Khamis, 5 September 2013

BABA 9 & 10

Bab 9

Qaira Syahreena tersenyum memandang temannya itu. Amna dengan wajah berseri-seri segera memberikan sesuatu kepada Qay. Surat lagi? Detak hati Qay mula tidak aman. Senyuman yang tadi terhias indah mula terhakis sedikit demi sedikir. Inikah tujuan Amna membawa dia di sudut tersembunyi di dalam perpustakaan ini? Namun huluran Amna disambut juga walaupun dia tidak begitu menyenangi dengan objek yang sedang dihulurkan teman sekelasnya itu.
“Apa ni?” tanya Qay buat-buat tidak faham.
“Tengoklah sendiri. Ada orang kirim tadi,” ucap Amna dengan senyum penuh makna.
“Macam surat je ni?” tanya Qay lagi.
“Habis tu takkanlah nota biologi pulak? Kau ni buat-buat blur pulak, Qay. Orang popular mestilah selalu dapat surat. Tapi kali ni kau kena baca surat ni sebab yang bagi surat ni, juga pelajar popular kat sekolah kita ni,” ucap Amna dengan senyum mengusiknya.
Memang Amna akui ini bukanlah kali pertama teman sekelasnya ini mendapat surat cinta. Tetapi dia kagum. Sedikit pun tidak Qay berasa riak dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Setiap kali disapa ucapan cinta melalui warkah gadis itu pasti kehairanan seolah-olah tidak sedar apa yang ada pada dirinya mampu membuatkan pelajar-pelajar lelaki di sekolah mereka ini gila bayang.
Ucapan Amna membuatkan Qay tergelak sedikit. Namun huluran Amna disambut juga walaupun ada rasa tidak senang di hatinya. Pelajar popular? Siapa? Bisik hati kecilnya sendiri. Klu yang diberikan oleh Amna membuatkan sebahagian hatinya mula berkobar untuk mengetahui siapa yang mengirimkan surat ini. Akhirnya surat tidak bersampul itu dibuka perlahan untuk ditatap isi kandungannya. Bola matanya berlari dari satu ayat ke satu ayat yang tertera di atas kertas itu.
“Bacalah kuat sikit. Aku pun nak dengar juga ayat-ayat jiwang yang peminat kau tulis. Mana tahu nanti aku pulak nak tulis surat kat secret admire aku. Senang aku dah ada panduan,” ucap Amna selamba dengan sedikit nada memerli.
Qaira Syahreena menoleh seketika kepada Amna. Sebuah jelingan dihadiahkan kepada Amna. Malu juga bila diusik-usik begitu walaupun dia sebenarnya bukanlah jenis perempuan Melayu terakhir yang cukup pemalu. Tetapi secara jujurnya bukan dia yang meminta semua ini. Dia juga bukan jenis yang suka melayan pelajar lelaki. Tetapi entah kenapa surat-surat seperti ini selalu datang kepadanya.
Akibat tidak sabar, Amna terus menghimpit Qay yang menjadikan penyandar kerusi di belakang mereka untuk ikut sama membaca surat cinta itu. Seperti biasa Qay sekadar membiarkan. Tiada rahsia antaranya dan Amna dalam soal ini. Lagipun tumpuannya kepada luahan hati si penulis tidak tergugah langsung. Malah wajahnya mula berubah serius tidak seperti selalunya. Dia membaca surat cinta seperti membaca surat saman. Kalau tidak dia ketawa pasti dia akan naik angin membaca surat cinta orang kepadanya.
Berlainan kali ini.. warkah ini ditulis indah dengan bahasa yang lembut dan sopan. Tidak kebudak-budakkan sehingga menimbulkan rasa mahu termuntah hijau apabila membacanya. Tiada ayat meninggi diri untuk memperlihatkan kehebatan si pembacanya itu. Kali ini dia bagaikan sudah tertawan oleh setiap ayat-ayat indah yang tertera. Sederhana namun amat matang melambangkan keikhlasan si penulisnya. Sehingga matanya tidak mampu berkelip membacanya. Pada satu perenggan warkah itu, Qay sengaja ulang membacanya beberapa kali bagaikan tidak pernah puas menafasirkan isi hati si pengirim.
Abang sedar, pastinya kehadiran tulisan tangan ini akan merubah keadaan Qay. Tetapi tindakan ini abang ambil nekad. Setelah sekian lama abang tersiksa sendiri di sini, abang memilih untuk mengambil peluang ini. Memandang Qay setiap waktu, abang merasakan sebuah anugerah yang tidak terbayang oleh lelaki seperti abang. Betapa berharganya detik-detik itu kepada abang, Qay.
 Tetapi hati ini memang tak pernah puas. Sekadar memendam rasa begini abang merasakan ini bagaikan satu hukuman kepada abang kerana membiarkan hati ini merindui Qay dalam diam. Katakanlah kepada abang, jika ini telah menjadi satu kesalahan bagi abang kerana memendam cinta kepada Qay sekian lama ini. Katakanlah juga kepada abang, Qay. Jika sememangnya ruang untuk lelaki seperti abang mendiami seinci ruang dalam hidup Qay langsung tiada. Berterus teranglah! Agar Abang dapat menerimanya dan membuatkan hati ini memahami hakikatnya. Agar dapat abang teruskan hidup ini tanpa terus merasa tersiksa lagi.
Abang ikhlas dengan harapan di hati abang, walaupun mungkin semua ini terlalu awal untuk kita melaluinya. Demi Tuhan yang satu, abang tidak pernah meminta dan tidak mampu menahan hati ini dari terus menyebut nama Qay. Semoga Qay mengerti, inilah harapan dari seorang lelaki kepada wanita idaman hatinya. Ingin abang realisasikan impian ini semampu abang agar abang tidak mengecewakan sesiapa sepanjang perjalanan ini terutamanya diri abang sendiri. Tetapi abang hanyalah seorang lelaki biasa, yang mungkin tidak setaraf dengan kedudukan keluarga Qay di sini. Abang hanyalah seorang lelaki biasa yang takkan mungkin dapat menghadiahkan dunia ini kepada wanita yang didambakannya. Tetapi biar apa pun hakikatnya setakat ini, abang nak Qay tahu bahawa hati ini tidak pernah berhenti menyeru nama Qay.
Itulah isi kandungan seperenggan yang membuatkan Qay terpaku lama memandang surat itu. Sebahagian dirinya bagaikan sudah menjejakkan kaki ke syurga nan indah. Begitu juga Amna di sebelahnya. Dia juga bagaikan terpana memandang surat cinta dalam erti kata yang sebenarnya. Di bahagian bawah surat itu tertera nama penuh si penulisnya.
Dekat tapi jauh,
Ahmad Aqmal Hadi bin Ahmad Hambali.
Terbeliak mata Qay apabila menyedari siapa sebenarnya pemilik nama itu. Mulut yang hampir terlopong pantas ditutup dengan tangannya. Dadanya bagaikan dibadai ombak yang ganas. Bila-bila sahaja reaksinya gembiranya boleh meletus. Namun akhinya tubuh Amna ditepi terus dipeluk bagi menyatakan rasa teruja yang tidak bertepian. Kalau boleh dia mahu menggelupur di atas lantai itu menggambarkan terujanya.
“Terkejut ke? Tak sangkakan dia yang bagi?” tanya Amna lantas ketawa perlahan. Perlahan tubuhnya dilepaskan Qay.
“Memang tak sangka. Betul ke dia ni?” tanya Qay semula dengan mata membulat bersinar melambangkan keterujaan perasaannya kala itu. Wajah lelaki itu terlayar seketika di ruang matanya. Bukannya dia tidak kenal pada nama itu. Semua orang di sekolah ini kenal siapa Ahmad Aqmal Hadi. Ketua pelajar mereka yang cukup kacak!
Kalau Hadi merasa begitu kepadanya, apa kurangnya dia? Bohonglah kalau selama ini dia tidak pernah mencuri pandang lelaki itu. Temberang besarlah kalau dia tidak merasai apa yang dirasai oleh lelaki itu. 2 tahun dia tidak mampu melarikan mata dari memerhatikan pelajar lelaki harapan sekolah mereka itu. 2 tahun dia tersiksa menanti lelaki itu menghulurkan salam kasih kepadanya. Qay benar-benar terasa seperti dia sedang bermimpi!
“Habis tu kau ingat siapa lagi? Dia sendiri yang jumpa aku tadi minta aku sampaikan surat ni pada kau. Siap suruh rahsiakan dari orang lagi! Takkan tak betul pulak? Takkanlah ada orang pakai topeng getah berlakon jadi dia?” Amna menjawab sambil tersenyum bangga.
“Aku rasa macam mimpi aja!” ucap Qay lantas melekapkan kedua-dua telapak tangannya ke pipi. Merona hangat wajahnya saat itu. Sungguh! Dia terasa seperti sedang bersiar-siar di angkasan nan raya. Nyamannya cukup membahagiakan! Mimpinya sudah menjadi nyata.
