Sabtu, 7 Disember 2013

BABA 40

“Wei.. kau kenal tak siapa minah tu?” lelaki bernama Syariff itu menjerit agak kuat di lubang telinga Fadhil.
“Mana?” soal Fadhil pantas apabila temannya itu menyebut tentang ‘minah’ bermakna perempuan. Itu dia memang pantang besar! Mesti lekas ambil tahu.
“Tu yang tengah high kat tengah tu.” Syariff memuncungkan bibirnya ke tengah lantai tarian kelab malam itu. Tajam benar matanya memerhatikan gelagat gerangan manusia yang dipanggil Minah itu dalam suasana di dalam situ agak kabur. Sudahlah kabur.. padat pula dengan manusia yang ada masalah kesukaran tidur malam dan yang suka pada tempat sesak.
Fadhil terus memerhatikan lantai tarian itu agak lama. Setelah beberapa ketika dia memandang barulah gerangan si Minah dapat dicamkannya. “Suria..” ucapnya spontan dan agak terkejut. Sudah lama dia tidak melihat gadis itu.
“Tu Suriakan? Kawan sekolah kita dulu.” Syariff turut menyebut nama yang sama.
“Kawan? Takde maknanya dia tu aku nak panggil kawan.” Fadhil mencemuh tanpa dapat mengalihkan pandangannya darpada tubuh yang sedang terliuk lentok kemabukan. Dia masih tidak lupa gelaran demi gelaran yang pernah dilemparkan Suria kepadanya. Gemuk.. badak air.. gendut.. semua itu sudah masak di telinganya.
“Kita tegur dia nak?” ajak Syariff. Sudah lama dia tidak bertemu Suria semenjak kebelakangan ini. Dia sendiri tidak tahu apa perkembangan Suria yang terkini. Namun rupa paras Suria memang tidak jauh berubah walaupun gaya sudah terlalu jauh mengikut cara wanita barat.
“Tak nak aku! Karang dia malukan aku lagi. Bagi suwei aja bercakap dengan dia tu!” Fadhil pantas menolak. Untuk apa berbasi basa dengan perempuan itu? Buang karan aja!
“Relaxlah kawan.. kisah lama buat apa nak ungkit lagi?” usik Syariff lantas ketawa kecil. Dia tahu Fadhil masih terasa hati dengan semua perbuatan Suria ketika di zaman sekolah mereka dahulu. Walaupun sudah cukup lama meninggalkan alam persekolahan namun mana mungkin semua itu dapat dilupakan Fadhil. Walaupun semenjak hidup di kota besar ini fizikal Fadhil sudah tidak sebulat dulu. Mungkin angkara perencah mee segera Fadhil berubah menjadi seramping sekarang.
“Kau senanglah cakap. Dia bukannya ada kacau kau. Aku ni dah jenuh kena buli dengan dia dulu!” tempelak Fadhil bengang. Hilang moodnya untuk bergembira apabila ternampak ‘Minah’ itu.
Syariff ketawa kecil. Bahu Fadhil ditepuknya perlahan. “Inilah masanya kau nak ambil balik maruah kau dari dia. Dia tengah lalok tu. Senang nak ayat. Lagipun otak tengah mereng macam tu bukannya dia cam kau sangat pun!” Syariff segera membisikkan hasutan dengan cukup lembut. Dia juga sebenarnya tidak suka lagak Suria ketika di sekolah dahulu. Malahan ketika keluarga Suria ditimpa mala petaka iaitu saat ayah Suria meninggal dunia dia antara orang yang bertepuk tangan meraikan mala petaka itu. Langsung tidak terdetik rasa simpatinya melihat nasib Suria.
 Fadhil mula memandang Syariff. Ada kerdipan penuh makna diberikan Syariff kepadanya. Malah matanya bagaikan sudah terlihat kelipan mentol menyala di atas kepala Syariff di antara dua tanduk yang tiba-tiba muncul. Dia mula tersenyum, tertarik dengan idea itu.
“Aku panggilkan kejap. Kau tunggu sini.”
Fadhil akur sahaja lantas membiarkan Syariff berlalu. Sambil itu perhatiannya dipusatkan kepada Syariff yang mula mendekati Suria yang masih hayal dan hanyut di lantai tarian berseorangan. Perlahan-lahan Syariff mendekati Suria. Buat seketika mereka menari berdua. Suria kelihatan amat mudah melayan Syariff. Entahkan dia kenal entahkan tidak Suria dengan Syariff, Fadhil sendiri tidak tahu. Tapi apa yang pasti jika Suria mudah percaya kepada lelaki asing maka semakin mudahlah dia untuk merencanakan sesuatu istimewa buat gadis itu. Di kampung gadis itu memang hebat. Tetapi sekarang mereka bebas dengan cara hidup di Kuala Lumpur. Gadis itu sekadar sebutir pasir tenggelam di dalam ribuan pasir yang lain. Tiada kelebihan lagi!
“Kau tahulah nasib kau lepas ni, Suria! Aku akan buat sampai kau menyembah kat hujung kaki aku!” desis hati Fadhil penuh dendam.
15 minit kemudian gadis itu sudah berjaya ‘dipukat’ oleh Syariff. Suria berjalan dengam liuk lentok menggodanya ke arah meja Fadhil. Wajah itu cukup ceria tanda sedang berhiburlah sangat! Langsung dia tidak sedar bot pukat yang sedang menunggu untuk membawa dia ke suatu tempat untuk disiang dan dilapah. Fadhil tersenyum puas hati melihat usaha sahabatnya itu berjaya.
Setelah menogok lagi beberapa gelas minuman keras, Suria semakin tidak sedar akan sekelilingnya. Dia layu di kerusinya akibat penangan dadah khayal dan arak. Syariff dan Fadhil saling berpandangan dengan senyum gembira. Tika yang dinantikan nampaknya sudah pun menjelma. Lalu gadis itu dibawa pergi tanpa menunggu lagi.
Apa yang berlaku selepas itu Allah akan menjadi saksinya manakala malaikat di sebelah kiri akan mencatatnya untuk sama-sama di saksikan di hadapan Allah nanti. Nauzubillah.. semoga mereka bertaubat akhirnya.

