“Kau gila???” desis Lukman agak kuat
kepada lelaki itu.
“Alah! Relaxlah. Nak terkejut
apanya?” ucap Nazim selamba. Rokok di tangannya disedut dalam-dalam sebelum
dihembuskan sementara Lukman hanya memandang perbuatan lelaki itu. Ada rasa
gusar mengepung dadanya mendengar kata-kata Nazim. Hairan dia melihat Nazim
boleh setenang itu sedangkan apa yang diucap oleh lelaki itu bukan perkara yang
main-main.
“Alah! Aku dah biasa buat macam
ni. Tak pernah kantoi! Kali ni kalau aku berjaya memang untung besarlah
syarikat aku tu. Apa kau nak takut sangat?
Pandai makan pandai simpanlah, Luk. Dunia perniagaan memang macam ni.
Kalau tak suap menyuap mana nak kenyang. Makan sendiri aja, lambatlah kaya.”
Nazim menjawab selamba tanpa sedikit pun merasa bersalah atau gentar.
Lukman mengeluh perlahan sambil meraup keras rambutnya yang panjang hingga ke pangkal tengkoknya itu. Tidak
sangka juga dia. Nazim ini rupanya suka kepada aktiviti rasuah. Tapi dia? Dia
tidak pernah buat begitu dan dia tahu dia tidak seberani Nazim. Dia hidup di
dalam kongkongan keluarga. Tidak selamanya rahsianya boleh disimpan. Paling dia
bimbang ayahnya dapat menghidu taktiknya itu. Apa yang harus dikatanya nanti?
“Barang baik punya aku bagi kau
ni, Luk. Takkan tak nak? Ni budak memang tip top kalau layan lelaki. Rugi kau
nanti.” Melihat kebisuan Lukman, Nazim pantas melengkapkan hasutannya. Dia tahu
sedikit lagi Lukman pasti berjaya ditawannya. Lukman bukannya tidak gemarkan
perempuan. Mereka sama sahaja!
“Pelacur ke?” soal Lukman pula.
Kalau benar wanita itu pelacur dia akan menolak. Bimbang juga kalau virus HIV
menular ke dalam dirinya kala dia sedang asyik bersama wanita itu. Tidak
terbayang dia jika dia dijangkiti penyakit yang tidak mempunyai ubat itu.
“Dia ni bukan jenis pelacur
murahan tu. Ni yang high class punya.
Orang biasa tak mampu nak pakai! Dato’-dato’ dengan tan sri-tan sri aja yang
mampu. Jangan bimbanglah. Aku bawak khas untuk kau!” ujar Nazim meyakinkan
Lukman.
“Kalau pelacur aku tak mahu!” putus Lukman pantas. High Class atau apa itu bukan jaminannya. Asalkan pelacur baginya
sama sahaja!
“Ni bukan pelacur biasa..”
“Biasa atau tak dia tetap pelacur.
Buatnya dia ada HIV atau AIDS, mati aku! Kalau orang biasa bolehlah,” ujar
Lukman antara yakin dengan tidak. Dia sendiri masih belum memutuskan mahu
melakukan apa-apa untuk segala urusan yang diminta Nazim tadi.
“Kau nak yang macamana? Bagitahu
aku. Nanti aku dapatkan,” sambut Nazim pantas. Dia rela menjelajah seluruh
benua untuk mencari wanita yang sesuai dengan selera Lukman asalkan projek yang
dimahukannya itu berjaya di dapatinya. Alah! Dia percaya dia tidak perlu
menjelajah ke mana-mana untuk mencarikan perempuan untuk memenuhi selera
Lukman. Di Kuala Lumpur sendiri ramai wanita sanggup berbuat apa sahaja demi
wang!
“Biarlah dulu. Aku tak beranilah.
Kalau bapak aku tahu mampus aku, Zim! Ini bukan soal main-main,” ujar Lukman
akhirnya. Dia tidak mahu kerana nikmat yang sedikit itu dia melepaskan segala-galanya
yang dia miliki. Ayahnya jika sudah marah macam-macam boleh dilakukan oleh
ayahnya itu kepadanya. Itu yang Lukman tahu.
