Ahad, 23 Jun 2013

Bab 13- Mahligai Seribu Mimpi


Lukman bungkam melayan bengkak hatinya di hadapan Nazim. Rayuan dan pujukan Nazim terus berlegar di gegendang telinganya. Di ruang matanya pula asyik terbayangkan kemesraan dan senyuman manis Laila saat bersama dengan Asmadi dahulu. Kenapa? Kenapa kemanisan itu tidak pernah singgah di wajah Laila saat berhadapan dengannya? Lukman mendegus sendiri. Hatinya kian sakit mengenang Laila.

‘Aku yang bujang ni tak dilayannya.  Suami orang juga yang dicarinya! Apa lebihnya budak hingusan tu?’ getus hati Lukman bengang. Sakit benar hatinya melihat betapa mesranya Laila dengan Asmadi bergurau berdua. Laila kelihatan gembira bersama lelaki itu. malahan renungan Laila kelihatan lebih mesra bersama Asmadi berbanding memandang dirinya. Lukman terasa kalah! Sehingga hari ini dia masih dibayangi semua itu. Kerjanya sudah jadi lintang pukang dek kerana hati yang dipagut kecewa.
“Luk, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tanya Nazim di hadapan Lukman. Dia dari tadi asyik bercakap dengan Lukman sebaliknya Lukman sepatah pun tidak menjawab kepadanya. Asyik memandang ke luar kedai dari tadi. Rasa seperti dia hanya bercakap seorang pula.
“Dengar..” jawab Lukman hambar.
Ini lagi satu! Sudah ada masalah mulalah nak libatkan dia sama. Geram Lukman dengan Nazim. Nazim yang gemar bikin masalah sekarang dia pula yang terpaksa menyelesaikan masalah yang sengaja dicipta Nazim. Bertambah sakit hati apabila dia tahu Nazim ada mencuba nasib memikat Laila. Jika diikutkan hatinya muka Nazim sudah dipecahkannya. Bukannya Nazim tidak tahu yang dia sukakan Laila.
“Tolonglah aku, Luk. Kalau aku tak dapat projek tu habislah aku..” pujuk Nazim semakin terdesak. Ugutan Haji Hamidon mahu memecatnya jika dia gagal menunjukkan prestasi yang baik benar-benar menghantuinya. Kini dia sudah tidak punya jalan selain dari meminta bantuan Lukman.
Lukman mula mengalihkan pandangannya kepada Nazim. Wajah lelaki berdekatan dengannya itu dipandang tajam. “Apasal kau gatal sangat kacau si Laila tu? Kau tahukan aku yang nak dia?” soal Lukman agak kasar.
Terkedu Nazim mendengar kata-kata Lukman itu. Tidak terjawab dia jadinya apabila hal itu diungkit Lukman pada saat dia sedang terdesak begini. Tidak sangka pula dia yang Lukman benar-benar mengambil hati dengan tingkahnya itu. Patutlah temannya itu buat tidak tahu sahaja kepadanya. Rupanya hati Lukman bengkak kerana hal itu. Sangkanya itu cuma hal remeh yang tidak harus diperbesarkan.
“Sekarang bila dah ada masalah pandai pulak kau minta aku yang selesaikan untuk kau? Kau fikir aku ni apa? Barua kau?” tekan Lukman semakin membara hatinya.
“Eh! Manalah aku tahu kau serius nakkan dia? Kau pun macam nak tak nak aja pikat dia? Jadi aku trylah masuk line,” jawab Nazim sedikit merendah tidak mahu menaikkan kemarahan Lukman lagi. Mengenangkan dirinya sudah terdesak, dia rela merendahkan egonya kali ini asalkan Lukman sudi membantunya.
“Kau tu dah ada isteri! Buatlah cara orang yang dah beristeri. Bagilah can pada orang bujang macam aku ni! Semua kau nak sapu aku ni dapat apa? Sisa kau? Tak sedar diri!” tempelak Lukman melepaskan buku hatinya. Wajah lugu Nazim dijeling geram.
Sorry..sorry, Luk! Aku tak sengaja. Okay! Aku janji aku takkan usik dia lagi. Janji kau tolong aku dapatkan projek kat Sepang tu. Tolong ya, Luk? Aku betul-betul dah tersepit ni.”
Lukman mendegus keras. “Tengoklah nanti macamana!” balasnya acuh tidak acuh.
“Luk, aku serius ni. Kali ni kalau aku gagal dapatkan projek besar untuk Tuan Haji alamat menganggurlah aku jawabnya. Kau nak aku dapatkan Laila tu untuk kau pun aku sanggup buat asalkan kau pass kat aku projek tu.”
Kata-kata Nazim itu membuatkan Lukman kembali memandang Nazim. Sebahagiannya mula membuatkan dia merasa tertarik. “Dapatkan untuk aku? Maksud kau?” tanya Lukman dengan suara sudah mula mengendur.
Nazim lantas mendekatkan dirinya ke meja sambil memandang Lukman. “Aku rasa perempuan macam tu tak sesuai kau nak jadikan bini tapi kalau setakat stok geli-geli sekali-sekala tu bolehlah,” ucap Nazim agak perlahan. Sengaja menghasut Lukman agar mengikuti caranya.
