Bab 8
“Laila..” panggilan itu
menghentikan langkah Laila yang mahu ke tandas di hujung pejabatnya. Dia terus
berpaling untuk mencari si pemanggil. Bola matanya singgah seketika di wajah
seorang lelaki sedang berjalan menghampirinya. Nafas sabar lantas dihela
perlahan. Entah kenapa setiap kali berurusan dengan lelaki ini perasaannya
sering bergolak hebat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tidak senangnya dia
dengan lelaki seorang ini. Namun sayang, kerana mereka sepejabat sukar untuk
dia mengelakkan diri dari Nazim.
“Ya, Encik Nazim. Ada apa yang boleh saya bantu?” soal Laila masih cuba
berlembut. Namun jelas terhela kehambaran dalam nadanya. Muak dia melihat
tampang lelaki miang di hadapannya ini.
“Banyak. Tapi sebelum tu saya nak tanya, malam ni awak ada buat apa-apa?”
tanya Nazim bersama kuntuman senyum yang tersirat seribu makna. Wajah janda
muda itu dipandang tanpa jemu. Semakin dipandang semakin manis pula rasanya.
Geram rasa hatinya mahu mendampingi wanita muda yang sering jual mahal
kepadanya itu.
Laila terdiam seketika. Pandangan lelaki awal empat puluhan itu dibalasnya
dengan rasa pelik. Kenapa pula agendanya malam ini menjadi perhatian lelaki
itu? Mahu menggatal lagi? Perlahan dia menggelengkan kepalanya. Bosan dengan
makhluk di hadapannya ini!
“Kenapa Encik Nazim tanya tentang itu?” tidak mahu menjawab sebaliknya dia
pula bertanya semula. Rasanya dia tidak perlu mengkhabarkan apa-apa kepada
lelaki ini tentang perjalanan hidupnya baik di tempat kerja mahupun di rumah.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya. Kita makan malam bersama lepas tu
kita pergi karaoke nak tak?” Tanpa segan silu lelaki bernama Nazim itu
tersengih di hadapan Laila.
Tidak perlu menanti lama Laila segera menggeleng. “Oh, tidak!” ucapnya
sedikit sinis.
“Saya tak berminatlah, Encik Nazim. Lagipun saya ada kerja nak buat malam
ni. Saya memang tak biasa keluar malam-malam nak-nak lagi kalau berdua aja.
Maaflah. Encik Nazim ajaklah orang lain,” jawab Laila pantas sahaja beralasan
apabila sudah terhidu agenda lelaki itu yang berjawatan sebagai pengurus projek
di tempat dia berkerja ini. Lelaki yang dikenalinya semenjak mula menjawat
jawatan sebagai pembantu akauntan di sini memang seorang yang mata keranjang.
Bukan hanya kata-kata orang yang membuatkan dia menganggap begitu tetapi
kelakuan lelaki itu sendiri sudah membenarkan apa yang disangkanya.
“Sesekali kita keluar bersama takkan tak nak? Awak ni asyik memerap kat
rumah aja tak bosan ke? Sesekali kita keluar release tension apa salahnya. Jomlah, Laila. Saya ikhlas ni.” Nazim
berkata lembut masih cuba memujuk.
“Takpelah, Encik Nazim. Lebih baik saya berehat aja kat rumah. Lagipun saya
takut nanti isteri Encik Nazim serang saya pulak. Saya tak berani,” ujar Laila
selamba. Sengaja dia menyebut tentang isteri lelaki itu agar Nazim ingat
tentang statusnya sebagai suami orang.
“Hish! Siapa cakap dengan awak macam ni? Tak baik buat fitnah tentang
isteri saya tau. Isteri saya tak macam tu. Lagipun kita bukan buat apapun.
Setakat pergi karaoke aja. Takkan itu pun tak boleh? Kalau setakat keluar
dengan kawan sekerja isteri saya langsung tak kisah. Betul!” bersungguh-sungguh
Nazim mengayat. Masih tidak jelak untuk memujuk Laila biarpun ini bukanlah kali
pertama ajakannya ditolak mentah-mentah.
“Laila saya ikhlas ni,” ucap Nazim lagi dengan sengihan yang melebar.
Harapannya dengan jawapannya seperti itu Laila akan menerima pelawaannya. Sudah
lama dia memandang. Tidak sanggup lagi dia memendam rasa untuk mendekati wanita
muda ini.
Laila tersenyum sinis mendengar ucapan sinonim Nazim itu. “Saya tak naklah.
Saya tak keluar dengan suami orang. Bahaya keluar dengan suami orang ni.
Daripada macam tu lebih baik saya duduk rumah aja. Encik ajak ajalah orang
lain,” kata Laila sejurus kemudian dia berpaling mahu ke tandas.
“Laila, nanti dulu!” Nazim lebih pantas menghalang dengan mengalihkan
kedudukan dengan berdiri di hadapan Laila. “Awak ni cepat aja nak perginya. Tak
suka ke berbual dengan saya? Saya belum habis cakap lagi ni,” ucap Nazim sambil
tersengih.
“Ada apa lagi ni, Encik Nazim.. Saya nak ke tandas ni. Saya takde masa nak
dengar ni semua. Kerja saya kat dalam pejabat ni berlambak lagi yang nak saya
sudahkan. Jangan bazirkan masa saya untuk benda yang tak berfaedah macam ni!”
gerutu Laila semakin tidak senang dengan kelakuan lelaki itu. Bukan sekali ini
sahaja lelaki ini pernah mengajaknya keluar tetapi sudah acap kali. Namun
setiap penolakannya tidak pernah membuatkan lelaki ini mengerti yang dia tidak
berminat untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki yang sudah beristeri itu.
“Alah! Awak ni macam anak daralah, Laila. Mahal sangat. Nak ajak keluar
makan pun jual mahal. Sesekali apa salahnya. Duduk rumah ajapun buat apa? Boring!”
Nazim berkata selamba. Kemudian dia tersengih cuba menyampaikan makna yang
sedang tersirat di hati kecilnya.
Tersirap darah Laila mendengar apa yang diucapkan oleh lelaki itu.
Berdesing juga telinganya dengan perlian lelaki itu. Pandangannya terasa
mengecil kepada lelaki miang ini. Rasanya tiada gunanya dia bercakap baik-baik
dengan lelaki seperti ini. Buang masa sahaja!
“Saya dengar macam ada sedikit hinaan untuk status diri saya ni dalam
kata-kata Encik Nazim. Ada dara?” ucap Laila tajam.
“Mana ada. Awak ni sensitif sangatlah..” sambut Nazim dalam tawa perlahan.
Entah kenapa Laila merasa benar-benar terhina dengan gelagat lelaki itu
yang tidak pernah mahu menghormati maruah perempuan sepertinya. Perangai Nazim
hari ke hari semakin menjelekkan perasaannya.
“Saya rasa sayalah orang yang paling bodoh dalam dunia ni kalau saya ikut
lelaki mata keranjang macam Encik Nazim ni. Tapi hakikatnya saya belum begitu
bodoh untuk membiarkan diri saya dekat dengan lelaki yang meletakkan maruah
perempuan di bawah alas kakinya macam yang Encik Nazim buat selama ini. Kalau
saya janda pun apa masalahnya? Encik Nazim tak berhak untuk paksa saya atau
hina saya supaya keluar dengan Encik Nazim semata-mata kerana saya ni janda.
Hak saya untuk keluar atau pun tidak dengan mana-mana lelaki dalam dunia ni
adalah mutlak. Encik Nazim jaga ajalah anak isteri encik di rumah tu baik-baik.
Tak payah nak sibuk hal orang lain. Rasanya malamlah masa yang sesuai untuk
beri perhatian pada keluarga. Bukannya mengajak perempuan lain ke bilik karaoke.
Kalau Encik Nazim rasa saya ni senang diajak ke sana kemari hanya kerana saya
pernah bersuami, rasanya encik ni dah tersalah orang. Mungkin orang yang encik
sangka tu orang lain agaknya. Yang pasti saya takkan kemana-mana berdua sahaja
dengan mana-mana suami orang terutama sekali awak, Encik Nazim!” bidas Laila
berani. Geram dia dengan keceluparan mulut lelaki itu. Mentang-mentanglah dia
begini maka senang sahaja lelaki ini mahu mengambil kesempatan kepadanya.
Sesaat itu wajah Nazim terus berubah melihat reaksi Laila. “Takdelah macam
tu. Awak tak sunyi ke takde suami, Laila? Dengarnya dah lama awak ditinggalkan.
Tak teringin ke nak mencari pengganti?” miang sekali nada lelaki itu menyoal.
Bertambah meluat Laila dengan lagak lelaki tidak sedar diri itu.
“Pernah ke saya komplen pada Encik Nazim selama ni? Tak pernahkan? Jadi tak
payahlah Encik Nazim nak sibuk saya sunyi atau pun tak. Kalau saya sunyi
sekalipun saya akan cari teman yang sesuai untuk menemankan saya. Bukannya
suami orang. Jadi tak payahlah nak menyibuk hal peribadi saya!” ujar Laila
semakin keras.
“Relaxlah.. jangan marah. Saya cuma tanya aja.”
“Tak payahlah tanya hal yang tak sepatutnya. Saya di sini untuk berkerja
bukannya bercinta atau mencari suami. Hal peribadi saya bukan urusan awak untuk
ambil tahu. Awak jaga rumahtangga awak dan saya jaga hidup saya. Adilkan? Kalau
takde apa-apa lagi saya pergi dulu.” Laila dengan penuh keberanian menempelak
lelaki itu.
Tidak menunggu lagi Laila terus berlalu. Lagi lama dia di situ semakin naik
tempo kemarahannya nanti. Lelaki ini bukannya boleh dilayan selalu. Kalau
dilayan semakin melalut lelaki itu jadinya. Selama enam bulan dia berkerja di
sini dia memang selalu dinasihati agar berhati-hati dengan lelaki bernama Nazim
itu. Bagi Laila bukan sekadar Nazim tetapi dengan semua lelaki akan dilakukan
perkara yang sama. Bukan Nazim sahaja yang pernah cuba untuk mengambil
kesempatan dengannya tetapi ramai lagi..
