Isnin, 22 September 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA 7-8



Bab 7

Aryan menghela nafas perlahan tatkala telinganya terus ditadahkan dengan bebelan emaknya itu. Semakin lama semakin rancak pula emaknya itu meleter.
“Mama tak suka keadaan ni, Aryan!” tegas Datin Rahimah sedikit keras. Kebisuan anaknya itu benar-benar mencabar kesabarannya.
“Habis tu mama nak Aryan buat apa?” keluh anak muda itu agak perlahan.
“Buat apa yang perlu! Memang tak salah Aryan nak berkawan dengan siapa pun. Tapi jangan sampai keluarga ni hilang air muka di hadapan orang lain. Mama tak mahu keluarga kita bermusuhan nanti,” ujar Datin Rahimah keras.
“Ma.. setakat nak sambung study ke New York tu takkanlah sampai bermusuhan?” Aryan merungut perlahan. Kepalanya digelengkan perlahan.
“Mama bukan bercakap tentang tawaran ke New York tu. Mama bercakap pasal Qairynn, Aryan! Jangan nak mengelak lagi. mama nampak apa yang berlaku selama ni,” ujar Datin Rahimah terus mengeraskan suaranya kepada anak lelaki tunggalnya itu.
“Uncle Qayyum dengan auntie Bethina tu layan Aryan macam anak sendiri. Ini ke yang kita balas pada dia?”
Adrina yang sedang menonton tv segera memusatkan pandangan kepada adik lelakinya itu. Perlahan dia menggeleng sendiri. “Nak bercinta sakan pun takkanlah sampai nak ketepikan Rynn tu, Aryan. Dulu rapat.. rapat sangat sampai tak boleh lekang langsung. Nak ke jamban pun kalau boleh nak berdua. Bila dah ada orang lain, terus lupa macam tu aja. kata aja sayang macam adik konon. Tapi kalau dah berpeluk-peluk, bersayang-sayang bagai.. takkan sayang macam adik lagi kut? Lelaki yang suka bagi harapan kosong pada perempuan ni, tak guna!” Adrina mencelah separuh menyindir.
Datin Rahimah memandang anak perempuannya seketika sebelum kembali memandang Aryan. Dia juga sependapat dengan Adrina. Aryan memandang kakaknya itu seketika. Telinganya merah diperli Adrina.
“Mama tak sanggup tengok dia menjauhkan diri daripada kita, Aryan. Semenjak kebelakangan ni dia selalu mengelak daripada kita semua. Apa maknanya tu? Kenapa Maya tu tergamak buat macam ni pada Rynn? Berbelas tahun kita semua berbaik, tiba-tiba bila masuk aja perempuan seorang ni habis rosak semuanya. Aryan jangan lupa kita ni berjiran dengan keluarga Rynn tu. Lambat laun atuk dia akan tahu jugak apa masalahnya!” ujar wanita tua itu sedikit kendur.
“Ma..” keluh Aryan mula tidak senang nama Maya dibawa sekali ke dalam perbincangan ini.
“Orang yang baik dia takkan merosakkan kekukuhan ukhuwah orang lain, Aryan. Ini bukan soal main-main! Atuk Rynn tu dah banyak tolong papa dulu. Jangan lupa tentang itu!” Datin Rahimah kembali meninggikan suaranya. Dia tidak mahu anak lelakinya itu terlupa sejarah keluarga mereka.
“Habis tu mama nak Aryan buat apa?” rungut Aryan perlahan.
“Pujuk Rynn semula!”
Aryan menghela nafas perlahan. Itulah yang susah hendak dilakukannya. Bukannya dia tidak kasihan Qairynn. Tetapi dia bimbang tindakannya akan memburukkan keadaan. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu rasa bersalah yang ada di hatinya ini melihat keadaan Qairynn. Dia hanya mampu berharap Qairynn dapat menerima hakikat tentang hubungannya dengan Maya.
“Nanti Aryan dengan Maya pulak yang bermasalah, ma..”
“Apa yang masalahnya? Cuba jelaskan dekat mama. Kenapa si Maya ni tak suka sangat Aryan berkawan dengan Rynn tu? Apa yang dia takutkan sangat? Selama ni Aryan dengan Rynn tu rapat macam adik beradik. Bukannya macam kekasih. Ke ada yang mama tak perasan selama ni?” provok Datin Rahimah mudah.
Aryan terkedu memandang emaknya itu. Sakit matanya melihat senyum mengejek Adrina kepadanya.
“Adik dengan abang takdenya nak beromantika di amor, mama..” perli Adrina selamba dikala Aryan masih tidak mampu menjawab.
Datin Rahimah menggeleng perlahan memandang anak lelakinya itu. “Mama tak suka masuk campur sangat hal kamu berdua ni, Aryan. Tapi sekarang ni mama dah nampak betapa renggangnya hubungan dua keluarga ni. Rynn bukan setakat tak mahu lagi ke sini. Jawab call mama pun dia dah tak mahu. Mama nampak dia berubah seratus peratus. Itu yang mama risau!” ucap Datin Rahimah lagi.
Aryan terus terdiam tidak mampu menjawab. Menuruti kehendak emaknya agar memujuk Qairynn juga dia tidak mampu. Dia tahu Qairynn pun tidak mahu lagi memandang wajahnya.
“Berbaiklah, Aryan. Mama bukannya nak paksa kamu putuskan hubungan dengan Maya. Tapi tak semestinya bila kamu dah ada Maya, Qairynn tu kamu musuhi terus.”
“Tengoklah nanti, ma..” ujar Aryan perlahan. Kini ingatannya mula terbang mencari pujaan hatinya itu. masalahnya sekarang yang tidak mampu menerima kenyataan sebenarnya adalah Maya. Bukannya Qairynn. Dalam diam Aryan amat berharap keadaan ini akan kembali pulih. Kerana selama ini hatinya juga teramat tersiksa melihat Qairynn menjauhkan diri daripadanya.


“Ada apa?” soal Qairynn. Bola matanya tidak mampu singgah lama di wajah Aryan yang sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya itu.
“Atuk ada?” soal Aryan lembut. matanya sempat memandang ke arah kenderaan berjenama Jaguar yang tersadai elok di parkir. Kalau lelaki itu ada bermakna dia harus meminta izin untuk membawa Qairynn keluar dengannya.
“Atuk dengan nenek balik ke Cairo minggu lepas,” jawab Qairynn tanpa emosi.
“Oh.. kenapa Rynn tak ikut sekali?” soal Aryan cuba beramah tamah dengan gadis itu.
“Umi dengan ayah tak bagi,” jawab Qairynn masih tetap hambar. Dia mula bersandar ke dinding sambil berpeluk tubuh.
“Abang nak ajak Rynn keluar dengan abang..” luah Aryan mula kepada tujuan kedatangannya ke situ.
Qairynn tidak terus memberikan jawapan. Wajah Aryan dipandang hairan. Mimpi apa dia diajak keluar setelah berbulan-bulan hubungan mereka sepi? “Nak ke mana?” soal Qairynn bernada hairan.
“Abang nak bercakap dengan Rynn sekejap.”
“Nak cakap, cakap ajalah di sini.”
“Emm..” Aryan berfikir seketika untuk mencari ayat yang lebih sesuai untuk diberikan kepada Qairynn. “Abang nak ajak Rynn keluar dengan abang dan Maya. Abang nak berbincang sikit pasal masalah kita ni,” ujar Aryan lembut.
Qairynn memandang seketika wajah Aryan di hadapannya. “Esok tak boleh ke? Dah malam ni..” ujar Qairynn sedikit tidak senang.
“Sekejap aja. Please.. abang tak senang hati kalau masalah ni tak diselesaikan segera. Abang pun dah tak lama lagi di sini, Rynn. Abang nak ke US tak lama lagi. Abang tak senang hati biarkan masalah ni tergantung macam ni aja,” pujuk Aryan lembut.
“Masalahnya yang tak boleh terima Rynn adalah Maya. Abang slow talk dengan dialah. Nak berbincang dengan Rynn buat apa?”
“Kan lebih elok kalau kita berkumpul sekali. Apa yang tak puas hati kita boleh berterus terang secara berdepan. Abang dah bercakap dengan Maya pasal ni. Dia setuju,” sambut Aryan lembut.
Qairynn terdiam memikir seketika. Namun dia mengangguk juga akhirnya. “Sekejap. Rynn tukar baju dulu.” Gadis itu menjawab perlahan.
Setengah jam kemudian mereka sudah berada di puncak Bukit Gasing. Namun apa yang tidak disenangi Qairynn mereka berada di kawasan yang agak sunyi dan jauh daripada rumah.
