“Qay..” panggilan itu membuatkan langkah Qay yang mahu ke kelas terbantut serta
merta. Jojie yang sedang berlari anak mengejar untuk bersaing dengannya
dipandang terus-terusan sehinggalah temannya itu tiba di sisinya.
“Kenapa?” soal Qay lembut.
“Aku just nak
bagitahu yang senarai nama peserta yang akan ikut perkhemahan Persatuan Tunas
Puteri dah keluar. Kau tengoklah dekat board persatuan kita nanti ya. Rasanya
nama kau dengan Amna ada sekali.”
Ujaran Jojie itu membuatkan mata Qay menyinar tiba-tiba.
Datang rasa terujanya dengan khabaran itu. “Okay. Aku pergi tengok sekarang!”
ucap Qay serta merta bersemangat. Tanpa berkata apa-apa kepada Jojie dia terus
berpatah balik menuju ke arah bilik guru. Pergi berkhemah.. mesti seronokkan?
Dia manalah pernah melalui semua itu. Inilah baru nak merasa. Itu yang teruja
benar. Sesekali nak juga melihat keindahan flora dan fauna. Flora dan faunalah
sangat!
Di papan pemberitahuan dia menilik senarai nama peserta
perkhemahan yang bakal diadakan lebih kurang dua minggu lagi. Namanya tertera
bersama nama Amna dan beberapa rakan sekelasnya yang lain. Alhamdulillah..
ramailah gengnya nanti. Takdelah bosan..
Namun apa yang paling mengujakan perasaannya ialah
apabila nama Ahmad Aqmal Hadi turut tersenarai sebagai salah seorang peserta
yang mewakili Persatuan Kadet Tentera. Wow, menarik! Semakin terujalah
nampaknya anak dara miang nan seorang ini. Buah hati kesayangan hamba ada
sekali! Bolehlah nanti dia berdating-dating di bawah sinar purnama, bertemankan
unggun api dan nyanyian boria berpasukan. Aduh! Jauh angan-angan Qay saat itu.
Terlupa sudah yang dia harus kembali ke kelas secepat mungkin.
Nampaknya malam nanti dia kena sediakan ayat terbaik
untuk memujuk papanya. Qay sudah tersenyum sepanjang hari. Sampai Amna pun naik
hairan melihat moodnya terover baik
hari ini. Nak pergi berkhemah punya pasal..
Orang lain pun berkhemah juga, tapi relax je..
Namun mengenangkan masa yang dapat diluangkan bersama si
pujaan hatinya itu nanti, merasakan dia sudah tidak sabar. Qay sedar bukan
senang peluang seperti itu datang bergolek kepadanya. Apa pun yang terjadi dia
harus memujuk papanya supaya membenarkan dia mengikuti perkhemahan itu nanti.
“Papa..
bolehlah.” Rayu si anak semakin mendayu.
Tuan Farouqe mengerling Qay dengan ekor matanya. Namun
dia terus berdiam tidak memberikan jawapan seperti yang dimahukan oleh Qay.
Berita Buletin Utama siaran TV3 terus ditatapnya khusyuk padahal derianya
memerhatikan tingkah laku anaknya itu. Dari petang tadi Qay asyik
menghurungnya. Dah macam gula dengan semut mayat aksi mereka berdua.
“Pa, Qay cakap dengan papa ni!” rengus anak itu mula
geram melihat ayahnya hanya buat dono
sahaja kepadanya.
Tuan Farouqe menghela nafas perlahan sambil menoleh
kepada Qay. “Qay boleh ke pergi berkhemah tu semua? Malam-malam nanti macamana?
Dalam hutan banyak nyamuk tau!” jawab lelaki itu seolah-olah tidak percaya
dengan ketahanan anak daranya itu.
“Qay tak kisah semua tu, pa. Qay nak pergi jugak! Amna
pergi takkan Qay tak boleh pergi. Please,
pa..” Qay merayu-rayu lagi.
Tuan Farouqe mengeluh perlahan. Bukannya dia tidak mahu
membenarkan tetapi dia tidak yakin dengan ketahanan anak gadisnya dengan semua
itu. Di rumah Uwonya pantang ada
nyamuk sedikit mulalah seluruh badan disapu dengan losen. Tilam dengan bantal
pun pakai losen sekali bagi mengelakkan diserang nyamuk. Kalau dalam hutan?
Takkanlah semua pokok-pokok pun nak disapu losen?
“Dalam hutan banyak binatang yang lembik tu, Qay. Qaykan
alah dengan binatang lembik tu?” ucap Tuan Farouqe cuba mengumpan anaknya
dengan binatang yang paling ditakuti oleh Qay itu. Dia masih ingat, Qay pernah
hampir histeria apabila ternampak pacat hitam melekat di hujung jari kakinya.
Dengan muka merah padam Qay terpekik-pekik memaksa orang sekeliling membantu
membuang binatang itu padahal binatang itu belum pun dapat menyedut darahnya.
Akibatnya habis jiran sebelah menyebelah datang berkerumun ke rumah dengan
naskah Yassin kerana menyangka Qay sudah terkena sihir buatan orang.
“Qay nak pergi jugak, papa.” Qay tetap berkeras enggan
mengubah keputusannya. Biarlah binatang lembik ke.. binatang lunyai ke.. dia
tidak kisah! Semua itu sudah tidak penting lagi kepadanya melainkan dia mahu
bersama-sama dengan Abang Hadi kesayangannya dalam acara perkhemahan itu nanti.
Tuan Farouqe menggeleng perlahan melihat gelagat anak
gadisnya itu. “Dengan syarat.. jangan call papa suruh ambik Qay malam-malam.
Papa tak nak layan!” ucap Tuan Farouqe serius.
“Qay janji!” sambut Qay pantas. Lesap wajah mendungnya
tadi kini berganti dengan wajah ceria.
“Okay, papa izinkan. Tapi Qay kena jaga diri baik-baik.
Jangan terlalu seronok sangat kat tempat macam tu. Dalam hutan ada banyak jin,
kita kena jaga setiap tindak tanduk kita. Jangan buang sampah merata-rata.
Jangan ambil barang yang bukan hak kita. Jangan sesekali bla..bla..bla..”
Qay tersengih memandang papanya itu. Hutan apa
kebendanya? Taman Alam di Kuala Selangor itu bukannya hutan sebaliknya taman
alam semulajadi. Pesanan demi pesanan papanya macamlah dia nak pergi meneroka
hutan tebal khatulistiwa sana. Tapi bimbang ayahnya akan menarik semula
keizinan tadi Qay sekadar menyimpan rasa gelihatinya itu. setiap pesanan
ayahnya didengarinya dengan patuh. Apa yang penting kini.. Abang Hadi ku
sayang, I’m going to be with you soon...
Setelah berhari-hari menanti dan taklimat demi taklimat didengari akhirnya hari
yang dinanti tiba juga. Kebetulan pula hari Isnin berikutnya merupakan cuti
umum, bermakna kepenatan sepanjang aktiviti selama 2 hari 1 malam itu nanti
dapat ditebus pada hari cuti umum itu nanti.
