Haji Syahar menggeleng perlahan melihat
anak perempuannya itu. Seketika kemudian dia menoleh kepada bekas besannya.
Tampang lelaki sekampung itu dipandang sebelum kembali memandang kelibat anak
perempuan tunggalnya itu.
“Itu ajalah kerjanya bila balik ke
kampung. Risau aku, Har.” Haji Syahar mengeluh
perlahan.
Kelakuan Laila di tanah perkuburan
itu turut dipandang oleh Pakcik Zahari. Dia membisu sahaja tidak mampu mahu
berkata apa. Kasihan.. itulah yang sedang dirasakan oleh hati kecilnya ini.
Laila bekas menantunya itu masih belum menerima kenyataan tentang kehilangan
Arwah Nahij. Sudah lebih empat tahun arwah pergi namun Laila masih terus berada
di pusara itu mengutip cebisan kenangan yang masih tinggal.
“Mujurlah arwah emaknya dikuburkan
di JB. Kalau di sini juga entahlah..” ucap Haji Syahar sayu. “Tiap-tiap hari
dia di sini. Macam dah satu kemestian untuk dia datang ke sini. Aku benar-benar
bimbang. Aku takut dia akan terus begitu selamanya,” tambah Haji Syahar
perlahan sambil terus memerhatikan belakang tubuh anak perempuannya itu dari
jauh.
“Kau ada bercakap dari hati ke
hati dengan dia pasal ini?” soal Pakcik Zahar lembut. Wajah sahabat
sekampungnya itu dipandang seketika sebelum kembali merenung tubuh wanita nun
jauh di sana.
Haji Syahar menghambuskan
keluhannya seketika. “Dah jenuh, Har! Takde yang berubah pun biar
berbakul-bakul aku nasihatkan dia. Alasannya tak lain, dia masih tak boleh
lupakan Nahij. Dia kata dia rindukan Nahij sebab tu dia ke kubur Nahij setiap
hari. Aku tak kisah dia nak menziarah kubur anak kau, Har. Tapi apa yang aku
takutkan, Laila akan terus hidup dengan kenangan lama dia bersama Nahij
sedangkan Nahij dah takde lagi. Aku selalu nampak dia menangis sendiri. Selalu
termenung seorang. Itu yang membuatkan aku makin risaukan keadaan dia.”
“Jadi kau nak aku buat apa
sekarang?” soal Pakcik Zahari lembut.
“Kalau boleh aku nak minta Najihah
nasihatkan dia. Mungkin kalau umi dia yang bercakap dengan dia, mahu dia
mendengar. Aku dah takde siapa lagi nak minta tolong, Har. Isteri aku dah jauh. Laila dah takde sentuhan seorang emak. Itu yang dia
amat perlukan saat ini,” luah Haji Syahar sebak. Mungkin jika arwah
isterinya ada keadaan Laila tidak seteruk ini. Tetapi sayang isterinya juga
sudah pergi menghadap Ilahi.
“Insya-Allah aku akan cuba cakap
dengan Najihah. Dia pun rapat dengan Najihah. Aku pun hairan juga. Aku tengok
kadang-kadang bila dia datang ke rumah aku nampak dia macam biasa aja. Takde
yang tak kena dengan Laila.” Pakcik Zahari
menyambut lembut. Simpatinya melimpah lauh kepada sahabatnya itu. Tiada
sentuhan dari seorang wanita sesebuah keluarga memang lekas tumbang. Itu dia
percaya!
“Sebab kat rumah kau di sana ada
banyak kenangan lama dia dengan Nahij. Gambar-gambar lama Nahij masih ada. Tapi
bila dia balik ke rumah dia selalunya sendirian. Mulalah dia termenung sana
sini. Itu yang aku bimbang,” balas Haji Syahar pula.
Pakcik Zahari
menghela keluhan perlahan melihat bekas menantunya itu. “Kau kahwinkan ajalah
dia. Carikan dia suami. Mana tahu bila dah berteman ni takdelah dia asyik
teringatkan arwah. Mungkin dia sunyi perlukan teman hidup.” Tanpa amaran Pakcik
Zahari segera meluahkan idea spontan yang
sempat melintas dibenaknya itu.
