Bab 13
“Kenapa mama nampak semenjak kebelakangan ni Qay nampak lain aja? Qay ada sembunyi
apa-apa dari mama ke?”
Qay yang sedang membelek bunga ros di kawasan halaman
rumahnya itu tersentak. Dia pantas menoleh ke arah pintu rumah yang terbuka
luas. Mamanya sedang berdiri memandang dia dari ambang pintu itu sambil menilik
gelagat dirinya.
“Mana ada..” balas Qay pantas menafikan.
“Qay tunggu siapa ni?” tanya Puan Azreena lagi. Dia
perasan anaknya kerap hilang semenjak kebelakangan ni. Kadang-kala keluar dari
rumah tidak lagi meminta izin. Tahu-tahu sudah lesap waktu petang dan muncul
semula sebelum maghrib. Kadang kala memberi alasan mahu berjoging padahal jam
baru menunjukkan 3 petang. Ada ke orang berjoging waktu matahari masih mencanak
seperti itu? Dari tadi dia mengintai dia perasan Qay terjenguk-jenguk ke arah
tepi rumah mereka. Bagaikan sedang melihat kehadiran seseorang di situ. Puan
Azreena memandang jam di dinding ruang tamu di belakangnya itu. Baru jam 2
petang. Takkan dah nak pergi joging kut?
“Takde siapa..” jawab Qay gugup. Sedaya upaya dia tidak
memandang emaknya itu. Bimbang apa yang sedang cuba dirahsiakan terbongkar.
“Jangan tipu mama. Tak baik tau!” ugut Puan Azreena
sengaja mahu menduga anak kesayangannya itu.
Qay segera memalingkan tubuhnya menghadap ibunya. Dia
serba salah untuk berlaku jujur. Bimbang emaknya marah. Nasib baiklah ayahnya
kini sedang berada di luar negara. Jika tidak makin harulah dia jawabnya.
“Qay tunggu kawan Qay. Dia kata nak datang,” jawab Qay
jujur.
“Kenapa tak ajak dia masuk ke rumah? Amna ke yang nak
datang?” tanya Puan Azreena pelik. Selalunya Amna tidak segan-segan ke rumah
mereka ini. Malah Amna sudah terbiasa dengan mereka macam ahli keluarga
sendiri.
“Bukan. Dia lelaki, ma.”
“Ooo..” panjang lopongan Puan Azreena dengan nada sedikit
sinis. “Patutlah resah, panas buntut aja dari tadi. Lelaki rupanya! Barulah
mama faham sekarang,” getus Puan Azreena sengaja meleretkan nadanya. Dah pandai
dah anak aku ni! getus hati wanita itu sendiri.
“Ma, Qay cuma kawan aja dengan dia. Tak salahkan, ma? Dia
baik pada Qay. Qay sukakan dia,” rayu Qay dengan muka lima sennya.
“Kenalkan dengan mama dulu mama boleh kata salah ke
tidak. Dia budak satu sekolah dengan Qay ke?” ucap Puan Azreena mula serius.
Qay sekadar mengangguk.
“Mama tak suka Qay jumpa dia senyap-senyap lagi macam
sebelum ni. Kalau dia nak berjumpa dengan Qay dia kena minta izin mama.
Bukannya ceroboh masuk ke rumah ni, kemudian keluar macam tu aja. Itu takde
adab namanya. Nanti dia datang ajak dia masuk!” tegas Puan Azreena.
Mahu tidak mahu Qay hanya mengangguk. Ketara benarkah
perilakunya sehingga emaknya boleh perasan secepat ini? Hampir lima minit dia
terpacak di halaman rumahnya ini akhirnya kelibat Hadi mula kelihatan di tempat
‘biasa’ dia menunggu. Qay terus mendekati Hadi untuk menjemput tetamu itu
masuk.
“Mama nak jumpa abang,” ucap Qay sebaik sahaja berada di
hadapan Hadi.
Kata-kata Qay membuatkan dada Hadi sudah berdegup
kencang. Dia sempat menelan liurnya kelat. Matanya memandang seketika ke arah
banglo mewah itu sebelum kembali memandang Qay. “Mama Qay dah tahu pasal kita
ke?” soal Hadi agak resah. Nak jumpa bakal mak mertua. Memanglah lembik lutut, beb!
Nak-nak lagi macam dia ni, duit belum habis kumpul tapi dah ada hati nak pikat
anak dara orang. Memang rasa nak lari ke negeri China aja! Tak sanggup nak
pandang muka bakal mak mertua.
“Mama dah syak. Qay terpaksa cakap yang benar.”
“Papa Qay marah ke?”
“Papa takde. Papa pergi Tashkent minggu lepas. Lama lagi
baru papa balik,” jawab Qay sambil memandang raut lelaki pujaannya itu. Rindu
benar dia kepada Hadi tetapi kala ini rasa gentarnya kepada mamanya sudah duduk
di atas kepala membuatkan perutnya mula terasa memulas pula. Jadi rindu yang
dirasakannya itu tidak membantu langsung untuk dia merasa tenang.
“Jomlah masuk. Nanti mama marah pulak,” ajak Qay segera.
“Abang hensem tak macam ni?” sempat lagi Hadi bertanya.
Mana tidaknya, dia sekadar memakai baju tee lusuh dan jeans koyak di lutut yang
merupakan pakaian rasmi untuk dia ke kebun dengan ayahnya. Tidak sempat mahu
balik menukar baju, dia terus ke sini kerana tidak mahu terlewat bertemu Qay.
Habis tu kalau jumpa mama Qay nak kena pakai tuksedo dengan bow tie, mana dia ada semua benda tu!
“Abang tetap hensem macam selalu tapi jeans abang tu
peliklah. Abang baru lepas habis merempit ke?” soal Qay tanpa dapat melarikan
matanya kepada bolong besar di bahagian lutut Hadi itu.
Hadi terasa mahu ketawa mendengar nada yang begitu polos
lahir dari celahan bibir buah hatinya itu. Namun dia faham Qay tidak biasa
dengan semua ini. “Oh! Ini memang uniform abang bila ikut ayah abang ke kebun. Abang
baru aja balik dari kebun tadi. Tak sempat nak tukar seluar sebab abang takut
lambat jumpa Qay. Abang ni pakwe yang budiman, Qay. Mana ada merempit ni
semua,” jawab Hadi sempat lagi buat lawak dengan buah hatinya itu.
