Jumaat, 12 April 2013

Bab 10- Mahligai Seribu Mimpi


Petang itu setelah selesai waktu kerja Laila seperti biasa tidak terus pulang ke rumah. Kerjanya masih berlambak perlu disudahkan memandangkan hari ini dia masuk lambat ke pejabat. Tanpa disedarinya ada seorang lelaki berdiri di hadapan biliknya memerhatikan dirinya dengan penuh minat.
Kaki Lukman bagaikan terpaku di lantai apabila bola matanya terlihat kelibat seorang wanita yang masih khusyuk dengan kerjanya melalui cermin di hadapannya. Perasaan Lukman mula tidak keruan. Debarannya bagaikan mahu meletupkan jantungnya. Bagaikan dejavu sedang melintasinya saat memandang raut itu.

Lukman terus terpaku di tempat dia berdiri sambil menikmati keindahan pada raut wanita yang masih tidak perasan dengan kehadirannya. Tanpa sedar aksinya seolah-olah dia adalah seorang lelaki yang tidak pernah melihat perempuan cantik sebelum ini.
Laila seperti yang pernah dilihatnya sekali lagi mengenakan baju kurung. Kali ini berwarna hijau pucuk pisang dan tudung berwarna putih. Lukman tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Serasanya dia mahu mendekati Laila tetapi ada rasa segan menyapa dirinya. Entah kenapa tiba-tiba dia dilanda perasaan sedimikian sedangkan selama ini tidak pernah dia merasa malu ketika berhadapan dengan seorang wanita.
Tetapi masakan dia mahu melepaskan peluang yang ada apatah lagi hanya mereka berdua sahaja di situ? Cepat rebut peluang ni, Lukman! Kalau malu melepas! Ada bisikan halus mula mendesaknya. Argh!! Apa nak jadi, jadilah!
Akhirnya Lukman nekad untuk mendekati pintu bilik yang terbuka luas. Nama yang tertera di pintu itu masih sama seperti yang ada diingatannya selama ini, Siti Laila Huda binti Syaharuddin.
“Ehhemm..” deheman suara lelaki itu spontan membuatkan Laila terkejut dalam pada dirinya asyik sendirian. Sepantas kilat dia memandang ke arah pintu biliknya yang terbuka luas. Dadanya berdebar kencang apabila ternampak kelibat seorang lelaki yang tidak dikenalinya sedang berdiri di hadapan pintunya.
“Cari siapa?” soal Laila sedikit gentar. Serasanya dia tidak pernah melihat lelaki ini. Dia pasti lelaki ini bukan kakitangan di syarikat ini.
“Saya cari kawan saya tadi tapi nampaknya dia dah balik. Secara tak sengaja saya ternampak awak di sini. Saja je saya singgah. Tak balik lagi?” Lukman mula meramahkan dirinya dengan Laila.
Laila mengerutkan keningnya saat itu. Soalan apa itu? Kalau dia sudah balik masakan rohnya pula yang duduk di sini. Sudah tentulah dia masih belum balik. “Belum,” ringkas sahaja jawapan Laila.
“Saya Lukman, kawan Nazim Projek Manager kat sini.” Lukman memberanikan diri mendekati Laila di mejanya. Tangannya segera dihulurkan kepada Laila namun wanita itu tidak menyambutnya. Hanya memandang sahaja huluran tangannya. Perbuatan Laila itu membuatkan Lukman teringat semula. Nazim ada memberitahunya yang Laila alim orangnya. Jadi pantaslah wanita itu tidak menyambut huluran tangannya. Dengan agak malu Lukman kembali menarik tangannya.
“Saya kenal siapa Nazim. Saya nampak dia dah balik tadi. Maaf, saya tak berniat nak berkurang ajar tapi kita bukan muhrim. Jadi tak seharusnya kita bersalaman.” Laila menjawab biasa. Apabila nama itu yang disebut Lukman perasaan Laila terus merudum jatuh. Entah kenapa telinganya alah kepada nama itu sedangkan nama itu sebenarnya amat sedap jika diletakkan kepada anak lelaki.