“Kau suka dia ke?” tanya Amna sengaja mahu mengorek rahsia hati teman sedarjahnya itu. Daripada reaksi Qaira Syahreena yang begitu, dia merasakan cinta si lelaki bagaikan sudah bersambut. Jika benar begitu maka dia tumpang gembira. Tetapi dia hairan. Mengapa selama ini Qay tidak pernah berkata apa-apa tentang isi hatinya kepada ketua pengawas mereka itu?
Qay tunduk menyembunyikan reaksi seketika. Malu mahu mengakuinya tetapi hakikatnya siapa yang tidak jatuh hati kepada ketua pengawas sekolah mereka itu? Karisma yang ada pada pelajar tingkatan enam atas itu sering membuatkan dia teruja apabila dapat memandang dari jauh. Dialah yang paling teruk angaunya mungkin.
“Kau tak nak balas ke surat dia ni?” malas mahu menunggu jawapan yang sudah diketahuinya Amna menukar kepada soalan lain. Reaksi Qay kepada surat ini nyata sekali jauh berbeza berbanding saat dia membaca surat cinta yang lain. Emosinya terlepas tanpa dapat dikawal.
“Malulah..” ucap Qay dalam pada dia menunduk menyembunyikan wajahnya. Terasa indah sungguh dunia ini setelah membaca warkah ini.
“Alahai.. sejak bila pulak kau ni berubah jadi perempuan pemalu? Setahu aku kau ni muka tapai! Muka tapai macam kau ni pun beratur surat cinta nak datang kat kau! Buta agaknya diorang ni,” usik Amna sambil mencubit lembut paha Qay yang sudah tergelak.
“Mulut kau ni macam jambankan?” ujar Qay geram dengan wajah yang sudah merona hangat. Usikan Amna semakin menceriakan perasaannya walaupun dia dikutuk selamba.
Kutuklah aku, Amna. Kutuklah aku sampai terkoyak mulut kau pun. Aku takkan marah sebab hari ni adalah hari yang paling bermakna dalam hidup aku. Haish! Sabar ajalah budak Qay ni. Gatal!
“Cakaplah! Kau nak balas ke tak?” tekan Amna masih dengan soalan yang sama.
“Tengoklah dulu..” ucap Qay sambil cuba mengawal dirinya. Aduhai! Kenapa mesti ini yang dilaluinya? Siksa sungguh dia menanti. Tetapi untuk memikat lelaki itu, mati hidup semula pun memang taklah!
“Aku suka kalau kau couple dengan dia. Serius aku cakap! Pelajar famous vs pelajar jelita lagi bijak. Memang sepadan! Macam pinang digelek jentolak, pendek katanya,” ucap Amna sengaja mendorong agar Qay segera menyambut kasih lelaki itu.
Qay menghela nafasnya perlahan. Haruskah dia membalas surat cinta lelaki itu? Sepadankah mereka berdua? Memang keluarganya kaya raya tetapi lelaki itu juga tidak kurang hebatnya. Jika tidak masakan sehingga kini bekas guru biologinya itu masih menaruh hati kepada Hadi? Apa yang hebatnya dirinya ini di mata lelaki itu? Lagipun dia tidak pandai bermadah indah seperti lelaki ini. Dia bukanlah seorang pemadah yang mahir meluahkan gurindam indah untuk kekasihnya. Dia sekadar seorang gadis yang naif tentang cinta.
Ah! Pedulikan semua itu. Apa yang dia tahu dia harus merebut setiap apa yang dimahukannya. Kala itu segenap hatinya bagaikan tidak sabar mahu memandang lelaki itu lagi. 
“Aku memang suka dia, Amna. Tapi aku malu nak cakap. Dia ada ramai peminat. Aku takut aku cuma perasan seorang. Selama ni dia macam tak peduli aja pada aku,” keluh Qay perlahan. Wajahnya dihalakan ke bawah.
“Tapi kau baca sendirikan apa yang dia tulis dalam surat. Aku sendiri dapat rasakan yang ikhlas pada kau. Aku tak rasa dia cuma nak main-mainkan kau, Qay. Kau kena rebut peluang ni kalau betul kau sukakan dia. Aku rasa kau lebih layak dengan dia berbanding orang lain. Kalau kau biarkan aja, buatnya dikebas dek cikgu perasan hot tu. Melepas kau!” Amna berkata bersungguh.
Qay menghela nafas perlahan sebelum mengangguk akhirnya. Ya! Dia harus merebut peluang ini jika dia mahu. Bukannya dia mahu menjadi ratu untuk menawan putera raja yang paling kacak di negara kecil ini. Tetapi dia mahu menjadi ratu di hati seorang lelaki bernama Ahmad Aqmal Hadi yang sudah lama menjadi putera idaman di hatinya.
“Aku tak tahu pulak yang kau rupanya sukakan dia selama ni? Selama ni aku tengok kau macam buat tak kisah aja.”
Qay menoleh memandang Amna. Dia tahu apa yang dimaksudkan Amna. Memang dia menyembunyikan isi hatinya itu jauh-jauh agar tidak ada sesiapa dapat menghidunya. Dia malu kerana selama ini dia merasakan dia sekadar bertepuk sebelah tangan. Lagipun dia di sini bukannya tempat untuk dia memadu kasih. Dia tidak mahu berangan tinggi dahulu sedangkan dia sendiri tidak tahu sejauh mana impian mampu digapainya. Tetapi sayangnya semua ini tidak mampu dikawal oleh tangannya.
“Takkanlah nak interframe aja depan dia? Malulah aku! Kau ingat aku ni jenis perempuan tergedik-gedik ke?” jawab Qay lantas ketawa kecil.
“Ooo.. pandai kau simpan rahsia ya? Aku sendiri pun boleh kena tipu dengan kau! Nama aja kawan baik kau tapi benda penting macam ni pun sesungut aku ni tak berapa nak berfungsi!”
“Mana ada aku tipu kau? Aku cuma tak bagitahu kau. Itu aja!” Hampir meledak tawa Qay melihat Amna. Namun menyedari mereka sedang berada di perpustakaan dia lantas menekup mulutnya. Tetapi saat ini, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bahagianya dia. Ya, cinta lelaki itu ingin disambutnya. Jika kecil telapak tangannya ini, maka seluruh benua ini akan digunakan untuk menyambut cinta itu.
Amna sempat mencebik. “Yalah tu. Dapat surat cinta terus lupa nak kontrol ayu. Malu-malu konon! Malu tapi mahu. Porah!” kutuk Amna selamba.
Meledak juga tawa mereka berdua di situ. Namun pustakawan yang melintasi mereka lekas menegur agar mereka berhenti berbual. Amna dan Qay berpandangan berdua bersama tawa yang terkulum. Sepeninggalan pustakawan itu mereka tergelak lagi.

Pagi Isnin yang damai..
Teruja yang teramat sangat! Begitulah perasaan Qay untuk ke sekolah hari itu. Semenjak membaca surat cinta dari pujaan hatinya rahsianya kira-kira sepetang dua yang lalu, tidurnya sudah seperti ayam. Tidur-tidur ayam kononnya! Sabtu dan Ahad di rumah sudah tidak seindah seperti selalunya. Walaupun papanya ada meluangkan masa dengannya namun rohnya bagaikan sudah berada di sebuah pulau yang indah. Dia sebenarnya cukup tersiksa untuk merealisasikan apa yang dimahukan oleh hati. Terasa lambat benar masa berlalu.
Apa yang dia tahu saat ini dia sudah tidak sabar-sabar mahu ke sekolah. Kalau papanya tahu dia moodnya ke sekolah sudah berubah menjadi luar biasa seperti ini pasti papanya suka. Iyalah.. anak rajin ke sekolah semua emak dan ayah suka.
Tapi yang papanya pasti tak suka ialah dia mahu ke sekolah bukan sebab mahu belajar benar tetapi kerana memandang buah hatinya! Aku ni dah sewel agaknya, ucap hati Qay saat merenung diri di cermin pagi itu. Dia bangun awal semata-mata mahu bersiap awal ke sekolah. Biar betul?
Rutin setiap pagi Isnin bagi semua pelajar seperti mereka sudah tentulah perhimpuan bersama semua guru-guru dan pengetua sekolah. Bersama Amna, mereka ke dewan sekolah. Sampai di pintu utama dewan sekolah dada Qay sudah bermain pancaragam sendiri. Berdebar hebat memandang seorang pelajar lelaki yang berkot hitam berdiri di ambang pintu itu bersama beberapa pengawas sekolah yang lain. Sayang sekali lelaki itu sedang berbual dengan pengawas lain tanpa menyedari kehadirannya di situ. Melintasi lelaki itu Qay cuba memandang. Sengaja mahu menarik perhatian Hadi kepadanya. Untung sabutnya timbul. Spontan lelaki itu juga mengalihkan pandangan kepadanya.
