Bab 3
“Ayah..” Qairynn menjerit kegembiraan saat terpandangkan Tan Sri Qayyum di
dalam rumah itu. Tanpa sesaat pun dibazirkan dia terus meluru ke arah ayahnya
itu. Dia sendiri tidak sedar bukunya dicampakkan begitu sahaja dek kerana
terlalu gembira melihat kehadiran emak dan ayahnya di ruang tamu rumah itu.
“Mana Rynn
pergi ni? Lama ayah tunggu tau,” ucap Tan Sri Qayyum sambil memeluk anaknya
itu. Dahi Qairynn dikucup penuh kerinduan. Baru beberapa hari tidak bertemu
anak bongsunya ini dia sudah angau.
“Rynn pergi
rumah mama. Kenapa ayah tak panggil Rynn kat sana?” soal Qairynn manja. Tubuh
ayahnya masih tidak mahu dilepaskan.
“Malaslah ayah
nak kacau Rynn kat sana. Tak salam umi ke?” ucap Tan Sri Qayyum sambil
menunjukkan isterinya yang tersenyum sahaja memandang mereka dua beranak.
Qairynn
menoleh. “Umi..” seru Qairynn lantas mendekati emaknya itu. Setelah mencium
tangan emaknya dia terus dipeluk oleh Puan Sri Bethina agak lama.
“Sihat ke,
sayang?” ucap wanita itu lembut. Tersiksa hatinya berpisah daripada anaknya
ini. Demi menjaga hati emak dan ayahnya, dia terpaksa membiarkan Qairynn di
sini.
“Rynn sihat.
Umi dengan ayah sihat ke?”
“Kami sihat
tapi umi rindukan anak manja umi ni. Sebab tu umi datang sini,” ucap Puan Sri
Bethina lembut. Raut anaknya itu diusap manja. Bibirnya tersenyum bahagia saat
memandang sang anak yang sedang meningkat remaja. Walaupun tidak berada dalam
dakapannya sepanjang masa dia tahu Qairynn dijaga baik oleh emak dan ayahnya.
“Kalau umi
rindu kenapa umi tak ambil Rynn bawa balik rumah sana?” ucap Qairynn sambil
mencebik sedikit. Selama ini dia lebih diberi perhatian oleh datuk dan neneknya
berbanding emak dan ayahnya. Tidak seperti kakak-kakaknya yang tinggal bersama
emak dan ayah mereka. Dia pula berada di sini seorang diri.
Puan Sri
Bethina memandang suaminya seketika. Rintihan hati anaknya itu menerbitkan
kesayuan di hatinya. Tetapi apakan daya. Kehendak ibu dan ayahnya kadang-kala
membuatkan dia merasa serba salah.
“Hari Jumaat ni
ayah ambil ya? Kita balik rumah sana,” ucap Tan Sri Ahmad Qayyum lembut.
“Ayah janji?”
soal Qairynn mula ceria semula.
“Insya-Allah
nanti ayah datang..” ucap Tan Sri Qayyum sambil memandang isterinya seketika.
Pandangan isterinya masih tidak lekang dari raut si anak. Dia tahu hati wanita
itu terdera akibat rindukan Qairynn selama ini.
“Kalau ayah
sibuk, umi kena datang ambil Rynn tau,” ucap Qairynn mula memandang emaknya
pula. Nadanya jelas memberitahu yang dia berharap benar janji itu dapat
dikotakan oleh emak dan ayahnya.
“Ya, sayang.
Nanti kami datang ambil Rynn.” Sayu sahaja bunyi jawapan Puan Sri Bethina
kepada anaknya itu. Dia tahu Qairynn sunyi selama berada di sini. Hanya Aryan
dan Adrina yang sering menemani anaknya ini.
“Rynn buat apa
kat rumah Aryan tadi?” soal Puan Sri Bethina lembut.
“Buat homework
dengan Abang Aryan,” jawab gadis itu pantas.
“Jangan kerap
sangat habiskan masa kat sana, sayang. Rynn dah ni jadi anak dara tau. Tak
manis kalau anak dara kerap sangat menghabiskan masa di rumah anak bujang
orang,” tegur Puan Sri Bethina lembut.
“Alah, umi..
mama pun ada kat rumah sekali.”
“Umi tahu,
sayang..” jawab Puan Sri Bethina sambil menghela nafas perlahan. Serba salah
dia mahu mengungkapkan kata-kata. Bukan hal itu yang menjadi kudis di matanya
selama ini. Dia tidak berapa gemar melihat Aryan dan anak gadisnya bergaul
begitu rapat. Bukannya dia tidak pernah nampak cara Aryan melayan anak
gadisnya. Berpelukan begitu sahaja sedangkan anak gadisnya masih seorang
perempuan. Keluar masuk ke bilik tidur tanpa segan silu. Itu yang dia tidak
suka.
Sebagai ibu dia
bimbang melihat anaknya bergaul tanpa batas dengan lelaki walaupun diakui Aryan
memang sayangkan Qairynn. Tetapi sayang Aryan masih berbatas, tidak akan sama
dengan abang kandung. Hakikatnya Aryan bukan abang kandung kepada Qairynn.
