Bab 23
Mak cik Saadiah
terkedu dengan mata terbelalak. Pak cik Hambali hanya tentang memandang
sepasang manusia yang berdiri di kaki tangga rumah itu. Sudah diagaknya Hadi
pasti akan pulang juga. Sudah diagaknya Hadi tidak akan keseorangan.
“Naiklah..” ucap Pak cik Hambali sepatah.
“Jangan mimpi aku nak benarkan betina ni jejak rumah aku!” bentak Mak cik
Saadiah tiba-tiba. “Hadi naik! Kau balik rumah mak bapak kau!” tambah wanita
itu dengan mata terbuntang kepada Qay yang sudah memeluk lengan Hadi.
“Ayah kata naik! Jangan sesiapa bantah cakap ayah!” tegas Pak cik Hambali
keras.
Mak cik Saadiah memandang suaminya dengan pandangan menyinga. “Saya tak
benarkan betina jalang ni jejak kaki dalam rumah saya.”
“Diam, Diah! Awak jangan kusutkan lagi keadaan!” jerkah Pak cik Hambali
garang. Merah matanya memandang isterinya itu. rasanya sikap isterinya itu
sudah keterlaluan. Kedegilan dan keegoan mereka sebagai ibu bapa hanya akan
menambah buruk lagi keadaan.
Hadi mula memanjat tangga diikuti oleh Qay di belakang. Lengan suaminya itu
tidak mampu dilepaskan. Betapa gentarnya dia melihat sikap penyinga emak
mertuanya itu.
“Kamu berdua duduk situ!” arah Pak cik Hambali keras sebelum masuk mencari
anak ke empatnya. “Hana, pergi rumah Pak cik Farouqe. Bagitahu dia yang ayah
suruh dia ke mari sekarang jugak!” ucap lelaki itu kepada anaknya itu.
Darhana hanya mengangguk sambil memandang sekilas dua manusia yang duduk di
kerusi di tengah rumahnya itu. Ketika berlalu dia memandang lagi namun
pandangannya hanya terhala kepada wanita yang tunduk bersebelahan dengan
abangnya itu.
“Cakap dengan ayah, apa yang kamu berdua dah buat ni?” soal Pak cik Hambali
serius kepada anaknya itu. Mak cik Saadiah ikut duduk di situ kerana tidak mahu
ketinggalan mendengar berita terkini hiburan sensasi dari anak lelakinya itu.
“Hadi minta maaf, ayah. Hadi dah nikah dengan Qay.” Hadi menjawab perlahan.
Turun naik dada Mak cik Saadiah mendengar pengakuan yang lebih dasyat dari
pengebom berani mati itu. matanya membulat memandang Qay yang tunduk sahaja
bersebelahan anaknya itu. Walaupun mereka berdua nampak sepadan macam pinang
dibelah dua. Tetapi hatinya ini sudah hancur ibarat pinang digilis keretapi!
Berkecai sudah harapannya untuk bermenantukan Suria. Namun dia tidak berani
pula mahu menjawab. Takut diherdik lagi oleh suaminya. Malu juga dia tadi
ditengking suaminya di hadapan menantu tidak diiktirafnya itu.
“Kenapa Hadi buat macam ni?” soal Pak cik Hambali sambil menghela keluhan
perlahan.
“Hadi sayangkan Qay, ayah. Hadi tak mahu berpisah dari dia.”
“Hadi tahu tak tindakan Hadi ni memalukan ayah? Disebabkan perbuatan kamu
berdua ni ayah tak mampu nak pandang muka Tuan Farouqe tu.”
“Hadi tahu Hadi salah, ayah. Tapi apa pilihan yang Hadi ada? Hadi tak tahu
apa yang patut Hadi buat bila papa Qay nak pindahkan Qay ke US. Hadi tak mahu
berjauhan dari Qay, ayah.” Hadi menjawab dengan kewajaran tindakannya itu.
“Kenapa dah lebih 4 bulan baru kamu berdua balik? Qay, tahu tak mama dengan
papa Qay risau memikirkan Qay? Mama Qay asyik menangis disebabkan Qay? Kenapa
kamu berdua ni pendek akal benar?” keluh lelaki tua itu sambil menggeleng.
Ucapan Pak cik Hambali membuatkan Qay menitiskan air mata di situ.
Sesunguhnya dia terlalu rindukan mamanya.
“Ayah, Hadi minta mak dan ayah terima Qay sebagai menantu dalam rumah ni..”
“Amboi! Sedapnya kau bercakap, budak bertuah! Kau dah malukan mak, kau nak
mak terima perempuan ni macam tu aja? istimewa benar ke betina ni sampai aku
nak kena terima dia?”
“Mak, Qay ni isteri Hadi. Tolonglah, mak. Hadi betul-betul sayangkan Qay..”
rayu Hadi perlahan.
“Aku nak kau ceraikan betina ni! Aku takkan terima dia sebagai menantu
aku.”
“Diah!” tegur Pak cik Hambali agak keras.
“Saya tak peduli, bang. Abang nak marah saya pun marahlah! Saya takkan
boleh terima betina sundal ni dalam rumah ni. Tak boleh!” tegas Mak cik Saadiah
lantang.
Qay sudah teresak-esak di sisi Hadi. Terhiris benar hatinya digelarkan
begitu oleh emak mertuanya. Hadi pantas memeluk bahi isterinya.
“Cubalah awak bawak beristighfar, Diah. Jangan ikutkan sangat hasutan iblis.
Budak-budak ni dah nikah.”
“Nikah kat mana? Siam? Siapa yang nak iktiraf nikah kat tempat macam tu?”
“Hadi tak boleh ceraikan Qay, mak.” Hadi pantas mencelah perbalahan emak
dan ayahnya itu.
“Kenapa tak boleh? Kau tu anak aku! Apa aku kata kau kena ikut!”
“Diah, awak jangan nak memandai-mandai dalam hal ni. Saya kata awak diam!
Saya tak nak dengar lagi kisah dendam tak kesudahan awak tu! Jangan sampai saya
hilang sabar nanti,” ucap Pak cik Hambali mula mengeraskan suaranya.
Kala itu Mak cik Saadiah terdiam menelan ancaman keras suaminya. Matanya
dialihkan kepada paras menantunya. Huh! Meluat!
“Qay mengandung, ayah..” ucap Hadi kepada ayahnya itu.
Mak cik Saadiah tersandar mendengar pengakuan anaknya itu. Sedikit pun
tidak dia merasa bangga mengenangkan kehebatan anak lelakinya itu membuktikan
kelelakiannya. Sebaliknya hatinya remuk mengenangkan usahanya untuk memisahkan
dua manusia itu semakin sukar.
Pak cik Hambali sekadar diam. Dia juga tidak merasa gembira mengenang itu. “Kamu
bernikah di Thailand ke?”soal Pak cik Hambali seolah-olah tidak berminat dengan
berita itu.
Hadi mengangguk sahaja kepada pertanyaan ayahnya itu.
“Kamu dah daftar ke belum?” tanya lelaki tua itu lagi. Tanpa surat nikah
yang sah anak yang bakal lahir itu nanti tidak akan dapat di daftarkan sebagai
anak sah taraf di Malaysia.
“Dah, ayah. Kami dah dapat pun surat
nikah dari pejabat agama.”
Pak cik Hambali meraup wajahnya perlahan sambil beristighfar. “Ayah tak
tahu nak bereaksi macamana dengan semua ni, Hadi. Terus terang ayah kata, ayah
sebenarnya kecewa dengan semua ni. Ayah tahu kamu berdua suka sama suka. Tapi
tindakan kamu ni tak tepat. Tak sepatutnya kamu berdua lari dari keluarga
kemudian buat tindakan sendiri macam ni. Ayah ada 4 anak perempuan. Kalau
anak-anak perempuan ayah buat ayah macam ni, ayah pun akan rasa kecil hati.
Tapi nak kesal pun dah takde guna. Kamu berdua dah terlajak pun. Sekarang kamu
hadaplah keluarga mertua kamu tu, Hadi.” Pak cik Hambali menjawab pasrah.
“Mak, Hadi tahu Hadi dah buat salah pada mak. Hadi minta ampun dari hujung
rambut sampai hujung kaki. Tapi tolong jangan benci Qay, mak. Hadi merayu
sangat pada mak. Hadi minta restu mak, Hadi nak mulakan hidup dengan Qay. Hadi
percaya Qay boleh bahagiakan mak sebagai mak mertua. Tolonglah terima Qay, mak.
Untuk anak Hadi,” ucap Hadi kepada emaknya yang terdiam di situ.
Mak cik Saadiah tiba-tiba bangun dari situ.
