Isnin, 8 April 2013

Bab 5-Mahligai Seribu Mimpi


“You tipu I kan?” soal gadis itu.
Lukman mendegus sambil menggeleng perlahan. “Tipu apanya?” degusnya kebosanan. Wajah wanita itu sengaja tidak dipandang. Derai air mata di pipi wanita itu langsung tidak membenih apa-apa rasa dihatinya. Rasanya dia lebih seronok memandang orang ramai yang lalu lalang di sekeliling mereka.
“Kenapa semenjak kebelakangan ni you selalu mengelak bila I minta you datang ke London? You dah ada orang lainkan?” soal wanita itu dalam tangisan yang tertahan. Cerita demi cerita yang didengarinya selama ini cukup-cukup menghancurkan hatinya. Sikap acuh tidak acuh Lukman kepadanya selama ini menambah lagi kesengsaraannya. Tidak cukup Lukman mempermainkan perasaanny, kini kegadisannya juga ranap di tangan lelaki ini.
Lukman sekadar mendiamkan diri tanpa memandang wanita itu. Bosannya! Degus hatinya sendiri. Kalau boleh dia mahu segera pergi. Malas mahu melayan Lukman sengaja berlagak seolah-olah wanita itu tidak wujud di hadapannya. Itu cara yang terbaik untuk dia tidak memeningkan kepalanya dengan masalah perempuan ini.
“Luk, kenapa you jadi macam ni? Apa salah I?” rayu wanita itu tanpa segan silu. Sedaya upaya cuba untuk menyelamatkan hubungannya dengan Lukman walaupun dia tahu harapannya tipis.
“Tolonglah! You ni membosankan, tahu tak! I takde masa nak fikir pasal ni semua. Kalau takde apa-apa lagi I nak balik kampus sekarang!” degus Lukman sedikit kasar. Tajam pandangannya saat bola matanya menyinggah seketika di wajah sendu di hadapannya. Tangisan sang perempuan tidak langsung mampu menjentik rasa simpatinya.
“Sampainya hati you, Luk. Takkanlah selama lapan bulan kita berkawan ni you langsung takde rasa apa-apa pada I? You tahukan yang I sayangkan you?” keluh wanita itu kesayuan. Lengan Lukman cuba disentuhnya namun lelaki itu hanya bungkam di hadapannya.
“I memang bodoh! I sepatutnya dengar nasihat kawan I. Semenjak awal lagi dia dah ingatkan I supaya jangan percayakan you tapi I yang tak mahu dengar. I sangka you akan berubah bila kenal dengan I. Tapi I salah! You buat I sama aja macam perempuan-perempuan yang you kenal sebelum ni. You hanya main-mainkan I!” Semakin berderai air mata wanita itu di akhir bicaranya. Esakannya mengalunkan kekesalan tidak terhitung.
Come onlah, Sha! Apa yang I dah buat pada you? Apa bendanya yang I tipu you? Bila masanya I main-mainkan you? I tak pernah declare yang kita ni lebih dari seorang kawan. Jadi bahagian mana yang I ni dah main-mainkan you?” bentak Lukman sambil menarik kembali lengannya dari wanita itu.
“Jadi selama ni you bawa I travel sampai ke Scotland tu untuk apa? Sekadar kawan? You bagi bunga dan mesej-mesej romantik pada I tu semua? Juga sebagai kawan? Kenapa you layan I macam ni, Luk? Kalau I sekadar kawan kenapa you panggil I sayang selama ni? Kalau I bukan kekasih you kenapa you sentuh I?” ucap wanita tidak mudah membenarkan dirinya diabaikan semudah itu oleh lelaki ini.
Kali ini Lukman berdiam. Terlupa pula yang dia memang ada memanggil begitu kepada wanita itu. Hujah wanita itu tidak terdaya dibalasnya untuk memenangkan diri sendiri melainkan dia mahu menang dengan cara kotor. Wanita itu dibiarkan terkapai-kapai begitu sahaja.
“I cuma nak dengar apa yang benar sekarang. Kalau you memang tak mahu I lagi berterus-teranglah. Jangan biarkan tertanya-tanya begini. Kalau betul perasaan ni hanya milik I seorang I takkan ganggu you lagi!” desak wanita itu saat melihat Lukman sekadar mendiam diri.
