Cintanya Terlerai di Awan Biru (Mh17 dalam kenangan)
Cinta
itu tidak akan bersatu di
dunia. Janji-janji dulu tidak akan kesampaian lagi. Penantian selama ini sudah
ketemu noktahnya.
Air mataku serasa ingin benar mengalir. Namun aku jadi terkaku
dihadapan kaca tv. Tidak terkata. Saat terdengar nada pembaca berita
menyampaikan berita itu, hati ini kian jadi kacau bilau. Tidak tahu apa
tindakan pertama yang harus dibuat. Liur yang cuba kutelan sekadar untuk
menenangkan diri. Namun tidak mampu jiwaku aman. Hanya empat raut wajah sedang
terbayang di mata ini. Ya Tuhan.. Ya Tuhan.. hanya itu yang mampu dibisikkan
hati.
Panggilan telefon menyentak tumpuanku kepada kaca tv. Laju
tanganku mencapai telefon itu. Emak! Butang telefon segera aku tekan untuk
menyambut panggilan itu.
“Nilam..” suara emak menyeru.
“Ya, mak..” tiba-tiba suaraku menggigil mendengar suara
emak.
“Betul ke? ” aku dengar deruan nafas emak tidak tenang di
hujung sana. Membuatkan rasa yang sedang mengasak dada ini jadi semakin menghebat.
Aku tunduk seketika memandang ribaan sendiri. Aku tahu apa yang emak sedang
tanyakan saat ini.
“Nilam tak tahu, mak. Mungkin bukan..” jawabku dalam nada
tertahan.
“Tapi semalam dia call mak, dia kata..” emak tidak mampu
meneruskan bicara. Aku sedar emak mahu menangis benar. Tetapi dia pun sama
seperti aku. Tidak mampu! Kami sama-sama lemah.
“Bulan puasa ni, Nilam. Dia nak balik sambut raya dengan
kita.” Emak menambah bicaranya seolah-olah tidak percaya.
“Biar Nilam call Abang Amri dulu. Lagipun airlines tak
cakap apa-apa pun lagi,” ujarku sekadar cuba menenangkan keadaan. Baru terfikir
nak berbuat begitu semenjak tadi.
“Apa-apa berita bertahu mak, Nilam. Mak tunggu ni. Call
sekarang, Nilam..”
“Ya, mak.. mak tenang ya? Jangan buat Nilam risau.
Mungkin dia takde dalam penerbangan tu,” ucapku bersungguh.
“Tapi semalam sebelum bertolak dia ada call mak. Dia dah
nak naik kapal terbang.”
“Mungkin ini kapal terbang lain, mak. Mak jangan fikir
yang bukan-bukan dulu. Nilam cuba dapatkan pengesahan dulu,” tekanku
bersungguh.
“Yalah..” perlahan sahaja suara emak di sana.
Tanganku saat ini menggigil. Telefon di tangan
seolah-olah tidak terasa. Ada lahar yang maha pedih mengalir dari tenggorok
sehingga ke ulu hati saat itu. aku buntu. Siapa yang mahu kupanggil saat ini?
Wajarkah aku menelefon lelaki bernama Amri itu? Untuk apa?
Namun aku gagahi juga jemari ini untuk memanggil lelaki
itu. Setahu aku lelaki itu berada Manchester sekarang ini. dia adalah bekas
abang iparku. Bekas suami kepada kakak kesayanganku, Nurin. Ayah kepada tiga
anak buahku yang turut bersama di dalam penerbangan itu.
“Hello..” satu suara lelaki menyapa.
“Assalamualaikum, Abang Amri. Ini Nilam..” suaraku
bergetar saat mendengar suara lelaki itu.
“Hmm.. kau, Nilam. Ada apa?” acuh tidak acuh sahaja nada
lelaki itu. Macam selalu..
“Abang Amri.. tengok berita tak?”
“Berita apa?”
“Nilam nampak dalam berita. Mh 17 dari Amsterdam..
Terhempas di Ukraine.”
“Jadi apa kena mengena dengan aku??” tekan lelaki itu
macam malas mahu mendengar.
Astaghafirullah.. aku tahu dia bukan lagi suami kepada
Kak Nur. Aku sedar cintanya kepada Kak Nur sudah lama mati. Tetapi mengapalah
semenjak dulu sikapnya kepada anak-anaknya tidak pernah berubah.
“Takkan abang tak tahu? Kak Nur dengan anak-anak balik ke
Malaysia!!” bentakku mula hilang sabar.
“What??” Amri terus terdiam setelah melontarkan
kejutannya. “Anak-anak aku dalam penerbangan tu??” tekan Amri mula tidak tentu
arah suaranya.
“Nilam tak pasti! Tolong call sesiapa. Nilam tak tahu apa
nak buat sekarang,” ujarku pantas. Serentak itu aku terdengar bunyi beep
menandakan ada panggilan masuk ke telefonku.
“Abang, Nilam kena matikan talian ni. Nilam takut mak
telefon..”
“Aku call kau balik!” sesaat kemudian talian terus
dimatikan. Aku lihat missed call itu bukannya datang dari telefon rumah di
kampung sebaliknya nombor asing. Dadaku sudah berdegup tidak teratur. Sedang
aku membelek, nombor yang sama tertera lagi di skrin sebagai pemanggil. Aku
segera menyambutnya.
“Selamat malam..” satu suara menegurku sopan.
“Selamat malam..”
“Boleh saya bercakap dengan Cik Nuril Nilam binti
Muhammad?”
“Saya Nilam!” jawabku laju. Mungkin selaju degup
jantungku.
