Laila menyambut kedatangan teman seuniversitinya itu dengan
hati yang gembira. Senyuman yang diukir masih tidak lekang sehinggalah Asmadi
duduk di hadapannya. Sekian lama menyepikan diri akhirnya mereka kembali
bertemu.
“Maaf, aku lambat sikit. Jalan sesak sikit tadi.
Lama tunggu?” ujar Asmadi selepas meletakkan beg yang berisi komputer ribanya
di kerusi sebelahnya.
“Takdelah. Aku pun baru je duduk ni. Air yang
aku pesan pun belum sampai.”
“Bini aku tak dapat datang. Kau dah tahukan?”
ucap Asmadi sambil memandang Laila di hadapannya.
Laila segera mengangguk. Dia sudah maklum
tentang hal itu. Hanya Asmadi yang diwakilkan oleh Hamidah untuk bertemunya
petang ini. Dia tidak kecil hati kerana dia maklum dengan tugas Hamidah yang
berkerja mengikut syif itu. “Minum, Madi?” pelawa Laila apabila ada pelayan
datang mendekati meja mereka untuk mengambil pesanan.
“Fresh Orange.” Asmadi terus sahaja memesan
minumannya tanpa bertangguh lagi.
Pelayan itu berlalu setelah mengambil
pesanannya itu. Asmadi memandang Laila semula. Hampir setahun dia tidak melihat
Laila. Dia lihat Laila semakin cantik kini. “Kau apa khabar sekarang, Laila?”
soal Asmadi lembut.
“Baik. Kau? Midah apa khabar?”
“Kami ok. Midah masih kerja sekarang. Sebab tu
dia tak dapat datang. Dia desak jugak aku jumpa kau walaupun dia tak dapat ikut
sama. Lain kali kalau masanya sesuai dia
pun nak jumpa kau. Rindu benar dia dengan kau.”
Laila mengangguk sambil hatinya menyambut
salam yang dihulurkan oleh isteri Asmadi itu. Terbayang dia Hamidah yang kecil
molek itu. Sewaktu di UM dahulu dia memang tidak pernah lekang dari sahabatnya
itu. Tetapi kini setelah berkerja mereka tidak lagi selalu bertemu.
“Aku pun rindu dengan dia. Dia dah berisi ke
belum?” soal Laila sedikit teruja.
Asmadi terus tergelak mendengar soalan itu. Sudah
diagaknya soalan itu akan ditanyakan oleh Laila. “Belum ada rezeki kami, Laila.
Kau doakanlah semoga aku cepat dapat anak. Teringin juga aku ni tapi belum ada
rezeki lagi. Apa nak buat.” Asmadi menjawab tenang usai tawanya.
“Insya-Allah, aku akan doakan. Alah! Apa nak
kecoh. Kau dengan Midah masih muda. Banyak masa lagi. Usaha tangga kejayaan,
Madi.” sambut Laila sambil tersenyum kepada Asmadi.
Asmadi tergelak seketika. “Memang usaha tangga
kejayaan. Hari-hari aku usaha sampai Midah pun dah naik muak tengok muka aku.
Tapi belum ada rezeki. Takpelah, ada rezeki aku adalah nanti. Kau kalau ada
masa datanglah ke rumah. Bolehlah kita borak-borak lama sikit. Rumah aku di
Taman Universiti di Kelana Jaya. Bukannya jauh sangatpun sampai tak boleh
datang langsung. Dari Perak ke Kedah boleh pergi takkan dari PJ ke Kelana Jaya
tak boleh?”
“Insya-Allah, kalau ada kelapangan nanti aku
datang. Kau tahulah aku ni, bukan senang nak keluar rumah. Balik aja kerja
terus aja memerap kat rumah. Itu ajalah kerja aku.” Laila menjawab lembut
lantas tersenyum kepada sahabatnya itu.
“Sesekali jalan-jalanlah. Apa salahnya.
Bukannya apa, sesekali boleh juga kita release
tension. Kaupun semenjak berkerja ni senyap aja. Ingatkan dah lupakan aku
dengan Midah. Lama kitorang ni tertunggu-tunggu email kau.”
Laila hanya tersenyum. Silapnya juga kerana
terlalu fokus kepada kerja sehingga dia mengabaikan perkara lain. Mujurlah
baru-baru ini dia ada terbacakan email sahabat-sahabatnya ini yang rindu
kepadanya. Kerana email itulah dia akhirnya mengajak untuk bertemu untuk
bertukar cerita.
“Kau? Bila agak-agaknya nak menamatkan zaman
solo?” tanya Asmadi mula berkisar soal Laila pula. Kali ini soal Laila pula
yang mahu didengarinya. Siapa tahu hati Laila sudah terbuka? Asmadi tahu sudah
lama Laila menyendiri semenjak kematian suami bertahun yang lalu. Banyak
pengalaman pahit Laila semenjak mereka berkawan. Enam bulan selepas kematian
suami emak kandung Laila pula menyusul menemui ILAHI. Tangis dan tawa Laila
selama itu sering menjadi perhatiannya dan Hamidah.