Petang Jumaat itu Qay dan Amna sudah menanti di luar
dewan sekolah bersama teman-teman seangkatan yang lain. Namun apa yang
menggelikan hatinya semenjak tiba tadi, Amna siap membawa bekal makanan ‘extra’
sedangkan mereka sudah ditugaskan membawa keperluan itu mengikut apa yang
ditetapkan oleh guru-guru mereka dan semua itu bakal dikongsikan bersama-sama.
Cuma yang berat-berat sahaja disediakan oleh guru-guru mereka.
“Kau ni dah macam nak pergi picnic aja aku tengok. Siap
dengan bakul segala. Nasib tikar gulung kat tak letak sekali kat sini. Kalau
tak sah-sah cikgu ingat kita ni dah salah info.” Qay dengan selamba memerli
Amna yang sibuk mengawal bakulnya. Takut benar kuih muih yang dibekalkan
emaknya itu dicopet orang.
“Mak aku kata nanti masuk hutan nanti banyak pakai
tenaga. Dia takut kita lapar. Sebab tu dia buatkan kita kuih.”
Qay mahu tergelak mendengar jawapan lugu Amna. Kenyataan
emak Amna berkaitan banyak pakai tenaga tu memang dah tepatlah. Tapi yang dia
musykil kenapa mak Amna bekalkan mereka kuih seri muka, kuih ketayap, kuih bengkang..
pendek katanya semuanya kuih yang manis-manis belaka. Boleh tambah tenaga ke
tu? Ke tambah kalori balik? Tetapi mengenangkan emak Amna memang pandai membuat
kuih dia malas mahu mengomplen banyak. Bimbang nanti dia hanya mampu menelan
air liur memandang Amna membaham sendiri kuih bekalan emaknya itu. Nak-nak lagi
ada juga kuih bengkang bakar yang sememangnya sudah menambat seluruh rasanya
itu. Memang sedap makan dalam hutan! Silap-silap jin pun telan air liur sekali.
Sambil menanti bas yang disewa oleh pihak sekolah datang
menjemput mereka semua, Qay sempat memanjangkan leher mencari buah hatinya itu.
Walaupun tempat berkumpul itu agak panas namun Qay langsung tidak patah semangat
biarpun teman-teman yang lain sudah ‘berkirap’ kata orang Perak. Berkipaslah tu
maksudnya..
Tetapi sayangnya tempat berkumpul bagi Persatuan Kadet
Tentera agak jauh dari tempat mereka. Jadi dia tidak dapat melihat di mana buah
hati pengarang jantungnya berada. Rindunya sudah hebat mengasak sehingga dia
merasa tidak senang duduk selagi tidak nampak kelibat Hadi. Aksi resahnya dah
macam kucing betina tak dapat jumpa kucing jantan. Yalah, pakwelah katakan..
Tidak lama kemudian kumpulan mereka yang nyatanya semuanya
terdiri dari kaum Hawa mula disatukan dengan kaum Adam. Dengan lagak-lagak
machonya masing-masing mengenakan seluar celoreng ala-ala uniform askar komando
dan tee berwarna coklat gelap. Alahai.. machonya pakwe aku! Qay dah mula
menyeringai sendiri apabila ternampak Hadi berdiri di antara ahli-ahli yang
lain. Hadi dilihatnya paling kacak antara yang lain. Paling sasa. Paling
komando. Paling.. paling.. ah! Tak tergambar oleh kata-kata betapa kagumnya dia
memandang buah hati pengarang jantungnya itu. Rasa macam nak nyanyi lagu Darah
Satria aja..
“Kut ya pun.. tutuplah sikit mulut tu. Tahulah balak kau
ada kat situ! Macam dah setahun tak jumpa!” tegur Amna sengaja mengenakan Qay
walaupun Qay sebenarnya bukannya sedang ternganga tetapi sedang tersengih gatal.
Dia tahu mata Qay asyik mengerling ke arah Hadi.
Qay menjeling geram kepada teman di sebelahnya itu.
“Habis tu kalau aku tak pandang dia, aku nak pandang siapa? Takkanlah aku nak
pandang cikgu dia tu? Nak mampus?” balas Qay enggan kalah.
Pandang Cikgu Saufi guru penasihat Persatuan Kadet
Tentera tu? No way! Bini dia ada kat
depan mata aku ni ha.. Karang jelous punya pasal, aku pulak yang kena angkut
semua barang-barang masuk dalam hutan. Bukannya mereka semua tak tahu betapa
romantisnya pasangan suami isteri itu biarpun ketika berada di sekolah. Makan
waktu rehat pun mesti sama-sama. Macam tulah best! Tapi yang tak bestnya.. guru
penasihat persatuan mereka itu kuat cemburu. Sebelum ini ada seorang guru lain
yang terpaksa ditukarkan ke sekolah lain akibat tidak tahan emosi setelah asyik
termakan jelingan tajam Cikgu Fazuha. Itulah akibatnya apabila guru itu sering sangat
berbual dengan Cikgu Saufi yang sememangnya kacak itu..
Hariani di sebelah kiri Amna yang sempat terdengar
kata-kata Qay mula menoleh. Macam ada topik menarik aja sedang bertiup
sepoi-sepoi bahasa di telinganya itu. Balak siapa ek? Jawapan Qay pun macam sedang membenarkan apa yang ada di
benaknya itu. Namun mahu bertanya dia segan pula sementelah dia pun bukannya
jenis banyak mulut macam Amna dan Qay.
Amna memandang seketika ke arah kumpulan pelajar lelaki
itu.
“Tapi memang macho habis pakwe kau tukan? Patutlah kau
jadi tergila-gila kat dia. Biji mata kau tu dah tak boleh nak pandang tempat lain.
Asyik nak jeling dia aja. Takut pakwe kau kena culik ke atau kat mata kau tu
dah ada gam kanji? Asyik melekat ke sana aja.”
Qay tersengih. Bukan takut kena culik. Takut kena rembat
dengan minah lain. Itu aja! “Alah! Jeling-jeling biasa je. Bukannya ketara
sangat pun. Kau tu kalau dah ada pakwe, kau pun agaknya sama je macam aku.
Takpun kau tu yang lagi kronik!” gerutu Qay selamba. Tidak perasan dia Hariani
yang sedap menelinga perbualannya dengan Amna.
Hariani segera memandang ke arah yang asyik dipandang
oleh Qay. Kebetulan salah seorang pelajar lelaki di situ sedang memandang Qay.
Saat itu dia mula dapat meneka siapa lelaki yang sedang dibualkan oleh Qay dan
Amna. Perlahan bibirnya tersungging sebaris senyuman. Antara percaya dengan
tidak, dia memang yakin dua manusia itu ada memiliki perasaan yang sama.
Masing-masing saling menghantar kerlingan penuh makna kemudian tersenyum
sipu-sipu pula. Malulah sangat kononnya!
“Abang Hadi tu pakwe kau ke, Qay?” soal Hairani dengan
sedikit senyuman.
Qay pantas memandang Hariani. Kemudian bola matanya yang
sudah terbeliak dihalakan kepada Amna seolah-olah bertanya adakah rahsianya
sudah dibocorkan Amna. Siapa lagi suspek utamanya kalau bukan Amna?
“Aku dengarlah apa yang kau orang borakkan dari tadi..”
ucap Hariani selamba.
“Kau janganlah hebohkan pada orang lain.”
