Rabu, 17 April 2013

Bab 12- Mahligai Seribu Mimpi


Laila menyambut kedatangan teman seuniversitinya itu dengan hati yang gembira. Senyuman yang diukir masih tidak lekang sehinggalah Asmadi duduk di hadapannya. Sekian lama menyepikan diri akhirnya mereka kembali bertemu.
“Maaf, aku lambat sikit. Jalan sesak sikit tadi. Lama tunggu?” ujar Asmadi selepas meletakkan beg yang berisi komputer ribanya di kerusi sebelahnya.
“Takdelah. Aku pun baru je duduk ni. Air yang aku pesan pun belum sampai.”
“Bini aku tak dapat datang. Kau dah tahukan?” ucap Asmadi sambil memandang Laila di hadapannya.
Laila segera mengangguk. Dia sudah maklum tentang hal itu. Hanya Asmadi yang diwakilkan oleh Hamidah untuk bertemunya petang ini. Dia tidak kecil hati kerana dia maklum dengan tugas Hamidah yang berkerja mengikut syif itu. “Minum, Madi?” pelawa Laila apabila ada pelayan datang mendekati meja mereka untuk mengambil pesanan.
“Fresh Orange.” Asmadi terus sahaja memesan minumannya tanpa bertangguh lagi.
Pelayan itu berlalu setelah mengambil pesanannya itu. Asmadi memandang Laila semula. Hampir setahun dia tidak melihat Laila. Dia lihat Laila semakin cantik kini. “Kau apa khabar sekarang, Laila?” soal Asmadi lembut.
“Baik. Kau? Midah apa khabar?”
“Kami ok. Midah masih kerja sekarang. Sebab tu dia tak dapat datang. Dia desak jugak aku jumpa kau walaupun dia tak dapat ikut sama.  Lain kali kalau masanya sesuai dia pun nak jumpa kau. Rindu benar dia dengan kau.”
Laila mengangguk sambil hatinya menyambut salam yang dihulurkan oleh isteri Asmadi itu. Terbayang dia Hamidah yang kecil molek itu. Sewaktu di UM dahulu dia memang tidak pernah lekang dari sahabatnya itu. Tetapi kini setelah berkerja mereka tidak lagi selalu bertemu.
“Aku pun rindu dengan dia. Dia dah berisi ke belum?” soal Laila sedikit teruja.
Asmadi terus tergelak mendengar soalan itu. Sudah diagaknya soalan itu akan ditanyakan oleh Laila. “Belum ada rezeki kami, Laila. Kau doakanlah semoga aku cepat dapat anak. Teringin juga aku ni tapi belum ada rezeki lagi. Apa nak buat.” Asmadi menjawab tenang usai tawanya.
“Insya-Allah, aku akan doakan. Alah! Apa nak kecoh. Kau dengan Midah masih muda. Banyak masa lagi. Usaha tangga kejayaan, Madi.” sambut Laila sambil tersenyum kepada Asmadi.
Asmadi tergelak seketika. “Memang usaha tangga kejayaan. Hari-hari aku usaha sampai Midah pun dah naik muak tengok muka aku. Tapi belum ada rezeki. Takpelah, ada rezeki aku adalah nanti. Kau kalau ada masa datanglah ke rumah. Bolehlah kita borak-borak lama sikit. Rumah aku di Taman Universiti di Kelana Jaya. Bukannya jauh sangatpun sampai tak boleh datang langsung. Dari Perak ke Kedah boleh pergi takkan dari PJ ke Kelana Jaya tak boleh?”
“Insya-Allah, kalau ada kelapangan nanti aku datang. Kau tahulah aku ni, bukan senang nak keluar rumah. Balik aja kerja terus aja memerap kat rumah. Itu ajalah kerja aku.” Laila menjawab lembut lantas tersenyum kepada sahabatnya itu.
“Sesekali jalan-jalanlah. Apa salahnya. Bukannya apa, sesekali boleh juga kita release tension. Kaupun semenjak berkerja ni senyap aja. Ingatkan dah lupakan aku dengan Midah. Lama kitorang ni tertunggu-tunggu email kau.”
Laila hanya tersenyum. Silapnya juga kerana terlalu fokus kepada kerja sehingga dia mengabaikan perkara lain. Mujurlah baru-baru ini dia ada terbacakan email sahabat-sahabatnya ini yang rindu kepadanya. Kerana email itulah dia akhirnya mengajak untuk bertemu untuk bertukar cerita.
“Kau? Bila agak-agaknya nak menamatkan zaman solo?” tanya Asmadi mula berkisar soal Laila pula. Kali ini soal Laila pula yang mahu didengarinya. Siapa tahu hati Laila sudah terbuka? Asmadi tahu sudah lama Laila menyendiri semenjak kematian suami bertahun yang lalu. Banyak pengalaman pahit Laila semenjak mereka berkawan. Enam bulan selepas kematian suami emak kandung Laila pula menyusul menemui ILAHI. Tangis dan tawa Laila selama itu sering menjadi perhatiannya dan Hamidah.
