Di dalam kereta lelaki
itu Laila hanya bungkam. Lukman di sebelah memandang sekilas Laila yang hanya
memandang ke luar. Dia dapat melihat ada air mata yang masih mengalir di pipi
Laila. Entah kenapa terbesit rasa bersalahnya apabila terpandangkan air mata itu.
Dia tahu Laila pasti kesedihan dengan apa yang berlaku.
“Aku minta maaf pasal semalam,” ucap Lukman memecahkan
suasana bisu antara mereka. Laila dipandang lagi namun wanita itu langsung
tidak memberi apa-apa reaksi kepada ucapannya sebentar tadi.
Lukman menghela nafas geram. Sudah rabak begitu pun masih
nak menyombong!!! Bentak hati Lukman tercabar. Namun disabarkan sedikit
dirinya. Bukannya apa.. dia sudah tidak berminat lagi mahu memikat Laila tetapi
dia harus memujuk Laila agar Laila tidak melaporkan kepada polis. Selebihnya
dia harus menghilangkan bukti yang ada sebelum Laila terfikir mahu ke balai
polis.
“Kita ke klinik?” ucap Lukman lembut.
Laila yang mendengar lantas menoleh ke arah Lukman. Ke
klinik? Untuk apa? Namun melihat wajah yang paling dibencinya itu dia segera
memalingkan wajahnya semula. Tidak tertahan rasa bencinya saat ini. Kalau boleh
dia tidak mahu melihat wajah ini lagi sampai mati!
“Nak tak?” tanya Lukman sekali lagi.
“Aku nak balik!” balas Laila keras.
“Aku tengok kau berdarah semalam. Aku cuma risau kau
cedera aja. Jomlah aku hantar kau ke klinik,” ucap Lukman lembut memujuk.
“Kalau kau rasa dengan berlagak macam lelaki budiman
macam ni aku akan mengalah pada kau, kau memang salah! Kau dah menang! Aku
harap kau puas lepas apa yang kau dah dapat dari aku. Sekarang tolong hantar
aku balik. Itu aja yang aku nak sekarang!” ucap Laila tajam. Kebaikan Lukman
semakin menjijikkannya. Kini dia sudah tahu lelaki ini persis lelaki jenis apa.
Percaya kepada Lukman? Seinci pun tidak!
“Kau ni memang jenis perempuan sombongkan? Setiap
kebaikkan aku langsung takde harganya pada kau. Kau layan aku macam sampah!”
herdik Lukman mula berang. Sikap Laila masih tidak berubah biarpun sudah
‘diajar’ secukupnya semalam.
“Siapa yang dilayan macam sampah sekarang? Kau ke aku?”
tempelak Laila berani. Matanya melolot tajam ke arah lelaki itu. Entah dari
mana datang keberaniannya itu dia sendiri tidak tahu.
“Kaulah lelaki yang paling menjijikkan yang aku pernah
jumpa. Malah sejuta kali lebih menjijikkan berbanding kawan kau tu! Kau fikir
dengan mengugut aku macam tu aku takkan lapor polis? Kalau kau nak bunuh aku
sekalipun aku dah tak kisahlah, binatang! Puas hati?” tambah Laila tajam.
Lukman menggertap rahangnya menahan marah. Cabaran yang
dilontarkan Laila membuatkan api kemarahannya sukar dikawal. Plan A tidak
menjadi kini dia sedang bersedia dengan plan B. Dia tahu apa yang harus
dilakukannya. Hala tuju kereta dilencongkan ke satu tempat yang sudah berada di
fikirannya semenjak awal lagi. Dia harus membawa Laila bertemu dengan seseorang
untuk menutup mulut Laila yang celupar itu.
Laila terpinga-pinga seketika apabila kereta Lukman
berhenti di hadapan sebuah klinik. Lukman di sebelahnya sempat dipandang untuk
meminta penjelasan. Namun Lukman tanpa berkata apa-apa terus keluar dari
kereta. Seketika kemudian Laila turut diheretnya keluar dari kereta itu kasar.
“Apa kau nak buat ni?” jerit Laila keras.
“Diam! Aku tampar kau nanti! Ikut aja aku! Jangan banyak
cakap!”
Menyedari dia sememangnya masih tidak begitu berdaya
Laila akur apabila Lukman membawanya ke dalam sebuah klinik. Klinik itu kosong
tanpa pesakit. Mungkin kerana klinik itu baru dibuka.
“Doktor Rajesh ada?” tanya Lukman kepada jururawat yang
berada di kaunter.
“Ada. Nak jumpa doktor ke? Daftar dulu, encik..” lembut
jawapan gadis itu.
“No
need! Just let her know Lukman is here!” tegas Lukman serius. Gadis itu hanya mengangguk sambil
menghilangkan diri ke dalam. Tidak sampai seminit kemudian dia keluar semula.
“Doktor suruh you masuk,” ucap gadis itu kepada Lukman.
Tanpa mengucapkan terima kasih Lukman mengheret Laila
masuk ke sebuah bilik yang berada di sebelah kaunter pendaftaran itu. Di dalam
ruangan itu seorang doktor wanita berbangsa India sedang menanti bersama
pembantunya.
“Lukman..” sapa Doktor Rajesh mesra.
“Yes it me.
Rajesh, I nak minta tolong you ni,” ucap Lukman seakan sudah tidak mampu
bersabar lagi. Dia mahu proses ini lekas selesai. Laila terus didudukkan di
kerusi hadapan meja doktor itu.
“Tolong apa?” soal wanita akhir tiga puluhan itu. Ada
sedikit kerutan di kening saat memandang Lukman dan Laila secara bergilir.
Lukman pantas mendekatkan dirinya kepada wanita itu.
Sesuatu dibisikkan ke telinga wanita itu sehingga Laila dapat melihat ada
perubahan riak di wajah doktor itu. jelas sekali Dr Rajesh terkejut dengan apa
yang dibisikkan Lukman. Spontan itu bola mata wanita India itu singgah di wajah
Laila agak lama. Dia terus tergamam dengan situasi yang dihidangkan Lukman
kepadanya. Selesai membisikkan hajatnya Lukman kembali duduk berdekatan dengan
Laila. Tenang sahaja wajahnya menanti tindakan selanjutnya dari Dr Rajesh.
Buat yang terawalnya doktor Rajesh terdiam seketika
seakan memikirkan sesuatu. Sesekali dia memandang Laila yang bungkam di
hadapannya. Kemudian dia menoleh kepada gadis yang setia berada di sisinya
semenjak tadi.
“Please
leave us..” ucap wanita itu
kepada pembantunya yang turut berada di bilik itu. Gadis tadi sekadar patuh
dengan arahan doktor itu. Pintu yang memisahkan bilik itu dengan kawasan
pendaftaran dirapatkan.
