu. Dahulu Qay bersetuju untuk dihantar
melanjutkan pelajaran ke US dan tinggal bersama datuk dan neneknya di sana.
“Kan sebelum ni Qay dah setuju nak ke New York?” soal
Tuan Farouqe lembut.
“Qay masih boleh ke New York lepas Qay ambil STPM. Di New
York Qay kena ambil A level juga. Sama aja, papa,” balas Qay pantas.
Perancangan itu sudah lama dibincangkan dengan Amna. Amna juga berminat untuk
melanjutkan pelajaran ke sana jika berpeluang.
Tuan Farouqe memandang isterinya seketika. Ada rasa tidak
senang mula tertera di wajahnya kala itu. Dia mula rasa serba salah tentang
kemahuan anaknya yang tidak sehaluan dengan kemahuannya.
“Papa, please..
Qay tak mahu berpisah dengan mama dan papa. Qay belum bersedia lagi,” rayu Qay
sambil menyentuh lengan ayahnya yang sedang tersandar tenang di sofa.
“Farouqe, onu
yapamadı bir şey yapmak için zorlayamaz. (Kita tak boleh memaksa dia
melakukan sesuatu yang dia tak boleh.)”
Puan Azreen pula bersuara memberikan pandangannya.
Perlahan Tuan Farouqe mengangguk sambil mengurut
jambangnya. “Haklısın..(kamu betul.)”
ucap Tuan Farouqe perlahan.
“Bolehkan papa?” ulang Qay meminta persetujuan ayahnya
itu tentang kemahuannnya. Dia tahu jika dia pandai memujuk ayahnya akan akur
akhirnya. Anak manja sepertinya memang mudah mendapat apa yang dimahukan. Cuma
dia tidaklah mempergunakan peluang itu untuk mendapatkan segala yang
dimahukannya kerana dia sedar emaknya tidak suka dia terlalu meminta-minta
kepada ayahnya. Emaknya mahu dia berusaha berdikari sendiri untuk hal yang
remeh temeh.
“Okay, papa setuju. Tapi Qay mesti janji dengan papa.
Lepas Qay habis STPM nanti Qay mesti ikut apa yang papa rancangkan sebelum ni,”
ujar Tuan Farouqe lembut.
“Qay janji!” sambut Qay pantas dengan senyum lebarnya.
Apa lagi yang dimahukannya jika bukan ini? Dia juga punya impian tinggi
setinggi harapan ayahnya kepadanya. Dia juga mahu berjaya dalam pelajaran
sebelum menggalas tanggungjawab kepada perniagaan keluarganya itu.
Tetapi dalam diam Qay berasa bersalah kepada kedua ibu
dan ayahnya. Tujuannya menyambung pelajaran ke tingkatan enam tiada lain adalah
kerana lelaki itu. Aqmal kini sedang memulakan pelajaran di tingkatan enam
atas. Berat benar hatinya mahu menjauhkan diri dari lelaki itu. Walaupun
sekadar memandang dari jauh itu sudah mencukupi baginya meredakan debaran rindu
yang kerap memalu hatinya. Dia belum bersedia untuk melepaskan rasa di hatinya
kepada lelaki itu walaupun sudah lama dia hanya bertepuk sebelah tangan. Dia
sendiri tidak tahu sampai bila dia harus membiarkan rasa cinta di hatinya ini.
Bukannya dia tidak sedar tiada harapan boleh digantung kepada lelaki itu memandangkan
Hadi sendiri langsung tidak pernah menunjukkan tanda-tanda minat kepadanya. Dia
yakin benar yang Hadi tidak perasan apa yang yang sedang berlaku kepadanya. Dan
Qay sendiri sebenarnya tidak faham mengapa perasaan kasihnya semakin kuat dari
hari ke hari walaupun perasaan ini tidak pernah berbalas. Dalam rindu dia
tersiksa namun sedetik pun dia tidak pernah terfikir untuk membunuh perasaan
yang cukup indah ini. Walaupun ramai pelajar lelaki yang meminatinya namun dia
tidak melayan kerana hatinya sudah melekat kepada lelaki itu.
“So cuti sekolah ni Qay nak duduk dengan Uwo, bolehkan papa?” sudah lama dia
tidak pulang ke rumah Uwonya di
Seremban. Selalunya neneknya itu yang datang ke rumah mereka. Di sana nanti
bolehlah dia bertemu dengan sepupu-sepupunya. Rindu benar dia dengan kenakalan
mereka semua.
Tuan Farouqe tersenyum senang dengan kemahuan anaknya
itu. “Boleh, sayang. Nanti papa hantar Qay pergi rumah Uwo.”
Hadi dan
adik beradiknya yang sedang menikmati sarapan pagi tersentak melihat kekecohan
di hadapan rumahnya. Emaknya mengamuk dengan parang tajam di hadapan pintu
rumah itu.
