Jumaat, 13 September 2013

BABA 36

“Madam, they’re ready..” bicara lembut Amanda melalui interkom itu menyentak sedikit kekhusyukan Qay kepada kerjanya. Serta merta pandangannya dialihkan kepada alat komunikasi itu.
“Okay..” balas Qay sepatah lantas bangun dari kerusi. Di luar pejabatnya Amanda sudah bersedia untuk mengikutnya ke bilik mesyuarat. Sebaik sahaja kelibat dirinya kelihatan di bilik itu, suasana bilik mesyuarat sunyi sepi. Kesemua mata-mata yang ada tertumpu kepadanya. Ada yang mula membetulkan duduk tanda bersedia untuk memulakan mesyuarat itu.
We can start now,” ucap Qay sambil melabuhkan duduk di kerusinya. Matanya sempat mengerling ke arah Hadi yang sedang memandang dokumen yang terbuka di atas meja dihadapannya. Bagaikan sudah satu kewajipan untuk dia mencari wajah Hadi. Sedangkan lelaki itu seperti tiada perasaan sahaja dengan kehadirannya di bilik ini. Langsung tidak peduli. Geram pula dia melihatnya.
Jabatan akaun memulakan perbentangan. Dari seorang kepada seorang habis disoal siasat oleh Qay. Ada kalanya bilik mesyuarat itu menghangat apabila ada pertikaian oleh CEO mereka tentang apa yang sedang dibentangkan. Kemudian giliran Hasbullah mula membentangkan laporan bagi bahagian yang diselianya. Qay khusyuk mendengar setiap butiran yang dibentang oleh lelaki itu. Kepakaran Hasbullah menyediakan jawapan kepada setiap persoalan yang diajukan oleh ahli mesyuarat yang lain kepadanya, memuaskan hati Qay. Setakat ini tiada apa yang boleh membuatkan dia terasa mahu ‘meletup’ kepada lelaki itu. Semuanya okay sahaja.
“Puan ada apa-apa soalan nak tanya?” tanya Hasbullah kepada Qay pula. Wanita itu langsung tidak bersuara kepadanya. Tidak seperti tadi, ada sahaja soalan Qay.
“So macamana dengan cadangan untuk penjimatan kos bahagian kargo? I dah dengar rancangan untuk mengubah susun atur operasi bagi penjimatan kos di bahagian itu. malangnya I tak pernah tahu ada apa-apa usul pun tentang itu. Apa yang kita ada setakat hari ini?” soal Qay kepada Hasbullah.
“Tentang itu kita kena tanya Encik Hadi kita ni. Sebab dia yang bertanggungjawab membuat proposal tentang itu,” jawab Hazbullah terus menoleh kepada Hadi di sebelahnya. Tersentak Hadi apabila namanya tiba-tiba disebut. Terus dia menanggung pandangan kepada Hasbullah. Semua mata sudah terhala kepadanya.
“Err.. apa dia?” soal Hadi kepada Hasbullah. Qay memandang lama lelaki itu.
Hasbullah mengerutkan kening kepada Hadi. “Kau kemana? Kita tengah bercakap planning pasal bahagian kargo ni,” bisik Hasbullah kepada Hadi. Berangan pulak si Hadi ni.
“Oh! Err..” Hadi menelan liurnya payah. Dia sebenarnya tidak mendengar apa-apa tadi. “Apa soalan you tadi?” dengan keberanian yang tidak seberapa Hadi mengajukan soalan kepada CEO itu. Kalut dia melihat pandangan semua orang kepadanya. Lebih-lebih lagi Qay sudah mengerutkan kening hairan dengan gelagatnya.
Qay menghela nafas perlahan sambil bersandar di kerusinya. “Dah sampai mana berangan, Encik Aqmal Hadi?” tegur Qay sedikit sinis.
“No! I didn’t mean to..” bicara itu terhenti begitu sahaja. Hadi menghela nafas perlahan cuba meredakan kegugupannya. Entah kenapa renungan sedikit tajam Qay membuatkan perasaannya kacau bilau. Lagak selamba berpeluk tubuh dan bersilang kaki membuatkan dia tidak mampu memandang. Cara Qay memandangnya membuatkan dia gundah sendiri.