Lukman pantas mengalihkan pandangannya kepada wanita itu. “Okey! I akan berterus terang kalau itu yang you nak. I dengan you memang tak pernah ada apa-apa yang boleh dikatakan lebih dari seorang kawan. Maaflah kalau you terasa I ni kejam tapi I memang suka panggil kawan-kawan perempuan I begitu. I harap you faham sikap I yang sebenarnya. I tak pernah terfikir nak jadikan you lebih dari itu dan you tak boleh salahkan seorang dalam hal ini. Kita berdua terlanjur pun bukan I yang paksa, you sendiri yang relakan. Are we done here?” ucap Lukman antara sinis dan jengkel.
Wanita itu mengangguk perlahan sambil menyeka sisa-sisa air matanya. Tiada guna dia melalak bertangisan di situ lagi kerana nasi sudah pun menjadi bubur.
“I faham. Cinta tak boleh dipaksa dan I takkan merendahkan maruah I untuk itu. Kalau itulah yang you katakan I harus akur, Luk. Cuma I ada soalan untuk you. Apa sebab you buat semua ni?” suara wanita itu sedikit tenang saat itu.
“Apa maksud you?”
“Kenapa you main-mainkan kami semua? Apa yang you cari sebenarnya?”
Lukman ketawa sekilas dalam kesinisan. “You rasa I dah main-mainkan you ke? Takdelah! I tak main-mainkan sesiapa. Cuma I ni memang cepat bosan. I tak suka serius dalam satu hubungan. Sebab perempuan ni bila dah sayang mulalah nak tetapkan seribu satu syarat untuk lelaki sedangkan I paling tak suka dikongkong. I jenis lelaki yang tak suka komitmen.” Lukman menjawab selamba tanpa merasa bersalah.
“Ya! Mungkin I yang tersalah menduga selama ini. I memang bodoh kerana percaya pada you. Takpelah! I rasa ini mungkin akan jadi perbualan yang terakhir kita. I minta maaf kalau selama ini I ada menyusahkan you. I ikhlas sayangkan you tapi mungkin Tuhan menetapkan I tak cukup baik untuk you.”
Lukman sekadar memandang langkah wanita itu. Tiada kesedihan yang dirasainya. Tiada kesayuan menapak di hati. Sebaliknya dia merasa amat lega setelah wanita itu dapat disingkirkan dengan semudah ini.

Kenduri tahlil sudah lama berakhir. Namun kesedihan masih sama. Menungannya juga masih berkisarkan tentang kisah yang sama. Dirinya tidak ubah seperti mayat hidup. Makan dan minum bukan lagi keutamaan sebaliknya menangis sudah menjadi makanannya setiap hari sehingga Hamidah sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi untuk memujuk.
“Mak. Laila rindukan mak. Kenapa mak pergi terlalu cepat. Langsung takde petanda. Sama macam abang Nahij tinggalkan Laila dulu. Kenapa, mak?” luah Laila seorang diri setelah dia puas memikir. Sekalian itu air matanya jatuh di pipi. Tidak tertanggung kepiluan hati mengenang kedukaan hidupnya semenjak kebelakangan ini.
Menungan Laila langsung tidak tergugah tatkala terdengar pintu biliknya ditolak seseorang dari luar. Sedikit pun dia tidak menoleh malahan dia langsung tidak mempedulikan kehadiran manusia itu. Kekosongan hatinya membawa hayalannya jauh terbang mencari bayang arwah emaknya.
“Laila..” satu suara garau menyapa lembut deria pendengarannya. Laila sekadar bungkam tidak menjawab sapaan itu. Atau sebenarnya dia tidak peduli dengan panggilan abang Armannya itu.
Arman mengambil tempat di katil pembaringan adiknya itu. Tidak jauh dari tingkap tempat Laila meluahkan kesedihannya. Buat seketika Arman memandang sekeliling bilik itu sebelum memandang semula Laila yang masih hanyut dengan dunianya. Untuk ketika cuba dimengertikan setiap cebis kesedihan dan penderitaan adiknya itu.
Bukan mudah! Itulah jawapan yang didapatinya setelah dia cuba meletakkan dirinya seketika di tempat adiknya itu. Bukan mudah untuk menjadi Laila seperti Laila yang ada pada hari ini jika dia tidak terselam perasaan adiknya itu. Tempat bergantung juga tempat bermanja diambil semula oleh Sang Pencipta dalam tempoh yang tidak jauh. Kasihan sungguh kasihan tetapi inilah hakikat yang ditetapkan Allah buat mereka semua.