Lukman sekadar mengangguk perlahan. Dia sedar tidak seharusnya dia mengajak wanita yang dikatakan alim oleh Nazim ini bersalaman dengannya. Bukan ke bersentuhan lelaki dan wanita bukan muhrim hukumnya haram? Entah kenapa saat itu segala kenangannya bersama Mastura terimbas semula di ruang fikiran. Terasa dirinya kerdil dibandingkan dengan wanita ini.
“Cik Laila belum nak balik lagi? Tinggal awak aja kat sini,” ucap Lukman cuba menghidupkan perbualan dengan Laila.
“Mana awak tahu nama saya? Nazim yang bagitahu ke?” Laila menyoal hairan. Tajam matanya memandang Lukman yang berdiri berseluk poket di hadapan mejanya. Jika Lukman kawan Nazim dia memang tidak ingin melayan. Mungkin Lukman sama sahaja seperti Nazim.
“Ada kat depan pintu tu. Siti Laila Huda. Itu nama awakkan?” balas Lukman yang masih tidak mahu berputus asa mendekati Laila biarpun dia sedar layanan Laila amat hambar. Sempat dia menundingkan jarinya ke arah pintu tempat di mana dia mendapat tahu nama wanita itu.
Laila hanya diam sahaja dengan jawapan Lukman. Matanya diarahkan semula kepada dokumen di atas mejanya itu. Harapannya saat ini Lukman sedar yang dia tidak berminat untuk berbual dengan lebih lanjut lagi dan lekas-lekaslah pergi. Tetapi lelaki muda itu hanya berdiri sahaja di situ.
“Ada apa lagi, Encik Lukman?” tanpa mengangkat pandangannya Laila menyoal dalam nada tidak senang.
“Er...” Lukman tiba-tiba kekeluan untuk meneruskan bicara. Hanya matanya sahaja yang mampu memandang Laila yang menunduk ke arah dokumennya. Entah kenapa berhadapan dengan wanita ini hilang kepetahannya dalam berbicara. Sedangkan selama ini dialah juara dalam menabur ayat-ayat manis untuk memikat wanita. Kenapa aku ni? detik hatinya sendiri.
Melihat Lukman masih teragak-agak di situ Laila kembali memandang lelaki itu. “Apa awak nak dari saya ni?” soal Laila sekali lagi.
Tanpa diduga jantung Lukman berdegup kencang apabila dipanah oleh cahaya dari renungan tajam sang perempuan. Berhadapan begini matanya seakan terpukau dengan kejelitaan yang dimiliki oleh Laila. Sehingga dia tidak terkata jadinya. Ayat yang dirangka semenjak tadi terasa sudah bersepai di dalam otaknya. Dia kaku dalam aksinya! Hanya hati yang mampu berbicara sedangkan lidah terus kelu.
“Encik Lukman nak berdiri kat situ pandang saya sampai bila?” soal Laila dingin.
“Saya cuma nak berkenalan dengan awak. Bolehkan, Cik Laila?” Lukman lantas mengucapkan sepotong ayat yang sempat melintas di benaknya. Dia sudah tidak punya banyak masa lagi untuk merekacipta ayat yang berbunga-bunga buat Laila. Apa yang ada disambarnya sahaja.
“Awak dah tahu nama saya, apa lagi yang awak nak tahu?” dingin sahaja balasan Laila.
Lukman diam kembali. Cuba memikirkan apa sebenarnya yang harus diucapkan kepada Laila yang nampak amat sombong dengannya ini. Kalau selalunya dia punya banyak idea untuk memikat wanita tetapi kali ini dia terkial-kial pula.
“Kalau saya ajak Cik Laila keluar dengan saya, Cik Laila sudi?” akhirnya Lukman menebalkan muka menyampaikan hajat di hati.
“Keluar ke mana?” balas Laila sedikit aneh.
“Kita pergi makan. Maksud saya, kita berbual sambil makan malam. Saya cuma nak berkawan dengan Cik Laila. Tak salahkan?” Lukman tersenyum penuh keikhlasan. Dalam hatinya dia tahu biar bagaimanapun Laila berkeras hanya kerasnya hanya sekeras kerak nasi sahaja. Pasti layu juga apabila dipikat dengan ayat-ayat manis seorang lelaki.
“Maaf, saya bukannya nak memalukan awak, Encik Lukman. Cuma ada perkara yang saya belum bersedia buat masa ni.” Laila menjawab perlahan.