“Kenapa kita ke sini?” sol Qairynn tidak senang.
“Habis tu kau nak ke mana pulak? Paris?” perli Maya yang sedang duduk di tempat duduk pemandu.
Aryan menoleh seketika kepada buah hatinya itu. Walaupun agak tidak senang dengan ucapan Maya namun dia sekadar berdiam diri.
“Hmm.. nak bincang apa sampai ke tempat macam ni?” getus Qairynn mula panas hati dengan gadis itu. Kalau aku tahu aku kena naik kereta dia yang tak seberapa ni.. baik aku call abang Samad suruh hantarkan aje, bisik hati Qairynn meluat. Sudahlah dia bermusuhan dengan Maya. Sekarang dia terpaksa ikut kehendak Aryan dengan menaiki kereta musuh ketatnya itu pula. Panas punggungnya duduk di kerusi belakang kereta itu.
“Kita keluar dululah..” ajak Aryan lembut. Dia terus membuka pintu. Maya ikut melakukan hal yang sama.
Qairynn yang paling akhir keluar daripada kereta mula meluat melihat pasangan itu saling berpegangan tangan, berpelukan mesra di hadapan matanya. Seronok sangatlah tu kononnya melihat permandangan waktu malam bandar Petaling Jaya. Padahal biasa aja pun.. takde apa yang menarik. Hati Qairynn mendongkol sendiri. Getik yang teramat sangat melihtat gelagat manja Maya dengan Aryan.
Hampir setengah jam berada di situ dia macam orang bodoh menunggu sementara merpati dua sejoli itu terus hanyut dengan dunia cinta mereka. Betapa sakit hatinya memandang itu semua hanya Allah sahaja yang tahu. Namun dia tidak punya pilihan lain selain menunggu sahaja.
Ni nak bincang ke apa ni? Kalau dah tahu nak bercinta sangat buat apa ajak aku ke sini, getus hatinya semakin sakit. Qairynn mula memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir ke angka 10 malam. Kalaulah datuknya ada menelefon ke rumah saat dia berada di luar, matilah dia! Tidak pernah dia keluar selewat ini tanpa meminta izin lelaki itu.
“Lama lagi ke?” tanya Qairynn akhirnya. Dia bukan setakat sedang bosan yang teramat sangat tetapi hatinya sedang terbakar hangus.
Aryan menoleh kepada Qairynn  yang duduk sendirian di satu bangku tidak jauh daripada tempat dia berdiri.
“Sibuk ajalah dia ni..” ucap Maya agak perlahan. Namun masih mampu didengari oleh Qairynn.
“Aku tak ingin nak ikut kau orang ke sini. Aryan yang ajak!” ucap Qairynn selamba.
“Rynn, janganlah berkasar sangat. Hormatlah sikit. Maya ni lebih tua dari Rynn.” Aryan mula bersuara enggan membiarkan dua manusia itu terus bertelagah.
“Dia yang mulakan dulu! Ingat orang ni tunggul ke apa? datang sini setakat nak jadi jaga orang bercinta, tidur kat rumah lagi baiklah!” desis Qairynn geram melihat Aryan membela kekasih hatinya.
Aryan menghela nafas perlahan.
“Hei! Mulut longkang kau ni memang semenjak azali lagi memang dah kurang ajarkan? Untuk pengetahuan kau, aku pun tak inginlah nak berbaik dengan kau. Kalau bukan sebab Aryan, aku tak ingin nak biarkan kau naik kereta aku!” sambut Maya tatkala Aryan berdiam diri.
“Sudahlah tu!”
“Dia ni kurang ajar sangat. Adik macam ni you nak sayang sangat? Takde adik macam I ni, lagi baiklah, Aryan! Adik angkat konon. Boleh blah!” jerit Maya mula dihambat rasa marah.
“Masing-masing asyik nak bertekak bila masanya nak aman macam ni?” getus Aryan resah melihat Maya tidak mahu mengalah sedikit pun.
“Berbaik dengan orang hati busuk macam dia ni buang masa aja. Kalau aku jadi lelaki aku tak ingin bermakwekan perempuan mulut busuk macam ni,” celah Qairynn selamba sambil berpeluk tubuh.
“Rynn, jaga sikit mulut tu!” tegur Aryan sakit hati mendengar perlian Qairynn.
Qairynn menuntaskan pandangan kepada Aryan. “Abang ni memang teruklah! Bila dia cakap yang teruk-teruk pada Rynn, abang diam! Bila Rynn yang cakap, abang terus marah Rynn. Abang ingat Rynn ni malaikat ke?” tukas Qairynn sedikit meninggi.
“Sekurang-kurangnya salah seorangnya jangan menghangatkan keadaan. Kalau dua-dua keras kepala sampai bila-bila pun keadaan akan terus macam ni. Faham?” tiba-tiba sahaja suara Aryan meninggi kepada Qairynn, membuatkan gadis itu tersentak.
“Yang tak faham betina tu. Bukannya Rynn. Yang abang sibuk nak marah Rynn buat apa? Abang yang paksa Rynn ikut abang sampai ke sini.” Qairynn ikut meninggikan suara kepada Aryan pula. Terasa berbaloi benar dia diajak ke situ.
“Abang buat macam ni untuk kebaikan bersama. Jadi tolonglah jangan sulitkan keadaan!” meninggi lagi suara Aryan kepada Qairynn.
“Siapa yang sulitkan keadaan sekarang? Betina tu yang asyik nak menyakitkan hati Rynn. Kenapa abang nak marah Rynn pulak? Bukan Rynn yang terhegeh nak keluar tadi!” lawan Qairynn semakin kuat. Dia tidak faham mengapa dia diseret ke sini. Sekadar untuk diperlakukan seperti ini?
“Memang! Itu pun sebab mama yang paksa abang berbaik dengan Rynn semula. Kalau bukan sebab mama, aku pun tak inginlah buat macam nilah! Buat semak kepala aku aja!” jerkah Aryan kuat. Turun naik dadanya melihat Qairynn melawan bicaranya sekejap tadi.
Tersentak Qairynn mendengar kata-kata Aryan itu. Maya sudah tergelak seronok di belakang Aryan. Lama bola mata Qairynn terkandas di wajah Aryan. Kerana mama? Betapa hanya Allah sahaja yang tahu hancur hatinya mendengar itu. Kalaulah dia tahu semua ini kerana Datin Rahimah semata, mati hidup semula dia tidak ingin mengikut kehendak Aryan.
“Sampainya hati abangkan?” ucap Qairynn perlahan.
“Abang pun manusia, Rynn. Sabar abang ada had!” ucap Aryan tajam.
“Sabar abang ada had?” Qairynn tergelak perlahan. Kepalanya digelengkan sedikit. Ya Tuhan.. kalaulah mampu, aku ingin menangis sekuat-kuat hati ku agar seisi dunia ini tahu betapa hati ku ini sudah hancur lumat kerana lelaki ini.
“Sudahlah, sayang. Buang masa aja layan dia ni. Jom kita pergi tempat lain!” ajak Maya. Pergelangan tangan Aryan ditariknya. Namun Aryan masih pegun di situ merenung Qairynn yang memandang ke arah permandangan bandar itu.
“Abang tak pernah jangka keadaan akan jadi macam ni, Rynn. Tapi bila hal ni berkait rapat dengan orang tua kita, abang serba salah. Abang pun ada keinginan abang sendiri. abang hanya harap Rynn akan faham yang abang sayangkan Maya. Jangan sulitkan keadaan ni lagi,” ujar Aryan kepada Qairynn yang masih bungkam sambil berpeluk tubuh.
“Siapa yang sulitkan keadaan selama ini? Tolonglah jangan beratkan bahu ni dengan sesuatu yang tak sepatutnya Rynn tanggung, abang. Rynn tak pernah halang abang berkawan dengan dia. Tapi kenapa abang minta Rynn yang faham? Apa sebenarnya yang Rynn ni tak faham?” Qairynn kembali memandang Aryan. Matanya berkaca lagi. Suaranya mula merendah mengandungkan kesayuan yang tidak terucap.
“Kau jangan nak hipokritlah, betina. Dari cara kau bercakap tu pun aku tahu kau masih ada hati pada Aryan. Aku takkan benarkan sesiapa rampas lelaki yang aku sayang! Nak-nak lagi kau!” jawab Maya dalam pada Aryan terus pegun memandang kepada Qairynn.
