Malam itu
Tuan Farouqe tiba di rumahnya setelah lebih sebulan berada di Tashkent.
Beberapa jam selepas itu dia dipanggil oleh Malik. Lelaki itu melaporkan
sesuatu kepadanya. Lama dia memandang raut orang kepercayaan itu untuk
memastikan apa yang didengarinya itu tidak salah. Rasanya telinganya ini tidak
salah dengar tentang apa yang diucapkan Malik sekejap tadi. Tetapi aneh benar
cerita yang dibawakan Malik kepadanya tentang peristiwa lebih seminggu yang
lalu itu.
“Kau pasti ke itu memang dia?” soal Tuan Farouqe sekali
lagi.
“Saya pasti sangat, tuan. Saya masih cam muka dia.
Perangai dia pun tak jauh beza. Susah saya nak tersalah pandang pada orang yang
jenis perangai macam tu.” Malik menjawab yakin.
Berkerut dahi Tuan Farouqe mendengar bicara lelaki itu.
“Apa maksud kau?”
“Dia datang marah-marah. Katanya nak jumpa tuan. Bila dia
tahu tuan takde dia mintak nak jumpa Puan Azreena. Tapi saya tak benarkan,”
jawab Malik serius.
Tuan Farouqe mendegus kasar. Semakin melampau nampaknya
wanita itu. “Berani dia buat kacau kat sini.” Lelaki itu berkata sendiri. “Ada
dia cakap apa halnya dia nak jumpa aku?” soal Tuan Farouqe lagi.
“Saya dah tanya tapi dia tak mahu bagitahu. Dia hanya nak
berurusan dengan Puan Azreena saja. Saya tengok perangai dia lain macam, jadi
saya tak benarkan dia masuk. Saya agak dia mahu datang menyerang Puan Azreena,”
ujar Malik.
Tuan Farouqe mengangguk perlahan sambil berseluk poket
memandang halaman rumahnya. “Dia ada datang lagi tak lepas tu?” tanya lelaki
itu lagi.
“Katanya nak datang tapi tak datang pun.”
“Kalau dia datang buat kecoh lagi waktu aku takde, jangan
sesekali kau benarkan dia masuk jumpa Azreena atau Qay. Biar aku yang berurusan
dengan dia. Kalau aku ada di rumah baru kau benarkan dia masuk, faham?” ucap
Tuan Farouqe serius kepada pekerjanya itu.
Malik sekadar mengangguk kepada arahan lelaki itu. Tanpa
kata lagi Tuan Farouqe melangkah masuk ke dalam rumahnya. Perihal wanita
bernama Saadiah itu terus berlegar di benaknya. Apa mahunya Saadiah datang ke
rumahnya dalam keadaan begitu? Rasanya dia sudah lama tidak berkunjung ke rumah
wanita itu. Hanya tinggal satu lagi andaian di benak lelaki itu. Ini sudah
tentu mengenai Qay dan Hadi!
Aku akan jumpa dia sendiri esok! putus Tuan Farouqe
enggan membiarkan dirinya semak dengan perbagai andaian.
Keesokan paginya selepas Qay ke sekolah barulah Tuan
Farouqe ke rumah Mak cik Saadiah. Dia hanya bersendirian tanpa isterinya.
Ketika dia tiba di hadapan rumah wanita itu Pak cik Hambali sedang bersiap
sedia mahu ke kebun. Ada seorang pemuda yang tidak dikenalinya berada di sisi
lelaki itu. Namun pemuda itu mungkin anak sulung Pak cik Hambali memandang
rupanya agak seiras dengan Hadi.
“Assalamualaikum..” sapa Tuan Farouqe mesra kepada dua
manusia itu.
“Waalaikumussalam.. lama tak jumpa, Tuan Farouqe. Apa
khabar? Anak bini semua sihat ke?”
“Sihat, bang. Alhamdulillah.. ini siapa ni?” sempat Tuan
Farouqe bertanya setelah anak muda itu menghulurkan tangan kepadanya.
“Ini Taufiq, anak saya yang sulung. Cuti belajar begini,
dia balik tolong saya di kebun. Ada apa ke mari ni? Nak jumpa Kak Diah ke?”
soal Pak cik Hambali dengan sedikit kerutan di kening. Rasanya lelaki ini sedar
isterinya itu masih berperangai sama.
“Saya ada dengar Kak Diah ada ke rumah saya lebih
seminggu yang lepas. Saya ke mari sebab saya nak tanya apa sebabnya Kak Diah ke
sana nak jumpa saya. Mana tahu ada yang penting.”
Pak cik Hambali sudah menukar riak wajahnya kepada Tuan
Farouqe. “Saya tak tahu menahu tentang itu, Tuan Farouqe. Betul ke Diah ada ke
sana?” Pak cik Hambali sudah dilanda hairan. Siapa pula yang membawa isterinya
ke rumah lelaki ini.
“Malik, ketua pengawal keselamatan saya yang cam Kak
Diah. Saya ada bawa Malik ke sini sebelum ni. Saya yakin Malik bercakap benar.”
Tuan Farouqe membalas penuh hemah.
Pakcik Hambali sudah berpandangan dengan Taufiq. Namun
anak muda itu yang langsung tidak tahu cerita sekadar memandang kosong wajah
ayahnya.
“Marilah naik ke atas. Kak Diah tadi sibuk di dapur.
Nanti saya panggilkan dia.”
“Takpelah, bang. Di sini aja saya tunggu. Saya pun tak
berhajat nak berlama-lama di sini. Saya nak ke pejabat lepas ni.” Cepat aja
Tuan Farouqe menolak. Dia tahu Saadiah tidak akan suka kedatangannya. Dia pun
bukannya datang untuk menyusahkan Hambali sekeluarga.
“Yalah.. tunggu sekejap ya.” Lelaki itu terus
meninggalkan Tuan Farouqe dengan anaknya.
“Taufiq belajar di mana?” soal Tuan Farouqe sekadar mahu
mengisi ruang dengan anak muda itu.
“Saya belajar di UM, tuan..”
“Panggil aja Uncle Farouqe. Tak perlu bertuan-tuan dengan
uncle,” sambut lelaki Uzbek itu mesra.
Taufiq mengangguk sambil tersenyum. Segan dia dengan
lelaki itu. Inilah kali pertama dia melihat lelaki ini.
“Tahun ke berapa? Jurusan apa?”
“Ni nak masuk tahun ke-3. Saya ambil jurusan Seni Bina.”
“Isteri uncle dulu pun belajar di UM juga.”
“Oh..” hanya itu sahaja yang sempat di jawab Taufiq
kerana selepas itu mereka dikejutkan dengan suara emaknya.
“Ha! Datang pun kau ya? Memang aku nak sangat jumpa kau
ni, Farouqe.” Mak cik Saadiah turun ke tanah lalu menyarung selipar untuk
mendekati Tuan Farouqe. Taufiq kehairanan melihat lagak emaknya yang lain macam
kepada tetamu mereka itu.
“Saya dengar akak ada ke rumah saya..” ucap Tuan Farouqe
mesra.
“Memang. Tapi pekerja kau layan aku ni macam anjing!”
“Maafkan dia. Masa akak ke sana saya di Tashkent. Azreena
cuma sendiri di rumah. Jadi dia tak benarkan orang luar masuk sebab bimbangkan
keselamatan Azreena,” jelas Tuan Farouqe. Selebihnya dia mahu Saadiah
faham-faham sendirilah. Lain kali datang rumah orang jangan terjerit-jerit
minta untuk masuk. Sesiapa pun takkan layan!
“Kenapa awak ke sana tak bagitahu saya? Awak pergi dengan
siapa?” Pak cik Hambali segera mencelah.
“Saya ke sana dengan Suria. Manalah sempat saya nak
bagitahu abang, waktu tu abang takde kat rumah!” jawab Mak cik Saadiah tetap dengan
nada tingginya.
