Rabu, 3 April 2013

Bab 3 & 4 Mahligai Seribu Mimpi


                                                                     Bab 3
“Laila..” gemersik panggilan itu membuai
seketika perasaan remaja gadis itu. Dia mahu lekas menoleh namun menyedari dia hanya menudung kepalanya dengan tuala, Laila menahan seketika perasaannya. Rambut yang terkeluar sedikit dari celahan tuala yang dijadikan penutup kepala lantas disisipkan masuk ke dalam tuala berwarna merah jambu itu. Baju diampaian segera dirapikan sidaiannya. Selesai itu barulah dia menoleh. Pertama yang dilihatnya adalah ketajaman sinar mata lelaki itu kepadanya. Ada kejutan yang dirasakannya saat itu setelah menatap sang lelaki. Laila tunduk seketika sebelum menentang semula pandangan lelaki itu.
“Abang Nahij?” soal Laila agak gugup. Sumpah! Dia benar-benar tidak menyangka lelaki itu akan datang menyapanya. Debar di dada Laila bagaikan tidak keruan. Seolah dia baru disapa oleh penyanyi yang paling digilainya.
“Ya, abang..” jawab lelaki itu lantas tersenyum. Sempat dia memandang ampaian di belakang Laila. Rajin Laila membuat kerja rumah. Hatinya masih ingin memuji biarpun dia sedar kebanyakan gadis kampung memang pandai membuat kerja rumah kerana mereka memang sudah dididik begitu. Di kampung manalah ada rumah yang memiliki orang gaji atau pembantu rumah.
“Abang Nahij baru balik? Bila abang balik?” soal Laila sedikit segan berada di hadapan lelaki itu. Tidak aman perasaannya kerana Nahij lebih banyak memandangnya daripada bercakap. Dia pula? Dia memang bukan jenis perempuan peramah! Aduhai.. lupa pulak nak tepek bedak tadi! Gincu ada pakai tak tadi? Eh! Aku mana ada gincu tu semua! Bisik hatinya tidak keruan.
“Laila ingat abang lagi?” soal Nahij lembut sambil tersenyum. Teruja perasaannya kerana Laila masih mengingatinya biarpun sudah lama tidak bertemu. Jika tidak berdosa pasti batang tubuh sang perempuan ini sudah didakapnya untuk melunaskan kerinduannya selama ini. Ah! Siksanya menahan rasa rindu. Itulah yang dirasai Nahij selama ini.
Laila pura-pura ketawa untuk mengusir debarnya. Memang sudah lama mereka tidak ketemu namun tempoh itu masih belum boleh memadamkan ingatannya kepada lelaki itu. Nahij adalah bekas pelajar seniornya. Jika tidak silap sudah hampir dua tahun Nahij meneruskan pengajian dalam bidang yang diminatinya iaitu ketenteraan.
“Bila abang balik kampung?” soal Laila cuba bertenang.
“Semalam. Laila sihat ke?”
“Macam yang abang nampak nilah..” jawab Laila lembut. “Abang?”
“Macam yang Laila nampak jugak..” Nahij menjawab dalam usikan sehingga membenihkan tawa sang gadis. Namun tawa itu tidak mampu bertahan lama kerana dia semakin tidak selesa tatkala dirinya diamati oleh Nahij.
“Laila makin cantik sekarang..” ucap Nahij lembut. Wajah sang perempuan ditatap tanpa jemu. Tanpa alat solek wajah itu tetap mampu mendebarkan perasaannya. Bibir merah pudar itu memang menggiurkan. Sinar di mata hitam itu membuatkan hatinya semakin hebat dilambung asmara.
Laila hanya diam bersama sedikit senyuman. Tidak tahu pula mahu berbual apa dengan lelaki ini. Sungguh! Perasaannya lain macam apabila bertemu semula dengan lelaki yang pernah diintai dalam diam dahulu. Rasanya perasaan semenjak dari zaman sekolah berlanjutan pula sehingga kini.
“Abang datang cari Abang Man ke?” soal Laila kemudian. Semakin tidak keruan apabila dirinya direnung terus-terusan. Bukannya dia tidak suka tetapi dia tidak tahu apa sudah jadi pada kulit wajahnya saat ini. Terasa hangat semacam! Dadanya ini juga sudah tidak boleh dikawal lagi. Tidak keruan!
“Abang Man di Bukit Jugrakan?” balas Nahij turut dengan soalan. Kerana Arman di bukit Jugralah dia berani ke mari. Jika tidak.. boleh jadi nanti dia dibelasah rakan sekampungnya itu kerana menganggu adik kesayangan Arman.
Laila lantas mengangguk. “Jadi abang cari ayahlah ni?” teka Laila lagi apabila sangkaannya yang Nahij tidak tahu yang Arman berada di kemnya sekarang sudah meleset.
“Kan abang bercakap dengan Laila sekarang? Kalau abang cari ayah Laila mestilah abang pergi kebun dia,” jawab Nahij sambil tersengih sedikit. Semua manusia yang disebutkan Laila itu tidak seistimewa wanita ini di matanya.
Laila terkedu mendengar biacara Nahij. Nahij mencarinya? Untuk apa? “Abang cari Laila untuk apa?” tanya Laila sedikit hairan.
“Laila dah habis SPM ke?” soal Nahij mesra.
“Dah lama pun. Minggu depan dapat resultnya.” Laila masih menjawab biarpun dia masih dibaluti kehairanan mengapa lelaki ini banyak bertanya tentang dirinya. Sedangkan selama ini mereka jarang bercakap.
“Lepas SPM ni Laila rancang nak buat apa?”
“Emm.. mungkin sambung belajar lagi. Kalau ada rezeki Laila nak naik tingkatan enam. Kenapa, bang?” tanya Laila semakin hairan. Kisah pula lelaki ini tentang dirinya. Sangkanya Nahij tidak hairan langsung tentang perkembangan dirinya.
Nahij terdiam seketika sebelum kembali bersuara. “Kenapa Laila tak minta masuk kolej aja? Atau mana-mana universiti?”
“Laila memang dah lama merancang nak ambil STPM. Mungkin lepas STPM barulah Laila fikirkan cadangan abang tu. Kenapa abang tanya semua ni?” tanya Laila kepada lelaki itu. “Abang datang sini semata-mata nak tanya itu aja?” soal Laila lagi semakin hairan dengan lelaki seorang ini. Selama ini dia hanya membisu. Langsung tidak pernah menegurnya tetapi kini datangnya tiba-tiba membawa sifat prihatinnya. Manalah dia tidak hairan.
Nahij tersenyum lembut sambil merenung tampang Laila yang sedikit gusar. Mungkin juga tertanya-tanya dengan tingkah beraninya ini. “Abang saja nak tahu. Tak salahkan kalau abang bertanya? Kita pun dah lama tak berbual. Nama aja sekampung tapi jarang bertegur sapa.”
“Kita dah lama tak berbual atau tak pernah berbual semenjak dulu?” ujar Laila cuba memperbetulkan kata-kata lelaki itu. Kali ini dia lihat Nahij tertawa. Barisan gigi putih teraturnya kelihatan. Semakin segak lelaki itu di mata Laila.
“Kita tak pernah berbual ke sebelum ni?” soal Nahij semula. Dia terus tersenyum.
“Yalah. Abang kalau datang sini hanya cari Abang Man aja. Kalau Laila ada pun abang buat-buat tak nampak,” jawab Laila sedikit lirih. Kali ini dia berpaling semula ke arah ampaian dan membetulkan kedudukan kain baju yang disidainya tadi.
“Kalau abang cari Laila nanti  takut ayah Laila marah. Laila masih sekolah. Tapi sekarang dah lain.” Nahij segera menjawab saat bola matanya singgah di belakang tubuh wanita itu. Bicara simboliknya seakan memberi bayangan apa yang sedang tersimpan kemas di hatinya.
Laila lantas menoleh. Mereka berpandangan berdua. Ada kejutan di wajahnya saat menikmati kelembutan pandangan sang lelaki.
“Apa maksud abang?” soal Laila perlahan.
“Laila..” panggilan itu mematikan hasrat Nahij untuk menjawab. Serentak itu mereka menoleh ke arah pintu dapur. Makcik Halimah sedang berdiri di pintu dapur itu sambil memandang mereka.
“Ya, mak.” Laila menjawab agak kuat kepada emak yang berada sedikit jauh darinya.
“Siapa yang datang tu?”
“Abang Nahij, anak makcik Jihah..” jawab Laila sambil mengerling Nahij seketika. Nahij tanpa menunggu terus mendekati tempat emak Laila berdiri. Laila turut mengikuti langkah lelaki itu apabila menyedari kain sudah selesai disidainya. Bakul kosong dikelek bersamanya.
“Saya, Nahij. Makcik dah tak ingat saya ke?” soal Nahij setelah mendekati emak Laila.
Makcik Halimah tergelak tiba-tiba. “Kamu rupanya. Bukannya makcik tak ingat tapi kamu berdiri jauh sangat. Makcik ni manalah nampak sangat. Dah tua!” balas makcik Halimah mesra. Mana mungkin dia boleh lupakan Nahij? Anak muda ini sering datang ke rumahnya dahulu kerana dia akrab dengan Arman anak keduanya.