“Mak..” Hadi bangun lalu kaki emaknya dipegang. “Hadi tahu Hadi dah
kecilkan hati mak. Tolong maafkan Hadi, mak.”
Mak cik Saadiah tidak mempedulikan rayuan anak lelakinya itu. Tanpa kata
dia terus berlalu masuk ke biliknya. Pintu bilik itu ditutupnya untuk dia
melepaskan perasaannya tanpa diganggu oleh sesiapa. Permintaan anaknya itu
tidak mampu untuk ditunaikannya.
Hadi meraup wajahnya perlahan. Semakin kusut fikirannya memikirkan reaksi
emaknya. Dia tahu emaknya masih tidak boleh menerima semua ini.
“Perlahan-lahanlah pujuk mak tu, Hadi. Jangan berputus asa..” ucap Pak cik
Hambali perlahan. Kasihan pula dia melihat dua manusia itu. Sedari tadi Qay
hanya menunduk tanpa suara.
“Hadi tak tahu apa yang patut Hadi buat, ayah. Bila Qay kena pergi US, Hadi
jadi hilang punca. Salah ke Hadi sayangkan Qay? Hadi cuma nak hidup dengan
Qay,” rintih anak muda itu kesedihan.
“Sudahlah.. jangan dikesalkan lagi benda yang dah berlaku. Ayah reda kalau
inilah yang kamu mahukan, Hadi. Ayah terima Qay sebagai menantu ayah. Cuma ayah
nak kamu berdua bersabar dengan semua dugaan yang datang selepas ini. Bukan
mudah membina rumahtangga dalam keadaan berkonflik begini. Siapa yang sabar,
dia yang akan menang! Kamu berdua dah ada tanggungjawab masing-masing. Tak lama
lagi kamu berdua akan jadi emak dan ayah. Laksanakan segala tanggungjawab tu
dengan seikhlas hati. Besar amanah yang kamu pikul ni, Hadi. Jangan pandang mudah
semua tu,” jawab Pak cik Hambali lembut.
Hadi sedikit kelegaan dengan penerimaan ayahnya itu. “Terima kasih, ayah.”
5 minit selepas kepulangan Darhana, menyusul pula Tuan Farouqe bersama
dengan isterinya. Uwo Zaharah juga turut ada bersama mereka. Pak cik Hambali
terus menjemput tetamu-tetamunya itu naik ke rumah. Namun ketika di atas rumah
itu Tuan Farouqe sudah terpaku melihat batang tubuh anaknya sedang berdiri
memandang kepadanya. Wajahnya terus berubah. Jadi selama ini anaknya ini
sanggup lari darinya demi seorang lelaki?
“Papa..” panggil Qay cuba mendekati lelaki itu. Namun tiba-tiba ayahnya itu
berpatah balik ke belakang dan turun semula ke bawah.
“Papa..” Qay mengejar lelaki itu sehingga ke bawah. Lengan Tuan Farouqe
sempat ditariknya bagi menghalang ayahnya itu berlalu. Puan Azreena dan Uwo
Zaharah terpaku memandang dua beranak itu. Begitu juga dengan Hadi. Dia belas
melihat tangisan isterinya itu.
“Papa, Qay minta maaf..” ucap Qay dalam esakan sayu.
“Sampai hati Qay buat papa macam ni..” ucap Tuan Farouqe sambil menggeleng.
Lengannya dilepaskan dari pegangan anaknya itu. “Reen, balik!” ajak lelaki itu
keras.
“Papa, jangan pergi. Qay rindukan papa dengan mama. Qay minta maaf, pa.”
“Reen, kita balik sekarang!” Tuan Farouqe mengeraskan lagi suaranya apabila
melihat isterinya masih tidak berganjak. Remuk hatinya sudah tidak terkata
dengan perbuatan Qay. Setelah ditatang bertahun-tahun, inilah balasan anaknya
ini kepadanya. Tangisan Qay tidak mampu untuk memujuk hatinya biarpun tangisan
itu kedengaran amat memilukan.
“Papa, jangan!” Qay memeluk tubuh ayahnya itu dari belakang enggan
membiarkan lelaki itu berlalu. Namun Tuan Farouqe menepis tangannya.
“Papa, jangan tinggalkan Qay.”
“Qay yang tinggalkan papa. Qay sanggup malukan papa macam ni. Untuk apa
papa ada dalam hidup Qay lagi. Hati papa hancur dengan semua ni, Qay. Ini
rupanya yang layak papa terima dari anak papa sendiri. Papa percayakan Qay.
Tapi ini yang papa dapat!” luah Tuan Farouqe tanpa memandang anaknya itu.
“Qay tahu Qay berdosa pada papa. Qay balik sebab Qay nak minta ampun dari
papa dengan mama. Qay rindukan papa dengan mama. Tolong maafkan Qay, papa.”
Tuan Farouqe melepaskan pelukan Qay dari tubuhnya. Air mata yang mengalir
disapunya enggan membiarkan anaknya itu melihatnya. Kemudian dia berpaling
kepada Qay. “Papa tahu Qay dah kahwin dengan diakan?”
Agak lambat Qay mengangguk.
“Jadi takde apa lagi yang papa boleh buat. Qay bukan hak papa lagi! Reen,
kita balik!” ucap Tuan Farouqe agak kuat. Lengan isterinya ditarik agar mereka
berlalu dari situ segera.
“Papa, jangan tinggalkan Qay. Mama..” Anak itu merayu pula kepada ibunya
yang ditarik pergi oleh ayahnya. Tidak cukup itu dia pergi kepada neneknya itu
pula.
“Jangan pedulikan dia!” jerkah Tuan Farouqe mula hilang sabar. Tubuh anaknya
ditolaknya agar menjauhi mereka “Dia dah cukup dewasa. Dia dah pilih jalan
hidup dia sendiri. Dia dah pilih orang yang layak menjaga dia berbanding kita.
Biarkan dia..” suara Tuan Farouqe terus melengking di halaman itu.
Hadi pantas turun mendapatkan isterinya. Belas benar dia melihat Qay
dilayan begitu oleh kedua ibu dan ayahnya. Namun untuk masuk campur dia tidak
berani.
“Farouqe, ini anak kamu. Kasihankan dia..” Uwo Zaharah mula masuk campur.
Dia tidak sampai hati melihat cucunya itu.
“Nankör çocuk!” Tuan Farouqe
mencela anaknya itu sambil menunding tepat ke wajah Qay. Dadanya turun naik
menahan kemarahan.
“Farouqe!” Puan Azreena terkejut besar mendengar celaan yang dilahirkan
suaminya kepada Qay. Air matanya sudah merembes laju. Betapa pilu hatinya melihat
anaknya diperlakukan begitu. Tangisan Qay membuatkan dia bertambah sayu.
Terduduk Qay mendengar ayahnya menggelarkan dia sebagai anak yang tak
mengenang budi. Dia meraung di situ sambil memegang kepalanya yang sudah terasa
sakit. “Papa Qay minta ampun..” ucapnya sayu.
“Qay..” Hadi terus memanggil apabila melihat Qay sudah lain macam. Tubuh
isterinya lembik tiba-tiba. “Qay..” Hadi memanggil lagi. Namun Qay sudah pun
terkulai di dalam pelukannya.
Perlahan kelopak
matanya dibuka. Qay memandang sekeliling. Pertama yang dilihatnya adalah wajah
Hadi.
“Sayang..” panggil Hadi cukup lembut. Wajah isterinya itu diusap penuh
kelembutan.
“Qay kat mana ni?” ucap Qay sedikit kebingungan. Bilik itu nampak asing
kepadanya.
“Kita kat rumah nenek..” jawab Hadi lembut. Lega dia melihat isterinya
sudah mula membuka mata.
“Nenek?”
“Nenek abang..” jawab Hadi lembut.
Tiba-tiba Qay teringatkan semula kejadian sebentar tadi. “Papa Qay mana,
abang? Qay nak jumpa papa..” rintih Qay. Dia cuba bangun namun Hadi segera menghalang.
“Qay kena rehat. Jangan banyak bergerak, sayang.”
“Qay nak jumpa papa, abang. Qay rindukan mama dengan Uwo..”
Pedih hati Hadi mendengar itu. “Papa dengan mama dah balik tadi..” jawab
Hadi perlahan. Sedih dia melihat emak dan ayah mertuanya berlalu begitu sahaja
tanpa mempedulikan Qay yang tidak sedarkan diri. Sedikit sebanyak dia merasa
bersalah kerana membuatkan keadaan Qay jadi begini.
