Khamis, 4 April 2013

Bab 19-Mahliga Seribu Mimpi


Lukman tertanya-tanya apabila dia tidak dibenarkan balik ke kondonya malam itu. Ayahnya akhirnya berkeras mahu dia pulang ke rumah ayahnya setelah beberapa hari dia sengaja tidak menuruti permintaan ayahnya itu.
Hairan juga dia memikirkan kelainan sikap ayahnya. Bukannya dia tidak biasa menghabiskan masa di kondo itu walaupun sebenarnya dia masih dikira menetap dengan emak dan ayahnya. Selama ini tiada pula tegahan dari ayahnya apabila dia mahu ke sana. Tetapi malam ini keadaan sedikit berbeza. Seolah ada sesuatu sedang melanda keluarga mereka.
Selepas Isyak menjelma barulah dia tiba di rumah. Kelibat ayahnya yang sedang berada di ruang tamu itu diperhatikan seketika. Wajah itu serius sekali seperti yang dilihatnya ketika di pejabat siang tadi.
Tan Sri Fatah pula hanya buat tidak tahu sahaja biarpun dia sedar Lukman sudah pulang. Malah dia tidak menolehpun. Tiba-tiba Lukman berasa takut pula mahu menegur ayahnya itu. Ketegangan di wajah Tan Sri Fatah bagaikan menunggu masa untuk diletuskan. Lantas Lukman masuk ke ruang makan untuk mencari emaknya.
Di dapur dia menyapa emaknya. Emaknya kelihatan biasa sahaja. Tetap ceria setelah terlihat dirinya. Seolah tiada apa yang tidak kena. Reaksi emaknya itu melegakan sedikit perasaannya.
“Kenapa balik lambat?” soal Puan Sri Mahani kepada anaknya itu.
“Banyak kerja di office tadi,” jawab Lukman perlahan.
Peti ais dibuka. Jus oren dalam kotak diambilnya lalu dituangkan ke dalam gelas. Jus masam itu diteguk perlahan. Namun sikap aneh ayahnya itu terus berada di fikirannya. Apa yang tak kena? Aku ada buat salah ke? Soal hati Lukman sendiri.
“Dah makan ke?” tanya Puan Sri Mahani.
“Dah. Luk dah makan kat luar tadi,” jawab Lukman sambil terus menyisip jus oran dari dalam cawannya. Tampang tenang emaknya itu dipandang. Mula timbul ideanya untuk merisik berita dari emaknya itu. Jika ada apa-apa yang penting pasti emak dan ayah berkongsi cerita.
“Kenapa dengan ayah tu, ma? Macam ada masalah aja?” soal Lukman perlahan sahaja kepada emaknya itu.
“Entahlah. Mamapun tak tahu kenapa. Dia asyik nak marah aja semenjak kebelakangan ni. Balik ke rumah diam macam tunggul. Bila mama tanya dia tak mahu jawab pulak,” jawab Puan Sri Mahani. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang ditanggung oleh suaminya itu. Lelaki itu enggan berkongsi dengannya.
“Mama gaduh dengan ayah ke?” tanya Lukman lagi.
“Takdelah. Mama layan ayah Luk tu macam biasalah. Dah, minum cepat! Ayah ada cakap dengan mama dia nak jumpa Luk. Jangan bagi ayah marah lagi,” ucap Puan Sri Mahani lembut. Anak bujangnya itu ditinggalkan di situ untuk menemani suaminya di ruang tamu. Dia juga mahu mendengar apa yang mahu dibicarakan oleh suaminya kepada Lukman.
Lukman bergerak menyusul langkah emaknya ke ruang tamu tidak lama selepas itu. Wajah mencuka sang ayah semakin mengundang rasa tidak enak di hatinya. Lelaki itu langsung tidak menoleh mahupun menegurnya di ruang tamu itu.
‘Apa aku dah buat?’ soal hati Lukman sendiri. Dia akhirnya sekadar duduk mendengar berita yang keudara melalui tv di ruang tamu itu tanpa mahu bersuara.
Nizam dan Syahreena turun tidak lama selepas itu. Lega hati sang abang melihat Lukman sudah ada di rumah. Sebenarnya Nizam juga ikut ingin tahu tentang apa yang telah terjadi sehingga membuatkan ayahnya naik angin semenjak beberapa hari yang lalu. Mood ayahnya sentiasa tidak elok sehingga dia sendiri takut untuk menegur.
Namun berbeza dengan Syahreena. Dia hanya tenang sahaja duduk berhampiran dengan emak mereka. Hanya Amira sahaja yang tidak ingin menyertai mereka. Gadis itu lebih suka memerap di bilik.
“Ada apa ayah panggil Luk balik ni?” soal Lukman setelah agak lama mereka berdiam diri di ruang tamu itu. Tidak betah rasanya menghadap kebisuan ayahnya itu. Semacam ada yang tidak kena. Sikap ayahnya membuatkan dia terasa seperti sedang berada di sebuah pulau sendirian sedangkan ramai orang di sekelilingnya.
Tan Sri Fatah tidak segera menjawab. Dia hanya membatu memandang tv namun ketegangan di wajahnya sudah tidak mampu disembunyikan lagi. Menunggu masa sahaja untuk meledakkan kemarahan yang tersimpan semenjak beberapa hari yang lalu. Di matanya ini segala tindak tanduk Lukman saban hari semakin mencabar kesabarannya.
“Kau dah solat ke?” soal Tan Sri Fatah serius tidak lama kemudian.
“Dah tadi!” Lukman pantas menjawab dengan jawapan itu.
“Bila? Di mana?” Tan Sri Fatah mengerling tajam anaknya itu sebelum kembali memandang rancangan berita di tv. Biar pun itu jawapan Lukman dia tahu dia tidak seharusnya meletakkan kepercayaan kepada anaknya itu lagi setelah apa yang berlaku. Tidak semudah itu dia boleh dikelentong anaknya ini lagi!
“Kat pejabat tadi Luk sembahyang,” jawab Lukman sedikit merendah. Ada sedikit kegusaran menyerang diri mengenangkan dia sedang menipu ayahnya.
“Ia? Kau ada mandi wajib ke sebelum bersolat, Lukman?” begitu bersahaja soalan itu diluahkan Tan Sri Fatah. Ada sedikit kerlingan sinis dihadiahkan kepada anaknya itu.
Lukman terpempan tidak menjawab sebaliknya dia menuntaskan pandangannya kepada emaknya yang ada di situ bagaikan memberi isyarat kepada Puan Sri Mahani agar segera menyelamatkannya.
“Kenapa tanya soalan yang bukan-bukan ni, bang? Budak ni baru aja balik. Dia dah balik nak buat apa marah lagi?” Puan Sri Mahani segera menyampuk bagi pihak Lukman.