“Aku belum ada calon lagi.” itulah jawapan yang selalu Laila gunakan apabila ditanya mengenai itu. Bukan hanya Asmadi yang selalu bertanya tetapi abang-abang dan ayahnya juga risau apabila dia masih menyendiri setelah kematian suami. Abangnya Arman selalu mencadangkan agar Laila berkenalan dengan mana-mana anggota tentera yang dikenalinya. Tetapi Laila menolak. Kalau boleh dia tidak mahu bersuamikan tentera lagi. Dia serik untuk melalui pengalaman yang sama. Dia fobia.
“Belum ada calon? Banyak-banyak lelaki di KL ni kau tak berkenan satupun? Kau yang terlalu memilih atau kau buat-buat tak nampak aja sesiapa yang ada di depan kau? Mustahillah takde yang nak memikat kau, Laila. Dah buta agaknya lelaki-lelaki bujang di KL ni.” Sindir Asmadi dengan senyuman meleret. Tidak begitu percaya dengan kata-kata Laila.
Laila hanya diam bersama sebuah senyuman yanga amat hambar. Dia malas mahu menjawab jika soal itu yang ditanyakan Asmadi. Biarlah semuanya terus berada di hatinya. Tiada sesiapa yang akan mengerti apa yang pernah dan yang sedang dilaluinya.
“Laila, aku tahu kau masih teringatkan arwah. Tak baik macam tu, Laila. Dia dah lama pergi. Kau kenalah teruskan hidup. Jangan kerana dia kau tutup ruang hidup kau begini. Patah tumbuh hilang berganti, Laila. Janganlah putus asa. Cubalah buka hati kau pada yang lain. Siapa tahu ada jodoh kau lepas ni?” pujuk Asmadi lembut.
“Aku tahu dia dah takde, Madi. Tapi hati aku ni degil tak mahu menerima yang lain. Banyak yang bermain dalam fikiran aku ni.” Laila berkata perlahan sambil menghela nafas resah. Apabila kisah lama itu disebut lagi dia akan resah.
“Ceritalah. Mana yang aku boleh tolong aku tolong,” ucap Asmadi ikhlas. Kasihan dia melihat Laila. Suatu masa dahulu dia dengan Hamidahlah yang sering menjadi saksi kepada air mata Laila setelah Laila kehilangan Arwah Nahij. Keperitan itu dia pelajari daripada Laila sehingga dia sendiri seakan mampu merasai kesakitan yang ditanggung oleh Laila. Hilang suami dan emak dalam waktu yang tidak jauh jaraknya memang menyakitkan. Apatah lagi seorang emaklah selalunya menjadi tempat mengadu bagi anak-anak. Mungkin kerana jiwa seorang ibu lebih mengerti perasaan anak-anak. Tetapi Laila kehilangan emak dalam keadaan dia masih bersedih akibat kehilangan suami.
“Memang ramai lelaki yang datang cuba nak memikat tapi semuanya datang kerana tahu aku ni balu. Semuanya kononnya nak menolong perempuan macam aku tapi dalam masa yang sama cuba nak mengambil kesempatan sebab aku ni kononnya sisa orang. Kononnya perihatin tetapi sebenarnya manusia bertopengkan syaitan. Cuba nak mengambil kesempatan pada keadaan aku. Janda macam aku ni pada mata orang lain tak ubah seperti perempuan yang terdesak kesunyian. Aku tak perlukan belas kasihan orang lain, Madi. Walaupun aku dah tak bersuami tapi aku masih mampu menyara makan minum untuk diri aku sendiri. Aku masih boleh berdikari. Aku tak perlukan lelaki dalam hidup aku kalau itu hanya buat aku lebih merana. Aku ok dengan keadaan aku sekarang. Kenapa? Ramai sangat lelaki yang susah hati dengan keadaan aku yang tak bersuami. Aku tak pernah ganggu mereka semua!”
Asmadi mengangguk perlahan mendengar apa yang Laila katakan itu. Dia tahu semenjak dahulu Laila bukan seorang perempuan yang mudah dikelek ke sana kemari oleh lelaki. Laila setia kepada Nahij. Walaupun Nahij sudah tiada kesetiaan Laila tidak pernah luntur. Tidak salah untuk setia. Setiap pasangan yang berkasih perlu mempertahankan kesetiaan mereka tetapi hakikatnya kini apa yang dipertahankan Laila sudah tidak mampu dikecapi lagi. Tidak mungkin akan dikecapi lagi kerana Nahij sudah kembali ke rahmatullah. Itulah yang membimbangkan Asmadi kerana dia tidak mahu Laila hidup dengan kenangan lamanya. Dia mahu Laila mencari kebahagiaan lain.
“Aku mungkin akan berpindah kerja nanti.”
“Kemana?” soal Asmadi pantas.
