Khamis, 5 September 2013

BABA 15 & 16

Bab 15

Sepasang manusia itu tergelak berdua di tempat ‘biasa’ mereka. Ada-ada saja topik yaang dibawakan Hadi yang membuatkan Qay tergelak di situ. Namun topik yang satu ini memang membuatkan dia tidak kering gusi.
“Abang rasa macam nak pingsan bila dia cakap dia nak ajak abang pergi picnic kat  Sungai Congkak berdua je. Dia siap mention nak singgah kat kampung dia. Dia nak abang jumpa mak dengan ayah dia.”
“Berdua je? Kenapa tak pergi? Peluang tu, bang. Dapatlah berkenalan dengan bakal mertua.” Qay menyambut selamba seolah-olah tidak terasa apa-apa tentang itu. Malah dia masih boleh tergelak lagi.
“Hish! Tak naklah. Seram jumpa mama Qay ari tu tak abis lagi. Abang dah tak sanggup! Sakit perut hari tu pun tak hilang-hilang lagi, tau tak. Rasa macam nak demam pun ada depan mama Qay ari tu. He.. tak nak abang! Jumpa dia pun abang dah rasa sakit perut. Inikan pulak jumpa mak dengan ayah dia.”
Qay terus tergelak. Kali ini semakin lantang gelaknya. Gelihati benar dia mendengar cerita Hadi mengenai peminat setia buah hatinya itu. “Habis tu apa abang jawab pada pelawaan dia tu?”
“Abang cakap tak naklah. Apa lagi abang nak cakap? Takkan abang nak ikut dia pulak. Kalau dengan Qay, barulah abang nak. Picnik-picnic kat tepi pantai Bagan Lalang sambil makan ayam bakar. Ukir nama atas batu. Lepas tu lari-lari kat gigi air macam yang selalu tunjuk dalam tv tu.” Hadi menjawab sambil tersengih.
Qay mencebik seolah-olah tidak percaya kepada jawapan Hadi.
“Qay tak percaya? Betul, Qay..” ucap Hadi bersungguh.
“Qay tak sangka yang dia betul-betul serius nakkan abang. Seingat Qay bukan setahun dua dia dok pikat abang. Semenjak dari mula-mula Qay masuk sekolah ni dia dah syok kat abang,” ulas Qay sambil ketawa kecil.
“Entahlah. Apalah yang hebatnya abang ni sampai semua perempuan nakkan? Sampai cikgu pun boleh syok kat abang. Hadi.. Hadi.. Hensem sangat kau ni. Inilah yang susahnya jadi orang hensem ni! Abanglah tu..” Hadi berkata selamba sambil menggeleng sendiri.
“Tolonglah! Perasannya?” tempelak gadis di sebelah Hadi itu meluat.
“Eh! Tak betul ke apa abang cakap tadi?”
“Hensem sikit dari monyet makan kacang panjang je pun! Tak payahlah nak masuk bakul naik lif sangat!”
“Qay ni dah mulalah tu..” getus Hadi. Dia pula yang geram. Peristiwa disamakan seperti monyet oleh buah hatinya ketika di Bukit Malawati dahulu masih segar di fikirannya. Itulah sahaja modal Qay mahu mengenakannya.
“Abang ni saja je buat lawakkan? Kalau Cikgu Suhana dengar abang kutuk-kutuk dia, mesti dia naik angin sampai koma,” komen Qay segera mengubah topik. Namun dia sempat ketawa. Dia tahu Hadi memang sensitif kalau bab ‘monyet’ timbul di antara mereka.
“Biarlah dia nak naik angin sampai koma ke.. sampai tanda seru ke.. sampai tanda noktah itu lagi baik! Abang dah penat layan kerenah dia. Kadang-kadang rasa nak buat pembedahan plastik aja supaya dia tak kenal abang,” ujar Hadi selamba.
“Dia cinta habis dengan abang. Dengan Qay dia benci sangat-sangat. Kalau jumpa aja terus palingkan muka,” ucap Qay usai dia ketawa. Penat pipinya menahan gelak. Hadi memang teruk!
“Oh! Itu yang dulu tu Qay kena berdiri macam patung lilin kat luar makmal ya? Time tu Cikgu Suhana yang mengajarkan? Tak cukup kena berdiri luar kelas, jatuh pulak dalam longkang dikerjakan dek Suria. Abang memang tak boleh saat-saat tu, Qay. Memang saat-saat yang paling syok untuk jatuh cinta!” Kah! Kah! Kah! Hadi terus melambakkan tawanya. Gelihati benar dia.
Berubah wajah Qay apabila kisah itu diungkit semula oleh Hadi. “Mari biar Qay cubit abang, nak?” provok Qay mula bengang. Jarinya sudah mula diacukan untuk mencari sasaran yang tepat bagi melampias rasa bengangnya itu.
“Cubitlah..” balas Hadi langsung tidak gentar.
Sepantas kilat gadis itu menarik kulit di sebalik kemeja anak muda itu sekuat-kuat hatinya. Namun Hadi hanya selamba. Seolah-olah cubitan itu tidak pernah sampai ke kulitnya. Malahan dia boleh ketawa dengan seronoknya bagaikan tiada apa-apa yang Qay lakukan kepadanya. Seolah-olah dia bukannya sedang dicubit sebaliknya sedang digeletek.
“Tak rasa? Okay!” Enggan mengalah Qay mengubah kedudukan dua jarinya. Daripada lengan Hadi dia beralih ke pinggang pula. Namun usahanya tidak juga memberikan hasil seperti yang diharapkan. Hadi masih selamba. Sehingga jarinya mula keperitan kerana otot-otot Hadi yang keras menyukarkan dia untuk memulas daging si lelaki.
“Dah puas cubit abang?” tanya Hadi tanpa langsung menunjukkan reaksi yang dia sedang sengsara dicubit buah hatinya. Mahu tergelak lagi ada, apabila melihat rasa tidak puas hati terpapar di wajah Qay.
“Tak sakit jugak? Mana boleh jadi ni..” ucap Qay sendiri. Saat terpandangkan satu anggota milik Hadi terus Qay tersenyum. Dia tahu kali ini Hadi pasti akan tumpas di tangannya. Sepantas kilat dia memulas telinga Hadi saat lelaki itu sedang memandang ke arah lain.
Tersentak itu Hadi terus melolong sambil cuba melepaskan telinganya dari tangan Qay. Namun semakin dia cuba melepaskan semakin kuat pula telinganya dipulas. Sehingga matanya mula berair menahan sakit.