“Jadi ambillah dia. Jangan ganggu aku lagi,” ucap Qairynn nekad. Biarlah dia sendiri sahaja daripada hatinya terus tersiksa begini.
“Fine! You memang tak perlu nak kasihkan dia, Aryan. Dia ni memang sombong! Jom kita pergi tempat lain.”
“Abang hantar Rynn balik sekarang,” ucap Aryan akur akhirnya.
“Eh! I tak ingin nak biarkan musuh ketat I naik kereta I, okay. Dia nak balik. Dia balik sendiri,” getus Maya lebih pantas.
Sepantas kilat Aryan memandang kekasih hatinya. “Maya! Takkanlah kita nak tinggalkan dia kat sini,” ucap Aryan sedikit terkejut.
“Pilih antara dua. Dia atau I!” ucap Maya segera mempergunakan kelemahan Aryan.
“I tetap pilih you walaupun kita hantar dia balik!” tegas Aryan.
“I tak mahu. I benci dia. You nak kasihan dia, you jangan cari I lagi lepas ni. Kita putus!” ucap Maya lebih nekad. Dia terus berjalan menuju ke keretanya.
“Maya, jangan buat macam ni..” Aryan mula berlari anak mengejar Maya.
Qairynn terus terpaku memandang dua manusia itu dengan pandangan berbalam-balam. Perasaannya terus bercampur baur. Sehingga akhirnya Aryan kembali semula kepadanya dengan wajah sendu hatinya terus menangis.
“Abang hantar Rynn sampai bawah. Rynn balik naik teksi..” ucap Aryan agak payah. Langsung dia tidak perasan air mata yang sudah mengalir di pipi Qairynn Asyikin. Tanpa menunggu jawapan Qairynn, lengan gadis itu diraihnya. Qairynn dipaksanya masuk ke dalam kereta.
Tiba di kaki Bukit Gasing itu, Maya terus memberhentikan keretanya di tepi jalan. Aryan resah di hadapan. Berkali-kali dia memandang Maya mengharapkan sedikit tolak ansur dari kekasih hatinya.
“Turun!” ucap Maya tanpa emosi kepada gadis di kerusi belakang yang masih hanyut dengan dunia sendunya.
“Maya..” ucap Aryan serba salah.
“Kalau you nak ikut bohsia ni, I tak kisah. Tapi lepas ni you jangan cari I lagi. Pandai-pandailah dia cari jalan nak balik. Bohsia macam dia ramai yang sanggup kutip, apa nak kisah?” ucap Maya tajam.
“Janganlah cakap dia macam tu..” ucap Aryan tidak senang.
Maya segera menoleh tajam kepada Aryan. Aryan mula menghela nafas sendiri. “Okay.. okay..” Aryan mula mengangkat tangan mengalah akhirnya. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
“Turun!!!!!” ucap Maya semakin meninggi kepada Qairynn di belakang.
Mendengar itu Qairynn mula membuka pintu kereta. Dia pun tidak rela membiarkan kasih Aryan retak kepada Maya hanya kerana dirinya. Dia tidak ingin menjadi penganggu kepada ketenangan hubungan Aryan dan Maya. Biarlah dia mengalah sahaja.
“Terima kasih atas segala-galanya, abang..” kata-kata itu sempat diberikan kepada Aryan sebelum dia keluar.
Aryan hanya bungkam di kerusi hadapan. Sesungguhnya dia tidak sanggup memandang wajah Qairynn yang pernah berada dalam dakapan kasihnya. Namun apalah dayanya lagi. Maya juga penting untuk dirinya.
Kereta itu terus meluncur pergi sebaik sahaja pintu ditutup oleh Qairynn. Gadis muda itu terus memandang sehingga lesap bayangan kenderaan itu. Seperti mana hilangnya bayangan Aryan daripada pandangan matanya, sebegitulah jugalah impiannya kepada lelaki itu. Dia rela walaupun hatinya terluka. Sedihnya dia tidak terucap.
Qairynn.. dia ingin memahat pendirian untuk dirinya sendiri. Mungkin inilah pertemuan terakhir mereka berdua. Dia menerima kenyataan ini sebagai salam perpisahan dan segalanya sebagai ingatan sepanjang usianya. Sedetik pun tidak dia ingin menyesali apa yang telah terjadi. Inilah dugaan untuk dirinya. Hujungnya tak seindah mimpi, hanyalah igauan kosong.
Lelaki yang pernah mengaku menyayanginya, tidak mampu hidup tanpanya mudahnya berlalu pergi membiarkan dia begini. Mengapa begitu berubah laku?
Kini mengertilah Qairynn. Tak perlu menunggu lelaki itu lagi. Biarlah dia dengan hidupnya dan Aryan dengan kehidupannya sendiri. Antara mereka berdua.. sudah tida apa-apa lagi yang hendak dipertahankan. Habis sudah kesemuanya. Dia juga sudah tidak berupaya lagi mahu merebut kasih lelaki itu.



Lamunannya terbang jauh mencari seseorang yang kini sudah jauh meninggalkannya. Tidak sangka setelah hampir 18 tahun dia bernanung di bawah kasih lelaki itu, hari ini dia akan ditinggalkan mengutip sisa kenangan sendirian.
Ayah, maafkan Rynn. Rynn rindukan ayah sangat-sangat. Luahan itu bergema di hatinya lagi.
Sayu..
Pedih..
Tetapi apakan daya. Dia tidak punya daya untuk mengubah keadaan yang mendatang. Saat yang sama kenangan hitam yang merubah hidupnya kembali terimbau di ruang matanya. Sesak nafasnya saat terkenang semua itu. Tetapi sehingga kini kenangan itu masih terus memburunya tanpa belas kasihan.
Menungan gadis muda itu tergugah apabila tiba-tiba lengannya disentuh oleh seseorang di sisinya. Daripada memandang awan biru dia menoleh kepada wanita yang duduk di sebelahnya. Isyarat yang diberikan oleh wanita itu agar dia mengalihkan alat pendengaran yang melekap di telinganya segera dipatuhi.
“Kita dah nak sampai KL ni.” Nenek gadis muda itu berkata lembut.
Gadis muda bernama Qairynn Asyikin itu akur dengan suruhan neneknya. Tali pinggang keselamatan di kerusi dipasang semula. Ketika dia menoleh lagi neneknya masih lagi merenungnya bersama senyuman. Tanpa sebarang paksaan dia ikut membalas senyuman wanita 64 tahun yang berasal dari Parsi itu.
Mengerti akan kedukaan cucunya itu wanita bernama Benazir itu menarik kepala Qairynn agar rebah ke bahunya. Tangan cucunya itu ditepuk lembut seolah mahu mendodoikan remaja itu. Kesayuan Qairynn seperti dapat dirasainya. Kesedihan Qairynn ingin sekali ditawarkannya. Namun apalah dayanya. Hanya ini sahaja usahanya untuk menggembirakan Qairynn semula.
Mujur juga kunjungan mereka ke bumi Makkah sebelum ini berjaya memberikan sedikit ketenangan kepada Qairynn. Qairynn tidak lagi berair mata. Qairynn tidak lagi berkurung diri di dalam kamar. Benarlah.. penawar setiap kesakitan itu ada pada ALLAH. Manusia harus rajin memintanya.
“Semuanya akan baik-baik saja nanti, sayang. Percayalah..” ucapan itu hampir tidak kedengaran dari mulut wanita tua itu. Namun sebenarnya kata-kata itu adalah untuk meyakinkan dirinya yang suatu hari nanti hidup Qairynn pasti akan bercahaya semula. Insya-Allah.. dia hanya mahu melihat senyuman manis kembali semula ke bibir cucunya itu.
Qairynn mengangguk perlahan sambil memandang wanita di sebelahnya itu.
Sementara menunggu pesawat boeng 747 itu mendarat Qairynn kembali memandang ke luar jendela. Segala apa yang berlaku semenjak kebelakangan ini terus mengitari ruang fikirannya. Pemergian si ayah hampir 2 bulan yang lalu terus dikenangkannya. Sedikit pun dia tidak dapat mengekangkan kenangan itu.
Ayahnya rebah dan terus tidak bernyawa di hadapan matanya. Setitis air mata Qairynn menitis lagi mengenangkan ayah kesayangannya itu. Semua itu terlalu hitam untuk dipandang begitu sahaja. Betapa hanya Allah sahaja yang tahu apa yang beraja di hatinya saat ini.
Seketika kemudian Qairynn menoleh lagi kepada neneknya itu.
“Nek, Rynn nak duduk dengan umi lepas ni boleh tak?” soal gadis itu separuh berbisik.
