Khamis, 5 September 2013

BABA-1 & 2

Bab 1
Suasana baru, tempat baru..
Sepanjang perjalanan menuju ke tempat itu gadis itu asyik memandang ke luar. Indah permandangan di sekelilingnya menggamit seluruh perhatiannya. Lain benar udara di sekelilingnya jika hendak dibandingkan dengan kesibukan daerah Petaling Jaya yang didiaminya semenjak lahir. Ibarat sireh pulang ke ganggang. Begitulah dia saat ini..
Sejam lebih perjalanan mereka tiba di daerah Sepang, bersempadan dengan daerah Nilai. Daerah ini dikenali sebagai daerah terakhir bagi negeri Selangor. Damai.. walaupun jaraknya tidaklah begitu jauh daripada Kuala Lumpur namun suasana kehijauan yang damai tetap terperlihara di sini. Walaupun sudah ada satu dua pembangunan di kawasan ini namun tidaklah sepikuk suasana Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Sesak dan hingar bingar sehingga menyesakkan.
Hati kecil gadis itu tertarik. Di puncak sebuah bukit yang masih di kelilingi pokok-pokok hijau ada sebuah banglo tersergam bagaikan sedang menanti mereka. Banglo itu kelihatan masih baru dibina. Banglo itu dapat dilihatnya dari arah jalan yang mereka lalui sebentar tadi. Dia tidak sangka banglo itulah tujuan mereka sebenarnya.
“Ini rumah kita. Cantikkan?” ucap si ayah sambil menoleh dengan senyuman kepada anak gadisnya.
Cantik.. desis hati si gadis lekas terpaut dengan persekitaran rumah itu. Lanskapnya yang dibina cukup kemas dan dijaga dengan teliti benar-benar menggamit keinginannya untuk terus menjadi penghuni rumah itu. Rumah itu agak terpencil dari kediaman jiran-jiran namun di bahagian bawah bukit itu ada sebuah pondok pengawal sebagai tanda keselamatan mereka sekeluarga tetap terpelihara walaupun tidak ditemani oleh jiran-jiran seperti mana selalunya.
Si ayah memandang lagi ke belakang tatkala menyedari anaknya sekadar berdiam diri. Anaknya hanya berdiam semenjak mereka memulakan perjalanan meninggalkan tempat mereka sebentar tadi. Namun dia lekas tersenyum melihat wajah yang disaluti rasa kagum pada puteri kesayangannya itu.
“Macamana, Qay? Suka tak? Kat sini dekat dengan rumah uwo tau. Senang kita nak balik jumpa uwo selalu,” ucap Tuan Farouqe cuba memancing perhatian anaknya itu.
“Qay suka, papa. Cantik..” jawab Qay tanpa mampu mengalihkan pandangan daripada persekitaran banglo itu. Dari luar dah macam istana kerana reka bentuk atap banglo itu sendiri ada menerapkan ciri-ciri rumah orang Minang. Oh! Dia hampir lupa dia juga berketurunan Minang kerana emaknya orang Minang. Panggilan uwo itu juga berasal dari bahasa Minang untuk wanita berpangkat nenek. Kata orang perempuan Minang ni cantik-cantik. Tengok aja akulah.. memang cantik pun. Mama lagilah cantik. Uwo pun masih cantik walaupun dah tua. Fikiran Qay sempat melalut sendiri.
“Mulai dari hari ni, ini adalah rumah kita. Qay akan membesar di sini dan berkahwin juga di rumah ini. Qay akan besarkan anak-anak Qay di rumah ini. Susah senang hidup kita sekeluarga semuanya akan tersimpan di dalam rumah ini.” Tuan Farouqe berkata lagi sambil memandang anaknya itu.
Qay sekadar mengangguk mengerti dengan hati yang puas. Inilah rumahnya!

“Pengawas ni akan bantu kamu tunjukkan kelas kamu di mana,” ucap Cikgu Hassan sambil menujukkan Qay seorang pelajar lelaki kepadanya.
Qay sekadar mengangguk sambil memandang pelajar lelaki itu yang mengenakan kemeja berwarna putih dan berseluar hitam. Ada tanda nama tertera di bajunya. Ahmad Aqmal Hadi, sebaris nama itu sempat dibaca oleh Qay berserta dengan nama kelasnya. Rupanya pelajar lelaki itu tua setahun darinya. Sedapnya nama dia, sempat lagi Qay memuji dalam hati. Nama itu sesuai benar dengan orangnya yang sememangnya sedap sungguh untuk dipandang oleh mata gadisnya.
“Kalau macam tu saya pergi dululah, cikgu. Terima kasih banyak atas pertolongan cikgu. Harap-harap apa yang kita bincangkan tadi dapat kita laksanakan tanpa ada masalah.” Seorang lagi lelaki berambut sedikit keperangan dan berjambang teratur seperti orang Arab menghulurkan tangan kepada Cikgu Hassan untuk berjabat tangan.
“Sama-sama. Ini dah tanggungjawab saya, Encik Farouqe. Insya-Allah, niat yang baik Allah akan permudahkan.” Cikgu Hassan membalas mesra. Huluran tangan lelaki itu disambut mesra.
“Qay, papa balik dulu. Kita jumpa di rumah nanti, sayang. Belajar rajin-rajin, okay?” ucap Tuan Farouqe kepada anaknya itu pula.
“Ya, papa..” lembut sekali jawapan Qay sambil memandang ayahnya itu. Tuan Farouqe sempat berbalas senyum dengan anak muda yang berdiri di sebelah anak gadisnya itu sebelum berlalu pergi.
“Kamu tolong berikan dokumen ni pada guru kelas dia, Hadi. Bagi bantuan pada dia apa yang perlu.” Cikgu Hassan berkata lembut kepada Hadi setelah mereka ditinggalkan bertiga di hadapan pejabat sekolah itu.
“Baik, cikgu.” Hadi terus membalas akur. Lantas dokumen di tangan guru itu bersalin tangan.
“Okaylah, Qaira. Kamu boleh masuk kelas kamu. Saya harap kamu boleh sesuaikan diri dengan sekolah ini. Ada apa-apa masalah, rujuk pada guru kelas kamu atau kepada cikgu sendiri,” ucap Cikgu Hassan sekadar mahu memberi semangat kepada Qay sebagai salah seorang warga di sekolah itu.
Sekali lagi Qay menjadi buruk belatuk yang patuh. Terangguk-angguk kepada pengetua sekolah itu. Setelah itu dia dan lelaki bernama Hadi itu bergerak meninggalkan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sultan Yusuf itu untuk ke kelas.
“Nama siapa?” tanya Hadi lembut sambil menoleh kepada Qay yang berjalan sedikit jarak darinya. Segaris senyum nipis dihadiahkan sebagai permulaan perkenalan dengan pelajar baru itu. Sengaja diperlahankan langkahnya agar dapat berjalan seiringan dengan gadis baru itu.
“Qay..” Qay menjawab ringkas.
“Dulu sekolah mana?”
“Assunta..” sekali lagi dia menjawab ringkas.
“Assunta Girl School? Di Petaling Jaya?” teka Hadi lembut.
Tiada jawapan yang kedengaran dari ulas bibir gadis berusia 16 tahun itu melainkan sekadar anggukan kepada tekaan Hadi.
“Kenapa tukar sekolah sini?” ada sedikit kerutan di kening si lelaki saat itu. Pelik dia. Kenapa bertukar dari sekolah bandar ke sekolah luar bandar seperti ini? Ada masalahkah? Sebenarnya kawasan mereka bukanlah kekampungan benar kerana jauhnya daerah Sepang ini ke Kuala Lumpur tidak jauh mana. Tetapi rasanya sekolah lama Qay jauh lebih berprestij berbanding sekolah mereka yang biasa-biasa sahaja.
“Kenapa? Tak boleh ke saya bersekolah di sini?” Qay ikut berkerut kening tanda tidak senang dengan soalan yang diajukan pelajar senior itu.