“Kau ni pengecut betul! Nama aja anak jantan! Buat apa kau nak explain
kat bapak kau? Diam-diam sudahlah. Kau lobikan aja proposal aku kat dia
pelan-pelan. Pujuk dia supaya pilih aku untuk tender tu. Dia takkan perasan
punya. Kalau aku bagi kau duit senang orang nak trace. Susah nanti kalau
kantoi. Kalau aku bagi kau perempuan, lepas pakai humban jauh-jauh, jangan bagi
dia jumpa kita semula. Kira hapus buktilah ni. Takde bukti takde siapa boleh
sabitkan kita,” ujar Nazim mengajar Lukman selok belok dunia perniagaan
busuknya!
Lukman terdiam dalam rasa serba
salahnya. Kalau sebut perempuan memang dia mahu tapi bab yang melobi syarikat
Nazim pada ayahnya itu. Dia masih kabur adakah dia berani melakukannya.
Sehebat-hebat dirinya dalam soal ini dia belum lagi sampai ke tahap itu. Dan
dia juga yakin dia tidak seberani Nazim.
“Aku tak tahulah, Zim. Aku ni cuma junior arkitek. Nak ke bapak aku tu dengar cakap aku? Lagipun kalau aku masuk campur
dalam soal itu bapak aku akan perasan! Abang aku lagi berkuasa di syarikat tu berbanding aku, ” luah Lukman masih menebal keraguannya.
Nazim mendecit perlahan. Susah
juga mahu memujuk anak orang kaya ini! Getus hatinya bengang. “Kau cuba jelah
dulu! Apa nak susah. Bukannya pakai duit. Cakap lembut-lembut aja! Kasi up syarikat aku sikit!” ujar Nazim sudah
mula geram dengan keengganan Lukman.
Lukman menoleh perlahan kepada
Nazim. “Tengoklah dulu. Nanti apa-apa aku beritahu kau, okay?” sambut Lukman
akhirnya.
Nazim mengangguk pantas. “Tapi
pasal ni rahsia kita berdua aja tau!”
“Aku tahulah..” sambut Lukman
meleret.
Pertemuan malam itu berakhir
dengan kesudahannya Lukman menjadi pemikir tentang tawaran Nazim itu saat dia
sedang memandu pulang ke rumahnya. Dia hanya perlu melobi kepada ayahnya
mengenai proposal Nazim supaya ayahnya memilih proposal syarikat itu sebagai
penerima tender. Sebagai ganjarannya dia diberikan seorang perempuan yang akan
melayani kehendak lelakinya. Nampak mudah bak kata Nazim.
Ini rasuah kecil-kecilan namanya..
bisik hati Lukman lalu dia tersenyum sendiri. Ah! Dia bukannya hairan sangat
dengan duit ringgit Nazim. Dia sendiri memang banyak duit.
Tapi jika soal perempuan? Susah!
Apabila sudah melakukannya sekali, keinginan itu kian mengasak dirinya hari ke
hari. Kalau dahulu sekadar suka-suka berkawan tetapi kini sudah ada seorang dua
kaum Hawa yang sudah ‘dibaraikannya’ tanpa merasa berdosa. Setakat ini semuanya
masih selamat tetapi dia tahu dia harus berhati-hati. Tidak selamanya langit
akan cerah.
Tetapi dalam keadaan begini,
tawaran Nazim itu bagaikan bantal yang disorongkan kepadanya saat-saat dia
sedang mengantuk seperti ini. Sukar mahu dilepaskan dari fikirannya. Cumanya..
dalam keberanian yang tidak seberapa dia masih ada rasa takut yang menebal.
Bimbang jika tertangkap oleh ayahnya. Bimbang jika dia terlalu bebas nanti dia
akan mendapat penyakit kelamin. Dalam keinginan yang ada Lukman masih
memikirkan natijahnya.
“Agaknya aku ni patutnya dah kena
kahwin..” omel Lukman sendiri. Bukankah perkahwinan mencegah diri dari berbuat
dosa besar itu?