“Di KL ni juga tapi syarikat lain. Aku harap di sana fikiran orang-orang di dalamnya lebih terbuka,” jawab Laila perlahan.
“Kenapa dengan syarikat tempat kau berkerja sekarang? Ada masalah?” pantas Asmadi bertanya. Dari nada Laila tadi dia bagaikan dapat meneka ada yang tidak kena dengan tempat kerja Laila sekarang.
“Kat situ aku asyik kena ganggu dengan suami orang. Aku dah tak tahan lagi. Aku dah muak tengok muka lelaki tu setiap hari. Dia ingat aku ni perempuan murahan yang rindukan belaian seorang lelaki. Tak sedar diri dah beristeri asyik nak menggatal!” tanpa sedar Laila mencemuh. Dia sakit hati apabila terbayangkan Nazim. Teringat dia apa yang berlaku ketika di pantry pejabatnya minggu lalu. Semenjak itu dia seakan fobia apabila ternampak Nazim. Sebaik sahaja dia mengesan kehadiran lelaki itu dia akan melarikan diri.
“Apa dah jadi sebenarnya. Maksud aku, dia ganggu kau macamana?”
“Baru-baru dia aku terkurung dalam pantry pejabat dengan dia berdua sahaja. Cara dia tu memang menakutkan aku. Macam-macam dia cakap dengan aku. Nak tolong akulah konon. Nak tolong belai, nak tolong temankan aku.. Hi! Meluat betul aku dengar apa yang dia cakap tu. Nasib baiklah ada orang nampak dia tutup pintu pantry waktu tu. Kalau tak akupun tak tahu apa yang nak jadi. Kalau aku menunggu jugak kat situ aku tak tahulah apa akan jadi pada aku di masa depan, Madi. Silap-silap boleh gila aku jadinya!” ujar Laila penuh kegeraman tentang lelaki bernama Nazim itu. Bencinya melaut bagaikan tidak ada pasang surutnya.
“Ini dah kes bahaya ni, Laila. Kalau dia dah sampai buat macam tu kau kena laporkan pada majikan kau. Kalau majikan kau tak layan kau sendiri kena pergi laporkan pada polis.” Asmadi mula terkesan mendengar apa yang Laila katakan itu. Sebagai lelaki dia memang tahu ada jenis lelaki yang sukar mengawal nafsunya apabila ternampak perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan secantik Laila. Sebagai teman dia bimbangkan keselamatan Laila. Apatah lagi dia tahu Laila hanya tinggal sendirian di rumah.
“Itulah.. Tapi bos aku dah bagi amaran pada dia supaya jangan dekat dengan aku lagi. Nasib baiklah aku dengan dia tu tak sama jabatan, Madi. Kalau tak aku pun tak tahu macamanalah aku nak hadap muka dia tu setiap hari.”
“Inilah dunia sebenarnya, Laila. Kau kena banyakkan bersabar. Sebenarnya kemana saja kau pergi kau takkan terlepas dari dugaan. Kuatkan hati kau. Jangan biarkan orang lain ambil kesempatan pada kau. Kita ada saluran undang-undang. Kalau dah tak boleh dikawal sampai membahayakan diri kau, kau kena laporkan. Siapapun kita, kita ada hak yang sama rata untuk hidup dalam negara ni.” Asmadi ikut berkata yang sama seperti yang diucapkan oleh teman-teman sepejabat Laila yang lain. 
 Laila mengangguk akur. Selama ini dia tidak pernah membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan kepadanya. Tetapi entah apalah malangnya dia selalu sahaja menjadi mangsa intaian mata-mata lelaki yang keranjang kepada perempuan. Memang sebelum ini ketika dia bertugas untuk salah sebuah bank di KL ini dia juga turut mengalami masalah yang sama. Cuma tidaklah seteruk Nazim lelaki itu. Kerana itulah dia merelakan diri untuk berkerja di tempat lain walaupun pihak majikannya yang lama itu ada membuat tawaran untuk mengambilnya berkerja secara tetap sebagai akauntan. Demi lelaki itu dia terpaksa menolak. Kini dia berdepan lagi dengan masalah yang sama. Malah lebih kronik! Kadang-kala mahu ke pejabatpun dia terasa malas apabila mengenangkan Nazim.
“Lelaki ni memang kadang-kadang pantang tengok yang berdahi licin berpipi mulus. Mulalah lupa anak bini kat rumah. Jangan layan semua tu. Kau buat hal kau je sudah. Nanti tak pasal-pasal kau kena ganyang pulak.”
“Simpang malaikat, Madi. Mintak jauhlah semua tu. Aku paling tak mahu suami orang. Kalau aku punya diambil orangpun aku marah takkanlah aku pulak yang nak ambil orang punya. Mintak jauhlah!” Sambut Laila pantas. Tidak ada dalam kamus hidupnya berkasih dengan hak orang lain.