“Huh! Sombong betul! Macamlah bagus sangat!” desis Nazim geram. Biarpun
geram dia terus memandang lenggok wanita berbaju kurung itu berlalu.
Namun ketika dia berpaling untuk kembali ke pejabatnya dia tersentak
apabila terpanah olehnya pandangan seorang wanita. Serta merta riak wajahnya
berubah. Namun dia pura-pura tenang sambil melangkah ke arah wanita itu untuk
kembali ke pejabatnya.
“Awak buat apa tadi, Nazim?” tanya wanita itu kepada Nazim saat lelaki itu
melintasi tempat dia berdiri.
“Er.. takde apa-apa, puan.” Nazim menjawab dalam sedikit kegelabahan.
“Janganlah awak kacau dia. Cukup-cukuplah dengan yang lepas-lepas tu. Fokus
pada kerja awak itu lebih baik daripada awak mengganggu perempuan-perempuan
dalam pejabat ni. Laila tu staf saya. Saya tak suka awak ganggu dia,” wanita
itu menegur selamba. Tidak tertahan rasa meluatnya melihat lelaki ini menganggu
kakitangannya.
“Takdelah, puan. Saya cuma berbual aja dengan Laila. Saya sambung kerja
dulu,” jawab Nazim sebelum terus berlalu meninggalkan wanita itu. Bimbang lagi
banyak teguran yang akan didapatinya nanti.
Mata Nahij Lukman memandang ralik wanita
bertudung yang baru sahaja melintasi bilik Pengurus Projek itu. Lama matanya
menilik lenggok wanita itu. Nakal matanya memandang sehingga lelaki di
hadapannya itu tersenyum melihat gelagatnya.
“Hai.. sampai begitu sekali kau pandang. Kalau teleng kepala kau tu nanti
aku jugak yang susah nak hantar kau ke hospital.” Tegur Nazim sambil menggeleng
melihat telatah Lukman. Pantang nampak perempuan mulalah memandang sampai nak
terlondeh biji mata dari soketnya.
“Saja pandang. Bukan luak pun..” sambut Lukman dengan sedikit sengihan.
Kedua-dua telapak tangannya digeseknya bagaikan ada sesuatu yang mahu
dilakukannya saat itu. Buat seketika dia menoleh lagi mahu melihat lagi wanita
itu.
“Ingatkan dah bertaubat. Tak mahu main perempuan lagi?” perli Nazim sambil
mengerling kawannya itu sekilas. Saja mahu melihat reaksi Lukman.
Lukman menggaru kepalanya seketika. Dia tahu dirinya diperli Nazim.
“Susah nak pikat dia tu. Liar sikit.” Nazim terus bersuara tanpa disuruh
oleh Lukman. Sedar dirinya. Bukan hanya Lukman yang sanggup tertoleh-toleh
untuk melihat wanita itu sebaliknya dia juga lebih kurang sama sahaja. Balu
seperti Laila memang jelita.
“Liar? Kenapa pulak?” soal Lukman mula berminat. Dia memandang Nazim semula
setelah bayangan wanita itu langsung tidak dapat dilihatnya lagi. Tetapi di
dalam hati ada rasa tidak puas kerana dia suka melihat keayuan wanita yang
berkulit putih mulus itu.
“Janda...” Nazim berkata sambil tersengih.
“Janda liar ke? Bukan sepatutnya lagi jinak?” ulas Lukman pula. Dia menoleh
memandang lagi arah yang dilalui oleh wanita sebentar tadi. Cantik.. itulah
yang dinilai oleh hati kecilnya itu. Status janda wanita itu merupakan satu
bonus kepada kaum lelaki seperti mereka kerana selalunya wanita seperti itu mudah
diperdayakan kerana dilihat terdesak mahu bersuami lagi. Itu setahunyalah!
“Ni janda lain. Kau tengok ajalah dia tu. Alim, pakai tudung. Nak ajak
keluar sikit punya susah. Salah cakap aku disemburnya balik!” getus Nazim
menjawab sambil mencebik sedikit. Geram kerana ulahnya mahu memikat tidak
menjadi sebaliknya dia dibahasakan semula oleh Laila sebentar tadi. Masih
terngiang-ngiang bahasa Laila yang kedengaran lembut tetapi kesat itu.
Lukman mengeleng perlahan. Pakai tudung atau tidak baginya tiada bezanya
bagi wanita zaman ini. Ramai wanita yang bertudung sudah runtuh moralnya. Bukan
semua wanita tidak bertudung itu tidak baik. “Dia budak baru ke? Tak pernah pun
nampak sebelum ni?” tanya Lukman seolah berkenan.
“Baru tak barulah. Dah lebih lima bulan kat sini. Kau yang tak pernah
nampak dia sebab kau dah lama tak datang sini. Lagipun dia selalu memerap dalam
bilik dia. Dia akauntan kat sini,” jawab Nazim jujur. Memang begitulah Laila
selalunya. Hanya keluar bilik apabila perlu. Selalunya wanita itu akan duduk di
mejanya menyudahkan kerja. Jarang melepak di meja kakitangan lain apabila bos
tiada. Wanita itu memang komited orangnya.
“Kau dah try ke?” soal Lukman
kepada teman di hadapannya itu.
“Tengah trylah ni. Dapat pegang
sekali dua bagus juga. Tapi susah sikit. Dia tak mahu. Nampak aku aja terus
cabut. Aku tahu ramai dah kapur fikiran dia cakap aku ni playboy. Lagipun bukan
senang sebab dia berkerja bawah makcik kau. Bahaya aku kalau terkantoi,” ujar Nazim
bersungguh.
Lukman tertawa seketika. Peduli apa dia dengan makciknya itu. “Hai!
dengarnya kau ni banyak ilmu. Takkan dengan janda sisa orang ilmu kau tak jalan
kot? Ilmu dia lagi power dari ilmu
kau ke? Playboy amatur lagilah kiranya kau ni.” Lukman ketawa lagi saat
melontarkan sindirannya kepada Nazim. Puas hatinya dapat memulangkan sindiran
kepada Nazim semula.
Masam kelat wajah Nazim menahan pedih telinganya akibat disindir oleh
Lukman. Semakin menebal rasa bengangnya kerana gagal mendapatkan seorang wanita
yang sudah pernah berkahwin itu. Entah apa sialnya setiap kali dia mendekati
wanita itu akan pergi menjauh. Laila memang lain dari yang lain. Dia tidak
jinak seperti sesetengah wanita yang sukakan perhatian lelaki.
“Kau tak nak try? Cantik tu, Luk.
Rugi besar kalau tak dapat.” Nazim mula membaling umpan kepada Lukman pula.
Lukman lain. Kalau terkantoi mempermainkan Laila sekalipun tidak akan
menjejaskan kerjayanya kerana Lukman berkerja di syarikat lain. Lainlah dia.
Skandal di dalam pejabat merupakan satu kesalahan besar. Lagipun masakan makcik
si Lukman ini akan membunuh Lukman jika Laila mengadu apa-apa.
“Budak mana tu? Anak datuk ke bukan?” soal Lukman seakan tidak mendengar
kata-kata Nazim sebentar tadi.
“Budak Ipoh. Budak kampung je tu. Tapi setahu aku bapak dia pekebun biasa
aja,” ujar Nazim perlahan.
“Banyak juga kau tahu pasal dia ya? Kau dah pasang spy ke? Kau tahu ke kenapa dia bercerai? Jantan mana yang bodoh
sangat ceraikan bini cantik macam tu?” soal Lukman sedikit kehairanan. Bukan pula
pertanyaannya.
“Laki dia dah mati bukannya bercerai. Siapa sanggup nak ceraikan bini
cantik macam tu? Kalau aku tak keluar bilik dia aku kerjakan.” Nazim menjawab
memperbetulkan kata-kata Lukman itu sambil tergelak sendiri. Itu yang
diketahuinya daripada orang lain mengenai sejarah hidup Laila yang lalu. Lukman
juga ikut ketawa. Tahu benar perangai buaya darat Nazim.
“Oo... balulah ni. Kenapalah laki dia mati awal ya? Sayang bini cantik
macam tu kena tinggal begitu saja,” olok Lukman lantas tertawa. Begitu juga
Nazim. Gelihati pula dia dengan jenaka Lukman itu.
“Dengarnya bekas suaminya dulu tentera. Terhempas helikopter dengan dia-dia
sekali jalan!” Nazim turut menambah olokan Lukman tadi. Langsung tidak sedar
yang dia juga akan mati suatu hari nanti.
“Kasihan.. muda-muda lagi dah hilang suami,” ucap Lukman dengan simpati
yang tidak seberapa. Dalam hatinya bersyukur juga. Mati suami wanita itu
bermakna adalah jalan untuknya mendekati wanita secantik itu. “Kalau dah pakai tudung litup pun cantik kalau buka tudung entah
macamanalah rupanya ya?” entah kenapa ayat itu meluncur keluar dari dua ulas
bibir Lukman. Rasa kagum dan terujanya masih tidak mampu dihalau pergi apabila
membayangkan wanita itu.
Nazim terus ketawa mendengar kata-kata Lukman itu. “Gatal jugak kau ni ya?
Ingatkan anak bapak lagi! Baguslah kalau laki dia mati cepat. Kau juga yang
dapat hikmahnya. Kalau bini orang tak merasalah kau bodynya. Mantap tu, Luk.
Silap-silap tak keluar bilik kau dibuatnya. Ramping.. aku tengok pun geram,”
tokok Nazim mengiat Lukman pula.
