Ahad, 28 September 2014

Cerpen- CINTA TERLERAI DI AWAN BIRU



Cintanya Terlerai di Awan Biru (Mh17 dalam kenangan)

Cinta itu tidak akan bersatu di dunia. Janji-janji dulu tidak akan kesampaian lagi. Penantian selama ini sudah ketemu noktahnya.
Air mataku serasa ingin benar mengalir. Namun aku jadi terkaku dihadapan kaca tv. Tidak terkata. Saat terdengar nada pembaca berita menyampaikan berita itu, hati ini kian jadi kacau bilau. Tidak tahu apa tindakan pertama yang harus dibuat. Liur yang cuba kutelan sekadar untuk menenangkan diri. Namun tidak mampu jiwaku aman. Hanya empat raut wajah sedang terbayang di mata ini. Ya Tuhan.. Ya Tuhan.. hanya itu yang mampu dibisikkan hati.
Panggilan telefon menyentak tumpuanku kepada kaca tv. Laju tanganku mencapai telefon itu. Emak! Butang telefon segera aku tekan untuk menyambut panggilan itu.
“Nilam..” suara emak menyeru.
“Ya, mak..” tiba-tiba suaraku menggigil mendengar suara emak.
“Betul ke? ” aku dengar deruan nafas emak tidak tenang di hujung sana. Membuatkan rasa yang sedang mengasak dada ini jadi semakin menghebat. Aku tunduk seketika memandang ribaan sendiri. Aku tahu apa yang emak sedang tanyakan saat ini.
“Nilam tak tahu, mak. Mungkin bukan..” jawabku dalam nada tertahan.
“Tapi semalam dia call mak, dia kata..” emak tidak mampu meneruskan bicara. Aku sedar emak mahu menangis benar. Tetapi dia pun sama seperti aku. Tidak mampu! Kami sama-sama lemah.
“Bulan puasa ni, Nilam. Dia nak balik sambut raya dengan kita.” Emak menambah bicaranya seolah-olah tidak percaya.
“Biar Nilam call Abang Amri dulu. Lagipun airlines tak cakap apa-apa pun lagi,” ujarku sekadar cuba menenangkan keadaan. Baru terfikir nak berbuat begitu semenjak tadi.
“Apa-apa berita bertahu mak, Nilam. Mak tunggu ni. Call sekarang, Nilam..”
“Ya, mak.. mak tenang ya? Jangan buat Nilam risau. Mungkin dia takde dalam penerbangan tu,” ucapku bersungguh.
“Tapi semalam sebelum bertolak dia ada call mak. Dia dah nak naik kapal terbang.”
“Mungkin ini kapal terbang lain, mak. Mak jangan fikir yang bukan-bukan dulu. Nilam cuba dapatkan pengesahan dulu,” tekanku bersungguh.
“Yalah..” perlahan sahaja suara emak di sana.
Tanganku saat ini menggigil. Telefon di tangan seolah-olah tidak terasa. Ada lahar yang maha pedih mengalir dari tenggorok sehingga ke ulu hati saat itu. aku buntu. Siapa yang mahu kupanggil saat ini? Wajarkah aku menelefon lelaki bernama Amri itu? Untuk apa?
Namun aku gagahi juga jemari ini untuk memanggil lelaki itu. Setahu aku lelaki itu berada Manchester sekarang ini. dia adalah bekas abang iparku. Bekas suami kepada kakak kesayanganku, Nurin. Ayah kepada tiga anak buahku yang turut bersama di dalam penerbangan itu.
“Hello..” satu suara lelaki menyapa.
“Assalamualaikum, Abang Amri. Ini Nilam..” suaraku bergetar saat mendengar suara lelaki itu.
“Hmm.. kau, Nilam. Ada apa?” acuh tidak acuh sahaja nada lelaki itu. Macam selalu..
“Abang Amri.. tengok berita tak?”
“Berita apa?”
“Nilam nampak dalam berita. Mh 17 dari Amsterdam.. Terhempas di Ukraine.”
“Jadi apa kena mengena dengan aku??” tekan lelaki itu macam malas mahu mendengar.
Astaghafirullah.. aku tahu dia bukan lagi suami kepada Kak Nur. Aku sedar cintanya kepada Kak Nur sudah lama mati. Tetapi mengapalah semenjak dulu sikapnya kepada anak-anaknya tidak pernah berubah.
“Takkan abang tak tahu? Kak Nur dengan anak-anak balik ke Malaysia!!” bentakku mula hilang sabar.
“What??” Amri terus terdiam setelah melontarkan kejutannya. “Anak-anak aku dalam penerbangan tu??” tekan Amri mula tidak tentu arah suaranya.
“Nilam tak pasti! Tolong call sesiapa. Nilam tak tahu apa nak buat sekarang,” ujarku pantas. Serentak itu aku terdengar bunyi beep menandakan ada panggilan masuk ke telefonku.
“Abang, Nilam kena matikan talian ni. Nilam takut mak telefon..”
“Aku call kau balik!” sesaat kemudian talian terus dimatikan. Aku lihat missed call itu bukannya datang dari telefon rumah di kampung sebaliknya nombor asing. Dadaku sudah berdegup tidak teratur. Sedang aku membelek, nombor yang sama tertera lagi di skrin sebagai pemanggil. Aku segera menyambutnya.
“Selamat malam..” satu suara menegurku sopan.
“Selamat malam..”
“Boleh saya bercakap dengan Cik Nuril Nilam binti Muhammad?”
“Saya Nilam!” jawabku laju. Mungkin selaju degup jantungku.