Berkerut dahi Lukman memandang Nazim. Untuk orang sesusia Nazim kata-kata seperti itu boleh dianggap sebagai tidak sedar diri! “Kau fikir aku ni macam kau? Semua perempuan aku nak jadikan stok geli-geli?” serang Lukman tajam. Sakit hatinya mendengar bicara Nazim yang seperti sedang merendahkan martabat Laila. Sedangkan semenjak awal dia sudah meletakkan Laila di tempat yang istimewa.
“Aik? Takkan perempuan sisa orang macam tu kau nak jadikan bini? Anak orang kaya macam kau ni nak ambil janda macam Laila tu sebagai isteri? Biar betul? Apa kata family kau nanti? Boleh ke diorang terima?” balas Nazim semakin berkobar untuk menyesatkan pendirian Lukman.
Terdiam seketika Lukman mendengar bicara Nazim itu. Betul juga apa dia cakap ni.. detik hatinya sendiri. Sayang sungguh! Kalau Laila bukan ‘sisa orang’ seperti yang diucapkan Nazim sudah tentu dia tidak berperasaan seperti ini. Serba salah dan keliru. Sebahagian dirinya memang tidak ingin meletakkan Laila di tempat yang sama seperti Mastura dan yang lain. Laila di matanya cukup istimewa tiada tandingannya. Seolah-olah tiada lagi wanita sejelita itu sehingga membuatkan dia termimpi-mimpi semenjak kebelakangan ini. Namun status Laila itu menjadi penghalang pula. Bukannya dia mahu memandang hina wanita yang menyandang gelaran itu namun sedikit sebanyak perkataan ‘sisa orang’ yang digelarkan Nazim tadi sudah mula menggoyahkan pendiriannya.
Malukah dia dengan keadaan itu? Benarkah itu menjadi penghalang kepadanya? Selama ini bukannya dia tidak tahu Laila itu janda. Jika benar itu menjadi masalah mengapa hatinya tetap terpaut? Ah!! Lukman kian keliru dengan dirinya sendiri.
“Janda ni kalau dapat sekali duapun bukannya luak apa. Dah barai! Lainlah anak dara. Barang barulah katakan!” tambah Nazim selamba dalam pada Lukman masih dikunci kebisuannya. Dia tahu Lukman sudah mula keliru.
Lukman mendegus keras. Sakit hatinya mendengar Nazim melabelkan Laila dengan gelaran seperti itu. Kini dia semakin keliru dengan pendiriannya. Dia sudah tidak tahu apa yang dimahukanya saat ini. Akhirnya Lukman diam melayan fikirannya yang asyik terkenangkan balu yang cukup jelita itu. Ingin didekatinya namun dia bimbang Laila menolak lagi. Takkanlah dia nak terjah begitu sahaja? Mahu Laila memanggil dia gila nanti.
“Kau ikut macam aku ni aja, Luk. Pakai sekali dua je dah! Lepas tu cari yang lain. Kalau nak buat simpan sampai tua ni kenalah cari yang sepadan. Perempuan macam Laila tu tak sesuai untuk lelaki macam kita.” Nazim terus memberikan nasihat songsangnya.
Lukman menghalakan pandangannya kepada Nazim. Jijik telinganya ini mendengar kata-kata Nazim serupa orang tidak sedar diri itu. “Kau tu bercakap ikut sedap mulut aja. Macamlah kau tu bagus sangat! Bila dah ada masalah kau libatkan aku sekali. Kalau kau hebat sangat selesaikan masalah yang kau dah buat sendiri. Jangan minta tolong aku! Apa yang kau suruh aku buat ni bahaya, kau tahu? Kalau tertangkap bukan setakat aku hilang kepercayaan bapak aku tapi boleh jadi kes polis!” tempelak Lukman geram. Sikap Nazim yang bongkak kadangkala memualkannya.
“Alah! Janganlah buat terang-terang, Luk. Nak hidup kenalah pandai. Kali ni aku jamin.. Laila mesti jadi kau punya!” balas Nazim tidak mempedulikan kemarahan Lukman. Lukman akan ditawan secukupnya. Kelemahan Lukman hanya satu iaitu Laila! Laila akan digunakan sebagai umpan untuk melemahkan Lukman.
Lukman mendegus sendiri. Serba salah pula apabila nama Laila disogokkan ke telinganya. Antara kewarasan diri dan keinginannya untuk memiliki Laila, Lukman sudah tidak tahu mana satu yang benar. Dia semakin bercelaru.
“Kau nak buat macamana pasal Laila tu?” tanya Lukman sambil menghalakan pandangannya kepada temannya itu.
Nazim tersenyum menang. Pantas tubuh gempalnya didekatkan ke meja. Wajah Lukman dipandang penuh makna. “Kau cuba tackle dia lagi. Kalau tak dapat jugak.. aku akan dapatkan untuk kau. Cara macamana aku nak dapatkan, itu kau serahkan pada aku. Tahulah aku nak buat macamana.”
Lukman sangsi seketika. Cara macamana yang dimaksudkan Nazim? Sedangkan Nazim sendiripun masih gagal menawan Laila untuk dirinya sendiri inikan pula untuk orang lain. Sekilas dia memandang dia tahu ada sesuatu yang buruk sedang dirangka oleh benak orang tua itu.
