Khamis, 5 September 2013

BABA 5 & 6

Bab 5


Dua sahabat baik itu duduk melepak di tepi padang sambil memerhatikan pemain-pemain bola sepak sekolah mereka berlatih di tengah padang. Amna di sebelah sibuk berceloteh, komplen itu.. komplen ini. Sebaliknya Qay sudah tidak mampu melarikan mata daripada sebatang tubuh yang sedang aktif berkejaran di tengah padang. Tanpa sedar dia tersenyum sendiri memerhatikan jejaka itu.
Alangkah baiknya kalau dia perasan yang aku kat sini tengah tengok dia. Kenapalah dia sombong sangat? Senyum pun tak mahu! Buruk sangat ke aku ni? Dia tak tahu ke yang aku ni selalu tengok dia? bisik hati Qay sendiri.
Alah! Qay.. orang hensem macam tu takkan nak pandang kau kut? Peminat dia beratur nak pikat dia. Kau yang baru masuk ni duduk belakanglah! Lain tahunlah baru dia perasan kau, ejek hatinya sendiri.
Hish! Kenapalah aku boleh tersuka kat dia? Padahal dia bukannya ada buat apa-apa pun kat aku. Tegur aku pun jarang sekali. Inilah yang susahnya kalau sekolah ada pelajar lelaki. Tak pasal-pasal aku dah tersangkut pulak dengan dia, keluh hati Qay. Jauh lamunannya pergi sambil matanya terus memandang Hadi di tengah padang.
Aduh.. machonya dia. Tendang bola dah sama macam David Beckam. Padahal bola tu sama je bulatnya. Kenapa cara dia tendang bola tu lain sangat pada mata aku ni? Kacak sangat! Professional sungguh! Tidak habis-habis hatinya menyeru kagum.
“Kau senyum apa ni, Qay? Kau ni betul ke tak? Aku tengah cakap pasal Cikgu Suhana yang kau senyum aja ni kenapa? Dah tebiat ke apa kau ni?” tempelak Amna hairan melihat gelagat Qay tersengih-sengih seorang.
“Ha?” Qay di sebelah tersentak apabila dikejutkan dengan lengkingan suara Amna. Pantas dia menoleh kepada Amna. “Apa kau cakap tadi?” soalnya semula dalam riak terpinga-pinga.
“Aku membebel dari Perak dah sampai Zimbabwe, kau masih kat Sabak Bernam lagi ke?” serentak itu Amna meletakkan tangannya di dahi Qay. “Panas kau okay je ni. Maknanya kau tak kena demam campak ke demam saraf ke. Kau ni dah kenapa? Mulut kau tu kena sawan tarik ke apa? Senyum aja dari tadi.”
Qay sempat tergelak mendengar celoteh Amna. Ada-ada sahaja bicara temannya ini yang menggelikan hatinya. Tetapi mujur juga dia ada sahabat sebaik Amna yang selalu menceriakan dirinya. Jika tidak entahlah! Dengan permusuhan tanpa sebab antaranya dengan Suria, itu sudah cukup membuatkan dia tertekan benar.
“Apa kau cakap tadi?”
“Aku cerita pasal Cikgu Suhana yang anti sangat dengan kita ni..”
“Oh! Hmm.. dah dia nak anti, nak buat macamana. Biar ajalah.” Qay kembali memandang ke tengah padang sambil mencari lagi jejaka pujaan dalam diamnya itu. Alamak! Abang sayang aku jatuh tu. Bedebah punya padang! Kenapalah mesti kau ada lopak. Kan dah sakit cinta hati aku tu..
“Aku dengarlahkan.. orang kata. Orang kata bukan aku yang kata tau!”
“Tapi bila kau yang cakap dengan aku maknanya kaulah yang kata sebab benda tu keluar dari mulut kau.” Qay memintas selamba tanpa menoleh kepada Amna.
“Tapi aku hanya memberitahu apa yang orang kata. Itu tak sama tau!” sanggah Amna enggan kalah.
“Hmm.. apa benda yang orang kata tapi bukan kau yang kata tu?” soal Qay dalam nada memerli. Sahabatnya itu dijelingnya dengan ekor mata.
Amna tergelak pula. “Janganlah jeling macam tu. Menggoda sangat. Kau perli aku ya?” ucap Amna dalam tawa yang masih galak.
“Baguslah kalau kau dah tahu. Hmm.. cepatlah cakap. Apa dia yang kau nak cerita tadi?” tekan Qay sudah tidak sabar. Nampak macam ‘hot’ sahaja cerita yang mahu diucapkan oleh Amna tadi.
“Aku dengar Cikgu Suhana tu syok dekat abang senior kita yang famous tu,” ucap Amna akhirnya.
“Siapa senior yang kau maksudkan ni?” berkerut sedikit kening Qay sambil memerhatikan raut Amna. Hadi ke? Alahai.. janganlah Hadi. Biarlah aku sorang aja yang rasa dia tu famous, keluh hati Qay sedikit kerisauan.
Menyedari Qay yang baru beberapa bulan berada di sekolah mereka itu Amna segera menundingkan tangannya ke tengah padang. “Tu yang pakai jersi nombor 10 tu. Itulah abang senior yang famous aku maksudkan tadi. Cikgu Suhana tu syok kat dia.”
Tersentak Qay memandang lelaki yang ditunjukkan oleh Amna. Dia lagi? Kenapa mesti dia? Kenapa tak orang lain aja. Minatlah pada pengetua tu ke? Tak pun pakcik kantin sekolah tu ke? Kenapa mesti Hadi? Aduhai.. nampaknya aku kena beratur belakang cikgu biologi aku sendirilah nampaknya ni? Dada Qay sudah berentak deras. Sudahlah cikgu itu benci benar kepadanya. Dia sendiri tidak tahu mengapa gurunya itu tidak suka benar kepada mereka berdua. Sekarang ini dia mendapat berita yang dia terpaksa bersaing pula dengan gurunya itu?
“Betul ke apa yang kau cakap ni, Amna? Siapa yang bagitahu kau?” soal Qay tidak lekas percaya. Wajah Amna dipandang serius. Sakit pulak hatinya mengenang itu.
“Jojie budak kelas kita tulah bagitahu. Diakan dah sama macam tv3. Dia kata dia nampak sendiri Cikgu Suhana tu duduk berdating dengan abang senior tu dalam bilik pengawas,” ujar Amna bersungguh.
Qay mendegus tanpa sengaja. Huh! Dasar lelaki! Nak ikan besar aja. Ikan kecil tak layan. Aku ni walaupun masih dikira kecil tapi bolehlah dikategorikan sebagai ikan laga. Comel! Bukannya macam Cikgu Suhana tu.. luar nampak macam ikan emas. Tapi dalam dah sah macam ikan makan lumut yang selalu orang bela dalam akuarium tu.. pemalas! Selalu suruh pelajar angkut dia punya beg tangan sampai ke bilik guru. Semakin menyampah Qay mengenang guru itu. Baginya gurunya itu hanya mesra dengan sesetengah pelajar yang dia suka sahaja.
“Wei... budak perlarian ni ada kat sinilah.” Satu suara yang kedengaran dari belakang mereka membuatkan Amna dan Qay menoleh pantas. Di mata mereka kelibat Suria and the gangs tertera jelas. Tanpa dapat ditahan Qay menghela nafas perlahan. Mala petaka dah sampai! Hatinya mengeluh sendiri.