“Tahu takpe. Susah-susah sangat biar aku kenalkan kau dengan kawan sepejabat aku nak? Ramai lagi yang masih solo dan yang masih bujang teruna. Siapa tahu kau berkenan dengan salah seorangnya. Bos akupun solo lagi. Oh ya! Cakap pasal bos aku, baru aku teringat. Bos aku namanya hampir sama dengan nama arwah suami kau, Laila.”
“Ha??” terus terlopong Laila mendengarnya.
“Nama dia Ahmad Nahij Lukman. Tampan bergaya bos aku tu..”
Laila terdiam. Tersayat pedih hatinya apabila nama Nahij kedengaran lagi. Sayu masih menghuni ruang hati kecilnya. Nama itu terlalu istimewa buat dirinya. Rupanya ada juga orang lain yang bernama serupa seperti itu.
So, berapa offer kau dapat kat tempat baru. Mesti masyuk ni?” Asmadi mengalihkan topik perbualan mereka kepada hal lain apabila terkesan perubahan di wajah sahabatnya itu. Terasa bersalah pula kerana mengungkit semula kisah lama Laila.
“Bolehlah. Lebih sikit dari tempat aku sekarang.”
“Lebih sikit ke lebih banyak? Gaji kau kat tempat sekarang ni mesti banyakkan? Akauntan macam kau ni setakat lima ribu sebulan ni celah gigi diorang je. Betul tak?” usik Asmadi lantas ketawa sendiri.
“Takdelah! Kau ingat gaji aku kat tempat aku sekarang ni banyak sangat ke? Aku pun masih baru, Madi. Orang baru macam aku ni takkanlah diorang nak bayar setinggi tu?” ujar Laila segera menolak telahan Asmadi. Memang benar gaji yang diterimanya sekarang tidaklah sebanyak yang diperkatakan Asmadi.
“Bukan soal baru atau lama. Soalnya beban kerja yang kau tanggung tu banyak, Laila. Kira duit orang ni bukannya mudah. Salah kira nanti kau yang kena. Gaji kenalah setimpal dengan kerja yang kau tanggung.” Asmadi membantah. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Laila yang mengatakan orang baru tidak seharusnya bergaji tinggi. Baginya bukan soal baru atau lama. Ada juga orang lama yang lembab dan malas. Masakan majikan harus membayar tinggi orang seperti itu.
“Buat masa ni apa yang diorang bayar aku terima aja. Takkan nak demand lebih-lebih pulak. Lagipun setakat ni aku rasa cukuplah dengan apa yang ada. Tapi itu tak bermakna aku selesa dengan apa yang ada sampai tak kisah berapa orang nak bayar aku. Aku berpindah kerja nipun salah satu sebabnya nakkan gaji yang lebih disamping nak rasa pengalaman di tempat lain,” terang Laila jujur.
“Syarikat apa yang kau nak kerja nanti?”
“UMBS Holding.”
“Oh! United Malayan Bumi Shipping Holding? HQnya dekat dengan office aku tu. Wow! Hebat kau Laila. Naik kapal belayar jelah kerja kau nanti. Bukan senang nak dapat kerja kat situ. Setahu aku syarikat tu lebih banyak berurusan dengan syarikat luar negara. Tahniah! Bangga aku dengan pencapaian kau sekarang.”
“Tuah aku agaknya, Madi. Terima kasih banyak-banyak. Aku hargai setiap peluang yang datang. Aku anggap ini rezeki sebab memang aku berangan-angan nak menimba pengalaman dengan syarikat besar yang banyak berurusan dengan syarikat luar Negara,” ujar Laila dengan rendah hati.
“Alah! Syarikat besar macam UMBS tu takkan bayar akuntan macam kau ciput je, ye tak? Mesti masyuk ni... kau aja yang tak nak mengaku. Kenapa kau takut aku pinjam duit kau bila aku pokai? Ah! Aku tak peduli. Bila aku pokai nanti aku cari kau.” Asmadi terus mengusik Laila sambil tersengih.
“Banyaklah kau...” Laila terus menjegilkan matanya kepada sahabatnya itu. Geram dia dengan ulah nakal Asmadi. Masih tidak berubah sahabatnya itu.
Asmadi ketawa seronok apabila melihat reaksi Laila. Rindu juga dia untuk bergurau senda dengan sahabatnya ini seperti masa lalu namun sebagai suami orang dia sedar antara dia dan Laila batasnya teramat kukuh di hadapan.
“Orang kedekut macam kau bila masa nak pokai, Madi. Aku bukannya tak tahu kau tu bertimbun duit dalam bank,” sindir Laila tidak mahu kalah.
Asmadi semakin seronok ketawa. Sudah lama tidak melihat Laila marah-marah. Antara Hamidah dan Laila kedua-duanya pernah menjadi sahabatnya. Namun akhirnya dia terpaksa mengaku yang hatinya telah terpaut kepada salah seorang daripada dua wanita itu iaitu Hamidah yang kecil molek itu.
