Rabu, 17 April 2013

Bab 11- Mahligai Seribu Mimpi


“Abang ada kat depan pejabat Laila ni. Turunlah! Abang nak jumpa Laila.” Suara Arman menyapa lembut pendengaran Laila melalui corong telefon.
Serta merta ceria hati Laila mendengar itu. “Okay. Laila turun sekarang..”
Arman datang pada saat yang dirasakan Laila amat tepat. Dia memang berniat mahu menghubungi Arman malam ini tetapi nampaknya abangnya terlebih dahulu mendengar seruan hatinya.
Tanpa berlengah lagi Laila terus mengemas mejanya. Selesai itu dia mencapai beg tangannya bersama beg komputer riba untuk pulang. Namun ketika di hadapan pintu biliknya dia bertembung dengan Nazim yang juga mahu pulang. Laila cuba buat tidak nampak namun Nazim terus mengekorinya ke lif. Mereka berdua berhenti di belakang puluhan kakitangan lain yang juga sedang menunggu lif di situ.
“Dah nak balik?” tanya Nazim lembut. Masih tidak serik mendekati Laila biarpun sudah diberi amaran oleh Tuan Haji Hamidon. Peristiwa beberapa hari lalu tidak lekat lagi dalam fikirannya.
Laila tergelak seketika. Soalan yang dianggap agak tidak berilmu. Kot ya nak mengayat sekalipun tanyalah soalan yang tidak membosankan orang yang mahu menjawabnya! Itu kata hati Laila.
Soalan itu berlalu tanpa jawapan. Wajah Nazim di tepinya tidak dipandang sama sekali. Dia benar-benar benci!
 “Selalunya awak balik lambat. Hari ni balik awal pulak. Kerja dah habis ke?” sekali lagi Nazim mencuba nasib untuk memancing perhatian Laila kepadanya. Disabarkan dirinya yang mula tercabar dengan kesombongan Laila kepadanya.
“Sebab dah habislah balik awal,” jawab Laila sengaja meleretkan nadanya.
“Oh! Biar saya hantar awak balik? Saya ada kereta,” ucap Nazim lembut.
Laila menoleh memandang Nazim. Sebuah senyuman sinis dilemparkan kepada lelaki itu. Berbulu telinganya mendengar nada bongkak Nazim itu. Seolah sengaja mahu menunjuk keretanya yang lebih mahal harganya dari kakitangan lain. Macamlah dia seorang mampu memiliki Perdana V6 itu.
“Takpelah. saya tak mahu susahkan, Encik Nazim. Buat masa ni saya takde masalah transport untuk balik ke rumah,” balas Laila bersahaja.
Malas mahu melayan bicara Nazim lagi dia segera memberikan tumpuan kepada lif di hadapannya yang mula terbuka. Tanpa menunggu dia ikut berasak-asak bersama pekerja lain dan Nazim sendiri. Malang pula nasibnya apabila lif sudah dipenuhi dia terpaksa berhimpit dengan Nazim di bahagian paling hadapan.
Laila cuba untuk tidak mengendahkan lelaki itu namun dadanya berdebar apabila melihat renungan Nazim yang tidak berkalih saat tubuh mereka bersentuhan. Laila cuba mengeraskan dirinya namun Nazim pula semakin berani menyentuh jari kelingking Laila yang terjuntai.
Laila tersentak. Matanya membulat memandang Nazim yang selamba. Terus dia mengalihkan tangannya ke atas dengan memegang tali beg tangan yang tersangkut di bahunya. Sengaja dia mendegus keras menunjukkan kebenciannya. Biar Nazim tahu betapa bencinya dia saat itu.
Melihat reaksi negatif Laila dan mengenangkan ramai orang di dalam kotak lif itu Nazim tidak meneruskan tabiatnya. Sewaktu pintu lif terbuka Laila menjadi orang pertama yang keluar. Nazim yang masih tidak berpuas hati membuntuti Laila sehingga ke pintu utama bangunan itu. Kebetulan pula hari ini dia memakirkan kereta di petak letak kereta yang terdapat di hadapan bangunan itu.
“Marilah saya hantarkan Laila. Kasihan awak selalu naik bas,” pujuk Nazim ketika di mereka menghampiri pintu utama di lobi bangunan itu.
“Tak payahlah. Encik Nazim balik ajalah. Saya tahu nak balik macamana,” degus Laila tidak senang. Langkah kakinya semakin dilajukan untuk bertemu Arman sekaligus mahu melepaskan diri dari lelaki itu.
“Sekali sekala apa salahnya, Laila. Jomlah! Kereta saya ada kat depan tu aja.” Tanpa berputus asa Nazim memujuk lagi.