“Eh! Kat negara asal kau ada orang main bola sepak ke?” ejek Suria setelah mendekati Qay. Sengaja dia berdiri di belakang Qay yang duduk memeluk lutut di atas rumput sambil lututnya ditunjalnya belakang Qay.
“Sakitlah bodoh!” degus Qay tidak senang dengan perlakuan Suria.
“Aku tanya ni.. kat negara asal kau ada ke orang main bola sepak?” Suria tidak mengendahkan rengusan Qay sebaliknya mengulangi lagi soalan provokatifnya.
“Kau ni dah kenapa, Su? Asyik nak kacau dia aja. Apa masalah kau ni?” Amna mula ikut campur.
“Kau tak payah nak sibuklah, Amna. Kalau aku cerita apa sebabnya nanti kau sendiri loya nak berkawan dengan budak pelarian ni. Kalau kau nak tahu keluarga dia ni memang jenis suka lari sana sini. Dulu datuk dengan nenek dia lari dari negara sendiri. Lepas tu masuk negara orang buntingkan anak dara orang. Lepas tu lari lagi! Memang keluarga dia jenis suka lari bila dah buat masalah. Kau tanyalah dia, betul ke datuk dia dulu pernah buntingkan anak dara orang di sini. Lepas tu balik sini kononnya nak memperbetulkan masalah. Dia fikir semua masalah boleh selesai macam tu aja ke? Semua orang boleh maafkan keluarga dia bila dia dah musnahkan maruah keluarga orang lain?”
Amna memandang Qay yang sudah masam mencuka di tepinya. Kasihan benar dia melihat raut Qay. Dia tahu Qay amat tertekan dengan setiap cemuhan yang dilemparkan Suria dan teman-teman saban hari. Sebelum ini apabila guru sejarah mereka membuka kisah bagi salah satu negara yang pernah menjadi anak jajahan bagi Kesatuan Soviet Runion, tidak fasal-fasal Qay mula digelarkan keturunan komunis oleh Suria dan kawan-kawan rapatnya, hanya kerana negara asal ayahnya juga pernah berada di bawah jajahan Kesatuan Soviet Runion. Sekarang lain pulak ceritanya.
Qay serta merta bangun dari duduknya. Punggungnya dikibas agak kasar sebelum berlalu dari situ dengan wajah merah padam. Amna yang terpinga-pinga langsung tidak dipedulikan.
“Wei! Nak ke mana? Takkan dah sakit telinga kut? Awal lagi ni! Ini baru sikit ni. Aku ada banyak lagi nak cakap dengan kau,” ejek Suria senang hati melihat wajah Qay. Kawan-kawan Suria mula tergelak melihat Qay yang sudah mengalah seawal itu.
Qay hanya buat pekak sahaja. Kakinya diatur pantas menuju ke pintu pagar sekolah. Malas dia mahu memandang wajah Suria yang begitu menyakitkan hatinya. Keluar dari kawasan sekolah Qay duduk menanti pemandu ayahnya di perhentian bas. Rasanya lebih baik dia berada di situ daripada memandang wajah Suria yang menyakitkan hatinya.
“Qay..” Amna mampir dengan derap perlahan bersama sebuah beg yang amat dikenali oleh Qay. Beg itu ditinggalkan Qay di tempat duduk mereka sebentar tadi.
Thank’s..” ucap Qay agak dingin setelah beg itu berganti tangan.
Amna duduk di sisi Qay tanpa disuruh. Wajah sahabatnya yang masih ketat itu dipandang penuh rasa simpati. “Aku tak kisah pun apa orang nak kata pasal kau, Qay. Aku suka kawan dengan kau sebab aku rasa kita ni sekepala.” Amna berkata perlahan untuk menyedapkan perasaan sahabatnya itu.
Qay menghela nafas perlahan. Dia tahu hanya Amna yang setia berada dekat dengannya biarpun ketika dia enak dibuli Suria. Sedangkan yang lain sudah bertempiaran lari apabila dijerkah Suria. Saban hari ada pergolakan yang terus menghentam permukaan hatinya akibat perlakuan Suria dan kawan-kawannya. Rupanya inilah perasaannya apabila menjadi mangsa buli.
“Aku tak mahu kau dapat susah sebab aku,” ucap Qay sambil tunduk merenung kakinya yang terjuntai ke bawah daripada bangku yang didudukinya.
“Takdelah. Aku tak pernah rasa susah pun. Aku tak takut langsung dengan Suria tu.” Amna menyambut pantas. Bahu Qay diusap perlahan sambil tersenyum. “Kau sabar ajalah ya? Allah ada, Qay. Dia takkan biarkan orang yang dianiaya begitu saja.”
Qay mengangguk dengan sedikit senyuman tersungging di bibir. Pujukan Amna sudah mula berbekas di hatinya. Itulah juga yang sering dipesan oleh mamanya.
“Aku rasa dia jelous dengan kau sebab sebelum ni kebanyakan pelajar lelaki suka beri perhatian pada dia. Dia rasa dia student yang paling top kat sekolah kita ni. Tapi semenjak kau ada semua tu dah hilang. Budak-budak lelaki dah mula pandang kau,” ucap Amna selamba.
Apa lagi alasan yang ada jika bukan itu? Dia yang sudah mengenali Suria semenjak tingkatan 1 memang sudah masak benar dengan ragam Suria itu. Belajar tidak semana sebaliknya sibuk mahu menarik perhatian budak lelaki di sekolah. Dia sedar banyak kelebihan pelajar yang pernah bersekolah di bandar ini yang membuatkan Suria sakit jiwa. Terutamanya kebolehan Qay menguasai bahasa Turki, dan Bahasa Inggeris dengan fasih. Lebih dari itu mereka semua tahu Qay juga pandai bermain biola kerana setahunya semenjak berusia 5 tahun Qay dihantar belajar bermain alat musik itu. Di tempat mereka ini, biola pun mereka tidak pernah tengok depan mata. Inikan pula nak bermain biola macam Vaneesa Mae. Sukan yang diceburi oleh Qay juga tidak terdapat di sekolah mereka iaitu acara renang berirama dan terjunan papan anjal. Acara sukan seperti itu hanya terdapat di sekolah yang ada pelajar perempuan sahaja. Sekolah campur lelaki perempuan seperti mereka memang tidak ada sukan seperti itu. Acara terjun main lopak berirama adalah. Tak pun acara terjun mandi sungai. Salah terjum terhempas atas batu!
“Aku tak pernah kacau dia pun. Aku pun bukannya suka orang asyik pandang aku aja. Dah dia orang nak pandang, apa aku nak buat? Takkan aku nak lastik mata dia orang satu-satu biar buta terus,” cebir Qay agak perlahan.
Sedih.. kerana orang yang diharapkan tidak pandang kepadanya pun. Yang dia tidak harap memang selalu memberi perhatian kepadanya. Buat kesekian kalinya wajah lelaki senior itu menabiri ruang ingatannya. Entah kenapa sukar benar dia mahu menepis bayang lelaki itu semenjak mula melihat lelaki itu. Semenjak kebelakangan ini ingatannya semakin kuat kepada lelaki itu. Semakin menyesakkan. Dia tahu dia terlalu inginkan perhatian dari lelaki itu.