Lagipun mata seorang ibu sepertinya lekas menangkap kelainan anak gadisnya. Dia
paling bimbang Qairynn hilang arah hanya kerana layanan penuh bermadu Aryan.
“Tak salah Rynn
nak berkawan dengan Aryan. Tapi umi tak suka Rynn terlalu bebas dengan dia.
Kamu berdua bukannya budak kecil lagi,” nasihat Puan Sri Bethina lembut.
“Maksud umi?”
berkerut kening Qairynn memandang uminya. Pelik! Selalunya uminya tidak kisah
dia berkawan dengan Aryan. Sekarang ni lain pulak. Bukannya sehari dua mereka
kenal dengan Aryan. Sudah berbelas tahun. Jadi apa masalahnya?
“Maksud umi,
anak ayah ni dah besar. Dah boleh kahwin. Aryan tu lelaki, nak. Ada
keburukannya kalau lelaki dan perempuan berkawan terlalu akrab,” ucap Tan Sri
Qayyum pula sambil tersenyum.
Qairynn terdiam
memikirkan kata-kata kedua ibu dan ayahnya. Selama ini dia tidak pernah
terfikir sehingga ke situ.
“Rynn, umi tak
senang tengok Aryan sentuh anak dara umi macam tu aja. Berdosa, sayang.” Suara
Puan Sri Bethina teralun cukup lembut menegur perilaku Qairynn.
“Umi, Abang
Aryan tu bukannya ada buat apa-apa pun pada Rynn..” sambut Qairynn tidak senang
dengan kata-kata ibunya itu.
“Umi tahu. Hari
ni memanglah Rynn rasa macam tu. Tapi bila lelaki dan perempuan duduk
berdua-duaan, ada makhluk ke tiga yang ikut sekali. Anak umi ni nampak aja
macam tomboi. Tapi masih suka pakai pakaian seksi, manja macam perempuan lain.
Jangan macam ni, sayang. Rynn tak kesiankan umi dengan ayah ke?” luah Puan Sri
Bethina perlahan. Anaknya yang ini paling susah disuruh bertudung seperti
kakak-kakaknya. Ada saja alasan yang diberikannya untuk mengelak.
Qairynn terdiam
mendengar teguran emaknya itu. Melihat wajah si anak sudah mula berubah, Puan
Sri Bethina mula menggapai tubuh anaknya itu. Dahi Qairynn dikucup penuh kasih.
“Umi nak Rynn
jaga maruah diri. Itulah harta yang paling berharga bagi seorang perempuan,
sayang. Kalau maruah diri sudah lenyap, semuanya dah takde makna lagi. Seorang
lelaki yang baik dia takkan membiarkan orang yang dia sayang jatuh ke dalam api
neraka. Lelaki yang baik dia akan memelihara maruah wanita-wanita yang
disayanginya.”
Qairynn
memandang si emak sebelum mengangguk perlahan.
“Umi bukannya
marah Rynn berkawan dengan Aryan. Umi faham selama ini Rynn selalu dengan dia.
Tapi jangan terlalu rapat macam sebelum ni. Fahamkan apa yang umi maksudkan ni?
Jangan biarkan dia masuk dalam bilik tidur Rynn sesenang itu. Rynn pun masuk ke
bilik tidur dia bila berada di rumah sana. Tak baik, sayang. Aryan tu dah 19
tahun. Lelaki yang dah akil baligh ni mereka dah ada keinginan seksual pada
perempuan. Rynn kena pandai jaga diri” Wanita awal 40-an itu berkata lagi.
Harap-harap anaknya ini lebih jelas apa yang paling dia bimbangi selama ini
tatkala anaknya ini tidak berada di hadapan matanya.
Sekali lagi
Qairynn mengangguk sambil merenung tampang emaknya itu. Nasihat itu cuba
disematkan di dalam otaknya.
“Abang..” panggil gadis itu riang lantas duduk di tepi lelaki itu.
“Kenapa lambat?
Dah 5 minit abang tunggu kat sini baru nampak muka,” ucap Aryan sambil menoleh.
“Rynn sambung
buat homework tadi. Lagipun atuk ada kat atas. Nanti kalau Rynn tak siapkan
homework atuk marah,” jawab Qairynn lembut. Sambil duduk di tepian kolam renang
itu, kakinya mula dicelupkan ke dalam air biru di hadapan matanya itu. Dingin!
Hatinya terasa damai saat ini.
“Atuk mana
boleh marah cucu kesayangan dia yang paling manja ni. Nanti atuk jugak yang tak
lalu makan bila tengok cucu dia ni merajuk,” giat Aryan sambil tergelak
sendiri. Bukannya dia tidak tahu betapa Qairynn cukup dimanjakan oleh sepasang
suami isteri itu. Qairynn dilayan macam puteri di rumah besar ini.
Qairynn
mencebik perlahan. Dia langsung tidak merasakan kebenaran daripada bicara itu.
“Takde mananya atuk tu nak manjakan Rynn. Atuk tu semuanya tak boleh! Itu
salah! Ini tak betul!” cebir Qairynn perlahan. Tan Sri Al Rashid yang
dikenalinya selama ini seorangnya tegas sebenarnya.
“Rynn degil
mestilah atuk marah. Dengan abang atuk okay je. Atuk lebih sayangkan abanglah
tu berbanding cucu dia ni,” sambut Aryan lantas ketawa melihat Qairynn
menjulingkan matanya ke atas, meluat dengan bicaranya.