“Janganlah, abang. Sudahlah tu..” Qay tergelak kuat sambil menolak wajah lelaki itu jauh daripadanya.
“Tengok tu? Kedekut!” rengus Hadi sambil merenung isterinya tajam.
“Kedekut apanya? Lemaslah..” keluh wanita itu sambil menolak tubuh lelaki itu dari atas tubuhnya.
Hadi mula mengalihkan tubuhnya. Dia berbaring di sebelah wanita itu. Namun tubuh berbalut comforter itu dipeluknya lagi. “Abang tengok Qay macam pucat aja sekarang. Qay sihat ke?” soal Hadi perlahan.
“Sihat..” jawab wanita itu dalam mata yang terpejam. Lengan lelaki itu diusap manja. Senang hatinya dengan perhatian lelaki itu.
“Emm.. habis tu kenapa? Kita nak dapat baby ke?” soal Hadi dengan suara separuh tenggelam di sebalik tubuh wanita itu.
Qay terus ketawa. “Pandai ajalah dia ni. Mana ada nak dapat baby tu semua!” degus Qay pantas. Wajah lelaki di sisinya itu dipandang seketika sebelum menyambung tawanya.
“Ye ke? Kenapa pulak takde?” duga Hadi mesra.
“Jangan nak mengarutlah, abang. Takde mananya Qay mengandung. Qay takde rasa apa-apa pun sekarang ni. Semuanya okay je,” ucap Qay selamba.
“Hmm.. nampaknya kenalah usaha lebih keras lagi. Barulah Inas boleh ada adik,” ujar Hadi sambil menelentang memandang ke atas.
“Tadi dah usaha cukup. Enough for tonight! I’m so tired now,” balas Qay selamba. Selimut yang membaluti tubuhnya ditarik tinggi sambil memejamkan mata. Malas dia mahu melayan ragam suaminya itu lagi. Kalau dilayan mahu sampai ke subuh dia tidak dapat tidur.
“Tengok tu? Cepatnya nak tidur.” Hadi mendecit perlahan. Wanita itu kembali dipeluknya. “Abang belum mengantuk ni. Kita sembanglah kejap,” pujuk Hadi dengan suara mula mendayu-dayu.
“Pergilah tengok tv. Qay letih sangat ni, abang. Dah tak larat nak berborak lagi. Bagilah Qay rehat sekejap,” rayu wanita itu lembut.
“Sayang..” pujuk Hadi lagi.
“Apa?” balas Qay mula lemah. Wajah lelaki itu kembali dipandangnya.
Melihat wanita itu kembali memandangnya Hadi tidak membuang masa. Tubuh itu ditarik dekat kepadanya.
“Peluk abang dulu. Baru boleh tidur,” bisiknya lembut. Dahi wanita itu dikucupnya penuh kasih sayang. Bukan sekadar hubungan seksual yang dimahukannya daripada wanita ini. Tapi dia tidak mahu membiarkan ada ruang kekosongan mencelah antara mereka.
Qay tersenyum manis kepada suaminya itu. pelukan lelaki itu terus dibalas erat. “Hanya di sinilah tempat yang paling selesa dan selamat untuk Qay, abang. Qay Cuma nak tidur dalam pelukan abang setiap hari. Macam ni..” bisik Qay asyik. Kehangatan tubuh lelaki itu membuatkan dia semakin selesa di bawah kedinginan aircond bilik tidur itu.
“Kalau macam tu jangan pergi jauh dari abang lagi,” balas Hadi lantas mencium rambut isterinya itu. Harumannya membuatkan dia terpesona lagi buat kesekian kalinya.
Qay menggeleng perlahan. “Percayalah.. ke mana pun Qay pergi, akhirnya Qay akan kembali pada abang semula. Qay tahu semua ni takkan sama lagi nanti. Tapi Qay nak lalui keadaan ni seadanya.”
“Love you so much, baby..” bisik Hadi tidak tertahan.
“Love you too, darling. Very much!” wanita itu membalas penuh kepasrahan. Tiada kalimat yang lebih manis di telinga saat ini melainkan ucapan kasih dari suami tersayang. Selagi ada peluang dia mahu terus mendengarnya. Dia tidak akan jemu. Sama sekali tidak! Kerana dia tahu akan sampai masanya Hadi terpaksa mengucapkan kalimah itu kepada wanita lain juga.

Masin mulut Hadi..
Alat ujian kehamilan itu dipandang Qay berkali-kali untuk memastikan apa yang dilihatnya itu tidak tersilap. Dua garis yang timbul membuatkan dia yakin. Memang benar kata suaminya beberapa hari yang lepas. Dia hamil. Qay tersenyum memandang wajahnya dicermin. Dia tidak pernah merancang untuk mendapat cahaya mata lagi. Tetapi berita ini memang benar-benar menggembirakan.
“Kenapa?” soal Hadi tatkala ternampak isterinya tersenyum sebaik sahaja keluar daripada kamar mandi.
Qay sekadar menggeleng. “Pergilah mandi cepat.”
Hadi sempat mengerut kening memandang gelagat wanita itu. namun mengenangkan dia mahu ke pejabat sekejap lagi dia terus masuk ke bilik air. Tidak sampai 5 minit kemudian dia kembali keluar.
“Qay ada nak cakap apa-apa dengan abang ke?” soal Hadi sambil memandang belakang isterinya itu.
“Qay nak pergi klinik pagi ni,” ucap Qay lantas tersenyum manis.

Bicara itu turut disambut oleh senyuman daripada Hadi. Namun senyum itu mula berganti tawa gembira. Ya Tuhan.. berita di awal pagi itu benar-benar memberikan dia sinar rahmat kepada hidupnya. Ikutkan hati tubuh isterinya itu mahu dipeluknya. Namun menyedari Qay mahu bersolat subuh dia terpaksa membatalkan hasratnya.