Bicara Pakcik Zahari lantas
membuatkan Haji Syahar terdiam pula. Tubuh anaknya yang sedang berteleku di
tepi kuburan itu dipandang lama dalam pada dia memikirkan idea bekas besannya
itu. Ada benarnya juga kata-kata sahabatnya itu. Tetapi bolehkah dia mengahwinkan
Laila dalam pada keadaan Laila yang masih belum dapat melupakan cinta lamanya?
Boleh jadikah?
“Entahlah! Apa-apa keputusan yang
aku nak buat kenalah dengan kerelaan dia, Har. Aku bimbang keputusan yang aku
buat akan buat dia lebih merana. Sebetulnya aku tak mahu memaksa dia. Tapi
mungkin ada betulnya cadangan kau tu. Siapa tahu kalau dia berteman hilang
sikit sedihnya tu.” Haji Syahar menjawab akhirnya.
“Cubalah tanya dulu. Kalau si
Laila tu mesti ramai yang mahu jadikan isteri. Aku percaya. Tinggal dia aja
mahu atau tidak. Bincanglah baik-baik dengan dia. Nanti aku akan cuba cakap
dengan bini aku. Minta dia nasihatkan Laila kalau dia mahu mendengar kata.
Rasanya kalau orang perempuan ni berbincang lembut sikit dari kita yang lelaki
ni. Kita ni cepat aja nak marahnya. Kau jangan bimbanglah. Setiap masalah mesti
ada penyelesaiannya. Insya-Allah,” ujar Pakcik Zahari
lembut sambil menepuk bahu teman sekampungnya itu.
Haji Syahar mengangguk perlahan.
Seketika kemudian mereka berdua beredar dari kawasan itu. Laila yang langsung
tidak sedar akan kedatangan ayahnya terus berada di situ sendirian. Dia terus
hanyut dengan dunianya. Dunianya bersama Nahij!
Hampir dua jam Laila berada di kuburan
itu. Mentari mula memanaskan bumi. Saat dia bergerak mahu pulang dia terkejut
apabila melihat kelibat bekas emak mertuanya beberapa kaki di belakangnya.
“Umi?” soal Laila masih terkejut.
“Laila kenapa tak balik lagi?”
tanya Makcik Najihah lembut.
“Laila dah nak balik ni, umi.”
Laila menjawab lembut tanda hormat kepada wanita seusia arwah emaknya itu.
Bekas emak mertua Laila itu
mendekati kubur anaknya itu. Buat seketika dia mencangkung di situ. Nesan putih
itu diusap lembut, berkali-kali sambil membacakan surah Al-Fatihah buat sang
anak yang sudah lama bersemadi di situ. Perbuatan wanita itu diamati oleh Laila
tanpa berganjak. Seketika kemudian tanpa kata wanita itu terus bangun untuk
beredar bersama Laila. Mereka berdua beriringan meninggalkan kuburan lelaki
kesayangan mereka.
“Laila selalu ke sini?” soal
Makcik Najihah saat mereka melalui tepi kubur yang ada untuk ke jalan utama.
“Selalu.” Sepatah sahaja jawapan
Laila.
“Hari-hari ke?” soal Makcik
Najihan lagi. Jika suaminya tidak memberitahunya
tadi sampai bila-bila pun mungkin dia tidak tahu perbuatan bekas menantunya ini.
Kali ini Laila tidak menjawab. Dia
tahu tiada siapa yang suka dengan perbuatannya itu. Kerana itu dia memilih
untuk tidak menjawab.
“Umi memang rindukan Nahij. Setiap
saat memang tak pernah berhenti teringatkan dia. Rasa macam baru semalam semua
tu berlaku,” luah Makcik Najihah di sisi Laila. Laila hanya diam mendengar
bicara wanita itu.
“Umi ni dah tua, Laila. Itulah
satu-satunya anak umi. Hilang dia dah takde lagi gantinya yang lain. Dulu
memang umi nak beranak ramai tapi hasrat umi ALLAH tak makbulkan. Hanya Nahij
anak umi. Bila dia dah takde umi rasa macam dah kehilangan semuanya. Sunyi
benar hidup umi semenjak dia takde. Tapi ini dah ditentukan Allah. Suka atau tidak umi dengan babah kena
terima.” Makcik Najihah berkata lagi.