“Aku belum ada calon lagi.” itulah jawapan
yang selalu Laila gunakan apabila ditanya mengenai itu. Bukan hanya Asmadi yang
selalu bertanya tetapi abang-abang dan ayahnya juga risau apabila dia masih
menyendiri setelah kematian suami. Abangnya Arman selalu mencadangkan agar
Laila berkenalan dengan mana-mana anggota tentera yang dikenalinya. Tetapi
Laila menolak. Kalau boleh dia tidak mahu bersuamikan tentera lagi. Dia serik
untuk melalui pengalaman yang sama. Dia fobia.
“Belum ada calon? Banyak-banyak lelaki di KL
ni kau tak berkenan satupun? Kau yang terlalu memilih atau kau buat-buat tak
nampak aja sesiapa yang ada di depan kau? Mustahillah takde yang nak memikat
kau, Laila. Dah buta agaknya lelaki-lelaki bujang di KL ni.” Sindir Asmadi
dengan senyuman meleret. Tidak begitu percaya dengan kata-kata Laila.
Laila hanya diam bersama sebuah senyuman yanga
amat hambar. Dia malas mahu menjawab jika soal itu yang ditanyakan Asmadi.
Biarlah semuanya terus berada di hatinya. Tiada sesiapa yang akan mengerti apa
yang pernah dan yang sedang dilaluinya.
“Laila, aku tahu kau masih teringatkan arwah.
Tak baik macam tu, Laila. Dia dah lama pergi. Kau kenalah teruskan hidup.
Jangan kerana dia kau tutup ruang hidup kau begini. Patah tumbuh hilang
berganti, Laila. Janganlah putus asa. Cubalah buka hati kau pada yang lain.
Siapa tahu ada jodoh kau lepas ni?” pujuk Asmadi lembut.
“Aku tahu dia dah takde, Madi. Tapi hati aku
ni degil tak mahu menerima yang lain. Banyak yang bermain dalam fikiran aku
ni.” Laila berkata perlahan sambil menghela nafas resah. Apabila kisah lama itu
disebut lagi dia akan resah.
“Ceritalah. Mana yang aku boleh tolong aku
tolong,” ucap Asmadi ikhlas. Kasihan dia melihat Laila. Suatu masa dahulu dia
dengan Hamidahlah yang sering menjadi saksi kepada air mata Laila setelah Laila
kehilangan Arwah Nahij. Keperitan itu dia pelajari daripada Laila sehingga dia
sendiri seakan mampu merasai kesakitan yang ditanggung oleh Laila. Hilang suami
dan emak dalam waktu yang tidak jauh jaraknya memang menyakitkan. Apatah lagi
seorang emaklah selalunya menjadi tempat mengadu bagi anak-anak. Mungkin kerana
jiwa seorang ibu lebih mengerti perasaan anak-anak. Tetapi Laila kehilangan
emak dalam keadaan dia masih bersedih akibat kehilangan suami.
“Memang ramai lelaki yang datang cuba nak
memikat tapi semuanya datang kerana tahu aku ni balu. Semuanya kononnya nak
menolong perempuan macam aku tapi dalam masa yang sama cuba nak mengambil
kesempatan sebab aku ni kononnya sisa orang. Kononnya perihatin tetapi
sebenarnya manusia bertopengkan syaitan. Cuba nak mengambil kesempatan pada
keadaan aku. Janda macam aku ni pada mata orang lain tak ubah seperti perempuan
yang terdesak kesunyian. Aku tak perlukan belas kasihan orang lain, Madi.
Walaupun aku dah tak bersuami tapi aku masih mampu menyara makan minum untuk
diri aku sendiri. Aku masih boleh berdikari. Aku tak perlukan lelaki dalam
hidup aku kalau itu hanya buat aku lebih merana. Aku ok dengan keadaan aku
sekarang. Kenapa? Ramai sangat lelaki yang susah hati dengan keadaan aku yang
tak bersuami. Aku tak pernah ganggu mereka semua!”
Asmadi mengangguk perlahan mendengar apa yang
Laila katakan itu. Dia tahu semenjak dahulu Laila bukan seorang perempuan yang
mudah dikelek ke sana kemari oleh lelaki. Laila setia kepada Nahij. Walaupun
Nahij sudah tiada kesetiaan Laila tidak pernah luntur. Tidak salah untuk setia.
Setiap pasangan yang berkasih perlu mempertahankan kesetiaan mereka tetapi
hakikatnya kini apa yang dipertahankan Laila sudah tidak mampu dikecapi lagi.
Tidak mungkin akan dikecapi lagi kerana Nahij sudah kembali ke rahmatullah.
Itulah yang membimbangkan Asmadi kerana dia tidak mahu Laila hidup dengan
kenangan lamanya. Dia mahu Laila mencari kebahagiaan lain.
“Aku mungkin akan berpindah kerja nanti.”
“Kemana?” soal Asmadi pantas.
“Di KL ni juga tapi syarikat lain. Aku harap
di sana fikiran orang-orang di dalamnya lebih terbuka,” jawab Laila perlahan.