“Sakit! Sakit! Sayang, dahlah tu! Sakitlah!” Hadi akhirnya merintih tidak tertahan.
“Oo.. sakit ke? Akhirnya tahu jugak abang rasa sakit...” ucap Qay kepuasan. Jarinya terus melepaskan telinga Hadi. Hadi terus menggosok-gosok telinganya yang perit dipulas Qay. Wajah selamba Qay yang mula mempamirkan senyum kemenangan, dipandang tajam seolah mahu dicekiknya gadis itu. Mujurlah hanya mereka berdua sahaja yang ada di situ. Jika tidak mahu tebal mukanya menahan malu dengan perbuatan gadis itu.
“Nak lagi?” soal Qay dengan muka selamba.
“Tak nak! Tak nak! Putus telinga abang nanti, susah nak dengar Qay bercakap dengan abang,” sambut Hadi sudah serik. Tak sangka.. garang jugak makwe aku ni, getus hati Hadi sendiri dalam pada dia tersenyum memandang Qay.
Namun sedang mereka cukup seronok menjalin kemesraan berdua tiba-tiba sebuah BMW hitam berhenti di hadapan mereka. Qay terus mengambil begnya. “Bye, abang. Esok kita jumpa lagi ya?” ucap Qay sambil tersenyum manis kepada Hadi. Tangannya digoyangkan melambai Hadi.
“Bye, sayang. I love you..” ucap Hadi pula siap dengan flying kiss dibuatnya untuk Qay. Qay sekadar tersenyum sambil menyambut ciuman terbang itu.
Saat pintu kereta dibuka Qay tiba-tiba terasa dadanya senak. Nafasnya sesak. Alamak! Aku kena heart attack ke ni? soal hati Qay panik. Bukan serangan jantung sebenarnya.. Sebaliknya dia terkejut yang teramat sangat apabila ternampak ayahnya sedang elok bersandar di kerusi belakang itu. Pasti ayahnya melihat dia berflying kiss bagai dengan Hadi sebentar tadi. Jangan dia dikenakan flying kick oleh ayahnya di rumah nanti sudahlah.
Qay duduk di sebelah Tuan Faruoqe dengan muka pucat lesi. Kerusi empuk kereta mewah itu sudah dirasakan lebih keras berbanding kerusi di bilik darjahnya. Kematu punggung seolah-olah dia sudah duduk di kerusi itu semenjak dari Kelantan sampailah Kuala Lumpur. Ketegangan di raut si ayah juga dapat diduga apa sebabnya.
Itulah kau, Qay! Miang sangat! Cubalah kontrol sikit miang tu. Kut ya pun jakun sangat dah ada boyfreind, takkanlah dengan bus stop tu pun kau nak tunjuk? Kan dah kedapatan dengan bapak kau sendiri! Ini mesti bus stop tu yang report. Padan muka kau.. hatinya mula mengarut seorang diri. Takut punya pasal begitulah jadi anak dara seorang ini.
“Siapa budak lelaki tadi tu?” soal Tuan Farouqe amat mendatar.
“Abang Hadi, kawan sekolah Qay.” Qay menjawab dalam nada takut-takut. Tak tergamak pulak rasanya nak menjawab, ‘boyfreind Qay, papa’ kepada ayahnya itu. Takut ayahnya pula yang sakit jantung di hadapan matanya.
“Mesranya? Ada apa-apa ke?” soal Tuan Farouqe lagi. Nada sinisnya jelas disertakan.
Qay hanya terdaya menelan liurnya. Mahu menjawab apa dia sendiri tidak tahu. Itulah akibatnya kalau dah galak sangat!
Tuan Farouqe mengerling anaknya itu seketika. Kemudian dia diam sambil memandang ke luar tingkap dengan wajah terus menegang menahan sesuatu. Marahkan dia? Sudah tentu! Kalau anak daranya yang selama ini dikawal ketat mula berani duduk berdating di tempat awam seperti itu, adakah dia akan tersenyum suka?
Berkali-kali dia cuba memujuk hatinya. Namun dia masih tidak mampu menerima semua itu dengan fikiran terbuka. Dia masih tidak mampu untuk bertolak ansur dengan mudah. Dia anak aku! Aku akan didik dia dengan cara yang aku suka. Hanya kata-kata itu sahaja yang sering keras bergema memenangkan pendiriannya sebagai ayah.
Setiba di rumah mereka berdua disambut oleh Puan Azreena. Tuan Farouqe terus naik ke tingkat atas tanpa menegur dua wanita itu.
“Kenapa papa balik awal? Papa nak pergi oversea lagi ke, ma?” Qay bertanya agak perlahan. Rasa takut masih bersisa membuatkan dia tidak mampu menaikkan suara sehingga ayahnya terdengar suaranya.
“Papa ada kerja di Taskent. Papa nak ke airport sekejap lagi.” Puan Azreena menjawab lembut. Itu yang diberitahu kepadanya sebentar tadi oleh suaminya.
Qay melogo sendiri. Patutlah ayahnya ada waktu pemandu datang mengambilnya. Kalaulah dia tahu, sumpah dia tidak akan duduk bersenang lenang dengan Hadi di bus stop itu.
“Qay pergi makan sendiri ya? Nasi bibik dah hidangkan atas meja. Mama nak naik tengok papa di atas,” ucap Puan Azreena lembut.
Qay akur sahaja. Dia terus ke meja makan sendirian.

Puan Azreena tersenyum memandang suaminya yang sedang berdiri di hadapan cermin di dalam bilik air itu. Luahan lelaki itu tidaklah menggelikan hati sebenarnya. Cuma dia melihat kasih sayang Farouqe terlalu melimpah buat Qay sehingga lelaki itu mula merepek yang bukan-bukan. Ada unsur cemburu juga yang terselit sedikit dalam nada lelaki itu.
“Ikutkan hati saya ni, budak lelaki tu saya dah cekik tadi. Berani dia kacau anak saya!” getus Tuan Farouqe masih tidak puas.
Puan Azreena masuk ke dalam bilik air itu. Botol shaving foam di tangan suaminya itu diambil. Lalu dia menepekkan sedikit buih putih itu ditelapak tangannya sebelum disapukan ke jambang suaminya itu. Agaknya jika dia ditakdirkan memiliki anak lelaki, macam inilah rupanya bila dewasa nanti.