“Bukanlah tak boleh. Tapi peliklah.. Sekolah tu setahu saya pernah beberapa kali dianugerahkan sekolah harapan negara. Pelajarnya pun pandai-pandai. Jauh berbeza berbanding di sekolah ini,” ucap Hadi tetap lembut dengan sedikit senyuman.
“Ayah saya berpindah ke sini so saya kenalah ikut.” Qay menjawab hambar. Dia sebenarnya memang sayang mahu meninggalkan sekolah lamanya. Namun dia tidak ada pilihan lain selain dari menurut kehendak ayahnya itu. Dia akur kepada pendirian ayahnya, sekolah di mana-mana pun sama sahaja. Kerana asas kejayaan adalah usaha yang jitu. Sekolah walaupun berkali-kali dinobatkan sebagai sekolah harapan negara pun kalau diri sendiri yang tak boleh diharap, apa guna ada sekolah yang berprestij?
“Keluarga Qay orang mana?” bertambah lagi soalan Hadi sambil dia terus memandu arah gadis itu untuk ke kelasnya. Wajah lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai papa kepada Qay sebentar tadi langsung tiada rupa kemelayuan. Rupanya sedikit seperti orang asing.
“Papa saya lahir di kawasan ini tapi mak saya orang Seremban. Saya lahir di KL.” Mendatar sahaja jawapan Qay seolah-olah tidak suka perihal keluarganya diselongkar oleh lelaki ini. Bukannya apa, salah silah keluarganya agak memeningkan untuk diceritakan.
“Ayah Qay orang sini? Tapi rupa dia tak macam..”
“Datuk dan nenek saya berasal dari Tashkent. Tapi mereka penduduk tetap di sini.” Qay pantas mencelah bicara Hadi sebelum sempat lelaki itu menghabiskan kata. Apa yang mahu diutarakan Hadi sudah mampu difahaminya kerana bukan dia seorang yang pernah mengajukan soalan seperti itu kepadanya.
“Ooo.. patutlah. Tashkent tu ibu negara bagi Republik Uzbekistan.” Hadi terus mengangguk perlahan bagaikan sudah faham benar dengan penerangan serba ringkas gadis itu walaupun sebenarnya dia tidak faham sangat. Namun melihat reaksi Qay dia tahu dia tidak harus meneruskan pertanyaannya. Mungkin Qay tidak senang kerana dia banyak bertanya tentang keluarga gadis itu berbanding hal lain.
Apa yang mampu Hadi faham ialah, ayah Qay bukan berketurunan Arab sebaliknya Uzbek. Patutlah anaknya juga cantik sampai tak ingat, hidung mancung macam mat salih. Apa yang mampu diertikan oleh pandangan matanya ini pula, keluarga Qay bukanlah sembarangan orang. Ayahnya pastinya bukan sekadar ‘pelarian Uzbek’ di sini kerana dari gaya lelaki itu berblazer yang berjenama terkemuka dan berkasut hitam berkilat seperti itu, sudah pasti mereka dari keluarga yang kaya raya.
Setahu Hadi, Tashkent ibu negara bagi Uzbekistan yang berada di tengah-tengah di antara negara Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan di Timur, Afghanistan dan Turkmenistan di selatan. Malahan pernah bernaung di bawah empayar pemerintahan Kesatuan Soviet Union yang di ketuai oleh negara Rusia sebelum merdeka pada 31 Ogos 1991.
“Harap-harap Qay suka dengan sekolah ni.” Hadi berkata perlahan sambil tersenyum menatap raut gadis itu dari tepi. Pipi mulus sedikit kemerahan gadis itu menjadi tatapan matanya. Aduhai, lawanya budak ni.. bisik hatinya kagum.
Qay sekadar menoleh kepada Hadi. Tanpa jawapan mahu pun senyuman, bicara Hadi berlalu begitu sahaja. Bukannya dia mahu menyombong tetapi sebenarnya senyuman yang dipamirkan Hadi dirasakan cukup memikat sehingga membuatkan semua yang ada di mindanya terbang entah ke mana. Kelu lidahnya tiba-tiba apabila ada rasa aneh mula menyapa diri.
Melihat Qay tidak begitu mesra dengannya Hadi tidak melanjutkan bicaranya lagi. Teringin benar Hadi mahu mencungkil kisah sejarah keluarga ini. Pelik dia bagaimana keluarga berketurunan Uzbek ini boleh datang menyinggah di negara seperti ini pasti ada kisah yang menarik di sebalik semua itu. Tetapi rasanya tidak eloklah dia terlebih bertanya sedangkan mereka baru sahaja kenal. Akhirnya mereka berdiam sehinggalah Qay selamat berada di kelasnya.

“Macamana kau boleh tersesat di sekolah ni ek? Aku teringin benar nak tahu macamana kau boleh sesat sampai ke sini,” ucap Suria agak sinis kepada Qay.
Qay memandang lama wajah Suria yang berdiri di sisi mejanya itu. Terkebil-kebil dia memandang tanda tidak faham apa masalahnya gadis itu dengannya. Sibuk sangat nak tahu hal peribadi orang buat apa?
“Oh! Kau tak faham bahasa Melayu ya? Sorry.. sorry.. aku ni tak sensitif pulak. Kau nikan pendatang asing kat sini. Mestilah kau tak faham apa aku membebel kat kau ni.”
Ruhsal sorun..(mental bermasalah)” ucap Qay dalam bahasa Turki lantas tergelak kecil. Rasanya Suria yang tidak faham apa yang diucapkannya.
“Apa kau cakap?” jerkah Suria segera terdengar bicara Qay. Qay yang malas mahu melayan sekadar menjungkitkan bahu. Bagus betul salam perkenalan yang diberikan Suria kepada Qay selaku pelajar baru di situ. Dia hanya menyambutnya sahaja dengan cara yang betul.
“Kau ni dah kenapa, Su? Perangai tu cuba elok-elok sikit, boleh? Patutnya kau tunjuk contoh yang baik pada budak baru ni supaya dia senang berkawan dengan kita. Ini tak! Dah macam orang tak siuman aku tengok,” tempelak Amna yang duduk di sisi Qay. Geram benar dia melihat Suria dan teman-temannya yang suka benar mencari pasal dengan Qay pelajar baru di kelas mereka ini.
“Kau nak sibuk sangat ni kenapa? Aku ada sebut nama kau ke? Suka hati akulah nak buat apa pun! Bukannya aku ada kacau kau. Ke kau jelous aku tak kawan baik dengan kau semenjak dulu. Aku ni kan famous. Semua orang kenal aku,” balas Suria semakin nyaring. Sakit hati pula dia melihat ada ‘mangkuk’ yang berani sekali melawannya. Sudahlah tadi dia dikutuk oleh Qay sedangkan dia tidak mampu membalas kerana tidak faham sepatah haram!
“Dahlah! Jangan bergaduh..” ucap Qay cuba meleraikan suasana tegang itu.
“Su, janganlah jelous. Kau masih top student kat sini,” sampuk Fadhil sambil tersengih dari tempat duduknya. Dia yang sudah lama mengenali Suria cukup tahu ragam gadis itu. Mana dia akan senang duduk jika pelajar baru yang masuk jauh lebih hebat darinya. Siapa tidak kenal Suria? Anak ketua kampung yang perasan dirinya paling cantik di sekolah ini, itulah Suria!
“Kau diamlah! Kau puji aku sampai ke planet pluto pun aku takkan jatuh hati kat kaulah, obes!”
Fadhil tersentak dijerkah selancang itu oleh Suria. Lebih menyakitkan hati saiz badannya pula dijadikan bahan ejekan Suria. Malu dia kepada semua orang akibat dijerkah seperti itu. Pantas Fadhil mengangkat tangan tanda enggan ikut campur urusan wanita-wanita di kelasnya itu.