“Ayah datang ke
tadi?” soal Aryan lembut.
“Mana abang
tahu?” tanya Qairynn pantas.
“Abang nampak
kereta dia kat depan rumah ni.”
“Ayah datang
jenguk Rynn,” jawab Qairynn perlahan.
“Rindu dengan
ayah dengan umi ke ni?” usik Aryan sambil memaut bahu gadis itu. Hidung Qairynn
sempat dicuitnya nakal.
“Mestilah
rindu. Abang lainlah. Mak dengan ayah abang selalu ada depan mata abang,” jawab
Qairynn sambil mencebik sendiri.
“Alah.. Rynn
pun selalu jugak jumpa umi dengan ayahkan? Tiap-tiap minggu umi dengan ayah
datang sini jumpa Rynn. Okaylah tu,” sambut Aryan langsung tidak terkesan
dengan perbandingan itu. Bahu Qairynn semakin dipautnya dekat kepadanya.
“Tapi tak
sama..” jawab Qairynn agak rendah.
“Janganlah
monyok macam ni. Abangkan ada kat sini?” pujuk Aryan perlahan. Pipi lembut
Qairynn diusapnya lembut. Terasa bersalah pula menyebut tentang itu.
Qairynn sekadar
tersenyum hambar. Perbuatan Aryan terus membawa ingatannya kepada pesanan
uminya petang tadi. “Jangan terlalu rapat..” itulah kata-kata uminya yang masih
berdiri utuh di benaknya. Tiba-tiba hatinya merasa tidak enak dengan perbuatan
lelaki itu.
“Kenapa ni?
Macam takde mood aja?” soal Aryan sambil merenung tampang si gadis di sisinya
itu. Selalunya Qairynn mudah dipujuk. Tetapi sekarang macam ada sesuatu yang
sedang dipendamkan oleh gadis ini.
“Takde
apa-apa,” jawab Qairynn perlahan sambil kakinya menguis-nguis air kolam separas
betisnya itu.
“Hmm.. kalau
Rynn tak suka jumpa abang, abang baliklah. Abang datang pun Rynn macam tak
happy aja,” cebir Aryan perlahan. Bosan pula dia macam bercakap sendiri.
Qairynn macam tidak berminat mahu melayannya berbual.
Spontan si
gadis menoleh. Anak matanya mula beradu pandang dengan Aryan.
“Kenapa ni?”
soal Aryan lembut.
“Umi tegur Rynn
tadi.” Qairynn mula membuka rahsia yang sedang terkurung itu.
“Tentang?”
“Kita..” jawab
Qairynn sepatah sahaja.
“Maksudnya?”
kening Aryan mula berkerut saat merenung tampang yang mula menunduk merenung
air di dalam kolam renang itu.
“Umi cakap kita
tak boleh terlalu rapat lagi. Umi tak suka.”
Spontan wajah
Aryan berubah. Bicara itu cuba dimengertikan sebaik-baiknya. Perlahan pelukan
di bahu gadis itu terlerai. “Umi cakap apa, sayang?” soal Aryan lembut.
“Umi cakap
abang tu lelaki, Rynn perempuan. Umi tak suka kita terlalu bebas berkawan macam
dulu. Itu aja yang umi cakap,” luah Qairynn tenang.
Bicara itu
membuatkan Aryan mengeluh perlahan. “Umi marah abang ke?” soal Aryan masih
tidak berpuas hati dengan penjelasan pendek-pendek Qairynn itu. Apa yang
diucapkan Qairynn membuatkan hatinya merasa tidak sedap.
Qairynn
menggeleng tanpa memandang. “Umi tegur Rynn. Sebab Rynn ni perempuan. Kena
pandai jaga maruah diri,” jelas Qairynn masih seringkas-ringkasnya.
“Tapi abang tak
de niat nak buat apa-apa pada Rynn. Rynn tahukan abang sayang Rynn macam adik
abang sendiri,” sambut Aryan pula.
Qairynn diam
pula. Dalam diam dia termenung sambil memikirkan semula segala yang ada antara
dia dan Aryan selama ini. Namun kata-kata uminya terus berada di puncak
pemikirannya. Dia tidak tahu bolehkah dia mengubah keadaan mereka berdua
selepas ini. Dia sudah terbiasa dengan semua itu.
“Rynn jangan
risau. Abang akan jaga Rynn baik-baik. Abang janji umi takkan marah Rynn lagi.
Biar abang yang cakap dengan umi,” bisik Aryan lembut. Tanpa sedar bahu gadis
itu kembali dipautnya. Wajah sedikit murung itu direnung mesra. Spontan itu juga
kucupan halus dilepaskan di pipi Qairynn, membuatkan gadis itu terkesima
seketika.
Saat dia
menoleh kepada Aryan lelaki itu sedang merenung lunak kepadanya dengan sedikit
senyuman. Tiba-tiba dadanya terasa sebu memandang lelaki itu. Entah kenapa dia
terasa malu pula. Tidak tahu bagaimana perlakuan lelaki itu secara drastik
membuatkan arus di hatinya berubah keras.
Qairynn
kekeluan tidak berupaya membalas. Pelukan Aryann tidak mampu juga ditolaknya.