Tuan Farouqe sekadar berdiri tegak membiarkan perlakuan isterinya. Kepalanya didongakkan sediikit untuk memudahkan wanita itu melumurkan buih itu ke bawah dagunya.
“Dia ada perasaan sama macam kita, Farouqe. Soal jatuh cinta ni bukan kuasa kita nak menentukannya. Dia nak berkawan, biarlah. Asalkan dia tak buat perkara yang tak senonoh, sudahlah!” ucap Puan Azreena lembut. Dia mencapai pencukur. Dengan lembut bulu kasar milik lelaki itu dibuangnya.
Tuan Farouqe diam. Seronok pula dia apabila wajahnya dicukurkan oleh isterinya.
“Kita dulu pun macam tu jugakan, Farouqe?” sambung Puan Azreena lantas tersenyum sendiri. Tuan Farouqe mula memandang paras isterinya yang sedang membersihkan mata pisau cukur itu di pili.
“Sebab cinta kita tak pedulikan apa yang orang lain kata pada kita. Kita tetap dengan pendirian kita. Sebab semua ini Allah yang tentukan. Hasilnya? Sesuatu yang orang lain rasa mustahil bagi mereka tapi berjaya bagi kita. Kita tak boleh ramal apa yang berlaku pada masa depan. Itu semua hak Allah yang tentukan. Tapi kita boleh bermula dari hari ini. Untuk dapatkan hari depan sama seperti yang kita idamkan. Dalam soal Qay dan Hadi, kita sebagai orang tua tak boleh lagi membuat acuan supaya mereka tunduk kepada setiap kehendak kita. Sebaliknya kita boleh ajar mereka untuk jadi tabah macamana kita dulu,” ujar Puan Azreena tetap lembut menawan hati suaminya.
Dalam diam Tuan Farouqe mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Ya! Mereka dulu juga bermasalah. Dia jatuh hati kepada wanita ini saat kali pertama melihat wanita ini di sebuah kedai makan di Seremban. Ketika itu Azreena sedang menanti panggilan untuk meneruskan pengajian di universiti dan berkerja sekadar untuk menambah wang simpanan. Cinta membuatkan dia sanggup berulang alik dari KL ke Seremban semata-mata untuk bertemu buah hatinya. Sayangnya mak kepada isterinya itu pula tidak suka Azreena berkahwin dengan orang luar dan ayahnya pula tidak gemar kerana Azreena lebih muda darinya 8 tahun.
Tetapi kuasa cinta memenangi segala tentangan yang ada. Azreena memang seorang wanita yang penyabar dan lembut. Akhirnya perkahwinan ini terjadi juga. Mereka bahagia akhirnya dengan penerimaan baik kedua-dua belah keluarga dan mereka dikurniakan Qaira Syahreena tidak sampai setahun selepas mereka berkahwin. Isterinya ini mampu mengendalikan rumah tangga dan pengajian dalam satu masa. Itu yang hebatnya tentang wanita ini.
Mengenang kisah lalu tiba-tiba dia terasa rindu pula kepada keindahan musim cinta zaman muda mereka. Mungkin inilah yang sedang dirasai oleh Hadi dan anaknya. Seronoknya lain macam!
Puan Azreena memandang bola mata suaminya itu apabila terasa ada tangan sedang melingkar di pinggangnya. Dia tersenyum manis sebagai balasan kepada renungan sayang dari suaminya itu.
“Sedar tak sedar dah lebih 18 tahun kita berkahwinkan?” ucap lelaki itu lembut. Soal Qay sudah hilang dari fikirannya. Apa yang ada di fikirannya kejelitaan isterinya ini. Kecantikan yang tidak pernah berubah di matanya selama ini. kecantikan wanita inilah yang pernah membuatkan dia mabuk setengah mati ketika dia berusia 26 tahun dulu. Itulah kali pertama dia jatuh cinta.
“Saya sentiasa sedar. Tak pernah sesaat pun saya lupa tentang itu.”
Tuan Farouqe ketawa perlahan sambil dia mengeratkan lagi pelukannya. “Saya selalu rindukan saat kali pertama kita berjumpa dulu, Reen. Saya tak tahu kenapa, tapi setiap kali saya memandang anak kita saya akan teringat kisah itu.”
Berkerut dahi wanita itu memandang suaminya. Bicara lelaki itu cuba untuk dimengertikan. “Maksudnya?”
“Anak kita cantik, sama macam awak. Setiap kali dia tersenyum saya akan nampak senyuman awak dalam diri dia. Senyuman yang pernah menyambut kedatangan saya ke kedai tu dulu. Senyuman tu yang membuatkan saya hilang arah, sehingga saya rasa mahu gila bila saya tak nampak awak dalam sehari.”
“Sebab tu awak cemburu bila Qay dah ada lelaki yang dia sayang?” teka Puan Azreena masih tidak lekang dengan senyumannya.
“Mestilah saya tercabar bila anak perempuan saya lebih memerlukan orang lain berbanding saya. Selama ni dia hanya ada saya dalam hidup dia. Sekarang saya terpaksa bersaing dengan budak sementah Hadi,” ujar Tuan Farouqe lantas ketawa kecil. Dagunya diusap setelah selesai dibersihkan oleh Puan Azreena.
“Kalau awak tak ingat, biar saya ingatkan. Saya berkahwin dengan awak waktu saya diusia dia sekarang, Farouqe. Kata orang anak-anak selalunya akan menuruti jejak langkah ibu dan ayahnya,” ujar Puan Azreena selamba sambil mengerling suaminya itu.
Tersentak lelaki itu mendengar itu. Ngeri pula dia dengan gambaran yang dibuka oleh si isteri. “Harap-harap jangan begitu, Reen. Bukan saya tak suka Hadi kerana dia orang kampung. Tapi sebab Saadiah.” Tuan Farouqe menjawab perlahan.
“Saya faham. Dia takkan faham apa yang bermain dalam fikiran kita. Anak remaja macam dia takkan senang hati kalau cintanya ditentang. Saya tahu sebab saya juga begitu dulu. Mungkin Allah tentukan dia dan Hadi yang akan memperbetulkan hubungan dua keluarga ni. Siapa tahu tentang itu semua?”
Tuan Farouqe mengangguk perlahan. Ya, mungkin juga. Dengan ikatan yang lebih kukuh antara Hadi dan Qay, siapa tahu konflik itu dapat dileraikan? Tetapi itu kata mereka. Hakikatnya wanita bernama Saadiah itu terlalu kental dengan rasa bencinya.