“Soalan aku ku tak jawab lagi, budak bandar. Kenapa kau masuk ke sekolah ni ha? Kau ada buat masalah kat sekolah lama ya? Ke kau kena buang sekolah?”
Qay mengangkat pandangan kepada Suria yang berdiri di sisi mejanya. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada gadis itu. Kalau aku kena buang sekolah pun apa kena mengena dengan kau? Aku ada ganggu kau ke? Qay hanya termampu meluahkan bicara di dalam hati.
“Amboi! Melawan.. dah pandai menjeling sekarang. Baru sehari dua hari masuk sekolah ni dah tunjuk besar kepala! Kau tak tahu ke siapa aku kat sini?” sambut Suria kian tercabar apabila Qay enggan tunduk kepada kekuatannya di dalam kelas ini.
“Kau siapa kat sini? Menteri? Pengetua? Ke gangster yang tak berapa nak menakutkan?” sampuk Amna geram.
“Yang kau ni sibuk nak membela dia ni kenapa? Kau adik beradik dengan dia ke?”
“Yang kau ni asyik nak kacau dia ni kenapa pulak? Kau dah sakit jiwa ke atau dah sakit otak? Nak kata kau stres pasal banyak sangat belajar, kau bukannya budak pandai dalam kelas ni. Kau budak paling corot aja pun! Mod Math asyik fail aja. Add math lagilah! Muka kau aja yang gagal dalam kelas ni. Aku pun pelik camana kau boleh tersesat dalam kelas ni. Ni kelas untuk student yang paling pandai! Kau tu bengap!” basuh Amna selamba. Langsung dia tidak gentar dengan lagak Suria.
“Kurang ajar betul!” Suria terus menarik rambut Amna kasar sehingga menjerit gadis itu dengan perbuatan Suria.
“Woi!” jerkahan kuat itu mematikan aksi WWF dua gadis itu.
“Kau ingat kelas ni gelanggang gusti ke? Lepaskan dia!” jerkah Sufian dari mejanya. Merah padam wajahnya memandang Suria yang sedang membuat kecoh di dalam kelas mereka itu. Hingar bingar kelas itu dibuat oleh gelagat Suria. Bimbang jika dia tidak menegur guru dari kelas sebelah akan datang ke kelas mereka. Akhirnya dia juga yang akan dipersalahkan.
Suria mencebik sambil melepaskan rambut Amna. Qay terdiam dalam pada dia kaget melihat kekasaran Suria kepada rakan sebelahnya itu. Kasihan benar dia melihat Amna yang menyeringai sambil membetulkan rambutnya yang sudah kusut masai.
“Nak tarik-tarik rambut kat luar kelas. Aku tak nak sebab perangai kau macam jin ni aku yang kena marah dengan cikgu. Ni bukannya tempat untuk kau tunjuk samseng, Suria. Balik tempat kau. Jangan asyik nak kacau orang aja! Kau tu perempuan. Tunjuklah adab sopan sikit!” jerkah Sufian semakin lantang. Sesuai benar dengan jawatan ketua tingkatan yang disandangnya.
“Baru anak ketua kampung dah berlagak. Kalau anak menteri agaknya habis kita semua dibalunnya,” rungut Amna sebaik sahaja Suria berlalu dari mejanya.
“Sakit ke? Maaflah sebab aku tak dapat backing kau tadi,” ucap Qay perlahan. Nak backing apa kebendanya. Dia sendiri pun terkebil-kebil tak mampu nak buat apabila dikerjakan Suria.
“Tak apa. Dia memang macam tu, suka cari pasal dengan orang,” jawab Amna lembut.
“Aku sepatutnya tolong kau bila dia buat kau macam tu tadi. Aku minta maaf. Sebab aku kau dapat susah,” ujar Qay rendah sahaja. Baru masuk dia sudah mendapat masalah di sini. Entah apalah malang nasibnya.
“Aku dah biasalah. Kau tak payah risaulah. Ni bukan kali pertama dia buat aku macam ni. Aku nasihatkan kau, bila dia cari pasal dengan kau, kau jangan diam aja. Dia akan lagi seronok buat macam-macam dengan kau sebab dia ingat kau lemah berbanding dia.” Hasutan itu segera diberikan kepada teman barunya itu.
Qay mengangguk perlahan sambil menoleh ke arah tempat duduk Suria. Gadis itu sedang berbual dengan Faridah gadis di sebelahnya. Sempat juga dia terpandangkan pandangan rakan sekelasnya yang entah apa namanya sedang tersengih seakan-akan sedang cuba menarik perhatian Qay dengan senyum kacaknya. Qay pantas melarikan pandangan dari pelajar lelaki itu. Geli pulak dia melihatnya!
“Dia tak suka dengan aku agaknya. Sebab tu dia buat macam tu,” ujar Qay sambil merenung papan hitam di hadapan kelas.
“Dia mana suka orang lain lebih dari dia. Ah! Lantakkan aja dia tu. Buat apa nak peningkan kepala fikir pasal dia tu. Tak rugi apa pun kalau dia tak suka kau, Qay. Dia bukannya budak pandai dalam kelas ni. Dia masuk ke kelas ni pun sebab bapak dia merayu pada pihak sekolah supaya masukkan dia ke kelas sains. Kalau tak duduklah dia kat kelas corot sana. Kelas tu memang lebih sesuai untuk budak tak beradab macam dia sebenarnya sebab kat sana dia orang tu sama jenis,” ucap Amna cuba menyedapkan hati Qay.
Qay tersenyum memandang Amna. Mujurlah ada Amna yang mesra dengannya semenjak hari pertama dia ditempatkan di sebelah Amna. Buatnya dia terpaksa duduk di sebelah Suria, mahu sakit jiwa dia dengan perangai Suria. Tetapi secara jujurnya semenjak mula menjejakkan kaki ke bangku persekolahan inilah kali pertama dia berhadapan dengan ragam seumpama ini. Ada juga rupanya perempuan suka membuli di sekolah.

Hadi menoleh apabila apabila dia terperasan ada sebuah kereta berhenti di hadapan pintu pagar sekolah itu. Dia yang bertugas berkawal di pintu pagar itu tidak mampu melarikan mata daripada memandang kereta mewah jenis BMW 7 siri bercermin sedikit gelap itu. Seketika kemudian seorang gadis keluar dari tempat duduk belakang kereta itu. Gadis itu berdiri seketika, menanti kereta itu berlalu sambil dia melambaikan tangannya ke arah seseorang di bahagian belakang kereta itu.
Hadi terus memandang sehingga kerita itu benar-benar hilang dari pandangannya. Qay berjalan selamba ke arah pintu pagar kecil tidak jauh dari tempat dia diberhentikan. Pandangan semua orang kepadanya membuatkan dia merasa canggung tiba-tiba. Bukan sekadar Hadi sebalik semua orang yang berada di situ memandang penuh minat ke arah gadis itu.
 “Ayah yang hantar ke?” tegur Hadi lembut cuba beramah tamah dengan Qay saat gadis itu melintas di hadapannya.
Qay terus menghentikan langkahnya mendengar suara Hadi bercakap dengannya. “Tadi tu mama. Papa out station.” Qay menjawab biasa. Segan dia apabila gelagatnya diperhatikan semua pengawas sekolah yang berdiri di pintu pagar itu. Ada empat orang semuanya sedang menumpukan perhatian sambil tersenyum-senyum kepadanya. Ada yang tak kena dengan aku ke? Qay membetulkan sedikit rambutnya. Mana tahu rambutnya sudah terpacak berdiri, dia yang tidak perasan. Itu yang semua orang memandang kepadanya. Tetapi elok saja rambutnya.
“Macamana sekolah kat sini? Seronok tak?” tanya Hadi sekadar berbasi basa dengan pelajar baru itu.
“Hmm.. bolehlah daripada tak bersekolah langsung.” Qay terus menjawab hambar. Bukannya malas mahu menjawab soalan Hadi tetapi dia langsung tidak merasa seronok seperti yang dibayangkan Hadi. Sakit jiwa adalah!