“Kalau aku, aku lastik aja mata si Suria tu biar dia tak nampak kau terus! Baru aman hidup ni bila dia terpaksa masuk sekolah orang buta,” sambut Amna selamba. Spontan Qay tergelak dengan idea spontan Amna. Ada-ada aja usaha Amna mahu menceriakan hatinya walaupun dia tahu idea itu amat mustahil untuk dilaksanakan. Kalau Suria ke sekolah orang buta, dia pula terpaksalah ke Sekolah Henry Gurney.
“Lega hati aku bila tengok kau dah mula ketawa balik,” ucap Amna sambil merenung wajah kacukan di sisinya itu. Dagu tirus dan berbelah di tengah milik Qay memang istimewa pada pandangan matanya. Baginya Qay memang bertuah. Dilahirkan jelita dan datang dari keluarga kaya raya. Pergi dan balik dari sekolah dijemput oleh pemandu. Setahu Amna daripada apa yang pernah diberitahu Qay sebelum ini keluarganya kaya kerana memiliki perusahaan minyak mentah dan gas asli yang digali di bumi Tashkent. Juga datuknya juga memiliki empayar perniagaan emas putih yang juga diterokai di Tashkent yang kaya dengan hasil bumi. Ayahnya sering tiada di rumah kerana mengatur perniagaan mereka jauh di Uzbekistan dan Kuala Lumpur selain di US yang sedang dijaga olah datuknya.
“Aku benci bila dia asyik kutuk keluarga aku. Datuk aku tak seburuk itu. Papa aku dah cerita hal yang sebenarnya pada aku. Kerana hal lama tu kami semua balik ke sini.” Qay meluahkan bicaranya perlahan.
“Maksud kau apa? Ceritalah pada aku. Biar aku faham, Qay.”
Qay menoleh kepada sahabatnya itu. Perlukah dia membuka rahsia keluarganya kepada Amna? Tetapi memikirkan apa yang sering ditohmahkan oleh Suria, dia rasa dia harus membiarkan Amna tahu apa kisah yang sebenarnya. Dia tidak mahu suatu masa nanti Amna juga terikut-ikut apa yang diucapkan oleh Suria jika dia terus berdiam diri. Akhirnya apa yang pernah dikisahkan oleh papanya mula dikisahkan pula kepada Amna.
Amna terangguk perlahan sehingga Qay habis berbicara. Kini dia mula mengerti. Tetapi apa yang dia tidak mengerti bagaimana Suria yang seusia mereka boleh tahu tentang itu sedangkan Qay sendiri baru mendapat tahu dari papanya baru-baru ini. Macamana Suria boleh lebih tahu berbanding Qay yang sememangnya rapat dengan arwah nenek tirinya itu? Dia pula ikut pening sama dengan Qay.
“Kau sabar ajalah ya? Dia tu memang macam tu. Suka menyakitkan hati orang.” Amna memujuk lembut.
“Aku tengah sabarlah ni. Kalau tak sabar memang dah kena lama dah dia tu,” jawab Qay selamba. “Aku tak suka bergaduh dengan orang, Amna. Selagi aku boleh bertahan, aku akan bertahan,” sambung Qay lembut.
Amna mengangguk setuju dengan pendirian Qay itu. Ada sesetengah perkara tidak diurai semudah menyimpulkannya. Semuanya memerlukan masa dan kesabaran.

“Apa yang awak marahkan sangat ni, Diah? Benda dah lepas sudahlah..” Pakcik Hambali saban hari semakin tertekan dengan perangai isterinya. Masuk kali ini sudah empat kali Saadiah mengamuk apabila kelibat ‘tetamu’ itu datang ke rumah mereka. Dia sudah naik malu dengan sikap isterinya itu.
“Awak ingat senang saya nak lepaskan semua tu? Maruah keluarga saya musnah, bang. Mak dan ayah saya merana sampai dia orang meninggal! Saya takkan maafkan dia orang macam tu aja. Saya yang memandang tu semua selama ini!” tegas wanita bernama Saadiah itu keras kepada suaminya.
“Tapi kita ni tak tahu perkara yang sebenarnya, Diah. Itu semua kisah lama. Masing-masing ada penjelasan mereka sendiri. Kita tak tak boleh buat penilaian sebelah pihak aja. Lagipun arwah Kak Yam tu dah takde. Tak perlulah kita ungkit lagi benda yang dah lepas,” ucap Pakcik Hambali cuba juga berlembut. Demi meredakan perasaannya dia menyisip sedikit kopi panas yang dibancuh oleh isterinya itu. Di matanya terus terbayangkan wajah lelaki bernama Farouqe yang dihalau oleh isterinya itu hampir setengah jam tadi. Baginya bukan itu caranya melayan tetamu walaupun mereka pernah melakukan kesalahan suatu masa dulu. Lagipun lelaki bernama Farouqe itu tidak salah apa-apa kepada mereka. Dia sekadar datang menunaikan hajat orang yang sudah tiada. Baginya tiada sebab mereka harus memanjangkan sengketa kerana orang yang terlibat dengan cerita itu sudah meninggal dunia.
“Apa pula tak tahu perkara yang sebenarnya? Tu.. awak tanya Mahmud tu. Dia yang nampak semuanya apa yang Kak Yam buat dengan jantan keparat tu dalam bilik! Dah ada saksi nak membohong apa lagi? Semua orang dah tahu Kak Yam tu mengandung waktu tu. Abang fikir mana mak dan ayah saya nak letak muka? Itulah.. percaya sangat pada orang asing macam tu. Tengok! Dia meninggal pun kita semua tak tahu,” tegas Makcik Saadiah berapi-api kepada suaminya.
Pakcik Hambali menggeleng lagi sambil menghelakan keluhan. Degil benar isterinya itu! Masih berdendam biarpun kisah itu sudah lebih 30 tahun berlalu. Bukannya dia tidak tahu langsung kisah itu. Dia tahu kerana ketika kekecohan itu melanda kampung mereka, dia sudah berusia 19 tahun. Dia juga ada mendengar orang bercerita yang arwah Mariam dikatakan mengandung kerana perutnya kelihatan membuncit ketika itu. Tetapi dia keliru.. kerana menurut Tuan Farouqe, arwah Mariam tidak pernah melahirkan anak selama ini. Jadi sahihlah tuduhan yang dilemparkan kepadanya tidak berasas. Tidak semestinya anak dara yang kelihatan buncit itu mengandung kerana setahunya arwah Mariam juga menderita barah rahim semenjak berbelas-belas tahun dulu.
“Saya takkan terima kehadiran dia orang tu di sini, bang. Sampai mati pun saya takkan maafkan apa yang dia orang buat pada mak dan ayah saya! Selagi saya tak dapat lupakan kisah tu, jangan mimpilah dia orang tu nak berbaik dengan kita,” ucap Saadiah terus bertegas dengan keputusannya. Biarlah kalau keluarga kaya itu mahu membayar wang berjuta kepadanya sekalipun. Dia tidak akan menerimanya. Kerana baginya maruah keluarganya yang pernah musnah suatu masa dulu tidak mungkin dapat ditebus. Dia sendiri masih tidak boleh lupa kebencian emak mertuanya kepada semenjak mula dia berkahwin dengan suaminya ini rentetan onar yang dilakukan oleh arwah kakak sulungnya itu.