Arman memandang lama belakang tubuh adiknya itu. Tubuh itu kian susut saban hari. Apa tidaknya.. jika sekadar tangisan dan menungan yang menjadi makanannya sehari-hari apalah yang mampu disimpan lagi oleh batang tubuh itu?
“Laila, abang benar-benar risaukan Laila. Dah beberapa hari Laila tak makan. Laila tak lapar ke?” Arman akhirnya meluahkan bicara setelah lama diamati adiknya itu.
Laila hanya diam. Terus juga memandang ke hadapan seolah-olah tidak mendengar apa-apa. Malah dia terus beraksi seolah tiada sesiapa berada di bilik itu bersamanya. Namun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sebaknya dia mendengar bicara abangnya itu. Hatinya berkata-kata sendiri. Makan? Apalah yang mampu ditelannya dalam keadaan hatinya seperti ini? Apalah yang mampu diisi ke dalam perutnya jika sepanjang masa dia hanya terbayangkan bayang arwah emaknya melayannya berbicara ketika di meja makan? Apalah yang mampu disuapkan ke dalam mulutnya jika dia asyik terfikirkan masakan emaknya? Dia rindu semua itu. Kerinduan itulah yang menyiksanya setiap saat!
“Laila, kami semua masih ada untuk Laila. Kami semua masih perlukan Laila. Jangan terus begini, dik.” Arman mencuba sekali lagi dengan sabar.
Memujuk orang yang sedang begini memang tidak akan semudah yang dibayangkannya. Itulah pesanan ayah mereka sebentar tadi. Dia harus bersabar dan tidak cepat berputus asa. Laila dilihatnya masih seperti tadi. Berdiam diri sambil memandang keluar tingkap tingkap seolah tidak mendengar apa yang diucapkannya.
“Laila, abang ada di sini kalau Laila nak berkongsi isi hati Laila. Jangan bersendiri begini. Iblis sangat suka dengan keadaan kita seperti ini. Inilah saat yang paling tepat untuk dia menyesatkan kita,” pujuk Arman lembut.
“Laila tak apa-apa. Abang jangan bimbang. Laila cuma nak bersendirian,” balas Laila agak mendatar sambil menoleh sedikit kepada abangnya itu. Seketika kemudian permandangan di luar tingkap kembali dipandangnya tanpa jemu. Seolah-olah batang tubuh arwah emaknya sedang dilihatnya di sana.
“Laila minta abang jangan bimbang? Macamana, Laila? Arwah mak jugak mak abang. Abang juga sedih sama macam Laila. Tapi sekarang abang rasakan abang bukan sekadar kehilangan mak tapi adik kesayangan abang juga turut hilang sama. Kalau Laila rasakan hanya Tuhan yang tahu perasaan Laila. Kalau Laila merasakan hanya orang yang pernah melalui pengalaman seperti Laila saja yang mengerti rasa yang terkurung dalam dada Laila. Begitu juga abang, Laila. Takde seorang pun yang akan faham perasaan seorang abang dan seorang ayah setelah melihat keadaan Laila begini,” luah Arman cukup sayu. Bergetar nadanya dek kerana dicengkam sebak mengenangkan dugaan yang mendatang.
Laila masih diam tidak menjawab. Bicara Arman didengarinya sekali lalu.
“Bukan ini yang arwah mak nakkan dari kita, Laila. Bukan ini yang arwah mak ajarkan kepada kita selama ini. Bersedih dan murung begini takkan menguntungkan apa-apa. Malah arwah mak kita takkan tenang di sana.” Arman menambah lagi bicaranya setelah melihat Laila terus membatu.
Kata-kata Arman itu membuatkan Laila kembali teresak. Arman lantas bangun dari duduknya. Perlahan dia memaut tubuh adiknya itu. Dibawanya Laila ke dalam dakapannya. “Adik abang kuat. Abang tahu Laila boleh jadi lebih tabah dari hari ini. Sebab tiada siapa yang akan menjanjikan dugaan hidup kita akan berhenti setakat ini. Mari makan ya? Kalau tak dapat banyak sikit pun jadilah. Biarkan kali ini ayah senang hati bila tengok Laila mahu makan. Laila tak kasihankan ayah? Ayah baru aja kehilangan teman hidupnya. Kita sebagai anak patut jadi peneman dia supaya dia tak terus bersedih. Kalau kita tak mampu menghilangkan kesedihan ayah pun tak mengapa asalkan kita tak membuat dia semakin sedih. Kasihan ayah, Laila. Ayah selalu menangis sendiri mengenangkan emak. Abang tak mahu ayah pula sakit selepas ni. Kita semua masih perlukan ayah. Kita semua mesti jadi penguat semangat ayah. Tanpa mak kehidupan ayah takkan mungkin akan seindah dulu. Takkan sama lagi seperti dulu. Ini semua tak mudah untuk ayah,” nasihat Arman lembut sambil mengusap kepala adiknya itu.