“Awak diam! Saya tak suruh awak bercakap! Saya tak mahu awak masuk campur dalam soal ni. Saya bercakap dengan dia. Daripada hari tu saya suruh dia balik baru hari ni dia tunjuk muka. Awak ingat saya ni malaikat? Penyabar sangat walaupun anak saya memperbodohkan saya secara berdepan begini?” Spontan mata Tan Sri Fatah tajam memanah pandangan isterinya itu. Suaranya meledak lantang memuntahkan kemarahan yang sudah lama terpendam semenjak dia mengetahui keadaan Laila baru-baru ini.
Nizam, Syahreena dan Lukman terus berdiam tidak berani bersuara apabila melihat kemarahan ayah mereka. Mengerti sikap ayah mereka, masing-masing tidak berani untuk bersuara walaupun mereka masih tidak tahu sebab mengapa ayah mereka marah sehingga begitu sekali. Tidak pernah mereka melihat ayahnya menaikkan suara kepada emak mereka di hadapan mereka.
“Selama ni apa saja yang kau buat di belakang ayah dengan mama kau, ayah tak pernah tahu. Buruk atau baik yang kau buat semuanya kau simpan sendiri tapi tidak hari ini, Lukman! Ayah tak sangka perangai kau ni seteruk ini. Perangai dah macam iblis!” herdik Tan Sri Fatah semakin hilang sabar saat memandang wajah kepura-puraan anaknya itu.
“Apa maksud ayah ni? Luk tak faham. Apa yang Luk dah buat?”
“Kau fikirlah apa yang kau dah buat! Takkan kau dah lupa? Dasar tak tahu diri! Aku bela kau dari kecil, bagi kau sekolah tinggi-tinggi, ini yang kau balas pada aku!” Tempo suara Tan Sri Fatah semakin meninggi sehingga mengejutkan mereka di situ.
“Apa ni, ayah? Tiba-tiba nak marah Luk pulak? Kalau Luk ada buat salah bagitahulah!” Lukman mulai bengang apabila dimarahi tiba-tiba. Sakit di hatinya mendesaknya sehingga datang keberaniannya melawan bicara ayahnya itu.
“Kau sengaja langgar cakap ayahkan? Kau mencabar kesabaran ayah. Bila di pejabat ayah suruh kau balik rumah kau tak balik. Bila ayah dah naik angin barulah kau tunjuk muka kat sini. Apa nak jadi dengan kau ni, Lukman?” bentak Tan Sri Fatah keras. Semakin Lukman menunjukkan kekerasannya semakin itu dia tidak ingin mengalah. Sebagai ayah dia akan menunjukkan Lukman apa yang boleh dilakukannya! Walaupun Lukman sudah dewasa tetapi dia masih seorang ayah kepada anaknya itu.
Lukman terdiam tiba-tiba. Dia tahu dia tersalah kerana sengaja memperlekehkan arahan ayahnya. Mungkin kerana itulah ayahnya marah malam ini. Tetapi masakan dia harus dimarahi kerana kesalahan sekecil itu? Dalam pada dia tunduk membisukan diri hatinya asyik mendongkol sendiri mempertimbangkan kewajaran sikap orang tua itu.
“Kau suka duduk kondo tu?” soal Tan Sri Fatah lagi.
“Sukalah. Itukan rumah yang ayah hadiahkan untuk Luk?” jawab Lukman hambar. Rasa hatinya yang bengkak sengaja ditunjukkan secara halus. Masih juga mahu menunjukkan besar kepalanya.
“Memang aku hadiahkan rumah tu untuk kau. Untuk kau tinggal dengan selesa bukannya untuk selesa bawa masuk perempuan masuk ke rumah itu. Kau fikir aku tak tahu semua tu?” serang Tan Sri Fatah selamba namun nadanya agak tajam.
Lukman segera terkedu mendengar serangan Tan Sri Fatah. Tuduhan itu cukup untuk membuatkan dia kepayahan menelan liurnya. Tetapi akalnya segera meminta dia agar menyangkal segala tuduhan ayahnya itu. Mana mungkin dia akan mengaku!
“Ma.. mana ada, yah. Luk tak bawa perempuanlah.” Tanpa sengaja Lukman tergagap dalam pada dia cuba menegakkan kebenaran buat dirinya.
Tan Sri Fatah pantas meluahkan ketawa sinis. “Sudahlah, Lukman. Kau jangan nak main sandiwara depan aku dengan mama kau sekarang. Itu semua dah tak laku lagi. Aku tahu apa yang dah kau buat di dalam rumah tu. Sekarang ni ada seorang perempuan yang mengaku dah mengandungkan anak kau. Kau nak nafikan lagi?” desis Tan Sri Fatah bertambah geram dengan lakonan anak lelakinya itu.
Apa yang diucapkan oleh Tan Sri Fatah membuatkan nyawa Lukman seakan mahu terputus saat itu. Serta merta pucat mewarnai wajahnya. Mulutnya terlopong tanpa disedarinya dengan mata yang terbuntang. Kejutan yang dipersembahkan oleh Tan Sri Fatah benar-benar membuatkan dia terasa seperti sedang diserang sakit jantung!
Siapa perempuan yang dimaksudkan ayahnya itu? Apakah Laila sudah membuat pengakuan depan ayahnya? Macamana pula Laila boleh bertemu dengan ayahnya? Namun biar sebanyak mana pun pertikaian dalam dirinya saat ini, sudah tiada lagi bayangan wanita lain yang hadir dalam benaknya melainkan Laila.
“Ayah jangan nak tuduh sembarangan. Luk tak buat semua tu..”
“Kau jangan nak menipu aku lagi, Lukman. Perempuan tu kau kenal dan kau yang perangkap dia! Mengaku ajalah!” tegas Tan Sri Fatah agak lantang.
Biarpun lantang suaranya namun keheningan ruang tamu itu tetap kelihatan bila mana Nizam dan Puan Sri Mahani seolah tidak mampu meluahkan bicara kerana terkejut dengan berita itu.
“Ayah, apa ayah cakap ni?”
“Tergamak kau buat macam ni pada orang lain? Kau sengaja nak malukan aku dengan mama kau ya? Ini yang aku ajar kepada kau selama ini?” jerkahan Tan Sri Fatah semakin kuat kepada Lukman. Penafian Lukman sudah tidak mampu dipegangnya lagi. cukuplah Lukman membohonginya selama ini.
“Awak jangan nak percaya cerita orang, bang. Siapa perempuan yang abang katakan ni? Takkanlah Lukman boleh buat begitu?” Puan Sri Mahani yang terkejut masih sempat mencelah menyebelahi anaknya itu.
“Betul, ayah. Siapa perempuan tu?” sambut Lukman pantas. Segar sedikit perasaannya apabila dia mendapat belaan emaknya itu.