“So kita dah ada proposal ke sekarang ni?” Qay mengerutkan keningnya kepada lelaki itu. Semenjak bila Hadi suka berangan?
“Soal itu masih dalam kajian. Kami tak bercadang nak membentangkan tentang itu dalam meeting ni. Kajian tu memang kita dah buat tapi masih belum lengkap. Kita masih belum cukup bersedia nak laksanakan rancangan tu buat masa ni.” Hadi segera menjawab sambil diangguk oleh Hasbullah.
“I nak tahu apa yang you ada untuk I setakat ini,” ucap Qay lembut sambil merenung tepat ke arah lelaki itu. Tanpa sedar seluruh perhatiannya dipusatkan kepada lelaki itu.
Hadi berdehem seketika. Resah di dadanya ini cuba dihalau. Pandangan yang dilemparkan Qay kepadanya ternyata jauh berbeza daripada renungan yang dilontarkan Qay kepada Hasbullah sebentar tadi. Qay tidak putus-putus merenungnya membuatkan apa yang ada di otaknya sudah bersepai. Kini Hadi sudah panas punggung di tempatnya. Dahinya digaru perlahan sambil mencari jawapan yang sesuai kepada soalan Qay tadi.
Take your time, Encik Hadi,” ucap Qay lembut.
Perhatian yang ditumpahkan seratus peratus kepada Hadi membuatkan Qay turut menjadi perhatian semua orang di dalam bilik itu. Bukan tentang proposal itu yang menarik perhatian mereka. Sebaliknya perubahan ketara sikap Qay tatkala berurusan dengan Hadi. Masing-masing perasan sikap Qay yang begitu jelas menganggu kosentrasi Hadi. Malah ada yang perasan lenggok dan cara CEO mereka memandang Hadi. Agak menggoda! Mereka semua mula tertanya-tanya di situ.
“Err..” Hadi menggaru pipinya seketika. Fuh! Nafas dihembus cuba menenangkan dirinya. “I ada buat kajian supaya dilakukan sedikit pengubahsuaian kepada hub kargo kita di KLIA. Which is kita boleh gantikan set lampu halide yang kita guna sekarang dengan sistem HI-Beam T5 High Bay. Sistem pencahayaan yang maju dari segi teknologi secara signifikannya, boleh meningkatkan tahap kecerahan sambil menjana pengurangan 50 peratus penggunaan tenaga. Jika ini berhasil maka usaha ini membolehkan syarikat kita menjimatkan kira-kira RM1 juta setahun. Ini satu angka yang besar dan untuk jangka masa panjang perolehan syarikat dari bahagian kargo ini boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa.”
Qay mengangguk perlahan. “It sound interesting to me! So I nak dengar tentang ini personaly daripada you sebelum kita bawa hal ini ke meeting seterusnya nanti. Jumpa I nanti,” putus Qay terus membuatkan Hadi terkedu. Perkataan ‘personaly’ itu tiba-tiba membuatkan hatinya merasa tidak sedap pula. Macam ada yang tidak kena saja.
Namun saat itu Hadi segera melepaskan nafas kelegaan. Rasa cuaknya menghilang sedikit demi sedikit. Mujurlah inti pati yang ada di dalam otaknya ini tidak terus bersepai. Kalau tidak, mahu terkial-kial dia menahan malu di hadapan ahli mesyuarat. Daring betul perempuan itu! Perlahan dia juga mengangguk sahaja kepada kemahuan Qay.
Dua jam di dalam bilik mesyuarat itu mereka akhirnya bersurai. Ketika di luar bilik Hasbullah mencuit bahunya.
“Bro.. baik punya kau kena ayat tadi. Apa dia kata tadi ek? Apa yang you ada untuk I setakat ni? Cara dia senyum kat kau.. fuh! Boleh gugur jantung, bro! Kalau aku mau terkulai tadi. Hilang akal, terus lupa anak bini kat rumah.” Hasbullah ketawa galak sehabis berkata-kata. Entah kenapa dia gelihati benar melihat gelagat Hadi ketika di dalam bilik mesyuarat sebentar tadi. Tidak senang duduk Hadi dibuat oleh CEO mereka yang cantik jelita itu.