Selepas itu barulah Doktor Rajesh bangun dari kerusinya.
Laila digamitnya agar menurutinya. “Come
with me, girl. Let me check you,” ucap Doktor Rajesh lembut.
Laila terpinga-pinga seketika tanda tidak memahami apa
yang sedang berlaku di bilik itu. Dia tidak tahu apakah keperluannya dia dibawa
bertemu dengan pakar perubatan ini. Namun isyarat yang diberikan Lukman
membuatkan dia segera membuntuti doktor itu. Sebaik sahaja berada di ruang
pemeriksaan Laila diarahkan baring diatas katil untuk diperiksa. Tirai dikembangkan
bagi melindungi kawasan itu.
“You ada rasa sakit kat mana-mana?” soal doktor itu
lembut sambil menaikkan kedua-dua kaki Laila ke atas pelantar kiri dan kanan di
hujung katil itu.
“What do you mean?”
soal Laila tidak faham.
“You ada mandi lepas bersama dengan dia?” soal wanita itu
tanpa menjawab soalan Laila tadi. Walaupun bicaranya lembut namun tidak terhias
sebarang senyuman di bibir wanita itu.
“Bersama?” tanya Laila lagi. Jijik dia mendengar
perkataan itu. Seolah-olah semua yang berlaku semalam adalah kerelaannya
sedangkan dia dipaksa dan diseksa.
“Look
here, girl. I tahu you budak
baik. Dia cuma bimbangkan you. Takut ada kecederaan serius pada organ you. So I
tanya tadi, you ada rasa sakit pada lower
abdomen? Atau pada mana-mana bahagian lain?” ucap Doktor Rajesh lembut. Wajah
Laila dipandang dengan rasa simpati.
Tanpa menyedari apa niat sebenar Lukman, Laila segera
memberitahu bahagian yang dirasakan masih sakit.
Doktor itu mengangguk tanda mengerti. “Ada mandi sebelum
datang ke sini tadi?” tanya Dr Rajesh sekali lagi.
“Ada..”
“Ada rasa sakit waktu nak buang air kecil?”
Laila mengangguk sebagai jawapan. Melihat itu Dr Rajesh
segera membuat persediaan untuk memeriksa Laila. Selesai memakai sarung tangan
dia terus kepada apa yang harus dilakukannya. Bersendirian dengan doktor
Rajesh, Laila diperiksa sebaik-baiknya. Semua prosedur bagi merawat mangsa
rogol dilakukan. Cumanya tiada sebarang rekod dibuat semasa rawatan itu.
Lukman terus menanti di kerusinya tanpa menganggu urusan
dua wanita itu. Perasaannya lega seleganya kerana selepas ini tiada bukti yang
boleh menyabitkan dirinya dengan jenayah itu. Semuanya sudah dihapuskan oleh
doktor Rajesh.
“Is
this your first time, girl?”
seketika kemudian soalan itu dilontarkan oleh Dr Rajesh kepada Laila. Perlahan
sahaja nadanya seperti tidak mahu orang lain mendengar pertanyaannya itu.
Lama Laila mendiamkan diri. Namun melihat wanita India
itu terus memandangnya seakan menagih jawapan dia akhirnya mengangguk juga.
Tanpa sengaja terhela keluhan dari dua ulas bibir wanita India itu. Entah
kenapa dia menggeleng perlahan. Entahkan kesal atau apa Laila sendiri tidak
tahu.
Hampir sejam kemudian barulah Laila dapat kembali ke
kerusinya. Langkahnya teramat perlahan. Rasa sakit hasil perbuatan Lukman masih
terasa. Seketika kemudian Dr Rajesh ikut kembali ke mejanya.
“I
hope that kind of incident won’t happened again,” ucap Dr Rajesh khas buat Lukman. Wajah lelaki itu
dipandangnya serius.
“Is
she okay now?” soal Lukman
sedikit bimbang.
“This time, yes!
Nothing serious to her lower abdoment. But maybe not for the next time.
Jangan berkeras sangat dengan perempuan, Lukman. This is not good. You could kill her, you should now that! Kecenderungan
melakukan seks dengan kasar boleh menyebabkan kerosakan kekal pada pangkal
rahim wanita. Juga boleh membawa
maut! That’s not a joke, Luk. You must
aware about the risk next time,” ucap Dr Rajesh sambil mengerling Laila
sekilas.
Lukman terdiam sambil menghela nafasnya. Kata-kata Doktor
Rajesh langsung tidak dijangkanya. Dia tidak berniat untuk mencederakan Laila
sehingga begitu sekali. Tiba-tiba dia merasa kesal pula. Sisa simpatinya masih
ada saat memandang wanita di sebelahnya itu.
“Laila, I akan berikan you ubat supaya sakit pada ari-ari
tu hilang. Kalau boleh habiskan ubat tu. I akan berikan you MC beberapa hari.
You kena rehat,” pesan Dr Rajesh kepada Laila. Laila hanya mengangguk akur.
“And you, Lukman.
This is the first dan the last time you brough me something like this. Lain
kali I takkan tolong you lagi. I tak mahu bersubahat dengan perkara semacam
ini. Kalau you tertangkap I pun akan kena sama.”
“It
won’t happened again. I promise!” sambut Lukman pantas sebelum memandang Laila di sebelahnya.
Tanpa menjawab Doktor Rajesh bangun dari kerusinya.
Batang tubuhnya menghilang di sebalik pintu ke kaunter pendaftaran. Lukman
menoleh seketika pada Laila di sisinya. Wajah Laila dipandang lama sebelum
Laila turut menoleh kepadanya. Lantas dia berpaling apabila terpandangkan jelingan
maut Laila kepadanya. Geli pula hatinya melihat tingkah Laila. Tidak lama
kemudian Doktor Rajesh kembali semula ke bilik itu. Satu bungkusan ubat
diletakkan di hadapan Laila.
“Take
that pils three times a day.
Rehat banyak-banyak. Jangan buat kerja-kerja berat buat sementara ni,” ucap
Doktor Rajesh kepada Laila. Laila hanya mengangguk.
“Kalau sakit tu tak berkurangan selepas tiga hari dia
kena buat pemeriksaan di hospital. You yang buat dia sampai jadi macam tu jadi
you kena bertanggung jawab,” ucap Doktor Rajesh kepada Lukman pula.
Lukman memandang Laila sekilas. Kemudian dia mengangguk
akur dengan pesanan doktor wanita itu. Setelah selesai dia mengeluarkan
beberapa helai not lima puluh lalu diberikan kepada wanita itu. Tanpa banyak
kira doktor itu menyambut sahaja.