“Saya kata saya tak mahu, saya tak mahulah! Jangan ikut saya boleh tak? Rimaslah! Tak faham bahasa agaknya!” bentak Laila mula hilang sabar kepada lelaki itu.
Tetapi tanpa diduga Nazim merenggut pergelangan tangan Laila agar dia dapat terus bercakap dengan Laila memandangkan mereka sudah melepasi gerbang pintu utama itu.
“Apa ni, Encik Nazim?” jerkah Laila sedikit keras. Tangannya direntap keras agar terlepas dari pautan lelaki itu. Biadap sungguh lelaki ini!
“Kenapa awak ni sombong sangat dengan saya? Saya cuma nak tolong hantarkan awak, tak boleh ke?” balas Nazim juga mulai hilang sabar. Penolakan Laila sudah membuatkan dia merasa begitu tercabar. Entah apa lagi yang harus dilakukannya untuk memujuk Laila. Susah benar!
“Ada masalah ke?” Satu suara asing yang menyampuk perbualan mereka itu membuatkan Nazim dan Laila menoleh serentak.
Arman sedang mendekati mereka. Dia memandang Nazim tajam. Laila terpaku melihat derap langkah abangnya itu semakin mendekati dia dan Nazim. Tidak sangka abangnya memakirkan kereta di hadapan lobi itu sedangkan itu adalah kawasan larangan memakir. Sudah tentulah Arman melihat apa yang dilakukan Nazim tadi memandangkan dia berdiri hanya beberapa ela dari tempat abangnya menanti.
“Kau siapa dengan dia?” tanya Nazim sedikit kasar.
“Apa kau tanya?” Arman sengaja buat tidak dengar. Didekatkan telinganya ke arah Nazim tanda mahu mendengar lagi soalan cepumas itu!
“Aku tanya kau siapa dengan dia? Jangan nak menyibuk hal orang! Aku bercakap dengan dia bukan dengan kau!” balas Nazim semakin geram. Gangguan ini datang pada saat yang paling tidak disukainya. Sudahlah tidak mudah berurusan dengan Laila di luar pejabat. Kini ada pula hero yang mahu datang menunjuk kejantanan!
Laila terkedu. Sempat dia menekup mulutnya kerana tidak sangka Nazim berani sekali bercakap begitu dengan abangnya yang panas baran ini! Jika dia meneruskan perbalahan ini alamat malam ini Nazim bakal bermalam di wadlah nampaknya.
“Kau siapa nak bercakap dengan dia, orang tua? Dia bukan bini bukan kekasih kaukan? Jadi kau tak payah nak sibuk bertanya siapa dia dengan aku. Jaga urusan sendiri kalau masih nak makan pakai gigi kau tu!” balas Arman berbaur ugutan. Kepalan penumbuknya diangkat ke muka Nazim.
Nazim tersirap melihat rupa buku lima yang ditunjukkan oleh lelaki asing ini. Namun melihat pakaian yang dipakai oleh Arman dia tidak berani mahu memanjangkan hal itu. Silap-silap mahu ke balai dia dibuatnya kerana mencari gaduh dengan pegawai tentera.
“Kau ganggu dia lagi, sama ada kau duduk wad atau duduk lokap! Pilih mana kau nak!” tambah Arman tajam.
Nazim meneguk liurnya kalut. Tanpa kata Nazim segera berlalu meninggalkan Laila dan Arman disitu. Dua-dua pilihan yang diberikan Arman ternyata tidak menggembirakannya. Lebih baik dia pergi sebelum salah satu pilihan itu menjadi mimpi ngeri dalam hidupnya.
“Siapa tu?” tanya Arman sambil terus memandang Nazim yang terkocoh-kocoh pergi.
“Nama dia Nazim. Salah satu pengurus kat tempat kerja Laila. Dia tu memang macam tu..” Laila menjawab biasa. Dia tidak berniat untuk bercerita lebih tentang lelaki itu. Bukannya dia tidak tahu perangai panas baran Arman. Kalau Arman tahu tentang apa yang cuba dilakukan Nazim kepadanya sebelum ini alamat lagi panjanglah cerita.
Dalam pada itu Laila kelegaan melihat Nazim pergi. Tahu takut lelaki itu rupanya!
“Dah tua ada hati nak menggatal dengan perempuan muda! Tak sedar diri betul!” cemuh Arman sambil mengambil beg dari tangan Laila. “Jom!” ajaknya segera.
