Jumaat, 6 September 2013

BABA 29

Hadi cukup sugul melihat beg baju yang sudah tersusun di tepi pintu bilik itu. Ikutkan kerapuhan hatinya, dia seperti mahu meraung. Qay sudah membuat keputusan untuk berpisah darinya. Dia tahu sedikit masa lagi air matanya pasti akan menitis mengenangkan anaknya akan kehilangan kasih ibu. Remuk hatinya mengenangkan mahligai yang terbina tidak akan bertahan lama. Tega benar Qay membuat keputusan sebegini tanpa memikirkan keadaan anak mereka yang masih terlalu kecil untuk hidup tanpa kasih ibu.
Selesai mengemas barang-barangnya, Qay mula menukar pakaiannya. Dia tahu ayahnya sudah lama menunggu di luar sana. Hadi langsung tidak dipedulikannya. Dia sudah tidak lalu mendengar pujuk rayu kosong lelaki itu. Segala pujukan Hadi semakin membuatkan hatinya merana. Sesudah itu Qay mengambil pen dan sesuatu diukirnya di atas kertas itu. Setelah itu dia mula memandang Hadi yang berdiam sahaja.
“Abang Hadi..” panggil Qay lembut. Dia duduk di atas lantai di hadapan suaminya itu. Tangan lelaki itu dicapainya. Dadanya mula terasa sebak.
“Qay minta ampun, abang. Keputusan yang Qay buat memang akan melukakan hati abang. Qay sedar Qay takkan mampu jadi isteri yang baik untuk abang lagi. Qay kena pergi sebelum rasa sayang yang masih bersisa ni bertukar menjadi benci. Qay minta abang halalkan makan minum Qay selama Qay jadi isteri abang. Qay minta ampun atas segala kesalahan Qay selama ini,” ucap Qay dengan suara yang mula bergetar. Tangan lelaki itu dikucupnya lembut.
Dada Hadi terasa sesak mendengar ucapan itu. “Qay, jangan tinggalkan abang. Kalau Qay pergi macamana dengan anak kita? Abang tak mampu besarkan dia tanpa Qay. Abang perlukan Qay,” luah Hadi setelah mengangkat pandangannya kepada Qay. Segala ego lelakinya sudah mula menyembah bumi melihat kekerasan hati isterinya itu. Dia sama sekali tidak sangka beginilah pengakhiran kisah cintanya.
Setitis air mata yang gugur lantas diseka Qay. “Qay dah tak boleh lagi, bang. Tolong lepaskan Qay pergi. Qay dah takde kekuatan lagi.”
“Sayang, abang janji abang akan ubah keadaan kita. Tolong bagi abang peluang sekali lagi. Qay nak tinggal dengan abangkan? Abang akan cari rumah untuk kita nanti. Tolong jangan tinggalkan abang. Tanpa Qay abang akan jadi gila,” rayu Hadi. Jemari isterinya itu digenggam erat. Wanita itu ciba ditariknya agak rapat kepadanya.
Namun Qay menggeleng perlahan.  Lelaki itu ditolaknya. “Qay dah buat kesilapan yang amat besar dengan melukai hati papa dengan mama Qay. Beginilah akhirnya hidup Qay. Qay takkan mampu mencelah biar sedikit pun ruang di dalam keluarga abang. Tempat Qay sebenarnya bukan di sini.” Qay tunduk seketika demi mengawal kesedihannya. Matanya sempat memandang bayinya yang sedang tidur di atas katil. Saat itu kesedihannya sudah tidak terkawal. Demi Tuhan dia terlalu sayangkan Inas. Namun.. ada sebahagian dirinya sudah benar-benar kalah dengan semua cubaan ini. Dia sudah tidak ada kekuatan lagi untuk terus menjadi isteri Hadi.
“Qay minta maaf, abang. Tolong jaga Inas baik-baik untuk Qay. Qay tahu abang mampu mendidik dia menjadi orang yang berguna, lebih dari yang Qay mampu. Qay dah takde upaya lagi untuk menghadapi semua ni, bang. Tolong lepaskan Qay..” spontan Qay menarik jemarinya daripada genggaman Hadi.
“Qay, jangan buat abang macam ni. Qay tahukan abang sayangkan Qay sangat-sangat. Qay dah janji nak hidup dengan abang. Jangan tinggalkan abang, Qay. Tolonglah..” Hadi sudah seperti mahu menangis saat itu. Wanita itu ditariknya lalu dipeluk erat tanda enggan dilepaskan sampai bila-bila.