Tetapi siapa pula yang akan
dipilihnya untuk dijadikan isteri? Kriteria seperti mana yang dicarinya? Lukman
sendiri masih tidak tahu wanita seperti apa yang dia berkenan untuk dijadikan
isteri. Hakikatnya dia juga masih belum puas hidup bebas seperti ini. Berkahwin
banyak tanggungjawab yang harus dipikulnya selain daripada kehendak lelakinya
akan sentiasa dipenuhi. Sesudah berkahwin langkah kakinya akan sentiasa
terbatas. Mahu berjumpa kawanpun susah. Itu belum soal anak lagi!
Ah! Lukman ngeri sendiri memikirkan
itu. Tidak! Dia tidak suka hidup terkongkong. Tidak mungkin dia akan menamatkan
zaman bujangnya dalam usia yang masih mentah seperti ini. Kerjayanya masih
belum kukuh. Dia juga masih belum puas hidup bebas. Tetapi menerima tawaran
Nazim itu juga dia masih bimbang. Bimbang akan ada natijah kemudian hari.
Ahhh!!! Lukman menjerit keras cuba
menentang hasutan demi hasutan yang semakin menyesatkan imannya. Susah betul!
Fikirnya. Menerima susah. Tidak menerima juga susah. Dia kian keliru dengan
kehendak diri sendiri. Lalu apa? Entahlah! Lukman sendiri tidak tahu. Tetapi
jika sekadar perempuan murahan yang dipilih oleh Nazim, berbaloikah untuk dia
mencelarkan kepercayaan ayahnya itu? Bukannya dia tidak tahu ayahnya memang
ramai ‘mata-mata’ di KL ini. Kadang-kala orang yang tidak dikenalinya itu
rupanya kenalan ayahnya.
Setelah puas dia berfikir akhirnya
keputusan sudah didapati. Kehendak Nazim diturutkan namun dia tidak meminta
sebarang ganjaran untuk usahanya itu. Memang terkilan hatinya namun dia lebih
rela begini daripada susah kemudian nanti.
“Apasal pulak? Kau ni tolak tuah
betullah!” gerutu Nazim masih tidak berpuas hati saat dihubungi Lukman pagi
itu.
“Aku tak beranilah. Kalau
terkantoi habis aku. Kau tahulah.. bapak aku ni memang pantang kalau bab-bab
macam ni,” jelas Lukman segera beralasan. Dia tahu keberaniannya masih tidak
seberapa buat masa ini.
“Anak bapak betul kau ni, Luk!”
kutuk Nazim selamba.
“Lain kalilah. Aku sibuk sekarang
ni. Ada apa-apa berita aku bagitahu kau nanti.” Lukman memutuskan enggan
melayan kutukan Nazim itu. Katalah apa sahaja. Dia sedia menerimanya. Kutukan
Nazim tidak sedasyat kemarahan ayahnya nanti. Lukman tidak sanggup!
“Eh! Nantilah dulu. Rugi ni, Luk.
Aku dah jumpa perempuan seorang untuk kau. Yang ni memang betul-betul hot ni, Luk. Cantik! Body solid macam
model. Dia.. bla..bla.. bla..”
Lukman terdiam sahaja di hujung
talian bersama keluhan yang terhela perlahan. Pujukan Nazim masih berterusan di
telinganya. Namun satu pun tidak mampu difikirkannya saat itu. Fikirannya bercelaru
dengan pertentangan antara desakan hati dan kewarasan akalnya.
“Aku tak boleh, Nazim. Aku tak
berani buat macam tu.”
“Alah! Dengan si Mastura tu kau
boleh pulak? Apasal kali ni kau tak mahu pulak?” degus Nazim tidak berpuas
hati.
“Mastura tu lain. Dia pandai
simpan rahsia. Kalau perempuan sembarangan ni aku takut diorang bocorkan rahsia
aku! Kalau ayah aku tahu apa yang aku buat selama ni, mati aku!” tukas Lukman
tegas. Dia tahu ayahnya bukanlah seorang yang terbuka dalam hal seperti ini.
“Aku akan pastikan takde siapa
yang tahu pasal ni. Aku janji!”
“Tak boleh! Aku tak mahu buat
semua tu, Zim. Aku tak berani.” Lukman tetap dengan pendirian. Dia serik!
