Isnin, 22 September 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA 5-6

Bab 5

Qairynn sengaja berpura-pura kelam kabut semata-mata mahu mengelak daripada datuknya itu. Bukannya dia tidak nampak mata lelaki tua itu sedang terhala lama kepadanya. Malah mata itu cukup tajam merenung kepadanya.
“Rynn dah lambat. Atuk.. nenek.. Rynn pergi dulu ya?” ucap Qairynn lekas sahaja bangun.
“Nanti dulu!” ucap Tan Sri Al Rashid agak keras menahan langkah Qairynn.
Qairynn menoleh. “Rynn dah lambat ni,” keluh Qairynn sambil menoleh. Malas mahu melayan lelaki tua itu. kalau boleh dia mahu lekas berada di hadapan mata Aryan. Dia tahu Aryan sudah berada di luar rumah menunggunya.
“Kenapa pakai baju tu? Kan atuk dah cakap tak boleh?”
“Alah.. baju Rynn koyaklah.”
“Kan ada baju lain? Baju kurung Rynn ada berapa pasang?” tegas Tan Sri Al Rashid sedikit meninggi.
“Semua dah koyak. Okay, bye!” ucap Qairynn lantas meneruskan langkah sepantas yang boleh untuk melarikan diri daripada kemarahan datuknya itu.
“Qairynn Asyikin!” panggil Tan Sri Al Rashid agak kuat. Namun panggilannya langsung tidak mendapat sambutan daripada Qairynn. Menggeleng dia melihat kedegilan cucunya itu. Semakin lama semakin keras kepala cucunya itu dilihatnya.
Aryan yang sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumah Qairynn mengerutkan kening melihat uniform sekolah yang dikenakan Qairynn hari ini. Dia terlopong seketika biarpun Qairynn sedang tersenyum manis kepadanya.
Lama mata Aryan menilik Qairynn dari atas ke bawah. “Kenapa pakai short skirt pulak hari ni?” soal Aryan kehairanan. Berkali-kali dia menelan liur. Cantik pulak aku tengok dia hari ni. Seksi! Getus hati Aryan liar tiba-tiba. Susuk tinggi lampai Qairynn memang nampak lain apabila mengenakan skirt pendek.
“Baju kurung koyak,” ujar Qairynn selamba.
“Atuk tak marah ke Rynn pakai skirt pendek?” soal Aryan masih tidak mampu mengalihkan pandangan daripada skirt pendek yang sedikit mengikut susuk itu. Setahunya datuk Qairynn memang tidak suka dia mengenakan kemeja lengan panjang yang dilitupi blazer ketat, juga dengan skirt ketat seperti ini walaupun ini adalah seragam pengawas sekolah itu diberikan oleh pihak sekolah sendiri. Selama ini Qairynn hanya dengan baju kurungnya.
“Baju yang ada tu dah koyak.. takkan nak pakai jugakkan? So terpaksalah atuk bagi,” jawab Qairynn masih selamba.
Aryan sekadar mengangguk dalam pada matanya masih memandang Qairynn. Hai.. takkanlah dengan adik angkat pun aku nak pandang macam ni? Berat ni.. Maya tu aku nak sumbat mana? bisik hati Aryan dalam pada mereka berjalan menuju ke perhentian bas di bawah sana.
Sepanjang jalan itu Aryan terdiam memikir sendiri. Qairynn yang sedang berjalan di hadapan dipandang berkali-kali. Entah kenapa menarik benar Qairynn di matanya saat ini. Lain macam pula rasa yang sedang bermain nakal dadanya ini. Saat Qairynn menoleh mencari wajahnya Aryan terus memandang tempat lain.
Tak boleh! Tak boleh! Dia adik aku. Maya tu kekasih aku.. bisik hati Aryan cuba meneguhkan pendiriannya. Sesak nafas memikirkan apa yang sedang bermain di dalam dirinya ini. Bahaya!
“Kenapa sekarang ni abang macam dah tak suka bergurau dengan Ryn macam dulu?” tanya Qairynn lembut ketika mereka berada di dalam bas. Terkilan sedikit hatinya melihat Aryan tidak semesra dulu. Lelaki itu lebih banyak berdiam daripada bercakap dengannya.
Aryan menoleh tidak lama sebelum kembali memandang ke hadapan. Namun tiada jawapan yang dapat diberikan serta merta. Setelah beberapa ketika berdiam diri barulah dia menoleh lagi kepada Qairynn.
“Umi dah tak bagi kita rapat sangatkan? Abang tak mahu umi marah Rynn lagi. Ada betulnya cakap umi dulu. Kita tak boleh rapat sangat macam dulu. Banyak orang bercakap yang tak elok nanti,” jawab Aryan perlahan.
Tersentak hebat dada Qairynn mendengar jawapan Aryan. Lama dia mengamati wajah tenang lelaki di sebelahnya itu. Aryan sekadar memandang ke hadapan membiarkan dia terus terkapai-kapai dalam persoalan yang semakin sarat di benaknya.
