Isnin, 22 September 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA 9-10



Bab 9

Petang yang damai..
Tetamu sudah pun pergi. Adib dan Mashitah adalah yang terakhir. Qairynn benar-benar kelelahan sepanjang hari ini. Melayan tetamu-tetamu umi dan datuknya itu benar-benar membuatkan dia keletihan. Betisnya juga sudah kekejangan akibat berdiri terlalu lama. 
Qairynn duduk seketika di sebuah kerusi di bawah khemah itu bagi merehatkan kakinya. Jemari runcingnya mula mengurut buku lalinya yang kesakitan.
Itulah.. pakai heels lagi! Nak sangat pakai kasut tinggi macam tu. Ambik kau! Kan dah sakit kaki! Rungut hatinya memarahi diri sendiri. Hanya kerana mahu bergaya di majlis kahwin kakaknya dia sanggup menukar resamnya agar kelihatan cantik seperti wanita lain.
Habis tu takkan aku nak pakai selipar jepun pulak? Bukannya selalu dapat melaram macam ni.. getus hatinya lagi.
Saat sedang mengurut kaki itu Qairynn sempat teringatkan seseorang yang menyapa pandangannya ketika majlis sedang berlangsung tadi. Dia sebenarnya langsung tidak tahu yang Aryan sudah pulang ke Malaysia. Sungguh! Dia benar-benar kaget dengan kemunculan Aryan di rumahnya sebentar tadi. Lelaki itu kelihatan kacak dengan baju melayu berwarna ungu lembut itu. Tampang lelaki itu yang dilihatnya pagi tadi nampak lebih dewasa berbanding dulu. Namun mengenangkan Maya yang masih bergelar kekasih Aryan kelukaan lama kembali dirasakan Qairynn. Semua kenangan dulu masih segar diingatannya walaupun sudah bertahun masa meninggalkannya. Bermulanya hubungan Aryan dan Maya terputuslah keakraban mereka berdua. Bermula juga kisah hitam dalam hidupnya.
“Rynn..” Puan Sri Bethina memanggil anak gadisnya yang duduk bersendirian di bawah khemah itu.
Qairynn lantas menoleh kepada sang emak. “Ya, umi..” sambut Qairynn cukup lembut. Emaknya sedang mendekatinya.
“Kenapa tu?” tanya uminya lembut. Seorang wanita yang tidak pernah meninggikan suara kepada anak-anaknya apabila marah. Dirinya sarat dengan kelembutan dan kasih sayang.
“Kaki ni sakitlah, umi..” adu Qairynn saat emaknya itu berada di sisinya.
Puan Sri Bethina sempat menggeleng saat duduk di bangku bersebelahan dengan Qairynn. Kaki anaknya itu diangkat lalu diletakkan di atas pahanya. Telapak kaki Qairynn diurut dan tumit anak gadisnya itu dipulas-pulas lembut agar hilang sedikit kesakitannya.
“Dah tahu tak biasa pakai kasut macam tu, kenapa pakai jugak. Dah sakit macam ni Rynn jugak yang susah,” bebel si ibu lembut.
“Alah.. semua orang bergaya sakan, takkanlah Rynn nak kalah.” Qairynn menyambut perlahan. Geli pula hatinya memikirkan dirinya. Nasib baiklah tak terpelecok depan orang.
“Anak umi ni tak dengan kasut tinggi begitu pun tetap cantik. Kalau tak takkanlah Firman tu suka, ya tak? Lepas kak Qud selesai nanti, Rynn lah pulak..” giat Puan Sri Bethina sambil menoleh kepada Qairynn. Dia tersenyum penuh makna kepada anaknya itu. 
“Taknaklah umi ni! Dia tu dah tualah..” getus gadis itu pantas. Qairynn mula tergelak mendengar nama itu. Takkanlah dia hendak dipadukkan dengan lelaki berusia 35 tahun itu. Tak mahulah! Memanglah Firman tu baik dan berkerjaya tetap. Tetapi dia yang tidak berkenan. Lelaki baginya terlalu tua untuk dirinya.
“35 tahun taklah tua benar untuk gadis 26 tahun macam Rynn ni. Apa yang penting dia boleh sayangkan Rynn ikhlas,” ujar Puan Sri Bethina tetap lembut. Pada matanya Firman seorang lelaki yang ideal untuk dijadikan suami. Seorang lelaki yang matang untuk anak semanja Qairynn.
“Tapi dia dudalah, umi..” sambut Qairynn rendah sahaja.
“Apa salahnya duda? Bukannya kita ambil hak orang,” ujar Puan Sri Bethina lagi.
“Rynn tak mahu kahwin dengan pilihan keluarga, umi. Tolong jangan paksa Rynn pasal ni,” keluh gadis perlahan. Soal kahwin dia memang bimbang. Dia tidak sekuat kakaknya Qistina yang boleh menerima bakal suami pilihan datuknya begitu sahaja. Juga tidak semudah Qudsiah menerima Amsyar anak kenalan datuknya tanpa perlu berkenalan lebih lama. Soal calon suaminya biarlah dia memilih sendiri. Tetapi Qairynn sedar kongkongan datuknya itu selama ini memaknakan dia juga pasti akan menuruti jejak kakak-kakaknya itu akhirnya. Calon pun sudah ada nampaknya. Itu yang dia risau benar. Kalau dengan Firman itu.. dia tak mahu!
“Rynn dah jumpa Aryan tadi?” Puan Sri Bethina mula mengalih topik perbualan sambil bola mata coklatnya itu mengerling tampang anaknya itu seketika.
“Dah!” jawab Qairynn sepatah sahaja.
“Dia ada datang minta maaf dengan umi. Umi rasa dia juga nak berbaik dengan Rynn.” Puan Sri Bethina berkata lembut dalam pada mood anaknya itu diteliti sebelum meluahkan lebih banyak bicara tentang itu. Namun raut Qairynn biasa sahaja dilihatnya. Macam tidak terkesan apa-apa dengan nama itu.
