“Aku terima nikahnya Siti
Laila Huda Binti Syaharudin dengan mas kahwinnya 500 ringgit, tunai!” Lancar
dan terang akad itu disambut sang lelaki. Dengan sokongan dari dua saksi yang
memerhatikan upacara itu akhirnya Laila kini telah pun bergelar seorang isteri
kepada lelaki itu.
Bahagia! Itu yang sedang
dirasai oleh hatinya saat dirinya dipeluk erat oleh emak mertua. Sayu! Itu pula
yang dirasainya apabila terpandangkan renungan sang emak yang merelakan dirinya
mencari kebahagiaan diri setelah bertahun dia hidup dibawah payungan kasih
sayang emak dan ayahnya. Terpisah sudah tanggungjawab ayahnya kepada dirinya.
Sebaliknya kini sudah berpindah kepada lelaki itu.
Betapa cintanya kepada
lelaki bernama Muhammad Nahij itu bagaikan tidak mampu disukat lagi saat
jarinya disarungkan cincin tanda sebagai pengikat kasih sayang antara mereka
berdua. Kasihnya bagaikan tidak terbendung kala tangan lelaki itu dikucup
sebagai permulaan dia menzahirkan ketaatan seorang isteri kepada seorang suami.
Sayangnya seolah tidak terucap saat matanya terpejam apabila dahinya dikucup
tanda kasih berpanjangan dari seorang suami. Indahnya saat itu tidak mampu
dibayangkan. Tidak pernah dibayangkan dalam usia semuda ini dia akan ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang amat dipujanya selama ini.Rasa syukurnya kepada
Yang Esa hanya mampu diluahkan oleh hujung lidahnya.
“Abang tak boleh lama di sini.
Abang cuti lima hari aja, sayang. Nanti waktu kenduri kita nanti baru abang
cuti lama sikit. Esok abang kena balik ke Miri semula.” Lelaki itu berkata
lembut kepada sang isteri ketika mereka berdua mahu berpisah malam itu.
“Takpelah, Laila faham.
Laila akan tunggu abang balik.”
“Jangan nakal-nakal waktu
abang takde nanti tau!”
“Mana ada Laila nakal!
Abang tu yang jangan nakal kat sana nanti. Dahlah kat sana takde siapa yang
boleh tengokkan abang. Laila kat sini lainlah! Ramai yang jaga,” tukas Laila
lantas mencubit manja lengan lelaki itu.
Nahij tertawa perlahan.
Namun tawanya memudar apabila terpandangkan emak mertuanya itu naik ke atas
rumah. “Mak..” sapa Nahij lembut.
“Kamu nak balik ke rumah
umi kamu ke, Nahij? Kenapa tak tidur di sini aja?” ucap sang emak apabila
terpandangkan menantu lelakinya itu seakan mahu pulang ke rumah emaknya.
“Bukan saya tak mahu
tidur sini, mak tapi umi minta saya balik ke rumah sana. Katanya tak manis
orang tengok sebab kami ni nikah gantung,” jawab Nahij sambil tersenyum nipis
kepada sang isteri.
“Apa pulak tak manisnya?
Nikah gantung tu cuma istilah kita aja. Ikut hukum kamu berdua memang dah halal
walaupun belum nak pelamin. Takde salahnya kamu nak tidur sini,” ucap Makcik Halimah lembut.
Nahij tersenyum sambil
merenung seketika raut sang isteri. Dia tahu ada sebab mengapa Laila meminta
dia tidur di rumah sana. Bukan kerana tidak manis orang melihat tetapi
isterinya sedang berada dalam keadaan uzur. Laila tidak mahu dia kecewa nanti
jika apa yang diharapkan tidak mampu dikecapi.
“Takpelah, mak. Nahij ada
berbincang dengan Laila pasal ini. Kami sama-sama setuju untuk menanti sampai
masa yang sesuai. Saya mahu Laila gunakan masa ni untuk bersedia secukupnya
untuk menjalankan tanggungjawab dia pada saya nanti. Saya pun tak mahu
terburu-buru,” ucap Nahij lembut tanpa mahu mengecilkan hati emak mertuanya
itu.