Laila akur. Dia terus membuntuti Arman ke kereta. Bersama Arman saat ini dia merasakan keselamatannya kembali terjamin. Namun dia sedar esok mahu belum tahu. Dia masih perlu menghadap Nazim lagi.
“Kita nak kemana?” soal Arman sebaik sahaja dia menghidupkan enjin keretanya.
“Ikut abanglah. Laila tak kisah..”
“Kita berhenti sekejap. Abang nak solat asar dulu. Lepas tu kita pergi makan sebelum abang hantar Laila balik,” ujar Arman lembut.
Laila sekadar mengangguk. Dia tahu abangnya datang dari Banting sekadar mahu meluangkan sedikit masa dan bertanya khabar tentangnya. Begitulah selalunya mereka. Ada masa mereka sering bertemu.
Mereka berhenti seketika di sebuah stesen minyak untuk Arman menumpang solat di surau yang disediakan di situ. Laila sekadar menanti di dalam kereta memandangkan dia sudah bersolat di pejabat tadi. Saat bersendirian di dalam kereta entah kenapa wajah Nazim kembali terimbas difikirannya. Tingkah laku lelaki itu selama ini bermain-main di benaknya. Sedikit sebanyak hati Laila kembali dipaut kebimbangan dengan keselamatannya di pejabat. Dia tahu tidak selamanya dia mampu mengelak dari lelaki itu. Laila tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk melepaskan diri memandangkan dia masih perlu meneruskan kerjanya di pejabat itu sehinggalah tempoh notisnya selesai.
Kenapa lelaki macam dia wujud dalam dunia ni? Apa yang dicarinya dalam diri seorang perempuan? Laila bertanya sendiri. Kadang kala dia hairan dengan sikap Nazim. Sudah beristeri tetapi seperti tidak pernah puas dengan apa yang ada. Nafsu jenis apa macam tu? Nafsu gajah agaknya! Bisik hati Laila lagi.
Khayalan Laila terputus dengan bunyi pintu di sebelahnya dibuka. Arman terus masuk ke dalam kereta itu. Laila sempat memandang abangnya. Arman ikut memandang adiknya itu. Mereka akhirnya berbalas senyum.
“Laila lapar tak?” tanya Arman lembut.
“Abang nak bawak Laila pergi makan mestilah Laila lapar. Takkan Laila nak tolak rezeki pulak,” jawab Laila bersahaja. Dia sudah arif benar. Setiap kali keluar bersama Arman hanya Arman yang akan mengeluarkan belanja. Tidak pernah sekalipun dia yang membayarnya.
Arman tertawa mendengar jawapan adiknya itu. “Kita makan besar malam ni! Abang nak bawak Laila makan kat Bora Ombak. Nak tak?” Arman berkata sambil tersenyum mesra.
“Wah! Bora Ombak? Dengar nama aja dah buat Laila makin lapar. Jomlah cepat! Macam lapar sangat pulak rasanya ni,” balas Laila dengan senyum melebar. Dia pernah mengunjungi restoran itu dahulu bersama Arman dan dia tahu hidangan di situ memang memuaskan.
“Laila ni kalau bab makan memang nombor satu! Mentang-mentanglah abang belanja.” Arman sempat mengusik Laila sambil menggeleng. Gear undur dimasukkan sebelum mengundurkan keretanya untuk keluar dari petak parkir.
“Habis tu bila Laila nak bayar abang tak bagi. Malu! Takut jatuh maruah lelaki abang tu kalau orang tengok perempuan yang bayar. Macamlah orang lain peduli!” jawab Laila pantas.
Arman ketawa lagi. “Bukan macam tu. Laila adik abang. Takkanlah abang nak biarkan adik abang ni yang keluar duit untuk abang? Sebagai abang biar abang yang berhabis untuk Laila,” jawab Arman lembut.
“Itu sebab Laila suka keluar dengan abang. Hari-hari pun takpe!”
“Mak ai! Hari-hari? Tak dapatlah abang nak mengumpul duit untuk kahwin ni nanti,” tukas Arman sambil melirik sekilas adiknya itu. Laila lantas menoleh kepada abangnya. Perkataan ‘kahwin’ yang disebut Arman menarik perhatiannya.
“Oh! Abang ada plan nak kahwin dalam masa terdekat ni ke? Dah jumpa pilihan hati abang?” soal Laila sedikit teruja. Membesar matanya memandang Arman yang sedang memandu.
Arman ketawa pula dengan soalan adiknya itu. “Takdelah sampai macam tu. Abang saja je cakap macam tu. Bukannya ada makna pun. Laila ni menggelabah betullah!”