Hadi sekadar mengangguk sambil tersenyum kepada gadis itu. Tidak ada langsung niatnya mahu memikat. Namun tanpa sengaja, Qay terpana lama memandang senyuman si jejaka. Manisnya.. Kenapa hensem sangat mamat ni? Seru hatinya tiba-tiba terpesona dengan tatapan yang lembut namun dalam oleh mata si jejaka. Sehingga rentak hatinya mula berubah rasa sedikit demi sedikit.
Buat beberapa detik itu mereka berdua berpandangan sebelum Qay tersedar dari khayalannya apabila tubuhnya bergesel dengan seorang pelajar lain yang masuk ke kawasan sekolah. “Saya masuk kelas dulu,” ucap Qay mula terasa malu dengan kealpaannya.
Hadi sekali lagi mengangguk tanda membenarkan. Langkah Qay dipandang lama sehingga gadis itu menghilang ditelan bangunan sekolah mereka.
“Hmm.. dia tahulah masuk kelas dia. Tak payahlah pandang macam tu sekali! Tak pernah lagi ada orang sesat dalam sekolah ni,” tegur satu suara menyentak perlakuan Hadi. Dalam rasa segan, Hadi tunduk seketika mengenang apa yang dinikmati oleh mata lelakinya sebentar tadi. Renungan Qay kepadanya benar-benar membuatkan perasaannya sudah merasa lain kala ini. Mata coklat gelap itu cukup bersinar galak saat memandangnya. Berani sekali gadis itu memandang dia seperti itu. Nakal! Itulah yang ditafsirkan oleh hati lelakinya. Tetapi semua itu lekas dihalau pergi dari hatinya apabila terkenangkan BMW mewah yang menghantar gadis itu ke sekolah sebentar tadi.
Dia? Usahkan BMW. Kereta buruk jenis Datsun, ayahnya adalah! Itupun dah boleh buat tukun dalam sedikit masa lagi. Selalu saja kereta itu tidak dapat dihidupkan apabila mahu digunakan. Lagipun dia tidak sanggup bersaing. Bukannya dia tidak sedar, baru seminggu Qay masuk ke sekolah ini. Kisah tentang gadis itu sudah melata di mulut pelajar lelaki termasuklah rakan-rakan sekelasnya. Qay ibarat bidadari yang datang menyinggah di sekolah mereka. Gadis itu terlalu cantik.
“Baik kau dengan dia, Hadi? Ada apa-apa ke?” usik Habsyah yang setia memandang sahaja gelagat Hadi dan Qay dari tadi. Dia tersenyum entah kenapa. Jarang dia melihat Hadi menegur pelajar wanita sebegitu lembut. Melainkan kalau memang dah kenal lama, macam dia dan Hadi. Semenjak sekolah rendah sudah kenal. Tetapi Hadi tidak pernah menyapanya seperti itu. Memang ada kelainan yang dilihatnya.
“Baik tu takdelah sangat. Aku saja je berbual dengan dia sebab sebelum ni aku yang hantar dia masuk ke kelas dia waktu pertama kali dia masuk ke sekolah ni. Aku takut dia tak mampu sesuaikan diri kat sekolah ni sebab sebelum ni dia sekolah di bandar dan sekolah tu perempuan semua.” Hadi terus sahaja menyediakan alasannya untuk menutup mulut temannya itu. Asalkan ada pelajar baru masuk, mulalah mereka menjawat jawatan sebagai wartawan tidak bertauliah. Bergosip sana sini. Bertegur pun boleh jadi salah!
“Oh, kiranya kaulah jejaka pertama yang kenal dia ya?.Patutlah dia rajin melayan kau. Aku tengok dia tu macam sombong aja. Jumpa pelajar senior tengah jalan bukannya nak senyum ke, jauh sekali nak bagi salam. Anak orang kayalah katakan!” cebir Habsyah. Sebenarnya dia sengaja mahu melihat Hadi. Adakah Hadi akan membela gadis kaya itu?
Hadi diam tidak menjawab bicara Habsyah. Sombong ke tidak Qay itu dia tidak pasti. Namun mungkin benar apa yang diucapkan Habsyah. Sebentar tadi jelas sekali Qay seolah-olah malas mahu melayan dia berbicara sebentar tadi. Samalah seperti kali pertama mereka berbual dahulu. Qay sekadar menjawab apa yang perlu kepada soalannya. Agaknya memang sombonglah tu..
“Hmm.. concern pulak kau kat dia ya? Takut dia tak dapat bawak diri tu semua. Padahal sebelum ni berpuluh pelajar baru masuk. Kau tak tanya pun! Siap bermain mata lagi. Ada apa-apa ke?” perli Habsyah lantas tergelak sendiri dengan gosip liarnya. Dua pengawas lain sudah tersengih tanda mengerti apa yang dimaksudkan Habsyah.
“Kau jangan nak mengarutlah, Syah! Aku saja je tanya. Bukan serius pun. Nak dekat dengan budak macam tu aku kena ukur baju kat badan sendiri. Dia tu anak tokey besar, aku ni anak pekebun je. Kena sedar diri!” Hadi pantas menyanggah sebelum gosip yang cuba direka Habsyah semakin merebak jauh. Bukannya dia tidak tahu taktik temannya itu. Dia sudah boleh baca!
“Manalah tahukan? Rupa macam tu, patung pagoda pun boleh jatuh hati kalau selalu sangat jumpa. Inikan pula lelaki macam kau ni. Tak tahu pula aku kalau-kalau kau ni yang jelmaan patung pagoda. Jumpa perempuan pun macam takde perasaan aja,” sindir Habsyah selamba disambut dengan tawa dari yang lain.

Hadi menghela keluhan perlahan. Dia hanya mampu menggeleng melihat tiga manusia di sekelilingnya itu seronok benar mengenakannya. Malas dia mahu membalas. Jika dibalas makin banyak pula loyar buruk di Habsyah ini.


Bab 2

“Macamana dengan sekolah baru? Seronok tak?” soal Puan Azreena lembut kepada anak gadisnya itu yang sedang duduk menonton tv di ruang tamu. Rambut ikal sang anak diusap lembut.
“Okaylah..” jawab Qay sedikit hambar tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin tv itu.
Puan Azreena memandang aneh anaknya itu. Jawapan bernada itu segera menerbitkan kelainan di hati wanita berusia 38 tahun itu. “Qay tak happy ke kat sekolah baru ni?” soal si emak lembut. Walaupun anaknya ini lebih banyak menyalin wajahnya namun kening hitam pekat dan hidung mancung milik anaknya sudah pasti diwarisi dari suaminya, Muhammed Farouqe.
Qay mendegus sedikit. Wajah rakan sekelas bernama Suria itu terlayar lagi di ruang matanya. Perempuan itu membuatkan dia merasa berat mahu ke sekolah semenjak kebelakangan ini. Entah apa yang tidak kena dia sering menjadi bahan sendaan Suria yang suka berlagak gangster. Bantal kecil di sofa itu dipeluk kejap oleh Qay. Emosinya mula berkocak apabila teringatkan Suria.
“Kenapa ni, sayang?” tanya Puan Azreena lagi. Riak wajah anaknya itu jelas seperti sedang menanggung sesuatu.
“Takde apa-apa..” ucap Qay perlahan. Malas mahu menyesakkan fikiran emaknya dengan hal remeh temeh seperti itu.
“Habis tu kenapa muka berkerut bila mama tanya pasal sekolah? Ada yang tak kena ke? Kalau Qay ada masalah cakap dengan mama,” ujar Puan Azreena masih tidak berpuas hati. Selalunya dahulu ketika di sekolah lama anaknya ini ceria sahaja apabila berbicara pasal hal sekolahnya. Tetapi semenjak bertukar ke sekolah ini lain pula gayanya. Anaknya ini lebih banyak berdiam diri.