Khamis, 5 Disember 2013

BABA 39

Hadi memandang sekeliling. Nyaman rasanya berada di puncak bukit itu. Selesa rasanya berada di situ tanpa kehadiran ramai pengunjung lain. Di tempat mereka berdiri itu, pernah kaki mereka melakar sejarah berada di situ lebih berbelas tahun dulu. Pernah mata mereka memandang ke arah yang sama suatu masa dulu. Di sini juga pernah mereka merasa kehangatan perasaan cinta antara satu sama lain.
“Bukit Malawati.. abang tak pernah lupakan tempat ni,” ucap Hadi perlahan kepada wanita yang berada di sisinya itu. Bibirnya tersenyum sambil memaut bahu Qay rapat kepadanya.
Qay tergelak perlahan. Ya! mereka pernah memahat memori percintaan zaman sekolah di sini dahulu. Memang indah jika dikenang waktu itu. Saat ini dia merasakan seolah-olah masa sedang berpatah semula membawa mereka pulang ke sana.
“Abang pernah datang sini sebelum ni. Boleh dikatakan selalu..” ucap Hadi agak perlahan. “Bila abang rindu, abang datang sini. Abang duduk di tempat yang sama kita duduk dulu. Kadang-kadang abang cari monyet-monyet yang ada dengan kita waktu tu. Entah ada lagi entah tidak,” ucap Hadi lagi agak rendah. Sayu dia mengenangkan saat itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tebalnya kepedihan hatinya.
Hadi mengalihkan pandangannya kepada Qay. “Abang merana selama ini, Qay. Abang rasa sedih sangat setiap kali abang datang ke sini. Qay dah takde lagi dengan abang. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang abang rasa waktu tu. Abang pernah bawak Inas datang ke sini. Tapi dia tak pernah tahu kenapa abang bawa dia ke sini dulu,” ucap Hadi perlahan.
Qay terus terdiam. Namun sayu hatinya mendengar kata-kata Hadi. Hakikatnya bukan Hadi seorang yang merana. Dia lebih merana kerana terpisah daripada anak kandungnya sendiri. Hadi tidak pernah tahu apa pula yang berlaku kepada dirinya selama mereka terpisah. Mereka berdua melakar cerita mereka sendiri.
Hadi tiba-tiba menarik Qay menghadap kepadanya. Buat seketika bibirnya dilekapkan di dahi wanita itu. Kedua-dua belah pipi wanita itu dipegangnya erat. “Jangan tinggalkan abang lagi, sayang. Abang tak sanggup melalui keadaan tu berkali-kali. Abang perlukan Qay untuk Inas dan diri abang sendiri. Abang tak tahu apa nak buat dengan hidup abang ni tanpa Qay di sisi abang.”
Ulas bicara Hadi membuatkan dada Qay sayu. Berkaca matanya memandang Hadi. “I won’t!” ucapnya separuh berbisik lantas tubuh Hadi dipeluknya erat. Hakikatnya cintanya kepada Hadi tidak pernah berubah sedikit pun. Tidak pernah! Biarpun lebih 10 tahun mereka terpisah.
Hadi terus membalas pelukan Qay erat. Buat seketika dadanya cukup lapang. Hanya saat-saat bahagia ini yang mahu dinikmatinya sepuas-puas hati selagi masa mengizinkan. Biarlah dilupakan segalanya untuk seketika ini. Dia sangat-sangat memerlukan sedikit kekuatan untuk mengorak langkah kemudian nanti.
“Mak abang dengan Suria macamana?” soal Qay setelah tubuhnya dilepaskan Hadi.
Hadi menghela nafas perlahan. Soal itu dia sebenarnya masih belum tahu. “Abang akan berterus terang dengan mak dan Suria nanti,” ujar Hadi perlahan. Risiko yang menanti dia sudah tahu. Harap-harap masih ada jalan untuk dia memujuk hati keras emaknya itu.
“Mak abang lebih sukakan Suria berbanding Qay. Qay kena terima kenyataan.” Qay membalas lemah. Satu kenyataan itu sering sahaja membunuh keyakinan dirinya dalam pada dia membiarkan dirinya tega merebut kasih Hadi semula. Dia tidak ingin mengalah semudah itu. Tetapi dia juga sedar betapa besarnya kuasa emak mertuanya itu ke atas suaminya.
“Sayang, kita jangan fikir pasal tu dulu ya? Abang cuma nak kita ambil masa ni untuk diri kita sendiri. Mak dan Suria takde kat sini. Yang ada kita berdua. Abang tak mahu sesakkan fikiran dengan perkara yang tak mampu kita ubah buat masa ni.” Hadi berkata lembut. Rambut isterinya itu diusap lembut.
“Tapi sampai bila, abang?” desah Qay tidak senang dengan ucapan Hadi. Melengah-lengahkan masa tidak mampu menenangkan perasaannya. Sama sekali tidak!
“Entahlah! Abang pun tak tahu, sayang.”
Qay terdiam mendengar itu. Bermakna Hadi sendiri masih tidak punya jalan keluar selain daripada tunduk kepada emaknya. Lebih teruk lagi di antara dia dan Suria saat ini, dialah yang kelihatan seperti perempuan simpanan Hadi.
“Kita habiskan masa kat sini sekejap? Abang malas nak masuk pejabat.”
Qay sekadar mengangguk akur dengan kehendak suaminya itu. apa nak kisah? Tiada siapa boleh mempersoalkan ke mana dia dan Hadi pergi. Sementelah kepada Amanda dia sudah meninggalkan pesan yang dia ada hal di luar.
Sama seperti dahulu, aktiviti mereka di situ tiada lain sekadar melayan monyet-monyet yang meminta makan. Cuma apa yang mereka perasan jumlah monyet-monyet itu semakin bertambah berbanding dahulu. Seronok Qay melayan ragam mereka.
“Mana monyet yang ada misai macam abang tu? Ada lagi tak?”
“Tengok tu...” getus Hadi geram mendengar soal itu diungkap semula oleh Qay. Ada ke suami di samakan dengan monyet? Yang misai macam monyet ni jugaklah yang disayang-sayang. Qay sempat tergelak sambil memaut lengan lelaki itu.
“Alah! Gurau sikit je pun nak marah..”
“Ada ke muka hensem ni disamakan dengan monyet,” balas Hadi sambil menunding jari ke wajahnya. Ada nada bengang yang kedengaran.
Qay tergelak lagi memandang wajah masam kelat suaminya itu. “Yelah.. muka macam monyet pun Qay tetap sayang..”
“Siap Qay kejap lagi!”
Qay terus memandang Hadi dengan riak penuh tanda tanya. “Kenapa dengan kejap lagi?” soalnya. Hadi terus memandang ke arah lain pura-pura tidak mendengar.
Geram dengan ulah lelaki itu, lengan Hadi dicubitnya. “Cakaplah cepat!”
“Takde apa-apa..” jawab Hadi bersahaja. “Dahlah! Jom balik. Abang dah lapar ni,” ucap Hadi tidak mahu terus berada di kalangan monyet itu lagi. Nanti ada pulak timbul seekor yang muka sama macam dia.
Qay sekadar menurut apabila Hadi menarik tangannya.
Beberapa minit sebelum maghrib menjelma barulah mereka tiba di Shah Alam semula. Kereta Hadi berhenti di hadapan rumahnya. Qay sempat memandang sekeliling. Namun mengenangkan waktu sudah kelam dia tidak mahu banyak soal lagi. Mereka terus masuk ke dalam.
Sangkanya usai solat maghrib Hadi akan menghantar dia pulang ke rumah. Namun dia lihat lelaki itu bersenang lenang pula di ruang tamu sambil menonton berita di tv sedangkan dia sudah risaukan anaknya di rumah. Pagi tadi sudah berjanji akan pulang awal ke rumah. Tetapi sayangnya dalam waktu begini dia masih di luar.
“Abang, hantar Qay balik cepat,” pinta Qay sambil memandang lelaki itu.
“Nantilah. Lepas Isyak nanti,” jawab Hadi selamba.
Qay mendegus seketika. Namun memikirkan Isyak hanya beberapa minit sahaja lagi dia akur juga. Namun usai solat Isyak lain pula ceritanya. Dia disuruh memasak pula. Lapar kata Hadi. Terpaksalah dia akur walaupun kerisauannya sudah tidak bertebing memikirkan Inas. Sangkanya lepas makan nanti Hadi pasti akan menunaikan janjinya.
Tetapi selepas kenyang makan Hadi meminta dia buatkan air pula sementara lelaki itu kembali bersenang lenang dengan kain pelekatnya di hadapan tv. Sekali lagi dia akur dengan harapan lelaki itu segera menghantar dia pulang selepas itu. tetapi hatinya sebal yang teramat sangat apabila melihat Hadi sengaja berlengah-lengah. Air yang dibancuh dihirup sedikit-sedikit sedangkan dia sudah jenuh menunggu.
“Cepatlah, abang!” degus Qay mula geram melihat lelaki itu.
“Nak balik cepat sangat nak buat apa?” soal Hadi selamba.
Qay mula mendecit geram. “Tadi abang janji nak hantar Qay balik. Cepatlah. Inas kat rumah tu takde siapa temankan,” getus Qay sedikit menekan.
Hadi menoleh kepada wanita itu. Bibirnya tersenyum tiba-tiba. “Duduklah dengan abang kejap. Inas tu ramai yang boleh temankan dia. Abang ni sorang-sorang aja kat sini,” pujuknya lembut. Tubuh wanita itu mula dipautnya dekat kepadanya.
“Abang main-mainkan Qay ke ni?” desis Qay. Spontan perut lelaki itu dicubitnya.
“Abang pun nak kena teman jugak,” bisik Hadi lembut. Pipi mulus wanita itu dikucup lembut, sengaja menghantar hasrat yang terpendam.
Qay mula terdiam. Wajah lelaki direnungnya seketika.
“Nanti abang hantar balik,” pujuk Hadi dengan renungan redupnya.
“Abang memang dah plan nak bawak Qay datang sini ke?” soal Qay mula curiga. Rumahnya dengan rumah Hadi bukannya jauh benar. Tetapi tadi lelaki itu sengaja melencongkan arah ke sini.
“Salah ke? Abang cuma nakkan privasi. Kat sana nanti Inas mengacau.” Hadi membalas sambil tersenyum. Lengan wanita itu diusapnya lembut.
“Semalam jual mahal sangat,” cebir Qay sambil menjeling.
“Yalah.. tapi abang dah beli. Nak tak nak kenalah gunakan sebaik-baiknya. Takkan nak tengok aja. Rugilah abang,” sambut Hadi sambil tergelak sedikit.
Jawapan itu dibalas dengan cubitan di lengan Hadi. “Inas tu..” kata-kata itu terputus di situ. Qay terkumpal-kumpal sendiri tatkala bibirnya dipagut Hadi tiba-tiba. Namun akhirnya tubuh lelaki itu dipaut juga.