Bicara Laila mencetuskan sedikit kerutan di dahi Lukman. “Apa yang Cik Laila belum bersedia?” soalnya tidak mengerti.
“Keluar dengan lelaki,” jawab Laila mudah dalam ketegasannya. Biar lelaki ini faham dan tidak terus membazirkan masanya.
“Ooo..” Lukman mengangguk sedikit dalam kehampaan. Sangkanya apabila Laila bersoal jawab dengannya tadi Laila sudah tertarik dengan tawarannya. Rupanya tidak. Memang benar kata Nazim. Laila bukan sembarangan janda. Janda ini janda liat!
“Kenapa kalau keluar dengan lelaki? Cik Laila dah ada yang punya ke?” ucap Lukman cuba berlagak tenang. Latahnya tidak akan sesenang itu ditunjukkan kepada wanita ini. Dia juga tidak semudah itu akan tunduk kepada kemahuan Laila. Kalau untuk yang sejelita ini dia sanggup bersusah untuk memikatnya. Dia rela!
“Takde siapa yang punya cuma saya yang belum berminat ke arah itu. Itu sahaja!” Laila menjawab tegas seraya mengerling lelaki di hadapannya itu.
Pandangan mata Lukman yang tajam terarah kepadanya mulaa mendebarkan perasaan wanitanya ditambah lagi wajah itu seiras dengan pelakon Hollywood bernama Alex O’loughlin yang melakonkan watak utama sebagai drakula dalam drama bersiri bertajuk Moon Light yang pernah ditontonnya suatu ketika dahulu. Lukman berkulit agak cerah dan agak tinggi orangnya. Senyuman lelaki itu benar-benar menawan apatah lagi dengan lesung pipit yang dimilikinya membuatkan senyuman itu kelihatan amat manis. Tetapi dia kawan Nazim.. Ah!! Laila cuba menepis bayangan itu. Kenapa lelaki yang datang dekat dengan aku sekarang ini mesti ada kena mengena dengan Nazim? Bentak hatinya kesal.
“Bunyinya macam Cik Laila pernah kecewa atau masih menunggu seseorang,” ucap Lukman mula membuat andaian sendiri. Dia bukanlah bijak benar dalam membaca hati perempuan tetapi apa yang diluahkannya itu sebenarnya sekadar mahu terus berlama-lama di bilik itu bersama Laila.
“Saya tak bincangkan hal seperti itu dengan orang yang saya tak kenal. Lebih baik Encik Lukman balik sekarang. Tak elok kalau kita berdua aja kat sini. Lagipun Encik Nazim dah balikkan? Jadi lebih baik Encik Lukman datang esok aja. Esok insya-Allah, Encik Lukman akan dapat jumpa dia.”
Lukman tersenyum mendengar apa yang Laila katakan itu. Kedegilan Laila menarik perhatiannya. Semakin mencabar untuk mendapatkan Laila semakin dia suka. Tidak mengapa. Lain hari masih ada. Dia akan mencuba lagi. Suatu hari nanti Laila pasti akan kalah dengan kuasa lelakinya. Aku akan pastikan hari itu akan tiba juga nanti, tekad hati Lukman sendiri.
“Memandangkan awak dah halau saya, saya pergi dululah. Mungkin lain kali Cik Laila akan mempertimbangkan niat ikhlas orang lain yang nak berkawan dengan Cik Laila.” Lukman bijak memainkan wataknya dengan merendahkan suaranya agar Laila tahu dia telah berkecil hati dengan penolakan Laila kepadanya.
“Saya tak halau awak. Cuma tak elok awak ada di sini berdua saja dengan saya. Itu yang saya maksudkan. Janganlah awak nak merajuk pulak dengan apa yang saya kata tadi.” Laila berkata selamba. Tidak berniat mahu memujuk tetapi tidak juga berniat mahu mengecilkan hati lelaki itu.
“Tapi kalau awak merajuk pun saya memang tak berniat nak pujuk!” tambah Laila sambil dia kembali meneruskan kerjanya.
Lukman sempat ketawa mendengar bicara Laila itu. Keselambaan Laila semakin mengusik nalurinya. Akalnya mengorek lagi idea untuk berbicara dengan Laila.