“Cik Nilam, saya Kamal Affendi membuat panggilan daripada
syarikat penerbangan Malaysia. Berkenaan empat nama yang turut tersenarai di
dalam penerbangan Mh 17 route Amsterdam-Kuala Lumpur. Diharap cik Nilam boleh
mendengar dengan tenang apa yang hendak saya katakan ni..”
Kala itu aku hanya mampu mendengar dan mendengar. Setiap berita
yang diberikan benar-benar menyesakkan perasaan. Aarahan yang diberikan oleh
lelaki itu tembus ke pendengaran. Namun hilang entah kemana. Empat penumpang
yang disahkan berada di dalam penerbangan itu adalah kakak kandungku bersama
dengan anak-anaknya. Mereka mahu pulang beraya ke kampung. Bagaimana untuk aku
khabarkan ini kepada emak? Bukannya aku tidak tahu emak sememangnya terlalu
menanti kepulangan Kak Nur?
Aku terus terdiam dan terkaku. Sayangnya dalam keadaan
ini, hati kian sendat oleh rasa pedih yang menyekat kerongkongku. Aku perlu
menangis saat ini! agar rasa yang cukup menyakitkan ini dapat kualirkan pergi. Namun
air mata tidak mahu keluar. Sama sekali tidak mampu untuk keluar! Khabar ini
hampir pasti. Kakak kesayanganku Nurin sudah tiada lagi. Anak-anak saudara yang
aku tatang semenjak dulu sudah pergi meninggalkan aku.
****************************************************
“Abang!!” esakan Kak Nur kedengaran sehingga ke luar kamar.
“Nur!! Sudahlah.. jangan nak menangis lagi. Bosanlah!
Balik ke sini aja tengok Nur menangis! Dah takde kerja lain ke??” bentak lelaki
itu kurang sabar.
Aku yang tercuri dengar perbualan itu mengertap bibir.
Berbulan Amri tidak pulang, hanya dialog dan nada itu yang dihadiahkan kepada
isterinya.
“Sampai bila abang nak buat Nur macam ni? Nur ni dah nak
bersalin, abang!” Kak Nur membalas dalam tangisan.
Tiba-tiba pintu kamar itu terbuka luas. Aku tersentak
melihat wajah garang Amri memandang kepadaku.
“Kau dah takde kerja lain selain menyibuk hal rumahtangga
aku?? Adik beradik sama aja!” tempiknya kepadaku.
Terkedu aku dijerkah lelaki itu. Namun langkah lelaki itu
turun ke bawah aku ekori. Geram di dalam dada sudah tidak tertahan.
“Kak Nur dah nak cukup bulan. Abang Am nak pergi mana??
Siapa nak temankan dia waktu bersalin nanti??” jeritku.
“Kau tak payah nak sibuk..” sambut lelaki itu tanpa
menghentikan langkahnya.
“Kalau dah tak tahu nak bertanggunjawab, jangan kahwin
dengan kakak aku dan jangan buat dia beranak ramai-ramai!!! Kau ingat kakak aku
tu apa??” jeritku semakin lantang.
Langkah Amri terhenti tiba-tiba. Terus sahaja dia
berpaling kepadaku. “Bagitahu kakak kau, hati aku memang dah tawar untuk dia.
Aku nak kahwin dengan Aisya. Jadi aku ceraikan dia talak satu. Puas hati kau
sekarang?” Amri melontarkan bicara itu cukup mudah.
Aku tersentak. Dadaku terasa bolong dilanggar sesuatu
yang amat kuat. Kak Nur diceraikan? Spontan aku menoleh. Aku lihat Kak Nur
sedang memandang kami dari atas tangga. Dia kelu.. begitu juga aku! Namun
antara aku dan dia, dia lebih tenang.
Amri terus berpaling meninggalkan kami di rumah itu.
Darius danYusmal yang sedang memandang ayah mereka, langsung tidak ditegur
Amri. Dua anak itu juga tidak berani mahu mendekati Amri. Sebaik sahaja bayang
Amri menghilang, anak-anak itu segera menerpa kepadaku. Aku sempat menoleh ke
arah Kak Nur di tangga. Namun tiada sudah bayang dia di situ. Dua anak itu
kubawa ke dalam pelukan.
“Kenapa papa marah-marah lagi? Papa sakit kepala lagi
ke?” tanya Darius perlahan.
“Ya, sayang..” jawabku perlahan. Alasan sakit kepala itu
selalu kuberikan kepada anak-anak ini apabila mereka bertanya mengapa ayah
mereka suka bergaduh dengan emaknya. Hanya itu jawapan yang aku ada.
“Papa balik sini lagi tak?” tanya Yusmal pula kepadaku.
“Tak tahu, sayang. Mak ngah tak tahu..” hanya itu yang
teradaya aku adakan untuk dua anak yang ketandusan kasih seorang ayah. kerana
mabukkan wanita sepejabat dengannya, Amri sanggup mengenepikan dua anak ini.
Kak Nur lebih lagi. Rumahtangga yang dibina semenjak zaman belajar di
universiti ini sudah tidak sekukuh mana. Indah khabar berbanding rupa.
Subhanallah.. terlalu menyedihkan hidup kakakku itu. Terlalu derita dia bersama
lelaki ini.
“Papa kata tadi, papa nak kahwin dengan orang lain. Betul
ke? Habis tu mama dengan Yus macam mana?” soal Yusmal lagi.
Aku terus terdiam. Tidak terdaya lagi untuk membuka
rahsia menyakitkan itu kepada anak-anaknya.
*************************************************
Khabar itu memang pasti! Lima jam setelah berlalu waktu
ketibaan seperti yang dijadualkan, masih tidak sebarang panggilan yang kami
terima daripada Kak Nur. Pesawat yang seharusnya tiba di Kuala Lumpur hari ini,
sememangnya tidak ada mendarat di KLIA. Bermakna lelaki semalam itu tidak
berbohong kepadaku tentang berita Mh 17 sudah terhempas di salah satu daerah di
timur Ukraine.