Qay mengambil jam tangannya di atas meja tepi katil itu. Matanya yang sedikit kabur digesek beberapa kali sebelum melihat waktu saat itu. Spontan matanya terbeliak. Astaghafirullah.. dah pukul 3 pagi! Kalut dia bangun dari katil itu. Tanpa memandang kiri kanan dia terus masuk ke bilik air. Hanya satu yang ada di fikirannya. Inas! Pagi tadi dia berjanji akan pulang awal. Tetapi sayangnya jam ini dia masih di luar.
Keluar daripada bilik air Qay terus menerpa kepada Hadi. “Abang, bangun. Hantar Qay balik!” ucap Qay sambil menggoyangkan lelaki itu.
“Hmm..” jawab Hadi malas.
“Cepatlah! Dah pukul 3 pagi ni,” getus Qay sedikit gusar tatkala melihat Hadi dengan senang hati menyambung lena. Tubuh lelaki itu kembali digoncangnya.
“Alah! Baru pukul 3 pagi..” ucap Hadi dalam mata terpejam.
Qay mula mendecit. “Bangunlah. Inas kat rumah sorang-sorang, abang.”
Hadi kembali membuka mata. “Kan uwo ada dengan Inas kat rumah sana. Apa nak risau. Inas tu dah besar.” Hadi menjawab biasa.
Qay menghela nafas tidak senang dengan jawapan suaminya itu. Senang aja dia bercakap. Dia separuh mati risaukan anaknya itu.
“Tak payahlah risau. Inas tahu jaga diri dia. Mari sini..” pujuk Hadi lantas menarik tubuh Qay berbaring di atasnya. Pinggang wanita itu dipeluknya erat sambil menghela nafas perlahan. Tidak terucap bahagianya hari ini tatkala melihat wanita idamannya kembali berada di dalam pelukannya. Betapa hatinya bersyukur diberikan kembali kesempatan menikmati manisnya cinta ini.
“Esok pagi abang hantar Qay balik. Malam ni kita tidur sini,” janji Hadi bersungguh.
“Betul?”
“Abang cuma nak berdua aja dengan Qay tanpa kehadiran orang lain. Malam ni aja,” bisik Hadi sambil tersenyum.  
Qay akhirnya meletakkan kepalanya di atas dada lelaki itu. Buat seketika mereka mula berdiam. Telinganya terus mendengar degupan jantung suaminya itu. Alhamdulillah.. dia bersyukur masih diberikan kesempatan untuk kembali kepada lelaki ini. Perlahan tubuh lelaki itu diusap lembut.
Hadi memandang isterinya seketika. Rambut wanita itu diusap penuh kasih sayang.
“Qay nak jadi isteri yang terbaik untuk abang. Qay tak mahu berjauhan dengan abang lagi. walaupun lepas ni takdir yang tertulis, Qay terpaksa berkongsi abang dengan orang lain Qay tak mahu terlepas dari abang,” ujar Qay perlahan.
Hadi tersenyum lembut mendengar ucapan wanita itu. “Abang takkan benarkan Qay pergi jauh dari abang lagi,” balas Hadi separuh berbisik.
Qay mula mendongak memandang suaminya itu. bibirnya mula mengorak senyum. “I love you so much, sayang. I can’t stop thinking of you,” balasnya juga separuh berbisik.
Hadi mengeluh perlahan. Bisikan itu membuatkan dadanya bergetar hebat. Akhirnya tubuh wanita itu ditolaknya sehingga terlentang di atas katil itu. “Don’t leave me alone. Abang tak mampu hidup tanpa Qay dan Inas. You’re my everything,” ucap Hadi separuh merayu.

“I won’t! I promise..” balas wanita itu pasrah bersama perasaan kasih yang sudah tidak terucap. Tubuh lelaki itu dipeluknya cukup erat. Tanpa kata-kata sekali lagi mereka berlayar ke lautan asmara yang penuh gelora.