“Kau dengar sini.. Aku nak bagi amaran pada kau, jauhkan
anak dara kau dari anak aku, Hadi! Aku tak suka anak aku berkawan dengan anak
kau. Kau dengar sini baik-baik, Farouqe. Kau orang tak payah nak mimpi nak
dekatkan dua keluarga ni semua guna anak kau. Aku tak suka! Hadi aku dah
pilihkan bakal isteri yang sesuai dengan dia. mana-mana anak lelaki aku pun,
aku takkan izinkan berkawan dengan anak dara kau!” jerkah Mak cik Saadiah
selamba di hadapan anak dan suaminya.
Tuan Farouqe sekadar memandang wanita itu. Namun ada
sedikit perubahan di wajahnya biarpun dia sudah cuba sedaya upaya untuk
bertenang. Agakannya semalam sudah mengena nampaknya.
“Diah, apa awak cakap ni?” soal Pak cik Hambali tidak
senang.
“Anak kita bercinta dengan anak dia ni! Saya tak suka..”
“Apa salahnya budak-budak tu berkawan? Dia orang tukan
masih sekolah? Cubalah awak gunakan akal yang waras, Diah. Hadi tu masih
sekolah awak nak jodohkan dia segala. Masuk akal ke?” Pak cik Hambali menegur
keras isterinya.
“Sekolah apa kebendanya, bang oi! Kat sekolah apa dia
buat dengan anak dara orang, ada awak ambil tahu? Saya tahu Hadi bercinta
dengan anak si bedebah ni. Saya ada bukti. Saya takkan izinkan. Langkah mayat
saya dulu!”
“Kalau dia orang bercinta sekali pun takde salahnya! Hadi
dan anak Tuan Farouqe ni tu halal bercinta, halal berkahwin. Apa salahnya kalau
anak-anak kita pengukuh silaturrahim?” bidas Pak cik Hambali dengan mata
mencerlang tajam.
“Saya yang tak mahu kukuhkan apa silaturrahim pun dengan
keluarga dia ni. Saya tak suka! Saya dah kata saya tak suka, makanya saya tak
suka!”
“Astaghafirullah.. cubalah awak bawak mengucap, Diah!”
“Kau!” Mak cik Saadiah langsung tidak mempedulikan
teguran suaminya. Jarinya terus ditundingkan kepada Tuan Farouqe yang sekadar
berdiam diri. “Anak orang kaya macam kau orang ni mana tahu apa? Anak kau tu
dah tahu masak nasi? Dah tahu kemas rumah? Dah tahu hidup cara orang kampung? Setahu
aku resam orang kaya macam kau orang ni, celik aja mata nasi dah ada depan
lutut. Celik aja mata rumah dah berkilat kemas dek orang gaji. Kat dalam rumah
ni, celik aja mata nasi kena tanak dulu baru boleh makan. Anak kau dah tahu
buat semua tu sebelum ada hati nak bercinta dengan anak aku? Jangan mimpilah!
Cantik sampai ke langit pun kalau nasi pun tak tahu masak.. tak tahu kemas
rumah, tak ingin aku nak buat menantu. Cakap dengan anak kau tu, jangan dekat
dengan anak aku lagi. Kau faham?”
“Tapi dia orang tu suka sama suka, kak. Saya tak sampai
hati nak sakitkan hati dia orang. Saya tak sanggup tengok anak saya bersedih
sebab saya tahu dia betul-betul sukakan Hadi,” jawab Tuan Faouqe separuh merayu.
“Itu kau punya pasal! Aku tak ingin nak masuk campur.
Kalau kau tak boleh nak ajar anak dara kau tu. Biar aku yang ajar dia supaya
dia tak menjalang dengan anak aku. Sekolah buat cara sekolah! Jangan nama aja
ke sekolah tapi belajar tak semana, menggatal dengan jantan aja yang pandai.
Kalau anak kau tu dah gatal sangat, cari aja jantan lain kahwinkan dia. Jangan
nak libatkan anak aku dengan penyakit miang dia tu,” jerkah Mak cik Saadiah
seolah-olah tidak pernah bertemu tanda berhenti. Kalau tengah memaki hamun,
tarik nafas pun rasanya boleh ditangguh kemudian nanti.
“Kak Diah, sekali ini saya minta akak ketepikan dulu rasa
benci akak pada kami disebabkan kisah lama tu. Anak-anak kita takde kena
mengena dengan semua tu. Mereka tak bersalah apa-apa pun pada kita.” Tuan
Farouqe memujuk lembut.
“Betul cakap Tuan Farouqe ni, Diah. Yang sudah tu
sudahlah! Awak bencikan dia orang ni sampai mati pun, sejarah tetap macam tu
juga. Orang lain boleh sedar apa sebenarnya yang berlaku, tapi awak ni masih
nak hidup dalam kepompong si Mahmud tu lagi ke?” tempelak Pak cik Hambali
kepada isterinya. Taufiq yang berada di kalangan 3 orang dewasa itu
terkebil-kebil tidak tahu hujung pangkal.
“Hadi tu anak saya, bang! Saya yang mengandungkan dia,
saya yang lahirkan dia! Apa yang saya tentukan untuk dia, dia kena ikut!
Sekarang ni abang nak cakap apa pun saya dah tak kisah. Yang penting saya tak
mahu anak saya dekat dengan anak musuh saya. Inikan pulak lagi nak bercinta.
Saya tak izinkan sampai mati!”
“Hadi tu anak saya jugak. Saya pun berhak tentukan masa
depan dia. Tapi saya takdelah nak heret dia sekali dalam masalah saya. Awak
bukan setakat nak bawak Hadi dalam kebencian awak pada keluarga Tuan Farouqe
ni, tapi awak heret dia sekali dalam ketaksuban awak pada keluarga Mahmud tu.
Awak tahukan, Hadi tu memang tak berkenan langsung dengan Suria tu.
Cukup-cukuplah tu, Diah! Anak-anak kita semuanya ada perasaan. Ada kemahuan
mereka sendiri. Kalau awak tak suka dia berkawan dengan anak Tuan Farouqe ni, saya
pula tak izinkan dia berkahwin dengan Suria, anak Mahmud penipu tu! Awak
faham?” jerkah Pak cik Hambali semula.
Terbeliak mata Mak cik Saadiah mendengar bicara suaminya
itu. “Kau nampak apa yang dah kau bawak untuk keluarga aku ni? Ini semua kau
punya pasal!”
“Kak Diah, saya tak bermaksud begitu. Akak cubalah
tenangkan hati dengar apa yang saya nak sampaikan. Saya masih tak berkesempatan
nak menyampaikan hajat arwah Mariam. Sampai bila kita nak berterusan bermusuh
begini?” Tuan Farouqe cuba berlembut lagi agar wanita yang sedang dirasuk
‘hantu’ itu bertenang.
“Kau jangan sebut nama Mariam lagi kat sini. Nama tu
memang bawak sial! Semenjak mula dia berkahwin dengan bapak kau, sampailah
sekarang segala sial dia terpalit pada aku. Aku masih nak ingatkan kau, jangan sesekali
kau biarkan anak kau dekat dengan anak aku. Kalau tak kau tengok nanti apa
akibatnya! Kau fahamkan?” ujar Mak cik Saadiah kesat.
“Faham, Kak Diah..” Tuan Farouqe menjawab perlahan sambil
menunduk seketika. Hatinya benar-benar sakit menerima penghinaan Saadiah. Saat
itu dia sudah terasa mahu mengalah sahaja. Kehendak Saadiah akan diikutkannya.
“Diah..”
“Dah! Saya dah malas nak dengar abang membela dia ni.”
Dengan kasar Mak cik Saadiah mencemuh suaminya pula.
Pak cik Hambali menghela nafas perlahan sambil memandang
isterinya itu. Kemudian dia mengalihkan perhatiannya kepada Tuan Farouqe pula.
“Tuan Farouqe janganlah ambil hati dengan kata-kata Kak Diah tu.”
Lelaki Uzbek itu sekadar tersenyum pahit. Hatinya sudah
tepu dengan penghinaan Saadiah. Sanggupkah Qay menentang semua ini kemudian
hari? Tidak! dia tidak akan membenarkan anak yang dilahirkan dalam dulang kasih
sayang itu menempuh kecelaan seperti ini. Hadi memang bukan dilahirkan untuk
anaknya, Qaira Syahreena.