Tangisan Laila memudar akhirnya setelah mendengar kata-kata Arman. Sebahagian sudah berjaya memujuk kesedihannya. Setelah mengelap segala sisa air mata Laila segera keluar dari bilik itu beriringan dengan abangnya itu. Di luar dia bertembung dengan abang Idhannya. Lama lelaki itu memandang wajah sembab Laila sebelum dia memeluk Laila untuk menawarkan sedikit kesedihan Laila. Sekali lagi Laila menangis tetapi kali ini dalam pelukan abang sulungnya itu. Maryam isteri Idhan yang memandang babak sedih antara suami dan adik iparnya itu mula mendekati mereka berdua. Belakang Laila diusap lembut juga untuk menenangkan Laila.
“Laila, tangisan, air mata dan kemurungan kita semua takkan mampu membawa emak kemana-mana sebaliknya doa kita semua sebagai anak insya-Allah akan membantu dia ke syurga. Emak dah memberi kepada kita secukupnya sebelum dia pergi. Kita jangan cepat hilang arah. Sabar ya? Kalau Laila sayangkan mak, doakan dia. Itu lebih afdal daripada menangis dan termenung sepanjang hari,” pujuk Idhan pula.
Laila mengangguk perlahan. Akur dengan nasihat abangnya itu.
“Laila, mari makan ya? Kak Mar tahu Laila mesti lapar.” Maryam pula ikut mencuba nasib memujuk adik iparnya itu. Laila hanya diam sambil menyeka wajahnya yang kebasahan.
“Laila, kena kuatkan semangat. Lawan perasaan sedih tu. Kalau Laila menyiksa diri begini mak di sana takkan tenang. Kasihankan mak, Laila.” Tambah Maryam setelah ajakannya tadi tidak berjawab.

“Betul cakap Kak Mar tu. Pergilah makan. Abang tahu Laila dah beberapa hari tak makan. Tak baik begitu. Allah tak menduga kita supaya kita menyiksa diri kita dengan ini semua. Itu bukan tujuan-Nya dan Allah tidak akan membantu umat-Nya yang tak sayangkan diri sendiri.” Idhan ikut menyokong bicara isterinya.
“Maafkan Laila, bang. Laila dah menyusahkan semua orang terutama sekali ayah. Laila cuma rindukan mak,” ujar Laila seolah baru beroleh suaranya.
“Tak apa-apa. Takde apa yang nak dimaafkan. Abang faham keadaan Laila. Abang jugak seorang anak sama macam Laila. Kita sama-sama sedih dengan cubaan ni. Kita sama-sama rindukan mak. Sekarang ni kita kena fikirkan ayah. Ayah lebih sedih dari kita semua sebab mak tu teman hidup dia. Mak juga kekasih dia. Mungkin tanpa pengetahuan kita ada terpahat janji mereka untuk sehidup semati bersama tapi hakikatnya Allah menentukan takdir yang berbeza untuk emak dan ayah. Selama ini mak ada bersama ayah sewaktu kita semua sibuk dengan urusan hidup kita sendiri. Selepas ini ayah terpaksa meneruskan hidup sendiri selepas kita semua balik ke tempat kita semula. Kalau kita mampu berdiri teguh, meneruskan hidup dengan sabar itu dah cukup bagi ayah. Fahamkan apa yang abang maksudkan ni? Kekuatan kita adik beradik itulah kekuatan ayah. Kesabaran kita akan menjadi pendorong kepada ayah untuk teruskan hidup.” Idhan menambah sedikit lagi nasihatnya.
“Laila faham, bang.” Laila menjawab perlahan.
“Sekarang abang nak Laila pergi makan. Kak Mar akan temankan Laila.”
Laila berpandangan dengan kakak iparnya itu. Kelihatan sedikit senyuman terukir di bibir wanita itu bersama dengan anggukannya. Laila akhirnya berlalu ke dapur bersama Maryam. Di dapur Hamidah tersenyum kelegaan melihat Laila sudah mula meninggalkan tempat berkurungnya. Sedikit kerunsingannya beransur pergi. Lega hatinya melihat Laila sudah mula terpujuk sedikit.