Selesai itu Lukman mengajak Laila berlalu. Wanita itu
harus dihantar pulang segera. Sebelum tiba di rumah wanita itu Lukman sempat
singgah bagi membelikan Laila makanan. Mendengar penjelasan doktor sebentar
tadi dia menganggap dirinya sudah dipertanggungjawabkan untuk memastikan
keadaan Laila baik-baik sahaja. Sekurang-kurangnya sisa kemanusiaannya masih
ada biarpun dia jelas Laila semakin benci kepadanya.
“Makan ubat yang doktor bagi tu,” ucap Lukman setelah
keretanya berhenti di hadapan rumah Laila. Matanya sempat memerhatikan kawasan
halaman rumah teres lama itu. Agak redup dengan sebatang pokok yang mungkin
ditanam oleh pemilik rumah lama dahulu. Kini pokok itu sudah merendang memenuhi
kawasan halaman rumah yang tidak begitu luas.
Laila tidak menjawab. Segala barangan miliknya dipastikan
ada di tangannya bagaikan tidak mahu lagi berurusan dengan lelaki ini. Tanpa
menoleh dia terus membuka pintu.
Namun Lukman sempat menahannya. “Ni nasi kau. Makan!
Nanti kau sakit aku pulak yang susah!” ucap Lukman sedikit keras. Geram melihat
Laila sengaja tidak mengambil makanan yang dibelikannya.
Malas mahu melihat Lukman lagi Laila terus mencapainya.
Langsung tidak terbit ucapan terima kasih dari bibirnya dalam keadaan hatinya
begini. Lukman hanya memandang gerak geri Laila dari dalam keretanya. Dia terus
berada di situ sehinggalah Laila menghilang di sebalik rumahnya.
Mata Tan Sri Fatah
tidak lepas daripada memerhatikan anak ketiganya yang baru sahaja duduk di meja
makan pagi itu. Dia terkesan kelainan pada wajah anaknya itu. Dahinya lebam dan
ada kesan luka pada leher Lukman. Sang ayah segera berpandangan dengan Nizam,
anak lelaki sulungnya itu.
Nizam juga tidak ketinggalan menatap kelainan pada adik
lelakinya itu. “Kenapa dengan leher kau tu, Luk?” Nizam terus menyoal
mendahului ayahnya.
Lukman mengerling abangnya itu seketika. Namun dia hanya
membatu tanpa jawapan. Tidak senang apabila abangnya itu menyibuk bertanya
tentang dirinya. Atau sebenarnya dia tersalah menduga. Sangkanya ayahnya atau
sesiapa sahaja tidak akan perasan dengan lebam di dahinya itu kerana dia sudah
menepeknya dengan bedak. Tetapi tidak!
“Kau dengar tak aku tanya ni?” soal Nizam agak meninggi.
“Jangan sibuklah!” balas Lukman tidak senang dengan
pertanyaan abangnya itu. Nadanya kasar walaupun dia sedar kedua bola mata
ayahnya sedang galak merenungnya. Mentafsirkan apa yang perlu mungkin..
“Aku tak mahu menyibuk hal kau tapi kau tu adik aku.
Kalau ada sesiapa apa-apakan kau takkan aku nak diam aja? Kau bergaduh dengan
orang ke? Kau ada masalah dengan sesiapa ke?” balas Nizam agak keras.
Geram dia dengan jawapan kasar adiknya itu. Kurang ajar
benar Lukman semenjak mula menjejaki dunia pekerjaan. Langsung tidak tahu
menghormati kedudukannya sebagai abang. Nizam sedar, semenjak Lukman balik dari
UK adik lelakinya itu kian angkuh. Tidak boleh ditegur langsung perbuatannya.
Lukman terus membisu seolah-olah tiada sesiapa di meja
itu bersamanya. Dengan riak selamba dia menuangkan teh untuk mengisi perutnya.
Namun dia tunduk seketika apabila ternampak emaknya datang ke meja itu. Malah
pandangan Tan Sri Fatah tidak berani dibalasnya. Dia tahu ayahnya masih
memerhatikan dirinya.
“Kenapa dengan Luk ni? Kenapa ada luka-luka ni?” Puan Sri
Mahani segera mendekati anak lelaki kesayangannya itu apabila ternampak kesan
luka di leher Lukman. Dari wajah ceria riak kebimbangan mula mewarnai wajah
wanita tua itu.
“Takde apa-apa, ma. Luk terlanggar pokok bunga mama
semalam. Ni luka kesan kena duri. Ma jangan risaulah. Bukannya teruk pun.”
Lukman segera berdalih. Namun dalam pada itu dia tidak berani untuk menganggkat
muka memandang ibunya itu kerana takut ibunya ternampak lebam di dahinya itu
pula. Dia tidak mahu sesiapa tahu mengapa dia mendapat kecederaan itu. Mahu
sakit jantung ayahnya jika ayahnya tahu apa yang dilakukannya pada Laila.
“Luka kena duri ke atau luka kena cakar dengan orang. Selalunya
yang suka mencakar ni perempuan. Lelaki suka menumbuk. Tak gitu, bang?” sampuk
Amirah sambil mengerling Lukman, abang kembarnya itu.
Lukman hanya diam sahaja seolah-olah tidak mendengar.
Namun dia cuak apabila tekaan Amira itu bagaikan sudah mengena pada batang
hidungnya. Reaksinya dikawal sebaik mungkin agar rahsianya terus selamat
bersamanya.
“Perempuan mana yang cakar kau?” soal Nizam masih tidak
berpuas hati.
“Nizam, kan Luk kata itu luka kesan kena duri. Cakar apa
pulak ni? Jangan tuduh sembarangan. Perempuan mana pulak nak cakar dia? Jangan
nak mengarut yang bukan-bukan!” tegas Puan Sri Mahani segera membela anak
ketiganya itu.
Walaupun dia tahu anaknya itu ramai kawan perempuan
tetapi selama ini dia tidak pernah melihat anaknya itu mendapat apa-apa masalah
dari sifatnya itu. Jadi dia merasakan tuduhan Nizam itu tidak berasas. Dia
yakin Lukman pandai menjaga batasnya.
Nizam mendegus tidak senang dengan gelagat ibunya itu.
Sering sahaja percaya membuta tuli dengan apa sahaja alasan Lukman sedangkan
dia tidak bodoh untuk ditipu seperti itu. Dia tahu Lukman pasti ada
melakukan sesuatu sehingga mendapat luka
seperti itu. Alasan yang diberikan Lukman tidak logik langsung di telinganya.
“Kalau kesan luka tu sebab kena duri yang dahi kau tu
lebam kenapa? Kau terlanggar pasu pokok bunga tu pulak ke? Atau pasu tu terbang
naik atas kepala kau?” sindir Nizam semakin geram.