“Diah, terimalah qada dan qadar dari Allah. Kita cuma manusia biasa. Allah yang lebih tahu hal yang sebenarnya. Kalau sangkaan kita selama ini salah, pada siapa kita nak meminta maaf? Kita tak boleh menuduh orang berzina tanpa empat saksi. Bukan semudah kita bercakap, Diah. Mungkin apa yang kita tahu tak seperti kisah yang sebenarnya,” pujuk Pakcik Hambali masih cuba melembutkan hati Makcik Saadiah.
Kali ini Makcik Saadiah terdiam. Namun kekelatan di wajahnya menunjukkan dia masih tidak mampu menerima nasihat suaminya itu dengan hati yang terbuka. Tidak! Kerana ulah arwah kakaknya dengan lelaki keparat itulah dia yang terpaksa menanggung siksanya. Emaknya meninggal tiba-tiba kerana tertekan dengan apa yang berlaku. Ayahnya pula hilang mata pencarian akibat dipulaukan orang sekeliling. Ayahnya memendam duka sendirian sehingga meninggal dunia 2 tahun kemudian. Dia ditinggalkan terkapai-kapai sendiri yang ketika itu baru berusia 17 tahun sedangkan adik beradik yang lain nekad meninggalkan kampung kerana tidak sanggup terus menanggung malu yang memalit mereka sekeluarga.
Sehingga akhirnya dia berkahwin dengan suaminya ini dia terus menanggung beban yang ditinggalkan. Kisah itu tidak pernah mati di mata masyarakat kampung mereka. Keinginan Hambali untuk menyunting dirinya ditentang hebat oleh emak mertuanya. Mujur juga Hambali sendiri bertegas dengan kemahuannya sehingga mereka berkahwin juga. Tetapi selepas berkahwin dia terus dicaci kerana noda yang ditinggalkan oleh arwah kakaknya itu. Bertahun-tahun dia hidup dalam tekanan kerana kisah memalukan itu.
“Diah, ini ujian Allah kepada kita semua. Sabarlah. Takde sudahnya kita ni nak benci membenci. Ini semua penyakit rohani.” Pakcik Hambali terus memujuk lagi.
“Senanglah abang bercakap. Bukan abang yang menanggung semuanya! Saya yang menghadap kebencian mak abang pada saya. Abang apa tahu?” dengan jelingan tajam itu Saadiah meluahkan bicara.
Apabila soal itu diungkit semula, Pakcik Hambali sekadar mampu menggeleng. Rupanya kisah itu juga tidak pernah dilepaskan Saadiah. Ya, dia mengaku memang pada awalnya emaknya tidak mampu menerima Saadiah kerana menganggap anak-anak gadis Haji Bakri semuanya tidak ‘baik’ untuk dijadikan isteri. Tetapi setelah bertahun mereka membina hidup bersama dan dikurniakan enam orang cahaya mata, emaknya mula menerima baik kehadiran Saadiah dalam keluarga mereka. Baginya hidup ini ada pasang ada surutnya. Semua itu lumrah. Malah emaknya kini sudah insaf akan kesilapannya. Mereka semua sudah berbaik dan hidup sebagai satu keluarga yang saling memerlukan.
Saadiah terus merenung ke luar jendela. Di hatinya api dendam terus marak menyala saat mengingati kisah lalu itu. Apa pun yang berlaku dia tetap tidak akan menerima baik keluarga satu lagi itu. Memang.. memang Mariam sudah tiada, tetapi dendam di hatinya ini masih ada!
Mereka berdua berdiam diri sehinggalah kelibat anak lelaki ketiga mereka itu pulang dari sekolah kelihatan dari jauh. Pakcik Hambali memutuskan untuk memadamkan bicara tentang kisah itu kerana tiada seorang pun anak-anak mereka tahu tentang itu.
“Assalamualaikum, ayah. Awal ayah balik hari ni?” tegur Hadi lembut sebaik sahaja dia tiba di kaki tangga rumahnya. Ikatan tali kasutnya dibuka sambil memandang raut ayahnya yang sedang berehat di ambang pintu rumah itu. Itu memang kawasan kegemaran ayahnya.
“Waalaikumussalam. Tauke Wong tak datang kebun kita hari ni. Jadi ayah balik awal aja.” Pakcik Hambali menjawab mesra kepada anak lelaki keduanya itu. Anak lelaki sulungnya, Ahmad Taufiq Ihsan kini sedang menuntut ilmu di Universiti Malaya, tidak selalu berada bersama mereka.
“Kak Sal kamu mana?” tanya Pakcik Hambali.
“Dia balik dengan Kak Lia. Kejap lagi sampailah tu..” jawab Hadi sambil naik ke rumah. “Mak..” sapa Hadi sebaik sahaja ternampak kelibat emaknya sedang termenung jauh di jendela. Dia memandang lama raut emaknya itu. Semacam ada yang tidak kena sahaja kepada emaknya itu. Ada masalahkan mereka? Melihat kelainan sikap emaknya itu dia mula resah oleh persoalan.
“Dah makan, Hadi? Kalau belum pergilah makan di dapur tu. Mak dah sediakan nasi di atas meja,” ujar Makcik Saadiah sedikit hambar.
“Sekejap lagilah, mak. Hadi nak mandi dulu,” jawab anak muda itu sambil memalingkan pandangan kepada ayahnya. Sebuah pandangan berupa pertanyaan dilontarkan melalui pandangan matanya. Namun ayahnya hanya membisu sahaja tidak melayan isyarat yang diberikan.
Lantas Hadi menapak masuk ke bilik bujangnya. Dari dalam bilik dia terdengar bicara ayahnya kepada emaknya.
“Sudahlah tu, Diah. Tahu dek anak-anak nanti, banyak pula soalan dia orang. Benda ni bukannya boleh diheboh-hebohkan sangat. Tak baik kita buka aib orang yang dah takde ni. Yang dah lepas tu kita kena lepaskan. Redalah dengan semua ujian Allah, Diah. Berdendam ni tak baik. Itu semua punca yang mahu merosakkan akidah kita. Ingatlah.. Allah yang lebih tahu segala kebenaran atas dunia ni. Kita berserah aja pada Dia,” tegur Pakcik Hambali dari tempat duduknya di ambang pintu rumah itu.

Tiada sebarang jawapan dari Makcik Saadiah yang didengari oleh Hadi. Dalam pada dia membuka seragam sukannya hati Hadi mula tertanya sendiri. Apa yang sedang berlaku kepada emak dan ayahnya? Apa yang ayahnya tidak mahu dia dan adik beradiknya tahu? Aib siapa pula yang dimaksudkan oleh ayahnya?

Bab 6

“Sila hantar kerja rumah yang saya berikan sebelum ini,” ucap Cik Suhana serius kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 Sains 1 di hadapannya itu.
Qay pantas memunggah isi kandungan begnya untuk mencari buku latihan amali miliknya. Namun hampir seminit beg itu dipunggahnya namun buku yang dicarinya tidak kelihatan. Tidak berpuas hati dia menelek pula di bawah meja. Namun tidak ada langsung kelibat sebarang buku di bawah meja itu pada penglihatannya. Pelik! Seingatnya buku itu sudah disisipkan ke dalam beg itu malam tadi. Dia ingat benar! Apa tidaknya kerja rumah itu disiapkan bertungkus lumus malam tadi. Masakan dia terlalai pula?