“Ayah mana, kak Mar?” tanya Laila kepada kakak iparnya itu setelah dia menyedari tiada kelibat ayahnya di ruang dapur itu. Di ruang tamu itu juga tiada.
“Ayah ke masjid solat di sana. Tadi ayah ke kebun. Kak Mar tahu ayah sengaja sibukkan diri supaya dia tak terfikir sangat tentang ini semua,” jawab Maryam lembut sambil menghulurkan pinggan yang berisi nasi putih buat Laila.
“Kak Mar tak makan sekali? Midah kau tak mahu makan dengan aku?” ucap Laila kepada dua wanita di meja makan itu.
“Kami dah makan tadi dengan ayah. Laila makanlah. Laila aja yang belum makan.” Sekali lagi Maryam yang menjawab. Mendengar itu Laila akur. Terus dia mengambil tempat di satu kerusi. Di bawah tudung saji ada bermacam lauk pauk.
“Akak yang masak semua ni?” tanya Laila pada kakak iparnya itu.
“Tak. Lauk asam tempoyak ni makcik Jihah yang hantar tadi. Akak dengan Midah cuma masak ala kadar aja. Kami pun tak tahu nak masak apa.”
Laila segera mengangguk pada jawapan Maryam. Terasa bersalah pula kepada kakak iparnya itu kerana membiarkan segala urusan di dapur diuruskan oleh Maryam yang jarang berada di rumah ini. Sudah tentulah wanita itu kekok tidak tahu mahu buat apa. Setelah membaca doa makan dia segera menjamah nasinya sebelum mencedok kuah asam tempoyak ke dalam pinggan. Walaupun amat tidak berselera dipaksakan juga makanan itu masuk ke dalam perutnya.
Saat dia sedang mengisi perut di meja itu Idhan dan Arman ikut menyertai tiga wanita itu. “Abang ada satu perkara nak bincang dengan adik-adik abang. Abang harap kamu semua setuju.” Idhan meluahkan bicaranya lembut.
 Tiada jawapan yang kedengaran sebaliknya mereka hanya memandang Idhan. Menanti Idhan melengkapkan bicara.
“Abang tahu dalam tahun ni banyak perkara yang menyedihkan berlaku pada keluarga kita. Mula-mula Nahij meninggal sekarang mak pula menyusul. Tapi walau apapun yang dah berlaku kita semua kena berfikiran positif dalam hal-hal sebegini. Ini bukan petanda nasib kita malang atau sesuatu yang seperti itu. Kita kena selalu ingat Allah menguji sesuatu kaum kerana Dia mahu berada dekat dengan hamba-Nya. Begitulah keadaan kita hari ini. Jadi abang minta kita semua bersabar dan banyakkan istighfar. Jangan cepat hanyut dengan perasaan sedih kita. Mula-mula memang susah kita nak biasakan diri dengan keadaan baru kehilangan macam ni tapi sedikit masa lagi insya-Allah semuanya akan kembali tenang. Abang tahu adik-adik abang semuanya orang yang kuat. Jadi sekarang ni apa yang nak abang bincangkan adalah mengenai rancangan abang tentang arwah mak. Sebelum ni abang ada berhajat nak menghantar mak dan ayah ke Mekah untuk mengerjakan haji tapi sayangnya waktu tu abang masih tak cukup duit. Tapi walaupun mak dah takde dengan kita, abang tetap akan teruskan juga rancangan tu. Bezanya kali ni mungkin ayah saja yang sempat sampai ke sana. Bagi pihak arwah mak pulak abang nak upah orang untuk tunaikan haji untuk dia. Abang rasa dalam keadaan ayah yang masih bersedih begini memang sesuai sangatlah kalau kita hantar ayah ke Mekah. Siapa tahu dengan izin Allah bila ayah balik dari Mekah nanti ayah akan lebih kuat dan tenang. Abang harap sangat Allah akan makbulkan impian abang ni. Jadi abang minta sokongan kamu semua untuk abang suarakan hal ini pada ayah. Jadi apa pendapat kamu semua?” luah Idhan panjang lebar.
“Man setuju sangat, bang. Rasanya itulah sebaik-baiknya.” Arman pantas menyambut mendahului Laila.
“Laila?” soal Idhan kepada Laila pula.
“Laila ikut aja, bang.” Laila menjawab perlahan.
“Laila ada keinginan nak ke sana?” tanya Maryam kepada Laila.