“Aku simpan duit untuk masa depan. Dah ada isteri mana tahu esok lusa ada anak pulak. Sekarang aku dengan Midah rancang nak beli rumah sendiri.”
“Baguslah kalau macam tu. Senang kalau ada rumah sendiri ni. Nanti masa tua taklah kau pening-pening nak menyewa lagi bila kau dah tak larat nak kerja,” balas Laila menyokong baik rancangan Asmadi dan Hamidah itu.
Asmadi mengangguk menyetujui apa yang Laila katakan itu. “Sekurang-kurangnya suatu hari nanti kalau nasib Midah serupa macam kau hari ni, dia ada tempat nak berteduh. Kalau ditakdirkan kami ada anak rumah tu adalah untuk anak-anak aku. Ramai wanita yang hilang arah bila kematian suami sebab suami tak bersedia secukupnya untuk menghadapi keadaan tu,” ujar Asmadi agak perlahan.
Laila diam memikirkan apa yang dikatakan Asmadi. Beruntung Hamidah memiliki suami seperti Asmadi. Berfikiran jauh dengan segala kemungkinan yang tidak pernah mustahil. Lihat sahaja dirinya. Dia juga hilang arah apabila kematian suami. Namun bezanya dia dengan wanita-wanita di luar sana yang senasib dengannya, Laila memiliki wang pencen arwah suaminya yang diberikan kepada umi dan babah di kampung. Dia tahu umi dan babah lebih memerlukan wang itu berbanding dirinya. Malah sebenarnya mereka lebih berhak.
“Aku harap nasib Midah tak seperti aku. Kalau boleh aku nak tengok korang berdua hidup bahagia dengan anak-anak sampai akhir hayat. Hidup sendiri macam aku ni, sebenarnya menyedihkan. Aku hanya ada kenangan, bayang-bayang kisah silam. Tapi kenyataannya aku kesunyian,” luah Laila amat perlahan.
“Kau kena belajar lupakan dia, Laila. Tak salah ingat pada arwah tapi memuja cinta dia seolah-olah dia masih ada itu yang salah. Jodoh kau dah Tuhan tentukan dengan orang lain, bukan dia. Kau kena terima walau macamana susah sekalipun,” pujuk Asmadi bersungguh.
Laila mengangguk perlahan dalam menghela nafas perlahan. Iya! Dia tahu dia harus melupakan semuanya dan memulakan kisah yang baru. Nahij tidak boleh menghantui dirinya lagi.
Dalam pada itu mereka sedikit tidak menyedari ada mata yang ralik merenung ke arah mereka. Semenjak mula lagi mata itu asyik memandang mereka tanpa henti.
“Kata tak keluar dengan lelaki. Tapi dengan budak mentah tu boleh pulak!” degus lelaki itu sedikit sebal.

Mata Lukman terus memerhatikan Laila dan Asmadi. tidak sangka pula dia yang Laila mengenali Asmadi. Mudahlah kerjanya selepas ini kerana dia mengenali Asmadi sebagai kakitangannya. Kali ini dia akan mengorek rahsia Laila daripada Asmadi jika perlu. Tetapi buat masa ini dia tidak mahu menggunakan Asmadi kerana dia mahu mendekati Laila secara bersendirian tanpa bantuan sesiapa.
“You pandang siapa, Luk?” suara manja itu mengganggu apa yang sedang difikirkan Lukman. Dia pantas memandang gadis di sisinya itu. Sebuah senyuman hambar diukir.
“Takde siapa-siapa,” jawab Lukman perlahan sahaja.
Gadis itu tersenyum senang sambil meneruskan makan. Sementara Lukman kembali merenung Laila di hujung sana. Sakit hatinya! Dengan dirinya Laila banyak alasan tetapi dengan lelaki lain mudah pula.
‘Tunggulah, Laila. Kau akan jatuh juga ke tangan aku. Dengan aku kau jual mahal dengan lelaki lain kau boleh bergelak ketawa. Nanti kau!’ hati Lukman memasang dendam. Saat itu dia mahu segera pergi dari situ. Tidak sanggup lagi mahu melihat kemesraan Laila dengan lelaki lain!

Lukman menggepal penumbuknya demi menahan rasa geram dan amarahnya. Tajam matanya memandang ke hadapan. Bagaikan ada orang di hadapannya itu yang mahu ditumbuknya. Padahal dia hanya sendirian menikmati minum petang di kedai itu. Sms daripada Nazim sebentar tadi membuatkan hatinya sedikit kecewa. Sekali lagi dia membuka dan ulang baca sms itu.
‘Dia dah nak resign. Rugilah kau..’
Pendek sahaja sms itu tetapi Lukman cukup mengerti siapa yang dimaksudkan oleh Nazim. Sudah tentulah Siti Laila Huda. Wanita yang diimpikannya itu. Entah kenapa dia merasakan sms dari Nazim itu bagaikan momokan untuk dirinya. Dia terasa diejek-ejek oleh lelaki itu.
‘Macamana kau tahu? Dia resign sebab apa?’