“Cuba kau bagitahu aku betul-betul. Apa kau nak buat sebenarnya?” soal Lukman tidak berpuas hati.
Nazim tersenyum seketika. Inilah masanya untuk dia melepaskan dendamnya kepada wanita itu. Lukman adalah alat baginya untuk melaksanakan rancangan busuknya itu. “Perempuan bongkak macam tu kena ajar sikit! Aku tangkap dia bawa pergi tempat kau lepas tu kau kerjakan dia cukup-cukup. Dah puas kau lepaskanlah.”
Terbeliak mata Lukman mendengar idea Nazim itu. Sejahat-jahatnya dia tidak pernah berlaku sekejam itu kepada wanita. Inikan pula kepada wanita yang disukainya. Sudah hilang akalkah lelaki ini?
“Gila kau! Buatnya dia report polis naya aku! Benda yang kau plan ni dah dikira jenayah berat, kau tahu?” tukas Lukman terus tidak bersetuju.
“Kau ingat kalau kau pikat dia baik-baik dia nak layan kau? Usahkan nak ajak keluar. Setakat ajak berborak aja pun tak mahu. Macamlah dia tu bagus sangat! Kali ni biar kita ajar dia sikit. Biar dia tahu langit tu tinggi ke rendah! Biar dia tahu siapa kau sebenarnya,” provok Nazim bersungguh.
“Habis tu kalau dia report polis macamana? Sia-sia aja aku kena hukuman sebat nanti! Tak sanggup aku!” sanggah Lukman keras. Baginya idea Nazim itu sudah melampau. Langsung tidak pernah terlintas dibenaknya untuk berbuat seperti itu. Memang dia sakit hati dengan penolakan Laila tetapi tidak pernah terlintas di benaknya untuk menganiaya Laila sehingga begitu sekali.
Bicara Lukman membenihkan senyum nipis di bibir Nazim. Baginya hal polis itu sekadar satu masalah remeh. Masih ada cara untuk mengelak semua itu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan.
“Tak payah nak paniklah! Aku ada caranya. Kau jangan bimbang. Dia takkan report polis punya! Sampai masanya nanti aku akan bagitahu kau. Pertama kau pergi adjust dulu dia tu macam biasa. Kalau tak dapat jugak baru kita jalankan plan tu,” ucap Nazim serius. Berharap benar Lukman akan bersetuju dengan rancangannya. Bukan sekadar dia mahukan sedikit habuan dari usahanya itu nanti tetapi dia juga mahu membalas segala perbuatan Laila kepadanya melalui Lukman!
Lukman memandang Nazim lama. Kata-kata Nazim ligat bermain difikirannya. Sedikit sebanyak dia mula memikirkan faedah yang bakal didapatinya dari rancangan itu. Teringat dia penolakan Laila sebelum ini. Sakit hatinya masih bersisa. Niat baiknya disalah ertikan oleh Laila begitu sahaja. Lukman tahu bukan dia seorang yang pernah dikecewakan Laila seperti ini. Kali ini dia nekad.. jika kebaikannya tidak mampu melembutkan Laila biarlah taringnya dikeluarkan semula untuk mengajar Laila menghargai keikhlasan hatinya! 
“Macamana? Setuju ke?”
“Ok, aku setuju!”
“Tapi jangan lupa pasal projek tu..”
Lukman sekadar mengangguk. Projek yang dimahukan Nazim tidak menarik perhatiannya sebaliknya wajah Laila terus bermain di benaknya. Tidak sabar rasanya mahu melihat Laila di atas katilnya nanti.

Salam yang diberikan Laila segera bersambut. Tidak perlu dia mengulanginya berkali-kali. Tidak sampai seminit batang tubuh Hamidah sudah kelihatan di hadapan matanya. Orakan senyuman Laila semakin melebar melihat Hamidah datang kepadanya. Akhirnya gerangan manusia yang ingin ditemui berada di hadapan mata.
“Ha... sampaipun akhirnya. Alhmadulillah. Aku ingat kau sesat tadi.” Hamidah mula riuh bercakap dengan Laila saat membukakan kunci mangga di pagar rumahnya itu.
“Takdelah. Alamatnya jelas dan tepat. Takkanlah aku sesat pulak? Lagipun driver teksi yang hantar aku tadi kata dia memang dah biasa dengan kawasan ni. Jadi tak susahlah aku nak cari rumah korang ni. Kau apa khabar, Midah?” Laila dan Hamidah segera berpelukan. Lama sekali tubuhnya didakap Hamidah. Maklumlah.. sudah lama tidak bertemu.
“Aku macam nilah. Sihat walafiat. Kau pulak?”
“Aku kalau tak sihat takdenya aku nak mai rumah kau ni..” seloroh Laila sambil tergelak perlahan.
“Ya tak ya jugakkan? Eh! Jomlah masuk. Sempena cik abang aku tu takde kena pergi out station kita boleh buat apa yang kita suka kat rumah aku ni. Takde sapa nak larang. Takde apa nak disegankan!” ucap Hamidah ceria. Lengan Laila lantas ditariknya masuk ke dalam rumahnya.
