Rabu, 3 April 2013

Bab 1- Mahligai Seribu Mimpi


Bermulanya satu kisah..
“Kami sudah berjaya menemui mayat suami puan. Kami harap puan tabah dengan takdir ini. Leftenan Muhammad Nahij disahkan terkorban dalam nahas tu. Jenazah sekarang berada di Hospital Besar Miri untuk segala tindakan susulan. Setelah itu kami akan segera menerbangkan jenazah suami puan untuk upacara pengkebumian nanti.”
Kata-kata itu kedengaran cukup jelas di telinga wanita itu. Malahan sehingga kini masih terngiang-ngiang biarpun sudah lebih empat jam berlalu semenjak dia diperdengarkan berita itu. Penantiannya sudah menemui noktahnya. Empat jam ini bagaikan empat ribu tahun dirasakan. Dia rindu.. teramat rindu mahu menatap wajah lelaki itu tetapi keadaan sudah berubah kini.
Akulah yang ditinggalkan bersama derai air mata ini.
Mampukah dia memandang lagi lelaki itu selepas ini?
Wanita itu bungkam sendirian di ruang tamu rumah itu melayan kepiluan hati. Televisyen yang terpasang dipandangnya dengan air mata yang tidak pernah putus mengalir di pipi. Dirinya terus hanyut dalam kesedihan yang tidak berpenghujung. Seketika kemudian apabila siaran berita mula memaparkan lagi berita terkini tentang nasib malang yang menimpa beberapa anggota tentera yang terlibat dia mula mengikuti siaran berita itu dengan sepenuhnya.
Buletin utama TV3..
“Kita mulakan berita malam ini dengan kejadian nahas nuri di Bakalalang. Setelah hampir 9 hari operasi mencari dijalankan mangsa terakhir nahas pesawat Sykorsky Nuri yang terhempas di kawasan hutan Bakalalang, Serawak akhirnya telah berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia ketika ditemui. Allahyarham Leftenan Muda Muhammad Nahij bin Zahari, 26 tahun ditemui hampir 5 batu dari kawasan nahas itu dan mangsa telah ditemui oleh anggota dari Pasukan Khas Angkatan Udara yang turut sama menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa nahas helikopter TUDM yang telah berusia empat puluh tahun itu semenjak lebih seminggu yang lalu.
Menurut jurucakap ketua operasi tersebut Mejar Jeneral Ahmad Zulkarnain, Allahyarham Leftenan Muhammad Nahij dipercayai telah tercampak keluar dari pesawat ketika nahas berlaku menyebabkan mangsa gagal ditemui bersama dengan mangsa yang lain. Berikutan keadaan muka bumi yang berbukit bukau, berkabus tebal dan cuaca buruk lebih menyukarkan anggota penyelamat menemukan mayat mangsa. Allahyarham ketika ditemui masih lengkap dengan pakaian juruterbang namun terdapat kesan kecederaan yang agak parah di kepala dan badan. Jenazah Allahyarham kini telah dihantar ke Hospital Besar Miri untuk proses bedah siasat. Jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman sebaik sahaja proses besah siasat selesai pagi esok dengan menggunakan pesawat Charlie C130 dari Lapangan Terbang Tentera Udara, Kuching. Penerbangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Ipoh pada jam 12:30 tengahari esok sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan. Allahyarham dijangka akan disembahyangkan dan dikuburkan di kampung halamannya, Kampung Pasir Panjang Ulu, Chemor, Perak setelah selesai solat Asar. Berikutan kejadian, Allahyarham yang sudah berumahtangga kini meninggalkan seorang balu, Siti Laila Huda berusia 22 tahun.