“Rynn ingat abang kata dulu..” Qairynn tidak mampu meneruskan bicara. Entah kenapa saat ini hatinya terasa seperti sedang dihempas ke batu. Luluh habis semuanya dengan jawapan lembut Aryan.
“Abang tahu keluarga Ryn semuanya tak senang dengan keadaan kita terlalu rapat sebelum ni. Kita kena jaga hati ramai orang, Rynn. Abang tak mahu keluarga Rynn bencikan abang nanti,” jelas Aryan sambil memandang Qairynn seketika.
“Cakap umi tu memang betul. Tapi kenapa baru sekarang abang nak mengaku yang cakap umi tu betul? Hari tu abang cakap lain. Kenapa?” soal Qairynn sengit akibat hati yang sudah mula tidak tertahan.
Aryan mengeluh perlahan. Dia sudah mula serba salah sekarang. Hatinya sudah mula berbolak balik entah kenapa. Ini semua tidak seharusnya berlaku setelah dia mengucapkan cinta kepada Maya. Sudah lama dia menunggu. Dia tidak mahu ada apa-apa yang merosakkan hubungan dia dan Maya yang sedang mula bercambah elok.
“Abang tetap sayangkan Rynn. Cuma kita dah tak boleh terlalu rapat macam dulu. Itu aja!” luah Aryan mula memujuk lembut.
“Ni sebab keluarga Rynn atau sebab Maya?” provok Qairynn mudah.
Aryan mendecit perlahan apabila nama kekasihnya mula diheret sekali oleh Qairynn. “Kita tengah bercakap pasal keluarga kita nikan? Apasal sebut nama dia pulak? Hal dia takde kena mengena dengan hal ni pun,” getus Aryan sedikit tidak senang.
“Tapi kenapa abang mula jauhkan diri daripada Rynn lepas abang couple dengan dia? kenapa tak selepas umi tegur kita dulu?” Qairynn terus memndang Aryan di sisi. Dia tahu Aryan sekadar mahu melindungi kekasih hatinya. Dia yakin!
Kali ini Aryan mula kehilangan bicara. Sebuah keluhan dilepaskan perlahan.
“Abang malu ke sebab Rynn ni macam ni?” soal Qairynn lagi.
“Apa maksud Rynn ni?”
“Kenapa abang tak boleh cakap aja dengan Maya tu yang kita dah kenal lama? Takkan sebab abang dah ada dia, abang nak jauhkan diri daripada Rynn sampai bila-bila?” ucap Qairynn dengan suara sedikit sayu.
“Kan abang dah cakap hal ni takde kena mengena dengan dia? Jangan nak menuduh sembaranganlah, Rynn. Dia tak macam tu!”
“Dia sendiri datang pada Rynn, sound Rynn supaya jangan dekat dengan abang. Abang ni buta ke apa?” tukas Qairynn pantas. Dadanya sudah mula turun naik menahan marah kepada lelaki ini. Ketika dia menceritakan hal itu kepada Aryan, Aryan hanya membisu tidak berkata apa. Semua itu macam tidak menjadi kudis kepadanya. Sedangkan sebelum ini Aryan sanggup mempertahankan dia daripada tegahan uminya sendiri. Aryan rela dia melawan kata-kata keluarganya. Namun kerana Maya dia dilayan seperti ini.
Aryan menoleh dengan renungan tajam. Kekasaran Qairynn mula menghangatkan dadanya. “Jangan nak kurang ajar dengan abang, Rynn!” suara Aryan meluncur tajam. Semakin itu hati gadis bernama Qairynn Asyikin itu tersiat.
“Tiba-tiba pulak Rynn ni jadi kurang ajar pada mata abang.” Menggigil suara Qairynn seperti mahu menangis. Sesungguhnya kelopak matanya sudah terasa hangat dek kerana lelaki ini. Tidak disangkanya di dalam kelembutan Aryan menyakiti hatinya tanpa belas.
Aryan berdiam enggan terus menghangatkan keadaan. Malu dia apabila wajahnya mula ditatap oleh seorang dua penumpang bas yang lain. Sebaik sahaja bas berhenti di hadapan sekolah dia terus bangun tanpa memandang Qairynn.
“Abang..” panggil Qairynn kepada lelaki yang berjalan agak terkedepan. Aryan sekadar menoleh sekilas tanpa menyahut.
“Kenapa dengan abang ni?” soal Qairynn agak meninggi. Jauh benar berubah lelaki dilihatnya. Dia seperti sudah tidak kenal lagi siapa lelaki ini. Qairynn terus berlari anak. Pergelangan tangan lelaki itu diraihnya. Namun Aryan terus merentapnya kasar.
“Nak apa lagi ni? Nak cari gaduh? Kita kat sekolah sekarang ni! Malulah sikit pada orang. Nanti apa pulak orang lain kata,” bentak Aryan keras.
