AKHIR
Datin Rahimah semakin tidak tertahan mahu menyibuk setelah acap kali mata
tuanya ditadahkan dengan kekeruhan wajah anak lelakinya itu. Kini dia melihat
Aryan menonton tv sendirian. Namun apa yang dilihatnya Aryan seperti sedang
hanyut sendiri, memikirkan sesuatu. Tetapi dia tidak tahu apakah anaknya itu
bermasalah dengan Maya atau dengan orang lain.
“Mama nampak
sekarang ni Aryan macam dah tak selalu jumpa Maya. Ada masalah ke?” tanya
wanita itu sambil melabuhkan duduk di sebelah anak bujangnya itu.
Aryan menoleh
seketika kepada emaknya itu sebelum kembali memandang tv. “Aryan takde sebab
nak jumpa dia lagi, ma..” sayup sahaja jawapan yang kedengaran.
Datin Rahimah
mengerutkan kening memandang anaknya itu. Lain macam pula bunyi jawapan itu.
Nak kata macam sedang kecewa, nada itu langsung tidak langsung kedengaran macam
kecewa. Macam tak kisah aja. Jadi apa masalahnya Aryan menjadi pendiam semenjak
kebelakangan ini? Apa yang asyik difikirkan Aryan?
“Kenapa mama nampak
Aryan ni lain macam aja sekarang ni? kalau bukan sebab Maya.. sebab apa?” tanya
Datin Rahimah lagi. Raut Aryan dipandang tanpa jemu.
“Takde apa,
ma.”
“Mana boleh
takde apa. Cakap dengan mama apa masalahnya ni.” Masih tidak berpuas hati Datin
Rahimah mula mendesak pula. Aryan semenjak kebelakangan ini suka menyendiri.
Itu yang dia tidak sedap hati melihat perubahan anaknya ini.
“Aryan okay,
ma. Aryan nak ambil angin kat luar sekejap..” Aryan mula bangun dari duduknya.
Lebih baik dia melarikan diri segera daripada soal siasat emaknya itu.
Di luar rumah
Aryan berlegar seketika di halaman rumah. Sekadar mengintai rumah sebelah.
Seperti sebelum-sebelum ini kereta Qairynn masih tidak kelihatan di matanya.
Bermakna tuan punyanya juga tidak pulang ke rumah datuknya itu. Rasanya sudah
lebih sebulan semenjak pertemuan malam itu dia tidak melihat Qairynn.
Resah hatinya
memikirkan gadis itu. Semakin lama semakin jauh dia daripada Qairynn. Malangnya
dia tidak ada banyak ruang kosong untuk mendekati Qairynn. Peluang yang dicari
masih juga tidak kelihatan walaupun luas diintai berkali-kali. Ingin sahaja dia
mengalah kepada keadaan. Namun setiap kali matanya terpandangkan rumah sebelah.
Hatinya terus diasak kerinduan kepada Qairynn. Setiap hari rumah itu pasti akan
dikerlingnya.
“Angau ke tu?”
terjahan suara dari arah pintu pagar rumah itu mengejutkan Aryan yang sedang
leka sendiri. Batang tubuh Adrina yang sedang menyelinap masuk ke dalam kawasan
rumah itu melalui pintu pagar kecil itu dipandang Aryan.
“Abang Bad
dengan Aiman mana?” soal Aryan tatkala dia melihat hanya kakaknya sendirian di
situ.
“Ada kat
kereta. Entah apa lagi yang dicarinya. Malas nak tunggu,” sambut Adrina
selamba. Kakinya dihalakan kepada adiknya itu.
“Apasal
termenung petang-petang buta ni?”
“Takde apa..”
“Ingat orang
sebelah ke? Asyik tertoleh-toleh ke sana aja dari tadi,” perli Adrina lantas
tergelak kecil. Dia sendiri nampak leher Aryan asyik memanjang ke arah rumah
sebelah.
Aryan sekadar
diam sambil memandang keliling.
“Sabtu macam ni
tak ajak Maya keluar ke?” tanya Adrina hairan melihat adiknya itu. Semenjak
pulang dulu Aryan dilihatnya jarang benar menghabiskan masa dengan Maya. Kalau
dulu setiap hari mereka menempel berdua.
“Malaslah..”
“Malas?
Takkanlah dengan kekasih sendiri pun malas jugak kut? Lain benar bunyinya tu?”
ucap Adrina mula merenung tampang Aryan yang langsung tidak terhias senyuman.
Maya juga tidak pernah datang ke rumah ini semenjak mereka berdua balik dari
luar negara dulu.