“Aku dah kata kau orang jangan datang tunjuk muka kat
sini! Tak faham lagi ke? Nak apa lagi datang sini?” melengking kasar suara
Makcik Saadiah memarahi tetamu-tetamu yang datang ke rumah mereka itu.
Hadi terlalu ingin tahu siapa tetamu itu. Namun baru dia
mahu mendekatkan diri ke ruang tamu ayahnya sudah menegah mereka adik beradik
berada di situ.
“Jangan campur. Pergi masuk ke dapur!” tegas Pakcik
Hambali lantang kepada mereka empat beradik.
Ledakan suara si ayah membuatkan Hadi tidak jadi mahu
meneruskan langkah ke ruang tamu. Dia akhirnya duduk di tangga untuk melihat
keadaan emaknya dari situ. Bimbang pula dia melihat emaknya mengamuk begitu.
Apa kena dengan emaknya?
“Kau orang nak apa lagi? Nak ajak berbaik? Boleh jalan!
Aku tak ingin nak berbaik dengan bangsa kau ni. Dasar pendatang tak sedar
diuntung. Tak faham agaknya orang tak suka. Pergi berambus!” caci maki itu
terus kedengaran kasar sehingga adik beradik Hadi yang lain semuanya ikut berkumpul
di tangga itu untuk mengikuti perkembangan terkini. Masing-masing
tertanya-tanya mengapa emak mereka marah benar.
“Diah, sudahlah tu. Cubalah bawak bersabar. Tak baik kita
layan dia orang ni macam ni. Yang sudah tu sudahlah! Dia orang datang cara baik
kita sambut cara baik. Mereka ni keluarga kita juga. Tak ke mananya pergi
dendam kita, Diah. Semua tu merosakkan hati aja,” pujuk Pakcik Hambali cuba
menenangkan isterinya itu. Menggeleng dia melihat gelagat Mak cik Saadiah. Entah
apa yang dimarahkan benar dia sendiri tidak tahu.
“Keluarga apa kebendanya? Aku tak hadap nak berkeluarga
dengan bangsa dia orang ni. Suruh dia orang ni berambus! Aku tak mahu tengok
muka kau orang! Siapa kata kau orang ni bersaudara dengan aku? Mariam tu bukan
lagi kakak aku!” berapi-api bicara Makcik Diah sambil parangnya diangkat tinggi
kepada dua tetamu itu.
“Astaghafirullah.. apa kenanya dengan awak ni, Diah.
Ingat Allah banyak-banyak, Diah. Dia orang ni tetamu kita. Ini ke cara kita
layan tetamu yang datang ke rumah ni? Malu kat orang, Diah. Ini bukan cara kita
orang islam.” Pakcik Hambali bersungguh-sungguh cuba menghalang Makcik Saadiah
daripada mendekati tetamu mereka di kaki tangga dengan parang tajam di tangan.
“Tetamu? Ini bukan tetamu! Ini hantu! Aku tak benarkan
kau orang datang kenapa nak datang jugak? Tak payah nak sibuk nak berbaik
dengan keluarga aku. Aku tak heran dengan kau orang ni semua. Kau dengar sini
baik-baik.. satu pun dari mana-mana keturunan kau dengan Mariam aku tak izinkan
jejak kaki ke dalam kawasan rumah aku. Sampai mati aku tak akan terima kau
orang. Jangan jejak lagi rumah ni. Aku tak ingin nak berbaik dengan kau orang
semua. Siapa pun datangnya dari keturunan Al Fateh tu, aku benci sampai mati!
Kau ingat baik-baik!” Makcik Saadiah menundingkan hujung parangnya ke arah Tuan
Farouqe tanda dia nekad benar dengan sumpahnya itu. Dua kali sumpahnya itu
diulang agar jelas didengari oleh orang sekelilingnya.
Dua tetamu itu menelan liur memandang Makcik Saadiah yang
semakin berang. Nampaknya hajat terakhir arwah Mariam semakin sukar untuk
dilaksanakan dengan sikap keras kepala wanita bernama Saadiah itu. Kesal benar
hati Tuan Farouqe melihat Saadiah menghina arwah kakaknya sendiri.
“Diah! Kenapa biadap sangat awak ni? Awak haramkan
keturunan Mariam datang ke sini, awak tak ingat ke anak-anak kita tu keturunan
siapa? Darah Mariam ada dalam darah awak, Diah. Anak-anak kita pun berkongsi
darah yang sama. Siapa yang awak nak haramkan ni? Bawak mengucap, Diah. Jangan
telan sangat cerita kosong orang. Berdosa kita fitnah Kak Yam tu!” bentak
Pakcik Hambali sedikit hilang sabar dengan kelakuan isterinya.
