Bab 3
Mariani masuk ke bilik itu sebaik sahaja dia terdengar suara Tuan Farouqe menjawab
kepadanya. Seperti biasa bilik mewah itu hening sahaja menandakan tuan punyanya
sedang asyik berkerja sendirian. Pintu bilik itu dirapatkan dengan penuh
hati-hati oleh Mariani seolah-olah tidak mahu ada sebarang bunyi menganggu
tumpuan bosnya itu.
“Ada apa, Mar?” soal Tuan Farouqe tanpa memandang
setiausahanya itu.
“Maaf, tuan. Ada seseorang nak berjumpa dengan tuan.
Penting katanya.” Mariani berkata lembut. Ada rasa sedikit rasa gentar memalu
dadanya kerana tadi dia sudah diingatkan oleh majikannya ini agar tidak membawa
mana-mana tetamu kepadanya. Dia mahu bersendirian.
“Siapa?” Tuan Farouqe terus mengangkat pandangannya
kepada Mariani yang tegak berdiri di hadapan mejanya.
“Nama dia Jeffry..”
“Oh! Bagi dia masuk!” sambut Tuan Farouqe pantas sebaik
sahaja nama itu diperdengarkan kepadanya. Berubah air mukanya seolah-olah nama
itu cukup penting kepadanya.
Mariani akur lantas dia berundur untuk keluar dari bilik
itu. Tetamu yang sedang menanti di sofa tidak jauh dari bilik CEOnya itu
digamit agar masuk ke bilik Tuan Farouqe segera.
Lelaki berjaket jeans dan berseluar jeans biru tua itu
lantas bangun dari duduknya. Muka pintu bilik CEO Urban Corporation itu
dijengahnya. Setelah direnggangkan oleh setiausaha Tuan Farouqe, Jeffry terus
menapak masuk.
“Salam, Tuan Farouqe..” ucap Jeffry lembut kepada lelaki
di dalam bilik itu.
“Salam. Silakan duduk, Jeffry.” Tuan Farouqe menyambut
mesra. Lelaki itu dipelawa duduk di sofa di satu sudut di dalam bilik itu. Dia
ikut bangun untuk menyertai Jeffry di tempat yang sama.
“Dah lama saya tunggu kamu telefon saya tapi kamu takde
telefon. Saya ingat kamu dah lupa kerja yang saya minta kamu buat.” Tuan Farouqe
berkata lembut kepada lelaki itu. Rasanya sudah lebih tiga bulan berlalu baru
kini Jeffry datang kepadanya.
Jeffry ketawa perlahan sebelum menjawab. “Ish! Mana boleh
lupa, Tuan Farouqe. Saya tengah sibuk sekarang. Kat balai ada banyak kes. Lagipun
nak kesan orang yang sudah lebih 30 tahun tak berjumpa ni bukan senang. Saya
kena rujuk semula dengan pejabat pendaftaran untuk dapatkan maklumat. Tap kali
ni saya datang sebab saya dah ada segala maklumat yang Tuan Farouqe suruh saya
cari. Semuanya ada kat dalam sampul ni.” Lelaki itu segera menyerahkan sebuah
sampul surat berwarna putih bersaiz agak besar kepada Tuan Farouqe.
Sampul itu segera bertukar tangan. Isi kandungannya
pantas dikeluarkan untuk dilihat oleh lelaki bersut hitam itu. Suasana bilik
itu senyap sunyi sementara Tuan Farouqe meneliti segala dokumen yang ada berada
di tangannya. Jeffry pula mengambil peluang itu meneliti bilik kerja lelaki
kaya itu. Memang hebat! Segala perabot yang ada kelihatan cukup eksklusif.
Sesuai dengan jawatan yang disandang oleh lelaki berkulit putih ini.
“Saya rasa ini dah cukup membantu.” Tuan Farouqe
mengangguk puas hati dengan dokumen yang diserahkan oleh Jeffry kepadanya.
Alamat lama yang tertera di dalam dokumen itu sama seperti alamat yang terdapat
di dalam dokumen simpanannya pula. Rasanya inilah orang yang dicarinya itu.
“Kalau ada apa-apa bantuan yang tuan perlukan selepas ni,
jangan segan-segan beritahu saya. Apa yang saya boleh bantu, saya akan bantu.”
“Terima kasih banyak-banyak, Jeffry. Hasil kerja kamu ni
terlalu bermakna buat saya. Saya akan segera hubungi kamu kalau saya perlukan
apa-apa bantuan nanti. Insya-Allah..”
“Sama-sama..”
Tuan Farouqe bangun seketika untuk ke mejanya. Sehelai
cek dicarik dari buku ceknya setelah sebuah amaun dilakarkan di atas kertas
itu. Kemudian dia kembali semula kepada Jeffry. “Ini bayaran setimpal untuk
hasil kerja kamu.”
Jeffry menyambut cek itu. Hampir tersembul biji matanya
melihat amaun yang tertera di situ. Jauh berbeza dari apa pernah yang
dijanjikan oleh lelaki ini sebelum itu. “Banyak sangat ni..” katanya dalam
sedikit resah.
“Saya sengaja bagi lebih. Anggap saja itu bonus untuk
kamu.”
Jeffry menelan liurnya kelat. Bimbang pula ada yang
tersalah tafsir dia memakan rasuah pula kerana dia masih lagi menjawat jawatan
sebagai anggota polis. Silap percaturan dia boleh disiasat oleh pihak atasan.
“Saya beri itu untuk kamu dan keluarga kamu. Jangan
risau. Kamu buat kerja untuk saya dan saya bayar kamu. Kamu bukannya buat kerja
haram untuk dapat wang itu. Saya gunakan khidmat kamu kerana saya yakin saya
takkan mampu mendapatkan maklumat selengkap ini,” ujar Tuan Farouqe seakan
mengerti sedikit menungan lelaki di hadapannya itu.
Jeffry mengangguk perlahan. Dia harus yakin. Pedulikan
pandangan orang lain. Apa yang penting dia bukannya buat kerja haram untuk
lelaki ini. Dia sekadar menggunakan kepakarannya mencari orang yang mahu dicari
oleh Tuan Farouqe.
“Kalau macam tu saya pergi dululah. Saya pun kena balik
ke balai ni. Banyak kes menanti saya di balai sana.” Jeffry lantas bangun dari
duduknya. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman dengan lelaki itu.
“Terima kasih sekali lagi, Jeffry.” Tuan Farouqe segera
menyambut huluran tangan tetamunya itu.
“Sama-sama, Tuan Farouqe.”
Sepeninggalan Jeffry, Tuan Farouqe kembali meneliti
dokumen itu di meja kerjanya. Kalau boleh alamat yang tertera di dalam dokumen
itu mahu dihafalnya agar mudah dia mencari si penama itu. Syukur, pencariannya
tidaklah selama mana jika dibandingkan dengan kisah yang sudah lebih 30 tahun
berlangsung begitu sahaja tanpa penyudah. Dia berharap kali ini segala
kekeruhan yang ada dapat dijernihkan. Demi Mariam yang selama ini menanggung
beban akibat hasad dengki orang lain. Juga demi nama baik bapanya yang sudah
lama hitam oleh fitnah dasyat itu!
Selesai dengan dokumen yang diberikan oleh Jeffry, Tuan
Farouqe membuka pula sebuah laci di meja kerjanya. Samput surat yang berisi
segala dokumen berkaitan Mariam diambilnya. Dari dalam dokumen itu dia
mengeluarkan sebuah lagi sampul surat yang agak kecil. Itu adalah warkah
tulisan tangan arwah Mariam yang harus disampaikan kepada orang yang berkenaan.