Qairynn terkesima mendengar nada menengking itu. Malulah pada orang? Qairynn menggeleng sedikit memandang Aryan yang enggan memandang kepadanya. Seperti mahu pecah dadanya menahan tangis.
“Berterus teranglah.. sebab umi atau sebab Maya abang buat macam ni?” ucap Qairynn cukup rendah. Hampir tidak keluar suaranya menahan kesedihan. Tidak pernah lelaki itu menengking dia seperti ini selama ini. Dia sendiri tidak tahu apa salahnya sehingga begini layanan yang diterimanya.
Aryan memandang wajah sedih Qairynn seketika. Melihat mata itu berkaca dia merasa bersalah tiba-tiba. Betapa dia belas melihat Qairynn. Namun antara salah seorang, dia hanya boleh membenarkan seorang sahaja yang berada dekat dengannya. Sayangnya dia sudah lama memasang angan untuk memiliki Maya sebagai kekasih. Apa sahaja kehendak gadis itu terpaksa diikutkan.
“Abang minta maaf, Rynn. Abang tak mahu keluarga kita bergaduh pasal kita,” ujar Aryan sengaja mahu mengelak menyebut nama Maya. Tanpa memandang lagi dia terus menghayun langkah Qairynn memujuk kesedihannya sendiri.
Qairynn hanya terdaya memandang Aryan berlalu pergi begitu sahaja. Tanpa sedar air mata yang ditahan semenjak tadi menitis juga di pipinya di awal pagi begini. Sia-sia saja semuanya. Sia-sia sama sekali jika inilah yang didapati akhirnya!


“Hey, betina!” serentak itu Qairynn terdorong ditarik kasar oleh seseorang dari arah  belakang. Terkejut dia dibuatnya. Beberapa puluh pasang mata rakan sekelas Qairynn mula terhala ke arah mereka berdua.
“Kau kalau tak menganggu Aryan tak sah ke ha?” tengking Maya cukup lantang. Spontan itu seisi kelas itu senyap sunyi. Semua orang memandang mereka penuh kehairanan.
“Apa Kak Maya cakap ni?” soal Qairynn tidak faham.
“Kau jangan nak berlakon lagilah. Aku tahu apa kau buat pada Aryan pagi tadi. Aku nampak! Kau ni memang jenis tak tahu malukan? Orang dah tak sudi tu kau janganlah nak memalukan diri sendiri,” ujar Maya cukup lantang.
Qairynn terpinga-pinga memandang Maya. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Maya saat ini.
“Kau kalau dah gatal sangat nak berjantan, jangan ambil boyfreind aku boleh tak? ramai lagi lelaki lain dalam sekolah ni kau boleh pilih. Jangan ganggu Aryan. Aryan tu anggap kau macam adik aja. Kau jangan nak perasan!” sekali lagi Maya menengking sehingga seisi kelas itu mendengar apa yang dibicarakan oleh pelajar tingkatan 6 atas itu.
Qairynn terkedu menelan liur sendiri mendengar itu. Betapa tebal mukanya ditadah oleh kesemua oleh rakan sekelasnya itu. Semuanya sudah bersedia mendengar kata-kata Maya yang seterusnya.
“Sekali lagi aku nampak kau menempel dengan dia, siaplah kau. Muka tak malu punya perempuan. Orang dah tak sudi, masih lagi nak terhegeh-hegeh sampai orang rimas dengan kau. Kalau dah jantan lain tak inginkan kau disebabkan penampilan macam jantan kau ni, kau jangan nak ganggu balak aku. Kau faham?” dengan mata terbuntang-buntang Maya memarahi Qairynn tanpa dapat gadis itu membalas.
“Apa akak cakap ni?” soal Qairynn benar-benar lemah. Sesungguhnya diserang begini dia benar-benar terkejut. Dia tidak berupaya membela dirinya.
“Kau tahu apa yang kau buat..”
“Saya dengan Abang Aryan tu macam adik beradik,” ujar Qairynn cuba mempertahankan diri dengan kekuatan yang tidak seberapa. Belum habis dia menikmati kelukaan yang dihadiahkan Aryan pagi tadi, kini Maya pula ikut menambah.
Maya ketawa mengejek mendengar itu. “Kau fikir aku tak tahu kau memang dah lama ada hati pada dia. Hey! Aku pun perempuanlah.. aku tahu kau ni memang jenis betina murah! Tapi kau ni bagi free pun memang tak laku disebabkan rambut kau yang macam tu. Kiranya kau tengah terdesaklah ni. Anak tak dibela dek mak bapak macam kau ni memang selalunya penghabisannya jadi bohsia! Aryan tu menyampah dengan kau sebab kau ni manja terlebih. Memualkan, kau tahu!” desis Maya terus meninggikan suaranya. Sepatah demi patah kata dilahirnya dengan cukup lancar untuk menyakitkan hati Qairynn.
