Bab 21
Demi Tuhan yang maha
suci, sesungguhnya Dia tidak pernah berlaku zalim kepada setiap hamba-Nya.
Itulah hakikat yang sedang dilihat Hadi di hadapan matanya. Betapa beratnya
penanggungannya saat ini, dengan belas kasihan dari Allah dia berjaya
menyelesaikan satu masalahnya. Hadi sudah berjaya mendapat kerja dalam tempoh
pencarian tidak sampai sehari. Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah yang
mengurniakan rezeki. Walau bagaimanapun, dia gagal mendapatkan rumah sewa
dengan harga yang berpatutan. Kini dia melihat sendiri cabaran hidup di bandar
yang pesat seperti ini.
Sebelum maghrib Hadi tiba di rumah yang ditumpanginya.
Tak kena pula rasanya mahu memanggil rumah itu sebagai rumahnya, memandangkan
dia menginap di situ tanpa kebenaran. Sebaik tiba di muka pintu Qay dilihatnya
sedang melakukan sesuatu di dapur.
Wanita itu menoleh apabila menyedari kepulangan Hadi.
“Abang dah balik? Abang dah dapat kerja ke?” teruja wanita itu melihat wajah
Hadi. Terus didekatinya Hadi.
Hadi segera tersenyum. “Abang dah dapat kerja, sayang.
Esok abang akan mula kerja.” Hadi menjawab ceria.
“Alhamdulillah..” jawab Qay seronok mendengar berita itu.
“Abang nak air? Muka tu nampak penat sangat.”
“Mestilah nak, yang. Abang penat sangat ni. Cari rumah
sana sini semuanya mahal, sayang. Tak mampu abang. Nanti abang cuba cari lagi.
Mungkin ada kawasan lain yang murah.” Hadi segera duduk di satu kerusi untuk
merehatkan kakinya. Penat dia berjalan kaki ke sana ke mari. Naik bas turun
bas. Sekarang dia baru tahu betapa peritnya untuk memulakan hidup di bandar
begini.
“Takpelah. Perlahan-lahanlah, bang. Nanti adalah tu.” Qay
menjawab setelah menghulurkan segelas air masak kepada Hadi. Kasihan benar dia
melihat suaminya itu.
Qay duduk di hadapan suaminya. Tampang lelaki itu terus
dipandangnya. Rakus Hadi meneguk air yang diberikannya. Bertambah kasihan dia
melihat lelaki itu. Sesungguhnya dia tidak sampai hati untuk membiarkan Hadi
menanggung segala kesusahan mereka sendirian. Dia mahu membantu. “Abang, apa
kata Qay cari kerja? Qay boleh bantu abang,” ucap Qay lembut.
“Tak payahlah. Qay duduk rumah. Biar abang aja yang
kerja,” ucap Hadi tidak menunggu sesaat pun untuk memikirkan hasrat si isteri.
Buat masa ini dia rasa dia masih mampu lagi. Dia tidak sanggup membiarkan Qay
bersusah payah berkerja di luar sana untuk melunaskan tanggungjawab yang
seharusnya dipukul oleh dia sebagai suami. Lebih dari itu dia malu jika
terpaksa membiarkan wang isterinya dihabiskan untuk melengkapkan hidup mereka.
Terasa dirinya benar-benar lemah pula.
“Kenapa pulak? Qay duduk rumah pun apa Qay nak buat?
Bosanlah!” rungut Qay perlahan. Kecewa pula dia dengan jawapan Hadi. Apa
salahnya dia mahu berkerja? Bukannya dia minta izin Hadi untuk kerja di tempat
dangdut!
“Bosan duduk rumah? Qay kan isteri abang? Tugas Qay jaga
makan minum abang, uruskan rumahtangga. Nak bosan apanya?” sanggah Hadi biasa.
Kali ini Qay terdiam. Kata-kata Hadi masih terus
difikirkan sehinggalah Hadi bangun lalu menuju ke dapur gas. “Qay masak apa
tadi?” tanya Hadi. Namun dia terus melihat ke dalam periuk yang tertenggek di
atas dapur itu.
“Qay masak meggi ke ni?”
“Aah.. tapi kenapa tak sama macam yang abang masak
semalam?” soal Qay mula ikut mendekati dapur itu.
Hadi tergelak besar melihat meggi yang sudah kembang setaman
di dalam periuk itu. Alahai, sayang.. ini bukan meggi. Ini mee dan air namanya.
“Berapa lama Qay rebus meggi ni?”
“Eemm.. Adalah dalam 15 minit kut.”
“15 minit? Mak ai.. tu dah macam nak rebus laksa je?
Kenapa tak rebus sejam aja terus. Banyak sikit dapat makan. Sekali sedut dah
kenyang.”
Wajah Qay sudah mula berubah. “Kenapa? Salah ke?”
Hadi ketawa lagi. Tidak perasan dia wajah kelat Qay yang
kecewa dengan kegagalan pada masakan pertamanya itu. Iaitu meggi! “Kan pada
belakang plastik meggi tu ada diajar cara nak memasak meggi? Alahai, sayang
abang ni. Meggi ni senang aja nak masaknya. Budak umur 5 tahun pun pandai
masak, sayang.” Hadi mengusik sambil tergelak lagi.
Namun Qay tidak ketawa. Bicara Hadi menghiris hatinya.
“Seumur hidup Qay, inilah kali pertama masak meggi. Semalam adalah kali pertama
Qay merasa makan meggi. Kalau selama ni tak pernah makan benda alah ni,
macamana nak tahu masak?” ucap Qay serius memandang suaminya itu.
“Itulah.. orang perempuan kena rajin ke dapur. Barulah
dapat tahu cara nak masak meggi, cara nak masak nasi. Takkan benda senang macam
ni pun Qay kena belajar dengan chef kut? Takkan selamanya kita boleh bergantung
pada orang gaji, Qay. Kita kena berdikari sendiri. Kaya macamana pun sesekali
kena masuk dapur masak untuk suami. Habis tu mama Qay selama ni tak pernah
masakkan untuk papa Qay ke?” ucap Hadi selamba.
Apabila ibu dan ayahnya dikaitkan perasaan Qay mula
menggelegak. “The fact is.. I can’t cook!
Dah tak boleh, nak buat macamana? Kenapa nak sebut sampai mama dengan papa
pulak!” bentak Qay tiba-tiba. Geram pula dia mendengar teguran bercampur
lekehan suaminya itu.
“Tengok? Baru abang tegur sikit dah nak marah.” Hadi
menggeleng perlahan.