“Kalau dah tahu nak berahsia, janganlah borak kuat
sangat. Macamana rahsia nak kekal rahsia kalau suara kau orang tu dah macam
suara beduk. Borak pasal rahsia dah macam macam borak pasal artis top aje. Satu
dunia boleh dengar,” tegur Hariani lembut.
Qay terus tersengih. “Amna ni ha.. dia kan kalau bercakap
macam ada mikrofon depan mulut. Satu Sepang ni boleh dengar apa yang dia
cakap,” pantas Qay menyalahkan teman seangkatannya itu. Terbeliak mata Amna
memandang Qay dan Hariani sempat tergelak memandang Amna.
“Aku pulak yang kau kenakan?”
Qay sekadar mencebik sambil mengerling lagi buah hatinya.
Kebetulan pula Hadi sedang memandang ke arahnya, terus bibirnya tersenyum
manis. Seronok melihat perhatian yang sedang dilemparkan oleh si kekasih dari
jauh. Dia tahu Hadi juga asyik mencuri pandang kepadanya. Mulalah dia terasa
dia yang paling jelita berbanding yang lain. Ah! sudah.. sakit perasan lawa sudah
sampai.
Setengah jam kemudian, setelah bas yang disewa oleh pihak
sekolah tiba mereka memulakan perjalanan setelah segala urusan selesai.
Keseronokan melakukan aktiviti luar sekolah seperti ini terlalu sukar untuk
ditepis oleh Qay. Dia benar-benar teruja. Disokong dengan keindahan
permandangan sepanjang jalan Qay langsung tidak mahu melelapkan mata. Berlainan
pula Amna yang sudah ‘tersidai’ di kerusi bersebelahan dengannya dengan mulut
sedikit ternganga sambil menerbangkan abjad ‘z’ sebanyak yang mungkin dari
mulutnya. Qay sempat menggeleng melihat gelagat sahabat baiknya itu.
Jam 5 setengah petang mereka tiba di pintu masuk Taman
Alam yang dimaksudkan. Sementara menanti guru mereka menyelesaikan urusan
dengan bahagian pentadbiran taman itu mereka sempat melepak di kawasan lapang
di hadapan taman itu sambil menikmati permandangan sekeliling. Namun sebenarnya
mereka bukan sekadar menikmati permandangan itu saja-saja. Buku dan pen harus
ada di tangan kerana sepulangnya mereka semua daripada aktiviti ini segala yang
mereka lalui dan pelajari sepanjang masa perkhemahan ini harus dilakarkan dalam
bentuk karangan.
Qay, Amna, Hairani dan Jojie sibuk membaca papan
kenyataan yang menerangkan selok belok tentang Taman Alam yang berkeluasan 497
hektar ini. Agak luas untuk mereka terokai kesemuanya dalam masa yang sehari
dua. Namun di papan kenyataan itu ada tertera beberapa taman yang akan dilawati
mereka nanti. Setiap objektif penubuhan taman tersebut serta isi kandungannya
harus dicatatkan untuk dijadikan rujukan mereka.
Setelah puas menikmati lanskap sekitar pintu masuk itu
mereka berempat duduk melepak. Pelajar-pelajar lain ada yang melepak begitu
sahaja dan ada yang masih duduk di dalam bas. Tidak lama kemudian barulah
mereka diarahkan beratur untuk masuk ke dalam kawasan Taman Alam itu untuk
aktiviti yang pertama iaitu memacakkan khemah.
Kawasan yang menjadi ‘port’ lepak mereka
tidaklah kelihatan seperti di dalam hutan sebenarnya. Sekadar satu kawasan
lapang yang siap dilengkapi dengan kemudahan tandas dan surau. Cuma kalau dah
nama pun taman alam, mestilah ada banyak pokok. Itu saja.. yang pastinya
‘binatang lembik’ yang amat ditakuti Qay itu, tidak ada di situ.
Setelah selesai memacakkan khemah, semua pelajar mula
bersiap untuk menunaikan solat maghrib. Namun dek kerana bukan sekolah mereka
sahaja yang menganjurkan aktiviti perkhemahan di situ, mereka semua terpaksa
menggambil nombor untuk menggunakan kemudahan yang ada. kamar mandi penuh sesak
waktu itu. Surau pula agak kecil. Jadi terpaksalah mereka bersolat di tepi
khemah sahaja. Pertama kali Qay melalui pengalaman bersolat di tempat terbuka
seperti itu. Walaupun agak janggal namun tak mengapalah.. solat di tempat terbuka
seperti itu boleh tahan lagi. Jangan sampai dia terpaksa mandi di mata umum je
sudah!
Setelah selesai menunaikan kewajipan kesemua mereka mula
menikmati makan malam. Makan malam mereka dimasak sendiri oleh beberapa orang
guru yang terbabit dalam aktiviti ini. Juga dibantu oleh beberapa pelajar
wanita yang lain.
Qay terus melekat bersama tiga sahabatnya itu. Namun
dalam masa yang sama matanya terus tercari-cari kelibat Hadi yang tidak ditemui
semenjak dari mereka mula sibuk memasang khemah masing-masing sebentar tadi. Tetapi
sayangnya kelibat Hadi tetap tidak ditemuinya. Akhirnya bersama sebiji pinggan polistirin
dan gelas air Qay mengikut langkah Amna, Hairani dan Jojie untuk mencari
kawasan sesuai untuk mereka menikmati makan malam.
Walaupun agak tidak menggemari lauk berasaskan sardin
namun dia tetap memaksa dirinya untuk makan. Dalam keadaan begini masakan dia
mahu memilih makan pula. Bimbang juga jika tidak mengisi perut yang kosong, dia
akan kelaparan tengah malam nanti. Tetapi baru sahaja beberapa suap nasi masuk
ke mulutnya dia sudah ternampak satu permandangan yang terus mematikan
seleranya. Dalam samar-samar kegelapan malam dia melihat dengan enaknya buah
hati pengarang jantungnya duduk melepak sambil diapit oleh seorang gadis yang
tidak dikenalinya. Dari pakaian yang dipakai oleh gadis itu Qay tahu gadis itu
adalah pelajar sekolah lain yang menyertai aktiviti perkhemahan di situ. Hadi
sedang makan sambil diperhatikan oleh gadis itu dari sisi.
Berdetak hebat jantung Qay melihat Hadi begitu mesra
duduk bersebelahan dengan perempuan itu. Ikutkan emosi yang sudah bergolak
hebat ini mahu sahaja dia bangun dan mencurahkan nasi di dalam pinggannya itu
kepada mereka berdua.
“Qay, apasal tak makan?” soal Amna hairan melihat
sahabatnya itu tegak sahaja memandang ke satu arah. Tangannya hanya menyentuh
nasi di dalam pinggan namun tidak lagi menyuapnya ke mulut. Amna kian
kehairanan melihat mata Qay yang begitu liar memerhatikan sesuatu tidak jauh
dari mereka. Apa kena pulak ni? Kena sampuk dengan jin ke apa dia ni? hati Amna
berbisik sendiri. Akhirnya apa yang dipandang Qay ikut diperhatikan mereka
semua yang sudah terkesan kelainan sikap Qay.
“Alamak..” ucap Amna lantas mengalihkan pandangannya ke
arah pinggan makannya seolah-olah enggan masuk campur dalam situasi itu.
Bukannya dia tidak nampak ketegangan yang sudah diterik oleh wajah Qay. Matanya
masih tidak berkalih daripada buah hatinya itu.