“Apa benda kau merepek ni?”
“Jangan nak mengelaklah! Aku nampak apa dia buat kat kau tadi. sini aku bagi tahu kau..” Hasbullah menarik lengan Hadi memaksa temannya itu berhenti melangkah. Hadi memandang kosong wajah Hasbullah.
“Aku nampak dia macam nak tarik perhatian kau. Perempuan.. kalau dia selalu selak rambut ke belakang telinga, itu maknanya dia memang cuba nak tarik perhatian kau,” ucap Hasbullah sambil menyeringai sendiri.
“Pandailah kau!” Hadi sekadar menggeleng malas mahu melayan usikan Hasbullah itu. Dia terus berjalan menuju ke biliknya. Dia sangat perlukan masa untuk bersendirian saat ini. Bukannya momokan dan usikan Hasbullah yang semakin mengusutkan perasaannya.
Di mejanya Hadi meraup wajahnya perlahan. Apa yang berlaku di bilik mesyuarat sebentar tadi bermain lagi di benaknya. Kata-kata Hasbullah juga ikut menyemak untuk difikirkannya. Memang dia tidak mampu menepis perasaanya saat memandang semua itu. Sungguh! Gelagat dan kehadiran Qay di sekelilingnya sering membuatkan dia resah sendiri dalam diam. Mahu melayan.. dia tidak sanggup. Bimbang harapan yang disandar tidak mampu ditunaikan. Masih jelas ugutan emaknya tentang kehadiran Qay semula.
Hadi sedar.. lebih daripada sedar. Kehadiran Qay semula seolah-olah menyuntik antibodi kepada hati yang sudah luka bernanah. Ada sedikit kehidupan di dalam sana. Sukar untuk membiarkan dirinya jauh daripada wanita itu walaupun sudah berkali-kali dia mempertimbangkan hasrat untuk mencari kerja lain. Entah kenapa dia tidak sanggup berjauhan lagi.
Ya Allah.. sampai bila aku harus berpura-pura? Keluh hati Hadi tersiksa. Melihat kegembiraan Inas, dia cemburu. Ingin rasanya dia mendapat kebahagiaan yang sama. Tetapi halangan di hadapan bukan calang-calang. Dia serik melalui keadaan yang sama lagi. Hadi mengeluh perlahan sambil memicit kepalanya.
Hadi tersentak dari menungannya saat pintu biliknya diketuk seseorang. Tirana berdiri di hadapan pintu yang terbuka luas sambil memandang kepadanya.
“Ada apa?”
“Puan Qaira panggil you pasal proposal untuk renovation hub kargo di KLIA, Encik Hadi.” Tirana menjawab ringkas.
“Okay,” jawab Hadi lantas menghela keluhan. Belum reda perasaannya kini dia harus berhadapan lagi dengan Qay. Masak dia kali ini! Namun mahu atau tidak Hadi tetap patuh juga kepada arahan CEOnya itu. Beberapa fail dicarinya untuk dibawa ke bilik wanita itu. Hadi yakin Encik Gazi pasti dipanggil sama kerana lelaki itu yang mengetuai projek ini.
Namun saat dia menjengah pejabat peribadi Qay, hanya Qay sendirian di dalam bilik itu. Kelibat ketuanya itu tiada.
Have a seat..” pinta Qay lantas menunjukkan sofa tidak jauh dari meja kerjanya.
Hadi sekadar akur tanpa banyak kata. Fail yang dibawa diletakkan di atas meja sambil pasu bunga hiasan di tengah meja kopi di hadapan sofa itu dialihkan ke tepi. Qay mula mengambil tempatnya. Namun Hadi sudah tidak senang hati apabila Qay duduk bersebelahan dengannya. Walaupun itulah yang sebaiknya supaya senang mereka meneliti dokumen yang dibawa Hadi.