Laila mengalihkan pandangannya kepada Maryam. “Maksud akak apa?”
“Kerjakan umrah mungkin. Kalau dapat kerjakan haji terus itu lebih baik. Tapi untuk mengerjakan haji banyak persediaan yang kita kena lakukan selain dan kita kena menunggu giliran yang diberikan oleh pihak Tabung Haji. Tetapi umrah kita boleh pergi bila-bila masa aja yang kita mahu. Laila, setiap kebaikkan yang kita mahukan dalam hidup ni kita kena meminta pada Allah. Di sana adalah tempat yang paling sesuai. Tapi jangan salah faham kata-kata Kak Mar ni. Bukanlah bermakna kalau kita berdoa dari sini doa kita tak termakbul. Itu semua urusan Allah tapi apa yang kak Mar maksudkan mungkin ada baiknya dalam tempoh yang terluang ni Laila cari ketenangan dengan cara yang paling Allah redhai. Minta ketenangan dan ketabahan tu di tempat yang paling dekat kita dengan Allah. Minta pertolongan Allah di tempat yang termakbul doa kita oleh Allah iaitu di hadapan Kaabah.”
Laila diam tidak menjawab kata-kata Maryam namun dalam pada itu kesemua bola mata sudah terhala kepadanya menantikan jawapannya. “Entahlah. Laila tak tahu nak kata apa,” itulah jawapan Laila akhirnya.
“Abang setuju dengan cadangan Kak mar tu. Banyak dugaan yang Laila lalui semenjak kebelakangan ni. Mungkin ada baiknya Laila buat umrah. Disamping dapat buat ibadah dapat juga Laila hiburkan hati Laila dengan melihat suasana baru. Duduk terperuk aja di rumah kadang-kadang buat kita makin runsing. Abang sendiri pun rasa begitu,” sambut Arman perlahan sambil meneliti reaksi adiknya itu.
“Apa-apa pun Laila kena tanya ayah dulu,” jawab Laila masih tetap perlahan seperti tadi. Bukannya tidak berminat dengan cadangan kakak iparnya itu tetapi sebagai wanita dia memerlukan keizinan dari mahramnya iaitu ayahnya sementelah kini dia tidak lagi mempunyai suami.
“Kalau Laila nak abang cakap dengan ayah bagi pihak Laila, abang takde masalah. Di sana nanti abang dengan kak Mar ada untuk temankan Laila. Kita buat umrah sama-sama. Nanti sampai giliran ayah, ayah pula akan ke sana untuk kerjakan haji. Kesempatan ni takkan ada selama-lamanya, Laila. Kontrak kerja abang dengan kak Mar akan tamat dua tahun lagi. Lepas tu kami akan balik ke sini semula. Sementara masih diberi peluang ni ada baiknya kita gunakan.” Idhan memujuk lembut adiknya itu.
“Aku rasa ada baiknya kau ikut cakap abang kau tu, Laila. Siapa tahu lepas kau balik umrah kau akan rasa tenang sikit. Lagipun sekarang kita masih dalam cuti semesta. Takde masalah kalau kau nak ke sana. Dapat tengok-tengok suasana luar siapa tahu itu boleh kurangkan sikit kesedihan kau tu,” tambah Hamidah pula.
Laila akhirnya mengangguk perlahan. Anggukan Laila itu disambut oleh senyuman gembira dan rasa syukur mereka yang berkumpul di meja itu.
Gelak tawa dua manusia itu membuatkan Zakuan menggeleng sendiri. Hairan melihat gelagat teman serumahnya itu. Semenjak kebelakangan ini dia melihat hubungan Mastura dan Lukman semakin rapat. Mereka sering dilihat bersama seolah pasangan kekasih. Malah Lukman seolah tidak ada segan silu lagi membawa Mastura melepak di rumah mereka. Tetapi yang peliknya Lukman masih juga berkepit dengan kawan-kawan perempuannya yang lain.
“Kau dengan Mas tu steady couple ke?” soal Zakuan suatu malam saat mereka berdua berada di rumah.
“Mastura tu?” Lukman terus ketawa seolah lucu benar dengan pertanyaan yang dilontarkan Zakuan.
“Kenapa kau gelak? Salah ke apa yang aku tanya ni?” Zakuan sempat merasa pelik melihat kelakuan Lukman dalam pada dia sibuk menghadap buku pelajarannya.
“Gilalah aku kalau aku ambil dia jadi girlfreind aku,” selamba sahaja jawapan Lukman. Dia dan Mastura sekadar kawan biasa.