Bersama lelaki ini dia merasakan dirinya kuat untuk berpaut. Namun apa yang
berada di hatinya ini membuatkan dia menjadi pemikir sendiri. Mengapa selama
ini saat dirinya disentuh Aryan dia tidak pernah merasa begini? Mengapa lain
benar rasa ini?
“Senyumlah
sikit..” Aryan memujuk lagi.
“Ehheemmm..”
deheman kuat itu mengejutkan sepasang manusia yang sedang ralik di tepi kolam
itu. Spontan mereka berdua menoleh ke belakang.
“Qairynn masuk
dalam!” ucap Tan Sri Al Rashid dari atas balkoni. Pandangannya terpasak lama
kepada cucu perempuannya yang sedang elok dipeluk Aryan. Bukannya dia tidak
nampak apa yang dilakukan Aryan kepada Qairynn sekejap tadi.
“Atuk dah
panggil..” bisik Qairynn kepada Aryan.
“Pergilah
masuk,” jawab Aryan juga berbisik.
“Jumpa esok.”
“Okay,
sayang..”
Tanpa kata
Qairynn berlalu. Batang tubuh datuknya yang masih berdiri memandang ke arah
mereka tidak mampu dipandangnya. Seriau dia melihat wajah serius datuknya itu.
“Atuk..” tegur
Aryan sambil tersengih sedikit. Namun dia akhirnya ikut berlalu apabila melihat
sorotan mata lelaki tua itu terpanah tajam kepadanya.
“Manalah minah
sorang ni pergi. Aku dah lapar tahap gaban dah ni,” keluh Aryan kebosanan di
dalam ruangan kantin sekolah yang agak lengang itu. Berkali-kali dia memandang
ke arah pintu masuk kantin namun kelibat Qairynn masih tidak menjelma.
Jam ddi
pergelangan tangan ditelek Aryan lagi. rasanya sudah lebih sejam waktu sekolah
sesi pagi berakhir. Namun kelibat Qairynn masih tidak muncul. Seingat dia
Qairynn tidak ada pula berpesan yang dia ada program selepas sekolah.
“Jadi penunggu
ajalah aku hari-hari. Asyik menunggu dia aja. Tak pernahnya nak tepati masa,”
keluh Aryan sendiri. Bosan menunggu akhirnya dia pergi membeli makanan untuk
mengisi perut. Bersendirian di satu meja, Aryan khusyuk menikmati makanannya
tanpa memandang sekelililing.
“Aryan..” sapa
satu suara lembut mendayu.
Aryan terus
mengangkat pandangan ke arah datangnya suara lunak itu. Batang tubuh yang
bersalut baju kurung serba putih itu ditatap tanpa berkelip. Senyuman yang
dipamirkan Maya sempat membuatkan Aryan hilang seketika dari dunia nyatanya.
Aryan tergamam
seketika. Lain yang ditunggu lain pula yang datang. Entah apa anginnya Maya
mahu menegurnya hari ini. selalunya gadis itu tidak ramah dengannya.
“Aryan..”
sekali lagi namanya teralun lembut di ulas bibir kemerahan itu.
Aryan terus
tersedar dari hayalnya. “Er.. iya?” balasnya sedikit gugup. Secangkir senyuman
terus diukir sekadar mahu menutupi kealpaannya tadi. Entah kenapa saat ini
berhadapan dengan Maya perasaannya mula tidak menentu.
“Belum balik
lagi?” soal Maya. Tanpa dipelawa dia mula melabuhkan punggung di hadapan Aryan.
“Belum..” jawab
Aryan sepatah dalam pada dia masih cuba mengawal dirinya.
“You ni
rajinkan? Waktu macam ni pun you masih kat sini lagi,” puji Maya sambil
tersenyum manis di hadapan lelaki itu.
Kata-kata Maya
membuatkan Aryan tersenyum sambil menggeleng sendiri. Apa yang rajinnya dia?
Dia masih berada di sekolah kerana menunggu Qairynn. Bukannya sebab study.
Semenjak tadi dia hanya duduk melepak kosong di kantin ini.
“I tunggu adik
I,” jawab Aryan biasa. Mee goring di dalam pinggan yang masih bersisa
dihabiskannya.
“Siapa adik
you? Si tomboi tu ya?” ucap Maya mula memintal rambutnya. Gelagat Aryan
dipandang tanpa jemu. Lelaki ini semakin dipandang semakin kacak pula di
matanya.
Aryan memandang
Maya pantas. Gelaran itu agak sinis kedengaran di telinganya. “Nama dia
Qairynn..” ucap Aryan biasa.
“What ever!”
sambut Maya cukup perlahan. Meluat pula dia mendengar nama itu.
“Ada apa you
tegur I ni?” soal Aryan pula. Aneh! Tiba-tiba sahaja mahu berbual mesra
dengannya sedangkan selama ini mereka jarang bertegur sapa walaupun hari-hari
bertemu di sekolah. Dia hampir tidak pernah kelihatan di mata gadis cantik ini
selama mereka menuntut di sekolah yang sama.
“Saja nak tegur
you tak boleh ke?” tanya Maya semula. Sekali lagi bibirnya tersenyum.
Aryan terdiam.