“Papa masih tak boleh maafkan Qaykan? Papa dah bencikan Qay. Qay ni anak
derhaka, abang. Papa panggil Qay anak yang tak mengenang budi. Qay berdosa pada
papa dan mama. Abang, tolonglah Qay..” Qay mula merintih lagi dalam tangisan
sayunya. Celaan ayahnya sebentar tadi kembali terngiang di telinganya.
“Sayang, jangan cakap macam tu. Kita akan pujuk papa dengan mama nanti.
Abang janji lepas Qay sihat nanti kita pergi rumah keluarga Qay ya?” pujuk Hadi
sedikit mendayu. Sayu hatinya melihat tangisan isterinya itu. Pantas tubuh itu
dipeluknya untuk menenangkan buah hatinya itu.
“Sabar, sayang. Abang ada.. abang akan terus di sisi Qay. Kita hadapi ni
semua sama-sama ya?” pujuk Hadi lembut. Ubun-ubun wanita itu dikucupnya lembut.
Alkisahnya mereka berdua, Qay tidak diterima ayahnya manakala dia pula tidak
diterima ibunya. Nasib mereka lebih kurang sahaja. Sebentar tadi ketika dia
mahu membawa Qay masuk ke dalam rumah, emaknya menghalang. Sudahnya dia
terpaksa mencempung isterinya ke rumah neneknya. Nasib baiklah neneknya mahu
menerima kehadiran mereka.
Bilik itu tiba-tiba di masuki seseorang. Seorang wanita tua mampir dengan
semangkuk bubur dan segelas air. Qay sempat mengesat pipinya sebelum memandang
lama wanita itu.
“Dah bangun ke cucu nenek ni?” tanya Nenek Rubiah lembut dengan sedikit
senyuman.
“Ini nenek abang, Qay. Mak kepada ayah..” ujar Hadi.
“Oh..” hanya itu yang mampu dijawab Qay. Dia pantas menghulurkan tangan
kepada wanita tua itu. Senyuman Nenek Rubiah menerbangkan sedikit rasa tidak
enak di hatinya. Harap-harap janganlah dia dimaki lagi seperti tadi.
“Tengah mengandung macam ni, jangan banyak menangis. Tak baik untuk
kesihatan. Nanti anak tu pun cengeng. Nah.. makan bubur ni. Biar ada isi perut
tu. Kalau perut kosong, lekas sakit sana sini.” Nenek Rubiah berkata lembut.
Mangkuk bubur itu dihulurkan kepada Hadi.
“Terima kasih, nek..” ucap Hadi saat menyambut bubur itu.
“Malam ni kamu berdua tidur ajalah di sini dulu. Mak kamu tu kalau dah
mengamuk, bukannya boleh dipujuk-pujuk. Biar dia bertenang dulu. Qay ni pun
belum cukup sihat. Orang mengandung ni tak boleh tertekan sangat.” Nenek Rubiah
berkata sambil memandang cucu menantunya itu. Ini rupanya cucu Al Fateh. Cantik
budaknya. Patutlah Hadi sanggup kahwin lari.. bisik hatinya memuji.
“Nenek tak kisah ke Qay duduk sini?” soal Qay. Bimbang dia menyusahkan
wanita itu pula.
“Apa nak kisahnya, cu? Nenek ni pun duduk seorang. Selalunya cucu-cucu
nenek yang datang temankan nenek kat sini,” jawab Nenek Rubiah sambil
tersenyum.
“Makan bubur ni, sayang. Nanti baby kita lapar..” ucap Hadi sambil
menyuakan sudu berisi bubur itu.
Qay membuka sedikit mulutnya. Bubur itu dikunyah sekali dua sebelum
ditelannya. Ironinya bubur ayam itu mula menggamit seleranya. Atau sebenarnya
dia sedang lapar kerana semenjak tadi dia belum makan.
“Sedap tak bubur nenek masak tu?” tanya Nenek Rubiah senang hati melihat
Qay berselera menikmati bubur itu. Hadi ikut tersenyum melihat isterinya
berselera.
“Sedap sangat, nek..”
“Makanlah banyak sikit. Biar ada tenaga. Anak tu pun bergantung pada Qay.
Soal ni semua jangan difikirkan sangat. Kena banyak bersabar,” ucap Nenek
Rubiah lembut. Dia tahu benar menantunya itu memang pendendam. Bukan sekadar
kepada Arwah Mariam sebaliknya kepada dia juga begitu. Puas dia meminta maaf
namun Saadiah tetap begitu. Tidak mahu berbaik dengannya.
Selesai menikmati bubur itu Qay diminta berehat sahaja di katil. Hadi
menemankan neneknya di dapur. Sedang Hadi berbual dengan neneknya itu tiba-tiba
kelibat Salina muncul di situ bersama Darhana dan Fatihah.
“Bila Kak Sal balik?” tanya Hadi sekadar berbasi basa dengan kakaknya itu.
“Baru sekejap. Ayah ada bagitahu akak apa yang jadi tadi. Sebab tu akak
datang sini. Keadaan Qay macamana sekarang?” soal Salina sambil duduk di meja
makan memandang adiknya yang duduk di tangga dapur.
“Dah okay sikit..” jawab Hadi perlahan sambil menggaru kepalanya.
“Mak kamu tu macamana, Sal? Masih marah-marah lagi ke?” soal Nenek Rubiah
lembut.
“Macam tulah, nek. Mak tengah membebelkan ayah. Biar jelah.. nanti dia
sejuk, dia okaylah tu. Dalam keadaan macam ni, makin dipujuk makin memantul mak
tu.” Salina menjawab biasa. Ini bukan kali pertama dia melihat emaknya
marah-marah begitu jika berkaitan dengan keluarga Tuan Farouqe atau arwah Mak
longnya.
Hadi menghela keluhan perlahan mendengar khabar itu. Rusuhan di dalam
jiwanya ini semakin tidak berkurangan mendengar itu. Susah benar emaknya mahu
bertolak ansur dengannya.
“Mak marah sangat bila abang bawak balik Kak Qay sebab dia dah janji dengan
Mak cik Sarimah.” Darhana tiba-tiba menyampuk perbualan itu.
“Janji apa pulak ni, cu?” soal Nenek Rubiah.
“Janji nak kahwinkan Abang Hadi dengan anak Mak cik Sarimah tulah!” Darhana
menjawab dengan sedikit cebikan. Meluat benar dia melihat lagak Suria semenjak
kebelakangan ini.
“Dah takde jodoh, apa boleh buat. Soal ini kita tak boleh paksa-paksa
sangat. Ini semua kerja Allah,” jawab Nenek Rubiah sambil mengacau kopi di
dalam teko. Beberapa biji cawan mula disusun untuk dihidangkan buat
cucu-cucunya itu.
“Hadi kena bijak dalam keadaan macam ni. Benda macam ni nak diselesaikan
bukan senang. Bak kata orang tarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus,
tepung pun tak selerak. Semua orang sayang isteri tapi kita jangan lupa, syurga
anak lelaki tetap di bawah telapak kaki ibu. Jangan sesekali derhaka pada mak.
Tak berkat hidup melawan cakap ibu,” nasihat Nenek Rubiah.
“Hadi faham, nek. Hadi akan buat apa saja supaya mak akan maafkan Hadi,”
ujar Hadi dengan wajah mendungnya.
“Beralahlah kamu berdua. Jangan dilawan mak kamu tu. Kalau kamu lawan cakap
dia, dia akan makin marah.” Nenek Rubiah menambah lagi nasihatnya.
“Tapi Qay tu pun Hadi jangan lupa. Dia tanggungjawab Hadi sekarang. Jangan
kerana nak jaga hati mak Hadi abaikan dia. Nak pulak waktu dia tengah
mengandung macam ni. Orang mengandung ni cepat terasa hati,” ujar Salina pula.
Hadi terdiam menelan kata-kata Salina. Buat masa ini dia masih tidak tahu
bagaimana untuk dia memujuk hati ibunya itu. Dia masih buntu! Itu belum masuk
keluarga mertuanya itu. Hadi hanya terdaya mengeluh sendiri. Kusut!
“So apa planning Hadi lepas ni?”
“Planning? Maksud Kak Sal?”
“Yalah.. buat penat ajalah ayah sekolah Hadi selama ni kalau Hadi tak mahu
sambung belajar lagi?” ucap Salina selamba.
Hadi diam lagi. Semua itu sudah ditinggalkan di belakang semenjak dia
memutuskan untuk melarikan diri dengan Qay dahulu. Dia sendiri tidak yakin adakah
impian itu dapat direalisasikan atau tidak.