Laila masih mendiamkan diri. Dia
hanya memandang ke hadapan dalam pada dia cuba memahami apa yang sedang
disampaikan oleh Makcik Najihah.
“Laila, umi sayangkan Laila macam
anak umi sendiri. Semenjak Nahij takde umi anggap Laila adalah pengganti dia.
Laila tempat kami suami isteri menumpang kasih, menghilangkan sepi. Sebagai
ibu, umi nak Laila bahagia. Mungkin bukan lagi dengan Nahij sebab kita
sama-sama tahu itu semua mustahil. Tapi berbahagia dengan sisa kehidupan Laila
yang masih ada sebelum Allah menjemput Laila kembali kepada-Nya. Laila nak jadi
macam umi? Membilang hari yang hanya dipenuhi kesunyian sedangkan takdir Laila
masih boleh diubah. Masa akan terus berlalu. Sedar tak sedar kita hanya
membazirkan masa mengenangkan sesuatu yang takkan mungkin boleh dikembalikan semula
sedangkan di luar sana masih ada kebahagiaan yang sama menanti kita untuk
mencarinya. Semuanya bergantung pada kita aja sama
mahu atau tidak. Jangan tunggu dia lagi, nak. Pergilah cari kehidupan
Laila di luar sana. Dia takkan kembali lagi pada kita. Umi percaya, bukan ini
yang Nahij nak dari Laila. Nahij pasti mahu Laila gembira dunia dan akhirat,”
nasihat makcik Najihah lembut.
“Laila dah cuba sedaya upaya untuk
lupakan dia tapi Laila tak boleh, umi. Dia masih ada. Dalam ingatan Laila dia
masih hidup. Dia tak pernah tinggalkan Laila. Hanya jasad dia aja yang dah lama
berkubur tapi cinta dia masih ada dalam hati Laila.”
Makcik Najihah hampir terkedu
mendengar bicara bekas menantunya itu. Sesuatu yang selama ini tidak pernah
dijangkanya. Selama ini Laila hanya gembira di hadapannya. Mereka boleh berbual
dan ketawa seolah tiada apa yang berlaku. Tapi sayangnya semua kegembiraan itu
palsu. Rupanya dalam diam Laila rupanya
masih menghitung kisah cinta lama yang tak mungkin akan kembali semula
kepadanya. Buat seketika Makcik Najihah
terdiam tidak berupaya membalas kepada Laila.
“Umi, seekor burung perlukan
sayapnya untuk terbang. Tanpa sayap dia takkan tahu betapa tingginya angkasa.
Tanpa sayap seekor burung takkan boleh hidup! Begitu juga Laila. Umi nak Laila
jalani hidup dan cari kebahagiaan di luar sana? Selama ini Laila hidup di luar
sana, umi. Tapi kemana pun Laila pergi semuanya takkan ada maknanya kalau jiwa
dan raga Laila dah takde lagi. Semuanya sudah berkubur bersama abang Nahij. Di
sanalah tempatnya, umi. Kerana itu Laila selalu ke sana. Kerana di sana barulah
Laila merasakan hidup ini bermakna. Di sanalah sayap Laila tertinggal untuk
Laila terbang semula mencari kebahagiaan dalam hidup ni.” Laila membalas sambil
menunding semula ke arah yang mereka tinggalkan sekejap tadi. Buat seketika
langkah mereka terhenti.
Makcik Najihah terdiam menatap
wajah Laila. Buat sesaat dua itu hatinya benar diruntun rasa kasihan dan sayu
melihat wanita muda ini.
“Katakan apa yang harus Laila buat
umi? Laila masih cintakan abang Nahij. Salah ke Laila selama ini? Bukan Laila nak keadaan jadi macam ni tapi Laila
benar-benar tak berdaya. Laila tetap sayangkan dia, umi. Walaupun hati ni
meronta-ronta meminta Laila lupakan dia!” rintih Laila kesayuan.