Walaupun agak pelik namun dalam dia senang dengan perubahan ini.
“You ni low
profile sangat. Kadang-kadang I rasa segan nak tegur you, Aryan. You ni macam
tak suka bergaul dengan pelajar kelas lain. You asyik berkepit dengan adik you
tu aja,” ucap Maya lembut.
“I bukan top
student kat sini. Lainlah you..” balas Aryan mendatar. Entah kenapa ringan
benar mulutnya mahu memuji dalam menyindir Maya.
“Takkanlah top
student mesti dengan top student jugak kut. Kalau dengan yang tak top pun apa
salahnya kan? Kenalah keluar sikit dari kepompong yang ada. Barulah tak bosan,”
urat Maya selamba sambil tersengih.
Aryan ketawa
kecil. “Yalah.. bila dah bosan barulah terfikir nak tegur dengan pelajar yang
low profile macam I ni,” sambut Aryan usai tawanya.
“Nak tunggu you
yang datang tegur I, sampai bila? Berjanggut menunggu pun you tak
datang-datang!” Maya pantas mengembalikan semula perlian itu kepada Aryan.
Aryan tersentak
mendengar kata-kata Maya. Paras gadis sebaya dengannya itu dipandang lama. Apa
maksud Maya? Melihat renungan bercahaya gadis itu tiba-tiba hatinya berombak
sendiri. Dadanya berdebar hebat. Apakah selama ini Maya juga menyimpan rasa
yang sama seperti dia? Hanya dia yang tidak perasan.
“Kenapa?
Terkejut ke?” ucap Maya berani.
Aryan menelan
liurnya perlahan. “I tak faham apa yang you maksudkan ni,” ucap Aryan lembut.
Baru sahaja
Maya mahu membuka mulut gadis itu tiba-tiba memusatkan pandangan ke arah pintu
masuk kantin itu. Riak wajahnya berubah serta merta. “Lain kalilah kita cakap.
I pergi dulu,” ucap Maya sedikit rendah. Sibuk aja perempuan sorang ni! getus
hatinya dalam diam.
Aryan
terpinga-pinga seketika melihat gelagat Maya yang sudah berubah. Namun seketika
kemudian Qairynn muncul di sisi meja itu membuatkan dia mengerti mengapa Maya
ingin berlalu segera.
Qairynn sempat
memandang Maya yang melintasinya. Jelingan tajam gadis itu membuatkan dia
terpaku seketika.
“Kenapa dengan
dia?” soal Qairynn kehairanan. Tak pasal-pasal jeling orang. Sawan ke apa dia
ni? Qairynn terus memandang lenggok Maya yang semakin menjauh sebelum kembali
memandang Aryan. Lelaki itu turut sedang memandang Maya dengan wajah
kebingungan.
“Dia nak apa
dengan abang?” soal Qairynn lantas duduk di kerusi yang sama diduduki Maya
tadi.
“Tak tahu,”
jawab Aryan ringkas dalam pada dia terus terfikir-fikir apa yang diluahkan Maya
sebentar tadi. Kata-kata itu sedaya upaya cuba diertikan setepat-tepatnya.
Namun semakin itu dia semakin tidak sabar mahu bertemu dengan hari esok. Dia
ingin mendengar jawapan yang pasti kepada segala persoalan di benaknya ini.
“Sorrylah..
Rynn kena tolong cikgu Zubaidah kat bilik guru tadi. Tak sempat nak bagitahu
abang. Jom balik,” celah Qairynn dalam pada Aryan terus termenung sendiri.
Spontan Aryan
terus memandang gadis di hadapannya itu. “Jom..” ucapnya pantas.
Sepanjang
perjalanan pulang itu Qairynn lebih banyak berceloteh sendiri. Aryan di
sebelahnya hanya mencelah sekali sekala. Melihat Aryan semacam keletihan,
Qairynn akhirnya diam memandang ke luar bas.
Sesampai di
rumah Aryan terus berlalu ke rumahnya. Qairynn yang sedang berdiri di hadapan
pintu pagar rumah datuknya itu langsung tidak dipamitnya. Qairynn memandang
lama lelaki itu. Sedetik dua itu dia kehairanan melihat kelainan Aryan. Namun
Aryan terus berlalu sehingga kelibat lelaki itu hilang daripada pandangan
matanya.
Bab 4
Wajah monyok Qairynn dipandang lama oleh wanita tua itu. Buat seketika
dia memerhatikan sahaja gelagat cucunya itu sedang duduk bersendirian di atas
buaian di halaman rumah itu. Macam ada yang tidak kena sahaja dengan Qairynn.
Susah dia mahu melihat cucunya itu duduk termenung sendiri melainkan ada saja
onarnya mahu membuatkan orang naik angin dengan kerenah manjanya.
“Kenapa ni,
sayang?” soal Puan Sri Benazir saat mendekati Qairynn yang sedikit menunduk di
atas buaian yang terbuai perlahan itu.
Qairynn terus
mengangkat pandangannya ke arah datang suara neneknya itu. Wanita berselendang
ungu itu sedang memandang tepat kepadanya. “Takde apa-apa.” Perlahan sahaja
jawapan Qairynn.
Nada sebegitu
yang kedengaran dari ulas bibir Qairynn segera membuatkan wanita itu mengerti.