“Kak Sal kalau boleh nak tengok Hadi sambung belajar lagi. Ini juga salah
satu cara Hadi nak pujuk hati mak. Jangan biarkan mak anggap perkahwinan Hadi
ni jadi halangan untuk Hadi berjaya macam orang lain. Hadi tahukan? Mak dengan
ayah nak tengok Hadi masuk universiti.”
Hadi mengangguk-angguk perlahan. Dia tahu apa yang dikatakan Salina itu
benar. Namun semua itu dianggap sudah tidak wajib lagi berbanding menyara
kehidupan isteri dan anak yang bakal lahir nanti.
“Betul kata Kak Sal kamu tu, Hadi. Kamu kena adil. Kamu dah dapat apa yang
kamu nak. Kamu kena tunaikan pulak impian mak dengan ayah kamu tu. Jangan
biarkan dia orang tu menanggung kesal seumur hidup dengan tindakan kamu ni.”
“Tengoklah nanti. Hadi akan fikirkan macamana..” ujar Hadi akhirnya.
Ruang tamu rumah banglo
itu hening semenjak pasangan muda itu tiba di rumah itu. Tidak ada keriangan
mahu pun kegembiraan yang menghiasai pertemuan semula mereka. Sebaliknya hanya
kesuraman menghiasi suasana antara mereka.
Tuan Farouqe terus bungkam membuang pandang daripada raut anak gadisnya.
Rasa kecewanya masih tidak tercacat sedikit pun dengan kehadiran anaknya itu
bersama Hadi. Puan Azreena tidak berani mahu menasihati suaminya dalam keadaan
hati itu sarat dengan kecewa dan marah. Marah suaminya bukan kemarahan biasa.
Lelaki itu suka menyendiri dan kadang-kala menangis.
“Papa, tolong jangan buang Qay dari hidup papa. Qay masih perlukan papa
dengan mama. Please..” rayu Qay
sekali lagi cuba memenangis hati si ayah.
Tuan Farouqe terus tidak memberikan sebarang reaksi biarpun rayuan itu
telah dimamah oleh telinganya. Hatinya langsung tidak terusik. Perbuatan Qay
kali ini benar-benar memberikan impak yang cukup besar kepada dirinya. Hati
seorang ayah sepertinya pasti akan terguris. Apatah lagi inilah satu-satunya
anak yang dimilikinya.
“Papa..” Qay bangun mendekati ayahnya itu. tangan lelaki itu dicapainya
lalu diciumnya. Sekali lagi air matanya mengalir. “Papa, Qay minta maaf. Jangan
layan Qay macam ni, papa. Cakaplah sesuatu, pa.” Tersiksa benar jiwanya melihat
kedinginan ayahnya itu. Memandangnya sahaja ayahnya sudah tidak mahu.
Tuan Farouqe terus membeku. Langsung dia tidak memandang raut sedih anaknya
itu.
“Papa, pandanglah Qay ni papa. Qay cuma nak papa faham perasaan Qay
sekarang. Qay sayangkan Abang Hadi. Qay nak hidup dengan dia, papa. Tolong
restui kami. Qay tak mahu jadi anak derhaka, papa.”
“Restu?” Kali itu Tuan Farouqe menoleh dengan sorotan mata yang tajam.
Wajah Hadi sempat dijamah dengan bola matanya. Namun hanya Tuhan sahaja yang
tahu apa yang terkandung di hatinya ini untuk anak muda itu.
“Papa harap Qay sedar keputusan apa yang dah Qay ambil ini. Selama ini papa
hanya memikirkan kepentingan Qay, masa depan Qay! Tapi nampaknya papa dah tersilap.
Adakah selama ini Qay rasa papa tak faham jiwa anak papa sendiri?” ujar Tuan
Farouqe keras.
“Bukan macam tu papa..”
“Impian Qay menghancurkan hati papa. Kerana cinta Qay sanggup ketepikan
segala kepentingan keluarga ni? Perasaan papa dan mama dah tak penting lagi
pada Qay? Qay balik sini minta papa restui kamu berdua, Qay ingat papa ni apa? How could you!” bentak Tuan Farouqe
kepada anaknya itu.
“Papa, jangan cakap macam pada Qay. Qay tahu Qay dah musnahkan harapan papa
pada Qay selama ini. Qay tak tahu apa yang patut Qay buat bila Qay terpaksa
memilih, papa. Walaupun Qay dah jadi isteri Abang Hadi tapi Qay tetap sayangkan
papa dengan mama. Please forgive me,
papa..” Qay menangis di sisi ayahnya itu.
Hadi hanya mampu memandang isterinya itu. Mahu menyampuk dia bimbang dia
hanya memburukkan lagi keadaan.
“Senangkan? Bila papa tak izinkan, Qay lari dengan dia. Kemudian balik ke
sini minta papa maafkan Qay. Suatu hari nanti bila anak dalam kandungan Qay ni
sakitkan hati Qay semula, baru Qay faham apa yang papa rasa sekarang!” ucap
Tuan Farouqe terus dengan nada tinggi.
Qay tertunduk tidak terdaya membalas. Sebak dadanya dengan ucapan ayahnya
itu namun dia sedar dia orang yang bersalah.
“Eğer gerçekten saf olduğunu, biliyor
musunuz? Eğer o iyi tutmak mümkün olmayacaktır olduğunu biliyor
musunuz? Eğer düşündüğünüzden gibi bu hepsi bu doğru gibi kolay,
kesinlikle kutular başından beri annesi ikna. Iyi bir adam olarak o istiyor ne
almak için bir kısayol kullanmaz. Bu tür erkekler kutular güvenilir olamaz! Neden
tüm bu var görmüyor musun?” (kamu tahu tak yang
kamu ini sebenarnya naif? Kamu tahu tak yang dia takkan mampu menjaga kamu
dengan baik? Kalau semua ini semudah yang kamu sangka, sudah pasti dia mampu
memujuk emak dia semenjak awal lagi. Lelaki yang baik dia tidak akan
menggunakan jalan pintas untuk mendapatkan apa yang dimahukannya. Lelaki
seperti dia tidak boleh dipercayai! Kenapa kamu tak lihat kebenaran itu?)
Seperenggan kata-kata yang yang dilontarkan oleh ayahnya itu membuatkan bola
mata Qay terpaku lama memandang ayahnya. Kemudian dia tunduk semula merenung
jemarinya. Hatinya pedih mendengar penilaian buruk yang dilemparkan papanya itu
kepada Hadi. Namun untuk membela dia bimbang ayahnya akan bertambah marah. Puan
Azreena sekadar diam mendengar kata-kata suaminya. Dia tahu lelaki itu sengaja
menggunakan bahasa asing agar Hadi tidak faham apa yang diucapkan kepada anak
perempuannya itu.
“Bir gün gerçeği göreceksiniz.
(kamu akan lihat kebenarannya suatu hari nanti.)” Tuan Farouqe berkata lagi
sambil mengangkat jari telunjuknya di hadapan Qay.
“Abang Hadi baik, papa. Selama ini dia yang menjaga Qay..”
“Really?” Tuan Farouqe ketawa
sinis sambil menggeleng sendiri. Anaknya ini masih buta, nampaknya. Seketika
kemudian Tuan Farouqe memandang menantunya itu. Jauh di sudut hatinya bukannya
dia tidak suka anak muda ini bergandingan dengan anaknya. Namun keperkasaan
seorang lelaki bukan terletak kepada egonya. Tetapi kebijakannya dalam membuat
keputusan.
“O para kullandınız mı?(adakah
dia menggunakan duit kamu selama ini?)” soal Tuan Farouqe agak sinis kepada
anaknya itu.
Qay memandang seketika suaminya yang terkebil-kebil tidak tahu cerita. “Hayır!(tidak!)” tegas Qay bersungguh
mempertahankan suaminya itu.
Tuan Farouqe berdiam seketika sambil memandang Hadi. Jawapan Qay sudah
dijangkanya. Secebis pun tidak dia merasa gembira mendengar itu. Sekilas
pandang dia sudah tahu lelaki itu jenis lelaki yang macamana. Hadi pula tunduk.
Dia tahu dia tidak digemari oleh lelaki kaya itu.
“Farouqe, mungkin kita patut bagi mereka peluang.” Puan Azreena akhirnya
mencelah juga apabila dilihatnya keadaan sudah tidak sehangat tadi.
Tuan Farouqe ketawa cukup sinis. “Saya tidak akan maafkan sesiapa yang
menghancurkan keluarga saya! Saya tidak akan terima dia di dalam rumah ini!
Jangan mimpi!” ucapnya tajam.
“Jangan cakap macam tu, papa. Qay masih lagi anak papa dengan mama. Qay
tetap sayangkan papa dengan mama.”