Qay sekadar mengangguk. Alahai.. rajinnya bakal suami aku
ni pergi kebun. Bakal suami mithali betul! Qay dah mula berangan-angan. Namun
dia tersedar semula dari angan-angannya. “Eh! Jomlah cepat!”
Hadi memandang lagi ke rumah itu. Tidak berani sungguh
dia kala itu. Kakinya bagaikan sudah dirantai pada pokok besar di tepinya.
Agaknya pokok itu pun memahami keresahan hatinya saat ini. “Mama kalau dia
marah pernah tak dia guna high volume ke atau memetir ke? Pernah tak?” soal
Hadi perlahan sahaja. Cuba dibandingkan sikap mama Qay dan emaknya itu pula.
Ada kalanya dia apabila dimarahi, emaknya akan memetir kepadanya.
“Abang ni mengarutlah! Tahulah tengah takut. Cakap pun
mulalah nak merapu yang bukan-bukan. Abang ingat mama tu ultraman ke nak fire-fire orang pakai petir ni semua?”
degus Qay mula mahu ketawa pula melihat gelagat Hadi.
“Abang bukannya takut tapi seram je..”
“Ah! Sama je tu. Muka abang tu dah cuak semacam. Tak
payah nak kelentonglah! Sikit lagi nak terkencing dalam seluar tu.”
“Jomlah..” Tanpa dapat melengah-lengahkan masa Hadi
akhirnya akur membuntuti Qay masuk ke kawasan rumah mewah itu. Berdegup kencang
jantungnya saat mendekati pintu rumah yang sedang terbuka luas. Kakinya
bagaikan tidak mampu jejak di bumi lagi. Dia tidak mampu membayangkan apa penerimaan
emak si jantung hatinya ini jika melihat dia yang begitu selekeh ini. Namun
sepotong dua ayat sudah disiapkan buat wanita itu sekiranya wanita itu
mengomplen tentang dirinya. ‘Saya biasanya tak selekeh macam ni, auntie. Saya
seorang yang sentiasa menjaga penampilan. Tapi nak pergi kebun ni, tak payah
nak berpenampilan sangatlah! Beruk aja yang ada kat sana nak tengok saya..’
itulah kira-kiranya jawapan yang dia ada buat masa ini.
Qay memberi salam lalu mengajak Hadi masuk ke dalam
rumah. Ketiadaan kelibat si emak di ruang tamu itu, Qay lantas mencarinya di
dapur. Rupanya emaknya sedang berbual dengan pembantu rumah indonesa yang
berkerja di rumah mereka itu. Puan Azreena lantas bergerak ke hadapan setelah
menyedari orang yang dinanti sudah tiba. Dari jauh dia sudah melihat kelibat
seorang jejaka tinggi sasa berdiri sambil memerhatikan suasana ruang tamu rumah
mereka itu dengan penuh kejakunan.
“Siapa nama ni?” tegur Puan Azreena lembut.
“Aqmal Hadi, makcik.. eh! Kakak..” Hadi sudah menggaru
kepalanya kekalutan. Menggelabahnya dia sampai tersasul-sasul. Dia tidak tahu
apa yang harus digelarkan kepada mama Qay itu. Orangnya masih muda gayanya,
jelita tak usah katalah. Patutlah anaknya selalu buat orang tak tidur malam
sebab emaknya pun memang dah lawa habis. Mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke
lantai, ya tak?
Puan Azreena tergelak perlahan melihat kekalutan Hadi.
Dia faham anak muda itu pastinya gentar kepadanya. “Panggil Auntie Reen aja.”
Puan Azreena berkata lembut lantas mengajak Hadi duduk.
Hadi akur dalam lagak malu-malunya. Dia duduk sambil
memandang seketika Qay yang duduk selamba di sebelah emaknya. Mehlah duduk
sini, sayang! Lutut abang dah lembik ni. Rasa macam nak buang air besar pun dah
ada ni. Nak minta tumpang tandas, malulah pulak... seru hatinya kalut. Macam
sesi temuduga mintak kerja pun ada. Malu apabila dirinya menjadi pusat
pemerhatian dua wanita jelita itu. Mereka bertiga berdiam seketika saat
pembantu rumah datang menghidangkan minuman buat mereka.
“Buah susah-susah aja,” ucap Hadi spontan lantas
tersenyum kepada tuan rumah itu. Warna jus oren yang menyinar-nyinar di dalam
gelas itu tiba-tiba membuatkan dia haus pula. Menyelerakan sungguh!
“Minumlah, Hadi. Air bujang aja..” pelawa Puan Azreena
mesra. Hatinya mula senang dengan kesopanan anak muda itu. Walaupun agak
selekeh di matanya tetapi dia dapat meneka Hadi seorang pemuda yang baik.
“Terima kasih, auntie. Air bujang pun takpe sebab yang
minum pun bujang lagi..” Haissh! Apa
mulut ni? Biadap sungguh pada orang tua! Hadi sempat mengutuk dirinya walaupun
Puan Azreena tergelak seketika melihat kekalutannya.
“Eloklah tu. Abang Hadi kan baru balik dari kebun. Mesti
abang hauskan? Yalah, kerja kuat sangat sampai seluar pun boleh koyak,” ucap
Qay tiba-tiba timbul idea mahu mengenakan Hadi.
Hampir tersedak Hadi mendengar bicara Qay yang cukup
selamba itu. merah mukanya menahan malu! Sampai hati Qay malukan abang depan
mama Qay! Getus hatinya sendiri.
Puan Azreena sudah menampar paha anak daranya. “Minumlah,
Hadi. Qay ni memang nakal sikit! Jangan pedulikan dia.”
Qay hampir tergelak melihat gelagat Hadi yang malu-malu campur
menggelabah di hadapan ibunya. Hilang sifat nakal suka mengusik lelaki itu.
Padan muka! Baru depan mama taring dia dah termasuk ke dalam. Belum jumpa papa
lagi. Agaknya mahu terbuang air besar dalam seluar, ejek Qay dalam diam.