Ahad, 15 September 2013

BABA 38

Qay memutuskan untuk keluar makan tengahari awal sebaik sahaja ternampak kelibat Hadi berjalan di hadapan biliknya. Dia nampak Hadi memandang kepadanya seolah-olah memberitahu yang dia akan menanti Qay di bawah. Cepat-cepat dia bangun untuk mengejar langkah lelaki itu. sebelum itu sempat juga dia menempek sedikit make-up. Saja nak mengambil hati Hadi.
Ketika di lif Qay hanya sendirian. Kebanyakan kakitangan masih sibuk dengan kerja mereka masing-masing. Sebaik sahaja lif terbuka Qay terus keluar. Namun tiba-tiba seorang lelaki yang muncul dari tepi lif itu melanggarnya. Akibatnya dia hampir rebah oleh terjahan keras itu. Serentak itu juga tubuhnya disambut seseorang..
“Maaf..” suara garau lelaki itu menerpa gegendang telinganya. Qay menoleh mencari wajah si pemilik suara setelah dia dilepaskan. Namun saat terpandang wajah si lelaki lidahnya kelu tiba-tiba. Ucapan itu tidak tersambut dan bola matanya tidak terkalih daripada tatapan mata lelaki itu. Renungan cukup dalam daripada mata bening si lelaki membuatkan darahnya menderu laju.
Mak ai.. hensemnya mamat mat salih ni. Siapa dia ni? bisik hati Qay sendiri. Lebih terkejut lelaki itu bercakap bahasa Melayu pula dengannya. Walaupun kedengaran pelat mat salihnya. Bolehlah.. asalkan faham sudah!
I am sorry..” Lelaki itu berbahasa inggeris pula dengannya. Dia tersenyum sedikit kepada Qay yang masih tercengang memandang wajahnya.
“Takpe..” Qay memejam mata seketika. Apa kena dengan aku ni? bisik hatinya sendiri. Dia mengusap dahinya seketika sambil menghela nafas sendiri. Kau tu bini orang, Qay.. ingat sikit! Ada suara bergema mengingatkan dirinya.
“You okay ke?” suara macho tadi kedengaran lagi menegur Qay.
 “Okay.. okay..” tergagap-gagap Qay menjawab. Mahu sahaja dia memandang lagi. Tapi dia tidak sanggup! Bimbang apa yang dirasainya tadi kembali lagi.
“You cantik..” luah lelaki itu tiba-tiba membuatkan Qay menoleh pantas kepada lelaki itu. Kering liurnya dirasakan apabila terpandangkan renungan dalam dan senyum santai lelaki itu. Alahai.. menggodanya!
“I kena pergi sekarang,” ucap Qay sedikit kalut. Dia tersenyum hambar kepada lelaki itu. Serentak itu dia berjalan menjauhi lelaki itu.
“Maaf, I nak bertanya sesuatu.” Lelaki itu memangkah langkah Qay lagi.
“Apa dia?” Qay memandang lagi wajah tampan yang entah apa namanya itu.
Lelaki itu mula mendekati Qay. Renungan terus melekat di wajah Qay yang kelihatan cuak entah kenapa. “I am looking for someone here. My name is Zayn Mikhael.” Lelaki berwajah lelaki barat dan berambut keperangan itu menghulurkan tangannya kepada Qay.
Qay menyambutnya agak lambat. “Siapa yang you cari?” soal Qay.
“Qaira Syahreena. You kenal dia?”
Tersentak Qay dengan nama yang disebut oleh lelaki itu. Ada apa lelaki ini mencarinya? Setahunya dia tidak kenal lelaki ini. Nama itu cukup asing baginya. “Then who are you?” soal Qay tanpa menjawab kepada lelaki itu. dia sudah terlupa Hadi sedang menantinya.
“Err.. I’m coming from Tashkent. I’ve met Mr. Muhammed Farouqe before. And now he ask me to meet the lady about my proposal. You kenal siapa Qaira Syahreena? Di mana I boleh cari dia?” jawab Zayn lembut sambil meletakkan tangannya ke dada. Lagak budimannya jelas kelihatan dari tutur lembut dan gayanya.
“Proposal apa?”
This proposal..” lelaki itu membuka begnya dan sebuah dokumen tebal siap berbinding di hulurkan kepada Qay.
Kening Qay berkerut sedikit kepada lelaki itu. Dia ni Melayu ke apa? Sekejap cakap Melayu. Sekejap lagi speaking pulak. Muka dahlah sebijik macam mat salih. Qay terus memandang dokumen di tangan Zayn itu. “I tak tahu langsung pasal ni,” ucap Qay sambil menyambut dokumen yang dihulur oleh Zayn Mikhael.
Err.. I am sorry if it sound so rude to you. Are you Malaysian?” ucap Qay lagi.
No. I am not, Malaysian..” Zayn semakin melebarkan senyumannya kepada Qay.
“Then what about the Malay language a while ago? ucap Qay semakin keliru pula dengan lelaki ini.
“Oh! I’ve been here about 19 years. My family is here. Tapi kami masih lagi rakyat Turki walaupun sebenarnya I cintakan negara ni. I have a lots of freind here. I can speak Malay too..” Zayn Mihkael sekadar menerangkan serba ringkas tentang dirinya. Dia terus tersenyum ramah kepada Qay.
Qay mengangguk sedikit sambil membuka fail itu. Apa yang tertera di atas dokumen itu dibacanya. Namun semakin lama semakin lebat kerutan di kening hitamnya. Apa yang tertera di dalam dokumen semakin dibacanya dengan teliti. Lama mereka berdua membisu di kawasan itu. Zayn Mikhael turut ralik merenung wajah yang sedikit menunduk di hadapannya itu.
“This proposal has nothing to do with my company. Why are you here?” komen Qay sambil memandang semula lelaki itu.
Kali ini Zayn pula memandang Qay dengan kerutan di kening. “Jadi you adalah..”
“Qaira Syahreena..” sambut Qay pantas.
Jawapan Qay membuatkan lelaki di hadapannya itu ketawa seketika. Spontan dia menggaru pipinya. “So you’re the lady that I’m looking for..” komen Zayn dengan senyum manisnya.
“Ini semua tentang pembinaan paip saluran minyak bawah tanah di Tashkent. Syarikat ni bukan tentang itu. You dah salah orang. You should meet my father. Not me!” ucap Qay memandang lagi proposal itu sekilas.
“Tapi Tuan Farouqe yang minta I cari you,” ucap Zayn pula.
What for?” sekali lagi Qay keliru dengan lelaki itu.
“To ask your opinion...”
“What opinion?” Qay menggeleng sedikit tanda semakin kusut dengan tujuan lelaki itu mencarinya.
“Lama lagi ke Qay??” terjahan suara sedikit keras itu menyentak perbualan sepasang manusia itu. Qay terus menoleh ke belakang. Hadi berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan pintu masuk ke ruangan lobi itu. Qay kembali teringat janjinya dengan Hadi. Sungguh dia terlupa sekejap tadi yang Hadi sedang menunggunya. Masaklah aku.. keluh hatinya saat terpandangkan wajah bengang suaminya itu.
Qay pantas menoleh kepada Zayn Mikhael. Dia harus pergi segera.
Kim adam? (siapa lelaki itu)” tiba-tiba lelaki itu berbahasa Turki pula dengannya.
Terkedu seketika Qay dengan kerutan di kening. Macaman lelaki ini tahu yang dia mampu berbahasa Turki? “O benim kocam.” Qay menjawab yang Hadi adalah suaminya.
Zayn Mikhael mengangguk dengan seri wajah yang menyurut sedikit. “O çok ÅŸanslı.(Dia sangat bertuah)” jawabnya sambil bola matanya mula tertumpu kepada seorang lagi lelaki mula mengorak langkah untuk mendekati mereka.
Qay hanya tersenyum hambar. Bertuah ke aku? bisik hatinya sendiri. “You need to go now!” ucap Qay sebelum Hadi tiba di sisinya. Dia tidak merasa memperkenalkan Zayn adalah satu langkah yang wajar dalam keadaan mood Hadi sedang begitu.
Lelaki bermana Zayn Mikhael itu sekadar mengangguk dengan sedikit senyuman. “I’ll come back later,” ucap Zayn lantas berlalu ke arah pintu.
Hadi memandang lelaki itu yang tergesa-gesa pergi dengan pandangan tajam. Turun naik dadanya menahan geram. Dia menunggu di dalam kereta. Qay sedap saja berborak di situ. Kemudian dia mula memandang Qay. “Came back later?” ucapnya penuh tanda tanya. Melihat senyuman lelaki itu, dadanya seperti mahu meletuskan periuk api!
“Dia ada hal. Dia kena pergi.”
“Kenapa bila aku datang aja, dia terus pergi? Apa yang rahsia sangat kau dengan dia tu?” tempelak Hadi semakin tidak tertahan. Marak rasa api di dalam dirinya melihat lelaki itu cukup biadap tidak mahu bertegur sapa dengannya.
“Apa abang mengarut ni? Kan Qay dah cakap dia ada hal..” tekan Qay sudah tidak sanggup melihat kemarahan di wajah suaminya itu.
“Nak pergi ke tak? Ke dah kenyang berborak dengan jantan lain?” tempelak Hadi semakin geram.