“Cantik rumah kau ni. Pandai kau hias..” puji Laila setelah kakinya menjejak masuk ke rumah itu. Kagum dia dengan susun atur rumah Hamidah dan Asmadi ini. Ah! Laila memang tidak hairan. Hamidah yang dikenalinya memang lekas bosan dengan suasana ruang rumah yang sama sahaja setiap hari. Laila juga begitu namun tidaklah sekronik Hamidah ini. dahulu sewaktu tinggal menyewa bersama, setiap minggu Hamidah akan bersengkang mata sehingga ke malam untuk menukar kedudukan perabot rumah mereka. Kadang kala dia melakukannya sendirian.
“Apa pulak aku yang hiasnya? Madikan interior designer. Kebanyakannya dialah punya idea. Aku tambah sikit-sikit aja. Dah masuk alam berkerja macam ni tak laratlah nak memungguh aja selalu. Dulu lainlah. Sibuk-sibukpun boleh juga curi masa kemas rumah,” jawab Hamidah lembut. “Duduklah kejap. Aku ambilkan kau air. Airnya dah siap. Menunggu mulut yang nak minum aja,” kata Hamidah lagi lantas terus ke dapur. Laila akur. Dia tidak duduk sebaliknya membelek barangan perhiasan yang diatur di atas meja kecil di bucu ruang tamu itu. Ada replika kapal layar yang diukir dari kayu jati yang dijadikan hiasan. Menarik! Detik hati Laila.
“Itu kami beli kat Indon dulu waktu pergi bulan madu. Kat sana barangan dari kayu jati murah. Maklumlah.. hutan banyak.” Hamidah bersuara setelah tiba di ruang tamu itu bersama dengan dulang berisi jug air dan juga gelas. Dia tahu Laila juga sepertinya. Sukakan hiasan dalaman.
“Cantik..” komen Laila kagum. Laila segera teringatkan sesuatu. Asmadi ada memberitahu yang dia dan Hamidah bercadang mahu membeli rumah sendiri. Kalau rumah sewaan mereka berdua boleh menghiasa sehingga secantik ini apatah lagi jika sudah memiliki rumah sendiri.
“Madi ada kata dengan aku yang korang nak beli rumah. Dekat area mana?” tanya Laila apabila teringatkan kata-kata Asmadi tempohari.
“Setakat ni pilihan yang kami mampu milik cuma di Bukit Kemuning, Shah Alam. Yang lain kau tahu-tahu ajalah harganya. Sekarang harga rumah dah naik. Kalau kami tak cepat-cepat ambil rumah tu lepas ni memang tak boleh beli rumah lagi melainkan pendapatan isi rumah meningkat,” jelas Hamidah tanpa memandang Laila yang masih berdiri memerhatikan perhiasan rumahnya.
“Berapa harga rumah kat Bukit Kemuning tu?”
“Dekat 300K jugaklah. Itupun pinjaman bank tiga puluh tahun. Susah jugak nak beli rumah sekarang ni, Laila. Pendapatan isi rumah kena melebihi 3K sebulan baru lulus loan,” ucap Hamidah.
“Memanglah. Ekonomi sekarang tak rancak. Seluruh dunia macam tu. Kita ni terkenalah sekali tempiasnya,” jawab Laila lembut. Apa yang diketahuinya kesan dari pembangunan dan penurunan ekonomi akan mempengaruhi harga bahan mentah yang digunakan dalam sektor-sektor yang berkaitan. Jadi sektor perumahan juga terbabit sama kerana harga bahan mentahnya ditentukan oleh pasaran. 
“Dengarnya kau nak tukar kerja baru. Betul ke?” soal Hamidah sambil mengalihkan jug dan cawan dari dalam dulang ke atas meja. Belakang tubuh Laila dipandangnya seketika. Sahabatnya itu masih ralik membelek perhiasan di ruang tamu itu.
Mendengar pertanyaan Hamidah Laila lantas berpaling. “Betul. Aku dapat tawaran kerja. Kat KL jugak. Tapi bukan syarikat kontrator lagi. Kali ni business shipping pulak,” jawab Laila sambil menapak ke sofa.
“Baguslah tu. Kalau dapat tawaran yang lebih bagus dari yang ada ni tak patutlah kalau kau tak terima. Orang baru macam kita ni kena selalu cari peluang kalau nak dapat gaji lebih sikit dari yang ada ni,” komen Hamidah lembut. Segelas air dihulurkan buat Laila. Laila lantas menyambutnya sambil mengucapkan terima kasih.
“Rezeki aku agaknya. Graduan macam kita ni sebenarnya bukan senang nak dapat kerja. Jenuh jugaklah aku mengisi borang mintak kerja. Tapi alhamdulillah, apa yang aku cari-cari selama ni bertemu jugak walaupun agak lambat,” balas Laila ceria suaranya. Semenjak dia ditawarkan kerja di UMBS semangatnya untuk membina kehidupannya semakin berkobar. Mungkin juga kerana tawaran gaji yang diberikan amat menarik. Tetapi dalam kegembiraan itu masih terselit sedikit kerisauan. Takut dia gagal memberikan yang terbaik dalam menunaikan tanggungjawabnya.
“Alhamdulillah.. rezeki kau tu, Laila. Harap-harap cerahlah masa depan kau dengan syarikat tu nanti. Setahu aku UMBS tu bussines dia bukan sikit-sikit punya bussines. Dia punya klien semua dari luar. Dia punya head office dekat dengan pejabat Madikan?” balas Hamidah setelah duduk di hadapan Laila.