“Laila, umi tahu.. umi faham
perasaan Laila. Tapi patah tumbuh hilang berganti, nak. Sayap yang hilang akan
berganti baru, Laila. Kerana seekor burung tidak akan dipanggil burung jika dia
tidak lagi bersayap. Seekor burung takkan Allah
biarkan burung itu hidup tanpa sayap
sedangkan dia adalah seekor burung. Burung yang hidup tanpa sayap hidup burung
tu akan berakhir kerana dia tak akan mampu mencari rezeki untuk dia teruskan
hidup. Tapi kita manusia ada kemampuan lebih dari itu, nak. Laila orang
berpelajaran. Umi percaya Laila juga orang yang beriman. Ini qada’ dan qadar
dari Allah. Selagi kita tidak melembutkan hati meredakan segalanya selagi
itulah kita takkan bertemu dengan ubatnya. Ada caranya untuk melupakan semua
ini. Tetapi biar apa pun cara yang Allah bentangkan di hadapan kita jika kita
tak mahu berusaha semuanya tidak akan bermakna. Dengarlah nasihat umi ni,
Laila. Ayah Laila, umi dengan babah benar-benar risaukan Laila. Kami tak mahu
Laila terus hidup dengan kenangan lama sedangkan semua itu sudah tidak boleh
dikecapi lagi dengan Nahij. Kehidupan Laila sudah Allah tentukan bukan bersama
Nahij tetapi dengan orang lain yang mungkin akan muncul dalam hidup Laila suatu hari nanti. Insya-Allah, percayalah cakap
umi ni. Apa yang Allah dah tentukan untuk Laila selepas ini sudah pasti lebih
baik berbanding apa yang Laila dapati daripada Nahij sebelum ini,” mendayu-dayu
suara makcik Najihah memujuk Laila. Dia tahu bukan senang memujuk wanita ini.
Laila hanya diam sambil memandang
ke hadapan. Namun setiap nasihat orang tua itu didengarinya. Cuba disematkan di
fikirannya. Akhirnya sebuah keluhan terhela perlahan. Bukan pintanya untuk
berkeadaan begini. Bukan pintanya juga untuk menyintai lelaki itu. Semuanya
terjadi begitu sahaja.
Laila akur.. mungkin benar kata
uminya. Bahagianya pastilah dengan lelaki lain di luar sana. Kehadiran Nahij
dalam hidupnya cuma untuk seketika. Tetapi persoalannya, bagaimana caranya
untuk dia melepaskan segala kenangan lalu itu. Bagaimana untuk dia melupakan
segala keindahan yang pernah ada dalam hidupnya? Dia sudah cuba untuk melupakan
namun semuanya masih ada! Masih setia bersamanya. Lelah dengan desakan perasaan
akhirnya dia kembali menjadi pemuja cinta yang setia kepada yang sudah pergi.
Laila sedar itu salah tetapi usahkan setahun.. sesaat sahaja dia tidak sanggup
berjauhan dengan lelaki itu. Hidupnya nanar. Tetapi pilihan yang ada tidak
banyak. Hanya ini sahaja cara yang ada untuk dia melepaskan rindu.
“Tak salah ingat pada dia, Laila.
Dia memang takkan pernah mati dalam ingatan kita sampai bila-bila. Umi tak
minta Laila lupakan Nahij tapi yang umi mahu Laila lupakan segala janji-janji
dia untuk bahagiakan Laila sebelum ini. Semua itu dah takde maknanya lagi.
Selagi Laila berpegang kepada semua itu selagi itulah Laila takkan boleh
memujuk hati untuk terima kenyataan ini. Memang berat dugaan ini tapi Laila
jangan lupa, sedasyat-dasyat peristiwa yang kita lalui ramai lagi manusia yang
melalui keadaan yang lebih teruk. Tetapi bukan semua mereka tu kalah dengan
dugaan Allah, Laila. Ada yang masih bahagia sehingga sekarang. Ambillah contoh
yang baik. Banyakkan beristighfar, Laila. Banyakkan mengaji Al Quran supaya
hati lebih tenang dan kuat semangat. Sakit seperti ini hanya Allah sahaja yang
mampu memberi ubatnya. Percayalah, Allah menjadikan semua itu bersebab. Hanya
Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita kena banyakkan
bersabar.” Makcik Najihah terus menasihati Laila.
“Laila faham, umi. Laila akan cuba
buat apa yang umi katakan tadi,” mungkin kerana akur dengan kata-kata wanita
itu Laila akhirnya menjawab perlahan. Kesayuannya masih mampu kedengaran di
mana-mana.