“Farouqe, biarlah dia berkawan dengan Hadi. Kalau awak kenal budak lelaki tu, mesti awak pun suka dengan dia. Saya nampak dia ikhlas sayangkan anak kita. Kita kena bagi mereka berdua tu peluang,” ucap Puan Azreena lembut.
“Macamana kalau Saadiah terus menolak kita? Saya tak sanggup tengok anak saya menangis, Reen. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya saya untuk melalui keadaan tu,” luah Tuan Farouqe lemah.
“Qay akan faham sendiri, Farouqe. Dia akan belajar dari keadaan waktu tu. Kita cuma merancang, Allah lebih tahu. Sekurang-kurangnya kita tak menentang apa yang Allah dah tentukan. Takde kebahagiaan yang akan bergolek semudah bola yang bergolek di tengah padang. Semuanya kena diusahakan.”
Selesai mencukurkan suaminya, Puan Azreena sekadar bersandar kepada sinki itu sambil memandang suaminya. Lelaki itu tunduk merenung sinki di hadapannya. Puan Azreena tahu Tuan Farouqe masih cuba menimbangkan kebenaran bicaranya.
“Kerasnya hati Saadiah, sehingga sekarang ni saya dah tak sanggup ke sana lagi. Saya sakit hati dihalau, dicaci oleh dia. Macamana saya nak biarkan anak kesayangan saya lalui semua tu kalau saya sendiri pun tak mampu menahan rasanya, Reen? Alangkah baiknya kalau Hadi bukan anak Saadiah. Kenapa mesti anak Saadiah?” keluh Tuan Farouqe lantas menggeleng sendiri.
“Farouqe, inikan semua cabaran hidup. Takde apa yang Allah berikan kepada kita melebihi dari apa yang kita sanggup. Bersabarlah. Semua tu belum pun jadi pada Qay. Saya tak mahu kita dihantui oleh andaian yang tidak-tidak,” nasihat Puan Azreena lagi. Kali ini belakang suaminya diusap lembut untuk menenangkan perasaan lelaki itu.
Tuan Farouqe menghela keluhan perlahan. Dia benar-benar runsing memikirkan masalah itu. “Saya sedia mengalah tapi saya tak mahu Qay terlalu terbuka dengan Hadi. Awak kena selalu tengok perangai dia. Saya tak suka dia duduk rapat-rapat sambil berpegangan tangan di depan orang ramai. Saya tak pernah ajar anak saya buat begitu!” akur akhirnya lelaki itu.
Puan Azreena tersenyum kelegaan. Dia lantas mengangguk kepada kata-kata suaminya. Ya! Itu dia sendiri pun tidak suka. “Saya akan selalu perhatikan dia. awak jangan risau. Saya Cuma nak awak lekas selesaikan kerja di Tashkent dan balik ke sini,” jawab Puan Azreena.
“Insya-Allah, sayang. Kalau takde apa-apa yang penting saya akan balik cepat.” Janji lelaki itu lembut.
Puan Azreena terus keluar dari kamar mandi itu. Tuan Farouqe sekadar mengekori dari belakang. Namun langkah wanita itu terhenti di ambang pintu. “Awak nak apa lagi? Bukan ke awak nak mandi tadi?” soal Puan Azreena hairan melihat lelaki itu mengikutinya pula.
Tuan Farouqe ketawa kecil. “Saya nak awak dulu. Lepas tu baru saya mandi. Kan saya nak ke luar negara ni?” ucap lelaki itu dengan sengihannya. Cakap sangat pasal cinta. Dia pun dah terasa macam muda 10 tahun. Tiba-tiba api nafsunya bergelora pula kepada isterinya ini.
Wanita itu hanya mampu menggeleng sambil tersenyum melihat gelagat suaminya. Mahu bermanja pulak dah tua-tua begini! Tua? Takdelah tua mana. Suaminya itu baru 45 tahun dan dia belum pun mencecah 40 tahun.

Namun tuntutan lelaki bernama suami itu tidak ingin dihampakan. Syurga isterikan di bawah telapak kaki suami? Kalau menolak nanti takut dia terpaksa ‘syer’ syurga tu dengan perempuan lain..

Bab 16

Mak cik Saadiah menyinsing lengan dalam perjalanan pulang ke rumah. Mendidih darahnya, telinganya panas! Hati tak usah katalah. Mahu meletup rasanya! Cerita yang didendangkan Suria di lubang telinganya sebentar tadi benar-benar mencabar kesabarannya. Ini tidak boleh jadi!
“Hadi!” panggil wanita itu lantang setelah kakinya menjejak lantai ruang tamu rumahnya.
“Hadi!” nadanya dinaikkan lagi apabila panggilannya tidak bersambut. Kakinya dihalakan ke arah dapur rumah pula untuk mencari anaknya itu.
“Ya, mak..” jawab Hadi dari arah pintu dapur. Anak muda itu rupanya sedang membantu Pak cik Hambali mengorek ubi di belakang rumah mereka.
“Ha, ada pun kau, anak bertuah!” ucap wanita itu kasar.
“Memanglah Hadi ada. Hadi belum meninggal lagi, mak.” Hadi menjawab selamba.
“Kau main-mainkan mak ya! Mak tengah berangin ni,” ucap Mak cik Saadiah geram.
“Apa yang mak nak berangin tiba-tiba ni? Kalau banyak sangat angin dalam badan mak tu biar Hadi panggilkan Mak cik Senah, urutkan mak malam nanti.” Hadi berkata lagi dalam pada dia mengisi tongkol ubi yang sudah dikoreknya ke dalam sebuah besen besar di tepi pintu dapur itu.
“Kau jangan nak loyar buruk dengan mak, Hadi. Mak nak cakap dengan kau pasal Suria ni.” Wanita itu menaikkan lagi suaranya. Bimbang benar anak lelakinya itu tidak mampu mendengar amanat yang dirasakan amat penting itu.
“Kenapa pulak dengan si Suria?” soal Hadi lantas memandang kepada emaknya.
“Suria kata pada mak, dia minta tolong kau. Kenapa kau tak tolong dia?”
Hadi menghela nafas perlahan apabila soal itu meniti di bibir emaknya. Sudah diagaknya! Suria mesti akan mengadu kepada emaknya. “Hal kecik pun takkanlah nak besarkan,” jawab Hadi sambil kembali meneruskan kerjanya. Dia malas mahu melayan soal Suria. Setakat dia enggan menemankan Suria ke kedai pun boleh jadi hal sebesar ini. Bukannya jauh sampai ke Kelantan pun kedai tu. Selang tiba buah rumah aja dari rumah Suria.