“Dah lama ke kenal, Qay?” soal Puan Azreena sambil
menatap tepat wajah pemuda itu. Kacak memang kacak tapi selekehnya budak ni,
Allahuakbar! Dengan seluar koyaknya.. nauzubillah. Kalau laki aku nampak budak
ni mesti dia ingat Qay dah tersangkut dengan tukang bersih taman kat belakang
tu.. hati Puan Azreena berkata-kata sendiri.
“Kenal dah lama. Semenjak dia mula masuk ke sekolah
kami.” Bimbang dia terlepas laku lagi Hadi sekadar menjawab apa yang perlu
sahaja.
“Jadi semenjak bila mula berkawan.. er.. atau patut ke
auntie panggil sebagai bercinta dengan Qay?” duga si ibu agak lembut namun
serius.
Hadi mula menelan liur. Kalutnya nak jawab. “Err.. kami
berkawan rapat semenjak 3 bulan yang lepas.”
“Ooo..” Puan Azreena mengangguk sambil mengerling anak
daranya itu. “Jadi dah lamalah buat kerja panjat tembok kat tepi sana tu? Ingat
mama tak tahu ke, Qay? Pandaikan? Minta Abang Malik rahsiakan kononnya. Abang
Malik tu kerja dengan mama tau! Bukan dengan Qay.”
Qay dan Hadi tersentak serentak. Mereka berdua sempat
berpandangan sebelum menunduk tidak mampu memandang Puan Azreena. Tak guna
punya Abang Malik! Desis hati Qay geram.
“Iman tinggal di mana?”
“Saya tinggal di Kampung Labu Lanjut tak jauh dari sini,
auntie.”
Puan Azreena memandang Hadi dengan kerutan di kening.
Nama itu memang biasa di sebut oleh suaminya semenjak dulu. Malah dia sendiri
pernah mengikut suaminya ke sana sekali dua.
“Anak siapa Hadi ni?” soal Puan Azreena mula merasa tidak
sedap hati. Dia sempat memandang anaknya sekejap sebelum memandang Hadi semula.
“Ma, anak siapa tu penting ke?” celah Qay pantas. Bimbang
benar dia jika emaknya tahu siapa Hadi sebenarnya, emaknya akan menghalang hubungan
mereka. Itu yang paling dia tidak mahu!
“Salah ke kalau mama nak tahu?” balas Puan Azreena tidak
senang apabila anaknya itu menyampuk pula sesi soal siasatnya dengan Hadi.
“Err.. saya anak Ahmad Hambali, auntie.” Hadi akhirnya
memilih untuk berlaku jujur sahaja memandangkan pilihan yang ada kepadanya saat
ini, itulah satu. Takkan dia mahu berbohong pula?
“Ahmad Hambali? Mak kamu Saadiahkan?” semakin itu wajah
Puan Azreena berubah. Tidak disangkanya orang yang memusuhi keluarga mereka,
kini anaknya sedang berada di hadapan mata. Di dalam kediamannya! Walaupun
hatinya tiba-tiba sakit namun dia tidak terniat mahu menghalau anak ini seperti
anjing. Seperti yang dilakukan Saadiah kepada dia dan suaminya selama ini.
Hadi mengangguk juga akhirnya walaupun dia sedar ada
reaksi tidak senang sudah terbit di wajah wanita itu.
“Mak kamu tahu ke yang kamu berkawan dengan anak auntie
ni?”
Lambat-lambat Hadi menggeleng. Riak wajah Puan Azreena
yang sudah tidak semesra tadi menggusarkan hatinya. Janganlah hendaknya dia dan
Qay diseret dalam masalah lama itu. Dia tidak pernah meminta keadaan jadi
seperti itu. Begitu juga perasaannya kepada Qay. Semua itu bukan aturannya.
“Kenapa kamu tak beritahu dia yang kamu baik dengan anak
auntie?” sengaja Puan Azreena menduga Hadi. Dia tahu sebab yang disimpan Hadi pasti
sama seperti yang disangkakan oleh benaknya ini.
Hadi tunduk seketika. Serba salah mahu menjawab.
“Auntie tahu.. kalau mak kamu tahu pasal ni, mak kamu
mesti tak sukakan?” teka Puan Azreena lembut sahaja.
Hadi memilih untuk tidak menjawab. Dia sekadar memandang
Puan Azreena sebelum membuang pandang ke arah lain. Sambil itu otaknya keras
berputar mencari idea untuk melembutkan hati wanita di hadapannya ini agar dia
tidak dijauhkan dari Qaira Syahreena, pujaan hatinya itu.
“Ma, semua tukan dah lepas? Buat apa kita nak
ungkit-ungkit lagi. Lagipun hal tu takde kena mengena dengan kami pun.”
“Mama cuma tak mahu timbul masalah kemudian hari, Qay.
Papa kalau tahu ni dia mesti tak suka!” tegas Puan Azreena kepada anaknya itu.
“Qay tahu. Tapi Qay minta mama dan papa faham perasaan
Qay.”
“Qay masih tak sedar ke apa yang sedang Qay berdepan
sekarang ni? Ha? Ke mana perginya hubungan ni kalau mak Hadi sendiri tak boleh
terima kita? Cakap pada mama! Kalau sampai sudah mak Hadi tak boleh terima
kita, Qay sanggup berpisah dengan Hadi kemudian hari?” tegas Puan Azreena
sedikit keras.
“Saya memang sukakan anak auntie..” ucap Hadi nekad mencelah
pertelagahan kecil dua beranak itu. Entah dari mana, timbul tiba-tiba
keberanian dalam dirinya. Hadi sedar dia tidak boleh berdiam sahaja jika dia
mahu kehendaknya difahami. Puan Azreena pantas mengalihkan pandangannya kepada
Hadi.
“Kamu sedar tak apa yang kamu cakap? Kamu sedar tak yang
keluarga kamu memusuhi keluarga kami? Setakat suka aja tak cukup, Hadi. Auntie
bukannya nak halang perasaan kamu berdua tapi kamu kena sedar siapa yang berada
di hadapan kamu sekarang. Mak kamu!” balas Puan Azreena serius.