“Dekat jugaklah. Kenapa? Kau nak suruh aku spy di Madi waktu lunch time ke?” ucap Laila separuh mengusik.
Hamidah lantas ketawa dengan kata-kata Laila. Bagus juga idea kau, Laila.. kata-kata itu terdetik di hati kecilnya. “Boleh jugak kalau kau rajin. Aku ni syak tu takdelah tapi orang lelaki ni kadang-kadang ada jugak nakalnya,” balas Hamidah selamba.
“Mengarutlah kau ni, Midah! Tahu dek Madi marah dia nanti,” tukas Laila tidak begitu suka dengan bicara Laila.
“Hari tu Madi ada kata pada aku yang kau ada masalah di pejabat. Betul ke?” soal Hamidah kembali pada pokok persoalan yang ingin ditanyakan semenjak awal lagi.
Laila tidak terus menjawab. Entah kenapa wajah seorang lelaki melintas di benaknya tanpa dapat disekat. Wajah kecewa Lukman masih terbayang olehnya sehingga ke saat ini. secara jujurnya Laila sendiri tidak tahu apakah yang harus dirasainya saat memandang raut kesayuan Lukman. Apakah dia harus merasa bersalah kerana menolak hasrat lelaki itu? Jauh disudut hatinya dia dapat merasakan kekecewaan itu bukan sekadar mainan atau palsu belaka sebaliknya itu datangnya dari lubuk hati Lukman yang sebenarnya.
“Laila..” panggil Hamidah cuba menyedarkan Laila yang seakan berjeda sendiri.
“Ha?” Laila tersentak. Wajah Hamidah dipandangnya semula.
“Aku tanya kau tadi kau tak jawab. Kau ingatkan apa? Kalau kau ada masalah jangan simpan sendiri, Laila. Gangguan di tempat kerja ni bukan masalah remeh tau. Boleh melarat jadi jenayah besar kalau kau biarkan,” ucap Hamidah serius. Sedikit sebanyak dia bimbang mendengar Laila diganggu di tempat kerja.
“Aku tahu. Jangan bimbang. Setakat ni takdelah serius sangat. Lagipun dia tak pernah melebihi batas. Bos akupun ada nasihatkan aku supaya buat laporan kalau dia masih ganggu aku. Setakat mengorat-ngorat biasa tu adalah. Itu biasalah tu..”
“Siapa lelaki tu? Apa dia nak dengan kau?” soal Hamidah masih tidak berpuas hati.
“Nama dia Nazim. Project Manager kat tempat kerja aku. Dia sebenarnya dah kahwin tapi dia ni jenis kaki perempuan, suka berfoya-foya. Aku tahu dia fikir aku ni boleh dibawa keluar sekali sekala macam perempuan-perempuan yang dia bawa dulu. Agaknya sebab status aku ni, tu yang dia rimas sangat bila tahu aku ni jenis perempuan yang tak keluar rumah macam perempuan lain. Tak habis-habis nak ajak aku dating dengan dia. Last week dia ada terserempak dengan abang aku. Nasiblah abang aku tak banyak tanya. Tapi kecut jugaklah dia kena sergah dengan abang aku tu. Nasiblah Abang Man tak banyak tanya. Kau tahu ajalah.. Abang Man tu bukannya boleh tengok lelaki dekat dengan aku. Semua nak dimarahnya,” cerita Laila perlahan sahaja.
“Muda lagi ke?”
“Dalam empat puluhan jugaklah..”
“Aku pantang betul tengok lelaki tua yang gatal merenyam ni! Tak sedar diri betul! Dah kahwin tapi masih nak menggatal. Malang betul siapa jadi bini dia tukan?” tukas Hamidah mula beremosi. Sebelum ini lelaki seusia itu juga yang sering menganggu Laila. Malah ketika mereka di UM dahulu pensyarah yang sudah berusia dan beristeri juga yang sering berperangai miang keladi dengan pelajar seperti mereka. Salah seorang mangsa yang sering tersiksa dengan perangai pensyarah itu adalah Laila sendiri.
“Memang malang. Mintak jauhlah aku dekat dengan lelaki macam tu. Siksa hidup aku nanti. Kadang-kadang tengok muka dia tu ajapun aku rasa mual semacam. Inikan pulak nak dengar ayat-ayat miang dia tu. Bukan setakat bini  dia aja yang malang. Akupun sama jugak kena menghadap muka dia hari-hari!” balas Laila meluat apabila terbayangkan wajah Nazim.
“Kau tak beritahu abang kau pasal ni?”
“Gila kau! Kalau aku cakap dengan dia mati mamat tu dikerjakan dek abang aku tu. Abang Man tu tahu ajalah.. kalau dah angin dia bukannya fikir apa. Selagi dia tak puas hati tak berhenti,” tukas Laila pantas.
“Biarkan dia rasa penumbuk abang kau tu. Baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah,” ucap Hamidah selamba. Geram dia mendengar cerita Laila itu. Bukan sekali ini dia ada mendengar Laila ada masalah dengan lelaki-lelaki di tempat kerjanya. Lebih teruk lagi kebanyakan yang membuat onar dengan sahabatnya itu adalah suami orang.