Spontan Qairynn menekup mulutnya. Wajah Maya yang menyinga hanya mampu dipandang dengan air mata berderai di pipi. Gelaran bohsia yang diberikan Maya kepadanya itu benar-benar membuatkan dia terpaku, tidak terkata! Terlalu menyakitkan telinganya. Suara Maya bagaikan petir menghentam gegendang telinganya. Dia terkapai-kapai tidak mampu menjawab.
“Kalau kau orang semua nak tahu.. dia ni tergila-gilakan abang angkat dia sendiri, si Aryan tu. Tapi sayang.. Aryan tak layan. Buat malu aja ada kawan sekelas macam dia ni.” Tidak cukup menghina Qairynn secara berdepan Maya menjerit pula kepada seisi kelas itu. kelas itu senyap sunyi. Hanya suara Maya yang kedengaran bergema di situ.
“Akak buat apa ni?” soal Qairynn sambil menarik tangan Maya kasar.
“Ini pengajaran untuk kau supaya jangan ganggu Aryan lagi. Aku dah bagi amaran pada kau sebelum nikan?” jerkah Maya dengan mata membulat.
“Ganggu macamana maksud akak? Saya berjiran dengan dia. Kami kenal dah lama,” tegas Qairynn dengan derai air mata.
“Kau tak payah nak hipokritlah, tomboi! Aku tahu kau memang nakkan Aryan tu. Mengaku ajalah! Aku tak sangka pulak tomboi macam kau ni ada jugak hati pada lelaki. Aku ingat kau ni suka yang sama jenis macam kau jugak,” cemuh Maya kesat.
Qairynn menggeleng mendengar bicara semakin tidak berakal Maya ini. “Saya perempuan, Kak Maya. Memang rambut saya pendek tapi saya tak minat sesama jenis. Tolong jaga sikit mulut akak tu,” ujar Qairynn seolah-olah sudah beroleh kekuatan untuk membalas kata-kata Maya.
“Jadi memang betullah kau memang miang dengan Aryankan? Aku nampak kau pegang tangan dia tadi. Nasib baiklah Aryan cepat-cepat tolak tangan kau. Kau ni memang jenis tomboi gatalkan? Mak bapak kau tak ajar kau jaga maruah diri ke? Aku dengar umi kau tak bagi kau kawan dengan Aryan tapi kau degilkan? Kau nak jugak meleset dengan Aryan.”
“Tolong jangan sebut pasal mak dan ayah saya!”
“Kenapa? Kau nak marah?” cabar Maya sambil bercekak pinggang di hadapan Qairynn.
“Tanyalah Abang Aryan tu betul-betul apa sebenarnya yang berlaku pagi tadi! tanya dia apa sebenarnya yang berlaku selama ini. Jangan akak bercakap ikut sedap mulut aja sebelum akak tahu apa cerita sebenarnya,” ujar Qairynn tegas.
“Oh! Jadi kau nak kata Aryan tulah yang nak menggatal dengan kau? Kalau dia yang gatal kenapa dua mata aku ni sendiri nampak kau pegang tangan dia pagi tadi?”
Qairynn terdiam tiba-tiba. Kebisuan Qairynn itu memberi ruang kepada Maya untuk mengenakan Qairynn sehabis-habisnya. “Keluarga kau tak bagi kau kawan dengan Aryan sebab mak dengan bapak kau tahu kau ni memang jenis tak tahu jaga maruah diri. Kau senang sangat dengan jantan. Entah berapa jantan dah rasa kau ni agaknya,” tempelak Maya sengaja menaikkan suaranya agar semua orang mendengar.
“Tolonglah pergi dari sini, Kak Maya. Akak memalukan saya!” ucap Qairynn hampir tidak kedengaran suaranya.
“Kau ni memang jenis memalukan orang perempuan. Nak malu buat apa? Patutnya kau ingat rasa malu kau tu sebelum kau letakkan maruah diri kau serendah ini. Bukannya dah kena macam ni baru kau tahu malu,” ucap Maya cukup tajam.
“Tolong pergi, Kak Maya. Tolonglah jangan buat macam ni..” rayu Qairynn sudah tidak tertahan. Dia seperti mahu meraung sahaja saat ini.
“Kau orang semua yang lelaki-lelaki dalam kelas ni, hati-hatilah dengan bohsia seorang ni. Kalau dah abang angkat dia tu pun tak mahu dekat dengan dia lagi, kau orang faham-faham ajalah apa yang tak kena dengan betina sundal ni,” ujar Maya kepada seisi kelas itu.
Qairynn terduduk di kerusinya tidak mampu berbuat apa. Akhirnya dia menekup wajah di meja. Bahunya terhinggut-hinggut menahan kesedihan.
Maya menarik bahu Qairynn sehingga gadis itu kembali memandang kepadanya. “Padan muka kau! Baru kau tahu aku siapakan, bohsia? Aku tak mahu kau datang pada Aryan lagi,” ujar Maya tajam namun hanya untuk pendengaran Qairynn seorang. Seisi kelas itu masih ralik memandang kepada mereka berdua.