“Saya tahu, auntie. Tapi soal saya dan Qay takde kena
mengena dengan kisah arwah maklong saya tu. Saya tahu mak saya yang paling kuat
memusuhi keluarga auntie. Tapi saya minta sangat pada auntie sekeluarga, jangan
kerana itu auntie bencikan saya. Saya tak pernah minta keadaan jadi macam tu. Saya
sayangkan Qay sungguh-sungguh dan saya tak peduli tentang kisah itu semua. Apa
pun penerimaan mak saya, itu tak mampu menyekat perasaan saya kepada Qay.” Hadi
menjawab tenang.
Puan Azreena terpaku seketika memandang Hadi. Berani pula
anak muda ini berterus-terang di hadapannya seolah-olah sedang meminta izin
mahu mengahwini anak daranya. Tetapi sebagai orang dewasa dia cukup sedar,
bercakap tidak semestinya semudah mengotakannya. Membayangkan tidak semestinya
sama seperti kenyataan. Dia bimbang anak gadisnya tidak kuat menahan derita
jika ada musibah datang melanda. Qay tidak pernah merasa susah selama ini dan
kalau boleh dia tidak mahu anaknya mendapat kesusahan yang tidak mampu
ditahannya.
“Saya sanggup terima apa sahaja risikonya, auntie.
Asalkan auntie benarkan saya berkawan dengan Qay. Sebab saya tak boleh hidup
tanpa dia.”
“Mudahnya kamu bercakap, Hadi. Sekarang ni yang jadi
masalahnya ialah mak kamu. Kamu nak derhaka pada mak kamu? Jangan nanti bila
kamu dah bagi harapan pada Qay, kamu kecewakan dia pula bila harapan yang kamu
janjikan tu tak mampu kamu laksanakan!” tempelak Puan Azreena tidak senang
dengan bicara Hadi. Nampak mudah tapi sebenarnya pendek akal!
“Saya tak berniat nak derhaka kepada sesiapa terutama
sekali mak saya, auntie. Tapi saya pun tak rela menerima hukuman bukan dari
kesalahan saya. Auntie, berilah saya peluang untuk cuba ubah keadaan ni. Saya
tahu koflik lama tu dah buat keluarga kita berjauhan selama bertahun-tahun.
Mungkin ada hikmahnya dari hubungan saya dan Qay. Saya percaya lambat laun mak
saya akan terima hakikat juga. Kami hanya perlukan sedikit masa untuk lembutkan
hati mak saya.” Hadi membalas penuh keyakinan. Jika dia dapat melembutkan hati
Puan Azreena semakin memberatkan beban yang ada di pundaknya ini. Tinggal
emaknya sahaja selepas ini.
“Tapi soal Qay bukan auntie seorang yang boleh buat
keputusan, Hadi. Auntie sebenarnya langsung tak menjangka keadaan akan pergi
sejauh ini. Maksud auntie, auntie tak pernah terfikir yang kamu berdua akan bertemu
dan..”
“Ma, mama boleh pujuk papakan? Kalau mama slow talk dengan papa mungkin papa akan
faham. Qay cuma nak keizinan mama dengan papa berkawan dengan Abang Hadi. Itu
aja! Selama ni Qay tak pernah melampaui batas yang mama dan papa berikan pada
Qay. Qay cuma tak mahu kerana dendam lama orang lain Qay dengan abang Hadi yang
menjadi mangsa,” pintas Qay cuba memujuk emaknya itu.
Puan Azreena terdiam memandang anaknya itu. Ada rasa
kasihan terdetik dihatinya melihat anak gadisnya itu. Dia sedar semua ini bukan
dalam kawalan mereka berdua sebagai ibu bapa. Kerana biar bagaimana dia
mengawal kehidupan Qay sekali pun perkara ini tetap berlaku.
“Ma, please..
kami bukannya buat perkara yang tak elok. Abang Hadi baik pada Qay, ma. Mama
mesti tak suka tengok Qay sedihkan?” Qay cuba merayu pengertian ibunya itu buat
kesekian kalinya.
Puan Azreena sekadar mampu menghela nafas perlahan.
Terkenangkan suaminya tiba-tiba hatinya resah. Dia tahu Farouqe tidak akan
semudah itu menerima keadaan ini dengan rela. Dia pasti. Apa-apa sahaja yang
berkaitan masa hadapan satu-satunya puteri mereka Qaira Syahreena, Farouqe
tidak akan mahu memahami semudah itu!
“Kenapa sedih je ni? Abang datang sini jumpa Qay bukannya untuk tengok Qay berdiam
macam ni. Dahlah pagi tadi mak abang buat sarapn lempeng. Sekarang ni Qay pun
dah buat muka lempeng kat abang,” tegur Hadi lembut kepada wajah mendung di
sebelahnya itu. Semenjak tadi dia perasan Qay seolah-olah hanyut dalam
pemikirannya seorang diri. Dia sudah seperti tunggul pula di situ. Dari tadi bercakap
seorang diri.
“Abang ni! Boleh lagi bercakap pasal lempeng. Orang
tengah susah hati ni, lempeng mak dia aja yang dia ingat!” degus gadis itu
geram.
“Okaylah.. okaylah.. cakaplah dengan abang. Apa yang Qay
tengah fikir ni?” pujuk Hadi lembut.
“Qay tengah susah hati pasal kita ni. Mama semenjak hari tu
tak banyak bercakap dengan Qay. Qay rasa tak sedap hati, bang. Tadi pun bila
Qay minta izin nak jumpa abang, mama macam nak tak nak aja bercakap dengan Qay,”
luah Qay perlahan.
Hadi mula menghela nafas perlahan. Gitar kapok di
tangannya itu mula diletakkan ke tepi. “Sabarlah. Bukan semua benda yang kita
nak kita boleh dapat dengan mudah. Allah ada dengan kita, sayang. Qay janganlah
stres sangat. Nanti kalau Qay sakit tak dapat pergi sekolah, abang susah hati,”
ucap Hadi lembut cuba meredakan keresahan di hati Qay. Dia juga seperti Qay.
Selagi ayah Qay berada di Uzbekistan selagi itulah hatinya tidak senang.