“Cik Nilam, saya Kamal Affendi membuat panggilan daripada syarikat penerbangan Malaysia. Berkenaan empat nama yang turut tersenarai di dalam penerbangan Mh 17 route Amsterdam-Kuala Lumpur. Diharap cik Nilam boleh mendengar dengan tenang apa yang hendak saya katakan ni..”
Kala itu aku hanya mampu mendengar dan mendengar. Setiap berita yang diberikan benar-benar menyesakkan perasaan. Aarahan yang diberikan oleh lelaki itu tembus ke pendengaran. Namun hilang entah kemana. Empat penumpang yang disahkan berada di dalam penerbangan itu adalah kakak kandungku bersama dengan anak-anaknya. Mereka mahu pulang beraya ke kampung. Bagaimana untuk aku khabarkan ini kepada emak? Bukannya aku tidak tahu emak sememangnya terlalu menanti kepulangan Kak Nur?
Aku terus terdiam dan terkaku. Sayangnya dalam keadaan ini, hati kian sendat oleh rasa pedih yang menyekat kerongkongku. Aku perlu menangis saat ini! agar rasa yang cukup menyakitkan ini dapat kualirkan pergi. Namun air mata tidak mahu keluar. Sama sekali tidak mampu untuk keluar! Khabar ini hampir pasti. Kakak kesayanganku Nurin sudah tiada lagi. Anak-anak saudara yang aku tatang semenjak dulu sudah pergi meninggalkan aku.
****************************************************

“Abang!!” esakan Kak Nur kedengaran sehingga ke luar kamar.
“Nur!! Sudahlah.. jangan nak menangis lagi. Bosanlah! Balik ke sini aja tengok Nur menangis! Dah takde kerja lain ke??” bentak lelaki itu kurang sabar.
Aku yang tercuri dengar perbualan itu mengertap bibir. Berbulan Amri tidak pulang, hanya dialog dan nada itu yang dihadiahkan kepada isterinya.
“Sampai bila abang nak buat Nur macam ni? Nur ni dah nak bersalin, abang!” Kak Nur membalas dalam tangisan.
Tiba-tiba pintu kamar itu terbuka luas. Aku tersentak melihat wajah garang Amri memandang kepadaku.
“Kau dah takde kerja lain selain menyibuk hal rumahtangga aku?? Adik beradik sama aja!” tempiknya kepadaku.
Terkedu aku dijerkah lelaki itu. Namun langkah lelaki itu turun ke bawah aku ekori. Geram di dalam dada sudah tidak tertahan.
“Kak Nur dah nak cukup bulan. Abang Am nak pergi mana?? Siapa nak temankan dia waktu bersalin nanti??” jeritku.
“Kau tak payah nak sibuk..” sambut lelaki itu tanpa menghentikan langkahnya.
“Kalau dah tak tahu nak bertanggunjawab, jangan kahwin dengan kakak aku dan jangan buat dia beranak ramai-ramai!!! Kau ingat kakak aku tu apa??” jeritku semakin lantang.
Langkah Amri terhenti tiba-tiba. Terus sahaja dia berpaling kepadaku. “Bagitahu kakak kau, hati aku memang dah tawar untuk dia. Aku nak kahwin dengan Aisya. Jadi aku ceraikan dia talak satu. Puas hati kau sekarang?” Amri melontarkan bicara itu cukup mudah.
Aku tersentak. Dadaku terasa bolong dilanggar sesuatu yang amat kuat. Kak Nur diceraikan? Spontan aku menoleh. Aku lihat Kak Nur sedang memandang kami dari atas tangga. Dia kelu.. begitu juga aku! Namun antara aku dan dia, dia lebih tenang.
Amri terus berpaling meninggalkan kami di rumah itu. Darius danYusmal yang sedang memandang ayah mereka, langsung tidak ditegur Amri. Dua anak itu juga tidak berani mahu mendekati Amri. Sebaik sahaja bayang Amri menghilang, anak-anak itu segera menerpa kepadaku. Aku sempat menoleh ke arah Kak Nur di tangga. Namun tiada sudah bayang dia di situ. Dua anak itu kubawa ke dalam pelukan.
“Kenapa papa marah-marah lagi? Papa sakit kepala lagi ke?” tanya Darius perlahan.
“Ya, sayang..” jawabku perlahan. Alasan sakit kepala itu selalu kuberikan kepada anak-anak ini apabila mereka bertanya mengapa ayah mereka suka bergaduh dengan emaknya. Hanya itu jawapan yang aku ada.
“Papa balik sini lagi tak?” tanya Yusmal pula kepadaku.
“Tak tahu, sayang. Mak ngah tak tahu..” hanya itu yang teradaya aku adakan untuk dua anak yang ketandusan kasih seorang ayah. kerana mabukkan wanita sepejabat dengannya, Amri sanggup mengenepikan dua anak ini. Kak Nur lebih lagi. Rumahtangga yang dibina semenjak zaman belajar di universiti ini sudah tidak sekukuh mana. Indah khabar berbanding rupa. Subhanallah.. terlalu menyedihkan hidup kakakku itu. Terlalu derita dia bersama lelaki ini.
“Papa kata tadi, papa nak kahwin dengan orang lain. Betul ke? Habis tu mama dengan Yus macam mana?” soal Yusmal lagi.
Aku terus terdiam. Tidak terdaya lagi untuk membuka rahsia menyakitkan itu kepada anak-anaknya.