“Kenapa dengan syarikat tempat kau berkerja
sekarang? Ada masalah?” pantas Asmadi bertanya. Dari nada Laila tadi dia bagaikan
dapat meneka ada yang tidak kena dengan tempat kerja Laila sekarang.
“Kat situ aku asyik kena ganggu dengan suami
orang. Aku dah tak tahan lagi. Aku dah muak tengok muka lelaki tu setiap hari.
Dia ingat aku ni perempuan murahan yang rindukan belaian seorang lelaki. Tak
sedar diri dah beristeri asyik nak menggatal!” tanpa sedar Laila mencemuh. Dia
sakit hati apabila terbayangkan Nazim. Teringat dia apa yang berlaku ketika di
pantry pejabatnya minggu lalu. Semenjak itu dia seakan fobia apabila ternampak
Nazim. Sebaik sahaja dia mengesan kehadiran lelaki itu dia akan melarikan diri.
“Apa dah jadi sebenarnya. Maksud aku, dia
ganggu kau macamana?”
“Baru-baru dia aku terkurung dalam pantry
pejabat dengan dia berdua sahaja. Cara dia tu memang menakutkan aku. Macam-macam
dia cakap dengan aku. Nak tolong akulah konon. Nak tolong belai, nak tolong
temankan aku.. Hi! Meluat betul aku dengar apa yang dia cakap tu. Nasib baiklah
ada orang nampak dia tutup pintu pantry waktu tu. Kalau tak akupun tak tahu apa
yang nak jadi. Kalau aku menunggu jugak kat situ aku tak tahulah apa akan jadi
pada aku di masa depan, Madi. Silap-silap boleh gila aku jadinya!” ujar Laila
penuh kegeraman tentang lelaki bernama Nazim itu. Bencinya melaut bagaikan
tidak ada pasang surutnya.
“Ini dah kes bahaya ni, Laila. Kalau dia dah
sampai buat macam tu kau kena laporkan pada majikan kau. Kalau majikan kau tak
layan kau sendiri kena pergi laporkan pada polis.” Asmadi mula terkesan
mendengar apa yang Laila katakan itu. Sebagai lelaki dia memang tahu ada jenis
lelaki yang sukar mengawal nafsunya apabila ternampak perempuan. Lebih-lebih
lagi perempuan secantik Laila. Sebagai teman dia bimbangkan keselamatan Laila.
Apatah lagi dia tahu Laila hanya tinggal sendirian di rumah.
“Itulah.. Tapi bos aku dah bagi amaran pada
dia supaya jangan dekat dengan aku lagi. Nasib baiklah aku dengan dia tu tak
sama jabatan, Madi. Kalau tak aku pun tak tahu macamanalah aku nak hadap muka
dia tu setiap hari.”
“Inilah dunia sebenarnya, Laila. Kau kena
banyakkan bersabar. Sebenarnya kemana saja kau pergi kau takkan terlepas dari
dugaan. Kuatkan hati kau. Jangan biarkan orang lain ambil kesempatan pada kau.
Kita ada saluran undang-undang. Kalau dah tak boleh dikawal sampai membahayakan
diri kau, kau kena laporkan. Siapapun kita, kita ada hak yang sama rata untuk
hidup dalam negara ni.” Asmadi ikut berkata yang sama seperti yang diucapkan
oleh teman-teman sepejabat Laila yang lain.
Laila
mengangguk akur. Selama ini dia tidak pernah membiarkan mana-mana lelaki
mengambil kesempatan kepadanya. Tetapi entah apalah malangnya dia selalu sahaja
menjadi mangsa intaian mata-mata lelaki yang keranjang kepada perempuan. Memang
sebelum ini ketika dia bertugas untuk salah sebuah bank di KL ini dia juga
turut mengalami masalah yang sama. Cuma tidaklah seteruk Nazim lelaki itu.
Kerana itulah dia merelakan diri untuk berkerja di tempat lain walaupun pihak
majikannya yang lama itu ada membuat tawaran untuk mengambilnya berkerja secara
tetap sebagai akauntan. Demi lelaki itu dia terpaksa menolak. Kini dia berdepan
lagi dengan masalah yang sama. Malah lebih kronik! Kadang-kala mahu ke
pejabatpun dia terasa malas apabila mengenangkan Nazim.
“Lelaki ni memang kadang-kadang pantang tengok
yang berdahi licin berpipi mulus. Mulalah lupa anak bini kat rumah. Jangan
layan semua tu. Kau buat hal kau je sudah. Nanti tak pasal-pasal kau kena
ganyang pulak.”
“Simpang malaikat, Madi. Mintak jauhlah semua
tu. Aku paling tak mahu suami orang. Kalau aku punya diambil orangpun aku marah
takkanlah aku pulak yang nak ambil orang punya. Mintak jauhlah!” Sambut Laila
pantas. Tidak ada dalam kamus hidupnya berkasih dengan hak orang lain.