“Dia takde cakap apa-apa pun dengan Rynn,” ujar Qairynn agak hambar. Bukan lagi kecewa yang menapak dalam hatinya. Tetapi kosong! Dia memang tidak ingin memandang wajah itu lagi selepas ini. Meluat!
“Kalau dia takde cakap apa-apa pun apa salahnya Rynn maafkan dia,” nasihat Puan Sri Bethina lembut.
Kali ini Qairyn hanya berdiam diri. Kata-kata uminya itu langsung tidak singgah di benaknya. Memaafkan Aryan? Entahlah! Susah! Bukan calang-calang dugaan yang dihadapinya setelah ditinggalkan Aryan. Paling dia tidak boleh lupa arwah ayahnya pergi meninggalkan dirinya tatkala dia masih dibaluti duka!
“Tapi umi nak ingatkan Rynn. Jangan lagi terlalu rapat dengan dia macam dulu. Atuk Rynn tak suka! Umi pun tak setuju. Kamu berdua dah cukup dewasa. Rynn dengan dia halal berkahwin. Jadi umi tak mahu kamu berdua ke sana ke mari macam belangkas lagi. Dulu kamu berdua masih mentah tapi sekarang tak manis kalau dipandang orang. Lagipun dia dah ada kekasih. Jangan nanti timbul cerita yang tak sedap didengar. Sebagai perempuan kita kena jaga maruah kita supaya tak dipandang hina oleh orang sekeliling. Rynn tahukan angin atuk tu macamana?” pesan sang emak lembut.
“Rynn nak rapat dengan dia? Tak kot! Rynn malas nak ada apa-apa lagi dengan dia. Macam ni aja dah cukup membahagiakan Rynn, umi. Rynn tak pernah harap dia datang semula untuk berbaik dengan Rynn.” Qairynn mendesis agak perlahan. Matanya terus tertumpu kepada jari jemari uminya yang sedang mengurut kakinya.
“Tapi tak salah Rynn maafkan diakan? Umi tahu dia menyesal dengan apa yang berlaku dulu. Lagipun tak baik kita bermusuhan lama-lama. Nak-nak lagi keluarga Aryan berjiran dengan atuk dan nenek Rynn,” ujar Puan Sri Bethina pula. Lembut memujuk agar Qairynn tidak lagi menyimpan dendam kepada Aryan.
“Alah! Yang berjiran dengan dia atuk dengan nenek. Bukannya kita. Biarkan jelah!” bantah Qairynn mudah.
Puan Sri Bethina menghela nafas perlahan. Dia tahu masih ada luka yang bersisa di hati Qairynn dek kerana kisah dulu itu. “Tapikan sekali sekala Rynn balik ke sini? Pandang kiri, pandang kanan terjumpa juga nanti. Takkan selamanya tak mahu bertegur sapa?” pujuk Puan Sri Bethina lembut.
Qairynn hanya berdiam tidak menjawab. Dalam hatinya dia masih tidak mampu menyediakan apa-apa ruang untuk memaafkan Aryan. Tidak sama sekali! Kerana Aryan masa depannya hampir musnah! Kerana perbuatan kekasih Aryan kepadanya, ayahnya meninggal dunia! Dia tidak akan memaafkan Aryan selama-lamanya!
“Rynn masih mengharapkan dia ke?” teka Puan Sri Bethina lembut.
Terus tersentak Qairynn dengan telahan emaknya itu. Tampang sang emak dipandang dengan mata melolot. “Pleaselah! Rynn takde sebab nak mengharap lagi pada dia, umi. Dulu pun dia bukannya kekasih Rynn. Kami cuma rapat aja,” tegas Qairynn enggan membiarkan emaknya terus beranggapan begitu.
Tanpa sedar Puan Sri Bethina tersenyum sedikit. Penafian begitu sudah diagaknya. Namun jangan kata dia tidak mengerti apa yang pernah melanda hati anak gadisnya. Jika bukan kerana cinta masakan Qairynn begitu kecewa dulu? Jika bukan kerana sayang yang cukup mendalam suatu masa dulu masakan hari ini Qairynn enggan memaafkan Aryan?
Puan Sri Bethina kembali menatap wajah manis Qairynn. “Sakit kaki lagi?” tanyanya kepada anak manjanya itu.
Qairynn lantas menggeleng sambil tersenyum. “Terima kasih, umi.” Kakinya dijatuhkan perlahan dari atas paha ibunya itu. Ibu yang menjaganya semenjak dia kehilangan ayah hampir 8 tahun yang lalu.
“Sama-sama. Dahlah! Pergilah naik solat sana. Kat luar ni tak payah nak dikemas. Biar diorang yang buat.” Puan Sri Bethina berbicara lembut.
Qairynn akur. Tanpa kata lagi dia segera bangun. Namun saat dia menghampiri pintu rumahnya secara tidak sengaja dia terpandangkan rumah bersebelahan dengan rumah datuknya itu. Matanya segera terkesan ada satu lembaga yang berdiri di salah satu tingkap di tingkat paling atas, sedang memerhatikan aktiviti di halaman rumah datuknya itu. Apabila terlihatkan pandangannya lembaga itu pantas menarik langsir bagi melindungi dirinya.
Qairynn terkedu seketika. Tingkap itu setahunya adalah tingkap bilik Aryan! Malas mahu menayang diri di hadapan lelaki itu Qairynn lantas masuk ke dalam rumah.
Selesai bersolat asar Qairynn merenggangkan sedikit langsir biliknya. Tingkap yang tidak dibuka sekian lama dibukanya bagi membolehkan udara masuk ke bilik yang sudah lama tidak dijejakinya. Namun saat itu matanya tidak lari dari terpandangkan tingkap bilik Aryan yang berada setentang dengan tingkap biliknya itu. Tidak lagi seperti tadi, kali ini langsirnya bertutup penuh. Tiada lagi batang tubuh si pengintai di situ.