Tuan Farouqe memandang lama surat yang masih bergam tidak
berbuka itu. Semenjak pertama kali surat ini diberikan kepadanya, dia
sebenarnya terlalu ingin tahu isi kandungan tulisan tangan arwah Mariam itu.
Tetapi dia sedar surat itu adalah amanah. Surat itu harus dibuka oleh si
pemiliknya kemudian barulah isi kandungannya diperdengarkan kepada mereka yang
lain. Tiada sesiapa berhak membaca surat itu sebelum si pemiliknya.
Kenangan lama terimbau lagi dikotak memorinya. Arwah
Mariam pernah menjadi pengasuhnya sehingga dia berusia 15 tahun. Kemudian
ayahnya menikahi Mariam atas dasar tanggungjawab. Dia cukup sedar, ayahnya
bukan berniat mahu berniat serong kepada gadis muda itu selama mereka tinggal
di kediaman yang sama. Namun fitnah itu merosakkan nama baik ayahnya itu. Mujurlah
emaknya mampu memahami dan menerima semua dugaan itu dengan baik. Malahan
emaknya menjaga arwah Mariam dengan baik ketika wanita itu masih bernyawa.
Walaupun sudah remaja namun dia tidak begitu memahami apa
sebenarnya yang berlaku waktu itu. Bagi pihak mereka sekeluarga mereka memang
sedar cerita itu sekadar tohmahan orang kepada mereka. Juga ujian kepada mereka
sekeluarga yang selama ini amat disanjung orang. Tetapi bagi keluarga arwah
Mariam cerita itu adalah sejarah hitam yang terus memalit lumpur memalukan di
wajah keluarga mereka. Kerana itu dia harus pulang ke sini.
Tuan Farouqe kembali meletakkan warkah itu di dalam
sampul surat itu. Kemudian di simpan semula di tempat yang sama. Segala dokumen
itu amat penting buat dirinya. Kerana itulah bukti amanah yang sedang
dipikulnya. Selagi ada nyawa di badan dia akan berusaha sehabis mungkin untuk
menjernihkan semula kekeruhan yang ada. Insya-Allah..
“Aku
dah buat apa yang kau nak. Apa lagi yang kau nak ha?” jerkah lelaki itu kasar.
Terkejut dia dengan perbuatan kasar lelaki-lelaki itu menariknya ke tanah. Sangkanya
dia bijak mengatur rancangan tetapi rupanya mereka semua ini terlebih dahulu
maju selangkah daripadanya. Kini dia sudah terperangkap.
“Aku dah takde pilihan lain. Aku terpaksa hapuskan kau
sebab aku tak mahu hal ni kecoh sampai ke pengetahuan polis.” Seorang lelaki yang
merupakan ketua menjawab selamba.
“Tapi kau dah janji takkan apa-apakan aku dan keluarga
aku kalau aku ikut cakap kau. Apa lagi yang kau nak?” tekan lelaki bernama
Hamidi itu. Ketiga-tiga lelaki di sekelilingnya itu dipandang bergilir-gilir
dengan harapan ada salah seorang daripada mereka akan mendengar rayuannya.
Hajatnya cuma satu. Sekiranya dia dapat melepaskan diri hari ini segala
kepincangan yang sudah dapat dibongkarnya selama akan dibawa ke tengah!
“Ini arahan bos aku. Dia tak mahu kau hidup sebab selagi
kau ada rahsia ni takkan selamat. Dia tahu kau ni jenis yang tak boleh
dipercaya. Tak sama macam pegawai-pegawai sebelum ni. Jadi aku kena hapuskan
kau!” tegas lelaki itu semula.
“Takkan selamat kau atas dunia ni lepas apa yang kau dah
buat pada aku. Kau ugut aku supaya aku buat kerja yang menyalahi undang-undang.
Sekarang kau nak bunuh aku! Aku sumpah sampai mati pun kau takkan selamat!”
ucap Hamidi sudah kehabisan idea untuk merayu. Jika diminta untuk merahsiakan
hal itu, dia memang tidak boleh berjanji. Dia akan sentiasa mencari peluang
untuk membongkarnya.
Lelaki tadi ketawa perlahan melihat lagak Hamidi. “Dah
nak mampus pun nak berlagak lagi?” cemuhnya kesat.
“Kau boleh buat apa yang kau suka. Tapi jangan lupa Allah
ada melihat semuanya. Aku tahu kau takkan berhenti selagi kehendak kau orang
semua tak dapat dipenuhi. Aku bergantung pada Allah. Suatu hari nanti kau akan
terima balasannya!” ujar Hamidi kesat. Dia bukan orang yang senang dibeli
dengan kemewahan dunia.
Lelaki tadi duduk mencangkung di hadapan Hamidi yang
berikat tangan ke belakang. Rambut lelaki itu dicekaknya lalu ditolak
kebelakang dengan kasar. “Doa cepat supaya anak bini kau di rumah tu tak
diapa-apakan oleh bos aku. Kalau bos aku arahkan aku untuk hapuskan dia orang
jugak maknanya dia orang akan join
kau kat kubur tak lama lagi,” ucap lelaki itu sambil ketawa sinis.
“Allah ada untuk lindungi mereka. Aku tak takut dengan
kau. Aku lebih rela mati menegakkan kebenaran daripada hidup dalam kesesatan
macam kau orang ni semua! Kau jangan fikir semuanya boleh lepas semudah itu.
Aku mati di sini hari ni bukan sebab kau orang dah cukup hebat mampu mencabut
nyawa aku tapi sebab Allah yang tentukan ajal aku sampai hari ni. Tapi kau
jangan lupa, kau juga akan disapa sakaratul maut suatu hari nanti!”
“Argh! Banyak cakap pulak dia ni..” bentak lelaki tadi
keras. Seram pula dia mendengar tazkirah lelaki itu. Dah macam talkin pun ada.
Insaf seketika, tak jadi rasanya dia mahu membunuh. Tetapi masalahnya dia
terpaksa. Kalau dia tidak membunuh lelaki ini bermakna bosnya akan membunuh dia
pula.
Enggan membuang masa di situ tambahan pula suasana sudah
cukup kelam, lelaki itu terus melaksanakan agendanya. Lelaki tidak bersalah itu
dirodok dengan pisau untuk menamatkan riwayatnya. Kemudian tubuh lelaki malang
itu dihumban ke gaung untuk mengelakkan orang lain mendapat tahu tentang
kematian lelaki bernama Hamidi itu.
“Kau dah buat apa yang aku suruh
sebelum ni?” soal Mahmud kepada Budin orang kanannya itu. Rokok yang sudah
tinggal sedikit akibat disedut olehnya itu, dihumban agak jauh darinya. Puntung
yang masih berasap itu jatuh betul-betul di celahan rumput kawasan ladang
kelapa sawit itu. Dengan lagak penuh keangkuhan kepulan asap nikotin itu
dihembus keluar dari rongga paru-parunya.
“Dah. Ini yang abang nak tu..” jawab Budin sambil
menyerahkan sekeping kertas bersampul kepada Mahmud.
Sehelai dokumen yang merupakan geran tanah dikeluarkan
oleh Mahmud dari dalam sampulnya. Apa yang tertera di atas kertas itu dibacanya
dengan teliti. Seketika kemudian dia terus tersenyum puas hati. Geran tanah itu
kembali dimasukkan ke dalam sampul.
Sekarang ni tanah ni dah jadi hak mutlak aku. Kau orang
dah tak boleh rampas semula tanah ni! ucap hatinya puas.
“Budak hingusan tu macamana?” soal Mahmud masih tidak
berpuas hati dengan perkembangan mereka. Wajah Budin ditatap sambil bersandar
kepada keretanya.
“Budak tu saya dah habiskan macam yang abang suruh.
Petang semalam saya dah selesaikan dia,” ujar Budin akur bagaikan hamba kepada
lelaki bernama Mahmud itu.