Melihat teman-teman yang lain sudah menyerahkan buku mereka kepada ketua tingkatan, Qay mula menggelabah. “Kau ada nampak buku aku tak?” soal Qay separuh berbisik kepada rakan di sebelahnya.
“Buku kau? Tak nampak pun. Kenapa?” balas Hariani hairan.
“Takde dalam beg aku. Seingat aku ada aku bawa tadi. Tapi sekarang dah takde!” keluh Qay sambil memandang guru mereka di hadapan makmal sains itu seketika.
“Cikgu Su memang pantang orang tak hantar buku dia, kau tahu.”
“Aku tahu. Inilah yang aku tengah pening ni. Macamana ni Har?” ucap Qay mula resah. Takut benar dia dengan kemarahan guru itu. Cikgu Biologi itu memang terkenal dengan kegarangannya. Tetapi pada dia sahajalah!
Hariani diam seketika sambil memandang ke hadapan. Bukannya dia tidak mahu membantu Qay tetapi dia bimbang guru mereka ternampak mereka berbual di belakang. Sementara dia berpura-pura begitu, akalnya ligat mencari idea untuk membantu Qay. Tetapi sebenarnya tiada apa yang mampu dilakukan melainkan mengaku sahaja yang buku itu tertinggal di rumah dan menerima hukuman dari guru mereka. Habis tu takkan nak lari balik rumah sekejap untuk ambil buku tu? fikir Hariani sendiri.
“Siapa yang masih tak hantar buku pada saya?” Tiba-tiba meledak suara Cikgu Suhana dalam pada mereka berdua masih bergelut dengan kekusutan di meja itu. Matanya merenung seisi kelas untuk mencari sesiapa yang boleh dijadikan mangsa tempat untuk dia melepaskan buku di hati.
Gulp! Qay sudah menggelabah tahap dewa. Matilah aku.. keluh hatinya. Namun dengan keberanian yang tidak sampai sezarah pun dia tetap mengangkat tangannya. Lebih baik dia mengaku sahaja sebelum  angin lintang guru itu bertukar menjadi angin pusar.
Cikgu Suhana terkesan satu tangan naik ke udara. Matanya terus terfokus ke situ. Melihat si empunya tangan dia tersenyum dalam hati. Kau rupanya, budak bandar! Tepat pada masanya. Soraknya dalam hati. Memang nak kena dia ni! Entah kenapa semenjak dia ternampak Hadi memapah gadis ini beberapa bulan dahulu rasa bencinya kepada Qay semakin mengoyak-ngoyak dalam hati.
“Berdiri sekarang!” tegas Cikgu Suhana.
Qay berdiri juga walaupun dia ketakutan mendengar nada lantang guru itu.
“Kenapa tak hantar buku tu?”
“Buku saya hilang. Saya ada bawa semalam tapi tadi waktu saya cari, buku tu dah hilang,” ujar Qay agak rendah. Malunya bukan kepalang apabila seisi kelas sudah menghadiahkan dia bola mata masing-masing. Tak tersambut dia dibuatnya dalam keadaan wajah sudah tebal berinci-inci begini.
“Alasan dah lapuk! Siapa pulak yang nak ambil buku awak? Hantu jepun ke hantu komunis yang ambil baca buku awak tu? Saya tahulah selalunya orang kaitkan sekolah dengan fenomena hantu ni semua. Tak payahlah awak nak tambah seram saya lagi dengan episod misteri nusantara awak ni,” perli Cikgu Suhana agak lantang. Terus kedengaran ada tawa meledak dan sudah tentulah Suria yang menjadi ketuanya. Namun Cikgu Suhana langsung tidak menegur mahupun marah kepada Suria.
Qay tunduk tidak mampu memandang sesiapa. Malunya dia bukan kepalang! Rasa macam nak lari balik rumah aja.
“Kalau dah malas tu cakap ajalah. Tak payah nak bagi alasan konar sana konar sini! Saya dengar pun muak,” ucap Cikgu Suhana keras.
“Tak, cikgu. Saya pasti sangat..”
“Dah! Tak payah nak tegakkan benang yang basah. Keluar dari kelas saya sekarang! Jangan nak membazir masa saya yang tak sebanyak mana ni. Banyak lagi kerja saya nak buat selain dari dengar cerita mistik awak tu,” pintas Cikgu Suhana lantang. Hukuman yang paling disukainya ialah memerintahkan pelajar berdiri di koridor sepanjang masa pengajarannya. Dengan itu dia dapat memalukan pelajar itu sehabis-habisnya.
Qay dengan berat hati akur juga dengan arahan guru itu walaupun hatinya sakit bagai disiat-siat dengan cemuhan guru itu. Nak menjawab, dia memang salah. Jadi sabar ajalah..
Akhirnya dia menikmati sesi pembelajaran sambil berdiri dan memandang dari celahan cermin tingkap makmal yang terbuka luas. Bertambah sakit hatinya melihat senyuman mengejek Suria kepadanya. Suka betul dia tengok aku kena denda. Muka berseri dah macam kena pinang dengan putera raja. Sabar ajalah aku dengan dia ni.. keluh hati Qay sendiri.
Tiba-tiba Qay terperasan ada seseorang melalui koridor itu dekat dengan tempat dia berdiri. Qay sempat menoleh. Zupp!! Jantungnya bagaikan luruh kala melihat gerangan orang yang baru sahaja melintasinya. Lelaki idaman kalbu! Malunya.. alamak! Mana aku nak lari ni? Tak sempat dah! Dia dah nampak pun aku terpacak macam patung lilin kat luar kelas ni, detak hati Qay benar-benar tidak keruan. Pucat wajahnya melihat kelibat Hadi. Lelaki itu melaluinya tanpa menegur atau memandang kepadanya.
Qay pasti benar lelaki itu melihat dia yang sedang berdiri di tepi makmal ini. Dia sendiri tidak mampu menafsirkan apa yang dianggap oleh lelaki itu kepadanya. Mesti Hadi menganggap dia jenis pelajar yang malas menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru.
Aduhai.. kenapa mesti bala ini menimpa aku dalam saat-saat seperti ini? Jatuh menjunamlah saham aku yang selama ni maintain aja di dalam BSKL, bisik hati Qay kalut. Rasa macam mahu menyorok di dalam tabung uji aja rasanya. Dia lebih rela didenda cikgu Suhana duduk di dalam kebuk wasap, tempat cecair kimia berbahaya disimpan berbanding berdiri di koridor seperti ini sehingga dilihat oleh jejaka pujaannya itu.
Sehabis sahaja masa Cikgu Suhana, mereka semua pulang ke kelas semula.
“Kesian budak bandar tu. Kena duduk di luar kelas. Kalau aku, aku bunuh diri aja daripada menanggung penghinaan sadis macam tu. Tak pun buat-buatlah kena sawan,” ucap satu suara di belakang Qay. Sengaja si empunyanya membesarkan volumenya supaya Qay dapat mendengarnya dan diikuti oleh beberapa pelajar lain.