“Tegur ke macam tu? Kalau Qay tak tahu, abang ajarlah.
Ini.. tak cukup ketawakan, siap dengan ejek orang tua Qay lagi. Memang Qay tak
pernah ke dapur selama ni, so what?
Kalau abang tak sanggup nak makan meggi tu biar Qay makan seorang. Abang makan
aja kat luar!” getus wanita itu semakin geram. Terus dia berlalu dari situ.
Matanya mula berkaca. Entah kenapa sedih pula dia. Sudahlah mak jauh.. ayah
jauh.. sekarang suami pulak mengejek masakannya.
Itulah, Qay.. nak kahwin kena juga ada ilmu. Ilmu memasak
di dapur!
Hadi menghela nafas perlahan melihat isterinya. Merajuk
pulak dah! Getus hatinya sendiri. Namun dia lekas tersedar. Benar kata Qay. Seharusnya
dia mengajar, bukannya memperlekehkan kelemahan isterinya itu. sekurang-kurangnya
Qay mahu mencuba. Itu lebih baik daripada dia duduk sahaja tanpa berbuat
apa-apa.
Tiba-tiba dia merasa kesal pula. Hadi segera menutup
pintu dapur memandangkan maghrib sudah menjelma. Kemudian dia pergi mencari di
mana isterinya itu menyorok.
Hadi menjengah bilik utama setelah kelibat Qay tiada di
bilik yang mereka tumpangi semalam. Hadi menemukan tubuh Qay sedang tertiarap
di atas katil ibu dan ayahnya. “Sayang..” panggil Hadi lembut. Isterinya itu
didekatinya.
“Just go away!”
pinta Qay sambil menyembunyikan wajahnya daripada Hadi.
“Janganlah macam ni. Abang tegur sikit aja, dah tak nak
dekat dengan abang.” Hadi cuba memujuk.
Qay langsung tidak memberikan sebarang reaksi kepada
pujukan itu. Namun setelah tubuhnya dibalikkan Hadi, barulah kelihatan air mata
yang tadi cuba disembunyikan oleh Qay.
Sebuah bingkai gambar yang dipeluk Qay segera diambil
Hadi. Lama dia memandang gambar itu. Kini dia sudah faham mengapa Qay sensitif
benar. Belas Hadi melihatnya. “Janganlah menangis. Abang minta maaf ya?” pujuk
Hadi lembut. Wanita itu dipeluknya erat.
Qay terus menangis teresak-esak di dalam pelukan Hadi.
Perasaan yang terkurung semenjak dari hari pertama dia meninggalkan ibu dan
ayahnya segera terhambur tanpa dapat dikawal. Hakikatnya dia teramat merindui
kedua ibu dan ayahnya. Kesepian rumah ini dicampur dengan segala kenangan lama di
setiap sudut rumah ini hanya membuatkan dia semakin tertekan.
“Jom kita solat. Dengan solat hati akan tenang. Abang
tahu apa yang Qay rasa sekarang. Tapi sabar, ya? Sampai masanya Qay akan jumpa
mama dan papa Qay semula. Abang janji!” pujuk Hadi sambi mengusap rambut ikal
isterinya itu.
Perlahan Qay mengangguk. Tubuhnya dijauhkan dari Hadi
sambil menyeka wajahnya yang basah kuyup. Terpujukkah dia dengan pujukan itu?
Tidak! Dia sekadar memikirkan yang waktu solat tidak sepanjang mana. Itu
sahaja! Qay terus bangun tanpa mempedulikan suaminya itu.
Malam itu sehinggalah ke tengah malam Qay boikot enggan
makan. Itu memang senjata utama dia untuk tunjuk perasaan. Memang semenjak
azali lagi dia memang suka buat perangai begitu. Hadi mula pening dengan
kerenah Qay apabila pujukannya langsung tidak jalan. Dia bimbang Qay akan sakit
nanti.
“Sayang, sampai bila nak marah abang ni?” pujuk Hadi
sekali lagi. Qay membatu sahaja merenung ke jendela. Entah apa yang difikirkan
oleh isterinya itu.
“Qay nak kerja, abang. Qay tak boleh duduk aja macam ni,”
ucap Qay segera merebut peluang itu untuk bercakap dengan suaminya.
Hadi menghela nafas perlahan apabila soal itu pula yang
ditimbulkan Qay. “Abang dah cakap tadikan? Tak boleh!” ucap Hadi dalam
kelembutan yang sudah tidak seberapa.
“Kenapa tak boleh? Qay kena keluar dari sini, bang. Qay
tertekan sangat dengan suasana rumah ni. Qay kena keluar untuk kosongkan otak
ni.”
“Dah tahu tertekan kenapa semalam ajak abang ke sini?”
Qay memandang lama wajah Hadi. Tidak sangka dia Hadi akan
mengeluarkan pertanyaan seperti itu. Tidakkah Hadi mengerti apa yang sedang
ditanggung oleh pundaknya ini? Rindu, rasa berdosa, kesepian, sesal.. semuanya
bercampur gaul melemahkan perasaannya. Semua itu mengusutkan fikirannya.
Salahkah dia meminta sedikit ruang untuk menenangkan fikirannya?
“Qay tak expect keadaan akan jadi seteruk ini. Maksud
Qay, tentang diri Qay ni. Bila abang takde siang tadi, Qay rasa lonely sangat.
Qay tak tahu berapa lama Qay akan tahan dengan keadaan ni, bang. Semua yang ada
dalam rumah ni buat Qay rasa nak menangis,” luah Qay mula bergetar nadanya.
“Sabar tu separuh daripada iman, Qay. Tahanlah sikit.
Nanti abang dah dapat rumah, kita keluar dari sini,” ucap Hadi semula.
“Apa salahnya kalau Qay tolong abang?”
“Abang ada minta Qay buat macam tu ke?” tekan Hadi sudah
mula tidak senang dengan perbualan mereka saat ini.
“Qay cuma nak ringankan beban abang.”
“Kalau abang rasa abang perlukan pertolongan Qay, abang
akan minta sendiri nanti. Buat masa ni abang tak nak dengar Qay cakap pasal
kerja lagi. Abang masih mampu tanggung kehidupan kita berdua! Abang bukan jenis
lelaki yang takde maruah hidup bergantung kepada perempuan, Qay. Abang paling
tak suka makan duit perempuan!” sambung Hadi tegas.
Qay tersentak dengan nada keras Hadi. Tidak tahu bahagian
mana yang sudah mencalarkan hati lelaki itu sehingga Hadi bereaksi begitu.