“Kau ni.. tak sedar dah ada bini agaknya? Bagilah can pada aku pulak. Asyik
kau aja!” tukas Lukman sambil menggeleng memandang teman di hadapannya itu.
“Alah! Bini lain, yang sampingan ni lain. Kira snek waktu lapang aja ni.
Buat penyedap sekali sekala apa salahnya,” tokok Nazim lantas ketawa bangga
dengan sikap mata keranjangnya. Langsung tidak takut dosa.
Lukman hanya mampu menggeleng
melihat lelaki itu. Mata keranjang Nazim mengalahkan dia yang muda. Tak kira
siapa semuanya disapunya asalkan perempuan!
“Suka hati kaulah, Nazim. Jangan nanti kantoi makan tak habis kau
dibuatnya,” ujar Lukman sambil tersenyum memandang temannya itu.
“Pandai makan pandai simpanlah, bro.
Dah makan buat apa nak kecoh.”
Lukman terdiam. Automatik kepalanya terhala lagi ke arah tadi. Sekali lagi
mahu mencuba nasib untuk melihat bayang wanita itu. Tanpa sedar kelakuannya
diperhatikan Nazim yang sedang tercongok di hadapannya itu.
“Nak try ke?” soal Nazim agak
perlahan.
Sepantas kilat Lukman menoleh semula kepada Nazim di hadapannya itu. “Apa
dia?” tanyanya pantas.
“Nak try pikat dia ke? Solo lagi tu. Dengan aku memang tak jalan. Tak
tahulah kau yang muda belia ni. Mana tahu dengar kau anak Tan Sri dia nak
pulak? Nak cuba? Aku boleh kenalkan dengan kau,” pelawa Nazim bersungguh.
Lukman terdiam. Cuba memikirkan kata-kata temannya itu. Tetapi setelah dia
teringatkan kata-kata Nazim tadi yang wanita itu langsung tidak mahu melayannya
segera dia menggeleng tanda menolak. Bukannya apa. Jika dia mahu biarlah dia
sendiri yang pergi kepada wanita itu.
“Tak payahlah. Aku saja je tanya,” jawab Lukman akhirnya.
Berkerut kening Nazim melihat Lukman. “Tadi pandang macam nak tertanggal
biji mata. Bila aku nak kenalkan tak mahu pulak! Fikir baik-baik! Kalau kau tak
mahu aku mahu!” kata Nazim. Diakhir bicaranya dia ketawa pula.
Tawa Nazim disambut oleh oleh senyum kelat Lukman. Geram pula dia dengan
‘jantan tua’ di hadapannya ini. Gatal tak kena tempat! “Pikatlah kalau dia lalu
tengok muka kau tu. Jangan nanti dia tak dapat kerja kau terbang entah ke mana
dibuatnya,” ejek Lukman sinis.
“Perempuan ni mula-mula aja liat. Bila dah dapat sekali nak lagi! tak
percaya kau tengoklah nanti. Jangan dengki pulak kalau kau tengok aku berkepit
dengan dia nanti,” ucap Nazim sedikit bangga. Dia tahu dia memang pakar memikat
dan memperdayakan perempuan. Lebih pakar berbanding Lukman yang masih dianggap
sebagai budak hingusan. Playboy mentah!
Malas mahu melayan Nazim lagi Lukman segera meminta diri. Sewaktu berjalan
menuju ke pintu utama ruangan pejabat itu liar matanya mencari di mana gerangan
wanita itu berada. Matanya meligas ke kiri ke kanan untuk melihat lagi
kejelitaan janda muda yang diperkatakan oleh Nazim sebentar tadi. Saat dia
memandang ke sebuah bilik yang bercermin kaca dadanya berdegup kencang apabila
terpandang lagi wanita yang dilihatnya sebentar tadi sedang khusyuk melakukan
kerjanya. Bertambah tidak keruan perasaan Lukman apabila tidak semena-mena
wanita itu turut mengangkat kepala memandang kearahnya.
Lukman terpana. Panahan mata sang wanita yang hitam bersinar tajam bagaikan
menikam jauh ke lubuk hatinya. Renungan tajam itu berkilau indah sehingga
ketenangan hatinya berubah serta merta. Bagaikan ada dejavu yang menyapa. Sempat juga Lukman menilik nama di
hadapan pintu bilik wanita itu. Nama wanita itu disebutnya sekali lalu di dalam
hatinya.
“Siti Laila Huda..” Dalam senyuman Lukman berbisik sendirian.
Laila tergelak gelihati mendengar
lelucon teman sejawatnya itu. Bukan hanya dia yang ketawa sebaliknya kesemua
yang ada di situ juga ikut tergelak. Semuanya gara-gara gelaran ‘Nazim kayap
buta’ yang disebutkan oleh Marlina.
“Kau ni jahat tahu tak!” getus Anisah kepada temannya itu setelah usai
tawanya. Bahu Marlina ditamparnya geram. Hampir tersedak dia dengan jenaka yang
dibawa Marlina tadi.
“Nasib dialah. Siapa suruh buat perangai gatal. Nasib aku panggil dia kayap
buta. Kalau aku panggil dia jantan kemaruk betina, lagi teruk bunyinya.”
Marlina membalas selamba. Semakin seronok mengutuk Nazim apabila teman-teman
yang lain ikut melayan jenakanya.
“Aku memang meluat dengan dia tu. Walaupun aku ni lelaki tetapi aku ni
taklah sekronik si kayap buta tu. Ee... memalukan betul! Kadang-kadang bila aku
nampak dia tersengih-sengih pandang perempuan, aku rasa macam nak pergi tumbuk
aja dia tu.” Irfan yang turut semeja dengan mereka ikut menyampuk menambah
perasa bagi menghangatkan lagi topik yang sedang mereka perkatakan.
“Alah! Kau dengan Laila masih dikira baru kat sini. Dulu kalau kau tengok
perangai dia tu lagi menjengkelkan. Aku rasa bukan setakat nak tumbuk rasa nak
santau aja terus! Sekarang ni bila Tuan Haji Hamidon yang ambil alih tempat
Datuk Bakar dia mula slow sikit.
Kalau tak akak yang kerja tea lady tu pun nak dikacaunya. Aku sampai pernah
terfikir nak simbah ‘anu’ dia tu dengan asid. Biar tak boleh pakai terus!”
Anisah pula menambah cerita sambil menyuap makanannya.
“Dia tu sekali kena debik ramai-ramai kat luar baru dia insaf. Perangai dah
macam apa entah. Buat malu orang lelaki aja.” Sambut Irfan tanpa memandang
mereka. Dia asyik mengunyah nasinya sambil menceceh. Namun riak yang
digambarkan oleh wajahnya seolah tidak tersukat lagi kebenciannya kepada lelaki
bernama Nazim itu.
Laila sekadar mendengar sahaja sambil memandang teman-teman sepejabatnya
itu. Sesekali dia tunduk menyuap makanannya sambil menadah telinga kepada
perbualan mereka. Dia masih belum beroleh idea untuk menyampuk perbualan itu.
“Sekarang ni dah turn kau pulak,
Laila. Jangan nanti kau berhenti sebab dia dahlah. Banyak dah perempuan
berhenti sebab tak tahan kena ganggu dengan dia.” Anisah berkata kepada Laila
pula.
Laila memandang teman sepejabatnya itu sambil tersenyum kecil. “Insya-Allah,
tak begitu. Aku ni selagi boleh tahan aku tahan jelah. Lagipun bukan senang nak
cari kerja sekarang. Kena fikir banyak kali sebelum buat apa-apa keputusan,”
jawab Laila lembut. Soal Nazim memang malas mahu diperbesarkan. Selagi dia boleh
bertahan maka dia akan bertahan. Jika tidak dia akan membuat aduan kepada orang
atasan. Namun setakat ini Nazim memang tidak pernah melampaui batas. Tidak
pernah menyentuhnya seperti yang diceritakan orang lain tentang sikap Nazim
dahulu. Rasanya dia masih boleh bersabar lagi dengan kerenah lelaki itu.
“Tapi kalau kau dah tak tahan lebih baik kau berhenti aja, Laila. Daripada
kau tak tahan lepas tu kau terjerumus ke dalam perangkap dia sebab sayangkan
kerja. Nauzubillahiminzaliklah kalau kena dengan lelaki macam tu. Mintak
jauhlah! Mandi dengan bahan peluntur klorok sekoyanpun belum tentu boleh hilang
jijiknya. Eeei!! Geli..,” sambut Marlina pula.
“Betul.. betul.. aku sokong kata kau, Mar.” Irfan segera menyambut.
“Hey.. janganlah cakap macam tu. Seram aku dengar, Mar. Ada untung apa aku
gadai body pada dia? Kalau dapat emas
segunung puas juga hati tapi kalau setakat buat kotor badan aku aja baik tak
payah. Aku ni belum terdesak sehingga macam tu sekali. Nak berhenti memang
boleh tapi sekarang bukan senang nak dapat kerja. Aku kena cari kerja dulu
sebelum berhenti. Korang janganlah doakan yang tidak-tidak. Geli aku dengar apa
kau cakap tu Mar. Kalau kau dengar aku dah tergadai body kat dia tu maknanya
aku dah gilalah tu. Bukan aku yang ada kat depan korang sekarang.” Laila
menjawab agak tidak senang dengan kata-kata Marlina. Geli geleman tubuhnya saat
membayangkan tubuhnya dijamah oleh lelaki bernama Nazim itu. Sudahlah tidak
hensem, muka berminyaknya itu sudah cukup meloyakan untuk dia memandang
lama-lama.
Mereka tergelak seketika. Namun dalam tawa itu sebenarnya masing-masing
tidak suka dengan lelaki yang bernama Nazim itu. Masing-masing seronok mengutuk
dan mengata lelaki itu.