Telefon milik Kak Nur aku dail berkali-kali. Namun tidak
bersambung. Namun aku terus mendail. Mendail dan mendail.. terasa ada rindu di
dalam hati ini yang tidak lepas keluar. Tidak sempat untuk aku leraikan
kepadanya. Saat ini kami tidak tahu dia sebenarnya berada di mana! Keadaan ini
memang memeritkan hati. Jiwa terasa mahu meraung.
Bimbang dengan keadaan emak, aku kini berada di kampung
menemankan emak. Sesampai aku di kampung, aku ada mengajak emak ke Kuala
Lumpur. Tetapi emak tidak mahu. Dia mahu setia menunggu di rumahnya ini.
Walaupun nanti hanya jasad Kak Nur dan anak-anaknya yang akan pulang ke rumah
ini. Dia tetap mahu berada di sini. Saudara mara kami sudah penuh di rumah ini.
Tetapi emak hanya mahu bersendiri. Aku tahu emak cukup sukar untu menerima
kenyataan ini.
Bersama naskah yasin di tangan, menunganku pergi jauh
mencari memori lalu. Memori bersama dengan Kak Nur. Satu-satunya adik beradik
yang aku ada. Selepas diceraikan oleh Amri lebih empat tahun dulu, Kak Nur
membawa anak-anaknya merantau ke bumi Belanda. Tawaran kerja di sana disambut
demi anak-anaknya. Anak yang sulung, Darius sudah sembilan tahun, Yusmal, tujuh
tahun dan yang bongsu Ain Qaisy hampir berusia empat tahun. Selepas bercerai,
Amri juga merantau bersama isteri barunya. Soal dia sudah lama kami tolak ke
tepi semenjak dia bukan lagi ahli keluarga kami.
Namun bisa dan kesakitan yang dilalui Kak Nur selama
bersama lelaki itu, setiap satunya timbul satu demi satu di benakku saat ini.
Anak buahku yang paling kecil tidak pernah kenal siapa ayahnya. Aku sendiri
tidak mengerti mengapa lelaki yang terlalu disayangi Kak Nur satu masa dulu,
berubah menjadi begitu. Mengapa keistimewaan yang pernah aku lihat kepada
lelaki itu, lenyap satu demi satu setelah dia bertemu dengan teman sepejabat
yang jauh lebih muda berbanding Kak Nur. Aku tidak tahu. Kehebatan wanita itu
membuatkan kelopak cinta Amri gugur satu persatu untuk Kak Nur. Sehingga kini
tiada lagi tersisa! Nama Nurin sudah tidak berbekas lagi setiap kali
diperdengarkan kepadanya.
Kesedihan Kak Nur, itu adalah kesedihan aku. Kerana
akulah yang menyaksikan susah dan senangnya selama ini. Akulah yang menemankan
dia menjaga anak siang dan malam saat sang suami leka dengan cinta baru. Air
mata Kak Nur mahal harganya. Gugurnya air mata itu kala dia sudah tidak terdaya
menahan rasa terkilannya. Namun dia tidak pernah berhenti berharap Amri pulang
kepadanya. Pernah aku bertanya.. apa ada pada lelaki seperti Amri? Mengapa Kak Nur masih mahu
menunggunya? Kata Kak Nur, “Subhanallah.. Kak Nur sayangkan dia, Nilam.’
Tetapi kini.. Belum sempat Amri pulang ke pangkuan Kak
Nur dan anak-anaknya, Kak Nur terlebih dahulu dipanggil pulang kepada yang Esa.
Penantiannya sudah bernoktah. Cinta tidak akan bersemi lagi di atas dunia ini.
Janji-janji kekasih tidak akan kesampaian. Kak Nur pergi.. luka-luka di hatinya
dibawa bersama. Tiada satu pun yang tertinggal.
Ya Allah.. pedih benar hatiku ini, Ya Allah. kebahagiaan
Kak Nur tidak kesampaian, sesungguhnya Kau lebih tahu apa yang terbaik untuk
kami. Tawarkanlah kesedihanku ini, Ya Allah.. hatiku merintih sayu. Demi Allah,
kesedihan ini sungguh tidak tertahan. Tidak mampu aku gambarkan dengan
kata-kata. Seandainya termampu, aku ingin meminta Tuhan yang maha Pengasih
memutarkan masa ke hari semalam. Agar aku dapat menahannya daripada menaiki
penerbangan itu. Agar dapat aku pahatkan memori yang paling indah bersama Kak
Nur dan anak-anaknya.
Tetapi kenyataannya, semua ini sudah tidak dapat diulang
kembali. Sudah pasti! Masa yang lalu sudah berganti baru. Yang nyatanya.. masa
yang diganti hari ini, tidak akan sama lagi seperti semalam, kelmarin dan pada
saat pertama kali Kak Nur jatuh cinta pada lelaki itu!
******************************************************
Anak penawar duka. Senyumnya menyembunyikan lara..
Bayi perempuan yang dilahirkan Kak Nur sihat. Alhamdulillah..
Tuhan memberikan kemudahan untuk dia melahirkan bayinya. Senyum Kak Nur mekar
saat mendakap anaknya. Seolah-olah tiada duka nestapa dalam hidupnya. Aku tatap
dalam-dalam wajahnya. Sayu hatiku semakin berlandung. Aku tahu dia menahan
sedihnya sendiri.
“Kak Nur nak namakan dia Ain Qaisy. Kak Nur suka sangat
nama Ain tu..” luah Kak Nur saat memandang kepadaku.
“Sedap nama tu..” sambutku dengan senyum hambar.