*************************************************

Khabar itu memang pasti! Lima jam setelah berlalu waktu ketibaan seperti yang dijadualkan, masih tidak sebarang panggilan yang kami terima daripada Kak Nur. Pesawat yang seharusnya tiba di Kuala Lumpur hari ini, sememangnya tidak ada mendarat di KLIA. Bermakna lelaki semalam itu tidak berbohong kepadaku tentang berita Mh 17 sudah terhempas di salah satu daerah di timur Ukraine.
Telefon milik Kak Nur aku dail berkali-kali. Namun tidak bersambung. Namun aku terus mendail. Mendail dan mendail.. terasa ada rindu di dalam hati ini yang tidak lepas keluar. Tidak sempat untuk aku leraikan kepadanya. Saat ini kami tidak tahu dia sebenarnya berada di mana! Keadaan ini memang memeritkan hati. Jiwa terasa mahu meraung.
Bimbang dengan keadaan emak, aku kini berada di kampung menemankan emak. Sesampai aku di kampung, aku ada mengajak emak ke Kuala Lumpur. Tetapi emak tidak mahu. Dia mahu setia menunggu di rumahnya ini. Walaupun nanti hanya jasad Kak Nur dan anak-anaknya yang akan pulang ke rumah ini. Dia tetap mahu berada di sini. Saudara mara kami sudah penuh di rumah ini. Tetapi emak hanya mahu bersendiri. Aku tahu emak cukup sukar untu menerima kenyataan ini.
Bersama naskah yasin di tangan, menunganku pergi jauh mencari memori lalu. Memori bersama dengan Kak Nur. Satu-satunya adik beradik yang aku ada. Selepas diceraikan oleh Amri lebih empat tahun dulu, Kak Nur membawa anak-anaknya merantau ke bumi Belanda. Tawaran kerja di sana disambut demi anak-anaknya. Anak yang sulung, Darius sudah sembilan tahun, Yusmal, tujuh tahun dan yang bongsu Ain Qaisy hampir berusia empat tahun. Selepas bercerai, Amri juga merantau bersama isteri barunya. Soal dia sudah lama kami tolak ke tepi semenjak dia bukan lagi ahli keluarga kami.
Namun bisa dan kesakitan yang dilalui Kak Nur selama bersama lelaki itu, setiap satunya timbul satu demi satu di benakku saat ini. Anak buahku yang paling kecil tidak pernah kenal siapa ayahnya. Aku sendiri tidak mengerti mengapa lelaki yang terlalu disayangi Kak Nur satu masa dulu, berubah menjadi begitu. Mengapa keistimewaan yang pernah aku lihat kepada lelaki itu, lenyap satu demi satu setelah dia bertemu dengan teman sepejabat yang jauh lebih muda berbanding Kak Nur. Aku tidak tahu. Kehebatan wanita itu membuatkan kelopak cinta Amri gugur satu persatu untuk Kak Nur. Sehingga kini tiada lagi tersisa! Nama Nurin sudah tidak berbekas lagi setiap kali diperdengarkan kepadanya.
Kesedihan Kak Nur, itu adalah kesedihan aku. Kerana akulah yang menyaksikan susah dan senangnya selama ini. Akulah yang menemankan dia menjaga anak siang dan malam saat sang suami leka dengan cinta baru. Air mata Kak Nur mahal harganya. Gugurnya air mata itu kala dia sudah tidak terdaya menahan rasa terkilannya. Namun dia tidak pernah berhenti berharap Amri pulang kepadanya. Pernah aku bertanya.. apa ada pada lelaki  seperti Amri? Mengapa Kak Nur masih mahu menunggunya? Kata Kak Nur, “Subhanallah.. Kak Nur sayangkan dia, Nilam.’
Tetapi kini.. Belum sempat Amri pulang ke pangkuan Kak Nur dan anak-anaknya, Kak Nur terlebih dahulu dipanggil pulang kepada yang Esa. Penantiannya sudah bernoktah. Cinta tidak akan bersemi lagi di atas dunia ini. Janji-janji kekasih tidak akan kesampaian. Kak Nur pergi.. luka-luka di hatinya dibawa bersama. Tiada satu pun yang tertinggal.
Ya Allah.. pedih benar hatiku ini, Ya Allah. kebahagiaan Kak Nur tidak kesampaian, sesungguhnya Kau lebih tahu apa yang terbaik untuk kami. Tawarkanlah kesedihanku ini, Ya Allah.. hatiku merintih sayu. Demi Allah, kesedihan ini sungguh tidak tertahan. Tidak mampu aku gambarkan dengan kata-kata. Seandainya termampu, aku ingin meminta Tuhan yang maha Pengasih memutarkan masa ke hari semalam. Agar aku dapat menahannya daripada menaiki penerbangan itu. Agar dapat aku pahatkan memori yang paling indah bersama Kak Nur dan anak-anaknya.
Tetapi kenyataannya, semua ini sudah tidak dapat diulang kembali. Sudah pasti! Masa yang lalu sudah berganti baru. Yang nyatanya.. masa yang diganti hari ini, tidak akan sama lagi seperti semalam, kelmarin dan pada saat pertama kali Kak Nur jatuh cinta pada lelaki itu!
******************************************************

Anak penawar duka. Senyumnya menyembunyikan lara..
Bayi perempuan yang dilahirkan Kak Nur sihat. Alhamdulillah.. Tuhan memberikan kemudahan untuk dia melahirkan bayinya. Senyum Kak Nur mekar saat mendakap anaknya. Seolah-olah tiada duka nestapa dalam hidupnya. Aku tatap dalam-dalam wajahnya. Sayu hatiku semakin berlandung. Aku tahu dia menahan sedihnya sendiri.