Berikut adalah berlangsungkawa mengenai Allahyarham. Leftenan Muda Muhammad Nahij dilahirkan pada 27 September 1986 merupakan anak kelahiran Chemor, Perak mula menyertai Angkatan Tentera Udara setelah menamatkan latihan di Maktab Tentera Udara Diraja dan memulakan kerjaya sebagai pembantu juruterbang. Allahyarham kini bertugas sebagai pembantu juruterbang di Pangkalan Tentera Udara, Miri. Allahyarham yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Zahari bin Arshad dan Najihah binti Nasri dikatakan baru sahaja berumahtangga dengan Siti Laila Huda.
Menurut jurucakap tentera Allahyarham dijangkakan bakal memulakan tugas di Pengkalan Tentera Udara Sungai Besi pada awal Julai ini berikutan permohonan Allahyarham untuk berpindah tugas di Semenanjung sudah diluluskan. Malangnya akibat nahas yang melibatkan sebuah helikopter milik TUDM, Allahyarham Leftenan Muda Muhammad Nahij telah terkorban bersama dengan enam lagi anggota lain. Menurut salah seorang sahabat Allahyarham penyebab Allahyarham memohon untuk ditukarkan bukan sekadar enggan lagi berjauhan dengan isterinya sebaliknya Allahyarham pernah melahirkan kebimbangan dan kerisauan mengenai jentera yang dikendalikannya sudah berusia agak tua berikutan sejarah penggunaan pesawat jenis Sykorsky Nuri ini oleh Tentera Udara Malaysia telah hampir mencecah 40 tahun. Namun malangnya kerisauan Allahyarham kini telah menjadi nyata.”
Air mata wanita itu mengalir setelah mendengar nama suaminya disebutkan sebagai mangsa terakhir itu. Namun dalam kesedihan itu berita dari tv itu terus dipandangnya. Sememangnya dia semenjak sembilan hari lalu asyik berada di hadapan tv untuk mengetahui berita yang terkini selain daripada menunggu panggilan telefon dari pegawai atasan arwah suaminya.
“Berikut adalah kronologi kejadian.. 26 Mei lalu negara sekali lagi telah digemparkan oleh nahas helikopter jenis Sykorsky Nuri di kawasan hutan simpan Bakalalang. Pesawat malang itu dilaporkan hilang dari radar sebaik sahaja memulakan penerbangan dari Pangkalan Tentera Udara Miri dan dipercayai telah terhempas di kawasan Hutan Simpan Bakalalang akibat cuaca buruk. Kesemua tujuh anggota yang terlibat dalam nahas itu dikatakan dalam operasi menghantar bantuan makanan ke sebuah perkampungan orang asli di Bau yang telah mengalami banjir semenjak seminggu yang lalu. Berikutan kejadian operasi mencari dan menyelamat dengan tenaga seramai 350 anggota yang terdiri daripada Batalion ke 7 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka bersama Unit Komando 69 berpengkalan di Grik, Pasukan Khas Angkatan Udara (PASKAU) dari Kem Bukit Jugra, Selangor dan juga dengan kerjasama pasukan renjer hutan telah dikerahkan dalam operasi secara besar-besaran untuk mengesan lokasi nahas. Namun bentuk muka bumi yang tidak sekata ditambah lagi cuaca yang tidak mengizinkan operasi mencari dan menyelamat menjadi semakin sukar apabila anggota menyelamat tidak berjaya mengesan mana-mana cebisan bangkai pesawat itu setelah dua hari operasi dijalankan. Rondaan di udara juga gagal memperlihatkan bangkai pesawat itu berikutan kabus dan permukaan hutan yang tebal telah menyukarkan pandangan dari udara. Berikutan keadaan itu operasi telah diperluaskan lagi sehingga 10 batu ke arah utara dengan tambahan anggota seramai tiga ratus orang dari Batalion ke 11 kem PGA berpengkalan di Kota Kinabalu. Setelah hampir lima hari pencarian dilakukan akhirnya bangkai pesawat Nuri ditemui tersadai disebuah cenuram dalam kawasan Hutan Simpan Bakalalang kira-kira 200 batu dari pusat operasi menyelamat. Pada hari yang sama mayat enam mangsa telah ditemui bersama dengan bangkai pesawat namun salah seorang anggota iaitu Leftenan Muda Muhammad Nahij yang merupakan pembantu juruterbang masih gagal ditemui. Operasi terpaksa diperluaskan untuk mengesan wira negara itu berikutan tiada sebarang tanda yang mangsa berada di sekitar kawasan nahas itu sementara mangsa-mangsa yang telah ditemui dihantar pulang untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing setelah selesai proses bedah siasat. Akhirnya dengan usaha keras anggota misi mencari dan menyelamat, kira-kira jam 10:35 minit pagi tadi mayat mangsa terakhir telah berjaya ditemui oleh anggota penyelamat dalam keadaan masih lengkap berpakaian tentera kira-kira lima batu dari lokasi bangkai pesawat itu. Walau bagaimanapun mangsa dilaporkan telah meninggal dunia di tempat mayat ditemui..”