“Tahu takpe. Susah-susah sangat biar aku
kenalkan kau dengan kawan sepejabat aku nak? Ramai lagi yang masih solo dan
yang masih bujang teruna. Siapa tahu kau berkenan dengan salah seorangnya. Bos
akupun solo lagi. Oh ya! Cakap pasal bos aku, baru aku teringat. Bos aku
namanya hampir sama dengan nama arwah suami kau, Laila.”
“Ha??” terus terlopong Laila mendengarnya.
“Nama dia Ahmad Nahij Lukman. Tampan bergaya
bos aku tu..”
Laila terdiam. Tersayat pedih hatinya apabila
nama Nahij kedengaran lagi. Sayu masih menghuni ruang hati kecilnya. Nama itu
terlalu istimewa buat dirinya. Rupanya ada juga orang lain yang bernama serupa
seperti itu.
“So,
berapa offer kau dapat kat tempat
baru. Mesti masyuk ni?” Asmadi
mengalihkan topik perbualan mereka kepada hal lain apabila terkesan perubahan
di wajah sahabatnya itu. Terasa bersalah pula kerana mengungkit semula kisah
lama Laila.
“Bolehlah. Lebih sikit dari tempat aku
sekarang.”
“Lebih sikit ke lebih banyak? Gaji kau kat
tempat sekarang ni mesti banyakkan? Akauntan macam kau ni setakat lima ribu
sebulan ni celah gigi diorang je. Betul tak?” usik Asmadi lantas ketawa
sendiri.
“Takdelah! Kau ingat gaji aku kat tempat aku
sekarang ni banyak sangat ke? Aku pun masih baru, Madi. Orang baru macam aku ni
takkanlah diorang nak bayar setinggi tu?” ujar Laila segera menolak telahan
Asmadi. Memang benar gaji yang diterimanya sekarang tidaklah sebanyak yang diperkatakan
Asmadi.
“Bukan soal baru atau lama. Soalnya beban
kerja yang kau tanggung tu banyak, Laila. Kira duit orang ni bukannya mudah.
Salah kira nanti kau yang kena. Gaji kenalah setimpal dengan kerja yang kau
tanggung.” Asmadi membantah. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Laila yang
mengatakan orang baru tidak seharusnya bergaji tinggi. Baginya bukan soal baru
atau lama. Ada juga orang lama yang lembab dan malas. Masakan majikan harus
membayar tinggi orang seperti itu.
“Buat masa ni apa yang diorang bayar aku
terima aja. Takkan nak demand
lebih-lebih pulak. Lagipun setakat ni aku rasa cukuplah dengan apa yang ada.
Tapi itu tak bermakna aku selesa dengan apa yang ada sampai tak kisah berapa
orang nak bayar aku. Aku berpindah kerja nipun salah satu sebabnya nakkan gaji
yang lebih disamping nak rasa pengalaman di tempat lain,” terang Laila jujur.
“Syarikat apa yang kau nak kerja nanti?”
“UMBS Holding.”
“Oh! United Malayan Bumi Shipping Holding?
HQnya dekat dengan office aku tu. Wow! Hebat kau Laila. Naik kapal belayar
jelah kerja kau nanti. Bukan senang nak dapat kerja kat situ. Setahu aku
syarikat tu lebih banyak berurusan dengan syarikat luar negara. Tahniah! Bangga
aku dengan pencapaian kau sekarang.”
“Tuah aku agaknya, Madi. Terima kasih
banyak-banyak. Aku hargai setiap peluang yang datang. Aku anggap ini rezeki
sebab memang aku berangan-angan nak menimba pengalaman dengan syarikat besar
yang banyak berurusan dengan syarikat luar Negara,” ujar Laila dengan rendah
hati.
“Alah! Syarikat besar macam UMBS tu takkan
bayar akuntan macam kau ciput je, ye
tak? Mesti masyuk ni... kau aja yang
tak nak mengaku. Kenapa kau takut aku pinjam duit kau bila aku pokai? Ah! Aku
tak peduli. Bila aku pokai nanti aku cari kau.” Asmadi terus mengusik Laila
sambil tersengih.
“Banyaklah kau...” Laila terus menjegilkan
matanya kepada sahabatnya itu. Geram dia dengan ulah nakal Asmadi. Masih tidak
berubah sahabatnya itu.
Asmadi ketawa seronok apabila melihat reaksi
Laila. Rindu juga dia untuk bergurau senda dengan sahabatnya ini seperti masa
lalu namun sebagai suami orang dia sedar antara dia dan Laila batasnya teramat
kukuh di hadapan.
“Orang kedekut macam kau bila masa nak pokai,
Madi. Aku bukannya tak tahu kau tu bertimbun duit dalam bank,” sindir Laila
tidak mahu kalah.
Asmadi semakin seronok ketawa. Sudah lama
tidak melihat Laila marah-marah. Antara Hamidah dan Laila kedua-duanya pernah
menjadi sahabatnya. Namun akhirnya dia terpaksa mengaku yang hatinya telah
terpaut kepada salah seorang daripada dua wanita itu iaitu Hamidah yang kecil
molek itu.
“Aku simpan duit untuk masa depan. Dah ada
isteri mana tahu esok lusa ada anak pulak. Sekarang aku dengan Midah rancang
nak beli rumah sendiri.”