Tetapi lelaki itu sudah tidak senang duduk apabila ekor matanya terpandangkan skirt pendek isterinya tersingkap sedikit saat Qay menyilang kaki di sebelahnya. Gatal benar matanya mahu menjeling lagi betis putih melepak isterinya itu. Bau minyak wangi Qay cukup kuat menyengat perasaan lelakinya. Tanpa dapat disekat gelora yang pernah menyapa diri suatu masa dulu, kembali mengintai ruang untuk menglibang liburkan perasaannya. Namun sedaya upaya dia cuba fokus kepada urusan mereka berdua.
Sepanjang perbincangan itu Qay sekadar diam mendengar penerangan Hadi. Dia nampak cukup berminat. Namun saat Qay menilik dokumen di atas meja di hadapan mereka, tanpa sengaja tubuh mereka bergesel. Hadi cuba berlagak selamba walaupun dalam diam dia benar-benar tidak selesa. Mahu sahaja dia mengingsut menjauhi wanita itu. Tetapi entah kenapa dia tidak sanggup pula. Entahkan dia tidak mahu mengecilkan hati Qay ataupun sebenarnya hati kecilnya mula terhasut agar mengambil kesempatan yang sedang terbentang memandangkan tiada siapa berada di bilik itu melainkan mereka berdua. Tetapi semakin lama dia perasan Qay semakin selamba merapati Hadi.
Qay tersenyum sendiri dalam diam. Mudahnya Hadi hilang arah kerana dirinya. Ego sahaja melangit tinggi. Sedangkan Hadi lemah kepada dirinya. Buktinya dalam sekelip mata kemesraan Hadi terserlah. Hadi tidak menolak dirinya. Malahan suaminya itu membiarkan sahaja dirinya duduk cukup rapat dengan Hadi. Dia pula? Buat-buat berminat dengan segala pembentangan Hadi sedangkan sebenarnya dia lebih banyak memandang setiap inci raut suaminya itu daripada tepi.
“So..” Hadi menghela nafas seketika. Dia menoleh memandang Qay. Kebetulan Qay sedang memandang dokumen di atas meja. Matanya sempat meneliti alis isterinya itu. Namun saat mereka bertatapan sesaat kemudian, apa yang mahu diucapkan sudah terputus. Malahan hilang terus dari benaknya. Hadi tidak mampu mengalihkan pandangannya. Dadanya bergendang sendiri tidak mampu menepis pesona saat terpandangkan raut jelita yang pernah membuatkan dia tergila-gila suatu masa dahulu. Kini wajah ini memaparkan tarikan sebagai wanita dewasa yang membuatkan dirinya tidak aman daripada resah.
Kesempatan yang sedang terbuka terus direbut wanita itu. Tangannya dialihkan ke atas lengan suaminya. Perlahan jemarinya mengelus lembut lengan Hadi membuatkan Hadi semakin terleka dalam keheningan suasana bilik bertutup itu. Lelaki itu terpana memandang aksinya. Namun Hadi tidak menolak. Daripada sekadar di lengan, jemari lembut Qay mula dialihkan ke tengkuk lelaki itu. Ekor rambut Hadi dimainkannya.
Sesak nafas Hadi dengan perbuatan wanita itu. Dia sudah terasa kalah kepada kehendak hatinya. Hampir sahaja bibir wanita itu mahu dipagutnya sementelah Qay sendiri seoleh-oleh sedang menanti. Tiba-tiba wajah emaknya melintas di ruang mata. Hadi tersedar semula. Cepat-cepat dia menjarakkan wajahnya daripada Qay.
“Abang..” keluh Qay kecewa. Spontan lengan Hadi dipegangnya erat tidak membenarkan lelaki itu berlalu.
Hadi menoleh kepada isterinya semula. “Aku ada banyak kerja nak buat. Tolong lepaskan tangan aku,” ucapnya mula dingin semula kepada wanita itu. Lengannya ditarik kasar.
“Abang, Qay rindukan abang yang dulu. Tolong jangan buat Qay macam ni,” rayu Qay kembali memaut lengan Hadi.
Hadi meraup wajahnya resah. “Aku tak boleh, Qay.” Hadi menjawab perlahan sambil menggeleng.
“Aku dah tak sanggup mengantung harapan lagi. Kita kena tamatkan semua ni,” ucap Hadi sedikit tertekan.