“Abang tahu abang dah abaikan Qay selama ini. Maafkan abang, sayang. Kalau Qay sudi bagi abang peluang, abang akan berubah untuk Qay dan anak kita. Tolong jangan hukum abang macam ni..” pinta Hadi mendayu-dayu.
“Abang, lepaskan Qay..” Qay cuba menolak tubuh suaminya itu. Namun dia tidak berdaya untuk melawan kekuatan Hadi.
“Tengoklah anak kita, sayang..” Hadi menarik isterinya. Inas di atas katil cuba ditunjukkan kepada Qay agar wanita itu sedar akan kesan dari tindakannya itu. “Takkan Qay sanggup tengok Inas hidup tanpa ibu? Apa salah dia pada kita, Qay?” ucap Hadi semakin tidak tertahan. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu hancur hatinya dengan keputusan Qay untuk berpisah dengannya.
“Salahnya sebab Qay ni ibu dia. Qay tak layak jadi ibu dia dan Qay tak layak jadi isteri abang. Itu hakikat yang Qay telan selama ni dan abang tak pernah tahu apa yang Qay tanggung selama ni,” ujar Qay dengan juraian air mata. Matanya dipejamkan rapat untuk mengawal kesedihan yang semain tidak tertahan. Memandang anaknya itu hatinya menjadi teramat-amat rapuh. Mana ada ibu yang sanggup meninggalkan anaknya begitu sahaja. Tetapi dia.. dia sudah tidak sanggup lagi berada di situ.
“Qay..” Hadi menangis juga akhirnya. Tubuh susut isterinya itu dipeluk erat biarpun Qay terus meronta ingin lepas darinya. “Maafkan atas segala kekurangan abang selama ini. Abang tahu abang janjikan kebahagiaan pada Qay tapi abang dah gagal. Berilah abang peluang sekali lagi. Jangan ambil tindakan macam ni. macamana abang nak hidup tanpa Qay? Inas perlukan Qay,” ucap Hadi di telinga wanita itu.
“Tolong jangan siksa Qay lagi, abang. Qay cuma nak hidup macam orang lain. Tapi dengan abang, Qay tahu semua tu mustahil! Kalau ada sedikit belas kasihan abang pada Qay, tolong lepaskan Qay pergi,” rayu Qay sudah tidak kuat menahan sebak. Di sebalik tubuh Hadi dia menangis sayu.
“Jangan minta sesuatu yang abang tak boleh beri, Qay. Abang cintakan Qay sangat-sangat! Sampai hati Qay buat macam ni pada abang!”
“Mungkin kita dah tersilap selama ni, bang..”
“Abang tak pernah anggap Qay sebagai satu kesilapan bagi abang,” pintas Hadi sayu. Kali itu kedua-dua belah pipi isterinya dipegang erat. Dia mahu Qay melihat kesungguhannya. Hakikatnya dia masih terlalu sayangkan isterinya ini.
“Kalau begitu, abanglah kesilapan dalam hidup Qay..” jawab Qay nekad.
Hadi terpaku memandang Qay dengan mata basah. Bermimpikah dia saat ini? kata-kata itu kedengaran cukup mudah diucapkan. Namun hatinya amat terluka mendengarnya. “Qay menyesal kahwin dengan abang?” soal Hadi cukup payah.
“Qay pernah kata pada abang dulu, jangan letak Qay dalam ini. Qay tak mahu memilih samaada abang atau keluarga Qay. Tapi abang dengan kejam pisahkan Qay dari mama dan papa Qay. Mama yang lahirkan Qay dan papa yang besarkan Qay selama ini, macamana Qay nak lupakan mereka berdua, bang? Qay memang bodoh sebab percaya pada cinta. Sedangkan cinta tak selalunya seindah dan semudah diucapkan. Hati Qay tersiksa tapi abang tak peduli. Abang hanya dengan pendirian abang. Setiap hari Qay di sini, jiwa ni dah hampir mati dengan semua penyiksaan ni, abang. Tolonglah jangan halang Qay kali ni. Kalau Qay terus berada di sisi abang, tak mustahil Qay akan jadi gila!”