“Aku tak mahu timbulkan masalah lagi. Biarlah dulu. Bukannya aku tak mahu cakap dengan abang Man pasal ni tapi dia tu cepat melenting. Aku takut nanti hal ni jadi masalah yang lebih besar sedangkan sebenarnya takdelah seteruk mana,” ujar Laila sambil menghirup air yang dihidangkan Hamidah.
“Hati-hati, Laila. Lelaki miang macam tu kaki penipu. Aku takut tak dapat dengan cara baik dia buat dengan cara menipu. Aku cuma bimbangkan keselamatan kau. Kau tu dahlah cantik. Memanglah ramai lelaki geram! Kalau ada apa-apa masalah cepat-cepat bagitahu kami. Kita usahakan apa yang harus dibuat. Jangan diamkan sendiri aja,” balas Hamidah bersungguh.
Laila tersenyum melihat tingkah Hamidah. Risau benar Hamidah akan dirinya. Dia akur dengan nasihat Hamidah itu. Dia akan terus menjaga dirinya daripada lelaki-lelaki yang berniat untuk menghancurkan hidupnya. “Insya-Allah aku tak apa-apa. Lepas aku mulakan kerja baru nanti takdelah aku jumpa dia lagi,” ucap Laila perlahan. Kata-kata itu sebenarnya lebih kepada memujuk dirinya sendiri agar bertahan dalam masa yang tinggal tidak sebanyak mana di sana. Dia harus sabar.
“Aku rasa bila kau dah kerja di tempat baru ni eloklah kau beli kereta, Laila. Senang sikit kalau dah ada kereta. Takpun cari calon suami yang ada kereta. Boleh hantar kau pergi kerja setiap hari. Balik dia jemput. Tak payah kau naik bas lagi. Kau pun setahu aku kaki kerja. Bahaya kalau kau naik kenderaan awam lewat-lewat malam ni,” ujar Hamidah mudah.
Laila tergelak mendengar cadangan Hamidah. “Kalau macam tu kau tolonglah kenalkan aku mana-mana calon yang sesuai untuk aku. Jangan lupa kriteria ada kereta tu ya? Mana tahu berkat kata-kata kau tu senang hidup aku. Takdelah aku menongkah naik bas lagi,” sambut Laila sambil tergelak.
“Serius?” soal Hamidah bersungguh.
“Kau ingat aku main-main?” jawab Laila masih tawanya.
“Kalau aku dah jumpa orangnya nanti kau jangan nak mengelak pulak! Kau tolak siaplah kau! Aku siat-siat kulit kau tu buat gendang!” gumam Hamidah mengancam Laila. Namun Laila terus menghamburkan tawanya. Ancaman itu langsung tidak menakutkannya sebaliknya dia kelucuan.
“Aku memang nak kahwin, Midah. Aku takkan tutup pintu hati aku pada perkahwinan disebabkan apa yang berlaku. Cuma mungkin aku belum bertemu dengan orang yang sesuai dengan jiwa aku. Siapa tahu kau boleh permudahkan urusan ni untuk aku?” ujar Laila kembali serius. Dia sudah memikirkan kata-kata abangnya tempohari. Ada benar kata-kata Arman. Siapa tahu dengan membiarkan dirinya didekati lelaki lain segalanya akan berubah. Dia harus bangkit segera dari kehancuran. Hidup tidak akan selamanya sama sahaja. Keyakinan itu sudah dipacakkan ke dalam dirinya untuk dia mengorak langkahnya mencari kasih sayang buat dirinya.
Hamidah menyambut kata-kata Laila dengan kalimah syukur dihati. Akhirnya.. Laila akur juga. “Baguslah kalau macam tu. Kat tempat kerja aku tu banyak yang masih bujang. Kat tempat kerja Madi pun sama. Mesti ada salah seorangnya yang sesuai dengan kau. Bukan semua lelaki jahat dan tak selamanya nasib kita akan sama aja, Laila. Kebahagiaan ni kalau tak dicari dia takkan datang pada kita. Insya-Allah.. niat yang baik ALLAH akan permudahkan.” Hamidah berkata lembut.
Dalam hati Laila mengaminkan doa Hamidah. Ya! Dia tahu nasibnya tidak akan selamanya sama. Insya-Allah kali ini pasti dia akan diketemukan dengan kebahagiaan yang diinginkannya.
“Sebenarnya bukan takde lelaki yang datang dekat dengan aku. Tapi mungkin salah aku jugak. Aku yang sengaja mengelak. Baru-baru ni ada seorang lelaki mengaku sukakan aku tapi aku reject dia,” cerita Laila tanpa disuruh. Sesak nafasnya memikirkan lelaki seorang itu. Entah kenapa dia asyik memikirkan Lukman.
“Kenapa kau reject dia?”
“Sebab dia kawan baik dengan si Nazim miang tu. Ngeri aku nak biarkan dia dekat dengan aku. Takut dia sekufu dengan si Nazim tu.” Laila menjawab bagi melengkapkan ceritanya. Sungguh! Dia tidak tahu mengapa dia asyik terbayangkan wajah sayu Lukman kala itu. Hatinya sering merasakan dia sudah bersalah kepada lelaki itu. Mungkin juga dia kejam! “Tapi bila aku tengok muka dia waktu kena reject tu aku kasihan pulak. Muka dia frust gila. Tapi salah aku ke? Aku cuma takut dia tu sama macam Nazim. Itu aja! Siapa suruh dia pilih kawan macam tu,” tambah Laila lagi.