“Baguslah kalau macam tu. Senang kalau ada
rumah sendiri ni. Nanti masa tua taklah kau pening-pening nak menyewa lagi bila
kau dah tak larat nak kerja,” balas Laila menyokong baik rancangan Asmadi dan
Hamidah itu.
Asmadi mengangguk menyetujui apa yang Laila
katakan itu. “Sekurang-kurangnya suatu hari nanti kalau nasib Midah serupa
macam kau hari ni, dia ada tempat nak berteduh. Kalau ditakdirkan kami ada anak
rumah tu adalah untuk anak-anak aku. Ramai wanita yang hilang arah bila
kematian suami sebab suami tak bersedia secukupnya untuk menghadapi keadaan
tu,” ujar Asmadi agak perlahan.
Laila diam memikirkan apa yang dikatakan
Asmadi. Beruntung Hamidah memiliki suami seperti Asmadi. Berfikiran jauh dengan
segala kemungkinan yang tidak pernah mustahil. Lihat sahaja dirinya. Dia juga
hilang arah apabila kematian suami. Namun bezanya dia dengan wanita-wanita di
luar sana yang senasib dengannya, Laila memiliki wang pencen arwah suaminya
yang diberikan kepada umi dan babah di kampung. Dia tahu umi dan babah lebih
memerlukan wang itu berbanding dirinya. Malah sebenarnya mereka lebih berhak.
“Aku harap nasib Midah tak seperti aku. Kalau
boleh aku nak tengok korang berdua hidup bahagia dengan anak-anak sampai akhir
hayat. Hidup sendiri macam aku ni, sebenarnya menyedihkan. Aku hanya ada
kenangan, bayang-bayang kisah silam. Tapi kenyataannya aku kesunyian,” luah
Laila amat perlahan.
“Kau kena belajar lupakan dia, Laila. Tak
salah ingat pada arwah tapi memuja cinta dia seolah-olah dia masih ada itu yang
salah. Jodoh kau dah Tuhan tentukan dengan orang lain, bukan dia. Kau kena
terima walau macamana susah sekalipun,” pujuk Asmadi bersungguh.
Laila mengangguk perlahan dalam menghela nafas
perlahan. Iya! Dia tahu dia harus melupakan semuanya dan memulakan kisah yang
baru. Nahij tidak boleh menghantui dirinya lagi.
Dalam pada itu mereka sedikit tidak menyedari
ada mata yang ralik merenung ke arah mereka. Semenjak mula lagi mata itu asyik
memandang mereka tanpa henti.
“Kata tak keluar dengan lelaki. Tapi dengan
budak mentah tu boleh pulak!” degus lelaki itu sedikit sebal.
Mata Lukman terus memerhatikan
Laila dan Asmadi. tidak sangka pula dia yang Laila mengenali Asmadi. Mudahlah
kerjanya selepas ini kerana dia mengenali Asmadi sebagai kakitangannya. Kali
ini dia akan mengorek rahsia Laila daripada Asmadi jika perlu. Tetapi buat masa
ini dia tidak mahu menggunakan Asmadi kerana dia mahu mendekati Laila secara
bersendirian tanpa bantuan sesiapa.
“You pandang siapa, Luk?” suara manja itu
mengganggu apa yang sedang difikirkan Lukman. Dia pantas memandang gadis di
sisinya itu. Sebuah senyuman hambar diukir.
“Takde siapa-siapa,” jawab Lukman perlahan
sahaja.
Gadis itu tersenyum senang sambil meneruskan
makan. Sementara Lukman kembali merenung Laila di hujung sana. Sakit hatinya!
Dengan dirinya Laila banyak alasan tetapi dengan lelaki lain mudah pula.
‘Tunggulah, Laila. Kau akan jatuh juga ke
tangan aku. Dengan aku kau jual mahal dengan lelaki lain kau boleh bergelak
ketawa. Nanti kau!’ hati Lukman memasang dendam. Saat itu dia mahu segera pergi
dari situ. Tidak sanggup lagi mahu melihat kemesraan Laila dengan lelaki lain!
Lukman menggepal
penumbuknya demi menahan rasa geram dan amarahnya. Tajam matanya memandang ke
hadapan. Bagaikan ada orang di hadapannya itu yang mahu ditumbuknya. Padahal
dia hanya sendirian menikmati minum petang di kedai itu. Sms daripada Nazim
sebentar tadi membuatkan hatinya sedikit kecewa. Sekali lagi dia membuka dan
ulang baca sms itu.
‘Dia
dah nak resign. Rugilah kau..’
Pendek sahaja sms itu tetapi Lukman cukup mengerti siapa
yang dimaksudkan oleh Nazim. Sudah tentulah Siti Laila Huda. Wanita yang
diimpikannya itu. Entah kenapa dia merasakan sms dari Nazim itu bagaikan
momokan untuk dirinya. Dia terasa diejek-ejek oleh lelaki itu.
‘Macamana
kau tahu? Dia resign sebab apa?’