“Kenapa? Hina sangat ke kalau hidup kita ni ada tercampur sekali dengan duit
Qay?”
“Abang tak suka dengar Qay pertikaikan semua tu. Abang
suami jadi Qay kena dengar cakap abang! Apa yang abang putuskan itu yang Qay
kena ikut.”
Kata-kata berbaur peringatan itu menutup mulut Qay untuk
meneruskan bicara. Ya! Hadi suaminya. Dia harus taat kepada suami. “Okay, Qay
dah faham sekarang.”
“Apa yang Qay dah faham?” soal Hadi semula. Cara Qay
berkata tadi agak aneh. Ada sedikit kejengkelan yang kelihatan.
“Qay dah faham yang abang ni jenis suami yang ego. Abang
nak Qay ikut kehendak abang tapi abang tak faham apa pulak kehendak Qay. Abang
tak peduli apa yang Qay rasa. Abang ingat Qay ni patung ke?”
“Apa yang kemaruk sangat nak pergi kerja kat luar sana
tu? Abang suruh Qay duduk rumah jaga makan pakai suami, susah sangat ke
permintaan abang ni? Kalau isteri abang dah sibuk dengan dunia luar sana, apa
akan jadi pada rumahtangga kita? Tugas isteri di dalam rumah. Bukannya pergi
terkinja-kinja di luar sana,” balas Hadi sengit.
“Susahlah bercakap dengan abang ni!” tidak kuasa berlawan
cakap dengan lelaki itu Qay kembali memandang ke luar jendela.
Hadi menghela nafas untuk menenangkan dirinya. Perlahan
isterinya itu didekatinya. Teringat dia yang Qay masih belum makan. “Mari
makan, sayang.”
“Qay tak nak makan,” jawab Qay pantas.
“Makan angin kat tingkap ni nanti perut kembung. Makan
hati je setiap hari nanti sakit jiwa. Baik dengar aja cakap suami. Baru dapat
masuk syurga,” ucap Hadi lembut.
“Abang nak makan, abang makanlah! Jangan ganggu Qay boleh
tak?” tekan Qay tidak senang. Hatinya yang masih bengkak mahu terus dilayan.
“Apa guna kahwin kalau kena makan seorang diri. Meh
makan! Kalau tak abang makan Qay kat atas katil. Nak?” Tidak berjaya dengan
pujukan Hadi mengugut pula. Pinggul isterinya dirabanya untuk menakutkan Qay.
“Janganlah!” degus Qay segera menolak tangan Hadi.
“Tengok tu? Tak sayang abanglah tu..” ucap Hadi lembut. Pinggang
wanita itu akhirnya dipeluknya dari
belakang.
Qay diam, malas mahu melayan ucapan romantis Hadi. Namun
pelukan Hadi tidak ditolaknya. Pelukan itu mula memberikan dia sejenis rasa
yang cukup indah. Menenggelamkan amarahnya sedikit demi sedikit. Dalam keadaan
hatinya Hadi pula makin tercabar melihat kedegilan isterinya itu. Seolah-olah
ugutannya tadi tidak cukup mengerikan.
“Hmm.. makan kat bilik pun best jugak ni. Abang tak
pernah rasa lagi makan atas katil. Sesekali memang teringin nak cuba,” bisik
Hadi cuba menguji lagi. Namun Qay langsung tidak terkutik. Ai.. dah sedia ke
ni? Hari tu takut sangat! Hadi bermonolog sendiri dalam pada dia meneka reaksi
si isteri.
Qay mengerling dengan ekor mata. “Sorry, okay! Qay ni bukannya burger nak dimakan-makan.” Qay
menjawab selamba.
Hadi ketawa perlahan. Tenang sedikit hatinya apabila nada
isterinya sudah kembali seperti sedia kala. “Abang sayang Qay sangat-sangat.
Please.. jangan jauhkan diri dari abang. Qay adalah kekuatan untuk abang
teruskan hidup ni,” pinta Hadi lembut.
Perlahan Qay menoleh kepada suaminya itu. Terpujuk juga
hatinya akhirnya. Sebuah senyuman segera diukir buat Hadi. “Abang jugak
kekuatan untuk Qay hadapi semua ni,” balasnya separuh berbisik.
Hadi segera mengucup dahi isterinya. Hanya Tuhan sahaja
yang tahu betapa lebatnya cinta yang ada di hatinya buat wanita ini. Buat
seketika mereka bertentang mata. Usapan Qay di dadanya membuatkan jantungnya
sudah berdegup kencang. Melihat renungan lunak manja dan bibir kemerahan Qay
dia sudah tidak keruan. Berkali-kali dia menelan liur tanpa mampu mengalihkan pandangannya.
“Kita makan, sayang?” ajak Hadi cukup lembut.
“Qay tak selera tapi Qay boleh temankan abang makan,”
jawab Qay lembut.
“Abang maksudkan makan kat situ..” Hadi segera
memuncungkan bibirnya ke satu arah. Terus berubah wajah Qay memandang ke katil.
Serta merta muka serabutnya sudah kelihatan semula. Otaknya mula keras mencari
alasan yang boleh diberikan.
“Please.. Qay
sayang abangkan?” pujuk Hadi lembut.
Gulp! Qay sudah menelan liur. Nak kena lari ke ni? Detik
hatinya sendiri. Dah takde kerja lain kau ni, Qay. Lari ajalah kerja kau! Ejek
dirinya sendiri.
“Please..” rayu Hadi semakin berharap. Dia mahu Qay menjadi haknya
zahir dan batin. Tangannya mula mengusap lembut belakang isterinya.
Qay terus tidak menjawab. Namun dia hanya membiarkan Hadi
menarik tangannya menuju ke arah katil yang mereka diami semalam. Degup
jantungnya sudah tidak keruan. Namun dia sedar. Sampai satu masa dia harus juga
menunaikan hak lelaki ini kepadanya. Mungkin inilah masanya..
Bab 22
Kehidupan mereka
saban hari kian berubah. Suka dan duka terlakar sendiri pada setiap saat yang
berlalu. Seminggu selepas Hadi memulakan kerja, dengan maklumat yang dia dapati
dari rakan-rakan sekerja Hadi mendapat rumah sewa di Kerinchi. Dia dapat
menyewa sebuah flat kos rendah dengan harga yang murah. Untuk pasangan muda
seperti mereka rumah flat satu bilik itu dirasakan sudah mencukupi untuk mereka
memulakan hidup. Kini sudah lebih sebulan mereka menjadikan rumah kecil itu
sebagai istana rahsia mereka berdua.