“Sayang, abang akan cuba ubah keadaan tu. Abang janji, sayang!” pinta Hadi bersungguh. Bibir wanita itu mahu disentuhnya namun Qay lebih pantas mengelak dengan memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia tidak ingin kemesraan sementara ini terus mencalarakan jiwanya untuk hari esok. Dia sudah tidak mampu berpegang kepada janji Hadi lagi.
“Kata orang enggan dan pipit tak boleh bersama. Tapi bagi Qay tak kisahlah siapa yang enggang dan siapa yang pipit, cinta kita tidak pernah membataskan semua itu. tapi hakikatnya sekarang, kita bukan lagi sedang berada di zaman sekolah. Dulu kita tak pernah fikir semua ini sewaktu kita memutuskan untuk mengakhiri kisah cinta ni dengan perkahwinan. Kita tak peduli apa orang sekeliling nak kata tentang kita. Bagi kita semuanya mudah! Tapi sekarang Qay dah sedar, arah hidup kita berbeza dan sebenarnya kita tak sesuai bersama. Baru sekarang Qay sedar kenapa papa halang hubungan kita,” balas Qay sambil menyeka air mata di pipinya.
“Qay..” rayu Hadi tetap enggan melepaskan wanita itu pergi namun Qay berkeras menolaknya. Sebaik sahaja tubuh itu terlepas dari pelukannya Qay pantas menjauhkan diri. Dia berjalan mendekati Inas yang sedang terlena.
“Inas anak ibu..” bisik Qay teramat sayu. Dahi anak kecil itu dikucupnya. Pipi mungil bayi itu diciumnya berkali-kali. “Maafkan ibu, sayang. Tolong jangan marah ibu..” Qay menangis teresak-esak di sisi anaknya itu. Dia tidak tahu bagaimana keadaannya esok tanpa melihat anaknya ini lagi.
“Ibu sayang Inas selama-lamanya. Maafkan ibu sebab tak dapat bersama-sama Inas selepas ini. Ibu akan selalu doakan Inas. Jaga ayah baik-baik, sayang. Inas kena bahagiakan ayah selepas ini..” bisik Qay lembut. Anak itu diambil oleh Qay lalu dipangkunya. Kepala botak anaknya itu diusap sambil matanya terus memandang. Dia tidak mahu terlupa akan raut ini sampai bila-bila.
Hadi terpaku sebak melihat isterinya itu. Dia tahu Qay sudah nekad. Setiap pujukannya sudah tidak mampu merawat luka di hati itu. Namun melihat anak di atas pangkuan Qay, air mata Hadi mengalir lagi.
Puas memeluk cium anaknya itu, Qay bangun dari katil itu. Dia memandang Hadi seketika. “Qay ada tinggalkan alamat Qay di US atas meja tu. Kalau abang sudi, tolong kirim berita tentang Inas pada Qay. Itu aja yang Qay harapkan,” luah Qay perlahan. Sekeping kertas yang diletakkan di atas meja solek ditunjukkan kepada Hadi.
Hadi diam tidak menjawab. Hanya wajah itu terus dipandang dengan penuh harapan Qay akan menarik balik keputusannya.
“Maafkan Qay, abang..” Qay terus mengambil begnya.
Hadi terpaku melihat wanita itu melintasinya. Tubuhnya seperti sedang terawang-awang sendiri. Namun sebaik sahaja langkah kaki wanita itu mencecah ke tanah, Hadi mula mengejar langkah isterinya. “Qay..” Hadi memanggil lagi untuk menghalang wanita itu pergi.
Enggan mendengar lagi kepada lelaki itu Qay melajukan langkahnya. Namun beg besarnya menghalang upayanya untuk menjauhkan diri dari sepantas mungkin lelaki itu. Hadi akhirnya berjaya merenggut lengan wanita itu sehingga beg baju wanita itu terlepas dari tangannya.
“Jangan tinggalkan abang..” rayu Hadi. Wajah Qay diraihnya lalu bibir wanita itu dikucupnya lama. Qay cuba menolak namun Hadi memegang erat pipinya. Bibir isterinya dikucup sepuas-puas hatinya.
“Qay isteri abang dunia akhirat. Kita dah janji harungi susah senang hidup ini bersama. Takkan baru sedikit kita diuji, Qay dah kalah? Mana pergi kasih sayang Qay untuk abang. Dulu Qay selalu kata Qay nak hidup bahagia dengan abang. Tapi sekarang Qay dah putuskan untuk tinggalkan abang. Kenapa, sayang? Abang masih berharap Qay akan ubah keputusan Qay. Kalau bukan untuk abang, untuk anak kita! Abang janji abang akan bawa Qay pergi dengan abang,” ucap Hadi mendayu-dayu.