“Itu aku percaya. Tapi yang kau kepit dia ke hulu ke hilir tu kenapa? Dah macam couple aja aku tengok.” Kali ini Zakuan menoleh lama kepada Lukman yang masih tidak beralih pandang dari kertas lakaran berwarna putih di atas meja belajarnya itu.
“Aku dengan dia kawan aja. Takde apa yang lebih dari itu,” ringkas sahaja jawapan Lukman. Rahsianya bersama Mastura terus dipertahankan. Zakuan tidak perlu tahu tentang itu dan dia tidak merasakan dia perlu membuka rahsianya bersama Mastura kepada orang.
“Baguslah kalau kau kata macam tu. Aku bukannya apa. Mastura tu ramai teman lelaki. Aku takut kau kena tipu dengan dia,” ujar Zakuan sambil kembali menumpukan perhatiannya kepada buku-bukunya. Entah kenapa dia merasa terpanggil benar untuk menasihati rakan serumahnya itu. Baik tentang Mastura mahupun sikap Lukman sendiri. Bisik-bisik serong rakan senegara mereka yang lain sudah acap kali didengarinya. Rasanya sudah sampai masanya dia menegur.
Lukman tersenyum sendiri mendengar bicara Zakuan itu. Baginya selagi Mastura memiliki ramai teman lelaki selagi itulah dia boleh mengambil kesempatan ke atas wanita itu tanpa perlu berfikir untuk bertanggungjawab. Itu sebab utamanya dia selalu bersama Mastura. Setahunya Mastura juga tidak pernah membataskan pergaulannya dengan lelaki lain selama mereka rapat berdua dan dia juga begitu. Masih bebas berkawan dengan mana-mana wanita yang dimahunya.
“Aku kawan dengan suka-suka aja. Sama macam girlfriend-girlfreind aku yang lain. Bukannya serius pun,” ucap Lukman tidak lama selepas itu. Tanpa merasa bersalah dia mengeluarkan bicara itu. Sedangkan dia tahu apa yang dilakukannya sudah cukup serius untuk hubungan tidak serius seperti yang didakwanya.
Zakuan menggeleng sedikit dengan ucapan Lukman. Dia masih ingat ada seorang gadis dari universiti Oxford yang merana membawa diri pulang ke London akibat kecewa dengan perbuatan Lukman. Sehingga kini gadis itu tidak pernah lagi datang mencari Lukman sedangkan selama ini mereka akrab bak belangkas. Perangai kaki perempuan Lukman masih tidak pernah berubah semenjak itu sehinggalah kini.
“Tak baik main-mainkan perasaan perempuan, Luk. Main-mainkan hati perempuan ni ibarat satu sumpahan dalam hidup lelaki kalau kau nak tahu. Sampai satu masa kau pulak yang akan kena semula,” ucap Zakuan lembut sekadar mahu menasihati.
“Alah! Aku bukannya ada buat apa-apa pun pada diorang. Sekadar kawan biasa aja. Tapi kalau diorang yang nak rasa lebih dari itu, manalah aku boleh kawal semua tu,” jawab Lukman masih bernada selamba. Nasihat Zakuan juga tidak langsung memberi apa-apa kesan kepada dirinya.
“Jadi selama kau berkawan dengan diorang semua tu, takde seorang pun yang kau anggap lebih dari seorang kawan? Mustahil!”
Lukman sekadar menggeleng tanpa memandang Zakuan. Kerjanya tetap diteruskan walaupun mereka berdua berbual dari meja masing-masing yang terletak sedikit jarak di ruang tamu itu.
Jawapan Lukman membuatkan Zakuan semakin berminat untuk menyelongkar isi hati temannya ini. “Jadi kalau semua perempuan yang kau kawan masih takde yang mampu menawan hati kau, perempuan macamana yang kau cari selama ini?” tanya Zakuan serius.
“Siapa kata aku berkawan dengan diorang untuk memenuhi pencarian aku kepada gadis idaman? Aku belum nak kahwin lagi, Zack. Jauh lagi impian aku untuk ke situ. Bila aku dah terfikir nak kahwin barulah aku serius mencari perempuan yang kena dengan citarasa aku. Buat masa ni aku sendiri pun tak tahu perempuan jenis apa yang aku suka. Aku lebih senang begini. Berkawan dengan sesiapa yang aku suka sebab aku tak bersedia untuk ada sebarang komitmen dengan seorang perempuan. Aku belum bersedia untuk hubungan yang lebih serius.” Lukman sempat ketawa kecil dalam pada dia menjawab pertanyaan serius Zakuan. Pandangannya dilontarkan sekilas kepada Zakuan di mejanya.