Namun adakah mudah untuk pasangan muda seperti mereka membina kehidupan
bersama? Adakah segalanya semudah banyangan? Belum tentu..
Hadi pulang ke rumah agak lewat malam itu. Lebih lewat berbanding semalam.
Ketika dia tiba di rumah jam sudah menuju ke angka 12 malam. Namun sebaik
sahaja dia masuk ke rumah dia terpaku melihat kelainan suasana ruang tamu itu.
Lama matanya memerhatikan perubahan demi perubahan. Sehinggalah kepada peti
televisyen yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini ada ombak ganas yang hebat
membadai hatinya.
Hadi menutup pintu rumah itu dan dia terus ke bilik. Di bilik dia melihat
ada pula set perabot baru. Qay sudah terlelap dengan selesanya di atas katil
baru. Hadi menggeleng sendiri melihat semua itu. Di dapur pula bermacam-macam
kelengkapan dapur yang selama ini tidak pernah dibelinya. Dia tahu ini semua
sudah pasti kerja isterinya itu. Setiap satu peralatan dan barangan yang baru
wujud itu, tidak ada satu pun yang mampu membuatkan dia tersenyum gembira!
Namun mengenangkan isterinya sudah tidur Hadi memilih untuk berdiam diri.
Kemudian Hadi membuka tudung saji. Di dalam pinggan ada beberapa potong
pizza. Pizza lagi? Detik hatinya sudah bosan dengan makanan itu. Makanan itu
sudah jadi makanan ruji pula dalam rumah ini. Nasiblah.. Dah dapat bini tak
tahu memasak, apa boleh buat? Pizza pun pizzalah.. hatinya mengomel pasrah.
Mengenangkan perut sememangnya sudah lapar dia menghabiskan juga pizza yang
ditinggalkan isterinya itu.
Sambil duduk sendirian mengisi perut, Hadi terus berfikir sendiri.
Sebahagian dirinya cuba untuk memahami dan bertolak ansur dengan setiap
kehendak isterinya. Namun bila masuk bab kewangan, dia memang tidak gemar Qay
memandai-mandai sendiri. Dia tidak senang Qay menggunakan duit simpanannya
untuk memenuhi keperluan rumah ini.
Keesokan paginya Hadi bersiap seperti biasa untuk berkerja. Seawal jam 6
setengah pagi dia sudah bersiap.
“Abang diam aja, kenapa?” soal Qay sudah terperasan gelagat lain macam Hadi
kepadanya. Lelaki itu cukup liat mahu tersenyum. Malah Hadi tidak lagi
mengusiknya seperti biasa.
“Takde apa-apa..” jawab Hadi agak hambar.
Qay menghela keluhan perlahan. Dia tahu ada yang tidak kena dengan suaminya
itu. “Qay ada buat salah ke?” tanya Qay lagi.
“Qay rasa Qay ada buat salah dengan abang ke?” soal Hadi semula sambil
mengemaskan bajunya.
“Abang marah pasal Qay beli pekakas rumah ni ke?” teka Qay sambil memandang
lelaki itu di almari.
“Kenapa buat tindakan tanpa bertanya pada abang dulu? Qay tahukan abang tak
suka kita membazir? Kenapa beli semua barang ni sebelum berbincang dengan
abang?” tempelak Hadi sudah tidak mampu menahan rasa tidak puas hatinya.
“Barang-barang tu semua keperluan, bang. Apa salahnya Qay beli?”
“Tv pun keperluan jugak ke? Kalau takde tv mati kita dalam rumah ni? kalau
takde mesin basuh, kita tak dapat pakai baju? Kalau takde mesin pemanas air tu,
kita mati tak dapat minum?” serang Hadi dengan pandangan tajam.
“Qay beli tv sebab Qay bosan duduk sendiri. Abang dahlah selalu balik
malam. Qay tak tahu apa nak buat dalam rumah ni,” luah Qay dengan nada
merendah. Tidak bolehkan Hadi bertolak ansur sedikit dengan kehendaknya pula?
“Kalau bosan buatlah sesuatu. Memasak ke.. membasuh ke.. kemas rumah ke.
Ini abang balik, hari-hari makan pizza. Qay tahu tak berapa harga benda alah tu
sebijik? Abang ni bukannya CEO macam papa Qay! Abang pun bukannya mat salih
boleh telan benda alah tu hari-hari.”
Kala itu Qay terus terdiam. Memasak? Manalah dia tahu memasak? Membasuh?
Kemas rumah? Semua itu sudah dilakukannya. Tetapi apa yang dialaminya ini masih
tidak memudar. Perempuan sepertinya memerlukan masa dengan suami sedangkan Hadi
asyik di luar. Semenjak Hadi mula berkerja lelaki itu jarang berada di rumah.
Malah Hadi tidak pernah bercuti kerana sibuk mengejar duit. Dia faham tentang
tanggungjawab Hadi.. tetapi adakah Hadi faham perasaannya pula?
“Apa salahnya kita hidup susah sikit sekarang? Bukannya lama mana pun.
Nanti bila abang ada duit kita beli sikit-sikit. Susah sangat ke nak faham?”
marah Hadi masih dengan suara meninggi.
“Kenapa abang marah sangat bila Qay guna duit Qay?”
“Sebab abang tak mahu nanti orang lain kata abang ni menumpang kesenangan
isteri sendiri. Abang tahu Qay banyak duit. Tapi itu duit Qay! Segala urusan
dalam rumah tangga kita ni, itu tanggungjawab abang. Abang tak suka Qay
memandai-mandai lagi macam semalam! Bila abang kata jangan, maknanya jangan
buat! Abang tak suka Qay melawan cakap abang! Abang tak kahwin dengan Qay
supaya abang dapat hidup senang, Qay faham tak?” tegas Hadi.
Qay terdiam menahan rasa sambil menentang pandangan suaminya. Jadi ini
sebenarnya tentang air muka Hadilah? Soal dia sudah tidak penting lagi?
Tidakkah Hadi terfikir yang dia kebosanan di rumah ini? Berbelas jam Hadi di
luar, apa perasaannya terperuk seorang diri di dalam rumah ini?
“Abang tak suka selalu sangat bergaduh dalam soal ini. Tapi Qay janganlah
naikkan darah abang. Abang penat balik kerja, balik-balik abang tengok benda
yang abang tak suka. Macamanalah abang tak marah. Abang letih nak bertengkar
selalu, Qay. Qay isteri abang. Qay kena dengar cakap abang!” Hadi membebel lagi
tanpa mempedulikan Qay yang tunduk di katil. Terus dia keluar dari bilik itu
untuk bersarapan pagi. Wanita itu dibiarkan sahaja tanpa pujukan. Bengkak
hatinya ini lebih besar berbanding rajuk Qay.