Mahmud mengangguk puas hati. Rasanya tak perlulah dia
meminta jantung atau limpa atau buah pinggang sebagai bukti hasil kerja Budin
seolah-olah peristiwa laksamana Hang Jebat membunuh Hang Tuah pula. Dia
sentiasa percayakan Budin.
“Ini upah kau dengan budak-budak kau! Ingat! Ini semua
rahsia kita berdua aja. Jangan sampai orang lain tahu. Faham?” ucap Mahmud
lantas membuka pintu keretanya. Sebuah sampul surat yang agak sarat diserahkan
kepada Budin.
Budin sempat membelek isi kandungan sampul itu sepintas
lalu. Ada beberapa ikat not 50 yang agak tebal terhias kepada pandangan
matanya. Lalu kepada arahan Mahmud tadi dia sekadar mengangguk akur kerana
matanya kini sudah terhias oleh simbol duit. Lagipun ucapan seperti itu sudah
biasa didengarinya kerana ini bukanlah kali pertama dia melakukan kerja-kerja
kotor untuk Mahmud. Dia senang kerana selama dia menghambakan diri kepada
Mahmud hasil kerjanya dibayar lumayan. Seperti hari ini! Budin sudah
terbayangkan bilik karaoke taraf vip yang akan ditempahnya untuk melepaskan
giannya beradu suara. Bolehlah dia berlagak seolah-olah sedang membuat konsert
di hadapan peminat-peminatnya.
“Lagi satu, bagitahu budak-budak kau. Buat sementara
waktu ni jangan tunjuk muka kat sini. Aku tak mahu orang syak kita apa-apa
kalau kita selalu sangat berjumpa.”
“Jangan risau, bang. Budak-budak tu semua budak luar.
Lepas dapat upah dia orang semua berambus dari sini. Mereka tak campur hal
kita,” jawab Budin segera.
“Bagus.. ini yang aku suka dengan kau ni. Bijak!” puji
Mahmud senang. Bertahun dia mengupah Budin, belum ada satu pun kerja yang
diarahkan gagal dilaksanakan Budin sebaik-baiknya.
“Ada apa-apa yang abang perlukan, call aja saya macam
biasa. Saya akan bereskan.”
“Oh ya! Aku terlupa sesuatu. Aku nak kau cari mana tempat
tinggal budak perempuan ni. Dia satu sekolah dengan anak aku. Sebaik saja kau
tahu mana dia duduk kau terus bagitahu aku! Tapi jangan usik dia. Aku cuma nak
tahu mana mak bapak dia tinggal. Itu saja!”
Budin menyambut sekeping kertas yang dihulurkan oleh
Mahmud setelah diambil dari poket seluarnya. Bukannya gambar seperti yang
jangkanya sebaliknya ada sepotong nama siap dengan nama kelasnya sekali.
Qaira Syahreena Binti Muhamed Farouqe
Tingkatan 4 Sains 1
Mak ai.. siap ada nama kelas. Kenapa tak tulis nama cikgu
kelas dengan cikgu besarnya sekali? barulah lengkap maklumat ni. Budin sempat
mengomel dalam hati.
“Baik, bang..” Budin sekadar akur tanpa mahu bertanya
siapa budak perempuan itu. Dia masak benar dengan Mahmud. Jika dia perlu tahu
Mahmud sendiri akan memberitahunya. Mahmud tidak suka dia bertanya jika perkara
itu rahsia bagi Mahmud.
Sepeninggalan Budin, Mahmud termenung sendiri sambil
memandang kawasan ladangnya itu. Dengan kehadiran geran tanah itu bermakna
pemilikannya ke atas ladang ini sudah sah. Tiada siapa boleh mempertikaikannya
lagi. Walaupun pada hakikatnya si empunya sebenar masih tidak membuat sebarang
tuntutan ke atas tanah berkeluasan lebih seratus hektar ini. Namun dia harus
bersiap sedia sebelum semua itu berlaku. Selama 30 tahun ini segala rancangannya
sudah hampir berjaya. Tiada siapa boleh mempertikaikannya lagi.
Ladang ni hak aku! Hak aku sampai bila-bila. Takde siapa
boleh ambil dari aku! Pekik si hati yang kian sendat dengan tamak haloba.
“Qay..” sapaan itu membuatkan Qay menoleh pantas ke kirinya. Melihat gerangan yang
menegur dia lantas tersenyum. Bertemu lagi mereka setelah beberapa minggu
berlalu.
“Kak Sal..” jawabnya lembut.
“Kenapa tengok dari pintu aja? Masuklah kalau nak join,”
ajak Salina mesra.
“Takpe ke Qay masuk? Qay bukannya ambil bahagian pun.
Saja je tengok dari sini. Nampak macam menarik aja,” ucap Qay sedikit
tersipu-sipu. Dia sekadar berminat melihat latihan persembahan teater itu.
“Apa salahnya. Masuklah. Kak Sal pun nak tengok
budak-budak sastera ni training.
Tengok kat dalam tu. Ramai yang tengah tumpang tengok. Jomlah!”
Ajakan bersungguh itu disambut baik oleh Qay. Dia masuk
ke dalam dewan itu seiringan dengan Salina. Kebanyakan peserta-peserta
persembahan teater itu terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar kesusasteraan
tingkatan 6 dan 5. Hanya ada dua tiga orang yang dari kelas sains. Walaupun dia
lebih banyak belajar tentang sains dan matematik namun tidak bermakna dia tidak
suka dengan acara seperti ini. Mereka duduk bersila di atas lantai bersama
dengan puluhan pelajar lain yang ikut menonton.
“Qay suka dengan teater?” tanya Salina sengaja mahu
mencungkil sejauh mana minat gadis itu kepada bahasa sastera.
“Suka sangat-sangat. Dulu papa pernah bawa Qay tengok
teater kat Istana Budaya. Semenjak tu Qay suka dengan teater. Kat sekolah lama
dulu pun ada diadakan persembahan teater bila pihak sekolah anjurkan annual
dinner dengan ibu bapa.”
“Really? Papa
Qay pun suka teater? Papa Qay pandai cakap Bahasa Melayu ke?”
Qay tergelak mendengar soalan Salina. Rupanya dia terlupa
memberitahu Salina yang ayahnya sememangnya amat fasih berbahasa Melayu. “Papa
tu suka makan sambal belacan sama macam orang Melayu lain, kak. Dia lagi pakar
dari orang lain.”
Salina pula tergelak dengan jawapan simbolik Qay. Ya tak
ya juga. Kalau dah lama mendiami bumi Malaysia, masakan masih gagap bercakap
bahasa ibunda negara ini.
“Ini kisah tentang apa, kak?”
“Teater ni tentang kisah Mahsuri..”
“Oh! Kisah pasal Pulau Langkawikan? Kisah fitnah yang
menimpa seorang wanita sehingga dia mati dihukum oleh abang ipar dia sendiri.”
Qay pantas menyambut teruja. Dia ada mendengar tentang kisah itu dari gurunya
sebelum ini. Kisah itu dirasakan agak tragis.
Salina pantas mengangguk. “Yang melakonkan watak Deramang
tu adik akak, kalau Qay nak tahu.” Salina berkata sambil menunjukkan ke arah
pentas. Kebetulan pula babak persembahan itu sudah bertukar.
Qay terus memandang ke arah yang ditunjukkan Salina.
Terpana dia melihat seorang jejaka yang sedang berlatih di tengah pentas itu
bersama seorang lagi gadis yang melakonkan watak Mahsuri. Di tangannya ada
seruling.
Dia?? Hati Qay berdetak sendiri. Rupanya lelaki itu adik
kepada Salina.
“Itu adik akak? Nama dia Hadi kan?” tanya Qay bersungguh.