“Kalau betul Qay sayangkan papa, Qay akan dengar cakap papa. Apa akan jadi
pada Qay selepas ini? Apa akan jadi pada syarikat keluarga kita? Papa cuma ada
Qay satu-satunya tapi Qay pilih untuk hidup begini. Dengan kehadiran bayi tu,
semua yang papa harapkan dah musnah! Jangan cakap soal sayang dengan papa
lagi!” meninggi suara Tuan Farouqe melawan bicara anaknya itu. Serentak itu dia
terus bangun meninggalkan ruang tamu itu. panggilan Qay kepadanya tidak
dipedulikannya.
Puan Azreena menghela nafas perlahan melihat suaminya. “Sekarang Qay dah
nampakkan akibat? Kenapa Qay sampai hati buat kami macam ni?” ucap Puan Azreena
lembut sahaja biarpun nadanya kedengaran agak kesal.
“Qay tahu Qay salah, ma. Tapi Qay sayangkan Abang Hadi. Kalau papa tak
berkeras nak hantar Qay ke US semua ni takkan jadi,” ucap Qay lemah.
“Jadi Qay rasa ini semua salah papalah?”
“Ma..” Qay lantas bangun mendekati ibunya itu. Tangan ibunya diraih lalu
dikucupnya penuh kasih sayang. “Qay tak mahu salahkan sesiapa, ma. Qay cuma nak
papa dengan mama terima Abang Hadi sebagai suami Qay. Qay tak sanggup berpisah
dengan mama. Tolong jangan buat Qay serba salah.”
“Dalam hidup ni tak semuanya kita boleh miliki dengan mudah, Qay. Betul kata
papa tadi. Mama tak suka orang yang gunakan jalan pintas untuk capai apa yang
dimahukan!” tekan Puan Azreena kepada anaknya itu.
“Mama, saya janji akan jaga Qay baik-baik. Tolong bagi saya peluang
buktikan kemampuan saya.” Hadi mula mencelah. Dengan Puan Azreena dia
beranilah. Itupun sikit! Dengan Tuan Farouqe, nak angkat muka pun kecut! Hadi
tahu lelaki itu memandang rendah kepadanya.
“Mama bagi ke tidak, peluang tu memang ada pada Hadi. Bukan senang nak
ambil hati papa semula bila kamu berdua dah buat macam ni. Lepas ni apa Qay
akan buat? Duduk rumah jaga anak? Jadi isteri sepenuh masa? Qay tahukan papa
amat berharap pada Qay untuk ambil alih perniagaan keluarga kita? Kalau bukan
Qay siapa lagi? Tapi Qay rela hancurkan hati papa demi cinta. Itu yang mama
kesal,” membebel lagi Puan Azreena kepada anaknya itu.
Hadi mula diam apabila soal itu dibangkitkan. Sesungguhnya impian itu tidak
pernah menjadi impiannya semenjak Qay mula menjadi isterinya. Impiannya ialah
dia mahu Qay menjadi ibu dan suri rumah sepenuh masa. Dan atas apa alasan
sekali pun dia tidak mahu sesiapa mempertikaikan kemahuannya itu. Dia ada hak
untuk menentukan di mana Qay harus berada.
“Mama percaya dalam keadaan Qay macam ni, Hadi pun takkan benarkan Qay
sambung pengajian lagikan?” soal Puan Azreena sengaja mahu menguji pendirian
Hadi.
Qay terus memandang suaminya.
“Mama, saya minta maaf kalau apa yang katakan ni buat mama dan papa kecewa.
Saya tak kahwin dengan Qay untuk tengok dia bersusah payah di luar sana. Saya
nak Qay tumpukan perhatian kepada rumahtangga kami. Saya nak dia jaga anak kami
sepenuh masa di rumah dan soal sambung pengajian tu..” Hadi terdiam seketika
mencari keberanian untuk menyambung. “Saya memang tak izinkan..”
“See?” ucap Puan Azreena sambil
tersenyum sinis kepada anaknya. “Ambil anak mama dengan cara yang biadap macam
ni. Kemudian ketepikan perasaan mama dengan papa untuk kepentingan sendiri.
Senangkan? Mama dengan papa ni takde perasaan. Kamu berdua boleh buat apa yang
kamu suka,” ucap Puan Azreena selamba sambil memandang Hadi.
Hadi terdiam lagi tidak mampu menjawab sindiran emak mertuanya itu. Qay pula
mula tunduk. Dia sudah tahu pendirian Hadi begitu semenjak mula Hadi melarang
dia keluar cari kerja dahulu. Sebagai isteri dia harus taat kepada suami. Kini
dia sudah mula faham apa yang dimaksudkan dengan rasa serba salah. Kesalkah dia
kini? Sudah tidak ada apa lagi yang hendak dikesalkan..
“Kami dah takde hak lagi nak mempertikaikan apa-apa. Tapi pendirian mama
sama macam papa. Kalau Hadi sia-siakan Qay, mama pun takkan maafkan Hadi
selepas ini. Mama tak pernah serahkan anak mama pada Hadi tapi Hadi rampas dari
kami. Mama memang kecewa sangat-sangat. Tapi mama tetap mahu mendoakan
kebahagiaan Hadi dan Qay. Mama harap Hadi gunakan peluang yang ada ni
sebaik-baiknya.” Puan Azreena terus berkata kepada menantunya itu.
“Hadi faham, ma..”
Qay segera memeluk ibunya itu. “Terima kasih, mama..”
Puan Azreena turut membalas pelukan Qay. Betapa sayu hatinya melihat masa
depan anak ini kabur. Namun dia berharap akan ada sinar yang menanti anaknya di
kemudian hari.
Bab 24
Kehidupan mereka sehari-hari bermula tenang. Walaupun sebahagiannya masih
ada yang menolak kenyataan tentang mereka namun sekurang-kurangnya mereka tidak
perlu hidup dalam rahsia lagi.
Runtin biasa bermula lagi. Qay dengan kelas memasaknya dengan Kak Ruby bila
ada kesempatan dan kesihatan yang baik. Hadi pula dengan kerjanya di tempat
pembinaan. Gigih dia mencari rezeki.
Suatu hari Hadi pulang awal. Sebelum maghrib menjelma wajahnya sudah
tertonggok di rumah. Namun Qay perasan wajah Hadi nampak semacam sahaja. Dia
mula tertanya.
Malam itu setelah usai solat isyak dan makan malam mereka duduk melepak di
ruang tamu. Hadi seronok berbaring di ribaan isterinya.
“Abang ada masalah ke?” tanya Qay sambil mengusap rambut lelaki itu.
“Takdelah..”
“Habis tu muka abang tu asyik monyok aja, kenapa?”
“Abang sebenarnya dah dapat surat dari UPU..” ujar Hadi sebagai permulaan
bicara.
“Okay.. so, apa ceritanya?”
“Abang dapat tawaran masuk ke UM..”
“Alhamdulillah.. baguslah tu, bang.” Wanita itu menjawab dengan nada
gembira. Bertambah gembira kerana kedudukan universiti itu amat dekat dengan
rumah mereka. Senanglah Hadi nanti. Mereka pun tidak perlu berpindah.
Hadi tersenyum melihat reaksi isterinya itu. Perlahan dia mencapai jemari
isterinya lalu dikucup halus. “Qay suka abang sambung belajar semula?” soal
Hadi lembut.
“Mestilah Qay suka. Inikan untuk masa depan kita,” jawab Qay sambil
tersenyum. Dia tunduk mengucup dahi suaminya itu. Dia tahu Hadi juga punya
cita-cita untuk masuk ke universiti. Sebagai isteri, setiap yang usaha yang
baik dari suaminya itu akan disokongnya.
“Abang dah terlambat terima surat tu. Abang sepatutnya kena mendaftar masuk
dua minggu lagi. Lepas ni abang kena kerja kuat untuk kumpul duit. Nak masuk
universiti nak pakai banyak duit. Lagipun Qay tengah macam ni, kita kena simpa
duit awal-awal.” Hadi sudah siap dengan perangkaannya. Kandungan isterinya
sudah masuk ke 5 bulan. Dia harus bersiap sedia seawal yang boleh.
“Abang janganlah bimbang pasal duit. Qay ada duit simpanan, bang. Apa salahnya
kita gunakan duit tu. Qay tak mahu abang buat kerja lebih masa sampai abaikan
kesihatan. Kalau abang sakit nanti, Qay jugak yang susah.”
“Tak boleh.. itu duit Qay. Abang nak guna duit abang sendiri.” Hadi
menjawab biasa. Masih dengan pendiriannya itu. Dia tidak mahu keluarga Qay
terus memandang rendah kepadanya.