“Awak fikir anak awak ni mati pucuk? Tak boleh mengandungkan perempuan kalau ada perempuan telanjang depan muka dia?” tempelak Tan Sri Fatah keras kepada isterinya itu. Seketika kemudian pandangannya dihalakan pula kepada Lukman. “Kau tak payah nak buat-buat tak tahu, Lukman. Aku tahu kau sebenarnya memang dah tahu yang Laila tu dah mengandung. Tapi kau suruh dia gugurkan kandungan tu sebab kau tak mahu bertanggung jawab. Dah lupa? Kau kenal Lailakan?” soal Tan Sri Fatah tajam kepada Lukman.
“Laila mana ni, ayah? Luk tak kenal!” nafi Lukman yang sudah mula tertekan dengan segala tohmahan ayahnya itu. Dia tidak tahu bagaimana ayahnya boleh mengenali Laila. Seiring itu dia merasakan nyawanya seperti sudah dihujung tanduk. Dia tahu bukan mudah berhadapan dengan ayahnya kali ini.
Syahreena sempat menggeleng sambil memandang adiknya itu. “Mulut memang boleh menipu tapi DNA tak akan menipu kita,” ucapnya selamba.
“Apa yang Kak Reen cakap ni?” tukas Lukman agak kasar. Melihat Syahreena sudah mula menyertai ayahnya dia merasakan dirinya akan kekalahan jika dia tidak bijak menangkis tuduhan ini.
“Kau jangan nak buat-buat tak tahu. Aku report polis baru kau tahu nasib kau nanti!” Dengan lantang si ayah membuat ugutan itu. Semakin geram melihat anaknya bersikap seperti seorang dayus. Biarpun sudah terperangkap masih juga mahu menegakkan benang yang basah.
“Ayah! Ayah takde bukti nak tuduh Luk macam tu. Luk tak kenal Laila! Jangan nak tuduh sembarangan. Ayah lebih percayakan cakap orang daripada cakap anak ayah sendiri? Entah perempuan mana yang datang pada ayah mengaku mengandungkan anak Luk. Jangan ayah senang tertipu!” meninggi suara Lukman melawan kegarangan ayahnya.
“Beritahu aku kenapa aku mesti percaya kalau selama ini aku dah cukup lama tertipu dengan lakonan kau, Lukman! Beri aku sepuluh sebab kenapa aku kena dengar cakap kau sekali ini kalau dah jelas terang-terangan depan mata aku yang selama ini kau memang gemar bertukar perempuan!” jerkah Tan Sri Fatah kian lantang. Turun naik dadanya menahan bara. Inikah hasil didikannya kepada Lukman selama ini? Ini sahaja yang mampu terbina dalam diri anaknya itu? Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu kecewanya dia.
“Aku tak semudah itu untuk tertipu kalau depan mata aku sendiri ada seorang perempuan terkedang sakit di hospital disebabkan kau. Anak dalam perut Laila tu anak siapa lagi kalau bukan anak kau? Kau nak aku panggil dia ke sini?” cabar Tan Sri Fatah cukup lantang.
“Panggil aja perempuan tu ke sini. Jangan senang-senang dia nak buat cerita tentang anak kita sedangkan dia yang tak tahu jaga maruah diri. Jangan dia nak suruh Lukman pulak yang jadi pak sanggupnya!” Puan Sri Mahani terus menyampuk sebelum sempat Lukman menjawab. Dia amat yakin yang Lukman tidak bersalah sedangkan dia tidak sedar yang Lukman sudah cukup cemas tatkala mendengar ayahnya mahu memanggil Laila.
Tan Sri Fatah ketawa sinis kepada isterinya itu. Dia sudah menyiapkan segalanya. Laila sudah awal-awal lagi dijemput oleh Ariffin. Sekejap lagi pasti Laila ada di sini. Malam ini segalanya akan diselesaikan sebaik-baiknya.
“Awak pasti awak nak macam tu, Mahani?” soal Tan Sri Fatah kepada isterinya itu.
“Ialah! Awak ingat perempuan-perempuan di KL ni apa? Baik sangat? Bukan susah pun nak menuduh anak kita ni, bang. Sebut aja nama terus semua orang percaya!” sambut Puan Sri Mahani yang sudah panas hati. Walaupun dia sendiri tidak suka dengan kelakuan Lukman selama ini itu tidak bermakna dia senang mahu mendengar tuduhan tanpa asas begitu.
“Mama ni janganlah cakap macam tu..” Lukman mula bengangkan ibunya pula. Harapannya untuk menyelamatkan diri semakin dipunahkan emaknya. Matilah dia jika dia terpaksa berhadapan dengan Laila pula.
“Kenapa pulak? Luk tak salah buat apa nak takut? Biar dia buat pengakuan depan kita. Kalau betul Luk tak salah kita saman aja perempuan tu. Sedap-sedap aja nak buat cerita!” Mudah sahaja Puan Sri Mahani meluahkan kata-kata. Langsung tidak berfikir kewajaran kata-katanya itu.
“Oh, awak nak saman budak perempuan tu? Kalau anak kesayangan awak ni bersalah apa awak nak kita buat apa pula pada dia? Dakwa dia sebab memperkosa? Dakwa dia sebab menculik, lepas tu memperkosa kemudian mengugut? Macam tu?” bidas Tan Sri Fatah pantas.
“Kalau betul dia tu diperkosa kenapa dia tak laporkan pada polis awal-awal lagi, bang oi? Kenapa kena tunggu anak dalam perut tu hidup baru dia nak ke depan? Ini dah tentulah perangkap dia. Sengaja nak jatuhkan nama baik keluarga kita. Awak janganlah lekas termakan cakap kosong orang ni. Bukannya susah pun menuduh Lukman mengandungkan dia! Budak tadika pun boleh cakap macam tu kalau disuruh!” Puan Sri Mahani dengan selamba menempelak semula suaminya itu.
“Apa yang dah merasuk fikiran awak ni, Mah? Dalam keadaan begini awak masih nak membela Lukman lagi. Saya takkan bercakap kalau takde kelogikan pada tuduhan saya ni. Awak ingat saya ni bodoh sangat tak tahu membezakan tuduhan tu palsu atau tidak? Awak tahu benar ke ke mana anak awak ni pergi bila dia tak balik rumah? Awak pasti benar dia tak buat benda tak senonoh bila dia takde depan mata awak?” balas Tan Sri Fatah mula bertekak dengan isterinya itu pula.
“Luk tak balik sebab Luk tidur kat rumah Luk. Takkan itupun salah?” Lukman lantas bersuara untuk membela dirinya.