Qay masih terduduk di tempat biarpun Hadi sudah keluar pagi itu. Kata-kata
Hadi terus bermain di fikirannya. Susah juga mahu memahami suaminya itu. Hal
yang dianggap remeh seperti ini pun boleh jadi pergaduhan antara mereka. Nak
keluar rumah tak boleh.. takut dia membazirkan duit membeli benda yang tidak
berfaedah. Nak bekerja lagilah tak boleh.. Hadi malu jika termakan nasi dari
beras yang dibeli oleh isterinya sendiri. Beli tv pun salah juga! Jadi apa yang
harus dia buat? Jadi tunggul? Penghabisannya.. dia yang makan hati sendiri
begini. Kini baru dia sedar.. zaman bercinta yang dianggap manis belaka rupanya
tidaklah seindah yang dibayangkannya apabila mereka berada di alam rumahtangga.
Semenjak kebelakangan ini mereka kerap bertengkar apabila topik duit menjadi
perbualan mereka.
Jam 9 itu selesai mengemas rumah dan membasuh baju, Qay menyidai baju di
ampaian. Ketika itu jiran sebelah Kak Ruby juga sedang menyidai baju. Wanita
itu menegurnya dengan senyuman manis. “Hadi kerja hari ni, Qay?”
“Kerja..” jawab Qay lembut.
“Aik.. Hari Ahad pun kerja? Rajin betul Hadi tu? Akak tak pernah nampak dia
bercuti. Larat dia ya?” Kak Ruby menjawab ramah. Dibandingkan pula dengan
suaminya. Bukanlah suaminya dalam kategori pemalas. Tetapi lelaki yang jenis
berkerja berat seperti Hadi dan suaminya, perlukan cuti untuk merehatkan badan
sekali sekala. Suaminya pun bukanlah pegawai tinggi. Sekadar seorang makenik.
Biasanya suaminya akan bercuti pada hari Ahad begini memandangkan bengkel
tempat kerjanya itu memang tidak beroperasi. Cuma hari ini suaminya terpaksa
pergi ke rumah seorang pelanggannya untuk membaiki kereta di rumah pelanggan
itu.
“Nak cari duit, kak. Kenalah korban sikit.” Qay menjawab biasa.
“Duit.. duit juga. Tapi badan kita ni nak kena rehat juga sekali sekala.
Duit banyak pun kalau dah tersadai sakit, takde gunanya lagi.” Kak Ruby
menjawab lembut. “Qay tak sunyi ke duduk sorang-sorang macam ni?”
“Sunyi jugak. Tapi apa boleh buat..”
“Ada masa datang sembang-sembang rumah akak. Masa belum ada anak nilah
boleh nak menyembang rumah jiran. Besok mana tahu dah beranak kecik, mana ada
masa nak menyembang lagi.” Kak Ruby terus ramah berbicara sambil menyudahkan
kerjanya.
Qay tersenyum mendengar pelawaan wanita itu. “Akak masak apa hari ni?”
tanya Qay kepada wanita berusia 32 tahun itu. Selalunya tengahari dia akan
terhidu aroma masakan Kak Ruby di dalam rumahnya. Rumah flat macam nilah..
terkentut busuk sikit pun orang rumah sebelah boleh terbau sama.
“Biasalah.. Abang Sidik tu suka sambal goreng. Kenalah hari-hari masak
sambal goreng. Kalau tak tak lalu dia nak makan,” jawab Kak Ruby lembut sambil
ketawa kecil.
Qay tersenyum biasa menyambut kata-kata Kak Ruby. Selesai menyidai baju Qay
mendekati wanita itu yang sedang menyidai baju anak-anaknya. “Akak boleh
ajarkan Qay memasak tak?” soal Qay lembut.
“Qay tak tahu memasak ke?” soal Kak Ruby semula. Namun dia teringatkan
kehadiran budak pizza yang sering menghantar pizza ke rumah jirannya ini. Kini
dia sudah tahu jawapannya.
Qay sekadar menggeleng mengakui kekurangannya itu. “Kesian Abang Hadi. Dia
tak suka pizza. Akak boleh ajar Qay memasak?” ucap Qay sekali lagi. Entah
kepada siapa dia mahu meminta tolong. Mak mertua? Mak mertuanya itu entahkan
masih tak tahu yang dia dah ada menantu..
“Boleh, Qay Apa salahnya. Jom pergi rumah akak.” Wanita itu terus
tersenyum. Dia faham.. pasangan muda seperti Qay dan Hadi pasti ada sedikit
masalah seperti ini.
Tengahari itu Kak Ruby mengajar wanita muda itu memasak lauk asam pedas dan
sambal goreng. Rasanya masakan itu memang kena dengan selera Hadi yang sukakan
makanan pedas.
“Akak waktu mula-mula kahwin pun bukannya pandai sangat memasak. Tapi akak
belajar sikit-sikit dengan orang sekeliling. Kadang-kadang mak mertua yang
ajar. Kadang-kadang akak tanya kawan-kawan. Kalau kita selalu mencuba,
lama-lama kita akan pandai. Memasak untuk suami ni memang perlu, Qay. Ini salah
satu cara yang paling utama untuk kita ikat hati suami dengan kita. Sesetengah
suami ni tak suka makan di kedai sebab kepuasan makan makanan dari kedai ni tak
sama dengan masakan kita sendiri. Kalau di rumah ni, kita masak tak sedap pun
kita akan makan jugak. Tapi di kedai ni lain. Memasak ni senang aja sebenarnya.
Yang penting kita ingat bahannya. Lain kali akak akan ajar masakan yang lain
pulak,” ujar Kak Ruby sambil dia menumbuk bahan yang sudah disumbatnya ke dalam
lesung batu.
Qay mengangguk perlahan kepada tunjuk ajar wanita itu sambil matanya terus
memerhatikan segala perbuatan Kak Ruby. Sejujurnya.. seumur hidupnya ini, dia
tidak pernah lagi memegang lesung batu. Macam ni rupa lesung batu rupanya..
bisik hati Qay sendiri.
“Ha.. dah agak-agak lumat macam ni, kita tumis aja bahan tu.” Kak Ruby terus
mengangkat lesung batu itu ke arah dapur gasnya. Sebuah periuk ditenggek lalu
api dihidupkan. Segala perbuatan Kak Ruby diperhatikan Qay penuh minat.
“Hadi suka makan asam pedas?” tanya Kak Ruby lembut.