“Qay sayangkan abang. Qay tahu abang kecil hati dengan Qay. Tapi takkan takde maaf langsung untuk Qay, abang. Qay masih perlukan abang dalam hidup Qay,” balas Qay separuh merayu. Kata-kata Hadi membuatkan hatinya umpama kaca yang terhempas berkecai.
“Kita tak sesuai bersama, Qay..”
“Dulu waktu abang ajak Qay kahwin, abang tak fikir macam tu? Kenapa baru sekarang abang cakap macam ni pada Qay? Sebab abang dah ada Suria?” tekan Qay tidak mampu menerima alasan Hadi.
Hadi menoleh dengan pandangan tajam. “Ini semua takde kena mengena dengan Suria. Kalau kau nak tahu, sebab kaulah aku terpaksa bertunang dengan dia! Ya.. dulu aku memang bodoh! Aku tak pernah terfikir kau akan pergi tinggalkan aku akhirnya. Aku masih Hadi yang dulu, Qay. Aku masih lagi lelaki yang tak mampu bahagiakan kau tu. Kau dah putuskan tak mahu berharap lagi pada aku. Kenapa sekarang kau merayu?” jawab Hadi sengit.
“Sampai bila abang nak terus ungkit kesalahan Qay? Qay tahu Qay buat salah pada abang. Tapi bila Qay nak berubah, abang yang tak sudi terima Qay semula. Macamana lagi Qay nak buktikan kasih sayang Qay selama ini, bang. Abang sendiri tak pernah cuba beri Qay peluang!” luah Qay semakin sayu.
“Dah terlambat!” balas Hadi sinis lantas memungut fail di atas meja itu. Terus dia bangun dari sofa itu tanpa memandang Qay.
“Abang, sampai bila abang nak buat Qay macam ni? Sampai bila abang nak jauhkan diri dari Qay?” ucap Qay saat Hadi berada di pintu biliknya.
“Kau ada jawapan tu. Jangan tanya pada aku soalan yang kau sendiri dah tahu jawapannya semenjak dulu,” jawab Hadi lantas berlalu daripada bilik itu.
Qay tersandar menahan hati melihat bilik itu ditinggalkan Hadi. Berkecai sudah harapannya. Sekali lagi kekecewaan menjadi makanannya. Akhirnya dia hanya mampu menghela keluhan sendiri.

Amanda menilik wajah bosnya itu beberapa kali sambil tangannya membetulkan kedudukan kuntuman ros di dalam pasu di atas mejanya. Rasa ingin tahu kian bermaharaja lela dalam hatinya ini namun untuk meringankan mulut bertanya dia ragu. Jika dilihat angin perempuan seorang ini memanglah tengah baik. Tapi manalah tahu datang puting beliung cik puannya ini tiba-tiba, mahu terpusing dia dibuatnya nanti. Bukannya dia tidak tahu Puan Qaira Syahreena memang tidak suka sesiapa bertanya tentang hal peribadinya.
“Have you done with the flowers, Amanda? Or do you need a little more time to view my face?” Qay mula bersuara memecah keheningan bilik itu dalam pada dia terus memerhatikan isi kandungan dokumen di atas mejanya itu.
“Ha?” Amanda tersentak dengan pertanyaan yang meluncur tiba-tiba itu. “Err.. yup! It’s done!” ucapnya mula menggalabah.
Qay mengerling pembantunya itu seketika. “Ada apa?” tanyanya serba ringkas. Dia tahu ada sesuatu yang mahu diucapkan Amanda kepadanya.
“Nothing, bos..” ucap Amanda sedikit menggelabah. Tadi dia yang nak tahu sangat. Sekarang bila diberi peluang bertanya dia rasa macam nak lari seratus batu pula. Takut! Wajah serius Qay membuatkan apa yang kerap bermain di fikirannya itu lintang pukang lari.
“Kalau you ada apa-apa nak bagitahu I atau nak tanya I, just say it! Setakat ni I tak pernah lagi jadi kanibal makan daging orang,” ucap Qay selamba. Kali ini dia bersandar tenang di kerusinya sambil merenung Amanda yang berdiri tegak di hadapan mejanya itu. keningnya diangkat sedikit kepada wanita Cina itu.