“Makcik sihat ke?” Laila terdengar Nahij bertanya kepada emaknya. Sifat budiman Nahij sering memikat hatinya.
“Sihat macam nilah. Sihat orang tua, Nahij.” Makcik Halimah menjawab lembut. Penyakit yang bersarang dalam dirinya tidak diceritakan. “Kamu datang ni cari Arman ke ni?”
“Err… ha’ah! Tapi tadi Laila kata Man tak balik ya? Saya ingatkan dia cuti..” jawab Nahij sedikit menggelabah sambil menoleh mencari Laila yang berdiri di belakangnya. Laila pula sudah membuat muka. Tadi jika tidak silap Nahij tahu yang Arman masih berada di Kem Bukit Jugra. Kini di hadapan emaknya lain pula kata-kata lelaki itu.
“Hmm.. bulan lepas dia dah balik. Bulan ni tak baliklah agaknya. Kamu ni dah habis ke belajar di sekolah askar tu?” tanya makcik Halimah lembut.
“Belum lagi. Sekarang saya tengah cuti. Ni yang balik kampung jenguk umi dengan babah.” Nahij menjawab sopan.
“Hmm.. baguslah. Marilah masuk. Biar makcik buatkan air. Kamu pun dah lama benar tak datang ke mari.”
“Eh! Tak payahlah, makcik. Saya singgah sekejap aja ni. Saya nak balik temankan umi kat rumah. Laila, abang balik dulu ya?” ucap Nahij lekas mahu berlalu. Bukannya dia tidak mahu tetapi dia amat segan kala ini. Entah bagaimana mahu berhadapan dengan Laila bersama soalan yang masih belum dijawabnya.
“Yalah. Kirim salam pada umi dengan babah kamu tu, Nahij..”
“Ya, makcik. Assalamualaikum,” ucap Nahij lembut kepada kedua-dua wanita itu.
Laila menjawab salam itu dalam hati. Pemergian lelaki itu dihantar oleh pandangan matanya bersama seribu persoalan di benaknya. Dirinya terbang ke alam lain tanpa sedarinya. Dia tidak tahu apa maksudnya Nahij berkata begitu kepadanya. Sayang sekali belum sempat Nahij menjelaskan kepadanya emaknya sudah mencelah.
“Tak baik pandang anak bujang orang begitu, Laila. Awak tu anak dara! Malu sikit!” tegur Makcik Halimah dari dalam apabila dilihat batang tubuh anaknya masih berada di luar sambil memandang ke arah anak teruna itu berlalu.
Laila tersentak dengan teguran lantang emaknya. Merona hangat wajahnya apabila kelakuannya diperhatikan emaknya itu. Malu tidak terkata saat dia ditegur emaknya begitu. Tanpa menunggu lagi dia terus masuk ke dalam bersama bakul kosong di tangannya.

“Ayah dah ada seorang lagi pembantu yang sudi nak tolong ayah besarkan ruang dapur ni,” ujar Pakcik Syahar lewat petang itu. Laila yang sedang menelaah buku di pangkin belakang rumahnya mengalihkan pandangannya kepada lelaki tua itu.
“Esok kami akan mula beli barang-barang mana yang perlu,” tambah pakcik Syahar lagi. Senyum yang sedang melata di bibirnya menandakan dia gembira dengan apa yang sedang dirancangkan.
Bicara sang ayah itu membuatkan Laila meneliti lama wajah lelaki itu. Setahunya abangnya Idhan kini di Jeddah. Tidak mungkin abang sulungnya itu akan pulang membantu ayahnya dan Abang Arman untuk membesarkan ruangan dapur itu. Laila jadi pemikir seketika. Siapa orang ketiga yang ayahnya maksudkan itu?
“Nahij tu baik budaknya. Memang rajin..” emak Laila menyampuk saat menatang air buat ayahnya yang sedang duduk berehat di ambang pintu dapur itu.
Nahij? Laila menyebut semula nama itu dalam hatinya? Nahij sudah pulang? Nahij mahu menolong ayahnya membesarkan dapur itu? Mengapa dia tidak tahu? Ah! Hati Laila terusik lagi. Lelaki itu sekejap ada sekejap timbul. Kadang-kala datang menyapa kadang-kala menyepikan diri apabila berada di kampung. Kalau sudah kembali ke tempatnya sudah pastilah mereka akan terputus hubungan dalam tempoh yang lama. Laila seakan berputus asa untuk mengharap kepada lelaki yang jelas sekali seakan tidak memiliki perasaan yang sama seperti dirinya. Hanya dia sahaja yang teringat-ingat.
“Itulah.. bertuah Har ada anak lelaki macam dia. Boleh diharap.” Pakcik Syahar menyambut pula sambil memandang ke halaman rumah mereka. “Kita pun ada anak-anak yang baik. Rajin menolong kita. Alhamdulillah..” Pakcik Syahar menambah lagi bicaranya setelah terpandangkan anak lelaki keduanya itu terbongkok-bongkok sendiri merapikan bunga-bunga di laman rumah itu. Arman juga jenis yang sering membantunya bila pulang ke kampung. Kali ini Arman bercuti lama sedikit jadi bolehlah dia meminta anaknya itu membantunya meluaskan ruang belakang dapur rumah mereka. Nahij juga sukarela mahu menawarkan bantuan.
“Man tu tadi mengadu sakit kepala. Terlebih tidur agaknya. Itu yang dia buat kerja kat laman tu. Nak hilangkan lesu badan. Sekali sekala dapat tidur selesa mulalah susah nak bangun. Itu yang awak ke kebun dia masih di katil.” Makcik Halimah pula berbicara mengenai anak lelakinya itu.
“Kalau dah tahu susah nak bangun pagi kahwinlah cepat. Apa tunggu lagi? Esok dah ada anak isteri susahlah nak bangun lambat lagi. Yelah.. kalau dah ada anak nanti manalah dapat nak tidur lena lagi,” ujar Pakcik Syahar sambil menoleh seketika kepada isterinya itu. Dia tersenyum sendiri dengan apa yang dibicarakannya.
Makcik Halimah mencebik seketika. “Dia kalau disebut suruh kahwin mulalah angkat kaki. Malas nak dengar. Entah-entah antara dia dengan Laila, Laila kahwin dulu..” ucap Makcik Halimah pula sambil mengerling anak perempuannya yang sedang memandang buku.
Laila yang sedari tadi menelinga sahaja perbualan kedua orang tuanya lantas mengangkat pandangan kepada emaknya. Dia lihat ayahnya sedang berbalas senyum dengan emaknya. Senyum yang terkandung makna.
“Mak cakap apa ni?” soal Laila semula.
“Hmm.. kalau sebut soal kahwin dengar aja dia. Tengah baca buku ke berangankan seseorang?” sindir makcik Halimah sinis. Sengaja mahu mengusik anak daranya itu. Dalam diam dia tahu Laila ada menyimpan rahsia darinya. Pastinya tentang Nahij. Walaupun Laila tidak pernah berkata kepadanya namun matanya dapat meneka maksud pandangan anak gadisnya itu kepada Nahij.
“Mak ni.. Laila tengah baca bukulah. Dah Laila dengar mak sebut nama Laila, Laila tanyalah. Nak berangan apanya?” tukas Laila tidak senang. Malu dia dengan usikan emaknya yang tidak pernah habis itu.
“Hmm.. baca buku tu baik-baik. Kalau tak lulus STPM tu nanti, tahulah mak nak suruh siapa yang masuk meminang Laila nanti,” ujar Makcik Halimah sekali dengan kerlingan penuh makna. Sekali lagi dia berpandangan dengan suaminya. Kali ini Pakcik Syahar sudah tersenyum lebar. Macam tahu sesuatu namun dia hanya diam sahaja enggan memberi komen. Soal cinta muda mudi dia malas mahu masuk campur. Biarlah..
“Mak cakap pasal siapa ni?”
“Adalah. Nak mak sebut nama orangnya depan ayah ke?” usik Makcik Halimah penuh makna.
Laila terus diam tidak berani mahu bertanya lagi. Bimbang jika dia bertanya nanti rahsia hatinya segera dibongkar emaknya. Jika nama Nahij yang disebut oleh emaknya tidak tahu di mana mahu dia menyorokkan wajahnya ini. Sementelah dia tahu reaksi dirinya sedang berada dalam perhatian ayahnya itu. Buku di tangannya kembali dipandang Laila. Pura-pura menelaah sedangkan perhatiannya sudah tidak lagi ke situ. Sebaliknya seraut wajah lelaki itu sedang menabiri ruang ingatannya. Rindu benar dia mahu menatap wajah lelaki itu. Tetapi berertikah rindunya ini? Sebelum ini lelaki itu hanya datang ke rumah apabila abang Armanya pulang. Itupun dia sering datang ketika Laila ke sekolah. Entah kenapa dia merasakan Nahij seakan sengaja enggan bertemu dengannya.