“Jadi kalau ada orang lain di antara kita Cik Laila akan mempertimbangkan apa yang saya katakan tadi?” ucap Lukman mula kembali bertenaga. Dia kini sudah mula menemui temponya. Lukman yang asal sudah kembali kepadanya.
Laila sekali lagi terpaksa memandang lelaki itu dengan kerutan di keningnya. Ada lagi konarnya lelaki ini. “Saya yang tak faham atau awak yang tak faham sekarang ni?” Laila mengeluh lembut. Sebuah helaan dilepaskan dari rongga hidungnya.
Sorry. Tadi Cik Laila kata kita cuma berdua sahaja di sini. Jadi kalau kita berada di tempat terbuka yang ada lebih ramai orang di sekeliling kita itu lebih maniskan? Macamana kalau saya ajak Cik Laila makan malam dengan saya? Di tempat yang terbuka yang ada ramai orang,” ujar Lukman selamba. Biarlah Laila mahu mengatakan dia muka tembok sekali pun. Dia tidak peduli!
Laila menghela keluhan perlahan. Lukman nampaknya tidak tahu erti putus asa. Lain yang dikatanya lain pula konarnya lelaki ini. Lelaki ini memang bijak memerangkap. Dialah yang harus berhati-hati kerana tidak mahu nanti terjatuh di tempat yang salah. Kalau sudah berkawan dengan buaya darat seperti Nazim tidak mustahil lelaki ini juga berasal dari spesis yang sama.
“Itu pun tak boleh, Encik Lukman.” Laila menjawab perlahan.
“Kenapa tak boleh? Ada orang lain marah kalau Cik Laila keluar makan dengan saya? Tadi Cik Laila kata Cik Laila belum ada yang punya jadi saya anggap saya masih ada peluang.” Lukman berbicara selamba. Dia sempat tersenyum kepada Laila.

“Peluang apa yang Encik Lukman cakapkan ni?” tekan Laila mula hilang sabar.
“Peluang untuk saya mengenali Cik Laila dengan lebih dekat lagi. Tak salahkan apa yang saya katakan ni? Rasanya saya bukannya sedang bercakap dengan isteri orang atau tunang orang.” Lukman terus tersenyum lembut di hadapan Laila. Matanya bagaikan tidak pernah jemu biarpun sorotan mata hitam bersinar itu langsung tidak memaparkan rasa teruja melihat kekacakannya.
“Saya tak mahu. Lebih baik Encik Lukman balik saja. Jangan bazirkan masa Encik Lukman dengan menunggu saya di sini. Saya takkan memberikan apa-apa yang Encik Lukman mahukan. Maafkan saya kalau saya dah memalukan Encik Lukman. Tapi saya memang tak berminat.” Dalam kelembutan suaranya tetap terselit ketegasan pendiriannya.
Memudar senyuman Lukman kala itu. Umpannya tidak dimakan oleh Laila. Laila memang keras hati orangnya. Itulah yang dikatakan oleh hati lelakinya saat itu. Melihat Laila enggan melayannya Lukman akhirnya akur. Dia hampa tetapi dia tidak mahu berputus asa. Lain kali pasti masih ada caranya. Pasti!
“Okaylah. Mungkin lain kali..” sambut Lukman hampa.
Laila hanya diam. Pemergian lelaki itu hanya dipandang sekilas sebelum dia menyambung semula kerjanya. Namun seketika kemudian Laila menghela nafas perlahan. Cuba menimbang semula caranya tadi. Adakah dia sudah berkasar dengan Lukman? Ah!! Susah betul! Dia tidak ganggu orang tapi orang yang sibuk datang mencarinya. Sekarang dia pula yang resah sendiri.

Di dalam kereta Lukman tersengih sendiri. Senang hatinya dapat berbual dengan Laila. Walaupun hanya untuk seketika tetapi dia puas kerana Laila kini sudah mengenali dirinya. Lain masa tidak perlulah lagi dia terintai-intai seperti tadi. Lebih mudah untuk dia memasang strategi untuk mendapatkan wanita itu. Penolakan Laila sebentar tadi langsung tidak membuatkan dia mahu berputus asa sebaliknya dia seolah diampu semangat yang kental untuk mendekatkan diri kepada Laila.