Qairynn mendegus. Meluat! Mengenangkan Aryan dan Maya yang bergandingan bersama sepanjang majlis tadi, dia semakin tidak mampu mengawal rasa jengkelnya. Namun sekali sekala dia ada terpandangkan lelaki itu. Aryan kelihatan seperti patung tidak bernyawa sepanjang berada di sebelah Maya. Beberapa kali dia tertangkap renungan Aryan kepadanya. Tetapi dia hanya buat tidak kenal. Membalas pandangan lelaki itu juga tidak selera. Dia benar-benar tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan Aryan lagi selepas pertemuan singkat pagi tadi. Jika tidak kerana tegahan atuknya sekalipun, Qairynn sendiri sudah tidak mahu melalui kisah yang sama seperti dulu. Cerita antara dia dan Aryan sudah pupus semenjak 8 tahun lalu. Titik!
Qairynn mula membaringkan tubuhnya di atas katil. Niatnya mahu berehat seketika namun dia terlelap akhirnya..
Sementara itu Aryan di rumah sebelah pula asyik mundar mandir di dalam biliknya. Hatinya resah. Akalnya asyik berfikir sendiri.
Alahai.. macamana boleh kantoi mengintai ni? Mesti dia makin tak suka kat aku.. ucap hati Aryan sendiri. Sedari tadi dia begitu asyik mengintai Qairynn sehingga dia kelalaian. Tidak sangka dalam sekelip mata gadis itu boleh memandang ke arah rumahnya. Tidak sempat mahu menyorok Qairynn sudah ternampak kelibatnya. Namun dia tahu Qairynn tidak senang dengan perbuatannya sebentar tadi. Cepat sahaja bekas adik angkatnya itu berlari masuk ke dalam rumah.
Entah kenapa semenjak terpandangkan wajah tanpa emosi itu sebentar tadi, hatinya tidak tenang. Dia asyik terbayang-bayangkan keanggunan Qairynn di sebalik kebaya hijau itu. Senyum yang terukir di bibir Qairynn benar-benar membuatkan dia tidak senang duduk lagi. Tetapi mahu mendekati Qairynn dia berat pula! Takut dimaki pula nanti.
“Macamana aku nak pujuk dia ya? Minta maaf aja cukup ke?” ucap Aryan sendiri. Saranan emaknya agar dia berbaik dengan Qairynn memang amat dialu-alukannya dalam keadaan hatinya begini. Kalau emaknya tidak menyuruh sekalipun dia sendiri sedia melakukannya. Tetapi reaksi Qairynn itu yang membuatkan dia buntu seketika.
“Call dia ajalah..” bisik Aryan sendiri. Sementelah dia pun masih ingat nombor telefon rumah sebelah. Jadi eloklah telefon sahaja daripada bercakap seorang diri.
Aryan mencapai telefon bimbitnya. Beberapa angka didailnya. Kemudian telefon itu terus dilekapkan di telinganya. Beberapa ketika kemudian panggilannya dijawab. Suara seorang wanita kedengaran.
“Hello.. mahu bicara sama siapa?” loghat Indonesia yang kedengaran itu meyakinkan Aryan Nong yang sedang berada di talian itu. Lega sedikit hatinya. Takut juga dia kut-kut Qudsiah atau ahli keluarga Qairynn yang lain menjawab panggilan itu.
“Qairynn ada?” ucap Aryan setelah menghela nafas seketika.
“Maaf.. siapa di sana itu?”
“Aryan..”
“Maaf ya Pak Aryan.. mana-mana lelaki yang mahu bicara sama Qairynn, harus minta izin Tan Sri dulu. Mau saya panggilkan Tan Sri ke sini?” ujar Nong di hujung sana.
“Ha? Kena minta izin atuk?” kata-kata itu meluncur di bibir Aryan tanpa sedar.
“Ya, pak.. mana-mana lelaki yang mahu berbual dengan Qairynn atau sama Qudsiah harus minta izin dulu sama Tan Sri,” jawab Nong lembut sahaja.
“Tapi saya kan biasa bercakap sama Qairynn? Takkanlah saya pun nak kena minta izin jugak,” desis Aryan sudah tidak sedap hati dengan keadaan ini.
“Asalkan makhluk itu suaranya seperti lelaki harus minta izin dulu, Pak Aryan. Saya hanya diberikan arahan oleh Tan Sri. Tan Sri tidak suka mana-mana lelaki menganggu cucu-cucunya itu,” jelas Nong cukup patuh. Dia sudah cukup faham betapa ketatnya protokol keluarga ini berkaitan dengan pergaulan Qairynn, Qudsiah dan Qistina.
Aryan meneguk liurnya. Dia tidak tahu pula sekarang ini ada peraturan baru. “Takpelah kalau macam tu.”
“Enggak mahu bercakap sama Tan Sri. Saya bisa panggilkan,” ujar Nong lembut.
“Tak payahlah. Nanti aja saya call balik,” jawab Aryan rendah. Mahu meminta izin dengan atuk untuk bercakap dengan Qairynn? Takut woo...
“Okay..” sambut Nong sepatah.
Setelah mematikan talian Aryan duduk seketika di birai katil. Hajat yang tidak kesampaian membuatkan dia mengeluh kecewa. Nampaknya keadaan sudah tidak selonggar dulu. Padanlah dengan muka aku! Sekarang baru aku tahu, ejek hatinya sendiri.
Resah hati yang tidak terpadam membuatkan Aryan kembali berdiri di sebalik langsir. Tingkap rumah sebelah kembali diintainya. Tingkap di sebelah sedang terbuka luas. Namun dia masih tidak dapat melihat bayang Qairynn. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia memanjat ke rumah sebelah. Bukannya dia tidak biasa buat begitu dulu. Tapi sekarang kalau dia buat begitu, kalau tertangkap mahu ke balai polis dia akhirnya nanti. Aryan yakin sangat.
Tetapi apa lagi cara yang ada untuk dia bersemuka dengan Qairynn? Gejolak hatinya saat ini macam sudah tidak tertahan lagi. Tak dapat tengok orangnya, tengok tingkap pun jadilah! Okaylah tu daripada tak dapat langsung..