“Tengok mak ngah tu, sayang. Dari tadi tak mahu senyum
pada Ain. Macam tak suka aja dapat jumpa Ain,” omel Kak Nur kepada anaknya itu.
Kata-kata itu membuatkan senyumanku mekar. Namun masih dalam kehambaran.
“Betul ke lepas habis urusan di mahkamah syahriah tu
nanti Kak Nur akan ke Amsterdam?” tanyaku perlahan.
“Betul..” jawab Kak Nur perlahan.
“Kenapa sampai ke sana?” tanyaku payah.
“Rezeki, Nilam. Allah sedang buka pintu rezeki untuk
anak-anak Kak Nur di sana. Biarlah Kak Nur pergi. Kak Nur buat ni semua untuk
anak-anak,” sambut Kak Nur tenang sahaja.
“Habis tu Nilam dengan mak, macam mana?” tanyaku lagi.
Macam mana aku mahu berpisah daripada anak-anak saudara yang amat aku sayangi
ini?
“Ini yang terbaik untuk kami, Nilam. Kak Nur tak mahu
terus berada di takuk lama. Peluang ni bagus untuk kami anak beranak,” ujar Kak
Nur lembut.
Aku diam menghela nafas. Bayi di dalam pelukan Kak Nur
itu aku tatap. Sayangnya kamu, hai anak. Ayahmu tidak ada menunggu kamu di
sini. Dia tidak peduli! “Apa kata Kak Nur biarkan anak-anak Kak Nur dengan
Nilam dan mak? Sekurang-kurangnya Kak Nur tak perlu susah payah mencari
pengasuh di sana nanti,” cadangku spontan.
“Tak! Biarlah Kak Nur bawak anak-anak dengan Kak Nur.
Anak-anak Kak Nur ada ayah, tapi macam tak ada ayah. Kak Nur tak mahu anak-anak
kehilangan bayang seorang emak pula. Kak Nur tak mahu berpisah dari anak-anak,
Nilam. Anak-anaklah kekuatan Kak Nur.”
Aku tertunduk mendengar jawapan kakakku itu. Jawapan itu
benar-benar memeritkan hati. Bermakna akulah yang bakal kehilangan bayang
anak-anak saudara kesayanganku. Tetapi aku mengerti rasa di hati Kak Nur. Aku
tidak mahu menegahnya.
“Kak Nur reda, Nilam. Selagi Kak Nur hidup, Kak Nur akan
jaga anak-anak baik-baik. Kak Nur takkan tinggalkan mereka bertiga. Susah
senang, biarlah kami bersama. Ke mana pun Kak Nur pergi, Kak Nur akan bawa
mereka bersama..”
Ke mana pun Kak Nur pergi, Kak Nur akan bawa mereka
bersama.. sebaris kata-kata itu bergaung lagi dibenakku. Ya! Kak Nur tidak
meninggalkan anak-anaknya. Biarpun maut sudah menempanya, anak-anaknya juga
dibawa bersama.
Seminggu sudah berlalu semenjak aku mendengar tentang
tragedi itu. Sehingga kini jenazah Kak Nur dan anak-anaknya masih tidak
diketahui di mana sedang berada. Kami hanya diminta menunggu sehingga
diberitahu. Dari berita di tv aku dengar kebanyakan jenazah sudah dikumpulkan
dari lokasi kejadian. Namun masih ada banyak hal yang perlu dilalui oleh
jenazah-jenazah itu sebelum semuanya dapat dibawa balik ke sini.
Emak masih seperti itu. Ketenangannya sentiasa ada.
Seperti mana Kak Nur, begitulah sikap emak. Tapi emak kerap termenung. Emak
kerap memegang gambar Kak Nur ketika dia duduk bersendirian. Aku tidak tahu
bagaimana untuk memujuk emak. Kerana aku sendiri pun masih belum boleh memujuk
hati sendiri.
Hari ini aku kembali ke Kuala Lumpur. Namun aku bukannya
kembali bekerja. Sebaliknya rumah Kak Nur, aku jejaki semula. Rumah ini tidak
lagi aku duduki semenjak Kak Nur ke Belanda dulu. Aku lebih selesa tinggal di
rumah sewa bersama kawan-kawan.
Aku duduk berdiri lama di hadapan katil bayi di dalam
bilik anak Kak Nur. Katil bayi ini pernah menjadi milik Darius. Darius anak
yang sulung, Kak Nur lahirkan ketika dia baru berusia 21 tahun. Kemudian Yusmal..
seterusnya Ain. Namun Ain tidak lama merasa tidur di katil ini. Namun aku masih
terlalu ingat, aku pernah berdiri di sini berkali-kali. Menidurkan mereka
tatkala Kak Nur sibuk dengan kerjanya. Aku menemankan mereka tatkala emak dan
ayah sibuk bertengkar di dalam kamar. Aku bercerita kepada mereka sebelum tidur
agar mereka tidak sunyi.
“Mak ngah rindu dengan Darius. Mak Ngah rindu dengan Yus.
Mak ngah rindu dengan Ain..” ucapku seorang diri. Saat terpandangkan
patung-patung kecil di tepian katil itu, salah satunya aku ambil. Aku peluk
erat.
Ya Allah.. aku tidak akan dapat melihat mereka lagi.
Bantulah aku melalui kesedihan ini. Bantulah aku melalui kehilangan yang amat
menyedihkan ini.. bisik hatiku perlahan. Kolam mata terasa hangat saat
mengenangkan tiga anak itu. Aku tidak mampu membayangkan apa yang berlaku
dikala pesawat itu jatuh dari atas ke bawah. Adakah mereka merasa sakit? Adakah
mereka masih bernyawa waktu itu? Adakah mereka ketakutan?