Telefon bimbitnya itu diletakkan semula setelah membalas
sms Nazim itu. Buat seketika dia hanya termanggu mengenangkan wanita itu.
Selama ini dalam diam dia dan Nazim selalu menjadikan wanita itu topik cerita
apabila bertemu. Lukman tahu tidak mudah untuk dia melupakan seraut wajah yang
cukup jelita seperti itu. Dia juga sama seperti Nazim. Miang!
Tidak lama kemudian sms yang dihantarnya kepada Nazim
mula berbalas. Lukman segera membaca apa yang dikirimkan oleh Nazim kepadanya.
‘Aku
tak tahu kenapa dia nk resign tapi satu opis dah tau dia dah bagi notice. Lagi
susah lah kau nak tackle die lepas ni. Melopong lah kau nampaknya. Itulah..
Hari tu aku offer baik punyee.. kau tolak. Sekarang gigit jarilah, kawan..’
Hampir sahaja Lukman mahu menghempas telefonnya itu.
Ejekan demi ejekan Nazim semakin menyakitkan hatinya. Sudahlah diri disapa
kecewa kerana masih tidak mampu menghulur apa-apa salam perkenalan. Kini teman
seperti Nazim pula asyik mengejeknya. Hati Lukman panas jadinya. Terasa dirinya
benar-benar tercabar! Tanpa berbalas sms tadi Nazim menghantar lagi sms kepada
Lukman. Lukman tetap membacanya biarpun hatinya masih sakit diejek Nazim.
‘Masih
ada masa lagi ni. Dia masih kat opis rasanya. Selalu dia balik lmbat. Pekerja
rajin la katakan.. pergi la jumpa dia. Tapi jangan mention kat dia aku yang
suruh kau jumpa dia. Kau buat-buat lah terserempak dengan dia. Kalau dia masih
reject kau taulah aku macamana nak dapatkan dia untuk kau. Ok? Good luck, my
freind!’
Baru kali ini Lukman mampu tersenyum membaca sms dari
Nazim itu. Gembira bukan kepalang setelah mendapat sedikit dorongan dari Nazim
dalam pada dia sedang diamuk oleh rasa hampa. Tanpa menunggu lagi Lukman segera
pergi ke tempat yang dimaksudkan Nazim.
Di tempat kerja Nazim lif yang dinaiki Lukman berhenti di
tingkat 14. Dengan debaran di dada yang bergendang hebat Lukman keluar dan
terus menuju ke ruangan pejabat kontraktor Azam Urus Sdn Bhd. Kakitangan
keselamatan langsung tidak bertanya mahupun menegah kehadirannya di situ kerana
rata-rata mereka memang sering melihat Lukman di situ. Ada yang menyangka
Lukman adalah pekerja di situ.
Lukman mengatur langkah perlahan ke dalam pejabat yang
sudah mula dilanda kesunyian. Hanya tinggal beberapa pekerja yang masih
menyiapkan tugas saat-saat akhir. Mata Lukman meligas mencari semula bilik
Laila seperti mana yang diingatinya selama ini. Seingatnya laluan ke bilik
Laila adalah laluan yang sama untuk ke bilik Nazim. Cuma sebelum sampai ke
bilik Nazim dia akan melalui Jabatan Kewangan yang mana di jabatan itulah Laila
selalu terperuk.
“Assalamualaikum..” sapa Lukman apabila ternampak Laila
yang sedang sibuk mengemas mejanya. Mungkin sudah mahu pulang.
Laila menjawab perlahan sambil memandang ke arah pintu
biliknya. Dia terpaku seketika saat terpandangkan lelaki itu. Sekali lagi
lelaki ini berada di hadapan biliknya.
“Encik Nazim dah balik,” ucap Laila tanpa disuruh.
“Saya datang cari awak bukannya dia,” kata Lukman lantas
mendekati Laila.
Kata-kata Lukman menerbitkan kerutan di kening Laila. “Cari
saya untuk apa?” balas Laila. Tanpa diduga dadanya berdebar saat berhadapan
dengan lelaki ini. Entah kenapa saat ini dia terasa seolah-olah sedang
berhadapan dengan Nazim biarpun rupa dan gaya jauh berbeza. Orangnya juga tidak
sama.
Lukman terdiam seketika. Dia sendiri tidak tahu mengapa
dia ke sini. Malah dia sebenarnya tidak memiliki apa-apa rancangan sebelum
bertemu dengan Laila. Dia hanya mengikut kehendak hati yang ingin memandang
semula seraut wajah lembut ini. Apabila sudah berhadapan begini Lukman kekeluan
untuk mengatur bicara. Fikirannya kosong sama sekali!
“Boleh saya panggil Laila aja?” ucap Lukman lembut.
“Habis tu awak nak panggil saya apa pulak kalau bukan
Laila?” jawab Laila sedikit meleret. Tingkah Lukman dirasakan sekadar membuang
masanya sedangkan dia sudah mahu pulang.
“Maksud saya, saya tak selesa kalau bercik-cik dengan
Laila..” balas Lukman pula.
“Saya takde suruh pun awak panggil saya Cik Laila. Awak
yang suka begitu.” Laila tetap tidak memesrakan suaranya kepada lelaki di
hadapannya itu.