“Saya akan hantar Qay ke US dalam masa terdekat ni. Abang
sekeluarga jangan bimbang. Kami takkan jejakkan kaki ke sini lagi,” ujar Tuan
Farouqe berbaur sedih.
“Astaghafirullah.. janganlah begitu, Tuan Farouqe. Kita
ni bersaudara. Jangan kerana hal kecil begini kita putus saudara. Saya tak
menghalang langsung budak-budak tu nak berkawan. Itu hak mereka. Saya tahu Hadi
memang sukakan anak Tuan Farouqe. Sebagai ayah, saya tak minta keadaan jadi
begini dan saya pun takde kuasa nak menghalang benda macam ni. Ini semua kerja
Allah. Kasihan budak-budak tu kalau kita pisahkan dengan cara paksa macam ni.”
“Saya dah takde pilihan lain lagi, bang. Saya pun tak
suka dengar anak saya dihina-hina. Mungkin ada baiknya Qay lupakan Hadi. Saya
tak mahu kerana kisah lama tu, dia dijadikan tempat untuk orang lain lepaskan
geram. Saya tahu, sampai bila-bila pun tempat untuk kami bertandang di rumah
ini memang takkan ada!” Tuan Farouqe menjawab pahit.
Pak cik Hambali sempat berpandangan dengan anaknya.
“Maafkan mak saya tadi, uncle Farouqe. Tak sepatutnya kami melayan tetamu
begini. Sedangkan kepada tawanan perang pun masih ada erti belas kasihan,
inikan pula pada tetamu.” Taufiq pula berkata. Dia juga sedih melihat lelaki
ini diperlakukan ibunya seperti itu.
Tuan Farouqe menghela keluhan perlahan. Kata-kata anak
muda itu ada benarnya. Tetapi itu semua hak individu. Dia juga sedar tanah yang
sedang dipijaknya ini milik orang. Dia tidak mampu mengacu hati orang agar sama
seperti hatinya.
“Saya balik dululah, bang. Maaflah kalau saya dah
menyusahkan abang selama ni,” ujar Tuan Farouqe lembut.
“Kami ni yang patut minta maaf. Kami ni memang dah tak
tahu adab dengan tetamu. Kesal betul saya dengan semua kejadian ni, Tuan
Farouqe. Minta maaflah banyak-banyak atas semua layanan buruk isteri saya tu,”
jawab Pak cik Hambali pula.
Tuan Farouqe membuang pandang seketika. Sedih hatinya
hanya Tuhan yang tahu. Tetapi apalah dayanya lagi? Keras hati Saadiah ibarat
batu kerikil yang susah dipecahkan dan jika dipijak memang menyakitkan. “Saya
maafkan dia.” Tuan Farouqe menjawab perlahan.
Setelah bersalaman dengan dua lelaki di hadapannya itu
dia terus berlalu. Di sini, air mukanya sudah acap kali jatuh menyembah bumi
demi memenangi hati Saadiah. Dia tahu ada masanya dia harus berundur!
Lelaki
itu menangis!
Puan Azreena hanya terdaya mengusap belakang suaminya
lembut. Dia mengerti kesedihan dan tekanan yang sedang ditanggung suaminya.
Tiada kata-kata lagi yang dapat dihulurkan untuk menentang kehendak lelaki itu.
Sebaliknya kali ini dia sedia menurut setiap keputusan suaminya. Ini adalah
untuk kebaikan anak mereka sendiri.
“Saya dah gagal tunaikan semuanya. Saya dah hancurkan apa
yang saya ada. Saya tak tahu apa lagi yang harus saya buat, Reen. Ikutkan hati
saya, saya nak bawa awak dan Qay pergi dari sini sekarang jugak!”
“Farouqe, jangan menangis. Kalau awak kalah hari ni,
macamana dengan kami berdua. Ini semua cubaan, Farouqe.”
“Saya tak sanggup membuat keputusan macam ni untuk dia.
Tapi saya terpaksa, Reen. Saya takut dia akan bencikan saya. Saya paling takut
dia akan salahkan saya untuk semua ni. Saya tak sekejam itu. Saya tak berniat
sikitpun untuk menyiksa perasaan anak saya sendiri. Tapi saya takde pilihan
lain!” Teresak-esak lelaki itu meluahkan kesedihan kepada Puan Azreena.
“Dia akan tahu juga ini semua untuk kebaikan dia suatu
hari nanti, Farouqe. Kita kena kuat untuk bantu dia. Bukan semua yang kita nak
kita akan dapat dengan mudah. Itu memang lumrah hidup,” ujar Puan Azreena pula.
Dia sebenarnya tidak sanggup berpisah dari anaknya itu. Tetapi keadaan sudah
tidak memungkinkan Qay untuk terus diam di sini. Anak itu mesti juga dipisahkan
daripada Hadi.
“Saya rasa sakit sangat bila memikirkan ini semua. Saya
masih dapat rasakan kesakitan tu bila ayah saya tak benarkan saya berkahwin
dengan awak dulu. Sekarang saya kena biarkan anak saya lalui kesakitan yang
sama. Saya tahu dia akan merana. Tapi hati saya ni lebih hancur bila mendengar
Saadiah menghina anak kita. Dia anak saya, Reen! Saya cuma nak tengok dia
bahagia bahagia, sama macam yang saya lalui dengan awak selama ini. Tapi saya
tak tahu adakah Hadi mampu jadi sekuat kita berdua suatu masa dulu. Saya takut
dia tak mampu melindungi anak kita,” luah Tuan Farouqe terus.
Puan Azreena menghela nafas perlahan. “Kita kena pujuk
dia dulu. Cakap dengan dia elok-elok. Apa-apa pun keputusan yang kita dah buat,
kekerasan hanya akan buat dia bertambah marah, Farouqe. Remaja macam dia paling
senang memberontak. Kita kena tahu beli jiwa dia, barulah kita boleh suruh dia
ikut cakap kita.”
Tuan Farouqe meraup wajahnya untuk menghilangkan kesan
air matanya. Berkali-kali dia menghela nafasnya agar dia tenang semula. “Biar
apa pun yang terjadi, saya takkan benarkan dia dekat dengan Hadi lagi. Kali ini
dia mesti ikut cakap saya. Biar dia menangis di tangan saya hari ini. Saya tak
mahu dia menangis di tangan orang lain. Waktu tu saya dah tak mampu nak
hulurkan tangan untuk mencapai dia semula,” ujar Tuan Farouqe.
Puan Azreena sekadar memandang suaminya. Perlahan dia
mengangguk akur dengan pendapat suaminya. Situasi Qay dan mereka berdua suatu
masa dulu langsung tidak sama. Dia juga mula bimbang dengan masa depan anaknya
jika diserahkan kepada keluarga Saadiah suatu hari nanti.
“Qay akan menduduki peperiksaan akhir tahun bulan depan.
Saya akan pindahkan dia selepas dia habis periksa itu nanti. Awak tolong
siapkan dia,” ujar Tuan Farouqe setelah dirinya tenang.
Puan Azreena mengangguk perlahan. Dalam ketenangan yang
ditunjukkan ada sejenis ketakutan yang melanda dirinya mengenang semua ini.
Dugaan apakah ini? kepulangan mereka ke sini nampaknya tidak memberi sebarang
kebaikan. Malahan keadaan sudah semakin meruncing!
Sedang mereka berdua saling meluahkan rasa di dalam kamar
itu, tiba-tiba pintu bilik itu ditolak seseorang. Puan Azreena menoleh. Qay yang
baru balik dari sekolah terus masuk ke bilik ibu dan ayahnya itu tanpa
dijemput. Niatnya sekadar mahu menjenguk ayahnya. Dia dapat tahu ayahnya tidak
berkerja lagi hari ini. Dia bimbang ayahnya sakit.
“Papa kenapa, ma?” soal Qay pantas apabila melihat
kelainan kepada ayahnya itu. pandangannya tidak mampu dialihkan pada mata
ayahnya yang kemerahan.
Puan Azreena tidak segera menjawab pertanyaan itu. Dia
memandang suaminya yang memandang ke hadapan. “Mama rasa papa ada sesuatu nak
cakap dengan Qay,” ujar wanita itu sambil memandang suaminya itu.