Aryan membisu
lagi. Tubuhnya dibongkokkan sambil kedua-dua sikunya diletakkan di atas lutut.
Pandangan matanya dihalakan ke lantai pula. Soal hubungan dia dan Maya malas
mahu diulas banyak. Bosan!
“Ni dok
termenung sana sini.. fikir pasal Qairynn atau Maya sebenarnya?” tanya Adrina
lagi sambil memandang belakang tubuh adiknya itu.
“Susah nak
jumpa Rynn sekarang. Dia pun dah lama tak balik ke sini,” luah Aryan berserta
sedikit keluhan hampa. Qairynn benar-benar sudah berpatah arang dengannya.
Aryan tahu Qairynn tidak selalu pulang ke rumah datuknya kerana tidak mahu
bertemu dengan dia.
“Pergilah ke
rumah umi dia. Takkan dah tak ingat rumah umi dia kat mana? Rynn mestilah ada
kat sana. Mana lagi dia nak pergi?” sambut Adrina pantas.
Aryan diam
lagi. Bukannya dia sudah lupa di mana rumah umi Qairynn. Tapi mengenangkan apa
yang diucapkan Qairynn tentang datuknya dulu, dia jadi berat hati mahu ke sana.
Dia tahu jika datuk Qairynn sudah berpendirian begitu bermakna Puan Sri Bethina
juga berpendirian begitu.
“Kalau nakkan
sesuatu kenalah usaha. Dok diam termenung sendiri macam ni, apa dapat? Buang
masa! Tak semua benda kita nak kita boleh dapat semudah dulu lagi,” ujar Adrina
lembut.
Aryan memandang
Adrina yang duduk tidak jauh darinya itu. “Atuk Rynn dah tak suka Aryan dekat
dengan Rynn. Aryan tak boleh buat apa, Kak Rina.” Rendah sahaja suara Aryan
menuturkan kenyataan itu.
“Mana Aryan
tahu?”
“Rynn sendiri
yang cakap..” keluh Aryan sambil mengusap rambutnya perlahan. Jurang yang
teramat luas saat ini semakin membenihkan rasa hampanya. Dia sendiri tidak tahu
bagaimana untuk dia berhadapan dengan Qairynn tanpa dapat mendekati gadis itu
lagi.
“Hmm.. patutlah
macam mati kutu aja ya? Kalau nakkan sesuatu kenalah usaha sikit. Jangan harap
orang akan terima kita macam tu aja selepas semua yang terjadi dulu,” balas
Adrina lembut.
“Aryan tak tahu
nak buat apa, kak. Jumpa Aryan pun Rynn tak mahu,” sambut Aryan semakin
merendah nadanya. Terkilan benar dia. Qairynn yang dilihatnya sudah jauh benar
berubah. Kelembutan dan kemanjaan gadis itu dulu sudah lenyap semuanya.
“Habis tu dok termenung
macam ni boleh berubah ke keadaan? Bukan sekali dua Aryan sakitkan hati dia.
Bila nak pujuk semula, sekali dua aja cukup? Kalau Kak Rina yang jadi Rynn tu
pun Kak Rina akan buat benda yang sama,” tempelak Adrina selamba. Kata-kata
Adrina membuatkan Aryan mula terdiam semula.
“Atuk tu risau
sebenarnya. Takut jadi macam dulu lagi,” ulas Adrina seolah-olah sedang
bercakap dengan dirinya sendiri.
“Maksud Kak
Rina?” tanya Aryan tidak begitu mengerti. Apa yang terjadi dulu?
Adrina menoleh
sekilas. Namun kelibat suami dan anaknya yang kelihatan membuatkan persoalan
yang diajukan Aryan tidak berjawab buat kesekian kalinya. Tanpa pamitan dia
terus bangun meninggalkan adiknya itu di situ. Aryan sekadar mampu memandang
Adrina berlalu dengan sedikit rasa terkilan.
Kawasan tanah perkuburan itu kelihatan lengang sahaja. Aryan terus memandu
agak perlahan sehinggalah matanya mula terlihat sebuah kereta yang amat
dikenalinya terpakir di tepi jalan kecil itu. Serta merta dia membelokkan
kereta ke sisi jalan. Keretanya diparkirkan di hadapan kereta itu.
Buat sesaat dua
Aryan memandang kereta putih itu. Dia pasti itu adalah kereta Qairynn.
Menyedari Qairynn mungkin sedang melawat pusara yang sama ingin dijengahnya,
Aryan terus mengatur langkah untuk mencari pusara itu. Sambil mengatur langkah
di celahan ratusan pusara itu matanya meliar mencari batang tubuh manusia di
sekelilingnya.