“Sukalah kut. Abang Hadi tu memang suka makanan yang pedas-pedas.” Qay
menjawab kosong. Sebenarnya dia tidak berapa tahu apa makanan yang disukai
suaminya itu. Selalunya dia nampak Hadi sental apa aja!
“Kalau suka pedas, memang kenalah dengan asam pedas dengan sambal goreng
ni.”
Ketika bahan dari dalam lesung itu ditumis, Qay bertempiaran lari menjauhi
periuk itu. Pedih kulitnya terkena percikan minyak panas itu. Kak Ruby tergelak
melihat gelagat Qay.
“Qay memang tak pernah cuba memasak sebelum ni?”
Qay menggeleng sahaja.
“Qay ni anak orang kaya ke? Nampak gaya pun macam anak orang berada,” teka
Kak Ruby lembut. Setahunya jarang gadis melayu yang tidak pandai memasak
langsung. Paling tidak pun memasak yang ringkas-ringkas pasti tahu. Tetapi Qay
sampai memasak nasi pun tak pernah.
“Qay anak orang biasa je, kak. Sama macam akak..” Qay sengaja menjawab
begitu. Kalau dia berterus terang nanti, tak mustahil soalan Kak Ruby ini akan
bertambah banyak. Sedangkan dia paling tidak mahu orang lain tahu dia
sebenarnya berkahwin lari dengan Hadi.
“Kalau tak mahu terkena minyak macam tadi tu, waktu menumis perlahankan
api. Masukkan bahan tu perlahan-lahan. Lepas tu cepat-cepat kacau nak elakkan
dia meletup atau hangus.”
Qay mengangguk lagi kepada ajaran sifunya itu.
Hampir dua jam di rumah wanita itu, Qay sudah mampu menghafal dua resepi
itu. Setelah balik ke rumahnya dia terus mencuba di dapurnya sendiri. Lintang
pukang dapurnya itu dikerjakannya. Berkobar-kobar semangatnya mempraktikkan apa
yang diajarkan oleh Kak Ruby sebentar tadi.
Hasilnya.. setelah lebih 3 jam di dapur dia mendapat hasil masakan yang
lebih kurang sama seperti yang dimasak oleh Kak Ruby sebentar tadi. Qay sudah
mula berpuas hati. Harap-harap Hadi suka dengan masakannya!
Selesai segala kerja di rumah, Qay sudah terfikir-fikir apa yang mahu
dilakukannya lagi. Menunggu suami pulang? Lambat lagi Hadi balik. Menonton tv?
Takde moodlah pulak. Jadi sudahnya petang itu dia pergi bersembang di rumah
jirannya. Ketika dia tiba di rumah Kak Ruby wanita itu sedang menjahit langsir.
“Akak pandai buat langsir sendiri?”
“Bolehlah sikit-sikit, Qay. Nak buat tambah-tambah pendapatan keluarga.”
“Oo.. jadi akak jahit langsir ni untuk dijual ke?”
“Bukan buat jual. Ini orang tempah. Sesetengah orang tak suka beli langsir
yang kat kedai tu. Tak elok kainnya. Lagipun harganya lagi mahal berbanding
tempah kat rumah orang macam ni,” jawab Kak Ruby tanpa mengalihkan tumpuannya
kepada kerja tangannya itu.
“Ramai ke orang tempah langsir kat akak?”
“Bolehlah.. kalau waktu-waktu macam ni takdelah ramai sangat. Nanti dah
dekat raya, ramailah yang datang minta tempah langsir dengan baju raya.”
“Abang Sidik tak kisah ke akak buat semua ni?”
“Apa pulak nak kisahnya, Qay. Ini semua sumber rezeki. Kalau akak tak bantu
dia, siapa lagi? Abang Sidik tu bukan besar gajinya, Qay. Anak dah ada 3 nak
disara. Campur akak lagi,” jawab Kak Ruby sambil tersenyum.
Qay terdiam seketika mendengar celoteh Kak Ruby. Oh! Tak malu pula Abang
Sidik itu membiarkan isterinya menjahit langsir di rumah semata-mata untuk
meringankan beban suami. Tak kisah pula Abang Sidik makan nasi yang mungkin
dibeli dengan duit isterinya.
“Qay dengan Hadi belum ada anak. Mungkin Qay belum rasa kepayahan orang
macam kami ni. Nanti bila dah ada anak ramai, tak menang tangan kita nak
mencukupkan keperluan keluarga. Tapi rezeki ni semua Allah yang tentukan. Yang
penting kita kena usaha. Macam akak ni pelajaran tak tinggi, ini ajalah yang
akak mampu bantu suami akak. Kalau orang lain mungkin pergi berkerja di luar
sana,” ujar Kak Ruby sambil terus menjahit tepian langsir berwarna ungu lembut
itu.
“Qay teringin nak kerja. Tapi Abang Hadi tak bagi,” jawab Qay agak
perlahan.
Kak Ruby menoleh seketika kepada Qay. “Kerja sebagai isteri sepenuh masa
pun kerja juga, Qay. Gajinya nanti Allah yang akan bayar. Besar pahala seorang
isteri yang taat pada suami ni. Mungkin Hadi rasa dia mampu untuk tanggung Qay
buat masa ni dan dia tak mahu bila Qay dah kerja nanti Qay rasa terbeban dengan
tanggungjawab di rumah,” komen Kak Ruby lembut. Baginya budak Hadi itu memang
bagus. Rajin orangnya. Susah nak jumpa anak-anak muda seperti itu sanggup
berkerja di tempat pembinaan seperti itu. Sudahlah kerjanya berat.. bahaya pun
ya juga.
Qay mengangguk perlahan. Dia tahu apa yang diucapkan Kak Ruby itu benar.
“Kadang-kadang Qay kesian tengok dia kerja sampai malam. Sebab tu Qay nak
tolong dia.”
“Ada sesetengah lelaki ni, dia tak sampai hati tengok isteri dia bersusah
payah untuk dia. Ada sesetengah lelaki pulak dia rasa ego dia jatuh bila tengok
isteri dia terpaksa keluar berkerja untuk ringankan beban keluarga sedangkan
tanggungjawab tu sebenarnya di atas bahu dia. Macam suami akak, dia tahu
kemampuan dia setakat mana sebab tu dia tak kisah akak bantu dia. Asalkan akak
tak abaikan makan minum dia dan anak-anak dah cukup. Kalau masing-masing
sanggup bertolak ansur dalam hal ni, apa salahnya. Dah tak timbul lagi soal
malu atau ego tu semua, Qay. Dunia sekarang ni dunia duit! Kat KL ni, letak
kaki kat mana pun, mesti nak kena duit. Dalam islam pun tak dilarang isteri
bekerja membantu suami. Yang penting jangan sampai tanggungjawab utama tu
diabaikan.”