“Kenapa?” Jojie yang masih tidak faham mula
terpinga-pinga. Namun dia berdiam apabila Amna sudah membuat isyarat agar dia
tidak terus bertanya.
Akhirnya Qay tunduk memandang nasi yang masih banyak
bersisa. Akibat langsung tidak berselera dia sekadar meletakkan pinggan makanannya
ke tepi. Air sirap di dalam gelas disisipnya untuk menyejukkan hati yang panas.
Ingatkan dia ke situ untuk mengukir memori indah dengan Hadi tetapi baru sahaja
permulaan dia sudah diuji dengan permandangan yang amat tidak disukainya. Rasa
mahu meletup hatinya menahan rasa yang bergolak hebat.
Amna sempat menoleh beberapa kali ke arah Hadi. Hatinya
menggerutu geram benar dengan kemiangan Hadi melayan gadis itu tanpa menyedari
kedudukan Qay yang tidak jauh darinya. Hadi langsung tidak peka dengan
kehadiran Qay yang sudah mahu ‘meletup’ di hadapannya ini. Teringin pula dia
mahu mengajar dua manusia itu sedas dua.
Selesai makan Amna sengaja mengajak mereka balik ke
khemah. Namun dia sengaja membawak kawan-kawannya itu melalui kawasan yang
diduduki Hadi. Biar Hadi perasan keadaan Qay. Sebaik sahaja melintas dekat
dengan buah hatinya Qay nekad melemarkan pinggan nasinya ke arah Hadi sebagai
amaran pertama. Mukanya selamba sahaja berlalu tanpa memandang lagi kepada
Hadi.
Apa lagi? Terkejut beruklah Hadi dibuatnya apabila
pinggan polistrin yang masih dipenuhi nasi itu melepek jatuh di atas seluar
tracknya. Serta merta dia berdiri. Gadis itu juga amat terkejut dengan
perbuatan Qay.
Setelah beberapa langkah menjauhi Hadi, Qay sempat
melemparkan jelingan tajam tahap dewa kepada si lelaki yang terpinga-pinga
dengan perbuatannya. Dalam hati dia mengejek, padan muka kau! Main-main dengan
aku?
Keesokan pagi selepas subuh mereka terus bersiap untuk melakukan aktiviti permulaan
buat hari itu iaitu acara trekking. Mereka diberi taklimat oleh Cikgu Saufi
mengenai trail yang akan mereka ikuti sepanjang mereka semua menjelajahi hutan
bakau itu. Mereka akan berjalan kaki di trail sepanjang 1100 meter selama 80
minit. Sepanjang mendengar taklimat dari guru mereka itu Qay sekadar fokus.
Malas dia mahu memandang ke kiri ke kanan lagi dek kerana moodnya yang masih
tak berapa nak elok buat masa ini. Senyum pun macam mahal aja rasanya. Pendek
kata hatinya masih berbuku semenjak peristiwa semalam.
Sepanjang acara trekking itu Qay fokus kepada alam
sekelilingnya. Buku catatan di tangan asyik mencatit apa yang diterangkan oleh
guru mereka. Kalau boleh dia tidak mahu ketinggalan apa-apa bahan pun yang akan
digunakan dalam esseinya nanti. Sesekali kehadiran monyet jenis silver leaf di
sekitarnya lekas menggamit perhatiannya. Aksi malu-malu monyet itu mahu
memunculkan diri membuatkan dia tersenyum.
Tetapi setelah setengah jam mereka menjelajah kawasan
paya bakau itu Qay mula perasan kehadiran seseorang bersebelahan dengannya.
Amna, Hairani, dan Jojie sedang berada di hadapannya. Pantas Qay menoleh.
Berderau darahnya melihat gerangan manusia yang sedang berjalan di sisinya.
Hadi!
“Kenapa semenjak tadi Qay buat tak tahu aja pada abang?”
soal Hadi agak perlahan sambil menghalakan pandangannya ke arah guru mereka
yang sedang sibuk menunjukkan haiwan-haiwan di sekeliling mereka.
Qay diam seolah-olah tidak mendengar bicara itu. Sakit
hatinya masih menebal. Ikutkan hatinya malas dia mahu berada dekat dengan Hadi.
Namun trail yang dilalui mereka agak sempit membuatkan dia terpaksa juga
beratur di belakang Amna dan Hairani.
“Sayang, sampai bila nak marah abang ni?” ucap Hadi kesal
melihat sikap Qay.
“Diamlah! Tak dengar apa yang cikgu Saufi tu cakap.” Qay
mendegus menyampah.
Hadi menoleh. Lama sisi wajah si kekasih yang masih ketat
itu dipandang. Marah benar Qay padanya sampai langsung tidak mahu memandangnya.
“Abang minta maaf pasal semalam. Bukannya abang sengaja nak layan dia tapi dia
banyak tanya pada abang pasal sekolah kita. Takkanlah abang nak buat bodoh
aja?” pujuk Hadi agak perlahan.
“Yelah, orang peramahlah katakan. Dah nama pun pelajar pandai
takkanlah nak buat bodoh pulak, ye tak? Layan jelah. Layan sampai subuh pun
takpe. Oh, pasal sekolah je ke dia tanya? Dia ada tanya siapa pengetua sekolah
kita? Abang bagitahulah dia apa-apa yang dia nak tahu. Nanti dia tak tahu pulak
pasal sekolah kita,” sindir Qay geram.
Kelat rasa liur yang ditelan Hadi mendengar sindiran
tajam Qay kepadanya. Perempuan seorang ini kalau dah cemburu boleh tahan juga
anginnya. Mulutnya pun boleh tahan juga lasernya. “Qay perli abang ke ni?”
“Perli apa pulak. Kalau abang dah suka sangat jadi
kaunter pertanyaan dia tu, buat apa Qay nak halang. Teruskan jelah niat murni
abang nak jadi kaunter pertanyaan abang tu,” bidas Qay semakin seronok
menyakitkan hati Hadi. Dendam semalam yang berbuku lega dapat dilepaskan kepada
sasaran yang tepat! Ambik kau, Hadi!
Sekali lagi telinga Hadi berdesing disindir Qay. Bila
masa pulak aku nak jadi kaunter pertanyaan? Kalau aku gagal STPM nanti pun aku
lebih rela jadi kerani kat kaunter bank daripada jadi kerani kat kaunter
pertanyaan. Banyak sikit duit! Hadi mengomel sendiri dalam hati.
Qay terus maju ke hadapan mengikut pelajar-pelajar yang
lain tanpa mempedulikan Hadi yang masih berada di sisinya. Akhirnya Hadi
sekadar mendiamkan diri selepas itu apabila jelas sekali Qay tidak berminat
mahu berbual mesra dengannya. Mahu memujuk lebih-lebih dia segan pula dengan
kehadiran orang ramai di sekelilingnya. Akhirnya kedinginan terus mewarnai
hubungan mereka sehingga ke penghujung acara itu.
Bab 12
Jam 3
petang itu mereka semua sudah tersandar keletihan setelah selesai acara
trekking dan lawatan ke Taman Burung. Banyak spesis-spesis haiwan dan unggas yang
jarang dilihatnya sudah ditemui oleh Qay sepanjang penjelajahan mereka semua.