Argh! Agi hidup agi ngelaban, Aryan. Aku kena buat sesuatu! Pertama aku kena selidik di mana dia kerja. Lepas tu barulah aku boleh jumpa dia kat luar..  desis hati anak muda itu masih tidak berputus asa.
Apa jadi sekali pun dia mesti berhadapan dengan Qairynn sesegera yang mungkin. Dia tidak mahu menunggu lagi. seperti mana 8 tahun ini dibiarkan berlalu begitu sahaja hanya kerana dia terlalu ditekan rasa bersalah. Dia tidak sanggup menghubungi Qairynn selepas peristiwa malam itu. malah ketika dia ke US dulu pun dia tidak ada meninggalkan sebarang pesan atau ucapan selamat tinggal kepada Qairynn. Mereka tidak ada bertemu langsung selepas peristiwa malam itu.
Rasa kesal yang mengempang di hati membuatkan Aryan mengeluh sendiri. “Maafkan abang, Rynn. Dulu abang khilaf..” rintih si lelaki perlahan.
Aryan kembali terduduk di sisi katil bujangnya. Wajahnya diraup perlahan. Sesungguhnya itulah satu-satunya kesalahan yang membuatkan dia sendiri pun tidak mampu memaafkan dirinya sendiri. Dia tidak tahu mengapa dia begitu lemah ketika itu. Juga terlalu bodoh!



Bab 10

Dato Mukhsin menapak keluar dari ruang tamu rumah itu untuk ke halaman rumah. Namun saat berada di luar dia terpandangkan gelagat anak lelakinya sedang berada di halaman rumah itu. Terpaku seketika dia memandang belakang tubuh Aryan. Hairan benar dia melihat tingkah anak lelakinya itu. Aryan dilihatnya sedang terintai-intai melalui tembok pagar tinggi yang memisahkan rumahnya dan rumah sebelah. Seolah-olah ada sesuatu sedang dicarinya di rumah sebelah. Aryan pula langsung tidak sedar ayahnya sedang memandang kelakuannya itu.
Melihat itu, timbul keinginan di hati tuanya untuk mengenakan Aryan. Dalam derap perlahan Dato Mukhsin mendekati Aryan yang masih ralik mengintai rumah sebelah. Kemudian dengan selamba dia berdiri di sebelah Aryan. Dia juga ikut terintai-intai seperti anaknya.
“Kamu cari apa kat rumah atuk tu, Aryan?” tegur Dato Mukhsin sambil memandang ke arah halaman sebelah.
“Hish! Papa ni buat terkejut orang ajalah,” tukas Aryan terkejut besar akibat diterpa suara ayahnya tiba-tiba. Hampir terlompat dia melihat ayahnya berdiri di sebelahnya itu. Selebihnya dia malu dengan kelakuannya tadi.
“Terkejut apa kebendanya? Yang kamu intai-intai rumah sebelah tu kenapa? Kamu cari siapa?” tanya Dato Mukhsin lagi.
“Takde apa-apa. Aryan cuma tengok bunga-bunga yang ada kat laman sebelah tu. Cantik! Dulu rumah sebelah ni takde banyak bunga sangatkan? Sekarang banyak pulak. Rajin nenek tanam bunga,” balas Aryan cuba menutupi kegelabahannya dengan lagak selamba.
Dato Mukhsin tergelak perlahan sambil menggeleng. Tujuannya untuk menikmati suasana petang di meja marmar di halaman rumah itu diteruskan tanpa mempelawa Aryan.
“Sejak balik dari US ni kamu dah mula suka tengok bunga pulak papa tengok. Dah jadi mat bunga ke? Sebelum ni bunga kat laman tu banyak ke, sikit ke.. langsung kamu tak peduli.”
Aryan terkumpal-kumpal memandang ayahnya. Sakit telinganya mendengar ejekan ayahnya itu.
“Hmm.. Pelik juga ya? Bunga kat laman sebelah pulak yang kamu kisahkan. Kat laman rumah kita ni pun banyak bunga mama kamu tanam. Ada bunga ros, bunga orkid.. bunga tahi ayam pun ada. Kamu tak mahu belek pulak. Bunga apa yang kamu cari ni sebenarnya? Bunga kat laman rumah atau bunga yang ada kat dalam rumah?” perli Dato Mukhsin sambil mengerling Aryan sedikit sinis. Punggungnya terus dilabuhkan di kerusi marmar tidak jauh dari anaknya itu.
Aryan terus terkulat-kulat menerima perlian ayahnya itu. Tebal dirasakan kulit mukanya saat itu. Buat seketika dia memandang sahaja ayahnya yang mula membaca akhbar di meja marmar itu. Niatnya mahu melihat ‘seseorang’ di rumah sebelah dibatalkan memandangkan ayahnya ada di situ. Orang yang dicarinya itu pun masih juga tidak muncul-muncul biarpun sudah berkali-kali dia menjadi pegintai yang setia.
Akhirnya Aryan mula menapak ke arah Dato Mukhsin. Punggungnya diletakkan di atas kerusi di hadapan ayahnya yang mula ralik membaca akhbar Utusan Malaysia. Wajah tenang lelaki itu terus disapu bersih oleh matanya.
“Pa, kalau Aryan tanya sikit boleh?” Aryan bersuara lembut, mencelah keralikan ayahnya dengan akhbar itu.
“Sejak bila pulak kamu pandai minta izin nak bertanya pada papa ni?” jawab Dato Mukhsin sambil mengerling sekilas anak lelakinya itu. Perhatiannya kepada akhbar itu masih diteruskan. Namun dia tetap ingin mendengar apa yang mahu diutarakan Aryan.
“Uncle Qayyum meninggal sebab apa, pa?” soal Aryan setelah sekian lama dia memendam keinginan untuk bertanya.