“Umi tak marahkan Laila. Tapi umi
juga susah hati kalau ayah Laila susah hati dengan keadaan Laila sekarang. Kami
semua nak tengok Laila bahagia suatu hari nanti. Kami tak mahu tengok Laila
menyendiri saja sampai akhir hayat. Hidup yang masih tinggal jangan dibazirkan,
Laila. Carilah kebahagiaan Laila sendiri. Umi pasti kebahagiaan yang seterusnya
nanti pasti itulah yang akan kekal dengan Laila sehingga Laila mati suatu hari
nanti. Insya-Allah umi akan selalu doakan, nak. Jangan sesekali berputus asa
dengan rahmat Allah. Allah selalu kasihankan kita. Kita ni aja yang selalu lupa
pada Dia bila hidup kita senang.” Tambah Makcik Najihah lagi. Bahu Laila
diusapnya lembut.
Laila akhirnya mengangguk
perlahan. Dia tahu segala yang dikatakan oleh makcik Najihah itu benar. Mungkin
dia terlalu alpa dengan perasaannya sehingga dia terlupa untuk memuhasabahkan
dirinya di kala hatinya susah. Dia hanyut dengan kehendak hati yang tidak
selamanya benar.
“Maafkan Laila, ya umi? Laila dah
banyak susahkan umi, babah dengan ayah selama ini. Laila hanya fikirkan diri
Laila aja sedangkan di sekeliling Laila ramai orang yang sayangkan Laila.”
Laila berkata lembut.
“Baguslah kalau Laila sedar yang
di sekeliling Laila ada ramai orang yang sayangkan Laila. Harapan kami tak
banyak, Laila. Kami tak perlukan intan berlian untuk balasan kasih sayang dan
perhatian kami pada Laila. Kami pun tak harap Laila akan sentiasa berterima
kasih pada kami bila Laila teringatkan itu semua. Cuma kami mahu Laila hargai
hidup yang ada selagi berpeluang. Kalau Laila bahagia kami semua akan juga akan
merasa yang sama. Itu saja yang kami harapkan dari Laila selama ini. Laila
fahamkan apa yang umi maksudkan ni?” Makcik Najihah menjawab pantas.
Laila terus mengangguk dalam pada
dia mengukirkan sedikit senyuman buat wanita itu. Jiwanya mula disapa rasa
tenteram dengan segala nasihat dan kata-kata bekas emak mertuanya itu. “Bukan
umi aja yang anggap Laila ni macam anak umi tapi Laila juga dah lama anggap umi
macam mak Laila sendiri. Kalau umi takde anak lagi Laila pula dah takde emak.
Umi aja yang Laila ada. Laila pun sayangkan umi dengan babah.” Laila berkata
perlahan.
Makcik Najihah tersenyum. Serentak
itu dia memaut tubuh Laila dari sisinya sambil berjalan pulang. “Kalau betul
Laila sayangkan kami, ikutlah apa yang umi nasihatkan Laila tadi. Semua yang
berlaku ada hikmahnya, Laila. Mungkin ini adalah salah satunya. Umi hilang anak
lelaki sebelum ini, tapi kali ini Allah gantikan dengan anak perempuan. Umi
bukannya pernah merasa ada anak perempuan,” ucap makcik Najihah sambil
tersenyum kepada Laila.
Laila tertawa perlahan. “Laila
pula tak pernah merasa ada dua ayah sekaligus..” jawabnya selamba. Serentak itu
mereka tergelak berdua. Senang hati makcik Najihah melihat Laila sudah boleh
kembali tersenyum. Dia tahu sedikit masa sahaja lagi yang diperlukan. Suatu
hari nanti luka di hati Laila pasti akan sembuh juga. Insya-Allah..
“Umi, mungkin minggu depan Laila
akan kembali ke KL. Laila dah dapat kerja.”
“Iya? Alhamdulillah.. baguslah,
Laila. Apa-apa pun dalam hidup ni, kejayaan yang nak dicapai kena sertakan
dengan usaha. Umi tahu suatu hari nanti Laila mesti akan jadi orang yang
berjaya. Inilah permulaannya. Jangan sia-siakan peluang ni dan jangan lupa
setiap perkara baik yang kita lakukan mesti ingat Allah. Insya-Allah hidup akan
mudah.” Makcik Najihah menasihati Laila lagi.