Tanpa menghiraukan kewujudan Lukman di hadapannya dia
meneruskan kerjanya. Mejanya dikemaskan sepantas yang mungkin agar dapat
menjauhkan diri dari lelaki ini. Laila sengaja buat tidak tahu kepada Lukman
agar lelaki itu mengerti yang dia tidak menyenangi kehadiran lelaki itu di
biliknya ini. Tetapi usahanya sia-sia. Lelaki itu masih berada di situ
memerhatikannya membuatkan dia merasa tidak selesa.
“Awak nak apa dari saya ni?” soal Laila apabila melihat
lelaki itu masih juga tidak memahami bahasa tubuh yang disampaikannya tadi. Dia
mahu lelaki ini pergi!
“Laila, saya nak ajak Laila keluar dengan saya.” Lukman
akhirnya memberanikan diri meluahkan hasrat yang terpendam sekian lama. Dia
tahu dia harus nekad jika benar-benar ingin mengenali wanita ini memandangkan
masa yang ada sudah tidak sebanyak mana.
Spontan segala perbuatan Laila terhenti. Sebuah keluhan
keras terhela tanpa dapat ditahan lagi. “Saya rasa awak dah dengar jawapan saya
sebelum nikan? Saya tak mahu ulang lagi jawapan yang sama, Encik Lukman,” degus
Laila sedikit kebosanan.
“Jadi janganlah bagi jawapan yang sama lagi..” jawab
Lukman pantas.
“Awak kawan rapat Nazimkan?” soal Laila serius.
“Er.. takdelah rapat sangat. Biasa je..”
“Saya tahu awak rapat dengan dia. Kalau dah selalu datang
ke pejabat masakan tak rapat?” tempelak Laila enggan percaya dengan jawapan
Lukman. Kalau muka ‘pecah pintu’ macam Nazim pun tidak boleh dipercayai apatah
lagi yang ini! Maaf! Dia tidak ingin dekat dengan sesiapa yang ada kaitan
dengan Nazim.
“Apa masalahnya kalau saya rapat dengan Nazim?”
“Masalahnya dia tu kaki perempuan! Dia tu selalu
menjengkelkan saya dengan perangai dia miang tu. Dia suka ganggu saya di
pejabat. Kalau awak jadi saya, awak rasa mudah ke untuk saya percayakan orang
yang rapat dengan orang macam tu? Jadi bagi saya sepuluh sebab kenapa harus
saya terima pelawaan orang yang susah saya nak percaya!” tekan Laila sedikit
kasar.
Lukman meneguk liur kepahitan. “Nazim buat apa pada
awak?”
Laila tersenyum sinis. “Tanyalah dia! Diakan kawan awak?”
“Saya tanya awak!”
“Beberapa hari yang lepas dia sengaja menutup pintu
pantry waktu saya hanya seorang diri dalam tu. Kemudian bercakap macam orang
miang. Kononnya nak temankan saya.. nak tolong saya yang keseorangan. Walaupun
dia tak pernah cakap tapi saya tahu niat dia apa sebab saya bukannya perempuan
bodoh! Janda macam saya ni hanya sesuai jadi pemuas nafsu untuk lelaki macam
dia! Jadi awak tolong jauhkan diri dari saya sebab saya tak berminat nak keluar
dengan sesiapa buat masa ni terutamanya dia dan awak jugak!”
Lukman terpaku melihat ketegasan Laila. Langsung tidak
memberi peluang kepadanya sedangkan dia tidak berniat begitu. Sedikit sebanyak
hatinya sakit mengenangkan Nazim. Kerana Nazim peluangnya untuk mendekati Laila
punah!
“Jangan samakan saya dengan dia, Laila. Memang dia kawan
saya tapi tak bermakna saya jugak berperangai sama macam dia. Saya tak pernah
pandang rendah pada status awak, Laila. Saya tak seteruk itu!” tegas Lukman
cuba mempertahankan dirinya.
“Maaf, saya tak berminat. Tolong pergi sekarang!”
“Laila..”
“Bukan senang nak mengubah pendirian saya, Lukman!”
“Kalau awak tak beri peluang macamana awak nak tahu saya
ikhlas atau tidak?” pujuk Lukman kian mendayu. “Saya takkan sengaja nak
memalukan muka membiarkan diri saya dimarahi macam ni kalau bukan sebab saya
memang berniat baik pada awak. Lagipun apa untungnya saya menipu awak?”
“Janda macam saya memang menguntungkan lelaki macam awak
dan Nazim kalau saya termakan kata-kata yang boleh diukir secara percuma! Saya
bukannya tak tahu betapa rendahnya maruah perempuan macam saya di mata Nazim.