Ya Allah.. Aku tidak mampu menelan semua itu dengan hati
yang tabah. Aku tidak mampu melelapkan mata begitu sahaja tanpa terbayangkan
semua yang dilalui oleh anak-anak saudaraku! Sehari dua lagi lebaran akan
menjelma tetapi tanpa mereka! Tubir mataku terasa hangat. Ada air yang sedang
mengaburkan pandangan. Namun tidak lama kemudian air itu menyurut sebelum
titisannya gugur di pipi.
Aku mahu menangis, Ya Allah. Biarkanlah aku menangis.
Supaya reda kesakitan yang sedang menghuni dada. Tetapi masih tiada air mata
yang gugur. Aku terus terseksa sendiri.
***************************************************************
“Kenapa papa tu selalu marah mama? Apa salah mama?”
Aku menoleh ke arah anak saudaraku, Darius. “Suami isteri
memang macam tu. Kadang-kadang suami marah isteri, kadang-kadang isteri marah
suami. Semua orang macam tu, sayang..”
Darius tunduk memintal jemari sendiri. “Tapi papa tu
marah mama macam mama tu ada buat salah besar. Darius, kesian dengan mama. Dulu
papa tak macam tu pun..” luah Darius lembut.
Aku usap rambut anak itu lembut. Mendung diwajahnya sudah
kerap aku lihat. Darius suka termenung memikirkan keadaan mamanya. Aku sedar
dia pun tertekan dengan kepincangan hidup.
“Orang dewasa ni memang banyak masalah, sayang. Dah!
Jangan fikir ya?” pujukku lantas menarik bahunya dekat kepadaku.
“Cerita dengan mak ngah, apa cita-cita Darius bila dewasa
nanti,” ucapku sekadar mahu mengalihkan pemikirannya daripada memikirkan
masalah mama dan papanya yang semakin bertali arus semenjak kebelakangan ini.
“Bila Darius dewasa nanti, Darius nak jaga mama
baik-baik. Darius nak cari duit banyak-banyak. Nak bawak mama pergi melancong
naik kapal terbang. Darius nak belikan apa aja yang mama suka.” Spontan jawapan
itu yang diberikan Darius, membuatkan aku terdiam. Buat seketika pandangan aku
halakan ke hadapan. Permudahkanlah dia untuk mencapai cita-citanya, ya Allah..
bisik hatiku.
“Darius tak mahu tengok mama menangis. Darius sedih.
Kalau boleh Darius nak bawak mama pergi jauh dari papa. Supaya mama tak
menangis lagi sebab papa,” tambahnya cukup perlahan.
Aku hampir tersedu mendengar ucapannya itu. namun aku
tidak mahu menambah lara di hatnya dengan tangisanku.
“Dalam hidup ni, memang selalu kena bersabar, Darius. Tak
semua yang kita ada dalam hidup kita ni buruk. Papa mungkin nampak tak elok
pada mata kita sekarang. Tapi mana tahu suatu hari nanti papa akan sayangkan
Darius dan adik-adik semula?” ujarku perlahan.
Darius sekadar tunduk merenung lantai di bawahnya. Aku
usap bahunya perlahan.
“Lepas ni mama nak pindah jauh ke tempat orang. Mama kena
tukar tempat kerja. Darius nak ikut mama atau nak duduk dengan nenek kat
kampung?” tanyaku sekadar mahu mendengar pendiriannya tentang itu.
Perlahan Darius menoleh kepadaku. “Darius nak ikut mama.
Darius nak temankan mama. Ke mana pun mama pergi.. Darius tetap nak ikut.
Darius tak mahu mama tinggalkan kami adik-beradik kat sini,” jawabnya perlahan.
Aku semakin terdiam mendengar jawapan anak sudaraku itu.
*****************************************************
Ya
Allah.. Ya Allah..
dadaku semakin sendat mengenang semua kenangan itu. Tubuhku melurut jatuh dalam
sendu yang tidak tertahan. Sesungguhnya Allah sudah pun menunaikan kehendak
mereka. Mereka sehidup dan semati. Ke mana pun Kak Nur pergi, dia akan membawa
anak-anaknya. Sesungguh masa yang telah Allah peruntukan untuk kami bersama di
atas dunia ini sudah tamat. Aku masih ingat kepada perbualanku dengan Kak Nur
beberapa hari sebelum dia menaiki kapal terbang. Dalam keterujaanku untuk
menatap wajah anak-anaknya, dia mencelah dengan lawak jenaka yang menyelar
hati.
Jangan terlalu berharap pada anak-anak Kak Nur, Nilam.
Suatu hari nanti mereka akan tinggalkan Nilam untuk jalan hidup mereka sendiri.
Kak Nur tak mahu Nilam jadi macam Kak Nur.. hidup merana kerana terlalu
sayangkan sesuatu..
Itu bicara Kak Nur yang menyentap perasaanku. Tidak
mungkin anak-anak itu akan melupakanku setelah mereka dewasa nanti. Aku kenal
mereka! Tetapi rupanya maksud Kak Nur lain. Aku benar-benar tidak sangka hanya
beberapa jam selepas itu, mereka benar-benar hilang daripada hidupku. Jalan
mereka tidak lagi di atas dunia ini.
Puas menjejaki kenangan di kamar anak-anak saudaraku, aku
mendapatkan bilik tidur Kak Nur. Di dalam almari, aku sentuh beberapa helai
pakaiannya yang masih tinggal. Aku rindukan Kak Nur. Satu-satunya kakak yang
aku miliki. Tetapi kini dia sudah tidak ada bersama kami.