“Awak nak tahu, mah? Budak perempuan tu tak lapor pada polis sebab anak awak yang awak anggap baik budi, beriman tinggi ni dah ugut nak sebarkan gambar bogel budak tu lepas dia perkosa budak tu berkali-kali. Awak tahu tak? Bukan sekali dua dia buat macam tu. Tapi berkali-kali! Sampai budak nekad pindah rumah sebab dah tak tahan jadi hamba seks anak awak ni! Cik Mahani oi, sedarlah sikit. Buka mata awak luas-luas. Jangan awak nak memenangkan lagi anak awak ni. Anak awak ni bukannya terlanjur dengan budak perempuan tu tapi anak awak ni dah perkosa budak perempuan tu. Dia dah buat jenayah berat. Tak cukup dia rogol budak tu di kondo tu, dia ceroboh masuk ke rumah budak tu untuk puaskan nafsu dia. Kita ada tiga anak perempuan yang masih belum kahwin. Awak nak menangkan dia, awak tak takut ke nanti orang buat anak-anak perempuan kita macam tu?? Awak tak ingat tentang itu?” suara Tan Sri Fatah semakin lantang menghentam isterinya itu.
Puan Sri Mahani terus terdiam. Riak di mukanya segera berubah. Tampang Lukman dipandangnya seakan menagih penjelasan. Lukman pula terus bangun dari sofa yang didudukinya. Menyedari semua rahsianya sudah pecah dia tahu sudah tiada apa yang dapat dilakukannya selain daripada melarikan diri tetapi Nizam dengan pantas mencekak lengan adiknya itu.
“Kau nak lari kemana?” soal Nizam marah.
“Saya tak mahu duduk sini lagi, bang. Saya tak mahu orang tuduh saya yang bukan-bukan. Saya tak rogol sesiapa. Perempuan tu penipu!” Lukman menjawab lantang kepada abangnya itu. Dia sebenarnya tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan sesiapa dalam keadaan begini terutama sekali emaknya.
Mata Puan Sri Mahani sudah terbuntang memandangnya. Dia dapat merasakan emaknya sudah mula berbelah bahagi. Sebahagian cerita ayahnya sudah mula dimakan oleh emaknya.
“Kau jangan nak mengelak! Duduk sini sampai kkita semua dapat selesai perkara ni. Kalau tak aku debik kau karang!” herdik Nizam geram melihat Lukman. Ada hati mahu melarikan diri dalam saat-saat begini.
“Pukullah! Saya tak takut! Saya takkan bertanggungjawab pada perempuan yang saya tak kenal. Saya tak rogol dia! Lepaskan saya!” dek kerana terlalu takut dia lebih rela didebik daripada duduk menghadap ibu dan ayahnya bersama semua kesalahan yang telah dilakukannya. Mengaku anak di dalam kandungan Laila itu sebagai anaknya? Oh, tidak!
“Kalau betul kau tak rogol dia kenapa kau nak lari? Kalau kau lari kau jangan fikir boleh jejakkan kaki ke sini lagi!” bentak Tan Sri Farah lantang. Dia sudah melihat ketakutan di mata anaknya itu.
Sudah diagaknya! Keberanian Lukman tidaklah sebesar mana. Lagak sahaja yang lebih! Kini di hadapan matanya dia sudah melihat kegelabahan Lukman.
Lukman terpempan seolah baru sahaja ditampar oleh ugutan Tan Sri Fatah itu. Tidak sangka ayahnya senekad itu. Serentak itu suara Ariffin kedengaran memberi salam di hadapan pintu rumah. Pertingkaian mereka anak beranak terhenti serta merta.
Melihat batang tubuh yang berada di sebelah Ariffin wajah Lukman pucat sepucat-pucatnya. Tiba-tiba dia merasakan tubuhnya melonglai.
“Masuk, Laila. Memang tepat pada masanya. Senanglah kita nak membuat kira-kira kalau semuanya dah ada di sini! Takde dakwa dakwi lagi kalau semuanya ikut mendengar.” Tan Sri Fatah segera berdiri untuk menjemput tetamunya itu menyertai mereka di ruang tamu rumah itu.
“Ma, cantik budaknya..” desis Syahreena saat terpandangkan wanita yang bernama Siti Laila Huda itu masuk ke dalam rumah. Jauh lebih cantik dari apa yang dibayangkannya.
Puan Sri Mahani sempat mengerling tajam wajah anaknya itu tanda tidak suka dengan pujian Syahreena. Apa gunanya wajah yang cantik kalau sudah hamil sebelum nikah? Itulah pendiriannya saat itu.
“Apa kau cuba buat ni ha??” Lukman cuba mengancam Laila yang masuk setelah dipanggil oleh ayahnya. Buntang matanya memandang Laila. Sudah lupakah Laila kepada ugutannya dahulu?
Ah! Sememangnya dia sebenarnya tiada apa yang boleh digunakan unutk melemahkan Laila saat ini kerana ugutan itu sebenarnya hanya kosong!
“Kenal pulak kau dengan dia? Tadi kata tak kenal? Kalau kau tak salah kenapa kau nak takut dia ada di sini? Ini rumah ayah. Ayah yang jemput dia. Kau ada masalah ke kalau dia ada di sini? Duduk situ! Selagi perkara ni tak selesai kau jangan harap kau boleh pergi. Waktu untuk berdrama sudah habis! Duduk! Kau jangan ingat kau boleh lepas sesenang itu lepas apa yang kau dah buat pada dia!” Tan Sri Fatah mengherdik Lukman keras.
“Kau duduk! Jangan cuba-cuba nak cabut lari pulak.” Nizam menekan tubuh Lukman agar duduk semula di sofa itu. Saat ini adalah saat yang paling tepat untuk mereka membersihkan nama masing-masing dengan cara berhadapan begini.
Lukman semakin gelisah apabila melihat sudah Laila berada dalam rumahnya. Dia tahu bukan mudah untuknya kali ini. Tetapi apa sekalipun keadaannya dia tetap tidak akan mengakui apa yang telah dilakukannya. Menyelamatkan maruahnya lebih penting berbanding bertanggungjawab kepada bayi yang sedang dikandungkan Laila.
“Awak sedar tak awak dah menuduh anak saya rogol awak? Apa bukti yang awak ada untuk tuduh anak saya macam tu?” Puan Sri Mahani terus menyoal Laila. Nadanya keras sambil memandang tajam kepada wanita muda itu.
Laila terdiam tidak mampu menjawab. Dia tidak tahu apa yang mahu dikatanya. Dia kekeluan apabila disoal agak kasar oleh wanita anggun itu. Bukti? Sudah tentulah dia tiada bukti melainkan bayi dalam rahimnya ini.
“Biar saya yang jawab soalan awak tu, Mah. Sebelum Laila datang pada saya, saya pernah masuk ke kondo Lukman waktu dia berkerja. Saya tak percayakan Laila begitu saja. Saya ada bukti yang mengatakan apa yang Laila katakan tu benar!” Tan Sri Fatah menjawab bagi pihak Laila.