“Ini adalah retetan cerita nahas pesawat yang melibatkan helikopter Nuri. Nahas pesawat Nuri ini dilaporkan merupakan antara nahas yang terburuk sepanjang perkhidmatan helikopter itu bersama dengan TUDM selama empat dekad ini. Kejadian buruk itu telah mengorbankan 7 anggota tentera udara iaitu Kapten Ahmad Roslan 32 tahun, Leftenan Muda Muhammad Nahij 26 tahun, Lanskar Kanan Udara Saiful Malik 32 tahun, Lanskar Kanan Udara Hambali Jusuh 35 tahun, Lanskar Udara Ahmad Muslim 26 tahun, Prebet muda Radhi Rahman 24 tahun dan juga Prebet Muda Joseph Anak Kiting 24 tahun. Pesawat ini dilaporkan hilang dari radar sebaik sahaja berlepas dan dipercayai terhempas akibat cuaca buruk dan kabus tebal. Saksi kejadian sebelum ada melaporkan melihat jentera itu terbang rendah sebelum hilang di celahan pokok di kawasan Hutan Simpan Bakalalang yang berkeluasan lebih daripada tiga ratus ribu hektar persegi itu. Sepanjang perkhidmatan helikopter itu negara telah mencatatkan lebih dari sepuluh nahas yang telah mengorbankan ratusan anggota tentera yang terlibat. Menurut jurucakap kementerian Pertahanan, Perdana Menteri kini sudah mula menimbangkan untuk menamatkan perkhidmatan helikopter jenis itu kerana dikhuatiri helikopter itu sudah tidak sesuai lagi digunakan untuk operasi tertentu. Namun pihak kementerian menafikan bahawa helikopter itu terbang dalam keadaan tidak diselenggarakan dengan baik. Untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama islam, pesanan perdana menteri kita semua harus menerima ini semua sebagai qada’ dan qadar dari ALLAH dan tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik.
Berikutan itu kami seluruh warga kerja dari pusat penyiaran TV3 juga mewakili seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham Leftenan Muda Muhammad Nahij dan juga seluruh anggota yang telah terkorban. Semoga ALLAH merahmati roh Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang beriman.”
Wanita itu kelu memandang gambar arwah suaminya yang terus terpampang di kaca tv.  Sakit! Itulah yang dirasakannya saat ini. Penantiannya sudah berkakhir. Jawapan sudah didapatinya. Setiap yang hidup pasti akan mati. Begitulah juga dengan kebahagiaannya selama ini. Semuanya sudah mati!
 
Hidup ini ibarat roda. Sesekali di atas sesekali juga di bawah. Sebagai manusia yang sentiasa mahu kesempurnaan memang segala kesusahan kepincangan sangat tidak diingini di dalam hidup. Tetapi diantara tangan manusia dengan Sang Pencipta siapalah yang mampu menidakkan betapalah kuasa Sang Pencipta adalah melebihi segala-galanya.