Tiada jawapan yang mampu diberikan Qairynn saat itu melainkan dia terus meraung dalam hati. Sehingga kelibat Maya menghilang seisi kelas tingkatan 5 sains 1 itu terus senyap memandang kepada Qairynn Asyikin.
Qairynn terus menekup wajah ke meja. Sampai hati Aryan! Teganya dia..




Bab 6

Hatinya terus dipagut sayu memandang keakraban Aryan dengan Maya. Matanya terus disajikan kemesraan dua manusia itu. Makan di kantin bersama.. dahulu dialah yang berada di hadapan lelaki itu. Kini sudah ada orang lain yang mengganti dan dia sudah tersingkir jauh.
Hati Qairynn tersiat pedih melihat Maya dengan mesranya menemankan Aryan makan. Wanita itu sekadar merenung Aryan makan. Pada matanya, sepasang kekasih itu sememangnya seperti sudah tidak mampu dipisahkan lagi.
Kini sudah beberapa hari pulang dari sekolah dia hanya sendiri. Aryan tidak lagi menunggunya seperti biasa. Lelaki itu hanya akan pulang setelah selesai study bersama Maya. Pergi ke sekolah, lelaki itu akan pergi dahulu. Walaupun kadang-kala mereka bertembung juga diperhentian bas namun Aryan tidak akan duduk bersamanya di dalam bas lagi.
Qairynn sudah mula mengerti. Dirinya sudah tidak kelihatan lagi di mata Aryan. Dia harus meminggir memberi ruang kepada Maya. Dia juga tahu lelah mengejar perhatian Aryan sedangkan lelaki itu sudah tidak sudi lagi menyayanginya sebagai siapa pun.
Sedang Qairynn asyik memandang merpati dua sejoli itu, Aryan dan Maya menoleh serentak kepadanya. Tersentap hebat dadanya melihat pandangan mata Aryan tertuju kepadanya. Sesungguhnya dia tidak berniat mahu menganggu ketenangan dua manusia itu. Namun seperti yang sudah dijangkanya Aryan pasti akan berpaling semula tanpa apa-apa.
Hanya renungan Maya yang terus terpasak kukuh di wajahnya. Qairynn terus bangun. Buku-buku pelajarannya diraih untuk berlalu daripada situ. Namun serentak itu Maya juga ikut bangun mendekatinya.
“Kau nak apa pandang-pandang kami tadi?” soal Maya saat berhadapan dengan Qairynn.
“Takde apa-apa,” jawab Qairynn sambil mengerling sekilas kepada Aryan di sana. betapa sedihnya dia. Lelaki itu sekadar memandang kosong memandang ke arah mereka.
“Kau nak lagi dengan Aryan tu ke?” ejek Maya.
“Mana ada!” getus Qairynn tidak senang dengan tuduhan itu.
“Aku tak mahu kau dekat dengan Aryan lagi. Kau ni tak faham-faham ke? Mana kami ada situlah kau nak menyemak,” cemuh Maya semakin kesat. Namun dia sengaja tidak meninggikan suaranya agar Aryan di meja sana tidak mendengar apa yang diucapkannya kepada Qairynn.
“Saya nak balik sekarang, kak. Tumpang lalu..” ucap Qairynn perlahan sahaja.
“Siapa kacau Aryan, aku akan ajar dia cukup-cukup. Kalau kau nak yang lebih teruk daripada itu, kau cakap aja. aku boleh bagi. Dan aku nak bagitahu kau yang aku ada banyak mata-mata kat sini. Kau jangan cuba nak dekat dengan dia waktu aku takde dengan dia,” ujar Maya terus kasar.
“Abang Aryan tu sukakan akak. Kenapa akak nak risau sangat saya dekat dengan dia?” soal Qairynn benar-benar tidak faham dengan gelagat wanita ini. masalahnya dia tidak ada menganggu mereka. Sebaliknya dia pula yang terus diganggu.
“Aku memang dah lama sukakan dia. Baru sekarang dia jadi hak aku. aku tak mahu kehadiran orang ketiga,” jawab Maya mudah.
“Saya bukan orang ketiga tu. Saya dengan dia hanya berjiran selama berbelas tahun ini!” tegas Qairynn.
“Aku tahu kau pun sukakan dialah, perempuan. Kau jangan nak gunakan alasan berjiran tu semua. Tak lakulah dengan aku ni,” jawab Maya keras.
Qairynn hanya mampu menghela nafas perlahan. Rasanya lebih baik dia pergi sahaja daripada melayan perempuan yang takut pada bayang-bayang sendiri.
“Kesian Abang Aryan mendapat wanita pengongkong seperti kau ni, Maya. Harap muka aja cantik. Tapi hati buruk dan hitam!” ucap Qairynn tiba-tiba. Tenang sahaja suaranya.
Berubah wajah Maya melihat watak Qairynn sudah mula berubah. “Kau panggil aku apa?”