“Hal kecik kau kata? Hei, Hadi!” jerkah Mak cik Saadiah lantas mendekati anak lelakinya itu. “Suria tu dahlah dah tak berbapak. Kau pulak buat dia macam tu. Apa punya hati perut kau ni?” marah wanita itu kepada anaknya.
“Mak, dia tu hidup lagikan? Apa nak kecohnya kalau hadi tak tolong dia. Meluatlah, mak!” balas Hadi agak rimas mahu bercakap tentang gadis itu. Dia segera berpaling untuk kembali ke belakang rumah. Kerjanya masih banyak yang menanti. Lebih berfaedah mencabut ubi berbanding bercakap soal Suria. Namun lengannya direnggut kasar oleh emaknya membuatkan langkahnya terbantut.
“Kau janganlah layan dia macam tu, Hadi. Kau tahukan mak memang dah lama berkenankan dia?” ucap Mak Cik Saadiah cuba berlembut dengan Hadi.
“Mak..” keluh Hadi sudah mula bosan. “Mak nak paksa Hadi dengan dia, buat apa? Hadi belum nak kahwin lagi,” keluh anak muda itu. Bosan betul!
“Yalah.. tapi kau mulalah kawan dengan dia. Mak tak mahu dia tu terabai, Hadi. Dia dah takde bapak. Pada kitalah dia nak menumpang kasih,” ucap Mak cik Saadiah bersungguh.
“Mak, dia nak menumpang tinggal kat rumah kita ni pun Hadi tak kisah. Tapi janganlah mak paksa Hadi terima dia lebih dari apa yang Hadi mampu. Soal ni tak boleh nak dipaksa-paksa, mak. Hadi tak sukakan Suria tu!” tegas Hadi mula serius.
“Kenapa pulak kau tak suka? Suria tu cukup segalanya! Muka lawa, perangai pun elok. Datang dari keluarga yang baik-baik. Takde kurangnya dia tu!”
Hadi menghela nafas perlahan memandang emaknya itu. “Hadi tak cakap pun yang dia tu tak elok. Memang dia ada semuanya, tapi Hadi ni yang tak mahukan dia. Janganlah paksa Hadi, mak. Kalau Hadi tak mampu bahagiakan dia, siapa yang malu? Mak juga!”
“Mula-mula memanglah kau tak berkenan. Nanti kalau kau dah rapat adalah perasaan sayang tu nanti,” bantah Mak cik Saadiah tetap dengan kemahuannya.
“Mak, Hadi ni masih sekolah. Nak cakap pasal kahwin ni semua.. jauh lagi tu, mak!” Hadi mula menggunakan alasan itu untuk mengelak. Dia berpaling semula untuk ke belakang rumah.
“Mak nak sebelum kau masuk universiti, kau bertunang dengan Suria tu,” ucap Mak cik Saadiah nekad. Dia tahu hanya dengan cara itu sahaja dia dapat merapatkan hubungan anak lelakinya ini dengan Suria.
Hadi tersentak! Langkahnya termati. Dia lantas memandang emaknya itu. “Apa yang terdesak sangat sampai mak nak Hadi bertunang dengan Suria ni? Hadi dah cakapkan tadi? Hadi tak nak, mak!” ujar Hadi sudah mula tertekan dengan olah emaknya itu.
“Kau anak mak. Kau kena dengar cakap mak. Mak memang dah lama nak berbesan dengan Mak cik Sarimah kau tu. Pakcik Mahmud tu orang disegani kat sini. Dia pun dah banyak tolong kita selama ini. Mak nak balas jasa arwah Pak cik Mahmud kau pada keluarga kita. Ini sahaja cara yang ada.”
“Apa besar sangat jasa orang tua tu pada kita?” tekan Hadi. Dadanya sudah mula terasa hangat. Kalau adalah si Suria itu di hadapan matanya, pasti gadis itu sudah dimakinya. Mulut yang suka menghasut dan mengadu domba seperti itu mesti diajar dengan makian sekali dua.
“Banyak, Hadi. Kalau mak nak cerita pun sampai subuh esok pun tak habis. Mak tak mahu kita ni jadi kacang lupakan kulit.”
“Fuh! Banyak betul jasa dia pada keluarga kita ya, mak? Kalau nak cerita sembahyang subuh pun boleh missed! Kalau betullah arwah tu disegani sangat macam yang mak cakap tu.. tiap-tiap hari ada orang ziarah kubur dia, mak. Takdelah kubur dia tu berlubang macam tu. Telinga Hadi ni dah naik pekak mendengar orang mengata dia. Hadi ingatlah.. yang masih segan dengan dia, cuma mak seorang aja,” perli Hadi selamba. Sakit hatinya mengenang semua itu. Bukannya dia tidak dengar apa cerita buruk orang sekeliling mereka tentang lelaki bernama Mahmud itu selepas kematian lelaki itu. Sedangkan dahulu tidak pula begitu. Tetapi semenjak arwah tiada, ramai pula yang tidak puas hati dengan dia. Pada mulanya dia mahu menganggap semua itu sekadar hasad dengki orang. Tetapi dia sendiri pun ada melihat pusara lelaki itu tidak dapat ditutup lubangnya biarpun sudah dikambus dengan tanah berkali-kali oleh AJK masjid. Dia tidak ingin mengolok perkara seumpama itu. Nauzubillah.. itu semua rahsia Allah. Tetapi dia juga tidak mahu mengagungkan sesama manusia sehingga begitu sekali.
“Hei.. kurang ajarnya mulut budak ni! Berani kau cakap macam tu, Hadi? Siapa yang ajar kau jadi macam ni?” jerkah Mak cik Saadiah keras. Terbeliak matanya memandang anaknya itu. Kenapa semua orang di dalam rumah ini tidak sukakan lelaki bernama Mahmud itu? Dia sendiri tidak faham!
“Hadi bukan nak biadap, mak. Hadi cuma nak mak pandang dia macamana orang lain pandang dia. Selagi mak tak buka mata luas-luas mak akan terus agungkan arwah. Hadi takde niat nak mengajar sebab Hadi tahu mak lebih lama hidup berbanding Hadi. Tapi Hadi tak suka mak libatkan Hadi dalam urusan mak dengan keluarga Suria. Itu semua bukan kehendak Hadi. Hadi tak sukakan Suria,” ujar Hadi serius.