“Oo.. ni sebab nila habis rosak susu sebelangalah ya?”
“Macamana kita nak tahu orang tu ikhlas dengan kita ke tidak ya, Midah?” soal Laila tiba-tiba. Laila akui dalam soal menilai lelaki dia teramat naif. Dia tidak hebat dalam bercinta kerana dia tidak banyak pengalaman berkawan dengan lelaki. Jadi dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang ditunjukkan Lukman kepadanya.
“Ikhlas ni bersifat halus, Laila. Kita tak boleh nampak dengan sekali memandang. Ikhlas seseorang tak boleh dilihat dengan atas kita ni sebaliknya mata hati aja yang mampu menilai semua tu. Aku faham kau takut tertipu sebab dia tu kawan baik dengan si Nazim tu. Aku sendiripun tak tahu nak cakap macamana dengan kau sebab aku tak kenal lelaki tu. tapi apa yang boleh aku cakap sekarang ni Cuma kau takkan tahu dia baik ke tidak kalau kau tak beri peluang pada dia untuk tunjukkan siapa diri dia yang sebenarnya. Kau kena ambil masa kenali sikap dia barulah kau boleh buat keputusan untuk terima atau tolak dia,” nasihat Hamidah. Menurut penilaiannya itulah yang terbaik buat Laila.
Laila terdiam memikirkan apa yang diucapkan Hamidah itu. Jelaslah kini dia memang bersalah kepada Lukman. Tetapi apa yang harus dilakukannya? Meminta maaf? Merayu Lukman agar mempertimbangkannya semula? Pilihan yang kedua itu memang jauh lagilah untuk dilakukan tetapi yang pertama itu mungkin boleh dipertimbangkan. Tetapi mana nak dicarinya lelaki itu?
“Kalau dah tahap terkenang tu bukan setakat rasa bersalah dah tu. Dah rasa lain dah. Jangan cakap dengan aku kau angaukan lelaki yang kau sendiri reject? Takkan nak jilat ludah sendiri ya tak?” kelalaian Laila saat itu menghidangkan satu peluang besar bagi Hamidah untuk mengenakan Laila. Terkedu Laila dibuatnya. Angau? Takde maknanya dia angaukan Lukman!
“Hensem ke orangnya?” tanya Hamidah sambil tersenyum penuh makna kepada Laila.
“Siapa?”
“Elleh! Tak lakulah trick kau tu. Jangan buat-buat tak faham pulak. Takkanlah aku tanyakan si Nazim yang kau benci tu? Mestilah mamat yang kau reject tu!” ejek Hamidah semakin seronok memerli Laila.
Laila akhirnya tergelak besar mempamirkan giginya di hadapan Hamidah. Memangpun dia sengaja buat-buat tidak faham. Sayangnya tricknya berjaya dikesan. Merona wajahnya mendengar ejekan Hamidah.
“Patutlah dari tadi termenung. Mula-mula memanglah rasa bersalah lepas tu..?” usik Hamidah dengan pandangan meleret. Sengaja mahu melihat riaksi Laila. Wajah sahabatnya sudah kemerahan diusik olehnya. Pasti ada sesuatu kerana selama ini Laila susah mahu bercakap khusus tentang seorang lelaki. Lebih-lebih lagi untuk melihat wajahnya merona begitu? Susah! Tetapi kali ini Laila kelihatan berbeza.
“Midah! Kau ni banyak cakap kau tahu tak? Menyesal aku cerita kat kau. Lain yang aku nak lain yang aku dapat!” degus Laila masih dihambat rasa malu.
Kali ini Hamidah pula yang ketawa besar. Terhibur benar melihat keletah Laila. “Jadi ke nak suruh aku carikan calon ni? Kau macam dah ada je?” usik Hamidah masih belum puas.
“Takde maknanya aku angaukan dia tu. Aku cuma rasa bersalah aja, ok! Kau tu aja yang lebih-lebih. Takkanlah jumpa sekali dua dah angau? Mengarut!”
“Ye ke? Lain macam pulak kau kali ni aku tengok. Kalau ya pun apa salahnya, Laila. Yang penting bujang sama bujang. Jangan laki orang dahlah. Alah! Baru sekali dua jumpapun apa salahnya kalau dah suka? Ada orang jumpa sekali terus suka. Semuanya boleh jadi, Laila.” Hamidah menyambut lembut. Kali ini dia benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya. Jika Laila benar-benar jatuh cinta apa salahnya.
“Dia memang good looking guy. Tapi disebabkan kawan dia tu aku jadi susah nak percayakan dia. Aku takut dia cuma nak main-mainkan aku. Aku takde niatpun nak sakitkan hati dia,” luah Laila agak perlahan. Masih tidak mampu melepaskan rasa terkilannya dengan sikapnya sendiri kepada Lukman.
