Khamis, 5 Disember 2013

BABA 39

Hadi memandang sekeliling. Nyaman rasanya berada di puncak bukit itu. Selesa rasanya berada di situ tanpa kehadiran ramai pengunjung lain. Di tempat mereka berdiri itu, pernah kaki mereka melakar sejarah berada di situ lebih berbelas tahun dulu. Pernah mata mereka memandang ke arah yang sama suatu masa dulu. Di sini juga pernah mereka merasa kehangatan perasaan cinta antara satu sama lain.
“Bukit Malawati.. abang tak pernah lupakan tempat ni,” ucap Hadi perlahan kepada wanita yang berada di sisinya itu. Bibirnya tersenyum sambil memaut bahu Qay rapat kepadanya.
Qay tergelak perlahan. Ya! mereka pernah memahat memori percintaan zaman sekolah di sini dahulu. Memang indah jika dikenang waktu itu. Saat ini dia merasakan seolah-olah masa sedang berpatah semula membawa mereka pulang ke sana.
“Abang pernah datang sini sebelum ni. Boleh dikatakan selalu..” ucap Hadi agak perlahan. “Bila abang rindu, abang datang sini. Abang duduk di tempat yang sama kita duduk dulu. Kadang-kadang abang cari monyet-monyet yang ada dengan kita waktu tu. Entah ada lagi entah tidak,” ucap Hadi lagi agak rendah. Sayu dia mengenangkan saat itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tebalnya kepedihan hatinya.
Hadi mengalihkan pandangannya kepada Qay. “Abang merana selama ini, Qay. Abang rasa sedih sangat setiap kali abang datang ke sini. Qay dah takde lagi dengan abang. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang abang rasa waktu tu. Abang pernah bawak Inas datang ke sini. Tapi dia tak pernah tahu kenapa abang bawa dia ke sini dulu,” ucap Hadi perlahan.
Qay terus terdiam. Namun sayu hatinya mendengar kata-kata Hadi. Hakikatnya bukan Hadi seorang yang merana. Dia lebih merana kerana terpisah daripada anak kandungnya sendiri. Hadi tidak pernah tahu apa pula yang berlaku kepada dirinya selama mereka terpisah. Mereka berdua melakar cerita mereka sendiri.
Hadi tiba-tiba menarik Qay menghadap kepadanya. Buat seketika bibirnya dilekapkan di dahi wanita itu. Kedua-dua belah pipi wanita itu dipegangnya erat. “Jangan tinggalkan abang lagi, sayang. Abang tak sanggup melalui keadaan tu berkali-kali. Abang perlukan Qay untuk Inas dan diri abang sendiri. Abang tak tahu apa nak buat dengan hidup abang ni tanpa Qay di sisi abang.”
Ulas bicara Hadi membuatkan dada Qay sayu. Berkaca matanya memandang Hadi. “I won’t!” ucapnya separuh berbisik lantas tubuh Hadi dipeluknya erat. Hakikatnya cintanya kepada Hadi tidak pernah berubah sedikit pun. Tidak pernah! Biarpun lebih 10 tahun mereka terpisah.
Hadi terus membalas pelukan Qay erat. Buat seketika dadanya cukup lapang. Hanya saat-saat bahagia ini yang mahu dinikmatinya sepuas-puas hati selagi masa mengizinkan. Biarlah dilupakan segalanya untuk seketika ini. Dia sangat-sangat memerlukan sedikit kekuatan untuk mengorak langkah kemudian nanti.
“Mak abang dengan Suria macamana?” soal Qay setelah tubuhnya dilepaskan Hadi.
Hadi menghela nafas perlahan. Soal itu dia sebenarnya masih belum tahu. “Abang akan berterus terang dengan mak dan Suria nanti,” ujar Hadi perlahan. Risiko yang menanti dia sudah tahu. Harap-harap masih ada jalan untuk dia memujuk hati keras emaknya itu.
“Mak abang lebih sukakan Suria berbanding Qay. Qay kena terima kenyataan.” Qay membalas lemah. Satu kenyataan itu sering sahaja membunuh keyakinan dirinya dalam pada dia membiarkan dirinya tega merebut kasih Hadi semula. Dia tidak ingin mengalah semudah itu. Tetapi dia juga sedar betapa besarnya kuasa emak mertuanya itu ke atas suaminya.
“Sayang, kita jangan fikir pasal tu dulu ya? Abang cuma nak kita ambil masa ni untuk diri kita sendiri. Mak dan Suria takde kat sini. Yang ada kita berdua. Abang tak mahu sesakkan fikiran dengan perkara yang tak mampu kita ubah buat masa ni.” Hadi berkata lembut. Rambut isterinya itu diusap lembut.
“Tapi sampai bila, abang?” desah Qay tidak senang dengan ucapan Hadi. Melengah-lengahkan masa tidak mampu menenangkan perasaannya. Sama sekali tidak!
“Entahlah! Abang pun tak tahu, sayang.”