“Kau bukan kakak akukan? Aku tak ingin ada kakak buruk perangai macam kau ni,” ucap Qairynn selamba.
“Kau cari pasal dengan aku?” soal Maya semakin berdiri dekat dengan Qairynn.
“Kau jangan ganggu aku! Aku tak pernah ganggu hidup kau,” balas Qairynn enggan tunduk lagi kepada wanita ini.
“Sayang..” panggil Aryan entah kepada siapa antara mereka berdua. Mereka berdua menoleh serentak.
“Kalau kau nak tahu dulu dia panggil aku dengan gelaran tu. Tanyalah dia sendiri! Aku dah jelak mendengarnya,” ucap Qairynn dalam pada Maya masih memandang buah hatinya itu.
“Kurang ajar kau!” pang!!! Spontan tangan Maya melayang di pipi Qairynn. Qairynn terpaling ke kiri dengan tamparan yang tidak sekuat mana itu.
Aryan terus bangun melihat itu. Maya ditariknya pantas. “Ada apa ni?”
“Betina ni memang kurang ajar, Aryan! Dia langsung tak hormat I sebagai senior kat sini,” cemuh Maya sambil menunding kepada Qairynn yang memandang sahaja mereka berdua.
Aryan memandang Qairynn seketika. Buat seketika wajah Qairynn dipandangnya. Kasihan dia melihat pipi Qairynn kemerahan akibat penampar Maya sebentar tadi. Tetapi mahu memujuk Qairynn, dia bimbang Maya merajuk.
“Pergilah balik, Rynn..” ucap Aryan sedikit mendatar.
“Nanti dulu! Betul ke sebelum ni you ada panggil dia sayang?” soal Maya keras kepada Aryan pula.
“You cakap apa ni?” soal Aryan mula terkedu dengan soalan yang tidak dijangka itu.
“I tahu you dengar soalan I tadi!” bentak Maya mula panas hati.
Wajah Aryan sudah berubah melihat kemarahan Maya sudah mula terhala kepadanya pula. Spontan dia memandang Qairynn yang membisu sahaja. Liurnya diteguk sebelum kembali memandang buah hatinya itu.
“I panggil dia sayang sebagai adik, Maya. Takde yang lebih daripada itu. I tak pernah terfikir nak berlebih-lebih pun dengan dia. Dia bukan taste I!” ucap Aryan bersungguh.
Tersirap darah Qairynn mendengar jawapan Aryan. Melihat senyuman mengejek yang timbul di bibir Maya dia terasa benar-benar terhina. Tidak sangka kata-kata seperti itu akan lahir daripada mulut Aryan yang sering memanggilnya penuh kelembutan suatu masa dulu. Dirinya benar-benar tiada harga di mata lelaki itu lagi.
“Jangan buat Rynn jadi benci, abang.”
“Bencilah abang kalau itu boleh mententeramkan keadaan, Rynn. Abang sayangkan dia.” Aryan terus menyambut nekad sambil memandang wajah Qairynn tenang.
Semakin terkesima Qairynn mendengar jawapan Aryan. Perlahan dia menghela nafas. Wajah Maya di tepi Aryan dipandang seketika. Kemenangan yang tersalut di wajah angkuh penuh ketamakkan itu benar-benar mencucuk duri di hatinya.
“Dulu abang janji akan jaga Rynn baik-baik. Abang masih ingat apa yang abang cakap pada Rynn di tepi kolam renang tu? Abang yang tak benarkan Rynn ikut cakap umi,” ujar Qairynn sedikit mendatar.
Aryan terdiam sambil menghela nafas sendiri.
“Kita berkawan semenjak daripada zaman sekolah rendah. Bukan sehari dua masa yang diperuntukkan untuk itu. Tapi kerana dia yang baru datang ke dalam hidup abang, habis lenyap semuanya..”
“Eh! Kau jangan nak membebel lagi boleh tak? Kau tak dengar ke Aryan kata kau tu bukan taste dia. Siapa nak nak perempuan tomboi macam jantan ni. Pergi ajalah balik!” Maya terus mencelah sebelum Qairynn habis berbicara.
Qairynn memandang Aryan yang terus membisu. Tiada tanda-tanda lelaki itu mahu berkata apa-apa kepadanya lagi.
“Janganlah nak menyesal lagi nanti!” ucap Qairynn perlahan sebelum berlalu pergi begitu sahaja.


“Makan ni, sayang..”
Qairynn Asyikin segera menoleh kepada seseorang yang berdiri di tepinya itu. Piring kecil yang dihulur oleh neneknya itu segera diambilnya. Tiga biji kurma azwa yang diletakkan di dalam piring itu diambilnya. Sebelum dimasukkan ke dalam mulut beberapa bacaan selawat yang sudah diajarkan oleh neneknya segera diamalkan. Kemudian kurma itu dikunyahkan satu persatu sambil memandang buku matematik tambahan di hadapannya.