Wanita itu.. dia tidak pernah meminta nasib dirinya jadi begitu. Tetapi apa yang datang diterimanya walaupun terpaksa ditadah dengan deraian air mata. Sekali ini dia akhirnya mengakui tidak selamanya hidup itu indah. Tidak selamanya bahagia akan kekal bersamanya dan duka itu sesekali akan datang menduganya. Cumanya terlalu hebat dugaan yang datang menimpanya sehingga dia tidak tahu dengan apa dapat dirawat hatinya ini. Tangis hiba orang sekelilingnya menambah rawan dihati. Sang emak meratap saat diminta menemui jenazah anak yang bakal dibawa ke tanah perkuburan sebentar lagi. Wanita tua itu tidak kuat untuk menahan duka yang mendatang. Ditepi keranda yang bertutup itu dia menangis memanggil nama Tuhan.
Dia? Dia sudah puas menangis. Semenjak mula mendapat berita kehilangan suami tercinta dia sudah menumpahkan air mata. Saat diminta mendekati keranda itu dia akur dalam duka yang tidak terbendung. Dua tangan ditadahkan untuk memohon kepada Yang Esa. Bacaan Al Fatihan dialunkan dalam senyap bersama kepiluan yang tidak berpenghujung. Sinaran lensa kamera wartawan yang merakamkan detik hiba itu tidak langsung dipedulikan. Biarlah.. lihatlah dunia. Dia sudah pun melalui satu kehilangan yang cukup menyayat hati. Inilah salah satu tanda betapa berkuasanya Allah yang esa. Setiap manusia adalah milik Allah dan kepada-Nyalah manusia akan pulang apabila sampai masanya. Biar dengan air mata darah sekalipun dia tidak akan mampu menahan kehendak takdir.
Demi Tuhan jika diturutkan hati memang Laila tidak mampu melepaskan Nahijnya pergi. Namun dia bukanlah seorang yang amat berkuasa. Akhirnya keranda kaku dan bisu itu dibawa pergi juga darinya dan dia hanya mampu pasrah dalam dukanya.
Ketika upacara pengkebumian, suasana tanah perkuburan itu suram sekali biarpun dipenuhi orang ramai. Kehadiran lelaki-lelaki berpakaian seragam tentera di situ menarik perhatian ramai orang. Ada diantara mereka yang terbabit dengan upacara pengkebumian yang dilakukan mengikut istiadat tentera dan sebahagian lagi sekadar datang untuk menziarah si mati buat kali terakhir.
Sebentar tadi saat kereta jenazah menurunkan keranda kayu itu dari van jenazah beberapa das tembakan kedengaran. Kemudian keranda itu diusung oleh beberapa anggota tentera yang lengkap berpakaian istiadat ke tanah perkuburan. Ketika keranda kayu yang dibaluti oleh jalur gemilang di atasnya itu diturunkan perlahan ke dalam liang lahat oleh pegawai-pegawai tentera itu kedengaran lagi beberapa das tembakan. Seketika kemudian barulah bendera kebanggaan negara yang menutupi keranda itu itu dilipat oleh beberapa pegawai tentera sebelum liang lahat sempit itu ditimbusi tanah merah yang melekit.
Laila menyaksikan semua itu bersama linangan air mata. Sang emak yang menemani tidak putus-putus membisikkan kata-kata dorongan meminta dia beristighfar agar hati yang sedang rapuh saat itu tidak disesatkan iblis.
Selesai talkin dibacakan tiga das tembakan dilepaskan sebelum beberapa anggota segera berdiri tegak memberi tabik hormat buat kali terakhir kepada jasad prajurit yang sudah selamat disemadikan itu. Bendera berlipat tiga segi itu diserahkan oleh seorang pegawai tentera udara berpangkat Mejar kepada wanita itu.
“Kami dari pihak tentera udara mengucapkan takziah pada puan sekeluarga. Semoga puan dan keluarga tabah dengan ujian ini,” ucap lelaki itu lembut sahaja.