“Alah! Duduk luar kelas takdelah malu mana berbanding bunuh diri, hukumnya berdosa besar. Allah tak terima pahala orang yang membunuh diri ni. Itulah jadinya kalau tak mahu beragama. Cakap ikut sedap mulut aja!” Amna tiba-tiba lantang membalas dari sisi Qay.
“Aik? Dah ada tukang back-up ke sekarang?” Faridah di sisi Suria pula menyampuk. Geram melihat ‘target’ mereka sedang dilindungi oleh orang lain.
“Dalam islam kita kena saling bantu membantu. Nak-nak lagi bila tengok saudara seagama sedang dianiaya. Nak tunjuk hebat kenalah cari buku barulah ruasnya kena. Ye tak? Kalau 5 lawan 1 itu namanya pengecut!” Amna melantang lagi melawan olah Suria dan teman-temannya.
Tiba-tiba perjalanan mereka kembali ke kelas terhenti. Amna ditarik kasar oleh Suria dari belakang menyebabkan beberapa pelajar lain ikut tersekat di tengah-tengah laluan itu. Qay juga ikut berhenti melangkah.
“Kau ni cari pasal dengan aku ke? Aku ada kacau kau ke?” soal Suria garang.
“Yang kau cepat sangat terasa ni kenapa? Baru kena usik sikit dah nak sentap ke? Ingat hati kering sangat!” Amna membalas lantang. Suria memang suka membuat dia hilang sabar. Qay pula suka benar mengalah kepada perempuan ini.
“Sudahlah tu!” bentak Qay cuba meleraikan ketegangan antara Amna dan Suria di tengah-tengah laluan itu. Bimbang benar jika ada guru melihat pergaduhan mereka.
“Kau tak payah nak sibuklah!” Suria terus menolak kuat Qay sehingga terdorong ke belakang. Akibatnya Qay hilang imbangan apabila sebelah kakinya terjerumus ke dalam longkang. Apa lagi? Terbongkanglah dia jatuh dengan aksi yang memalukan..
“Aduh!!” keluh Qay kesakitan.
“Astaghafirullah..” Amna menjerit kalut melihat Qay sudah terletang di atas rumput tepi koridor itu. Sebelah kakinya masih berada di dalam longkang. Hariani ikut mendekati untuk membantu Qay.
Suria dan teman-temannya mula tergelak besar. Seronok melihat Qay terbongkang. “Lembik! Baru kena tolak sikit dah terbongkang masuk dalam longkang.” Suria mengejek sambil ketawa.
“Kau ni apahal ha? Kurang ajar betul!” jerkah Amna tidak puas hati. Sakit benar jiwanya melihat wajah Suria dan rakan-rakan sekelasnya yang suka menganiaya Qay. Sehingga dia terlupa kepada sahabatnya yang masih terlentang tidak berdaya itu.
“Qay..” seru satu suara dari belakang membuatkan mereka semua menoleh pantas. Qay sendiri yang tidak perasan akan kehadiran orang itu ikut menoleh.
“Kenapa ni?” soal Hadi cemas melihat Qay. Dia terus berlari mendekati Qay untuk membantu. Hariani meminggir untuk memberi laluan kepada Hadi untuk mendekati kawan sekelasnya itu.
“Alah.. dia terjatuh.” Suria terlebih dahulu menjawab. Bimbang jika dia terlambat menjawab Amna akan menerangkan hal yang sebenarnya.
“Jatuh ke kena tolak?” soal Hadi sinis sambil mengerling Suria.
Mustahil Qay boleh terjatuh di dalam longkang begitu sahaja kalau tidak ada orang yang mendorongnya.  Sedangkan keluasan koridor itu cukup bagi menampung pelajar-pelajar di atasnya tanpa perlu mereka berjalan di dalam longkang pula. Lagipun dia nampak betapa seronoknya Suria menggelakkan Qay sebentar tadi.
“Alah! Setakat jatuh dalam longang bukan mati pun! Mengada-ada betul! Nak bermanja cakap ajalah,” rengus Suria melihat Hadi membantu Qay bangun. Naik keras bibirnya mencebik tanda rasa meluatnya yang sudah tepu.
“Kalau aku tolak kau masuk dalam longkang tu macamana? Kita tengok ku mati ke tidak?” ucap Hadi mula geram dengan gelagat Suria.
“Apahal Abang Hadi nak tolak Su pulak? Dia yang jatuh sendiri. Dah tak tahu beza tempat berjalan dengan longkang agaknya,” sanggah Suria sedikit keras. Melihat Qay yang terkebil-kebil membiarkan dirinya dibela Hadi semakin memarakkan rasa bencinya kepada gadis itu.
Hadi menggeleng kesal melihat Suria. Malas dia mahu bertekak dengan manusia tidak cukup akal seperti ini. “Qay ada sakit mana-mana?” soalnya lembut sambil merenung wajah sedikit memerah di hadapannya itu. Dia tahu Qay malu kepadanya. Kasihan benar dia melihat gadis itu. Namun dalam keadaan itu tiba-tiba dia rasa bangga lagi bahagia pula. Dapatlah dia menjadi hero menambat hati si gadis. Dalam pada itu sempat dia memarahi kontraktor yang membina sekolah ini dalam hati. Kenapa cetek sangat longkang tu? Dalam sikit lagi apa salahnya? Kalau Qay tak dapat berjalan bolehlah dia menjadi hero menunjukkan kejantanannya dengan mendukung gadis itu ke bilik sakit. Mulalah dia dilanda wabak kebodohan idea dek kerana kemaruk mahu mendekati gadis itu.
Yalah.. dilain masa manalah dia ada peluang untuk mendekatkan diri kepada gadis itu. Mahu menegur begitu sahaja dia segan pula. Bimbang layanan Qay sama seperti dahulu.
“Tak! Saya okay je ni. Tak teruk pun,” ucap Qay perlahan sambil membetulkan baju kurungnya. Kesan kotor di bajunya ditepuk-tepuk untuk dihilangkan. Tidak tahu mana mahu diletakkan mukanya ini. Hari ini sudah dua kali Hadi melihat dia dalam keadaan memalukan. Tadi Hadi nampak dia terpacak kat luar makmal macam tugu. Sekarang Hadi menyaksikan dia terjongkang di tepi longkang seperti batu bersurat pula. Apalah malang nasibnya.
“Kalau Su yang jatuh Abang Hadi akan tolong Su tak?” tiba-tiba Suria mengajukan soalan itu. Bukan dalam gaya manja dia menyoal, sebaliknya dengan muka merah padam. Bengang melihat Hadi membantu Qay.
“Tak payahlah nak tanya soalan yang takde unsur keilmuan ni. Kalau kau yang jatuh dalam longkang tu, aku suruh makcik tukang cuci cepat-cepat siram dengan paip bomba tu biar kau hanyut sampai ke loji tahi sana. Dah! Balik ke kelas masing-masing! Jangan nak bikin kecoh lagi kat sini,” tegas Hadi malas mahu melayan Suria.
Amna dan Hariani mengulum tawa mendengar kata-kata Hadi. Seronoknya melihat wajah masam kelat Suria dimalukan Hadi di hadapan mereka. Qay yang tidak berani mengangkat wajah sekadar mengangguk kepada arahan Hadi sebelum menarik Amna pergi. Tidak sanggup lagi dia membiarkan wajahnya ditadah kepada pandangan Hadi dalam keadaan begini.