Qay terdiam sambil memandang kerja yang sedang dilakukan Kak Ruby. Wanita
itu nampak cukup sabar dengan kerja menjahit yang cukup renyah sebegitu. Kalau
dia.. memang taklah kot. Kalau disuruh masukkan benang pada jarum, agaknya esok
pagi pun belum tentu benang tu boleh masuk ke lubang jarum yang kecil itu. Ah!
Semua benda kau tak tahu, Qay!
Malam itu jam 9 Hadi sudah muncul di rumah. Kembang hati si isteri melihat
suaminya pulang lebih awal dari semalam. Dia tersenyum menyambut suaminya itu.
Tangan suaminya itu diciumnya dan lelaki itu membalas dengan mencium dahinya.
Masing-masing sudah lupa pertengkaran pagi tadi.
“Bau wangi je ni? Memasak ke?” tanya Hadi lembut.
“Qay belajar masak dengan akak sebelah. Abang nak cuba?”
“Mestilah..” Selamat! Nasib baik takde pizza lagi.. bisik hati Hadi
sendiri. Lenggang isterinya itu diekorinya. Di dapur dia melihat semangkuk asam
pedas dan sepinggan sambal goreng ikan kembung sudah dihidang oleh Qay. Hadi
terus tersenyum.
“Sekejap ya? Qay ambil nasi..”
Suapan pertama, Hadi terus terpaku..
matanya membulat memandang ke hadapan. Kunyahannya terhenti tiba-tiba.
“Kenapa, bang? Tak sedap ke?” Qay sudah mula risau melihat gelagat suaminya
itu. Alahai.. janganlah tak sedap lagi masakan aku ni.. hatinya mengeluh
sendiri.
“Sayang ni nak bagi abang mati cepat ya?”
Qay sudah terkejut mendengar kata-kata Hadi. “Kenapa? Masin ke?” soal Qay
dengan wajah yang sudah kemerahan.
“Sedap sangat! Kalau selalu macam ni, alamat abang mati terlebih makan
nanti..” Hadi dengan muka selamba menyuap lagi nasi ke mulutnya. Bukan main
laju lagi dia mengunyah. Nikmat benar dapat makan masakan isteri. Baginya ini
sudah cukup sedap!
Qay ketawa spontan melihat gelagat suaminya itu. Saat memandang Hadi yang
cukup berselera, kini dia akui kata-kata Kak Ruby siang tadi adalah benar.
Masakan isteri adalah pengikat hati suami. Hatinya benar-benar puas! Tekadnya
dia akan selalu menyediakan makanan untuk Hadi selepas ini.
“Kalau semua orang bagi
alasan macam kamu ni.. mudahlah dunia ni. Bila mak dan ayah tak bagi nikah,
kamu berdua kahwin lari! Kamu tak fikir ke perasaan ibu dan ayah kamu sebelum
kamu buat macam ni? Apa perasaan kamu esok kalau anak-anak kamu buat macam ni
pada kamu pulak? Sepatutnya kamu tunggu dulu. Berbincang semula dengan mak dan
ayah kamu, baru kamu buat tindakan macam ni. Kamu berdua pun masih muda. Memang
hukum mendapatkan restu mak dan ayah ni sunat.. tapi kalau tindakan kamu ni
mengguris hati ibu dan ayah kamu, maka jatuh berdosa! Bila perkahwinan tak
direstui mak bapak, mak bapak tak mahu mendoakan kamu berdua. Selama mana kamu
berdua akan bertahan? Matlamat kamu nak menghalalkan hubungan tu memang sangat
baik. Bernikah di luar negara tu pun tak salah. Tapi dengan sengaja pergi ke
luar negara supaya kamu boleh bernikah tanpa kebenaran wali asal dan tanpa
kebenaran bertulis dari pegawai pendaftar nikah cerai dan rujuk, ini salah di
sisi undang-undang. Sampai sekarang kamu masih tak beritahu mak dan ayah kamu
pasal ni sedangkan perkahwinan mesti dihebahkan supaya tak menimbulkan fitnah.
Dan kamu tak boleh putuskan silaturrahim dengan kedua-dua ibu bapa kamu sendiri
hanya sebab kamu berdua dah kemaruk nak berkahwin. Ini berdosa!” tempelak
lelaki tua selaku hakim yang mengadili permohonan itu.
Sepasang manusia itu menikus akibat ditarbiah oleh hakim syarie di dalam
kamar perbicaraan itu. Masing-masing tunduk tidak sanggup mengangkat muka
apatah lagi menjawab semula.
Suasana bilik itu hening sambil hakim itu menulis sesuatu di atas fail
pendakwaan itu. “Mahkamah dengan ini menetapkan tertuduh Ahmad Aqmal Hadi bin
Ahmad Hambali dan Qaira Syahreena binti Muhammed Farouqe bersalah melanggar akta
yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor,
seksyen 16 yang menetapkan sebarang pernikahan haruslah dijalankan dengan
kebenaran dari pegawai pendaftar nikah ceri dan rujuk. Berikutan kegagalan kamu
mematuhi undang-undang ini mahkamah menjatuhkan hukuman denda Rm 500 setiap
seorang kepada kedua-dua tertuduh. Sila selesaikan denda sebelum permohonan
kedua diajukan kepada mahkamah.”
Di luar mahkamah itu sepasang suami isteri itu sugul sementara menantikan
prosiding di kamar perbicaraan untuk tujuan mereka yang seterusnya. Kini mereka
sudah merasa apa yang seharusnya mereka rasa setelah memutuskan untuk berkahwin
lari seperti ini. Mendaftarkan perkahwinan mereka tidak semudah mereka
berkahwin lari dahulu. Bermula dengan permohonan di pejabat agama dua hari
selepas mereka balik ke Malaysia, kira-kira lebih 3 bulan dulu. Kemudian mereka
didakwa pula di Mahkamah Rendah Syariah atas kesalahan berkahwin tanpa
kebenaran. Kini mereka sekali lagi terpaksa menghadap hakim untuk mendapatkan
pengesahan kepada pernikahan ini sebelum mendapatkan kebenaran hakim untuk
mendaftarkan pernikahan mereka. Duit terbang.. kena marah pulak dengan hakim
dan kini mereka masih tidak tahu adakah pernikahan ini dapat disahkan atau
tidak. Semuanya masih kabur. Tetapi inilah akibatnya menurutkan rasa hati. Kata
orang matlamat tidak menghalalkan cara. Perkahwinan di mana-mana pun tetap
mulia di sisi Allah. Namun mereka haruslah mendapatkan restu ibu bapa.