Pertanyaan Aryan terus membuatkan Dato Mukhsin mengangkat pandangannya. Buat seketika dia memandang tampang anaknya itu tanpa menjawab apa-apa. Namun anak muda itu sudah mula serba salah akibat dipanah oleh sinar mata ayahnya yang agak tajam. Jika dia tidak tersalah tafsir, ada sedikit terselit rasa tidak senang sedang dihantar oleh ayahnya melalui pandangan itu.
“Kamu terintai-intai begitu tadi sebab Rynn ke?” soal Dato Mukhsin tanpa menjawab soalan yang ditanyakan anaknya itu tadi. Nadanya serta merta berubah menjadi sedikit tajam. Ada sesuatu yang tidak disukainya saat itu.
Aryan tunduk seketika. Bukannya dia tidak punya jawapannya tetapi dia segan mahu berterus terang. Memang Qairynn yang mahu dicarinya. Daripada Kak Rina dia mendapat tahu kereta Walkswagon Golf Gti yang terpakir di hadapan banglo besar itu adalah milik Qairynn. Jadi bermakna Qairynn masih belum pulang ke rumah uminya di Monk Kiara.
Demi kenyataan itu harapannya kian menggunung untuk melihat Qairynn. Mana tahu gadis itu akan melepak-lepak di buaian di halaman rumah seperti dulu. Namun dia terus hampa! Kelibat Qairynn langsung tidak kelihatan.
“Kamu cari dia lagi untuk apa?” tanya Dato Mukhsin sedikit lembut. Wajah anak lelakinya dipandang tanpa jemu. Ingin benar dia mengetahui apa yang sedang bermain di hati anak muda ini.
“Aryan cuma nak berbaik dengan dia, pa. Lagipun dah lama Aryan tak jumpa dia,” jawab Aryan agak rendah.
“Kamu dah lama tak jumpa dia? Kamu tahu tak, selama 8 tahun kamu di US berapa kali Rynn juga ada ke US? Pernah kamu jumpa dia di sana?” tanya Dato Mukhsin serius.
Spontan mata Aryan membesar. Qairynn ada ke US selama ini? Sungguh! Dia langsung tak tahu semua itu? Tiada sesiapa yang memberitahunya. “Mana Aryan tahu, pa. Selama ni Aryan..”
“Selama ni kamu dengan dia langsung tak berhubung,” pintas Dato Mukhsin sedikit tajam sebelum sempat Aryan menghabiskan bicara.
Aryan terpegun memandang wajah ayahnya itu. Rasa tidak enak di hati kini sudah tidak tersukat. Nada ayahnya menjelaskan yang ayahnya juga marah dengan perbuatannya dulu.
“Kamu putuskan hubungan kamu dengan dia begitu saja! Sebab itu kamu tak tahu yang Qairynn pernah tinggal selama 2 tahun di LA.” Dato Mukhsin berkata lagi sambil merenung tajam tampang Aryan. Kalaulah Aryan tahu apa sebenarnya yang berlaku, entah apalah yang akan terjadi.
“Rynn tinggal di LA?” soal Aryan agak payah. Liurnya terasa tidak tertelan.
“Ya.. berapa jauh LA dengan New York?” perli Dato Mukhsin sedikit sinis.
Aryan mula terkedip-kedip memandang ayahnya. Tiada kata yang dapat dilontarkan untuk menyanggah bicara ayahnya itu. Memang benar. Selama ini dia tidak pernah menghubungi Qairynn semula. Biarpun sekadar email untuk bertanya khabar. Bodohnya dia! Jika benar gadis itu pernah berada di LA ketika dia masih berada di New York dulu, mungkin dia boleh mengambil peluang untuk menjernihkan kekeruhan hubungan mereka. Tetapi sayangnya dia langsung tidak tahu!
“Kalau kamu tak buat begitu mungkin marah dia pada kamu tak setebal hari ni, Aryan. Papa tengok dia kecil hati benar dengan sikap kamu selama ini. Kamu tinggalkan dia begitu saja disebabkan perempuan lain. Sepuluh kali kamu dah ada kekasih sekalipun, perlu ke kamu layan dia seperti itu? Sekarang kamu cari dia lagi untuk apa? Kamu nak tengok dia jadi macam dulu lagi?” ucap Dato Mukhsin sedikit lembut.
“Pa, itukan cerita dulu? Aryan tak sengaja waktu tu, pa..” keluh Aryan agak perlahan. Kata-kata ayahnya semakin membuatkan dia merasa berat untuk mendekati Qairynn. Dia tiada kekuatan. Dia malu!
Dato Mukhsin diam seketika dalam pada menghela nafas perlahan. “Ada sesetengah perkara yang tak mudah untuk dilupakan begitu saja, Aryan. Kadang-kadang satu kesalahan yang kita anggap kecil, sebenarnya memberi akibat yang besar pada orang lain. Keadaan hidup Qairynn dulu selepas kamu tinggalkan dia, kamu langsung tak tahu. Kamu tak pernah ambil tahu! Seolah-olah dah benci benar kamu pada dia. Kalau papa jadi dia sekalipun, papa takkan mudah memaafkan segala perbuatan kamu ni! Dan kalau dia masih tak boleh maafkan kamu sampai hari ni, papa tak salahkan dia. Sebab itu hak dia!” ucap Dato’ Mukhsin bersungguh.
Aryan terus terdiam menahan perasaan sendiri. Untuk apa dia membantah jika semua itu sememangnya benar? Perlahan dia tunduk meraup wajahnya. Bicara yang disogokkkan ke telinganya membuatkan dia semakin tertekan dengan perasaan sendiri.
“Papa bukannya tak suka kamu berbaik semula dengan Rynn semula. Papa suka.. sebab papa pun tak mahu kamu bermusuhan lama-lama dengan dia. Tapi yang papa tak suka kamu rapat semula dengan dia. Papa tak mahu kamu bagi harapan palsu lagi pada dia. Cukup dengan hanya meminta maaf. Kamu tak perlu nak mendekatkan diri pada dia lagi. Kamu pun dah ada Maya. Kalau kamu dah bersedia, papa dan mama nak masuk meminang Maya cepat-cepat. Tak elok kamu berkawan dengan anak dara orang lama-lama, Aryan. Kalau dah betul kamu sukakan Maya, cepat-cepatlah halalkan hubungan tu. Kamu tu pun dah 28 tahun. Elok benar kalau kamu berkahwin,” ujar Dato Mukhsin selamba. Selepas itu dia kembali memandang akhbarnya di atas meja itu.