Puan Sri Benazir terus mengamati wajah cucunya itu. Lagi beberapa minggu cucunya ini akan menduduki peperiksaan SPM. Dia cukup senang hati melihat Qairynn semakin komited kepada ulang kajinya. Anak itu hanya melekat di rumah, di dalam biliknya sendiri mengulang kaji. Tidak lagi menghabiskan masa di rumah sebelah atau di tempat lain.
Namun.. masih ada yang tidak mampu dihilangkan daripada hatinya ini. Wajah Qairynn murung sentiasa. Susah mahu melihat tawanya. Malah Qairynn sudah tidak mahu ke sekolah dengan Aryan. Qairynn sekarang dihantar oleh pemandu. Bergaduhkan dua manusia itu? itu yang mampu diteka oleh Puan Sri Benazir. Sementelah Aryan juga sudah tidak ke rumah ini lagi.
Buat seketika wanita tua itu memandang sekeliling pula. Tingkap bilik itu bertutup sahaja. Patutlah dia terasa lain macam. Perlahan dia bangun untuk membukanya.
“Jangan buka, nek.” Suara Qairynn tiba-tiba kedengaran memberikan tegahannya.
Puan Sri Benazir memandang ke arah Qairynn yang masih memandang buku di atas mejanya itu. “Kenapa tak boleh pulak. Kan elok kalau udara keluar masuk ke bilik ni?” ucap wanita itu lembut.
“Dalam bilik ni dah ada cukup udara. Lagipun Rynn on aircond,” jawab Qairynn selamba.
Puan Sri Benazir menghela nafas perlahan sambil kembali mendekati cucunya itu. “Sayang nenek okay ke ni?” soal Puan Sri Benazir bertanya juga akhirnya.
“Okay..”
“Tapi kenapa muka tu serius aja sepanjang masa? Langsung tak mahu senyum. Nenek tengok Rynn dah tak macam dulu lagi. Ada apa sebenarnya ni, sayang?” ucap Puan Sri Benazir lembut.
“Takde apa-apa..” jawab Qairynn perlahan sahaja.
“Nenek tahu ada yang tak kena ni. Bergaduh dengan Aryan ya?” ucap wanita tua itu lantas duduk di tepi katil sambil memandang ke arah Qairynn.
“Rynn nak studylah, nek. Tak maulah cakap pasal dia,” luah Qairynn sambil memandang neneknya itu sekilas.
Buat seketika itu Puan Sri Benazir diam memandang kepada Qairynn yang terus tunduk kepada bukunya itu. “Kalau Rynn nak cakap apa-apa nenek sudi mendengar. Tak baik pendam sendiri masalah tu. Aryan ada sakitkan hati cucu nenek ni ke?” ujar Puan Sri Benazir cukup lembut.
“I’m fine! He is nothing to me,” ucap Qairynn masih tidak mengalihkan pandangannya kepada neneknya itu.
“Selalunya Rynn tak boleh berenggang dengan Aryan. Tapi sekarang ni nenek nampak Rynn asyik di bilik. Ini pun tak elok, sayang. Nenek tak mahu masa depan Rynn musnah kerana masalah yang ada,” pujuk Puan Sri Benazir.
Qairynn buat-buat tidak dengar sahaja kepada kata-kata neneknya itu. Melihat tiada sebarang reaksi daripada cucunya itu, Puan Sri Benazir bangkit dari duduknya. “Nenek keluar dulu ya? Study smart, sayang.” Bahu Qairynn sempat diusap sebelum wanita tua itu berlalu dari ruangan itu.
Qairynn sekadar mengangguk sahaja. Sehingga neneknya itu menghilang suaranya terus terkulum untuk berterus terang apa yang sedang dialaminya selama lebih dua bulan ini. Dia bimbang datuknya naik angin jika mendengar apa yang berlaku kepadanya. Di sekolah dia sudah seperti kera sumbang tidak berkawan dengan orang. Tidak cukup itu Maya sering mencari pasal dengannya.
Aryan? Dia seperti sudah tidak wujud lagi di dalam hidup lelaki itu. Lelaki itu langsung tidak kisah mereka tidak lagi ke sekolah bersama. Biarlah.. dia menjauhi Aryan kerana tidak mahu terus diganggu oleh Maya. Tetapi hakikatnya Maya terus-terusan menganggunya apabila bertembung di mana-mana. Sehinggakan dia sudah merasa amat tertekan untuk ke sekolah.
Di manalah kasih sayang itu diletakkan selama ini? Mudah benar hilangnya kasih Aryan kepadanya. Seolah-olah tidak tertinggal sedikit pun. Namun Qairynn, dia ingin membuatkan hatinya menerima semua ini walaupun setiap tugu kenangan antara dia dan Aryan terus menyiksa jiwanya. Hatinya terus menangis dalam diam. Memandang Aryan dari jauh, jiwanya terus dialun kerinduan. Namun sayangnya semuanya menjadi sendu.