Zupp!!! Jantung Qay bagaikan dicantas lalu bergolek jatuh saat mata bening lelaki itu singgah kepadanya. Tiba-tiba dia menggelabah pula. Tiba-tiba timbul rasa malu mahu membalas renungan Hadi kepadanya. Sedangkan tadi dia yang berani benar kononnya.
Namun Qay tetap meneruskan langkah tanpa berkata apa-apa kepada Hadi. Biarlah dulu.. saatnya pasti akan tiba juga. Itulah bisik hati Qay saat itu. Namun sempat juga dia mengerling lelaki itu dengan ekor matanya bagaikan memberitahu surat lelaki itu sudah selamat sampai ke tangannya. Malah sudah selamat disimpan di dalam peti rahsianya. Wah! Qay dah ada peti rahsia sekarang..
Hadi terus memandang gadis yang baru melintasinya itu sehingga kelibat Qay menghilang di sebalik puluhan pelajar-pelajar yang sedang beratur menanti ketibaan para guru-guru. Berkali-kali dia menarik nafas agar dirinya dapat bertenang. Bimbang benar dia. Bimbang gadis itu membencinya dengan kehadiran warkah itu. Kalau sebelum ini dia nekad namun kini dia amat gentar. Bertentang mata dengan Qaira Syahreena juga dia sudah tidak sanggup.
Setelah semua guru-guru dan pengetua sekolah mereka tiba di dewan itu. Sebagai ketua pengawas, Hadi memulakan perhimpunan itu dengan mengetuai bacaan doa. Saat dia berdiri di hujung pentas di hadapan mikrofon, matanya tidak mampu dilarikan daripada memandang kelompok pelajar-pelajar tingkatan 6 rendah yang beratur di bahagian paling hujung dewan itu, iaitu betul- betul di hadapannya. Tangan yang ditadahkan seperti menggigil pula. Cuba ditenangkan hatinya namun gagal. Dari atas itu dia dapat melihat panahan mata seorang perempuan menuju tepat ke arahnya yang sedang berdiri tegak di atas pentas itu. Di hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa menggelabahnya Hadi direnung oleh Qay begitu.
Selesai perhimpunan ada satu lagi cabaran yang harus dihadapi oleh Hadi. Setiap pelajar akan diperiksa oleh guru disiplin dan pengawas-pengawas sekolah bagi mengesan kesalahan dari segi pemakaian seragam sekolah dan kebersihan seragam pelajar-pelajar. Pemeriksaan dimulakan dengan pelajar tingkatan 6 atas dan seterusnya tingkatan 6 rendah. Hadi sekadar berdiri di sebelah Puan Zarinah yang memerhatikan setiap pelajar diperiksa oleh pengawas-pengawas yang lain.
Saat tiba giliran pelajar tingkatan 6 rendah 1, Hadi tidak mampu melarikan matanya dari memandang Qay yang sedang berdiri di hadapan seorang pengawas wanita bernama Syuhada. Wajah si gadis selamba sahaja. Namun saat mahu berlalu, bola mata Qay singgah lama di wajah Hadi. Kelu lidah jejaka itu apabila dipandang begitu. Qay langsung tidak tersenyum kepadanya. Sinar matanya tajam menikam. Jantung Hadi bagaikan sudah luruh. Sebahagian dirinya sudah merasa dia sudah tersalah langkah.
Hadi terus resah memandang pemergian Qay dari dewan itu. Pandangan Qay kepadanya sebentar tadi tidak mampu ditafsirkan apa maknanya. Marahkah dia? Entah kenapa perasaannya tidak mampu ditenangkan lagi saat itu. Jika Qay membenci tentang apa yang dilakarkannya di atas warkah itu, dia sendiri tidak tahu di mana mahu diletakkan wajahnya ini. Agaknya dia kena bertukar ke sekolah lain!

Waktu rehat menjelma..
Aqmal Hadi seperti kebiasaannya akan berada di bilik pengawas setelah selesai waktu rehat. Bilik itu sunyi tanpa kehadiran sesiapa kerana dalam waktu-waktu begini kebanyakan pengawas sekolah sedang melakukan tugas mereka berkawal di kantin sekolah, pintu pagar sekolah dan juga di kelas-kelas. Jadual tugasan untuk hari ini yang disediakan Habsyah selaku penolong ketua pengawas dibacanya seketika di papan kenyataan.
Kemudian dia menghabiskan masa membaca laporan tugasan oleh kesemua pengawas-pengawas untuk tugasan sebelum ini. Laporan itu dibaca dan disahkan sebelum dihantar kepada guru disiplin mereka.
Namun sedang dia ralik di mejanya tiba-tiba pintu bilik itu dibuka dari luar. Spontan matanya dilarikan ke arah pintu itu. Sangkanya Cikgu Suhana yang datang mahu menempel lagi kepadanya. Tetapi bukan! Terkedu Hadi melihat sebatang tubuh yang sedang berdiri di luar sambil memegang pintu itu. Berderau darahnya tiba-tiba. Dia tahu apa tujuannya gadis itu datang ke mari. Sudah tentulah kerana warkah yang diutuskan olehnya kepada gadis itu beberapa hari yang lalu.
“Saya nak bercakap dengan abang lepas habis sekolah. Saya tunggu abang di library pukul 2 petang nanti,” pinta gadis itu lembut. Panggilan ‘abang’ sememangnya sudah cukup sinonim untuk semua pelajar senior daripada pelajar-pelajar junior. Sudah menjadi satu kewajipan sebagai tanda hormat dari pelajar yang lebih muda kepada yang lebih tua dan bukannya untuk menggoda.
Hadi sempat menelan liurnya seketika bagi meredakan debaran hebat yang melanda dirinya. Telapak tangannya sudah beku dirasakan. Perlahan dia mengangguk sahaja. Tanpa kata gadis itu berlalu dari situ setelah pintu di tutup semula. Spontan Hadi tersandar di kerusi plastik yang menjadi alas beban dirinya. Debaran tadi masih dirasakan. Apa yang mahu dikatakan oleh Qaira Syahreena kepadanya? Mahu memarahinya atau apa?
Argh! Hadi sudah mula kusut dengan bermacam-macam andaian. Harap-harap apa yang bakal dilaluinya nanti mampu ditanggungnya.
Seperti yang dijanjikan Hadi memberanikan diri datang ke perpustakaan itu. Namun suasana lengang perpustakaan itu memberikan dia sedikit ketenangan. Jika dia dijerkah oleh Qay pun tidak ramai yang melihat nanti. Takdelah malu sangat! Pustakawan dan pustakawati yang bertugas juga kelihatan sibuk di meja mereka. Hadi menapak dengan hati-hati mencari di mana gadis itu berada. Akhirnya di bahagian paling belakang perpustakaan itu barulah dia menemukan gadis itu duduk sendiri bersama buku-buku pelajarannya. Nampak seperti Qay sudah lama berada di situ.
Hadi terpacak seketika sambil memandang Qay yang sedang duduk membelakanginya. Sebelum mendekati gadis itu sempat juga dia membaca sedikit doa agar dirinya ditenangkan. Janganlah dia marah aku hendaknya.. ucap hati Hadi pasrah.
“Maaf kalau abang lambat,” sapa Hadi lembut setelah berada di sisi Qay yang masih ralik dengan tugasannya.
Suara itu menyebabkan Qay sepantas kilat mengangkat pandangannya ke arah lelaki itu. Memandang wajah Hadi sedekat ini membuatkan dia tidak mampu mengalihkan pandangannya. Lama dia memerhatikan Hadi sehinggalah lelaki itu duduk di salah satu kerusi di meja itu.
Buat seketika mereka sekadar berpandangan berdua. Hadi cuba menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara. Sebagai lelaki dia tahu dia yang harus memulakan bicara. “Qay ada apa-apa nak cakap dengan abang ke?” soal Hadi lembut. Tidak senang duduk dia asyik direnung gadis itu. Lututnya lembik!
“Ada.” Qay menjawab sepatah sambil dia menyelak bahagian tengah buku teks Matematik Tambahan yang dibawanya. Warkah yang dikirimkan lelaki itu kepadanya beberapa hari lalu diambilnya lalu diletakkan di atas meja itu untuk tatapan Hadi semula. Sengaja dia mempamirkan ketenangan di wajahnya agar lelaki itu sedar pertemuan ini bukanlah untuk mencipta ketegangan.
Hadi menunduk seketika apabila surat itu diperlihatkan kepadanya semula. Perasaannya semakin haru biru dalam diam bagaikan tidak sanggup memandang surat yang mungkin akan memalukannya sekejap lagi.
“Abang ke yang tulis surat ni?” tanya Qay lembut.