Mendengar jawapan sinonim Hadi, Qay mula mengeluh sendiri. Apalah yang
susah benar suaminya ini? Apalah yang hendak dimalukan sangat? Jika duit
simpanannya digunakan sedikit pun itu tidaklah bermakna Hadi seorang kaki
kikis. Dia mahu berkongsi susah dan senang dengan suaminya. Adakah pendiriannya
ini salah? Masakan dia sanggup terus melihat suaminya membanting tulang
sehingga ke tengah malam sedangkan dia ada wang simpanan yang boleh mereka gunakan
ketika susah?
“Habis tu bila abang dah start study nanti, abang nak kerja lagi macam
sebelum ni?” soal Qay. Komitmen belajar pun sudah cukup berat. Masakan Hadi nak
berkerja lagi? Biarlah dia berkorban sedikit membantu suaminya ini.
Soalan itu membuatkan Hadi terdiam seketika. Kini dia mula rasa tersepit
sendiri. Bekerja secara separuh masa, manalah cukup mahu menampung hidup mereka
bertiga nanti. Bukannya sebulan dua keadaan itu akan berlangsung. Tetapi 4
tahun! Lama tu..
Kebisuan Hadi membuatkan Qay mula mengerti kekusutan yang ada di benak
suaminya itu. Baginya dalam keadaan ini mereka tidak seharusnya terlalu
berkira. “Abang, biarlah Qay bantu abang. Duit simpanan Qay cukup untuk sara
kita buat masa ni,” pujuk Qay lembut.
“No! Abang tak mahu keluarga Qay salahkan abang nanti bila duit simpanan
Qay tu berkurangan. Abang ada maruah, Qay! Abang bukan jenis suami yang takde
air muka. Abang tahu papa Qay tu tak sukakan abang. Abang tahu dia takut abang
ni habiskan duit Qay.”
“Qay tahu abang ada maruah. Tapi siapa peduli tentang semua tu, bang? Ini
hidup kita. Abang memang suami yang baik. Qay bertuah dapat suami yang rajin macam
abang. Tapi Qay tak sanggup tengok abang tanggung beban ni seorang diri. Qay
tersiksa sangat, abang.” Nada Qay sudah mula merendah, merayu sifat tolak ansur
suaminya.
Hadi bingkas bangun dari pembaringannya. Wajah isterinya dipandang tajam.
“Abang tak pernh merungut selama inikan? Kenapa Qay sibuk-sibuk nak susah hati
pasal ni semua? Abang tahulah nak selesaikan macamana. Abang tak suka dengar
Qay cakap pasal ni lagi. Kalau dah susah sangat, abang lebih rela tak sambung
belajar lagi, Qay!”
“Habis tu abang nak kerja di tempat pembinaan tu sampai tua? Macam tu?
Abang nak tinggal di rumah satu bilik ni selama-lamanya? Abang nak tengok anak
kita hidup daif macam kita?” tempelak Qay mula geram dengan keegoan suaminya
itu.
“Kenapa? Qay dah tak sanggup ke duduk tempat macam ni? Dah rindu nak balik
ke banglo mewah? Dah tak tahan hidup susah dengan abang? Abang akan ajar anak
abang hidup susah. Supaya dia belajar hidup bersederhana. Bukannya macam Qay.
Lahir dalam dulang emas!”
“Kenapa dengan abang ni? Abang Sidik jiran kita tu, tak kisah pun isteri
dia bantu dia ringankan beban dia. Kenapa abang ni ego sangat? Siapa nak
pandang sangat maruah abang tu?”
“Itu soal keluarga dia, lantak dialah dia nak surun siapa pun tanggung
hidup dia! Hal dia takde kena mengena dengan abang. Qay tanya siapa yang nak
pandang semua ni? Papa Qay tu! Abang tahu dia tak sukakan abang sebab abang ni
anak orang miskin. Tak sama macam Qay!” mereka berdua sudah mula bertekak pula.
Sama seperti dahulu topiknya masih juga berkisarkan soal wang lagi!
“Susahlah Qay bercakap dengan abang ni! Buat sakit hati aja. Abang aja yang
betul! Bila kita bergaduh mesti abang ungkit pasal ni semua. Kalau Qay tak
kisah kahwin dengan lelaki macam abang, kenapa abang nak rasa macam ni?” rengus
wanita itu sudah mula kekalahan. Dadanya sudah terasa penuh saat itu.
“Qay memanglah tak kisah. Tapi keluarga Qay tu yang kisah!”
“Abang asyik nak salahkan keluarga Qay, habis tu mak abang tu macamana?
Asyik panggil Qay dengan gelaran betina sundal. Keluarga Qay aja yang salah
dalam hal ni? Papa memang tak suka abang tapi papa tak pernah panggil abang
dengan gelaran yang jijik macam tu!” Qay membalas dengan nada meninggi. Tanpa
sedar topik pergaduhan mereka sudah meleret pula ke arah lain.
“Tapi sekurang-kurangnya mak abang tak benci Qay sebab darjat.. sebab harta
ni semua! Sekurang-kurangnya adik beradik abang terima Qay dengan baik. Bukan
macam mama dengan papa Qay tu. Pandang abang sebelah mata!” jawab Hadi mula
memenangkan keluarganya pula.
“Jadi abang anggap perasaan Qay ni tak pentinglah? Tak kisahlah mak abang
nak layan Qay macamana? Semua tu perkara remeh aja bagi abang. Perasaan dan
maruah abang aja yang penting kat sini?”
Hadi terdiam mati kata. Terlupa pula dia yang emaknya melayan Qay lebih
teruk dari itu.
“Abang selalu suruh Qay sabar dengan kerenah mak abang, Qay sabar walaupun
Qay selalu makan hati dengan layanan mak abang. Tapi kenapa abang selalu ungkit
kesilapan keluarga Qay? Abang ingat Qay ni takde perasaan?” ucap Qay apabila
Hadi mula terdiam. Nadanya sudah mula bergetar. Sedikit masa lagi pasti dia
akan menangis.
“Mama kecil hati sebab abang tak izinkan Qay sambung belajar lagi. Abang
tak suka kedudukan Qay lebih tinggi dari abang, Qay faham. Qay ikut cakap
abang. Tapi takkanlah dalam soal ini pun abang tak mahu bertolak ansur dengan
Qay?”
“Takde siapa perlu nak kecil hati. Abang suami.. abang berhak tentukan
keluarga abang sendiri. Abang lelaki. Lelaki mana yang suka perempuan duduk
lebih atas dari dia?” Hadi menjawab selamba sesuai dengan hatinya yang sudah
sakit dan egonya yang sudah tercalar.
“Oh! Dulu waktu abang bercinta dengan Qay abang tak perasan pulak semua tu?
Abang tak fikir pulak yang suatu hari nanti kedudukan Qay akan lebih tinggi
dari abang. Sekarang abang kisah pulak?”
“Sekarang Qay isteri abang. Qay kena dengar cakap abang. Abang kata tak
boleh, makanya tak boleh! Jangan melawan.. jangan pertikaikan segala keputusan
abang. Abang tak suka, faham?” tengking Hadi sudah semakin hilang sabar.
“Fine! Kalau itulah yang abang
kata, Qay pegang cakap abang!” Malas mahu memandang lelaki itu Qay terus masuk
ke dalam bilik. Tekanan yang menekan dirinya membuatkan di atas katil itu dia
menangis sendiri. Dia tidak sangka setebal itu ego Hadi selama ini.
Hadi pula terus beku di ruang tamu itu. Jika Qay memerlukan masa untuk
menenangkan hatinya begitu juga dengan dirinya. Hati yang panas perlu
disejukkan sebelum kembali bertentang mata dengan isterinya itu. namun segala
yang diucapkan oleh Qay terus terngiang-ngiang di benaknya membuatkan hatinya
terus memberontak keras.
Memang pantang nenek moyang dia mendengar Qay meminta dia menggunakan wang
simpanan isterinya itu. Dia lebih rela kurus kering mencari duit di tempat
pembinaan itu daripada membiarkan maruahnya jatuh menyembah bumi di hadapan
keluarga Qay. Selagi tulang empat keratnya ini masih boleh berfungsi, maka dia
akan mencari jalannya sendiri. Dia tidak ingin dipandang sebagai lelaki dayus
yang hidup menumpang kesenangan isterinya. Sama sekali tidak! Soal itu tidak
akan ada kompromi baginya.