Puan Sri Benazir memandang lama wajah Qairynn. “Kenapa?” tanya wanita tua itu sepatah.
“Rynn nak habiskan masa dengan umi sebelum sambung study,” jawab Qairynn perlahan.
Puan Sri Benazir terus tersenyum dan mengangguk. Lengan Qairynn diusapnya lembut. “Nenek faham perasaan Rynn. Pergilah, sayang. Nenek izinkan. Rynn kena jaga umi baik-baik. Sebab umi hanya ada anak-anak dia sebagai hartanya. Jangan lupa doakan arwah ayah selalu,” balas Puan Sri Benazir penuh pengertian.
“Terima kasih, nek..” serentak itu Qairynn merebahkan kepalanya di bahu wanita tua itu.
“Nenek cuma nak tengok cucu nenek ni tersenyum semula macam dulu. Semua ini ujian Allah, sayang. Kita kena bersabar,” bisik wanita tua itu lembut.
Tersenyum semula seperti dulu? Entahlah.. Qairynn tidak tahu bila dia dapat tersenyum semula seperti dulu setelah apa yang menimpa dirinya selama ini. Kehilangan Aryan mungkin dia boleh menggantikan dengan Aryan yang baru. Tetapi kehilangan satu-satunya ayah yang dia punya, hatinya terlalu perih. Terlalu berat untuk diterimanya.
Aku benci dia! Sampai mati pun aku takkan mampu memaafkan dia lagi.




Bab 8

“Nak pergi ke tak? Nak pergi ke tak ni? Aduh.. nak masuk tapi malulah pulak.” Aryan membebel sendiri di hadapan kediaman Tan Sri Muhammad Al Rashid pagi itu. Berkali-kali dia berpatah balik. Tadi semangat benar. Sekarang tiba-tiba dia terasa segan pula. Adatlah.. orang ada buat salah memang macam ni.
Sedang dia berkira-kira sendiri begitu sebuah kereta Honca civic berhenti tidak jauh daripadanya. Aryan terus memandang sehingga Maya meloloskan diri keluar daripada tempat pemandu. Terperanjat juga Aryan melihat Maya boleh berada di situ. Awal pula gadis itu sampai. Rasanya aturcara majlis bermula pada jam 11. Sekarang baru pukul 9 setengah Maya sudah terpacak di sini, apa mimpinya? Setahu Aryan, Maya bukannya kenal rapat dengan Qistina. Dengan Qairynn? Bermusuh adalah rasanya!
“Awal you sampai?” soal Aryan pelik. Sempat matanya menyorot batang tubuh Maya yang anggun dengan gaun pendek berwarna merah garang itu. Macam nak pergi annual dinner aja.
“I nak ke rumah you sebenarnya. Nak pergi sekali dengan you. I bukannya kenal sangat dengan Qistina. Kalau bukan sebab mummy yang paksa I datang, confirmed I takkan datang.” Maya menjawab sambil tersengih bak kerang basi di hadapan Aryan.
Aryan temangu seketika mendengar bicara itu. Kalau dah tak mahu datang kenapa datang?
“Jom?” ajak Maya pantas. Tanpa segan silu dia terus memaut lengan Aryan untuk beriringan masuk ke dalam rumah itu. Kembang hatinya seolah-olah mereka sedang berjalan di karpet merah. Bergandingan dengan Aryan pujaan hatinya, membuatkan dia disapa rasa megah buat kesekian kalinya.
Namun berlainan pula dengan jejaka berusia 28 tahun itu. Dada Aryan mula disapa debar kencang saat menjejakkan kaki semula ke rumah itu setelah bertahun dia tidak ke sini. Kekok benar rasanya. Bimbang kedatangannya tidak dialukan oleh tuan rumah. Ah! Diorang yang jemput. Masakan aku tak datang.. Aryan terus bermonolog dalam hati sekadar mahu menyedapkan hati sendiri.
Buat sesaat dua itu mata Aryan memandang persekitaran halaman rumah itu. Ada 6 buah kanopi dibina, sudah cukup memenuhi ruang halaman yang dahulunya seingatnya agak luas juga. Turut ada pentas kecil dibina berhadapan dengan khemah tetamu. Pihak catering yang diupah sedang sibuk menyediakan hidangan untuk tetamu yang bakal tiba dalam sejam setengah sahaja lagi. Begitu juga dengan band muzik yang diupah. Masing-masing sibuk memeriksa sound sistem sebelum memulakan kerja mereka.
Melihat persiapan itu Aryan sudah dapat membayangkan kemeriahan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung nanti. Entah berapalah kos yang telah dihabiskan untuk menyediakan majlis semeriah ini. Sudah tentu datuk Qistina itu sanggup berhabis untuk majlis perkahwinan cucu perempuannya memandang ini adalah majlis perkahwina cucu perempuan sulungnya. Kalaulah Qairynn yang kahwin entah macamana pulaklah rupa majlisnya, fikir Aryan sendiri.
Not badkan?” ucap Maya yang turut memandang.
“Hmm..” itu sahaja balasan Aryan dek kerana matanya masih sibuk memerhatikan sekelilingnya.
“Orang banyak duit macam nilah. Sanggup berhabis untuk majlis macam ni aja. Kahwin meriah, nanti bercerai pun meriah jugak!” komen Maya selamba. Dia tahu keluarga Qairynn memang kaya raya. Datuknya memiliki rangkaian gedung membeli belah yang menggunakan jenama sendiri. Manakala arwah ayahnya juga turut mempunyai perniagaan sendiri yang tidak kurang gahnya. Kini syarikat itu diuruskan oleh Puan Sri Bethina dan anak-anaknya.
“Hish! Mulut you ni.. tak baik cakap macam tu. Kita datang majlis orang kahwin kita kena doakan mereka yang baik-baik. Bukannya cakap macam tu!” tegur Aryan tidak senang dengan keceluparan mulut Maya. Tampang selamba itu sempat dijelingnya bersama rasa muak yang semakin mengepung di dalam dirinya.
“Aryan?” sapaan itu lantas membuatkan tumpuan Aryan kepada Maya terbang melayang. Segera dia menoleh mencari si empunya suara. Melihat gerangan manusia itu Aryan lantas tersenyum.
“Kak Tina..” balasnya mesra. Tanpa mengajak Maya, dia segera mendekati Qistina yang berdiri di ambang pintu utama rumah itu.
“Awal sampai? Mama dengan papa Aryan mana?” tanya Qistina mesra. Sempat dia memandang Maya yang membuntuti Aryan itu.
“Saja je datang awal. Mama dengan tengah bersiap. Sekejap lagi sampailah tu. Diorang datang sekali dengan keluarga Kak Rina. Umi dengan Qudsiah mana, kak?” tanya Aryan kepada wanita berusia 30 tahun itu.
“Umi buzy kat dapur. Qudsi kat atas lagi tu, tengah bersiap agaknya. Akak ni tengah tunggu mak andam. Tak sampai-sampai lagi. Nak kata sesat malam tadi dah datang sini. Takkan lupa lagi jalan nak ke sini kot? Ini Maya ya?” diakhir bicara Qistina memandang seketika Maya yang hanya berdiam semenjak tadi.
“Ha’ah..” sepatah sahaja jawapan Aryan sambil menoleh ke arah Maya sekilas. Saat itu ringan sahaja mulutnya mahu bertanyakan Qairynn. Namun menyedari Maya berada di sisinya dibatalkan hasratnya.
“Bila agaknya nak kahwin? Calon pun dah ada nampaknya?” tanya Qistina lembut bersama senyum mesranya. Jika dia tidak salah sudah lama Aryan berkawan dengan Maya. Malah Aryan sanggup mengenepikan adiknya hanya kerana mengejar Maya. Dahulu dia memang kesal dengan semua itu. Namun setelah 8 tahun berlalu dia sedar dia harus reda dengan keputusan Aryan, juga dengan segala yang berlaku kepada Qairynn adik bongsunya itu. Tadi saat Aryan bertanyakan di mana uminya dan adiknya berada, dia perasan Aryan masih tertinggal seorang lagi adik perempuannya iaitu Qairynn. Tidak sudi lagi agaknya Aryan untuk menyebut nama Qairynn setelah Maya ada di sisinya. Itulah yang difikirkan Qistina.
Aryan tersengih seketika. Persoalan itu tiada jawapannya kerana sebenarnya dia sendiri tidak yakin mahu memulakan hidup sebagai suami isteri dengan wanita bernama Maya ini. Malah tidak pernah ada perancangannya hendak ke situ buat masa ini. Dia dan Maya tidak lagi semesra dulu.