“Kalau papa tak suka kita kawan macamana, abang? Qay
takut!” ucap Qay cuba membuka keresahan yang sudah lama disimpannya sendiri.
Hanya soalan itu yang sering mengasak dirinya semenjak pertemuan Hadi dan
mamanya beberapa hari lalu. Dia tahu mamanya masih belum memberitahu apa-apa
kepada ayahnya kerana malam tadi ketika dia berbual dengan papanya itu, dia
langsung tidak ditanyakan tentang itu oleh papanya. Mungkin mamanya mahu
menanti ayahnya balik ke Malaysia dahulu dan bersemuka sendiri dengannya.
Hadi diam seketika sambil memandang kolam ikan di
hadapannya. Bagaimana untuk dia menjawab soalan itu jika dia sendiri tidak ada
jawapan kepada soalan yang sama? Itu papa Qay, bukannya papa dia. kalau papa
dia tahulah dia memujuknya. Elleh, Hadi! Mak kau tu apa cerita? Dah boleh pujuk
ke belum? Tiba-tiba dia diejek olah hatinya sendiri.
“Kalau papa suruh kita berpisah macamana, bang? Qay tak
sanggup. Qay sayangkan abang!” desah Qay semakin tidak tertahan apabila melihat
Hadi berdiam sahaja. Dia tahu Hadi juga buntu tidak tahu apa yang harus
dilakukan.
“Qay janganlah fikir macam tu. Belum tentu lagi papa Qay
akan buat macam tu pada kita. Doakan yang elok-elok aja,” pujuk Hadi lembut.
Kalau Qay begitu apa kurangnya dia. Dia sendiri tidak tahu apa akan terjadi
kepadanya jika terpaksa melepaskan satu-satunya gadis yang amat disayanginya.
Perlahan gitar di tepinya itu diambil semula. Sengaja
gitar itu dipetiknya untuk meredakan resah di hati. Perlahan ada kesedihan mula
mengalir di tangkai hatinya mengenangkan kesukaran untuk dia menghadapi hari
muka bersama Qay. Qay terdiam memandang keasyikan Hadi memetik gitar itu. Tiba-tiba
dia ikut hanyut oleh kesyahduan dan kesedihan suara gitar itu.
Love
it has so many beautiful faces
Sharing
lives and sharing days
My
love it has so many empty spaces
I’m
sharing a memory now
I’m
hope that’s how it stays
Now
I’m deep inside love and still breathing
She
is holding my heart in her hand
I’m
the clostest I’ve been to believing
This
could be love forever
All
throughtout my life the reasons I’ve demanded
But
how can I reason with the reason I’m a man
“Eh! Abang pun suka lagu tu? Pandai abang nyanyikan lagu
tu dengan petikan gitar,” ucap Qay sambil tersenyum. Terhibur dia mendengar
dendangan lembut Hadi. Walaupun tidaklah semerdu nyanyian Gary Barlow namun cukup
sedap didengar oleh telinganya ini. Lagu itu juga pernah menjadi siulannya
sebelum ini.
“Qay suka lagu tu?” balas Hadi dengan senyum bahagianya.
Matanya menyinar rasa cinta yang tidak terucap khas buat kekasih hatinya.
Qay terus mengangguk sambil tersenyum manis.
“Abang nyanyi lagu tu khas untuk Qay.” Hadi membalas
lirih. Jika dia tidak lagi berkesempatan lagi untuk mengucapkan rasa cintanya
kepada gadis ini dia mahu Qay terus mengingati yang dia pernah menyanyikan
sebuah lagu cinta buat wanita yang amat disayanginya. Dia berharap cinta yang
hadir di hatinya ini kekal untuk selama-lamanya dan direstui Ilahi.
“Terima kasih, abang. Qay sayang abang sangat-sangat..”
balas Qay lantas melentokkan kepalanya ke bahu lelaki itu.
Hadi tidak membalas. Namun sebuah kucupan syahdu singgah
di ubun-ubun gadis itu bagi menggambarkan rasa sayang yang ada di hatinya saat
itu. Namun tidak sampai sesaat kemudian Qay tiba-tiba mengangkat pandangannya
kepada Hadi. “Abang, kalau orang tua kita terus halang kita berkawan, apa kata
kita lari dari sini. Qay tak sanggup terus hidup macam ni. Qay sengsara
sangat.”
Terkejut Hadi mendengar cadangan spontan Qay itu. Lari?
Ke mana? Ke negeri China? Lepas tu apa akan jadi pada mereka? Janganlah macam
tu, sayang. Abang ni bukannya banyak duit simpanan.. keluh Hadi dalam diam.
“Tak baik kita buat macam tu, sayang. Abang tak mahu jadi
anak derhaka dan abang pun tak suka Qay buat macam tu pada orang tua Qay.” Hadi
menjawab dengan sisa-sisa kewarasan yang masih ada. Kalau sebelum ini dia
sendiri pernah berfikiran singkat begitu, kini penyakit itu mula terjangkit
kepada Qay pula.
“Habis tu apa lagi jalan yang kita ada? Qay susah hati
fikir pasal ni. Papa takkan semudah itu faham kita, bang. Qay dapat rasa yang
papa takkan setuju kita berkawan. Qay tak sanggup jauh dari abang! Qay paling
takut kalau papa hantar Qay ke US semata-mata untuk jauhkan kita,” desah si
gadis bagaikan tidak tertahan dengan beban masalah yang sedang memberat di
benaknya ini. Janganlah hendaknya dia terpaksa memilih kerana jika itu berlaku
tidak mustahil dia akan melukakan hati emak dan ayah yang selama ini sudah
terlalu banyak bersusah payah untuknya.
Spontan Hadi menoleh kepada Qay. Kenyataan yang baru
disebut Qay membuatkan perasaannya berdetak hebat. “Untuk Qay abang sanggup
mengalah. Kalau papa Qay mahu abang jauhkan diri dari Qay asalkan Qay tak perlu
ke US abang akan buat. Takpelah.. asalkan abang dapat tengok Qay setiap hari
itu dah cukup bagi abang. Daripada kita berkeras tapi akhirnya kita terpisah
juga, apa gunanya? Papa Qay ada hak yang besar untuk tentukan hidup Qay. Abang
ni siapa, Qay? Abang baru datang dalam hidup Qay semenjak 3 bulan dulu,” jawab Hadi
lembut namun serius. Perit rasanya mengenang segala kemungkinan itu. Cintanya
baru bermula kini sudah dilanda aral yang melintang. Aral yang amat besar!