“Kita minum petang jom?” umpan Puan Sri Benazir lagi.
“Tak mahu. Rynn
nak duduk sini.”
“Kenapa ni?
Cakap dengan nenek, sayang. Jangan buat nenek risau,” ucap Puan Sri Benazir
lembut kepada cucu kesayangannya itu.
“Abang Aryan
keluar dia tak nak bawak Rynn dah sekarang. Sampai sekarang dia tak
balik-balik. Rynn sunyi,” jawab Qairynn agak rendah. Sampai hati lelaki itu
meninggalkan dia begitu sahaja. Entah ke mana Aryan pergi sampai tidak mahu
mengangkut dia sekali.
“Itu aja ke
masalahnya sampai termenung macam ni?” usik Puan Sri Benazir lantas menggeleng
sendiri. Mahu ketawa rasanya mendengar masalah besar cucunya itu.
Qairynn diam
tidak menjawab mahu pun memandang wanita tua itu. Hanya Aryan yang ada di
mindanya saat ini.
“Mari temankan
nenek minum petang. Berbual dengan nenek. Come!” ajak wanita itu lantas
tangannya dihulurkan kepada cucunya itu.
Mahu tidak mahu
Qairynn bangun mendekati Puan Sri Benazir. Wanita tua itu menepuk lembut lengan
Qairynn sambil mereka berjalan menuju ke meja marmar tidak jauh dari situ.
“Mungkin dia
keluar dengan kawan-kawan dia. Sebab tu dia tak ajak Rynn sekali. Kadang-kadang
orang lelaki bila mereka berkumpul, mereka tak suka ada wanita di antara
mereka,” pujuk Puan Sri Benazir.
“Ye ke? Mana
nenek tahu? Atuk yang cakap ke?” kening Qairynn berkerut memikirkan kelogikan
alasan neneknya itu.
“Nenek tahu,
sayang. Sebab orang perempuan pun begitu,” sambut Puan Sri Benazir lantas
ketawa kecil. Naif benar cucunya ini.
“Ayah dengan
umi pun tak datang ambil Rynn..” keluh anak itu perlahan sahaja.
“Ayah dengan
umi ada kerja. Bukannya mereka sengaja tak datang sini. Lagipun minggu lepaskan
Rynn dah balik rumah ayah?” ucap Puan Sri Benazir.
Sekali lagi
Qairynn termangu sendiri. Semua orang ada urusan masing-masing. Dia? Termenung
sendiri sepanjang hari macam mak kucing hilang anak. Nak mengulang kaji
pelajaran pun takde mood rasanya.
“Apa kata kalau
kita keluar?” ajak Puan Sri Benazir lembut.
“Tak mau! Rynn
tahu, nenek mesti nak ajak Rynn pergi tengok karpet yang baru sampai tu kan?”
Qairynn terus memandang neneknya dengan sorotan mata mengecil. Bosan sudah dia
meninjau gedung karpet milik datuknya itu. Kalau tak pun ke gedung jubah pula.
Takde apa yang mampu menarik matanya di sana. Bertambah bosan lagi ada.
Jawapan pantas
Qairynn membuatkan wanita tua itu ketawa besar. “Habis tu Rynn nak pergi mana?
Nenek tak kisah asalkan bukan pergi main bowling lagi.”
“Rynn tak mahu
keluarlah, nek. Takde mood,” ucap Qairynn perlahan. Dia sebenarnya mahu
menunggu Aryan balik. Kalau Aryan pulang sewaktu dia di luar, tak dapatlah dia
berjumpa Aryan. Sehari dia tidak nampak muka Aryan dia benar-benar rindu.
Puan Sri
Benazir diam saat Nong datang membawa hidangan minum petang di meja itu.
Qairynn pula sekadar memandang kosong ke arah rumah sebelah. Tanpa sedar
perlakuannya itu diperhatikan oleh neneknya itu tanpa putus. Dalam diam wanita
tua itu mengeluh sendiri. Sedikit sebanyak dia dapat meneka mengapa cucunya
jadi begini. Sayangnya tegahan dan tegurannya sering tidak membawa erti kepada
Qairynn. Kini ‘angau’ cucunya ini sudah semakin parah dilihatnya. Hati siapa
yang senang melihat itu semua?
“Entah-entah
Aryan keluar dengan girlfriend dia tak?” ucap Puan Sri Benazir sambil ikut
memandang ke arah rumah sebelah.
Qairynn menoleh
pantas kepada neneknya itu. “Mana abang Aryan ada girlfreind, nek. Mengarut
ajalah!” degusnya pantas. Entah kenapa seperti ada obor marak mula membakar ulu
hatinya. Hatinya menjadi panas tiba-tiba.
“Manalah tahu..
kalau tak kenapa dia tak bawa Rynn sekali? Selalukan dia mesti ajak Rynn pergi
mana-mana dengan dia. kalau dia keluar dengan girlfreind dia, mestilah dia tak
mahu diganggu,” duga wanita tua itu masih dengan muka selamba.
Berubah wajah
Qairynn kepada neneknya itu. Kini wajahnya juga sudah mula terasa panas
sehingga ke otak. Macam rasa nak meletup aja kepalanya mengenangkan kata-kata
neneknya itu.