“Kak Nur nak namakan dia Ain Qaisy. Kak Nur suka sangat nama Ain tu..” luah Kak Nur saat memandang kepadaku.
“Sedap nama tu..” sambutku dengan senyum hambar.
“Tengok mak ngah tu, sayang. Dari tadi tak mahu senyum pada Ain. Macam tak suka aja dapat jumpa Ain,” omel Kak Nur kepada anaknya itu. Kata-kata itu membuatkan senyumanku mekar. Namun masih dalam kehambaran.
“Betul ke lepas habis urusan di mahkamah syahriah tu nanti Kak Nur akan ke Amsterdam?” tanyaku perlahan.
“Betul..” jawab Kak Nur perlahan.
“Kenapa sampai ke sana?” tanyaku payah.
“Rezeki, Nilam. Allah sedang buka pintu rezeki untuk anak-anak Kak Nur di sana. Biarlah Kak Nur pergi. Kak Nur buat ni semua untuk anak-anak,” sambut Kak Nur tenang sahaja.
“Habis tu Nilam dengan mak, macam mana?” tanyaku lagi. Macam mana aku mahu berpisah daripada anak-anak saudara yang amat aku sayangi ini?
“Ini yang terbaik untuk kami, Nilam. Kak Nur tak mahu terus berada di takuk lama. Peluang ni bagus untuk kami anak beranak,” ujar Kak Nur lembut.
Aku diam menghela nafas. Bayi di dalam pelukan Kak Nur itu aku tatap. Sayangnya kamu, hai anak. Ayahmu tidak ada menunggu kamu di sini. Dia tidak peduli! “Apa kata Kak Nur biarkan anak-anak Kak Nur dengan Nilam dan mak? Sekurang-kurangnya Kak Nur tak perlu susah payah mencari pengasuh di sana nanti,” cadangku spontan.
“Tak! Biarlah Kak Nur bawak anak-anak dengan Kak Nur. Anak-anak Kak Nur ada ayah, tapi macam tak ada ayah. Kak Nur tak mahu anak-anak kehilangan bayang seorang emak pula. Kak Nur tak mahu berpisah dari anak-anak, Nilam. Anak-anaklah kekuatan Kak Nur.”
Aku tertunduk mendengar jawapan kakakku itu. Jawapan itu benar-benar memeritkan hati. Bermakna akulah yang bakal kehilangan bayang anak-anak saudara kesayanganku. Tetapi aku mengerti rasa di hati Kak Nur. Aku tidak mahu menegahnya.
“Kak Nur reda, Nilam. Selagi Kak Nur hidup, Kak Nur akan jaga anak-anak baik-baik. Kak Nur takkan tinggalkan mereka bertiga. Susah senang, biarlah kami bersama. Ke mana pun Kak Nur pergi, Kak Nur akan bawa mereka bersama..”

Ke mana pun Kak Nur pergi, Kak Nur akan bawa mereka bersama.. sebaris kata-kata itu bergaung lagi dibenakku. Ya! Kak Nur tidak meninggalkan anak-anaknya. Biarpun maut sudah menempanya, anak-anaknya juga dibawa bersama.
Seminggu sudah berlalu semenjak aku mendengar tentang tragedi itu. Sehingga kini jenazah Kak Nur dan anak-anaknya masih tidak diketahui di mana sedang berada. Kami hanya diminta menunggu sehingga diberitahu. Dari berita di tv aku dengar kebanyakan jenazah sudah dikumpulkan dari lokasi kejadian. Namun masih ada banyak hal yang perlu dilalui oleh jenazah-jenazah itu sebelum semuanya dapat dibawa balik ke sini.
Emak masih seperti itu. Ketenangannya sentiasa ada. Seperti mana Kak Nur, begitulah sikap emak. Tapi emak kerap termenung. Emak kerap memegang gambar Kak Nur ketika dia duduk bersendirian. Aku tidak tahu bagaimana untuk memujuk emak. Kerana aku sendiri pun masih belum boleh memujuk hati sendiri.
Hari ini aku kembali ke Kuala Lumpur. Namun aku bukannya kembali bekerja. Sebaliknya rumah Kak Nur, aku jejaki semula. Rumah ini tidak lagi aku duduki semenjak Kak Nur ke Belanda dulu. Aku lebih selesa tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan.
Aku duduk berdiri lama di hadapan katil bayi di dalam bilik anak Kak Nur. Katil bayi ini pernah menjadi milik Darius. Darius anak yang sulung, Kak Nur lahirkan ketika dia baru berusia 21 tahun. Kemudian Yusmal.. seterusnya Ain. Namun Ain tidak lama merasa tidur di katil ini. Namun aku masih terlalu ingat, aku pernah berdiri di sini berkali-kali. Menidurkan mereka tatkala Kak Nur sibuk dengan kerjanya. Aku menemankan mereka tatkala emak dan ayah sibuk bertengkar di dalam kamar. Aku bercerita kepada mereka sebelum tidur agar mereka tidak sunyi.
“Mak ngah rindu dengan Darius. Mak Ngah rindu dengan Yus. Mak ngah rindu dengan Ain..” ucapku seorang diri. Saat terpandangkan patung-patung kecil di tepian katil itu, salah satunya aku ambil. Aku peluk erat.