“Lepaskan Qay abang..” Qay menolak lelaki itu. Wajah Hadi enggan dipandangnya.
“Abang cintakan Qay. Sampai hati Qay tinggalkan abang,” ucap Hadi dengan wajah yang cukup keruh.
Qay pantas menolak dada lelaki itu agar menjauhinya. “Qay dah tak cintakan abang lagi. Perasaan Qay dah mati untuk abang! Qay dah tak boleh terima lelaki macam abang!” ucap Qay nekad. Sebaik sahaja tubuhnya terlepas dari Hadi dia terus mengangkat begnya untuk berlalu.
“Qay..” Hadi cuba memanggil lagi.
 Namun wanita itu berlari laju untuk meninggalkannya. Malah wanita itu berlalu begitu sahaja tanpa mempedulikan ahli keluarga Hadi yang lain. Dia terus masuk ke dalam kereta tanpa memandang Hadi yang menangis dengan keputusannya. Sebaik sahaja Malik masuk ke tempat duduk sebelah pemandu, kereta mewah itu terus berlalu pergi meninggalkan Hadi dan Inas tanpa belaian kasih sayang lagi.

Ting..! Bunyi yang kedengaran membuatkan Qay memandang ke atas. Di bahagian bawah tempat letak barangan itu tanda pasangkan tali pinggang keselamatan sudah bernyala. Namun dia sekadar memandang. Sehingga wanita disebelah menyenggolnya barulah dia menyambungkan kedua-dua bahagian tali pinggang itu.
“Qay..” panggil teman di sebelahnya.
Qay menoleh kepada wanita itu. “Jangan terlalu fikirkan sangat pasal dia. Bertenanglah,” nasihat Amna lembut.
“Aku cuma fikirkan anak aku, Amna. Aku rindukan dia sangat-sangat,” ucap Qay teramat rendah. Saban waktu hanya rindu kepada Inas yang menyiksa jiwanya. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia ke rumah itu semula untuk mengambil anaknya.
Amna memegang pundak Qay lembut. “Aku faham apa yang kau rasa. Berdoa banyak-banyak pada Allah supaya dia berada dalam lindungan Allah selalu. Perlindungan Allah yang paling selamat buat kita dan doa seorang ibu adalah yang paling makbul untuk seorang anak. Bila kau dah kuat semula, kau boleh cari Inas semula,” ujar Amna lembut sahaja. Pesanan Puan Azreena kepadanya masih utuh diingatannya. Wanita itu meminta dia menemani Qay sepanjang mereka berada di US nanti.
Qay mengangguk perlahan kepada Amna. Amna teman sekelasnya kini ditawarkan biasiswa oleh syarikat ayahnya untuk melanjutkan pelajaran ke New York. Kerana itu Amna berada di sisinya kini. Kehadiran Amna di sisinya sememangnya amat tepat pada waktunya. Bersendirian hanya membuatkan dia semakin tersiksa.
“Kau kena banyak bersabar, Qay. Hidup ni takkan semudah yang kita jangka,” ucap Amna lagi.
“Aku yang bersalah sebab jatuh cinta pada lelaki macam dia, Hana. Sedangkan aku tak diterima,” ucap Qay sambil memandang Amna di sisinya.
Amna menghela nafas perlahan. “Tak semua cinta akan bersatu dengan mudah, Qay. Tak semua impian kita dapat kita capai tanpa perlu berkorban sikit pun. Kalah dan menang dalam hidup ni, bukan ditentukan oleh orang sekeliling kita. Tapi kita yang tentukan sendiri. Kalau kau kata kau dah kalah sekarang, maka kalahlah kau. Begitulah juga sebaliknya. Cerita ni masih belum ada penamatnya. Carilah penamat yang kau mahukan. Allah tentukan takdir sesuai dengan kehendak kita sendiri, Qay.”
Qay kembali memandang ke luar jendela kecil di tepinya itu. Adakah ini penamat cerita cintanya? Jika benar kenapa cinta ini masih kukuh terpasak di hatinya?