“Eh! Qay kenal ke?”
“Waktu Qay mula masuk ke sekolah ni dulu dia yang
tunjukkan mana satu kelas Qay.” Qay menjawab sambil memandang Hadi yang masih
ralik dengan latihannya. Langsung tidak sedar ada mata yang sedang memerhatikan
dia dengan asyik.
“Itu adik akak yang nombor dua. Akak ada tiga lagi adik
tapi semuanya di sesi petang.” Tanpa disuruh Salina memberitahu tentang
keluarganya.
Qay mengangguk perlahan. Ramai juga adik beradik kakak
senior ini. Dia pula tiada langsung adik beradik. Kadang-kadang dia teringin
juga untuk menjadi seorang kakak. Tetapi dalam mimpi sajalah! Mungkin tiada
rezeki dia untuk ada adik beradik ramai macam Salina. Kerana ayahnya sendiri
juga anak tunggal. Dah keturunan..
Akhirnya Qay sekadar berdiam diri memandang Hadi berlakon
di atas pentas. Salina sendiri mula khusyuk mengikuti jalan cerita itu. Tanpa
sedar dalam diam hati Qay asyik memuji. Orang kalau dah kacak ni, berlakon
watak sebagai Hitler pun nampak macam sedang berlakon watak suami mithali.
Begitulah gayanya. Dia terpana dan terus terpana seolah-olah Juliet yang sedang
terharu diberikan sebiji Mercedec Benz oleh Romeo pada zaman belum ada Mecedec
Benz. Semua yang dilakukan Hadi nampak cukup berkarisma di matanya walaupun ada
sesekali dia melihat Hadi menguap kebosanan apabila latihannya asyik dihentikan
kerana ‘Mahsuri’ selalu lupa skrip.
Hensemnya dia.. puji Qay dalam hati. Seluruh pandangannya
tertumpu sepenuhnya kepada lelaki itu bagaikan hanya lelaki itu sahaja berada
di pentas. Setiap kali itu hatinya berkata, lelaki itu memang lain dari yang
lain. Apa yang lainnya dia sendiri pun tak tahu. Tapi pada mata perempuannya
lelaki itu sememangnya tidak mampu dipandang sama seperti mana dia memandang lelaki
lain.
Kan best kalau
dia jadi pakwe aku.. keluh hatinya tiba-tiba. Ah, sudah.. Qay dah melalut
sendiri. Semenjak kebelakangan ini dia sudah ada tabiat baru. Berangan
tinggi-tinggi!
Teringin benar Qay mahu bertanya lanjut tentang lelaki
itu kepada Salina. Tetapi seganlah pulak. Antara soalan yang ingin sangat
diajukan ialah, kenapa adik akak tu hensem sangat ya? Soalan kedua ialah, adik
akak tu dah ada steady girlfreind ke?
Soalan ketiga pula berbunyi begini, kalau Qay nak mendaftar jadi adik ipar akak
macamana ya?
Namun tiba-tiba Qay tersedar sendiri. Amboi.. jauh benar
angan-angan kau ni, Qay. Sejak bila jadi gatal merenyam macam ni? Macam baru
semalam jumpa lelaki aja. Makan kalau gelojoh boleh tahan lagi. Tapi kalau anak
dara yang gelojoh tanya pasal lelaki, memang buruk rupanya!
Qay tidak mengerti. Semua ini memang aneh kepada dirinya.
Dia sendiri tidak tahu apakah ini sekadar rasa terujanya memandang seorang
lelaki ataupun dia sedang dilamar asmara. Dia keliru. Apa yang pasti aura
lelaki itu bagaikan magnet kepadanya.
Apa kena dengan aku ni? Kenapa aku suka sangat tengok
dia? Kenapa aku mesti rasa macam ni bila nampak dia? Apa semua ni? Oh my god! Aku dah tak siuman ni.. jerit
hatinya tidak senang dengan keadaan hati yang semakin kronik.
“Akak, Qay kena balik dulu ni. Sekejap lagi driver papa datang. Qay pergi dulu ya?”
ucap Qay sambil memandang jam di pergelangan tangannya itu.
“Tak nak tengok sampai habis?” soal Salina sedikit
terkejut melihat Qay mahu pergi pula. Tadi bukan main asyik lagi.
“Qay dah lambat. Nanti kalau lambat balik mama bising.
Lagipun tadi Qay cakap Qay takde program lepas sekolah. Takut mama risau kalau
Qay balik lambat.” Qay segera beralasan. Hakikatnya dia tidak mahu membiarkan
mata gatalnya ini terus terdedah kepada jejaka itu sehingga kegatalan itu
menjangkiti organ lain pula.
“Okay. Jumpa lagi nanti,” balas Salina lembut.
“Mana
budak tu?”
“Tunggulah kejap!” degus Budin rimas dengan cecehan orang
di sebelahnya itu. Dari tadi Roslan asyik bertanya mana.. mana.. mana! Manalah
aku tahu! Aku bukannya cikgu kelab persatuan dia! Hati Budin membengkak marah
dengan teman di sebelahnya itu.
“Dah lengang sekolah tu, takkan dia tak keluar lagi? Entah-entah
dia dah balik tak?” ucap Roslan masih terus memandang ke arah pintu pagar
sekolah itu. Orang yang dinantikan masih tidak menjelma juga.
“Kau nampak BMW tu?” ucap Budin lantas menunjukkan sebuah
kereta yang masih terpakir elok di bawah sebatang pokok rendang berhampiran
dengan perhentian bas tidak jauh dari tempat mereka memakirkan kereta.
“Nampak! Itu kereta idaman aku. Kalau dapat sebiji sumpah
aku tak cari yang lain! Apa kena mengena kereta tu dengan budak yang kita
tunggu dari tadi ni?” jawab Roslan dengan lawak ala-ala bijaksananya itu.
Budin menjeling geram temannya itu. Lain yang ditanya
lain pula yang dijawab!
“Itu kereta yang dia naik hari-hari pergi balik sekolah.
Kalau kereta tu masih ada kat situ takkanlah budak tu dah balik pulak? Takkanlah
driver dia tolong hantar pengetua balik pulak lepas hantar anak bos dia! Sengal
betullah kau ni!” marah Budin.
“Ooo..” Roslan melopong sendiri. Ya tak ya juga..
“Mungkin dia ada aktiviti kat sekolah agaknya?”
Kali ini barulah Budin merasa bicara Roslan ada kebenaran
yang boleh dipakai. Kalau tidak asyik dengan bebalnya sampai dia pun hampir
sakit jiwa melayannya. Hampir 15 minit menanti barulah kelibat seorang gadis
kelihatan keluar dari kawasan sekolah lantas mendekati kereta BMW berwarna
hitam itu. Seorang pemandu keluar membukakan pintu buat gadis itu.
“Mak ai.. lawanya. Kalau dapat ni sumpah aku tak cari
yang lain!” Tanpa sengaja pujian itu terlepas dari mulut Roslan yang sedang
melopong.
Budin menoleh lagi kepada temannya itu. “Tutuplah mulut tu
sikit! Budak bawah umur tu! Budak tu pun entah-entah tak selera tengok muka kau
yang dah macam bapak ayam ni!” marahnya geram. Terus kunci dipulas untuk
menghidupkan kereta.
Roslan terkedu ditegur kasar oleh Budin. Lekas-lekas dia
menutup mulutnya. Akhirnya mereka mula bergerak meninggalkan tempat itu
beberapa saat selepas BMW hitam itu meninggalkan kawasan sekolah.