Telefon bimbitnya itu diletakkan semula setelah membalas sms Nazim itu. Buat seketika dia hanya termanggu mengenangkan wanita itu. Selama ini dalam diam dia dan Nazim selalu menjadikan wanita itu topik cerita apabila bertemu. Lukman tahu tidak mudah untuk dia melupakan seraut wajah yang cukup jelita seperti itu. Dia juga sama seperti Nazim. Miang!
Tidak lama kemudian sms yang dihantarnya kepada Nazim mula berbalas. Lukman segera membaca apa yang dikirimkan oleh Nazim kepadanya.
‘Aku tak tahu kenapa dia nk resign tapi satu opis dah tau dia dah bagi notice. Lagi susah lah kau nak tackle die lepas ni. Melopong lah kau nampaknya. Itulah.. Hari tu aku offer baik punyee.. kau tolak. Sekarang gigit jarilah, kawan..’
Hampir sahaja Lukman mahu menghempas telefonnya itu. Ejekan demi ejekan Nazim semakin menyakitkan hatinya. Sudahlah diri disapa kecewa kerana masih tidak mampu menghulur apa-apa salam perkenalan. Kini teman seperti Nazim pula asyik mengejeknya. Hati Lukman panas jadinya. Terasa dirinya benar-benar tercabar! Tanpa berbalas sms tadi Nazim menghantar lagi sms kepada Lukman. Lukman tetap membacanya biarpun hatinya masih sakit diejek Nazim.
‘Masih ada masa lagi ni. Dia masih kat opis rasanya. Selalu dia balik lmbat. Pekerja rajin la katakan.. pergi la jumpa dia. Tapi jangan mention kat dia aku yang suruh kau jumpa dia. Kau buat-buat lah terserempak dengan dia. Kalau dia masih reject kau taulah aku macamana nak dapatkan dia untuk kau. Ok? Good luck, my freind!’
Baru kali ini Lukman mampu tersenyum membaca sms dari Nazim itu. Gembira bukan kepalang setelah mendapat sedikit dorongan dari Nazim dalam pada dia sedang diamuk oleh rasa hampa. Tanpa menunggu lagi Lukman segera pergi ke tempat yang dimaksudkan Nazim.
Di tempat kerja Nazim lif yang dinaiki Lukman berhenti di tingkat 14. Dengan debaran di dada yang bergendang hebat Lukman keluar dan terus menuju ke ruangan pejabat kontraktor Azam Urus Sdn Bhd. Kakitangan keselamatan langsung tidak bertanya mahupun menegah kehadirannya di situ kerana rata-rata mereka memang sering melihat Lukman di situ. Ada yang menyangka Lukman adalah pekerja di situ.
Lukman mengatur langkah perlahan ke dalam pejabat yang sudah mula dilanda kesunyian. Hanya tinggal beberapa pekerja yang masih menyiapkan tugas saat-saat akhir. Mata Lukman meligas mencari semula bilik Laila seperti mana yang diingatinya selama ini. Seingatnya laluan ke bilik Laila adalah laluan yang sama untuk ke bilik Nazim. Cuma sebelum sampai ke bilik Nazim dia akan melalui Jabatan Kewangan yang mana di jabatan itulah Laila selalu terperuk.
“Assalamualaikum..” sapa Lukman apabila ternampak Laila yang sedang sibuk mengemas mejanya. Mungkin sudah mahu pulang.
Laila menjawab perlahan sambil memandang ke arah pintu biliknya. Dia terpaku seketika saat terpandangkan lelaki itu. Sekali lagi lelaki ini berada di hadapan biliknya.
“Encik Nazim dah balik,” ucap Laila tanpa disuruh.
“Saya datang cari awak bukannya dia,” kata Lukman lantas mendekati Laila.
Kata-kata Lukman menerbitkan kerutan di kening Laila. “Cari saya untuk apa?” balas Laila. Tanpa diduga dadanya berdebar saat berhadapan dengan lelaki ini. Entah kenapa saat ini dia terasa seolah-olah sedang berhadapan dengan Nazim biarpun rupa dan gaya jauh berbeza. Orangnya juga tidak sama.
Lukman terdiam seketika. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia ke sini. Malah dia sebenarnya tidak memiliki apa-apa rancangan sebelum bertemu dengan Laila. Dia hanya mengikut kehendak hati yang ingin memandang semula seraut wajah lembut ini. Apabila sudah berhadapan begini Lukman kekeluan untuk mengatur bicara. Fikirannya kosong sama sekali!
“Boleh saya panggil Laila aja?” ucap Lukman lembut.
“Habis tu awak nak panggil saya apa pulak kalau bukan Laila?” jawab Laila sedikit meleret. Tingkah Lukman dirasakan sekadar membuang masanya sedangkan dia sudah mahu pulang.
“Maksud saya, saya tak selesa kalau bercik-cik dengan Laila..” balas Lukman pula.