Amirah spontan tergelak mendengar sindiran abangnya itu
kepada Lukman. Lukman yang bengang terus sahaja bangun dengan kasar. Meja itu
ditinggalkan begitu sahaja. Sepatah kata tiada diucapkan untuk ibu dan ayahnya
yang berada di meja itu. Sakit hatinya bukan kepalang kepada Nizam sehingga dia
langsung tidak mahu memandang abangnya itu. Telahan Nizam kian menyulitkan
dirinya sedang dibelenggu kebimbangan. Adat orang yang sudah berbuat salah dia
sering ketakutan. Takut ada polis datang mencarinya atas segala perbuatannya.
“Luk...” Puan Sri Mahani cuba memanggil anaknya itu
semula untuk menahan tetapi Lukman terus sahaja menonong meninggalkan mereka
semua di meja makan itu. Terpaksalah dia mengejar langkah anaknya itu sehingga
ke muka pintu.
“Nizam ada salah cakap ke, ayah?” soal Nizam kepada
ayahnya itu. Dia hairan mengapa Lukman sensitif benar pagi ini.
Tan Sri Fatah sekadar menghela nafas sendiri melihat
sketsa di hadapan matanya. Walaupun sekadar berdiam namun hatinya asyik
berkata-kata sendiri. Akalnya sering mentafsirkan itu dan ini tentang anak lelakinya
yang bernama Lukman itu. Apa yang dilihatnya kepada Lukman amat tidak
menyenangkan hatinya.
“Apa ni, Nizam? Kan dia baru nak sarapan tu? Kenapa kau
berdua ni suka cari pasal waktu makan? Waktu nak menghadap rezeki ni jangan nak
dijadikan medan berperang kalau korang berdua ada yang tak puas hati!” Puan Sri
Mahani terus memarahi dua anaknya itu setelah kembali ke meja makan. Geram dia
melihat Nizam dan Amirah yang bertukar senyum. Seolah senang melihat Lukman
begitu.
“Mama percayalah cakap dia tu, ma. Entah perempuan
manalah yang cakar dia semalam. Entah anak dara manalah yang dah dirogolnya.
Takkanlah bunga mama yang kat laman tu boleh mencakar sampai ke leher dia.
Pandai pula pokok bunga tu melompat sampai ke leher dia.” Nizam membalas
sedikit tajam.
Terbeliak mata Puan Sri Mahani memandang anak sulungnya
itu. Celupar benar mulut Nizam. “Jaga mulut tu sikit, Nizam. Jangan sedap
bercakap sampai tak gunakan otak. Takkanlah adik kau tu nak buat begitu? Kau tu
asyik nak menuduh dia begitu tu kenapa? Apa kau nampak ke apa yang dia buat
selama ni? Sepatutnya kau doakan supaya dia tak buat macam tu!” jerkah Puan Sri
Mahani geram pada anak sulungnya itu. Pagi-pagi lagi sudah mencari fasal
adik-beradik.
Nizam tertawa sinis. Meluat dia apabila mendengar emaknya
membela Lukman lagi. Semakin banyak lemaklah Lukman. Semakin menjadi-jadilah
perangai kaki perempuan Lukman itu. Nizam sedar kelemahan emaknya, mudah
percaya kepada anak-anak. Kelemahan itulah yang sering dipergunakan Lukman
selama ini.
“Memang Nizam tak nampak, ma. Tapi sebelum Nizam nampak
lebih baik Nizam bercakap dulu. Luk tu adik Nizam. Kalau dia menconteng arang
pada muka ayah dengan mama, maknanya muka Nizam pun hitam sekali. Itu maksud
Nizam. Bukannya Nizam nak dengkikan dia dengan tuduhan melulu,” ujar Nizam
biasa sebelum bangun dari kerusinya. Tanpa kata dia menghulur tangannya kepada
sang emak. Setelah tangan emaknya itu dicium dia terus berlalu.
“Mama, ayah, Mira pergi pejabat dulu ya? Jumpa ayah kat
pejabat nanti.” Amirah juga malas untuk berada di situ untuk mendengar emaknya
membela abang kembarnya itu.
Puan Sri Mahani hanya mampu memandang Nizam dan Amira
yang berlalu dengan pandangan kosong. Sebahagian hatinya sudah merasa tidak
enak kala itu. Namun dipujuk lagi dirinya agar tidak menyangka yang tidak-tidak
tentang Lukman.
Syahreena yang baru tiba di meja itu sekadar memandang
adik dan abangnya yang berlalu. Dia sempat terdengar pergaduhan di meja makan
sebentar tadi namun masih tidak faham apa yang berlaku sebenarnya.
“Kenapa ni, ma? Pagi-pagi lagi dah kecoh?” soal Syahreena
sambil mencapai cawan kosong di atas meja itu. Teh susu dari dalam teko terus
dipenuhkan di dalam cawan itu.
“Nizam dengan Mira tu. Suka sangat cari fasal dengan
Lukman. Entah apa kenanya dengan diorang tu. Asyik nak takutkan mama aja dengan
benda yang bukan-bukan!” degus Puan Sri Mahani tanpa memandang Syahreena.
Hakikatnya biarpun Nizam sudah tiada di situ namun sebahagian dari kata-kata
anaknya itu terus memberi kesan kepada dirinya.
Syahreena memandang ayahnya seketika. Lelaki itu hanya
diam tidak berkata apa. Namun dari riak yang ditunjukkan Syahreena tahu ayahnya
tidak suka dengan apa yang berlaku. Jadi dia juga ikut diam enggan mengeruhkan
keadaan. Selesai menghabiskan air di dalam cawannya Syahreena terus bangun.
“Mama.. ayah, Reen pergi dulu ya?” ucapnya lembut. Tangan
emaknya diambil dan dikucup sebelum berpindah kepada ayahnya. Kedua orang tua
itu hanya mengangguk tanda merestui perjalanan hidup yang bakal dilalui oleh
sang anak sebentar lagi.
Tan
Sri Fatah terus bungkam di kerusinya. Namun dalam diam hatinya dia asyik
berbicara sendiri. Biarpun perit untuk diakui namun dia sebenarnya semakin
tidak senang melihat gelagat anak lelakinya yang seorang lagi itu. Ada yang
tidak kena dengan Lukman. Kelakuannya semakin hari semakin mencurigakan. Bukan
sekali dua dia mendengar cerita orang yang mengatakan Lukman gemar bertukar
teman wanita. Kesemua kawan-kawan Lukman sekufu perangai dengannya. Semuanya
kaki perempuan.
Sudah lama juga dia tidak melihat Lukman bersolat.