“Bukti apa, ayah? Luk tak tahu apa yang dia cakap ni. Luk tak kenal dia!” tegas Lukman masih mahu menafikan segala perbuatannya. Seingatnya semua bukti sudah dihapuskannya! Jadi Laila tidak boleh menuduhnya sesuka hati.
“Oh! Bila kau buat perkara terkutuk tu kau kenal dia, kau tahu mana nak cari dia. Kalau betul kau tak salah kenapa Laila kata dia tercakar leher kau dan kebetulan pula leher kau memang ada kesan luka? Kau ingat semula kau ada kata pada Nizam luka tu luka terkena pokok bunga. Kalau betul terkena pokok bunga kenapa aku nampak ada kesan lebam pada dahi kau. Sebelum sempat aku tanya Laila ada kata yang dia baling kau dengan lampu tidur sampai terkena dahi. Aku nampak lampu tidur tu dah ada dalam tong sampah dalam bilik kau.  Kalau dia mereka cerita kenapa semua kesan tu aku nampak sendiri dengan mata kepala aku ni pada kau? Dia yang berbohong atau kau yang kaki penipu? Kalau nak difikirkan logik, kesan luka tu nampak lebih logik kalau aku katakan kesan cakar berbanding kena duri pokok bunga. Sebab belum pernah lagi aku tengok pokok bunga di halaman rumah ni cederakan sesiapa selama ini!”
Lukman lantas menelan liurnya. Ketegangannya mengendur akibat kepupusan idea untuk membela diri. Akalnya cuba mencari lagi idea untuk melepaskan diri daripada perangkap ayahnya itu. Dia tidak dia tidak harus lekas mengalah walaupun dia tahu dia sudah hampir kalah.
“Aku tahu kau letakkan cadar dalam mesin basuh supaya orang lain tak nampak kesan darah pada cadar tu. Tapi aku nampak semuanya, Lukman. Aku nampak! Kalau kau tak puas hati jugak aku boleh panggil Dr. Rajesh ke sini. Kau ada bawa Laila jumpa dia lepas kau kerjakan Laila cukup-cukup di kondo dulu tukan? Aku dah jumpa doktor tu. Dia dah ceritakan segala-galanya pada aku. Aku dah kata aku ada bukti. Kau nak aku report polis sekarang?” tempelak Tan Sri Fatah semakin lantang apabila dia melihat Lukman bagaikan sudah kehilangan kata untuk menafikan.
“Ayah! Apa ni? Jangan buat Luk macam ni..”
“Apa yang aku dah buat pada kau? Kau yang tempah nasib kau macam ni. Sekarang ni Laila dah mengandung, apa cerita sekarang ni, Lukman? Kau nak nafikan lagi? Bila dia datang pada kau, kau suruh dia gugurkan kandungan tu. Dia tertekan sampai masuk hospital. Mana tanggungjawab kau sebagai manusia, Lukman? Kau ni binatang ke manusia?”
“Ayah, Luk tak buat semua tu. Belum tentu lagi itu anak Luk, ayah.”
“Tadi kata kau tak buat lepas tu kau kata belum tentu lagi itu anak kau. Ini bermakna memang adalah kau sentuh dia? Kau sengaja nak kata itu bukan anak kau sebab kau dayus tak mahu mengaku kesalahan yang kau dah buat. Jadi anak siapa tu kalau bukan anak kau?” bidas lelaki tua itu enggan kalah kepada penipuan anak lelakinya itu. Sekilas dia memandang dia tahu anaknya itu menipu. Hanya perlukan sedikit kebijakan untuk memerangkap Lukman, itu sahaja.
“Reen, beritahu apa yang kamu tahu sebelum ni..” ucap Tan Sri Fatah kepada anak perempuannya itu pula.
Syahreena yang tidak bersedia terkejut sedikit apabila namanya disebut oleh ayahnya. Sempat dia menunding kepada dirinya dengan sedikit kerutan di kening. Mungkin dia tidak menyangka ayahnya akan menyeret dia sama dalam masalah ini.
“Ya, bagitahu dia. Ayah nak dengar apa pulak yang dia nak kata lepas ni!” tegas Tan Sri Fatah.
“Apa semua ni, Reen?” soal Puan Sri Mahani kepada Syahreena.
“Reen ada gunting sikit bahagian cadar yang terkena darah tu dan Reen ambil sampel rambut perempuan yang ayah jumpa pada bantal dalam kondo Luk. Seminggu kemudian Reen dapat tahu darah tu milik Laila lepas Reen minta staff di makmal buat ujian pada darah tu. Nama Laila yang keluar dari sistem sebab dia pernah berurusan dengan hospital sebelum ni. Semua data peribadi dan rekod DNA dia ada dalam sistem. Juga ada campuran DNA mereka dalam bentuk cecair lain yang membuktikan memang ada berlaku hubungan badan antara mereka berdua, ma. Susah nak nafikan lagi semua tu sebab DNA takkan menipu kita.”
“Ma, jangan percaya cakap Kak Reen. Dia ni janda! Janda memang senang menyerah pada lelaki. Entah-entah bukan Luk seorang yang dah sentuh dia. Dia sengaja nak perangkap Luk.” Dengan pantas Lukman mereka cerita yang tidak pernah diketahuinya semata-mata mahu mengaburi pandangan kedua orang tuanya kepada Laila.
“Balu! Janda dan balu tak sama, Lukman!” tegas Tan Sri Fatah tidak senang dengan cara Lukman menyelar status Laila.
“Tak kisahlah balu ke janda! Sama aja bagi Lukman!” degus Lukman tetap tidak mahu mengalah.
“Oh! Sekarang kau mengakulah yang kau memang ada sentuh dia? Bagi kau dia cuma janda jadi kau ingat kau boleh touch and go macam tu aja? Malam tu selain kau siapa lagi yang bernafsu binatang macam kau? Bawa dia ke sini aku nak jumpa!” tempelak sang ayah tetap mahu berbalah kata dengan anaknya itu. Dia tidak akan mengalah sehinggalah Lukman mengakui apa yang benar.
“Laila, betul ke Laila dah pernah kahwin?” kali ini Puan Sri Mahani pula menyoal Laila. Dia tidak mahu mendengar cerita Lukman sahaja. Dia mahukan penjelasan Laila pula. Entahkan benar apa kata Lukman, Laila senang melayan lelaki.
“Betul. Saya dah..”
“Tengok.. belum tentu lagi itu anak Lukman, bang. Jangan cepat menuduh anak kita. Janda ni kalau dah terdesak dengan suami orang pun boleh apatah lagi dengan yang bujang..” Puan Sri Mahani lantas memintas kata-kata Laila. Masih mahu memenangkan Lukman setelah Laila mengaku yang dia janda. Laila dijelingnya tajam.