“Kak Nur.. kenapa begitu cepat masa berlalu? Kenapa
begini sekali kesedihan yang ditinggalkan untuk Nilam dan mak? Kenapa, Kak
Nur?” rintihku sayu. Hanya kata-kata itu yang mampu aku lagukan untuk menawar
kesedihan ini.
*****************************************************
Tarikh itu tarik keramat buat aku dan emak. Jumaat itu jumaat
yang penuh duka dan lara. Semenjak kami diberitahu jenazah Kak Nur dan
ketiga-tiga anaknya akan dibawa pulang, aku kian resah dalam penantian. Terasa
seperti masa terlalu lambat, menyiksa segenap perasaanku. Aku seperti sudah
tidak sabar mahu menyambut kepulangan mereka. Namun.. dalam diam aku tidak tahu
adakah aku kuat untuk menerimanya.
Jenazah orang-orang kesayangan kami dijangka tiba jam 9
pagi di KLIA. Tetapi kami tidak menunggu di KLIA. Jenazah Kak Nur dan
anak-anaknya akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Ipoh. Di situ kami akan
menyambutnya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman kami di Parit untuk
dikebumikan.
Seawal jam 8 pagi aku membawa emak ke Ipoh. Saudara mara
lain memilih untuk menunggu di rumah disamping menyediakan apa yang perlu. Tidak
jauh pun perjalanan ke sana. sekitar sejam sahaja. Namun debaran di dadaku ini
semakin tidak terucap saat kereta yang aku pandu semakin mendekati Lapangan Terbang
Sultan Azlan Shah itu. Kehadiran ramai manusia di situ semakin merancakkan
debaran dan ketakutan di dalam dada. Kuatkah aku nanti? Bagaimana dengan emak?
Mampukah aku memujuk sekiranya emak tidak mampu menahan dirinya nanti?
Setiba di lapangan terbang itu, kami disambut oleh
petugas media yang sibuk mahu bertanya macam-macam soalan kepada kami. Namun
kerjasama anggota keselamatan menyelamatkan kami dari segala gangguan yang
paling tidak aku mahukan. Namun saat aku dan emak berada di ruangan menunggu,
aku terlihat kelibat seseorang yang masih aku kenali. Amri! Dia berbaju melayu
hitam sedang duduk di kerusi tetamu bersama seorang wanita. Aku kenal wanita
itu. Itulah wanita yang menggantikan tempat Kak Nur setelah Amri menyingkirkan
dia daripada hidup lelaki itu. Aku tidak tahu pula yang dia sudah pulang ke
Malaysia.
Amri terus bangun saat ternampak aku dan emak. Emak hanya
tenang saat didekati lelaki itu.
“Mak apa khabar?” tanya Amri perlahan.
“Macam nilah..” jawab emak biasa sahaja.
Amri tunduk seketika sebelum kembali memandang emak.
“Saya mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mak..” luah Amri agak
payah kepada emak.
“Takde apa yang mak nak maafkan kamu, Amri. Semuanya dah
ditentukan..”
“Saya tak jaga Nur dengan baik selama ini, mak. Saya
ambil Nur, jadikan dia sebagai amanah untuk saya pikul. Tapi saya abaikan dia.
Ampunkan saya, mak..” suara Amri menggigil dihujung bicaranya. Dia tunduk
tiba-tiba menekan kedua-dua belah matanya.
“Jangan menangis depan mak. Mak tak mahu tengok sesiapa
melemahkan perasaan mak hari ni. Mak hanya nak tunggu Nur dan anak-anak dia
balik. Bukan senang mak nak hadapi hari ini, Amri. Kisah lalu tu semua mak tak
mahu kenang lagi. itu bahagian hidup Nur. Mak tahu Allah uji dia kerana Allah
sayangkan anak mak.”
“Saya faham, mak..” ujar Amri lantas menyapu kelopak
matanya dengan belakang tangan. Aku segera menggamit emak duduk di salah satu
kerusi tetamu. Kebanyakan tetamu sudah mengambil tempat. Masing-masing sedang
memantau berita di gadget masing-masing. Aku? Aku tidak mampu untuk mengikuti
semua itu. Kerana aku tidak sekuat mereka.
Sedang aku duduk, seorang lelaki datang ke sisiku. Aku
segera memandang kepadanya.
“Jenazah semua dah dikeluarkan dari pesawar. Kita akan
terbangkan ke sini. Waktu ketibaan jam 10 setengah nanti. Bersedia ya? Sebaik
sahaja sampai nanti kita akan naikkan ke kenderaan jenazah dan terus bertolak,”
ucap lelaki itu lembut.
Aku sekadar mengangguk. Emak menoleh kepadaku.
“Apa dia cakap?”
“Jenazah dah selamat sampai di KLIA tadi. Mereka dah
terbangkan ke sini,” ucapku sambil
menarik tangan emak. Emak sekadar mengalihkan pandangannya ke arah dataran luas
di hadapan kami itu. Aku sekadar mampu memandang emak yang kelihatan tenang.
Namun semakin dekat masa yang dijanjikan debaran di
dadaku semakin tidak terkawal. Apatah lagi aku sudah terlihat kelibat
pegawai-pegawai tentera sudah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan pesawat
tentera yang menerbangkan jenazah orang-orang kesayangan kami. Terasa nafas
yang aku hela tidak mampu untuk mengawal perasaan yang sedang bermain di dalam.
Jam 10:25 pagi itu orang-orang kenamaan sudah memenuhi
kawasan itu. Pegawai-pegawai tentera sudah bersedia untuk menyambut ketibaan
pesawat yang akan muncul bila-bila masa sahaja lagi. dan kenderaan jenazah
sudah beratur untuk melaksakana tugas masing-masing. Namun kehadiran mereka
langsung tidak aku pedulikan. Sebaliknya mata terus terintai-intai ke arah
landasan di sana jauh di sana. Sehinggalah akhirnya kelihatan pesawat Hercules
C130 milik tentera udara merayap perlahan di atas landasan menuju ke arah kami.