Anaknya itu bagaikan sudah lupa siapa dirinya sedangkan usianya masih terlalu
muda. Lukman baru berusia 27 tahun. Masih bertatih-tatih membina hidupnya
tetapi anaknya itu berlagak seperti sudah arif benar dengan salah-silah dunia
ini. Mungkin juga apa yang dibicarakan Nizam sebentar tadi ada benarnya. Tan
Sri Fatah bimbang melihat kelakuan Lukman.
Tan Sri Fatah tahu, dia tidak harus membiarkan begitu
sahaja. Dia akan menyiasat apa sebenarnya yang dilakukan Lukman di luar sana.
Sebagai ayah dia tidak rela membiarkan anaknya itu terjerembab ke lembah dosa
maksiat sedangkan selama ini anaknya itu dididik penuh dengan adab sopan dan
ajaran agama.
“Awak dah nak pergi ke?” soal Puan Sri Mahani apabila
melihat suaminya itu bangun dari duduknya.
“Saya ada hal sikit pagi ni. Saya pergi dulu,” ucap Tan
Sri Fatah ringkas. Sebelum pergi Tan Sri Fatah sempat mengambil sesuatu dari
dalam ruangan kerjanya. Setelah itu dia terus mendapatkan Ariffin, pemandunya.
“Ke pejabat Tan Sri?” soal Ariffin sebaik sahaja
majikannya itu masuk ke kereta.
“Ke Damansara, Ipin. Saya nak ke kondo Lukman di Mutiara
Damansara.”
“Baik, Tan Sri.” Ariffin menjawab patuh dengan arahan
majikannya itu.
Sesampai sahaja di tempat yang dimahukan Tan Sri Fatah
terus naik ke kondo milik Lukman yang dibelikannya tahun lalu. Dia tahu Lukman
selalu singgah di kondo itu. Kadang-kala Lukman sengaja tidur di situ.
Tan Sri Fatah berjaya masuk ke dalam rumah itu dengan
kunci pendua yang ada padanya. Matanya memandang persekitaran rumah itu.
Semuanya kemas kecuali meja kopi di hadapan tv yang terdapat tin-tin coke yang
tidak tahu sudah berapa lama berada di situ. Tan Sri Fatah masuk pula ke bilik
tidur. Dia memerhatikan bilik tidur itu. Agak berselerak bilik itu. Katil tidak
berkemas. Kain baju bersepah sana sini.
Seperti penyiasat, segala barang yang ada di dalam bilik
itu dibelek Tan Sri Fatah. Segala laci meja diselongkarnya. Namun saat
memandang tilam ada rasa tidak enak dirasakan apabila melihat tilam itu tidak
bercadar seperti selalu. Bertambah pelik pula apabila melihat hanya cadar yang
ditanggalkan sedangkan bantal masih bersarung elok. Malahan di dalam bakul
sampah dia melihat kaca dan lampu tidur yang sudah berderai mungkin akibat
terjatuh ataupun disenggol.
Tetapi dari pemerhatinnya dia tahu meja lampu tidur itu
tidak mungkin mampu merosakkan lampu itu sehingga begitu sekali kerana meja itu
agak rendah. Boleh jadi lampu itu berderai kerana dibaling seseorang. Tidak
dapat tidak, hatinya semakin diasak oleh persoalan tentang apa sebenarnya yang
sudah berlaku di dalam rumah ini?
Tan Sri Fatah mengambil sebiji bantal itu lalu diteleknya
dengan lebih dekat. Walaupun dia sudah tua tetapi cermin mata yang ada di
matanya ini masih boleh melihat dengan jelas. Dia melihat ada helaian rambut
panjang pada bantal itu. Lama mata tua itu membelek rambut itu. Masakan rambut
Lukman boleh sepanjang ini? Dadanya sebu apabila mengenangkan anak lelakinya
mungkin membawa wanita ke dalam rumah yang dihadiahkannya ketika Lukman berjaya
menunjukkan kecemerlanga di dalam kerjaya sekitar setahun yang lalu. Dia
menghadiahkan rumah ini kepada Lukman kerana Lukman berjaya memberikan
inspirasi kepada syarikat mereka untuk menangani sebuah projek yang berharga
puluhan juta. Itu sesuatu yang luar biasa bagi anak muda semuda Lukman.
Tan Sri Fatah tidak berpuas hati dengan sekadar
pemerhatian kosong begitu. Dia terlalu ingin tahu ke mana cadar itu dialihkan.
Dia tidak sedap hati melihat rambut panjang itu.
Fikirannya sempat meneka mungkin cadar itu sengaja
disorokkan di satu tempat. Mungkin di dalam plastik untuk dibawa ke dobi. Tan
Sri Fatah memerhatikan sekeliling sehingga dia teringat yang rumah ini ada
sebuah mesin pembasuh baju.
Di dalam mesin itu akhirnya Tan Sri Fatah menemui cadar
putih yang sudah disumbatkan ke dalamnya tetapi masih belum dicuci. Pantas Tan
Sri Fatah mengeluarkan cadar itu semula. Keseluruhan cadar itu dibentangkan di
atas lantai untuk melihat kesan di atas cadar itu dan akhirnya dia menemukan
beberapa kesan tompokan darah pada cadar itu.
Tan Sri Fatah terlopong sendiri melihat permandangan itu.
Dia tahu Lukman sudah melakukan sesuatu yang tidak elok. Dia tahu! Jika tidak
mengapa Lukman boleh cedera seperti yang dilihatnya pagi tadi. Kesan cakaran
itu membuatkan dia lebih yakin kerana dia juga mengakui jika pergaduhan sesama
lelaki sudah pasti Lukman lebam akibat ditumbuk. Tetapi kesan cakaran itu
membuatkan Tan Sri Fatah merasakan ada pergelutan berlaku di atas tilam yang
berbalut cadar ini dan Lukman telah dicakar seseorang.
Lama lelaki tua itu membeku di situ sambil mengenangkan
anak lelakinya itu. Kesal hati tuanya kerana selama ini dia tidak pernah
mendidik anak-anaknya agar menjadi orang yang kejam. Puas dia menegur. Puas dia
menasihati tetapi ini juga yang menjadi pilihan anaknya. Lebih malang sekali
dia tidak tahu siapa wanita yang sudah menjadi mangsa kejahanaman anaknya itu.
Tan Sri Fatah amat kasihan kepada wanita itu.
Tan Sri Fatah mengeluarkan telefon dari poketnya. Nombor
anak keduanya itu didail. Tidak lama kemudian panggilannya bersambut.
“Reen, ayah ni..” ucap Tan Sri Fatah lembut.
“Ya, ayah. Ada apa?”
“Reen dah sampai hopital ke?” soal Tan Sri Fatah pada
Syahreena.
“Belum. Kenapa?”