“Naklah..”
“Habis tu? Aku ni bukannya bos boleh keluar lunch berjam-jam sesuka hati. Kau bos, bolehlah buat macam tu!” bentak Hadi meninggi. Terus dia berpaling dan kembali ke tempat dia memakir kereta.
Dek geram punya pasal.. Qay sempat mengangkat tangan seolah-olah mahu mengetuk kepala suaminya itu. Tapi sayangnya dia hanya berani buat di belakang. Masuk ke dalam kereta matanya terus menyantap wajah kelat suaminya itu. Masih tak surut marah Hadi. Sebaik sahaja dia menutup pintu Hadi terus menggerakkan kereta berlalu dari situ.
“Janganlah marah..” pujuk Qay lantas paha lelaki itu disentuhnya. Tubuhnya dipalingkan menghadap Hadi.
Hadi mendegus tanpa memandang. Namun usapan perempuan itu tidak juga ditolaknya. Macam suka pulak rasanya. Kalau tolak dialah yang rugi.
“Abang ni tak letih ke asyik marah-marah dengan Qay?” keluh Qay sebal dengan muka masam suaminya itu. Senyuman Hadi dirasakan terlalu mahal untuk didapatinya.
Hadi menoleh memandang isterinya itu. Nakal tangan isterinya membuatkan dadanya mula berdegup kencang. Teringat semula dia kepada keindahan semalam. Hei! Salah hemat ni aku makan dia ni kang.. keluh hati Hadi.
“Senyumlah sikit,” pinta Qay manja. Telinga Hadi pula diusiknya.
“Janganlah! Geli!” getus lelaki itu cuba mengelak. Hampir sahaja dia mahu ketawa. Namun sedaya upaya ditahannya juga.
“Hujung minggu ni abang buat apa? Qay nak bawak Inas jalan-jalan. Abang join sekali ya?” ucap Qay lembut.
“Aku kena balik kampung,” jawab Hadi perlahan.
“Minggu lepaskan dah balik?” balas Qay pula.
Hadi menoleh dengan sorotan tajam. “Balik banyak kali pun apa masalahnya?”
Qay mendengus sendiri dengan jawapan Hadi. “Yelah.. tunang kat sana tu pun nak kena tengok jugakkan? Apalah yang ada pada Qay ni kalau nak dibandingkan Suria yang pandai ambil hati mak abang?” perlinya geram.
Hadi terus terdiam dikenakan Qay. Tidak pernah dia mendengar Qay menyebut tentang itu selama ini. Entah kenapa hilang kepetahannya menjawab semula kepada Qay.
“So bila nak kahwinnya?” perli Qay lagi. Matanya dihalakan ke hadapan dalam pada menahan sakit hati mengenangkan itu.
“Tak tau lagi..” jawab Hadi agak perlahan.
Qay mencebik sendiri menahan rasa geram memikirkan saingannya itu. Tak habis-habis nak berebut dengan aku. Sengal punya Suria! Macam dah takde lelaki lain dalam dunia. Laki aku jugak yang dia nak! Kutuknya dalam hati.
Hadi mula menoleh apabila melihat Qay hanya bungkam di sebelahnya. Tiba-tiba dia merasa sedikit kekosongan setelah melihat wanita itu mula menjauhkan diri. Namun dia juga ikut membisu seolah-olah tiada apa yang hendak dibualkan. Dalam pada dia berfikir sendiri dia teringat semula kepada lelaki yang ditemuinya tadi.
“Siapa lelaki tadi tu?” soal Hadi membelah kebisuan mereka.
“Klien papa..”
“So apa dia nak cari kau tadi?”
“Tak tahu..”
Hadi menoleh. Tak tahu? Jadi selama-lama dia menanti tadi, apa yang Qay tahu tentang lelaki itu? Atau pun sebenarnya Qay tidak mahu berterus terang dengannya? “Jadi apa yang kau borakkan lama-lama dengan jantan tu? Bapak kau hantar jantan tu suruh dia ganti tempat aku?” ucap Hadi mula menajamkan nadanya.
Qay menghela nafas sendiri. Ketegangan yang dicipta Hadi antara mereka memang cukup-cukup meletihkan perasaannya. “Berhenti kat depan tu..” ucap Qay.
Hadi menoleh lagi. “Berhenti?” soal Hadi.
Stop this car! I don’t need all of this from you. Kalau abang setakat nak jadikan Qay tempat untuk abang lepaskan kemarahan dan dendam abang. It’s done here! I’m tired about your anger,” ucap Qay nekad. Tidak tertahan lagi hatinya mendengar cemuhan Hadi kepada papanya.
“What do you mean?” Hadi meneguk liurnya tiba-tiba.
Qay tergelak sinis. “Abang tak boleh luangkan masa dengan Qay. Fine! Qay kena faham abang ada tunang di kampung. Tunang abang lebih penting berbanding Qay dan masa yang harus abang luangkan dengan Inas. Tapi tak adil abang tuduh papa Qay macam tu sedangkan Qay sendiri pun belum tahu apa tujuan lelaki tadi tu jumpa Qay. Semuanya tergantung kat situ! Apa yang Qay pasti.. It’s nothing personal about the man, abang. Yang personal sekarang adalah dendam abang yang tak pernah habis pada keluarga Qay! Abang ingat Qay ni takde perasaan ke? Papa tak pernah cuba pisahkan kita selama ni walaupun dia tak suka abang. Tak pernah! And please stop being so stupidlah, abang! Abang memang tak pernah faham Qay selama ni.” Meledak kemarahan Qay serta merta.
“Habis tu kau nak kata maklah yang buat kita sampai jadi macam ni?”
“Mak abang bencikan Qay! Abang sedar ke tak? Siapa Qay ni dengan mak abang? Layak ke Qay bencikan mak mertua Qay sendiri? Abang pernah nampak Qay melawan mak abang ke? Tanya adik beradik abang.. pergi tanya ayah abang! Pernah ke Qay melawan mak abang selama ini? Qay dah tak tahan! Semua kesalahan tu abang letakkan atas bahu Qay.” Qay meninggikan suaranya menentang kekerasan Hadi. Saat ini dadanya sudah penuh! Air matanya sedang menunggu masa untuk gugur.
Kali ini Hadi terus terdiam. Matanya tajam memandang ke hadapan memikirkan kata-kata Qay itu.
Qay menggeleng perlahan. “Stop this car, please!”
“Tengah highway ni. Bahaya!” degus Hadi mula resah dengan kemahuan wanita itu.
“Why would you care! Stop now!” bentak Qay sudah tidak tertahan.
“Qay..” Hadi mula panik melihat isterinya tiba-tiba mahu membuka pintu kereta itu. Sepantas kilat dia memegang tangan isterinya. “What are you doing?” tengking Hadi akibat panik. Kereta mula diperlahankan dan dia membuat pertukaran lorong.
Qay akhirnya menangis di kerusinya. Tangan Hadi ditepisnya. Hadi pula terus memberhetikan kereta apabila ternampak ruang yang sesuai untuk dia berhenti. Sebaik sahaja kereta itu berhenti Qay terus membuka pintu. Namun belum sempat dia keluar lengannya pantas ditarik Hadi.
“Qay..”
“Lepaslah!!”
“Janganlah macam ni..” tekan Hadi sudah tidak senang hati melihat isterinya nekad begitu. Lengan isterinya dipegang kuat bimbang isterinya keluar dari kereta dalam keadaan jalan raya sedang bertali arus begitu.
Tidak berdaya melawan kekuatan Hadi, Qay akhirnya tersandar di kerusi. Air matanya gugur lagi ke pipi. Hadi pula bungkam di sisi Qay memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi. Ada yang tidak kena dilihatnya kepada Qay saat melihat wanita itu nekad mahu terjun dari kereta sebentar tadi.
“Kita pergi makan ya?” pujuk Hadi mula melembutkan nadanya.
Qay hanya diam tidak menjawab mahu pun memandang Hadi.
“Qay, kita pergi makan ya?”
“Qay nak balik!” tegas Qay tidak melayan pujukan Hadi.
Hadi mengeluh lagi. “Qay, abang memang sayangkan Qay. Tapi kita..” Hadi terdiam tidak mampu meneruskan bicara. Berkali-kali nafas dihela untuk meredakan apa yang sedang menghujam dadanya ini. “Banyak halangannya, Qay. Abang tak sanggup melawan cakap mak lagi.”
“Qay cuma perlukan sikit perhatian daripada abang. Qay tahu mak abang nak abang kahwin dengan Suria. Qay tak pernah kata yang Qay tak izinkan. Qay hanya minta sikit ruang dalam hidup abang. Salah ke Qay ni, bang? Dulu sebelum abang kahwin dengan Qay, abang janji nak pujuk mak abang. Tapi kenapa Qay yang kena tanggung semua ni? Qay dah cuba yang terbaik, bang. Tapi Qay yang tak pernah diterima!” balas Qay lalu memandang suaminya itu.
Hadi tersandar sambil memicit dahinya. Kata-kata Qay membuatkan dia keliru sendiri. Siapa yang tak boleh terima siapa selama ini? Puas berdiam diri Hadi memandang isterinya. “Kita pergi tempat lain?” ucap Hadi lembut.
“Ke mana?”
Hadi diam tidak menjawab. Kereta terus digerakkan pergi. Pedulilah dengan semua masalah yang ada! Saat ini dia hanya mahu mengikut kata hatinya pula. Itu sahaja!