Lima minit sahaja perjalanan akhirnya mereka melihat
kereta BMW itu membelok masuk ke satu kawasan tanah persendirian yang berpagar
tinggi bagaikan istana. Mereka terpaksa berhenti memandangkan ada terdapat
pondok pengawal siap dengan penghadang jalan di kedua-dua arah simpang masuk
itu. Juga papan tanda ‘No trespassing’ siap dengan simbol orang yang mengacukan
senapang kepada penceroboh. Namun dari tempat mereka menunggu itu mereka dapat
melihat sebuah rumah banglo mewah yang terletak di atas bukit kurang
sekilometer dari simpang itu.
“Anak siapalah kaya sangat ni. Sampai ada guard semua..”
ucap Roslan yang ikut memandang arah yang sama dipandang Budin.
“Anak tokey emas agaknya..” Budin menjawab perlahan
seolah-olah sedang bercakap kepada dirinya sendiri.
“Bos nak apa dengan budak ni?”
“Aku tak tahu. Dia tak nak bagitahu.” Spontan kereta
terus digerakkan meninggalkan kawasan itu. Budin sudah cukup berpuas hati
dengan pencariannya ini. Rasanya cukuplah setakat di sini kerana apa yang
penting kediaman ibu bapa gadis itu sudah diketahuinya.
Bab 4
Dari jauh
Qay ternampak kelibat lelaki itu keluar dari bilik guru. Melihat itu, gadis itu
pantas melajukan langkahnya seolah-olah sedang berlatih acara lumba jalan kaki.
Sengaja dia merebut peluang mahu berjalan dekat dengan lelaki itu. Apabila
sudah berada di belakang jejaka itu dia memperlahankan semula langkahnya.
Berjalan lambat-lambat seolah-olah sedang bersiar-siar di pasar raya. Padahal
matanya asyik menilik setiap langkah sasa yang diatur oleh pelajar lelaki
kegemaran ramai itu.
Walaupun Qaira Syahreena gadis remaja yang baru berusia16
tahun. Namun nalurinya sama seperti gadis remaja lain. Seusia ini hatinya sudah
mula disapa rasa teruja melihat susuk seorang remaja lelaki. Cepat benar
matanya mengesan kehadiran pelajar kegemaran pelajar dan guru-guru wanita itu.
Hadi langsung tidak menyedari dirinya sedang diekori. Apa
yang dia tahu dia ingin pulang ke kelasnya. Tiba di bangunan Persada Ilmu dia lantas
berlari anak, memanjat tangga untuk ke tingkat 3. Namun bagaikan tindakan
refleks Hadi menoleh ke belakang. Dia perasan ada seseorang di belakangnya. Berderau
seketika darahnya melihat gerangan gadis yang berada di belakangnyan itu.
Mereka sekadar berbalas senyum apabila berpandangan. Hadi
langsung tidak mengesyaki dia sedang diekori kerana dia tahu kelas gadis itu
berada di tingkat yang sama dengan dirinya. Dia terus mendaki tangga tanpa
menegur Qay. Begitu juga dengan Qay. Dia sekadar membisu sambil terus memandang
derap langkah Hadi.
Namun ketika berada di tingkat 2, Hadi perasan ada dua
orang pelajar wanita yang mahu turun ke bawah. Salah seorangnya menegurnya
dengan senyuman yag cukup manis. Gadis itu amat dikenalinya. Lantas dia sekadar
membalas dengan senyuman biasa. Suria merupakan gadis sekampung dengannya.
Boleh juga dikatakan berjiran.
Tetapi ketika kakinya sudah mencecah ke tingkat 3, Hadi
perasan kelibat gadis bernama Qay sebentar tadi sudah lenyap di belakangnya.
Entah kenapa Hadi tertanya-tanya pula ke mana perginya gadis itu. Langkahnya
terus dihentikan untuk mencari gerangan si gadis. Spontan Hadi menjengukkan
kepalanya untuk melihat kelibat gadis itu di tingkat bawah melalui bahagian
tepi tangga itu. Ada suara ketawa yang kedengaran di telinganya.
“Janganlah! Sakit tahu tak?” tempik satu suara pula
berang dengan perlakuan orang yang ketawa itu.
“Alah.. tolak sikit aja pun, macam nak mati sakitnya.
Belum aku tolak kau jatuh dari tingkat 3 ke bawah lagi.” Suara itu berkata
diselang selikan dengan tawa nakal.
Tidak perlu memandang, Hadi sudah cukup kenal dengan
suara itu. Pantas dia menapak semula ke bawah untuk melihat apa yang sedang
berlaku di tingkat 2 itu. Berdetak hebat dadanya melihat aktiviti tidak
bertamadun dua pelajar wanita yang sedang membuli gadis bernama Qay itu. Inilah
rupanya yang pernah diceritakan oleh kakaknya dulu. Kini dia melihat dengan
mata kepalanya sendiri.
“Kau ni apasal ha? Kenapa selalu kacau aku?” bentak Qay
bengang. Tangan Suria yang cuba mengusik rambutnya ditepis kasar.
“Saja. Aku suka nak jadi setan. Aku pun hairanlah, kenapa
aku ni bengang sangat tengok anak orang kaya lembik macam bubur lambuk ni.
Kaulah tu! Perasan lawa! Kau ingat kau ratu ke kat sekolah ni?” jawab Suria
cukup selamba. Seronok benar dia melihat Qay terjelepok di atas lantai akibat
perbuatannya. Buku lalinya dipicit-picit sambil merenung tajam kepada Suria
yang sedang berdiri di hadapannya.
“Aku tak pernah ganggu hidup kau. Kenapa kau nak sakit
hati sangat dengan aku? Kalau aku ratu pun, apa ada kena mengena dengan kau!”
bentak Qay keras.
Suria ketawa sinis. “Dari dulu lagi aku nak sangat tahu.
Kenapa kau masuk sekolah ni ek?
Sekolah lama kau buang kau ya? Ke bapak kau dah buntingkan anak dara orang kat
KL sana? Bapak kau tu tak ikut jejak datuk kau tu ke? Kaki betina! Eh! Mana
datuk kau tu pegi? Dah mampus ke hidup lagi?” ejek Suria lagi. Masih tidak
habis-habis usikannya semenjak mula Qay masuk sebagai pelajar baru ke kelasnya.
“Kau jangan nak kurang ajarlah! Kalau bapak aku ada
buntingkan anak dara orang pun, bukannya bapak aku buntingkan kau! Kenapa kau
nak terasa sangat? EÄŸer
salaksın!! (kamu bodoh!)” Qay
nekad membalas semula ejekan Suria. Seperti mahu menangis dia kala itu. Bicara
Suria benar-benar menyakitkan hatinya.
“Apa kau cakap? Kau maki aku dalam bahasa kau ya?
Mentang-mentanglah aku tak faham apa kau cakap.” Suria menunjal kepala Qay.
“Kau nak aku patahkan kaki kau ni ke?” ancam Suria mula panas hati. Kaki Qaira
Syahreena dipijaknya. Menjerit Qay apabila beban tubuh Suria sudah berada di
atas kakinya yang sedang terseliuh itu.
“Suria Yanti binti Mahmud!” tegur Hadi sedikit keras.
Suria dan Faridah menoleh pantas ke arah datangnya suara
itu. Terkejut besar dia melihat Hadi sedang berdiri di antara tangga yang
memisahkan tingkat 2 dan 3 itu sambil memandang tajam kepada mereka. Sekilas
dia memandang dia sudah tahu apa yang dilakukan kepada Qay sudah dapat dilihat
oleh Hadi.
“Eh! Abang Hadi..” Suria mula kalut.
“Kau buat apa pada dia?” soal Hadi setelah dia mendekati
tiga pelajar wanita itu. Spontan tubuh Suria dijauhkan dari Qay yang masih
terduduk di atas lantai. Tanpa kata dia menghulurkan tangganya untuk membantu
Qay bangun.
“Takde apa-apa.” Suria menjawab dengan jawapan
sinonimnya.