Wanita itu sekadar mengangguk sambil menyambut kenangan terakhir dari pasukan yang disertai oleh arwah suaminya itu. Bendera itu dipeluknya erat. Selepas itu lambat-lambat seorang demi seorang para prajurit-prajurit itu berlalu untuk meneruskan kehidupan mereka, meninggalkan satu lagi prajurit yang sudah terkorban.
Siti Laila Huda terkaku di situ biarpun kawasan itu sudah mulai dikosongkan. Perginya suami tercinta setelah terkorban ketika bertugas diiringi dengan lara yang tidak mampu digambarkannya. Baru sekejap mereka menikmati ikatan suci ini kini suaminya Arwah Nahij yang bertugas sebagai juruterbang TUDM sudah hilang dari hidupnya dipanggil menghadap Ilahi. Tangannya sememangnya tidak berdaya untuk menahan lelaki itu daripada pergi kepada Yang Berhak.
“Laila..” panggilan itu hanya dibiarkan biarpun dia sedar itu suara emaknya. Dia masih tekun memandang nisan yang kaku itu. Di situlah jasad lelaki kesayangannya berada.
“Sudahlah tu, nak. Yang dah pergi biarlah dia pergi. Redakanlah..” pujuk makcik Halimah lembut kepada Laila.
“Biarlah Laila di sini sekejap, mak. Cuma ini sahaja masa yang tinggal. Laila cuma nak bersendirian di sini. Sekejap lagi Laila balik. Mak jangan bimbangkan Laila. Laila tak apa-apa,” jawab Laila amat perlahan. Wajahnya tenang namun hatinya terus dihujani tangisan yang menggila. Tiada siapa melainkan Allah sahaja yang mengerti betapa berat penanggungannya saat ini.
“Jangan lama-lama sangat ya? Ni dah petang benar ni. Tak baik duduk di sini waktu maghrib.” Pesanan sang emak teralun lembut tanda berhati-hati dengan emosi yang anak yang terlalu rapuh saat ini. Kasihan.. namun sang emak mengerti. Setiap yang hidup akan merasai mati. Itu sudah janji Allah.
Laila hanya mengangguk sahaja. Langkah emaknya tidak dipandang sebaliknya dia kembali memandang nisan kaku itu. Namun sebaik sahaja dia bersendirian di situ air matanya mengalir lagi dari sudut matanya. Lekas-lekas disekanya agar tidak jatuh. Saat ini dia seakan merasakan Arwah Nahij ada di situ bersamanya. Seakan arwah sedang memerhatikannya. Sedang menemaninya.
Terlalu pantas masa berlalu. Tidak disangkanya setelah empat bulan Nahij menjabat tangan ayahnya, menyunting dirinya sebagai suri hidup kini Nahij pergi buat selama-lamanya meninggalkannya seorang diri. Tiada pesan tiada kata-kata terakhir buatnya. Nahij pergi begitu sahaja. Dia tidak sangka sama sekali perbualan terakhir bersama Nahij tiga hari lalu akan menjadi perbualan terakhir buat mereka berdua.
“Kenapa abang tinggalkan Laila? Kenapa?” tiba-tiba terluah soalan itu dari bibirnya yang terketar menahan sedih.
“Kenapa semuanya berlaku begitu sahaja. Takde petanda.. tanda pesan yang dapat Laila jadikan penguat semangat untuk meneruskan hidup. Abang tinggalkan Laila macam tu aja. Mengapa?” sekali lagi dia bertanya seolah-olah Arwah Nahij akan menjawabnya.
Namun tiada jawapan yang kedengaran. Hanya bisu nisan itu. Hanya kaku begitu sahaja. Laila menyeka lagi air matanya yang amat murah kala itu. Jika diikutkan rasa hati pasti saat ini dia sudah meraung-raung menangisi kesakitan yang yang sedang dirasainya namun dia sedar sebagai orang islam dia harus berpegang kepada ketentuan Allah. Nahij bukan miliknya yang mutlak sebalik milik Allah. Kini dia sudah mengetahui betapa pedihnya sebuah kehilangan itu. Teramat sakit sehingga bisa seluruh hatinya. Kehilangan ini bukan kehilangan sementara tetapi untuk selamanya. Betapa melara seluruh hatinya kerana lelaki ini adalah seorang insan yang cukup istimewa untuk dirinya.