Hadi berdiri terpaku di tempat yang sama dalam pada matanya terus dipasakkan kepada seorang gadis yang sedang berjalan di hadapan sekali di dalam segerombolan pelajar-pelajar tingkatan 4 itu. Sedang dia sedap memerhati, tiba-tiba gadis itu menoleh semula kepadanya membuatkan perasaannya mula disentap debar. Secebis pandangan yang diberikan oleh Qay benar-benar membuatkan dia terasa seperti mahu terbang ke awan biru kala itu juga.

Kenapa termenung aja ni? Ingat siapa?” Salina menegur sambil melabuhkan duduk di sisi adiknya itu. Petang-petang begini memang seronok menghabiskan masa di pangkin tepi rumah mereka. Ada sepohon rambutan yang rendang menudungi mereka daripada panahan terik matahari petang. Jika pohon itu berbuah di situ juga mereka menghabiskan melahap buah itu.
“Takde siapalah!” jawab Hadi pantas menutupi hayalannya agar rahsia yang sedang tersimpan ini tidak terus dihidu oleh kakaknya itu.
“Semenjak kebelakangan ni akak tengok Hadi ni lain macam aja kenapa? Asyik termenung aja. Ada masalah ke?” Salina cuba lagi memancing minat Hadi untuk berbicara dengannya.
“Takde apa-apa. Hadi takde masalah..”
“Hadi perasan tak ada sesuatu tengah melanda keluarga kita ni?”
“Apa maksud akak?” Hadi lantas memandang raut kakaknya itu.
Salina juga menoleh kepada adiknya itu. Ada sesuatu yang ingin benar dikongsikan dengan Hadi. “Mak.. macam ada sesuatu yang berlaku pada mak. Semenjak kebelakangan ni mak pun suka termenung. Iman tahu apa-apa pasal tu. Akak dah tanya ayah tapi ayah tak mahu cakap. Ayah kata hal ni takde kena mengena dengan kita,” ujar Salina lembut. Ada sedikit kerisauan terhela dalam nadanya.
“Hadi tak tahu. Tapi Hadi pun perasan mak dah lain sekarang. Sebelum ni Hadi ingat mak dan ayah pernah bergaduh pasal sesuatu. Tapi Hadi tak jelas apa puncanya. Nak tanya pada ayah, Hadi takut ayah marah sebab ayah pun bukannya suka kita masuk campur hal orang tua,” jawab Hadi pula. Dia masih ingat pada pergaduhan petang itu walaupun sudah berbulan berlalu.
“Hmm.. pelikkan? Nak kata mak dan ayah ada masalah, akak tengok dia orang kadang-kala baik aja macam selalu. Ayah pun macam biasa aja. Takde apa-apa yang pelik pun. Nak kata kita ada masalah duit, rasanya tak pulak.”
Lama Salina berdiam cuba mencari jawapannya sendiri.
“Tapi Hadi rasa bukan pasal tu semua tapi pasal orang lain. Hadi ada dengar ayah kata pada mak pasal aib, pasal orang yang dah meninggal, pasal tuduh orang berzina. Maknanya memang takde kena mengena dengan kita adik beradik tapi pasal orang lain. Cuma waktu tu ayah takde sebut nama orang yang dia maksudkan tu.”
Salina berdiam lagi. Ada sesuatu mula bermain di fikirannya. Pasal aib? Pasal Zina? Siapa orang yang dimaksudkan ayah mereka? “Entah-entah mak dengan ayah bercakap pasal Mak Long Yam agaknya?” teka Salina pantas. Hanya nama itu yang paling dekat di mindanya ini.
Spontan mata Hadi menular tajam memandang kakaknya. “Mak Long Yam? Tapikan kisah tu dah lama? Kita sendiri pun tak pernah jumpa dia. Kenapa nama dia tiba-tiba timbul pulak?”
Kisah tu memang dah lama, Hadi. Tapi orang masih ingat sampai sekarang.. keluh Salina sendiri. “Entahlah. Akak agak aja. Mungkin tak kut. Yalah sebab peristiwa tu dah lama sangat. Kita semua pun belum lahir lagi waktu tu.”
Kata-kata si kakak membuatkan Hadi pula yang jadi pemikir. Dia bukannya tahu benar pasal itu. Tetapi alang-alang sudah tersebut dia mahu tahu apa yang Salina tahu tentang itu. “Akak tahu ke cerita sebenar pasal tu?” tanya Hadi lembut.
“Akak tahu pun sebab nenek yang cerita. Tapi cerita sebelah pihak aja manalah boleh kita pegang sangat. Kita kena dengar dua-dua belah pihak barulah adil. Baru kita boleh pertimbangkan mana yang masuk akal.” Salina menjawab biasa. Ibu kepada ayahnya itu pernah meluahkan hasrat kepadanya. Nenek mereka itu mahu sangat bertemu dengan Mak Long Yam mereka sebelum ditakdirkan menghembuskan nafas yang terakhir. Lantas dalam perbualan mereka itu kisah lama itu tersongket semula. Neneknya juga ada meluahkan rasa bersalah kerana menghina emak mereka akibat cerita buruk tentang Mak Long Yam mereka.
“Apa yang nenek cerita pada akak?” tanya Hadi semakin berminat.
“Dulu Mak Long Yam pernah ditangkap berzina dengan seorang pendatang asing kat tempat kita ni. Sebetulnya Mak Long Yam pernah berkerja sebagai orang gaji di rumah tu. waktu ditangkap tu mereka kata Mak Long dah mengandung pun. Bila satu kampung dah tahu arwah atuk paksa Mak Long kahwin dengan orang tu. Lepas tu orang kampung paksa atuk halau Mak Long. Semenjak tu Mak Long menghilangkan diri. Kata nenek, lama juga keluarga kita dipulaukan orang kampung. Sampai lepas atuk meninggal dan mak pun kahwin dengan ayah pun orang masih benci pada keluarga kita. Nenek sendiri mengaku dia pernah bencikan mak pasal tu tapi sekarang nenek dah menyesal. Tengoklah.. inilah antara sebabnya kenapa Allah larang manusia berzina. Kesannya memang buruk. Tapi sebenarnya kita tak boleh percaya sangat cerita tu sebelum dengar penjelasan dari tuan punya badan. Bukan sesenang itu kita boleh menuduh orang lain berzina melainkan ada empat saksi yang meyakinkan. Kalau setakat dengar cakap orang, manusia ni boleh create cerita macam-macam ikut versi sendiri. Ada yang menokok tambah lagi bagi nak sedapkan cerita supaya impaknya tu sampai kepada pendengar. Tapi hakikatnya kalau benda tu tak benar, bermakna kita sudah memfitnah orang lain. Dosanya amat besar!”
Hadi terus mengangguk setuju dengan pendapat kakaknya itu.
“Mungkin sebab tulah ayah tak suka kita tanya-tanya pasal tu semua sebab mak memang terlalu sensitif pasal ni. Lagipun ayah tak suka kita dengar benda yang tak jelas sahihnya sebab saksi yang ada waktu kejadian tu memang tak boleh pakai! Dia seorang aja yang tahu tuduhan tu benar ke tidak selain Mak Long dan Allah Taala.” Salina menyambung bicaranya lagi sambil memandang ke hadapan. Sebuah senyuman aneh tersungging di bibirnya kala mengenang lelaki itu. Bagaikan ada sesuatu yang disimpan di benaknya ini. Hanya Allah, ayahnya dan dia yang tahu. Dan dia tahu mengapa ayah mereka tidak suka benar kepada lelaki bernama Mahmud itu. Seorang penzina tidak boleh dijadikan saksi kepada tuduhan zina orang lain!