Terbeliak mata Aryan mendengar cadangan ayahnya itu. Meminang Maya? Oh, tidak! Dia sendiri tidak pernah terbayang sehingga ke situ dengan Maya. Kini ayahnya pula dengan rela hati menyuruh dia berkahwin dengan Maya. Seluruh jiwanya seperti mahu menjerit mahu menolak nama yang disebutkan ayahnya itu. Namun entah kenapa lidahnya kelu. Akhirnya Aryan terkulat-kulat sendiri di meja itu.
“Aryan..” panggilan Adrina dari ambang pintu rumah itu segera mengalihkan tumpuan Aryan.
“Ada apa?” sambut Aryan agak hambar.
“Sini kejap,” panggil Adrina bersama lambaiannya kepada adiknya itu.
“Ada apa?” soal Aryan sekali lagi setelah berada di hadapan kakaknya itu.
“Kak Rina dah nak balik ni. Boleh panggilkan Aiman kat rumah sebelah tak?” ucap Adrina sambil tersengih sedikit.
“Aiman kat rumah sebelah?” tanya Aryan semula. Bila masa pula anak saudaranya ke rumah sebelah? Tak ajak pak ngah pula tu? Tak guna punya Aiman! Lain kali nak merayap ke sana ajak pak ngah sekali! Kita merayap secara berjemaah. Sempat lagi Aryan mengarut sendiri.
“Daripada tengahari tadi dia dah merayap ke sana. Panggilkan sekejap. Kak Rina nak kemas baju laki akak ni..”
Tiba-tiba seisi ruang di sekeliling Aryan terasa bercahaya mendengar itu. Peluang.. “Okay!” sepantas kilat Aryan bersetuju.
Tanpa menunggu lagi Aryan segera menapak ke pintu pagar rumahnya untuk ke rumah sebelah. Berkobar-kobar semangatnya. Bolehlah dia buat-buat terserempak dengan Qairynn nanti.
Di hadapan pintu rumah yang bertutup itu Aryan menekan loceng. Beberapa saat kemudian Nong membuka pintu untuk menyambut kedatangannya.
“Mahu mengambil Aiman ya?” soal Nong bagaikan tahu maksud kedatangan Aryan ke situ.
“Iya. Mana dia?” soal Aryan sambil tersenyum.
“Ada di atas. Di kamarnya Rynn. Masuk dulu Pak Aryan. Saya panggilkan dia sebentar,” balas Nong lembut lantas melebarkan pintu untuk Aryan.
“Qairynn ada?” tanya Aryan sebelum sempat Nong berpaling daripadanya.
“Ada di atas.”
“Puan Sri dengan Tan Sri?” tanya Aryan lagi. Sunyi sahaja rumah ini dilihatnya.
“Puan Sri sama Tan Sri keluar dengan Puan Sri Bethina dan Qudsiah. Yang ada cuma Qairynn sama Abdah di atas. Qistina sama suaminya sudah pulang ke rumah keluarga di sebelah sana. Saudara-saudara yang lain juga udah pulang kelmarin lagi,” terang Nong lembut, lengkap semuanya.
Aryan terus mengangguk. Abdah kalau tidak silapnya saudara dari sebelah Puan Sri Bethina. Kalau tidak silapnya, Abdah itu datang dari Cairo.
“Panggilkan Aiman sekejap. Mak dia dah nak balik tu,” pinta Aryan lembut.
“Iya. Sebentar ya, pak?”
Hmm.. bila masa aku jadi bapak dia? seingatnya dulu dia tidak pula dipanggil Pak Aryan dek si Nong ini. Ah! Lantaklah kau, Nong! Harap-harap Nong adalah bagitahu si Qairynn tu yang aku ada kat sini. Mintak-mintak dia turunlah sekejap.. seru hati Aryan sedikit resah.
Namun seketika kemudian hanya Nong dan Aiman yang turun. Qairynn yang amat diharap-harapkan masih juga tidak kelihatan. Melepaslah dia nak buat-buat bertembung kononnya.. Aryan mengeluh sendiri lagi. Anak saudaranya itu kelihatan sedikit mamai. Agaknya baru bangun tidur. Aduhai.. punah harapannya mahu menatap seraut wajah bujur sirih itu!
“Qairynn kenapa tak turun sekali?” tanya Aryan agak perlahan. Pada Nong dia beranilah bertanya lebih-lebih. Nong mungkin tak tahu apa-apa pasal kisah lamanya dengan Qairynn. Kalau Qudsiah.. mahu kena maki kaw-kaw dia nanti.
“Entah! Dia cuma buat tidak tahu bila saya bilang bapak ada di sini.” Nong membalas dengan nada sedikit hairan. Berkerut keningnya memikirkan kelakuan Qairynn sebentar tadi. Kalau dahulu.. sebut saja nama Aryan terlompat-lompat Qairynn mahu lekas bertemu. Sekarang? Macam takde emosi aja! Hairan! Mungkin sebab mereka sudah lama tidak bertemu kerana itu mereka jadi renggang begitu.. itulah andaian yang sempat jejak di fikiran Nong.
“Takpelah, Nong. Saya balik dulu ya?” jawab Aryan rendah. Kecewa benar dia dengan penjelasan Nong itu. Apa boleh buat. Orang dah tak sudi..
“Yalah..” balas Nong akur.
Namun baru sahaja dia mahu menyarung selipar di hadapan pintu rumah itu, Aryan terperasan ada kelibat seseorang turun dari tingkat atas. Sesaat dua kemudian wajah yang amat diharapkan menjelma akhirnya di hadapan matanya. Nong pula apabila melihat Qairynn ada di situ, dia segera meminggir.