Ya Allah.. aku tidak akan dapat melihat mereka lagi. Bantulah aku melalui kesedihan ini. Bantulah aku melalui kehilangan yang amat menyedihkan ini.. bisik hatiku perlahan. Kolam mata terasa hangat saat mengenangkan tiga anak itu. Aku tidak mampu membayangkan apa yang berlaku dikala pesawat itu jatuh dari atas ke bawah. Adakah mereka merasa sakit? Adakah mereka masih bernyawa waktu itu? Adakah mereka ketakutan?
Ya Allah.. Aku tidak mampu menelan semua itu dengan hati yang tabah. Aku tidak mampu melelapkan mata begitu sahaja tanpa terbayangkan semua yang dilalui oleh anak-anak saudaraku! Sehari dua lagi lebaran akan menjelma tetapi tanpa mereka! Tubir mataku terasa hangat. Ada air yang sedang mengaburkan pandangan. Namun tidak lama kemudian air itu menyurut sebelum titisannya gugur di pipi.
Aku mahu menangis, Ya Allah. Biarkanlah aku menangis. Supaya reda kesakitan yang sedang menghuni dada. Tetapi masih tiada air mata yang gugur. Aku terus terseksa sendiri.
***************************************************************
“Kenapa papa tu selalu marah mama? Apa salah mama?”
Aku menoleh ke arah anak saudaraku, Darius. “Suami isteri memang macam tu. Kadang-kadang suami marah isteri, kadang-kadang isteri marah suami. Semua orang macam tu, sayang..”
Darius tunduk memintal jemari sendiri. “Tapi papa tu marah mama macam mama tu ada buat salah besar. Darius, kesian dengan mama. Dulu papa tak macam tu pun..” luah Darius lembut.
Aku usap rambut anak itu lembut. Mendung diwajahnya sudah kerap aku lihat. Darius suka termenung memikirkan keadaan mamanya. Aku sedar dia pun tertekan dengan kepincangan hidup.
“Orang dewasa ni memang banyak masalah, sayang. Dah! Jangan fikir ya?” pujukku lantas menarik bahunya dekat kepadaku.
“Cerita dengan mak ngah, apa cita-cita Darius bila dewasa nanti,” ucapku sekadar mahu mengalihkan pemikirannya daripada memikirkan masalah mama dan papanya yang semakin bertali arus semenjak kebelakangan ini.
“Bila Darius dewasa nanti, Darius nak jaga mama baik-baik. Darius nak cari duit banyak-banyak. Nak bawak mama pergi melancong naik kapal terbang. Darius nak belikan apa aja yang mama suka.” Spontan jawapan itu yang diberikan Darius, membuatkan aku terdiam. Buat seketika pandangan aku halakan ke hadapan. Permudahkanlah dia untuk mencapai cita-citanya, ya Allah.. bisik hatiku.
“Darius tak mahu tengok mama menangis. Darius sedih. Kalau boleh Darius nak bawak mama pergi jauh dari papa. Supaya mama tak menangis lagi sebab papa,” tambahnya cukup perlahan.
Aku hampir tersedu mendengar ucapannya itu. namun aku tidak mahu menambah lara di hatnya dengan tangisanku.
“Dalam hidup ni, memang selalu kena bersabar, Darius. Tak semua yang kita ada dalam hidup kita ni buruk. Papa mungkin nampak tak elok pada mata kita sekarang. Tapi mana tahu suatu hari nanti papa akan sayangkan Darius dan adik-adik semula?” ujarku perlahan.
Darius sekadar tunduk merenung lantai di bawahnya. Aku usap bahunya perlahan.
“Lepas ni mama nak pindah jauh ke tempat orang. Mama kena tukar tempat kerja. Darius nak ikut mama atau nak duduk dengan nenek kat kampung?” tanyaku sekadar mahu mendengar pendiriannya tentang itu.
Perlahan Darius menoleh kepadaku. “Darius nak ikut mama. Darius nak temankan mama. Ke mana pun mama pergi.. Darius tetap nak ikut. Darius tak mahu mama tinggalkan kami adik-beradik kat sini,” jawabnya perlahan.
Aku semakin terdiam mendengar jawapan anak sudaraku itu.
*****************************************************

Ya Allah.. Ya Allah.. dadaku semakin sendat mengenang semua kenangan itu. Tubuhku melurut jatuh dalam sendu yang tidak tertahan. Sesungguhnya Allah sudah pun menunaikan kehendak mereka. Mereka sehidup dan semati. Ke mana pun Kak Nur pergi, dia akan membawa anak-anaknya. Sesungguh masa yang telah Allah peruntukan untuk kami bersama di atas dunia ini sudah tamat. Aku masih ingat kepada perbualanku dengan Kak Nur beberapa hari sebelum dia menaiki kapal terbang. Dalam keterujaanku untuk menatap wajah anak-anaknya, dia mencelah dengan lawak jenaka yang menyelar hati.
Jangan terlalu berharap pada anak-anak Kak Nur, Nilam. Suatu hari nanti mereka akan tinggalkan Nilam untuk jalan hidup mereka sendiri. Kak Nur tak mahu Nilam jadi macam Kak Nur.. hidup merana kerana terlalu sayangkan sesuatu..
Itu bicara Kak Nur yang menyentap perasaanku. Tidak mungkin anak-anak itu akan melupakanku setelah mereka dewasa nanti. Aku kenal mereka! Tetapi rupanya maksud Kak Nur lain. Aku benar-benar tidak sangka hanya beberapa jam selepas itu, mereka benar-benar hilang daripada hidupku. Jalan mereka tidak lagi di atas dunia ini.