“Oh.. jadi kau anggap urusan mak takde kena mengena dengan kaulah ya? Mak ni siapa? Bukan mak kau?”
“Hadi tak pernah kata pun yang mak ni bukan mak Hadi? Hadi cuma kata Hadi tak mahu masuk campur dengan urusan mak dengan keluarga Suria. Itu aja!”
“Mak tak kira, Hadi! Kau kena dengar cakap mak!” tegas wanita itu dengan mata membulat kepada Hadi. Kalau bukan Hadi siapa lagi? Suria memang sudah lama berkenankan Hadi.
Hadi menggeleng perlahan dengan wajah masam. “Hadi malas nak fikir semua tu, mak. Hadi nak exam hujung tahun ni. Hadi nak masuk universiti. Hadi nak kahwin dengan orang yang Hadi suka. Tapi bukan Suria!” putus Hadi tetap berdegil. Tanpa menunggu lagi dia terus berpaling menuju ke belakang rumahnya. Panggilan emaknya tidak dipedulikannya.
“Apa kenanya emak kamu tu, Hadi?” soal Pak cik Hambali hairan melihat isterinya bercekak pinggan memandang ke arah anak mereka.
“Mak nak bincang pasal perkahwinan Hadi..” ujar Hadi selamba.
“Ha? Semenjak bila pulak kamu ni nak kahwin?”
“Semenjak mak berkenan sangat dengan Suria. Semenjak arwah Pak cik Mahmud tu banyak jasa dengan kita sampai subuh tak habis cerita,” ujar Hadi agak dingin.
Pak cik Hambali menggeleng. “Kronik benar dah mak kamu ni, Hadi. Taksub benar dia dengan keluarga si Suria tu,” komen Pak cik Hambali perlahan sahaja.
“Lantaklah, ayah. Hadi malas nak fikir. Itu semua bukan rancangan Hadi,” balas Hadi nekad. Dia mula menarik batang ubi yang sudah dipotong bahagian pucuk oleh ayahnya. Dengan dibantu oleh si ayah, sejambak ubi berjaya dinaikkan mereka ke atas tanah. Banyak hasil yang mereka dapat hari itu.
Seusai dua beranak itu berkerja di belakang rumah itu, mereka berdua duduk berehat di sekitar kawasan itu. Wajah mendung bersampur keletihan milik Hadi dipandang lagi oleh lelaki tua itu.
“Apa yang mak cakap tadi tu, Hadi?”
“Mak nak Hadi bertunang dengan Suria sebelum Hadi masuk universiti nanti, ayah. Mak nak Hadi balas segala jasa arwah Pak cik Mahmud kepada kita selama ni. Mak nak Hadi jaga Suria.” Kelat nada anak muda itu menjawab soalan ayahnya.
Pak cik Hambali menggeleng perlahan. “Apa kenalah dengan mak kamu tu..” keluhnya kesal.
“Hadi tak mahu, ayah. Hadi tak sukakan Suria.” Hadi akhirnya meluahkan isi hatinya kepada ayahnya itu. Dia menoleh kepada ayahnya itu, mengharapkan bantuan ayahnya itu agar semua itu dapat dihentikan.
“Ayah tahu, Hadi. Ayah pun tak suka,” ucap Pak cik Hambali pula. Dia mengerti perasaan anaknya ini. Kini kerunsingan Hadi mula berpindah di atas kepalanya pula.
“Habis tu kenapa mesti Hadi terbabit sekali dalam semua rancangan mak ni? Apa yang hebat sangat arwah Pak cik Mahmud tu pada kita, ayah?” ucap Hadi mula tertekan. Kalaulah dia terpaksa memilih, dia lebih rela dijodohkan dengan gadis lain. Tetapi Suria? Tidak sama sekali!
“Nantilah ayah cuba berbincang dengan mak. Hadi belajar aja macam biasa. Ayah tak mahu Hadi fikir benda yang tak sepatutnya Hadi fikir.”
“Hadi tahu, ayah. Hadi rasa bersalah pada mak. Hadi bukannya nak biadap pada mak tadi. Tapi Hadi tak sanggup menuruti kehendak mak yang macam tu. Hadi dah kenal Suria dari kecik. Hadi tak boleh terima dia lebih dari kawan sekampung. Hadi cuma harap mak faham pendirian Hadi ni,” ujar Hadi lembut sambil menoleh kepada ayahnya itu. Hanya kepada ayahnya sahaja harapan yang dia ada agar semua itu dapat dihalang sebelum terlambat.
“Hadi faham-faham ajalah mak tu kalau dah melibatkan hal arwah Pak cik Mahmud ni. Mak tu memang dari dulu baik benar dengan dia. Semua yang arwah cakap dia percaya. Bagi dia arwah tu dah cukup baik.” Pak cik Hambali berkata lembut, meminta pengertian anak lelakinya itu.
“Baik pun takkanlah sampai nak jodohkan Hadi dengan anak dia? Kalau elok benar perangai Suria tu takpelah jugak! Ini perangai dah macam hantu, ayah! Tak nak Hadi! Nanti anak-anak Hadi pun semuanya baka hantu,” kutuk Hadi selamba.
Tergelak lelaki tua itu mendengar kata-kata Hadi. “Kamu ni, Hadi. Kalau bab mengutuk Suria tu, memang serahlah pada kamu.”
“Hadi cakap yang benar, ayah. Kat sekolah tu semua orang tak suka dia. Kecuali geng-geng seperangai dengan dia tulah! Tak nak, ayah.. mati hidup semula pun Hadi tak rela. Nanti anak-anak Hadi semuanya mix. Kalau mix melayu campur Uzbek, okaylah jugak. Ini mix manusia dengan hantu! Hish!”
Buah hati Hadi pun selalu kena buli dengan Suria, ayah. Memang makin kroniklah meluat anak ayah ni dengan si Suria tu.. kata-kata itu hanya bergema dalam hati anak muda itu.
“Amboi.. apa ayah dengar kamu kata tadi? Uzbek? Kamu ada hati dengan anak dara Tuan Farouqe tu ke, Hadi?” giat si ayah mula terkesan kelainan dalam bicara anak lelakinya itu. Kenapa ya.. dalam banyak-banyak bangsa, Uzbek pulak yang disebutnya. Mesti ada apa-apa ni!
Hadi tiba-tiba tersengih bagaikan kerang. “Anak dara Tuan Farouqe tu memang lawa, ayah. Macam nak suruh ayah pergi pinang je..” sambut Hadi mula malu-malu pula.