Qay terdiam mendengar itu. Bermakna Hadi sendiri masih tidak punya jalan keluar selain daripada tunduk kepada emaknya. Lebih teruk lagi di antara dia dan Suria saat ini, dialah yang kelihatan seperti perempuan simpanan Hadi.
“Kita habiskan masa kat sini sekejap? Abang malas nak masuk pejabat.”
Qay sekadar mengangguk akur dengan kehendak suaminya itu. apa nak kisah? Tiada siapa boleh mempersoalkan ke mana dia dan Hadi pergi. Sementelah kepada Amanda dia sudah meninggalkan pesan yang dia ada hal di luar.
Sama seperti dahulu, aktiviti mereka di situ tiada lain sekadar melayan monyet-monyet yang meminta makan. Cuma apa yang mereka perasan jumlah monyet-monyet itu semakin bertambah berbanding dahulu. Seronok Qay melayan ragam mereka.
“Mana monyet yang ada misai macam abang tu? Ada lagi tak?”
“Tengok tu...” getus Hadi geram mendengar soal itu diungkap semula oleh Qay. Ada ke suami di samakan dengan monyet? Yang misai macam monyet ni jugaklah yang disayang-sayang. Qay sempat tergelak sambil memaut lengan lelaki itu.
“Alah! Gurau sikit je pun nak marah..”
“Ada ke muka hensem ni disamakan dengan monyet,” balas Hadi sambil menunding jari ke wajahnya. Ada nada bengang yang kedengaran.
Qay tergelak lagi memandang wajah masam kelat suaminya itu. “Yelah.. muka macam monyet pun Qay tetap sayang..”
“Siap Qay kejap lagi!”
Qay terus memandang Hadi dengan riak penuh tanda tanya. “Kenapa dengan kejap lagi?” soalnya. Hadi terus memandang ke arah lain pura-pura tidak mendengar.
Geram dengan ulah lelaki itu, lengan Hadi dicubitnya. “Cakaplah cepat!”
“Takde apa-apa..” jawab Hadi bersahaja. “Dahlah! Jom balik. Abang dah lapar ni,” ucap Hadi tidak mahu terus berada di kalangan monyet itu lagi. Nanti ada pulak timbul seekor yang muka sama macam dia.
Qay sekadar menurut apabila Hadi menarik tangannya.
Beberapa minit sebelum maghrib menjelma barulah mereka tiba di Shah Alam semula. Kereta Hadi berhenti di hadapan rumahnya. Qay sempat memandang sekeliling. Namun mengenangkan waktu sudah kelam dia tidak mahu banyak soal lagi. Mereka terus masuk ke dalam.
Sangkanya usai solat maghrib Hadi akan menghantar dia pulang ke rumah. Namun dia lihat lelaki itu bersenang lenang pula di ruang tamu sambil menonton berita di tv sedangkan dia sudah risaukan anaknya di rumah. Pagi tadi sudah berjanji akan pulang awal ke rumah. Tetapi sayangnya dalam waktu begini dia masih di luar.
“Abang, hantar Qay balik cepat,” pinta Qay sambil memandang lelaki itu.
“Nantilah. Lepas Isyak nanti,” jawab Hadi selamba.
Qay mendegus seketika. Namun memikirkan Isyak hanya beberapa minit sahaja lagi dia akur juga. Namun usai solat Isyak lain pula ceritanya. Dia disuruh memasak pula. Lapar kata Hadi. Terpaksalah dia akur walaupun kerisauannya sudah tidak bertebing memikirkan Inas. Sangkanya lepas makan nanti Hadi pasti akan menunaikan janjinya.
Tetapi selepas kenyang makan Hadi meminta dia buatkan air pula sementara lelaki itu kembali bersenang lenang dengan kain pelekatnya di hadapan tv. Sekali lagi dia akur dengan harapan lelaki itu segera menghantar dia pulang selepas itu. tetapi hatinya sebal yang teramat sangat apabila melihat Hadi sengaja berlengah-lengah. Air yang dibancuh dihirup sedikit-sedikit sedangkan dia sudah jenuh menunggu.
“Cepatlah, abang!” degus Qay mula geram melihat lelaki itu.
“Nak balik cepat sangat nak buat apa?” soal Hadi selamba.
Qay mula mendecit geram. “Tadi abang janji nak hantar Qay balik. Cepatlah. Inas kat rumah tu takde siapa temankan,” getus Qay sedikit menekan.
Hadi menoleh kepada wanita itu. Bibirnya tersenyum tiba-tiba. “Duduklah dengan abang kejap. Inas tu ramai yang boleh temankan dia. Abang ni sorang-sorang aja kat sini,” pujuknya lembut. Tubuh wanita itu mula dipautnya dekat kepadanya.
“Abang main-mainkan Qay ke ni?” desis Qay. Spontan perut lelaki itu dicubitnya.
“Abang pun nak kena teman jugak,” bisik Hadi lembut. Pipi mulus wanita itu dikucup lembut, sengaja menghantar hasrat yang terpendam.
Qay mula terdiam. Wajah lelaki direnungnya seketika.