Puas menjejaki kenangan di kamar anak-anak saudaraku, aku mendapatkan bilik tidur Kak Nur. Di dalam almari, aku sentuh beberapa helai pakaiannya yang masih tinggal. Aku rindukan Kak Nur. Satu-satunya kakak yang aku miliki. Tetapi kini dia sudah tidak ada bersama kami.
“Kak Nur.. kenapa begitu cepat masa berlalu? Kenapa begini sekali kesedihan yang ditinggalkan untuk Nilam dan mak? Kenapa, Kak Nur?” rintihku sayu. Hanya kata-kata itu yang mampu aku lagukan untuk menawar kesedihan ini.
*****************************************************

Tarikh itu tarik keramat buat aku dan emak. Jumaat itu jumaat yang penuh duka dan lara. Semenjak kami diberitahu jenazah Kak Nur dan ketiga-tiga anaknya akan dibawa pulang, aku kian resah dalam penantian. Terasa seperti masa terlalu lambat, menyiksa segenap perasaanku. Aku seperti sudah tidak sabar mahu menyambut kepulangan mereka. Namun.. dalam diam aku tidak tahu adakah aku kuat untuk menerimanya.
Jenazah orang-orang kesayangan kami dijangka tiba jam 9 pagi di KLIA. Tetapi kami tidak menunggu di KLIA. Jenazah Kak Nur dan anak-anaknya akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Ipoh. Di situ kami akan menyambutnya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman kami di Parit untuk dikebumikan.
Seawal jam 8 pagi aku membawa emak ke Ipoh. Saudara mara lain memilih untuk menunggu di rumah disamping menyediakan apa yang perlu. Tidak jauh pun perjalanan ke sana. sekitar sejam sahaja. Namun debaran di dadaku ini semakin tidak terucap saat kereta yang aku pandu semakin mendekati Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah itu. Kehadiran ramai manusia di situ semakin merancakkan debaran dan ketakutan di dalam dada. Kuatkah aku nanti? Bagaimana dengan emak? Mampukah aku memujuk sekiranya emak tidak mampu menahan dirinya nanti?
Setiba di lapangan terbang itu, kami disambut oleh petugas media yang sibuk mahu bertanya macam-macam soalan kepada kami. Namun kerjasama anggota keselamatan menyelamatkan kami dari segala gangguan yang paling tidak aku mahukan. Namun saat aku dan emak berada di ruangan menunggu, aku terlihat kelibat seseorang yang masih aku kenali. Amri! Dia berbaju melayu hitam sedang duduk di kerusi tetamu bersama seorang wanita. Aku kenal wanita itu. Itulah wanita yang menggantikan tempat Kak Nur setelah Amri menyingkirkan dia daripada hidup lelaki itu. Aku tidak tahu pula yang dia sudah pulang ke Malaysia.
Amri terus bangun saat ternampak aku dan emak. Emak hanya tenang saat didekati lelaki itu.
“Mak apa khabar?” tanya Amri perlahan.
“Macam nilah..” jawab emak biasa sahaja.
Amri tunduk seketika sebelum kembali memandang emak. “Saya mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mak..” luah Amri agak payah kepada emak.
“Takde apa yang mak nak maafkan kamu, Amri. Semuanya dah ditentukan..”
“Saya tak jaga Nur dengan baik selama ini, mak. Saya ambil Nur, jadikan dia sebagai amanah untuk saya pikul. Tapi saya abaikan dia. Ampunkan saya, mak..” suara Amri menggigil dihujung bicaranya. Dia tunduk tiba-tiba menekan kedua-dua belah matanya.
“Jangan menangis depan mak. Mak tak mahu tengok sesiapa melemahkan perasaan mak hari ni. Mak hanya nak tunggu Nur dan anak-anak dia balik. Bukan senang mak nak hadapi hari ini, Amri. Kisah lalu tu semua mak tak mahu kenang lagi. itu bahagian hidup Nur. Mak tahu Allah uji dia kerana Allah sayangkan anak mak.”
“Saya faham, mak..” ujar Amri lantas menyapu kelopak matanya dengan belakang tangan. Aku segera menggamit emak duduk di salah satu kerusi tetamu. Kebanyakan tetamu sudah mengambil tempat. Masing-masing sedang memantau berita di gadget masing-masing. Aku? Aku tidak mampu untuk mengikuti semua itu. Kerana aku tidak sekuat mereka.
Sedang aku duduk, seorang lelaki datang ke sisiku. Aku segera memandang kepadanya.
“Jenazah semua dah dikeluarkan dari pesawar. Kita akan terbangkan ke sini. Waktu ketibaan jam 10 setengah nanti. Bersedia ya? Sebaik sahaja sampai nanti kita akan naikkan ke kenderaan jenazah dan terus bertolak,” ucap lelaki itu lembut.
Aku sekadar mengangguk. Emak menoleh kepadaku.
“Apa dia cakap?”
“Jenazah dah selamat sampai di KLIA tadi. Mereka dah terbangkan ke sini,”  ucapku sambil menarik tangan emak. Emak sekadar mengalihkan pandangannya ke arah dataran luas di hadapan kami itu. Aku sekadar mampu memandang emak yang kelihatan tenang.
Namun semakin dekat masa yang dijanjikan debaran di dadaku semakin tidak terkawal. Apatah lagi aku sudah terlihat kelibat pegawai-pegawai tentera sudah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan pesawat tentera yang menerbangkan jenazah orang-orang kesayangan kami. Terasa nafas yang aku hela tidak mampu untuk mengawal perasaan yang sedang bermain di dalam.