Sedang pada itu Arman tiba-tiba datang lalu duduk berkongsi pangkin yang sama dengan Laila. Laila sempat menoleh kepada abangnya itu. Berpeluh-peluh Arman dilihatnya.
“Laila, buatkan abang air..” pinta Arman lembut.
“Air apa?”
“Apa-apalah..”
Laila lantas akur dengan permintaan abangnya itu. Bukunya ditinggalkan seketika di bangku itu. Di dapur dia membancuh nescafe o kegemaran abangnya. Namun dalam pada dia merapikan tempat dia melakukan kerjanya sebentar tadi emaknya meminta dia membuatkan lagi secawan air. Tanpa bertanya Laila segera akur. Tidak sampai lima minit kemudian dia sudah menatang dua mug air nescafe itu untuk dibawa keluar. Namun saat dia mendekati pintu dapur dia terdengar suara orang rancak berbual. Emak dan ayahnya juga sudah berpindah duduk di pangkin itu. Setelah dia sampai ke pintu dapur itu barulah dia perasan rupanya mereka ada tetamu.
Langkah Laila terhenti seketika. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa berat hati untuk mendekati pangkin itu semula. Lelaki itu sedang duduk berbual dengan abang dan orang tuanya.
“Laila, mana airnya?” Makcik Halimah lantas menyoal apabila ternampak Laila yang sedang berdiri di pintu dapur.
“Ni ha..” ujar Laila sambil mengunjukkan dulang di tangannya agar emaknya datang mengambilnya. Malu dia mahu berhadapan dengan lelaki itu. Bimbang rindu yang tersimpan mudah terbarai di hadapan lelaki itu.
Makcik Halimah segera bangun. Dulang di tangan Laila diambilnya. “Laila nak kemana?” soalnya apabila dilihatnya anak daranya itu seakan enggan keluar lagi sedangkan semenjak tadi Laila melepak di pangkin itu.
“Masuk dalam..” jawab Laila ringkas sahaja.
“Kan abang Nahij ada tu. Tak baik biarkan tetamu kat luar ni.”
“Takpelah, mak. Laila nak study kat dalam. Kalau ramai orang nanti Laila tak boleh nak concentrate.” Laila sengaja mahu mengelak. Jika lelaki itu tidak sudi untuk bertemunya untuk apa dia tersua-sua? Cukuplah dia ternanti-nanti selama ini. Nahij hanya biasa sahaja dengannya. Hanya dia sahaja yang mengharap semenjak dirinya dihantui oleh perbualannya bersama Nahij dahulu.
“Yelah..” Makcik Halimah akur sahaja enggan memaksa Laila. Lagipun Laila perempuan dan Nahij lelaki. Jika terlalu rapat nanti tidak manis dilihat orang. Mudah sahaja orang boleh mencipta anggapan yang bukan-bukan.
Laila terus masuk ke dalam rumah. Namun biarpun dia berhasrat mahu mengulangkaji pelajaran namun perhatiannya tidak sepenuhnya kepada buku pelajarannya itu. Wajah Nahij yang sempat dilihatnya tadi terus mengitari ruang fikirannya. Entah kenapa sukar benar dia melupakan lelaki itu. Perasaannya kepada Nahij masih sama semenjak dahulu malahan semakin hebat setiap kali bertemu. Sekian lama tidak ketemu dia akui dia teramat rindu untuk memandang lelaki itu lagi. Tetapi sebenarnya memendam rasa seperti ini dia amat tersiksa. Mahu meluahkan sudah tentulah dia malu. Buatnya ditolak Nahij dia juga yang malu. Entahkan selama ini Nahij hanya menganggap dia seperti adik sahaja. Entahkan hanya dia yang perasan!
“Abang, kenapa Laila selalu berperasaan macam ni pada abang? Kenapa Laila mesti ingat pada abang sepanjang masa!” keluh Laila sendiri. Resah dengan perasaan yang kian menghantui dirinya.
“Abang Nahij, Laila sayangkan abang..” keluhnya sendiri. Seorang diri memang tiada rasa malunya. Lain cerita jika berhadapan dengan Nahij. Mati hidup semula dia tidak akan meluahkan jika Nahij masih juga begitu. Sekejap hilang sekejap timbul!
Lewat petang itu selepas kepulangan Nahij, Laila segera kembali ke pangkin itu untuk mencari buku pelajarannya yang tertinggal di pangkin tadi. Namun tiada kelibat buku itu di situ. Puas ditanyakan kepada seluruh isi rumah tentang kehilangan buku itu namun seorang pun tidak tahu menahu tentang buku itu. Malahan mereka langsung tidak nampak kelibat sebarang buku di pangkin itu ketika berbual dengan Nahij sebelum ini.
Laila jadi pelik mengenangkan itu. Seingatnya dia memang meninggalkan buku Perdagangannya itu disitu sebelum membancuhkan air buat abangnya dan Nahij. Dia masih ingat dengan jelas. Namun gagal mendapatkan buku itu Laila akhirnya membiarkan sahaja. Hasratnya esok dia akan melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kehilangan buku teks pinjaman itu.

Namun pagi Isnin itu saat dia tiba di sekolah lain yang terjadi. Dia ternampak kelibat Nahij tidak jauh dari tempat ayahnya menurunkannya sebentar tadi. Lelaki itu menyorok seketika sehinggalah kelibat ayahnya berlalu bersama dengan kereta Proton Saganya. Setelah itu barulah Nahij mendekati Laila. Di tangannya ada sebuah buku yang amat dikenali oleh Laila. Buku itulah yang dicarinya semalam.
“Abang buat apa kat sini?” soal Laila pelik. Tampang lelaki itu dipandang penuh kerinduan yang tersimpan jauh di lubuk hatinya namun lelaki itu langsung tidak tersenyum kepadanya. Wajah Nahij serius sahaja dilihatnya. Tiba-tiba hatinya dijentik kehampaan. Semakin itu Laila merasakan perasaan ini hanya ada pada dirinya.
“Abang nak bagi buku ni pada Laila,” jawab Nahij lantas buku itu dihulurkan kepada gadis itu. Namun baru sahaja Laila mahu menyambutnya lelaki itu kembali menariknya. Seolah-olah sengaja mahu mempermainkan gadis itu.
“Kenapa semalam Laila tak keluar waktu abang datang? Abang tahu Laila sengaja menyorok dalam rumah bila nampak abang. Kenapa? Abang kecil hati tahu tak?” ucap Nahij masih tanpa senyuman.
“Kenapa Laila nak kena keluar bila abang datang?” soal Laila semula. Kali ini dia nekad dia enggan kalah lagi pada perasaannya. Lebih baik dia menghindar daripada hatinya terus dipermainkan begini. Nahij datang dengan seribu kemesraan dan seketika kemudian lelaki itu menghilang tanpa khabar berita. Kemudian buat-buat tidak tahu pula kepadanya. Malam tadi dia mendapat tahu dari Arman yang Nahij akan mula bertugas di Sarawak nanti. Mereka akan lebih terpisah jauh. Ditambah lagi dengan kehadiran gadis-gadis Sarawak yang manis, dia bukan sesiapa lagi kepada lelaki itu.
“Laila tak suka abang datang rumah Laila ke?” duga Nahij perlahan. Kelat perasaannya melihat Laila yang dingin sedingin pagi itu.
“Ada ke Laila kata macam tu? Abang datang jumpa abang Man, buat apa Laila nak menyibuk sama?” tukas Laila sedikit hambar. “Bagi balik buku tu. Laila nak guna buku tu hari ni,” ucap Laila masih kekal hambar seperti tadi.
Nahij terdiam melihat reaksi Laila. Buku itu terus dipegangnya tanpa berhasrat untuk dipulangkan kepada Laila dalam masa seminit dua itu. Wajah pujaan hatinya itu dipandang dengan seribu rasa terkilan namun Laila seakan enggan memandangnya.
“Abang, Laila nak buku tu! Laila dah lambatlah!” Laila mula membentak geram apabila Nahij seakan mahu membuang masanya di luar pagar sekolah. Wajah sang lelaki yang sering membuat dia kerinduan enggan ditatap lebih lagi sebaliknya dia hanya mahukan buku itu dan segera menjauhi lelaki itu. Dia sudah tidak sanggup lagi membiarkan hatinya bergolak sendiri memikirkan tentang Nahij. Kerana dia sudah tahu dia bukanlah sesiapa kepada Nahij.
“Kenapa Laila macam ni? Laila dah banyak berubah sekarang,” keluh Nahij kian kehampaan. Sikap Laila saat ini langsung tidak pernah berada dalam fikirannya selama ini. Setahunya Laila seorang gadis yang lembut.
“Abang tahu ke Laila ni macamana sebenarnya? Kita bukannya kenal sangat pun selama ni.” Laila menjawab agak sinis. Wajah masam kelatnya dipalingkan ke arah lain biarpun bibirnya mengomel kepada lelaki itu.
“Laila, kenapa Laila layan abang macam ni?” nada Nahij jelas sekali sudah berubah. Dia benar-benar tertekan dan kecewa dengan layanan Laila kepadanya. Laila tidak lagi seperti selalunya yang dikenalinya. Selama ini Laila tidak pernah sekasar ini kepadanya.