“Yalah. Kalau itu dah
kata kamu berdua mak tak mahu paksa. Asalkan jangan kamu pakai hukum yang takde
digariskan dalam agama aja sudah. Cakap orang kampung ni bukannya boleh pakai
sangat! Kita pakai hukum Allah. Itu yang betul!” ujar Makcik Halimah akur dengan keputusan anak dan menantunya
itu.
“Mak, Laila uzur
sekarang. Biarlah abang Nahij tidur sana,” ucap Laila pula dengan selambanya.
“Aik? Sebabkan tengah
uzur Laila sampai hati suruh suami pergi tidur tempat lain. Kalau macam tu
nampaknya kenalah kamu selalu tidur di hotel lepas ni, Nahij. Asalkan dia
datang bulan aja kamu kena tidur di tempat lain!” perli makcik Halimah dalam pada dia menggeleng melihat anak
bongsunya itu. Nahij sempat ketawa memandang raut isterinya yang sudah berubah.
“Mak ni ke situlah pulak
perginya! Laila segan! Tak biasa abang Nahij ada kat sini. Laila perlukan masa,
mak.” Sempat lagi Laila menjawab kepada emaknya itu.
“Suka hati kamulah,
Laila. Asalkan suami kamu reda mak tak boleh nak kata apa. Terpulang pada kamu
berdua. Hmm.. sebelum balik jumpa ayah dulu, Nahij. Terkejut pulak dia nanti
tengok kamu takde di sini,” ucap makcik Halimah
sebelum meneruskan langkah untuk ke biliknya.
“Mak tu jangan lupa makan
ubat. Mak tak boleh penat sangat. Dapur tu nanti biar Laila yang kemas,” sempat
Laila berpesan kepada emaknya yang sudah menuju ke bilik. Wanita tua itu
sekadar tersenyum tanda akur kepada pesanan anaknya itu.
Nahij kembali memandang
isterinya itu setelah mereka ditinggalkan berdua. Jemari sang isteri diraihnya
lalu digenggam erat. “Terima kasih sebab Laila sudi jadi suri hidup abang.
Insya-Allah selagi hayat abang dikandung badan abang takkan pernah sia-siakan
Laila.”
Laila tersenyum salam
keharuan. Tanpa kata tubuhnya terus dihumbankan ke dalam pelukan lelaki itu.
Nahij tertawa perlahan melihat kemanjaan isterinya. Namun tawanya
perlahan-lahan usai apabila menyedari tubuh yang sedang berada dalam dakapannya
ini milik wanita yang paling didambakannya selama ini. Seolah mimpi sahaja
semua ini. Inilah pertama kali tubuh ini dapat didakapnya. Cukuplah untuk
pelepas rindu sehingga kepada pertemuannya selepas ini. Perlahan rambut sang
isteri diciumnya. Keharuman rambut wanita itu membuatkan dia terpesona
seketika. Seperti dirinya telah terbang ke awan biru.
‘Ya Tuhan, syukur aku
kepada Mu kerana Engkau telah memberikan aku peluang untuk menikmati
kebahagiaan ini. Inilah anugerah Mu yang tidak pernah aku bayangkan
kenikmatannya. Terima kasih, Ya Allah..’ hati Nahij berbisik sendiri. Matanya
terpejam seolah terlena dengan keindahan kasih sayang mereka berdua.
Seketika kemudian Laila
mendongak memandang wajah lelaki pujaannya. Lunak pandangannya beradu dengan
sang kekasih. “Laila janji Laila akan setia pada abang. Sebab hati Laila
semenjak awal lagi adalah milik abang. Sama seperti yang abang janjikan Laila
hanya nak bahagiakan abang seumur hidup ni,” ucap Laila.
“Laila adalah cinta
pertama dan terakhir bagi abang. Abang bersyukur kerana selama ini apa yang
abang harapkan akhirnya Allah dah berikan kepada abang. Insya-Allah, kebahagiaan
yang kita harapkan akhirnya akan dapat kita kecapi, sayang. Abang harap Laila
boleh bersabar seketika kalau kita terpaksa berjauhan. Abang akan usahakan
untuk bertukar ke semenanjung secepat yang mungkin.”
“Takpelah. Laila dah lama
terima hakikat yang Laila akan berjauhan dari abang buat sementara waktu ini.