Saya jugak tahu apa yang Nazim buat pada setiap perempuan yang dia bawa keluar
setiap hari. Bagi dia perempuan ni murah. Boleh dipakai percuma dan dicampak
bila dah tak mahu! Saya tak rasa nilai diri saya ni jauh berbeza berbanding
perempuan-perempuan yang pernah dia bawa. Saya pun tak berjumpa dengan apa-apa
sebab untuk Nazim hormatkan saya kalau dah perempuan lain pun dia buat macam
lampin pakai buang. Maaflah kalau disebabkan dia begitu saya menganggap awak
jugak tak jauh bezanya dari dia. Kalau tak takkanlah awak suka sangat berkawan
dengan orang macam dia?” cemuh Laila tetap tidak memberikan dirinya peluang
untuk mendengar kata-kata Lukman.
“Tak adil awak judge
saya begitu, Laila.” bicara Lukman kian merendah saat itu. betapa hanya Tuhan
sahaja yang tahu kecewanya dia saat ini. Kali ini dia benar-benar memaksudkan
keinginannya. Dia langsung tidak berhasrat mahu mempermainkan Laila.
“Saya hanya menjaga diri saya dan maruah saya dari
lelaki-lelaki yang saya tak kenal. Itu aja! Jawapan saya tetap tak! Jadi tak
perlulah awak membazir masa di sini lagi. Ramai lagi perempuan di luar sana
yang sudi keluar dengan awak. Pergilah cari seorang!” ucap Laila tanpa
mempedulikan perasaan Lukman yang tercalar dengan kata-katanya.
“Saya ikhlas, Laila. Saya memang sukakan awak semenjak
dari kali pertama saya jumpa awak,” ucap Lukman semakin kecewa dengan reaksi
Laila.
“Saya tak boleh! Maaf. Tolong tinggalkan saya sendiri,” tegas Laila.
“Laila, tolong jangan kecewakan saya. Sekurang-kurangnya
awak kena kenali siapa saya sebenarnya. Saya tak seteruk itu! Memang saya tahu
Nazim suka mempermainkan perempuan tapi itu dia. Saya tak boleh terima hukuman
yang dijatuhkan pada saya sedangkan dia yang buat salah. Itu tak betul!” tekan
Lukman cuba membela dirinya. Dalam diam dia malu sendiri dengan pembohongan
yang sudah dilakukannya. Namun demi merebut hati Laila dia terpaksa
melakukannya.
“Jangan dekati saya lagi, Lukman. Saya tak suka!” spontan suara Laila meninggi menentang kemahuan lelaki itu.
“Laila, saya sukakan awak semenjak dari kali pertama saya
ternampak awak dulu. Saya ikhlas. Saya tak berniat nak mempermainkan awak macam
yang awak anggap tu. Berilah saya perluang, sekali aja,” pujuk Lukman semakin lembut.
“Saya anggap awak dah tersalah orang. Jangan sia-siakan
perasaan untuk orang yang tak tepat. Masih ada masa untuk awak berpatah balik,”
jawab Laila sambil memandang wajah Lukman. Dia sedar betapa sayunya pandangan
lelaki itu kepadanya namun dia menganggap riak sebegitu amat mudah direka
apabila perlu.
“Bukan saya yang buat pilihan itu. Awak tak boleh suruh
saya berpatah balik seolah-olah semua tu di bawah kuasa saya. Saya tak minta
semua ni berlaku pada saya. Apa yang dia buat pada semua perempuan tu saya tak
suruh dan saya pun tak suka, Laila. Jangan kerana dia saya yang dihukum. Atau
paling kurang mungkin kita boleh berkawan supaya Laila kenal hati budi saya
yang sebenarnya,” ucap Lukman bersungguh. Hipokritkah dia? Mungkin! Demi mendapatkan kepercayaan Laila, biarlah dia hipokrit berkali-kali.
Laila hanya menggeleng tetap berdegil. Lukman tidak
berhak meminta dia menukarkan pendiriannya setelah apa yang berlaku antara dia
dan Nazim sebelum ini. Sebelum nasi berubah menjadi bubur biarlah dia
berhati-hati.
Lukman menelan liurnya. Dia sudah tidak tahu apa lagi
yang harus dilakukan untuk memujuk Laila. Perlahan semangatnya melurut bersama
kekecewaan yang kian melaut. Perlahan Lukman berpaling. Tanpa kata dia berlalu
dari bilik itu. Dalam diam dia sempat menyumpah Nazim yang menyebabkan ini
terjadi!
“Lukman..” panggil Laila sebelum sempat Lukman melepasi
pintu biliknya. Lukman berpaling perlahan. Wajah Laila dipandang penuh
mengharap agar Laila mengubah pendiriannya.
“Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi ada menyakitkan
hati awak. Saya doakan awak bertemu dengan seseorang yang sesuai dengan awak.”
Laila melembutkan suaranya. Sesungguhnya tiada langsung niat dihatinya mahu
bermusuh dengan sesiapa.
Lukman tidak menjawab. Kata-kata Laila sedikitpun tidak
mengurangkan beban kekecewaannya. Tanpa menanti lagi Lukman segera meninggalkan bilik
itu tanpa menoleh lagi. Hari ini buat pertama kali dalam hidupnya dia merasa
betapa terhinanya dia setelah niat sucinya ditolak mentah-mentah. Lebih malang
lagi dia ditolak oleh seorang wanita berstatus janda!