Amanda mula menguis-nguis meja kaca itu dengan hujung jarinya dengan muka seposen yang sengaja dibuat. “You memang tak pernah makan orang. Tapi you kalau dah marah, selalunya sampai tak lalu nak makan I jadinya. I takut bila you dengar soalan I nanti tiba-tiba you berubah jadi orang makan orang macam kat dalam cerita kanibal tu,” ucap Amanda seolah-olah sedang meminta simpati.
Qay tersenyum gelihati melihat aksi gadis itu. Mengada-adalah pulak amoi ni! “Really? So you nak kata yang I ni bos yang teruklah ya? Pernah ke mana-mana orang cerita dengan you ada ex-secretary I jadi steak lepas tanya soalan pada I?” balas Qay dengan sebaris senyuman di bibir. Dia bukanlah mahu bersikap sebagai diktator tetapi dia hanya menjalan tugas sebagai ketua yang tegas di sini. Itu sahaja!
Terbeliak mata Amanda spontan mendengar kata-kata Qay. “Eh, taklah! I tak maksudkan begitu. Maksud I tadi, I memang ada sesuatu nak tanya you tapi I takut you naik angin. Itu aja!” terang Amanda pantas. Risau benar dia jika gajinya hujung tahun ini naik sedikit aja.
“Tanya ajalah! Kalau I marah pun tak pernah lagi marah sampaj you kena pakai kain kafan datang kerja, ya tak? Buat apa nak takut dengan I,” perli Qay dengan wajah selamba. Dokumen di atas mejanya itu direnung seketika sebelum kembali memandang Amanda. Dia sememangnya mahu mendengar apa yang mahu diajukan Amanda.
Terkulat-kulat Amanda memandang Qay. Bicara Qay semakin sukar ditafsirkan maksudnya. Tetapi sebahagian hatinya sudah terlonjak-lonjak menyuruh dia bertanya juga. Jadi steak pun jadi steaklah!
“I dah dengar macam-macam cerita pasal you dari mulut staf-staf di luar sana. I cuma nak tahu apa yang benar. Betul ke you dengan Encik Aqmal Hadi tu ada affair? Please.. jangan marah I. You yang suruh I tanya pada you tadi. I tak naklah pecah rekod jadi orang pertama jadi dinner you malam ni.” Sempat lagi Amanda merendahkan nadanya agar Qay tidak lekas naik hantu dengan soalan yang diutarakannya.
Qay tergelak perlahan sambil menggeleng. Itu aja ke soalannya? Tak terasa nak marah pun. Dah agak dah! Desis hati Qay sendiri. Dia tahu Amanda sebenarnya ingin tahu tentang khabar angin itu. Namun saat itu langsung tidak terkutik rasa tidak puas hati di dalam dirinya mengenang khabar angin itu. Dia tenang sahaja.
“Kenapa soal ini mesti jadi bahan cerita di luar sana? Salah ke kalau I ada affair dengan Hadi?” Qay sengaja bertanya semula. Bercahaya matanya memandang Amanda yang masih tidak berganjak dari hadapan mejanya. Senyum yang mahu diukir sengaja ditahan. Kadang-kadang dia memang suka memeningkan kepala gila-gila si amoi ni!
Amanda terpaku memandang Qay. Daripada cara Qay berbicara dia tahu memang ada sesuatu di antara Hadi dan bosnya ini. Tetapi jika nak dipanggil affair, macam tak logik pula. Sebab selama ni tidak pernah pula dia nampak dua manusia itu berdating berdua atau sesuatu seumpama itu. Malah tiada kemesraan yang luar biasa yang dilihatnya kepada dua manusia itu. Itu yang membuatkan dia hairan dengan cerita orang. Tapi jawapan bosnya itu.. Ah! Dia sudah kusut dibuatnya.
“Err.. you tahukan yang Encik Hadi tu dah ada tunang? Dan dia ada anak seorang jugak! Nanti apa kata orang?” ucap Amanda dalam rasa sedikit tidak selesa. Masakan dalam ramai-ramai lelaki, bosnya ini tergila-gilakan lelaki itu pula?