Abang jangan risaukan Laila. Laila cuma nak abang kerja baik-baik dan jangan
lupa call Laila selalu. Laila sentiasa doakan supaya Allah lindungi lelaki yang
Laila sayang ni. Laila nak abang hati-hati waktu berkerja nanti. Laila nak
abang balik ke sini semula dengan selamat untuk Laila,” balas Laila lirih. Sayu
hatinya dengan perpisahan sementara ini namun dia harus meredakannya.
“Insya-Allah abang akan
balik nanti, sayang.”
Itu semua kenangan dulu..
‘Insya-Allah abang akan
balik nanti, sayang.’ Janji itu sudah dikotakan. Namun dalam keadaan yang
berbeza. Allah menentukan itulah kepulangan abadi sang lelaki kepada Sang
Pencipta.
Laila termenung lama di jendela tingkap
biliknya. Jauh matanya memandang sebegitu jugalah fikirannya terbang jauh
mengingati lelaki seorang itu. Rindunya tidak terucap lagi. Luluh hatinya tidak
terkata saat kenangan itu bermain di fikirannya. Kenangan-kenangan lalu
bersilih ganti membuatkan dia akur betapa sukarnya untuk dia mengajar hatinya
agar menerima suratan ini. Dia terlalu rindukan Arwah Nahij. Kenangan lama itu
tanpa dapat ditahan terus tersingkap satu persatu membuatkan hatinya semakin
berkecai seribu akibat kehilangan Nahij. Dia ingin pasrah demi merawat jiwanya
tetapi sukar. Bayangan Nahij terus menghantuinya. Hatinya sering menangis
sendirian setiap kali dia berusaha untuk menggenggam hakikat yang Nahij sudah
tiada lagi. Tidak akan pernah ditemuinya lagi.
Muhammad Nahij adalah cinta pertamanya semenjak dia
ditingkatan empat. Dia sememangnya memendam rasa kepada Nahij semenjak dizaman
sekolah. Mereka sekampung dan pernah bersekolah di sekolah yang sama. Semenjak
dahulu dia memang suka memandang Nahij yang tua empat tahun daripadanya. Tetapi
setelah Nahij memasuki akedemi tentera mereka terpisah seketika sehinggalah dia
tamat SPM. Pertemuan semula dengan Nahij setelah masing-masing dewasa telah
membuahkan ikatan yang lebih kukuh setelah masing-masing juga mengakui perasaan
yang ada.
Tetapi takdir yang tertulis menyebabkan impiannya
untuk hidup bersama Nahij berkecai seribu. Kini Nahij sudah tiada. Belum pun
sempat mereka merasa naik pelamin seperti pasangan lain, Nahij sudah tiada. Belum
pun sempat mereka membina impian bersama kini semuanya sudah musnah. Laila
nanar ditinggalkan sendiri.
“Laila..” Suara garau ayah Laila membuatkan lamunan
Laila pecah berterbangan.
“Ya, ayah.” Panggilan sang ayah dijawab lirih.
“Laila buat apa tu?” Pakcik Syahar terus masuk ke
bilik anak perempuannya itu. Laila yang sedang berdiri kaku di tingkap yang
terbuka luas itu didekatinya.
“Laila cuma tengok kat luar aja, ayah.” Perlahan
sahaja jawapan Laila.
“Jangan dikenangkan sangat apa yang dah berlaku.
Sedih memang sedih tapi perasaan tu kita kena lawan. Ayah tak mahu Laila
ikutkan sangat perasaan tu. Ayah bimbang Laila akan jatuh sakit nanti. Sabar
ya?” pujuk Pakcik Syahar lembut kepada satu-satu anak perempuannya itu.
“Laila tahu, ayah.” Pahit sekali jawapan Laila.
Sabar? Bagaimana untuk bersabar?
“Malam ni Laila tak mahu ke rumah umi? Malam ni
malam terakhir tahlil arwah. Nanti apa pula kata umi kalau Laila tak ke sana.
Sekalipun Laila tak pernah ke sana semenjak mereka buat tahlil.” Pakcik Syahar
berkata lembut sambil merenung tampang sayu anak perempuannya itu. Dia mengerti
apa yang sedang menghuni perasaan itu tetapi dengan menyembunyikan diri seperti
ini segalanya tidak akan pulih. Malah akan semakin sakit. Kemurungan Laila kian
hari membuatkan dia semakin bimbang.