“Kalau dia melebih sangat kau lapor aja pada Puan Maznah. Tuan Haji Hamidon
pun bukan suka sangat dengan benda ni semua. Orang tua tu kan alim? Dia memang
pantang kalau kita buat kerja yang bukan-bukan ni. Dulu Tuan Haji Hamidon
pernah pecat eksekutif dia sebab rasuah. Tuan Haji tu bagus. Dia memang jaga
semua staff termasuklah staff bawahan.” Anisah memberi cadangan yang dirasakan
baik untuk Laila.
“Setakat ni takdelah dia melebih sangat bila dekat dengan aku. Biasa aja. Cuma
aku ni aja yang rimas bila dia asyik nak beramah tamah dengan aku sedangkan aku
ni banyak kerja nak buat. Belum pernah lagilah dia tu meraba ke atau pegang aku
kat mana-mana. Tapi kalau dia buat macam tu takkanlah aku nak tergelak suka
pulak. Mestilah aku akan bagi dia penampar sedas sebelum laporkan. Jangan
bimbang, Nisa. Aku akan buat apa yang kau suruh tu.” Laila menjawab lembut. Akur
dengan peringatan yang diberikan oleh teman-temannya itu.
“Kalau dia buat kau macam tu kau cakap dengan aku. Tak dapat kenakan kat
sini aku panggil kawan aku bantai dia kat luar. Biar padan dengan muka dia!”
ujar Irfan yang turut mahu menawarkan bantuan.
“Janganlah, Fan. Nanti kalau sampai jadi kes polis kau juga yang susah. Tak
payahlah buat sampai macam tu sekali. Lagipun kalau setakat Nazim tu seorang
kalau kena dengan abang aku celah gigi dia aja. Kalau aku nak kenakan dia
dengan cara macam tu tak payah aku susah-susah bayar duit pasang kaki pukul.
Abang aku Arman memang dah macam kaki pukul,” ujar Laila sambil memandang
mereka bergilir.
“Abang kau kaki pukul ke, Laila?” soal Marlina sedikit terkejut.
“Bukanlah kaki pukul. Aku kata macam kaki pukul..” sambut Laila sambil
tergelak. Teringat dia kepada abangnya Arman yang sedang bertugas di Kem Bukit
Jugra itu. Askar komando seperti abangnya sememangnya dilatih tahan dengan
penderaan pihak musuh dan turut diajarkan ilmu mempertahankan diri agar tidak
mudah kalah dengan musuh. Lagipun abangnya memang ada belajar ilmu persilatan
semejak zaman sekolah dahulu juga masih aktif mempelajari ilmu itu sehingga
kini.
“Orang macam tu kena ajar sikit baru dia tahu. Tak pun anu dia tu potong
lepas tu buang dalam kolam buaya. Biar buaya makan.” Irfan semakin seronok
membuat cadangan mengarutnya. Kemudian dia ketawa bersama yang lain.
“Entah-entah buaya pun tak nak makan anu dia. Buaya pun tak mahu sebab
takut terkena kayap..” dalam tawanya Marlina masih sempat menambah lagi dengan
lawaknya.
Kah.. kah.. kah.. kah.. tersembur-sembur mereka ketawa. Laila juga akhirnya
ikut tergelak akibat tidak tahan dengan jenaka Marlina yang cukup pedas itu.
Namun mereka segera mengawal tawa setelah terpandangkan pandangan mata ketua
mereka Puan Maznah dari jauh. Namun seketika kemudian wanita awal lima puluhan
itu tersenyum sahaja melihat keletah anak-anak buahnya.
Lama mata tua itu memandang
Laila yang tunduk menyuap makanan. Acap kali dia memerhatikan wanita itu tanpa
disedari oleh Laila. Buat seketika dia tersenyum sendiri. Senang sekali
memerhatikan keperibadian wanita itu. Sikap wanita itu memang sederhana namun
disenangi ramai. Pendek kata jika dia punya anak lelaki seusia itu pasti mahu
dijodohkan dengan Laila. Pakej-pakej sebagai wanita yang ada pada balu muda itu
cukup lengkap. Pasti bertuah lelaki yang dapat menyunting wanita itu kelak.
Puan Maznah berfikir sendirian sambil memerhatikan kakitangan bawahannya itu.
Namun seketika kemudian dia melihat meja itu didekati seseorang. Mata Puan
Maznah terus memerhatikan Nazim yang cuba menegur Laila di mejanya. Jelas
sekali keterpaksaan Laila dalam pada melayan ulah lelaki itu. Riak tidak ikhlas
jelas terpampang di wajah wanita muda itu ketika melayani gelagat miang Nazim.
Mujur juga keadaan itu tidak berlangsung lama. Nazim bergegas pergi dari
kawasan itu.
Seketika kemudian Puan Maznah menggeleng berberapa kali. Geramnya tidak terluah
dengan perangai lelaki bernama Nazim itu. Sudah acap kali dia mengulangi
perangai kaki perempuannya sehingga membuatkan ramai kakitangan wanita di
tempat kerja mereka berhenti kerja. Walaupun sudah ditergur berkali-kali
nampaknya Nazim langsung tidak gentar. Puan Maznah tahu kali ini dia tidak
harus memandang sahaja. Dia harus bertindak sesuatu untuk melindungi kesemua
pekerja wanitanya.
Namun tidak hairan juga jika dia melihat Nazim asyik menggangu Laila.
Kerana pada mata Puan Maznah, Laila memang cantik orangnya. Ketika dia
menemuduga wanita itu dahulu dia mendapat tahu yang Laila pernah bersuami.
Sayang sekali dalam usia sebegitu muda dia sudah kehilangan suami. Laila
setahunya masih menyendiri sehingga kini.
Kasihan dia.. keluh hati wanita tua itu.
Suatu petang..
Setelah semua kakitangan pulang ke rumah Laila terpaksa berhadapan lagi
dengan Nazim. Kali ini bukan lagi secara tidak sengaja sebaliknya Nazim memang
berniat mahu mendekati Laila di biliknya.
Lelaki itu segera masuk ke bilik Laila sambil merapatkan pintu yang
sememangnya sentiasa dibiar terbuka luas oleh Laila. Perbuatan lelaki itu
membuatkan Laila mula merasa tidak senang. Ada sedikit rasa gentar mula
merantai dirinya melihat derap Nazim mendekati mejanya.
“Belum balik lagi?” tanya Nazim sambil tersengih.
“Encik Nazim nampak dengan jelaskan saya masih di sini? Jadi maknanya saya
belum baliklah.” Laila menjawab sedikit kasar saat hati mulai dikuasai oleh
rasa bengangnya dengan lelaki ini. Tangannya pantas mengemas mejanya yang
sedikit berselerak sebagai persediaan untuk pulang.
“Awak ni rajin betullah, Laila. Selalu balik lambat. Bertuah syarikat ada
pekerja rajin macam awak,” puji Nazim masih tidak berputus asa mahu mendekati
Laila. Wajah manis itu tidak lepas dari pandangannya.
“Saya rajin sebab saya nak cari rezeki yang halal, Encik Nazim. Lagipun
kerja saya memang banyak. Kalau saya tak siapkan siapa pulak yang nak buat
nanti?” balas Laila masih seperti tadi. Tiada kemesraan langsung dalam nadanya.
Niatnya hanya satu! Biarlah Nazim mengerti yang dia tidak suka dan lekas
berlalu.
Namun Nazim masih juga di situ. Geram betul dia! Laila mengerling sekilas
lelaki itu yang berdiri di hadapan mejanya. Dia sudah mula buntu untuk
menghentikan ganguan lelaki ini kepadanya. Haruskah dia melaporkan kepada pihak
atasan?
“Lepas ni awak ke mana?”
“Balik!”
“Awal lagi nak balik rumah. Kita keluar ke mana-mana mahu?” ajak Nazim
tanpa tahu rasa berputus asa kepada janda muda ini.
Laila menghela nafas bosan dengan lelaki di hadapannya itu. Terhenti segala
kerja yang sedang dilakukannya akibat rasa marah yang mula menguasai diri.
“Encik Nazim ni dah takde kerja lain ke?” luah Laila dalam bentakkan yang
tertahan.
“Saya tak faham..” balas Nazim masih selamba.
“Saya rasa encik patut berhenti mengajak saya keluar sebab saya dah mula
bosan dengan semua ni. Saya tak mahu keluar kemana-mana dengan Encik Nazim.
Rasanya dah beratus kali saya katakan benda yang sama. Saya dah tak tahu nak
cakap macamana lagi supaya encik faham apa yang saya katakan tadi. Saya di sini
nak berkerja. Encik tolonglah jangan ganggu saya. Saya hormat pada encik sebab
encik Nazim ni berpangkat lebih tinggi dari saya dan lebih tua dari abang saya
yang sulung. Jadi encik tolonglah jangan buat saya hilang rasa hormat pada
encik. Saya bukan macam perempuan lain yang senang dibawa ke sana ke mari,
Encik Nazim! Tolonglah jangan ganggu saya!” ujar Laila agak keras.
Bicara Laila membuatkan riak di wajah Nazim berubah sedikit saat itu. Kini
dia akui Laila nampak sahaja lembut tetapi dia seorang yang tegas rupanya. Bukan
mudah untuk menundukkan Laila pada kehebatan seorang lelaki. Wanita itu keras
hati! Itulah penilaian Nazim pada mata lelakinya yang miang itu.
“Saya bukannya nak buat apa-apa pada awak, Laila. Saya cuma nak berkawan.
Takkan itupun salah?” balas Nazim lembut. Sengihan miang yang terpamir sedari
tadi sudah menghilang. Terkilan juga dia dengan penolakan Laila kali ini. Bicara
Laila yang pedas itu juga sudah merubah keterujaannya.
“Kalau kita tak berkawan sekali pun itu tak menjadi satu kesalahan!