“Qay rindu kawan-kawan Qay kat sekolah lama, mama.” Qay menjawab mudah. Itu sahaja alasan yang ada untuk dia menyembunyikan masalahnya di sekolah baru ini. Kalau dia mengadu pada mamanya, tidak mustahil mamanya akan memberitahu papanya dan seterusnya hal ini akan diperpanjangkan lagi. Itu yang dia tidak mahu.
Puan Azreena mula tersenyum mendengar jawapan itu. Itu rupanya..
“Kenapa tak call aja Johana dengan Su Yin kalau dah rindu sangat? Dia orang pun mesti rindukan Qay,” ucap Puan Azreena lembut. Sekali lagi rambut ikal milik Qay menjadi mangsa belaiannya.
“Malaslah. Nanti ganggu diorang aja. Qay okay je ni. Mama jangan risau.”
“Mula-mula memang susah nak sesuaikan diri dengan kawan-kawan baru, sayang. Qay jangan pilih-pilih kawan. Kawan aja dengan semua orang. Mana tahu ada salah seorangnya boleh jadi kawan baik Qay nanti?” nasihat Puan Azreena lembut.
“Qay tahu..” jawab Qay perlahan sahaja. Terasa bersalah pula kerana membiarkan emaknya susah hati akan tindak tanduknya. Dia pula tidak mahu digelarkan sebagai anak yang cengeng walaupun dia anak tunggal. Sikit punya hal pun takkanlah mahu mengadu macam anak umur 5 tahun?
“So Qay rasa okay tak dengan kawan-kawan lelaki di sekolah?” Puan Azreena masih tidak puas bercakap soal sekolah baru Qay. Dia benar-benar ingin tahu bagaimana Qay menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini, sementelah anaknya selama ini lebih banyak bergaul dengan rakan perempuan berbanding lelaki.
Qay menoleh kepada emaknya itu. “Maksud mama?”
“Yalah. Dulukan Qay hanya ada kawan perempuan dalam kelas. Sekarang dah ada kawan lelaki jugak. Mesti ada kelainankan? Qay rasa macamana?” Puan Azreena manis tersenyum memandang anak daranya itu.
Tiba-tiba seraut wajah lelaki melintasi benaknya. Membuatkan fokusnya kepada pertanyaan emaknya tergugat sedikit. Semenjak mula dia melihat lelaki itu sehinggalah kini dia tidak tahu kenapa dia sering mahu memandang lelaki itu. Macamah dia tidak pernah melihat ada mana-mana lelaki sekacak itu sehingga seraut itu terpasak kukuh dalam ingatannya semenjak dari hari pertama bertentangan mata. Qay tidak tahu mengapa.. kerap benar dia terbayangkan lelaki itu. Setiap kali itu juga pasti ada denyutan melanda hatinya.
“Qay..” Puan Azreena melibaskan tangannya di hadapan muka anaknya itu. Pelik dia melihat gelagat Qay. Membisu pula dia dengan fikiran terbang entah ke mana. Amboi! Baru tanya soalan macam tu Qay dah mula berangan jauh. Bahaya ni! fikir Puan Azreena sendiri.
“Qay rasa biasa je. Dia orang semua baik dengan Qay. Ramai jugak yang nak kawan dengan Qay. Qay selesa dengan dia orang, ma.” Qay segera menjawab pertanyaan si ibu yang terabai tadi. Cepat-cepat dikawal riak wajahnya agar emaknya tidak menafsir yang tidak-tidak kepadanya.
“So agak-agak anak mama ni bakal ada boyfreindlah sikit masa lagi? Nak kena bagitahu papa cepat ni,” sambut Puan Azreena pantas.
“Mama ni! Ke situ pula perginya. Mana ada boyfreind, ma. Qay tak suka semua benda tu tau!” tukas Qay agak kuat. Dia tergelak seketika saat melihat wajah emaknya yang sengaja membuat jelingan ekor mata seakan-akan tidak percaya kepadanya. Dia tahu emaknya itu sengaja mahu mengujinya. “Betul..” ucap Qay sekali lagi cuba meyakinkan Puan Azreena.
“Yalah tu. Mama tak percaya langsung! Kalau sampai berangan tadi tu, mesti ada apa-apa ni,” usik Puan Azreena sengaja mahu menggiat anaknya itu yang sudah merah wajahnya.
“Mama tak percaya sudah!” cebir Qay.
“Kalau mama tahu Qay ada boyfreind kat sekolah, mama cakap dengan papa. Biar papa kahwinkan Qay cepat-cepat,” ugut Puan Azreena selamba.
Spontan terbuntang mata gadis itu mendengar bicara emaknya yang cukup selamba itu. Sampai macam tu sekali? “Kahwin? No way! Qay tak nak, okay. Nanti kena masak nasi.. kena masak lauk.. kena kemas rumah tu semua. Qay mana pandai! Lagipun Qay paling tak suka siang bawang kat dapur. Pedih mata. Nanti kalau papa kahwinkan Qay awal, papa dengan mama jugak yang malu bila mak mertua Qay dapat tahu yang Qay ni tak pandai masak,” jawab Qay selamba.
Kali ini mata si ibu pula yang terbeliak mendengar jawapan selamba anak gadisnya. Terasa dia pula yang dikenakan semula oleh Qay. “Ada aja jawapan Qay kan? Mama yang ugut Qay dulu tau! Patutnya Qay kena takut dengan mama. Ini tak! Mama pulak yang kena ugut dengan Qay. Mama pulak yang ngeri ni,” getusnya geram. Pipi gebu anak itu dicubitnya untuk melepaskan perasaan.
Meledak tawa Qay melihat emaknya kalah kepadanya. Seronok dapat mengenakan mamanya itu.
“Sunyilah bila papa takdekan, ma?” ucap Qay sambil dia melentokkan kepalanya ke bahu emaknya itu. Rindu benar dia kepada papanya yang selalu memanjakannya.
“Papa ada kerja. Lagi dua minggu papa balik,” jawab Puan Azreena lembut. Memang sunyi tetapi ini bukanlah kali pertama mereka ditinggalkan lelaki itu. Kali ini lelaki itu pulang ke Tashkent untuk menguruskan perniagaan keluarganya. Kadang kala ke US pula. Mereka berdua sudah terbiasa dengan keadaan itu.
“Ma, kalau Qay tanya sikit boleh tak?” ucap Qay setelah keadaan galak tadi sudah mula kembali tenang. Matanya dialihkan memandang emaknya itu.
“Tanyalah, sayang..”
“Kenapa papa beria-ia nak kita pindah ke sini? Apa yang ada kat sini sebenarnya?”
Serta merta terbit sesuatu di wajah Puan Azreena setelah mendengar pertanyaan Qay. Dia sedar Qay pasti tertanya-tanya mengapa mereka sekeluarga harus menetap di sini sekaligus meninggalkan semua yang mereka ada di Kuala Lumpur. Suaminya lebih senang berulang alik ke Kuala Lumpur untuk menguruskan perniagaan semata-mata kerana mahu menetap di sini. Itu sudah pasti menimbulkan tanda tanya bukan sekadar dari anaknya tetapi orang sekeliling mereka dahulu.
“Mama tak boleh cerita pada Qay apa masalahnya sebab ini urusan papa. Tapi apa yang boleh mama katakan, papa diminta oleh datuk Qay supaya mencari seseorang di sini,” ucap Puan Azreena lembut.
“Siapa orang tu?”
“Keluarga kepada arwah nenek Mariam. Arwah nenek Mariam berasal dari sini. Lepas kahwin dengan atuk arwah nenek Mariam ikut atuk ke US sampailah dia meninggal dulu,” cerita Puan Azreena menurut apa yang diketahuinya.