Lama Laila menghabiskan masa di situ. Setelah akhirnya dia menyedari suasana sudah kelam menanda waktu sudah hampir ke maghrib dia akhirnya bangun dan melipat tikar yang menjadi alas duduknya di tepi kuburan itu. Sebelum berlalu dia menoleh lagi memandang tempat jasad lelaki kesayangannya itu disemadikan. Dia tahu lelaki itu akan kekal di situ. Dia yang masih perlu meneruskan hidup harus melengkapkan perjalanannya sebelum dia juga berakhir di situ. Dia tahu dengan air mata darah sekalipun Arwah Nahij akan terus berada di situ. Akan terus berada di situ selama-lamanya kerana itu sudah janji dari-Nya.
Sayangnya biarpun lelaki itu sudah tiada di sisinya namun kenangan manis dulu masih utuh dilipatan kenangan Laila. Sesaat pun tidak dia mampu melupakannya. Dia tidak tahu berapa lama masa yang harus diambilnya untuk melepaskan Nahij dari hatinya. Namun Laila pasti, cintanya kepada Nahij tidak mungkin akan sama lagi dengan yang akan hadir nanti. Laila pasti!













Dia milik Allah tetapi kenangan itu milik aku..
“Abang tahu..” ucap Nahij agak rendah.
“Habis tu kalau dah tahu kenapa abang buat?” soal Laila sedikit keras, tidak berpuas hati. Geram dia dengan lelaki ini. Tindakan Nahij langsung tidak mampu diduganya. Terasa seperti sedang bermimpi pun ada. Terkejut itu sudah tentu! Angin takde, ribut jauh sekali tiba-tiba aja menjelma dengan hajatnya.
Lelaki berkulit cerah itu tergaru-garu seketika melihat kemarahan sang gadis. Entah bagaimana mahu dijelaskan dia sendiri tidak tahu. Tetapi apa yang dia tahu kerana cinta dia jadi segila ini!
“Abang nekad aja! Abang dah tak tahu apa yang harus abang buat. Bila abang balik ke sini abang ingatkan nak jumpa Laila tapi rupanya Laila dah ke KL. Abang segan nak tanya pada Abang Man alamat Laila. Sebab tu abang buat macam ni,” jelas Nahij perlahan.
“Laila tak faham dengan abang ni. Ini semua tak masuk akal!”
“Abang tahu..”
No! Abang tak tahu. Bukan sehari dua abang tinggalkan Laila tau! Tapi dua tahun, bang! Dua tahun abang tak balik kampung. Abang hanya membisu! Laila keliru dengan sikap abang sebenarnya. Kalau abang betul sukakan Laila, kenapa abang hanya diam biarkan Laila terkapai-kapai sendiri?” serang Laila yang selama ini terus menyimpan rasa tidak puas hati kepada lelaki itu. Dia masih ingat dua tahun lalu Nahij ke Sarawak tanpa bertemu dengannya. Tanpa merungkaikan segala persoalan di benaknya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kecewanya dia dengan lelaki ini.
Nahij yang duduk mencangkung di tanah di hadapan rumah itu tunduk seketika. Dia tahu dia bersalah kepada Laila. Tetapi segala tindakannya berlandaskan sebab.
“Abang, jangan diamkan diri lagi. Laila nakkan penjelasan abang. Kenapa abang tiba-tiba balik dan masuk meminang Laila? Apa sebenarnya yang abang cuba buat?” soal Laila sedikit kuat. Dia sudah muak melihat kebisuan Nahij. Selama ini kebisuan itulah yang membuatkan dia terdera.