“Layan abang macamana? Laila biasa aja. Laila ada sakitkan hati abang ke?”
“Laila dah tak sama macam dulu lagi. Abang ni dah macam orang asing. Apa salah abang pada Laila?” soal Nahij masih dibaluti kecewa. Harapannya untuk membina kemesraan dengan gadis pujaan hatinya berkecai kini.
“Abang nak apa sebenarnya dari Laila ni? Siapa sebenarnya Laila ni pada abang?” tukas Laila enggan terus bertingkah kata dengan Nahij. Teka teki yang diberikan Nahij lebih setahun dulu amat-amat menyesakkan fikirannya. Dia sudah tidak mampu berfikir lagi. Dia sudah penat menunggu Nahij datang untuk merungkaikannya. Dia mahu Nahij berterus terang.
Nahij mengeluh seketika bagi meredakan perasaan yang kian mengasak diri. Dia tahu dia tidak seharusnya mendesak Laila dalam keadaan begini. Masanya tidak sesuai.
“Takpelah. Ambillah buku ni. Ada masa nanti kita berbual lagi. Pergilah masuk kelas. Nanti lambat Laila kena marah dengan cikgu pulak,” ucap Nahij perlahan sambil menghulurkan buku di tangannya itu kepada Laila.
Lambat-lambat Laila menyambutnya. Soalan yang mudah ditanyakan kepada Nahij sebentar tadi tetap tidak mampu dijawab Nahij. Saat ini kehampaannya mungkin sudah setepu garam di lautan.
“Laila rasa lebih baik kita tak payah bercakap lagi. Selama ni abang bukannya pedulikan Laila pun! Laila dah malas nak layan semua ni!” tukas Laila sebal. Tanpa menunggu sesaat pun dia terus meninggalkan Nahij keseorangan di situ. Biarlah.. biarlah apa pun yang dianggap oleh Nahij kepadanya. Cukuplah hanya dia yang menanggung siksa perasaan itu selama ini. Dia benar-benar tidak ingin terus dipermainkan lagi! Cukuplah!

Paling menyedihkan apabila diri tidak dipedulikan oleh orang yang diharapkan. Itulah yang berlaku kepada Laila. Setiap hari Nahij berada di hadapan matanya namun lelaki itu langsung tidak menyapanya. Hanya sibuk membantu ayahnya menyiapkan kerja-kerja membesarkan bahagian dapur rumah itu. Apabila Arman sudah habis bercuti tinggal dia sahaja yang membantu pakcik Syahar membina ruangan kecil berhampiran dengan dapur itu. Laila seolah tidak wujud di hadapannya biarpun saban hari mereka ada bertemu muka selepas Laila pulang dari sekolah.
Semakin hari semakin sakit jiwa Laila memandang lelaki itu. Dia tidak sangka Nahij benar-benar mengotakan apa yang dimintanya sebelum ini. Lelaki itu benar-benar tidak lagi bercakap dengannya walaupun sepatah. Semakin itu Laila tidak tertahan dengan sikap acuh tidak acuh Nahij kepadanya. Batinnya terus tersiksa menahan rasa sedangkan sang lelaki hanya membisu sepanjang masa.
“Laila, apa termenung lagi tu? Pergilah bawa nasi tu ke pangkin sana. Abang Nahij tu dah lapar agaknya.” Makcik Halimah menegur lembut. Laila terkejut dengan teguran emaknya itu. Dia menoleh sekilas kepada makcik Halimah yang berada agak jauh darinya sebelum akur. Mangkuk yang sudah berisi nasi putih itu dibawa keluar. Nahij di pangkin hanya berseorangan kerana ayahnya terpaksa ke pekan sebentar untuk membeli beberapa beg simen yang masih tidak mencukupi. Lelaki itu kelihatan sudah bersedia untuk menjamah makan tengahari di tempat kebiasaannya dia merehatkan diri setelah penat berkerja.
Nahij memandang lama wajah Laila saat Laila meletakkan mangkuk nasi itu berdekatan dengannya. Buat seketika mereka berpandangan namun Laila terus membisu tanpa senyuman mahu pun sedikit kemesraan. Beberapa saat kemudian Laila sudah berpaling dari situ.
“Laila..” panggil Nahij pantas.
Laila tidak menyahut sebaliknya dia hanya memandang lelaki itu.
“Kenapa Laila marahkan abang sampai macam ni sekali? Kalau abang ada buat salah abang minta maaf,” ujar Nahij lembut sahaja.
“Abang takde buat salah. Takde apa yang nak dimaafkan..” ujar Laila perlahan. Namun kehambaran terus ada. Bukan maaf yang dia inginkan tetapi perhatian dan kasih sayang lelaki itu.
“Laila, jangan berdiam diri macam ni. Abang balik sini sebab nak jumpa Laila.”
Laila terkelu seketika mendengar kata-kata Nahij itu. Nahij pulang kerananya? Ah! Lelaki ini memang bijak membuai perasaannya. Nanti apabila dia sudah dilambung gelora asmara Nahij akan membiarkan dia terkapai-kapai seperti dahulu.
“Kenapa pulak nak jumpa Laila?” soal Laila masih seolah-olah ucapan itu tidak bermakna sedikit pun kepadanya.
Nahij terdiam. Buat seketika dia menghela nafas perlahan. Ada sesuatu yang mahu dibicarakan namun payah sekali. Reaksi Laila sebegini, adakah pantas dia meluahkan perasaannya? Buatnya Laila menolak, tidakkah dia malu nanti? Lebih teruk lagi jika Laila mengejeknya pula. Ah! Sukar betul untuk dia mendapatkan gadis ini. Laila pula masih di bangku sekolah. Apa penerimaan orang tua Laila jika dia memikat anak gadis Pakcik Syahar dan makcik Halimah itu?
“Laila dah makan?” Nahij mengelak lagi seperti sebelum ini.
Laila menggeleng perlahan melihat tingkah Nahij. Kesal! Benar telahannya sebelum ini. Nahij hanya mahu mempermainkan perasaannya. Tidak lebih dari itu! Kini apabila dia bertanyakan kepastian lelaki itu mengelak lagi. Dia sudah jelak dilayan seperti ini.
“Abang sebenarnya cuma nak main-mainkan Lailakan?”
“Apa Laila cakap ni?” tukas Nahij sedikit terkejut mendengar tuduhan itu.
“Kenapa abang datang sini? Untuk jumpa Laila? Kalau betul abang datang sebab nak jumpa Laila kenapa abang datang waktu Laila takde?” soal Laila bertalu-talu. Sakit hatinya sudah tidak mampu ditahan lagi saat ini.
Nahij terdiam memandang pujaan hatinya itu. Wajah Laila sedikit merah mungkin sedang marah kepadanya.
“Abang tanya Laila kenapa sebelum ini? Seharusnya soalan itu yang Laila tanyakan pada abang! Abang datang pada Laila dengan sikap aneh abang. Buat-buat baik dengan Laila tapi lepas tu biarkan Laila macam tu aja. Abang ingat Laila ni apa?” soal Laila sedikit meninggi.
“Laila, apa bising-bising tu?” pertanyaan dari ambang dapur itu membuatkan Laila segera berpaling. Tanpa kata lagi dia meninggalkan Nahij dengan wajah mencuka. Sakit hatinya kepada Nahij kian meruap-ruap. Makcik Halimah yang melihat kelakuan anak daranya mula diserang rasa hairan. 
“Laila bergaduh dengan Nahij ke?” sempat juga makcik Halimah bertanya kepada Laila saat anak gadisnya itu melintasinya di pintu dapur itu.
“Mak tanyalah dia!” degus Laila kasar.
Makcik Halimah menggeleng perlahan melihat aksi dua anak muda itu. “Belum kahwin lagi dah bergaduh. Esok dah kahwin entah macamanalah..” makcik Halimah sengaja mengomel kuat. Biar kedua-dua manusia itu mendengarnya.
Nahij yang terdengar segera memandang ke arah emak Laila. Laila pula…?
“Mak tak payahlah nak mengarut. Siapalah yang nakkan Laila ni? Nanti kata dek orang hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Pinggan tak retak nasi tak dingin. Orang tu tak nak Laila seribu kali tak ingin! Bukan dia aja lelaki dalam dunia ni!” ucap Laila sedikit lantang dari hujung dapur itu kepada emaknya yang masih berdiri di ambang pintu dapur.
“Tak baik Laila cakap macam tu..” tegur makcik Halimah kepada anaknya itu.
“Biarlah..” degus Laila sebelum akhirnya dia membawa dirinya naik ke atas. Hanya satu yang diperlukannya saat ini. Meredakan hatinya yang panas! Di dalam bilik dia berkurung. Biarpun agak panas namun dia tidak peduli! Itu lebih baik dari memandang wajah lugu Nahij. Buat-buat tidak tahu konon! Gerutu hatinya geram. Ah! Kenapa susah benar untuk dia mengawal perasaannya? Mengapa? Mengapa biar selama manapun Nahij pergi.. tanpa khabar berita untuknya melepaskan rindu tetapi perasaan itu masih tetap ada untuk Nahij? Mengapa kasih di hatinya tidak pernah tawar sedikit pun?