Akhirnya mereka dipanggil sekali lagi selepas mahkamah memulakan semula
prosiding selepas selesai makan tengahari. Beruntungnya mereka berdua,
pernikahan mereka dahulu dijalankan di pejabat agama islam di Narathiwat dan
bukannya dijalankan oleh kadi yang tidak ditauliahkan. Setelah lima belas minit
menghadap hakim yang sama mereka akhirnya diberikan kebenaran untuk mendaftarkan
pernikahan yang membawa erti pernikahan mereka sah menurut hukum syarak dengan
kesemua rukun nikah sudah dipatuhi.
Alhamdulillah.. tidak terucap rasa syukur Hadi dan Qay dengan kemudahan
yang diberikan Allah kepada mereka. Nasihat hakim supaya mereka pulang dan
memohon kemaafan dari orang tua mereka masih tersemat di benak. Ini semua untuk
kerukunan mereka di masa hadapan.
Hadi terjaga dari
tidurnya apabila terdengar suara orang muntah di bilik air. Melihat kelibat
isterinya tiada, Had bingkas bangun dari katil.
“Sayang, kenapa ni?” soal Hadi saat menjengah isterinya di dalam kamar
kecil itu.
“Tak tahu..” jawab Qay lemah.
“Qay salah makan ke? Qay ada makan benda yang bukan-bukan ke?” soal Hadi
mula kerisauan. Mungkin isterinya mengalami keracunan makanan. Ah! Tak
mungkinlah..
“Qay sakit kepala, bang. Qay nak tidur..” Qay menjawab lemah. Dia sudah
tidak berupaya mahu menjawab soalan kaji selidik daripada suaminya itu. Terus
langkahnya diatur menuju ke bilik tidur mereka semula.
Hadi sekadar mengekori isterinya itu. Setelah wanita itu berbaring dia
memicit perlahan dahi Qay. Wajah isterinya pucat benar. Mulalah dia diserang
kerisauan yang amat sangat. “Kalau pagi nanti tak baik jugak, kita ke klinik
ya?” ucap Hadi lembut.
“Abangkan kerja?”
“Takpe.. Abang boleh pergi lepas tu.”
“Tak boleh ke abang cuti esok? Dah lama sangat abang tak cuti. Abang
temankanlah Qay kat rumah. Qay sunyi bila abang takde,” rayu wanita itu lemah.
Seingatnya Hadi hanya bercuti sehari ketika mereka berurusan di mahkamah lebih
sebulan dahulu.
Hadi terdiam seketika. Dahi wanita itu terus dipicitnya.
“Please, abang.. bukan selalu Qay
minta abang luangkan masa dengan Qay. Takkan dalam keadaan Qay macam ni pun
abang nak tinggalkan Qay sorang-sorang?” rayu Qay semakin lembut. Tangan lelaki
itu dikucupnya lembut penuh kasih sayang.
Hadi mengeluh perlahan. Namun melihat pandangan sayu wanita itu dia
mengalah juga. “Nanti abang call supervisor abang.” Hadi berkata lembut. Ya,
ada baiknya juga dia mengambil kesempatan ini untuk berehat menemankan Qay di
rumah.
Pagi itu mereka terus ke klinik apabila pening kepala Qay masih tidak
surut. Malah muntahnya semakin teruk. Namun di sana mereka diberitahu
bahawasanya wanita itu sebenarnya sudah berisi. Terbeliak mata Hadi mendengar
berita yang tidak disangka itu. Gembira benar dia. Tidak sangka setelah lebih 4
bulan menjadi suami kini statusnya diangkat menjadi seorang ayah pula. Qay
sekadar tersenyum mengiringi kegembiraan suaminya. Jauh di sudut hatinya dia
sayu. Berita gembira ini tidak dapat dikongsi dengan orang tua mereka.
Dek kerana pening kepala yang masih tidak berkurangan sepanjang masa Qay
hanya terbaring di katil. Asalkan berdiri sekejap dia mula terasa alam sekelilingnya
berputar. Dia benar-benar tidak berdaya. Mujurlah Hadi rajin melayannya. Lelaki
itu asyik memicitkan kepalanya dari tadi.
“Abang, bila kita nak berterus terang dengan orang tua kita pasal ni
semua?” soal Qay perlahan. Dia runsing memikirkan satu lagi masalah mereka itu
masih tertangguh tidak diselesaikan sehingga kini.
“Nantilah..” jawab Hadi pendek sahaja. Dia juga runsing memikirkan itu.
“Qay nak semua family kita tahu pasal ni, bang. Qay takut kalau kita terus
bertangguh orang tua kita akan makin marah pada kita,” luah Qay perlahan
sahaja. Dia masih ingat pesanan hakim dahulu supaya memohon maaf kepada orang
tua mereka.
Hadi menghela nafas perlahan. Ya! Dia harus menyelesaikan itu secepat
mungkin. Tetapi ada sesuatu yang amat dibimbanginya sehingga memberatkan
rasanya untuk balik ke kepada orang tua mereka. Dia bimbang penerimaan orang
tua Qay kepadanya. Dia takut Qay diambil semula darinya. Itu andaian yang
sering bermain di fikirannya selama ini.
“Abang dah janji abang nak bawak Qay jumpa orang tua Qay semula. Inilah
masanya, bang. Qay rindu sangat pada papa dengan mama. Qay nak minta maaf pada
papa dengan mama,” ujar Qay sayu. Sudah tidak tertanggung lagi beban
perasaannya ini.
“Abang tahu, sayang. Tapi abang nak Qay janji. Walau apa pun terjadi Qay
janji jangan tinggalkan abang ya?” ucap Hadi perlahan. Rambut isterinya itu
dikucup lembut.
“Qaykan isteri abang. Mestilah Qay dengan abang. Mana lagi Qay nak pergi,”
jawab Qay dengan sedikit senyuman. Dia senang dengan belaian lelaki itu.
Hadi menghela nafas perlahan. Dia tahu dia tidak boleh mengelak lagi. Dia
harus mengotakan janjinya kepada Qay. “Abang janji minggu depan kita balik
jumpa orang tua kita ya,” jawab Hadi lembut.
“Betul?” soal Qay mula ceria semula. Bibirnya tersenyum lebar.
“Betul..” jawab Hadi perlahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.