“Saya takde suruh pun awak panggil saya Cik Laila. Awak yang suka begitu.” Laila tetap tidak memesrakan suaranya kepada lelaki di hadapannya itu.
Tanpa menghiraukan kewujudan Lukman di hadapannya dia meneruskan kerjanya. Mejanya dikemaskan sepantas yang mungkin agar dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Laila sengaja buat tidak tahu kepada Lukman agar lelaki itu mengerti yang dia tidak menyenangi kehadiran lelaki itu di biliknya ini. Tetapi usahanya sia-sia. Lelaki itu masih berada di situ memerhatikannya membuatkan dia merasa tidak selesa.
“Awak nak apa dari saya ni?” soal Laila apabila melihat lelaki itu masih juga tidak memahami bahasa tubuh yang disampaikannya tadi. Dia mahu lelaki ini pergi!
“Laila, saya nak ajak Laila keluar dengan saya.” Lukman akhirnya memberanikan diri meluahkan hasrat yang terpendam sekian lama. Dia tahu dia harus nekad jika benar-benar ingin mengenali wanita ini memandangkan masa yang ada sudah tidak sebanyak mana.
Spontan segala perbuatan Laila terhenti. Sebuah keluhan keras terhela tanpa dapat ditahan lagi. “Saya rasa awak dah dengar jawapan saya sebelum nikan? Saya tak mahu ulang lagi jawapan yang sama, Encik Lukman,” degus Laila sedikit kebosanan.
“Jadi janganlah bagi jawapan yang sama lagi..” jawab Lukman pantas.
“Awak kawan rapat Nazimkan?” soal Laila serius.
“Er.. takdelah rapat sangat. Biasa je..”
“Saya tahu awak rapat dengan dia. Kalau dah selalu datang ke pejabat masakan tak rapat?” tempelak Laila enggan percaya dengan jawapan Lukman. Kalau muka ‘pecah pintu’ macam Nazim pun tidak boleh dipercayai apatah lagi yang ini! Maaf! Dia tidak ingin dekat dengan sesiapa yang ada kaitan dengan Nazim.
“Apa masalahnya kalau saya rapat dengan Nazim?”
“Masalahnya dia tu kaki perempuan! Dia tu selalu menjengkelkan saya dengan perangai dia miang tu. Dia suka ganggu saya di pejabat. Kalau awak jadi saya, awak rasa mudah ke untuk saya percayakan orang yang rapat dengan orang macam tu? Jadi bagi saya sepuluh sebab kenapa harus saya terima pelawaan orang yang susah saya nak percaya!” tekan Laila sedikit kasar.
Lukman meneguk liur kepahitan. “Nazim buat apa pada awak?”
Laila tersenyum sinis. “Tanyalah dia! Diakan kawan awak?”
“Saya tanya awak!”
“Beberapa hari yang lepas dia sengaja menutup pintu pantry waktu saya hanya seorang diri dalam tu. Kemudian bercakap macam orang miang. Kononnya nak temankan saya.. nak tolong saya yang keseorangan. Walaupun dia tak pernah cakap tapi saya tahu niat dia apa sebab saya bukannya perempuan bodoh! Janda macam saya ni hanya sesuai jadi pemuas nafsu untuk lelaki macam dia! Jadi awak tolong jauhkan diri dari saya sebab saya tak berminat nak keluar dengan sesiapa buat masa ni terutamanya dia dan awak jugak!”
Lukman terpaku melihat ketegasan Laila. Langsung tidak memberi peluang kepadanya sedangkan dia tidak berniat begitu. Sedikit sebanyak hatinya sakit mengenangkan Nazim. Kerana Nazim peluangnya untuk mendekati Laila punah!
“Jangan samakan saya dengan dia, Laila. Memang dia kawan saya tapi tak bermakna saya jugak berperangai sama macam dia. Saya tak pernah pandang rendah pada status awak, Laila. Saya tak seteruk itu!” tegas Lukman cuba mempertahankan dirinya.
“Maaf, saya tak berminat. Tolong pergi sekarang!”
“Laila..”
“Bukan senang nak mengubah pendirian saya, Lukman!”
“Kalau awak tak beri peluang macamana awak nak tahu saya ikhlas atau tidak?” pujuk Lukman kian mendayu. “Saya takkan sengaja nak memalukan muka membiarkan diri saya dimarahi macam ni kalau bukan sebab saya memang berniat baik pada awak. Lagipun apa untungnya saya menipu awak?”