“Habis tu abang tiba-tiba cakap pasal kahwin, mana Laila tak sangka yang bukan-bukan. Abang tu bukannya berminat sangat dengan semua tu. Kenapa? Dah mula terasa sunyi ke tiba-tiba sebut nak simpan duit untuk kahwin ni? Dah mula serius cari calon?” ucap Laila masih tidak puas mengorek rahsia hati Arman. Selama ini abangnya tidak pernah merancang ke arah itu biarpun ramai kawan perempuan.
“Laila janganlah ingat abang dah nak kahwin sangat. Keinginan tu memang dah ada tapi calon yang sesuai tu belum ada lagi. Masih dalam pencarian,” jawab Arman lembut. Matanya terus memandang ke arah jalan raya yang sesak. Pergerakan keretanya juga agak tersekat-sekat.
“Seramai-ramai yang ada tu semuanya tak sesuai?” soal Laila dengan mata membuntang kepada abangnya itu. Bukan sekali dia Arman dilihat rapat dengan perempuan. Entahkan perempuan itu yang tidak kena atau Arman yang terlalu cerewet?
Arman tersengih. Kebanyakan teman wanitanya dahulu adalah pegawai tentera sama sepertinya. Entah kenapa semenjak kebelakangan ini dia mula merasa bosan dengan suasana yang sama sahaja. Jika berbincang topik juga sama. Langsung tidak berkembang. Dia mahukan kelainan dalam hidupnya.
“Abang belum pernah rasa jatuh cinta separuh mati, Laila. Abang nak rasa perasaan tu. Kebanyakan kawan-kawan perempuan yang pernah abang ada memang abang akui sesuai dengan jiwa abang. Tapi kadang-kadang abang boring! Abang nakkan sesuatu yang keluar dari bidang abang. Hidup ni kena ada perlbagai corak, baru ada keserian. Betul tak?” ujar Arman biasa.
“Kalau macam tu abang kenalah mendaftar kat agensi cari jodoh.” Laila meluahkan komen yang sempat terlintas dibenaknya. Sengihannya terukir tanpa dapat ditahan.
“Agensi cari jodoh?” Arman spontan meluahkan tawanya.
“Takdelah sampai macam tu, Laila. Itu dah kronik sangat. Abang percaya Allah pasti takkan sia-siakan doa abang selama ni. Dia akan temukan abang dengan seseorang tak lama lagi. Insya-Allah.. abang yakin.” Arman berkata perlahan. Rahsia hatinya dibuka akhirnya kepada satu-satu adik yang dimilikinya.
“Senang hati Laila dengar abang ada keinginan nak kahwin. Kalau ayah tahu mesti ayah gembira. Ingatkan abang nak peluk kereta abang aja sampai tua,” balas Laila ceria.
Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan dirinya. Bukan senang mahu mendengar Arman bercakap soal kahwin dengan sesiapa. Abangnya itu terlalu taksub dengan kerjayanya selain dari minat bertukar kereta.
“Takdelah begitu. Kadang-kadang abang rasa sunyi jugak. Kawan-kawan sebaya dengan abang semuanya dah beristeri. Kebanyakan mereka dah ada anakpun. Abang ni masih terhegeh-hegeh. Abang rasa hidup abang tak sempurna macam orang lain bila dalam usia macam ni abang masih membujang,” luah Arman lembut.
“Baguslah kalau abang rasa macam tu. Laila harap abang akan temukan seseorang yang abang sayang dalam masa terdekat ni.”
“Lepas tu Laila pulakkan?” sambut Arman lantas tersenyum kepada adiknya itu.
“Laila? Kenapa pulak dengan Laila?”
“Laila jugak mesti ada teman hidup. Baru hidup ni lengkap,” jelas Arman ringkas. Dia tahu Laila sengaja buat-buat tidak faham. Laila juga sepertinya. Sering mengelak apabila soal teman hidup diperdebatkan.
“Laila tak tahu lagi, bang. Laila belum ada sesiapa. Hati Laila belum dapat disentuh oleh mana-mana lelaki buat masa ni,” jawab Laila mudah. Alasan yang sama digunakan lagi buat kali yang entah keberapa ratusnya.
Arman mengangguk perlahan tanda memahami maksud adiknya itu. “Abang harap arwah Nahij bukan lagi penyebabnya hati Laila tak terbuka pada yang lain.” Arman menoleh sekilas untuk melihat riaksi Laila. Laila sekadar memandang hadapan. Namun apa yang ditunjukkan oleh wajah adiknya itu jelas sekali dia sedang keras memikirkan apa yang dikatakan Arman.