“Pasal apa?” tanya Qay agak gopoh. Dia benar-benar
tertanya-tanya melihat keadaan ayahnya yang sedikit kusut.
“Lepas Qay habis exam nanti papa nak Qay ke US. Qay akan
sambung buat A level kat sana,” ucap Tuan Farouqe tidak mahu bertangguh lagi.
Terlopong.. terbeliak mata anak gadis itu. “Tapi kenapa,
pa?” soalnya agak meninggi. Kenapa tiba-tiba dia mahu dihantar ke sana?
Bukankah mereka sudah setuju untuk menunggu dia habsis STPM nanti?
Tuan Farouqe menoleh kepada anaknya itu. “Papa tak suka
Qay berkawan dengan Hadi lagi. Papa nak Qay jauh dari dia. Papa dah call datuk
Qay di Manhattan. Dia dah setuju. Qay akan ke sana lepas bulan Oktober ni,”
ucap Tuan Farouqe serius. Dia bangun dari duduknya.
“Papa, jangan buat Qay macam ni. Qay tak mahu pergi sana.
Qay nak stay dekat sini dengan papa dan mama.” Hampir menangis anak gadis itu.
“Qay nak stay kat sini sebab papa dengan mama atau sebab
Hadi?” meledak suara lelaki berusia 45 tahun itu. Matanya mencerlang kepada
anaknya. Bukannya dia marah sebenarnya tetapi dia tidak sanggup mendengar
rayuan anak itu lagi.
“Kalau papa tak suka Qay kawan dengan dia, Qay sanggup
putuskan hubungan dengan dia,” sambut Qay pantas.
“Papa tak percaya!” jerkah Tuan Farouqe lantang.
“Farouqe..” tegur Puan Azreena kepada suaminya.
Lelaki itu memandang isterinya pula. “Bagitahu dia..
kalau dia masih perlukan saya sebagai ayah dia.. dia kena dengar cakap saya
hari ni. Saya tak mahu dengar apa-apa pertikaian lagi dan saya tak mahu nama
Hadi di sebut dalam rumah ni! Dan jangan sesekali jumpa Hadi lagi!” putus Tuan
Farouqe sebelum berlalu meninggalkan dua beranak itu.
Qay terpaku memandang ayahnya. Dadanya turun naik menahan
rasa. Dia benar-benar terasa mahu menangis saat ini. kemudian dia memandang
emaknya itu.
“Qay jangan marah papa. Papa tertekan sangat, sayang.”
“Kenapa semua ni tiba-tiba aja, ma? Apa salah Abang
Hadi?”
Puan Azreena menggeleng perlahan sambil menarik anaknya
itu duduk di sisinya. “Mak Hadi dah tahu pasal Qay dan Hadi. Semalam papa kena
marah dengan mak Hadi. Mak Hadi tak suka kita dekat dengan dia lagi, sayang.
Sebab tu papa buat macam ni. Papa bukannya bencikan Hadi tapi dia terpaksa ikut
kehendak mak Hadi,” jelas Puan Azreena lembut.
“Kalau macam tu Qay boleh putuskan hubungan dengan Abang
Hadi. Tolong jangan hantar Qay ke US, ma. Qay nak duduk sini dengan mama dan
papa.” Anak itu merayu lagi.
Puan Azreena mengeluh perlahan. “Mama nak Qay faham
keadaan sekarang ni. Hubungan keluarga kita dengan keluarga Hadi semakin
meruncing. Papa hantar Qay kepada datuk sebab nak keadaan di sini tenang dulu.
Qay dengar cakap kami ya? Kasihan papa, sayang. Dia yang selalu terkena tempias
perlakuan kita selama ni. Bukan senang dia nak buat keputusan ni untuk Qay.
Papa terlalu sayangkan Qay. Nanti bila keadaan dah reda, mak Hadi pun dah
okay.. Qay dan Hadi boleh kawan semula.”
Qay terdiam menelan pujukan emaknya itu. US dan Malaysia
bukannya dekat. Mampukah dia menahan rindu kepada buah hatinya itu? Mampukah
dia bersabar sehingga emak Hadi merestui hubungan mereka? Tidak!
“Qay sayang papakan? Qay pun tahu papa paling pantang
kalau ada orang buruk-burukkan anak dia. Mak Hadi tak boleh terima hubungan
Qay. Kita kena faham, sayang. Ini hak individu. Sekurang-kurangnya kita kena
bagi dia masa untuk bertenang barulah kita boleh buat dia terima hakikat ni,”
pujuk Puan Azreena lagi.
Berapa lama? Setahun? Dua tahun? Atau ini taktik orang
tua mereka untuk memisahkan mereka selama-lamanya? Qay terus berdiam tidak
memberikan jawapan. Namun hatinya terus berkata-kata sendiri. Mencari jalannya
sendiri!
Bab 18
Terkejar-kejar Hadi dibuat oleh Qay. Panggilannya langsung tidak dipedulikan. Namun Hadi
tidak mahu beralah lagi hari ini. Akhirnya apabila mereka berada di luar pagar
sekolah Hadi terus merenggut pergelangan tangan gadis itu. “Qay..” panggil Hadi
sedih. Di pipi gadis itu Hadi sudah melihat ada air mata yang berjuraian. Dia
tahu ada yang tidak kena dengan gadis itu.
Qay menangis teresak-esak tanpa kata. Dia kelu untuk berhadapan dengan
Hadi. Dia tidak sanggup lagi berhadapan dengan Hadi bersama rasa sayangnya.
Hakikatnya semua itu harus dilepaskan dalam sedikit masa lagi.
“Kenapa macam ni, sayang? Apa salah abang?” soal Hadi benar-benar sedih.
Sudah hampir seminggu Qay melarikan diri darinya. Selepas sekolah dia tidak
lagi dapat bertemu dengan Qay. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sengsaranya
dia menanggung rindu. Kini dari orang lain dia mendapat tahu Qay akan berhenti
sekolah pada akhir tahun ini. Remuk hatinya mengenang itu.
“Maafkan, Qay. Bukan salah abang tapi papa yang tak benarkan kita berkawan lagi,”
jelas Qay serba ringkas. Wajah Hadi tidak sanggup dipandangnya.
Terkejut Hadi mendengar bicara gadis itu. Dengan selamba dia menarik wajah
gadis itu agar memandangnya. “Tapi kenapa, Qay? Apa salah abang? Itu ke
sebabnya Qay nak berhenti sekolah?” bertalu-talu soalan Hadi. Dah macam machine
gun!
Qay segera mengalihkan tangan Hadi dari pipinya. Namun pandangannya terus
dipusatkan ke wajah buah hatinya itu. Basah mata dan pipinya. Dia juga sengsara
dibuat oleh keadaan ini. Tetapi dia tidak ada kekuatan untuk menghalangnya.
“Mak abang dah tahu pasal kitakan? Dia marah papa Qay baru-baru ni. Mak abang
yang mula-mula tak benarkan kita berkawan lagi. Takkan abang tak tahu pasal
ni?”
Kali ini kejutan yang diberikan Qay ternyata lebih besar untuk diterima
Hadi. Tiba-tiba dadanya sesak. Mulutnya terbuka mahu berkata sesuatu namun
suaranya tidak keluar. Apakah mimpi ngerinya sudah tiba? Mengapa begitu cepat?
“Sumpah, sayang! Abang tak tahu apa-apa. Mak abang tak cakap apa-apa pun
pada abang.” Terkial-kial Hadi menjawab.
“Huh! Baguslah..” ujar Qay lantas ketawa kecil. “So yang buruk sekarang ni
Qay dengan family Qaylah kan? Yang nampak macam tak boleh teruk sangat terima
keadaan ni family Qay. Yang nampak macam pilih darjat, of courselah orang tua
Qay! Mak abang tu okay je kononnya! Dia dah lempar batu lepas tu sembunyi
tangan pulak,” getus Qay geram.