“Saksi apa yang akak maksudkan ni?”
“Saksi kejadian tulah..”
“Siapa?” tanya Hadi semakin tidak sabar.
“Ayah Suria. Pakcik Mahmud.” Salina menjawab dengan sedikit senyuman aneh. Melopong Hadi mendengar nama yang sebut oleh kakaknya itu. Begitu ke kisahnya? Patutlah..

“Kenapa dengan awak ni?” tegur Makcik Saadiah hairan melihat suaminya asyik mengeluh aja. Kemudian menggeleng sendiri pula sambil memandang ke luar rumah dari ambang dapur.
Pakcik Hambali mula menoleh kepada isterinya yang sedang sibuk memasak itu. “Awak ada dengar orang cerita pasal polis jumpa rangka manusia di Kampung Sungai Bilis semalam?”
“Eh! Tak pulak. Mana awak tahu, bang?” terkejut Makcik Saadiah mendengar berita itu.
“Saya dengar di kedai tadi. Pak Berahim yang cerita. Katanya polis jumpa rangka manusia kat bawah bukit hujung kampung tu. Tapi orangnya masih tak tahu siapa.” Tanpa memandang isterinya Pakcik Hambali bercerita sekali lalu. Ringkas sahaja kerana dia sendiri pun ingat nak bertanya kepada isterinya jika ada Makcik Saadiah terdengar cerita jiran-jiran sekeliling. Tapi dia pula yang ditanya semula.
“Takde pulak saya dengar apa-apa. Siapalah orang tu ya, bang? Entah-entah Indon bergaduh berebut perempuan,” ucap Makcik Saadiah dari hadapan dapur memasak. Ikan di dalam kuali itu dibalik-balikkannya.
“Susah nak kenal lagi dah sebab dah lama dia mati kat situ. Sekarang baru jumpa. Dah tak rupa sesiapa dah. Tunggu bedah siasat jelah. Tapi rasanya orang kampung kita takde yang hilang. Agaknya bukan orang kita kut?”
“Mana ada sesiapa yang hilang. Kalau ada mesti dah heboh, bang.” Makcik Saadiah menjawab biasa. Kemudian mereka berdiam seketika. Makcik Saadiah terus dengan aktiviti memasaknya manakala suami wanita itu sekadar termenung memandang ke luar.
“Ha! Abang cakap pasal orang hilang, saya teringat Ziah cerita pada saya. Pengurus kat pejabat tanah di pekan sana tu hilang. Dah dekat enam bulan hilangnya. Muda lagi orangnya. Hari tu adalah kecoh orang bercerita. Tapi saya malaslah nak cerita pada abang sebab kita bukan kenal pun siapa orang di pejabat tanah tu. Yang kita kenal pun Husin aja. Itu pun dah pencen sebelum naik pengurus yang muda tu. Tapi belum lama berkerja di situ dah hilang pulak. Si Hadi ada bercerita juga pasal tu pada saya. Sebab bini pengurus tu cikgu Bahasa Inggeris dia. Sampai jadi kes polis dengarnya. Berminggu-minggu cikgunya tu tak datang sekolah. Kesian betul saya dengar. Muda-muda lagi dah jadi begitu. Entah mana pergi suaminya tu ya?” tiba-tiba kedengaran semula suara wanita itu.
“Pengurus di pejabat tanah?” soal Pakcik Hambali sebelum memalingkan pandanganya kepada Makcik Saadiah.
“Abang kenal ke?”
“Si Midi tu ke?”
“Manalah saya tahu apa namanya. Midi ke Midun ke! Saya bukannya pernah berurusan di sana,” degus Makcik Saadiah tiba-tiba. Dia yang kerja duduk di dapur ini pula yang ditanya. Manalah dia tahu!
Hai.. pening pulak aku. Bini aku kata dia hilang. Tapi aku dengar dari orang dia dah cabut lari sebab rasuah. Mana satu cerita yang betul ni? Tapi kalau sampai Hadi pun tahu takkanlah pasal rasuah lagi. Agaknya ada orang khianat dia, fikir Pakcik Hambali sendiri. Bukannya dia tidak tahu pejabat tanah di kawasan mereka memang ada aktiviti suap menyuap semenjak dahulu. Husin yang disebut oleh isterinya itu juga lebih kurang sama saja.
“Dunia sekarang ni macam-macam. Orang senang aja bunuh orang. Dah takde rasa kesian langsung. Dah bunuh campak dalam gaung supaya orang tak jumpa. Tunggu ajalah pembalasan Allah nanti. Hidup atas dunia ni kalau sekadar nak menganiaya orang lain, buat apa hidup? Menyusahkan orang sahaja!” Perlahan komen itu diluahkan bersama sedikit keluhan dihela oleh Pakcik Hambali. Kesal dia dengan kejadian itu. Kalaulah dibuang mayat itu ditempat yang mudah dijumpai orang tidaklah sampai mayat itu tinggal rangka sahaja bila ditemui. Ini bila dah tak sempurna barulah mayat boleh dikebumikan. Kasihan waris-waris mangsa bunuh itu.
“Dah bahagian dia macam tu nak buat macamana?” balas Makcik Saadiah pula.
“Jenayah sekarang ni dah macam cendawan tumbuh. Mintak jauhlah anak-anak kita dari semua tu. Tak sanggup rasanya tengok anak-anak kita jadi mangsa kezaliman orang lain. Lagi dasyat kalau anak-anak kita sendiri pula yang menzalimi orang lain. Tak dapat saya bayangkan keadaan tu, Diah.”
“Kita ni memang dah lama jadi mangsa kezaliman orang lain pun, bang. Nak-nak lagi saya ni. Abang aja yang tak perasan. Saya tak pernah lupa tu semua!” perli Makcik Saadiah sengaja berkias.
 Pakcik Hambali menoleh lagi kepada isterinya itu. Dia mengerti apa yang dimaksudkan oleh isterinya itu. Namun sengaja dia tidak menjawab. Dia tahu Makcik Saadiah masih tidak boleh melupakan caci cerca emaknya dahulu. Perlahan dia bangun dari situ untuk ke belakang rumah. Lebih baik dia memikirkan apa-apa yang boleh ditanam daripada dia mendengar ungkitan isterinya tentang kisah itu.
“Hmm.. cepat aja nak larinya.” Makcik Saadiah sempat memerli suami yang sedang menyarungkan kasut.
“Ingat pasal tu aja tak kenyang, Diah. Tak menguntungkan apa-apa pun. Baik saya tanam ubi di belakang tu, ada juga hasilnya nanti. Kita dianiaya pun Allah beri rezeki cukup pada kita sebagai gantinya. Tak pernah kita miskin melarat selama ni. Syukur dan reda ajalah..” Pakcik Hambali membalas selamba.
Wanita itu mendegus tidak senang dengan teguran suaminya. Terkumat kamit mulutnya mengejek lelaki itu apabila hilang kelibatnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.