‘Tunggulah, Laila. Kau jual mahal sangat. Suatu hari nanti kerana aku kau akan jadi murah semurah-murahnya pada aku. Tengoklah! Jangan esok kau tak nampak muka aku sehari kau tak lalu nak makan, sudahlah! Aku akan jadikan kau hak aku!’ ucap hati Lukman penuh tekad.

Laila menoleh apabila terkesan dek ekor matanya kedatangan seseorang ke dalam pantry pejabatnya itu. Berderau darahnya apabila ternampak Nazim sedang menutup pintu pantry itu sambil tersengih kepadanya.
“Ada apa ni, Encik Nazim?” soal Laila kehairanan. Ada sedikit kegelabahan apabila menyedari hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik kecil itu.
“Takde apa. Saya cuma nak berbual dengan awak aja,” balas Nazim. Dia memandang Laila dari atas ke bawah. Kalau diikutkan hati lelakinya ini Laila sudah dipeluknya tetapi menyedari ramai kakitangan yang sedang sibuk di luar sana terpaksa dimatikan hasratnya itu buat masa ini.
“Saya nak balik ke bilik saya. Tolong ke tepi,” ucap Laila cuba melarikan diri. Dia seram melihat cara Nazim memandangnya. Dia tahu niat yang terselindung di sebalik niat lelaki itu membuatkan mereka berdua terkurung di dalam ruang kecil itu. Sebelum apa-apa terjadi lebih baik dia menghindar.
“Eh! Nantilah dulu. Minumlah dulu air awak tu. Masih banyak lagi yang tak habis. Sambil tu kita berbuallah. Saya bukannya nak apa-apakan awak, Laila. Jangan takut dengan saya.” Nazim lantas menghalang dengan berdiri rapat kepada pintu pantry itu. Dia tersengih lagi kepada Laila. Matanya meliar memandang Laila yang sudah tidak tentu arah. Saat itu melaut rasa geramnya kepada Laila yang amat sukar didekati. Langsung tidak berpeluang!
Laila mula dikuasai oleh rasa cemas saat itu. Cara Nazim benar-benar menakutkannya. Senyum miang lelaki itu sudah dapat dibaca apa ertinya. “Saya banyak kerja sekarang ni, Encik Nazim. Tolonglah jangan halang saya. Tolong ke tepi!” bentaknya.
“Awak ni sombong betullah, Laila. Langsung tak kasi can pada saya. Apa salahnya kita berbual sekejap. Saya ada benda nak tanya ni. Sekejap aja, please..” pujuk Nazim lembut. Tubuhnya masih menghadang laluan Laila.
“Tanya apa?” tekan Laila.
“Betul ke awak dah nak berhenti kerja?”
“Itu bukan urusan Encik Nazim!”
“Awak ni.. saya ni ikhlas, Laila. Saya dah lama sukakan awak. Tapi awak buat tak layan aja dengan saya. Saya ajak awak keluar dengan saya pun awak tak mahu. Saya cuma nak tolong awak,” pujuk Nazim semakin mendayu-dayu.
“Tolong apanya? Saya tak perlukan bantuan apa-apa dari Encik Nazim! Encik Nazim jangan nak kurang ajar. Saya jerit nanti kalau encik sentuh saya!” Dalam rasa cemas itu Laila masih mampu berbalas kata dengan Nazim. Sakit hatinya dengan gelagat lelaki miang ini. Mahu sahaja disepaknya muka lelaki tidak tahu malu ini.
Nazim semakin mendekati Laila dengan sengihannya. Ugutan Laila langsung tidak memberi kesan kepadanya. “Laila, awak kerja di mana lepas ni? Saya nak tahu..”
“Jangan dekat dengan saya, Encik Nazim. Kalau tak saya jerit nanti!” Laila mengugut keras. Tiada jawapan diberikan kepada soalan Nazim sebentar tadi sebaliknya dia berundur sedikit cuba menjauhi lelaki itu.
“Laila, saya ni ambil berat pasal awak. Takkan langsung takde sikitpun kebaikan saya yang boleh melembutkan hati awak?” suara Nazim mula mengendur. Mungkin kecewa kerana Laila masih susah untuk dijinakkan dengan ayat-ayat manisnya.