Laila diam seketika. Bukannya dia mahu meminggirkan
umi dan babah. Tetapi dia sememangnya tidak kuat untuk melihat semua itu. Di
dalam rumah umi penuh dengan gambar Arwah Nahij. Penuh dengan segala kenangan
tentang lelaki itu. Dia tidak sanggup untuk melihatnya lagi. Dia akan semakin
tertekan.
“Jodoh dan pertemuan semuanya kerja Allah, Laila.
Tabahlah dengan apa yang Allah dah tentukan untuk kita. Sakit ni masa yang akan
menjadi ubatnya. Suatu hari nanti hati kita akan faham dan menerima semua ini.
Datang ya? Jangan kecilkan hati umi dengan babah. Laila hilang suami tapi
mereka hilang anak. Perasaan mereka lebih parah kerana itulah satu-satunya anak
mereka. Takkan ada gantinya lagi. Sekali ini cubalah gembirakan hati mereka
pulak,” pujuk Pakcik Syahar selembut yang boleh.
Setelah lama berdiam Laila akhirnya mengangguk
perlahan. Malam ini adalah malam terakhir tahlil jadi biarlah dia ke sana.
Sekali ini sahaja apa salahnya jika dia bertahan. Kalau dia berduka emak
mertuanya pasti lebih dari itu.
“Laila dah solat asar ke?” soal Pakcik Syahar lagi.
“Sekejap lagi, ayah.”
“Jangan tangguhkan solat. Dalam keadaan begini
kepada Allah kita meminta. Hanya Dia yang tahu bagaimana untuk mengubati hati
kita. Lekaskan solat tu. Ayah nak turun bawah sekejap. Lepas solat nanti turun
makan. Dari semalam lagi Laila tak makan. Tak baik macam tu. Itu namanya
menyiksa diri. Allah tak menguji kita supaya kita jadi begini. Ujian Allah
bersifat mendidik, Laila. Mendidik kita agar sabar dengan kesusahan hidup,”
nasihat pakcik Syahar lembut.
Laila lantas mengangguk. Dia tahu kewajipannya saat
itu. Dia tidak seharusnya melewa-lewakan solat yang selalu menjadi
keutamaannya. Dia sedar selain dari mengubat jiwanya inilah saatnya dia
mendoakan kesejahteraan arwah Nahij di alam sana. Inilah saatnya!
Selepas solat Laila bermunajat lama di atas
sejadah. Kepada Sang Pencipta dia meminta supaya roh suaminya ditempatkan di
kalangan yang syahid. Semoga dosa suaminya diampunkan Allah. Kepada Allah juga
dia meminta sedikit ketabahan agar mampu meneruskan hidup dengan kekuatan jiwa
yang utuh. Dia tahu, sedih sebagaimana sekalipun hidup harus diteruskan. Bukan
juga dekat perjalanannya nanti. Dia masih perlu meneruskan pengajian dan
seterusnya mencari arah hidupnya nanti. Inilah harapan Nahij kepadanya. Ini
juga untuk masa depannya setelah dia kehilangan suami untuk bergantung hidup.
Laila sedar dia harus akur dengan tuntutan yang ada biarpun apa yang telah
terjadi. Kerana diantara kesemua makhluk di atas dunia ini dia bukanlah sesiapa
melainkan hamba kepada Yang Esa yang amat berkuasa.
Buat kesekian kalinya air mata Laila mengalir di
pipi. Kesayuannya tidak dapat dibendung
lagi. Ya Tuhan.. tawarkanlah kesedihan ku ini. Berilah aku kekuatan untuk
meredai Mu. Berilah aku kudrat untuk menerima ketentuan yang Engkau berikan
kepada ku. Aku tunduk pada kuasa Mu, Ya Lathif...
Ya Allah Ya Tuhan ku
Ku sujud pada kudrat Mu
Ku serahkan jiwa raga ku
Pada takdir iradat Mu
Pimpinlah daku dalam reda Mu
Kasihi daku dalam rahmat Mu
Ya Allah Ya Tuhan ku..