Jam 10:25 pagi itu orang-orang kenamaan sudah memenuhi kawasan itu. Pegawai-pegawai tentera sudah bersedia untuk menyambut ketibaan pesawat yang akan muncul bila-bila masa sahaja lagi. dan kenderaan jenazah sudah beratur untuk melaksakana tugas masing-masing. Namun kehadiran mereka langsung tidak aku pedulikan. Sebaliknya mata terus terintai-intai ke arah landasan di sana jauh di sana. Sehinggalah akhirnya kelihatan pesawat Hercules C130 milik tentera udara merayap perlahan di atas landasan menuju ke arah kami. Emak tiba-tiba bangun dari kerusinya di sebelahku.
“Mak..” seruku pantas.
“Anak mak Nur dah sampai. Cucu-cucu mak tu..” ucap emak lantas menunding ke arah pesawat itu.
Aku lantas bangun lalu bahu emak kupeluk, sekadar untuk menenangkan diri emak. Namun saat itu aku terasa dadaku sendiri pun seperti mahu pecah menahan asakan perasaan. Aku lihat Amri di sebelah sana sudah meneran tangisannya.
“Nur.. balik jugak kau, nak. Alhamdulillah..” ucap emak perlahan.
“Kak Nur dah balik, mak. Dengan anak-anak dia sekali..” jawabku sebak.
Akhirnya berderai air mataku saat melihat keranda berbalut bendera Malaysia yang pertama diangkut keluar daripada pesawat itu. Kami sudah diberitahu itulah jenazah kakakku. Kaki sudah terasa lembik untuk melihatnya dengan lebih dekat. Seterusnya keranda lebih kecil, itulah Muammar Darius, anak saudaraku yang sulung. Suatu masa dulu dia pernah berhajat, ke mana sahaja ibunya pergi, dia mahu mengikutnya. Seterusnya  jenazah Aiman Yusmal dan Ain Qaisy. Air mataku sudah tidak tertahan melihat keranda paling kecil antara semua itu. hanya diusung oleh empat orang pegawai tentera.
Ya Allah.. inilah saat yang paling susah untuk aku tempuhi di dalam hidupku. Menghadap pemergian abadi ini dalam cara yang begini teramat-amat menyayukan hati. Aku tidak kuat untuk menahan ratapan ini.
Saat kereta jenazah pertama melintasi hadapan kami aku lihat emak menghulur tangannya tiba-tiba. “Nurin..” emak menyeru perlahan.
Jenazah Kak Nur dan anak-anaknya dibawa ke Pekan Parit. Di sana jenazah-jenazah yang terkorban akibat bencana kemanusiaan itu akan disembahyangkan di masjid utama sebelum meneruskan perjalanan ke alam yang seterusnya selepas zohor nanti. Tidak lama masa yang diambil untuk menyempurnakan sembahyang jenazah. Amri turut menyertai sembahyang jenazah. Dia berdiri di hadapan keranda Kak Nur.
Sebelum kesemua keranda diangkat semula untuk dibawa ke tanah perkuburan, kami dipanggil untuk meluangkan masa yang tidak sebanyak mana ini bersama dengan orang-orang tersayang kami. Aku memimpin emak mendekati keranda-keranda itu. Pada hujung keranda itu tertera nama orang di dalamnya.
Emak terus duduk di hujung kepala keranda Kak Nur.
“Nurin Intan..” emak menyeru nama Kak Nur sambil meletakkan tangannya di atas keranda itu. sayang sekali kami sudah diberitahu kesemua keranda itu tidak boleh dibuka lagi untuk mengelakkan masalah lain. Aku ikut duduk di belakang emak. Bahu emak aku pegang.
“Ya Allah.. ya Allah.. tahanlah air mataku ini. Aku rela tidak menangis asalkan KAU berikan kemudahan kepada anakku ini di alam sana,  Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa anak aku ni. Tempatkanlah dia bersama orang yang baik-baik. Kerana anak aku ni baik orangnya. Nurin Intan tak pernah derhaka pada mak dan ayah. Pergilah, nak. Mak reda, sayang. Tunggu mak di sana ya? Mak terlalu sayangkan kamu, Nur..” suara emak menggigil saat meluahkan kata-kata itu. Dia tunduk mengucup bahagian atas keranda itu seolah-olah sedang mengucup dahi Kak Nur. Aku hanya mampu memeluk emak sambil menangis. Mengapa emak cukup tabah? Mengapa aku tidak begitu?
Saat emak melihat keranda cucu-cucu kesayangannya, Amri duduk ditempat emak tadi. Tanpa sepatah kata dia tunduk memegang keranda Kak Nur. Bahunya bergegar kuat. Sehingga beberapa lelaki mula memegang bahunya. Meminta dia menyabarkan diri.
“Nur..” Amri menyebut nama bekas isterinya itu dalam tangisan sayu.
“Nur bawa pergi anak-anak abang bersama dengan Nur. Maafkan abang, Nur. Abang banyak dosa pada Nur. Abang mungkir janji pada Nur.” Amri merintih tanpa mempedulikan orang sekelilingnya.
Aku hanya mampu memandang gelagatnya. Sesal sekarang sudah tiada maknanya. Namun aku yakin, Kak Nur sudah lama memaafkan lelaki ini. Tiada secebis dendam pun di hati Kak Nur kepada lelaki ini.
Sehingga jenazah mula diangkat pergi, Amri terus menangis. Paling sukar dia melepaskan keranda anak bongsu yang tidak pernah dilihatnya selama ini. Tidak tahu bagaimana rupanya Ain Qaisy di matanya.