Kekecewaan Laila rupanya tidak menyurut semenjak itu. Lebih merana lagi apabila dia mendapat tahu dari orang lain yang Nahij sudah terbang ke Miri untuk memulakan tugasnya di sana beberapa hari kemudian. Terkilan benar dia kerana lelaki itu pergi begitu saja. Tiada ucapan selamat tinggal untuk dirinya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa murahnya air mata Laila kala itu. Betapa kala itu hatinya amat terluka dengan perbuatan Nahij kepadanya.
Namun rupanya kesengsaraan itu tidaklah bersifat selamanya. Ketika dia sedang menuntut di Universiti Malaya Nahij tiba-tiba pulang semula ke kampung setelah hampir dua tahun mereka tidak bertemu. Lelaki itu menyediakan kejutan yang paling indah untuk dirinya. Betapa saat itu dia terlalu bahagia dilambung ombak cinta. Selepas dua bulan dia dipinang oleh Nahij mereka akhirnya bernikah dengan restu kedua-dua belah keluarga. Tetapi sayang seribu kali sayang. Kehadiran Nahij sebagai suaminya sebenarnya adalah dugaan yang amat hebat buat dirinya. Akhirnya tanpa sebarang petanda dia ditinggalkan selama-lamanya oleh lelaki itu bersama duka nestapa.
Bagi diri Laila.. cintanya tidak mungkin akan terpadam biar sejauh mana Nahijnya pergi dahulu. Tetapi kini keadaan sudah tidak sama lagi. Nahij sudah kembali ke tempat asalnya. Jadi untuk apa dia menyimpan rindu dendam kepada lelaki itu lagi? Tetapi biar apapun kenyataannya, hatinya ini terlalu degil untuk mengerti. Biar masa terus berlalu lelaki itu tetap setia dikenangannya.
Laila sendiri tidak tahu sampai bila dia harus begini. Dia tidak pasti sampai bila hidupnya akan terus berteman air mata dan bersulam kedukaan. Apa yang dia tahu rindu di jiwanya ini bagaikan tidak terluah lagi. Terlalu menyiksakan. Jiwanya meronta dalam diam setiap saat memanggil lelaki itu. Pujukan demi pujukan oleh ahli keluarganya tidak mampu untuk melenyapkan barang sedikitpun kesengsaraan jiwanya ini. Terlalu berat dugaan ini. Tetapi sebagai hamba Allah dia akhirnya berserah diri kepada Yang Esa apabila kesakitan yang ada sudah tidak tertanggung lagi untuknya. Biarlah Dia yang memberikan penawarnya..                                                           
                                                          

                                                         Bab 4
Wanita untuk ku ibarat baju, mudah diganti.
“Alah! You ni pemalu sangatlah, Luk. Apa nak dimalukan? Bukannya orang lain tahu pun. Ini rahsia kita berdua..” rengek wanita bernama Mastura agak manja. Lengan sasa lelaki itu diusapnya berkali-kali untuk melemahkan lelaki itu. Semakin itu tidak tertahan rasa hatinya mahukan tubuh lelaki itu berada dalam pelukannya.
Lukman resah. Inikah tujuannya Mastura mengajak dia ke rumah wanita itu? Wanita itu mahu mengajaknya berseronok. Mahu menolak tidak sanggup rasanya. Mahu menurut dia takut pula. Walaupun dia ramai teman wanita namun dia tidak pernah melakukan perkara seperti itu seumur hidupnya. Entah apa mimpi Mastura tiba-tiba pula mengajaknya melakukan perkara itu.
“Luk, jomlah..” pujuk wanita itu semakin galak. Telinga lelaki itu diusiknya untuk menggoda. “I can teach you if you want. Apa yang nak dimalukan? Biasalah tu kalau baru first time..” bisik Mastura semakin lembut membuai.
“Janganlah. Nanti orang tahu susah kita nanti. I tak berani..” keluh Lukman serba salah. Kelemahannya terserlah sudah. Sebagai lelaki siapa yang tidak lemah jika dipujuk begini? Dia pula bukannya alim benar. Serba serbi kurang!
“Siapa yang tahu tu? Kita bukannya kat Malaysia sekarang. Mana ada pencegah maksiat tu semua. Orang kat sini tak peduli pun apa kita nak buat. You aja yang takut sangat. Alah! Saja suka-suka. Jomlah. Rumah I free sekarang. Diorang semua pergi travel sepanjang musim cuti semesta ni,” rengek wanita itu masih tidak berputus asa.
“Nanti kalau you pregnant macamana?” soal Lukman masih ragu walaupun keinginan yang sama sudah mula timbul di hatinya. Apalah dayanya untuk menolak sementelah dirinya memang berharap suatu hari nanti dia dapat merasai nikmat yang satu itu.
“I takkan pregnant. I ada pil. You jangan risau pasal tu. You ingat I nak anak ke? No way! I cuma nak berseronok sekejap dengan you. Please..” rayu Mastura tanpa segan silu. Lengan Lukman ditariknya untuk masuk ke bilik.
Lukman semakin resah. Imannya mula goyah. Seumur hidupnya selama 23 tahun ini inilah kali pertama dia digoda wanita sehingga begini sekali. Wanita bernama Mastura ini memang berani. Mengajaknya ke katil sedangkan mereka bukan pasangan kekasih apatah lagi suami isteri. Mereka hanya teman senegara dan seuniversiti di Manchester ini.
“Janganlah, Mas. I tak berani buat macam tu. Kalau apa-apa terjadi nanti I tak mahu bertanggungjawab. I tak mahu kahwin paksa sebab nak tutup malu ni, you tahu?” tegah Lukman yang masih bersisa sedikit keteguhan imannya.
“Luk, ini rahsia kita berdua di sini. Come on.. kita di UK sekarang. Mana ada orang tahu. Lepas kita grade nanti kita akan balik ke Malaysia. You akan balik pada family you dan I akan balik ke rumah orang tua I. Semuanya akan berlalu begitu saja. Takde siapa yang kisah pun tentang ini semua. Tak semestinya lepas kita tidur bersama you kena kahwin dengan I sebab I buat semua ni bukan sebab nak kahwin dengan you. Kita cuma nak berseronok sekejap aja.” Tidak berputus asa Mastura untuk memujuk lagi.
Sudah lama dia teringin mahu merasai kejantanan Lukman yang amat tampan dan sasa ini. Bukannya dia mahu mengikat lelaki ini kepadanya sebaliknya hanya untuk ‘merasa’ melepaskan gian sekali sekala. Lama dia memendam rasa kepada Lukman. Namun bukan memendam rasa cinta sebaliknya memendam rasa berahinya kepada lelaki itu. Lukman memang kacak. Ditambah lagi tubuhnya memang sasa. Semakin geram Mastura dibuatnya.
Please… you cuba sekali dulu. Lepas ni I percaya you takkan menyesal,” ucap Mastura semakin berani. Dia tahu benar Lukman sudah goyah. Pendiriannya tidaklah sekental mana. Mana ada kucing yang mahu menolak ikan? Apatah lagi playboy seperti Lukman!
Akhirnya setelah lebih seharian berada di rumah wanita itu, Lukman bergegas keluar dari rumah wanita itu. Dia berjalan kaki pulang ke rumahnya. Namun pengalaman pertamanya bersama Mastura benar-benar membuatkan dia tersenyum sendiri. Semuanya bagaikan mimpi. Mastura pula memang bijak melayan malah menurunkan sedikit ilmu kepadanya yang masih kaku dan lugu. Sepanjang berada di atas katil bersama Mastura, Lukman merasakan dia seperti berada di tengah-tengah syurga dunia. Tanpa sedikit pun terdetik rasa kesal tanpa rasa sedetik pun merasa bersalah hari ini indah sungguh permandangan bandar Manchester ini dirasakannya!

“Laila! Laila!” panggilan dari Hamidah itu lantas membuatkan Laila menoleh ke arah sahabatnya itu. Perbualannya bersama dengan Professor Ismail terhenti. Lelaki tua itu juga memandang hairan kelakuan Hamidah yang kalut semacam itu.
“Kenapa ni, Midah?” soal Laila mulai cemas setelah melihat sahabatnya itu.
“Prof, maaf ya? Saya ada hal dengan Laila. Penting!” ucap Hamidah kepada lelaki yang merupakan tenaga pengajar di situ. Lelaki itu lantas mengangguk. Hamidah segera menarik Laila agar menjauhi kawasan pejabat pensyarah itu.
“Aku ada berita buruk ni..” ucap Hamidah resah pada permulaannya. Wajah Laila dipandang antara rasa simpati dan cemas.
“Berita apa, Midah?” desak Laila akibat rasa tidak sabar. Serta merta dadanya berdegup kencang.