Semenjak dulu pergaulan saya dengan lelaki memang amat terbatas. Apatah lagi
dengan lelaki yang dah beristeri dan lelaki yang baru lima bulan lebih saya kenali
di sini. Saya memang tak banyak kawan lelaki selama ni, Encik Nazim. Sebab saya
rasa selesa macam ni. Saya tak mahu daripada hubungan yang dikatakan sahabat
akhirnya timbul fitnah yang bukan-bukan. Lebih teruk lagi hubungan ni
mendekatkan kita pada dosa zina. Lebih dasyat lagi hubungan Encik Nazim suami
isteri berantakan kerana saya. Saya takut hukuman ALLAH di akhirat nanti. Saya
rasa Encik Nazim juga patut berpendirian begitu. Sebab hidup atas dunia ni
bukan nikmat hubungan seks saja yang harus dikejar sebaliknya kita harus
mengejar kenikmatan abadi di akhirat nanti. Itukan matlamat kita hidup atas
dunia ni? Mengejar reda Allah. Bukannya hidup bergelumang dosa dan maksiat.
Ingatlah.. Allah melihat kita semua, Encik Nazim. Setiap dosa yang kita lakukan
Allah akan balas dengan azab siksa yang tak tertanggung. Paling utama sekali..
semakin berusia kita semakin dekat kita dengan kematian. Encik Nazim tak takut
mati ke? Tak takut azab Allah? Kalau sekadar nafsu yang bersifat ilusi itu pun
tak mampu nak tahan macamana nak tahan azab Allah nanti? Encik Nazim dah ada
isteri, kembalilah pada yang halal. Jangan asyik nak mengajak saya keluar. Saya
bosan!” Laila dengan berani menempelak lelaki itu. Saat ini kesabarannya sudah
menipis senipis bawang.
Nazim terkumpal-kumpal tidak mampu menjawab apabila Laila sudah memulakan
ceramah bab agamanya. Tebal juga mukanya apabila Laila dengan berani sekali
menegurnya begitu. Selama ini tidak pernah ada mana-mana perempuan berani
menceramahkan lubang telinganya ini tentang perihal berkaitan agama seperti
itu. Bicara Laila yang lantang bagaikan sudah membuka lubang-lubang
kejahilannya.
“Saya rasa lebih baik encik keluar sekarang sebelum saya laporkan pada
pihak pengurusan.” Laila mengancam pula lelaki itu apabila dilihatnya Nazim
seakan kalah berbicara.
“Awak ni sombong sangatlah, Laila. Setakat nak ajak keluarpun awak nak
ceramah saya sampai macam ni,” desis Nazim kesal. Rasa malunya masih tidak
mampu dikikis.
“Saya cuma ingatkan kalau-kalau encik tak ingat. Perbuatan encik ni tak
elok. Saya tak suka dan saya rasa kalau isteri encik Nazim dapat tahu dia mesti
sedih. Saya tak mahu ada perempuan lain menangis disebabkan saya. Kerana itu
saya cakap begitu dengan encik tadi. Maaflah kalau saya dah berkasar. Rasanya
lebih baik encik balik aja. Takut-takut nanti saya buka pula ceramah agama bab
lain telinga encik tak tahan aja nanti. Saya tak berniat nak malukan encik tapi
encik pun jagalah tingkah laku. Jangan sampai tingkah laku encik tu yang
memalukan diri encik sendiri!” jawab Laila selamba.
Nazim mendegus tidak senang. Tanpa kata dia terus berpaling untuk berlalu.
“Tolong buka balik pintu tu!” ucap Laila tegas tatkala lelaki itu memegang
tombol pintu. Tajam renungannya kepada Nazim yang memandangnya semula. Seketika
kemudian lelaki itu berlalu dengan wajah mencuka.
Laila menghela nafas lega setelah lelaki itu meninggalkan biliknya. Lama
dia memandang kelibat Nazim sehinggalah lelaki itu menghilang dari pandangan
matanya. Bagaikan tidak percaya dia dengan keberanian yang ada untuk membahasakan
lelaki itu. Mungkin sebenarnya dia sudah tidak tertahan dengan gangguan lelaki
itu. Syukur kerana Allah sudah menyelamatkannya daripada lelaki itu.
Ah! Sebenarnya Laila sedar, dia jadi seberani ini kerana dia sedar pejabat
ini tidak kosong sepenuhnya pada waktu seperti ini. Puan Maznah masih ada di
biliknya seperti selalu. Wanita itu selalunya hanya akan pulang selepas selesai
solat maghrib kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya. Malahan di hadapan
pintu utama pejabat dan bangunan ini ada beberapa pengawal keselamatan
ditempatkan selama 24 jam untuk memantau keadaan. Di setiap pelusuk ruangan
pejabat juga terdapat kamera cctv yang dipasang bagi mengelakkan kejadian curi
di pejabat ini. Kerana itu Laila tidak bimbang apabila pulang lewat dari
pejabat setiap hari. Saat ini dia amat berharap bedilan bicaranya sebentar tadi
akan membuatkan Nazim berputus asa selama-lamanya. Kerana tiada sekelumit
rasanya untuk melayan kemiangan lelaki itu!
Bab 9
“Laila..” Laila
segera mengangkat pandangan apabila terdengar namanya dipanggil seseorang. Pena
di tangannya segera diletakkan apabila ternampak Puan Maznah memasuki biliknya
itu. Dia mahu bangun dari kerusinya tanda menghormati ketuanya itu tetapi
wanita itu segera menghalangnya.
“Duduklah. Kamu sibuk ke?” soal wanita itu lembut. Dia
tersenyum menatap Laila.
“Sibuk jugak. Kenapa, puan?” balas Laila sedikit
tertanya-tanya tentang kehadiran Puan Maznah ke bilik itu. Sudah pasti ada yang
penting untuk diperkatakan. Aku ada buat salah ke?
Sempat juga Laila membelek segala tindakannya selama ini. Mana tahu ada yang
kekurangan.
“Kita makan bersama hari ni? Ada benda yang saya nak
bincangkan dengan awak. Penting! Saya mahu kita
berdua saja hari ini.” Puan Maznah meluahkan hajatnya sambil merenung mesra
pekerja di bawah jagaannya itu. Harap-harap Laila sudi
menyambut pelawaannya.
Laila diam seketika namun melihat wanita itu benar-benar
bersungguh dengan ajakannya terus sahaja dia mengangguk. Lagipun Puan Maznah
ada mengatakan mahu berbincang sesuatu dengannya. Masakan dia sanggup
menghampakan bosnya itu?
“Jam satu nanti awak panggil saya di bilik?”
“Insya-Allah, puan..”
Puan Maznah terus berlalu setelah itu. Lama Laila memerhatikan langkah wanita gempal itu dengan segala macam persoalan di benak.
Pelik juga dia kerana tidak pernah sekalipun selama dia berkerja di sini wanita
itu mengajaknya makan bersama. Pasti ada perkara yang penting sehinggakan
wanita itu mengajaknya makan bersama. Tidak dapat ditahan dia tertanya-tanya sendiri apakah hal yang mahu dibincangkan oleh Puan
Maznah dengannya. Sebahagian dirinya mulai tidak sabar untuk tiba ke jam satu
tengahari itu.
Jam satu yang dijanjikan Puan Maznah membawa Laila makan
di luar bangunan pejabat mereka. Sengaja mengajak Laila ke tempat lain kerana
dia tidak mahu kakitangan lain melihat dia makan bersama Laila. Lebih dari itu
dia sebenarnya tidak mahu apa yang dibincangkannya dengan Laila didengari oleh
kakitangan lain.
Mereka menikmati makan tengahari di Italianies Garden
Mall. Pada mulanya Puan Maznah lebih banyak bertanya soal tugas Laila di syarikat ini. Laila hanya menjawab apa
yang sepatutnya. Perbualan mereka lebih santai sambil menikmati makanan di
situ.
Sebenarnya inilah pertama kali Laila makan di restoran
barat ini. Sedaya upaya dia cuba juga membawa dirinya dalam suasana baru ini
sebaiknya walaupun makanan yang sedang dimakannya ini kelihatan agak aneh. Namun rasanya boleh tahan juga. Enak! Suasana restoran juga agak tenteram tanpa suasana bising
dengan perbualan orang sekeliling.
“Ada tujuannya mengapa saya bawa
awak ke sini. Saya sebenarnya tak mahu apa yang saya nak bincangkan
dengan awak ni didengari oleh pekerja lain. Tak elok kalau mereka tahu apa yang
saya buat ni. Sebab tu saya sengaja ajak awak makan jauh sikit dari pejabat.”
Puan Maznah memulakan bicara kepada pokok perkara yang mahu dibincangkan dengan
Laila setelah lama mereka sekadar berbual biasa. Mungkin lebih baik mereka
berbincang setelah selesai makan.
“Kenapa pulak macam tu,
puan?” Laila membalas lembut dalam kekeliruan. Sikap
Puan Maznah yang seakan sengaja mahu berteka teki dengannya semakin mengusutkan
fikiran.
“Sebab apa yang saya buat ni tak elok untuk syarikat.
Macam mengkhianati syarikat tempat saya bekerja.” Puan Maznah menjawab perlahan
bersama sedikit senyuman.
“Saya tak faham..” ujar Laila semakin tidak mengerti.
Puan Maznah tersenyum seketika. Wajah manis Laila tidak
jemu ditatapnya. Laila yang berkulit putih dan senyumannya memang menawan.
Matanya yang hitam bersinar itu membuatkan orang lain suka merenung matanya
saat berlawan bicara dengannya. Roman serius wajahnya
semakin menyerlahkan kematangannya sebagai wanita. Sekali lagi hati Puan Maznah
disapa kekaguman saat memandang wanita ini secara dekat.
“Kalau awak nak tahu, saya selalu perhatikan awak, Laila.