Perlahan Hadi mengangguk. Wajah gadis itu dipandang seketika. Bola mata gadis itu yang sedang menari liar di wajahnya membuatkan dia semakin sukar mengawal rasa gelabahnya. Rasa malu yang luar biasa ini entah dari mana timbulnya dia sendiri pun tidak tahu. Sekarang dia sudah faha apa makna dengan ‘nekad’ yang dituliskan di dalam warkah itu. Besar akibat yang menantinya. Janganlah hendaknya dia dimaki hamun oleh Qay kerana hal itu. Balik-balik harapan itu yang diseru oleh hati kecil lelaki itu.
“Kenapa abang tulis surat ni pada saya?” soal Qay selamba.
Perasaan Hadi semakin merasa tidak enak. Nada Qay seperti itu seolah-olah tidak senang dengan kehadiran surat itu. Atau mungkin Qay tidak faham mengapa warkah seperti itu diutuskan kepadanya.
“Sebab abang dah lama sukakan Qay. Abang memang sukakan Qay semenjak Qay mula masuk ke sekolah ni,” jawab Hadi lembut dalam ketenangan yang tidak sebanyak mana. Lama dia menundukkan wajahnya sebelum kembali memandang kepada Qay yang masih setia memandangnya dari tadi. Baru saat itu ada kelunakan tertera dalam pandangan gadis itu kepadanya membuatkan dia tidak mampu melarikan diri dari keindahan yang sangat didambakan semenjak dahulu.
Lama Qay terpaku membiarkan matanya bertaut dengan lelaki itu. Dalam renungannya dalam pada cuba dia mencari kejujuran dalam mata lelaki itu tentang apa yang baru diketahuinya. Dia baru sedar tentang itu. Bermakna lelaki ini memendam rasa kepadanya semenjak dia berada di tingkatan 4. “Habis tu kenapa baru sekarang abang tulis surat ni?” tanya Qay sengaja mahu berlengah-lengah. Bukannya dia tidak nampak keresahan di wajah lelaki itu. Tetapi entah kenapa dia suka melihatnya. Baru dia tahu yang Hadi ini rupanya seorang lelaki pemalu.
Hadi menghela nafas seketika. Muncul sedikit keberaniannya apabila melihat Qay tenang sahaja. “Abang tak berani, Qay. Abang tak tahu apa pula penerimaan Qay pada abang. Ini pun abang rasa macam dah kena serangan jantung.” Hadi menjawab lemah.
Kali ini giliran Qay pula yang berdiam diri. Dia beralih memandang buku yang terbuka luas di hadapannya itu bagi mencari kata-kata yang sesuai untu diucapkan kepada lelaki itu.
Honestly, saya suka apa yang abang tulis dalam surat tu walaupun saya terkejut sebenarnya. Saya langsung tak sangka yang abang ada perasaan pada saya sebab selama ni saya nampak abang macam biasa aja depan saya. Abang tak pernah tegur saya pun selama ni kalau takde apa-apa yang penting,” ucap Qay lembut.
Mukadimah lembut Qay itu lantas menerbangkan sebahagian andaian negatif Hadi kepada pertemuan ini. Namun dia tidak segera menjawabnya kerana dia tahu gadis itu masih ingin melanjutkan bicaranya.
“Abang bukan orang pertama yang beri surat macam tu pada saya semenjak saya mula bersekolah di sini. Tapi inilah kali pertama saya mahu bertemu secara bersemuka dengan orang yang beri saya surat macam tu. Selama ni saya biarkan aja semua surat-surat cinta yang pernah saya terima sebab saya langsung tak tertarik dengan isi kandungan surat-surat tu apatah lagi si pemberinya. Tapi apa yang abang tulis ni betul-betul buat perasaan saya berubah semenjak kebelakangan ni,” luah Qay tenang.
Hadi masih lagi berdiam. Setiap bicara gadis itu diamatinya seolah-olah sedang mendengar amanat daripada gurunya.
“Err.. saya..” kali ini Qay mula sedikit teragak-agak. Dia pula yang malu mahu meluahkan isi hatinya walaupun dia tahu lelaki ini menyukainya. Mungkin inilah yang dikatakan resam seorang wanita melayu. Sifat malu masih tebal walaupun zaman sudah berubah ke arah kebaratan. Walaupun dia berdarah kacukan tetapi dia dibesarkan sebagai gadis Melayu.
“Sebenarnya saya pun dah lama sukakan abang..” Ayat itu meluncur laju dari bibirnya. Namun selepas itu dia melarikan pandangannya dari lelaki itu. Malunya.. Apa aku dah buat ni! jerit hatinya sendiri.
Hadi tersentak seketika. Makna kata-kata Qay itu cuba difahami sebaik-baiknya. Dia yakin dia tidak tersalah dengar. Akhirnya Hadi meraup wajahnya perlahan penuh kelegaan. Alhamdulillah.. ucap hatinya syukur. “Terima kasih sebab tak mengecewakan abang, Qay. Abang hargai apa yang Qay katakan pada abang ni,” ucap Hadi lembut.
Spontan pandangan mereka bertaut lembut. Qay tersenyum malu dengan renungan lelaki itu. Lantas dia melarikan wajahnya yang sudah mula berubah warna. Kelu lidahnya mahu melakarkan bicara sedangkan banyak yang sudah dilatihnya sebelum ini. Entah kenapa semua skrip sudah hilang dari benaknya. Namun dia akui inilah saat yang paling indah dalam hidupnya sepanjang dia berdekatan dengan makhluk bernama lelaki.
“Abang tak bermaksud nak menganggu Qay dengan semua ni tapi abang betul-betul sukakan Qay semenjak dulu. Maafkan abang kalau Qay rasa abang ni keterlaluan. Abang tak mampu tipu diri sendiri dan abang tak mampu memendam rasa sendiri lagi. Abang memang berharap sangat hubungan yang lebih bermakna antara kita.” Hadi segera melanjutkan bicaranya.
“Maksud abang?”
“Abang.. abang harap abang mampu memiliki tempat yang istimewa di hati Qay.” Hadi melahirkan hasratnya payah. Gadis itu dipandang lama. Dia mahu Qay mengerti ini bukan sekadar impian anak remaja yang mahu merasa manisnya cinta monyet. Kerana mereka bukanlah sepasang monyet jantan dan monyet betina! Dan perasaan ini tidak pernah menyapanya saat dia memandang gadis lain. Terutama sekali cikgu Suhana!
Qay terdiam memandang lelaki itu. Bicara itu amat difahami maksudnya. Tetapi apakah jawapan yang layak diberikan kepada lelaki ini? Relakah dia menolak dalam keadaan hatinya yang hebat digoncang oleh kehadiran lelaki ini dekat dengannya? Auranya terlalu kuat.
“Abang tahu Qay mesti terkejut dengan semua ni tapi abang sungguh-sungguh dengan apa yang cakapkan tadi. Perasaan ni hanya ada pada Qay seorang dan inilah kali pertama abang merasai perasaan seperti ini kepada seorang perempuan. Kalau Qay perlukan masa, abang sedia menunggu. Bagi abang cukuplah buat masa ini Qay tahu apa yang ada di hati abang selama ini untuk Qay.” Hadi menambah lagi apabila dia melihat ada sedikit keraguan tertera di wajah yang sedang dipandangnya itu. Dia tidak berniat mahu memaksa dalam soal seperti ini.
“Abang dah lama ada tempat yang istimewa di hati Qay selama ni. Abang aja yang tak sedar,” ujar Qay perlahan. Sebuah keluhan dilepaskan. Hatinya mula merasa aman. Rasa derita dan beban yang pernah ditanggungnya lenyap sama sekali dengan pertemuan ini.
“Qay terima abang?”
Perlahan Qay mengangguk rela. Ya! Jika inilah yang diharapkan semenjak dulu, mengapa mesti apabila harapannya sudah direalisasikan dia mahu menolak pula. Dia sedia menanggung apa sahaja akibatnya asalkan cinta Hadi dapat diikat kukuh di hatinya. Inilah agaknya apa yang dimaksudkan cinta membuatkan seseorang menjadi gila!
“Alhamdulillah..” luah Hadi penuh kesyukuran. Perlahan rautnya diraup agar dirinya tenang semula. Tanpa sedar perbuatannya itu diperhatikan Qay dengan penuh rasa kasih.
“Jangan kecewakan Qay, abang. Sekali Qay sukakan seseorang hati Qay susah nak berubah. Selama ni Qay hanya pandang abang seorang. Walaupun abang macam tak pedulikan Qay tapi Qay tetap sukakan abang.” Qay meluahkan bicaranya perlahan.
Hadi segera mengangguk. “Abang takkan buat macam tu. Qay cukup istimewa pada abang. Abang hargai apa yang Qay berikan pada abang selama ini. Sayangnya abang tak cukup berani selama ni. Abang janji keadaan takkan sama macam sebelum ni lagi. Abang betul-betul sayangkan Qay,” balas Hadi lembut sambil tangannya bergerak mendekati jemari Qay di atas meja itu.