“Abang buat macam ni sebab abang sayangkan Laila. Abang sayangkan Laila semenjak dulu. Dulu abang memang nak berterus terang tapi waktu tu Laila tengah marah dengan abang. Lagipun waktu tu Laila masih bersekolah jadi abang tak berani nak mulakan. Abang takut ayah Laila dapat tahu. Sungguh, abang takde niat nak buat Laila tertanya-tanya begitu. Abang buntu waktu tu, Laila. Abang tengok Laila betul-betul marah dengan abang. Langsung tak mahu tengok muka abang. Abang pergi bukan dengan senang hati. Abang sengsara selama di sana, Laila. Sengsara sangat-sangat!” jelas Nahij agak sayu.
“Itu aja alasan abang? Sebab Laila masih bersekolah?” sindir Laila masih bersisa geram. “Abang tahu tak selama ni Laila lagi tersiksa dengan sikap abang yang sekejap ada sekejap hilang. Laila selalu tunggu abang tapi abang balik sini cuma nak jumpa abang Man. Dia kawan abang dunia akhirat. Kenapa abang tak meminang aja abang Man tu? Diapun masih bujang sama macam abang!” getus Laila masih geram.
Nahij terkejut seketika dengan kata-kata Laila. “Sayang, takkanlah abang nak meminang abang Man pulak? Abang lelaki dia pun lelaki. Kalau dua-dua lelaki macamana nak dapat anak? Berdosa kahwin sesama jenis ni, Laila. Siksa abang di akhirat nanti..” getus Nahij sedikit terkejut dengan apa yang diucapkan Laila. Namun dia sedar Laila berkata begitu kerana bengang dengannya.
Laila diam pula. Lelaki itu dijelingnya tajam. Namun biarpun begitu dia sebenarnya teramat gembira lagi bahagia. Tidak sangka rupanya ayahnya meminta dia balik ke kampung bersebab. Inilah sebabnya. Nahij telah menghantar rombongan meminang untuk menyuntingnya sebagai suri hidup.
“Jadi Laila terima pinangan abang?” soalan itu dilontarkan Nahij lembut namun penuh dengan harapan. Paras sang kekasih yang selama ini setiap saat diigauannya itu direnung lunak.
“Abang ingat kalau Laila tak terima Laila nak ke jumpa abang sekarang? Kalau Laila dah menolak Laila cakap terus dengan ayah. Biar ayah sampaikan pada abang. Kalau Laila menolak cara berhadapan macam ni, tak ke malu abang nanti? Laila tak sekejam tu nak memalukan abang.” Laila menjawab lembut bersama senyum nipisnya. Hilang terus kemarahannya tadi.
“Alhamdulillah..” luah Nahij penuh kelegaan. Betapa saat ini rasa kasih yang tersimpan kian menggebu di hati. Ikutkan hatinya mahu sahaja dipeluk Laila namun dia sedar batas mereka masih ada. Sabar.. bisik hatinya.
“Tapi dengan syarat!” ucap Laila tiba-tiba meninggikan suaranya semula.
“Apa syaratnya, sayang? Laila cakap aja. Apa pun abang akan tunaikan,” sambut Nahij sambil menyeringai di hadapan Laila yang sedang duduk di atas bangku kecil yang selalu digunakan oleh makcik Halimah ketika membelek bunga di dalam pasu di halaman.
Laila menjeling seketika. Ada rasa malu menerpa wajahnya apabila dilayan selembut itu oleh Nahij. Tidak sangka dalam sekelip mata kebahagiaan yang dinantikannya selama ini pulang menjengah dirinya. Kini dia bakal isteri kepada Nahij, lelaki idamannya.
“Kalau abang hilang lagi macam dulu, Laila takkan layan abang lagi!” ucap Laila bersungguh. Jika Nahij boleh senekad ini dia juga boleh.