Sebelum ini salah seorang gadis siswi yang pernah ditidurinya terpaksa dibayar
harga yang cukup tinggi bagi mengelakkan rahsianya terbongkar. Mujurlah setelah disuap gadis itu tidak lagi
mencarinya.
“Suka hati kaulah! Tapi kalau kau
ubah fikiran cepat-cepat bagitahu aku!”
Lukman sekadar mengiyakan sebelum
mematikan perbulana mereka. Perlahan telefon bimbitnya disimpan di dalam laci
meja kerjanya. Apa yang dibicarakan Nazim menghasilkan menungan panjang Lukman
dalam pada rasa hatinya yang begini. Saat memikirkan diri yang sedikit
terumbang ambing kala itu tiba-tiba dirinya ditusuk rasa sesal yang tidak
berkesudahan. Jika dia tidak menyambut pelawaan Mastura dahulu mungkin keadaan
tidak jadi seperti ini. Kata orang kalau sudah sekali melakukan dosa keji itu
sememangnya susah untuk menghentikannya lain kali. Begitulah juga dia. Mungkin
seminggu dua dia boleh bertahan tetapi kalau sudah berbulan begini, ditambah
pula ada teman yang ‘baik’ seperti Nazim. Lukman tidak hairan kalau akhirnya
dia kalah juga kepada tuntutan nafsunya.
Jadi apa yang harus dilakukan
untuk menyekat kemahuan yang satu itu? Berkahwin? Tidak! Dia tidak mahu
berkahwin buat masa ini. Dia masih belum bersedia untuk ke arah itu. Jadi, jika
berkahwin juga bukan jalan keluarnya? Apa yang harus dilakukan? Bertemu Mastura
lagi? Sampai bila dia harus begini?
Entahlah! Lukman benar-benar tidak
tahu.
“Macamana kerja kat sini?” tanya lelaki itu
lembut ketika usai waktu pejabat.
“Okay.” Sepatah sahaja jawapan
Laila dalam kehambaran tanda malas mahu melayani lelaki itu. Mejanya dikemaskan
tanpa mempedulikan kehadiran Nazim di dalam biliknya. Apa yang dia tahu dia
mahu lekas pulang untuk mengelak dari terus menghadap lelaki ini.
“Okay je?”
“Habis tu Encik Nazim nak saya
jawab apa selain itu?” balas Laila semakin hambar.
“Apa kata kita keluar lepas ni?
Saya nak belanja Laila makan malam. Saya teringin nak kenal dengan Laila dengan
lebih dekat lagi. Bolehkan?” pancing Nazim dengan sengih kerangnya. Semenjak
sebulan lalu baru kini dia berani mengutarakan ajakannya kerana selama dia
memerhatikan wanita ini Laila bukan senang mahu bertepuk tampar dengan kakitangan
lelaki.
Ajakan itu sempat membenihkan tawa
Laila. Ucapan lelaki bernama Nazim membuatkan dia merasa janggal sekali. “Kenal
saya untuk apa, Encik Nazim? Kisah lalu saya tak perlulah Encik Nazim ambil
tahu,” ujar Laila sudah menghidu niat sebenar lelaki itu.
“Alah.. kenal dengan lebih rapat
lagi. Saya pun teringin juga nak tahu kisah hidup Laila. Setahu saya Laila
pernah berkahwin sebelum nikan?” ucap Nazim sambil menggesekkan kedua-dua
telapak tangannya kemiangan. Wajah ayu jelita di hadapannya ini membuatkan dia
terasa cukup sayang untuk melarikan bola mata lelakinya itu.
Ucapan Nazim semakin memutikkan
rasa tidak senang di hati wanita itu tiba-tiba. Untuk apa lelaki ini mahu tahu
kisah perkahwinan lalu? “Saya tak sesenang itu untuk bercerita tentang kisah
lalu saya kepada orang yang saya tak kenal, Encik Nazim.” Sinis ucapan Laila
saat itu. Rasanya cukuplah untuk membuatkan Nazim mengerti betapa terbatasnya
mereka saat ini.