Cara awak berkerja memang saya suka. Awak komited dan bijak. Tak sepatutnya
awak di sini. Maksud saya, peluang awak akan lebih cerah jika awak di syarikat
yang lebih besar. Banyak kelebihan yang awak akan dapat di syarikat yang lebih
besar dan banyak yang awak boleh pelajari sekiranya sektor perniagaan sesebuah
syarikat itu lebih meluas.” Puan Maznah akhirnya memulakan mukadimahnya setelah
puas memandang Laila. Selebihnya dia tidak mahu Laila hairan pula dengan
tingkahnya saat itu. Lagipun waktu makan tengahari mereka bersisa sedikit
sahaja.
Laila akui apa yang dikatakan oleh ketuanya itu benar
tetapi buat masa ini tawaran kerja untuknya agak terhad jadi dia terima sahaja
apa yang ada.
“Pernah dengar tentang UMBS Holding?” soal Puan Maznah
setelah mendiamkan diri seketika.
Laila terus sahaja mengangguk. Nama besar seperti itu
selalu terdapat di dalam berita di tv dan surat khabar. Setahunya syarikat itu
adalah sebuah syarikat gergasi yang menjalankan perniagaan import eksport
perkapalan.
“Suami saya baru sahaja dilantik sebagai General Manager dalam syarikat itu. Jadi
dia ada meminta saya untuk mencarikan seorang akauntan terlatih untuk berkerja
bagi syarikat itu. Selepas dia bercakap dengan saya tentang itu terus saya
terbayangkan awak. Saya rasa mungkin awak orang
yang dia maksudkan.”
Laila memandang wanita di hadapannya itu dengan mata yang
terkelip-kelip. Kata-kata Puan Maznah membuatkan dia bagaikan berada
diawang-awangan mimpi. Ada rasa tidak percaya menerpa
dirinya. Dia? Berkerja dengan UMBS Holding? Mimpikah dia? Apa yang hebat
tentang dirinya sehingga wanita itu terbayangkan dia sebagai calon yang
dimahukan oleh suaminya itu? Bertalu-talu soalan itu ditanyakan kepada dirinya
yang masih tidak percaya.
“Saya percaya peluang awak akan lebih cerah di sana,
Laila. Awak ada potensi untuk berjaya kerana saya suka dengan cara awak yang
cukup berdisiplin dan komited pada tugas awak. Awak juga seorang yang teliti
dengan setiap kerja awak. Bukan senang menjadi seorang akauntan tetapi saya
nampak awak cekap dengan kerja awak.”
“Tapi saya kurang berpengalaman, puan. Suami puan mencari
akauntan terlatih sedangkan saya masih kurang pengalaman. Nak dikatakan
terlatih masih jauh agaknya,” ujar Laila tanpa lekas terlena dengan pujian itu.
Dia sedar akan hakikat yang ada pada dirinya. Dia baru
memasuki usia 26 tahun. Masih terlalu muda untuk mengharungi cabaran sebesar
itu. Takut dengan pengalaman yang tidak seberapa yang
ada padanya ini, tidak tergalas dia tanggungjawab yang diberikan nanti.
“Pengalaman akan datang setelah awak mencarinya. Jangan
tolak peluang ini. Sayang masa depan awak jika awak terus bersama dengan
syarikat kita sekarang. Gaji awak tak sebesar mana dan peluang awak untuk
menimba pengalaman juga agak terhad. Dalam syarikat besar bukan hanya ada awak
sebagai akauntan tetapi ada ramai lagi yang lain. Dengan adanya mereka yang
berpengalaman awak boleh menimba lebih banyak pengetahuan dari mereka selain
daripada pakej gaji yang lebih menarik dan insentif lain sebagai pekerja. Semua
tu awak takkan dapat di tempat awak duduk sekarang.”
“UMBS Holding syarikat ternama. Saya takut saya tak cukup
hebat untuk mereka. Saya masih baru dan terlalu muda untuk syarikat besar
seperti itu,” jawab Laila yang masih dibaluti keraguan.
Puan Maznah tersenyum lembut. Kegusaran Laila
sudah mampu lama dijangkanya semenjak awal lagi. Tetapi dia menganggap itu
semua lumrah bagi yang kurang pengalaman berkerja. Dia tahu Laila masih baru
dalam semua ini.
“Usaha tu tangga kejayaan, Laila. Takde seorang pun yang
dilahirkan di dalam dunia ni terus sahaja pandai dalam masa sehari. Kita kena
melalui peringkat pembelajaran sehinggalah kita mahir. Begitu juga dengan awak.
Kerana awak mudalah saya mahu peluang ini diberikan kepada awak kerana inilah
saat yang paling baik untuk awak membina kerjaya awak. Saya pandang awak lebih
layak berbanding yang lain kerana awak memang rajin. Berusahalah sehabis baik
disamping itu awak perlu belajar untuk menjadi yang setara dengan mereka yang berpengalaman.
Jangan malu bertanya jika awak rasa awak baru dengan kerja itu. Insya-Allah,
takde apa yang mustahil di dalam dunia ni kalau kita berusaha. Yakin dengan
diri awak sendiri, Laila. Kalau saya mampu melihat potensi tu dalam diri awak
masakan awak nak merendahkan diri awak sebegitu sekali?” Puan Maznah menasihati
Laila lembut. Gayanya bukan lagi seperti seorang ketua tetapi seperti seorang
guru kepada muridnya.
Laila diam namun akalnya terus mempertimbangkan kata-kata
Puan Maznah itu. Bohonglah jika dia tidak tertarik dengan tawaran itu. Tetapi
sebenarnya dia masih ragu dengan keupayaan dirinya. Apa tidaknya, dia masih
baru di dalam bidang ini. Pengalamannya tidak setara mana. Sebelum ini dia
berkerja secara kontrak selama setahun di sebuah syarikat kewangan. Kemudian
apabila kontraknya tamat dia berkerja dengan syarikat sekarang yang mana belum
cukup setahun. Dia juga sebenarnya masih dikira fresh graduted. Namun dia amat bersyukur jika benar pandangan Puan
Maznah menyatakan yang dia lebih layak berbanding dengan yang lain.
“Bagaimana? Awak nak menyahut cabaran ni?” tanya Puan
Maznah sambil tersenyum menatap Laila.
“Boleh saya fikir dulu, puan? Bukannya apa. Saya tak mahu
apa yang dikejar tak dapat nanti apa yang saya ada keciciran. Bukan senang mencari
pekerjaan sekarang ni,” jawab Laila lembut.
“Boleh. Kenapa tidak? Ambillah masa untuk fikirkan. Bila
awak dah ada jawapannya nanti bagi tahu saya,” sambut Puan Maznah kelegaan.
Selebihnya dia berdoa agar wanita ini segera dijauhkan dari lelaki seperti
Nazim.
Laila mengangguk sambil tersenyum kepada wanita itu.
“Terima kasih sebab Puan Maznah memandang saya seistimewa itu. Memang kalau
boleh semua orang mahukan peluang yang lebih baik dalam hidup mereka tetapi
tidak semua yang akan dapat peluang sebaik ini. Saya akan fikirkan
sebaik-baiknya apa yang puan katakan pada saya tadi.”
“Umur awak baru 26 kan, Laila?” kali ini topik perbualan
mereka sudah sedikit melencong dari apa yang Puan Maznah ucapkan sebelum ini.
Namun Laila terus mengangguk sebagai jawapan.
“Saya juga ada anak perempuan hampir sebaya dengan awak.
Cuma anak saya tidak berada di dalam bidang ini. Dia lebih suka kepada bidang
Medical. Dia pun masih belajar lagi sekarang. Sebenarnya saya memang suka
perhatikan awak. Awak tak banyak cakap. Awak lebih suka buat kerja daripada
berbual kosong. Itulah yang paling saya suka tentang awak. Kadang-kadang
fikiran saya ni melalut sampaikan saya teringin pulak nak bermenantukan awak
kalau saya ada anak lelaki sebaya awak. Tapi sayangnya anak lelaki saya yang
sulung muda enam tahun dari awak. Tak sesuai pulak nampak gayanya,” ujar Puan
Maznah sambil ketawa perlahan.
Laila sedikit tersentak dengan jenaka selamba wanita itu.
Ke situ pula perginya fikiran orang tua ini. Puan Maznah ketawa lagi apabila melihat
perubahan di wajah Laila.
“Saya tahu apa yang awak fikirkan. Selama ni saya jarang
menegur awak jadi awak ingat saya tak pedulikan awak? Sebagai ketua jabatan
saya selalu menilai pekerja bawahan saya. Tak terkecuali awak. Awak takde teman
lelaki? Tak keterlaluankan kalau saya bertanya soalan yang lebih bersifat
peribadi?” Puan Maznah memandang Laila mesra. Saat ini ingin digunakannya
sebaiknya untuk mengenali wanita ini dengan lebih dekat.
Laila menggeleng bagi soalan yang penghabisan itu. Namun
wajahnya memudar seketika. “Saya ni janda, puan.” Laila menjawab jujur. Istilah
teman lelaki langsung tiada dalam kamus hidupnya buat masa ini. Masa hadapan?
Entahlah! Dia sendiri tidak tahu.
“Saya tahu. Dulu awak ada
bagitahu saya yang awak kematian suami hampir empat tahun lepas. Awak sebenarnya
balu bukannya janda. Saya pun ada mendengar orang bercerita tentang kisah hidup
awak sebelum ini. Jadi apa masalahnya? Balu atau janda tak perlu ada teman
lelaki? Balu atau janda atau apa sekalipun semuanya perlukan teman hidup,”
sambut Puan Maznah cuba bersikap optimis. Baginya tidak hina menggalas gelaran
sebagai janda mahupun balu. Semuanya makhluk Allah.
Laila cuba untuk tersenyum
namun kelat senyumannya sekelat perasaannya apabila
dirinya dibawa ke arah soal itu. Ada kepiluan menerjah ruang hatinya
apabila kenangan lama itu kembali melata di bibirnya.
Pahit! Perit! Itulah yang dirasakan selama ini. Bukan mudah untuk dia melupakan cinta
pertama yang pernah singgah dalam hidupnya.