“Kalau dah tahu kau tak suka pada komitmen kau tak sepatutnya beri harapan palsu pada mereka semua, Luk. Tak baik kau buat macam ni. Ada antara diorang tu memang betul-betul suka dengan kau tapi kau hanya main-main. Setiap keburukan yang kita lakukan sesama manusia ni akan dibalas semula. Kau kena ingat tu,” ucap Zakuan lembut cuba menyedarkan Lukman dari sikap buruknya.
“Mana ada aku beri mereka harapan? Kau jangan nak mengarutlah, Zack. Aku cuma kawan dengan diorang tu semua. Salah ke?” tukas Lukman pantas sambil merenung Zakuan yang sedang memandangnya.
“Tapi cara kau layan mereka dah tak macam kawan aku tengok. Aku yang sekadar memandang aja boleh menganggap yang bukan-bukan inikan pulak diorang. Aku tahu bukan seorang dua yang kecewa dengan perbuatan kau ni!” balas Zakuan tidak berpuas hati. Mudah benar jawapan Lukman didengari oleh telinganya. Seolah tiada rasa bersalah melakukan semua itu.
“Aku tak suruh pun diorang jatuh hati pada aku. Kalau itu yang diorang rasa apa aku boleh buat? Bukannya aku boleh sekat perasaan diorang tu semua. Aku malaslah nak layan cinta-cinta ni semua. Bagi aku hubungan cinta ni ada banyak kongkongan sedangkan aku belum bersedia untuk ke arah itu. Kalau bercinta pun aku rasa boring kahwin lagilah teruk! Aku belum bersedia untuk mengorbankan kebebasan aku ni untuk seorang perempuan. Aku lebih suka macam ni,” jawab Lukman tanpa merasa bersalah biarpun apa yang dikatakan Zakuan itu benar belaka.
Zakuan terdiam seketika mengenang sesuatu. Apa yang selama ini sering dilihatnya dibandingkan pula dengan kata-kata Lukman sebentar tadi. Tidak suka pada hubungan yang lebih serius tetapi kebanyakan perempuan yang berkepit dengan Lukman dikelek, dipeluk, dicium dan dihadiahkan dengan macam-macam hadiah seolah-olah mereka ada hubungan yang serius. Jika itu bukan sesuatu yang serius jadi apa? Sekadar main-main? Sekadar kawan?
Zakuan menggeleng perlahan. Penjelasan Lukman itu dianggap bersifat mementingkan diri sendiri. Dia sedar Lukman memang memiliki paras yang cukup menarik. Mudah untuk dia memikat sesiapa yang dimahukannya. Tetapi sebagai manusia kadang-kadang dia merasa kasihan dengan gadis-gadis itu. Sebagai sahabat pula dia tidak mahu melihat Lukman riyak dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya sehinggakan kelebihan itu digunakan untuk menyakitkan hati orang lain.
“Kenapa kau menggeleng? Tak setuju dengan pendirian aku ni? Atau kau rasa aku ni lelaki yang teruk?” teka Lukman sambil tersenyum.
“Kalau aku kata aku tak setuju nak ke kau ubah pendirian tu?” ucap Zakuan pula sengaja mahu menduga temannya itu.
Lukman sekadar menjungkit bahu sebelum kembali memandang kertas lakaran bersaiz A1 di atas mejanya. Baginya apa sahaja anggapan Zakuan kepadanya dia tidak peduli. Tidak penting!
“Kau jangan lupa, Luk. Setiap keburukan yang kita lakukan atas dunia ni Allah akan balas. Kalau kita sakitkan hati orang Allah takkan ampunkan kita selagi kita tak mendapatkan keampunan dari orang yang kita sakiti. Aku hanya nak ingatkan kau. Berpada-padalah dalam berbuat sesuatu hal. Hidup atas dunia ada pemerhatinya. Jangan sampai bila Allah dah cabut nyawa kita barulah kita nak sedar sudahlah,” ucap Zakuan lembut.
Lukman menoleh seketika kepada Zakuan. Bicara temannya itu tidak dibalasnya. Nasihat seumpama itu sudah lama tidak menerobos corong telinganya ini. Tetapi dia sekadar berdiam. Tidak berani untuk membalas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.