“Tapi hanya Lukman yang ada sentuh saya selama ini, Puan Sri. Memang saya janda. Saya kematian suami empat tahun lalu. Tapi kalau saya murah seperti yang dia katakan kenapa mesti dia perkosa saya? Kenapa mesti saya cederakan dia waktu tu? Kalau saya murah dah tentu saya akan relakan apa yang dia lakukan. Tapi kenyataannya tak!” ujar Laila nekad menegakkan maruahnya.
Memang hanya dia sahaja yang tahu hakikat itu tetapi membiarkan maruahnya dipijak-pijak di hadapan keluarga ini tidak sama sekali. Dia tahu Allah melihat segalanya. Jika kebenaran tidak terungkap hari nanti pasti akan terungkap juga suatu hari nanti. Pasti!
“Manalah aku tahu siapa lagi yang ada sentuh kau dulu. Entah-entah anak dalam perut kau tu anak Nazim. Nazim pun sukakan kau,” tempelak Lukman.
Laila memandang Lukman tajam dalam pada menahan sakit di hatinya mendengar kata-kata itu. Seperti mahu ditamparnya lelaki yang duduk tidak jauh darinya itu. Betapa rendah nilai dirinya di mata Lukman. Seronok benar Lukman menegakkan benang yang basah dengan mengadakan cerita kotor tentangnya di hadapan ahli keluarganya.
“Aku tak semurah itu, Lukman. Seumur hidup ni aku tak pernah berzina dengan mana-mana lelaki sebelum ni. Memang betul aku janda tetapi aku hanya sempat berkahwin dengan arwah suami aku selama empat bulan. Itu pun kami bernikah gantung semasa aku masih di universiti. Kau jangan nak nafikannya lagi! Kau yang larang aku dekat dengan Nazim sebab kau kata tubuh badan aku adalah milik kau. Jangan jadi dayus! Mengakulah apa yang dah kau buat. Jangan mereka cipta cerita yang takde! Kalau kau rasa kau benar aku cabar kau bersumpah depan Al-Quran sekarang!” tembak Laila kepada Lukman.
Dia nekad! Biarlah dia malu semalu-malunya kerana membongkar rahsia yang tersimpan selama ini asalkan dia tidak dihina. Memang Arwah Nahij tidak sempat merasmikannya sebagai isteri sebelum meninggal dunia dahulu.
Lukman lantas terdiam. Cabaran yang diberikan Laila amat berat untuk disambutnya. Mahunya dia dipanah petir kerana membuat sumpah bohong macamana? Naya dia nanti! Tambahan pula dia tahu benar berdosa besar memfitnah seorang perempuan melakukan zina.
“Macamana, Lukman? Nak bersumpah depan Al Quran tak?” soal Laila apabila melihat Lukman kematian kata-kata. Dia tahu Lukman tidak akan berani punya!
Tan Sri Fatah tersenyum sinis sambil menggeleng. Idea Laila itu memang bernas. Dia amat bersetuju. Tetapi kebisuan Lukman sudah membuktikan yang anaknya itu tidak sanggup menghadapi risiko akibat perbuatan sumpah itu nanti.
“Tadi kau kata kau tak kenal dia. Tapi kau tahu pulak ada lelaki lain sukakan dia. Mana satu yang betul ni, Luk? Kalau dia senang menyerah pada lelaki kenapa sampai berdarah kau kerjakan dia? Cerita apa yang kau cuba buat ni??” Nizam menyampuk agak keras. Dia tahu saat ini bukan Laila yang berbohong atau cuba memerangkap Lukman tetapi riak wajah Lukman yang cemas semacam itu sahaja sudah cukup memberitahu mereka semua yang dia sememangnya bersalah. Cakapnya juga sudah lintang pukang. Sekejap berkata tidak sekejap mengiakan.
Lukman memandang tajam abangnya itu. Geram benar dia apabila Nizam cuba menyukarkan lagi keadaannya. “Luk tak buat semua tu, bang. Dia ni cuba perangkap Luk. Entah-entah dia kata itu anak Luk bila lelaki yang buntingkan dia tak mahu bertanggungjawab. Siapa boleh buktikan yang tu memang anak Luk yang sah?” Lukman kembali menafikan tuduhan yang terus dilemparkan kepadanya.
“Hai..! Senangnya dia nak menuduh kau? Di mana dia jumpa kau sampai dia boleh pilih kau untuk dijadikan pak sanggup? Kalau kau tak kenal dia takkanlah dia senang-senang nak serang kau macam ni? Masuk akal ke semua ni? Lagipun kalau betul pun dia bohong bukannya kita tak boleh buktikan. Kita ada ujian DNA yang boleh tentukan anak tu anak siapa. Kau sanggup buat ujian tu?” tempelak Nizam sinis.
Lukman mati kata sekali lagi. Ya! Ujian DNA boleh menentukan anak di dalam kandungan Laila anak siapa. Kakaknya ada kemudahan untuk membuat ujian itu. Lukman kembali cemas. Dia tahu, selepas dia menghantar Laila pulang tempohari dia ada menelefon Dr. Rajesh untuk menanyakan keadaan Laila sebenarnya. Wanita itu mengatakan koyakan pada selaput dara menunjukkan Laila masih dara ketika dia melakukan perbuatan terkutuk itu. Lagipun dia memang sudah mengesyaki Laila masih dara ketika dia ternampak darah di cadar itu.
Lukman menegur liurnya. Namun rasanya seperti liurnya sudah tersekat di kerongkong. Dia sudah kehabisan idea untuk menafikan. Lukman tahu sudah tiada jalan lagi untuk dia mengelak apabila kesemua pasang mata di ruang tamu itu memandangnya tanpa henti, menagih penjelasan darinya.
“Kau nak nafikan lagi? Baiklah, Lukman. Tak perlulah kita nak bertekak di sini lagi. Kau dengar sini baik-baik. Ayah akan buat laporan polis malam ini untuk mengesahkan apa yang Laila katakan ni benar. Begitu juga dengan segala penafian kau. Ayah masih simpan cadar tu dan itu akan ayah kemukakan untuk dijadikan bukti. Kalau kau tak salah tak perlulah kau nak takut. Ayah pun tak suka orang tuduh anak-anak ayah begitu sahaja. Jadi siasatan polis ni nanti akan menentukan siapa yang benar yang dan siapa yang menuduh,” umpan Tan Sri Fatah segera menyudahkan rancangannya untuk memerangkap Lukman.
Lukman tergamam mendengar keputusan ayahnya. Tambahan pula secara spontan dia teringat ayahnya memang kenal baik dengan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Berat Bukit Aman, Dato Ismail Tahar. Lagilah dia bertambah kecut. Terbayang dia bagaimana dia nanti akan menjalani hukuman rotan akibat jenayah merogol wanita.
Aduhai...! Lukman benar-benar menggelabah apabila melihat ayahnya mula mengeluarkan telefon bimbitnya untuk memanggil seseorang.