Sepanjang masa itu dia asyik ditemani oleh Hadi walaupun lelaki itu tidaklah
banyak berinteraksi dengannya. Dah macam bodyguard dia pula lelaki itu. Asyik
mengekornya ke mana dia pergi. Namun dalam diam Qay merasa bahagia dengan
perhatian Hadi kepadanya. Tindak tanduk lelaki itu jelas menunjukkan yang dia
sememangnya cukup penting kepada Hadi.
“Qay marah abang lagi ke?” layu sahaja nada Hadi
bertanya. Wajah pujaan hati yang selamba sahaja memandang persekitaran mereka
ditatap lama.
Qay memandang kosong Hadi seketika tanpa memberikan
apa-apa jawapan. Kemudian air mineral di dalam botol di tangannya itu diteguk
selamba seolah-olah langsung tidak mendengar pertanyaan Hadi. Hakikatnya
sebagai seorang wanita dia tidak suka hatinya dipermainkan semudah itu oleh
seorang lelaki yang amat disayanginya.
“Qay, janganlah merajuk dengan abang lagi. Abang susah
hati kalau Qay terus boikot abang macam ni.” Hadi mengeluh perlahan memohon
simpati dari Qay. Semenjak tadi dia dilayan macam orang bodoh. Kata-katanya
langsung tidak disambut Qay.
“Buat apa nak susah hati pasal Qay? Pergilah layan orang
lain lagi. Qay macam orang gila cari abang sana sini, abang sedap aja layan
perempuan lain depan mata Qay. Abang ingat Qay ni apa? Kut ya pun peramah
sangat, janganlah tunjuk depan mata orang,” balas Qay tanpa memesrakan nadanya.
Hati yang sakit terus dilayannya.
“Okay, abang janji abang takkan buat macam tu lagi. Janganlah
marah abang..” rayu Hadi dengan muka seposen.
“Qay benci orang
yang suka main-mainkan perasaan Qay. Kalau abang tak ikhlas dengan Qay, tolong
jangan bagi Qay harapan. Sebab Qay tak mahu terus berharap kepada sesuatu yang
takkan jadi milik Qay. Kalau tempat di hati abang tak boleh Qay miliki seorang,
Qay rela mengundur diri, bang. Tapi untuk merelakan orang lain sayang apa yang
Qay sayang, Qay tak sanggup!” Perlahan sekali nada gadis itu dalam pada dia
menunduk. Entah kenapa dia berkata begitu. Hatinya teramat pedih mengenangkan
kemesraan Hadi dan gadis itu semalam.
Terkedu Hadi mendengar bicara Qay yang sudah bernada lain
macam itu. Walaupun amat perlahan namun dia masih mampu menangkap maksudnya.
“Qay, apa Qay cakap ni? Takkan disebabkan hal semalam tu Qay cakap dengan abang
macam ni. Abang ikhlas, Qay. Abang bukannya nak main-mainkan Qay. Sumpah! Abang
takde niat sikit pun nak melebih-lebih dengan budak tu. Nama dia pun abang tak
tahu, Qay. Abang cuma sayang Qay seorang aja,” tegas Hadi bersungguh.
Qay menghela nafas sambil matanya dipejamkan seketika
untuk menenangkan hatinya yang gundah. Sukar mahu digambarkan apa yang dirasainya
saat ini. Melihat Hadi bersama orang lain umpama mimpi ngeri kepada dirinya.
Dia tidak sanggup membayangkan jika sampai satu masa nanti Hadi yang dipujanya
‘dikebas’ orang. Bagaimana keadaannya kala itu? Dia lebih rela kecewa hari ini
daripada kecewa kala hatinya sudah bulat buat lelaki ini. Tidakkah Hadi
mengerti semakin hari kasihnya semakin dalam buat Hadi seorang?
“Sayang, jangan fikir yang bukan-bukan. Abang takde
apa-apa pun dengan dia. Janganlah marah abang sampai macam ni.” Hadi merayu
lagi. Hukuman yang diberikan Qay kepadanya semenjak tadi sudah terlalu
menyiksakan. Dia tidak sanggup terus dipulaukan oleh gadis kesayangannya.
Qay melepaskan helaan nafas dengan tenang. Kemudian dia
menoleh kepada buah hatinya itu. Simpati dia melihat kekeruhan di wajah Hadi.
Tidak sampai hati dia mahu terus mendera buah hatinya itu. “Qay dah tak marah
abang lagi..” ucapnya lembut.
“Terima kasih, sayang. Maafkan abang ya sebab tak jaga
perasaan Qay semalam. Abang janji tak buat lagi.” Hadi segera menyambut penuh
kelegaan. Ikutkan hatinya mahu sahaja disentuh jemari Qay namun dek kerana
ramai orang di sekeliling mereka terpaksa ditahan niatnya. Dia tidak mahu
perbuatannya itu menimbulkan cerita liar tentang mereka berdua di sekolah.
“Qay sayang abang. Qay tak mahu kongsi abang dengan orang
lain dan Qay tak suka bersaing dengan orang lain. Qay harap abang faham
pendirian Qay,” luah Qay lembut.
“Abang faham. Abang pun sayang Qay seorang aja. Abang
janji takkan buat macam tu lagi.” Hadi menyambut lembut dalam kesungguhan. Dia
lebih rela memulaukan wanita-wanita lain di sisinya berbanding dipulaukan Qay.
Rasa seperti tidak boleh bernafas dia mengenangkan rajuk Qay kepadanya.
“Malam ni kita makan sama ya? Abang tunggu Qay kat tempat
semalam.”
Qay pantas mengangguk. Akhirnya mereka berdua berbalas
senyum tanda sengketa sudah berakhir. Terlupa sudah Qay kepada teman-temannya
yang sedari tadi setia bersamanya.
Malam
itu acara bebas bagi mereka.
Qay dan Hadi menghabiskan masa duduk dating berdua.
Sesuatu yang amat susah diperolehi oleh mereka. Iaitu duduk berdua memandang
keindahan malam dan kerlipan bintang di langit. Malam ini orang di sekeliling
mereka juga seakan-akan mengerti. Tiada siapa menegur mereka duduk berdua di
situ. Lagipun mereka bukannya duduk di tempat sunyi. Ramai orang yang masih
belum tidur. Ada yang mengelilingi unggun api sambil bercerita.
“Siapa punya ni?” tanya Qay sambil memandang gitar
akustik di dalam pelukan Hadi.
“Abang punya..” jawab Hadi tanpa memandang Qay di
sisinya. Dia asyik memetik gitar itu sambil memandang ke langit.
“Abang pandai main gitar?”
“Bolehlah..” jawab Hadi ringkas. “Qay pandai?” tanyanya
kepada Qay semula.
Qay lantas menggeleng. Seronok dia melihat jemari Hadi yang
begitu lancar bermain-main di tali gitar itu.
“Abang main gitar ni, Qay nyanyi. Kita nyanyi lagu yang
Qay suka tu. Nak?” Hadi masih ingat Qay pernah memberitahunya tentang sebuah
lagu yang amat disukainya. Demi cinta dia sanggup belajar bermain lagu itu.
Khas untuk Qay!
Qay tergelak sedikit mendengar permintaan Hadi. “Tak nak.