Sabtu, 14 September 2013

BABA 37

Loceng yang dibunyikan seseorang di luar sana segera membuatkan Qay berlari lintang pukang ke tingkat bawah. Gelagat itu menunjukkan dia sememangnya teramat menantikan petikan loceng itu semenjak tadi. Kelam kabut dia menekan alat kawalan jauh agar pintu pagar terbuka segera. Istimewa benar lelaki itu sehingga tidak sanggup Qay membiarkan lelaki itu menanti lama di bawah embun tengah malam.
Setelah itu Qay terus membuka pintu utama. Sebelum itu sempat dia membetulkan baju yang melekat di tubuhnya. Rambutnya dirapikan sebelum menghela nafas agar dirinya kembali tenang.
“Assalamualaikum..” sapa Hadi lembut sebaik sahaja dia ternampak isterinya sedang berdiri memegang pintu yang terbuka separuh itu.
“Waalaikumussalam. Masuklah, bang.” Qay menjawab salam dan menyambut kedatangan Hadi dengan senyum yang paling manis.
Hadi sekadar mengangguk tanpa memandang lama wanita itu. Sesak dadanya melihat Qay yang selamba sahaja mengenakan gaun tidur yang singkat dan seksi. Haruman dari tubuh wanita itu begitu kuat menyengat derianya. Mulalah perasaannya berubah rentak. Ada sahaja usaha wanita itu mahu menggodanya.
“Inas dah tidur?” soal Hadi cuba berlagak tenang. Dia buat-buat memandang ke dalam rumah yang sudah lengang. Senyuman menggoda Qay terasa semakin menyekat paru-parunya untuk bernafas. Dia datang ke sini kerana mahu menjenguk Inas yang sudah beberapa hari tidak ditemuinya. Tetapi wanita ini benar-benar membuatkan dirinya ditekan gelora yang paling tidak dimahukannya.
“Kat atas. Naiklah..” pelawa Qay mesra sambil menutup pintu rumah itu.
Tanpa kata Hadi terus menapak naik ke tingkat atas sambil diekori oleh Qay dari belakang. Di dalam bilik anak gadisnya itu Hadi sekadar duduk di birai katil. Wajah yang sedang terlena itu ditatap penuh kerinduan. Ayah rindu, sayang.. bisik hatinya sendiri. Perlahan rambut hitam lebat itu diusap lembut. Kemudian dahi anaknya dikucup beberapa kali. Wajah inilah yang sering meleraikan rindunya kepada seseorang selama ini. Tanpa Inas hidupnya amat terdera. Dia kesunyian..
Kelakuan Hadi itu dipandang Qay penuh minat dari ambang pintu bilik anaknya itu. Dia tahu lelaki itu sememangnya seorang ayah yang penyayang. Dia bangga memiliki lelaki ini sebagai ayah kepada anak perempuannya. Dia tahu selama ini Nurul Inas dijaga baik oleh Hadi.
Setelah puas melepaskan rindu kepada anaknya itu Hadi terus bangun dari situ. Dia semakin tidak selesa apabila segala perbuatannya terus diperhatikan Qay. Seperti tiada privasi pula. Privasi apanya? Wanita itu adalah isterinya dan ibu kepada anaknya. Wanita itu berhak berada di sisinya. Tetapi dia yang masih tidak mampu menyediakan ruang kepada wanita ini. Masih banyak masalah yang tidak terurai.
“Abang dah makan?” soal Qay lembut saat merapatkan pintu bilik itu semula.
“Dah.” Sepatah sahaja jawapan lelaki itu. Tanpa menunggu lagi dia menuju ke tangga untuk turun ke bawah. Hasratnya untuk melihat anaknya sudah tertunai, jadi sekarang dia berhasrat untuk pulang sahaja ke rumahnya. Tiada sebab untuk dia menunggu lama di situ. Bahaya!
“Abang nak ke mana?” soal Qay pantas apabila melihat lelaki itu laju sahaja mahu ke tingkat bawah. Sedari tadi dia asyik mengekori lelaki itu. Tetapi suaminya itu langsung tidak memberi perhatian kepadanya. Tidak cantikkah dia hari ini? Tidak cukup seksi lagikah dia untuk mengikat kaki lelaki itu daripada menjauhinya? Atau cinta Hadi memang sudah pupus semuanya? Langsung tidak tersisa lagi.
“Balik.” Lagi sekali sepatah sahaja jawapan Hadi tanpa memandang Qay di belakangnya.
“Abang, minumlah dulu. Qay buatkan abang air ya?” ucap Qay pantas dalam pada dia cuba untuk melengahkan lelaki itu.
“Tak payahlah! Aku letih. Aku nak balik berehat.”
“Abang letih atau tak suka berada dalam rumah ni dengan Qay?” ucap Qay pantas. Terguris lagi hatinya dengan sikap lelaki itu. Letih? Kalau letih benar masakan Hadi masih boleh balik menukar pakaian di rumah sebelum ke mari? Sedangkan waktu dia menelefon lelaki itu sebelum ini, Hadi memberitahu yang dia masih di pejabat.
Hadi segera menoleh dengan pandangan tajam. “Aku tak perlu nak suka pada rumah ni. Aku datang sini untuk jumpa anak aku!” tegasnya sedikit kasar.
“Kalau abang letih, kat sini pun abang boleh berehat. Ini rumah abang juga,” pujuk Qay lembut. Peluang yang datang sekali sekala begini tidak ingin dibazirkan dengan pergaduhan. Dia harus bersabar untuk menambat hati lelaki itu semula.
“Takde sesen pun duit aku keluar untuk beli rumah ni. Ini bukan rumah aku! Ini rumah kau!” tempelak Hadi sedikit meninggi.
“Tapi abangkan suami Qay? Kenapalah susah sangat untuk abang turunkan ego abang tu? Sejak dulu soal taraf, soal darjat, soal kekayaan soal duit asyik jadi punca pergaduhan kita. Qay tak pernah malu dengan abang walaupun abang cuma seorang lelaki kampung! Selama ni Qay sedar apa yang mengikat kita, bang. Duit nafkah daripada abang! Qay tak pernah merungut walaupun duit tu bukan datang dari seorang lelaki yang kaya raya. Tapi kenapa abang yang selalu jadikan itu sebagai sebab untuk kita bergaduh?” tekan Qay sudah tidak tertahan dengan bicara kesat Hadi.
Kali ini Hadi terdiam. Namun pandangannya sekadar dihalakan ke arah ruang tamu rumah itu yang kosong. Memandang wajah sendu Qay akan meleburkan ego di hatinya. Tidak! Dia tidak boleh kalah kepada semua permainan itu.
“Abang..” Qay segera merapati suaminya itu. “Salah ke Qay minta sedikit perhatian dari abang? Bukan Inas aja yang perlukan abang. Tapi Qay jugak perlukan abang. Qay sayangkan abang, abang tahu tak?” ucap Qay lantas belakang lelaki itu disentuhnya.
“Aku bukan lagi Aqmal Hadi yang dulu, Qay. Lelaki tu dah lama mati!”
“Abang..” rayu wanita itu. Lengan suaminya itu ditariknya agar lelaki itu memandangnya. Hadi menoleh dengan pandangan kosong. Namun wajah wanita itu tidak mampu dipandang lama.
“Qay tahu Qay pernah abaikan abang dulu. Qay dah cuba untuk berubah tapi kenapa abang terus menolak Qay? Qay masih sayangkan abang, takkan itu pun abang tak nampak? Apa lagi yang harus Qay buat supaya abang tak terus layan Qay macam ni?” luah Qay sedikit tertahan.
Hadi menggeleng perlahan. Lengannya direntapnya daripada wanita itu.
Namun spontan Qay terus memeluknya erat. “Jangan pergi jauh dari Qay. Qay tak boleh hidup tanpa abang. Please.. Qay cintakan abang sangat-sangat. Tolong jangan benci Qay. Qay tak mahu kehilangan abang lagi,” pinta Qay sudah tidak ada segan silu lagi. Wajahnya disembamkan ke dada suaminya itu.
“Lepaslah, Qay!” getus Hadi resah sambil dia cuba merungkaikan pelukan wanita itu di pinggangnya.
“Qay tak akan tinggalkan abang lagi. Please.. jangan balik, abang. Qay sanggup buat apa saja untuk dapatkan suami Qay semula. I love you and I need you so much. Qay cuma nak hak Qay sebagai isteri abang!” desah wanita itu penuh harapan. Dia tidak ingin kecewa lagi.
Hadi terkaku apabila Qay mula nekad memeluk lehernya pula. Dadanya sudah mula terasa panas apabila dihimpit oleh tubuh hangat wanita itu. Tidak cukup itu wanita itu tanpa segan silu mengucup bibirnya pula. Cuba dielaknya serangan bibir isterinya itu. Namun semakin mengganas pula perempuan itu menggomol wajahnya.
“Qay, cukuplah!” keluh Hadi cuba mengelak. Namun sentuhan wanita itu mula merebahkan keimanannya.
“Qay nak abang yang dulu. Please.. jangan tinggalkan Qay sendiri. Qay nak abang!” Sepotong bicara dipengakhiran itu akhirnya membuatkan keteguhan tembok iman lelaki itu merebah juga. Sesungguhnya dia cuma seorang lelaki yang lemah yang mendambakan kasih sayang dari seorang wanita yang dicintainya.