Qay terdiam memandang Hadi menyatukan jemarinya mereka. Perlahan dia membalas genggaman hangat jemari kasar itu. Simpulan itu simboliknya tautan hati mereka yang sudah rasmi tersimpul menjadi satu. Tidak akan mudah dibuka simpulannya biar apapun halangan yang melanda. Tetapi Qay sempat teringat kepada seseorang dalam pada kemesraan mereka kian bercambah. Dia harus mendapatkan kepastian dari tuan punya badan.
“Cikgu Suhana tu..”
“Alah! Janganlah Qay pun sama nak gosipkan abang dengan dia. Jenuh abang nak jawab pada orang sekeliling, Qay. Dia tu cikgu. Takkanlah abang nak buat macam tu,” pintas Hadi sebelum sempat Qay menghabiskan bicara. Dia sudah tahu apa yang mahu diucapkan Qay kerana gosip ini sudah lama bertiup dalam sekolah mereka.
Qay sempat ketawa mendengar ucapan buah hatinya itu. Buah hati? Alahai, manisnya bunyi.. Kalaulah Cikgu Suhana tahu yang dia sudah merampas jejaka pujaan gurunya itu makin bertambah bencilah cikgu itu kepadanya. Sehingga sekarang guru itu anti benar dengan dia. Sekiranya mereka bertembung guru itu sekadar buat bodoh sahaja kepada ucapan salamnya. Dia sendiri tidak tahu apa masalahnya cikgunya itu.
“Qay cuma tak suka dia selalu datang jumpa abang dalam bilik pengawas. Qay tak suka tengok dia belikan abang hadiah. Qay tak suka dengar orang ramai kaitkan abang dengan dia.” Qay berkata perlahan.
Hadi menghela nafas perlahan. Rupanya Qay tahu tentang semua itu. “Tentang hadiah tu, abang dah pulang balik semua yang dia beri. Tapi soal dia datang jumpa abang di bilik pengawas tu abang tak boleh nak elak. Dia tahu jadual tugas abang. Takkanlah abang nak halau dia, sayang.” Mendayu-dayu jawapan Hadi cuba meyakinkan kekasih hatinya akan kejujuran tingkah lakunya.
Sayang? Alahai.. macam nak rebah dah aku ni. Panggilan selembut itu membuatkan jantung Qay berdegup laju. Namun dia lekas tersenyum. “Okay, Qay percaya abang. Tapi kalau boleh jangan terlalu rapat dengan dia. Jangan pegang tangan dia. Jangan ambil hadiah yang dia bagi. Jangan sesekali keluar dengan dia. Jangan balas apa-apa pun nota romantik dari dia. Jangan hadiahkan apa-apa bila hari guru nanti.” Qay akur akhirnya dengan penjelasan lelaki itu. Tetapi cukup banyak ‘jangan’ yang sudah dibariskan untuk diikuti oleh Hadi.
“Amboi.. banyaknya pantang larang? Orang bersalin pun ada yang boleh ada yang jangan.” Hadi sempat tergelak melihat telatah Qay.
“Qay tak suka!” bentak gadis itu mula geram melihat lelaki itu tidak serius dengan bicaranya.
“Yalah.. yalah.. nanti senaraikan atas kertas apa lagi yang jangan tu ya? Senang sikit abang nak ingat,” perli Hadi sengaja mahu mengusik Qay.
“Qay buat macam ni sebab Qay sayang sangat-sangat kat abang. Qay tak suka bersaing dengan orang lain.”
“Abang tahu. Tapi Qay tak perlu senaraikan seribu ‘jangan’ untuk abang sebab abang memang takde hati pada dia. Hati abang selalu kata ‘ya’ pada Qay,” sambut Hadi lantas mencubit pipi yang sedang merona itu.
Tidak dapat tidak si gadis mula tersenyum malu dengan perbuatan si kekasih. Amna, aku dah ada pakwe.. jerit hati Qay gembira.

Yes!

Bab 10

Manis..
Hadi tidak mampu mengalihkan pandangan matanya dari seraut wajah yang sedang tunduk tersenyum di sisinya. Hatinya berbunga mekar setiap kali memandang senyuman yang menguntum seri milik buah hatinya yang bernama Qay itu. Gadis itu ditatap lama bagaikan tidak pernah puas menatap seraut wajah yang cukup manis itu. Rasa macam nak cuibit-cubit aja pipi yang sedang merona kemerahan itu. Geram!
“Abang tu saja je nak ejek Qay!” getus Qay malu apabila kisah lama itu diungkit semula oleh Hadi.
“Apa pulak ejek? Memang betul apa? Kita ni betul-betul terjatuh sebenarnya. Kita jatuh serentak. Qay jatuh dalam longkang, abang pulak jatuh hati pada Qay. Jatuhlah namanya tukan?” usik Hadi semakin seronok melihat gelagat buah hatinya itu.
“Mana sama! Abang jatuh hati mana ada sakit kat mana-mana. Qay jatuh longkang kaki Qay sakit! Malu pulak tu!” balas Qay sedikit meninggi. Malu betul dia apabila kisah itu diungkit semula oleh Hadi.
“Kenapa mesti setiap kali Qay jatuh, abang akan ada kat situ ya? Abang selalu tertanya pada diri abang ni. Dua kali Qay jatuh, abang mesti ada kat situ. Jodoh kita bermula di longkang kot! Tak pun kat tangga. Abang perasan hati abang ni berubah semenjak abang jumpa Qay kena tolak dengan Suria kat tangga dulu.”
“Hmm.. abang saja nak tunjuk macho bagi Qay lagi perasan kat abang yang konon-kononnya abang ni hero Qaylah tu. Padahal datang tu bukan sebab nak tolong sangat pun. Saja nak interframe depan kita bagi kita tengok muka perasan hensem dia tu. Macamlah orang tak tahu!” Qay menjawab selamba.
Hadi tergelak perlahan. “Abang memang hero Qay pun. Kalau tak takkan Qay selalu mengintai abang kat padangkan?” usik Hadi nakal. Hilang perangai kontrol machonya selama ini. Sifat nakal yang terpendam mula terserlah apabila berdua dengan Qay. Dia tahu semenjak kebelakangan ini Qay dan Amna sudah menjadi peminat setia pasukan bola sepak sekolah mereka yang disertainya. Dia yakin Qay sering berada di tepi padang bukan kerana minat benar dengan permainan bola sepak sebaliknya kerana dirinya. Walaupun mereka tidak pernah bertegur sapa tidak bermakna dia tidak perasan kehadiran Qay di situ. Mereka sering saling menghantar pandangan penuh makna tanda jalinan kasih antara mereka telah ada.
“Eee.. tolong sikit eh! Siapa ngintai dia? Perasannya! Bukan abang sorang aja ada atas pandang tu ya? Pandang abang selalu sangat pun, jemu biji mata Qay ni. Nasib baik Qay selalu bawak eyemore. Takdelah pedih sangat mata Qay ni bila pandang abang,” sanggah Qay pantas. Mana dia mahu mengaku. Padahal tak terhitung dosanya kepada padang sekolah mereka akibat dimaki setiap kali dia ternampak Hadi jatuh ketika bermain bola. Ini semua salah padang!
“Tak nak mengaku lagi? Habis tu takkanlah Qay datang semata-mata nak tengok rumput hijau ke tidak kat padang tu? Mestilah sebab nak tengok abang yang Qay sayang nikan.” Hadi sengaja mengembangkan lagi hatinya dengan pujian kepada dirinya sendiri. Angkat bakul naik lif pun dia tidak kisah kerana dia tahu Qay memang sayang habis kepadanya!
“Yalah.. abang memang hebat sampai cikgu Suhana tu pun boleh tergila-gilakan abang, ye tak? Sanggup dating kat dalam bilik pengawas tiap-tiap hari. Berbulu telinga Qay ni dengar cerita pasal abang dengan dia,” tekan Qay sambil menjeling lelaki di sisinya itu.
Perlian gadis itu melenyapkan kenakalan Hadi tiba-tiba. “Mana ada macam tu. Dia yang suka, abang tak pun. Kalau abang suka dia buat apa abang jadikan Qay buah hati abang?” ucap Hadi mula merendahkan nadanya.  Apabila nama itu disebut Qay entah kenapa dia terasa kalah pula. Dia tahu Qay memang cukup tidak senang dengan hal itu. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Memang guru itu sering datang menghimpitnya. Walaupun tidak secara jelas diucapkan namun Hadi tahu apa makna lirikan guru wanita yang masih membujang itu. Sengaja dia buat-buat tidak nampak. Tetapi nampaknya sehingga kini fiil guru itu masih tidak berubah. Sering datang kepadanya tanpa segan silu sehingga dia sendiri mula tidak senang dengan pandangan orang sekeliling kepada mereka.