“Kali ni abang takkan hilang lagi sebab umi dah berhajat. Dia nak kita nikah aja terus. Tak payah tunang-tunang macam orang lain. Best tak perancangan umi abang?” jawab Nahij dengan senyum lebarnya. Jika Laila bersetuju maka dialah orang yang paling bahagia saat ini.
Namun berlainan dengan Laila. bicara Nahij merubah kegembiraan yang terhias di wajah Laila semenjak tadi. Nikah terus? Alamak! Tiba-tiba dia merasa ngeri pula. Dia masih dalam pengajian. Masih banyak yang perlu dikejarnya. Tidakkah terlalu awal mereka menoktahkan hubungan ini dengan ikatan suami isteri?
“Laila tak setuju?” soal Nahij lembut setelah mengesan perubahan di wajah buah hatinya itu. Rentak hatinya juga ikut berubah senada dengan perubahan negatif Laila. Jika Laila menolak alamat kecewalah dia lagi.
“Bukan! Bukan macam tu. Laila masih belum bersedia, bang. Semua ni terlalu cepat. Kita baru aja berjumpa semula. Kenapa nak tergesa-gesa?” Laila menjawab pantas. Bimbang Nahij berfikir yang tidak-tidak tentang dirinya.
“Lepas ni kita akan terus berjumpakan? Kalau takde ikatan tu Laila rasa ayah Laila benarkan abang jumpa Laila di KL? Kalau abang dah jadi suami Laila, hubungan kita akan lebih kukuh. Abang boleh jenguk Laila bila-bila masa yang abang suka.” Nahij menyambut dengan alasan yang sudah lama ada di benaknya.
“Tapi Laila masih belajar, bang..”
“Abang tak minta Laila berhenti belajar. Bukan itu niat abang, sayang. Abang cuma nak kita ada ikatan yang sah sementara abang di Sarawak dan Laila di sini. Ikatan ni yang akan membuatkan kita saling ingat satu sama lain sebab kita masing-masing ada tanggungjawab pada hubungan kita. Abang bukannya nak mengongkong Laila supaya ikut kehendak abang. Lagipun kalau abang dah berkahwin lebih mudah abang minta ditukarkan sebab abang dah ada isteri. Itu antara sebab-sebabnya abang nak kita nikah cepat.” Nahij meluahkan bicaranya lembut.
Laila terdiam menelan bicara Nahij. Biarpun semua itu masuk akal jiwanya terus bergolak sendiri. Antara mahu dan tidak. Antara bersedia dan tidak untuk menggalas gelaran sebagai seorang isteri. Namun memikirkan kesengsaraannya selama bertahun-tahun ini dia akhirnya nekad! Dia hanya mahu Nahij menjadi miliknya. Dia tidak sanggup hidup berulam duka bersulam air mata. Tidak sanggup lagi jadi pengenang yang setia sedangkan cinta masih jauh untuk digapai. Mungkin benar, dengan ikatan itu mereka akan lebih dekat biarpun jauh dipisahkan Laut Cina Selatan. Kerana tidak sanggup melalui semua itu lagi Laila akhirnya mengangguk menyatakan kesediaannya!
Hampir melompat lelaki itu saat itu. Terlalu gembira akhirnya impiannya untuk memiliki Laila kini berada diambang nyata. “Terima kasih, sayang. Terima kasih sebab sudi terima abang. Inilah saat yang paling membahagiakan dalam hidup abang.”
“Terima kasih jugak sebab abang sudi jadikan Laila sebagai sebahagian dari hidup abang. Terima kasih sebab sudi terima Laila yang serba kekurangan ni. Terima kasih sebab akhirnya abang berikan Laila jawapan yang membahagiakan setelah penat Laila menunggu abang selama ini.” Laila ikut membalas ucapan lelaki itu. Bibirnya tersenyum manis menandakan kebahagiaan yang dirasai oleh Nahij saat ini turut dirasainya. Sudah lama dia memasang angan. Dia sudah penat menantikan jawapan. Akhirnya kini Nahij kembali bersama hakikat yang amat dinantikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.