“Kau sabar ya? Aku tahu kau masih bersedih atas kehilangan arwah Nahij. Aku pun serba salah nak bagitahu kau,” luah Hamidah masih terus berteka teki. Dia sendiri tidak sanggup mahu berterus terang kepada Laila. Bimbang temannya itu tidak mampu menerimanya.
“Bagitahu apa? Midah, kau jangan nak main-mainkan aku. Ini bukan bulan April tau!” bentak Laila sudah hilang sabar.
“Aku bukannya nak buat lawak April fool dengan kau sekarang, Laila. Ini pasal mak kau. Dia pengsan di rumah malam tadi. Tadi waktu aku kat rumah ayah kau call telefon kau banyak kali tapi kau tak jawab. Jadi aku jawabkan bagi pihak kau. Ayah kau kata mak ke sekarang dah dipindahkan ke IJN. Sekejap lagi abang kau akan datang ambil..”
Laila tersentak tidak terkata. Beberapa kali dia menggeleng beberapa kali bagaikan tidak bersedia untuk menerima berita itu. Nafas yang dihela terasa amat payah untuk keluar dari rongga hidungnya. Mulutnya terkumat kamit menyebut kalimah istighfar beberapa kali. Segala kesakitan yang menyentak hebat ulu hatinya cuba dilepaskan dari dua ulas bibirnya namun dia tidak berupaya untuk menahan dirinya. Lalu tanpa mampu ditahan Laila menangis juga di kaki lima bangunan pentadbiran itu.
Laila tahu emaknya memang menghidap penyakit kegagalan jantung yang sudah memasuki tahap ke tiga. Seharusnya emaknya menjalani pembedahan pemindahan jantung tetapi organ penting itu sememangnya tidak mudah untuk dicari. Emaknya terpaksa menunggu sehingga kini.
“Laila, jangan buang masa lagi. Mari kita keluar. Abang kau dah janji nak datang kampus ambil kau. Aku temankan kau ke hospital, okay?” pujuk Hamidah sambil mengusap bahu teman serumahnya itu.
Mujur juga dia berada di rumah tadi. Mereka yang sedang menghabiskan cuti semesta sememangnya jarang berada di rumah. Laila masih sibuk dengan kelas tutorialnya bagi mengejar semula pelajaran yang sudah banyak ketinggalan sebelum ini. Hamidah pula kadang-kala sibuk dengan aktiviti luar kampus yang dianjurkan oleh kelab-kelab di kampus dan ada rakan serumah mereka ada yang mengambil peluang ini untuk berkerja mencari pengalaman dan duit poket.
“Jom, Laila. Kita jangan membazir masa lagi,” ajak Hamidah. Tanpa kata Laila segera bergerak meninggalkan bangunan itu. Langkah kakinya diatur menuju ke pintu utama kampus universiti untuk ke hospital segera. Debaran di dadanya sudah tidak mampu ditahan kencangnya. Hanya wajah sang emak sahaja yang berada diruang matanya.
Lima minit berjalan kaki akhirnya mereka tiba di luar pintu utama universiti itu. Kelihatan kereta abangnya sudah berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Sebaik sahaja terlihat kelibat mereka kereta proton satria berwarna perak itu bergerak mendekati mereka. Laila segera masuk melalui pintu sebelah pemandu.
“Abang Man, mak macamana?” soal Laila cemas sebaik sahaja punggungnya mencecah kusyen kereta itu.
“Mak tenat sekarang. Doktor tengah cuba sedaya upaya untuk selamatkan mak kita. Kita kena berdoa banyak-banyak supaya mak selamat,” ucap Arman lembut cuba memujuk adiknya itu.
“Ya, Allah..” hanya itu yang mampu diluahkan Laila mendengar apa yang diberitahu oleh abangnya itu. Selebihnya dia terus tersandar lemah dan menangis di kerusinya. Hanya itu yang terdaya dilakukan oleh dirinya yang sememangnya masih lemah untuk menghadap berita buruk seperti ini.
“Laila, sabar. Banyakkan berdoa supaya mak kau selamat. Hanya Allah yang mampu membantu mak kau dalam keadaan begini,” pujuk Hamidah juga. Bahu Laila disentuh dari belakang. Diusap lembut bagi menenangkan kekusutan perasaan sahabatnya itu. Namun semakin dipujuk tangisan Laila semakin pecah. Dengan hakikat yang sedang terbentang di hadapan mata dia merasakan dirinya benar-benar malang.
“Laila, abang ada dengan Laila. Kita akan melalui keadaan ni bersama-sama. Insya-Allah, mak akan sembuh, Laila. Laila kena kuat. Ayah perlukan kekuatan kita semua untuk menempuh keadaan ini. Kalau kita lemah dia pun akan lemah, Laila.” Arman pula mengambil peluang memujuk adiknya itu.
“Betul tu, Laila. Kau kena kuat. Ini ujian Allah,” ucap Hamidah segera menyokong kata-kata abang Laila.
“Laila tak mampu untuk menerima kehilangan lagi, bang. Cukuplah dengan yang lalu. Laila tak sekuat tu,” ucap Laila bersama tangisan yang tidak terkawal lagi. Wajahnya lencun oleh air mata kepiluan mengenangkan emaknya. Tanpa sapu tangan atau tisu dia hanya membiarkan sahaja setiap titis air mata membasahi pipinya.
“Laila, kita belum melalui kehilangan tu lagi. Jangan fikir sejauh itu, dik. Doakanlah mak tak apa-apa. Tangisan takkan membantu mak sebaliknya doa kita amat bermakna untuk dia,” pujuk Arman sambil memandang ke hadapan. Saat dia sedang memandu begitu dia tidak mampu memberi perhatian sepenuhnya kepada adiknya itu.
Laila terus terdiam mendengar itu. Tangisannya cuba dikawal namun bahunya terus terhenggot-henggot akibat sendu yang masih tidak larut sepenuhnya.
“Tarik nafas perlahan-lahan. Bertenang, Laila. Istighfar banyak-banyak,” kata Hamidah pula apabila dia melihat sahabatnya itu kian tenang setelah mendengar kata-kata Arman. Meluruh sedikit kebimbangannya melihat Laila biar pun tidak kesemuanya.
Mereka tiba di Institut Jantung Negara empat puluh minit kemudian. Laila dan Hamidah terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi oleh Arman. Namun mereka tidak dibenarkan masuk kerana peraturan unit itu hanya membenarkan seorang pelawat sahaja yang masuk pada satu masa. Terpaksalah Laila menanti di luar sementara Arman pergi memanggil ayah mereka. Hamidah pula duduk di kerusi yang disediakan berhadapan dengan pintu wad itu.
Sebaik sahaja ternampak wajah ayahnya Laila terus meluru ke arah ayahnya itu. Segala kesedihan dan tangisannya dihamburkan di sebalik tubuh lelaki itu. Tidak dipedulikan pandangan orang disekelilingnya saat itu. Tubuh pakcik Syahar dipautnya erat sehingga lencun kemeja lelaki itu oleh airmatanya.
Pakcik Syahar kelu untuk memujuk anak perempuannya itu kerana dia sendiri sedang hebat dilambung kepiluan. Hanya pelukan Laila mampu dibalasnya. Perlahan setitis demi setitis air matanya ikut mengalir menangisi penderitaan isterinya. Perkhabaran dari doktor sebentar tadi membuatkan dia semakin kelu untuk meluahkan apa yang tersirat di hatinya saat ini. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dalamnya kesedihan yang dialaminya saat melihat sang isteri yang selama ini amat setia kepadanya lemah tidak berdaya begitu. Tetapi apakan daya. Kuasa Allah lebih hebat menandingi segalanya. Dia harus reda dengan hakikat ini.
“Laila, pergilah tengok mak. Dia takkan lama lagi dengan kita, nak.” Pakcik Syahar berbicara perlahan. Kepala anak bongsunya itu diusap perlahan. Hakikat itu tidak mampu disembunyikan lagi. Laila perlu tahu keadaan sebenarnya supaya mereka sama-sama dapat bersedia.
“Laila tak sanggup kehilangan mak, ayah. Laila tak mampu untuk menghadapi semua ni. Tolonglah Laila, ayah. Jangan biarkan mak tinggalkan kita.” Laila merintih dalam tangisannya. Tubuh sang ayah masih tidak mampu dilepaskan. Kepalanya digelengkan perlahan. Hakikat itu tidak mampu untuk diterimanya.
“Ayah juga begitu, Laila. Tapi suratannya tak sama seperti yang kita mahukan. Kita harus reda dengan semua ni. Itu lebih baik daripada kita melihat mak terus menderita dengan penyakitnya. Bersabarlah, nak.” Nada pakcik Syahar bergetar akibat dicengkam sebak yang cukup menyiksakan.