Setelah puas dia
memikir sepanjang beberapa hari ini, Hadi nekad membuat keputusannya. Keputusan
yang dirasakan terbaik untuk dia dan Qay buat masa ini. Pagi itu dia bersiap
seolah-olah hendak pergi bekerja. Padahal dia sudah memohon cuti sehari.
“Abang nak ke mana pakai macam ni? Tak kerja ke?” soal Qay sudah kehairan
melihat suaminya nampak cukup kemas hari ini. Hadi tidak pernah mengenakan
kemeja bila pergi berkerja.
“Abang nak balik ke Sepang jumpa ayah sekejap.”
“Abang cuti ke?”
Hadi mengangguk sambil menelek dirinya di dalam cermin.
Qay terpaku seketika memandang suaminya. “Abang tak cakap pulak yang abang
cuti hari ni?”ujarnya mula rasa sedikit terkilan.
“Abang nak bincang dengan ayah pasal tawaran ke universiti tu. Qay duduk
rumah ya? Abang balik petang nanti,” ucap Hadi lembut sahaja.
Wanita itu sekadar diam tidak menjawab. Nampaknya Hadi lebih memerlukan
ayahnya untuk berbincang tentang itu berbanding dirinya.
Dengan menggunakan perkhidmatan bas, Hadi tiba di rumah ayahnya sebelum
tengahari. Mujurlah ayahnya ada di rumah ketika itu. Pak cik Hambali kehairanan
melihat Hadi pulang seorang.
“Hadi balik sekejap aja ni, ayah. Hadi tak bawak Qay sebab takut dia penat
naik bas turun bas ni semua. Hadi ada hal nak cakap dengan ayah.”
“Hal apa? Bagitahulah..” Pak cik Hambali tidak terkalih dari raut anaknya
yang sedang duduk di meja makan di dapur rumah itu. Mak cik Saadiah mula ikut
menyertai perbualan anak dan suaminya itu.
“Hadi dapat tawaran masuk UM, ayah. Hadi dah buat keputusan Hadi nak
menyambung pengajian lagi.”
Masam manis wajah Mak cik Saadiah mendengar berita Hadi akan melanjutkan
pelajaran ke Universiti Malaya dalam masa terdekat ini. Berita itu memang amat
dinantikannya. Kini apa yang sudah ada di benaknya dapat dilaksanakannya dalam
sedikit masa lagi.
“Alhamdulillah.. ayah suka dengar tu. Baguslah, Hadi..” jawab Pak cik
Hambali mula seronok dengan berita itu.
Hadi mengangguk seketika. Masih ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada
emak dan ayahnya itu. “Tapi soal perbelanjaan ni masih ada masalah, ayah..”
luah Hadi teramat rendah.
“Hadi, soal itu kamu jangan risau. Ayah akan bantu kamu mana yang terdaya.
Kita pun bukannya orang miskin benar. Ayah ada simpan sikit duit untuk Hadi
sambung pelajaran. Inilah masanya kita nak gunakan duit tu.” Pak cik Hambali
segera menyampuk. Dia faham apa yang mahu disampaikan anaknya itu.
“Betul tu, Hadi. Mak sokong sangat kalau Hadi nak masuk U tu. Soal belanja
tu buat apa nak pening-pening. Ayah masih mampu nak sara Hadi.”
“Habis tu Qay macamana, mak?” ucap Hadi perlahan.
“Kenapa pulak dengan Qay?” Pak cik Hambali terlebih dahulu menyoal.
“Hadi bimbang bila Hadi sibuk dengan pelajaran nanti, Hadi akan abaikan
dia. Ayah faham-faham ajalah.. dia tengah mengandung sekarang.” Hadi berkata
dalam sedikit kiasan.
Mak cik Saadiah dan Pak cik Hambali mula saling berpandangan. Ada sedikit
rasa keliru dirasakan oleh lelaki tua itu dengan apa yang cuba disampaikan
Hadi. Selama ini pun setahunya Hadi sibuk berkerja di luar. Tidak pula berkepit
24 jam dengan isterinya itu. Jadi kenapa sekarang boleh terfikir soal abai itu
semua?
“Hadi kalau boleeh, nak minta mak tolong jagakan Qay buat sementara waktu
ni..” ucap Hadi cuba memandang emaknya itu. Takut juga dia emaknya memetir
marah.
“Kamu tak boleh jaga sendiri ke, Hadi? Bukan ayah tak suka.. tapi Qay tu
isteri kamu. Mestilah dia nak dekat dengan kamu. Takkanlah kamu nak suruh dia
duduk dengan ayah dan mak ni?”
“Eh! Apa salahnya, bang. Takpe, Hadi. Mak tak kisah pun kalau Hadi nak
suruh mak jagakan Qay sementara dia tengah mengandung ni. Lagi pun Qay tu
tengah macam tu, kalau ada apa-apa Hadi takde di rumah, susah nanti.” Mak cik
Saadiah segera menjawab sebelum Hadi.
“Betul ke mak tak kisah?” soal Hadi. Betapa leganya hatinya mendengar
kata-kata emaknya itu. selesai sudah satu perkara! Satu perkara lagi ialah
bagaimana untuk memujuk isterinya itu. Kerana dia sebenarnya sudah merancang
untuk tinggal di asrama bagi menjimatkan kos dan dia tidak perlu lagi membayar
duit sewa rumah. Barang-barang di dalam rumah itu nanti akan dipindahkan ke
rumah ayahnya ini. Habis cerita!
“Apa pulak nak kisahnya? Qay tukan menantu mak dengan ayah? Nanti lepas dia
bersalin pun siapa jugak yang nak kena jaga dia? Mak jugakkan?” jawab Mak cik
Saadiah dengan senyum simpulnya.
Pak cik Hambali terdiam seketika mendengar jawapan isterinya itu. Hairan..
tiba-tiba baik pula isterinya dengan menantu mereka. “Betul ke awak sanggup
menjaga si Qay tu, Diah? Awak jangan marah-marah dia pulak bila dia tak pandai
buat kerja rumah ni,” ucap Pak cik Hambali semula.
“Abang ni.. Qay tukan mengandungkan cucu kita. Apa salahnya saya jaga dia. Takkanlah
saya nak paksa dia buat kerja rumah dalam keadaan dia macam tu. Abang tak suka
ke saya jaga si Qay tu?”
“Bukan saya tak suka. Saya lagi suka kita semua berbaik-baik. Inilah
masanya menantu nak bermanja-manja dengan mak mertua. Tapi saya peliklah tengok
awak baik tiba-tiba macam ni. Sebelum ni macam-macam awak gelarkan dia.” Pak
cik Hambali menjawab selamba.
“Mak ni bukannya apa, Hadi. Mula-mula mak memanglah marah. Tapi nak marah
lama-lama pun apa mak dapat? Lagipun mak kesian tengok Hadi susah. Nak kerja
lagi, nak jaga isteri mengandung lagi. Biarlah si Qay tu duduk dengan mak.
Manalah tahu lepas duduk dengan mak, dia lagi pandai bawak diri dalam keluarga
kita. Mak tengok adik-adik kau tu pun suka dengan si Qay tu.”
“Hmm.. elok benarlah kalau awak kata begitu, Diah. Tak baik kita ni benci
membenci. Nak-nak lagi dah jadi satu keluarga macam ni. Kalau mak dah kata
begitu, ayah lagilah takde masalah Hadi. Ayah ikut aja apa yang baik,” jawab
Pak cik Hambali lembut.
Hadi tersenyum menyambut kelembutan ibunya itu. “Terima kasih, mak..”
Berita yang dibawa Hadi
sedikit pun tidak memberikan wanita itu rasa gembira. Malahan dia terkedu.
Tidak ada angin tidak ada ribut tiba-tiba sahaja Hadi memutuskan dia harus
duduk dengan keluarga mertuanya. Qay terkelu tidak menyangka ini yang akan
dipersembahkan Hadi kepadanya.
“Qay dengar cakap abang ya? Ini cuma untuk sementara aja. nanti lepas Qay
habis berpantang, abang akan ambil Qay semula,” ujar Hadi lembut memujuk.
“Kenapa abang nak Qay duduk dengan keluarga abang?” soal Qay masih lagi
terkejut dengan perkara itu.
“Sebab abang tak mahu Qay terabai lagi macam sebelum ni. Kat kampung mak
dengan ayah ada boleh tengok-tengokkan Qay. Lagipun nanti bila abang dah mula
study, mesti abang sibuk..”
“Kalau macam tu, Qay nak balik rumah keluarga Qay, boleh tak?” pintas Qay
sebelum sempat Hadi menghabiskan kata.