“Ni Aiman punya..” ucap Qairynn selamba sambil menayangkan patung robot Ben10 milik Aiman yang tertinggal di biliknya. Dia sempat tersenyum manis kepada anak kecil itu.
Melihat patung kesayangannya itu, Aiman terus menyambut huluran Qairynn.
“Cakap apa?” ucap Aryan lembut kepada anak buahnya itu. Syukurlah kau tertinggalkan patung tu, Aiman. Lain kali tinggalkan banyak sikit patung tu.. bisik hatinya penuh kelegaan.
“Terima kasih, kakak..” sambut Aiman sambil menayangkan gigi kecilnya kepada Qairynn yang masih tersenyum merenungnya.
“Sama-sama..” balas Qairynn lembut masih tidak melepaskan pandangannya kepada anak kecil itu. Sengaja.. sebab dia tidak selera mahu memandang Aryan di sebelah anak itu.
“Aiman dah nak balik rumah Aiman ya? Nanti ada masa Aiman datang sini lagi ya?” ujar Qairynn lembut.
“Okay..” balas Aiman sambil tersengih. Seronok kerana Qairynn sering memanjakannya.
Jangan lupa ajak pak ngah sekali nanti, Aiman. Kakak punya pasal, pak ngah memang ada banyak masa.. Aryan hanya mampu berkata sendiri dalam hati.
“Okay, bye..” Qairynn mula berpaling untuk masuk semula ke dalam.
“Rynn..” Aryan segera mencelah peluang sebelum sempat Qairynn menjauh daripadanya.
Qairynn tidak menjawab sebaliknya dia hanya menoleh kepada Aryan. Senyuman yang terukir buat Aiman tadi langsung tidak tersisa lagi sebaik sahaja tatapan bola matanya menjejaki wajah Aryan yang sedang terhala kepadanya.
“Abang nak berjumpa dengan Rynn nanti, boleh?” tanya Aryan cukup lembut.
“Untuk apa?” ucap Qairynn tanpa sedikit pun kemesraan.
“Abang nak minta maaf dengan Rynn atas apa yang berlaku pada kita dulu,” luah Aryan sedikit rendah.
“Kalau setakat nak minta maaf tak perlulah nak privasi sangat. Kat sini aja dah cukup,” balas Qairynn agak mendatar.
Aryan sedikit hilang bicara melihat tingkah Qairynn. Dadanya pedih melihat kedinginan gadis itu. “Maafkan abang, Rynn. Abang tahu.. abang tak sepatutnya buat macam tu pada Rynn. Abang betul-betul menyesal dengan apa yang abang dah buat,” ucap Aryan sedikit merendah nadanya. Wajah kosong Qairynn seolah-olah tidak mampu dipandangnya.
Qairynn hanya diam tidak membalas. Permohonan maaf Aryan masih tidak mampu menggegarkan tembok kebenciannya yang kukuh terbina selama ini biarpun nada itu kedengaran sarat dengan kekesalan.
“Rynn, abang betul-betul minta maaf atas segala yang berlaku. Abang..”
“Aryan!!!!” laungan yang datang dari arah kediamannya itu mematikan apa yang hendak disampaikan Aryan kepada Qairynn. Aryan lantas menoleh ke arah rumahnya. Kakaknya sedang melambai kepadanya melalui tembok pagar yang tinggi itu. Dia mengerti maksud panggilan itu. Kak Rina mahu dia lekas membawa Aiman pulang.
Perlahan terhela keluhan hampa Aryan. Tidak kesampaian lagi hasratnya. Kacau daun betullah, Kak Rina ni! Getus hatinya geram.
“Ya..” jerit Aryan semula dengan nada bosan. Mengacau sungguh! Qairynn di hadapan Aryan masih seperti tadi. Langsung tidak terkutik apa-apa.
“Cepatlah! Abang Bad dah tunggu ni!” jerit Adrina dari tembok itu.
Aryan mengeluh sendiri sambil memusatkan padangan kepada Qairynn. Gadis itu sekadar memandangnya sekilas.
“Pergilah balik. Kak Rina dah panggil tu,” ucap Qairynn sengaja mahu menghalau.
“Takpelah. Abang balik dulu. Nanti ada masa kita berbual lagi,” ujar Aryan bernada sedikit kecewa. Qairynn hanya diam tanpa menyambut bicara Aryan.


Di ambang pintu rumah Aryan sempat menjeling kakaknya. Geram dia kerana Adrina mencelah perbualannya dengan Qairynn sebentar tadu. Sudahlah susah mahu bertentang mata. Adrina pula mengganggu disaat dan minit yang sungguh tidak tepat!
“Aik? Marah ke?” ucap Adrina lantas ketawa kecil.
Aryan diam tidak menjawab. Terus dia membawa Aiman masuk ke dalam rumah diikuti Adrina. Kemudian tubuhnya dihumban ke sofa. Apa yang dipandangnya tadi kembali difikirkannya.
“Esokkan masih ada? Pejabat Rynn dekat dengan pejabat Kak Rina. Kalau nak senang jumpa dia, pergilah sana,” ujar Adrina macam sengaja melorongkan jalan buat adiknya itu. Namun suaranya sengaja diperlahankan agar emak dan ayahnya tidak mendengar bicaranya.
Mendengar itu Aryan segera menoleh kepada kakaknya. Batang tubuh Adrina terus ditarik duduk di sofa bersamanya.
“Pejabat Rynn? Dia tak kerja dengan atuk ke?” soal Aryan sedikit keliru. Setahunya pejabat perniagaan keluarga itu tidak berada di kawasan yang dimaksudkan oleh kakaknya. Pejabat Puan Sri Bethina pula di Jalan P Ramlee. Sedangkan pejabat kakaknya berada di Jalan Sultan yang terletak di PJ.
“Rynn tak kerja dengan family sendiri. Tak tahu ke?” balas Adrina selamba.
“Tak tahu pulak pasal tu..”