“Tak tahu lagi, kak. Saya belum bersedia lagi nak melepaskan title bujang.” Aryan sengaja menjawab kosong.
“Maya kerja di mana sekarang?” Qistina sengaja mengalihkan bicaranya kepada Maya pula. Teringin juga mahu mengenali siapa gadis ini. Cantik orangnya.. tapi maaflah, bukannya dia mahu membangga diri. Dia pasti adiknya memang lebih cantik berbanding wanita ini.
“Belum kerja lagi..” Maya menjawab sedikit rendah.
“Oh! Maya balik sekali dengan Aryan kan? Belum dapat kerja lagi?” soal Qistina lembut. Tidak hairan dengan semua itu kerana zaman ini graduan universiti lebih susah mencari pekerjaan berbanding yang berpendidikan rendah.
“Ha’ah. Aryan bolehlah.. syarikat ayah dia ada menunggu. Maya ni manalah ada semua tu,” kata Maya seakan sedang merendah diri.
Aryan sempat memandang Maya. Temberang sungguh! Bukannya dia tidak tahu Maya langsung tidak pernah keluar mencari kerja. Tahunya keluar pergi berjumpa kawan-kawan menghabiskan duit. Tahulah ayahnya pegawai tinggi kerajaan! Menteri sekalipun kalau inilah gaya anaknya mahu bunkrup akhirnya.
“Takpelah. Nanti adalah tu..” ucap Qistina lembut. Saat itu matanya terkesan kedatangan orang-orang yang dinantinya. “Ha! Sampaipun. Masuklah Aryan.. Maya. Duduk kat dalam lagi elok. Kat luar ni diorang sibuk buat kerja takut korang rimas pulak nanti. Alah! Aryan bukan ke dah biasa dengan rumah ni?” ucap Qistina lembut.
Aryan segera mengorak senyum. “Yalah!” sepatah sahaja dia menjawab.
“Jomlah masuk!” ajak Maya setelah Aryan hanya berdiri sahaja di luar. Teringin benar mahu menilik isi rumah besar itu.
“Malaslah! I nak duduk kat luar ni aja. Lagipun I nak tunggu parent I ni,” ucap Aryan lantas mendekati sebuah meja tidak jauh darinya. Dia duduk di situ sambil memandang sekeliling memerhatikan kakitangan caterer yang sibuk dengan tugas masing-masing.
Maya mengeluh kecewa melihat Aryan tidak mempedulikannya. Dia akhirnya ikut duduk di tempat yang sama. Tanpa kehadiran Aryan dia segan pula mahu meneruskan agendanya.
“Aryan?” sekali lagi nama Aryan disebut seseorang. Aryan menoleh lagi ke arah pintu utama. Kali ini Puan Sri Bethina yang ada di muka pintu itu.
“Siapa tu?” tanya Maya sedikit melugu saat memandang wanita itu. Anggun sekali dilihatnya wanita itu dengan jubah berwarna ungu dan tudung lilitnya. Macam orang muda-muda aja.
Aryan sempat menoleh sekilas kepada Maya. “Itu umi Qistina.” Aryan menjawab pantas sebelum bangun untuk mendekati Puan Sri Bethina.
“Umi..” sapa Aryan dengan sedikit senyuman. Renungan wanita itu pada wajahnya membuatkan dia serba salah sedikit.
“Datang dengan kawan ni aja? Mama dengan papa mana?” tanya Puan Sri Bethina lembut. Matanya mula menyapu bersih wajah teman Aryan itu. Rasanya dia tidak kenal dengan gadis ini. Siapa agaknya ya? Teman wanita Aryan mungkin.
“Mama dengan papa datang dengan Kak Rina. Sekejap lagi sampailah tu. Aryan saja datang awal. Nak tengok dia orang ni buat kerja,” jawab Aryan dengan bohongan itu. Hanya dia sahaja yang tahu mengapa seawal ini dia sudah ke mari.
“Kenapa duduk kat luar aja? Mari masuk!” ajak wanita itu bersungguh.
Aryan terdiam seketika. Ajakan itu terasa amat berat mahu disambutnya begitu sahaja. Dia tahu dia masih berhutang sesuatu dengan wanita ini.
“Aryan minta maaf ya, umi?” ucap Aryan agak perlahan. Biarpun dia tahu wanita ini lembut orangnya, dia bimbang kemarahan wanita ini masih menebal kepadanya di sebalik kelembutan yang dipamirkan itu.
“Kenapa pulak Aryan minta maaf dengan umi? Kamu takut umi masih marah pasal dulu tu?” soal Puan Sri Bethina sambil tergelak kecil. Dia yakin Aryan memaksudkan kisah lama antara Aryan dan anak bongsunya.
Aryan tidak menjawab. Namun dalam hati dia mengiyakan. Liurnya ditelan payah.
“Perkara dah lepas buat apa nak dipanjangkan lagi. Lagipun umi sebagai orang tua tak mahu masuk campur sangat hal orang muda. Sudah! Mari masuk! Jangan segan-segan. Siapa nama kawan Aryan ni? Tak mahu kenalkan dengan umi ke?” Puan Sri Bethina terus tersenyum memandang tampang Aryan.
“Oh, sorry! Aryan lupa. Ini Maya, umi. Maya ini Puan Sri Bethina..” Aryan yang baru sedar dari kealpaannya lantas memperkenalkan dua manusia yang masih tidak mengenali itu.
“I see.. inilah Maya ya? Mama Aryan ada juga cerita pasal Maya ni. Cantik orangnya,” ujarnya Puan Sri Bethina lembut.
“Apa khabar, Puan Sri?” ucap Maya lembut. Terasa kerdil dirinya saat memandang wanita yang berada di hadapannya. Sudahlah kaya raya, baik pula budi bahasanya. Cantik pula tu walaupun sudah berusia. Malu juga dia memikirkan segala perbuatannya kepada Qairynn suatu masa dahulu. Masakan wanita ini tidak tahu yang dia pernah membuli Qairynn?
“Khabar baik. Panggil auntie aja. Tak payah Puan Sri tu semua..” ucap Puan Sri Bethina saat menyambut tangan Maya yang dihulurkan kepadanya.
“Mari masuk! Maya, jangan segan-segan..” ucap Puan Sri Bethina lembut.
Dua manusia itu akur juga. Saat menjejakkan kaki ke dalam rumah besar itu mata Aryan mula meliar. Ada seseorang yang ingin benar ditemuinya. Mahu bertanya terus, dia segan pula. Di ruang tamu itu dia terpandangkan, Tan Sri Al Rashid sedang rancak berbicara dengan seseorang. Aryan lantas mencelah peluang untuk bersalam dengan lelaki tua itu.
“Bila sampai?” tanya Tan Sri Al Rashid lembut. Tersenyum dia memandang Aryan yang tunduk mengucup tangan tuanya.
“Baru sekejap ni, tuk. Tuk sihat ke?” soal Aryan lembut. Semenjak pulang daripada US dia masih tidak dapat berbual dengan lelaki ini walaupun dia ada terpandangkan lelaki ini sekali sekala.
“Alhamdulillah, sihat. Semalam kenapa tak datang?” tanya Tan Sri Al Rashid.
“Semalam Aryan kerja. Lambat balik,” ujar Aryan beralasan. Sebenarnya dia segan mahu ke mari. Bimbang lelaki ini tidak menerima baik kehadirannya. Tetapi nampaknya semua itu hanya perasaannya seorang. Tan Sri Al Rashid mengangguk sahaja.
“Atuk, Aryan pergi sana ya?” ucap Aryan lembut. Dia tahu dia tidak harus menganggu perbualan lelaki itu dengan tetamunya. Nampak begitu serius mereka berbincang.
“Mari sini, Aryan. Atuk ada tetamu. Aryan dengan Maya duduk sinilah,” ujar Puan Sri Bethina sambil mempersilakan dua anak muda itu duduk di ruangan makan.
“Nong..” panggil Puan Sri Bethina kepada seseorang di dapurnya. Muncul wanita berusia awal empat puluhan dari ruang dapur itu.
“Hidangkan air untuk Aryan dengan Maya ni..” arahnya lembut. Wanita indonesia itu terus akur. Dia kembali semula ke dapur.
“Kamu berdua duduk dulu ya? Umi nak ke depan. Nak tengok kerja-kerja di luar tu. Sementara tu makanlah dulu apa yang ada atas meja ni. Nanti bila caterer dah siap hidang, barulah makan kat luar pulak,” ucap Puan Sri Bethina dengan senyumannya.