“Ayan nak jumpa Reen kalau Reen free pagi ni. Ada hal penting ke pagi ni?” ujar Tan Sri Fatah
lembut. Dia benar-benar inginkan pertolongan anaknya yang bertugas sebagai
pakar bedah di Institut Jantung Negara itu.
Syahreena diam seketika. Seketika kemudian barulah dia
menjawab. “Boleh. Kat mana ayah nak jumpa Reen?”
“Ayah kat rumah Lukman di Mutiara Damansara. Datang
sekarang ya? Ayah tunggu,” balas Tan Sri Fatah kelegaan. Dia tahu hanya
Syahreena yang mampu merungkaikan tanda tanya di benaknya ini.
“Ok, Reen datang sekarang.”
Panggilan terus dimatikan. Tan Sri Fatah berpindah ke
ruang tamu pula. Di sofa itu dia duduk termenung sambil menanti kedatangan
Syahreena. Bersendirian di situ fikirannya kembali berkisar tentang Lukman.
Tentang sikap Lukman semenjak pulang dari luar negara. Anak itu kian jauh
darinya. Jarang berada di rumah. Lukman sibuk dengan pelbagai agenda yang tidak
diketahuinya. Lukman kian hanyut dengan keseronokan berkawan di luar sana
sehingga sanggup mengenepikan perasaannya sebagai ayah. Setelah dicerakinkan
kesemuanya hanya sebuah gelengan yang mampu dilakukan saat itu oleh Tan Sri
Fatah.
Dia sedih memikirkan apa yang sedang melanda keluarganya.
Lukman tidak mudah berbaik antara adik beradik sendiri mahupun dengan Amirah
adik kembarnya. Anak itu langsung tidak mahu mengambil berat akan keluarga.
Sikap mementingkan diri sendiri semakin menebal. Nilai kekeluargaan sudah
menyurut apabila diri semakin dewasa. Malah sekian lama ini dia tidak tahu
sudah berapa lama Lukman mengamalkan sifat suka berbohing kepadanya.
Kesal! Tan Sri Fatah tidak tahu di mana silapnya dalam
mendidik anaknya yang itu. Jika nasihat dan tegurannya sudah tidak mendatangkan
makna kepada Lukman, apa lagi yang harus dilakukannya?
Tidak lama kemudian Syahreena tiba di rumah itu. Dia
terus masuk untuk mencari sang ayah. Pertama yang dilihatnya batang tubuh
ayahnya sedang membeku sendirian di sofa ruang tamu itu. Sekilas dia memandang
Syahreena tahu ayahnya ada masalah.
“Assalamualaikum, ayah..” ucap Syahreena lembut untuk
menyedarkan ayahnya akan kedatangannya.
Tan Sri Fatah segera menoleh kepada Syahreena. Syahreena
lihat tampang ayahnya sedikit murung. Dia tahu ayahnya sedang bergelut dengan
masalah yang mungkin memerlukan bantuannya. Syahreena terus mengambil tempat di
sofa.
“Kenapa ayah? Apa ayah buat kat sini?” tanya Syahreena
mula kerisauan.
Tan Sri Fatah tidak segera menjawab. Helaan nafasnya mengatakan
dia sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu memulakan cerita. Dia bimbang apa yang
sedang bermain dibenaknya ini dibenarkan oleh Syahreena sedangkan dia berharap
benar semua itu hanya satu sangkaan yang tidak berasas.
“Ayah ada masalah ke?”
“Ada..” jawab Tan Sri Fatah perlahan. Wajah ayu Syahreena
direnung seketika. “Ayah nak minta tolong Reen. Ayah perlukan satu jawapan bagi
semua persoalan yang ada dalam diri ayah sekarang. Tentang Lukman, tentang
rumah ni. Tapi ayah harap segala yang berlaku dalam rumah ni, Reen tak
ceritakan pada sesiapa. Terutama sekali pada mama. Ini hanya rahsia kita
berdua. Janji dengan ayah ya? Jangan beritahu sesiapa.” Tan Sri Fatah mula
membuka bicara.
“Ya, ayah. Reen akan rahsiakan. Pasal apa sebenarnya ni?”
“Mari ikut ayah..” ajak Tan Sri Fatah bagi menjawab
pertanyaan anak gadisnya itu.
Tan Sri Fatah terus bangun dari sofa dan diikuti oleh
Syahreena. Mereka mengatur langkah masuk ke dalam bilik tidur utama. Cadar yang
masih terbentang di atas lantai bilik itu segera dijengah mereka berdua.
Syahreena tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melihat apa yang terdapat
di atas cadar itu.
“Apa yang dah jadi ni, ayah? Darah siapa ni?” soal
Syahreena sedikit terkejut dengan apa yang dipandangnya.
“Itu sebabnya ayah panggil Reen ke sini. Ayah sendiri
takde jawapan pada semua soalan tu. Tapi hati ayah merasakan Lukman ada berbuat
sesuatu yang tak elok di sini. Lampu meja yang ada dalam bakul sampah tu pecah.
Pada bantal tu ayah ada jumpa sehelai rambut panjang. Rasanya bukan rambut Lukman.
Darah ni.. ayah nak tahu darah siapa. Lukman sendiri ada kesan luka pada
lehernya. Tapi dia kata itu kesan terkena duri. Ayah tahu ada sesuatu yang dia
sembunyikan dari ayah. Kesan luka tu kecil aja kalau nak dibandingkan dengan
tompokan darah di atas cadar ni. Lagipun, kalau tak silap ayah dah dua malam
dia tak balik ke rumah. Ayah cuma nak tahu adakah kesan darah ni milik Lukman
atau bukan. Itu sahaja! Kalau benar darah ini darah Lukman legalah hati ayah.
Hanya Reen yang boleh tolong ayah jawab semua ni. Ayah tahu Reen mesti tahu apa
yang perlu dibuat dengan semua nikan?” Tan Sri Fatah segera menjelaskan
tujuannya memanggil anaknya itu ke situ.
Syahreena terdiam seketika. Sedikit sebanyak dia mengerti
apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Tetapi pertolongan yang diminta ayahnya
itu bukan senang untuk diberikannya. Itu bukan bidangnya. Tetapi untuk
menghampakan ayahnya itu, dia tidak tergamak. Syahreena merenung lagi cadar
putih yang bertompok dengan darah itu.
“Boleh Reen tolong ayah?” tanya Tan Sri Fatah sekali
lagi. Nadanya lembut penuh dengan harapan agar permintaannya ini tidak
diabaikan.
“Boleh tu boleh. Tapi ini akan ambil masa sikit ayah.
Mungkin seminggu,” ujar Syahreena yang tidak sampai hati mahu menghampakan
ayahnya. Dia kasihan melihat kesedihan di raut tua itu. Lebih dari itu dia
sendiri tidak ketinggalan mahukan jawapan dari semua yang dilihatnya ini.