“Hmm.. dia kerja dengan MPPJ semenjak dia habis belajar dulu. Dia jurutera sivil sekarang,” jawab Adrina menerangkan serba ringkas. Hampir setiap hari bertemu Qairynn di luar, sedikit sebanyak dia tahu tentang itu. Malah hubungannya dengan Qairynn masih baik.
Aryan termanggu seketika memandang kakaknya. Tiba-tiba dia disapa rasa kagum melihat keperibadian Qairynn. Qairynn lebih suka makan gaji daripada menempel kekayaan keluarga yang membuak-buak. Tidak seperti dirinya. Dia terpaksa berkerja dengan ayahnya untuk terus hidup dalam dunia serba berteknologi sekarang ini.
“Betul ke papa kata Rynn pernah menetap di LA dulu?” kali ini Aryan meminta kepastian daripada kakaknya pula. Baginya Adrina lebih terbuka tentang Qairynn berbanding ayahnya.
“Banyak kali..” jawab Adrina selamba. Seolah-olah tiada apa yang menghairankan dengan itu. Kalau iya pun kenapa?
“Kenapa Kak Rina tak pernah bagitahu Aryan yang dia ada menetap di US? Kalau Aryan tahu dah tentu Aryab pergi cari dia masa tu,” ujar Aryan sedikit kesal.
“Dia di LA, Aryan pula di New York. Kan jauh tu? Lagipun waktu tu manalah Kak Rina tahu Aryan nak jumpa Rynn lagi? Ingatkan dah ada Maya semuanya dah cukup!” perli Adrina selamba.
Menyedari dirinya disindir, Aryan mendecit perlahan. Namun tidak pula dia mahu menolak kata-kata kakaknya itu. Memang salahnya!
“Dia memang pernah ke LA dulu. Dia ambil A level kat sana,” cerita Adrina lagi.
“Arwah ayah Rynn meninggal sebab apa?” tanya Aryan semakin berminat sementelah Adrina cukup senang menjawab segala soalannya.
Namun kali ini pertanyaan Aryan membuatkan Adrina terdiam. Aryan yang memandang, mula terkesan riak yang sama seperti yang pernah dilihatnya sebelum ini pada wajah ayahnya.  Kali ini kakaknya juga sedikit berat mahu menjawab soalannya itu.
“Kenapa?” soal Aryan hairan. Sebentar tadi ayahnya juga tidak menjawab soalannya. Kini Adrina juga begitu. Seolah-olah ada rahsia besar yang sengaja mahu di simpan.
“Uncel Qayyum meninggal sebab sakit jantung agaknya. Entahlah.. kak Rina tak tahu sangat pasal tu. Akak tahu pun daripada papa. Yang pastinya ayah dia meninggal sehari selepas Aryan berlepas ke US dulu. Rynn sampai masuk wad, mungkin sebab terkejut dengan apa yang berlaku.” Adrina meluahkan bicara agak perlahan. Sayu mengenangkan keadaan waktu itu. Namun maaflah! Ada cerita yang sengaja dipesongkan agar Aryan tidak tahu apa yang berlaku. Memang Rynn masuk ke wad pada hari ayahnya meninggal. Ada kisah yang tidak boleh dibukanya. Papanya tidak mengizinkan sesiapa menyebut lagi tentang itu. Apatah lagi menceritakan kepada Aryan.
Aryan mula terdiam. Sedih hatinya mengenangkan apa yang diceritakan oleh kakaknya itu. Tan Sri Qayyum melayannya seperti seorang anak selama ini memandangkan Qairynn memang tidak punya adik beradik lelaki. Berdosakah dia selama ini? Saat mengetahui lelaki itu meninggal dunia tiada apa yang dilakukannya.
Silapnya dia ketika dia mengetahui tentang pemergian lelaki yang dipanggil ayah olehnya selama ini itu, dia tidak pernah cuba menghubungi Qairynn yang mungkin sedang dalam kesedihan. Dia hanya buat tidak tahu. Bukannya dia tidak terkesan dengan kisah itu atau tidak memikirkan keadaan Qairynn. Tetapi Maya yang ketika itu masih ‘menguasai’ keadaan, tidak membenarkan dia berbuat begitu. Akhirnya semuanya berlalu begitu sahaja.
“Tapi Aryan jangan sebut lagi pasal itu pada Rynn ya? Jangan sesekali sebut lagi pasal uncle Qayyum depan dia,” pesan Adrina cukup perlahan.
“Kenapa?”
“Ikut aja cakap Kak Rina. Kalau Aryan nak berbaik semula dengan Rynn, jangan sesekali tanya pasal arwah uncle Qayyum. Pasal tu, Rynn memang cukup sensitif,” ujar Adrina bersungguh.
Aryan menghela keluhan perlahan. “Aryan rasa bersalah dengan apa yang Aryab dah buat, Kak Rina. Ayah dengan umi layan Aryan macam anak sendiri. Tapi ini yang Aryan balas pada mereka berdua. Aryan sakitkan hati Rynn. Aryan memang khilaf,” luah Aryan agak perlahan. Sebak dadanya mengenang apa yang sudah berlaku selama ini.
“Semuanya dah berlaku, Aryan. Nak dikesalkan buat apa lagi. Kalau betul Aryan menyesal, cubalah berbaik dengan Qairynn tu. Sebenarnya.. Kak Rina lagi suka Aryan pilih Qairynn berbanding Maya. Kita dah berkawan dengan Rynn semenjak kecil lagi, Aryan. Seharusnya takde apa yang mampu merenggangkan kita setelah sekian lama kita terpaut erat. Kalau hati Maya tu bersih dia takkan buat Aryan terpaksa memilih. Takde sebab dia nak buat begitu! Sebab Aryan dan Rynn dah macam adik beradik semenjak dulu,” ujar Adrina lembut namun bersungguh.
Aryan hanya memandang kosong wajah Adrina. Semua itu sudah tiada ertinya setelah dia membuat pilihan. Kini apa yang ada di hadapan matanya terpaksa dihadapnya juga walaupun hatinya tersiksa.

1 ulasan:

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.