“Awak diam! Ini hak saya. Suka hati sayalah siapa yang
saya nak ajak masuk ke sini. Awak takde kena mengena dalam hal ni!” tengking
Makcik Saadiah kepada suaminya itu pula. Geram dengan orang lain, kepada
suaminya juga turut dilampiaskan kemarahannya.
Pakcik Hambali menghela nafas perlahan. “Kalau ya pun
awak benci sangat, tak perlulah nak keluarkan parang ni semua. Awak nampak
mereka ni datang nak berbaik ke nak berperang dengan kita? Gunalah akal. Jangan
ikutkan nafsu.”
“Ah! Aku tak jemput pun dia orang ni datang ke sini. Aku
dah cakap sebelum ni, jangan ke mari lagi. Siapa suruh dia orang datang? Memang
patut aku sambut kau orang dengan parang ni! Ini yang paling layak untuk
keluarga pemusnah macam kau orang ni. Kedatangan kau orang ke sini hanya nak
memusnahkan ikatan keluarga orang lain. Tak sedar diri pendatang, menumpang di
tanah orang tapi sanggup menconteng arang ke muka orang lain!” cemuh Makcik
Saadiah kepada Tuan Farouqe.
“Kak Diah, kami tak bermaksud begitu. Kami hanya nak
menyampaikan amanat arwah Mariam..” Tuan Farouqe cuba memujuk Makcik Saadiah
lagi.
“Sudah! Aku tak nak dengar kau sebut lagi nama tu. Berambus
kau orang dari sini sebelum parang aku naik atas batang tengkok kau orang tu!
Berambus! Tak payah nak bawak wasiat perempuan tu datang sini. Aku tak ingin
nak tahu pun apa wasiat dia,” jerkah Makcik Saadiah semakin lantang.
Pakcik Hambali lantas turun ke bawah. Lelaki berkemeja
lengan pendek itu diajaknya menjauhi rumah itu. Dia tidak sanggup untuk terus
membiarkan lelaki itu melihat kebiadapan isterinya. Lebih dari itu dia tidak
mahu keadaan semakin teruk.
“Maaflah Tuan Farouqe. Isteri saya tu tengah marah.”
“Tak mengapa. Saya faham..” balas Tuan Farouqe lembut.
“Mungkin lain kali bila dia dah sejuk kita boleh berbincang. Saya cuma nak
keadaan keluarga ni pulih semula. Itu sahaja. Saya tak mahu arwah Mariam terus
dibenci begini. Dia tak bersalah.” Tuan Farouqe menyambung lagi. Dengan sedikit
senyuman bahu Pakcik Hambali ditepuknya agar lelaki itu tidak merasa bersalah
kepadanya.
“Saya akan cuba berbincang lagi dengan isteri saya tu.
Maaf sekali lagi ya? Bersalah sangat rasa hati saya ni. Usahkan nak menjamu
air, nak ajak naik ke rumah pun tak mampu. Maaf ya Puan Azreena,” ucap Pakcik
Hambali kepada Puan Azreena yang berwajah sedikit murung. Mungkin masih dikawal
rasa terkejut dengan kelakuan tuan rumah sebentar tadi.
Puan Azreena sekadar tersenyum sedikit sambil memandang
suaminya. Dia sebenarnya masih kaget dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.
Tidak sangka Makcik Saadiah sampai sanggup mahu memarang mereka berdua. Benci
benar nampaknya wanita itu kepada mereka sekeluarga sehingga langsung tidak
menyediakan sedikit ruang untuk mereka berbincang secara aman.
“Tak mengapalah, bang. Saya faham dia sedang marah. Nanti
kalau dia dah bersedia mungkin kita boleh berjumpa lagi. Saya sekadar mahu
menyampaikan surat terakhir arwah bonda tiri saya tu. Dia mahu surat itu dibaca
di hadapan semua orang. Itu sahaja. Kalau selepas itu Kak Saadiah tidak mahu
menerima kami lagi, terpulanglah pada dia.”
Lelaki di hadapan Tuan Farouqe itu menghela nafas
perlahan. “Susah sebenarnya saya nak pujuk dia, Tuan Farouqe. Semenjak arwah
Mariam pergi ikut suami dia, banyak benda yang berlaku di sini. Saadiah antara
orang yang paling banyak menerima tempiasnya. Adik beradik Mariam yang lain
entah kemana perginya kami sendiri tak tahu. Mereka tinggalkan kampung begitu
sahaja tinggalkan Saadiah tanggung semuanya seorang diri. Kalau nak diceritakan
satu hari suntuk memang tak boleh habis. Tapi saya akan cuba juga pujuk dia. Insya-Allah..”
ucap Pakcik Hambali dengan nada rendah.
“Takpelah. Saya faham. Harap-harap hati dia lembut lepas
ni menerima kedatangan kami,” jawab Tuan Farouqe cukup mengerti. Bukan sekadar
Saadiah sahaja yang menderita di sini. Mariam juga menderita. Derita angkara
mulut busuk orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.