Aryan hanya mampu mengangguk. Sekilas senyuman yang diukir oleh wanita itu dia teringatkan Qairynn. Senyuman itu mirip dengan senyuman yang dipunyai oleh Qairynn. Begitu juga bola mata coklat itu turut diwarisi oleh Qairynn. Buat seketika Hadi disapa rasa sayu dan rindu mengenangkan gadis itu. Dia tahu banyak kesalahannya kepada Qairynn selama ini.
Maya tanpa menunggu lagi terus mencapai sepiring puding caramel yang terhidang di atas meja setelah Puan Sri Bethina berlalu.
“Cantiklah Puan Sri Bethina tu. Dah tua pun masih bergaya lagi,” pujinya lembut. Wajah Puan Sri Bethina langsung tidak ada rupa kemelayuan sebaliknya seperti orang Arab. Tetapi bahasa melayunya langsung tidak membayangkan yang dia adalah orang luar. Begitu juga dengan lelaki tua yang bersalam dengan Aryan tadi.
“Dia orang berketurunan Arab. Kedua-dua moyang Qairynn dilahirkan di Kaherah tapi mereka berhijrah ke sini dah lama sebelum buka perniagaan di sini. Atuk tu dilahirkan di sini kemudian berkahwin dengan nenek. Nenek Qairynn berketurunan Parsi. Memang datang dari sana sebelum berkahwin dengan atuk. Puan Sri Bethina lahir di sini sebelum berkahwin dengan arwah ayah Qairynn,” terang Aryan tentang susur galur keluarga Qairynn yang diketahuinya. Keluarga campuran berbagai negara.
Maya menoleh kepada lelaki itu setelah dia terdengar nama Qairynn meniti di bibir Aryan. Ada rasa tidak senang menular dalam dadanya. Namun tidak mampu diluahkan. Aryan pula selamba sahaja dilihatnya.
“Patutlah semua anak-anak perempuan diorang cantik-cantikkan? Kulit putih melepak hidung mancung. Tinggi lampai macam model. Rupanya mix blood. Tapi sayang.. ada seorang tu tomboi pulak!” ulas Maya sengaja mahu mengenakan Qairynn lagi. Entah kenapa dia masih berasa tidak suka dengan gadis itu walaupun sudah bertahun tidak bertemu. Paling dia cemburu melihat bulu mata lentik semula jadi yang dimiliki Qairynn. Geram.. kerana dia merasakan itulah tarikan Qairynn yang sering membuatkan dia merasa Qairynn lebih cantik darinya. Bimbang Aryan terpikat kepada gadis yang pernah dianggap sebagai adik kandung itu.
Aryan hanya diam. Malas mahu mengiyakan atau menebah. Lebih baik dia buat tidak dengar sahaja daripada melayan Maya bercakap. Malas mahu melanjutkan bicara tentang itu, Aryan sengaja memandang sekeliling. Di tingkat atas riuh bunyinya dengan gelak tawa manusia. Aryan tahu saudara-saudara Qairynn sebelah arwah ayahnya ada yang datang bermalam di rumah ini.
Tidak lama kemudian kelibat orang tuanya kelihatan. Dari dalam rumah itu Aryan lihat mereka berbual dengan Puan Sri Bethina di bawah khemah tetamu. Sebahagian tetamu sudah tiba. Suara band muzik sudah mula kedengaran.
“Kita keluar?” ajak Aryan tidak selesa berada di dalam rumah. Dia segan dengan sapaan mata-mata sepupu-sepupu Qairynn yang berlegar di dalam rumah. Harapannya untuk melihat Qairynn masih tidak kesampaian lagi. Entah di mana gadis itu. Ah! Sekejap lagi adalah tu.. Aryan memujuk hati sendiri.
Maya lantas bersetuju dengan ajakan Aryan. Namun saat mereka baru bergerak meninggalkan kawasan makan itu, telinga Aryan tertangkap satu suara yang amat dikenalinya menjerit dari tingkat atas.
“Nong...”
Automatik langkah Aryan terhenti berhampiran dengan kaki tangga rumah mewah itu. Begitu juga Maya di belakang Aryan.
“Nong, mana... erk!” teriakan Qairynn terputus saat terpandangkan batang tubuh yang terpacak di hujung tangga tingkat bawah sedang memandang kepadanya. Qairynn terpegun di pertengahan tangga antara tingkat atas dan bawah itu. Dadanya berdegup kencang. Tiba-tiba lidahnya kelu melihat seseorang yang paling tidak ingin dilihatnya itu. Lama matanya tertancap di wajah Aryan.
Kemudian matanya terpandang pula si Maya yang berada di sebelah Aryan sebelum kembali memandang lelaki yang masih tidak mengalihkan pandangan daripada wajahnya itu.
“Ya, Rynn..” Nong yang baru tiba di ruangan itu segera mematikan suasana kaku itu. Spontan perhatian Qairynn tergugah. Kedatangan Nong benar-benar dianggap sebagai penyelamat keadaan.
“Err.. err.. apa nak cakap tadi ya? Ha! Mana baju tadi?” tanya Qairynn sedikit tergagap-gagap kepada Nong. Melihat Aryan berada di situ, dia tiba-tiba tidak tentu arah pula. Sehingga terlupa seketika apa yang dimahukannya daripada Nong tadi.
“Ada di bilik menggosok. Maaf, Nong sibuk tak sempat bawa naik ke atas,” ucap Nong agak perlahan.
“Takpe. Rynn ambil sendiri. Nong pergilah buat kerja lain,” ucap Qairynn lantas dia menuruni tangga itu. Di hujung tangga itu tidak dapat dielak dia bertentangan mata lagi dengan Aryan dan Maya. Sorotan mata Aryan masih tidak beralih kepadanya. Seolah-olah ada gam di wajahnya ini sehingga Aryan memandangnya sebegitu sekali.
“Bila kau balik KL?” tanya Qairynn agak mendatar kepada Maya. Mahu berbasi basa. Namun dia tahu hatinya tidak ikhlas menerima baik kedatangan dua tetamu ini. Menegur Aryan? Memang taklah! Jelak dia melihat pandangan Aryan kepadanya.
“Tanyalah buah hati aku ni. Aku balik sama flight dengan dia,” jawab Maya agak bangga. Sengaja dipautnya lengan Aryan untuk menyakitkan hati Qairynn.
Qairynn terus tersenyum sinis. “Yalah, pasangan kekasih memang kena balik sekali. Kalau tak manalah nak romantiknya,” sindirnya tajam. Tanpa kata dia terus meninggalkan dua manusia itu. Wajah lugu Aryan enggan dipandang lagi.
“Kau memang tak pernah berubahkan?” sepotong ayat yang dilemparkan Maya itu membuatkan langkah kaki Qairynn terhenti sebelum sempat dia menjauhkan diri daripada pasangan kekasih itu. Qairynn lantas menoleh semula kepada Maya. Di bibir gadis itu terhias senyuman mengejek kepadanya.
“Maksud kau?” soal Qairynn semula. Maya segera melepaskan tangan Aryan lalu mendekati Qairynn yang sedang merenungnya dengan kerutan di kening.
“Masih dengan gaya tomboi lagi? Dengan rambut pendek kau.. baju besar kau.. seluar jeans kau ni. Masih sama dengan Qairynn yang dulu. Kau dah ada boyfreind? Oh! Lupa pulak aku! Bukan ke selalunya tomboi ni ada aweks? Siapa aweks kau sekarang?” ujar Maya dengan senyum mengejek. Batang tubuh Qairynn yang hanya mengenakan t’shirt kelabu yang agak besar dan seluar jeans longgar dipandang Maya dari atas ke bawah. Tidak lupa rambut berfesyen mohawks dikikis kedua-dua sisi dan belakang, seiras penyanyi Rihanna itu dipandang dengan senyum mengejek. Walaupun sebenarnya fesyen itu sebenarnya masih bersifat feminin namun entah kenapa dia masih tidak mampu melupakan hakikat yang Qairynn masih suka berambut pendek sama macam zaman mereka di sekolah dahulu.
Qairynn memandang Aryan seketika. Seperti tadi Aryan hanya membatu membiarkan Maya mencari fasal dengannya. Sama macam dahulu! Aryan selalu memenangkan Maya yang suka menghinanya.
“Kau sedar tak kau dekat mana sekarang?” tanya Qairynn agak tajam. Geram tidak terucap melihat tetamu tidak tahu diuntung seperti Maya ini.
“Rumah kau. So?”