Hamidah tersenyum. Laila risaukan seorang lelaki? Alhamdulillah.. ucap hati Hamidah sendiri. Dia yakin. Sedikit masa lagi Laila pasti akan berteman seperti orang lain.
“Nampaknya cancellah pasal calon tukan? Nampak kau macam dah terfikir-fikir pasal mamat tu aja. Kalau dalam hati tu dah ada rasa maknanya dia tu dah berjaya menarik perhatian kau. Kadang-kadang kita ni aja yang tak mahu mengaku!” komen Hamidah sambil tersenyum.
Laila terdiam memikirkan apa yang dikatakan Hamidah. Iya ke? Benarkah sebenarnya dia telah tertarik kepada lelaki itu tetapi dia sengaja tidak mahu mengendahkannya. Tetapi macam mustahil pula.
“Apa kata kau cuba kawan dulu dengan dia. Entah-entah dia taklah seburuk yang kau sangka,” ucap Hamidah lembut. Dia tahu
Lukman..
Lukman
Laila keliru dengan perasaan sendiri.
“Mungkin..” jawab Laila perlahan sahaja. Kata-kata Hamidah itu ada benarnya tetapi dia sendiri masih belum pasti apa yang harus dibuatnya. Mahu memujuk Lukman? Malulah! Belum pernah berlaku dalam hidupnya dia memujuk seorang lelaki.
“Cuba buka hati kau untuk yang lain, Laila. Insya-Allah kau takkan melalui keadaan yang sama lagi. Yakinlah dengan Allah, Laila. Dia takkan berlaku kejam pada kita semua. Jodoh yang Allah tentukan untuk kau nanti pasti akan membawa kau ke tempat yang paling kau impikan selama ini. Sebagai sahabat kau aku nak tengok kau hidup berkeluarga macam aku dan Madi. Tapi selagi kau tak lepaskan arwah Nahij pergi selagi itulah kau akan terus begini. Aku tahu, bukan sekadar aku tapi semua orang disekeliling kau menggantung harapan yang sama pada kau termasuklah arwah Nahij sendiri. Takde orang yang sanggup melihat orang yang disayangi terus hidup menderita. Begitu juga dengan arwah Nahij.” Hamidah mengalunkan sedikit dorongan agar Laila tidak lagi patah semangat seperti semalam dan kelmarin.
Laila mengangguk akur dengan nasihat Hamidah. Dia sedar itu. Semua orang disekelilingnya sering mengungkapkan kata-kata itu untuk membuatkan dia mengerti akan hakikat yang sedang dihadapinya. Sudah tiada ertinya dia mengimbas kenangan lama yang telah lama mati sedangkan di hadapannya masih ada seribu harapan yang boleh ditanamnya. Sayangnya kepada arwah Nahij harus dibuang dan digantikan dengan yang lain.
“Seharusnya empat tahun yang ada ni dah cukup membuatkan aku lupakan semuanyakan? Tapi aku sia-siakan semuanya dengan mengenang sesuatu yang dah tak boleh dikembalikan lagi,” ucap Laila perlahan.
“Tiada siapa yang boleh jamin kau akan lupakan semua yang berlaku dulu, Laila. Walaupun empat puluh tahun dah berlalu. Melainkan Tuhan mengambil semula ingatan kau tu. Tak salah kau ingatkan dia lagi tapi yang salah adalah apabila kau biarkan kehidupan kau tersekat oleh semua kenangan-kenangan kau dengan dia. Aku mungkin tak pernah melalui keadaan yang kau lalui tapi aku jugak seorang isteri yang sayangkan suami. Aku tahu betapa ngerinya bila membayangkan kita kehilangan suami. Aku dapat merasakan betapa peritnya bila kita hilang dahan kasih sayang yang selama ini menjadi tempat berpaut. Tapi kita kena optimis dalam menempuh setiap cubaan dari Allah. Takde ujian yang bersifat menyiksa dan takde kesakitan yang bersifat kekal kerana setiap kesakitan ada penawarnya. Sampai satu masa kekosongan yang ada harus diisi. Samaada kau yang mencari dan mengisinya atau kau biarkan orang lain yang mengambil tempat itu secara sendirinya. Itu semua tepuk dada tanyalah hati. Kita takkan selamanya muda, Laila. Aku tak mahu sampai waktu itu kau hanya mampu termenung sendiri bertemankan kesunyian tanpa kehadiran anak-anak atau seorang suami. Perempuan macam kita perlukan seorang lelaki yang mampu menjadi pelindung kepada wanita yang lemah macam kita. Wanita perlukan anak-anak untuk melengkapkan kehidupan kita sebagai seorang perempuan. Tanpa perkahwinan semua tu takkan mungkin boleh berlaku. Dengarlah nasihat aku ni, Laila. Aku tak mahu kau terus menyendiri lagi. Cukuplah dengan yang lepas!” luah Hamidah cukup lembut. Wajah sayu Laila dipandang sayang sebagai seorang sahabat.
“Aku tahu, Midah. Terima kasih sebab kau tak pernah jemu ingatkan aku.” Laila menjawab perlahan.
“Aku bercakap sebab aku sayangkan kau. Aku ambil berat pasal kau. Kalau kau sayangkan aku, tolong fikirkan apa yang aku katakan tadi. Tolong pertimbangkan.”
“Insya-Allah..” balas Laila akur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.