Emak tiba-tiba bangun dari kerusinya di sebelahku.
“Mak..” seruku pantas.
“Anak mak Nur dah sampai. Cucu-cucu mak tu..” ucap emak
lantas menunding ke arah pesawat itu.
Aku lantas bangun lalu bahu emak kupeluk, sekadar untuk
menenangkan diri emak. Namun saat itu aku terasa dadaku sendiri pun seperti
mahu pecah menahan asakan perasaan. Aku lihat Amri di sebelah sana sudah
meneran tangisannya.
“Nur.. balik jugak kau, nak. Alhamdulillah..” ucap emak
perlahan.
“Kak Nur dah balik, mak. Dengan anak-anak dia sekali..”
jawabku sebak.
Akhirnya berderai air mataku saat melihat keranda
berbalut bendera Malaysia yang pertama diangkut keluar daripada pesawat itu.
Kami sudah diberitahu itulah jenazah kakakku. Kaki sudah terasa lembik untuk
melihatnya dengan lebih dekat. Seterusnya keranda lebih kecil, itulah Muammar
Darius, anak saudaraku yang sulung. Suatu masa dulu dia pernah berhajat, ke
mana sahaja ibunya pergi, dia mahu mengikutnya. Seterusnya jenazah Aiman Yusmal dan Ain Qaisy. Air
mataku sudah tidak tertahan melihat keranda paling kecil antara semua itu.
hanya diusung oleh empat orang pegawai tentera.
Ya Allah.. inilah saat yang paling susah untuk aku
tempuhi di dalam hidupku. Menghadap pemergian abadi ini dalam cara yang begini
teramat-amat menyayukan hati. Aku tidak kuat untuk menahan ratapan ini.
Saat kereta jenazah pertama melintasi hadapan kami aku
lihat emak menghulur tangannya tiba-tiba. “Nurin..” emak menyeru perlahan.
Jenazah Kak Nur dan anak-anaknya dibawa ke Pekan Parit.
Di sana jenazah-jenazah yang terkorban akibat bencana kemanusiaan itu akan
disembahyangkan di masjid utama sebelum meneruskan perjalanan ke alam yang
seterusnya selepas zohor nanti. Tidak lama masa yang diambil untuk
menyempurnakan sembahyang jenazah. Amri turut menyertai sembahyang jenazah. Dia
berdiri di hadapan keranda Kak Nur.
Sebelum kesemua keranda diangkat semula untuk dibawa ke
tanah perkuburan, kami dipanggil untuk meluangkan masa yang tidak sebanyak mana
ini bersama dengan orang-orang tersayang kami. Aku memimpin emak mendekati
keranda-keranda itu. Pada hujung keranda itu tertera nama orang di dalamnya.
Emak terus duduk di hujung kepala keranda Kak Nur.
“Nurin Intan..” emak menyeru nama Kak Nur sambil
meletakkan tangannya di atas keranda itu. sayang sekali kami sudah diberitahu
kesemua keranda itu tidak boleh dibuka lagi untuk mengelakkan masalah lain. Aku
ikut duduk di belakang emak. Bahu emak aku pegang.
“Ya Allah.. ya Allah.. tahanlah air mataku ini. Aku rela
tidak menangis asalkan KAU berikan kemudahan kepada anakku ini di alam
sana, Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa
anak aku ni. Tempatkanlah dia bersama orang yang baik-baik. Kerana anak aku ni
baik orangnya. Nurin Intan tak pernah derhaka pada mak dan ayah. Pergilah, nak.
Mak reda, sayang. Tunggu mak di sana ya? Mak terlalu sayangkan kamu, Nur..”
suara emak menggigil saat meluahkan kata-kata itu. Dia tunduk mengucup bahagian
atas keranda itu seolah-olah sedang mengucup dahi Kak Nur. Aku hanya mampu
memeluk emak sambil menangis. Mengapa emak cukup tabah? Mengapa aku tidak
begitu?
Saat emak melihat keranda cucu-cucu kesayangannya, Amri
duduk ditempat emak tadi. Tanpa sepatah kata dia tunduk memegang keranda Kak
Nur. Bahunya bergegar kuat. Sehingga beberapa lelaki mula memegang bahunya.
Meminta dia menyabarkan diri.
“Nur..” Amri menyebut nama bekas isterinya itu dalam
tangisan sayu.
“Nur bawa pergi anak-anak abang bersama dengan Nur.
Maafkan abang, Nur. Abang banyak dosa pada Nur. Abang mungkir janji pada Nur.”
Amri merintih tanpa mempedulikan orang sekelilingnya.
Aku hanya mampu memandang gelagatnya. Sesal sekarang
sudah tiada maknanya. Namun aku yakin, Kak Nur sudah lama memaafkan lelaki ini.
Tiada secebis dendam pun di hati Kak Nur kepada lelaki ini.
Sehingga jenazah mula diangkat pergi, Amri terus
menangis. Paling sukar dia melepaskan keranda anak bongsu yang tidak pernah
dilihatnya selama ini. Tidak tahu bagaimana rupanya Ain Qaisy di matanya.
“Ain.. maafkan papa, sayang..” Amri mengucapkan kata-kata
itu berkali-kali. Sehingga bapa saudaraku terpaksa memegangnya agar tidak
menganggu urusan yang seterusnya. Betapa bersyukurlah.. Allah masih menyediakan
kesempatan untuk dia melihat jenazah itu.