“Kenapa kau suka sangat buli orang ni?” soal Hadi keras.
“Mana ada Su buli dia?” jawab Suria sengaja mahu mengelak
dari bersoal jawab dengan Hadi. Manalah dia mahu mengaku kejahatannya di
hadapan lelaki yang paling diminatinya? Memang taklah!
“Habis tu tadi yang kau pergi pijak kaki dia tu apa? Bergurau
senda? Beramah tamah? Aku tak tahu pulak sekolah ni ada anjurkan acara sukan main
pijak-pijak kaki? Kalau ada aku dulu nak berpasangan dengan kau. Biar aku pijak
kaki kau pulak!” perli Hadi geram. Wajah Suria dimamah dengan pandangan tajam.
Meluat benar dia dengan perangai perasan popular, berlagak gangster si Suria
ini. Entah bahagian mana yang elok benar di mata emaknya sehingga gadis ini
dicanang-canang sebagai bakal menantunya. Huh! Macam ni punya perangai nak jadi
bini aku? Memang jauh London dari New Yorklah..
“Mana ada! Orang gurau ajalah!” merah padam wajah Suria
saat itu. Qay yang masih dipapah Hadi dijelingnya tajam. Mengadalah tu! Nak
berdiri sendiri pun tak boleh ke sampai nak kena pegang-pegang macam tu, cemuhnya
dalam hati.
“Dah! Tak payah nak berlakon lagi. Aku nampak yang kau
buat tadi. Sekali lagi aku nampak kau buat macam ni pada pelajar lain, jumpa
pengetualah jawabnya. Faham?” bentak Hadi kasar.
Suria dan Faridah sekadar diam. Menjawab dengan jelingan
tajam kepada Qay di sisi Hadi.
“Dah! Tak payah nak julingkan mata tu. Tak menggoda
langsung! Pergi sana! Menyemak aja kat sekolah ni,” tengking Hadi semakin kuat.
Memang itulah layanan yang selayaknya diterima Suria.
“Huh!” cemuh Suria bengang melihat jejaka pujaannya
membela musuh ketatnya. Sukalah tu tengok aku kena marah! Namun dia terus
berlalu enggan terus menjadi mangsa kemarahan Hadi.
“Boleh jalan tak?” soal Hadi simpati melihat Qay.
“Sakit..” keluh Qay dengan wajah berkerut.
Terdengkot-dengkot dia apabila dia cuba melangkah.
“Kita pergi sick
bay. Sana ada ubat. Kalau teruk Cikgu Kamsani akan bawa Qay pergi klinik,”
ucap Hadi cuba membantu Qay berjalan.
“Terima kasih..” ucap Qay agak rendah setelah dia berada
di bilik sakit setelah dipapah Hadi. Tidak cukup dibantu untuk ke bilik itu,
Hadi membantu dia duduk di atas katil rawatan pula. Seorang ahli persatuan
Bulan Sabit Merah yang sentiasa berada di situ mula membantu membuka kasut dan
stokingnya.
“Tak apa..” ucap Hadi berserta dengan sedikit senyuman.
Ketika Qay menunduk memerhatikan buku lalinya yang sedang dibelek oleh Kristina,
Hadi sengaja mengambil peluang untuk memerhatikan raut kacukan yang dimiliki
oleh Qay. Bulu mata lentik dengan kening hitam pekat yang terbentuk elok,
diserikan lagi dengan wajah putih melepak dan bibir kemerahan milik Qay
membuatkan jantungnya sudah berubah rentak. Cantiknya dia! Hadi mula memuji
dalam diam. Wajah bujur sireh itu kelihatan cukup sempurna untuk membuatkan lelaki
seperti dia terpesona.
Saat Qay memanggung pandangan spontan tautan mata mereka
terjadi. Sedikit senyuman yang tergaris di bibir gadis itu membuatkan dada Hadi
terasa bagaikan disentap oleh debaran yang menyesakkan. Renungan lunak bola
coklat gelap bersinar menambah lagi kekacauan perasaan lelakinya. Hadi
merasakan bagaikan ada angin dingin sedang menyapa lembut di hadapan mukanya.
Dingin dan amat mengasyikkan. Kini kecantikan yang sering dibualkan oleh
rakan-rakan segender dengannya mula dapat dilihat dari dekat. Inilah dia wajah
yang sering membuatkan rakan-rakannya berpaling berkali-kali untuk memandang
sedangkan dia sering tidak peduli. Sekarang dia pun sama! Mahu memandang
berkali-kali.
“Macamana, Kristina?” Hadi cuba mengalihkan perhatiannya
kepada Kristina yang sedang membelek kaki Qay. Bahaya pandang Qay lama-lama!
“Teruk juga ni. Dah bengkak. Saya akan bagitahu cikgu.
Awak kena pergi klinik. Kalau berjalan dalam keadaan kaki macam ni, bengkak ni
akan lebih teruk lagi.” Kristina berkata kepada Qay.
“Ha?” Qay terkedu mendengar penjelasan ahli Persatuan
Bulan Sabit Merah itu.
“Qay pergi klinik ajalah. Nanti kalau kaki tu lagi sakit
susah Qay nak pergi sekolah lepas ni.” Hadi pantas menyambut ikut bersetuju
dengan saranan gadis India itu.
Perlahan Qay mengangguk akur dengan pujukan Hadi. Ewah! Mentang-mentanglah
Abang Hadi yang memujuk. Kalau orang lain.. takdenya dia nak bersetuju ke
klinik ni semua. Alamat tak dapatlah dia memandang Hadi selepas habis sekolah
nanti.
“Awak duduk aja kat sini ya? Nanti saya panggilkan cikgu
ke sini. Biar cikgu tengok kaki awak. Jangan berjalan tau,” kata Kristina
lembut. Sekali lagi Qay mengangguk.
Tanpa sedar gelagat gadis itu terus diperhatikan Hadi.
Semuanya manis! Tetapi enggan membiarkan dirinya hanyut lebih jauh, Hadi segera
meminta diri walaupun sebenarnya dia teramat berat mahu berlalu. Kalau boleh
dia mahu terus berada di situ. Namun sesi pembelajaran yang menanti membuatkan
dia harus kembali berpijak di bumi nyata.
“Terima kasih sebab tolong saya, abang.”
Abang? Alahai.. lembutnya. Lagi lembut dari kek span.. hati
Hadi semakin terbuai. “Sama-sama..” Bagai ada salju dingin mengalir dari
tangkai hatinya mendengar Qay memanggilnya selembut itu. Ikutkan hatinya mahu
sahaja dia bertenggek di atas katil rawatan itu bersebelahan dengan Qay. Tetapi
malulah pulak!
Peristiwa yang berlaku kepadanya itu membuatkan Qay tidak mampu lagi memendam
persoalan sendiri. Dia harus bertanya juga kepada ibu dan ayahnya.
“Kenapa, ma? Qay tertekan sangat bila dia tuduh atuk
macam tu. Apa rahsia yang mama dengan papa sembunyikan dari Qay?” ucap Qay
separuh membentak kepada emak dan ayahnya. Peluang yang ada saat bersemuka
dengan kedua ibu dan ayahnya dipergunakan sebaiknya untuk menghuraikan
kekusutan yang ada.
“Qay, tak baik tinggikan suara pada papa dan mama begitu.
Berdosa, cu. Cakap elok-elok.” Uwo
Zaharah segera menyampuk tidak senang dengan gelagat cucunya itu.
“Tapi Qay betul-betul nak tahu, Uwo. Salah ke kalau Qay tahu hal yang sebenarnya?” balas Qay kepada
neneknya itu pula. Tertekan benar dia. Setiap hari telinganya ditadah dengan
ejekan dan kutukan Suria tentang keluarganya. Sedangkan dia langsung tidak tahu
menahu dengan semua itu.