Air mata Laila kian murah bagaikan air hujan
menuruni pipi mulusnya. Kepada Tuhan yang satu dia memohon kekuatan diri agar
kehilangan yang dirasakan saat ini dapat digantikan dengan kesabaran agar
kesepian tidak terus menghukum dirinya. Sesungguhnya dia mahukan kekuatan untuk
meneruskan hidup. Dia ingin terus hidup namun.. tanpa Nahijnya. Entahlah.. dia
tidak tahu!
Arman memandang adiknya yang masih diulit
kemurungan sendirian. Setelah seminggu berlalu hari ini dia melihat sekali lagi
Laila ke kuburan itu. Sengaja dia mengikutnya senyap-senyap kerana dia bimbang
dengan kemurungan Laila yang semakin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini.
Selalunya adiknya itu suka tersenyum dan meleterkannya jika tidak membasuh
pinggan selepas makan tetapi Laila yang ada di hadapan mereka ini bagaikan
sudah pergi jauh mendapatkan kekasih hatinya.
Arman sedar, pegawai tentera udara seperti dirinya
dan Nahij memang selalu berhadapan dengan risiko nyawa. Tetapi sebenarnya mati
itu berada di mana-mana sahaja. Seluruh umat manusia juga akan mati. Bukan
hanya pegawai tentera sahaja yang akan mati. Tetapi takdir yang tertulis
mengatakan inilah masanya buat Nahij.
Lama Arman memandang Laila yang bertapa di kuburan
Nahij. Setelah habis membacakan surah Yassin Laila mengusap pula nisan yang
kaku itu. Arman tahu Laila masih belum boleh menerima hakikat tentang hidupnya
kini.
“Laila...” panggil Arman setelah mendekati adiknya
itu.
“Abang Man? Buat apa kat sini?” soal Laila kepada
abang keduanya itu. Dia dan Arman cuma tiga beradik. Abang mereka yang sulung
kini bertugas sebagai seorang pegawai pengurusan jemaah yang mengerjakan umrah
dan haji di bawah pengurusan Tabung Haji. Abang sulung mereka Shahrul Idhan memang
jarang balik ke kampung semenjak mula ditugaskan jauh di tanah suci Makkah itu.
Tanpa Idhan tinggal mereka dua beradik di sini.
“Abang cari Laila. Abang dah agak mesti Laila kat
sini,” balas Arman sambil duduk bersebelahan dengan Laila. Dia memandang pusara
itu seketika. Sayu juga hatinya kerana hilang adik ipar dan rakan sekampung
yang akrab.
“Laila okay?” tanya Arman perlahan sambil memandang
adiknya itu dari sisi.
“Macam yang abang nampak ni. Begitulah Laila.”
Hambar sekali nada Laila.
“Tak sangka cepat betul masa berlalu. Dulu dia
dengan kita sekarang Allah dah ambil dia. Inilah satu kejutan yang paling abang
tak sangka selama ini,” ujar Arman perlahan sahaja. Sememangnya dia juga ikut
merasa teruji dengan keputusan takdir yang tidak dijangka seperti ini.
Laila hanya diam menelan segala kebenaran kata-kata
Arman itu. Lidahnya kelu dalam menahan kepiluan yang terkurung di dadanya.
“Abang tahu Laila sedih. Tapi Laila jangan lupa di
sekeliling Laila ada orang yang sayangkan Laila. Kami semua bimbang tengok
Laila macam ni.” Arman menyambung katanya. Cuba menasihati satu-satunya adik
perempuan yang dimilikinya.
“Laila tahu, bang. Laila cuma perlukan sedikit masa
untuk menerima hakikat ni. Itu saja. Abang, mak dengan ayah janganlah bimbang.
Laila takkan buat sesuatu yang tak elok pada diri Laila kerana kecewa. Laila
tak senekad itu.” Laila membalas pahit dalam menahan getaran sebak yang begitu
kejam menghujam dadanya.
Arman menghela nafas perlahan. Dahulu dialah yang
membantu arwah Nahij untuk mendapat tempat Maktab Tentera Udara. Ketika itu dia
masih baru mula bertugas di dalam tentera. Tetapi kerana berkongsi cita-cita
yang sama dia dengan rela hati membuat surat sokongan kepada pihak atasannya
agar Nahij diterima masuk ke Maktab Tentera Udara. Tetapi setelah tamat
pengajian di kolej tentera Nahij memulakan tugas sebagai juruterbang manakala
dia pula di Unit komando Udara. Dia di Banting dan Nahij di Sarawak.