“Janda macam saya memang menguntungkan lelaki macam awak dan Nazim kalau saya termakan kata-kata yang boleh diukir secara percuma! Saya bukannya tak tahu betapa rendahnya maruah perempuan macam saya di mata Nazim. Saya jugak tahu apa yang Nazim buat pada setiap perempuan yang dia bawa keluar setiap hari. Bagi dia perempuan ni murah. Boleh dipakai percuma dan dicampak bila dah tak mahu! Saya tak rasa nilai diri saya ni jauh berbeza berbanding perempuan-perempuan yang pernah dia bawa. Saya pun tak berjumpa dengan apa-apa sebab untuk Nazim hormatkan saya kalau dah perempuan lain pun dia buat macam lampin pakai buang. Maaflah kalau disebabkan dia begitu saya menganggap awak jugak tak jauh bezanya dari dia. Kalau tak takkanlah awak suka sangat berkawan dengan orang macam dia?” cemuh Laila tetap tidak memberikan dirinya peluang untuk mendengar kata-kata Lukman.
“Tak adil awak judge saya begitu, Laila.” bicara Lukman kian merendah saat itu. betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu kecewanya dia saat ini. Kali ini dia benar-benar memaksudkan keinginannya. Dia langsung tidak berhasrat mahu mempermainkan Laila.
“Saya hanya menjaga diri saya dan maruah saya dari lelaki-lelaki yang saya tak kenal. Itu aja! Jawapan saya tetap tak! Jadi tak perlulah awak membazir masa di sini lagi. Ramai lagi perempuan di luar sana yang sudi keluar dengan awak. Pergilah cari seorang!” ucap Laila tanpa mempedulikan perasaan Lukman yang tercalar dengan kata-katanya.
“Saya ikhlas, Laila. Saya memang sukakan awak semenjak dari kali pertama saya jumpa awak,” ucap Lukman semakin kecewa dengan reaksi Laila.
“Saya tak boleh! Maaf. Tolong tinggalkan saya sendiri,” tegas Laila.
“Laila, tolong jangan kecewakan saya. Sekurang-kurangnya awak kena kenali siapa saya sebenarnya. Saya tak seteruk itu! Memang saya tahu Nazim suka mempermainkan perempuan tapi itu dia. Saya tak boleh terima hukuman yang dijatuhkan pada saya sedangkan dia yang buat salah. Itu tak betul!” tekan Lukman cuba membela dirinya. Dalam diam dia malu sendiri dengan pembohongan yang sudah dilakukannya. Namun demi merebut hati Laila dia terpaksa melakukannya.
“Jangan dekati saya lagi, Lukman. Saya tak suka!” spontan suara Laila meninggi menentang kemahuan lelaki itu.
“Laila, saya sukakan awak semenjak dari kali pertama saya ternampak awak dulu. Saya ikhlas. Saya tak berniat nak mempermainkan awak macam yang awak anggap tu. Berilah saya perluang, sekali aja,” pujuk Lukman semakin lembut.
“Saya anggap awak dah tersalah orang. Jangan sia-siakan perasaan untuk orang yang tak tepat. Masih ada masa untuk awak berpatah balik,” jawab Laila sambil memandang wajah Lukman. Dia sedar betapa sayunya pandangan lelaki itu kepadanya namun dia menganggap riak sebegitu amat mudah direka apabila perlu.
“Bukan saya yang buat pilihan itu. Awak tak boleh suruh saya berpatah balik seolah-olah semua tu di bawah kuasa saya. Saya tak minta semua ni berlaku pada saya. Apa yang dia buat pada semua perempuan tu saya tak suruh dan saya pun tak suka, Laila. Jangan kerana dia saya yang dihukum. Atau paling kurang mungkin kita boleh berkawan supaya Laila kenal hati budi saya yang sebenarnya,” ucap Lukman bersungguh. Hipokritkah dia? Mungkin! Demi mendapatkan kepercayaan Laila, biarlah dia hipokrit berkali-kali.
Laila hanya menggeleng tetap berdegil. Lukman tidak berhak meminta dia menukarkan pendiriannya setelah apa yang berlaku antara dia dan Nazim sebelum ini. Sebelum nasi berubah menjadi bubur biarlah dia berhati-hati.
Lukman menelan liurnya. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan untuk memujuk Laila. Perlahan semangatnya melurut bersama kekecewaan yang kian melaut. Perlahan Lukman berpaling. Tanpa kata dia berlalu dari bilik itu. Dalam diam dia sempat menyumpah Nazim yang menyebabkan ini terjadi!
“Lukman..” panggil Laila sebelum sempat Lukman melepasi pintu biliknya. Lukman berpaling perlahan. Wajah Laila dipandang penuh mengharap agar Laila mengubah pendiriannya.
“Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi ada menyakitkan hati awak. Saya doakan awak bertemu dengan seseorang yang sesuai dengan awak.” Laila melembutkan suaranya. Sesungguhnya tiada langsung niat dihatinya mahu bermusuh dengan sesiapa.
Lukman tidak menjawab. Kata-kata Laila sedikitpun tidak mengurangkan beban kekecewaannya. Tanpa menanti lagi Lukman segera meninggalkan bilik itu tanpa menoleh lagi. Hari ini buat pertama kali dalam hidupnya dia merasa betapa terhinanya dia setelah niat sucinya ditolak mentah-mentah. Lebih malang lagi dia ditolak oleh seorang wanita berstatus janda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.