Qay mengangguk perlahan. Arwah nenek Mariam meninggal dunia 8 bulan yang lalu akibat sakit barah rahim yang dihidapinya semenjak bertahun-tahun yang lalu. Setahunya Arwah Nenek Mariam adalah isteri kedua kepada datuknya, Ahmed Al Fateh yang kini menetap di US. Asalnya dahulu datuk dan nenek-neneknya menetap di Malaysia. Namun menurut cerita mamanya ketika dia berusia 2 tahun datuk dan nenek-neneknya memilih untuk menetap di US untuk menguruskan perniagaan minyak mentah dan gas asli yang dimiliki oleh keluarga mereka semenjak dahulu. Ayahnya pula bukanlah anak hasil perkahwinan datuknya dengan arwah nenek Mariam sebaliknya dengan nenek Fatimah yang kini masih menetap bersama datuknya. Kerana itu sesetengah orang akan menganggap ayahnya itu warga asing kerana tidak memiliki paras seperti orang Malaysia walaupun ayahnya dilahirkan di sini. Ayahnya juga mampu berbahasa Melayu dengan baik kerana membesar di Malaysia.
“Papa dah jumpa ke orang yang dicari tu, ma?”
“Belum lagi. Papa tengah usahalah tu. Masalahnya atuk Qay tu bukannya ingat sangat dah. Alamat pun dia tak tahu. Alamat yang ada pada kad pengenalan arwah nenek Mariam pula alamat rumah lama dia dulu,” jawab Puan Azreen lembut.
Qay sekadar mengangguk faham. Biarlah.. itu urusan orang tua yang tidak seharusnya diikut campur olehnya.
Qay termenung seketika merenung semula kenangan dulu. Tiba-tiba dirinya digamit kenangan bersama arwah nenek tirinya itu. Wanita itu pandai membuat tapai. Dia paling suka tapai pulut yang disediakan oleh arwah neneknya itu. Setiap kali dia menikmati hidangan itu di mana-mana, pasti dia terkenangkan arwah neneknya itu. Setiap kali mereka pergi mengunjungi keluarga datuknya itu pasti wanita itu akan sibuk menyediakan hidangan kegemaran keluarga mereka apabila berkumpul iaitu Uzbek Palov, sejenis hidangan yang hampir sama seperti nasi beriani. Cuma pada akhir-akhir usianya, arwah nenek Mariam sudah kelihatan cukup uzur. Arwah nenek Mariamnya tidak secergas selalu. Namun Qay cukup tahu, wanita itu cekal. Sentiasa tersenyum seolah-olah reda sahaja menerima segala ketentuan buat dirinya.
Walaupun wanita itu sudah tiada, Qay tahu wanita itu selalu dikenangnya. Pastinya selepas ini keseronokan saat pulang ke kediaman datuknya tidak lagi seperti dulu.

“Dia dah balik? Betul ke apa yang kau cakap ni, Diah?” soal Mahmud agak kuat kepada Saadiah yang duduk di atas tangga rumahnya. Bagaikan mahu tersembul keluar biji matanya memandang Saadiah tidak jauh darinya itu. Terkejut benar dia mendengar berita itu. Rupa wajahnya sudah seperti orang yang tersampuk hantu.
“Betul, Bang Mud! Ada orang bagitahu saya. Tapi saya tak pastilah benda ni benar ke tidak, sebab orang yang bagitahu saya tu pun tak pasti betul ke itu Al Fateh atau pun orang lain. Rupanya aja yang hampir sama!” ucap Saadiah bersungguh menyampaikan berita. Lebih bersungguh berbanding para pembaca berita di televisyen gayanya.
“Siapa yang jumpa tu?”
“Manan, bekas pemandu si Al Fateh tu. Dia pun kata dia ingat-ingat lupa rupa si Al Fateh tu. Tapi dia kata orang yang dia nampak tu seiras dengan apa yang dia ingat,” ujar Saadiah kepada Mahmud.
Mahmud mendegus keras tanda tidak senang dengan khabar itu. Sial! Dah elok duduk jauh dari sini buat apa balik pula? Nak mampus betullah orang tua ni! Tak serik-serik lagi agaknya menempel di tempat orang. Mahmud mencemuh dalam hati. Terlupa pula yang dia juga sudah tua walaupun mungkin belum setua Al Fateh itu. Tetapi sebahagian hatinya menolak itu adalah Al Fateh. Tidak mungkin lelaki itu berani menjejakkan kaki ke sini setelah apa yang berlaku dahulu. Entah-entah lelaki itu sudah mampus pun! Jika dikira-kirakan usia Al Fateh kini mungkin sudah hampir 80 tahun. Masakan lelaki itu boleh kembali semula ke sini?
“Kau tahu ke mana dia tinggal?”
Saadiah menggeleng terlebih dahulu. “Saya dah tanya si Manan tu. Dia tak tahu sebab waktu tu dia tak sempat nak tegur orang tu. Cepat sangat nak perginya. Manan nampak dari jauh aja.”
Bicara Saadiah membuatkan Mahmud berfikir sendiri. Jadi bermakna tidak mungkin orang asing itu tinggal di kampung mereka kerana sebagai ketua kampung segala pergerakan masuk dan keluar orang asing semuanya dalam pengetahuannya. Mungkin orang itu tinggal di pekan sana. Dia akan siasat! Dia akan pastikan orang itu tidak akan jejakkan kaki ke kampung mereka ini jika benar orang itu adalah Al Fateh seperti yang dikhabarkan.
“Kalau dia cari kau semula apa kau nak buat?” tanya Mahmud kembali memasung pandangan ke wajah Saadiah di tangga rumahnya.
“Halaulah! Takkanlah saya nak jemput tetamu yang dah menconteng arang ke muka keluarga saya. Saya masih tak lupa apa yang keluarga dia orang tu buat pada keluarga saya, Bang Mud. Sampai mati saya berdendam!” ucap Saadiah cengil.
Mahmud pantas mengangguk tanda bersetuju dengan tindakan Saadiah itu. “Hmm.. bagus! Kalau dia orang ada buat kacau kat rumah kau ni, kau cakap dengan aku. Tahulah aku nak mengajarnya! Orang macam tu kau jangan bagi muka. Bila orang baik dengan dia, mulalah dia pijak kepala!” tegas Mahmud serius. Risau benar dia dengan kehadiran orang yang dimaksudkan oleh Saadiah itu. Dalam dirinya hanya dia yang tahu apa sebenarnya yang merisaukan dirinya dengan kehadiran orang itu. Ada rahsia yang tersimpul lama masih tidak terurai. Hanya dia dan Mariam yang tahu dan dia akan pastikan hanya dia dan Mariam sahaja yang tahu sampai bila-bila!
Kelibat kereta Datsun tua yang masuk ke kawasan rumah itu membuatkan Mahmud mula mempersiapkan dirinya untuk pergi. Tanpa bertegur sapa dengan pemilik kereta lama itu dia meninggalkan kawasan rumah itu. Walaupun tidak ada api yang kelihatan namun dia sedar hubungannya dengan pemilik kereta itu tidak sebaik yang diharapkan. Dia pun malas mahu menghadap muka lelaki itu.
“Apa dia nak datang ke sini?” tanya lelaki bernama Hambali itu kepada isterinya.
“Saya yang panggil dia ke sini. Ada benda yang saya nak tanyakan pada dia,” jawab Saadiah selamba. Punggungnya terus diangkat untuk membawa dirinya masuk ke dalam rumah. Petang begini dia mahu menyediakan air kopi untuk hidangan suami dan anak-anak yang bakal pulang dari sekolah tidak lama lagi.
Tidak jadi lelaki itu mahu bertanya lanjut apabila melihat isterinya lekas sahaja mahu masuk ke dalam. Namun dalam diam dia benar-benar tidak gemar lelaki bernama Mahmud itu dekat dengan mana-mana ahli keluarganya. Kerana dia tahu siapa sebenarnya lelaki itu dan apa yang membuatkan kedudukan Mahmud semakin gah di kampung ini.