“Ain.. maafkan papa, sayang..” Amri mengucapkan kata-kata itu berkali-kali. Sehingga bapa saudaraku terpaksa memegangnya agar tidak menganggu urusan yang seterusnya. Betapa bersyukurlah.. Allah masih menyediakan kesempatan untuk dia melihat jenazah itu.
Sesampai jenazah-jenazah itu ke tanah perkuburan di kampungku, aku lihat puluhan manusia sudah menunggu di situ. Jenazah Kak Nur dan anak-anaknya dikebumikan seliang lahat. Bersebelahan dengan pusara Arwah ayahku. Inilah tanda mereka berempat sehidup dan semati. Air mataku gugur lagi saat aku dan emak dipanggil menghadap jenazah-jenazah yang sudah dimuatkan ke dalam liang lahat. Emak mengambil segumpal tanah lalu ditaburkan ke atas keranda itu. Aku turut melakukan perkara yang sama. Aku pandang mereka sepuas-puas hati. Kerana inilah kali terakhir aku dapat melepaskan rindu.
“Tenanglah kamu di sana, Nur. Derita kamu didunia ini sudah habis. Mak percaya, kesabaran kamu selama ini akan dibalas Allah sebaik sahaja tanah ini memisahkan kamu dari dunia ini. Doa mak akan selalu ada dengan kamu, Nur..”
************************************************

Kicau burung kedengaran aman sekali pagi itu. Aku lihat emak tiada di rumah. Sarapan pagi tetap disediakan seperti biasa. Aku segera mencapai tudung dan keluar dari rumah. Kaki ku halakan ke arah tanah perkuburan yang berada tidak jauh dari rumah kami.
Di lorong kecil masuk ke kawasan itu, aku lihat ada kereta seseorang terpakir di sisi jalan kecil itu. Dari jauh aku lihat pusara Kak Nur sedang dikunjungi oleh dua manusia. Emak dan Amri. Aku tidak tahu di mana Amri menginap beberapa hari ini. Namun dia tidak pernah ketinggalan tahlil yang diadakan di rumah kami. Aku dekati dua manusia itu dalam derap perlahan. Dua manusia itu langsung tidak menoleh biarpun aku sudah duduk di sebelah emak.
“Saya tak tahu, mak. Ujian ni untuk saya sebenarnya. Hati saya berubah, saya tega lukai hati Nur. Tapi dia tak pernah marahkan saya. Dia sentiasa meminta saya sedar. Nur isteri yang terbaik untuk diri saya. Tapi saya sia-siakan dia.” Amri berkata perlahan sambil memegang batu putih pusara Kak Nur.
“Mak tahu Nur selalu maafkan kamu, Amri. Teruskanlah hidup kamu. Kita terima takdir ni. Belajarlah daripada kesilapan lalu. Hargai selagi ada, Amri. Kerana Allah takkan beri kita sesuatu untuk kita pegang selama-lamanya,” jawab emak tenang sahaja.
“Sehari dua ni saya selalu teringatkan Nur, mak. Kadang-kadang sampai tak boleh tidur. Hati saya ni merintih. Anak-anak saya semuanya dah tinggalkan saya. Takde seorang pun yang tertinggal untuk saya lepaskan rindu. Saya tahu.. ini balasan untuk saya. Saya ayah yang tak bertanggungjawab sampai Allah terpaksa ambil semula kesemua anak-anak saya. Ini yang layak saya terima selepas saya hancurkan keluarga saya sendiri demi keseronokan dunia.” Amri menggeleng perlahan. Matanya berkaca lagi saat memandang pusara Kak Nur.
“Dia tak pernah marah saya waktu dapat tahu saya curang pada dia. Dia hanya minta saya jauhkan diri dari dosa. Tapi saya tak pernah dengar nasihat dia,” luah Amri lagi.
“Maafkan abang, Nur. Abang tahu sesal abang hari ni dah takde maknanya lagi pada Nur. Tapi abang tetap nak minta maaf. Abang tak pernah berterima kasih atas kasih sayang yang Nur berikan pada abang. Abang selalu lupa diri, Nur..” ucap Amri sayu. Tanah pusara yang masih merah itu disentuhnya dengan telapak tangannya.
Sayu hatiku memandang Amri. Suatu masa dulu.. inilah yang Kak Nur nantikan berlaku kepada hidupnya. Namun sayangnya Amri terlewat datang.
Lebih sejam kami duduk di pusara itu, emak mengajak kami pulang. Amri bersetuju untuk makan tengahari di rumah. Namun sebelum pergi.. aku menoleh lagi kepada pusara itu. Pusara itu sepi. Namun aku yakin ada keamanan di situ. Aku tahu itulah tempat yang terbaik untuk Kak Nur dan anak-anaknya merasa bahagia. Jagaan Allah sudah tentu lebih baik untuk mereka berempat.
Kak Nur.. Nilam takkan lupakan Kak Nur sampai bila-bila. Kerana Kak Nur adalah seorang kakak yang paling penyayang. Kerana Nurin Intan adalah seorang anak yang paling taat kepada emak dan ayahku. Kerana Nurin Intan juga seorang isteri yang penyabar kepada seorang lelaki bernama Amri. Dan Nurin Intan juga seorang kekasih yang cukup setia memegang puncak kasihnya biarpun tidak lagi diperlukan oleh kekasihnya. Aku reda dengan takdir ini. kerana aku tahu.. kasih sayang Allah kepada Kak Nur lebih tiada taranya berbanding kasih sayang kami kepadanya.
Amanlah Kak Nur bersama anak-anaknya di sana. Adikmu ini akan selalu mengirimkan doa buatmu.  Insya-Allah...