Hadi terpaku seketika mendengar permintaan isterinya itu. membiarkan Qay
balik ke rumah ibu dan bapanya? Selepas itu? dia akan ditertawakan kerana tidak
mampu menjaga isterinya itu. Lebih teruk dari itu orang tua Qay akan tahu
masalah mereka. Oh, tidak! Sama sekali tidak!
“Tak boleh. Abang nak Qay duduk dengan keluarga abang,” ujar Hadi serius.
“Kenapa pulak tak boleh?”
“Sebab abang kata macam tu. Qay dengar cakap abang. Abang nak Qay duduk
dengan mak. Mak dah janji akan jaga Qay selama abang di sibuk dengan study.
Abang nak Qay gunakan masa ni untuk ambil hati mak. Mak abang mak Qay jugakkan?”
ujar Hadi tetap dengan keputusannya.
Qay tunduk. Sudah diagaknya. Hadi pasti tidak akan merubah keputusannya
jika hal itu bersangkutan keluarganya. Hadi tidak akan berkompromi dengannya. Ego
Hadi semenjak kebelakangan ini semakin menekan jiwanya. Pulang ke rumah
keluarganya juga Hadi sudah tidak mahu. Menyesalkah dia? Ah! Terlajak perahu
boleh diundur.. terlajak bernikah, cerai ajalah jalan keluarnya.
“Abang yakin mak akan jaga Qay baik-baik. Abang tahu mak sayangkan Qay dan
cucu dia ni..” pujuk Hadi lagi sambil mengusap perut isterinya itu. Bukannya
dia tidak nampak riak kemendungan di wajah isterinya. Tetapi sebagai suami Qay
harus tunduk kepada keputusannya ini. Inilah yang terbaik untuk mereka.
“Tak boleh Qay duduk dengan abang aja? Qay janji Qay takkan susahkan
abang..” sayu kedengaran suara wanita itu.
“Qay sayang abangkan? Kalau sayang Qay kena dengar cakap abang. Abang buat
semua ni untuk kebaikan kita. Ini cuma untuk sementara aja, sayang. Nanti Qay
dah lepas bersalin abang akan ambil Qay semula.”
Qay tertunduk seketika. Air mata dirasakan sudah bergenang tanpa dapat
ditahannya. Dirinya dirasakan seperti sudah jatuh tertimpa tangga pula. Inilah
akibatnya dia tidak mendengar cakap ibu dan ayahnya. Kini dia sudah nampak
kesannya.
“Boleh ya, sayang? Abang akan selalu balik jenguk Qay nanti..” ucap Hadi
cukup lembut. Kening isterinya diciumnya. Namun Qay terus diam seperti orang
yang tidak berperasaan. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu remuk hatinya kala
ini.
Hadi terus memandang wajah isterinya itu. Dia perasan ada sejalur air mata
mula mengalir di pipi isterinya itu. “Kenapa menangis ni?” ucap Hadi lembut.
Perlahan air mata itu disekanya lembut.
“Qay tak mahu berpisah dari abang. Abang jangan buang Qay.. Qay dah takde
sesiapa lagi selain abang.” Wanita itu merintih sayu.
“Sayang, abang bukannya nak buang Qay. Tapi kita kena berkorban sikit untuk
sementara waktu ni. Abang tak mampu nak tanggung semuanya sekali gus. Sebab tu
abang nak Qay duduk dengan ayah. Rumah ni abang akan pulangkan semula pada tuan
rumah. Qay kena faham keadaan abang sekarang.”
Tersentak Qay mendengar kata-kata suaminya itu. Rumah ini akan dipulangkan
semula? Jadi bermakna..?
“Abang takkan ambil Qay selepas Qay habis berpantang nantikan? Abang nak
Qay duduk dengan keluarga abang sampai abang habis belajar nanti, betulkan?”
soal Qay semakin sayu hatinya.
Hadi terdiam seketika. Dia sudah terlepas cakap..
“Sebab tu Qay nak tolong abang..”
“Jangan cuba nak ungkit pasal tu lagi. Jangan mulakan! Abang tak nak
dengar!” pintas Hadi sedikit keras.
“Abang sanggup ketepikan perasaan Qay semata-mata kerana menjaga air muka
abang. Abang tak izinkan Qay balik rumah orang tua Qay. Abang tak benarkan Qay
bantu abang. Siapa Qay ni pada abang sebenarnya? Patung ke Qay ni, bang?”
“Abang suruh Qay balik rumah mertua Qay, salah ke apa abang buat ni? Abang
bukannya suruh Qay pergi masuk rumah pelacuran. Tolong dengar cakap abang,
boleh tak? Jangan letak tekanan pada abang lagi. Abang dah cukup susah sekarang
ni, Qay!” bentak Hadi semakin keras.
“Qay cuma nak minta balik rumah keluarga Qay.. salah jugak ke Qay ni, bang?
Melampau sangat ke permintaan Qay ni? Qay bukannya nak susahkan abang lagi..”
rintih wanita itu semakin sayu. Air mata sudah semakin laju mengalir di pipi.
Hadi bingkas bangun dari katil itu. “Abang tak mahu nanti segala kekurangan
abang terbuka depan orang tua Qay. Qay suka ke papa Qay tu ketawakan abang?
Sebagai isteri Qay kena jaga maruah abang! Jangan jadi isteri derhaka!” ucap
Hadi tetap tidak mahu menurunkan suaranya.
Qay tertunduk di tepi katil dengan deraian air mata mendengar ugutan
suaminya itu.
“Apa yang susah sangat? Mak dah janji nak jaga Qay. Itu pun Qay tak mahu
bersyukur lagi? Apa lagi yang Qay nak abang kena tunaikan? Cakap!” herdik Hadi
sudah hilang sabar dengan kerenah isterinya itu. Sedikit pun dia tidak simpati
kepada air mata isterinya itu dalam keadaan hatinya sudah panas begini.
“Qay bukannya..”
“Sudah! Jangan nak menjawab lagi. Abang nak hujung minggu ni Qay duduk
dengan ayah dan mak. Jangan membantah lagi. Abang bukannya tunggul asyik nak
kena dengar cakap Qay. apa yang abang tentukan isteri abang kena dengar!” ucap
Hadi serius. Terus dia keluar dari bilik itu dengan hati yang panas.
Buatlah semahunya, wahai suami. Aku cuma seorang perempuan yang harus
tunduk pada kuasa seorang suami. Aku cuma seorang kekasih yang ingin terus
dikasihi.. bisik hatinya dalam kepasrahan yang palsu. Inilah dia janji sehidup
semati seorang kekasih. Akhirnya dia disepak ke sana ke mari apabila keadaan
menyulitkan.
Qay, Allah bersama orang yang sabar.. itulah pesanan arwah nenek Mariamnya
selama ini. Rasanya pesanan itu teramat berguna untuk dirinya dalam saat-saat
begini.
Malam itu Hadi sengaja tidur di luar. Dalam keadaan mereka begini dia tiada
mood untuk bermesra-mesraan dengan isterinya itu.
Pagi itu wajah Hadi terus kelat. Qay tahu suaminya sengaja mahu menguji
perasaannya. Dia tidak ingin mengalah.. namun lelaki itu suami yang harus
ditaatinya. Jadi bagaimana pula dengan hatinya yang semakin terluka ini? Tidak
bermaknakah langsung perasaan cintanya ini? Semenjak kebelakangan ini sikap
Hadi sudah tidak seperti dulu. Mereka kerap bertengkar. Dia sengsara dalam
diam.
“Abang..” Qay menarik tangan suaminya sebelum suaminya itu keluar berkerja.
Hadi sekadar memandang kosong wajah isterinya itu.
“Qay minta maaf kalau Qay dah kecilkan hati abang..”
“Tak guna minta maaf kalau Qay masih nak buat perangai yang sama,” jawab
Hadi sengit.
Terhiris hatinya mendengar jawapan Hadi namun demi kerukunan yang dicari
biarlah dia mengalah sahaja. “Qay akan duduk dengan keluarga abang kalau itu
yang abang nak. Qay sayangkan abang sangat-sangat. Qay tak mahu abang terus
marahkan Qay.” Qay menjawab dengan kesedihan yang tertahan. Tangan suaminya itu
dikucup lembut.
“Macam tulah baru boleh jadi isteri abang yang paling baik,” sambut Hadi
lembut. meemudar serta merta marahnya.
Qay tersenyum pahit dengan kata-kata suaminya itu. Hadi segera mencium
lembut pipi isterinya itu. Lega perasaannya mendengar jawapan itu. Itu yang dia
nak dengar dari tadi. “Abang pergi dulu, sayang. Jaga diri baik-baik..”
Qay sekadar mengangguk dengan senyuman hambarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.