Salina memandang aktiviti aneh yang dilakukan oleh Suria dan sekutu-sekutunya dari jauh. Hatinya mula merasa tidak sedap. Dia melihat seorang budak perempuan terduduk di atas tanah sambil belakang tubuhnya ditendang berkali-kali oleh Suria di kawasan yang agak sunyi di belakang dewan sekolah. Malahan ada beg yang sudah terdampar di atas tanah dengan isi kandungannya diteraburkan dengan sengaja.
Dengan gerakan terhendap-hendap Salina mendekati kelompok itu. Sengaja dia mahu melihat dengan lebih dekat lagi apa yang berlaku. Beristighfar dia mendengar cacian demi cacian yang dilemparkan Suria kepada gadis malang itu.
“Buat apa ni?” soal Salina dari belakang membuatkan keempat-empat pelajar tingkatan 4 itu terkejut beruk. Suria pucat lesi melihat penolong ketua pengawas sekolah mereka berada betul-betul di belakangnya.
“Su buat apa pada dia?” soal Salina sambil memandang pelajar yang tidak berapa dikenalinya itu. Setahunya gadis itu merupakan pelajar yang baru masuk ke sekolah mereka lebih sebulan dahulu.
“Takde apa-apa. Kami bergurau aja,” ujar Suria dengan sengihan yang direka untuk menutupi perbuatannya.
“Bergurau apa macam ni?” Aneh! Kenapa gadis itu menangis jika mereka sekadar bergurau? Lama Salina memandang gadis itu. Terbit rasa simpatinya melihat wajah putih itu. Bersendirian begini memang tidak mudah untuk dia berlawan dengan empat orang yang mengelilinginya. Salina pantas mendekati gadis itu.
“Bangun..” pintanya kepada gadis itu. Tangannya dihulurkan untuk membantu.
Dengan susah payah gadis itu bangun dari duduknya dengan bantuan Salina. Sebahagian bajunya sudah kotor akibat terdampar di atas tanah sebentar tadi.
“Apa Su buat ni?” soal Salina tidak senang.
“Mana ada Su buat apa-apa.”
Salina menggeleng sahaja melihat gadis itu. Masih lagi nak berbohong? “Kak Sal tak suka tengok semua ni. Lebih baik Su hentikan tabiat macam ni. Ini bukan sikap seorang perempuan yang baik! Islam menegah kita daripada menzalimi sesama saudara,” ujar Salina cuba menegur Suria yang sudah lama dikenalinya. Semenjak kecil Suria dikenali oleh semua ahli keluarganya kerana mereka sekampung dan bersekolah di sekolah yang sama semenjak kecil. Malah dia tahu Suria sudah lama menaruh hati kepada adik lelakinya itu.
“Su tak buat apa-apa pun, Kak Sal..”
“Kita boleh cakap apa yang kita nak hari ni untuk tutup apa yang kita dah buat. Tapi Allah tahu segalanya. Lambat atau cepat Allah akan berikan balasannya, Su. Ingatlah.. segala tindakan kita walaupun di tempat yang tersorok begini ada pemerhatinya. Tak selamanya kita akan kuat dan berada di atas. Fikirlah semula segala tindakan kita pada orang lain. Hujung nyawa kita nanti setiap dosa kita pada sesama manusia semuanya harus diselesaikan sebelum kita berjumpa dengan Allah. Sanggup ke Su harungi natijahnya kalau tak sempat meminta maaf pada orang Su aniaya?” Salina sempat juga memberikan sedikit tazkirah kepada gadis yang dirasakan cetek ilmu agama. Jika tidak masakan tindak tanduknya begini? Hanya orang yang cetek ilmu agama suka menganiaya orang lain.
Suria dan kawan-kawannya hanya mampu berpandangan sesama sendiri. Hilang taring Suria saat berhadapan dengan pelajar tingkatan enam atas ini. Mana dia berani melawan. Wanita ini adalah kakak kepada lelaki yang amat dipujanya iaitu Aqmal Hadi. Dia harus mengekalkan watak wanita Melayu terakhirnya di hadapan Salina agar dia terus dicalonkan sebagai pasangan yang paling sepadan dengan Hadi. Lagipun kalau dia melawan sia-sia saja dia diheret Salina ke bilik pengetua.
“Kalau takde aktiviti di sekolah, lebih baik balik aja ke rumah. Itu lebih baik daripada membuang masa buat benda yang tak mendatangkan kebaikan. Ingatlah, masa yang Allah beri kita kena gunakan untuk kebaikan. Bukannya membuli orang sana sini. Pergi balik!” Salina berkata lagi kepada Suria dan kawan-kawannya. Bicaranya itu sengaja ditegaskan supaya Suria faham ini berupa satu arahan darinya.
Suria segera membuat isyarat kepada kawan-kawannya agar berlalu dari situ. Salina sekadar mampu menggeleng melihat gelagat Suria dan teman-temannya itu. Kemudian dia mengalihkan pandangan kepada gadis yang berdiam sahaja dari tadi. “Nama siapa?” sengaja Salina bertanya untuk memacing bicara gadis itu kepadanya. Bukannya dia tidak boleh membaca tanda nama di baju kurung gadis itu.
“Qay..”
“Qay? Qay aja?” soal Salina mesra.
“Qaira Syahreena. Kawan-kawan panggil Qay aja.” Qay menjawab rendah.
“Sedap nama tu. Nama akak Salina. Panggil Kak Sal aja. Ni semua barang-barang Qay ke?” soal Salina sambil menunjukkan beberapa buah buku dan alat tulis yang bersepah di atas tanah di sekeliling mereka. Qay sekadar mengangguk dengan wajah mendung. Perlahan dia tunduk mengutip semua barang-barangnya yang habis diselongkar Suria sebentar tadi. Salina pula tanpa disuruh ikut membantu gadis malang itu.
“Qay ada masalah dengan Suria ke? Qay ni pelajar baru kat sinikan?” soal Salina sambil dia membantu gadis itu.
Qay hanya diam tidak menjawab. Dia yang ada masalah dengan Suria atau Suria yang ada masalah dengan dia, dia sendiri pun tidak tahu. Apa yang dia tahu asalkan bertembung dengan Suria di luar kelas, inilah yang akan dihadapinya. Sehingga dia merasa amat berat mahu ke sekolah.
“Kalau Qay kena buli dengan mana-mana pelajar lain, Kak Sal sarankan Qay buat aduan pada guru disiplin. Jangan diamkan aja. Kes buli ni kes berat. Cikgu akan terus ambil tindakan. Sekolah tak benarkan mana-mana pelajar lain buat angkara sampai menyusahkan pelajar lain nak menuntut ilmu kat sini.” Salina berkata perlahan dalam nada memujuk.
Dia faham perasaan gadis itu. Walaupun kes seperti amat jarang dilaporkan kepada pengetua  sebelum ini namun dia tahu kes buli yang ringan seperti ini sebenarnya banyak berlaku di sekolah mereka. Dia sendiri amat tidak gemar amalan ini. Mangsa buli akan merasa diri tertekan dan merasa rendah diri. Jika dibiarkan akibatnya amat teruk.
“Takpelah. Qay okay. Lagipun bukannya teruk sangat pun apa yang dia orang buat pada Qay.”
“Qay takut dengan Suria tu ke?”
“Taklah! Bukan macam tu. Qay cuma tak mahu hal kecil-kecil macam ni sampai ke pengetahuan cikgu. Lagipun dia bukannya ada cederakan Qay pun.” Qay menjawab perlahan. Hakikatnya dia bukannya tidak mahu guru disiplin tahu hal ini. Dia takut ayahnya yang dapat tahu. Akibatnya nanti ayahnya akan ke sekolah dan seterusnya masalah ini akan semakin rumit. Dia pula tidak mahu menjadi perhatian di sekolah. Itu sahaja!
“Okaylah kalau macam tu. Qay ada aktiviti ke petang ni?” Salina sengaja memesrakan dirinya kepada Qay agar gadis itu tidak merasa murung lagi.