Pencarian Aryan
terhenti apabila terlihat kelibat seorang wanita bersendirian berada tidak jauh
daripadanya. Tanpa dapat mengalihkan pandangannya, Aryan mendekati wanita dan
pusara itu.
“Assalamualaikum..”
ucap Aryan lembut saat dirinya berada hampir dengan wanita yang masih ralik
dengan menungannya.
Qairynn menoleh
cepat. Berubah wajahnya melihat Aryan berada di situ. Bibirnya bergerak sedikit
menjawab salam yang dihulur dalam pada wajahnya masih tidak mampu melepaskan
reaksi terkejut melihat kewujudan Aryan di situ.
Aryan berjalan
lagi untuk mendekati pusara itu. Buat seketika wajah pusara itu dipandangnya
sebelum dia duduk mencangkung di tepian pusara itu, berhadapan dengan Qairynn.
“Assalamualaikum,
ayah. Aryan datang melawat ayah. Maafkan Aryan sebab lambat datang,” ucap Aryan
perlahan sahaja. Tanda pusara itu disentuhnya. Ada nama seorang lelaki yang
dikenalinya pada tanda pusara itu. Seketika kemudian tangan ditadahnya. Dia
sekadar memohon doa di dalam senyap.
Qairynn
membisu, tunduk memandang tanah di atas pusara itu. Perbuatan dan kata-kata
Aryan tiba-tiba menerbitkan rasa sayu di hatinya. Sudi juga lelaki itu mahu
menjenguk arwah ayahnya.
Selesai
mengaminkan doa Aryan memandang semula gadis berbaju kurung serta berselendang
menutupi kepala di hadapannya itu. Qairynn di matanya terus hanyut sendirian
sambil mengusap permukaan pusara itu dengan telapak tangannya. Wajah itu tenang
sahaja dilihatnya. Namun Aryan tahu ada kesedihan yang sedang disembunyikan di
sebalik wajah itu.
“Dah lama abang
tak jumpa, Rynn..” luah Aryan. Pandangan sayunya terus menyapu wajah bersih
gadis itu. Betapa dia terlalu rindukan kemesraan mereka dulu.
Qairynn diam
tidak menjawab. Memandang Aryan juga tidak. Kelakuannya masih seperti tadi
seolah-olah bicara Aryan tidak singgah langsung di telinganya.
“Ayah, maafkan
Rynn sebab tak dengar cakap ayah dulu..” tiba-tiba kedengaran suara Qairynn.
Namun bicara itu tidak ditujukan kepada Aryan yang masih merenungnya.
“Sekarang Rynn
tahu ayahlah yang paling sayangkan Rynn selama ni. Tapi Rynn selalu melawan
cakap ayah. Rynn hancurkan hati ayah. Rynn minta maaf, ayah. Rynn tak pernah
terfikir satu hari nanti Rynn hanya dapat berjumpa ayah di sini,” tambah
Qairynn seolah-olah hanya dia seorang yang berada di situ. Tanpa dipinta air
matanya gugur lagi di pipi.
Aryan terus
terpaku memandang Qairynn. Bicara Qairynn didengarinya satu persatu, membuatkan
hati lelakinya mula bergetar kesedihan. Kelopak matanya terasa panas tanpa
dapat ditahan.
Qairynn
menghela nafas untuk meredakan rasa sesak di dadanya. Perlahan kelopak matanya
dipejamkan. Sebutir lagi air matanya gugur seiring peristiwa hitam itu terus
bermain lagi di ruang fikirannya.
“Kenapa, Rynn?”
“Rynn minta
maaf, ayah..”
Spontan lelaki
itu memegang tepian katil. Matanya berkaca memandang tampang si anak. “Kenapa
tak bagitahu ayah??” tekan lelaki itu sedikit meninggi dengan mata membuntang.
Sebelah tangannya mula memegang dada. Tiba-tiba dia tercungap-cungap entah
kenapa.
Tangannya cuba
dihulurkan kepada ayahnya itu. Lelaki itu dilihatnya seperti mahu rebah. Namun
tangisannya pecah berderai di katil wad itu. Kesedihannya tidak terucap melihat
ayahnya.
“Kenapa tak
bagitahu ayah?” itulah soalan terakhir yang sempat didengarinya.
“Ayah..”
Qistina segera menerpa kepada lelaki itu. Namun tubuh itu tidak sempat
bersambut.
“Umi!!!!”
Qistina menjerit panik.