“Terima kasih, umi. Kalau takde
umi dalam hidup Laila, entah macamana Laila sekarang. Walaupun tempat arwah mak
di hati Laila takkan dapat diganti oleh orang lain tapi umi juga istimewa pada
Laila.”
Makcik Najihah tersenyum lembut.
“Ingat apa umi kata tadi? Umi tak perlukan terima kasih tu. Yang umi mahu Laila
ingat dan amalkan nasihat yang umi berikan pada Laila. Umi buat semua ni untuk
kebaikan Laila.”
Sekali lagi Laila mengangguk dan
tersenyum.
“Sekarang ni jom ikut umi balik.
Umi ada masak lauk kegemaran Laila, masak lemak tempoyak ikan baguk. Sebelum
Laila ke KL Laila kena makan masakan umi puas-puas supaya nanti takdelah Laila
rindu sangat dengan masakan umi,” ucap wanita tua itu mesra. Bahu wanita itu
dipautnya selamba.
Makan? Mendengar itu senyuman
Laila semakin melebar.
“Luk, you tahu tak yang I sayangkan you?”
Lelaki itu mendegus keras.
Lengannya yang dipaut Amalina ditarik agak kasar. Apabila wanita sudah
mengucapkan sayang dan cinta dia sudah mula bosan. Kenapa perempuan mudah benar
jatuh cinta? Baru dua minggu dia kenal gadis ini soal cinta sudah mula
diperdengarkan di lubang telinganya. Sedangkan hatinya masih juga begini. Tidak
terusik dengan rajuk manja gadis metropolitan ini.
“Kenapa dengan you ni?”
“You nak apa?” tukas Lukman mula
berang.
“I nak kahwin dengan you, Luk. I
betul-betul sayangkan you,” rayu Amalina tanpa segan silu lagi. Rasanya seluruh
jiwa dan hatinya sudah terjatuh buat lelaki ini.
“Kita baru kenallah, Amy! Kahwin
apa kebendanya!” Lukman segera membantah dengan nada meninggi. Mahu kahwin?
Gila!
“Tapi I sayang you sangat. I nak
kita ada hubungan yang lebih kukuh, sayang. Walaupun kita baru kenal tapi dapat
rasakan yang kita ni memang ada chemistri. I janji I akan buat you happy lepas ni, Luk.”
Lukman ketawa sinis. “Kalau you
nak buat I happy berhenti cakap pasal
kahwin dan cinta dengan I.”
Kata-kata Lukman membuatkan wajah
Amalina berubah. Terketar-ketar bibirnya saat itu kerana dia sudah melihat ada
sesuatu yang tidak kena dengan Lukman saat itu. Sikap dingin yang datang
tiba-tiba membuatkan dia merasa rasa cinta itu hanya datang dari dirinya
seorang dan tiada pada Lukman. Tetapi..? Apa
maknanya kemesraan mereka selama ini?
“Tapi kenapa?” sukar untuk dia
meluahkan pertanyaan itu namun rasa ingin tahunya kian mendesak.
“Kenapa? Sebab I belum ada rasa
macam tu pada you. Kita cuma kawan, Amy. You janganlah anggap lebih-lebih pulak. I memang layan semua kawan
perempuan macam ni! I tak cintakan you sikit pun!” balas Lukman selamba.
Terkedu Amalina mendengar bicara
Lukman yang cukup mudah keluar untuk mencalarkan jiwanya. Sampainya hati lelaki
ini! Kalau sekadar kawan mengapa lelaki ini mengucup bibirnya sebelum ini?
Adakah itu tabiat Lukman selama bersama kawan perempuannya? Perlahan Amalina
memegang kepalanya. Terasa dirinya benar-benar bodoh! Mujurlah mereka tidak
terlanjur sebelum ini. Mujurlah dia bijak menolak ketika Lukman menggodanya
sehingga ke arah itu. Jika tidak? Tidak mustahil dia akan ditinggalkan Lukman
setelah madunya puas dihirup.