“Ayah! Jangan, ayah. Tolong jangan lapor pada polis. Luk minta maaf. Luk janji tak buat lagi,” spontan Lukman terus bangun dan meluru kepada ayahnya. Pergerakannya berakhir di hujung kaki ayahnya itu.
“Jadi kau mengaku sekarang?” soal Tan Sri Fatah sambil memandang anaknya itu.
“Ya, ayah! Luk mengaku Luk memang ada buat macam tu pada Laila. Anak tu memang anak Luk. Tapi tolonglah ayah, jangan lapor pada polis. Luk mengaku Luk memang salah. Memang semua yang Laila cakap tu betul. Maafkan Luk, ayah!” Hampir menangis Lukman saat itu. Dia benar-benar sudah tidak berdaya lagi mempertahankan dirinya.
Puan Sri Mahani terlopong mendengar pengakuan anak lelakinya itu. Nyawanya bagaikan direntap keras oleh pengakuan Lukman saat itu. Dia tidak sangka apa yang dikatakan oleh suaminya tadi sememangnya benar dilakukan oleh Lukman dan dia pula dengan tanpa segan silu membela Lukman yang bersalah. Lebih buruk lagi teganya dia menghina Laila hanya kerana mahu memenangkan anaknya yang kejam.
Malunya dia kepada Laila. Air mukanya bagaikan sudah jatuh terjerembab di hadapan Laila saat itu. Bagaikan tiada tempat untuk dia menyorokkan dirinya. Akibat hilang sabar Puan Sri Mahani terus bangun dari sofa itu. Dia meluru ke arah Lukman. Bahu Lukman ditarik kasar sehingga anak lelakinya berpaling ke arahnya. Lalu wajah itu ditampar sekuat-kuat hatinya.
“Anak tak tahu diuntung!” jerkah Puan Sri Mahani cukup lantang.
“Mama, Luk minta maaf..” Lukman sujud pula di kaki ibunya.
“Kau dah malukan mama! Kau fikir maaf kau tu cukup??? Mama percayakan kau selama ini, Lukman. Ini yang kau balas pada mama?” semakin meninggi suara Puan Sri Mahani. Kepala Lukman dipukulnya kuat untuk melepaskan geram.
Nizam segera bangun untuk menenangkan emaknya itu yang mula naik hantu kepada Lukman. Tubuh emaknya yang masih menggigil menahan marah dibawa duduk semula. Namun pandangan mata Puan Sri Mahani terus mencerlang memandang Lukman. Masih tidak puas untuk menghukum Lukman. Sungguh memalukan sekali, anak kesayangannya sudah menconteng arang ke mukanya.
“Kau memang dayus, Lukman. Kau rosakkan perempuan lepastu senang aja kau nafikan apa yang kau buat. Sampaikan kau tak sanggup mengatakan anak tu anak orang lain padahal kau tahu itu anak kau. Kau ni memang jenis lelaki yang tak tahu diri. Apa dah jadi dengan kau ni??” Puan Sri Mahani yang masih belum puas menghamburkan kemarahannya mengherdik Lukman sekuat-kuat hatinya dari tempat duduknya.
Lukman hanya mampu berdiam membatukan diri. Dia tidak mahu menjawab lagi kerana dia takut ayah dan mamanya akan bertambah marah dengannya. Lebih mudah dia mengaku salah sahaja daripada kes ini diperpanjangkan kepada pihak polis.
“Mana gambar dia yang kau ambil?” soal Tan Sri Fatah mula mengawal keadaan itu semula.
“Gambar apa?” soal Lukman sedikit lugu.
“Budak bengap!! Gambar dia yang kau gunakan sebagai senjata untuk melepaskan diri! Kau ugut nak sebarkan gambar bogel dia. Mana gambar tu??” herdik Tan Sri Fatah marah. Kini dia pula yang terasa mahu menampar muka Lukman.
“Gambar tu tak wujud. Luk sengaja takutkan Laila sebab dia ugut nak laporkan pada polis,” jelas Lukman amat rendah.
Dia masih ingat pesanan Nazim agar tidak benar-benar mengambil gambar itu kerana gambar itu boleh menjadi bukti besar untuk menyabitkan mereka berdua jika Laila nekad melaporkan pada polis. Tambahan pula dia sememangnya tahu biar pun sudah ke seluruh dunia dia menyebarkan gambar itu, siasatan pihak polis pasti akan menemukan dia sebagai si penyebar akhirnya. Bodohlah dia kalau dia memerangkap Laila ketika Laila sedang berada di atas katilnya. Semudah itu polis boleh mengesan perbuatan jenayahnya dengan mengecam suasana di dalam bilik tidurnya. Kerana itu dia tidak berani melakukannya.
“Aku tak percaya, Lukman. Kau jangan nak main-main dengan aku.”
“Sumpah, ayah! Gambar tu memang takde. Luk hanya nak takutkan dia saja. Luk ingat dia senang dipujuk tapi Luk salah. Laila ugut nak laporkan apa yang Luk buat malam tu pada polis. Sebenarnya itu hanya ugutan kosong sebab Luk dah takde cara lain nak tutup mulut Laila.” Saat itu buat pertama kalinya dia mula bercakap benar.
“Senang kau bercakap ya? Sekarang aku nak kau bertanggungjawab pada dia. Kau dah buntingkan dia sekarang aku nak kau bertanggungjawab pada dia dan anak dalam kandungan tu. Kau kena kahwin dengan dia!” kata Tan Sri Fatah sambil menundingkan jarinya kepada Laila.
Laila dan Lukman serentak tersentak dengan ucapan Tan Sri Fatah. Berkahwin? Laila sempat membayangkan betapa gelapnya masa depannya jika dia bersuamikan lelaki ini. Tetapi wajarkah dia mementingkan hati dan perasaannya sedangkan anak dalam kandungannya ini perlukan pembelaan? Jika dia menolak sanggupkah dia membiarkan anaknya menggalas gelaran anak haram? Lantaran memikirkan itu Laila membatukan diri biarpun dia terlalu ingin menolak permintaan Tan Sri Fatah itu.
“Ayah, Luk tak mahu kahwin sekarang. Luk belum bersedia..” ucap Lukman setelah memandang Laila seketika. Dia tahu Laila juga sebenarnya tidak mahu berkahwin dengannya.
“Siapa kata kau boleh memilih sama ada kau nak atau tidak? Ini arahan aku!” ucap Tan Sri Fatah keras.
“Mengandungkan dia kau bersedia pulak. Bila disuruh kahwin kau tak mahu. Kau boleh teruskan dengan kedegilan kau, Lukman. Tapi aku juga ada keputusan aku sendiri,” sambung Tan Sri Fatah cukup serius. Hari ini dia akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenar sebagai ayah biar semua anak-anaknya sedar dengan siapa mereka berhadapan sebelum terfikir untuk membuat onar begini.