Qay mencebik malas mahu melayan alasan Hadi. Dia sahaja yang selalu menahan hati melihat ramai peminat menghimpit lelaki itu. Namun dia saja membiarkan, malas mahu membesarkan hal yang remeh seperti itu. Walaupun sebenarnya dia sakit hati mendengar cerita kosong orang sekeliling mengenai Hadi dan Cikgu Suhana tetapi sebenarnya semua itu semakin mengukuhkan kasihnya kepada Hadi.
“Tapi kalau Qay nak tahu.. waktu tu walaupun cara Qay jatuh tu amat memalukan, tetapi bagi abang itulah saat-saat yang paling indah pada abang. Comel sangat Qay waktu tu. Yalah.. kata orang bila hati dah suka, walaupun orang yang kita suka tu jatuh terkangkang sampai kain penuh dengan air longkang pun, dia tetap nampak cun habis kat mata kita,” ucap Hadi selamba. Soal Cikgu Suhana tidak ingin ditimbulkan lagi.
Spontan lengan Hadi terus dipiat Qay. “Abang ni saja je nak sakitkan hati Qay! Geram betullah dengan dia ni. Suka betul ejek orang,” dengus gadis itu geram.
“Sakitlah..” desah Hadi sendiri sambil mengusap bekas cubitan buah hatinya itu. Qay sekadar menjeling. Bengang dia dimalukan Hadi seperti itu.
“Okaylah, abang tak mahu sebut pasal tu lagi. Nanti Qay merajuk abang jugak yang tak lalu nak makan nanti. Abang sebenarnya ada benda nak cerita pada Qay ni. Pasal family abang. Nak dengar?” pancing Hadi kepada suasana yang santai buat mereka berdua.
“Apa dia?”
Hadi membuka rahsia yang sudah diperamnya semenjak beberapa hari lalu. Penting baginya untuk berkongsi cerita itu dengan Qay kerana hal itu ada kena mengena dengan keluarga Qay. Sememangnya semenjak mula mengakui kasih yang ada di hati, mereka berdua sering meluangkan masa berbual berdua selepas pulang dari sekolah untuk melepaskan rindu di perhentian bas di hadapan sekolah mereka itu. Itu sahaja peluang yang mereka ada memandangkan Qay sememangnya tidak mudah untuk mendapat kebenaran keluar dari rumah apabila waktu cuti dari kedua ibu dan ayahnya dan mereka juga tidak mahu kisah mereka diketahui oleh sesiapa di dalam kawasan sekolah. Di dalam kawasan sekolah mereka berlagak seolah-olah tidak kenal satu sama lain. Itu lebih selamat!
“Siapa yang cerita dengan abang pasa semua ni?” soal Qay setelah Hadi habis bercerita.
“Ayah abang yang bagitahu pada abang. Itu pun bila abang ternampak ayah berbual dengan papa Qay di kedai kopi di kampung abang sebelum ni, barulah ayah bercerita hal yang sebenarnya. Selama ni ayah terlalu berahsia dengan abang dan adik beradik abang. Abang tak sangka keluarga kita ni sebenarnya dekat. Kita aja yang tak tahu.” Hadi berkata perlahan sambil memandang ke hadapan.
Qay mengangguk perlahan. Betul kata Hadi tadi. Tidak sangka ya! Qay terdiam seketika memikirkan semula apa yang baru didengarinya. Macam mimpi pula rasanya apabila mendapat tahu yang Hadi merupakan anak saudara kepada nenek tirinya itu. Kecil sungguh dunia ini rupanya.
Hadi menoleh lantas tersenyum kepada buah hatinya itu. Semenjak mereka mula berkawan rapat sedikit sebanyak mereka berkongsi cerita tentang keluarga masing-masing. Tetapi kali ini agak berlainan kisah yang dikongsi mereka.
“Abang tak kisah ke pasal tu? Keluarga abang mesti tak suka pada Qay.” Qay berkata perlahan. Bimbang juga dia sekiranya Hadi tidak senang tentang kisah itu. Jika benar, masih ada masa untuk mereka memikirkan semula hubungan ini.
“Kalau abang kisah, abang takkan jumpa Qay sekarang ni,” jawab Hadi lembut.
Qay tunduk memandang tanah di hujung kakinya itu. Banyak persoalan mengasak mindanya saat ini. Misteri-misteri yang ada masih tidak terungkai sepenuhnya. Paling dia hairan bagaimana Suria lebih mengetahui tentang itu berbanding Hadi yang sememangnya berstatus sebagai anak saudara kepada arwah nenek Mariamnya itu. Qay tidak ada jawapannya kerana Suria sudah tidak bersekolah di situ semenjak tamat SPM dahulu. Dia juga tidak pernah cuba bertanya kepada bekas rakan sekelasnya itu.
“Mak abang aja yang masih belum boleh lupakan kisah tu, Qay. Mungkin mak masih belum boleh lupakan sepenuhnya kesan-kesan dari peristiwa tu. Ayah abang dan abang sendiri.. kami rasa itu semua sekadar kisah lalu yang tak perlu nak diungkit lagi. Lagipun orang yang kita dok perkatakan ni dah takde. Untuk apa kita panjangkan sengketa? Tak mendatangkan kebaikan sikit pun. Lagipun hanya Allah yang tahu apa yang berlaku sebenarnya, Qay. Kita tak berhak membina cerita mengikut persepsi kita sendiri,” tambah Hadi sementelah Qay sekadar membisu.
Namun dalam diam sebuah keluhan dihela perlahan oleh Hadi. Hakikatnya dia sahaja yang tahu betapa kentalnya kebencian emaknya kepada keluarga Qay. Bohonglah jika di hatinya kecilnya ini tidak pernah terdetik rasa bimbang. Tidak mustahil emaknya menentang hubungannya dengan Qay.
“Kalau mak abang tahu yang abang berkawan dengan Qay, mesti dia tak sukakan? Papa kata pada Qay sebelum ni mak abang halau dia bila dia datang ke rumah abang. Mak abang memang tak boleh terima kehadiran kami di sini,” luah Qay perlahan sahaja.
Hadi menghela nafas perlahan sebelum meraih jemari gadis itu lembut. “Apa pun yang terjadi abang tetap sayangkan Qay. Pasal mak abang tu, kita biarkan dulu ya? Lama-lama bila hati dia dah sejuk, dia okaylah tu. Qay jangan risau, okay?” pujuk Hadi cuba mengusir gundah di hati gadis kesayangannya itu.
Qay tidak menjawab. Mengangguk juga tidak. Rasa hatinya masih tidak tenang dengan pujukan Hadi. Kalau dah emak yang tidak suka, masakan dia boleh bersenang hati. Nak berkahwin bukan ke perlu ada restu orang tua? Eh! Aku ni macam dah nak kahwin benar. Dah tahu memasak nasi ke Qay oi.. getus Qay dalam diam. Jauh pula melencong otaknya.
“Qay janganlah monyok macam ni. Abang tak suka tengok Qay macam ni. Soal tu kita ketepikan dulu ya? Kita buat macam biasa aja,” pujuk Hadi lagi apabila melihat Qay terus mendiamkan diri.
“Qay takut..” luah Qay resah. Pandangan diangkat memandang ke hadapan. Masa hadapan dilihatnya kelam. Sedangkan dia sudah berangan-angan mahu mengorak langkah seiring bersama Hadi. Dia tidak ingin ditinggalkan dan tidak mahu meninggalkan Hadi.
“Qay jangan takut. Abang faham perasaan Qay. Tapi semua ni perlukan masa.”
“Kalau kita takde masa tu?” soal Qay pantas.
“Maksud Qay apa?”
“Lepas ni abang akan keluar dari sinikan? Habis STPM nanti abang akan pergi jauh dari Qay. Qay sendiri dah ada perancangan yang Qay tak boleh nak elak. Papa nak Qay ke New York. Macamana dengan kita lepas tu?”
Kali ini Hadi pula yang terdiam. New York? Jauhnya? Kenapa mesti sejauh itu?
Hadi sedar anak orang berada seperti Qay pastilah memilih universiti terkemuka di dunia sebagai pilihan pertama untuk menyambung pengajian. Sementelah ayahnya pula memang banyak duit. Lainlah dengan dia. Nak sambung pengajian pun tunggu pinjaman atau tajaan. Setakat anak pekebun sepertinya jika hendak dibandingkan dengan anak tauke minyak dan emas seperti Qay, memang jauh bumi dengan bulanlah agaknya. Naik jet pun berjam-jam baru sampai ke bulan. Inikan pula dia yang sekadar mampu membeli tiket penerbangan Air Asia? Bila nak sampai? Ada ke penerbangan Air Asia ke bulan? Rasanya belum ada lagi.  