Pak cik Hambali ketawa sambil menggeleng melihat gelagat anaknya itu. “Kamu ni tak ukur baju ke badan sendiri ya? Kan keluarga Tuan Farouqe tu kaya. Kamu ni apa yang kamu ada untuk anak dara dia tu? Bantal busuk kamu dalam bilik tu?” Pak cik Hambali menggeleng lagi. Anaknya ini nampak sahaja sudah dewasa. Tapi masih ada tabiat pelik. Suka kepit bantal busuk!
“Bantal bukan sebarang bantal, ayah. Bantal tulah yang buat Hadi tidur lena, bangun awal selama ni! Hadi takkan berpaling tadah dari bantal busuk Hadi tu walaupun ditakdirkan Hadi dah kahwin suatu hari nantu,” balas Hadi tidak rela bantal kesayangannya dipersendakan oleh ayahnya.
“Yalah sangat kamu tu.. kalau lalu anak dara Tuan Farouqe tu tengok peta dunia kat bantal kamu tu, mahu jugak ayah pinangkan dia untuk kamu. Takut nanti lepas nampak aja bantal kamu tu terus dia lari balik rumah dia. Itu belum dia tengok gobok baju kamu lagi. Kamu peluk ajalah bantal kamu tu sambil gigit jari,” balas Pak cik Hambali sambil menggeleng melihat anak lelakinya itu.
“Ayah ni.. bagilah sokongan moral!” geram Hadi melihat ayahnya. Balik-balik bantal kesayangannya itu dikutuk.
“Takde mananya ayah nak bagi sokongan moral pada bantal busuk kamu tu. Bantal tu dah elok dibuang aja. Dari kamu kecik bantal tu dah ada dengan kamu. Hadi.. Hadi.. kamu ni besar. Dah boleh kahwin! Sampai bilalah kamu nak berkepit dengan bantal tu? Kamu ni kadang-kadang macam budak-budak ayah tengok. Macamana mak kamu tu boleh terfikir nak kahwinkan kamu ni?”
Hadi tersengih lagi. Kali ini bicara ayahnya tidak mampu dibidas kerana dia sendiri merasakan serupa. Tapi dengan Qay macamana dia boleh jadi matang ek? Hadi, siapa kata kau matang bila dengan Qay? Tiba-tiba dia diejek semula oleh dirinya sendiri.
Pak cik Hambali bangun dari duduknya. “Bawak semua ubi ni masuk dalam rumah. Esok ayah nak jual di kedai. Pasal apa yang mak cakap tadi tu, kamu biarkan aja dulu. Biar ayah yang bercakap dengan mak tu.”
Hadi sekadar mengangguk patuh kepada arahan ayahnya. Lega hatinya kerana ayahnya cukup memahami dirinya berbanding emaknya itu.

Pagi itu wanita tua itu sibuk mengemas rumah. Satu persatu bilik anak-anak dikemaskan. Namun ketika di bilik Hadi, Mak cik Saadiah terpaksa menghabiskan masa yang lama kerana bilik itu tidak ubah seperti baru dilanggar tsunami.
“Hadi.. Hadi.. kau ni kena ada bini yang rajin buat kerja rumah baru kena dengan pemalas kau ni! Kemas katil sendiri pun malas. Nak aku padokkan dengan si Suria tu, kau tak mahu,” bebel perempuan itu sambil menepuk-nepuk bantal anaknya itu. Habis berterbangan habuk dan segala organisma yang selalu ada pada bantal busuk manusia. Pada bayangan wanita itu Suria itu sememangnya anak yang rajin membantu ibunya mengemas rumah. Setelah kematian ayahnya, segala urusan perniagaan arwah Mahmud sudah diambil alih sepenuhnya oleh isterinya. Suria pula menguruskan rumah sendirian. Kagum wanita itu melihat ‘kecekalan’ anak gadis itu. Cekallah sangat!
 Namun ketika dia mencabut cadar dari tilam anak itu sekeping gambar tercampak dari atas cadar itu. Mak cik Saadiah lekas-lekas mengambil gambar itu. lama matanya tertancap kepada dua manusia yang tergambar di dalam photo itu. Berdetak hebat jantungnya melihat salah seorangnya yang amat dikenali. Itulah Mariam, kakak kandungnya. Gambar itu menunjukkan Mariam sedang duduk di atas kerusi roda bersama seorang gadis yang cukup manis di belakangnya.
“Siapa pulak budak perempuan ni?” Mak cik Saadiah mengomel sendiri. Terus dia membalikkan gambar itu.
Dalam kenangan,
‘Siti Mariam Binti Bakri’ dan ‘Qaira Syahreena Binti Muhammed Farouqe’
1998- Manhattan, NY City
Spontan Mak cik Saadiah membalikkan semula gambar itu. gadis remaja yang berdiri di belakang Siti Mariam itu ditatap lama. “Oh, inilah anak dara si Farouqe tu. Lawa pulak aku tengok budak ni. Dah macam pakistan rupanya,” ucap Mak cik Saadiah seorang. Kemudian dia membalikkan lagi gambar itu. Masih ada tulisan yang dia tidak baca. Pada bahagian bawah coretan itu tertera lagi satu coretan. Namun tulisan tangan itu macam dia kenal sahaja.
‘Cinta ku selamanya untuk mu, Qay’
“Ini macam tulisan anak aku ni..” omel Mak cik Saadiah dengan dada yang sudah turun naik menahan rasa. Berkali-kali dia membaca ayat jiwang karat tahap keracunan besi yang telah dinukil oleh anaknya itu. “Mana dia dapat gambar ni?” Mak cik Saadiah terus membebel seorang diri. Namun akalnya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memahami apa yang sedang berlaku di belakangnya.
“Tak ku sangka cempedak rupanya dah berubah menjadi nangka. Aku suruh kau pergi sekolah, kau rupanya pergi bercinta! Bedebah!” Dah macam pantun zaman dulu kala aja makian Mak cik Saadiah sambil merenyuk gambar itu geram!
“Kurang ajar punya bangsa! Tak cukup kau malukan keluarga aku, kau hantar anak kau pikat anak bujang aku! Kau memang nak kena, Farouqe! Kau tak kenal lagi aku siapakan?” desis Mak cik Saadiah seorang diri. Matanya sudah mencerlang menggambarkan isi hatinya yang sudah terbias oleh api kemarahan.