“Kau kena sedar apa harga yang haru dibayar sebelum kau ingkar pada kehendak aku. Mulai malam ini kau bungkus kain baju kau keluar dari rumah ni. Aku haramkan kaki kau memijak rumah ni dan kau bukan lagi anak aku. Jangan harap kau nak dapat sesen pun dari harta aku lepas semua tu. Mulakan hidup kau sendiri dengan usaha kau sendiri. Rumah, kereta, kad kreadit dan segala duit dalam akaun bank yang datang dari aku, aku tak benarkan kau ambil. Selangkah kau keluar dari rumah ni aku tak nak tengok muka kau lagi sampai bila-bila. Aku tak perlukan anak yang tak berguna macam kau! Memalukan!”
Lukman sekali lagi terkedu mendengar hukuman yang telah dijatuhkan oleh ayahnya. Tanpa dapat ditahan matanya berkaca. Dia tidak sangka ayahnya akan senekad itu ingin membuangnya dari keluarga ini.
“Ayah, sampainya hati ayah. Disebabkan dia ayah sanggup buang Luk dari hidup ayah? Luk anak ayah!” tekan Lukman dengan nada yang sudah bergetar. Air matanya terus mengalir saat itu. Betapa remuk hatinya saat itu hanya Tuhan yang tahu. Beginikah pengakhiran hidupnya?
“Ya! Memang aku sampai hati kerana aku tak pernah ajar kau buat begini. Kau lagi sampai hati menconteng arang ke muka aku. Kau lebih tergamak memalukan aku dengan berperangai macam iblis. Ini aja yang kau dapat setelah bertahun-tahun aku besarkan kau dengan titik peluh aku sendiri?
“Budak dalam perut Laila tu anak kau! Tapi kau menafikannya sesudah nikmatnya kau rasa sepuasnya? Kau bukan lagi seorang manusia, Lukman! Sekarang tanpa semua kemewahan ni aku nak tengok sejauh mana kau boleh hidup. Kalaulah disebabkan kemewahan yang Allah beri ni membuatkan kau jadi binatang yang serupa manusia maka aku tak halalkan sesen pun harta aku jatuh ke tangan kau sekiranya kau enggan bertanggungjawab pada Laila. Kau dengar?”
“Ayah.. jangan buat Luk macam ni. Luk minta ampun, ayah. Luk anak kandung ayah! Jangan beri hukuman ni pada Luk, ayah. Luk sayangkan ayah.”
Esakan Lukman semakin kuat. Semakin menyayukan sehingga Laila sendiri terpaku melihat Lukman sujud di kaki ayahnya. Lelaki itu menangis sambil memeluk kaki ayahnya itu. Kali terakhir dia melihat Lukman betapa angkuh dan kuatnya lelaki itu. Tetapi hari ini tanpa ayahnya Lukman bukan sesiapa.
“Buatlah pilihan yang terbaik untuk kau. Kerana sayangkan kau ayah buat begini. Kalau ayah tak nekad, kau takkan belajar satu apa pun dari kesilapan kau selama ini. Ayah cuma nak kau jadi seorang lelaki, Lukman. Anak tu perlukan ayahnya. Kau nak biarkan darah daging kau sendiri jadi anak haram semata-mata kerana mahu menjaga ego kau? Aku takde sebab nak kasihankan kau lagi. Sekarang putuskan apa yang kau mahu. Kahwin dengan Laila atau keluar dari rumah ni. Pilihan ditangan kau sekarang! Putuskan!” ucap Tan Sri Fatah masih tidak mahu mengalah. Rayuan Lukman masih tidak mampu memujuk sekeping hatinya yang sudah hancur lumat dikerjakan Lukman.
Lukman terdiam. Dia masih menangis sendiri. Namun dalam pada itu bicara ayahnya tetap dipertimbangkan. Mengalah kepada kehendak ayahnya atau keluar dari rumah ini selama-lamanya? Yang mana satu?
“Kahwinlah dengan Laila, Luk. Kasihan dia. Kasihankan anak dalam perut dia tu. Jadilah lelaki yang bertanggungjawab. Sekarang ni kau boleh lari tapi nanti depan Allah kau akan menanggung azab atas setiap apa yang dah kau kerjakan. Kau tak boleh lari sebab Allah melihat semuanya.” Nizam yang sedari tadi hanya memerhati mula memujuk adiknya itu. Dia mula risau apabila melihat ayahnya nekad mahu menghalau Lukman keluar dari rumah. Dia tidak sampai hati pula melihat nasib Lukman jadi seperti itu.
“Jangan nasihatkan dia! Dia dah cukup besar! Dia patut tahu apa yang mesti dia lakukan,” ucap Tan Sri Fatah sambil menghalakan bola matanya ke hujung kakinya itu. Di situ Lukman masih melutut mengharapkan belasnya.
“Ayah..”
“Cukuplah! Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku cuma nak tahu, kau nak kahwin dengan dia atau tidak?” pintas Tan Sri Fatah yang masih menantikan keputusan dari Lukman. Dia tidak ingin mendengar rayuan sebaliknya keputusan.
Lukman akhirnya mengangguk perlahan. Dia tahu dia sudah tiada pilihan lagi.
“Kau dengar sini baik-baik? Selepas ni aku takkan percayakan kau lagi. Lepas apa yang kau buat ni aku memang takkan bagi muka lagi pada kau. Pertama sekali aku nak kau bagi balik kunci kondo tu. Lepas tu aku nak jumpa orang tua Laila dan minta maaf pada mereka. Aku mahu kau kahwin dengan Laila dalam minggu ini juga. Kalau kau cuba larikan diri, anggap ajalah aku ni dah tak wujud lagi untuk kau dan aku haramkan kau sentuh aku walaupun sekadar di hujung kaki sewaktu aku mati nanti. Kau faham?” ancam Tan Sri Fatah masih tidak mampu meletakkan biar sebutir kepercayaannya kepada Lukman. Dia tahu bila-bila masa sahaja Lukman boleh melarikan diri. Demi itu dia juga sudah bersedia dengan agendanya.
Lukman hanya mampu mengangguk lemah dengan amaran ayahnya itu. Dia mengesat matanya. Wajah Laila tidak ingin dipandangnya kerana saat ini dia amat malu kepada wanita itu. Buat pertama kali dia kalah apabila berhadapan dengan seorang wanita. Buat pertama kali di dalam hidupnya dia rebah dek kerana kuasa seorang wanita. Lebih malang sekali akhirnya dia terpaksa menjilat ludahnya sendiri setelah puas dia meludahkan wanita yang dianggap murah. Akhirnya janda yang dikatakan Nazim sebagai sisa orang itulah yang terpaksa dikahwininya.

1 ulasan:

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.