“Boleh. Seminggu tak begitu lama untuk ayah untuk satu
kebenaran yang pasti. Ayah akan tunggu,” jawab Tan Sri Fatah sedikit kelegaan.
Sebahagian dari kerisauannya sudah menghilang.
“Lepas ayah tahu tentang darah ni, apa yang ayah nak
buat?” soal Syahreena. Jika darah ini milik Lukman legalah mereka. Tetapi
bagaimana pula jika darah ini milik orang lain? Masakan mereka mahu berdiam
sahaja?
“Entahlah, Reen. Ayah sendiri pun tak tahu. Biarlah ayah
fikirkan dulu.”
Di
pejabat segala kerja tidak mampu lagi diberikan perhatian seperti selalu.
Masalah yang dibikin oleh anaknya terus menduduki tempat pertama dalam benaknya
ini. Akhirnya kepada pembantunya dia meminta sedikit ruang untuk menenangkan
fikirannya. Dia tidak ingin diganggu. Malahan segala urusan penting terpaksa
dibiarkan begitu sahaja.
Tan Sri Fatah termenung lama memandang permandangan Kuala
Lumpur dari arah balkoni pejabatnya. Namun sebenarnya fikirannya sudah terbang
jauh memikirkan apa yang dilihatnya pagi tadi ketika di rumah Lukman. Semuanya
masih dalam simpanan rahsianya. Tetapi saat ini lelaki tua itu amat mendambakan
seseorang untuk mendengar bicara hatinya. Dia memerlukan seseorang untuk
memujuk jiwanya dari terus dihantui prasangka kepada Lukman. Dia mahu seseorang
yang dapat menawarkan kesedihannya tentang anak lelakinya itu.
“Ayah..” suara Nizam yang kedengaran memanggilnya dari
dalam pejabat mematikan hayalan orang tua itu. Tan Sri Fatah menoleh mencari
kelibat anak lelaki sulungnya itu.
Saat terdengarkan suara Nizam Tan Sri Fatah segera
tersedar. Dia hanya memiliki dua anak lelaki. Namun Nizam adalah anak yang
sering mengambil berat tentang keluarga berbanding Lukman. Nizam lebih
bertanggung jawab kepada dirinya sendiri berbanding Lukman. Entah kenapa saat
itu hati tua itu tega sekali membandingkan sikap di antara kedua-dua anak
lelakinya itu.
“Ayah..” panggil Nizam sekali lagi.
“Ya. Ayah kat sini, Nizam. Marilah sini.” Tan Sri Fatah
segera menyambut panggilan Nizam dari balkoni itu.
“Kenapa ayah duduk sini?” soal Nizam sebaik sahaja
menemukan ayahnya itu. Dia hairan melihat ayahnya itu termenung seorang diri
seperti sedang menanggung masalah yang menggunung. Daripada Suraya setiausaha
ayahnya dia mendapat tahu ayahnya membatalkan semua temujanji penting. Aneh!
Itu bukan sikap ayahnya selama ini.
“Takde apa. Saja ayah nak ambil angin di sini,” balas Tan
Sri Fatah lembut.
“Kenapa ni, yah? Macam ada masalah aja?” tegur Nizam masih
tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya tadi. Dia tahu ayahnya sedang
memikirkan sesuatu yang penting. Sikap ayahnya selalu yang dilihatnya ayahnya
memang jarang termenung begitu sahaja. Katanya masa itu emas dan tidak harus
dibazirkan dengan termenung. Lagipun kemendungan yang tertera di wajah itu
masih tidak mampu untuk menipunya.
Tan Sri Fatah diam tidak menjawab. Soalan Nizam berlalu
begitu sahaja.
“Ada masalah apa ni, ayah? Cakaplah dengan Nizam.
Business kita ada masalah ke?” soal anak muda itu yang kian gusar apabila
melihat kelainan sikap ayahnya itu.
“Soal Lukman, Nizam. Tentang apa yang kamu berdua
gaduhkan pagi tadi. Ada perkara yang ayah tak senang selama ini. Runsing
fikiran ayah ni memikirkan dia,” luah lelaki tua itu bersama helaan berat.
Rusuhan yang yang membebani hatinya ingin diluahkan kepada Nizam.
“Apa dia yang ayah bimbangkan? Cakaplah dengan Nizam. Apa
saja kekusutan yang ada kita fikir sama-sama.” Nizam berkata lembut. Dia tidak
sampai hati membiarkan ayahnya terus bergelut dengan masalah sendirian.
“Ayah ke kondo dia pagi tadi. Macam-macam yang ayah
jumpa. Ayah syak dia ada buat perkara yang tak baik. Sebab tu leher dia luka
dan dahi dia lebam.” Tan Sri Fatah memulakan bicaranya perlahan.
“Maksud ayah apa?” Nizam menyoal lagi. Dia masih tidak
jelas dengan apa yang ayahnya maksudkan. Namun jika sudah terlihat menungan
ayahnya seperti ini sudah pasti perkara itu bukan sesuatu yang remeh.
Tan Sri Fatah menceritakan serba ringkas apa yang
ditemuinya di kondo Lukman pagi tadi. Seperti mana janjinya pada Syahreena
begitu juga Nizam. Dia tidak mahu isterinya tahu tentang itu. Bukannya apa, dia
tidak mahu hati isterinya hancur setelah mendapat tahu semua itu. Bukannya dia
tidak tahu selama ini isterinya itu menyembunyikan kebimbangannya dalam hati
sendirian.
“Ayah betul-betul bimbang, Nizam. Ayah rasa dia bukan
lagi anak ayah yang dulu. Lukman dah terlalu jauh berubah,” ucap Tan Sri Fatah
tidak mampu menahan sebaknya. Namun dihelanya nafasnya berkali-kali agar apa
yang berkurung di dada berlalu pergi. Dia tidak mahu cepat kalah dengan cubaan
kali ini.
Nizam terdiam seketika. Dia juga ikut terkesan apabila
terlihat kesedihan ayahnya. “Ayah tak cuba tanya dia?” soal Nizam kemudian.
Tan Sri Fatah menggeleng. “Kau rasa dia akan jawab kalau
ayah tanya dengan jujur? Kalau dia boleh berlaku jujur, dia takkan beri alasan
bodoh pada soalan kamu pagi tadi. Ayah langsung tak percaya dengan jawapan dia
tu. Ayah tahu dia banyak berbohong pada ayah selama ini.” Tan Sri Fatah
menjawab sambil memandang Nizam.
“Ayah bimbang kalau dia terlibat dengan kes jenayah. Ayah
takut dia jadi begitu akibat kelalaian mama dan ayah dalam mendidik dia supaya
dia menjadi manusia.” Tan Sri Fatah menambah bicara lagi saat Nizam sekadar
mendiamkan diri.