Nazim ketawa kecil sambil
memandang Laila. Sikap pesimis Laila sudah dijangkanya. Laila tidak semesra
wanita-wanita lain yang pernah didekatinya selama ini. Namun itu tidak bermakna
dia sudah berpatah semangat. Semakin itu dia mahu menguji kemampuannya menawan
wanita persis ini. Jika berjaya hebatlah dia!
“Tak semestinya kita kena
bercerita tentang masa lalu Laila. Apa yang pasti saya nak kenal Laila dengan
lebih dekat lagi. Lagipun kita rakan sekerja. Apa salahnya kalau saya ajak
Laila keluar dengan saya.”
Kali ini giliran Laila pula
ketawa. Namun terkandung kejengkelan dalam nada tawanya. Inilah yang dikatakan
tidak sedar diri. Bukannya dia tidak tahu lelaki ini sudah berkeluarga.
“Takpelah, Encik Nazim. Saya belum
terfikir nak keluar dengan Encik Nazim buat masa ni. Lain kali aja,” ujar Laila
tetap menolak.
“Okay, saya pegang kata-kata Laila
kali ni. Mungkin lain kali aja kita keluar bersama.” Nazim mengalah saat itu.
Tiada guna dia memaksa kerana dia sedar bukannya hari ini sahaja yang
dimilikinya. Lain kali masih ada.
Laila menjeling sekilas pemergian
lelaki itu dengan rasa meluat yang meluap-luap. Bimbang lelaki itu datang lagi
ke biliknya Laila segera menyudahkan kerja yang sedang dilakukannya. Setelah
itu bilik kecil itu digelapkan dan dia terus pulang.
Dalam jam selewat ini suasana rumah banglo itu sudah gelap. Menyedari
dia yang paling lewat pulang ke rumah Lukman sengaja mengatur langkah dengan
derap yang teramat perlahan. Bimbang benar kepulangannya
akan mengejutkan sesiapa. Dia tahu jika ayahnya tahu
dia pulang selewat ini pasti panjang sesi soal siasat nanti.
Namun sedang dia terkial-kial mendaki tangga tiba-tiba
sahaja lampu ruang tangga dihidupkan seseorang. Terkejut beruk Lukman saat itu.
Seperti mahu gugur jantungnya saat melihat satu lembaga berdiri di tangga yang
paling atas sedang memandang kepadanya. Pucat wajahnya bagaikan
tidak berdarah apabila menyedari dia sudah tertangkap oleh ayahnya.
“Baru balik ke? Awal lagi ni..”
ucap Tan Sri Fatah agak sinis.
“Err.. a’ah. Luk jumpa kawan lama waktu study tadi, ayah.
Itu yang lambat sikit.” Sedikit tergagap anak
muda itu menjawab.
“Oh! Jumpa kawan lama..”
ejek Tan Sri Fatah kepada jawapan Lukman. Jawapan itu sudah sering
didengarinya. “Kawan lelaki ke perempuan?” soal Tan Sri Fatah tidak lama
kemudian.
“Kawan lelaki, ayah. Kenapa? Ayah ingat Luk ada buat perkara
yang tak baik ke?” balas Lukman dalam pada dia cuba mengawal kegelabahannya. Hakikat sebenarnya biarlah hanya dia sahaja yang tahu.
“Itu kamu sendiri yang lebih tahu. Kalau ayah tanya
sekalipun kamu takkan mengaku, betul tak?” perli Tan Sri Fatah sambil
melangkahi tangga di hujung kakinya itu.
Wajah anaknya itu masih tidak lepas
dari pandangannnya. Dalam seramai-ramai anaknya dia tahu dia terpaksa lebih
berhati-hati dengan anaknya yang ini. Sikap kaki perempuannya sudah menyerlah
semenjak dari zaman sekolah lagi. Kini setelah menjejak ke alam pekerjaan anak ini lebih liar berbanding dulu. Penampilannya juga sudah menunjukkan betapa romeonya Lukman dengan rambut yang sengaja disimpan sedikit panjang. Saat ini apa yang Tan Sri Fatah tahu setiap alasan yang
diberikan tidak boleh dipegang semudah itu.