“Ambil berat pada isteri dan anak-anak Encik Nazim itu lebih berfaedah! Saya tak suka awak buat macam ni. Ini pejabat, Encik Nazim. Jangan melampaui batas! Nanti Encik Nazim jugak yang susah!” ancam Laila cuba menghindar dari lelaki itu.
“Apa teruk sangat ke saya ni? Kenapa awak benci sangat dengan saya? Apa salah saya?” tekan Nazim semakin kecewa. Melihat Laila cuba mengintai peluang untuk melarikan diri dia kembali menghalang pintu.
“Saya rasa awak tahu apa yang membuatkan saya tak senang dengan awak selama ni, Encik Nazim. Jangan buat-buat tak tahu! Awak sendiri tahu apa yang awak buat. Perempuan bukan makhluk untuk diperbodohkan dan dipergunakan sesenang hati. Apa perasaan awak kalau adik awak atau anak perempuan awak diperlakukan macam sampah? Akan sampai satu masa semua perbuatan kita akan dibalas, Encik Nazim.”
“Laila, niat saya baik. Saya hanya nak tolong awak. Tolong hilangkan kesunyian awak. Tolong belai awak. Tolong...”
Kata-kata Nazim terputus dipertengahan jalan apabila pintu pantry itu tiba-tiba diterjah kuat oleh seseorang dari luar. Kekuatan tolakan itu membuatkan Nazim terdorong ke hadapan akibat diterjah pintu itu. Nasib baik Laila sempat mengelak tubuh sedikit gempal lelaki itu. Jika tidak sudah pasti dia yang dilanggar lelaki itu.
Dua batang tubuh manusia menerpa masuk sebaik sahaja pintu itu terngangan luas. Mata Tuan Haji Hamidun melolot tajam memandang Nazim dan Laila silih berganti. Puan Maznah ikut berdiri bersebelahan dengan lelaki tuan punya syarikat itu.
“Apa awak buat ni, Nazim?” suara garau Tuan Haji Hamidun meledak kuat kepada kakitangan lelaki itu. Matanya tajam memandang Nazim yang semakin tidak tentu arah. Geramnya dia bagaikan mahu disiat-siatnya kulit Nazim saat itu jika boleh.
“Takde apa-apa, Tuan Haji. Saya hanya berbual dengan Laila.” Menggelabah juga Nazim saat menjawab kepada lelaki tua itu. Dia memandang Laila sekilas sebelum kembali menghadapkan pandangannya kepada Tuan Haji Hamidon. Tanpa sedar wajahnya mula berubah pucat.
“Berbual? Inikan waktu kerja? Awak dah takde kerja lain nak buat selain dari mengekor buntut staf perempuan kat sini? Ini aja kerja yang awak tahu buat selama ini?” jerkah Tuan Haji Hamidon kepada Nazim.
“Tak! Tuan Haji, saya hanya temankan Laila sekejap,” balas Nazim masih cuba untuk menyelamatkan dirinya di hadapan lelaki itu.
“Patutlah ramai kakitangan perempuan takut nak kekal di sini. Rupanya ini kerja awak. Menganggu kakitangan perempuan!”
“Takde, Tuan Haji. Saya hanya berbual aja dengan Laila. Saya takde niat lain..” Nazim masih cuba membela diri. Namun suaranya sudah menunjukkan betapa gentarnya dia dengan keadaan saat itu.
“Sudah! Jangan nak banyak alasan lagi! Laila, balik bilik awak! Nazim, awak jumpa saya di bilik saya. Sekarang!” ujar Tuan Haji Hamidon cukup lantang.
“Ba.. baik, Tuan Haji.” Nazim akur dalam kegagapan.
Dua lelaki itu pantas meninggalkan ruang pantri itu. laila sempat memandang Puan Maznah yang sedang memerhatikan Nazim yang membuntuti langkah Tuan Haji Hamidon. Wanita itu menggeleng sendiri.
“Laila, balik bilik awak.” Kali ini suara Puan Maznah pula kedengaran setelah memandang Laila yang terkaku di tempanya berdiri.