Qay tak pandai nyanyi. Nanti semua binatang lari kalau Qay nyanyi. Abanglah
nyanyi..” Dalam aksi malu-malu gadis itu menolak. Mana pernah dia menyanyi
depan orang?
“Tak payahlah nyanyi kuat-kuat. Nyanyi untuk abang je.
Bolehlah..” pujuk Hadi cukup lembut.
Qay mula terdiam sedetik dua itu. Permintaan Hadi sudah
membuat dia merasa serba salah. Malu.. tapi apa salahnya kalau permintaan
sekecil itu dipenuhinya? Bukannya Hadi suruh dia menyanyi atas pentas. Cuma
untuk mereka berdua sahaja.
“Boleh ya. Abang dah cuba belajar main lagu tu. Abang
teringin nak praktis lagu tu dengan Qay.” Hadi memujuk lagi dalam pada Qay
masih berdiam tidak memberikan jawapan. Teringin benar dia menyemarakkan
saat-saat seperti ini dengan kenangan yang manis. Rasanya dia masih belum
terlambat.
“Okay..” Qay akur akhirnya.
Hadi tersenyum senang. Lagu bertajuk Broken Vow itu
dimainkan perlahan dengan petikan gitar. Lagu yang pada awalnya tidak pernah
didengarinya. Tetapi kerana Qay dia mula mencarinya. Beberapa ketika irama
gitar itu terus bergema lembut sehinggalah apabila melodi gitar itu berubah
suara gemersik lembut gadis itu mula kedengaran membuka irama dengan lenggok yang
cukup lembut.
Hadi tersenyum memandang raut buah hatinya itu. Sedapnya
suara dia, bisik hatinya ikhlas. Dia yakin pujian itu bukan sekadar kerana dia
menyayangi gadis itu sebaliknya Qay sememangnya memiliki lenggok suara yang
cukup lunak.
Tell me her name I want to know
The way she looks and where you go
I need to see her face I need to understand
Why you and I came to an end
Tell me again I want to hear
Who broke my faith in all these years
Who lays with you at night when I'm here all alone
Remembering when I was your own
I'll let you go I'll let you fly
Why do I keep on asking why
I'll let you go now that I found
A way to keep somehow
More than a broken vow
Tell me the words I never said
Show me the tears you never shed
Give me the touch
That one you promised to be mine
Or has it vanished for all time
Sebaik sahaja
nyanyian itu disudahi oleh Qay serta merta bergema tepukan dari kawasan
berdekatan mereka. Rupanya dari sekadar nyanyian kecil gelagat mereka berdua
sudah mula menarik perhatian orang di sekeliling mereka. Ada yang mula datang
mendekat semata-mata mahu mendengar sama nyanyian gadis itu.
Merona hangat
wajah Qay melihat perhatian orang sekeliling kepadanya.
Hadi tersenyum
lebar merenung gelagat Qay. “Siapa cakap suara Qay tak sedap? Tengok.. semua
orang tepuk tangan. Semua orang terpaku dengar suara Qay. Abang pun suka.” Hadi
berkata lembut.
Baginya lagu
bernada ‘F sharp’ seperti itu tidak semua orang mampu mendendangkannya dengan
baik. Tetapi Qay pandai melagukannya dengan sempurna walaupun sekadar dengan
iringan gitar. Berbanding iringan orkestra ketika dinyanyikan oleh penyanyi
asalnya iaitu Lara Fabian.
Qay tersenyum malu
mendengar pujian Hadi. Rasanya seperti dia tidak mampu mengangkat wajahnya
kepada orang di sekelilingnya. Malu masih menebal akibat diperhatikan begitu.
Dia sedikit pun tidak berniat untuk menarik perhatian orang kepadanya.
“Kenapa Qay suka sangat dengan lagu tu?” tanya Hadi lembut.
Apa yang diketahuinya lagu berlatarkan orkestra begitu memang kegemaran
orang-orang bangsawan. Agaknya keluarga Qay pun begitulah. Sanggup membayar
harga tiket sampai beribu semata-mata mahu melihat persembahan orkestra.
“Dulu Qay pernah berlatih main lagu tu ikut kumpulan
orkestra sekolah. Dulu kami selalu main untuk persembahan orkestra dan teater
muzikal. Lagu tu pernah dimainkan dalam satu persembahan orkestra untuk majlis
sambutan jubli emas sekolah lama Qay. Mula dari situ Qay suka dengan lagu tu.”
Bicara itu membuatkan Hadi segera teringat dahulu Qay
memang aktif bermain biola, salah satu alat muzik yang wajib ada di dalam
kumpulan orkestra. Permainan alat muzik orang-orang kaya begitulah. Lainlah dia..
gitar kapok je. Itu pun belajar main ikut buku panduan yang dibeli dengan harga
RM 5 sahaja. Mana ada cikgu nak mari ajar di sekolah. Keluarganya pun bukannya
mampu mengupah guru mengajar dia bermain gitar di rumah. Berbeza dengan Qay..
ada guru yang diupah untuk mengajar dia bermain biola di rumah. Mereka umpama
langit dengan bumi bezanya. Dia sendiri tidak tahu apa kelebihan yang ada
padanya sehingga membuatkan Qay jatuh hati kepadanya.
“Kenapa sekarang dah tak aktif?” tanya Hadi segera
menepis bayangan tidak elok di benaknya.
“Kenapa dah tak aktif? Sebab sekolah kita takde kumpulan
orkestra macam kat sekolah lama Qay dulu. Teater kat sekolah kita takde yang
bermuzikal. Qay pun sebenarnya dah lama tak main biola semula. Semenjak pindah
ke sekolah baru Qay macam dah tak berminat. Mungkin sebab takde korum macam kat
sekolah lama.” Qay menjawab lembut. Bukan niatnya mahu merendah-rendahkan
sekolah mereka sekarang tetapi itulah sejujurnya. Dia sekadar aktif melalui
aktiviti di sekolah. Dia tidak berniat untuk pergi lebih jauh dari itu kerana
dia tidak pernah bercita-cita mahu menjadi pemuzik.
Hadi mengangguk puas hati dengan jawapan buah hatinya.
“Kalau ada peluang abang teringin nak tengok Qay main biola.” Hadi berkata
perlahan.
Qay tersenyum. “Tapi nanti abang pulak yang kena nyanyi.
Bolehkan? Tadi Qay dah nyanyi untuk abang. Lepas ni giliran abang pulak.” Qay
pantas menyambut lunak. Matanya merenung mesra Hadi yang sedang tersenyum
memandang gitar kesayangannya itu.
“Untuk Qay apa pun abang sanggup, sayang.” Hadi lantas
tersenyum lembut kepada Qay. Dalam kesamaran malam dia mencapai jemari gadis
itu lalu diramas lembut. “Abang bertuahkan? Lelaki biasa macam abang ni, sudi
disayangi oleh perempuan yang cukup istimewa yang ada segala-galanya macam Qay.
Qay ada serba serbi tapi abang cuma orang biasa. Abang sendiri pun tak tahu apa
yang mampu abang sediakan untuk Qay sekiranya kita pergi lebih jauh dari ini. Abang
tahu abang takkan mampu menandingi apa yang orang tua Qay ada.” Hadi meluahkan
bicaranya perlahan.