Kata orang sekali air melimpah pantai pasti akan berubah. Tetapi tidak dengan hatinya ini. Dia tidak pernah lupa di mana mereka bermula selama ini. Tetapi sayangnya Aryan sudah berpatah arah. Qairynn terlalu ingin pasrah dengan kenyataan yang lelaki itu sudah tidak mahu mendekatinya. Tetapi tidak mudah. Saban hari lelaki itu terus berada di fikirannya. Dia sering gelisah sendiri.
Cintakah ini sebenarnya? Qairynn benar-benar tidak tahu. Apa yang dia tahu.. dalam diam dia merana. Terlalu merana dengan semua dugaan yang dihadapkan kepadanya.
Malam itu selesai makan malam Qairynn sengaja duduk di tepi kolam renang itu sendirian. Sambil itu jemarinya mengusap permukaan air sehingga corak yang tertera di permukaan itu mula membuatkan dia hayal di situ. Namun setelah kocakan itu lenyap dia ternampak bayang sesuatu yang terbias di permukaan air itu. 
Spontan Qairynn mendongak memandang ke langit. Kelibat bulan yang sedang mengambang penuh itu menerbangkan semula ingatannya kepada kisah beberapa bulan dulu. Ketika dia masih bermakna untuk lelaki itu.
Gelak tawa mereka berdua di buaian itu menyurut sedikit. Lenyap sudah gurau jenaka mereka. Aryan mula menghela nafas perlahan. Letih tergelak dengan Qairynn semenjak tadi. Spontan dia memandang ke langit. Buat seketika matanya terpaku ke arah objek yang sedang melekat indah di langit sana.
“Abang pandang apa?”
“Bulan tu..” jawab Aryan lembut.
Qairynn ikut memandang ke atas. Dia juga terpandangkan bulan sedang elok mengambang di atas sana. Cantik sekali di matanya. Saat dia menoleh dia terlihat senyuman Aryan. Lama dia memerhati sehingga lelaki itu mula menoleh kepadanya. Lama mata lelaki itu terpaku kepadanya pula.
“Kenapa pandang macam tu?”
Aryan tidak terus menjawab. Pipi gadis di sisinya itu diusap lembut tanpa kata. “Kadang-kadang abang sedar yang ada di sebelah abang ni bukan adik kandung abang. Setiap kali abang pandang Rynn abang tak pernah lupa tentang itu,” ujar Aryan lembut.
Berubah wajah Qairynn mendengar kata-kata Aryan. “Apa maksud abang ni?”
“Entahlah..” keluh Aryan sendiri. “Abang rasa macam tak boleh hidup kalau Rynn takde di sebelah abang. Abang selalu rasa rindu. Abang tak mampu bayangkan apa akan jadi pada kita bila kita dah habis sekolah nanti,” luah Aryan perlahan.
Qairynn terdiam. Arus di hatinya berubah serta merta. Bicara Aryan kedengaran cukup aneh di telinganya. Dadanya berdebar jadinya.
“Abang tahu ke mana pun abang pergi suatu hari nanti abang akan balik cari Rynn semula. Kewujudan Rynn dalam hidup abang selama ini, umpama pelita di bawah purnama tu,” ucap Aryan sambil memandang semula bulan di atas mereka.
“Maksud abang apa ni? tak fahamlah bahasa sastera ni semua,” ucap Qairynn dengan tawa yang direka untuk menenangkan hatinya. Kenapa romantik sangat Aryan malam ni?
Aryan memandang semula gadis di sisinya itu. “Walaupun cahaya bulan tu dah ada tapi dia jauh di atas sana. Abang takkan boleh membaca sebuah buku di bawah cahaya bulan, Rynn. Tapi pelita tu akan selalu dekat dengan abang. Dia yang membantu terangi kegelapan yang ada di sekeliling abang selama ini. Cahayanya hanya untuk abang seorang,” jawab Aryan cukup lembut. Matanya terus merenung mesra Qairynn yang terkebil-kebil sendiri.
Qairynn terdiam menahan rasa indah yang semakin mengasak hatinya. Benarkah? Jika seistimewa itu kewujudan pelita, maka dia mahu menjadi pelita itu sepanjang usianya. Hanya untuk Aryan seorang.
Tetapi itu dulu..
Kini pelita dan bulan itu sudah tiada apa ertinya lagi. Semuanya sudah tinggal memori kosong. Kini dia hanya bersendirian menjejak bayang yang sudah tiada lagi. Buat kesekian kalinya Qairynn memandang purnama indah di atas sana. keindahan yang ada tidak mampu menepis sedikit pun kesengsaraan yang bertapak di hatinya saat ini.
Sehingga Qairynn sedar matanya mula berkaca lebat. Semakin itu hatinya terus digayut kesedihan yang teramat sangat. Akhirnya esakan gadis itu terhela juga. Segala yang terkurung di dalam dada terluah bersama butiran jernih yang semakin laju di pipinya.

“Sampainya hati abang!” Qairynn hanya mampu merintih sendiri lagi.

1 ulasan:

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.