Laila mengangguk sambil membawa cawan yang digunakannya tadi ke sinki. Sempat dia mencuci cawan itu sebelum akur dengan arahan Puan Maznah agar segera meninggalkan ruangan pantry itu. Saat itu barulah dia terlihat jari jemarinya menggigil saat dia memegang cawan itu. Sempat dia menghela nafas kelegaan untuk meredakan perasaannya. Kedatangan Tuan Haji Hamidun dan Puan Maznah sebentar tadi adalah penyelamat buat dirinya.
Tetapi saat itu dia mula menyedari, di sini bukanlah tempat yang selamat untuknya lagi. Dia tahu dia harus menerima apa yang ditawarkan untuknya. Apa yang baru berlaku tadi membuatkan Laila bagaikan tidak sabar lagi untuk menyudahkan notis perletakan jawatan tiga bulan yang sudah diberikan kepada majikannya itu. Dia harus segera menjauhkan diri dari lelaki bernama Nazim itu.

“Laila..” suara Puan Maznah yang menyapa dari pintu bilik itu membuatkan apa yang sedang dimenungkan Laila bertebaran. Laila lantas mengangkat kepala memandang ke arah Puan Maznah. Getaran yang dirasakan tadi masih bersisa membuatkan dia gagal menumpukan perhatian kepada kerjanya.
“Puan Maznah..” Laila membalas sapaan itu dalam kelembutan. Dia tahu dia pasti akan disoal siasat tentang apa yang berlaku di dalam pantry sebentar tadi. Harapannya agar penjelasannya sama seperti yang diberikan oleh Nazim. Tiada ada ditokok tambah atau diadu-domba oleh lelaki itu.
“Apa Nazim cuba buat pada awak tadi?” Puan Maznah menyoal setelah mendekati Laila. Dia duduk di hadapan Laila tanpa disuruh.
“Saya tak tahu. Tapi dia kata dia hanya nak berbual dengan saya.” Laila menjawab jujur tentang apa yang terjadi sebentar tadi.
“Kenapa sampai tutup pintu pantry kalau setakat nak berbual? Nasib baik Jessica nampak apa yang Nazim buat tadi. Dia beritahu saya dan saya terus bagitahu Tuan Haji Hamidun. Kali ni saya nak Tuan Haji nampak sendiri apa yang Nazim cuba buat. Selama ni Tuan Haji hanya dengar cerita orang sahaja. Kali ini saya puas hati sebab dia dah nampak sendiri apa yang Nazim selalu buat pada kakitangan perempuan di sini. Saya nak Nazim diberikan hukuman yang setimpal untuk kesalahannya.”
Laila diam sambil memandang wanita di hadapannya itu. Dalam hati dia amat berterima kasih dengan apa yang Puan Maznah lakukan untuknya.
“Awak tak apa-apa ke? Awak nampak tertekan sangat. Kalau nak saya boleh berikan awak cuti separuh hari untuk awak tenangkan fikiran.” Puan Maznah berkata lembut. Dia tahu Laila pasti fobia dengan apa yang berlaku sebentar tadi.
“Saya okay. Cuma masih rasa terkejut sikit aja disebabkan peristiwa tadi. Nazim tak sempat buat apa-apa pun pada saya. Takpelah, Puan Maznah. Saya masih boleh teruskan kerja saya,” ujar Laila menolak cadangan Puan Maznah.
“Syukurlah kalau macam tu,” sambut Puan Maznah perlahan.
“Terima kasih banyak, puan. Kalau puan takde tadi saya pun tak tahu apa yang akan jadi pada saya. Saya dah putuskan apa yang terbaik untuk saya, puan. Soal Encik Nazim saya mahu letak ke tepi. Kalau boleh saya tak mahu lagi jumpa dia seumur hidup saya ni.”
“Jangan lakukan ini kerana mahu lari dari Nazim. Tiada siapa yang boleh jamin awak takkan bertemu lagi dengan lelaki seperti Nazim ketika awak di luar sana. Kuatkan hati, Laila. Selalu berpegang kepada pendirian. Jangan lemah dengan dugaan seperti ini. Ini dah dikira gangguan seksual di tempat kerja. Kalau awak terus diganggu seperti ini jangan ragu-ragu, terus laporkan kepada pihak atasan.”