Qairynn menekup
wajahnya. Kepalanya digelengkan berkali-kali cuba menepis lagi kenangan itu.
“Ayah.. kenapa cepat benar semua ni terjadi pada kita?” rintih Qairynn
kesayuan. Kini semakin laju air matanya mengalir.
“Rynn..” Aryan
bingkas bangun. Qairynn yang menangis teresak-esak di tepian pusara itu
didekatinya segera. “Jangan menangis, sayang..” bisik Aryan ikut sebak.
“Kenapa semua
ni jadi pada Rynn, ayah?” rintih gadis itu dalam esakan yang sudah tidak
terkawal.
“Sayang..” Air
mata Aryan akhirnya ikut menitis melihat Qairynn menangis begitu. Lengan
Qairynn dipegangnya erat. Ingin sahaja dia membawa gadis itu ke dalam
pelukannya. Namun Qairynn lebih pantas menepis tangannya. Sepantas kilat gadis
itu bangun meninggalkan pusara itu dan Aryan. Kakinya dihayun laju.
“Rynn..”
panggil Aryan sambil mengekori Qairynn. Saat berada di tepi kereta Qairynn dia
pantas berdiri di hadapan untuk menghalang Qairynn membuka pintu keretanya.
“Kau nak apa
lagi dari aku?” jerit gadis itu tiba-tiba.
“Sayang,
janganlah macam ni..” pujuk Aryan sedikit tertekan melihat kemarahan yang
datang tiba-tiba itu. Bahu wanita itu cuba disentuhnya namun Qairynn terus
menepis kasar.
“Kau tak tahu
apa yang aku lalui selama ini, Aryan. Semuanya sebab kau!!” pekik Qairynn
semakin tidak terkawal.
Aryan terpaku
memandang wajah merah padam Qairynn.
“Aku benci kau!
Sampai mati pun aku takkan maafkan kau. Takkan!” jerit Qairynn. Tubuh lelaki
itu lantas ditolaknya ke belakang. Namun sayangnya tolakannya tidak memberi
sebarang kesan.
Aryan menelan
liurnya perlahan. Kata-kata Qairynn membuatkan hatinya semakin parah oleh rasa
luka. Namun dia tidak berupaya untuk menolaknya.
“Kau nak aku
semula untuk apa? Supaya kau boleh sakitkan hati aku macam dulu. Aku memang
bodoh sebab percaya cakap kau dulu!” jerit Qairynn.
“Abang minta
maaf, Rynn. Abang..”
“Kau jangan
tunjuk muka kau depan aku lagi, Aryan. Aku benci tengok muka kau! Kau fikir
maaf kau boleh kembalikan kehidupan aku yang dulu?”
“Sayang, abang
minta maaf. Jangan buat abang macam ni..” keluh Aryan sudah tidak tertahan.
Terhiris benar hatinya mendengar ucapan Qairynn itu. Hatinya tersiksa melihat
kebencian Qairynn yang semakin menggunung kepadanya.
“Lepas kau
tinggalkan aku dulu, aku tak pernah mengharap apa-apa pun daripada kau biarpun
sekadar satu patah kata yang kau ucapkan pada aku sekarang. Maaf? Waktu kau
dengan kejam singkirkan aku dulu, kau tak pernah fikir apa akan jadi pada aku
hari ni? Kau tak pernah nak ambil tahu. Jadi sekarang aku pun tak ingin dengar
ucapan maaf kau tu. Kau boleh berambuslah, Aryan!!” meninggi lagi suara Qairynn
di akhir bicaranya. Air matanya diseka kasar dalam rasa sakit di hati yang
semakin berombak. Wajah sayu lelaki itu sedikit pun tidak mampu meredakan rasa
bencinya. Malah sebenarnya menambah lagi!
Aryan hanya
diam memandang sayu wajah yang sedang memerah kepadanya itu. Betapa pahit
perasaannya saat ini.
“Aku nak balik.
Kau jangan cari aku lagi!”
“Rynn..
marahlah abang kalau itu boleh melegakan perasaan tu. Abang terima, sayang.
Tapi tolong jangan jauhkan diri daripada abang lagi. Abang rindu sangat,
sayang.” Menggigil suara Aryan menuturkan luahan itu.
“Aku tak mahu
jadi Qairynn yang dulu. Berhentilah mempermainkan perasaan aku, Aryan. Ya
Allah, tolonglah.. aku tak mahu semua ni lagi. Hati aku sakit sangat-sangat.