“Suami awak meninggal sebab apa, Laila?” Puan Maznah yang
tidak menyedari apa yang sedang berlaku kepada Laila melanjutkan lagi
pertanyaannya.
“Arwah suami saya bekas juruterbang tentera udara. Dia
meninggal dunia dalam nahas pesawat waktu membuat penerbangan ihsan dalam misi
bantuan untuk penduduk di sebuah kampong di Bau, Sarawak kira-kira empat tahun
lepas. Waktu tu saya masih menuntut di UM baru ditahun kedua. Sebenarnya waktu
tu pun kami baru empat bulan berkahwin.”
“Kasihan awak. Memang dugaan dari Allah ni kita takkan
jangka bila masa datangnya,” komen Puan Maznah perlahan.
“Memang betul. Saya akui waktu tu saya memang tak cukup
bersedia untuk menerima kehilangan dia tapi biar apa pun keadaannya saya takkan
boleh halang dia pergi kerana kita semua adalah milik Allah. Arwah hilang
selama beberapa hari waktu kejadian tu. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa
sengsaranya saya menanti berita dari pihak yang sedang berusaha mencari arwah
suami saya. Hanya selepas sembilan hari barulah mereka jumpa jasad arwah. Tapi
waktu tu arwah memang dah meninggal dunia. Dia orang terakhir yang dijumpai
dalam kejadian tu.” Laila bercerita lagi tentang kisah hidupnya.
Terdiam seketika
Puan Maznah mendengar cerita Laila itu. Simpatinya melimpah ruah kepada wanita
muda itu. Di mata Laila dia masih melihat ada kepiluan yang masih tertinggal
akibat peristiwa lama itu.
“Selepas itu awak
tak pernah cuba berkawan dengan sesiapa? Mana tahu dengan berkenalan dan
mengenali hati budi orang lain pintu hati awak akan terbuka untuk orang lain.”
Laila pantas menggeleng bersama sebuah senyuman tawar.
“Walaupun dah hampir empat tahun berlalu tapi traumanya masih ada. Memang sakit
bila kita kehilangan seseorang. Secara jujurnya saya tak mampu menerima sesiapa
di dalam hidup saya sebab saya masih teringatkan dia. Selepas dia saya memang
tak berminat nak berteman dengan sesiapa. Bukannya takde yang datang tapi
memang hati saya belum terbuka lagi nak mencari pengganti,” jawab Laila
perlahan. Entah kenapa dengan rela hati dia akhirnya membuka rahsia hatinya
selama ini di hadapan Puan Maznah.
Puan Maznah memandang Laila sayu. Dia kasihan melihat
perempuan muda di hadapannya ini. Masih muda tetapi sudah diduga dengan cabaran
yang amat berat. Tetapi selama ini dia melihat Laila kelihatan baik-baik sahaja
di hadapan matanya. Itu membuatkan dia sedar Allah menduga manusia kemudian
Allah kirimkan juga ketabahan untuk membuat manusia bertahan.
“Allah takkan menzalimi umat-Nya, Laila. Tidak selamanya
kita akan berduka sahaja. Banyakkan lagi berdoa. Insya-Allah, suatu hari nanti
awak akan bertemu dengan seseorang yang akan menemani awak sehingga ke akhir
hayat awak. Mungkin bukan hari ni tapi insya-Allah suatu hari nanti mesti ada
yang akan datang mengambil tempat arwah suami awak dalam hati awak. Semua orang
sudah ditentukan akan hidup berpasang-pasangan,” nasihat Puan Maznah lembut.
Nadanya mula kedengaran seperti seorang ibu bukan lagi
seorang bos.
Hati Laila tersentuh. Sekoyong-koyong itu raut sang emak
melintasi ruang kenangannya. Laila tunduk seketika dalam menahan kerinduannya
pada sang ibu. Sudah lama dia tidak menjenguk pusara
arwah emaknya semenjak aidilfitri yang lalu.
“Harap-harap begitulah, Puan Maznah. Saya pun macam orang
lain juga. Ada impian untuk memiliki sebuah keluarga.
Ada anak-anak yang akan menjaga saya pada masa saya sudah tua. Saya bukan
selamanya akan muda. Cuma buat masa ini empat tahun masih tidak cukup untuk
saya melupakan kesakitan masa lalu.”
“Saya faham. Memang sakit bila kita kehilangan sesuatu
yang amat kita sayang. Awak tak ramai kawan lelaki?”
Laila menggeleng terlebih dahulu. “Yang ada pun cuma
kawan-kawan seuniversiti dulu. Itupun tak berapa akrab sangat.” Saat itu dia
terbayangkan wajah Asmadi. Hanya Asmadilah kawan lelaki yang agak rapat
dengannya. Itupun sudah berbulan dia tidak bertemu Asmadi. Asmadi kini sudah
berkahwin dengan Hamidah sebaik sahaja mereka tamat pengajian dahulu. Mungkin
kini mereka berdua sedang bahagia meniti alam berumahtangga.
“Nazim pulak macamana dengan awak?”
Laila tersentak apabila
telinganya disapa soalan itu. Lama dia memandang Puan Maznah apabila
nama itu disebut oleh wanita itu. Ada rasa kaget dan hairan yang bercampur
menjadi satu kerana dia sedar Puan Maznah sengaja menyebut nama itu untuk
menduga perasaannya.
“Kenapa puan tanya pasal dia pada saya?” soal Laila agak
tidak mengerti. Hatinya merayu sendiri, janganlah ada
cerita-cerita yang tidak enak timbul antaranya dan Nazim.
“Saya tahu dia selalu ganggu awak. Kita tak boleh
hentikan tabiat orang lain tetapi saya nasihatkan awak supaya berhati-hati dengan
dia kerana dia bukan jenis lelaki yang elok untuk dijadikan kawan atau teman.
Apatah lagi nak dijadikan sandaran hidup,” jawab Puan Maznah lembut seakan mahu mengingatkan Laila.
“Encik Nazim tu nak saya jadikan
sandaran hidup?” soal Laila lantas ketawa hambar. Sempat
dia menggeleng beberapa kali bagi menggambarkan betapa tidak tergamaknya dia
untuk menganggap lelaki itu sehingga begitu sekali.
“Daripada bersama dengan dia lebih baik saya menjanda
sampai tua. Saya tak pernah terfikir nak menganggu kehidupan wanita lain untuk
kepentingan diri saya apatah lagi meruntuhkan rumahtangga orang lain. Memang
Encik Nazim selalu ajak saya keluar dengan dia tapi saya tak pernah ikut dia.
Saya tak berani. Saya tahu dia tak ikhlas dan saya tak minat suami orang!” jelas
Laila jujur.
“Baguslah kalau awak kata begitu.
Kalau boleh jauhkan diri dari dia. Bukan sebab tak mahu mengganggu
rumahtangga dia sahaja tapi awak kena berhati-hati kerana dia selalu
menggunakan perempuan untuk keseronokan semata-mata.
Sebelum ini saya dah ada dua tiga orang kakitangan yang terpaksa berhenti kerja
kerana ulah Nazim. Saya tak mahu awak pula yang menjadi yang seterusnya. Ada lelaki dalam dunia ini yang menganggap nilai wanita
terlalu rendah untuk dimuliakan. Dia adalah salah seorangnya,” pesan
Puan Maznah bersungguh.
Laila segera mengangguk. Perkara itu sudah lama ada di
dalam pengetahuannya. Kerana itulah dia tidak pernah membiarkan dirinya
didekati lelaki miang itu. Cara Nazim memandangnya sahaja dia sudah tahu apa
yang Nazim mahukan darinya.
“Saya tahu, Puan Maznah. Saya
sedar dia memandang saya sebagai janda yang kesepian yang memerlukan teman.
Saya tak sebodoh itu untuk lelaki seperti dia. Terima kasih sebab Puan Maznah
sudi ingatkan saya tentang itu.”
“Jaga diri awak baik-baik. Memang bukan semua orang
dilahirkan dengan hati manusia walaupun dilahirkan sebagai manusia.” Puan
Maznah berkata lagi. Harap-harap Laila akan mendengar nasihatnya ini.
Laila pantas mengangguk. Seperti mana nasihat teman-teman
yang lain begitu juga dengan pesanan ikhlas wanita itu. Semuanya disemat kukuh
di benaknya. Tidak sekali pernah dia membiarkan dirinya alpa kepada lelaki yang
sedang mereka perkatakan ini. Sebagai wanita dia tidak akan membiarkan
maruahnya digadaikan semudah itu. Sama sekali tidak akan! Maruah dirinya bukan
untuk Nazim, juga bukan untuk sesiapa. Maruahnya hanya
akan dipersembahkan untuk lelaki yang sudah menjadi suaminya nanti.
Insya-Allah..
Hari itu Laila masuk kerja agak lewat. Selepas selesai waktu
makan tengahari barulah dia tiba di pejabat. Senyumannya saat itu cukup
memberitahu sesiapa yang melihatnya yang dia sedang dalam kegembiraan.
Laila tidak pernah merasakan dirinya segembira itu sebaik
sahaja selesai menjalani sesi temuduga kerja. Tetapi sebentar tadi dialah
manusia yang paling gembira apabila bertemu dengan lelaki bernama Abdullah itu. Dia ditawarkan kerja dengan pakej gaji
yang sangat menarik. Ditambah lagi beberapa insentif tambahan Laila tidak ingin
berfikir dua kali untuk meninggalkan kerjanya kini untuk tawaran di UMBS
Holding. Dia nekad! Cabaran Puan Maznah akan disambutnya. Dia akan membuktikan
keupayaan dirinya bersama dengan syarikat gergasi itu. Tanpa sedar Laila
termenung sendiri mengenang apa yang berlaku di pejabat UMBS Holding itu. Dia
tersenyum sendiri.
“Happy
nampaknya? Ada apa-apa yang awak nak kongsikan dengan saya ke?” sapaan garau
itu menyentakkan lamunan Laila. Dia segera memandang ke arah pintu biliknya.