“Saya tahu tu, Puan Maznah. Terima kasih sebab Puan Maznah selalu ambil berat tentang saya,” ucap Laila lembut.
“Saya bertanggungjawab menjaga kesemua pekerja dibawah tanggungjawab saya. Awak masih dikira sebagai pekerja di sini selagi notis awak belum tamat tempohnya. Kalau gangguan agak berat kita akan laporkan kepada polis. Perkara ini tak boleh didiamkan sahaja. Bukan seorang dua yang pernah terkena macam awak ni. Selama ni Nazim tak pernah dilaporkan oleh sesiapa jadi dia semakin berani. Tetapi kali ini saya serius. Saya tak mahu kakitangan saya diganggu oleh dia lagi. Lagipun negara kita ada akta yang melindungi pekerja daripada gangguan seksual di tempat kerja. Saya paling tak mahu ada mana-mana pekerja saya yang merasakan syarikat ini tak selamat buat mereka hanya kerana ada pekerja yang tak beretika macam Nazim,” ujar Puan Maznah kepada Laila.
Laila kembali diam sambil memandang meja di hadapannya itu. Bimbang juga dia sekiranya Nazim berdendam dengannya. Apa sahaja lelaki itu boleh lakukan jika dia sudah dikenakan. Laila tahu segalanya tidak akan berhenti di sini sahaja. Pasti ada rentetan peristiwa. Mengenang itu Laila gentar seketika. Serasanya hidupnya tidak akan aman selama dia mengenali lelaki bernama Nazim itu.
“Sambunglah kerja awak. Saya keluar dulu. Jangan lupa apa yang saya katakan tadi. Kalau Nazim ganggu awak lagi, beritahu saya.”
Laila segera mengangguk. Matanya memandang wanita yang mungkin hampir sebaya dengan arwah emaknya itu berlalu. Dalam hatinya dia menghargai perhatian wanita itu kepadanya. Bukan semua orang peduli dengan keadaan dirinya. Sesungguhnya dia amat bertuah sekali kerana mempunyai ketua sebaik Puan Maznah.

Sementara itu di bilik Tuan Haji Hamidon..
“Kalau macam nilah punya proposal yang awak nak bagi pada Capital Holding, baik campak aja dalam tong sampah! Buat malu saya aja! Ini rupanya kerja awak ya, Nazim. Ganggu staf sana sini. Kerja awak tak jalan tapi kerja lain yang awak jalankan kat dalam syarikat saya ni. Saya tak bayar awak untuk makan gaji buta!” herdik Tuan Haji Hamidon kepada Nazim di hadapan mejanya itu.
Nazim hanya mampu tunduk. Tidak berani dia mahu membalas kata-kata majikannya itu.
“Awak tahu syarikat ni sikit lagi nak bungkus. Projek dah lama tak masuk. Projek dengan Capital Holding tu adalah satu-satunya jalan untuk selamatkan syarikat ni. Awak masih nak main-main?” jerkah Tuan Haji Hamidon yang masih belum puas menyembur kemarahannya.
“Dengar sini baik-baik. Sekali lagi aja peluang saya berikan pada awak. Kalau awak gagal dapatkan projek dari Capital Holding ni, jangan mimpi awak boleh masuk ke pejabat ni sebagai pengurus projek di sini. Saya bayar awak untuk cari projek di luar bukannya mengayat staff perempuan kat dalam ni ajak buat projek dengan awak. Faham??” herdik Tuan Haji Hamidon lagi.
“Fa.. faham, tuan haji.” Nazim tergagap-gagap sedikit. Malunya dia bukan kepalang kepada lelaki ini. Langsung tidak bertapis bahasanya. Main sedap bercakap saja!
“Sekarang berambus! Bawak sekali kerja awak yang entah apa-apa ni!” herdik Tuan Haji Hamidon masih panas hati kepada lelaki itu. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia terus memecat Nazim. Tetapi dia masih ada hati perut. Dia tahu Nazim mempunyai anak isteri yang perlu disara.
Nazim akhirnya berlalu dengan tebal muka. Wajah majikannya itu tidak mampu dipandang lagi. dia tahu apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Hamidon harus diambil berat. Sudah sampai masanya untuk dia serius dalam soal kerjanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.