Semakin kuat tangisan Laila sehingga Arman yang hanya memandang dari tadi turut memegang bahu adiknya itu. Tanpa dapat ditahan lagi air matanya juga ikut mengalir. Betapa dia sendiri juga tidak kuat untuk menerima kata-kata ayahnya itu. Betapa singkatnya masa yang diberikan kepada mereka untuk merasai kasih seorang ibu oleh Tuhan. Tanpa sedar masa itu kini kian menuju ke pengakhirannya. Selepas ini tiada lagi suara emak mereka memujuk dan meleterkan mereka saban hari. Melihat dua anaknya itu menangis akhirnya pakcik Syahar juga akhirnya ikut menangis sambil mendakap anak-anaknya itu. Tangisan tiga beranak itu turut diiringi oleh linangan air mata dari Hamidah yang hanya memandang dari tadi. Dia sendiri sebak.
Pakcik Syahar melepaskan pelukannya setelah dirinya tenang. Air matanya dilap dengan lengan bajunya. “Ayah mahu anak-anak ayah tabah dengan dugaan Allah kali ini. Anak-anak ayah adalah kekuatan ayah. Pergilah jumpa mak selagi diberikan kesempatan. Hidup kita memang bukan untuk selamanya. Hari ni mungkin dah ditentukan Allah mak akan pergi meninggalkan kita. Esok lusa kita takkan tahu siapa pula yang menyusul. Pergilah. Mak ada di katil nombor empat,” ucap pakcik Syahar setelah dia mendapat sedikit ketenangan.
“Laila, pergilah tengok mak. Lepas Laila baru abang pergi,” ucap Arman lembut meminta Laila mendahuluinya.
Laila akur. Dia sempat menyapu pipinya yang basah dengan telapak tangannya sebelum menolak pintu wad itu. Buat seketika dia sempat memandang semula ayahnya. Anggukan ayahnya itu menyalurkan sedikit lagi kekuatan buatnya untuk meneruskan langkahnya. Di dalam wad itu banyak pesakit yang mungkin senasib dengan emaknya ditempatkan. Laila mencari emaknya berdasarkan nombor katil yang telah disebutkan oleh ayahnya. Setelah dibantu oleh jururawat yang menyapanya dia akhirnya menemukan batang tubuh wanita yang melahirkannya suatu masa dahulu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan berpuluh wayar berselirat merentangi tubuh itu. Betapa hanya air mata yang mampu dialirkan bagi menggambarkan rasa hatinya saat ini. Mesin penyambung hayat yang dipasangkan mengeluarkan bunyi ‘beep’ agak perlahan menandakan denyutan jantung si pemakainya amat perlahan saat ini. Carta yang tertera di skrin hitam itu juga menunjukkan graf timbul yang mewakili denyutan jantung itu hanya melintas sekali-sekala sahaja. Laila menangis semahu-mahunya di sisi katil itu. Dia tahu ayahnya tidak beromong kosong tentang keadaan emaknya. Penyakit jantung kronik yang dihidapi oleh emaknya itu sudah menuju ke tahap akhir. Tiada apa lagi yang dapat mereka lakukan selain dari berserah kepada ketentuan Yang Maha Kuasa.
“Mak, jangan tinggalkan Laila. Laila masih perlukan mak dalam hidup Laila. Laila tak mahu mak pergi secepat ini. Mak tolonglah kembali semula pada kami,” ucap Laila setelah dia mendekati tubuh emaknya itu. Rambut sedikit keputihan sang ibu diusap lembut.
Wanita itu hanya membisu tidak mampu lagi memberi apa-apa reaksi kepada bicara sang anak. Kesedihan sang anak juga tidak dapat dipujuknya. Tiada lagi nasihat sebagai penguat semangat. Semuanya sudah terhenti saat itu. Laila terus memandang ibunya. Tampang sang ibu dipandang sepuas-puas hatinya agar satu masa nanti dia tidak terlupa akan rupa wanita yang melahirkan dan membesarkannya selama ini. Namun semakin itu dia tidak dapat menahan air matanya. Bibirnya bergetar menahan tangis namun dia tidak berdaya. Penghadang di tepi katil itu dijadikan penyokong diri.
“Mak, macamana Laila nak menghadapi semua ni? Laila tak kuat, mak. Laila nak mak selalu ada dalam hidup Laila. Laila belum bersedia untuk kehilangan mak. Laila tak sanggup, mak. Jangan tinggalkan Laila, mak.” Laila merintih kesayuan.
“Mak..” Laila terus merintih dengan sejuta harapan agar wanita itu mendengar bicaranya. Namun wanita tua itu terus kaku.
Malam itu setelah selesai menunaikan solat isyak Laila duduk bermunajat di atas sejadah. Lama sekali dia menadah tangan memohon kepada Yang Esa. Bibirnya terkunci namun hatinya terus berkata-kata dengan mata yang kian berkaca. Kepada Yang Esa dia meminta agar penderitaan emaknya dikurangkan. Kepada Yang Maha Mengampunkan dia memohon agar segala dosa emaknya diampunkan. Kepada Tuhan yang maha pengasih dia merayu agar emaknya dijauhkan dari azab-azab Allah. Tidak lupa kepada Yang Maha Melihat dia menggantung harapan agar dirinya diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup ini. Laila sedar tiada apa yang membataskan dia dari pandangan Allah. Sesungguhnya dia tahu Allah maha mengerti apa yang sedang dilaluinya ini. Dipujuknya hati agar mengerti yang Allah tidak akan menzalimi dirinya sebaliknya setiap yang telah Allah tentukan sudah tentu tersirat seribu hikmah yang tidak diketahui oleh akalnya yang terbatas. Selepas mengaminkan doanya dia berteleku seketika di sejadah itu sambil mengira tasbih. Zikir dialunkan sebagai penguat semangatnya untuk menempuh setiap dugaan selepas ini.
Namun seketika kemudian alunan zikir itu terhenti apabila terasa dirinya disentuh dari belakang oleh seseorang. Laila tahu ada seseorang yang masuk ke surau itu. Laila menoleh agak lambat.
Hamidah sedang memandangnya. “Ayah kau panggil.” Hamidah berkata perlahan serba ringkas.
Laila mengangguk perlahan. Marhana ditanggalkannya dengan seribu ketenangan di hati. Dia tahu pasti ada sebab mengapa dia dipanggil ayahnya. Dia sudah bersedia biar pun apa yang dihadapkan kepadanya nanti tidak akan menggembirakan. Selepas memasukkan kelengkapan solatnya ke dalam begnya dia berjalan menuju ke wad tadi. Kalau sebentar tadi di luar wad ada abang Idhan dan kakak iparnya, Maryam menanti kini ruang itu sudah tidak berpenghuni.
Laila segera masuk ke wad ICU itu bersama Hamidah. Di katil yang menempatkan emaknya dia menemukan kesemua ahli keluarganya berkumpul termasuklah bekas mertuanya suami isteri.
“Laila, mari jumpa mak buat kali terakhir. Mak dah tak kuat lagi, nak. Dia takkan mampu bertahan lebih lama lagi,” ucap pakcik Syahar. Setitis air matanya mengalir saat memandang anak perempuan tunggalnya itu. Tangan Laila dipegang erat agar anaknya kuat untuk menempuh saat-saat ini.
Laila akur dalam pada dia mendekati katil itu. Buat seketika dia sekadar memandang sayu raut wajah ibunya. Paras itu dipandang sepuas-puas hatinya. Namun seketika kemudian dengan perlahan dia tunduk mendekatkan bibirnya ke telinga emaknya. Semoga emaknya mendengar apa yang dibisikkannya saat itu.
“Mak.. pergilah, mak. Laila tahu mak bukan milik Laila selamanya. Kita semua hak Allah. Ampunkan dosa-dosa Laila selama ini. Halalkan air susu mak yang mengalir menjadi darah dalam tubuh Laila ni. Mak, Laila sayangkan mak. Mak akan selalu berada di hati Laila dan nama emak akan terus berada dalam doa Laila selagi Laila hidup. Redakan hidup Laila, mak dan Laila reda mak pergi untuk menyempurnakan perjalanan hidup yang masih tidak lengkap. Detik waktu yang berlalu semuanya akan berakhir kepada Allah. Pergilah, mak.” Laila berbisik perlahan.
Seketika kemudian Laila mengucup lembut dahi emaknya. Menitis lagi air matanya yang ditahannya sedari tadi. Akhirnya dia teresak lagi. Kekuatan yang ada tidak setara dengan kehibaan hatinya saat ini. esakan Laila sudah tidak tertahan lagi sehinggalah bahunya dipaut seseorang dari belakang.
Idhan memicit lembut bahu Laila seakan meminta adiknya itu bersabar. Seketika kemudian Laila dibawa menjauhi emaknya itu sementara ayah mereka mengambil alih tempatnya tadi. Dengan linangan air mata Laila melihat ayahnya membisikkan kalimah mentauhidkan Allah sebagai Tuhan yang satu di telinga sang emak. Kali kedua bisikan itu dialunkan kelihatan bibir wanita yang sedang terbaring lemah itu bergerak-gerak sedikit sebelum akhirnya tubuhnya kaku.
Garisan putih yang timbul di skrin mesin penyambung hayat itu segera difahami oleh Laila. Bunyi nyaring yang kedengaran dari mesin itu mengesahkan lagi yang emak mereka sudah tidak bersama mereka lagi.