Qay menghela nafas peralahan. “Mana you tahu dia dah tunang? Dia cakap pada you yang dia ada tunang?” soalnya tenang.
Amanda sekadar menggeleng dengan muka blur.
“Habis tu mana you tahu yang Hadi tu dah ada tunang?”
“I dengar orang cerita aja,” jawab Amanda merendahkan nadanya. Bimbang juga dia tersalah cakap sementelah semua itu didengarinya daripada mulut orang lain. Bukannya tuan punya badan.
“Betul ke you dengar dia dah bertunang? I dengar wife Hadi kenal dengan you. Hari-hari jumpa,” ucap Qay sengaja mahu mengenakan Amanda si penyibuk ini. Biarkan dia rasa!
What?? Eh! I tak kenal ex-wife dialah. Siapa cakap?” ucap Amanda sedikit meninggi. Terbeliak matanya memandang Qay.
Qay tersenyum gelihati. Amanda sudah kalut. “Wife Hadi yang cakap sendiri dengan I,” jawab Qay selamba. Dia masih belum puas mengerjakan Amanda.
“Lah.. mana ada! I tak pernah jumpa ex-wife dia sekali pun!”
“Jangan nak bohong, Amanda.”
“Takkanlah I nak kata I pernah jumpa sedangkan muka siapa ex-wife dia tu pun I tak tahu. You ni kadang-kadang buat I peninglah, bos. Bila masa pula ex-wife Encik Hadi tu jumpa I kat sini? You kenal ke ex-wife dia tu?” tegas Amanda tetap mempertahankan ceritanya.
“Tak kenal..” jawab Qay selamba.
“Haiyya! Tadi you cakap ex-wife dia..”
“I kata wife, bukannya ex-wife. You ni dengar ke tak, Amanda? Siapa cakap Hadi tu ada ex-wife?” pintas Qay lebih cepat.
Aman terus terlopong. Dia sudah keliru dengan permainan Qay. “I tak tahulah apa yang you cakap ni, bos..” keluhnya perlahan.
Qay tergelak sambil menggeleng. “You ni dah ketinggalan tau! Traffic dah clear you masih beratur kat belakang,” perli Qay lantas ketawa.
“Ha? I tak faham..” ucap Amanda semakin keliru.
Wife Aqmal Hadi tu ada kat depan you sekarang,” ucap Qay selamba.
What??” terus terbelalak mata Amanda memang Qay. Mulutnya ikut terlopong bagi melengkapkan lagi ekspresi terkejut tahap luar biasanya itu. Kalau ada aksi spontan lain yang boleh ditunjukkan pasti dia akan lakukan juga supaya bosnya ini tahu yang dia amat-amat terkejut dengan kenyataan itu.
“Tak payahlah nak lopongkan mulut you tu luas-luas sangat. Kalau you tak melopong pun I tahu you mesti akan terkejut punya. Buruk I tengok!” desis Qay selamba.
“You're not kidding me right?”
“Ayat tu pun I dah agak. Cuba guna ayat yang lain pulak.” Qay tetap selamba dalam reaksinya.
“Bos, seriuslah.. please!” desak Amanda geram pula dengan wanita berusia 30 tahun itu. Dia punyalah terkejut badak, perempuan itu masih lagi main-main dengannya. Dahlah buat muka selamba macam baru habis melepaskan hajat!
“I seriuslah ni. You ingat I tengah berlatih untuk audition maharaja lawak dengan you ke?” sambut Qay sambil memandang tepat kepada Amanda.
“Macamana pulak you ni boleh..”
“Pasal tu I tak boleh terangkan pada you. Itu rahsia. Soalan you tadi I dah berikan jawapan, so that’s it! So I hope that after this there will be no more canard that I was captivate a married man or someone’s fiance. I don’t need to explain to everyone about my life with him, isn’t it?” pintas Qay sebelum sempat Amanda menghabiskan bicaranya. Dia tahu sekali dia menjawab, maka akan ada soalan demi soalan yang menagihkan penjelasannya sedangkan itu adalah rahsia antara dia dan Hadi.
“Hadi tu suami you?” soal Amanda seolah-olah tidak percaya.