“Jadi selama ni you sekadar nak berseronok dengan I ke?” teka Amalina
dengan alasan yang paling mudah.
“Eh, kita
pernah tidur bersama ke sebelum ni?” soal Lukman dengan nada mengejek.
“Tapi you pernah cuba bawa I ke
arah itu! Jangan lupa tentang itu!” tegas
Amalina dalam hati yang sudah hancur berkecai. Dia tidak sangka di sebalik
manis bicara lelaki ini rupanya lelaki
seorang kaki penipu!
Lukman tertawa perlahan. Tanpa
diketahuinya sebabnya dia menggeleng sendiri. Memang benar kata Amalina. Tetapi
mereka tidak pernah terlanjur pun. Jadi untuk apa berkahwin? Lagi pun tempohari
dia sekadar mencuba nasib. Siapa tahu kesempatan akan terbuka di hadapan mata?
Tetapi sayangnya setelah beberapa ketika mereka bermesra Amalina menolak pula
apabila diajak pulang ke kondonya. Tapi ada baiknya juga! Tidak perlulah dia
bertanggungjawab kepada Amalina selepas ini.
“You main-mainkan I ke, Luk? Jadi
selama ni you anggap I ni sekadar ‘one night stand’ untuk you?” soal Amalina
saat memandang riak selamba di wajah lelaki itu. Betapa hanya Tuhan yang tahu
betapa sakit hatinya kala ini. Kolam matanya berkaca biar pun puas dia bertahan
namun setitis air matanya mengalir juga di hadapan lelaki itu. Kejamnya lelaki
ini mempermainkan perasaannya!
“Baguslah kalau you dah tahu. Hati
I ni tak mudah untuk jatuh cinta kepada seorang wanita, Amy. I tak..”
“Kalau dah tahu macam tu kenapa
you layan I macam kekasih you? Apa tujuannya?” pintas Amalina agak meninggi. Bicara Lukman tidak masuk akal dirasakannya. Tidak mudah
jatuh cinta tetapi melayannya seperti seorang kekasih itu apa?
“Itu cuma perasaan you! I tak
berniat begitu!” sanggah Lukman enggan mengalah.
“Tak berniat? Tapi you cium I
seolah-olah I ni isteri you tu apa maknanya? Suka-suka?” bentak Amalina sudah
mula merasa tertipu dengan permainan lelaki ini. Menyesal benar dia kerana
membenarkan Lukman menyentuhnya.
“Yang you senang-senang
bagi kenapa? Bukannya I paksa you,” ujar Lukman sedikit meleret. Sengaja
mahu mengenakan Amalina semula. Jika soal itu mahu diperbesarkan rasanya bukan
salahnya seorang. Amalina sendiri yang merelakan perbuatannya itu. Lukman
sempat ketawa sinis sengaja mahu mengejek wanita itu.
“Jadi memang betullah you cuma nak
berseronok dengan I? You tak pernah berniat nak menjadikan I lebih dari itu?”
soal Amalina masih tidak berpuas hati. Lukman sekadar menjungkit bahunya seakan
meminta Amalina memahaminya sendiri tanpa perlu dia menjelaskannya lagi.
“Fine! Tak perlulah I nak dengar penjelasan lelaki penipu macam you
ni. Buang masa! You tolak I macam sampah hari ni, you jangan mimpi you akan
semudah itu akan bahagia suatu hari nanti, Luk. Perempuan bukan objek pemuas
nafsu you aja! Sampai satu masa you sendiri akan menangis kerana perbuatan you
hari ni. I tahu Tuhan Maha Adil. Hari ni you mempermaikan perasaan I. Suatu
hari nanti you akan rasa macamana pula sakitnya bila seorang wanita melukai
hati you. You tengoklah! What goes around, come around, Luk. Cepat atau lambat. Itu sahaja!” tegas
Amalina dengan satu jari ditundingkan kepada Lukman yang memandangnya selamba.
Tanpa menunggu lagi dia segera
mencapai beg tangannya dan bangun dari kerusi. Lukman ditinggalkan sendirian di
situ tanpa mahu menoleh lagi. Tiada guna untuk dia terus mengharapkan lelaki
ini lagi
Cukuplah! Dia tidak akan berpaling
lagi untuk lelaki persis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.