Berderau darahnya melihat tuan punya syarikat itu sedang berdiri di ambang
pintu biliknya. Sedang menelek aksi dirinya.
“Tuan Haji..” balas Laila sedikit gugup. Dia terus
berdiri sebagai menghormati lelaki tua itu. Ada sedikit rasa takut menyapa
dirinya kerana dia telah tertangkap ketika sedang termenung oleh lelaki ini.
“Awak menungkan apa, Laila? Sambil
tersenyum pulak tu?” mesra sahaja suara lelaki itu menyoalnya. “Dari
luar saya boleh nampak senyum awak tu? Awak ada nak bagi kad jemputan ke?”
tambah lelaki itu lagi. Tanpa disuruh dia mendekati Laila di mejanya.
“Kad jemputan?” soal Laila tidak mengerti.
Tuan Haji Hamidon ketawa sedikit. “Selalunya orang yang
tersenyum sendiri ni tandanya dia nak kahwin. Awak nak kahwin ke dalam masa
terdekat ni? Itu yang saya tanya awak ada nak bagi kad jemputan ke?” ucap
lelaki tua itu sengaja bergurau dengan Laila.
Kali Laila pula yang menyambung tawa lelaki itu.
“Takdelah, Tuan Haji. Mana ada..” balas Laila sambil tersipu. Malu pula dia
dikatakan termenung kerana mahu berkahwin. Jauh menyimpang!
“Hmm.. ingatkan awak termenung sebab nak kahwin. Macamana
kerja di sini? Ok tak? Ada apa-apa masalah setakat ini?”
Apa da, Tuan
Haji ni. Dah hampir enam bulan aku kat sini barulah mahu bertanya aku ok atau
tidak. Aku dah nak berhenti pun.. getus hati Laila sendiri.
“Ok, Tuan Haji. Saya selesa kat sini. Orang sekeliling banyak
membantu saya selama ni,” balas Laila lembut. Kisah lelaki ini sering
didengarinya dari orang sekelilingnya. Lelaki yang tegas namun baik hati.
Sayangnya selama dia berada di sini dia tidak pernah berpeluang mengenali
lelaki ini sebegini dekat.
“Betul?” tanya Tuan Haji Hamidon sekadar mahu mengesahkan
apa yang dikatakan Laila sebentar tadi.
“Betul, Tuan Haji. Saya suka kerja kat sini,” jawab Laila
lembut.
Tuan Haji Hamidon mengangguk perlahan. “Saya dengar Puan
Maznah kata awak ni salah seorang pekerja yang terbaik di antara
pekerja-pekerjanya yang boleh diharapkan. Antara perkerja yang paling
berdedikasi. Awak sentiasa komited pada kerja awak. Baguslah kalau begitu.
Orang macam awak ni boleh berjaya dalam hidup kalau terus bersikap begitu,”
balas Tuan Haji Hamidon lembut.
“Saya cuma buat kerja saya aja, Tuan Haji. Saya ikut
peraturan dan arahan bos saya. Rasanya itu memang kewajipan saya sebagai orang
yang digajikan. Dalam kerja kita kena ikhlas dan jujur. Barulah rezekinya
berkat,” ujar Laila pula. Syukur kepada Allah setelah telinganya diperdengarkan
pujian tentang dirinya dari majikannya ini. Sekurang-kurangnya dia merasa
usahanya dihargakan juga dengan sedikit kata-kata yang sedap didengar.
“Saya suka dengan pendirian yang macam tu. Walaupun hakikatnya
tak semua pekerja yang mahu berfikiran macam awak ni. Takpelah.. sambunglah
kerja awak semula.” Seketika kemudian Tuan Haji Hamidon mula bergerak mahu
meninggalkan Laila.
Namun separuh jalan dia berhenti. “Kerja baik-baik,
Laila. Orang yang jujur dan ikhlas dalam kerjanya Allah akan kayakan dia dengan
rezeki dari-Nya.” Di muka pintu itu lelaki itu berkata lagi sambil tersenyum
kepada Laila.
“Insya-Allah, Tuan Haji. Terima kasih atas nasihat tu..”
ucap Laila sebelum lelaki itu menghilangkan diri dari biliknya. Kini senyuman
Laila semakin melebar. Dengan sedikit pujian dan dorongan tadi dia pasti dia
boleh berjaya di mana saja dia berkhidmat.
Dua
hari kemudian Laila sekali lagi bertemu dengan Tuan Haji Hamidon. Kali ini dia
dipanggil ke bilik lelaki itu. Laila tenang sahaja kerana dia sudah tahu apa
yang menyebabkan dia dipanggil. Sebaik sahaja bertemu dengan setiausaha lelaki
itu dia terus diarahkan masuk bertemu dengan lelaki itu.
“Rasanya saya baru aja tanya awak tentang kerja awak di
sini, Laila. Sekarang awak dah nak berhenti. Awak tak suka saya bertanya atau
awak ada masalah di sini? Kenapa tiba-tiba nak berhenti?” lelaki itu terus
sahaja kepada pokok perbincangan tanpa mahu berbasi-basa lagi.
“Saya takde masalah di sini, Tuan Haji. Saya sebenarnya
ditawarkan kerja di tempat lain. Tawaran yang saya rasa menarik dan saya
sebenarnya memang sentiasa berharap dapat berkerja di syarikat tu,” jawab Laila
perlahan dalam kegentaran saat berhadapan dengan Tuan
Haji Hamidon. Bimbang benar dia tindakannya ini akan menimbulkan masalah kepada
orang lain.
“Syarikat mana?”
“UMBS Holding.”
“Oh! Besar tanggungjawab tu. Bukan senang nak jaga kapal
laut ni, Laila. Awak dah fikir masak-masak ke? Takut awak mabuk laut pulak
nanti,” balas Tuan Haji Hamidon sedikit bergurau.
Laila lantas tertawa. Rasa gentarnya mula memudar sedikit
melihat tawa lelaki tua itu. “Saya kerja di office aja, Tuan Haji. Tak sampai
pun ke muka pintu kapal. Tengok dari jauh aja,” balas Laila selamba. Sengaja
mahu membalas usikan lelaki itu. Seperti yang diduga Tuan Haji Hamidon ketawa
mesra. Seketika kemudian lelaki tua itu menghela
nafas perlahan.
“Huh! Saya ni asalkan ada pekerja yang baik aja selalu
kena rembat dengan syarikat lain. Yalah.. gaji mereka memang lebih menarik
berbanding di sini. Terus terang saya katakan buat masa ni saya memang tak
berani nak menahan awak untuk keluar dari syarikat ni dengan janji yang saya
tak mampu nak tunaikan. Awak tahu ajalah.. semenjak kebelakangan ni syarikat
hanya bergantung kepada projek yang sedang berjalan. Kita takde projek baru.
Jadi saya kena bertahan dengan apa yang ada,” luah Tuan Haji Hamidon jujur. Dia sedar dia tiada kuasa yang mutlak untuk
menahan Laila dari memilih yang lain.
“Maafkan saya, Tuan Haji. Saya harap tindakan saya ni tak
mengecilkan hati Tuan Haji. Saya takde niat nak
menyusahkan sesiapa.” Mendengar kata-kata Tuan Haji Hamidon itu dia
merasa bersalah pula. Seolah dia seorang pekerja yang tidak setia pula apabila
majikannya sedang diambang kejatuhan.
“Takpe. Tindakan awak ni tak salah. Kalau saya ditempat
awak sekalipun saya akan buat perkara yang sama. Dah tentu saya mahukan sesuatu
yang mampu menjamin masa depan saya. Saya terima surat perletakan jawatan ni.
Saya harap awak akan berjaya membina kerjaya di sana nanti, Laila. Tapi sekiranya
awak terasa nak ubah fikiran, nak terus kekal di sini beritahu aja pada Puan
Maznah. Awak boleh terus berkerja dengan saya,” kata Tuan Haji Hamidon lembut.
“Terima kasih banyak, Tuan Haji. Saya senang dengan cara
Tuan Haji mengendalikan syarikat ni. Secara jujurnya saya sebenarnya suka
berkerja di sini. Orang di sekeliling saya baik-baik semua termasuklah Tuan
Haji sendiri.”
Tuan Haji Hamidon tersenyum. “Saya anggap peluang yang
datang tu memang pada masa yang amat tepat. Kalau awak ni anak saya memang saya
akan suruh awak terima tawaran tu. Takde sebab awak nak menolak kalau dah
memang itu rezeki untuk awak. Orang muda macam awak ni perlu banyak mencuba
untuk belajar tentang sesuatu. Jadi ini adalah masanya. Takpelah.. kalau itu
alasannya awak berhenti kerja saya memang takde masalah untuk menerima
keputusan awak ni. Saya cuma bimbang kalau-kalau awak berhenti sebab lain.
Sebab tu saya bertanya sebelum ni. Saya dah ada sejarah pekerja wanita yang
datang dan pergi dari syarikat ni disebabkan ada masalah dengan pekerja lain.
Jadi saya pun tak mahu itu terjadi kepada awak,” ujar Tuan Haji Hamidon akur
dengan keputusan Laila.
Laila cuma diam dalam pada dia memikirkan apa yang
dimaksudkan oleh Tuan Haji Hamidon itu. Teringin benar dia mahu bertanya lebih
lanjut tentang masalah perkerja-pekerja wanita itu namun saat itu juga Tuan
Haji Hamidon meminta dia kembali ke biliknya. Terpaksalah dia mengangkat buntut
saat itu juga.
Namun sepanjang perjalanan ke biliknya dia asyik
terfikirkan apa yang dimaksukan oleh majikannya itu. Adakah hal itu berkaitan
dengan Nazim? Masakan semua perkerja wanita itu ada masalah bergaduh sesama
pekerja melainkan mereka diganggu oleh Nazim yang teramat miang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.