“Kenapa nenek
cakap macam ni pada Rynn? Nenek saja je nak bagi Rynn marahkan?” bentak Qairynn
sedikit meninggi.
Puan Sri
Benazir tenang sahaja dengan keletah cucunya itu. Malah masih ada senyuman yang
mampu diukirnya biarpun wajah Qairynn sudah merah padam. “Kenapa pulak Rynn nak
marah? Kalau Aryan ada kekasih, baguslah.”
Qairynn
merenung tajam wajah Puan Sri Benazir. Mulutnya terasa ringan sahaja mahu
menjawab. Namun mengenangkan yang berada di hadapannya ini adalah neneknya, dia
hanya menahan dada yang turun naik dihambat rasa.
“Sebagai adik
Rynn kena terima hakikat yang Aryan dah ada pilihan hati. Tak boleh rasa tamak,
sayang. Aryan masih ada hak kepada hidupnya sendiri.”
“Nenek cakap
apa ni?” getus Qairynn sedikit kasar.
“Nenek tak suka
Rynn mengharap sesuatu yang belum pasti, sayang. Dalam hubungan persahabatan
antara lelaki dan wanita, kita kena letakkan batas kepada diri kita sendiri,”
jelas Puan Sri Benazir tetap lembut.
“Batas apa?
Rynn sayangkan abang Aryan macam abang kandung sendiri! Rynn tetap akan
berkawan dengan dia. Rynn tahu Abang Aryan pun macam Rynn jugak!” tegas Qairynn
dengan renungan tajam. Semakin menyala api di hatinya ini mendengar kata-kata
neneknya itu.
“Tapi nenek
tahu sayang yang ada di hati Rynn tu tak sama macam sayang Aryan pada Rynn.
Nenek yakin Rynn faham apa yang nenek maksudkan ni. Kalau hubungan ni langsung
tak berlandaskan cinta, kenapa mesti cemburu, sayang?” tegur Puan Sri Benazir
sekali lagi.
Berderau darah
Qairynn mendengar kata-kata Puan Sri Benazir. Tiba-tiba dia bangun dari
duduknya kasar. Dengan pantas dia berlari masuk ke dalam rumah sambil
diperhatikan oleh Puan Sri Benazir. Perlahan ketenangan di hatinya tadi
menyurut saat Qairynn berlalu pergi dengan cara begitu.
Hati tua itu
walang. Kini apa yang berada di benaknya sudah semakin kelihatan di matanya.
Wanita itu tahu Qairynn sudah ada perasaan sayang yang lain kepada Aryan. Bukan
lagi sebagai adik. Tetapi sebagai seorang dara kepada si teruna. Itu yang dia
teramat bimbang!
Di dalam
biliknya Qairynn berdiri termenung di tingkap. Matanya terus memandang ke arah
tingkap rumah sebelah. Tingkap itu terbuka luas. Tetapi tiada batang tubuh
Aryan di situ. Selalunya mereka akan bertenggek sambil berborak di tingkap yang
saling menghadap itu.
“Abang, bila
abang nak balik?” Qairynn mula bercakap dengan tingkap rumah sebelah itu. tiada
jawapan yang kedengaran melainkan dia hanya mendengar helaan nafasnya sendiri.
Baru beberapa jam dia tidak nampak wajah Aryan. Dia sudah kesunyian yang
teramat sangat.
Memandang
kosong ke arah rumah banglo di sebelah tiba-tiba dia kembali teringat kata-kata
neneknya itu. Benarkah Aryan keluar dengan kekasih? Kalau benar kenapa dia
tidak tahu? Tak mungkin.. desis hati Qairynn sendiri. Kalau betul Aryan sudah
ada kekasih mesti dia orang pertama yang tahu.
“Tapi takkan
tiba-tiba Abang Aryan ada kekasih pulak?” sekali lagi dia berkata-kata sendiri.
Segala perilaku Aryan semenjak kebelakangan ini cuba diamati sedalam-dalamnya
oleh mindanya itu. Rasanya tiada apa yang pelik pun dengan Aryan.
“Argh!! Nenek
kelentonglah tu..” desis Qairynn sendiri. Dia yakin Aryan keluar dengan
kawan-kawan lelakinya.
Meluat! Mengada-ada!
Maya mendegus
kasar melihat gadis tomboi yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Namun
pandangan Qairynn dilihatnya sedang terhala ke arah lain. Dia tahu Qairynn
masih tidak perasan akan dirinya.
“Kau cari
siapa?” soal Maya saat gadis tingkatan 5 itu melintas di tepinya.
Qairynn terus
menoleh kepada Maya sambil menghentikan langkahnya. “Kakak cakap dengan saya
ke?” lembut sahaja ucapan Qairynn tanda menghormati pelajar seniornya itu.
“Siapa kakak
kau?” getus Maya semakin meluat.
Wajah Qairynn
berubah mendengar bicara kasar Maya itu. Biadap benar kakak senior ini.
“Aku tanya kau
cari siapa kat sini? inikan kelas budak form 6. Kelas kau kat bangunan lain!”
ucap Maya keras dengan jelingan tajam kepada Qairynn.