Good! Ini rumah aku dan sebagai tetamu aku rasa kau tak sepatutnya datang sini menghina aku. Aku tak kacau kau dan kau jangan kacau aku. Kalau aku nak beraweks sekalipun itu takde kena mengena dengan kau sikit pun! Jaga aja buah hati pengarang jantung kau tu baik-baik!” ucap Qairynn sedikit tajam.
“Alah! Nak bergurau sikit pun tak boleh. Sentap pulak! Sensitiflah kau sekarang. Tak macholah sikit-sikit nak merajuk.. sikit-sikit nak merajuk! Macamana nak jadi tomboi kalau macam ni?” Maya masih belum puas mengejek. Entah kenapa suka benar dia menyakitkan hati Qairynn. Melihat wajah Qairynn berubah dia tergelak menang.
Qairynn menggigit bibir menahan sakit hati. Eei! Makcik ni.. kecik aja aku tengok! Sekali aku sepak mulut dia ni karang, berterabur gigi! Getus Hati Qairynn sudah mula berasap. Sekilas dia sempat memandang Aryan yang berada sedikit terkebelakang dari mereka. Lelaki itu hanya memandang mereka dengan muka bodohnya. Sukalah tu tengok kekasih dia menyakitkan hati aku, bisik Qairynn berbisik lagi.
“Aku muaklah layan lawak jenaka kau! Tak kelakar langsung. Aku ada banyak benda lain nak dibuat selain dari melayan hati busuk kau ni. Aku pergi dulu ya?” ucap Qairynn malas mahu memanjangkan perbalahan mereka berdua.
“Eh! Nanti dulu!” Maya segera menahan saat melihat Qairynn lekas sahaja ingin pergi darinya.
“Ada apa lagi?” getus Qairynn bosan.
“Ni nanti kau nak pakai baju apa? Baju melayu ke atau baju kurung? Eh! Takkanlah tomboi macam kau nak pakai baju kurung, ye tak?” ucap Maya lantas dia ketawa galak. Perubahan di wajah Qairynn benar-benar membuatkan dia berasa menang tanpa sedar segala sendaannya dilihat oleh seseorang.
“Aryan!!!” jerkahan suara itu mengejutkan Maya dan Aryan serentak. Mereka bertiga terus menoleh ke arah tangga. Kelihatan Qudsiah sedang menuruni tangga itu dengan wajah merah padam. Berubah wajah Aryan saat memandang gadis sebaya dengannya itu.
“Qudsi..” perlahan sahaja suara Aryan menegur Qudsiah.      
“Rynn pergi bersiap cepat!” arah sang kakak kepada adiknya itu.
Qairynn akur tanpa banyak kira. Terus dia meninggalkan kesemua manusia itu untuk ke bilik menggosok. Dia tahu kakaknya pasti mendengar apa yang dikatakan oleh Maya kepadanya tadi. Sambil berlalu Qairynn tersenyum sendiri. Padan muka! Kau tahulah nasib kau nanti.
“Aku rasa kau tak patut biarkan kekasih hati kau ni membuli adik aku. Ini bukan zaman sekolah lagi! Kita semua sama-sama dah dewasa. Berlagaklah macam orang dewasa yang cukup akal fikiran!” ucap Qudsiah agak tajam.
“Tak! Qud, aku..”
“Kau ni tetamu kami. Tak malu ke kau buat macam ni pada Qairynn? Kenapa kau asyik nak sakitkan hati dia? Apa salah dia pada kau, Maya?” pintas Qudsiah geram.
“Alah! Bergurau ajalah..” balas Maya agak perlahan.
Qudsiah tersenyum mengejek kepada Maya. “Aku nak bercakap dengan Aryan. Kau boleh tinggalkan kami sekejap?” ucap Qudsiah selamba.
Maya terkedu mendengar kata-kata Qudsiah itu. Dia memandang Aryan untuk meminta sokongan. Namun mata lelaki itu segera membuat isyarat agar dia meninggalkan kawasan itu saat itu juga. Sebal perasaannya!
Qudsiah dan Aryan kembali berpandangan setelah Maya berlalu memberikan ruang kepada mereka berdua untuk berbicara. Namun langsung tidak tertera sedikit pun kemesraan dalam pandangan Qudsiah kepada lelaki itu.
“Kaulah lelaki yang paling tak berguna yang aku pernah jumpa, Aryan! Kalau akulah yang jadi pemilik rumah ni, aku takkan tengok muka kau lagi kat sini. Apatah lagi untuk menghina adik aku tu! Tapi atuk aku tu baik sangat! Aku sedar yang kita ni dah berjiran lebih dari dua puluh tahun. Jadi cukuplah dengan apa yang dah kau buat pada dia selama ni!” ucap Qudsiah cukup serius. Dia langsung tidak berminat mahu beramah tamah dengan lelaki ini.
Berubah wajah Aryan mendengar kata-kata Qudsiah yang cukup lancang itu. Tidak terdaya mahu dibalasnya bicara wanita itu kerana dia sedar dia memang berhak menerima semua itu.
“Kau suka tengok Qairynn dihina Maya?” soal Qudsiah terus menajamkan suaranya.
“Aku..” Aryan tidak jadi meluahkan bicara. Saat itu mereka terdiam seketika apabila Qairynn kembali semula ke situ. Qudsiah segera memberi laluan kepada adik bongsunya itu untuk naik ke tingkat atas memandangkan kedudukannya berada di tengah-tengah anak tangga yang terakhir.
Aryan sempat memandang Qairynn yang langsung tidak mahu menoleh kepadanya. Sebuah keluhan terhela perlahan tanpa sengaja. Dia mengharapkan hubungannya dengan Qairynn pulih. Namun apa yang berlaku sebaliknya pula. Sungguh! Dia tidak berniat mahu membiarkan Maya menghina Qairynn sebentar tadi. Tetapi entah kenapa dia terpaku saat memandang Qairynn sehingga dia tidak sedar apa yang berlaku. Dia alpa!
“Dia dah banyak menangis sebab kau, Aryan. Sampainya hati kau biarkan kekasih kau tu hina Rynn lagi? Dulu kau dengan dia cukup baik, sampaikan tak boleh nak berenggang langsung. Tapi lepas kau ada Maya kau lupa semuanya. Rynn dah jadi musuh pada kau. Tiba-tiba kau rasa malu pulak dengan penampilan dia macam tu. Sebelum Maya ada, semua okay aja bagi kau? Kenapa? Hina sangat ke adik aku yang suka berambut pendek macam tu?” ucap Qudsiah lagi.
Aryan menghela nafas perlahan. “Aku tak bermaksud macam tu, Qud. Aku tak sedar apa yang Maya buat tadi,” luah Aryan perlahan sahaja. Kesal! Itulah yang merantai hatinya saat ini. Lebih dari itu.. dia kesal kerana tidak menegah Maya daripadanya menyebut perkataan ‘buah hati’ sedangkan mereka sudah tidak lagi seperti dulu. Semuanya sudah tamat!
“Aku tak mahu kau dengan Maya ganggu Rynn lagi. Aku rasa Rynn sendiri pun dah tak mahu apa-apa lagi dari kau. Jadi pandai-pandailah kau jauhkan diri daripada dia. Cakap dengan kekasih pujaan hati kau yang dah cukup bagus tu.. adik aku bukan tomboi! Memang dia suka berambut pendek tapi dia bukan perempuan yang nak jadi lelaki. Apa guna rambut panjang mengurai kalau hati tak secantik rambut di kepala? Sedangkan ALLAH sendiri memandang kita pada hati, siapa kita nak menghina orang lain?” ucap Qudsiah sedikit melonggar suaranya.
“Maafkan aku. Aku datang ni bukan nak menambah lagi kekusutan yang ada. Aku cuma nak berbaik dengan dia. Sungguh!” ucap Aryan lembut mengharapkan pengertian Qudsiah.
“Dah lapan tahun! Berbaik atau tak, itu takde bezanya lagi. Aku rasa dia lebih baik sendiri begini daripada diperkotak-katikkan macam dulu,” desis Qudsiah dengan pandangan mengecil kepada Aryan.
Aryan sekadar mampu menghela nafas perlahan. Hancur bak kaca terhempas ke batu hatinya saat mendengar kata-kata Qudsiah itu. Sedarlah dia kini.. Qairynn sememangnya tidak inginkan apa-apa lagi darinya. Pantaslah Qairynn langsung tidak menegurnya semenjak tadi.