Sesampai jenazah-jenazah itu ke tanah perkuburan di
kampungku, aku lihat puluhan manusia sudah menunggu di situ. Jenazah Kak Nur
dan anak-anaknya dikebumikan seliang lahat. Bersebelahan dengan pusara Arwah
ayahku. Inilah tanda mereka berempat sehidup dan semati. Air mataku gugur lagi
saat aku dan emak dipanggil menghadap jenazah-jenazah yang sudah dimuatkan ke
dalam liang lahat. Emak mengambil segumpal tanah lalu ditaburkan ke atas
keranda itu. Aku turut melakukan perkara yang sama. Aku pandang mereka
sepuas-puas hati. Kerana inilah kali terakhir aku dapat melepaskan rindu.
“Tenanglah kamu di sana, Nur. Derita kamu didunia ini
sudah habis. Mak percaya, kesabaran kamu selama ini akan dibalas Allah sebaik
sahaja tanah ini memisahkan kamu dari dunia ini. Doa mak akan selalu ada dengan
kamu, Nur..”
************************************************
Kicau burung kedengaran aman sekali pagi itu. Aku lihat emak
tiada di rumah. Sarapan pagi tetap disediakan seperti biasa. Aku segera
mencapai tudung dan keluar dari rumah. Kaki ku halakan ke arah tanah perkuburan
yang berada tidak jauh dari rumah kami.
Di lorong kecil masuk ke kawasan itu, aku lihat ada
kereta seseorang terpakir di sisi jalan kecil itu. Dari jauh aku lihat pusara
Kak Nur sedang dikunjungi oleh dua manusia. Emak dan Amri. Aku tidak tahu di mana
Amri menginap beberapa hari ini. Namun dia tidak pernah ketinggalan tahlil yang
diadakan di rumah kami. Aku dekati dua manusia itu dalam derap perlahan. Dua
manusia itu langsung tidak menoleh biarpun aku sudah duduk di sebelah emak.
“Saya tak tahu, mak. Ujian ni untuk saya sebenarnya. Hati
saya berubah, saya tega lukai hati Nur. Tapi dia tak pernah marahkan saya. Dia
sentiasa meminta saya sedar. Nur isteri yang terbaik untuk diri saya. Tapi saya
sia-siakan dia.” Amri berkata perlahan sambil memegang batu putih pusara Kak
Nur.
“Mak tahu Nur selalu maafkan kamu, Amri. Teruskanlah
hidup kamu. Kita terima takdir ni. Belajarlah daripada kesilapan lalu. Hargai
selagi ada, Amri. Kerana Allah takkan beri kita sesuatu untuk kita pegang
selama-lamanya,” jawab emak tenang sahaja.
“Sehari dua ni saya selalu teringatkan Nur, mak.
Kadang-kadang sampai tak boleh tidur. Hati saya ni merintih. Anak-anak saya
semuanya dah tinggalkan saya. Takde seorang pun yang tertinggal untuk saya
lepaskan rindu. Saya tahu.. ini balasan untuk saya. Saya ayah yang tak
bertanggungjawab sampai Allah terpaksa ambil semula kesemua anak-anak saya. Ini
yang layak saya terima selepas saya hancurkan keluarga saya sendiri demi
keseronokan dunia.” Amri menggeleng perlahan. Matanya berkaca lagi saat memandang
pusara Kak Nur.
“Dia tak pernah marah saya waktu dapat tahu saya curang
pada dia. Dia hanya minta saya jauhkan diri dari dosa. Tapi saya tak pernah
dengar nasihat dia,” luah Amri lagi.
“Maafkan abang, Nur. Abang tahu sesal abang hari ni dah
takde maknanya lagi pada Nur. Tapi abang tetap nak minta maaf. Abang tak pernah
berterima kasih atas kasih sayang yang Nur berikan pada abang. Abang selalu
lupa diri, Nur..” ucap Amri sayu. Tanah pusara yang masih merah itu disentuhnya
dengan telapak tangannya.
Sayu hatiku memandang Amri. Suatu masa dulu.. inilah yang
Kak Nur nantikan berlaku kepada hidupnya. Namun sayangnya Amri terlewat datang.
Lebih sejam kami duduk di pusara itu, emak mengajak kami
pulang. Amri bersetuju untuk makan tengahari di rumah. Namun sebelum pergi..
aku menoleh lagi kepada pusara itu. Pusara itu sepi. Namun aku yakin ada
keamanan di situ. Aku tahu itulah tempat yang terbaik untuk Kak Nur dan
anak-anaknya merasa bahagia. Jagaan Allah sudah tentu lebih baik untuk mereka
berempat.
Kak Nur.. Nilam takkan lupakan Kak Nur sampai bila-bila.
Kerana Kak Nur adalah seorang kakak yang paling penyayang. Kerana Nurin Intan
adalah seorang anak yang paling taat kepada emak dan ayahku. Kerana Nurin Intan
juga seorang isteri yang penyabar kepada seorang lelaki bernama Amri. Dan Nurin
Intan juga seorang kekasih yang cukup setia memegang puncak kasihnya biarpun
tidak lagi diperlukan oleh kekasihnya. Aku reda dengan takdir ini. kerana aku
tahu.. kasih sayang Allah kepada Kak Nur lebih tiada taranya berbanding kasih
sayang kami kepadanya.
Amanlah Kak Nur bersama anak-anaknya di sana. Adikmu ini
akan selalu mengirimkan doa buatmu.
Insya-Allah...
Sedih sgt... kasih sayang seorg isteri yg dipersiakan oleh suami yg lupa diri.. seorg ayah yg tidak bertanggungjawab terhadap anak2 nya.... apabila sudah kehilangan baru rasa sesal di hati.. kasih ibu.... kemana jua pergi anak2 sentiasa disisi... hinggalah ke hujung hayatnya...
BalasPadamdan...aku menangis lagi...
BalasPadam