“Ya..”
“Jadi Nurul Inas tu anak Hadi?” ucap Amanda masih terus dengan rasa tidak percayanya. Dahinya berkerut seolah-olah mencari kelogikan cerita itu. Dia pernah berjumpa dengan seorang kanak-kanak ketika dia berurusan dengan Qay di rumah bosnya itu. Qay kata itu anak dia.
“Ya..” Qay terus menjawab sepatah.
“Kenapa semua orang tak tahu pasal ni?” Amanda mula memandang Qay dengan pandangan hairan. Rasanya sudah lebih 3 bulan Qay di sini. Tiada siapa yang tahu rupanya Hadi suami kepada CEO mereka ini. Malah dia lihat macam ada yang tidak kena sahaja.
Qay diam seketika tidak terus menjawab. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dijawabnya kepada Amanda. “I ada masalah dengan dia. Kami tak macam orang lain, Amanda.” Qay menjawab jujur akhirnya.
“Maksud you?”
“I dengan Hadi tak tinggal sekali dan tentang tunang Hadi tu. Memang betul! Dia dah bertunang dengan orang lain,” jawab Qay agak rendah.
Terdiam Amanda mendengar jawapan Qay. entah apa yang harus dirasakannya saat ini tentang itu. Kasihan ke dia kepada Qay. Masalahnya dia tidak tahu apa cerita sebenarnya. Tetapi sebahagian hatinya lega kerana andaian buruk orang tentang Qay ternyata tidak tepat.
“Kenapa you tak berterus-terang aja dengan semua orang yang Encik Hadi tu husband you? Maksud I.. walaupun you dengan dia ada masalah, tapi apa salahnya semua orang tahu you dengan dia suami isteri?” ucap Amanda pelik dengan situasi dua manusia ini.
“I ada konflik yang tak dapat I nak jelaskan pada you, Amanda. I mengaku I memang ada masalah dengan dia selama ini. bukan baru sehari dua benda ni berlaku. Tapi semenjak dulu hubungan I dengan dia ada masalah. I anggap selagi masalah tu tak selesai, selagi itulah kami akan terus berahsia begini. Bukannya I malu dengan dia. Tapi dia yang tak mahu biarkan orang lain tahu pasal kami. So I terima ajalah!” Qay berkata perlahan.
“Dia serba salah dengan kedudukan you sebagai CEO ke?” teka Amanda tetap mahu mencungkil sebahagian cerita peribadi Qay.
“Salah satu sebabnya. Sebenarnya ada lagi masalah lain yang lebih berat berbanding. Pasal family kami,” jelas Qay serba ringkas.
Amanda mengangguk perlahan. Kini dia sudah mengerti walaupun tidak semua kisah wanita ini diketahuinya. “Patutlah you tanya pasal dia dulu. Rupanya ini kes jelouslah ni? Takut ada orang lain rembat suami you?” usik Amanda lantas tergelak kepada Qay.
Qay sempat mencebik “I have no time for jelousy!” dengus Qay pantas.
Really? Jangan nanti bila I dah keluar dari bilik ni, you melalak sorang-sorang dalam bilik ni,” perli Amanda sambil ketawa. Mood baik bosnya membuatkan dia berani pula mengusik wanita itu.
“Dahlah! You jangan nak sibuk tentang I dengan Hadi. Balik tempat you! Jangan beritahu orang lain pasal ni. I cuma cerita pada you seorang aja! Faham?” tegas Qay malas mahu memanjangkan cerita tentang Hadi.
“Okay, bos..” Amanda tersenyum. Puas hatinya setelah kekusutan yang menghuni benaknya selama ini sudah selamat dijawab oleh Qay.

Sepeninggalan Amanda, Qay termenung seketika. Perihal Hadi berlegar di benaknya tanpa henti. Wajah Suria ikut sama melanyak hebat ketenangan hatinya menyebabkan dia sesak nafas. Dia tahu wanita itu sudah lama menyimpan rasa kepada suaminya itu. Sayangnya dia seolah-olah sudah kehilangan hak untuk menghalang semua itu. Apa lagi yang harus dibuatnya untuk mempertahankan rumahtangganya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.