“Apa maksud abang ni? Abang nak kita putus?” soal Qay
tersentak dengan pengakuan Hadi.
“Bukan macam tu, sayang..”
“Abang sebenarnya tak sayangkan Qaykan? Abang cuma nak
main-main aja! Bodohnya Qay percayakan abang!” pintas Qay lantas bangun dari situ.
Sakit hati yang marak membakar membuatkan dia bagaikan tidak sanggup lagi
memandang wajah Hadi. Terlalu kecewa!
“Qay..” seru Hadi lantas tangan gadis itu dipegangnya
tidak membenarkan Qay meninggalkannya di situ.
“Tak payahlah kita cakap lagi! Buat sakit tekak aja kalau
itu akhirnya yang Qay dengar dari abang!” bentak Qay cuba melawan ombak ganas
yang sedang membadai dalam dirinya.
“Sayang, janganlah macam ni. Dengar dulu apa abang nak
cakap ni,” pujuk Hadi lembut. Jemari Qay terus digenggamnya bimbang gadis itu
lari sebelum mendengar penjelasannya.
“Qay tak tahu betapa susahnya hati abang sekarang ni.
Ayah Qay banyak duit, dia boleh buat apa saja untuk jauhkan Qay dari abang. Tapi
abang takde apa-apa untuk pertahankan hubungan kita ni melainkan perasaan
sayang abang pada Qay. Hanya itu! Berapa harganya kasih sayang tu pada orang
tua kita, Qay? Takde harga langsung! Dalam keadaan ni kita yang kena mengalah.
Bukan abang tak sayang Qay. Sebab sayanglah abang cakap macam ni. Abang tak
sanggup jadi pengenang sedangkan Qay dah takde lagi depan mata abang. Susah
senang Qay abang tak nampak. Sekurang-kurangnya walaupun kita tak dapat lagi
berjumpa begini tapi abang nampak Qay depan mata abang. Kita masih dapat
berjumpa di sekolah macam biasa. Itu maksud abang, sayang. Salah seorang kena
akur pada keadaan ni, Qay. Tapi mengalah bukan bererti kita dah kalah, sayang.
Abang percaya kalau kita sabar akhirnya apa yang kita harapkan akan jadi milik
kita. Percayalah! Kita hanya perlukan masa untuk biarkan keadaan jadi reda.
Sekurang-kurangnya abang boleh pujuk mak abang untuk faham tentang kita. Tapi
kalau Qay dah ke US abang dah tak tahu apa maknanya semua ni lagi. Abang dah
hilang segala-galanya. Dalam keadaan masih panas macam ni, abang sendiri tak
tahu nak bermula dari mana, Qay. Sebelah kanan mak abang.. sebelah kiri Qay.
Abang tertekan sangat, sayang. Jangan marah abang, please..” Hadi memujuk gadis itu lirih.
Qay mula lembut hati apabila melihat wajah sedih Hadi.
Perlahan dia mendekati lelaki itu. Wajah lelaki itu disentuhnya. “Jangan buat
muka macam tu. Nanti Qay menangis kat sini abang jugak yang susah,” katanya
mula mengendur nadanya.
“Cukuplah kalau Qay faham abang. Abang tahu keadaan ni
takkan semudah yang kita bayangkan. Abang kenal sangat mak abang tu. 30 tahun
tak cukup untuk membasuh kebencian di hati dia. Tapi kita sabar ya?” ucap Hadi
meminta sedikit pengertian Qay.
Qay sekadar mengangguk akur kepada kehendak Hadi. Ya! Dia
harus bersabar sekiranya dia tidak mahu kehilangan Hadi.
“Janjilah dengan abang, walau apa pun terjadi Qay takkan
lepaskan cinta abang dari hati Qay. Qay akan tetap bersama abang. Janjilah
dengan abang, walau sesusah mana pun Qay takkan berpaling dari kasih sayang
abang.”
“Qay janji, abang. Qay sanggup buat apa aja untuk abang
sebab Qay sayangkan abang sangat-sangat.” Qay membalas tulus dalam kesungguhan.
Tiada erti main-main baginya apabila dia mengucapkan kata cinta kepada Hadi.
Hadi memandang sayu wajah gadis itu. Ikutkan hatinya mahu
sahaja dipeluk tubuh Qay namun dia sedar di mana dia berpijak kala ini. Tetapi
hakikatnya biar sebesar mana halangan di hadapan mereka, semakin marak kasihnya
kepada gadis ini. Dia tidak ingin patah semangat secepat ini. Sayangnya dia
tidak punya apa-apa untuk mempertahankan cintanya kepada Qay. Walaupun sekadar
sepotong dua ayat untuk memujuk emaknya yang sarat dengan kebencian. Betapa
lemahnya dia saat ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mereka berdua terseret
dalam masalah lama itu sedangkan bukan kehendak mereka begitu.
Bantulah kami, Ya Tuhan. Restuilah cinta kami.. bisik
hati Hadi sendiri.
Bab 14
Tuan
Farouqe diam tidak menjawab kepada apa yang diutarakan isterinya itu. Namun
perubahan ketara kepada wajah suaminya sudah membenihkan rasa tidak enak ke
dalam diri Puan Azreena. Sudah diagaknya. Suaminya tidak akan mudah bertolak
ansur. Mata wanita itu terus menghantar langkah suaminya ke jendela bilik tidur
mereka. Lelaki itu termenung di situ.
“Awak pasti ke yang budak lelaki tu anak Saadiah?” soal
Tuan Farouqe seolah-olah tidak percaya kepada cerita isterinya sebentar tadi.
Aduhai.. kenapa semua ini datang kepadanya saat dia masih dibaluti keletihan
pulang dari jauh? Cubaan apakah ini? Bisik hati si ayah sendiri.