“Nanti abang hantar balik,” pujuk Hadi dengan renungan redupnya.
“Abang memang dah plan nak bawak Qay datang sini ke?” soal Qay mula curiga. Rumahnya dengan rumah Hadi bukannya jauh benar. Tetapi tadi lelaki itu sengaja melencongkan arah ke sini.
“Salah ke? Abang cuma nakkan privasi. Kat sana nanti Inas mengacau.” Hadi membalas sambil tersenyum. Lengan wanita itu diusapnya lembut.
“Semalam jual mahal sangat,” cebir Qay sambil menjeling.
“Yalah.. tapi abang dah beli. Nak tak nak kenalah gunakan sebaik-baiknya. Takkan nak tengok aja. Rugilah abang,” sambut Hadi sambil tergelak sedikit.
Jawapan itu dibalas dengan cubitan di lengan Hadi. “Inas tu..” kata-kata itu terputus di situ. Qay terkumpal-kumpal sendiri tatkala bibirnya dipagut Hadi tiba-tiba. Namun akhirnya tubuh lelaki itu dipaut juga.

Qay mengambil jam tangannya di atas meja tepi katil itu. Matanya yang sedikit kabur digesek beberapa kali sebelum melihat waktu saat itu. Spontan matanya terbeliak. Astaghafirullah.. dah pukul 3 pagi! Kalut dia bangun dari katil itu. Tanpa memandang kiri kanan dia terus masuk ke bilik air. Hanya satu yang ada di fikirannya. Inas! Pagi tadi dia berjanji akan pulang awal. Tetapi sayangnya jam ini dia masih di luar.
Keluar daripada bilik air Qay terus menerpa kepada Hadi. “Abang, bangun. Hantar Qay balik!” ucap Qay sambil menggoyangkan lelaki itu.
“Hmm..” jawab Hadi malas.
“Cepatlah! Dah pukul 3 pagi ni,” getus Qay sedikit gusar tatkala melihat Hadi dengan senang hati menyambung lena. Tubuh lelaki itu kembali digoncangnya.
“Alah! Baru pukul 3 pagi..” ucap Hadi dalam mata terpejam.
Qay mula mendecit. “Bangunlah. Inas kat rumah sorang-sorang, abang.”
Hadi kembali membuka mata. “Kan uwo ada dengan Inas kat rumah sana. Apa nak risau. Inas tu dah besar.” Hadi menjawab biasa.
Qay menghela nafas tidak senang dengan jawapan suaminya itu. Senang aja dia bercakap. Dia separuh mati risaukan anaknya itu.
“Tak payahlah risau. Inas tahu jaga diri dia. Mari sini..” pujuk Hadi lantas menarik tubuh Qay berbaring di atasnya. Pinggang wanita itu dipeluknya erat sambil menghela nafas perlahan. Tidak terucap bahagianya hari ini tatkala melihat wanita idamannya kembali berada di dalam pelukannya. Betapa hatinya bersyukur diberikan kembali kesempatan menikmati manisnya cinta ini.
“Esok pagi abang hantar Qay balik. Malam ni kita tidur sini,” janji Hadi bersungguh.
“Betul?”
“Abang cuma nak berdua aja dengan Qay tanpa kehadiran orang lain. Malam ni aja,” bisik Hadi sambil tersenyum.  
Qay akhirnya meletakkan kepalanya di atas dada lelaki itu. Buat seketika mereka mula berdiam. Telinganya terus mendengar degupan jantung suaminya itu. Alhamdulillah.. dia bersyukur masih diberikan kesempatan untuk kembali kepada lelaki ini. Perlahan tubuh lelaki itu diusap lembut.
Hadi memandang isterinya seketika. Rambut wanita itu diusap penuh kasih sayang.
“Qay nak jadi isteri yang terbaik untuk abang. Qay tak mahu berjauhan dengan abang lagi. walaupun lepas ni takdir yang tertulis, Qay terpaksa berkongsi abang dengan orang lain Qay tak mahu terlepas dari abang,” ujar Qay perlahan.
Hadi tersenyum lembut mendengar ucapan wanita itu. “Abang takkan benarkan Qay pergi jauh dari abang lagi,” balas Hadi separuh berbisik.
Qay mula mendongak memandang suaminya itu. bibirnya mula mengorak senyum. “I love you so much, sayang. I can’t stop thinking of you,” balasnya juga separuh berbisik.
Hadi mengeluh perlahan. Bisikan itu membuatkan dadanya bergetar hebat. Akhirnya tubuh wanita itu ditolaknya sehingga terlentang di atas katil itu. “Don’t leave me alone. Abang tak mampu hidup tanpa Qay dan Inas. You’re my everything,” ucap Hadi separuh merayu.

“I won’t! I promise..” balas wanita itu pasrah bersama perasaan kasih yang sudah tidak terucap. Tubuh lelaki itu dipeluknya cukup erat. Tanpa kata-kata sekali lagi mereka berlayar ke lautan asmara yang penuh gelora.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.