Hadi menelan liur melihat reaksi Qay yang cukup sinis kepada ibunya. “Abang
akan cuba bercakap dengan mak abang, sayang. Abang janji keadaan ni takkan
lama. Qay janganlah jauhkan diri abang, please..” pinta Hadi cukup mendayu-dayu.
Itu sahaja yang tinggal untuk dia menyelamatkan hubungan cinta mereka.
“Dah terlambat!” bentak Qay dengan kesedihan yang tidak mampu ditahan. Merah
wajahnya menahan sebak. “Papa dah tak mahu kita jumpa lagi. Abang jangan dekati
Qay lagi. Kalau papa nampak, dia akan paksa Qay berhenti sekolah hari ni
jugak!”
“Sayang, biar abang pujuk papa Qay dulu. Jangan buat abang macam ni. Macamana
abang nak hidup kalau Qay dah takde dengan abang. Qay sayang abangkan?” Hadi
merayu sambil menarik semula jemari gadis itu.
Qay menggeleng perlahan. “Tak payahlah abang sibuk nak pujuk papa, kalau
mak abang sendiri tu pun tak terpujuk. Pujuk mak abang tu lagi baik! Mak abang
yang tak sukakan kami. Papa dah lama tahu pasal kita. Kalau dia tak suka, dah
lama dia jauhkan Qay dari abang. Tapi papa tak buat pun. Semua ni jadi lepas
mak abang maki hamun ayah Qay!” dengan nada meninggi Qay menempelak Hadi.
Hadi hanya terdaya memandang Qay. Kemudian dia memicit dahinya cuba mencari
idea lain. “Sayang, bagi abang sikit masa ya? Sikit aja lagi. Abang akan pujuk
mak abang. Sungguh!” pinta Hadi bersungguh.
“Abang hanya ada masa sampai bulan Oktober ni. Lepas tu, kita mungkin takkan
jumpa lagi.” Qay membalas perlahan. Dia tahu.. sebaik sahaja kakinya mencecah
ke bumi Uncle Sam itu, nama Hadi tidak akan wujud lagi dalam hidupnya. Bukannya
dia tidak tahu perangai datuknya. Sekali bila datuknya itu dah tak suka dengan
calon pilihannya, ada kemungkinan dia terpaksa berkahwin dengan pilihan
datuknya itu! Tidak mungkin datuknya itu akan membenarkan dia mendekati Hadi
lagi setelah apa yang berlaku.
“Tolong jangan jauhkan diri dari abang, sayang..”
“Qay tertekan sangat, bang. Qay sayangkan abang tapi orang tua Qay
macamana? Mak abang sampai sekarang tak mahu terima surat wasiat dari Nenek
Mariam. Sampai bila mak abang nak bermusuh dengan kami?”
“Abang pun tak tahu, sayang. Bagi abang sikit masa ya? Biar abang cuba
pujuk mak abang. Please, jangan tinggalkan abang kat sini. Qay tahukan, abang
betul-betul sayangkan Qay. Abang tak boleh berpisah jauh dari Qay. Kita dah
janji, nak masuk universiti sama-sama. Lepas tu kita kahwin. Jangan tinggalkan
abang.” Tanpa segan silu Hadi merayu lagi. Kali ini suaranya mula bergetar
menahan rasa. Mengenangkan kekecewaan yang bakal menjadi makanan hatinya
sedikit masa lagi, dia seperti mahu meraung sahaja saat itu.
“Abang, Qay pun sayangkan abang sangat-sangat tapi papa takkan faham.”
Hadi meraup wajahnya yang kusut. Dia benar-benar sudah tidak mampu
meredakan tekannannya. “Biar abang pujuk mak abang ya? Abang takkan mengalah,
sayang. Abang akan buat apa saja asalkan Qay tetap dengan abang! Abang janji!”
ucap Hadi benar-benar bersungguh.
Qay hanya terdaya memandang lelaki itu. Janji itu tidak mampu digenggamnya
kerana baginya itu semua sudah tidak efektif lagi untuk menyelesaikan jalan
mereka.
“Qaira!”
Qay dan Hadi terkejut mendengar panggilan itu. Qay sudah pucat melihat
ayahnya keluar dari kereta. Panggilan ‘Qaira’ hanya akan kedengaran dari mulut
ayahnya apabila dia sedang marah! Qay tahu dia sudah melawan arahan ayahnya.
Tuan Farouqe menerpa kepada anaknya dengan wajah menyinga. “Papa dah kata
lepas sekolah terus balik! Tak dengar ke?” herdik lelaki itu lantang.
“Uncle...” seru Hadi segera memberanikan diri. Gadis itu terus
disembunyikan di belakangnya. Nak mati benar agaknya si Hadi ni. Berani dia
buat macam tu..
“Uncle dah kata Qay tak boleh lagi jumpa kamu, kenapa kamu masih dekat
dengan dia? Kamu nak cari susah ya?” ucap Tuan Farouqe cukup tajam kepada Hadi.
“Tolong jangan jauhkan dia dari saya, uncle. Saya sayangkan Qay. Saya tak
boleh hidup tanpa dia. Tolonglah.. saya janji akan pujuk mak saya untuk terima
Qay,” ujar Hadi bersungguh.
Tuan Farouqe memandang anak muda itu lama.
“Saya tahu saya takde apa-apa untuk menjamin hidup Qay hari ni. Tapi saya
akan berusaha, uncle. Saya takkan sia-siakan peluang yang ada. Saya janji!
Tuan Farouqe menggeleng. Lengan anaknya terus direnggut lalu ditarik mendekatinya.
Kemudian jari terlunjuknya ditundingkan kepada Hadi. “Hidup Qay akan lebih baik
tanpa kamu dan mak kamu. Qay mungkin rela hidup dalam penghinaan mak kamu dan
kelemahan kamu. Kerana cinta dia boleh menyanggupi apa sahaja untuk puaskan
hati dia. Tapi uncle yang tak benarkan! Dia tak perlu hancurkan diri dia kerana
orang lain. Jauhkan diri kamu dari dia,” ucap Tuan Farouqe tidak mahu
berkompromi lagi. Anaknya itu ditarik meninggalkan Hadi segera.
Hadi hanya mampu memandang langkah paksa Qay berlalu darinya dengan sejuta
keretakan di hati. Dia terasa mahu menangis melihat tangisan Qay. dia sedar
kelemahannya ialah dia masih tidak mampu mengubah pendirian emaknya.
Maafkan abang, sayang..
Melihat gambar yang
dicari sudah hilang, Hadi pantas ke dapur mencari emaknya. Derap langkahnya di
atas lantai kayu itu cukup menggambarkan perasaannya yang sedang berombak liar.
Silap hemat lantai itu boleh tembus dibuatnya.
“Mana gambar tu, mak?” soal Hadi apabila ternampak emaknya di dapur.
“Mak dah buang!” ucap Mak cik Saadiah selamba tanpa memandang anaknya itu.
“Kenapa mak buang? Tulah satu-satunya gambar mak long yang Hadi ada!”
“Hadi!” tegur Salina dari atas rumah. Dia tidak gemar melihat adiknya
meninggikan suara kepada ibu mereka seperti itu.
“Mak buang gambar tu, gambar tu penting pada Hadi, mak. Sampai hati mak
buat Hadi macam ni. Apa salah gambar tu pada mak?” ujar anak muda itu dengan
dada turun naik menahan rasa kecewa. Satu demi satu kekecewaan dihadiahkan
kepada dalam masa sesingkat ini. Bagaimana dia mahu bersabar jika emaknya
sendiri yang meranapkan kebahagiannya?
“Buat apa kau nak simpan lagi gambar tu?” tempelak Mak cik Saadiah kepada
anaknya itu.
“Dalam gambar tu ada gambar Qay. Kenapa mak buang? Hadi tak suka orang lain
kacau barang-barang Hadi! Hadi tak suka orang lain masuk bilik Hadi. Hadi nak
gambar tu balik!” bentak Hadi semakin meninggi. Tekanan dari hati yang kecewa
membuatkan dia terasa seperti mahu gila pula.
“Takde faedahnya kau nak mengenang dia orang tu, Hadi. Buang masa kau aja.”
Mak cik Saadiah meluahkan bicaranya biasa.