“Tak boleh jadi ni!” ucap Mak cik Saadiah nekad. Dia terus keluar dari bilik anak itu. Tudung bawalnya dicapai. Mak cik Saadiah terus keluar dari rumah setelah pintu dirapatkan. Kakinya dihayun sepantas mungkin ke rumah Suria. Dia tahu ‘bakal menantu belum tahu lagi’nya itu pasti akan membantunya menyelesaikan masalah ini.
Di rumah Suria, apabila diperjelaskan serba sedikit masalah yang sedang melanda, anak dara itu terus mengajak Mak cik Saadiah pergi menyerang orang kaya atas bukit itu. Maklumlah.. ini untuk masa depan Hadi bak kata Suria. Kononnya!
Akhirnya dengan menggunakan motor modenas milik Suria mereka berdua pergi ke rumah banglo itu. Nekad! Bagi Mak cik Saadiah inilah kali pertama dia mendekati rumah yang sering dibualkan oleh orang kampung itu.
“Aku nak jumpa tuan rumah ni! Bukak pintu ni” bentak Mak cik Saadiah kasar kepada pengawal yang bertugas itu. Banyak pulak bunyi budak mentah ni. Ada ke nak minta tengok IC semua. Mana aku letak IC aku pun aku lupa. Inikan pula nak bawak sekali waktu nak pergi menyerang orang! Bodoh punya budak! Tak sekolah ke? Mak cik Saadiah memaki hamun dalam hati pula.
“Saya cuma nak tahu dengan siapa Tuan Faroqe sedang berurusan sekarang. Sebab tu saya minta makcik beri saya IC. Ini protokol biasa untuk tetamu sebelum kami benarkan masuk,” lembut sahaja budak itu melayan kerenah Mak cik Saadiah.
“Eh! Aku takde masa nak layan semua protokok kau orang ni. Kau bukak ajalah pintu ni, aku nak jumpa Tuan Farouqe. Kau faham bahasa melayu ke tak? Nak melawat orang dalam penjara pun tak sesusah inilah!” Herdik Mak cik Saadiah semakin lantang.
Pemuda itu menghela nafas perlahan. “Sekejap mak cik ya?” dia terus berpaling masuk semula ke dalam pos pengawalnya. Melalui walkie talkie dia memanggil ketuanya, Malik.
Mak cik Saadiah menanti bersama Suria sambil mengipas tubuhnya. Panas! Sebab matahari baru nak mencanak atas kepala. Lebih panas hatinya apabila dibiarkan menanti di situ. Kalau diberikan air kotak atau air mineral, takpelah jugak! Malik tiba di kawasan itu lima minit kemudian.
“Ada apa masalah ni?”
“Aku nak jumpa tuan rumah ni. Kau bukak pintu ni,” ucap Mak cik Saadiah kasar.
Malik sempat menggelengkan kepala melihat adab sopan wanita berusia 40-an itu. “Akak ni bila kami datang rumah akak pun akak kurang ajar. Bila akak datang rumah kami pun akak nak kurang ajar jugak ke? Ini tempat kami ni. Bukannya Kg Labu Lanjut,” tegur Malik tidak senang. Bukannya dia tidak pernah melihat majikannya dihalau oleh wanita ini. Di sini pun wanita ini masih ada hati nak besar kepala?
“Eh! Kau jangan nak banyak cakaplah! Aku nak jumpa Tuan Farouqe. Mana dia!” bentak wanita itu.
“Tuan Farouqe dah sebulan ada di Tashkent. Tak tahu lagi bila dia balik.”
“Aku nak jumpa bini dia!” sambut Mak cik Saadiah pantas.
“Bukak ajalah pintu ni! banyak cakap pulak mangkuk ayun ni!” bentak Suria mula ikut campur. Dia sudah tidak sanggup menahan panas. Apa yang dia tahu dia mahu masuk untuk menyejukkan kepala otaknya yang sudah terasa mahu menggelegak akibat bedilan cahaya matahari jam 11 pagi itu. Juga minum air...
“Ada hal apa nak jumpa Puan Azreena?”
“Kau dengan budak tadi tu sama ajakan? Banyak soal. Aku ada urusan dengan bini Tuan Farouqe. Bukannya dengan bini kau! Jadi kau tak payahlah nak sibuk! Jangan sampai aku datang bawak parang baru kau nak bukak pintu ni” herdik wanita itu lantang.
“Eh! Kau jangan main-main dengan orang kami. Kalau rasa nak hidup lama, baik bukak pintu ni!” sampuk Suria dengan lagak gangsternya.
“Ngeri sampai nak terkencing dalam seluar, saya dengar ugutan kau orang berdua ni.” Malik menggeleng perlahan sambil tersenyum. “Syed..” laung Malik kepada seseorang di dalam pondok pengawal itu. Tidak sampai sesaat keluar seorang lelaki dari pos pengawal lalu mendekati Malik. Malik tersenyum seketika kepada Mak cik Saadiah dan Suria secara bergilir sambil menghulurkan tangan kepada Syed seperti sedang meminta sesuatu.
“Saya takde masalah nak layan tetamu dengan baik. Lebih-lebih lagi yang jenis macam ni. Datang rumah orang terjerit-jerit, siap ugut nak bawak parang.” Malik berkata sambil dia membelek alat yang diserahkan Syed kepadanya.
Mak cik Saadiah dan Suria terutamanya, mula menelan liur melihat senapang panjang berwarna hitam yang dipegang Malik. “Senapang betul ke mainan tu?” soal Suria sambil memuncungkan bibir kepada senapang itu. Matanya terbeliak entah kenapa. Dah takut kut!
“Ini senapang patah terbaru yang dibeli oleh Tuan Farouqe untuk kegunaan keselamatan rumah ni. M3 Benelli Super 90, buatan Itali. Dalam rumah ni ada 10 laras lagi, kalau nak tahu. Setakat ni belum pernah lagi ada kepala sesiapa yang dah merasa makan peluru senapang ni. Tapi kalau ada yang terasa nak cuba, saya takde masalah. Cubalah bawak parang ke sini kalau berani! Kita tengok senapang ni mainan ke.. atau yang betul punye,” ujar Malik dengan senyum meleret.
Suria terpaku memandang ‘benda alah’ itu.
“Aku akan datang balik! Kau tunggu aja!” ucap Mak cik Saadiah penuh dendam.
“Silakan, akak. Saya akan tunggu akak kat sini..” sambut Malik langsung tidak gentar dengan amaran itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.