“Qay.. carilah apa yang kau nak dalam hidup ni selagi kau berupaya. Jangan putus asa. Aku akan sentiasa sokong kau, Qay. Aku tahu kau bukan seorang perempuan yang jahat. Kau bukan isteri yang kejam. Kau bukan ibu yang mementingkan diri sendiri.” Amna memujuk lagi.
“Terima kasih, Amna..”
Please fasten your seatbelt..” pengumuman yang kedengaran di corong PA sistem pesawat itu menyedarkan mereka bahawa pesawat itu sudah bersedia untuk berlepas dalam sedikit masa lagi. Enjin ke-tiga dan ke-empat pesawat juga mula dihidupkan. Pintu pesawat mula ditutup menandakan kesemua penumpang sudah selamat berada di dalam ruangan kabin itu.
Qay memejamkan matanya untuk mengawal perasaannya. Degupan kencang yang melanda membuatkan dirinya seperti tidak keruan. Dia seperti mahu menangis. Sebentar lagi bumi Malaysia akan ditinggalkan. Dia tidak tahu bila masanya dia akan kembali semula untuk mencari anaknya itu. Inas.. ibu rindu. Maafkan ibu, sayang.. bisik hatinya teramat sayu.
Ladies and gentlemen, we welcome you to this aircraft, Boeng 747 series 400 with flight number MH 27 to New York. The flight is expected to take about 28 hours. pilots who flew the aircraft was Captain Ahmad Roslin, assisted by Captain Mohammad Akhil while I, Jane Amiri is the chief flight attendant on duty .. " pengumuman kedua kedengaran lagi. Beberapa saat kemudian mereka sudah merasakan pesawat gergasi itu mula ditolak keluar dari kawasan parkir.
Air mata Qay menitis di pipi dalam kebisuannya. Sesak dadanya dengan seribu rasa yang mencengkam hebat. Wajah Hadi dan Inas terus bermain di ruangan ingatannya. Dia rindu.. namun sekali kaki sudah melangkah, dia tidak ingin berpatah balik berkali-kali. Dia tidak ingin menjengah semula kepada kegelapan masa lalu. Cukuplah hatinya disiksa. Dia perlukan ruang untuk dirinya sendiri. Dia tega mengambil risiko untuk dibenci Hadi. Dia rela segala kesalahan dimuatkan ke atas pundaknya asalkan kehidupan Hadi dapat dipulangkan kepada lelaki itu.
Selamat tinggal, sayang. Semoga kau bahagia selalu.. bisik hati buat lelaki itu.

Pak cik Hambali mengintai lama ke dalam bilik anak lelakinya itu. Gelagat anak lelakinya itu dipandang penuh minat. Hadi asyik mendodoikan anaknya untuk lena. Sudah lebih seminggu Qay meninggalkan rumah ini. Hadi dilihatnya macam orang gila. Sebelum ini anaknya itu asyik berulang ke rumah banglo di atas bukit sana untuk memujuk isterinya. Tetapi semenjak semalam Hadi tidak lagi ke sana. Pak cik Hambali tahu kenapa Hadi tidak lagi ke sana. Dia diberitahu oleh besannya itu yang semalam Qay sudah pun berlepas ke US. Kini Hadi asyik termenung sana sini. Inas terus dikeleknya seolah-olah takut benar orang lain akan mengambil anaknya. Kasihan benar dia melihat Hadi namun apakan daya. Perihal Qay meninggalkan rumah itu enggan dibahaskannya lagi dengan Hadi. Baginya dia sudah melakukan apa yang terdaya. Selebihnya dia menganggap ini semua sudah ditakdirkan. Qay juga berhak untuk memilih apa yang terbaik untuk dirinya.
Puas memandang Hadi, Pak cik Hambali turun ke dapur. Hanya anaknya Darhana yang berada di situ dengan memotong sayur. Sedangkan isterinya sudah lesap ke rumah ‘kawan baik’nya itu. Pak cik Hambali tahu benar. Mak cik Saadiah pastinya mahu mengkhabarkan berita gembira kegagalan hubungan Hadi dan Qay kepada teman seperjuangannya itu. Dengan pemergian Qay ke US bermakna ternoktahlah juga hubungan Hadi dan Qay.
“Macamana dengan Abang Hadi, ayah?” soal Darhana perlahan sahaja.
“Macam tulah, Hana..” jawab Pak cik Hambali perlahan sahaja.