Huh! Dia ingat
dia panggil aku kakak aku nak jadi kakak angkat dialah! Boleh jalan! Maya masih
ingat, Aryan ada bercerita serba sedikit.. oh! Bukan serba sedikit tapi
serbanya Qairyn! Qairynn! Qairynn! Sampai telinganya jadi berbulu mendengar
cerita tentang perempuan lain dalam ‘dating pertama’ mereka beberapa minggu
yang lalu. Seingatnya Qairynn ada dua orang kakak.
Dah ada dua
kakak, cukuplah tu! Tak payah nak sibuk jadikan aku kakak angkat kaulah! Nak
muntah aku.. hati gadis muda itu terus mencemuh Qairynn.
“Emm.. saya
cari Abang Aryan. Saya nak balik dengan dia,” jawab Qairynn agak rendah.
Matanya terus memandang Maya yang tiba-tiba sibuk pula mahu mengambil tahu
tujuan kedatangan dia ke sini. Gayanya bercakap macam dia sudah berbuat salah
besar. Tak tahu pula dia yang pelajar lain dilarang masuk ke kawasan kelas
tingkatan 6 atas ini.
“Kau tak reti
nak balik sendiri ke? Asyik nak kena tunggu Aryan? Ke kau tak ingat nombor bas
intrakot tu?” perli Maya cukup jengkel.
Qairynn menelan
liur memandang Maya. Apahal pulak dia nak menyibuk ni? Aku memang balik dengan
Abang Aryan pun selama ni. Tiba-tiba pulak dia nak marah. Ada peraturan baru ke
apa ni? Hati Qairynn semakin dijeruk kehairanan melihat gelagat Maya yang tak
ubah macam polis trafik ini.
“Saya memang
selalu balik dengan dia..”
“Kau ni nama
aja tomboi! Tapi balik nak kena berteman jugak rupanya. Aryan kan nak STPM
tahun ni. Dah tentulah dia kena stay lepas habis sekolah! study! bukannya
melayan kehendak engkau aja,” sambut Maya sebelum sempat Qairynn mahu
menghabiskan kata. Wajah Qairynn dipandang dengan mata terbuntang. Ada sesuatu
pada gadis ini yang membuatkan dia sakit hati.
Qairynn
walaupun suka digelarkannya dengan tomboi tetapi nampak sangat ayu dengan kulit
putih melepak dan bibir yang kemerahan. Itu yang hatinya bimbang benar melihat
Aryan dekat dengan Qairynn. Dulu memang dia tidak boleh nak kata apa. tetapi
sekarang mereka adalah sepasang kekasih!
Qairynn terkedu
mendengar bicara kasar Maya. Tiba-tiba dia kehilangan upaya untuk melawan
sedangkan selama ini dia dikenali dalam keluarga sebagai anak yang suka
melawan.
“Aku nak kau
tahu yang Aryan tu boyfreind aku. aku tak suka kau manja mengada-ada dengan dia
lagi lepas ni. aku nampak kau meleset dengan dia, siap kau!” getus Maya tatkala
Qairynn hanya membisu.
Spontan bibir
Qairynn terbuka. Dadanya seperti mahu pecah mendengar pengakuan Maya. Aryan dan
Maya... ah! Susah dia mahu menyebutnya biarpun sekadar dalam hati. Entah kenapa
hatinya terasa amat pedih saat ini.
“Kau fahamkan
apa yang aku cakap ni?” ucap Maya sekali lagi tatkala Qairynn sekadar
terkebil-kebil memandang kepadanya.
“Abang Aryan
tak cakap apa-apa pun pasal ni?”
“Kenapa pulak
dia nak kena cakap dengan kau? Dia kena mintak izin kau ke nak bercouple dengan
aku? Suka hati dialah nak bercinta dengan siapa pun. Ke kau terkejut sebab dia
tak pilih kau?” tukas Maya cukup pantas.
Berubah terus
wajah Qairynn mendengar kata-kata Maya yang kedengaran cukup mengejek itu.
Entah kenapa dia merasakan betapa rendahnya nilai dirinya di mata Maya. Ya! dia
sekadar adik angkat kepada Aryan. Dia bukan kekasih Aryan.
Perlahan
Qairynn menyuak sebahagian rambut yang jatuh menutupi sebelah matanya sambil
menghela nafas perlahan. Kata-kata Maya membuatkan dia teringat kepada bicara
neneknya tidak lama dulu.
“Saya takde apa
nak cakap. Saya pergi dulu,” ucap Qairynn rendah sebelum berpaling.
Longlai
dirasakan langkahnya saat itu. Dia hilang maya entah kenapa! Betapa peritnya
dia memikirkan perubahan yang tidak dijangka ini. Patutlah Aryan tidak lagi
lekat di rumah semenjak kebelakangan ini. Lelaki itu tidak lagi banyak bergurau
dengannya. Rupanya Aryan sedang dilamun asmara. Tetapi kenapa dia tidak gembira
dengan semua ini? bukankah sebagai adik dia seharusnya mendoakan kebahagiaan
kepada lelaki yang dianggap sebagai abang?
Mengapa dia
terasa seperti mahu menangis? Mengapa setiap apa yang dipandangnya sepanjang
jalan ini hanya membuatkan hatinya semakin parah? Mengapa rasa ini yang datang
kepadanya? Mengapa? Mengapa?
Qairynn tidak
tahu apa sebenarnya semua ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.