Kau takkan faham,” luah Qairynn mula mengendur suaranya. Namun nadanya hanya
ada kesayuan yang selama ini tidak pernah terlepas daripada hatinya biarpun
puas dia cuba menepisnya.
Aryan tidak
pernah tahu perjalanan hidupnya selama ini. Bayang peristiwa itu terus melekat
di fikirannya sehingga ke saat ini. Segala-galanya bermain-main begitu sahaja
setiap kali dia memejamkan matanya. Bercampur gaul dengan kenangannya bersama
Aryan. Hidupnya merana. Hatinya terus melara. Dia hanya terlantar sendirian di
atas ranjang dukanya dan Aryan tidak pernah peduli kepadanya. Titis air matanya
yang tumpah sudah tidak terkira. Setiap kali dia tersedu hanya dia yang memujuk
hatinya sendiri. Di mana Aryan ketika itu?
“Cakap pada
abang.. apa yang harus abang buat supaya Rynn tak bencikan abang macam ni?
Abang cuma harap satu lagi peluang supaya abang dapat perbetulkan keadaan kita.
Abang sayangkan Rynn,” ucap Aryan bersungguh.
“Sayang kau
takde nilainya lagi pada aku. Semua tu dah takde erti lagi. Waktu aku
mengharap, kau layan aku macam sampah. Nilai diri aku hanya layak ditinggalkan
di tepi jalan! Kaulah lelaki paling kejam yang pernah aku jumpa, Aryan.”
Qairynn menjerit lagi meluahkan kesakitan di jiwanya. Dia sudah terlupa di mana
mereka berada saat ini.
“Rynn.. abang
tak sengaja waktu tu, sayang. Jangan tambah kekesalan abang lagi. Abang pun
merana dengan semua kenangan tu,” sambut Aryan. Lengan Qairynn cuba
disentuhnya. Namun sekali lagi Qairynn menepis tangannya kasar.
“Kata-kata kau
memang manis macam madu. Tapi hakikatnya kosong! Aku benci kau sampai mati,
Aryan!” cemuh Qairynn langsung tidak mampu melenturkan tembok kebenciannya
kepada lelaki itu. Dengan wajah merah mencuka dia mendekati keretanya.
“Rynn..”
panggil Aryan lagi. Tidak berani mahu menyentuh lagi Aryan hanya mampu
memandang Qairynn membuka pintu keretanya. “Rynn..” sekali lagi dia memanggil.
Namun Qairynn
terus meloloskan diri ke dalam kereta dengan pantas. Kunci terus dimasukkan dan
enjin kereta dihidupkan. Dia hanya mahu wajah Aryan dilenyapkan segera. Sambil
memandang ke belakang, Qairynn mengundurkan keretanya untuk keluar dari lorong sempit
itu.
Aryan hanya
mampu memandang kereta itu berlalu bersama hati yang retak seribu. Sehingga
kereta Qairynn hilang daripada pandangan, dia hanya mampu pegun di tempat
berdiri menahan perasaannya. Seketika kemudian dia memandang semula ke
arah ratusan pusara sepi di seberang jalan sana.
“Apa yang patut
Aryan buat ayah? Maafkan Aryan..” bersama rintihan itu, air mata Aryan mengalir
lagi di pipi.
kenapa agaknya .
BalasPadammacam tak habis jer...
BalasPadamKenapa last?? Huwargh
BalasPadamKenapa last kak??
BalasPadamDear
BalasPadamKenapa end macam ni? penuh tanda tanya... or end hanya di blog... memberi ruang untuk mss?
apakah persoalan akak pasal rynn benar... bahawa peristiwa di tinggalkan malam tu rynn kehilangan sesuatu yg berharga pada dirinya krn manusia durjana
kalau benar.. kak ita pun tak mau maafkan Aryan ...
anyway dear... jalan cerita yga menarik... harap ada penamatnya
love
kak ita sukri
km
Tq Kak.. InsyaAllah.. Ending dlm pembikinan.
Padamaduhh.. mengapa pengakhirannya begini..cik writer? mengapa bikin saya panasaran seperti aryan ,bedanya aryan menuntut kemaafan dan cinta tapi saya menuntut kisah keperitan yang dialami rynn..tolong perjelaskan ;)
BalasPadamagaknya peristiwa rynn ditinggalknn ditepi jln ada sesuatu yg tlh menimpa rynn hingga ayah rynn diserang sakit jantung .....klu akak mmg pun x bolih nk maafkn aryan.
BalasPadam-dibah-
Cite ini sy stop kan utk terbitan. Mlm kejadian tu mmg ada sesuatu berlaku. Tp Qairynn tidak dirogol.
BalasPadam