Hadi sekadar mampu menggeleng melihat emaknya itu. Mahu dilawan, itu
emaknya. Tetapi menelan begitu sahaja, dia sakit jiwa dibuatnya. Tiba-tiba dia
merasa betapa susahnya dia untuk menjadi seorang anak yang mampu membahagiakan
ibu dan bapanya tanpa perlu mencalarkan perasaannya sendiri.
“Mak dah buat Qay tinggalkan Hadi, tak cukup ke lagi ke, mak?” luah Hadi
sayu. Melihat emaknya kini dia tahu sukar untuk dia mengubah pendirian emaknya
tentang keluarga Qay.
“Tak cukup! Mak nak kau dengar cakap, mak. Jangan ingat lagi perempuan tu!
mak nak kau terima Suria,” ujar Mak cik Saadiah keras dengan mata terbeliak
memandang anaknya itu.
“Mak, berapa kali Hadi cakap. Hadi tak boleh terima, Suria..”
“Kau belum cuba kawan dengan dia, macamana kau nak tahu dia tu sesuai
dengan jiwa kau ke tidak! Suria tu baik, Hadi. Dia memang ikhlas sukakan kau.
Pilihan mak adalah yang terbaik untuk kau. Kau kena dengar cakap mak!”
Semakin meluap-luap rasa marah anak muda itu kepada emaknya. Turun naik
dadanya menahan marah. “Dia ikhlas ke tidak, pergi mampus dengan dia! Hadi tak
nak betina tu masuk dalam hidup Hadi! Mak boleh paksa Qay tinggalkan Hadi. Tapi
mak jangan mimpi Hadi nak terima Suria. Kalau mak teruskan jugak, Hadi terjun
gaung nanti!” tiba-tiba meledak suara Hadi membelah suasana rumah papan itu.
“Hadi!” tegur Salina sudah tidak senang melihat adiknya itu. Teruk benar
dia melihat keadaan adiknya itu. Mak cik Saadiah pula terkejut mendengar ugutan
anaknya itu.
“Mengucap, dik. Cinta sesama manusia ni takkan kekal. Jangan ikutkan
hasutan iblis. Ingat Allah banyak-banyak, Hadi. Setiap kesusahan Allah beri
sebab Dia nak kita kembali rujuk pada Dia,” pujuk Salina simpati melihat Hadi.
Sebagai kakak dia tidak senang dengan apa yang berlaku kepada Hadi. Namun dia
juga seorang anak yang harus patuh kepada ibu.
Hadi meraup wajahnya kusut. “Apa salah Qay pada kita?” keluh Hadi lantas
terduduk di anak tangga dapur. “Dia terima Hadi seikhlas hati walaupun Hadi
bukan anak orang kaya. Dia tetap sayangkan Hadi. Tapi mak malukan Hadi depan
dia. Kenapa, mak?” luah Hadi sayu.
“Hadi!” tegur satu suara dari luar rumah pula. Salina tahu itu suara
ayahnya yang baru pulang dari surau. Mungkin ayahnya sudah menelinga pergaduhan
ini dari luar.
Hadi sekadar diam. Dia tunduk memegang kepala. Tiba-tiba sahaja pintu dapur
itu ditolak seseorang. Pak cik Hambali dan Taufiq masuk ke dalam ruangan itu.
Mata lelaki tua itu melekat kepada anaknya itu sambil dia membuka kopiahnya.
Taufiq pula terus naik ke atas untuk menukar baju melayunya. Salina bingkas
bangun naik ke atas. Biarlah ayahnya yang memujuk Hadi pula.
“Apa yang terpekik-pekik dalam rumah ni? Nak jadi neraka benar ke rumah
ni?” marah pak cik Hambali agak keras kepada dua manusia itu. “Astaghafirullah..
apalah nak jadi dengan keluarga ni?” keluh lelaki tua itu.
Mak cik Saadiah meneruskan kerjanya yang tergendala tadi. makan malam harus
disiapkan segera. “Sal, meh tolong mak ni,” ajak Mak cik Saadiah kepada anak
perempuan sulungnya itu.
“Ya, mak.” Salina akur meninggalkan timbunan kain baju yang sedang
dilipatnya untuk menghulurkan bantuan kepada si ibu.
Pak cik Hambali duduk di kerusi meja makan. Pandangannya terus terhala
kepada anak lelakinya itu. Semenjak siang tadi Hadi masih belum mandi. Masih
dengan seluar sekolahnya. Tanpa berbaju begitu. Dengan rambut kusut, misai dan
janggut sudah tidak bercukur.. Hadi dah macam orang hilang semangat untuk
hidup.
“Hadi, ayah nak kamu terima kenyataan ni. Ayah tahu kamu kecewa tapi inilah
ketentuan Allah,” ujar Pak cik Hambali lembut memujuk anaknya itu.
Hadi menggeleng berkali-kali. Keruh benar wajahnya dilihat oleh Pak cik
Hambali. “Sampai hati mak dengan ayah buat Hadi macam ni. Ayah, Hadi
betul-betul sayangkan Qay. Kenapa Hadi tak boleh kawan dengan dia ayah? Apa
salahnya Hadi bersama dengan Qay? Hadi akan terima kalau mak dengan ayah ada
sebab yang kukuh untuk pisahkan Hadi dari Qay. Tapi tolong jangan guna nama
arwah Mak long sebagai alasan lagi. Hadi tak boleh terima,” ujar Hadi sedih.
Pak cik Hambali menghela nafas perlahan. Perlahan dia bangkit mendekati
anaknya itu. Di anak tangga yang sama dia melabuhkan duduk bersebelahan dengan
Hadi. “Ayah faham, nak. Anggap ajalah ini ujian Allah, Hadi. Allah sekadar nak
tengok di mana tahap kesabaran kamu. Tak semua yang kita impikan akan jadi hak
kita, Hadi. Hidup ni ada macam-macam ragam. Ini salah satu bahagia kita. Apa
keputusan ayah Qay tentang hal Hadi dan Qay, ayah nak Hadi terima dengan hati
yang terbuka. Hadi, kadang-kadang sesetengah perkara terjadi, memang ada
alasannya. Tapi kita yang tak tahu. Allah ajar kita reda dengan setiap kehendak
Dia, Hadi. Bukannya mempertikaikan atau meminta alasan untuk kita terima semua
tu.”
Hadi terdiam mendengar nasihat ayahnya itu. biarpun nasihat itu kedengaran
amat lembut namun jiwa anak muda itu terus memberontak keras.
“Ayah tak suka Hadi meninggikan suara pada mak macam tadi tu. Ingatlah, mak
lebih berhak pada Hadi melebihi Qay. Hadi masih perlu taat pada mak walaupun
suatu hari nanti Hadi dah beristeri.”
“Hadi tahu tu, ayah. Tapi Hadi pun ada perasaan. Jangan paksa Hadi buat
sesuatu yang Hadi tak boleh. Hadi bukan patung, ayah!” balas Hadi sambil
memandang ayahnya.
“Ah! Kau belum cuba lupakan budak tu, mana kau nak tahu boleh ke tidak. Ini
kalau asyik nak tengok gambar dia mana nak lupanya. Mak nak kau terima Suria,
Hadi! Jangan kau nak melawan cakap mak! Mak buat ni untuk kebaikan kau.” Mak
cik Saadiah segera menyampuk dari sudut dapur.
“Diah..” tegur Pak cik Hambali. Dia tidak mahu nama Suria dibawa dalam
ketika ini. Ini hanya akan memburukkan keadaan.
“Suria tu boleh buat apa sahaja untuk Hadi. Kenapa Hadi tak mahu bagi
peluang pada dia?” balas Mak cik Saadiah tidak mempedulikan teguran suaminya.
“Masalahnya Hadi yang tak sanggup tengok muka plastik dia tu, mak! Mak
faham tak? Hadi tak boleh!” bentak Hadi keras. Jika pujukan ayahnya sebentar
tadi tidak jalan untuknya. Kata-kata emaknya itu pula sekadar satu barah yang
menambah sakit penyakit kroniknya!