“Memang betul Hadi anak Saadiah. Dia sendiri yang
mengaku. Dia pun tahu apa yang membelenggu keluarga kita selama ini,” jawab
Puan Azreena lembut sahaja.
“Saya tak suka apa yang dia buat ni!” tegas Tuan Farouqe
sedikit keras kepada isterinya itu. Dari jendela itu dia menoleh kepada
isterinya dengan pandangan tajam. Apa yang diperdengarkan Puan Azreena
kepadanya terlalu mengejutkan. Terlalu mengerikan untuk diterimanya begitu
sahaja!
“Mereka berdua saling mencintai, Farouqe. Kita tak boleh halang
perasaan mereka.”
“Saya boleh halang anak saya dari berbuat apa yang saya
tak suka! Sama ada mereka berdua putuskan hubungan atau saya akan hantar dia
kepada ayah saya di US. Dia kena buat pilihan!” tegas Tuan Farouqe lantas
meninggalkan Puan Azreena sendirian di bilik tidur mereka itu.
Puan Azreena mengeluh perlahan sambil terus memandang
sehingga bayang suaminya itu menghilang di sebalik pintu bilik mereka. Buat
seketika dia termangu memikirkan Qay. Dia sendiri tidak mampu membayangkan apa
reaksi Qay dengan keputusan suaminya itu. Anaknya itu masih terlalu muda. Jika
salah perhitungan mereka sebagai orang tua akan melihat penentangan dari anak
kandung mereka sendiri.
Puan Azreena akhirnya pergi mencari suaminya itu di bilik
bacaan. Di sana dia menemukan Tuan Farouqe sedang termenung sendiri di meja
kerjanya. Dia tahu hati suaminya tidak tenang setelah mendengar apa yang
diberitahunya tadi. Manakan tidak.. perasaan itu juga yang menghuni hatinya
semenjak dia mendapat tahu hubungan Qay dan Hadi.
“Bagaimana caranya kita nak menentang hubungan mereka
berdua, Farouqe? Dia anak kita. Sanggup ke awak tengok dia menangis?” Puan
Azreena memulakan bicaranya setelah dia duduk di sofa.
“Biarkan dia menangis di hadapan saya hari ini. Saya tak
mahu dia menangis di tangan orang lain. Saya tak yakin lelaki itu sesuai dengan
Qay. Atau sekurang-kurangnya lelaki yang akan dikahwini Qay nanti mestilah bukan
dari keturunan Mariam!” ucap Tuan Farouqe serius.
“Apa masalahnya kalau dia dari keluarga Mariam? Mereka berdua
tak minta untuk jatuh cinta, Farouqe. Ini semua ketentuan Allah.” Tenang sahaja
suara Puan Azreena berbicara dengan suaminya itu.
Tuan Farouqe mendegus tidak senang dengan bicara
isterinya itu. Tidak! cinta ini salah. Dia harus menghalangnya. Dia sama sekali
tidak akan merestuinya! “Saya tak mahu Qay meneruskan hubungan dengan budak
lelaki tu. Awak beritahu dia atau saya akan buat ikut cara saya, Reen!” serius
nada Tuan Farouqe menandakan dia tidak mahu sebarang kompromi dari sesiapa saat
ini.
“Apa masalahnya jika dia dari keturunan Mariam, Farouqe.
Mereka masih halal berkahwin.”
“Saya tak suka!” bentak Tuan Farouqe agak keras. “Dia
anak saya! Saya walinya dan saya belum terfikir nak mengahwinkan dia dalam masa
terdekat ni. Terutama sekali dengan budak lelaki tu. Jangan fikir dia dah cukup
dewasa sampai dia boleh buat sesuka hatinya. Saya ayahnya, masih hidup!” tanpa
sedikit pun menurunkan nadanya Tuan Farouqe menambah lagi bicaranya. Tidak! Dia
punya sebab yang kukuh untuk menghalang cinta anaknya kepada lelaki kampung
itu.
“Saya tak pernah membayangkan dia akan pergi sejauh ini,
Reen. Dia tak tahu apa yang sedang berada di hadapan dia jika dia terus bersama
dengan budak lelaki tu. Saya tak mahu memperjudikan nasib dia untuk sesuatu
yang saya rasa amat mustahil! Biar dia menderita sekarang kerana melupakan
lelaki itu. Asalkan dia tak menjadi ‘alas kubur’ kepada dendam orang lain. Saya
tak sanggup tengok anak saya menderita kemudian hari. Saya terlalu sayangkan
Qay, Reen. Dia satu-satunya anak saya dan dia masih terlalu muda untuk
menanggung semua kesusahan ni. Kalau saya ada pilihan lain, saya takkan bawa
dia ke sini sehingga dia bertemu dengan lelaki tu.” Tuan Farouqe terus
meluahkan perasaannya. Ada terselit sedikit nada sayu dalam suaranya.
Puan Azreena memandang lama tampang suaminya itu. Tegang!
Itulah yang terhias di wajah putih berjambang lebat itu. Dia mengerti apa yang
dibimbangi Tuan Farouqe. Dia tahu dalam menungan suaminya itu hanya gambaran
Saadiah memaki hamun mereka yang diimbas oleh suaminya. Di telinga lelaki itu,
kata-kata kesat dan sumpah seranah Saadiah kepada mereka sekeluarga tidak
pernah lepas. Tetapi untuk membuatkan Qay mengerti dan menerima keputusan
suaminya, dia terasa berat. Mahukah anaknya itu menerima keputusan suaminya ini
tanpa memberontak dan bermasam muka?
“Saya akan beritahu dia nanti. Tapi Farouqe, tolong
jangan berkasar dengan Qay. Kita dah putuskan kasih sayang mereka berdua.
Perasaan mereka pasti cedera. Kita sebagai orang tua kena mengalah. Dia
perlukan masa untuk lupakan semua ni.”
Tuan Farouqe mengangguk perlahan. “Saya akan bincang
dengan ayah saya nanti. Saya mahu Qay ke US.” Nada lelaki itu mula mengendur
sambil dia memicit pelipisnya. Pening kepalanya memikirkan masalah demi masalah
yang masih tidak selesai.
“Perlu ke kita buat macam tu?”