Tidak mampu memandang kain putih menutupi jenazah emaknya Laila berpaling. Hamidah di belakangnya segera memeluknya. Di sebalik pelukan erat sahabatnya itu Laila menumpahkan lagi air matanya buat kesekian kali. Sepanjang masa ini air matanya menjadi terlalu murah. Kehilangan demi kehilangan yang dialaminya benar-benar menguji keimanannya sebagai hamba Allah.
“Setiap yang hidup pasti akan mati, Laila. Dari Allah kita datang dan tidak akan ke mana perginya penghujung hidup kita ini melainkan kembali ke pangkuan-Nya. Bersabarlah..” Hamidah berbisik lembut.

Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bharu.
“Fasubanallazi biyadihi malakutu kullisyain wailaihiturjaunnn… Sadaqallahul adzim..” Bacaan surah Yasin itu diakhirinya dengan lelehan air mata. Naskah suci itu dikucupnya dengan rasa sebak yang amat dalam. Kini sudah enam bulan berlalu semenjak dia kehilangan Nahij. Kesedihan yang ada tidak berkurang sebaliknya dia diuji lagi dengan pemergian emak tercinta.
Laila bagaikan sudah tidak memiliki kekuatan untuk tabah lagi. Namun inilah suratan buat dirinya. Kalau dahulu naskah suci itu dibacanya buat suami tercinta namun kini dia membacanya untuk ketenangan roh arwah emaknya yang jasadnya semenjak semalam dikebumikan di tanah perkuburan ini. Emaknya pergi juga setelah beberapa tahun bertahan dengan penyakit jantung yang dihidapinya.
“Mak.. Laila rasa kehilangan sangat. Tanpa mak dalam hidup Laila, entah macamana Laila nak meneruskan hidup ni. Laila masih perlukan mak. Laila sedih, mak. Orang-orang yang Laila sayang dah tinggalkan Laila. Abang Nahij, mak.. dah pergi jauh dari Laila. Pada siapa Laila nak mengadu nasib Laila kalau mak dah takde lagi dengan Laila? Mak yang paling mengerti hati Laila selama ini,” luah Laila dengan lelehan air mata.
Namun seperti mana dia sering berbicara dengan pusara arwah Nahij begitu juga dengan kuburan ini. Kaku! Bisu! Itulah yang didapatinya. Bukannya Laila tidak sedar orang yang sudah mati tidak akan bisa lagi bangkit berbicara dengannya. Tetapi hanya itu sahaja caranya masih ada untuk dia meluahkan kesedihannya.
“Laila..” panggilan itu tidak dihiraukan Laila. Dia terus melayan kesedihannya dengan memandang tanah merah di hadapannya itu.
Hamidah dam Asmadi mendekati Laila di pusara itu.
“Mari kita balik? Dah lama kita kat sini..” ucap Hamidah lembut sambil meraih bahu Laila agar bangun. Asmadi sekadar memandang sahabatnya itu yang masih kesedihan.
“Aku nak duduk sini, Midah. Biarkan aku di sini. Aku nak temankan mak aku..” luah Laila agak lemah.
Hamidah mengeluh perlahan. Sempat dia memandang Asmadi seakan meminta bantuan lelaki itu untuk memujuk Laila. Namun Asmadi membuat isyarat mata agar dia mencuba lagi.
“Laila, tak baik begini. Biarkan roh mak kau aman di sana. Kita tak boleh meratapi pemergian ni kerana mereka pergi bertemu Allah, Laila. Kau dah lupa? Kita semua adalah milik Allah. Mak kau tak kemana-mana. Dia hanya kembali pada Allah yang mencipta kita semua.” Hamidah tanpa jemu memujuk lagi.
“Aku tak tahu macamana nak harungi semua ni. Aku rindukan mak aku, Midah. Aku rindu sangat-sangat. Aku fikir aku boleh hadapi keadaan ni tapi tak boleh! Aku lemah!” rintih Laila. Sekali lagi dia menangis hiba. Kedua belah tangannya ditekapkan ke wajahnya. Bahunya terhinggut-hinggut menahan tangis.
“Aku faham perasaan kau. Kita sama-sama dah kehilangan ibu. Laila, janji Allah kepada arwah sudah tiba. Kita kena reda. Sabarlah, Laila. Allah takkan biarkan kita begitu sahaja. Sakit ni hanya sementara. Lama kelamaan akan pergi jugak. Ingat Allah banyak-banyak.” Hamidah berbicara lembut sambil mengusap bahu Laila dari belakang. Memang tepat keputusannya untuk menemankan Laila di sini. Laila memerlukan teman. Laila tidak boleh dibiarkan sendirian mengharungi keadaan ini. Itulah kata hati Hamidah saat memandang betapa lemahnya diri Laila saat itu. Menerima berita pemergian suami dan emak dalam tempoh yang tidak jauh seperti ini memang tidak mudah. Namun bagi Hamidah Allah tidak akan menduga manusia melebihi dari kekuatan yang ada pada hamba-Nya itu. Begitu jugalah dengan Laila.
Arwah emak Laila berasal dari Kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bharu ini. Namun menurut apa yang pernah diceritakan Laila dahulu emaknya sudah dua puluh tahun tidak pulang ke JB setelah pemergian arwah neneknya. Emaknya sememangnya tidak mempunyai saudara mara lagi di sini. Kerana mengahwini ayah Laila, emak Laila akhirnya menetap di kampung asal ayah Laila setelah dirinya sebatang kara. Namun sebelum meninggal tempohari arwah sempat berpesan agar jasadnya disemadikan di tanah perkuburan ini bersebelahan dengan kubur arwah emak dan ayahnya. Setelah menghembuskan nafas yang terakhir di IJN dua hari lalu arwah emak Laila terus dibawa balik ke sini untuk di kebumikan.
“Laila, tabahlah. Dugaan di atas dunia ni hanya sedikit. ALLAH takkan memberatkan kita dengan sesuatu yang tak mampu kita galas, Laila. Sabarlah..” pujuk Hamidah apabila Laila masih juga berteleku di tepi kuburan ibunya yang masih merah itu. Tidak tahu lagi mahu berkata sementelah setiap pujukannya langsung tidak memberi kesan kepada Laila.
“Laila, kita ni orang islam. Sebagai orang islam wajib kita berpegang kepada qada’ dan qadar dari Allah. Bukan begini caranya kalau betul kau sayangkan arwah mak kau. Kau kena kuat, Laila. Tak lengkap iman kita sebagai hamba Allah kalau kita tidak diuji dengan kesakitan seperti ini,” ucap Asmadi pula.
Laila akhirnya akur dengan bicara Asmadi. Tubuhnya yang lemah itu dibantu oleh Hamidah untuk bangun. Seketika kemudian mereka beredar namun Laila menoleh semula ke arah kuburan itu dengan titisan air mata. Terlalu berat untuk dia pergi namun dia sedar hidup harus diteruskan. Di sanalah tempat emaknya sebaliknya dia harus terus menongkah arus dunia ini untuk mencari keredaan Allah.
“Laila, sesuatu yang dipinjamkan kepada kita kemudian diambil semula oleh tuannya, wajarkah kalau kita berasa sedih sedangkan semenjak awal lagi kita sedar yang itu bukan milik kita yang mutlak? Apa yang kita ratapi itu adalah milik Allah. Allah lebih berhak kepada setiap hamba-Nya. Panjang umur kau akan ke sini lagi, Laila. Tapi waktu tu takkan ada lagi air mata. Takkan ada lagi rintihan pilu. Takkan ada kekesalan. Sebab waktu tu kita sudah mampu belajar tentang hidup ini. Waktu tu kita semua akan sedar tiada gunanya kita menangis. Kerana sampai satu masa nanti kita juga akan diusung ke sini. Kita juga takkan mahu orang yang menghantar kita ke sini meratap menangis kerana waktu tu kita sudah sampai ke peringkat seterusnya sebelum kita bertemu Allah,” ujar Asmadi lembut di sisi Laila.
Laila menoleh semula kepada Hamidah dan Asmadi yang begitu setia menemaninya sehingga ke sini. Seketika kemudian dia mengangguk tanda akur menerima nasihat yang dihulurkan oleh sahabatnya itu. Ya! Semua manusia adalah milik Allah. Bukankah setiap manusia harus mengimpikan untuk bertemu dengan Allah suatu hari nanti? Kematian adalah satu-satu jambatan untuk bertemu dengan Allah di akhirat nanti.
“Ingatlah, Allah sentiasa sayangkan kita, Laila. Tiada kasih sayang di atas dunia ini yang setanding dengan kasih-Nya kepada kita semua.” Asmadi berbicara lagi.
Langkah kembali diatur oleh mereka untuk meninggalkan tanah perkuburan itu. Malam ini mereka akan pulang semula ke kampung di Perak. Mungkin dalam tempoh yang terdekat ini Laila tidak akan mampu kembali ke sini untuk menjenguk emaknya namun tidak mengapa. Dia tahu doanya sudah cukup untuk mengiringi langkah arwah emaknya itu di alam sana. Seperti mana dia sering mendoakan arwah Nahij begitu juga emaknya. Dia tidak akan lupa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.