“Awak diam, Diah! Jangan nak sebut-sebut pasal tu depan saya. Saya tak nak
dengar!” tegur Pak cik Hambali keras. Isterinya itu sekadar menambah kusut
keadaan dengan kehendaknya yang tidak masuk akal!
“Mak, pasal itu lupakanlah dulu. Takkan mak nak paksa Hadi terima Suria
dalam keadaan macam ni. Biarlah keadaan tenang dulu baru kita merancang tentang
itu. Lagipun Hadi baru nak exam. Banyak masa lagi, mak.” Tiba-tiba sahaja
Taufiq menyampuk dari lantai atas rumah. Dia yang menelinga sahaja dari tadi,
tidak setuju dengan cara emaknya itu. Siapa yang suka dipaksa? Kalau dia pun
dia boleh sakit jiwa.
Spontan Mak cik Saadiah mencebik. Peduli apa dia..
“Biarlah keadaan setenang manapun, bang. Hadi tak nak Suria!” tegas Hadi.
“Habis tu kau nak mengenang budak perempuan tu sampai mati? Macam tu?”
jerkah Mak cik Saadiah hilang sabar.
“Biarlah sampai mati! Hadi lebih rela membujang sampai mati daripada kahwin
dengan betina tak guna tu! Hadi benci perempuan tu, mak!” tentang Hadi semakin
tidak dapat mengawal kemarahannya. Semakin banyak pujian kepada Suria
disumbatkan ke lubang telinganya, dia semakin tidak mampu bertahan.
“Cubalah bawak bertenang masing-masing!” ucap Pak cik Hambali mula
meninggikan suaranya. “Ayah ni hidup lagi, kau orang dah buat ayah ni macam tak
wujud dalam rumah ni.”
Mak cik Saadiah terdiam. Hadi bingkas bangun dari duduknya. Dia berlari
memanjat tangga untuk ke atas. Panggilan ayahnya langsung tidak dipedulikan.
Sebaik sahaja berada di dalam bilik pintu itu terus dikuncinya. Tekanan yang
sudah ada cukup membuatkan dia separuh gila. Kini emaknya menyebut lagi tentang
Suria! Rasanya mahu diamuk sahaja seluruh dunia ini agar dia puas.
Salina menggeleng perlahan. Taufiq pula menghela keluhan sendiri. Adik-adik
mereka yang lain sekadar mampu mengintai dari dalam bilik. Takut mahu masuk
campur. Manakala Pak cik Hambali pula terus keluar dari rumah itu. Dia
benar-benar perlukan sedikit ketenangan kala itu.
Kusut masai rupa anak
muda itu. Dia termenung merenung ke hadapan. Sinar matanya teramat layu.
Janggut dan jambangnya sudah meliar diwajah. Hidupnya hanya bermaya apabila dia
mengenang gadis itu. Perlahan rokok di tangan disedut dalam oleh Hadi lalu
dihembus kasar. Kini sudah lebih sebulan buah hati pengarang jantungnya tidak
dapat didekati, sekadar memandang dari jauh. Dia sudah seperti orang gila
menahan rindu. Baru diuji begini dia sudah nanar separuh jiwa. Hanya termenung
sahaja kerjanya saban hari. Tinggal 2 minggu sahaja lagi Qay berada di
Malaysia. Selepas itu? Sendiri mahu ingatlah!
“Awak sukakan dia jadi macam tu? Inilah yang awak cari-cari dalam diri anak-anak.
Sekarang terimalah! Hari ni dia jadi perokok, esok dia jadi penagih dadah
pulak! Rupa penagih memang dah ada tu. Dengan kusut masai dah macam orang gila
saya tengok. Puaslah hati awak sekarang?” ejek Pak cik Hambali puas sambil
terus memandang Hadi yang termenung di pankin belakang rumahnya. Anak itu sudah
jauh benar berubah berbanding dulu. Sudah pandai merokok! Sudah tidak mahu
mendengar teguran orang tua. Dia benar-benar kesal melihatnya.
Mak cik Saadiah memandang anaknya itu seketika. “Tak lama lagi dia okaylah
tu!” ucapnya selamba. Perancangan sudah diaturnya. Suria akan segera mengambil
alih tempat Qay untuk merawat kesedihan Hadi. Kali ini rancangannya pasti
menjadi! Sementelah Hadi yang sedang menduduki peperiksaan itu lebih banyak
berada di rumah membantu dia dan suaminya.
“Senangkan awak bercakap. Buatnya sementara nak baik tu, dia pergi buat
benda yang bukan-bukan, siapa yang susah? Ini semuanya hanya tentang kepuasan
hati awak, Diah. Awak siksa perasaan dia, awak tak takut ke suatu hari nanti
Allah akan tanya apa yang awak dah beri pada anak-anak selama ini? Anak-anak
ada hak mereka sendiri. Biarlah dia buat keputusan untuk diri dia. Kita sebagai
orang tua hanya berikan panduan. Bukannya jadi penentu sampai dia langsung tak
boleh nak buat apa untuk diri dia.” Pak cik Hambali menggeleng lagi.
“Saya buat semua ni untuk kebaikan dia, bang!”
“Kebaikan apa?” meledak lagi suara Pak cik Hambali. “Awak jangan nak
persembahkan lagi pujian-pujian awak pada si Mahmud tu. Lubang telinga saya ni
dah tak larat nak telan semua tu. Otak saya ni pun dah tak boleh nak proses!
Jangan diada-adakan benda yang takde. Saya nak muntah dengar!” tekan Pak cik
Hambali agak keras.
“Apa yang abang benci sangat dengan arwah Mahmud tu? Abang jangan lupa,
waktu saya dapat malu dulu hanya dia seorang saja yang mahu dekat dengan saya,”
ujar Mak cik Saadiah juga lantang.
Pak cik Hambali tergelak entah kenapa. Bicara wanita itu kedengaran
amat-amat naif di telinga si suami itu. Dia tahu benar apa tujuannya Mahmud
mendekati Saadiah dahulu. “Awak ni memang jenis tak boleh terima kebenaran,
Diah. Awak agung-agungkan si Mahmud tu, demi satu dua kebaikan aja yang dia
buat pada kita.. awak rela hancurkan hati anak awak untuk melengkapkan lagi
ketaksuban awak pada Mahmud tu. Saya memang tak faham awak ni!” ulas Pak cik
Hambali agak keras.
“Huh! Abang tak rasa kepedihan yang saya rasa selama ni. Mak dah saya dah
takde untuk hina abang! Tapi mak abang ada untuk hina dan siksa jiwa saya. Saya
dipulaukan orang kampung. Saya dibenci atas kesalahan orang lain, abang tak
ingat ke semua tu? Waktu tu siapa yang datang menolong saya, bang? Ada penghulu
yang datang? Ada tok siak? Takde! Mahmud seorang aja yang selalu datang tolong
saya. Waktu saya tak boleh beli beras di kedai dulu, Mahmud tu yang tolong
belikan. Waktu saya takde berduit, takde siapa nak berikan saya kerja, Mahmud
tu yang bagi saya duit!”
“Saya ni suami awak, saya yang menanggung awak selama ini. Ada awak nak
agung-agungkan saya macam tu? Ada awak nak dengar cakap saya? Cakap si Mahmud
tu boleh pulak awak dengar! Dia kata jangan berbaik dengan keluarga Al Fateh,
awak ikut.” Pak cik Hambali terus mengenakan isterinya.
“Kebencian orang kampung ni pada keluarga kita ada pasang surutnya, Diah.
Tapi kebencian awak pada arwah Kak Yam tak pernah habis! Sampai dia dah
meninggal pun awak masih nak caci cerca dia. Siapa yang bermasalah sekarang ni?
Cuba awak nilai balik. Hati siapa yang tak bersih!” ujar Pak cik Hambali
semula.
“Abang cakaplah apa yang abang nak! Saya tetap dengan pendirian saya.”
“Saya akan terus bercakap selagi saya ni masih hidup, Diah. Ini
tanggungjawab yang Allah dah beratkan pada saya sebagai suami. Saya kena didik
isteri saya supaya ikut jalan yang benar dan bukannya memuja orang yang tak sepatutnya dipuja.