Puan Azreena segera memandang suaminya, mengharapkan
usaha suaminya untuk membuatkan anaknya itu mengerti keadaan yang sebenarnya.
Namun dia dapat melihat rasa terkilan di wajah suaminya.
“Qay, apa yang orang tu kata tak benar. Jangan dengar
cakap orang, sayang. Qay buat tak tahu aja pada dia orang tu semua,” ucap Tuan
Farouqe cuba berlembut.
“Tapi Qay malu, papa. Semua kawan sekelas Qay dah pandang
Qay semacam. Kenapa dia orang semua kata atuk tu kaki perempuan? Apa yang atuk
dah buat sebenarnya? Qay malu bila dia orang ejek Qay macam-macam. Qay yang
tanggung semua ni, papa!” tekan Qay masih tidak mampu menerima nasihat ayahnya
itu.
“Atuk tak buat apa-apa, sayang. Itu semua fitnah,” pujuk
Puan Azreena pula. Serba salah. Mahu benar dia menceritakan hal yang sebenarnya
tetapi rasanya dia tidak berhak membuka cerita itu kerana hal itu tiada kena
mengena dengannya. Lagipun mahukah Qay faham keadaan sebenarnya dengan
rasional?
“Qay tahu. Tapi apa kena mengena semua tu dengan Qay? Qay
tak kenal sesiapa pun kat sini, papa. Kenapa Qay yang mesti kena semua ni? Qay
tak peduli! Kalau papa tak mahu cerita hal yang sebenarnya Qay tak mahu
bersekolah kat situ lagi! Qay nak duduk kat rumah Uwo sampai bila-bila!” bentak Qay terus tidak berpuas hati.
Seringan itukah alasan ayahnya? Jadi bagaimana pula dengan kakinya yang sakit ini?
Tuan Farouqe menghela nafas perlahan. Sempat dia
terpandangkan panahan mata emak mertuanya itu kepadanya. Dia tahu emak
mertuanya itu tidak senang dengan apa yang menimpa Qay. Atau dalam erti kata
lainnya Qay tidak seharusnya diheret ke dalam masalah yang langsung tidak ada
kena mengena dengan dirinya. Sebaik sahaja tahu apa yang menimpa Qay petang
tadi, wanita itu sanggup naik teksi dari Seremban untuk ke rumah mereka
semata-mata kerana mahu melihat keadaan cucunya itu. Kecohnya mereka semua
seolah-olah kaki Qay telah terputus hancur digilis lori.
Susah! Dia cukup sedar kepulangan mereka ke sini pasti
tidak akan membuka ruang kebaikan dengan semudah itu. Tapi dia kesal mengapa
anaknya ini yang menjadi mangsa cerita lama orang tua mereka? Sehingga kaki Qay
terseliuh dan tidak membolehkan dia ke sekolah dalam tempoh seminggu dua ini.
Siapa pula yang tahu tentang kisah lama keluarganya ketika di sini dahulu? Tuan
Farouqe memicit dahinya seketika sambil diperhatikan oleh isteri dan anaknya
itu.
“Ceritalah apa yang dia patut tahu, Farouqe. Biar dia
tahu apa kebenarannya. Supaya dia dapat membela diri dia dan maruah keluarga
dia dari tohmahan orang lain. Atau sekurang-kurangnya dia tahu apa yang benar
dan apa yang tidak tentang apa yang disogokkan orang kepada dia. Kalau kau
terus berahsia tak mustahil dia akan termakan cakap-cakap orang di sekeliling
dia,” nasihat Uwo Zaharah lembut
kepada menantu lelakinya itu.
“Saya tak mahu anak saya terbabit dengan semua ni, mak.
Ini semua hal orang tua,” balas Tuan Farouqe lembut.
“Tapi kau nampakkan apa yang dah jadi pada dia?” balas Uwo Zaharah pantas.
Tuan Farouqe menghela keluhan panjang. Dia tahu dia tidak
ada pilihan lain lagi. “Baiklah.. papa akan ceritakan pada Qay. Cerita tu
memang takde kena mengena langsung dengan Qay. Mungkin Qay hanya mangsa
keadaan,” ujar Tuan Farouqe akur juga akhirnya.
“Maksud papa?”
“Orang yang papa cari tu papa dah jumpa tapi mereka tak
suka kita berada di sini.” Perlahan sahaja jawapan Tuan Farouqe.
Qay memandang lama raut ayahnya itu. Mengapa pula
keluarga arwah nenek Mariamnya tidak suka kepulangan mereka sekeluarga ke sini?
“Kenapa pulak, papa? Bukan ke kita ni dikira berkeluarga?” soal Qay semakin
tidak mengerti. Seluruh wajahnya sudah berkerut cuba memahami mukadimah ayahnya
itu.
“Mereka tak boleh terima kita sebab kisah yang dikatakan
oleh kawan sekelas Qay tu.” Sekali lagi penjelasan Tuan Farouqe terus bersifat
ringkas dan memeningkan.
Tersentak Qay mendengar penjelasan pendek ayahnya itu.
Jadi maknanya memang benarlah datuknya pernah membuntingkan anak dara orang
sebelum berpindah ke KL? Jadi mengapa ayahnya menafikan sebentar tadi? “Maksud papa memang datuk pernah..”
“Tak, sayang! Itu sama sekali tak benar..” pintas Tuan
Farouqe pantas. Jika itu benar mengapa sehingga kini dia masih tidak ada adik
beradik lain? Dia adalah anak tunggal kepada ayahnya dan emaknya. Manakala
perkahwinan kedua ayahnya tidak dikurniakan cahaya mata kerana ibu tirinya itu
disahkan mandul dan menghidap kanser rahim semenjak dulu.
“Jadi apa yang benarnya, papa? Qay tak fahamlah! Apa
pulak kena mengena dengan arwah nenek Mariam? Apa salah nenek?” semakin tegang
wajah anak dara sunti itu apabila kehendaknya tidak segera dipenuhi oleh
ayahnya.
“Arwah Nenek Mariam berasal dari sini, Qay. Dia pernah
dihalau oleh keluarganya kerana datuk. Kisah itu tak pernah mati selama ini.
Keluarga kita terus dibenci oleh keluarga arwah nenek Mariam. Malah mereka
menyumpah keluarga kita kerana berani menjejakkan kaki semula ke daerah ini.”
Tuan Farouqe menghela nafas perlahan. Kesal benar dia dengan kecetekkan fikiran
sesetengah orang di sini. Dia datang menyinggah dengan cara baik sebaliknya
dihalau seperti anjing kurap sebaik sahaja nama ayah dan arwah emak tirinya itu
disebut.
“30 tahun dulu, arwah nenek Mariam berkahwin dengan datuk
dengan cara yang tak elok. Maksud papa, nenek Mariam kahwin dengan datuk sebab
dia dituduh berzina dengan datuk. Ada sesetengah orang menambah cerita yang
kononnya nenek Mariam hamil. Dulu datuk Qay dan nenek Fatimah pernah tinggal di
sini. Papa juga dilahirkan di sini. Arwah nenek Mariam tu berkerja sebagai
orang gaji di rumah datuk dan dia memang rapat dengan keluarga kita. Dulu datuk
seorang yang amat disegani di sini. Datuk Qay seorang yang baik hati kepada
orang di sekelilingnya. Tetapi nama baik dia musnah kerana fitnah orang. Arwah
nenek Mariam terpaksa berkahwin dengan datuk kerana mahu menutup malu. Ketika
itu papa berusia 15 tahun. Selepas tu datuk bawa papa, nenek Mariam dan nenek
Fatimah ke KL dan mula tinggal di sana. Selepas datuk bernikah dengan nenek
Mariam, dia dihalau oleh orang tuanya. Mereka tak pernah berjumpa selepas itu
sehinggalah nenek Mariam meninggal dunia baru-baru ini. Papa bawa Qay dan mama
balik ke sini sebab papa nak tunaikan wasiat terakhir arwah nenek Mariam. Dia
mahu namanya dibersihkan dan dia mahu dua keluarga ini berbaik semula,” cerita
Tuan Farouqe tenang.