“Qay dah habis kelas tambahan fizik dengan Cikgu Badrul tadi. Ingatkan nak tengok orang berlatih bola sepak kat padang sebelum balik.”
“Temankan Kak Sal ke kantin boleh? Sambil tu boleh kita berbual. Kak Sal pun teringin nak kenal Qay dengan lebih rapat lagi,” ucap Salina lembut.
“Boleh..” sambut Qay senang hati. Lagi baik dia mengikut Salina daripada duduk seorang diri di tepi padang. Buatnya dia terserempak lagi empat ekor ‘jin betina’ itu, tidak mustahil perkara tadi berulang semula.
Di kantin sekolah Salina sempat membelikan semangkuk bihun sup untuk Qay. Dia tahu Qay masih malu-malu dengannya. Entah kenapa dia merasa tertarik untuk mengenali siapa gadis ini sebenarnya. Tindak tanduknya lembut. Dia nampak seperti budak yang bijak namun mungkin dia masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya di sekolah ini.
“Selalu ke Suria dengan kawan-kawan dia buat macam tu pada Qay?” cungkil Salina saat duduk berhadapan dengan Qay di kantin sekolah mereka yang sedang lengang itu.
Qay yang sedang memandang bihun di dalam mangkuknya itu sekadar mengangguk.
“Kenapa tak beritahu cikgu?”
“Qay takut kalau papa dapat tahu nanti papa bising. Qay tak mahu papa datang sekolah jumpa cikgu. Nanti semua orang tahu Qay kena buli,” jawab Qay rendah sahaja.
“Apa nak dimalukan, Qay? Qay cuma ada dua pilihan sahaja sekarang ni. Samaada mengadu pada cikgu atau Qay jangan biarkan dia orang buat macam tu lagi pada Qay. Mana satu yang mudah pada Qay?” ucap Salina lembut. Wajah polos di hadapannya itu direnung lama. Cantik betul budak ni. Patutlah Suria tak suka dia.. desis hatinya sendiri.
 Qay menghela nafas perlahan. Kedua-dua pilihan itu tidak membantu dirasakannya. Bagaimana untuk dia membuat Suria berhenti membuli dirinya? Dia sendiri tidak tahu.
“Kak Sal dah kenal Suria tu dah lama. Semenjak kecil lagi sebab kami ni sekampung. Ayah dia penghulu kampung tempat Kak Sal tinggal. Tapi siapa pun dia dalam sekolah ni itu tak boleh dijadikan sandaran supaya kita boleh berbuat sesuka hati pada orang lain. Apatah lagi kalau sampai melanggar peraturan sekolah. Sekolah ni layan kita semua sama rata aja biarpun kita anak menteri.”
“Qay tak tahu kenapa dia benci sangat dengan Qay. Memang semenjak mula Qay masuk ke sekolah ni dia dah mula cari pasal sakitkan hati Qay. Tapi Qay diamkan aja sebab Qay malas nak panjangkan cerita. Qay tak mahu bermusuh dengan sesiapa. Kalau dia kena denda dengan cikgu nanti dia makin berdendam dengan Qay. Qay juga yang susah nanti,” jawab Qay lembut.
“Tapi jangan sampai hal ni jadi barah dalam diri Qay. Kak Sal cakap ni sebab kak Sal selalu baca artikel tentang ini. Mangsa buli ni selalu merasa rendah diri dan ada masalah psikologi sebab tak boleh tangani trauma yang ada dalam diri. Sesetengahnya tak mampu hilangkan trauma dalam jangka masa yang panjang sampai mengalami sakit jiwa. Tapi ini semua sebenarnya bergantung pada macamana kita tangani emosi kita sendiri. Kak Sal ambil berat pada semua adik-adik junior, nak-nak lagi yang masih baru di sini macam Qay ni. Mana yang Kak Sal boleh bantu Kak Sal akan bantu. Perkara yang orang anggap satu kebiasaan dan remeh temeh tapi kalau memberi akibat yang buruk, kita kena cegah segera. Ini sebahagian daripada tanggungjawab Kak Sal sebagai pengawas di sekolah ni. Kami bukan sekadar wujud dalam sekolah ni untuk cari masalah disiplin pelajar lain aja. Kita kena bangkit pertahankan diri kita, Qay. Macamana cara pun kita kena kuat untuk bangunkan diri kita sendiri. Jangan biar orang lain pijak kita sesuka hati. Bila kita ada harga diri, orang akan hormat pada kita. Kita bukannya nak minta disanjung. Tapi cukuplah sekadar kita dilayan sebagai manusia yang hidup dalam zaman bertamadun macam sekarang ni. Hakikat sebenarnya orang yang suka membuli nilah yang tak bertamadun.”
Qay mengangguk perlahan tanda akur dengan nasihat kakak senior itu.
“Okay, kalau Qay tak mahu laporkan pada cikgu, Kak Sal tak mahu paksa. Tapi Kak Sal nak Qay jangan biarkan diri Qay lemah lagi. Cuba cari jalan untuk menghindar dari situasi tu. Atau kalau dah takde jalan lain, jauhkan diri dari dia. Bolehkan?”
“Qay cuba..” jawab Qay akur. Ya, itulah jalan yang terbaik untuk dirinya buat masa ini dan masa yang seterusnya.
“Baguslah kalau macam tu. Qay suka sekolah kat sini? Cikgu-cikgu di sini macamana? Sama tak macam di sekolah lama?”
Qay terus tersenyum memandang Salina. Itulah senyuman pertamanya semenjak dia bertemu dengan wanita itu. Apabila topik cerita mereka sudah berubah arus perasaannya juga ikut berubah. Lupa terus dia tentang apa yang berlaku tadi.
“Qay suka kat sini. Kawan-kawan yang lain baik dengan Qay dan Qay senang dengan cikgu-cikgu kat sini sebab suka beri perhatian lebih pada mana-mana kelemahan pelajar. Kat sini memang tak sama dengan bandar. Suasana kat sini pun tenang aja, tak sesak macam kat bandar.” Jujur jawapannya. Berbanding di sekolah lama, untuk menjadi pandai dia harus berusaha sendiri kerana guru-guru tidak semuanya begitu mengambil berat akan situasi pelajar. Ada yang mengajar untuk cukupkan masa sahaja. Tidak mahu kerja lebih masa dengan pelajar jika tidak dibayar. Di sini kelas tambahan semuanya percuma.
“Maaf kalau Kak Sal bertanya, Qay ni anak kacukan ke?”
“Papa saya berbangsa Uzbek yang dilahirkan di sini. Tapi kami sekeluarga orang Malaysia, kak. Mama saya memang orang Melayu asli.”
“Malaysia ni memang ada banyak bangsa. Tak semestinya Melayu, Cina dan India aja. Cuma bangsa Uzbek ni, Kak Sal tak berapa tahu sangat.”
“Uzbek berasal dari Uzbekistan. Datuk dan nenek memang asal dari sana tapi berhijrah ke sini waktu zaman pemerintahan Soviet dulu. Datuk cerita banyak kesusahan kat sana dan bangsa Uzbek ni ibarat pengemis di tanah sendiri waktu di bawah pemerintahan soviet. Bangsa Uzbek pernah dijajah selama 70 tahun sebelum diberi kemerdekaan pada tahun 1991. Datuk kata negara kami susah nak dilepaskan kerana kaya dengan hasil galian yang semua negara mahu. Datuk kata dia terpaksa berhijrah sebab waktu tu takde jalan lain untuk mereka majukan diri kalau terus berada di sana. Semenjak tu datuk dan nenek berada di sini sampailah papa saya lahir.”
“Ooo..” panjang lopongan Salina yang baru mendengar kisah seperti itu. Macam cerita dalam buku sejarah pula gayanya. Nampaknya kenalah dia buka semula buku sejarah jika dia mahu tahu cerita yang lebih lanjut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.