Allah beri kita macam-macam. Semakin ramai anak kita, semakin banyak rezeki
Allah bagi. Allah kurniakan kita anak-anak yang pandai, yang elok tingkah
lakunya. Tapi kita takde puji Allah melangit sangat pun! Kenapa dengan manusia
kita boleh buat macam tu? Berdosa ke kalau Hadi berkawan dengan si Qay tu?
Berdosa ke kalau kita tak paksa Hadi tu kahwin dengan Suria?”
Mak cik Saadiah terdiam mendengar tarbiah suaminya itu.
“Allah uji kita sepanjang hidup ni untuk apa? Untuk jadi macam ni? Orang
yang sabar itulah orang yang menang, Diah. Orang yang reda, itulah orang yang
Allah pandang. Allah tak turunkan bencana supaya kita boleh buat apa yang kita
suka ikut cara syaitan! Hidup manusia ni memang takkan adanya yang sempurna
semua bahagian. Ada waktu-waktunya kita dapat dugaan. Kenapa kita tak reda?”
Mak cik Saadiah terus berdiam dalam pada dia sibuk menyediakan sarapan
pagi. Sementara Pak cik Hambali terus memandang isterinya. “Sudah-sudahlah tu,
Diah! Kalau betul ada jasa arwah Mahmud tu pada kita biarlah Allah yang balas.
Kita janganlah buat sesuatu yang kita tak mampu. Kalau dia ikhlas, kita tak
perlu nak berkorban sampai macam ni sekali untuk bayar balik jasa dia tu. Awak
jangan lupa.. jasa dia tu pada awak, bukannya pada Hadi!”
“Kalau abang tak suka Hadi dengan Suria, saya boleh terima lagi. Tapi saya
tetap tak mahu Qay tu berkawan dengan Hadi! Saya tak rela budak tu jejak kaki
dalam rumah ni sebagai menantu saya,” putus wanita itu akhirnya.
“Apa masalahnya dengan Qay tu? Apa yang kurangnya budak tu? Dia tu anak
haram ke yang awak benci benar dengan budak tu? Budak tu ada sopak ke yang rasa
hina sangat bila dia jejak kaki dalam rumah ni sebagai menantu awak? Awak
berdendam dengan apa yang berlaku pada Kak Yam, tapi awak hukum orang lain. Diah,
dendam.. amarah ni semuanya kerja iblis. Awak nak pertahankan apa sebenarnya
ni? Apa salahnya keluarga Farouqe tu pada awak? Yang bencikan kita dulu, orang
kampung ni. Keluarga Al Fateh tu pun sama teraniaya macam kita, Diah. Macamana
Kak Yam dengan Al Fateh tu nak pertahankan diri dia? Macamana Kak Yam tu nak
pertahankan awak kalau awal-awal lagi dia orang semua tu pun kena halau dari
sini! Siapa punya kerja tu?” tekan Pak cik Hambali agak keras. Harap-harap kali
ini isterinya tidak tertipu lagi dengan kepalsuan yang ditunjukkan Mahmud.
“Dah tahu ini natijahnya kenapa dia buat? Waktu tengah sedap buat zina tak
fikir ke siapa yang menanggung malu?” desis Mak cik Saadiah enggan kalah kepada
leteran suaminya itu.
“Saya tak rela awak jatuhkan hukuman sebelum awak dengar penjelasan
kedua-dua belah pihak. Awak pasti sangat ke yang Kak Yam tu berzina dengan Al
Fateh? Awak nampak dengan mata kepala awak sendiri? Yang orang dok canang Kak
Yam tu ah mengandung, mana anak tu?”
“Eh! Abang ni.. kan Mahmud yang nampak? Abang ni pekak ke apa? Selama ni
orang dok marah sebab si Mahmud tu yang nampak! Nak saksi berapa banyak lagi?”
jerkah Mak cik Saadiah hampir hilang sabar dengan bantahan suaminya.
“Saya pun boleh jaja cerita yang saya nampak. Betul ke tidak itu
wallahualam. Tapi belakang hari apa yang saya jaja, nanti saya akan saksikan
semula depan Allah sekali dengan tuan punya badan yang saya dok jaja tu! Fitnah
ke tidak, itu kita tunggu ajalah!” sambut Pak cik Hambali selamba.
Terbeliak mata Mak cik Saadiah menentang suaminya itu. “Takkanlah si Mahmud
tu nak memfitnah, bang? Apa faedahnya dia memfitnah Kak Yam tu?” tempelak Mak
cik Saadiah semakin lantang.
Pak cik Hambali tergelak perlahan. “Saya tak kata pun Mahmud tu memfitnah.
Yang saya maksudkan di sini, awak jangan lekas percaya cerita orang! Itu dia!
nak menuduh orang lain berzina, sebelum jatuh hukum.. kena adakan 4 orang saksi
yang boleh dipercayai kewibawaannya. Bukan senang menuduh orang buat dosa besar
ni, Diah! Tak boleh cakap ikut sedapt mulut!”
Terdiam lagi Mak cik Saadiah ditentang suaminya. Banyak pula hujah orang
tua ni! getus hatinya semakin tidak berpuas hati.
“Kalau awak nak terus berdegil sekali pun, saya tak mahu Hadi dan Qay yang
menanggung kesan dari dendam awak. Budak-budak tu langsung tak tahu apa, Diah!
Ini masa dia orang nak bina hidup. Adil ke kalau kita patahkan hati dia orang?”
“Ah! Banyak lagi perempuan lain dalam dunia ni selain dari cucu si Al Fateh
tu! Lambat laun Hadi akan jumpa juga perempuan lain yang lebih cantik dari itu.
Apa nak kisah?”
Pak cik Hambali menggeleng perlahan. Degil benar isterinya ini. Entah apa
kenanya. “Kalau itulah keyakinan yang awak pegang, terpulanglah, Diah. Benda
macam ni sebenarnya kita sebagai orang tua, tak bolehlah terlalu angkuh sangat
macam dunia ni kita dah pernah pegang semuanya. Buruk akibatnya nanti. Tapi
kalau itu jugak yang awak nak, saya dah tak boleh nak cakap apalah! Saya nak
awak belajar dari pengalaman awak sendiri. Jangan waktu tu dah terhantuk teruk,
baru awak nak menyesal sudahlah! Kita nak ramal masa depan ni elok semata,
sedangkan jalan yang kita lalui hari ni salah. Itu sendiri kena ingatlah!” ujar
Pak cik Hambali selamba.
Mak cik Saadiah terdiam memandang suaminya. Lain macam pula kata-kata Pak
cik Hambali. Sebagai ibu dia berhak menentukan dengan siapa anaknya layak
dijodohkan. Salah ke pendirian dia ni?
Selesai menikmati sarapan pagi, Pak cik Hambali menjenguk anak lelakinya
itu.
“Hadi, mari ikut ayah pergi kebun,” ajak Pak cik Hambali lembut.
Hadi tidak menjawab. Dia terus bangun dari duduknya sambil membuntuti
ayahnya itu. Namun tiba di muka pintu dapur si emak menegurnya. “Hadi mari
sarapan dulu, nak.”
“Hadi dah kenyang, mak.” Hadi menjawab perlahan sambil dia terus naik ke
atas.
Mak cik Saadiah terus memandang anak itu. Risau juga dia jika anaknya itu
terus dingin dengannya. Tidak mahu makan masakannya. Bukannya dia tidak nampak
betapa susutnya tubuh itu. Dia paling bimbang Hadi tidak mampu menumpukan
perhatian kepada peperiksaan STPM yang sedang berlangsung. Sia-sialah dia
menyekolahkan anak itu jika hasilnya nanti gagal.
“Jangan risau. Awak kata apa tadi? Nanti dia okaykan? Ha! Telanlah
akibatnya..” perli Pak cik Hambali setelah terkesan perubahan di wajah
isterinya itu.
“Abang jangan nak sakitkan hati saya, boleh tak?” bentak wanita tua itu
geram.
Malas mahu melayan isterinya itu Pak cik Hambali terus naik ke atas. Lebih
baik dia pergi ke kebun daripada melayan isterinya itu bertekak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.