Kali ini Laila tidak menjawab. Sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya kepada Arman jika telahan Arman itu masih duduk di tempat teratas dalam hatinya. Entah kenapa sukar benar dia mahu melepaskan semua itu dari hatinya. Mengingati Nahij hatinya kembali disapa kepiluan.
“Kenapa, Laila? Diakan dah takde? Dia dah tinggalkan kita,” pujuk Arman lembut.
“Laila lebih dari tahu kenyataan tu, bang..” perlahan sahaja jawapan Laila. Seolah-olah berbisik kepada dirinya sendiri.
“Habis tu? Kenapa nak berharap lagi pada yang dah takde? Hidup mesti diteruskan, Laila. Kita kena berpegang kepada realiti. Bukannya impian yang takkan boleh dijadikan kenyataan lagi. Mesti ada lelaki lain yang boleh sayangkan Laila sehebat dia, Laila. Bagi peluang pada diri Laila untuk mengenali lelaki lain. Abang rasa ayah akan lebih gembira kalau ada seseorang yang boleh jaga Laila,” ucap Arman lembut cuba memancing pengertian Laila. Dia tahu Laila bukan seorang yang mudah melupakan.
“Laila tahu, bang. Bukannya Laila tak cuba tapi Laila tak boleh. Laila asyik terbayangkan dia,” jawab Laila amat perlahan.
Arman menghela nafas perlahan. Jawapan itu sudah acap kali didengarinya. Arman menoleh ke arah Laila saat keretanya terhenti di belakang kereta lain dalam kesesakan jalan raya itu. Wajah mendung Laila menyapa pandangannya.
“Sebab tu abang kata Laila kena cuba biarkan lelaki lain ambil tempat dia dalam hati Laila. Siapa tahu dengan cara macam Laila tak lagi dibayangi oleh kenangan lama. Laila tak pernah biarkan itu berlaku jadi Laila takkan tahu apa hasilnya. Laila kena bangun dari kehancuran tu. Abang belum nampak itu berlaku lagi,” ucap Arman pula. Wajah adiknya itu dipandang lembut.
Laila diam. Kata-kata Arman itu menusuk ke dalam hatinya. Ya! Benar kata abangnya itu. Selama ini dia tidak pernah membiarkan dirinya dekat dengan mana-mana lelaki. Hanya kerana igauan semalam dia menyekat hatinya dari menerima lelaki lain. Laila sedar dia tidak boleh selamanya begini. Seperti kata Arman dia masih belum bangkit dari kesakitan dulu. Dia masih bergelumang dengannya setiap waktu.
Melihat Laila diam Arman memilih untuk menukar topik. Dia tidak mahu mendesak Laila untuk membuat keputusan. Biarlah adiknya itu sedar dengan sendirinya. “Kerja Laila macamana?” soal Arman. 
“Abang, Laila dah dapat kerja di UMBS Holding,” jawab Laila pantas. Dia memang berniat mahu memberitahu Arman tentang itu ketika makan nanti. Tetapi alang-alang Arman sudah bertanya biarlah Arman tahu saat ini juga.
Really? Kat mana?”
“Kat KL ni jugak. Pejabatnya di Jalan Sultan Ismail,” ujar Laila.
“Kenapa nak tukar kerja? Kerja tempat sekarang tak bagus?” soal Arman sedikit tertanya. Rasanya belum setahun Laila di syarikat ini. Masakan sudah mahu berhenti?
Offer baru ni gaji lebih sikit dan syarikat besar. So Laila rasa Laila ini yang terbaik untuk Laila kukuhkan kerjaya Laila. Laila dah beri notis perletakkan jawatan di tempat kerja sekarang. Insya-Allah lebih kurang sebulan lagi Laila akan mula kerja di sana,” jawab Laila mulai bersemangat apabila bercakap tentang tawaran kerja itu.
Arman mengangguk perlahan. Apa sahaja yang baik buat Laila dia akan menyokong. Semua orang pasti mengejar gaji yang lebih dan kedudukan yang kukuh dalam kerjayanya. Dia sedar Laila memang bercita-cita besar untuk berjaya sebagai seorang akauntan. Apa yang dilihatnya selama ini Laila begitu cekal menghadapi cabaran dan tuntutan hidup di KL ini.
“Dah bagitahu ayah?” soal Arman lembut.
“Ayah orang pertama yang tahu. Laila dah bagi tahu awal-awal lagi.”
Arman mengangguk lagi. Jika ayahnya tidak menghalang keinginan Laila itu rasanya dia juga akan mendoakan yang terbaik buat adiknya itu. Dia juga berharap semakin jauh Laila melangkah semakin dekat dia dengan kebahagiaan yang diharapkannya selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.