“Qay tak pernah letak syarat yang abang kena jadi kaya
untuk sayangkan Qay. Kenapa abang cakap macam ni dengan Qay? Qay tak pernah
rendahkan kedudukan keluarga abang. Qay tak pernah rasa malu pun berkawan
dengan abang. Malah selama ni Qay anggap abang istimewa untuk Qay. Kalau dalam
soal hati harta dan duit mesti jadi kayu pengukurnya Qay takkan pandang abang
semenjak awal lagi. Qay takkan kawan dengan Amna sebab mak dia hanya penjual
nasi lemak. Tapi Qay bukan jenis orang yang macam tu, bang. Qay tak suka abang
selalu ungkit pasal ni.”
Hadi terdiam seketika. Bicara Qay masuk satu persatu ke
benaknya. Sebenarnya bukan darjat dan kekayaan Qay yang menjadi kebimbangannya
tetapi emaknya. Sehingga kini kebencian emaknya sering menjadi kudis kepadanya.
Dia bimbang sampai ke sudah emaknya akan terus membenci keluarga Qay. Semenjak
kebelakangan ini dia sudah kerap mendengar pertengkaran emak dan ayahnya
tentang orang tua Qay dan kisah arwah mak longnya. Semakin lama kebencian
emaknya semakin mendalam. Dia sendiri tidak faham kenapa emaknya jadi begitu.
Tidak cukup itu nama neneknya juga ikut tersenarai sekali. Semuanya sehingga kini
disimpan sendiri dari pengetahuan Qay kerana dia bimbang Qay akan tertekan jika
mendapat tahu tentang itu.
Apa yang patut aku lakukan? Aku tak sanggup kehilangan
dia dari hidup ku. Tapi jalan di depan ku semakin susah. Kalau apa-apa terjadi,
sanggup ke dia hidup susah bersama dengan aku? hati Hadi berbicara sendiri
sambil menghela nafas perlahan.
“Kenapa abang diam?”
Hadi segera tersedar dari khayalannya. Terlupa dia Qay
sedang memandangnya. “Takde apa-apa, sayang.” Hadi menjawab sambil tersenyum
bagi menutupi apa yang bermain di fikirannya.
“Habis tu kenapa abang mengeluh tadi?” soal Qay tidak
lekas percaya.
“Abang sayangkan Qay. Qay sanggup hidup susah dengan
abang?” tanya Hadi tiba-tiba.
“Maksud abang apa?” Qay semakin pelik dengan kelakuan
Hadi. Macam nak ajak kahwin lari aja? Biar betul!
“Jawab dulu pertanyaan abang. Kalau kerana cinta kita
dibuang dari keluarga, Qay sanggup hidup susah dengan abang?” soal Hadi
bersungguh.
Qay tidak terjawab. Bukan soal susah yang terletak elok
dalam pemikirannya saat ini sebaliknya, sanggupkah dia menderhaka kepada ibu
dan ayahnya kerana cinta? Sanggupkah dia berjauhan dari kasih sayang emak dan
ayahnya? Entah.. dia sendiri tidak tahu apa jawapannya.
“Qay tak sanggup?” teka Hadi apabila melihat buah hatinya
itu hanya berdiam.
“Qay sayangkan abang dan Qay sayangkan family Qay. Kalau
boleh Qay tak mahu memilih, bang. Sebab Qay tak tahu siapa yang harus Qay
pilih. Jangan letak Qay dalam keadaan tu sebab Qay tak mahu lukakan hati
sesiapa.” Qay menjawab jujur.
Hadi mengangguk perlahan. “Abang faham, sayang..”
Hari
Ahad itu setelah selesai merobohkan khemah masing-masing mereka semua dibawa
melawat Kampung Nelayan. Di sana mereka diperlihatkan kehidupan sebagai nelayan
dan segala yang dilakukan oleh nelayan-nelayan sebelum turun ke laut.
Sebelum pulang ke Sepang mereka dibawa pula ke Bukit
Melawati. Nama itu sering didengari oleh mereka di sekolah namun inilah kali
pertama mereka menjejakinya. Dengan menggunakan kenderaan tream mereka semua
dibawa ke puncak bukit itu yang kaya dengan tinggalan sejarah.
“Cantikkan?” ucap Hadi yang berdiri di sisi gadis itu
sambil memandang ke arah permandangan Selat Melaka dari puncak bukit itu.
“Cantik..” balas Qay kekaguman.
“Kalau Qay nak tahu di sini pernah Sultan Abdul Samad
bersemayam sebelum baginda berpindah ke Bukit Jugra,” beritahu Hadi tanpa
disuruh.
“Patutlah kat sini banyak meriam lama,” komen Qay kepada
sebatang meriam yang berada di sisinya itu. Ini adalah pertama kali dia
menyentuh meriam yang sering digunakan oleh orang zaman dulu ketika dalam
peperangan. Selalunya dia hanya melihatnya dalam filem epik perang.
“Jom kita naik atas lagi..” ajak Hadi.
Qay akur sahaja mengikut langkah Hadi. Amna, Hairani dan
Jojie entah ke mana dia sendiri tidak tahu. Kini dia hanya berdua sahaja dengan
Hadi. Teman-temannya itu bagaikan mengerti dia memerlukan peluang dan masa
bersama dengan Hadi, sengaja menjauhi mereka berdua.
Uniknya, ketibaan mereka di situ disambut oleh puluhan
ekor monyet jenis silver-leafed dan macaques yang cukup jinak. Kumpulan
binatang itu tidak melarikan diri saat didekati membuatkan Qay semakin teruja.
“Qay tunggu sini. Abang belikan makanan dia. Kita kena
bagi dia makan kalau nak sentuh dia,” ucap Hadi juga teruja melihat kelibat
monyet berekor panjang berwarna perang itu. Cukup jinak.
Dengan berbekalkan sayur kacang panjang Qay cukup seronok
melayan monyet-monyet itu yang mengelilinginya. Seekor demi seekor menghulurkan
tangan meminta makanan yang sedang dipegang oleh Qay. Ada yang dengan selamba
duduk bertenggek bersebelahan dengannya seolah-olah sudah kenal lama. Apabila
sudah habis kacang panjang di tangan mereka, monyet itu tanpa segan silu
menghulur tangan meminta lagi. Tergelak Qay melihat gelagat binatang itu.
Tanpa sedar kelakuan Qay itu diperhatikan Hadi dengan
senyum penuh kebahagiaan. Dia tidak sangka Qay rupanya sukakan binatang. Sikap
penyayangnya jelas kelihatan.
“Abang tak nak bagi dia orang makan?” tanya Qay sebaik
sahaja dia perasan Hadi hanya memandang sahaja perbuatannya dari tadi.
“Takpelah. Abang belikan sebab abang tahu Qay suka layan
monyet-monyet ni semua.” Hadi menjawab lembut.
“Comelkan, bang? Qay suka tengok gelagat diorang. Anak
monyet ni comel. Rasa macam nak bawak balik je.” Qay menjawab sambil ketawa
kecil. Dia benar-benar geram melihat anak-anak monyet yang berwarna oren
keemasan sedang bergayut di tubuh ibu monyet masing-masing.