Akhirnya Aryan membawa dirinya keluar dari rumah itu. Kakinya dihalakan ke bawah khemah. Namun semangatnya untuk berada di situ hanya tinggal sedikit cebisan sahaja. Kalau tidak difikirkan umi yang begitu baik kepadanya selama ini sudah lama dia pergi. Namun dia tidak mahu mengocakkan keadaan yang tenang hanya kerana desakan hati yang kian hampa.
Di bawah khemah itu Maya masih boleh berlagak selamba duduk di antara keluarganya. Entah kenapa Maya masih mahu menyibuk di situ sedangkan emak dan ayahnya juga sudah tiba. Cumanya emak dan ayah Maya duduk di meja lain, di bawah khemah lain. Puan Sri Bethina pula sudah berada berhampiran dengan pintu pagar rumah itu bersama dengan emak dan ayahnya sedang menyambut tetamu yang semakin tiba. Ruangan bawah khemah di perkarangan rumah mewah itu semakin sesak.
“Aryan, you tak mahu makan ke?” soal Maya kepada Aryan. Hairan dia melihat Aryan hanya bungkam sedangkan di atas meja terhidang macam-macam makanan.
“Makanlah dulu. I tak selera,” ucap Aryan agak mendatar dengan kerlingan ekor mata kepada Maya. Dia benar-benar tiada hati mahu melayan Maya. Kalau bukan kerana Maya yang celupar tentu perasaannya tidak akan jadi seperti ini.
“Apa perempuan tu cakap pada you tadi? Dia marah ke?” soal Maya lagi sambil mendekatkan mulutnya ke telinga Aryan bagi melawan bunyi muzik yang lantang.
Aryan terus berdiam. Malas mahu menjawab. Jika dia memberitahu apa yang Qudsiah katakan kepadanya tadi semakin laserlah mulut Maya menghentam Qairynn. Jadi lebih baik dia diam. Dia geram! Kerana mulut longkang Maya, dia pula yang terkena. Padahal niatnya kemari untuk berbaik-baik dengan Qairynn.
“Dengar tak I tanya ni?” soal Maya lagi.
“Dahlah tu! I malaslah nak bercakap lagi pasal tadi. You biarkan aja dia kenapa? Kenapa mesti nak sakitkan hati dia lagi? Kita dah banyak buat salah pada dia, Maya. Cukuplah!” tegas Aryan semakin bengang.
“Eh! Salah apanya? Takkan bergurau sikit pun nak sentap kot? Sensitiflah pulak!” tukas Maya tidak mahu mengalah. Terlupa pula dia ketika di zaman sekolah dahulu dia sering memaksa Aryan agar menjauhkan diri dari gadis itu. Kini hubungan akrab Qairynn dan Aryan sudah musnah kerananya.
Aryan mendegus. Malas mahu bertekak dengan Maya lagi. Buang masa bercakap dengan perempuan ini! dia terus memandang ke arah pintu pagar rumah itu. Sekadar memandang kosong kepada tetamu yang semakin ramai sampai.
“Oh! My god!” tiba-tiba terdengar keluhan Maya di tepi telinga Aryan.
Aryan lantas memandang Maya semula. Apabila terlihat pandangan membulat Maya terhala ke satu arah, Aryan ikut memandang ke arah yang sama. Sama seperti Maya, dia juga ‘oh my God!’ tetapi hanya dalam hati. Mulutnya terlopong sedikit tatkala terpandangkan gadis yang dipanggil tomboi oleh Maya tadi. Dadanya berdegup kencang. Bola matanya bagaikan tidak mampu dialihkan langsung! Kalau Maya pun boleh terlopong, apatah lagi dia yang lelaki ini!
Dengan kebaya nyonya berwarna hijau pucuk pisang yang sedikit jarang, dikenakan pula dengan kain batik jawa yang bersusun kipas di hadapan, Qairynn yang bertubuh tinggi lampai kelihatan berbeza sekali daripada apa yang pernah dipandangnya selama ini. Dengan lagak bersahaja dan senyum manisnya gadis itu benar-benar menarik perhatian kebanyakan tetamu di bawah khemah itu. Malah yang perempuan juga ikut terpandang-pandang gadis itu.
“Dia lagi cantik atau I lagi cantik?” soal Maya tidak mahu kalah.
Dia lagi cantik.. ucap Aryan dalam hati.
“Takkanlah you nak comparekan diri you dengan perempuan tomboi tu? Youkan rasa diri you dah cukup cantik?” sindir Aryan selamba. Puas hatinya dapat mengembalikan penghinaan yang telah dilemparkan Maya sebentar tadi.
Maya mengertap bibirnya menahan geram. Aryan tersenyum dalam hati meraikan kekalahan Maya. Padan muka! Hina orang lagi! ejeknya di dalam hati.
“Aryan dah jumpa Rynn ke?” baru kini kedengaran suara Datin Rahimah berbicara dengan anak lelakinya itu. Dia perasan mata anak bujangnya terus melekat kepada gadis di hujung sana.
“Dah! Tapi dia buat derk aja dengan Aryan ni,” balas Aryan sebal sambil mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tiada guna memandang lagi jika Qairynn langsung tidak sudi menegurnya biarpun sepatah.
“Aryan dah tegur dia ke?” tidak berpuas hati dengan reaksi anaknya, Datin Rahimah bertanya lagi.
Kali ini Aryan terdiam. Memang dia tidak ada menegur Qairynn tadi. Mungkin kerana itulah Qairynn kelihatan begitu sombong dengannya.
Datin Rahimah menghela nafas perlahan. “Mama tak suka perkara ni berlarutan lama-lama sangat. Mama nak pandang muka atuk dengan nenek Rynn tu pun dah segan. Rynn cubalah berbaik dengan dia,” keluh Datin Rahimah perlahan.
“Janganlah dah dapat gading bertuah tanduk dah tak berguna lagi pulak!” sempat juga Adrina melemparkan perlian itu kepada adiknya. Maya yang kebetulan sedang tunduk menyuap makanan dijelingnya. Namun kelakuannya sempat ditegur oleh Badrul di sisinya. Suaminya tidak senang dia masuk campur dalam urusan itu.
“Nantilah, ma. Aryan belum ada peluang lagi nak bercakap dengan dia. Tadi dia sibuk,” ucap Aryan akhirnya. Akur dengan saranan ibunya itu. Dia tidak boleh selamanya begitu dengan Qairynn.
Maya menjeling Aryan tanda tidak senang dengan jawapan itu. Namun Aryan hanya buat bodoh sahaja. Peduli apa dia?
“Semenjak Aryan ke US, Rynn dah tak selalu balik ke sini. Mama tak mahu dicop kita yang menyebabkan dia jadi begitu. Malu mama pada Tan Sri dengan Puan Sri tu, Aryan. Kerana kecil hati dengan Aryan, cucu mereka dah jerak nak balik ke sini. Rynn tu dahlah dah takde ayah.” Datin Rahimah berkata lagi.
Aryan terus berdiam diri. Namun bicara emaknya itu membuatkan dia mengerti. Kini barulah dia tahu mengapa Qairynn tidak pernah dilihatnya di rumah ini lagi semenjak dia pulang dari US dua bulan lalu. Rupanya Qairynn sudah menetap di rumah uminya.
Maya di sebelah Aryan sudah panas punggung. Topik yang diperbincangkan di meja itu benar-benar tidak disukainya. Berbaik semula dengan Qairynn? Alamat semakin susahlah dia mahu memperbaiki hubungannya dengan Aryan selepas ini.
Aryan menoleh semula mencari batang tubuh gadis itu. Matanya menemukan Qairynn yang sedang berdiri di belakang kerusi seorang tetamu di meja tidak jauh darinya. Qairynn yang sedang rancak berbual dengan tetamu yang menghuni meja itu terus dipandang tanpa jemu. Ceria benar wajah itu dilihatnya. Wajah itu sudah menunjukkan kematangannya. Namun gadis itu langsung tidak memandang kepadanya. Seolah-olah kewujudan dia di sini sudah tidak memberi sebarang kepentingan lagi kepada Qairynn. Kalau tidak dahulu, dialah dahulu yang akan dicari Qairynn.
Aryan menghela nafas perlahan. Sungguh! Selama ini dia memendam rasa sendiri, dia teramat sengsara. Hakikatnya dia teramat merindui Qairynn yang dulu. Seorang adik yang manja dan periang. Segalanya mereka kongsi bersama.
Namun sayangnya dia yang tersilap! Hanya kerana sapaan cinta dari seorang wanita, dia tergamak menyisihkan Qairynn. Malah suatu masa dulu dialah yang membuatkan air mata Qairynn menitis kerananya! Dan dia sedar bukan sedikit luka di hati Qairynn kerananya. Terlalu banyak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.