Lelaki itu menghela keluhan perlahan. Wanita di sisinya itu dipandang seketika. Qay memejamkan matanya namun bibirnya bagaikan sedang tersenyum dalam lenanya. Lama Hadi memerhatikan wajah itu. Dia tidur ke tak ni? Tengah berangan ke? soal Hadi dalam hati. Nak kata tidur, tangan Qay asyik bergerak-gerak di atas tubuhnya. Tetapi matanya terpejam pula.
Entah kenapa.. walaupun tilam yang sedang menjadi lapik tubuhnya ini cukup empuk. Namun Hadi merasa amat tidak selesa. Bukan tubuhnya yang tidak selesa sebaliknya perasaannya. Seluruh hatinya ingin benar menjauhi wanita ini. Namun pelukan erat Qay membuatkan dia susah mahu bergerak. Akhirnya dia terdampar sendiri memikirkan apa yang baru berlaku sebentar tadi.
Ah! Hadi, kau jangan hipokrit. Kau boleh tolak dia kalau kau nak. Kau boleh tinggalkan bilik ni kalau kau mahu. Jangan beralasan, Hadi! Jangan hipokrit! Getus hatinya sendiri. Hadi menghela keluhan lagi buat kesekian kalinnya. Apa sudah jadi padanya? Dia benar-benar tidak senang dengan dirinya yang lekas benar tumbang pada godaan perempuan ini. Sekuat mana dia bertahan pun di sini juga dia akhirnya. Apa yang berlaku sekejap tadi, tiada istilah paksaan kepada mereka berdua. Tidak wajar dia menyalahkan Qay atas semua itu.
Perlahan Hadi mengangkat tangan isterinya yang sedang melingkari pinggangnya. Namun semakin itu Qay mengeratkan pelukannya. “Jangan pergi mana-mana..” bisik wanita itu lembut.
“Qay, janganlah macam ni..” keluh Hadi semakin serba salah.
“Qay nak abang ada di sebelah Qay malam ni. Qay tak mahu terus sendiri lagi, abang. Tolong jangan hampakan Qay kali ini,” rayu Qay tidak peduli kepada keluhan Hadi. Dia tahu kalau dia tidak nekad begini Hadi akan terus mengelak darinya. Sengaja dia buat begitu agar lelaki itu tidak pergi darinya.
Bukannya dia tidak perasan keresahan suaminya itu. Tetapi semakin resah lelaki itu semakin seronok dia mahu menawannya. Dia tahu dalam diri lelaki bukannya tiada sayang kepadanya sebaliknya kasih sayang itu tenggelam oleh ego lelakinya hanya kerana isterinya lebih berharta di dunia ini. Hakikatnya kasih sayangnya kepada lelaki ini tidak pernah mengira semua itu. Sesungguhnya demi cinta dia rela menebalkan muka, menjatuhkan air mukanya untuk merebut tempat di sisi lelaki ini semula.
Hadi membeku memandang atas. Jemari isterinya yang meliar di atas tubuhnya membuatkan jantungnya berdegup laju. Mahu dihalang.. macam rugi pula rasanya. Mahu dibiarkan.. dia bimbang segalanya akan pergi lebih jauh. Hadi asyik terbayangkan kata-kata emaknya.
‘Langkah mayat mak dulu..’
Sepotong ayat itu sudah cukup membuatkan dia tersiksa dalam diam. Belum lagi ayat yang lain! Memikirkan emaknya Hadi tidak tahu apa yang harus dibuatnya untuk mengubah keadaan ini. Bukannya dia tidak senang dengan keadaan ini. Bukannya dia tidak mahu.. tetapi halangan emaknya itu yang membuatkan dia tidak sanggup melalui kekecewaan lagi. Daripada begitu lebih baik dia mengalah sahaja. Tapi sanggupkah dia berputih mata melihat Qay bukan lagi miliknya? Sanggupkah?

Ya, Allah.. apa yang patut aku buat.. keluh Hadi semakin buntu. Kemesraan yang diberikan oleh, inilah yang didambakan oleh dirinya sebagai suami. Ingin sahaja dia membalas dakapan Qay. Namun dia tidak mampu untuk menyambut cinta itu dengan tangan terbuka. Halangannya masih terlalu besar. Wajah ibunya dan Suria terus bermain di fikirannya.
Sehingga ke angka 4 pagi itu Hadi tidak dapat melelapkan matanya. Terbedik-bedik dia memikirkan keadaan dirinya dan Qay selepas ini. Dia sendiri sebenarnya masih keliru dengan masa hadapan yang harus dipilihnya. Masih mampukah impiannya dicapai? Bukannya dia tidak sedar jauh berbeza dia dan Qay. Apa yang mampu diberikan kepada wanita ini sebagai alas kebahagiaannya?
Lelaki itu menghela nafas perlahan. Mengapa sukar benar untuk mereka berdua menjalani hidup seperti orang lain? Adakah dia yang terlalu ego selama ini sehingga menyebabkan keadaan mereka berdua jadi begini?

Setelah puas memandang Qay yang sudah terlena, Hadi mula mengalihkan tangan Qay yang melingkari tubuhnya. Dengan pergerakan yang amat perlahan dia turun dari katil itu. Niatnya adalah untuk membersihkan diri sebelum pulang ke rumahnya. Dia tahu.. semakin lama dia membiarkan dirinya berdekatan dengan wanita ini, semakin dia kalah kepada perasaannya. Sedangkan dia sedar.. isterinya itu hari ini jauh lebih hebat berbanding Qaira Syahreena yang dulu.