Susah-susah sangat aku bawak lari ajalah dia ni! getus hati Hadi tiba-tiba. Mulalah ada hasutan jahat agar dia menggunakan jalan pintas untuk mendapatkan idaman hatinya. Tapi apa lagi pilihan yang dia ada kalau bukan itu? Dia pun bukannya orang yang hebat dapat menahan langkah Qay untuk merealisasikan kemahuan orang tuanya. Tidak semena-mena ada keresahan bermukim di hati lelaki muda itu memikirkan masa hadapan yang sudah dibentangkan oleh Qay kepadanya sebentar tadi.
“Kenapa abang diam? Abang pun takut juga ya?” soal Qay lembut sambil merenung wajah Hadi. Kini apa yang terlakar di wajahnya turut ada di wajah Hadi.
“Ayah Qay tak kisah ke kalau dia tahu Qay dengan abang?” Hadi pantas menoleh ke sisinya. Setahu dia dari cerita Qay, orang tua Qay walaupun moden tetapi amat mengongkong perkembangan anaknya. Jika tidak masakan mereka harus berjumpa secara bersembunyi begini. Sama seperti dia, Qay juga tidak bersedia membiarkan orang tua mereka tahu tentang hubungan mereka. Mungkin alasan mereka sama aja tetapi apa yang Hadi tahu keadaan ini pastinya tidak mudah. Banyak halangan sedang merintang di hadapan mereka.
“Papa tak kisah Qay berkawan dengan siapa pun asalkan orang tu tak ajak Qay buat benda yang papa tak suka.” Qay menjawab jujur.
“Kalau papa Qay tahu yang abang sayangkan Qay lebih dari seorang kawan, papa Qay marah tak?” duga Hadi lembut.
Walaupun menurut apa yang diceritakan oleh ayahnya lelaki bernama Tuan Muhammed Farouqe itu baik orangnya. Namun mungkin dalam keadaan tertentu sikap lelaki itu boleh berubah. Siapa tahu? Nak-nak lagi kalau anak daranya sudah mula dintai orang seawal ini. Ayah mana yang mampu senang hati?
“Entahlah. Qay tak pernah ada sesiapa yang istimewa macam abang dalam hidup Qay. Jadi Qay tak tahu apa papa akan rasa kalau dia tahu pasal kita.” Sekali lagi Qay menjawab jujur sekadar yang diketahuinya. Memandai-mandai? Buatnya papanya itu mengamuk.. silap-silap hari ini juga dia terpaksa berhenti sekolah. Oh tidak! Dia masih mahu menatap wajah pujaan hatinya.
“Abang ni orang kampung aja, Qay. Keluarga abang tak kaya macam keluarga Qay. Abang tak pelik kalau mama dan papa Qay tak suka pada abang.” Merendah nada Hadi mula sedar kekurangan dirinya. Macam nada orang merajuk pun ada.
“Mama Qay pun bukan orang kaya tapi papa tetap suka pada mama. Samalah macam kita. Qay tak kisah pun abang orang kampung ke apa. Qay tak pandang semua tu, bang. Qay ikhlas sayangkan abang.”
Teringat Qay kepada Uwonya yang tinggal di Seremban itu. Uwonya tinggal seorang diri semenjak arwah datuknya itu meninggal dunia lebih 5 tahun lalu. Mereka kadang-kala pulang ke sana untuk menjenguk Uwo Zaharahnya itu. Walaupun sudah berpangkat nenek tetapi Uwonya itu masih muda dilihatnya. Masih mampu membuat kerja rumah dan melayan mereka sekeluarga apabila mereka pulang ke sana. Uwo sudah berusia 55 tahun sebenarnya kerana menurut mamanya neneknya itu berkahwin dengan datuknya ketika berusia 11 tahun dan dia adalah cucu sulung kepada nenek dan datuk di sebelah emaknya. Emaknya memang bukan berasal dari keluarga hartawan kerana arwah datuknya itu seorang pesara askar dan Uwonya seorang suri rumah semenjak dulu.
Hadi mengangguk perlahan mendengar bicara Qay. Lega sedikit perasaannya. Maknanya tidaklah semua ahli keluarga Qay kaya raya sampai pemandu pun kena ada degree segala.
“Abang nak Qay tahu, abang tetap akan tunggu Qay sampai bila-bila. Walau sejauh mana pun Qay pergi abang akan tetap tunggu Qay. Abang akan terus menunggu sehingga abang yakin bahawa Tuhan telah berikan jawapan ‘tidak’ pada hubungan kita ni. Waktu tu barulah abang akan mengalah, sayang. Abang nak kita bina impian dalam hidup ni bersama-sama. Kalau boleh, di mana abang berada di situ juga Qay ada. Dan ke mana pun Qay pergi, ke situ juga abang akan pergi mencari.” Hadi berkata perlahan seiring rasa kasih yang semakin menebal dalam hatinya. Jemari Qay yang sedari tadi berada dalam genggamannya semakin erat digenggam.
Terharu gadis muda itu mendengar sumpah setia si lelaki kepadanya. Tidak disangka sebegitu dalam rasa cinta lelaki itu sehingga sanggup menunggunya sebegitu lama. Mungkin dia juga begitu. Tidak mampu dibayangkan oleh Qay sekiranya dia terpaksa hidup tanpa memandang lelaki ini lagi. Tidak sanggup dia berdepan dengan perang rindunya sekiranya dia terpaksa berjauhan dari Hadi. Inilah agaknya dikatakan sebagai mabuk cinta. Indah tetapi adakalanya menyakitkan. Cintanya kepada lelaki sering membuatkan dia tidak tentu arah.
 “Abang janji takkan tinggalkan Qay?”
“Abang janji. Qay pun janganlah tinggalkan abang ya? Abang tak tahu apa akan jadi kalau Qay jauh dari abang,” ucap Iman tulus.
Tanpa berfikir banyak si gadis yang naif itu mengangguk tanda ikrar setianya kepada ikatan cinta itu. Hebatnya gelora asmara membuatkan dia merasakan dirinya sudah cukup kuat untuk menongkah segala pancaroba dunia.

“Abang, kita ni buat kerja gila. Kalau papa tahu, mati Qay!” degus Qay dalam pada dia menanti Hadi turun dari tembok tinggi itu.
“Aik? Dah menyesal ke? Qay yang paksa abang buat macam ni,” jawab Hadi dalam sedikit mengah. Sebaik sahaja kakinya sudah jejak ke tanah matanya segera meliar memandang ke kiri dan ke kanan bimbang ada kehadiran manusia lain di situ.
Fuh! Lega.. Hadi sempat menghela nafas. Tidak pernah seumur hidupnya melakukan perkara seperti ini. Kalau kedapatan bukan setakat Qay, dia dulu agaknya yang pertama berkecai ditembak oleh pengawal keselamatan rumah itu yang memiliki senjata api jenis pump gun.
Qay sempat ketawa perlahan. Memang salah dia sebenarnya. Dia sendiri yang memberitahu Hadi di mana ‘port’ selamat yang harus dimasuki memandangkan kawalan keselamatan persekitaran banglo itu amat ketat. Dia membaca semua pergerakan pengawal dan dia tahu di mana bahagian yang tidak dikunjungi pengawal dalam waktu-waktu seperti ini. Tetapi sebenarnya dia sudah ‘kawtim’ baik punya dengan Malik sebelum ini. Nasib baiklah lelaki itu mahu mendengar rayuannya.
“Untuk Qay, usahkan panjat pagar ni. Mati pun abang sanggup!”
“Sayang abang!” gadis itu tertawa senang dengan ucapan si kekasih.
“Dah! Mana kita nak pergi ni?”
“Jom ikut Qay..” tangan Hadi terus ditarik Qay ke satu arah.
Tidak sampai lima minit mereka berjalan Hadi sudah dihidangkan dengan satu permandangan yang cukup cantik terletak di belakang banglo itu. Kawasan itu nampaknya amat dijaga rapi. Rumput dan pokoknya semuanya dipotong berbentuk. Ada beberapa rumah rehat di bina agak jarak antara satu sama lain. Juga air pancuran yang berada di tengah-tengah kawasan itu dengan dikelilingi oleh kolam ikan kap merah. Siap dengan track joging lagi! Pokok bunga piring pecah dan bunga tahi ayam yang sedang lebat berbunga menambahkan lagi keindahan taman ini. Ada yang berwarna merah dan selebihnya berwarna kuning. Memang cantik!
“Wow..” Hadi sempat memuji. Tidak terluah kata-kata untuk menggambarkan rasa sukanya dengan apa yang dilihatnya di hadapan mata.
“Cantik tak?”
“Cantik, sayang. Siapa yang buat semua ni?”
“Papa upah orang. Tapi semua ni idea mama. Mama memang suka dengan aktiviti lanskaping macam ni. Inilah hasilnya dari minat mama tu.” Qay semakin teruja menceritakan tentang keluarganya.