Hadi ketawa kecil mendengar angan-angan Qay. “Mana boleh
bawak balik, sayang. Berdosa kita pisahkan anak monyet tu dari emaknya. Lagipun
semua binatang ni dilindungi. Monyet-monyet ni lebih sesuai hidup di hutan
macam ni daripada hidup dalam kalangan manusia macam kita. Inilah antara tempat
yang masih dijaga agar semua binatang yang ada di sini ada habitat
masing-masing. Tempat lain kebanyakkannya dah diteroka. Banyak habitat mereka
ni dah terhapus dan banyak yang mati sebab diburu untuk dijadikan makanan.
Kasihan..” ucap Hadi lembut.
“Ada orang makan monyet ke?” soal Qay pelik sambil
memandang Hadi sekilas. Tangannya masih asyik membelai tubuh seekor monyet yang
sedang makan itu.
“Ada.. monyet ni salah satu makanan eksotik yang
diharamkan di Malaysia. Qay tak tahu ke?” balas Hadi hairan.
“Qay tak tahu langsung ada orang sanggup makan monyet.”
Dia sempat memandang salah seekor monyet yang duduk rapat dengannya. Serta
merta rasa simpati lahir di hatinya melihat nasib-nasib binatang yang tidak
berakal seperti ini. Kasihannya..
“Manusia sekarang ada macam-macam tabiat, Qay. Sebab
tulah sebaik-baik agama adalah Islam. Sebab dalam islam ada peraturan yang
menjaga hak semua makhluk Allah yang hidup atas dunia ni. Termasuklah binatang
macam ni. Binatang yang islam halalkan umatnya makan pun mesti dimatikan dengan
cara penyembelihan yang betul supaya mereka tak dizalimi. Beruntungkan kita
lahir sebagai orang islam? Sekurang-kurangnya binatang yang memerlukan belas
kasihan kita ni kita tak jadikan mereka sebagai mangsa kekejaman kita sedangkan
mereka juga berhak hidup aman di atas dunia ni. Tengok monyet-monyet ni..
sanggup ke kita bunuh binatang yang manja dengan kita macam ni?”
Kali itu Qay pantas mengangguk bersetuju dengan pendapat
Hadi. Monyet juga bukan binatang yang halal dijadikan makanan dalam islam. Apa
rasanya makan daging monyet? Eee.. sampai ke hati nak makan monyet? Bertuahnya
aku lahir sebagai orang islam.. bisik hati Qay sendiri.
Qay menoleh seketika kepada Hadi yang duduk sedikit jarak
dengannya itu. Buat seketika hanya mata yang saling berbicara dan bibir
tersenyum menzahirkan rasa sayang sesama mereka. Perasaan halus itu terus
menjalar hebat dalam diri mereka semakin mengeratkan jalinan kasih yang
terpatri.
“Abang suka tengok mata Qay ni. Cantik sangat..”
Qay sempat tersenyum malu dengan pujian si kekasih. Alah,
abang ni.. mata je ke yang cantik, bang? Yang lain tak cantik ke? Penat Qay
kontrol ayu abang puji mata je yang cantik, bisik hatinya kemiangan dalam aksi
malu-malu monyet. Aksinya dah lebih kurang sama dengan monyet di sisinya itu.
Malu tapi mahu lagi kacang panjang!
“Kening pun cantik jugak..” ucap Hadi sambil memandang
lunak kening yang dimiliki oleh buah hatinya itu. Kening hitam pekat itu elok
terbentuk tanpa perlu dicabut atau dicukur untuk mencantikkan bentuknya. “Hidung
pun cute. Bibir seksi. Rasa macam nak..” Hadi tidak jadi meneruskan bicara. Dia
mengulum senyum apabila melihat mata Qay sudah membulat garang kepadanya.
“Jangan nak mengada ya!” getus Qay dengan wajah merona
merah. Nak sangat dipuji, ambik kau! Padan muka.. sekarang dia dah tak tahu
mana mahu disorokkan mukanya dari pandangan lelaki itu.
“Abang kata tadi, macam nak lukis buat potrait. Qay ingat
abang nak cakap apa tadi? Ni mesti ingat abang nak buat benda tak senonohkan?”
soal Hadi lantas ketawa perlahan. Gelihati melihat kekalutan Qay. Wajah gadis itu
sudah merona merah.
“Malas nak layan abang. Layan monyet ni lagi baik.” Qay
sempat mencebik.
“Abang gurau aja..” ucap Hadi lembut.
Qay sengaja buat-buat tidak dengar. Dia memandang monyet
di sisinya itu. Dengan muka tidak berperasaan monyet itu menghulurkan tangan
meminta makanan darinya. Qay tersenyum lantas menghulurkan kacang panjang yang
masih banyak bersisa di tangannya.
“Alalala..
janganlah buat muka cute macam tu. Kau ni dah sama tabiat macam pakwe aku tau!
Pandai buat muka bagi orang sayang kat dia. Dahlah kau pun ada misai macam
pakwe aku. Cuma misai pakwe aku warna hitam. Kau punya misai putih,” ucapnya
selamba kepada monyet yang sedang rakus melahap sayur kacang panjang itu.
Terus berubah air muka Hadi mendengar bicara Qay dengan
monyet yang duduk di antara mereka itu. “Qay cakap monyet ni macam abang?
Sampai hati Qay!” ucapnya geram.
Qay terus tergelak kuat melihat reaksi tidak puas hati
Hadi. Usikannya menjadi! Hadi sudah buat muka ketat kepadanya. Merajuklah tu..
“Kut ya pun janganlah samakan muka abang dengan monyet.
Sampai hati Qay!” ucap Hadi masih bersisa bengang.
“Alalala..
gurau je. Janganlah marah. Sensitif betul buah hati Qay ni. Takkan dengan
monyet yang tengah makan kacang panjang ni pun abang nak ambil hati?” Qay
pandang wajah buah hatinya yang sudah masam. Hadi sengaja memandang ke arah
lain.
Hadi diam sahaja. Kali dia sengaja mengeraskan hatinya
kerana dia mahu Qay pula berusaha memujuknya. Semalam dia yang bertungkus lumus
memujuk Qay. Adilkan?
“Abang betul-betul merajuk ke ni? Tak nak layan Qay
lagi?” soal Qay sambil memandang tepat sisi wajah Hadi. Serius benar wajah Hadi
dilihatnya.
Hadi lantas mengalihkan pandangannya kepada Qay yang
tersenyum-senyum kepadanya. Aneh dilihatnya senyuman Qay. Mahu mengenakan dia
lagilah tu...
“Nasib abang pandang Qay. Kalau tak semua kacang panjang ni
Qay sumbat dalam mulut abang sampai abang kenyang. Baru betul muka abang sama
macam monyet ni nanti,” ugut Qay selamba dengan kacang panjang di tangannya.
“Tak nak, sayang. Abang tak suka kacang panjang..” ucap
Hadi bersungguh sambil menggeleng memandang segugus sayur itu yang masih
dipegang Qay. Sudahlah dia memang tidak gemarkan sayur itu. Kalau disumbat
mentah-mentah begitu ke dalam mulutnya mahu tercekik di lubang tekaknya.
“Tahu takut..”
Meledak tawa mereka berdua di situ sehingga monyet itu
terpinga-pinga melihat aksi sepasang kekasih itu. Namun bagi Qay dan Hadi
walaupun minit yang ada tidak banyak yang tersisa untuk mereka nikmati bersama
tetapi mereka gembira. Kerana sepanjang berada di situ sudah banyak memori yang
mereka pahat bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.