“Ayah ni... janganlah fikir sampai ke situ. Entah-entah
darah tu darah dia sendiri. Lagipun ayah kata ada lampu meja pecah, mungkin
Lukman terluka sewaktu membersihkan kaca sebab tu ada kesan darah pada cadar
tu,” ujar Nizam perlahan.
Sebenarnya dia juga sedang cuba menyedapkan hati sendiri.
Walaupun dia dan Lukman sering tidak sebulu tetapi dia tetap sayangkan adiknya
itu. Sudah tentu dia tidak mahu adiknya mendapat kesusahan seperti itu. Mintak
dijauhkanlah segala keburukan seperti itu. Jika ayahnya susah hati atau
mendapat malu dia juga akan ikut merasa yang sama.
“Harap-harap begitulah, Nizam. Harap-harap ada pula
penjelasan lain yang lebih munasabah
untuk rambut panjang yang ayah jumpa pada bantal dia.”
Nizam terdiam menelan kata di kerongkongnya. Ya tak ya
juga! Apa pulak alasannya untuk rambut wanita itu? Ah! Lukman memang suka cari
nahas. Suka memeningkan kepala orang lain! Getus hati Nizam marah.
“Entahlah! Ayah tak tahulah apa nak jadi dengan dia tu.
Ditegur tak mahu dengar. Bercakap dengan dinding lagi baik dari bercakap dengan
dia tu. Pandai saja dikonarnya kita balik. Penghabisannya ayah yang naik angin
dengan perangai dia tu. Rasanya menjaga Lukman yang hari ini lebih payah
berbanding menjaga dia ketika dia masih kecil dulu. Ayah tak tahu kenapa dia
jadi begitu,” keluh Tan Sri Fatah lagi.
“Cubalah ayah cari masa yang sesuai berbual dengan dia.
Agaknya dia nak kahwin kot?” Nizam berkata sekadar untuk menyedapkan hati sang
ayah padahal dia juga sebenarnya tidak tahu jika benar adik lelakinya itu ada
meniduri wanita lain di rumah itu.
“Kalau nak kahwin ayah boleh kahwinkan. Ayah takkan
menghalang sesiapa pun anak-anak ayah nak berkahwin. Itu lagi ayah suka. Tapi
jangan buat maksiat. Ayah tak suka! Ayah ni dah tua, Nizam. Kalau anak-anak
mampu mengendalikan hidup dengan baik, mampu menjaga perniagaan kita ni dengan
bagus, ayah nak berehat. Ayah nak ada cucu. Ayah nak keturunan kita ni
dipanjangkan lagi dengan pewaris-pewaris kita yang akan datang. Tapi ayah tak
pernah memaksa kalau kamu semua belum bersedia untuk memikul tanggungjawab tu.
Soal berkahwin memang bukan mudah. Kahwin ni memerlukan kesediaan mental dan
rohani. Perlukan kekuatan dalam jiwa. Tapi itu tak bermakna kamu semua bebas
berbuat apa sahaja.
“Berzina ni berdosa besar, Nizam. Berat hukumannya di
akhirat nanti. Takde alasannya untuk kita berbuat dosa kalau sebenarnya kita
mampu untuk mengelak dari berbuat dosa,” balas Tan Sri Fatah meluahkan
harapannya yang dipahatnya selama ini. Tiada apa yang diharapkan pada kesemua
anak-anaknya itu melainkan berkeluarga dan hidup sejahtera bersama teman hidup
masing-masing.
Nizam terdiam sendiri mendengar leteran ayahnya itu. Dia
mengerti keinginan sang ayah yang mahukan dirinya dan adik-adiknya memiliki
keluarga sendiri sementelah dia sendiri sudah berusia tiga puluh satu tahun.
Tetapi dia menganggap jodohnya masih belum tiba kerana buat masa ini dia masih
belum menemukan seseorang yang amat disenanginya. Begitu juga dengan Syahreena
yang komited dengan tugas sebagai pakar bedah, Amirah yang baru memulakan tugas
di syarikat ini dan Balqis yang masih menuntut di USA. Masing-masing sedang
seronok mengejar cita-cita.
“Entahlah! Ayah pun tak faham. Kenapa Lukman sanggup buat
macam ni. Apakah ayah selama ni tak pernah memberi pendidikan agama pada kamu
semua? Ayah rasa ayah melayan kamu semua sama rata. Kalau ayah garang pada
Nizam begitu juga pada Syahreena, Amirah, Lukman dan Balqis. Ayah tak bezakan
anak-anak. Semuanya ayah sayang tetapi Lukman ni dah pergi terlalu jauh. Ayah
dah tak pernah nampak dia bersolat sekarang. Maghrib selalunya dia di luar. Tak
pernah lagi berjemaah di rumah dengan kita. Hujung minggu dia dengan
kawan-kawan. Malam pulak selagi tak sampai ke subuh selagi itulah dia di luar
rumah. Ayah rasa dia bukan lagi Lukman yang ayah kenal dulu,” luah Tan Sri Fatah
kesal.
Nizam terdiam lagi. Dia hanya mampu mendengar sahaja
rintihan hati sang ayah. Kasihan juga dia kepada ayahnya ini. Tetapi dalam soal
Lukman memang bukan mudah kerana Lukman selama ini cukup perahsia. Selama ini
mereka memang tidak rapat. Semenjak dari zaman sekolah menengah mereka berdua
sering terpisah arah apabila dia dihantar masuk ke sekolah berasrama. Lukman
pula bersekolah di sekolah yang sama dengan Amirah berdekatan dengan rumah
keluarga mereka.
“Ayah harap suatu hari nanti Lukman akan berubah. Ayah
mahu dia menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab pada diri dia. Ayah tak
mahu dia terus hidup dalam keadaan berdosa.” Tan Sri Fatah menambah lagi
kata-katanya. Masih tidak berputus asa memasang harapan tentang anak ketiganya
itu. Dia tahu Lukman pasti boleh diubah supaya kembali kepada dirinya sendiri.
“Masih belum terlambat kalau ayah nak membentuk dia.
Pasti ada caranya, ayah. Janganlah ayah putus asa. Suatu hari nanti dia akan
berubah juga, insya-Allah..” pujuk Nizam lembut. Mungkin Lukman cuma hanyut
seketika dengan desakan arus kehidupan yang meliar di sekeliling mereka.
Tan Sri Fatah mengangguk perlahan. Ya! Dia berharap suatu
hari nanti akan ada jalan yang mampu mengubah cara hidup Lukman. Dia berharap
Lukman akan kembali ke pangkal jalan. Dia mahu Lukman insaf akan segala
kesilapannya. Itulah harapannya sebagai ayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.