“Hmm.. belakang rumah abang takde lanskap macam ni. Tapi lanskap pokok ubi dengan pokok serai adalah! Ayah abang tanam pokok yang boleh dimakan hasilnya aja. Pokok-pokok macam ni adalah sikit-sikit kat tepi dengan depan rumah.”
Hadi membandingkan pula keadaan ini dengan keluarganya. Ayahnya memang seorang pekebun dan berkebun bukan kerana hobi semata-mata tetapi kerana itulah punca pendapatan keluarga. Keluarga Qay pula berkebun tapi hanya untuk hobi dan kebanyakan pokok yang ditanam bukan untuk makanan manusia tetapi belalang daun. Kambing ayahnya kalau dilepaskan ke laman ini agaknya boleh kena histeria nanti. Sebab kehijauan pokok di sekelilingnya memang menyelerakan untuk mereka duduk bersantai di situ. Kalau kambing, bersantaplah jawabnya!
“Mama Qay takkan datang sini ke?” Risau juga Hadi. Mana tahu mereka tertangkap ketika sedang leka berborak di sini.
“Tak. Mama takde pun sekarang ni. Mama dengan papa baru aja keluar pergi dinner. Malam nanti baru balik. Lagipun mama cuma ke sini kalau ada pekerja datang bersihkan tempat ni.”
“Oh! Patutlah ajak abang panjat pagar ya? Luas betul kawasan rumah Qay ni. Kalau jalan kaki mahu melecet jugaklah tumit kaki..” ujar Hadi sambil memandang suasana persekitaran. Memang luas! “Ni kalau main nyorok-nyorok di tempat macam ni sampai malam ke-7 pun belum tentu jumpa.” Hadi sempat lagi berlawak.
Qay lantas ketawa perlahan. “Luas sangat tu taklah. Ada dalam 10 hektar aja. Tapi 10 hektar tu sebenarnya dah dibahagi dua. Sini papa bina rumah dan kawasan sebelah tu masih hutan. Papa tak mahu usik tanah sebelah tu sebab kawasan tu berbukit. Kalau pokok-pokok tu ditebang, takut nanti jadi tanah runtuh. Tanah ni atuk yang hadiahkan pada papa. Atuk sempat beli tanah ni sebelum atuk kena halau dulu. Ini aja yang masih tinggal. Tanah yang lain kat sini papa kata orang dah ambil.”
Penat berdiri terpacak di situ Qay mengajak Hadi duduk di salah satu rumah rehat yang paling hampir dengan mereka. Di dalam rumah itu ada buaian kayu dibina untuk mereka habiskan masa. Kadang-kala dia belajar bersama Amna di sini. Suasananya nyaman.
“Siapa yang ambil?” Hadi mula berminat untuk tahu kisah itu. Tanpa diajak dia ikut duduk di atas buaian itu bersebelahan dengan Qay.
“Papa tak mahu cakap siapa. Qay pun dapat tahu sebab Qay curi dengar perbualan papa dengan Uwo sebelum ni.”
Uwo tu siapa pulak?”
Uwo tu nenek Qaylah, bang. Mak kepada mama. Kami orang Minang bahasakan nenek sebagai Uwo.”
Uwo? Kenapa sampai jadi Uwo pulak?”
Uwo tu singkatan bagi Mak Tua. Orang Minangkabau kan bila bercakap suka ada pronounce ‘o’ kat hujung berkataan yang berakhir dengan huruf A. Mat Tua jadilah sebutannya Mak Tuo. Lepas tu singkatkan lagi, jadi Uwo jelah senang..”
“Ooo..” melopong Hadi mendengar penjelasan itu. Manalah dia tahu Uwo tu apa kebenda. Dia bukannya orang Minang. Meminang orang pun tak pernah! Namun apa yang menarik semenjak kenal dengan Qay banyak perkara baru yang diketahuinya. Contohnya gadis itu fasih berbahasa Turki kerana datuk dan bapanya sering mengajar dia menggunakan bahasa itu semenjak kecil. Kini dia dapat tahu Qay juga berketurunan Minang dan dia sempat belajar bahasa Minang pula. Uwo tu maksudnya nenek! Okay, dia akan selalu ingat itu untuk mengambil hati bakal Uwo mertuanya itu. Chewah! Awal-awal dah pasang strategi.
Tetapi selalu dia mendengar orang Minang amat kuat berpegang kepada adat. Salah satu adat yang masih diamalkan dan menjadi igauan ngeri kepada kaum Adam ialah harta pusaka akan dikuasai oleh kaum wanita. Alamak! Betul ke? Memang ngeri tu!
Ah! Lantaklah.. sayang punya pasal Minang pun Minanglah. Janji dapat masuk meminang nanti sudah!
“Qay pandai cakap Minang?”
Qay menggeleng perlahan sambil ketawa kecil. “Mama tak pernah praktikkan dalam rumah. So Qay tak berapa fasih sangat. Tapi kat kampung Uwo memang dia orang selalu gunakan bahasa Minang. Mana yang Qay faham, Qay fahamlah. Yang tak faham tu kenalah google translate dengan Uwo semula. Separuh dari ahli keluarga sebelah mama kahwin dengan etnik Minang jugak sebab tu dia orang pekat cakap Minang.”
“Oh! Uwo tu dah jadi google translate,” sambut Hadi lantas ketawa. Semakin seronok dia mendengar kisah tentang keluarga Qay.
Qay sempat tersenyum. “Sebenarnya Qay tak sangka langsung yang kita ni bersaudara, kan bang? Qay ingat lagi akhir surat yang abang tulis untuk Qay hari tu abang ada tulis ‘dekat tapi jauh’. Kita ni memang dekat tapi jauh. Maksudnya mak saudara abang dekat dengan kami tapi keluarga abang jauh dari keluarga Qay sampai kita bertemu muka setiap hari pun kita tak tahu yang kita ni ada bersangkutan hubungan kekeluargaan,” ujar Qay sambil memandang Hadi di sisinya. Bibirnya terus tersenyum menggambarkan isi hatinya yang damai.
“Manalah abang tahu anak tauke emas dengan minyak ni rupanya ada kena mengena dengan abang. Kalau abang tahu awal-awal lagi abang dah tulis surat cinta pada Qay. Tapi seumur hidup abang, abang tak pernah tengok gambar arwah Mak Long. Qay ada gambar dia? Abang teringin nak tengok.”
“Ada banyak, bang. Kalau abang nak nanti Qay bagi satu. Abang simpan aja terus.”
“Tapi kalau boleh biarlah ada Qay sekali dalam tu. Sambil menyelam bolehlah abang minum air. Sambil abang tengok rupa Mak Long bolehlah abang lepaskan rindu tengok muka  buah hati abang ni.” Hadi berkata miang sambil melagakan bahunya dengan gadis di sebelahnya. Sempat juga dia menyeringai menunjukkan sifat nakalnya.
“Abang ni kelakarlah! Qay tak sangka sebenarnya perangai abang ni macam ni.”
“Perangai abang macam ni macamana?” soal Hadi semula.
“Yalah.. selalu muka tu serius aja. Rupanya abang ni suka buat lawak. Gatal pulak tu!” jawab Qay selamba sambil merenung lelaki di tepinya itu. Dia terus ketawa apabila air muka Hadi berubah dengan bicaranya.
“Abang gatal? Sampai hati sayang cakap abang gatal. Abang ni romantik je.. mana ada gatal! Itu pakej lelaki idaman perempuan kalau Qay nak tahu. Bertuah Qay dapat abang ni,” ucap Hadi sambil tersengih bak kerang.
“Perasan! Qay cuma terharu je abang sanggup panjat tembok rumah Qay ni semata-mata untuk jumpa Qay. Kalau abang kena tembak dengan security.. alamat jadi jejaka idaman nurse kat hospitallah jawabnya. Itu pun dah berlubang sana sini macam span cuci kereta,” balas Qay selamba. Dia tahu senjata yang digunakan oleh pihak securiti rumahnya itu dipenuhi dengan peluru tabur. Kalau terkena tang punggung bersepailah kelopak punggung jawabnya!
“Sayang ni kejam betullah!” geram dengan loyar buruk buah hatinya akhirnya pipi mulus milik gadis itu dicubitnya.
Meledak suara gadis itu akibat perbuatan Hadi. Enggan berdiam, dia membalas sehingga suara Hadi pula yang kedengaran. Namun riuh rendah suasana petang dengan senda gurau mereka berdua langsung tidak menganggu tugas pekerja-pekerja yang masih ada di rumah itu. Masing-masing buat tidak tahu saja. Mungkin ada yang mengerti gadis itu memerlukan teman selain Amna. Mungkin juga ada yang memahami gejolak jiwa muda yang baru disapa asmara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.