“Ayah cakap apa ni? Luk tak faham,” ucap Lukman
sambil menelan liurnya. Kegelabahannya masih tidak memudar sepenuhnya.
“Ayah tak suka kamu selalu sangat balik lambat, Luk. Ayah
nak kamu sedar ada banyak lagi perkara yang lebih berfaedah boleh dibuat
malam-malam begini selain dari menghabiskan masa dengan perempuan-perempuan di
luar sana. Ayah tak mahu kamu tersalah jalan suatu hari nanti,” ucap Tan Sri
Fatah saat dia berdiri dekat dengan anaknya itu.
“Ayah, Luk tak sejahat itu. Luk masih tahu halal haram.
Ayah janganlah bimbang. Luk bukannya budak kecik,”
jawab Lukman dalam pada dia berusaha keras menyembunyikan kebenaran yang tersimpan selama ini.
“Sebab kamu bukan budak kecil
ayahlah cakap begini, Luk. Kebanyakan orang yang buat salah ni tahu halal
haram, Luk. Tapi tetap buat juga sebab apa? Sebab kalah pada tuntutan naluri.
Desakan nafsu ni tak mengira siapa kita. Kalau kita tak berjaga-jaga tak
mustahil kita akan kalah. Budak-budak mereka kurang akal jika nak dibandingkan dengan kita orang dewasa. Itu sebabnya ayah lebih bimbangkan kamu yang dah cukup dewasa ni!” tegas Tan Sri Fatah tidak cepat
merasa lega dengan jawapan Lukman.
“Ayah janganlah bimbang. Luk cuma kawan aja dengan
diorang tu. Bukannya ada apa-apa pun. Luk belum terfikir nak pergi sampai ke situ
buat masa ni, ayah. Luk masih waras,” ucap Lukman cuba meyakinkan ayahnya itu.
Namun dalam diam dia sedar betapa hipokritnya dia kepada dirinya sendiri.
“Luk, selagi ayah mampu berkata-kata selagi itu ayah akan
terus ingatkan anak-anak ayah. Kerana ini adalah tanggungjawab ayah. Ayah tak
mahu kamu membuang masa dengan kerja yang tak mendatangkan faedah apatah lagi
yang menyesatkan. Ayah mahu anak-anak ayah bahagia dunia dan akhirat dan ayah
tak pernah ajar anak-anak ayah perkara semacam itu. Ayah tak mahu kamu tersalah
langkah hari ini kerana pergaulan yang tidak ada batas. Kamu boleh sembunyikan
segalanya dari pandangan mata ayah tapi Allah lebih tahu apa yang kamu buat di
belakang ayah. Kamu jangan lupa, setiap zarah dosa yang kita lakukan akan
dibalas kemudian hari. Azabnya nanti tak tertanggung, Lukman. Ayah tak mahu
kamu tersesat akibat tersalah percaturan sedangkan kamu rasa apa yang kamu buat
sekarang ni tak ada salahnya. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah jalan
paling mudah untuk manusia melakukan dosa zina. Ayah tak mahu kamu sampai jadi
begitu, Lukman. Ayah tak sanggup melaluinya.”
Bait-bait kata sang ayah membuatkan Lukman terdiam
seketika. Entah kenapa dia tiba-tiba disapa rasa bersalah pula kerana
membohongi ayahnya. Peringatan yang dihulurkan oleh sang ayah membuatkan dia
merasa malu kepada dirinya sendiri. Dia sudah banyak berbuat dosa selama ini.
Ditambah lagi dia berbohong pula kepada orang tuanya mengenai kegiatannya
selama ini.
“Luk tahu tu, ayah.” Perlahan sahaja jawapan Lukman.
“Pergilah naik. Dah pagi benar ni. Kamu pun kena ke
pejabat,” ucap Tan Sri Fatah enggan meleteri anaknya lama-lama. Harapannya
Lukman akan sedar mana yang baik dan mana yang tidak atas segala perbuatannya.
Walaupun Lukman tidak mengakuinya tetapi sebagai ayah nalurinya ada mengatakan
sebaliknya. Dia tahu ada yang tidak kena dengan anaknya ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.