Darhana diam sambil terus meneruskan kerjanya. Dia perlu memasak untuk keluarganya. Sambil itu fikirannya terus berpusat kepada peristiwa seminggu lalu. Dia kasihan benar dengan abangnya. Namun dia juga tidak ingin menyalahkan kakak iparnya kerana membuat keputusan seperti ini. Dia nampak dengan mata kepalanya sendiri setiap cebis derita wanita itu. Darhana tahu setiap yang berlaku pasti ada sebab musababnya. Cuma yang dibimbanginya nasib Inas anak saudaranya itu.
“Macamana dengan Inas lepas ni? Siapa yang nak jaga dia?” soalan itu tercetus juga dari ulas bibir Darhana.
“Entahlah.. ayah pun masih belum tahu.” Pak cik Hambali menjawab perlahan. Dja bukannya tidak mahu menjaga cucunya itu untuk Hadi. Namun dia tidak mahu kisah Qay terulang semula kepada cucunya yang tidak berdosa itu.
“Semalam Kak Sal ada tanya pasal Inas. Dia kata kalau ayah benarkan dia nak jaga Inas,” ucap Darhana lantas memandang ayahnya itu.
“Jangan tanya ayah. Inas tu anak Abang Hadi. Dia lebih berhak buat keputusan,” ujar Pak cik Hambali. Dia sendiri masih kabur dengan masa depan cucunya itu. Sebuah keluhan dilepaskan Pak cik Hambali. Kepalanya digeelengkan perlahan sambil menyebut kalimah istighfar. Kasihan memikirkan cucunya itu. Baru berusia tiga bulan sudah hilang kasih ibu.
“Hana kesian tengok Kak Qay tu. Hana nampak dia tertekan sangat semejak dia duduk dengan kita.” Darhana berkata lagi agak perlahan. Setiap peristiwa melibatkan wanita bernama Qay itu difikirkan semula. Walaupun tindakan Qay dilihat amat kejam namun dia tidak berupaya membenci wanita itu. Baginya kakak iparnya itu seorang yang penyabar dan pendiam. Boleh dikira berapa kali dia melihat senyuman terukir di wajah itu. Darhana tahu Qay tidak bahagia selama ini.
“Sebab tulah ayah nak anak-anak ayah semuanya, bila buat keputusan jangan membelakangkan ibu dan ayah. Inilah akibatnya. Bila berkahwin perlu dengan restu mak dan ayah. Bukan senang nak membina hidup selepas berkahwin ni, Hana. Bila kita silap percaturan hari ini, esok kita akan dapat hasilnya. Macam tulah yang jadi pada abang dan kakak ipar kamu ni. matlamat nak berkahwin tu dah tepat. Tapi bila perkara baik yang kita nak buat dengan mencalarkan hati ibu dan ayah, penghabisannya nanti kecewa juga. Macamana penghabisannya nak betul kalau awalnya pun dah salah? Abang kamu pulak lemah.. secepat ini perkahwinan dia musnah,” ucap Pak cik Hambali perlahan.
“Hana dah faham sekarang, ayah. Insya-Allah.. Hana takkan ikut cara begitu.” Darhana tahu, ayahnya memaksudkan tentang perbuatan abangnya membawa Qay lari berkahwin di Thailand dahulu. Sekarang dia nampak sendiri natijahnya.
“Ayah tak pernah larang anak-anak ayah nak berkawan atau bercinta asalkan jangan langgar hukum Allah. Nak berkahwin pun ayah takkan larang. Kahwin ni sunnah nabi. Tapi bila mak dengan ayah dah menentang, kita sepatutnya bersabar. Berusaha untuk memujuk hati mak dengan ayah. Bukannya ambil dengan cara kotor macam ni. Cinta aja tak cukup dalam perkahwinan ni. Masing-masing kena penuhkan ilmu di dada untuk harungi setiap kesukarannya.”
Darhana diam menadah kata-kata ayahnya itu. Dia tahu pasti ada sedikit kesal di hati tua itu tentang semua itu.
“Ayah tak tahu apa nak fikir sekarang ni, Hana. Abang Hadi kamu tu kena sambung pengajian juga. Anaknya tu pulak masih kecil. Ayah pun tak tahulah apa nak jadi,” keluh Pak cik Hambali amat perlahan.

Darhana diam lagi. Namun dia cuba mencari idea untuk membantu menyelesaikan masalah ini. namun memikirkan emaknya.. semuanya jadi kusam. Apa yang bersarang di fikiran ayahnya mula bersarang di fikirannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.