Sewaktu dia menerima berita kemalangan yang menimpa
pesawat yang dikendalikan Nahij dia seakan tidak jejak di bumi. Dia juga
terkejut dan sedih kerana Nahij pergi begitu cepat. Namun dia reda pemergian
Nahij memang sudah ditakdirkan berlaku pada waktu ini dan dalam keadaan seperti
ini. Sememangnya sebagai juruterbang mereka sentiasa terdedah kepada risiko
seperti yang dialami oleh arwah Nahij. Cumanya Arman sebenarnya tidak menyangka
kebimbangan Nahij tentang risiko kerjanya akhirnya menjadi nyata.
Nahij sebelum ini pernah mengutarakan
kebimbangannya kerana pesawat yang dikendalikan sudah berusia agak tua. Malahan
sebelum ini sudah banyak kali nahas seperti itu berlaku dek kerana keupayaan
pesawat itu yang sudah ketinggalan zaman itu agak terbatas. Nahij pernah
menceritakan kepadanya tentang hasratnya untuk memohon kepada pihak atasan bagi
menjalani latihan mengendalikan pesawat jenis lain setelah tamat kontraknya
nanti.
Tetapi sayang, belum sempat semua itu berlaku
takdir Allah sudah mendahului. Inilah suratan-Nya. Nahij sudah tiada lagi.
Sewaktu diberitahu pesawat malang itu hilang dan dipercayai terhempas Arman
sudah menjangka dan mempersiapkan dirinya untuk menerima takdir Allah. Malahan
dia juga salah seorang dari ratusan anggota yang diterbangkan serta merta ke
Sarawak untuk melakukan misi mencari dan menyelamat selama hampir sembilan hari
itu. Dia yang menemani jenazah adik iparnya saat diterbangkan dari lokasi mayat
dijumpai ke Hospital Besar Miri. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu rentak
perasaannya kala itu. Namun bagi Arman hanya itu bakti yang mampu dicurahkan
buat kali terakhir untuk Nahij. Dia harus kuat untuk menyokong adiknya yang
sudah pasti lebih sukar menerima berita ini.
Arman sedar ini sudah merupakan saat yang paling
menduka citakan Laila. Sudahlah emak mereka sedang menderita sakit lemah
jantung kini suaminya pula meninggal dunia tiba-tiba.
“Abang mahu Laila tabah. Memang mudah bila abang
bercakap begini tetapi apalah daya kita untuk menolak kuasa Allah.” Arman
menyambung bicara lagi setelah imbasan kisah Nahij berlalu dari fikirannya.
“Laila tahu Laila takde pilihan lain, bang. Kalau
Laila meratap menangis macam orang gila pun Abang Nahij takkan balik semula
kepada Laila. Tapi untuk redha begitu sahaja susah, bang. Laila hanya manusia
biasa.” Laila membalas sayu kepada sang lelaki yang lebih tua hampir lapan
tahun daripadanya itu.
“Abang tahu memang susah, dik. Tapi patah tumbuh
hilang berganti. Insya-Allah suatu hari nanti Laila akan menemui gantinya.
Walaupun takkan sama dengan yang ini tapi itulah jodoh Laila sebenarnya. Jangan
berputus asa dengan rahmat Allah. Takde ujian yang Allah turunkan bersifat
kejam untuk menyiksa kita, Laila. Semua yang Allah beri adalah kerana Allah
sayangkan kita dan Allah ambil dia dari kita kerana Allah lebih sayangkan dia.”
Arman berkata sambil memaut bahu adik bongsunya itu erat.
Laila hanya diam. Namun saat berada dalam pautan
tubuh sang abang dia sebak. Air matanya mengalir perlahan. Di dalam diam
hatinya berbisik, ‘Pergilah wahai suami. Aku redakan. Tetapi sebelum pergi
kembalikan semula hati ku. Kerana aku memerlukannya untuk meneruskan hidup ku
yang entah bila sampai kepenghujungnya. Janganlah hendaknya aku merana kerana cinta
yang tak kesampaian. Damailah hendaknya engkau di sana, sayang ku. Tetapi pulangkan
semula hati ku..’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.