Qay terpaku memandang raut ayahnya itu. Dia tidak sangka
rupanya datuk dan nenek tiri yang teramat baik dengannya itu ada menyimpan
kisah silam yang amat pahit. Kasihannya, nenek.. keluh hati Qay sendiri. Dia
masih ingat neneknya itu terlalu sayang kepadanya. Malahan dia antara orang
yang diminta menunggu di sisi wanita itu sehinggalah wanita itu menghembuskan nafasnya
yang terakhir. Kenangan itu tidak akan luput dari ingatannya. Samalah seperti
kasihnya kepada nenek tirinya itu.
“Datuk dan nenek Mariam tak bersalah, Qay. Qay jangan
lekas terpengaruh dengan cakap orang. Kita pun takkan boleh buat semua orang
faham dengan kebenaran yang ada pada kita. Mama cuma minta Qay bersabar dengan
karenah orang di sekeliling Qay. Sampai satu masa nanti Allah akan bukakan
kebenaran untuk semua. Allah beri banyak ganjaran pahala kepada orang yang
sabar,” ucap Puan Azreen pula.
“Betul apa yang mama cakap tu, Qay. Kita tak boleh
hentikan cakap-cakap orang pada kita. Tapi kita boleh pilih untuk bersabar.
Allah akan bantu orang yang sabar. Anggap aja semua ini dugaan. Orang yang
Allah uji tu tandanya Allah sayang dan Allah nak dekat dengan kita. Memang
susah kita nak berhadapan dengan orang yang macam ni. Uwo nak Qay kuat semangat. Selalu tanamkan dalam diri yang Qay ni
orang yang baik-baik. Orang yang baik dia tak mudah hanyut ke arah keburukan.” Uwo Zaharah ikut bersuara sambil mengusap
rambut cucunya itu. Kasihan cucu aku. Muda-muda lagi dah ditimpa dugaan macam
ni, bisik hatinya sendiri.
Qay mengangguk perlahan dalam kesayuan hatinya. Kisah
mengenai arwah nenek Mariamnya mula duduk di tempat pertama dalam fikirannya
berbanding apa yang dilaluinya ketika di sekolah siang tadi.
“Mama tak mahu Qay fikirkan sangat pasal ni ya? Hal ni
biar papa dan mama yang uruskan. Mama cuma nak Qay belajar rajin-rajin macam
biasa. Jangan pedulikan apa yang orang lain katakan pada keluarga kita,” tambah
Puan Azreena apabila melihat air wajah anaknya itu sudah mula lembut.
Sekali lagi Qay mengangguk akur. Sekali lagi wajah Suria
bermain di benaknya. Apa yang memelikkan dia bagaimana Suria tahu tentang kisah
itu? Adakah Suria ada kena mengena dengan arwah nenek Mariamnya? Entah! Dia
sendiri tidak pasti patutkah dia bertanya kepada teman sekelasnya itu?
“Papa akan jumpa cikgu kelas Qay esok. Papa nak jumpa
orang yang buat anak papa sampai jadi macam ni. Papa nak dia bertanggungjawab!”
“Papa, no! Tak payahlah,
papa. Qay tak mahu semua orang tahu apa yang jadi pada Qay,” getus Qay tidak
senang dengan kemahuan papanya itu.
“Kenapa pulak?” hairan lelaki itu melihat ragam anaknya
ini.
“Qay bukan budak kecik lagi, pa. Qay tak mahu orang cakap
Qay ni suka mengadu.”
Uwo Zaharah terus tergelak melihat cucunya itu. “Oh, tahu
malu ya, cucu Uwo ni? Takut
kawan-kawan kat sekolah tu tahu yang Qay ni anak manja ya?” usik orang tua itu
sambil ketawa.
“Qay dah besarlah, Uwo.
Mestilah Qay malu kalau orang panggil Qay ni anak manja. Qay nak berdikari
sendiri macam orang lain.” Qay menjawab manja kepada neneknya itu.
“Yalah. Kalau zaman Uwo
dulu umur macam Qay anak tiga dah. Mana nak manja-manjanya lagi.” Semakin
seronok orang tua itu mengusik cucunya itu.
“Uwo ni sama macam
mama tau! Suka sebut pasal kahwin. Qay cari boyfreind
cepat-cepat nanti baru Uwo tahu!”
getus anak dara itu geram.
Meledak tawa Uwo
Zaharah dan Puan Azreena. Tuan Farouqe sekadar tersenyum melihat senda gurau
anak beranak itu.
“Tapi papa tak boleh biarkan saja apa yang berlaku pada
Qay ni. Kalau dia buat lagi nanti macamana?” ucap Tuan Farouqe tetap tidak
berpuas hati dengan kemahuan anaknya tadi. Sebagai ayah, usahkan diperlakukan
seperti ini. Hatta seekor nyamuk pun sebolehnya mahu disaman di mahkamah dunia sekiranya
kedapatan menghisap darah anaknya ini.
“Qay okay, papa. Tadi pengawas yang tolong Qay dah warning budak tu. Kalau dia buat lagi
Qay macam tu dia nak bawa budak tu kepada pengetua. Qay cuma tak mahu hal
kecil-kecil macam ni kecoh sampai parent
semua masuk campur,” ujar Qay cuba menenangkan hati ayahnya.
“Farouqe, tak payahlah kita besar-besarkan hal ni.
Lagipun kaki Qay cuma terseliuh ringan aja. Seminggu dua lagi okaylah tu. Hal
budak-budak kita orang tua jangan masuk campur sangat. Lagipun benda ni semua
boleh mengajar anak-anak supaya jadi penyabar. Biarlah dia rasa susah sikit.
Esok lusa bila dia diuji dengan kesusahan yang lagi besar, dia tahu apa yang
dia perlu buat. Qay ni dah besar. Tapi lain kali kalau dia cederakan Qay lagi
barulah kamu jumpa pengetuanya.” Uwo
Zaharah ikut bersetuju dengan pendapat cucunya itu.
Tuan Farouqe terdiam memikirkan bicara emak mertuanya
itu. Jika ikutkan rasa tidak puas hatinya satu sekolah mahu diamuknya. Tetapi
mengenangkan kebenaran kata-kata emak mertuanya itu dia harus akur. Qay sudah
besar. Dia tidak boleh dilayan seperti anak berusia lima tahun.
Panjang munajat lelaki itu ketika di atas sejadah. Kepada Ilahi dia memohon
kesejahteraan keluarganya dan lindungan Allah selalu. Dia tahu apa yang sedang
didepaninya ini tidak semudah yang dibayangkan.
Sudah beberapa hari dia diberitahu oleh ketua pengawal
keselamatan tentang kelibat sebuah kereta yang menunggu di pintu masuk utama
kediaman mereka. Apabila cuba didekati kereta itu segera berlalu. Mungkin ada
orang yang tidak senang dengan kehadiran mereka sekeluarga atau pun para
perompak yang dahagakan kekayaannya sedang mengatur strategi untuk menyerbu
masuk ke rumahnya. Apapun alasannya dia harus bersiap sedia dengan perisainya
agar anak dan isterinya terlindung selalu.
Namun Tuan Faroqe yakin, kehadiran kereta itu pasti ada
kena mengena dengan kisah lampau keluarga mereka. Buat masa ini dia masih dalam
usaha merungkaikan kisah itu. Sedikit masa lagi pasti mereka semua akan tahu
kebenarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.