“Saya tak mahu dia jumpa lelaki tu lagi!” serius lagi
nada Tuan Farouqe.
Puan Azreena menghela nafas perlahan. “Farouqe, anak kita
manusia biasa. Kita jugak bukan Tuhan yang boleh buat apa sahaja ikut kehendak
kita. Awak tak rasa ke tindakan kita memaksa dia ke US akan memburukkan lagi
keadaan dia lepas ni? Kita tak boleh paksa dia buat sesuatu yang dia tak mampu,
Farouqe. Mereka berdua tak salah langsung dalam hal arwah Mariam. Awak sanggup
ke menentang kebencian dia kalau dia tak mampu menerima keputusan awak?”
Tuan Farouqe bangun dari kerusinya. Kali ini dia
mendekati isterinya itu lalu duduk di kawasan yang sama. “Saya nampak masa
depan yang dia tak nampak kerana matanya sudah dikaburi oleh cinta, Reen. Saya
bukan seorang ayah yang kejam! Tapi saya seorang ayah yang tak sanggup melihat
anak saya menjadi mangsa dendam orang lain. Awak fikir kalau mereka berkahwin
Saadiah akan menerima anak kita dengan tangan terbuka?”
“Saya tahu. Saya ibu dia, saya juga nampak apa yang awak
nampak. Tapi Farouqe.. Allah turunkan ujian-Nya pada kita tentu ada sebabnya.
Jika bukan hari ini mungkin lain masa kita akan dapat jawapannya. Sampai bila
kita nak kongkong dia supaya dia ikut kehendak kita, Farouqe? Sampai bila kita
nak sediakan pengawal untuk kawal dia ke mana-mana dia pergi? Sampai satu masa
setiap kesusahan yang dia lalui dia akan laluinya sendiri. Kita takkan
selamanya boleh temankan dia! Dia perlu belajar dari pengalaman hidup ni,
Farouqe. Allah sentiasa ada mengawal seisi alam ini. Kenapa kita nak takut
sedangkan Allah selalu ada dengan kita?”
Nada lembut isterinya membuatkan Tuan Farouqe terdiam.
Kebenaran yang dibawa Puan Azreena membuatkan dia menjadi pemikir kala itu.
Adakah dia terlalu mengongkong Qay selama ini? Dia sedar Qay memang tidak
sebebas anak-anak muda yang lain. Anak itu tidak boleh sewenang-wenangnya
keluar dari rumah untuk berhibur atau menghabiskan masa di pusat membeli belah.
Dunia Qay selama ini hanya di rumah dan di sekolah. Salahkah cara dia mendidik
anaknya? Dia cuma tidak mahu Qay terdedah kepada anasir buruk dunia luar.
“Farouqe, biarlah dia buat keputusan dia sendiri. Dia dah
besar, Farouqe. Kita sebagai orang tua hanya perlu memantau keadaan dia.”
“Apa maksud awak? Awak setuju dia berkawan dengan lelaki
tu?”
“Budak lelaki tu baik, Farouqe. Saya nampak dengan mata
kepala saya sendiri, mereka berdua memang saling menyayangi. Saya akan patuh,
kalau awak tetap mahu Qay putuskan hubungan dengan Hadi. Tapi saya tak setuju
awak pindahkan dia ke US hanya kerana itu. Saya tak mahu menyiksa perasaan dia
sedangkan dia baru nak kenal dunia. Lagipun saya tak mahu pindahkan dia ke sana
ke mari bila timbul satu masalah. Seolah-olah dia sudah berbuat salah dan perlu
bersembunyi. Ini tempat kita, Farouqe. Berapa kali kita harus datang dan pergi
dari tempat ni?” Suara Puan Azreena tetap teralun lembut biarpun dia sedar
suaminya sedang berbahang oleh rasa tidak puas hati. Soal Qay dia tidak mahu
menganggap setiap arahannya mampu diikuti oleh anaknya seolah-olah anak itu
masih berusia 5 tahun. Mereka harus bertolak ansur dalam soal ini kerana bukan
mudah untuk mereka mengikis perasaan sayang di hati seseorang dengan kekerasan
dan paksaan.
Tuan Farouqe menghela keluhan perlahan. Kebenaran yang
sedang dibuka oleh isterinya itu membuatkan dia serba salah. “Saya tak kuat,
Reen.” Dia berkata perlahan.
“Farouqe, kesalahan yang dia lakukan, natijahnya itu
nanti yang akan membuka pemikiran dia untuk belajar tentang hidup. Kesilapan
yang dia sendiri lakukan, dia sendiri juga yang harus memperbetulkan kesalahan
tu. Kita tak boleh selamanya jadi bayang-bayang dia. Dia sendiri yang akan
tentukan apa yang baik dan apa yang tidak dalam hidup dia. Kita kena beri dia
peluang dan percaya pada dia, Farouqe. Kalau kita terlalu mengongkong dia, tak
mustahil bila dia lepas bebas suatu hari nanti dia takkan mahu balik ke sini
lagi. Awak mahu itu berlaku? Awak nak dia salahkan kita atas setiap pilihan
yang kita buat untuk dia?”
Tuan Farouqe akhirnya menoleh kepada isterinya itu.
Perlahan dia menghulurkan tangan kepada Puan Azreena. “Saya ikut nasihat awak,
Reen. Mungkin saya terlalu bersangka buruk. Saya cuma bimbangkan dia.”
“Sekarang bukan lagi sesi belajar di sekolah, Farouqe.
Semua tu dah hampir tamat. Sekarang dia harus belajar berhadapan dengan
kesusahan atas dunia. Takde cikgu yang boleh kita upah untuk ajar dia melainkan
dia berfikir sendiri tentang setiap cabaran dan ujian yang Allah berikan pada
dia. Tapi percayalah, perlindungan yang kita berikan pada dia tak setara dengan
perlindungan dan kasih sayang yang Allah berikan pada dia. Kita kena yakin.”
Perlahan lelaki itu mengangguk. Dia sedar semua itu.
Tetapi hatinya seorang ayah sepertinya terlalu takut. Bimbang anaknya tidak
mampu menahan segala kesusahan yang ada atas dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.